BAB 91
“Awak didenda” tegasku mempamer wajah serius.
“Denda?” Terkebil-kebil Aqel menatapku.
“Semalam saya dah masak sedap-sedap untuk awak. Saya juga
lama tunggu awak balik. Awak telah bazirkan makanan itu. Awak juga telah
bazirkan masa dan tenaga saya. Jadi adalah perlu awak dihukum” jelasku. Geram.
“Hukum?” Aqel memandangku sekilas.
“Fokus pada pemanduan awak” arahku.
“Geez...” Aqel mendesis. Tidak puas hati. Pening kepala
memikirkan bicaraku. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 memasuki perkarangan parkir KDUT. Aku berpaling
menatap Aqel. Sudah sampai masa hendak menjelaskan hukuman yang harus diterima
oleh Aqel.
“Mulai esok awak wajib belanja saya makan sebagai hukuman
kerana telah membazirkan makanan, tenaga dan masa saya” tegasku. Aqel
menatapku.
“Saya belanja awak makan tengah hari nanti” ujar Aqel
lalu memulakan langkah meninggalkan aku. Aku tersenyum.
“Terima kasih, Aqel!” laungku sambil memerhatikan langkah
Aqel bergerak ke muka pintu. Kelibat Aqel hilang di sebalik pintu kaca itu. Aku
melepaskan keluhan kecil. Waktu makan masa yang sesuai berdua-duaan dengan
Aqel, malah masa yang tepat untuk aku mengajukan beberapa pertanyaan. Aqel
tidak akan meninggalkan aku makan bersendirian. Dia tidak akan lari.
Harap-harap Aqel akan memberikan jawapan yang memuaskan hati. Tidak sabar
hendak menunggu ketibaan waktu makan tengah hari.
“Mulai esok saya takde di sini. Saya dan Datin Sofea akan
menghadiri Festival Fesyen Antarabangsa di Itali. Minggu depan baru balik”
jelas Bella. Kupandang Bella. Pelik. Buat pertama kali dia berkongsi jadual
kerja denganku. Apa mimpinya di malam tadi sehingga hatinya tergerak hendak
memaklumkan perkara ini kepadaku. Lantas aku teringat pada kaita-kata Encik
Razman yang pernah mempelawaku menjadi model untuk memperagakan rekaan
terbarunya. Pelawaan yang tidak dapat diterima akal. Sudah terbayang reaksi
Aqel jikalau benar aku menjadi model. Siang dan malam pasti tidak habis-habis
kutukan yang perlu aku dengar keluar dari mulut Aqel. Jangan menggapai bintang
langit.
“Pastikan awak siapkan semua kerja dengan baik. Saya dah
letak di atas meja awak senarai perkara yang perlu awak uruskan ketika ketiadaan
saya di sini” tegas Bella. Aku mengangguk. Kucapai kertas yang memaparkan
senarai kerja yang harus aku selesaikan. Aku terkedu. Tebal. Bermakna banyak
perkara yang perlu aku beres.
“Saya tak suka orang curi tulang” Tajam pandangan Bella
menatapku. Langsung tidak terasa dengan kata-kata Bella. Aku telah
menyelesaikan setiap tugasan yang diberi dengan sedaya upaya. Tiada kerja yang
pernah tertangguh selama ini.
“Jangan lupa pakaian semalam hantar ke laundry. Awak masih simpan alamat laundry itu kan?” tanya Bella. Aku
mengangguk. Aku nampak kad premis itu ada dalam tray di atas meja ini. Lagipun
alamat premis itu sudah melekat di kepalaku.
“Ya... Baiklah” sahutku.
“Keselamatan semua pakaian ini menjadi keutamaan awak”
tegas Bella mengulangi kenyataan ini. Bella juga mengingatkan aku betapa
penting pakaian-pakaian ini.
“Ya...saya faham” Pakaian yang beribu-ribu ringgit
nilainya jika dicampur semua pasti berpuluh-pulu ribu harganya. Aku tidak mampu
membayar harga yang mahal itu. Ketidakmampuan inilah yang menyebabkan aku
berada di KDUT sekarang. Rentetan kejadian itu yang menyebabkan aku mengenali
Aqel, Rania dan Bella, gadis di depanku ini. Bahkan mencipta kehidupan baruku,
bernikah dengan Aqel. Rantaian kisah yang bermula daripada pakaian yang hilang
atas kecuaianku pada hari itu. Aku melepaskan keluhan kecil. Tidak mahu
mengulangi perkara itu lagi.
Aku baru sampai di dobi ini. Laju aku mengeluarkan iPhone yang sedang dering. Melihat nama
Aqel di skrin mengingatkan aku pada janji tadi. Aku garu-garu kepala. Habislah
aku. Sudah terbayang wajah serius Aqel. Terdengar-dengar juga suara Aqel yang
merungut panjang. Aqel pasti naik angin tika ini.
“Awak di mana sekarang?” suara Aqel membingitkan telinga.
Mungkin sedang marah kerana telah lama menunggu kedatanganku.
“Sorry
Aqel...saya lupalah nak makan dengan awak” jelasku tersengih sendiri.
“Awak di mana sekarang?” Aqel mengulangi pertanyaan itu.
“Saya di depan dobi ni. Nak hantar pakaian yang semalam”
jelasku terlupa memaklumkan kepada Aqel bahawa aku ada kerja yang perlu
diselesaikan di luar hari ini. Kedengaran keluhan Aqel. Tidak suka aku mungkir
janji.
“Kita ikut permintaan awal saya tadi. Esok awak belanja
saya ye” pintaku.
“Tengoklah nanti” balas Aqel acuh tidak acuh.
“Awak dah janji...” tegasku mengingatkan Aqel.
“Assalamualaikum...” Aqel menamatkan perbualan ini. Aku
mengetap bibir menahan geram. Cepat sahaja memutuskan perbualan ini. Aku belum
habis cakap lagi. Aku merungut-rungut sendirian. Kutarik beg beroda ini masuk
ke dalam premis ini. Mujur ada roda yang mengurangkan bebanan yang perlu aku
pikul. Kunjungan keduaku ke sini. Sudah berkenalan dengan beberapa orang
pekerja . Aku menyerahkan maklumat pakaian yang kuhantar. Turut menyelesaikan
beberapa perkara termasuk meminta tandatangan penyelia yang mengesahkan
penghantaran pakaian yang kubuat hari ini. Penting sebagai bukti. Hidup mesti
sentiasa berhati-hati agar kesilapan lalu tidak berulang lagi.
Aku bergerak ke pintu. Langkahku terhenti. Aku berpaling
semula. Lelaki yang baru sahaja muncul di kaunter itu menarik perhatianku.
Sempat aku berpandangan dengan lelaki itu. Cepat sahaja dia memalingkan muka
lalu meninggalkan kaunter. Aku seperti pernah bertemu dengan lelaki itu. Namun
daya ingatanku tumpul hendak mengingat pertemuan itu. Perut mula berkeroncong.
Kutatap jam. Sudah sampai waktu makan tengah hari. Hendak balik ke KDUT, rasa
lapar ini semakin menyengat dan pasti Aqel juga sedang atau sudah selesai
makan. Tidak sempat lagi. Aku singgah di restoran di sebelah kedai dobi ini.
Mahu segera menghilangkan rasa lapar ini. Aqel menatap beberapa gambar yang
baru sahaja dihantar kepadanya. Tajam pandangannnya menatap lelaki itu. Laju
tangan Aqel menekan sebaris nombor itu. Dia perlu berbual dengan pengirim
gambar-gambar itu. Mahukan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan di sana.
Ada kebimbangan menerjah diri. Terasa ada musibah sedang menghampiri gadis itu.
Dia harus berwaspada.
“Pastikan awak terus perhatikan lelaki itu. Pastikan juga
gadis itu selamat” ujar Aqel serius. Terlepas pandang pasti mengundang bahaya.
Bahaya terhadap keselamatan gadis itu.
“Ya...kami sedang mengawasi kedua-duanya. Jangan bimbang
Encik Aqel. Semuanya terkawal” jelas suara lelaki yang menerima panggilan Aqel.
“Bagus...” Aqel segera menamatkan perbualan itu. Kemudian
membuat panggilan lain. Menunggu seketika panggilannya dijawab. Dia cemas.
“Hello...” kedengaran suara gadis itu.
“Awak di mana sekarang? Saya dah lama tunggu awak ni.
Awak nak kenyang sorang-sorang” lantang suara Aqel menggegar gegendang
telingaku.
“Awak belum makan lagi? Bagaimana awak tahu saya sedang
makan?” tanyaku musykil.
“Saya tercium bau sup yang awak makan sekarang” jelas Aqel.
“Huh...” Aku terpinga-pinga menatap sup tulang yang
berasap-asap di dalam mangkuk menunggu untuk dinikmati. Di talian Aqel boleh
hidu bau wangian sup tulang ini. Mengarutlah. Kebetulan tekaan Aqel tepat kali
ini.
“Cepat balik ke sini. Saya tunggu awak ni. Lapar sangat
sekarang” ujar Aqel mengadu.
“Saya baru saja nak makan ni. Tak elok nak tinggal
makanan ni macam tu saja. Sabar ye... Saya janji akan habiskan cepat-cepat.
Nanti saya datang sana temankan awak makan” ujarku cuba menyabarkan Aqel.
“Saya tak boleh tunggu. Balik sekarang!” perintah Aqel.
Suara Aqel tidak kedengaran lagi. Panggilan ini sudah diputuskan oleh Aqel. Aku
memandang sayu sup tulang yang belum dirasa ini. Sayang hendak ditinggal begitu
sahaja. Kuangkat tangan ke arah pekerja restoran ini. Gadis itu mendekatiku.
Segan juga hendak membuat permintaan. Namun ini sahaja penyelesaian yang ada.
“Tolong bungkus semua ni. Tetiba dapat call mengarahkan saya balik ke office sekarang. Saya tak sempat nak
makan di sini. Sorry” ujarku rasa
bersalah sambil menatap gadis ini.
“Okey...takpe..Tunggu kejap ye...” pintanya lalu
mengangkat hidangan yang kupesan ini ke dapur. Aku menunggu gadis itu
membungkus makanan yang kupesan tadi. Tidak lama gadis itu muncul semula
bersama makanan yang sudah siap dibungkus untukku.
“Terima kasih” ujarku sambil menghulurkan bayaran untuk
makanan yang kupesan tadi. Aku bergegas meninggalkan restoran ini. Mujur tidak
lama hendak mendapatkan teksi. Aku masuk ke dalam teksi. Mahu segera sampai ke
KDUT kerana Aqel sedang menungguku.
“Ke mana cik?” tanya pemandu teksi itu menatapku melalui
cermin. Bukan cik, puanlah.
“Ke KDUT ye...” ujarku. Dia mengangguk. Aku menyandar di
kerusi penumpanng di belakang ini lalu berpaling ke tingkap. Lelaki itu sedang
berdiri di tepi dinding kaca premis itu sedang mengarah pandangan ke arahku.
Sekali lagi aku dengan lelaki itu sempat berpandangan.
“Siapa lelaki itu?” Aku bertanya pada diri sendiri. Masih
memikirkan tentang lelaki itu. Gagal lagi. Aku tidak ingat apa-apa tentang
lelaki itu. Teksi ini berhenti di depan bangunan KDUT. Aku membayar harga
tambang teksi lalu bergegas keluar. Terpandang Aqel sedang terpacak di depan
pintu KDUT. Pasti menunggu kedatanganku. Tercungap-cungap nafasku berhenti di
depan Aqel. Aqel menatapku.
“Awak okey?” tanyanya. Aku mengurut dada. Kurang oksigen
kerana terpaksa berlari ke sana ke sini.
“Saya lapar ni” keluhku sambil memegang perut. Aqel
memerhatikan makanan yang tergantung di tanganku.
“Awak bawa balik makanan tadi?” tanya Aqel sinis.
Berkerut mukanya. Pasti sedang mengutukku sekarang.
“Saya tak suka membazir” ujarku bersedia menangkis
kutukan Aqel.
“Ceh...” Aqel
tersenyum.
“Saya pun lapar sekarang. Mari kita makan” ajak Aqel
meminta aku mengiringi langkahnya. Aku melangkah di sebelah Aqel. Tiba-tiba
langkah Aqel berhenti. Dia berpaling menatapku. Aku terkebil-kebil menatap
Aqel.
“Lain kali kalau awak ada kerja di luar, awak mesti
beritahu saya. Biar saya temankan awak sehingga urusan awak selesai” ujar Aqel
mengingatkan aku.
“Huh...” Terpinga-pinga aku menatap Aqel.
“Cepat...lapar sangat dah ni” Aqel menarik tanganku.
Terpaksa mengatur langkah besar mengiringi langkah Aqel. Tidak sempat
memikirkan kata-kata Aqel sebentar tadi. Aqel memandu laju Peugeot RCZ Sports Coupe QL144. Sekejap sahaja sudah sampai ke destinasi yang
dituju. Sudah terbayang hidangan yang panas-panas dan air jus berais untuk
menghilangkan rasa lapar ini.
“ Tinggalkan makanan yang awak tapau tu dalam kereta.
Jangan bawa keluar. Buat malu je” kutuk Aqel sambil menjeling aku. Terkumat-kamit
mulutku memprotes sikap Aqel yang malu tidak bertempat. Kemudian laju langkahku
dan Haqem menghala ke pintu restoran. Bersaing
hendak mendahului sampai ke muka pintu. Masing-masing kebuluran. Tidak sabar
hendak makan.
***********************
“Puan Nurdahlia, kami dari Bahagian Unit Keselamatan
KDUT. Maaf... kami perlu memeriksa bilik ini termasuk barang-barang puan. Sila
beri kerjasama” ujar seorang lelaki memperkenalkan diri bersama-sama rakannya. Tag
identiti diri yang tergantung di leher ditunjukkan. Aku terkasima menatap
sekumpulan lelaki yang sedang berdiri di depan pintu. Tetamu pertama yang
mengunjungiku awal pagi ini.
“Bahagian Unit Keselamatan? Tuduhan pecah amanah?” Aku
terkedu dan terlopong menatap sekumpulan lelaki ini. Mereka bergerak
mendekatiku.
“Boleh puan
bergerak ke sini...” pintanya. Aku masih terpaku di kerusi ini. Terkejut bukan
kepalang. Dadaku berdebar-debar.
“Periksa semua laci, loker dan kabinet” arah lelaki ini
kepada anak buahnya. Mereka mendekatiku.
“Puan sila bangun...” pintanya. Aku bangun dan berdiri
tidak jauh daripada mereka yang sedang menyelongkar mencari sesuatu. Laci meja
tempat dudukku ditarik.
“Encik Mahroof, kami menemui bukti” ujar lelaki itu
sambil menayangkan beberapa keping kertas dan sejumlah wang yang banyak. Aku
terkedu. Tidak menyangka semua itu tersimpan di dalam laci mejaku. Sukar hendak
percaya. Lelaki itu mencapai kertas yang dihulurkan oleh anak buahnya. Dia
meneliti tulisan yang tercatat pada kertas-kertas itu.
“Sah...ini dokumen urusniaga yang dipersetujui” jelas
lelaki itu. Aku terpinga-pinga. Tidak mengerti. Namun terasa ada musibah sedang
menantiku.
“Maaf... kami terpaksa membawa puan untuk disoal-siat
atas tuduhan pecah amanah” jelas lelaki itu.
“Huh...” Aku terlopong. Terasa aku telah melakukan
kesalahan besar.
“Sila beri kerjasama. Puan ikut kami ke bilik
penyiasatan” pinta lelaki tadi. Aku kematian akal dan terpaku. Tahu-tahu dua
orang lelaki ini telah memegang lenganku mengarah aku memulakan langkah.
“Okey...okey...saya akan ikut kalian” ujarku bersedia
bekerjasama dengan mereka. Lelaki yang bersuara tadi mengangguk dan menggunakan
bahasa isyarat mengarahkan tanganku dilepaskan. Mereka patuh. Bergerak ke bilik
penyiasatan aku dikawal oleh sekumpulan lelaki ini. Seperti mereka khuatir aku
akan melarikan diri. Sepanjang perjalanan ini betapa banyak mata sedang
menatapku. Sekejap lagi akan terseber cerita tergempar yang akan diketahui oleh
warga KDUT.
“Lia...!” Aku berpaling. Marnie memanggil namaku.
“Kenapa?” tanyanya cemas. Aku tidak sempat menjawab pertanyaan
Lia. Pergerakan ini terlalu pantas. Sebetulnya aku juga tidak pasti perkara
yang telah berlaku. Tiba-tiba sahaja aku didatangi oleh sekumpulan lelaki
penyiasat. Bukti kes telah ditemui di dalam laci mejaku. Semua berlaku dalam
sekelip mata. Aku tidak pernah menerima sebarang dokumen dan sejumlah wang yang
banyak. Sungguh meragukan. Marnie berlari meluru masuk ke pejabat Haqem. Tidak
tentu arah. Cemas.
“Encik Haqem...! Encik Haqem mesti tolong Lia!” Marnie
terkocoh-kocoh menemui pemuda itu. Nafasnya tercungap-cungap. Haqem
terpinga-pinga.
“Kenapa? Apa yang berlaku dengan Lia?” tanyanya cemas.
Dia sudah bangun dari kerusi itu. Pasti perkara serius telah menimpa gadis itu.
Haqem jadi tidak keruan.
“Lia...Lia ditangkap” Besar mata Haqem menatap Marnie. Persis
tangkai jantungnya disentap kuat. Marnie geleng-geleng kepala.
“Bukan...bukan... Lia dibawa oleh pasukan Bahagian Unit
Keselamatan KDUT. Ada sesuatu yang serius telah berlaku” jelas Marnie cemas
membetulkan kata-katanya.
“Apa!” Haqem tersentak.
“Encik Haqem... saya nampak mereka bawa Lia tadi. Encik
Haqem mesti tolong Lia” pinta Marnie. Haqem sudah berlari ke muka pintu.
Kata-kata Marnie tidak habis didengar.
“Oh...” Marnie mengeluh. Baru teringat kepada Aqel.
Marnie terus menghubungi Aqel. Gagal. Cuba lagi. Panggilan itu masih tidak
diangkat.
“Encik Aqel...jawablah panggilan ini” seru Marnie.
“Saya tak boleh tunggu lagi” Marnie meluru ke pintu. Dia
berlari ke pejabat Aqel. Pintu bilik itu diketuk lalu ditolak dengan bertenaga.
Tempat duduk itu kosong. Aqel tiada di situ.
“Encik Aqel...di mana?” Marnie tertanya-tanya ke mana
pemuda itu pergi tika ini? Marnie melangkah longlai meninggalkan bilik itu.
Kemudian dia mendail nombor iPhone
itu lagi. Dia tidak berputus-asa menjejaki pemuda itu.
Aku terpaku duduk di kerusi ini berfikir panjang. Cuba
menganalisis diri. Mencari-cari kesilapanku sehingga sedemikian tuduhan yang
cuba disabitkan ke atasku. Aku mesti membuktikan tuduhan itu palsu. Aku tidak
pernah melakukannya. Sesekali tidak pernah mengelapkan wang dan harta benda
syarikat. Betapa berat tuduhan yang dilemparkan itu. Setakat ini tiada
bukti-bukti yang mampu menolak bukti-bukti yang menyabitkan aku sebagai pesalah
berdasarkan laporan yang telah diterima. Laporan misteri bersama bukti yang
telah dikirim kepada Bahagian Unit Keselamatan KDUT. Berdasarkan bukti-bukti
yang ada sekarang memang aku ialah pesalah. Aku tertunduk melepaskan keluhan
panjang.
“Lia...” Aku mendongak. Aku tersenyum tawar menatap Haqem
yang berdiri di depanku dengan pandangan simpati.
“Awak okey?” tanyanya lembut. Aku mengangguk sambil
menarik nafas dalam-dalam. Aku tidak bersalah. Aku mesti yakin kepada diri
sendiri.
“Saya percaya awak...” ujar Haqem buat hatiku tersentuh.
Haqem memang sentiasa mempercayaiku. Tiada keraguan. Kepercayaan Haqem juga
sungguh bermakna buatku.
“Terima kasih...” balasku berbesar hati.Tersenyum lagi.
“Sabar ye... Saya akan bebaskan awak dari tuduhan tak
berasas itu” ujar Haqem bersungguh-sungguh. Aku mengangguk. Yakin Haqem akan
melakukannya.
“Untuk beberapa jam awak dikuartin di sini” jelas Haqem
lemah. Aku melepaskan keluhan. Bermakna aku akan dikurung dalam satu tempoh
yang tidak diketahui. Dijaga di bawah pengawasan Bahagian Unit Keselamatan KDUT
bukan perkara yang elok. Jika bukti-bukti yang dimiliki tidak dapat disangkal,
bermakna aku akan diserahkan kepada pihak polis. Kemudian menerima hukuman yang
dijatuhkan oleh mahkamah. Oh,... terasa aku sentiasa kurang bernasib baik!
Ada-ada sahaja masalah membelengguku.
“Jangan risau. Awak takkan duduk lama di sini” jelas Haqem
cuba menenangkan hatiku dan memberi harapan. Aku tersenyum hambar.
“Aqel dah datang sini?” Kupandang Haqem. Aku menggeleng.
“Dia dah tahu perkara ini?” Haqem bertanya lagi.
“Saya tak pasti” sahutku. Aqel tidak menghubungiku dan belum
muncul di sini. Kesibukan menyebabkan Aqel terlewat mengetahui perkara ini. Aku
sudah mengingatkan diri dengan andaian ini.
“Mereka masih benarkan awak guna iPhonekan” Aku mengangguk. Haqem menarik nafas lega. Masih boleh
berhubung.
“Awak bertenang. Tak payah risau. Saya akan datang lagi.
Sekarang ada perkara yang perlu saya uruskan” ujar Haqem bersungguh-sungguh.
Aku mengangguk.
“Saya pergi dulu...” Haqem bangkit dari kerusi ini. Aku
menyoroti langkah Haqem dengan harapan. Langkah Haqem terhenti. Dia berpaling
ke arahku semula dengan wajah mendung.
“Saya takkan biarkan awak berada lama di bilik ini” ujar
Haqem nekad. Aku senyum. Aku tahu Haqem akan berusaha membebaskan aku daripada
tuduhan ini. Aku mengangguk. Yakin kepada Haqem. Haqem bergerak laju melewati
pintu tanpa menoleh-noleh lagi. Aku tahu dia bersedih tika ini. Haqem akan
menyalahkan diri lagi. Kupandang dinding kaca ini lalu kulontar pandangan
jauh-jauh. Aku terbayang senyuman mekar Datin Sofea dan Bella. Aku terdengar
gelak tawa mereka. Balasan yang harus aku terima kerana mengenali Haqem dan
menyayangi Idlan.
Sudah beberapa kali dia menghubungi perempuan itu. Namun suara
yang mengarah dia meninggalkan pesanan kedengaran lagi. Haqem mendengus kesal.
Benaknya berserabut. Hatinya tidak tenteram. Terasa dirinya dipermainkan saat
ini. Laju tangannya mendail nombor itu.
“Maaf...Datin Sofea menghadiri Festival Fesyen
Antarabangsa di Itali sekarang” jelas setiausahanya. Haqem melepaskan keluhan.
Hampa.
“Dia pergi dengan Cik Bella” tambah perempuan itu memberi
maklumat. Perkara sudah diduga. Haqem tidak terkejut.
“Bila mereka akan balik?” tanya Haqem.
“Kalau ikut tarikh tiket yang saya tempah itu...lusa
Datin Sofea balik” Haqem mengeluh lagi mendengar penjelasan itu. Tempoh itu
terasa lama hendak ditunggu.
“Awak tahu nombor lain yang boleh saya hubungi? Saya
perlu bercakap dengan mama” pinta Haqem.
“Maaf...takde Encik Haqem” Haqem melepaskan keluhan.
Gagal hendak berbicara dengan perempuan itu.
iPhone Bella sudah dihubungi. Namun perkara yang serupa. Suara yang meminta
pesanan ditinggalkan berulang-ulang. Haqem mengetap bibir menahan gelodok
perasaan. Mereka bersepakat sedang mempermainkannya.
“Hello...Encik Haqem...” suara perempuan itu
memanggilnya.
“Okey...terima kasih” Haqem terus memutuskan panggilan
itu. Dia berlari keluar dari pintu sehingga menarik perhatian warga KDUT yang
berada di sekiling. Haqem kelihatan cemas. Nun jauh di sana Datin Sofea dan
Bella sedang bergelak ketawa bagai sedang meraikan kemenangan.
“Pasti Haqem... kelam-kabut sekarang” ujar Datin Sofea gembira.
Mereka ketawa lagi.
“Kamu dah call Tomeng?
Minta dia berhati-hati, jangan sampai tertangkap” pesan Datin Sofea. Masih ada
terdetik kerisauan di hatinya. Haqem mahupun Aqel tidak boleh dipandang rendah.
Mereka tidak akan berdiam diri sahaja dan membiarkan gadis itu menerima
hukuman.
“Sudah mama. Dia akan meninggalkan Malaysia hari ini”
sahut Bella tersenyum.
“Bagus...” Datin Sofea mengukir senyuman. Dipandang
Bella.
“Kamu bersiap sedia sekarang. Pasti Haqem akan muncul. Dia
takde pilihan kalau mahu gadis itu bebas. Saya yakin dia takkan biarkan gadis
itu meringkuk dalam penjara” ujar Datin Sofea sambil merenung penuh dendam.
Kemudian Datin Sofea dan Bella ketawa lagi.
“Haqem....Haqem...” Bella tersenyum-senyum sambil menyeru
nama pemuda itu. Hatinya berbunga riang. Di matanya sudah membayangkan hari
persandingan bersama Haqem.
“Kali ini awak tewas Haqem...” bisiknya yakin. Bella
tersenyum panjang. Malam yang panjang di bumi Itali menyaksikan kegembiraan
mereka meraikan kemenangan.
**********************
“Maaf...Encik Aqel di mana tadi?” Marnie terkocoh-kocoh
melangkah masuk ke bilik itu. Aqel kelihatan tenang duduk di kerusi itu. Persis
tidak tahu perkara yang sedang berlaku. Marnie menatapnya.
“Encik Aqel dah tahu...” duga Marnie membataskan bicara.
Semua warga KDUT sudah mendengar berita itu. Pelbagai spekulasi didengar. Aqel
mengangguk. Dia masih tenang.
“Encik Aqel tak risau?” tanya Marnie tidak puas hati
melihat reaksi Aqel.
“Dia takkan apa-apa” sahut Aqel yakin tiada perkara buruk
akan menimpa gadis itu.
“Sayapun berharap macam tu Encik Aqel. Kasihan Lia. Mesti
dia ketakutan sekarang” ujar Marnie bersedih atas perkara yang menimpa gadis
itu.
“Saya akan jumpa dia nanti” sahut Aqel. Marnie melepaskan
keluhan. Bimbang melihat ketenangan Aqel. Aqel masih mampu duduk di kerusi itu.
Dia masih tidak berganjak dari bilik ini.
“Encik Aqel mesti jumpa Lia sekarang. Encik Haqem dah
pergi sana dan sedang berusaha membebaskan Lia daripada tuduhan itu” jelas
Marnie tidak mahu Aqel lambat bertindak. Aqel diam.
“Saya pergi dulu Encik Aqel...” Marnie meminta diri lalu
meninggalkan Aqel bersendirian di bilik pejabat itu. Aqel mematungkan diri
seketika. Nampak dia sedang berfikir. Dia memusing posisi tubuh. Dilontar
pandangan jauh menembusi dinding kaca itu. Lantas dicapai iPhone.
“Hello...bertindak sekarang” Aqel memberi arahan. iPhone diletak di atas meja. Aqel
bersandar di kerusi empuk itu sambil merenung jauh. Dicapai iPhone, bingkas dia bangun lalu
melangkah ke pintu dengan wajah serius. Langkah yang diatur nampak tenang
sahaja.
“Termenung jauh nampak?” Aku berpaling. Aqel sedang
tersenyum menatapku.
“Awak okey?” Aku tersenyum menatap Aqel yang sudah
melabuhkan duduk di depanku. Aku mengangguk. Aqel yang sentiasa tenang walau apa
keadaan sekalipun. Untung dirinya yang nampak dingin tidak mudah dipengaruhi
perasaan.
“Cuma bosan duduk di sini tanpa berbuat apa-apa. Apatah
lagi mereka banyak kali tanya perkara yang sama” keluhku. Aku tergelak kecil.
Tidak sedar pula merungut di depan Aqel. Aqel menatapku. Seketika aku dan Aqel
saling berpandangan. Cuba menyelami hati masing-masing. Biarlah hati yang
berbicara.
“Haqem nak ambil peguam” suaraku memecah kesunyian ini.
“Saya tahu dia takkan boleh duduk diam melihat awak dalam
keadaan ini” sahut Aqel.
Aku senyum
sekilas. Haqem berasa bersalah terhadapku. Aku dan Haqem berfikiran sama
walaupun dia tidak berterus-terang kepadaku. Semua ini angkara Datin Sofea dan
Bella. Laporan misteri itu telah direncanakan oleh mereka. Mereka ada motif. Bella
juga berulang kali memberi peringatan keras kepadaku. Namun tidak menduga
mereka senekad ini. Sungguh dalam kebencian mereka.
“Awak jangan bimbang dan rasa takut. Semua ini akan
selesai dengan baik” ujar Aqel tenang. Aqel mahu berkongsi ketenangan itu
denganku. Kata-katanya hanya mahu menenangkan hati.
“Berani kerana benar dan takut kerana salah. Saya takkan
takut” ujarku menyahut dengan pendirian. Aqel tersenyum. Sekurang-kurangnya aku
nampak kuat di depan Aqel. Tidak mahu dia bimbang. Ketakutan dan kerisauanku akan
membebankan Aqel. Jadi aku mesti kuat dan bersemangat.
“Namun saya sedikit risau...” jelasku berterus-terang. Perasaan
ini tidak dapat aku kawal. Benakku sentiasa memikirkannya. Aqel menatapku.
“Saya risau kalau mak mengetahui perkara ini” keluhku.
Mak tidak akan dapat bertenang jikalau mengetahui perkara ini. Mak tidak akan
sanggup melihat aku dijadikan pesalah. Apatah lagi meringkuk di penjara untuk
suatu tempoh. Perkara ini boleh membahayakan nyawa mak. Pasti mak tiada
kekuatan hendak menerima semua ini dengan tenang. Hati mak akan hancur lebur. Kupandang
Aqel. Aku mahu Aqel melakukan sesuatu untukku.
“Mak tak boleh tahu tentang hal ini. Begitu juga Aziq dan
Mak Long. Awak boleh janji akan memastikan perkara ini tak sampai ke pengetahuan
mereka?” pintaku. Kupandang Aqel memohon pertolongan. Aqel mengangguk. Sudah
berjanji akan merahsiakan musibah ini.
“Jangan risau mak dan Aziq takkan tahu. Mama juga takkan
tahu” janji Aqel. Aku menarik nafas. Lega. Aku percaya pada janji Aqel. Dia
mampu melindungi keluarga kami.
“Terima kasih, Aqel” Air mata menitis di pipiku. Laju
jariku mengelap. Aqel memandangku. Aku senyum. Cuba menyembunyikan perasaan
sedih ini. Tiba-tiba tangan Aqel menggenggam erat tanganku. Cuba memberi
kekuatan kepadaku.
“Saya takkan biarkan awak disakiti. Tidak sama sekali.
Jadi jangan menangis” tegas Aqel berbisik. Hatiku tersentuh. Aku senyum. Namun
mataku terasa berkaca-kaca. Air mata ini menitis ke pipi. Lembut jari Aqel
menyapu.
“Orang yang menyakiti awak pasti akan menyesal memperlakukan
awak begini” ujar Aqel berbaur ancaman. Wajah Aqel serius. Persis Aqel mahu
menghukum orang yang bertanggungjawab menfitnah aku. Terdetik kebimbangan
melihat kesungguhan Aqel.
***********************
“Agak sukar nak pastikan Puan Nurdahlia dilepaskan
daripada tuduhan ini selagi tiada bukti baru yang boleh menyangkal bukti yang
sedia ada” jelas Encik Mahroof ketua bahagian penyiasatan. Haqem mengeluh.
“Maaf... bukti yang diserahkan dan bukti yang ditemui di
pejabat begitu kukuh untuk menyabitkan Puan Nurdahlia telah melakukan
penyelewengan aset syarikat” tambah Encik Mahroof lagi. Haqem mengeluh berat.
Tidak dapat diterima akal.
“Saya tak percaya semua ini” Haqem geleng-geleng kepala.
“Dokumen urusan jual beli dan wang RM50,000 kami temui di
dalam laci meja Puan Nurdahlia. Kami juga telah menyiasat akaun bank Puan
Nurdahlia. RM100,000 telah dipindahkan dari Bank Swiss ke dalam akaun bank
tersebut dua hari lalu” jelas Encik Mahroof. Haqem tersentak.
“Bank Swiss?” tanya Haqem mengulangi. Encik Mahroof
mengangguk dan mengeluh. Sukar hendak mengesan pengirim wang tersebut kerana Bank
Swiss akan melindungi maklumat pelanggan mereka. Kerahsiaan Bank Swiss telah
dikodifikasi sejak tahun 1934. Semua telah dirancang dengan sempurna. Haqem
menyedari hakikat ini. Kesalahan itu masih berpihak kepada gadis itu. Haqem
mengeluh.
“Encik Haqem tak perlu bimbang. Kami akan menyiasat
betul-betul perkara ini” janji Encik Mahroof.
“Terima kasih... Sukar ke nak bebaskan Puan Nurdahlia daripada
tuduhan itu? ” Haqem rasa tidak berdaya. Tindakan yang diambil belum membuahkan
hasil. Sukar hendak menyangkal bukti yang kukuh itu.
“Setakat ini bukti-bukti yang ada memang tak berpihak
pada Puan Nurdahlia” Haqem menghela nafas. Dipicit dahinya yang
berdenyut-denyut. Bukan mudah hendak membebaskan Lia daripada tuduhan itu.
“Oh...ya...Puan Nurdahlia dibenarkan balik.
Dokumen-dokumen penting seperti pasport harus ditinggalkan di sini, prosuder
siasatan syarikat” jelas Encik Mahroof. Haqem mengangguk dan berasa lega.
“Jadi saya boleh bawa Puan Nurdahlia balik sekarang?”
tanya Haqem meminta kepastian.
“Ya...setelah menandatangani beberapa dokumen penting”
Encik Mahroof menambah penjelasan. Ada akujanji yang harus dimeterai.
“Okey...terima kasih” Haqem teruja. Bingkas dia bangun
mendahului Encik Mahroof lalu melangkah mendapatkan gadis itu. Sudah lama Lia
menghadap muka pada dinding kaca itu memerhatikan dunia luar. Tidak tahu apa
yang sedang difikirkan oleh gadis itu.
“Lia...” Aku tersentak. Laju aku berpaling. Haqem
tersenyum.
“Awak boleh balik sekarang” jelas Haqem buat aku
tersenyum.
“Ya...puan dibenarkan balik dengan bersyarat. Bila-bila
masa saja puan akan dikehendaki datang ke sini lagi. Kes ini belum
selesai...puan masih suspek” ujar lelaki ini membuatkan senyumanku lenyap. Aku
masih pesalah.
“Sebelum balik...puan isi borang ini dan sila tinggalkan
pasport...prosuder siasatan syarikat ini. Saya juga ingin maklumkan kepada puan
bahawa pergerakan puan dalam pengawasan pihak kami. Harap-harap puan takkan
rasa terganggu” tambah Encik Mahroof. Aku mengangguk.
“Ya...saya faham” sahutku mengerti. Aku dan Haqem
bergerak meninggalkan Bahagian Unit Keselamatan KDUT. Senyap. Tiada perkara
yang aku dan Haqem bualkan sepanjang langkah ini. Masing-masing berdiam diri.
Langkahku terhenti. Langkah Haqem turut terheniti. Aku berpaling menatap Haqem.
“Terima kasih, Haqem” ujarku terhutang budi. Haqem
senyum.
“Awak nak makan? Pasti awak lapar sekarang” Aku
menggeleng.
“Boleh awak hantar saya balik ke rumah?” tanyaku. Aku
mahu tidur sekarang. Tatkala bagun dari tidur nanti aku sudah cukup tenaga. Banyak
perkara yang aku perlu lakukan setelah sepanjang hari duduk berfikir.
“Boleh. Mari saya hantar awak” sahut Haqem tanpa
bantahan. Aku dan Haqem beriringan melangkah ke laman pakir. Kembali senyap.
Tidak berbicara lagi. Banyak mata yang memandang sepanjang perjalanan ini.
Kuteguhkan hati. Berani kerana benar, takut kerana salah seperti yang kukatakan
kepada Aqel. Pandangan sinis dan curiga orang di sekeliling tidak akan
menggentarkan aku. Aku bukan pesalah yang harus dihukum. Aku hanyalah mangsa
penganiayaan manusia yang kejam. Aku akan membebaskan diri daripada tuduhan
itu.
Tatkala kereta yang Haqem pandu memasuki halaman banglo
ini, kelihatan Aqel sedang tercengat di muka pintu persis sedang menanti
kepulanganku. Barangkali Haqem sudah memaklumkan tentang kepulanganku malam ini
kepadanya. Kupandang Haqem.
“Terima kasih” ujarku sekali lagi. Haqem hanya senyum.
“Pastikan awak tidur nyenyak malam ini” pesan Haqem. Aku
tersenyum sekilas. Lantas menolak daun pintu kereta.
“Pandu kereta hati-hati” pesanku lalu menutup pintu
kereta. Aku mengatur langkah ke pintu. Aqel masih berdiri di situ sedang
melontar pandangan ke arahku.
“Assalamualaikum...” Aku memberi salam sambil memandang
Aqel.
“Walaikumussalam...” sahut Aqel menjawab salamku. Matanya
menatapku. Aku melangkah masuk melewati Aqel yang masih terpacak di muka pintu.
“Saya gembira awak dah balik” ujar Aqel mematikan
langkahku. Aku berpaling ke arah Aqel. Aku senyum. Senang mendengar bicara
Aqel. Mungkin dia rasa sunyi bersendirian di banglo ini setelah sekian lama
tinggal bersamaku di sini. Adakala aku dan Aqel akan bertikam lidah kerana
tatkala mengulas isu dengan pendekatan yang berbeza. Kedinginan Aqel yang
sentiasa mencabarku.
“Terima kasih. Saya nak tidur sekarang” ujarku tidak
bersemangat hendak berbual panjang dengan Aqel. Aqel mengangguk. Kuatur langkah
mendaki satu-persatu anak tangga. Aqel menyoroti langkah longlai gadis itu
dengan pandangan simpati. Dia melepaskan keluhan.
“Assalamulaikum... mak. Saya rindukan mak...” sayup-sayup
kedengaran suara gadis itu diiringi dengan esakan tangisan yang tidak terkawal.
Langkahnya terhenti. Aqel bersandar di dinding bilik itu. Dia terpaku di situ,
membiarkan gadis itu menangis sendirian. Dia tidak sanggup menyaksikan deraian
air mata gadis itu lagi. Hatinya turut terguris.
“Bersabarlah Flora... saya pasti melindungi awak” bisik
hati kecil Aqel.
No comments:
Post a Comment