BAB 94
“Assalamualaikum...” Laju aku berpaling. Aku terkedu
menatap gadis ini. Cantik dan berketerampilan. Wajah yang aku nampak bersama
Aqel pada malam itu. Dialah Flora. Kekasih yang bertakhta di hati Aqel. Memang
padan dengan Aqel.
“Awak... Liakan?” tekanya meminta kepastian. Aku
mengangguk lantas menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Kami saling
bertukar senyuman.
“Gembira dapat jumpa awak. Maaf mengganggu masa awak”
ujarku. Dia menggeleng.
“Saya memang dah lama nak jumpa awak tapi takde kesempatan.
Aqel pun mahu sembunyikan awak” ujarnya berseloroh. Dia tersenyum. Menawan
senyumannya. Persis senyuman Aqel. Mereka memang pasangan kekasih yang
sempurna. Terasa sudah sampai masa dia menuntut Aqel dilepaskan. Detik penyatuan Aqel dan Flora
sudah tiba.
“Saya pernah nampak awak di majlis hari jadi Idlan tapi
kita tak sempat berkenalan sebab Aqel cepat sangat bawa awak pergi” jelasku
mengimbau perkara yang terjadi pada malam itu.
“Oh...ye ke... Tak tahu pula saya awak ada di majlis tu.
Aqel tak cakappun” cerita gadis ini ceria. Tiada keperluan Aqel hendak
memperkenalkan aku kepada kekasihnya. Kekasih yang begitu tabah dan setia.
Tidak menyerangku persis Bella yang sentiasa rasa terancam. Gadis ini tenang
sahaja. Dia tahu hati Aqel telah dimiliki sepenuhnya. Tiada gadis yang mampu
mengancamnya sebagai buah hati pengarang jantung Aqel. Mereka pasangan kekasih
yang setia. Beruntunglah mereka. Aku mencemburui percintaan mereka.
Syukurlah... Aqel dipertemukan dengan gadis yang baik.
“Sebenarnya malam itu saya dan Aqel ada janji temu”
jelasnya. Aku menatap tanpa perasaan terkejut. Lumrah pasangan kekasih bertemu
melepas rindu.
“Jangan salah faham. Janji temu antara doktor dengan
pesakit” jelasnya. Kali ini aku tersentak. Flora seorang doktor? Kebetulankah
ini? Fikiranku menerjah pada perbualan kami semalam. Aku yang mengatur
pertemuan hari ini. Namun aku tidak mengetahui doktor ini ialah Flora kekasih
Aqel. Tidak perlu dia memberi alasan hendak berjumpa kekasihnya. Tidak perlu
dia menafikan status diri mereka. Aku sangsi.
“Awak Florakan?” tekaku mahu dia berterus-terang sahaja.
“Hey... bukan! Saya Fiona Nabila. Awak dah lupa nama
saya? Saya yang berhubung dengan awak semalam di talian” tingkahnya. Aku
terkedu mendengar penjelasan ini.
“Oh...saya silap. Maaf ye...” ujarku bersalah. Segan. Aku
tersilap orang. Gadis ini ialah Dr. Fiona Nabila, pakar kaunseling. Nama dan
nombor telefon tertera pada kad yang kujumpa di dalam almari Aqel. Aku mengambil
tanpa pengetahuan Aqel.
“Jadi benarlah Aqel pesakit awak?” tanyaku mengungkit
kenyataan tadi. Dr. Fiona Nabila mengangguk. Aku melepaskan keluhan berat. Hati
dipagut kerisauan. Kasihan Aqel.
“Kira-kira
sudah lima tahun Aqel menjadi pesakit saya” ujarnya menjelaskan. Aku terpukul.
Kenyataan yang membimbangkan. Pandai Aqel berahsia. Dia yang tampak sihat
sejahtera rupa-rupanya sakit.
“Sudah lima tahun Aqel jadi pesakit awak?” tanyaku.
Kenyataan yang mengejutkan. Aqel sakit selama bertahun-tahun tanpa
pengetahuanku. Dr. Fiona Nabila mengangguk.
“Boleh saya tahu Aqel sakit apa? Serius ke? Kenapa Aqel
tak buat rawatan lanjut di hospital? Awak tak boleh ke pujuk Aqel?”
bertalu-talu pertanyaan kuajukan kepada Dr. Fiona Nabila. Cemas. Dia tersenyum.
“Bertenang... Lia” pintanya menyedarkan aku. Emosiku
terganggu mendengar kenyataan Dr. Fiona Nabila. Aqel tidak pernah
berterus-terang padaku. Banyak perkara tentang Aqel tidak kuketahui.
“Aqel dah sihat sekarang. Sejak awak muncul dalam hidup Aqel
kesakitannya bagai dah terubat. Awak penawar mujarab buat dirinya” tutur Dr.
Fiona Nabila tersenyum. Aku terkedu. Lantas memanjat kesyukuran. Alhamdulillah
Aqel sudah sembuh. Kenyataan Dr. Fiona Nabila melegakanku. Aqel begitu penting buat
keluarga kami.
“Sebagai doktor dan sebagai sahabat karib Aqel, saya nak
berterima kasih kepada awak. Awak memudahkan kerja saya” tutur Dr. Fiona Nabila
terhutang budi. Aku geleng kepala. Bukan aku yang menyembuhkan Aqel. Sebaliknya
aku yang sering membebankan Aqel.
“Pastinya saya gembira Aqel dah pulih” tambah Dr. Fiona
Nabila buat aku tertanya-tanya.
“Awak pun pasti gembira juga” ujar Dr. Fiona Nabila lagi.
“Ya dah semestinya saya sangat gembira dan bersyukur.
Saya sangat berharap Aqel akan sentiasa hidup baik-baik saja” ujarku jujur. Dr.
Fiona Nabila tersenyum.
“Aqel saudara saya. Dia sangat penting buat keluarga
kami” ujarku memberi penegasan.
“Dia juga suami awak” tokok Dr. Fiona Nabila buat aku
terdiam. Aku mengangguk.
“Ya... Aqel suami saya. Saya tak pernah lupa hubungan
ini” sahutku serius.
“Maka sebagai isteri saya berhak tahu penyakit Aqel. Awak
boleh jelaskan kepada saya?” tanyaku. Aku dan Dr. Fiona Nabila beradu
pandangan.
“Aqel mengalami trauma yang serius setelah kehilangan
orang yang disayanginya” jelas Dr. Fiona Nabila. Aku terpana. Aqel kehilangan
orang yang tersayang? Flora tidak bersama Aqel lagi? Aqel telah berpisah dengan
Flora? Mengapa perkara ini berlaku? Oh...pasti akulah punca perpisahan itu!
Tidak mungkin! Kronologi masa yang berbeza. Aqel sakit sebelum aku mengenalinya
iaitu lima tahun yang lalu. Apa yang berlaku? Aku keliru. Perasaan ingin tahu
melonjak-lonjak.
“Masalah emosi dan mental?” tekaku. Sukar aku hendak
mengungkapkan ayat ini. Aqel terlalu sempurna hendak menjadi manusia yang tidak
waras. Perkara ini sungguh serius. Oh...kasihan Aqel! Hatiku bergetar.
Kupandang Dr. Fiona Nabila. Kami berpandangan dengan mulut yang terkunci.
Berdebar-debar menanti Dr. Fiona Nabila melanjutkan bicara.
“Awak jangan susah hati. Aqel telah berjaya melepasi
segala kesukaran itu dengan ada awak di sisinya” ujar Dr. Fiona Nabila serius.
“Saya risau kalau Aqel belum sembuh sepenuhnya.
Sungguh... sungguh... risau” ujarku meluahkan isi hati. Cuba bertahan. Tidak
mahu air mata ini menitis di depan Dr. Fiona Nabila. Tidak mampu aku memohon
penjelasan lanjut tentang perkara ini. Sukar aku hendak mendamaikan gelodak
hati ini. Bimbang aku tidak boleh mengawal diri lagi. Aku tidak mahu ada
kekurangan pada Aqel. Selama ini aku bangga kerana Aqel sungguh sempurna. Tiada
jejaka lain yang kukenali mampu menandingi kehebatan Aqel. Meskipun Haqem
sendiri. Haqem tidak sekuat Aqel yang mampu melindungiku dalam apa keadaan
sekalipun. Itu kelebihan Aqel
yang tidak ada pada Haqem. Beruntung Mak Long melahirkan Aqel. Kami sekeluarga
turut merasa tempias keberuntungan itu. Pertemuan singkatku dengan Dr. Fiona
Nabila menyingkap sedikit rahsia hidup Aqel. Terbit perasaan sedih mengenangkan
nasib Aqel. Aqel menyembunyikan rahsia ini daripada semua orang termasuk ibu
bapanya sendiri. Kalau Mak Long mengetahui keadaan Aqel selama ini pasti Mak
Long bersedih. Kuakhiri pertemuanku dengan Dr. Fiona Nabila dengan ucapan
terima kasih yang tidak terhingga. Aku bersyukur kerana dipertemukan dengan
gadis ini. Tetiba terlintas di benakku. Aku pernah mendengar suara Flora di talian.
Dia meminta aku melepaskan Aqel. Jikalau benar Flora masih bernafas di alam fana
ini, mengapa Dr. Fiona Nabila kata Aqel trauma setelah kehilangan orang yang disayanginya?
Bukahkah Flora itu insan yang Aqel sayangi? Nampak fakta ini bercanggah sekarang.
Kalut benakku memikirkan perkara ini.
Tatkala aku berdiri di ambang pintu bilik ini, kelihatan
Aqel sedang membaca buku berbaring di sofa. Begitu khusyuk
sehingga kehadiranku tidak disedari. Leka dia menyelami makna baris demi baris
ayat yang terkandung dalam buku itu. Kupandang wajah Aqel lama-lama. Tanpa
kupinta terasa hangat perlahan-lahan mengalir di pipiku. Menatap Aqel simpatiku
kepadanya bertambah-tambah. Bagai tidak kuat sahaja aku hendak berhadapan
dengan Aqel.
“Kenapa tercengat saja di pintu tu?Awak nak jadi
pengawal?” Aku tersentak mendengar teguran Aqel. Cepat kukesat air mata ini.
Tidak mahu Aqel melihat. Cuba tersenyum dan melangkah masuk mendekati Aqel.
Aqel menatapku buat aku serba salah. Bimbang Aqel menyedari tingkahlakuku. Rasa
aneh.
“Awak menangis?” Mudah sahaja Aqel mengesan. Laju aku
menggeleng. Cuba menafikan. Kuukir senyuman. Berusaha menutup hiba hati di saat
ini.
“Kenapa awak menangis?” tanya Aqel tidak puas hati. Aku
menggeleng.
“Awak sakit lagi?” tanyaku. Aqel menggeleng dan
tersenyum. Sebenarnya pertanyaanku ini mahukan jawapan yang lebih mendalam.
Bukan sekadar sembuh daripada demam semalam. Aku mahu Aqel menjeleskan lebih
terperinci tentang kesihatannya. Adakah Aqel boleh tidur nyenyak? Adakah Flora
masih membelenggu hidup Aqel? Ternyata Aqel merana kehilangan gadis itu.
“Wah, awak ambil berat terhadap sayalah!” ujar Aqel
tersenyum. Masih mahu bergurau denganku.
“Ya... Awak sakit sebab nak selamatkan saya” sahutku
tidak menafikan. Lebar senyuman Aqel. Lantas Aqel bangun dan berdiri di
depanku. Dekat denganku. Tanpa kuduga Aqel terus memelukku. Aku terkedu dan
hanya mematungkan diri. Tidak bergerak-gerak lagi.
“Terima kasih ... sebab saya masih berpeluang mengganggu
hidup awak. Terima kasih banyak-banyak sebab saya masih dapat tengok awak”
tutur Aqel serius. Begitu dalam makna bicara Aqel ini. Terasa dakapan Aqel kian
erat. Aku terpaku. Tiada bicara yang terluah. Namun hatiku terusik. Benakku
masih memikirkan kesihatan Aqel. Sesungguhnya, aku mahukan Aqel hidup sihat
sejahtera sepanjang hayat. Hidup bahagia selagi nyawa dan jasad tidak terpisah.
Hanya mahu menatap senyuman Aqel yang menawan. Aku mahukan semua itu
berpanjangan.
“Saya minta maaf. Perkara yang menimpa Datin Sofea dan
Bella buat awak tak selesa” ujar Aqel serba salah. Haqem tersenyum.
“Mereka mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka. Itu
dah pilihan mereka, saya nak kata apa lagi. Sekurang-kurangnya mama akan sedar
tak semua perkara boleh dikawal dengan wang ringgit dan kuasa yang dia ada”
keluh Haqem kecewa.
“Awak tak payah rasa bersalah pada saya” ujar Haqem
mengingatkan. Aqel senyum.
“Terima kasih” Pengertian Haqem menyenangkan Aqel.
“Terima kasih juga pada awak...” ujar Haqem membalas
penghargaan itu.
“Huh...” Aqel kehairanan. Wajah Haqem dipandang.
“Terima kasih membebaskan Lia daripada tuduhan itu. Saya
tak mampu melakukan apa-apa walaupun saya dah melutut merayu di depan mama.
Saya tahu Lia tak bersalah” keluh Haqem tidak berdaya. Dia menangis di depan
Datin Sofea merayu untuk kebebasan gadis itu. Namun air matanya tidak berharga
di depan Datin Sofea. Dia gagal melindungi gadis itu. Hati Datin Sofea sungguh
keras. Wanita itu nekad hendak menyumbat Lia ke dalam penjara.
“Awak tahu apa beza kita berdua?” tanya Aqel serius.
Haqem menatapnya.
“Saya harus hidup dengan baik. Hidup baik sehingga ke
hari ini untuk melindunginya” tegas Aqel. Haqem terdiam. Terpukul dengan bicara
Aqel. Sedar bahawa dia tidak sekuat Aqel yang mampu melindungi gadis itu dalam
apa keadaan sekalipun. Itu perbezaan mereka.
“Saya takkan biarkan dia hidup dengan caranya sendiri.
Sudah sampai masa saya lebih bertegas dengan Flora demi kebaikannya. Saya nak
dia hidup untuk kepentingan diri sendiri. Sampai suatu masa nanti saya risau
saya tak mampu melindunginya lagi” ujar Aqel bersungguh-sungguh. Haqem terpana.
Cemburu melihat kesungguhan dan kemampuan pemuda ini.
“Tengok apa?” Aku berpaling. Aqel sedang tersenyum
melangkah ke arahku. Kemudian berdiri di sisiku sambil mendongak ke langit.
Sama-sama memerhatikan bintang di langit.
“Memerhatikan bintang yang paling bersinar” ujarku
tersenyum sendiri. Aqel dan Haqem juga pencinta bintang. Aku mengetahui perkara
ini tatkala mengenali kedua-dua orang pemuda ini. Banyak persamaan telah
menyatukan persahabatan mereka. Ditakdirkan juga Aqel dan Haqem ada kaitan
dengan kehidupanku. Haqem masa laluku manakala Aqel kehidupanku sekarang.
Adakah aku akan terus bersama Aqel untuk masa depanku? Tidak berani meramal.
“Itu bintang sirius. Bintang yang paling bersinar dan
paling terang di langit” jelas Aqel sambil menunding jari. Aku menatap bintang
yang berkelip-kelip itu. Semoga kehidupan ini akan bersinar persis bintang
sirius tersebut.
“Sirius berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud
terik atau membakar” tambah Aqel berkongsi maklumat tentang bintang. Aku kagum.
Aqel mempunyai pengetahuan tentang bintang.
“Awak suka bintang” komenku. Aqel mengangguk.
“Haqem pun suka bintang. Masa belajar dulu kami ambil
kursus minor astronomi... kaji bintang. Saja nak tambah pengetahuan tentang
bintang” tambah Aqel bercerita. Aku tersenyum.
“Kejora Di Ufuk Timur...” Akronim KDUT meniti di bibirku.
Menunjukkan Aqel dan Haqem memang menyukai bintang.
“Kejora bukan bintang tapi Planet Zuhrah atau Venus yang
akan muncul dua kali di langit dalam
sehari” jelas Aqel.
“Betul ke?” tanyaku. Aqel mengangguk. Aku baru mengetahui
perkara ini.
“Kebanyakan orang salah faham perkara ini. Pertama Planet
Zuhrah akan muncul di sebelah timur sewaktu subuh. Kedua, muncul di sebelah
barat sewaktu senja dan selalu hilang daripada pandangan menjelang waktu Isyak.
Cuba perhatikan di dada langit, saat matahari mulai terbenam akan muncul cahaya
Planet Zuhrah cahaya paling terang di
langit. Cahayanya seperti bintang tetapi tidak berkelip seperti bintang yang
lain” tambah Aqel panjang lebar menambah kekagumanku terhadapnya.
“Saya pun ingat macam itu” ujarku tidak menafikan bicara
Aqel.
“Kalau ada orang cakap kejora itu bintang awak mesti
betulkan tanggapan itu” pesan Aqel. Aku mengangguk. Kejora ialah Planet Zuhrah.
Aku akan ingat perkara ini sampai bila-bila agar pengajaran Aqel tidak sia-sia.
Aqel menghela nafas panjang. Dia tersenyum ceria.
“Lega sekarang setelah masalah awak selesai. Malam ini
bolehlah tidur lena” ujar Aqel masih dalam senyuman. Aku berpaling menatap
Aqel. Bicara Aqel menarik perhatianku.
“Awak tak boleh tidur dan berperangai pelik ada kaitan
dengan perkara yang menimpa saya?” tanyaku tatkala terkenang perubahan
sikap Aqel yang aneh. Dia tidak tidur sepanjang malam sebaliknya duduk di
sofa itu memerhatikan aku. Tingkahlaku Aqel sungguh mencurigakan. Persis Aqel dapat
menjangka perkara buruk yang akan berlaku.
“Saya tak boleh tidur sebab memikirkan tentang awak. Saya
risau saya tak mampu melindungi awak” jelas Aqel berterus-terang. Aku terpaku
menatap Aqel. Hatiku sayu. Sebak dan terharu mendengar pengakuan Aqel.
“Sebenarnya awak
tahu musibah yang bakal menimpa saya?” tanyaku. Kupandang Aqel.
“Saya tak pasti...cuma sentiasa berhati-hati” sahut Aqel tiada
kepastian.
“Sebab itu awak terdorong menjadi Detektif Conan” dugaku
tatkala teringat kemunculan Aqel di tempat kerjaku. Kemudian memperkenalkan
diri sebagai Detektif Conan apabila mengajukan banyak pertanyaan dan melakukan
pemantauan di sekeliling bilik itu. Tingkahlaku Aqel pada hari itu sungguh
mencurigakan. Aqel tergelak.
“Awak masih ingat saya jadi Detektif Conan pada hari itu.”
sahut Aqel tercuit dengan tindakan sendiri. Aku mengangguk.
“Awak tidur ketika saya makan tengah hari. Sekembalinya
saya dari restoran saya tengok awak dah takde di bilik pada hari itu. Saya ada
beli makanan untuk awak.” ceritaku. Malam itu aku masak pelbagai makanan untuk
Aqel namun dia tidak muncul sehingga lewat malam. Sedar-sedar di subuh dinihari
Aqel sedang memerhatikan aku tidur. Pandangannya tidak beralih daripadaku
sehingga kali kedua aku bangun Aqel masih dalam keadaan sedemikian. Puas dia
memerhatikan aku tidur. Tidak tahu penilaian Aqel terhadapku tika.
“Oh..., saya terharu mendengar awak beli makanan untuk
saya!” sahut Aqel teruja. Aku mencebik.
Pandai Aqel berlakon.
“Terima kasih. Lain kali awak layan saya dengan lebih
baik lagi” pinta Aqel.
“Jadi selama ini saya tak pernah layan awak dengan baik?
Basuh pakaian awak, masak untuk awak, bersihkan rumah awak dan jaga awak sakit,
itu tak cukup baik ke?” tanyaku menyenaraikan perkara yang telah aku lakukan.
Sengaja hendak mengusik Aqel. Aqel tergelak.
“Awak tak ikhlas melakukannya.” tingkah Aqel memerliku
kerana telah mengungkit semua khidmat tenaga yang kucurahkan selama kami hidup
sebumbung. Aku tergelak.
“Saya saja nak ingatkan awak.” jelasku tersenyum. Semua
itu tidak setanding dengan perkara yang telah Aqel lakukan untukku. Banyak
kebaikan yang Aqel curahkan kepadaku tanpa rungutan dan keluhan.
“Aqel...terima kasih sebab terus melindungi saya. Banyak
yang telah awak lakukan untuk saya tapi saya tak mampu membalas. Andai awak
perlukan pertolongan saya akan lakukan apa saja untuk awak.” janjiku. Aqel
senyum. Indah sekali.
“Sampai masa nanti saya akan menagih janji awak.” balas
Aqel tersenyum lagi.
“Awak mesti percaya
dan yakin pada saya. Ingat kata-kata saya ini.” ujar Aqel mengingatkan aku. Aku
mengangguk. Lama kupandang Aqel.
“Kenapa awak tengok saya macam tu?” tanya Aqel janggal
diperhatikan sedemikian. Aku menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana aku hendak
mengatakan perkara ini kepada Aqel? Bimbang akan menyinggung perasaan Aqel.
“Aqel...” panggilku perlahan.
“Ya...” Aqel menyahut. Dia menatapku.
“Maafkan saya...” pintaku. Dahi Aqel berkerut. Tidak
mengerti maaf yang kupohon.
“Saya ada call...Dr.
Fiona Nabila” ujarku berhati-hati. Tidak yakin pada diri sendiri.
“What!” Aqel
tersentak. Matanya yang sedikit sepet terbuka luas. Aku tersengih.
Mudah-mudahan tidak akan mengundang kemarahan Aqel.
“Saya pun ada ... jumpa dia.” ujarku menambah bicara.
“What!” Kali
ini suara Aqel lebih kuat. Matanya membutang menatapku. Tindakanku mengejutkan
Aqel. Siaplah aku dimarahi oleh Aqel sekejap lagi.
“Saya perlu tahu kesihatan awak ... sebab saya isteri
awak. Saya nak jaga awak dengan baik.” pujukku berharap Aqel tidak akan murka.
Aqel melepaskan keluhan. Tindakanku tidak menyenangkan hatinya.
“Apa yang doktor itu cakap pada awak?” tanya Aqel hendak
mengetahui dapatan pertemuan itu. Aku mengeluh kecil. Pertemuan yang sedikit
mengecewakan.
“Tak banyak yang dia boleh cakap. Dia nak saya tanya
awak. Biar awak sendiri yang jawab.” ujarku menyatakan arahan Dr. Fiona Nabila.
Kedengaran keluhan Aqel lagi.
“Awak tak boleh menghukum diri selama-lamanya.
Tak baik untuk kesihatan awak. Sekalipun awak menyayangi dan mencintainya, awak
mesti lepaskannya pergi. Reda dengan ketentuanNya.” nasihatku tidak melepaskan
kesempatan yang ada. Aqel mengalami trauma yang serius setelah kehilangan orang
yang disayangi. Tidak pasti sama ada dia kehilangan Flora disebabkan cinta
mereka tidak kesampaian ataupun jemputan Ilahi. Dr. Fiona Nabila mahu aku
mendapat penjelasan daripada mulut Aqel sendiri.
“Siapa Flora, Aqel?” tanyaku. Aqel diam. Matanya
menatapku.
“Awaklah Flora...” balas Aqel. Aku tersentak. Namun tidak
mudah percaya pada kata-kata Aqel. Aqel bergurau sekarang.
“Awak jangan main-main. Saya serius ni.” tegasku tidak
senang dengan gurauan Aqel.
“Awaklah Flora...cinta pertama saya.” ulang Aqel lagi.
Mukanya serius. Aku terkedu. Aqel bersungguh-sungguh menuturkan kalimah itu.
“Awak lupakan saya setelah jumpa Haqem.” tambah Aqel. Aku
tersentak. Tidak percaya. Mustahil aku lupa tentang diri sendiri kecuali memori
laluku sudah terhapus.
“Tak mungkin saya hilang ingatan. Saya tak pernah jumpa
awak sebelum ni.” tegasku bersungguh-sungguh. Aqel sengaja mahu menipuku. Kami
saling beradu pandangan seketika. Persis pertarungan sedang berlangsung. Siapa
yang mampu bertahan ialah pemenang dan siapa yang lebih awal mengalih pandangan
ialah orang yang tewas. Tiba-tiba deringan iPhone
memecah kesunyian ini dan menyentakkanku.
“Saya belum habis cakap dengan awak lagi. Kejap lagi kita
sambung balik.” ujarku lalu melangkah masuk meninggalkan Aqel bersendirian di
balkoni. Laju tanganku mematikan jeritan iPhone
ini.
“Assalamualaikum mak...” sapaku menjawab panggilan mak.
“Perkara serius macam tu kamu masih sembunyikan daripada
pengetahuan mak.” suara mak dalam tangisan kedengaran di telingaku. Salamku
tidak bersambut. Aku terkedu.
“Mak...kejap lagi saya pergi sana.” jelasku lalu
mematikan iPhone.
“Kenapa?” tanya Aqel hairan.
“Saya nak ke rumah mak. Mungkin tak balik malam ni.”
jelasku sambil menyiapkan diri. Kucapai kunci kereta di atas meja solek.
“Biar saya temankan awak.” pinta Aqel tidak mahu aku
bersendirian ke rumah mak.
“Tak perlu. Rehat dan tidur puas-puas malam ni. Saya
pergi dulu.” Aku bergegas melangkah ke pintu meninggalkan Aqel terpinga-pinga. Musibah
yang menimpa beberapa hari lalu telah sampai ke pengetahuan mak. Angkara siapa?
Aqel? Dia sudah berjanji akan merahsiakan perkara ini daripada mak. Aku cuba
mengawal emosi dan menenangkan diri. Kupandu kereta dengan berhati-hati ke
rumah mak. Perkara itu sudah selesai. Jadi aku mampu bertenang.
“Assalamualaikum...mak.” Aku melangkah masuk dan terkesima
menatap mak yang sedang menangis di ruang tamu. Lantas kudekati mak lalu
kupeluk tubuh mak. Sebak melihat keadaan mak sekarang. Matanya merah dan
membengkak. Terlalu lama menangis.
“Maafkan saya...Saya tak mahu mak susah hati.” pujukku.
Kupandang wajah mak. Lembut tanganku menyapu air mata di pipi mak. Mak
menghentikan tangisan. Namun sendu masih kedengaran. Wajahku ditatap lama.
“Kasihannya anak gadis mak...” Mak mengusap-usap lembut
kepalaku. Hiba dan rawan dengan perlakuan mak. Cepat kukesat air mata menitis
dari birai mataku.
“Saya okey...mak tak perlu risau. Semua dah selesai
dengan baik.” ujarku cuba menenangkan hati mak.
“Alhamdulillah...” Mak melafaz kesyukuran dan lega. Aku
senyum.
“Aqel telah selesaikan perkara ini. Jadi mak tak perlu
risau lagi.” ujarku mengulangi permintaanku tadi. Mak pasti gembira mendengar
perkara ini.
“Mak tahu Aqel akan sentiasa melindungi kamu. Hanya dia
yang mampu berbuat demikian.” tegas mak. Aku mengangguk. Kata-kata mak memang
benar.
“Haqem banyak kali mohon maaf pada mak. Dia rasa bersalah
pada kamu dan keluarga kita.” Aku terkedu. Ternyata Haqemlah orangnya. Perkara
ini mak dengar daripada mulut Haqem. Pasti Haqem terbeban dengan perbuatan
Datin Sofea dan Bella. Mak melepaskan keluhan kecil.
“Mak tak salahkan Haqem. Mak juga tak benci Haqem mahupun
tak suka pada budak lelaki itu. Mulai sekarang jangan dekat dengan mereka.
Jangan jumpa budak itu lagi. Hiduplah baik-baik dengan Aqel.” ujar mak serius.
Aku terdiam. Permintaan mak menyentakkanku.
“Selagi kamu mengambil berat terhadap mereka selagi itu
Datin Sofea takkan biarkan kamu hidup tenang. Mak juga tak mampu bersabar kalau
banyak kali tengok kamu diperlakukan sesuka hati mereka. Kamu bukan hidup
bersendirian. Kamu masih ada keluarga yang mampu melindungi kamu” jelas mak berjela. Bicara
mak terselit amaran.
“Jikalau Datin Sofea masih mahu sakiti kamu, kali ini mak
takkan berdiam diri lagi” tegas mak bersungguh-sungguh. Aku terpana menatap
kesungguhan mak.
“Dia takkan berani apa-apakan Lia mak. Aqel dah bertegas
dengan mereka” ujarku cuba menenangkan hati mak.
“Kalau macam tu ingat baik-baik kata-kata mak tadi.
Jangan dekati mereka lagi” ujar mak mengulangi peringatan itu. Aku terdiam.
Kali ini nampak mak sungguh serius terhadap permintaannya. Jauhi Haqem dan
Idlan. Jangan pedulikan mereka.
“Kali ini mak mesti bertegas dengan kamu” ujar mak
serius. Aku terdiam.
“Kamu dah makan?” tanya mak mengejutkan aku. Kupandang
wajah mak. Mak sudah tenang seperti biasa. Aku menggeleng menjawab pertanyaan
mak.
“Marilah ke dapur. Mak sediakan makanan untuk kamu” ujar
mak prihatin. Aku tersenyum. Bingkas bangkit dari sofa lalu mengekori langkah
mak ke dapur. Kasih sayang mak terhadap anak-anak melimpah-ruah. Kupanjat
kesyukuran kerana memiliki seorang ibu yang sungguh penyayang. Nasi, sup tulang,
ikan goreng dan sayur kacang bersama udang sudah terhidang di depanku.
“Wah..., sedapnya!” Aku teruja menatap hidangan malam
yang mak sediakan. Rezeki aku datang sini dapat makan masakan sedap mak.
“Banyak mak masak” komenku sambil tersenyum panjang menatap
hidangan di depanku.
“Makanlah. Mak masak semua ini untuk kamu. Kamu telah
melalui hari yang sukar jadi kenalah makan lebih” ujar mak buat hatiku
tersentuh. Sudah beberapa hari aku tiada selera hendak makan. Memikirkan
hukuman yang bakal aku terima mematikan seleraku.
“Terima kasih mak...Saya sayang mak” Kuusap lembut jemari
mak. Mak senyum.
“Mak pun sayang kamu. Kamu dan Aziqlah harta mak yang
paling berharga di dunia ini. Jadi kamu mesti dengar kata-kata mak dan hiduplah
baik-baik” nasihat mak.
“Insya-Allah mak” sahutku sambil mengangguk. Hiba
mendengar bicara mak. Pasti mak menyiapkan hidangan malam ini dalam tangisan.
Mak menangis mengenang kesukaran yang kulalui.
“Kenapa Aqel tak datang sama?” tanya mak mula teringat
pada menantunya.
“Saya suruh dia berehat dan tidur puas-puas. Beberapa
hari ini dia tak cukup tidur” jelasku. Muka mak terpamer kerisauan. Bimbang
Aqel akan jatuh sakit.
“Dia dah makan?” tanya mak. Kupandang mak. Aku tersengih.
Belum sempat bertanya perkara itu kepada Aqel kerana di rumah tadi aku belum
masak lagi. Mahu mengajak Aqel makan di luar sahaja. Mungkin juga Aqel sudah
makan tadi kerana dia balik lewat. Mak mengeluh.
“Bawa makanan ini nanti untuk Aqel” arah mak mengerti di
sebalik senyumanku.
“Saya nak tidur sini temankan mak” tingkahku memaklumkan
hajat hati.
“Tak payah. Balik nanti” balas mak menolak hasratku
hendak bermalam di sini.
“Betul?” tanyaku meminta kepastian. Mak mengangguk.
“Tak payah risaulah. Mak okey...” jelas mak tidak mahu
aku berat hati meninggalkannya bersendirian di rumah ini. Perkara biasa yang
dilalui mak dan Mak Long. Setelah aku bernikah dengan Aqel, mereka tinggal
bersendirian. Sebulan sekali sahaja Aziq akan balik menemani mak.
“Makanlah...” arah mak. Aku memulakan suapan pertamaku
setelah memuji kebesaran Allah. Rezeki yang terhidang di depanku ini adalah
datang daripadaNya. Kita patut bersyukur.
“Sedap...” pujiku membuatkan mak tersenyum. Aku menyuap
beberapa kali tanpa berhenti. Tiada sesiapa mampu menyaingi kelazatan masakan
mak walaupun serba ringkas. Itulah air tangan seorang ibu. Mak hanya
memerhatikan aku makan. Dia tersenyum tatkala melihat aku makan dengan
berselera.
“Oh...ye...ada perkara saya nak tanya pada mak” ujarku.
Kupandang mak.
“Tanya apa?” tanya mak. Kuteguk air kosong di dalam
gelas. Aku menarik nafas. Berat juga perkara ini hendak diutarakan. Bimbang aku
tidak bersedia menerima kejutan.
“Saya...ada nama lain?” tanyaku berhati-hati. Dahi mak
berkerut.
“Flora... Ada ke ini nama Lia?” tanyaku sambil menatap
mak. Senyap. Mak masih tidak bersuara. Pada masa lalu mungkin nama itu milikku.
Hanya Aqel yang masih setia menyebut nama itu. Mungkin Aqel berusaha hendak
mengembalikan ingatanku sedangkan orang lain sudah berputus-asa. Tidak mungkin.
Mustahil aku hilang ingatan.
“Aqel kata... Saya ialah Flora... cinta pertamanya”
ujarku mengulangi bicara Aqel. Mak menatapku. Mulutnya terkunci.
“Saya lupakan dia sebab jumpa Haqem” tambahku. Mak masih
menatapku. Diam. Nampak mak sedang berfikir panjang.
“Betullah kata Aqel itu. Kamu hidup macam ini sekarang
kerana Haqem” tegas mak tidak menyangkal. Aku terpana. Kata-kata mak sukar
difahami.
“Apa yang betul? Saya ialah Flora atau saya... cinta
pertama Aqel?” tanyaku bingung.
“Kamu cinta pertama Aqel” jelas mak menyokong kata-kata
Aqel. Aku terdiam. Mak tidak menyangkal kenyataan ini. Mak lebih mengerti akan
perasaan Aqel.
“Bagi Aqel... kamulah Flora miliknya...persis bunga yang
sedang mekar di hatinya” ujar mak berpuitis. Aku terkedu. Kata-kata mak serupa
seperti bicara Aqel. Aku memejamkan mata. Memaksa diri kembali ke masa lalu.
Namun tiada kenangan bersama Aqel yang masih melekat di ingatanku. Kalaulah
benar aku ialah Flora, bagaimana aku boleh hilang ingatan?
“Mak tahu Aqel sakit?” tanyaku. Mak terdiam.
“Tunggungjawab kamu sekarang jaga Aqel dengan baik. Beri
lebih perhatian kepadanya” nasihat mak terlewat sedikit menjawab pertanyaanku.
Aku mengangguk.
“Saya akan jaga Aqel” janjiku di depan mak. Mak mengangguk
bersetuju.
“Cepatlah habiskan makanan kamu tu. Nanti kelaparan pula
Aqel di rumah tu” ujar mak menyentakkanku. Mak sudah bangun lalu bergerak
meninggalkan aku. Kabinet dibuka. Beberapa bekas kosong dikeluarkan dari
kabinet. Mak sudah bersedia memasukkan makanan untuk Aqel di dalam bekas itu.
Kemudian memasukkan bekas yang berisi makanan ke dalam bakul.
“Jangan lupa bawa balik nanti” pesan mak lalu meletakkan
bakul di depanku. Aku masih terpaku di atas kerusi ini. Perbualanku dengan mak
belum selesai lagi. Namun mak sudah meninggalkan ruangan makan ini. Mak perlu
rehat setelah mengeluarkan air mata begitu banyak. Lama aku duduk bersendirian
di sini memikirkan kata-kata mak dan Aqel. Namun aku gagal mencari jawapan.
“Mak...saya balik dulu” laungku memaklumkan perkara ini
kepada mak. Mak sudah berada di dalam bilik. Mungkin sedang solat Isyak.
“Pandu kereta hati-hati” sayup-sayup suara mak menyahut.
“Okey...” sahutku lantas melangkah longlai ke pintu
sambil membimbit bakul yang berisi makanan yang dibekalkan oleh mak untuk Aqel.
Pintu rumah kukunci.
Aku melangkah ke halaman lantas masuk ke dalam kereta.
Enjin kereta dihidupkan. Beberapa minit kemudian kereta kupandu bergerak
perlahan meninggalkan halaman rumah mak. Perjalanan yang lancar. Sekejap sahaja
aku kembali semula ke banglo milik Aqel. Aku menapak di muka pintu bilik ini.
Kelihatan Aqel sedang leka membaca buku sehingga tidak menyedari kemunculanku.
“Aqel... jikalau benar saya ialah Flora kekasih awak,
bagaimana saya boleh lupa tentang awak?” tanyaku. Aqel berpaling. Aku dan Aqel
beradu pandangan. Mulut sama-sama terkunci. Jika Aqel berkata benar dia ada penjelasan
terbaik.
No comments:
Post a Comment