Monday, 3 April 2017

NamaKu Bukan Flora...89


BAB 89

Awal pagi aku sudah menyiapkan sarapan dan bersiap sedia hendak ke pejabat. Sudah merancang awal-awal hendak menjadi penumpang Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144. Terasa malas hendak pandu kereta ke tempat kerja hari ini.
“Saya tumpang awak” ujarku memaklumkan kepada Aqel lantas kelam-kabut mengemas cawan dan pinggan ke singki. Cepat aku mencuci pinggan, cawan dan sudu. Bimbang Aqel akan bergerak meninggalkan aku. Adakalanya Aqel tidak boleh dipercayai.
“Tunggu saya” pintaku sambil mengejar langkah Aqel sebaik sahaja daun pintu dikunci. Aqel masih senyap. Tidak menolak atau menerima permintaanku. Pagi ini terpaksa bermuka tembok buat sesuka hati sahaja. Aku terus duduk di kerusi penumpang di sebelah Aqel yang senyap memanjang. Tali pinggang dipasang. Aku menarik nafas lalu bersandar di kerusi penumpang ini. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 dipandu meninggalkan halaman banglo ini.
“Mana hadiah yang saya beri awak?” tanyaku sambil menatap Aqel. Aqel senyap dan memandangku sekilas. Pandangan kosong.
“Awak tak...” Kata-kataku tergantung tatkala terimbas objek yang terselindung di sebalik buku catatan ini. Laju tanganku mengalih buku catatan yang telah menghalang pandangan mata. Aku tersenyum sendiri. Gembira melihat gadis bergaun merah di atas dashboard Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 mewah ini.
 “Aduh...!” Laju tangan Aqel menampar tanganku. Tidak sempat hendak menyentuh gadis bergaun merah ini. Tidak sampai hajat hendak melihat senyuman dan kenyitan matanya.
“Jangan sentuh barang saya” Kali ini Aqel bersuara sambil menjelingku. Aku tersenyum.
“Kedekut sungguh...” kutukku. Teringat pada pertemuan semalam. Apa yang berlaku kepada Aqel dan Haqem setelah aku dan Marnie meninggalkan mereka. Adakah mereka sama-sama menghabiskan hidangan tengah hari dengan selesa? Kupandang Aqel sekilas. Tiada kekuatan hendak bertanyakan perkara ini. Haqem  juga tidak pernah mengungkit perkara ini walaupun kami bertemu ketika menjemput Idlan semalam. Mungkin juga Haqem terlupa atau tiada apa-apa yang berlaku selepas itu. Mungkin Haqem dan Aqel menghabiskan waktu makan tengah hari dengan perbualan yang berkisar tentang perniagaan mereka. Aku berandaian sendiri.   
“Sebenarnya... hadiah ini saya yang pilih untuk awak. Pilihan Haqem t-shirt, tapi saya tak nak beli t-shirt sebab t-shirt beruang kesayangan saya awak dah ambil” ujarku cuba memberi penjelasan. Aku melirik ke arah Aqel. Aqel tersenyum. Sekejap sahaja. Kemudian serius semula.
“Satu perkara lagi...saya jumpa Haqem di premis itu secara kebetulan. Dia nampak kereta  BMW ActiveHybrid 7 berada di pakir premis itu. Dia ingat awak yang ada dalam premis itu” jelasku berdasarkan pengakuan Haqem.
“Awak ini terlalu naif” kutuk Aqel. Besar mataku menatap Aqel. Tidak suka.
“Awak tak perlu buat penjelasan” tingkah Aqel dingin. Aku mengetap bibir.
“Sombongnya...” terkumat-kamit mulutku mengutuk Aqel. Marnie meminta aku membuat pilihan. Nampaknya aku silap pilihan. Ternyata Aqel tidak perlu sebarang penjelasan. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 memasuki perkarangan laman pakir KDUT.
“Terima kasih sebab sudi tumpangkan saya...” ujar sambil menanggalkan tali pinggang. Bersedia hendak keluar.
“Saya suka warna merah dan hitam, suka sup tulang yang mak masak dan suka makan apa saja yang awak masak, suka minum jus oren dan jus epal hijau sebab awak suka jus epal hijau, suka membaca buku, belajar menyukai aiskrim vanila kerana awak suka aiskrim vanila. Paling penting saya tak suka melihat awak menangis” ujar Aqel sambil menatapku. Serius. Aku terkedu.
“Saya harap awak akan ingat perkara ini sampai bila-bila” Aqel memberi peringatan. Aku mengangguk. Janji.
“Boleh?” tanya Aqel mengujiku.
“Awak suka warna merah dan hitam, suka sup tulang yang mak masak dan suka makan apa saja yang saya masak, suka minum jus oren dan jus epal hijau sebab saya suka jus epal hijau, suka membaca buku dan belajar menyukai aiskrim vanila kerana saya suka aiskrim vanila. Paling penting awak tak suka melihat saya menangis” lancar aku mengulangi bicara Aqel sebentar tadi. Tiada yang tertinggal.
“Bagus...” puji Aqel lantas mendahului keluar dari kereta. Bergegas aku keluar. Tidak mahu terkunci di dalam kereta ini. Kuperhatikan langkah Aqel di depan. Aku tersenyum sendiri. Lega dan terharu.
“Aqel suka semua yang aku masak. Patutlah dia tak kisah makan pelbagai jenis menu telur” Aku berbicara sendiri. Teringat pada terus rebus kasih sayang buat aku tersenyum. Aqel yang dingin bak salji adakala jadi nakal dan bikin hati bergelora.

TERASA sejak dari tadi aku diperhatikan. Mata Bella seakan mengikut pergerakanku. Barangkali ada sesuatu yang ingin dibicarakan denganku. Aku melontar pandangan ke arah Bella. Dia tersentak tatkala mata kami bertembung. Sudah tidak sempat hendak melarikan pandangan lagi.
“Ada sesuatu awak nak cakap dengan saya?” tanyaku. Bella mempamer wajah serius.
“Awak tak beritahu Haqem yang saya keluar dengan Idlan?” tanyanya. Aku mengangguk. Idlan sudah menyatakan pertemuan itu rahsia.
“Bagus...” Bella kembali menyambung kerja. Pengakuanku melegakannya. Aku dan Bella tidak mampu berbual panjang. Cerita kami berbeza.  
“Saya tak nak awak berada di depan mata saya. Kalau saya berada di sini pastikan awak bekerja di dalam bilik kostum tu” ujar Bella memberi arahan baru. Dia tidak mahu melihatku.
“Ya...saya faham” Kucapai senarai kostum yang perlu disediakan untuk slot penggambaran iklan esok lalu bangkit dari kerusi ini. Aku mengatur langkah ke bilik kostum seperti yang diarahkan oleh Bella sebentar tadi. Arahan baru Bella adalah yang terbaik buatku. Aku lebih aman dan selesa bersendirian di sini. Lantas langsaikan tugasku di sini.
“Lia, mana?” tanya Haqem yang muncul di muka pintu. Bella diam. Pertanyaan itu tidak akan dijawab. Dia mempamer muka masam. Tidak suka. Haqem melepaskan keluhan. Kemudian melangkah ke arah bilik penyimpanan kostum itu. Bella mendengus. Tidak suka Haqem mencari gadis itu.
“Lia...” Aku berpaling.
“Oh..., Haqem!” Terkejut dengan kemunculan Haqem.
“Buat apa?” tanyanya sambil kehairanan melihat aku sedang duduk bersandar di tepi dinding. Esok bolehlah aku letak kerusi dan meja agar lebih selesa duduk di sini.
“Baru saja siap sediakan kostum untuk penggambaran iklan esok. Sekarang nak berehat-rehat di sini” jelasku tersenyum. Haqem memandangku.
 “Tak selesa duduk macam tu. Di luarkan ada tempat duduk awak” Haqem hairan. Aku senyum lagi.
“Saya selesa berehat di sini. Waktu makan tengah hari nanti baru saya keluar” jelasku. Haqem terdiam menatapku. Kemudian melangkah masuk mendekatiku. Bingkas aku bangun. Haqem menatapku dengan pandangan simpati.
“Awak okey di sini?” Aku tergelak. Tidak mahu Haqem terlalu serius.
“Okey...okey...Sayakan dah biasa kerja di sini” jelasku tidak mahu Haqem bimbang.
“Tapi awak tak biasa kerja dengan Bella dan mama” tingkah Haqem curiga. Aku tersengih. Tidak dapat mengaburi mata Haqem.
“Apa hal awak datang sini?” tanyaku tentang tujuan kedatangan Haqem ke sini.
“Oh..., tak de apa-apa. Thanks sebab jaga Idlan semalam” ujarnya Haqem tersenyum. Hampir-hampir sahaja aku hendak menyuruh Haqem mengucapkan terima kasih kepada Bella kerana dialah yang banyak meluangkan masa dengan Idlan semalam. Mujur juga aku ingat bahawa pertemuaan itu adalah rahsia. Haqem tidak harus mengetahui Idlan keluar dengan Bella. Aku mengeluh kecil. Berat hati hendak terus merahsiakan perkara ini. Haqem patut tahu kebaikan Bella. 
“Kan semalam dah cakap” balasku mengingatkan Haqem. Haqem tersenyum.
“Idlan seronok di sini. Kalau boleh tiap-tiap hari dia nak datang sini” cerita Haqem buat aku tersenyum. Bella sudah berjaya ambil hati Idlan. Dia cepat mesra dengan gadis itu. Pasti Idlan seronok meluangkan masa dengan Bella. Lega. Perkembangan yang positif. Yakin hubungan Idlan dengan Datin Sofea akan baik dengan adanya Bella. 
“Setiap hari Idlan datang sini pun tak pe” ujarku teruja.
“Cik Bella pun tak kisah. Dia nampak suka dengan Idlan” Aku memandang Haqem. Cuba melihat reaksi Haqem. Perlahan-lahan cuba menyatakan bahawa Bella boleh menjaga Idlan dengan baik. Haqem mesti memberi peluang kepada Bella untuk membuktikan kebaikannya itu. Nama Bella yang kusebut tidak menarik perhatian Haqem.
“Tak mahu dia menggangu kerja awak. Nanti tak pasal-pasal awak dimarahi oleh mereka” ujar Haqem risau. Aku senyum.
“Mungkin juga Bella suka pada Idlan dan Idlan suka pada Bella. Tak mustahil cara ini boleh mendekatkan Idlan dengan Datin Sofea” ujarku berpandangan positif. Haqem menggeleng kepala. Tidak percaya akan wujud situasi sedemikian.
“Saya kenal dengan sikap mama saya. Tak mudah hatinya dilembutkan” keluh Haqem. Jelas dia kecewa dengan sikap Datin Sofea. Kasihan Haqem dan Idlan. 
 “Okey... saya pergi dulu. Awak duduklah di luar. Di sana lebih selesa” arah Haqem.
“Tak pe...ada kerja yang perlu saya selesai di sini” bohongku.
“Awak lebih selesa duduk di dalam bilik ini?” tanya Haqem. Aku hanya senyum. Tidak mahu memaklumkan tentang larangan Bella kepada Haqem. Haqem melepaskan keluhan kecil. Sedar hari-hari yang kulalui di sini tidak mudah.
“Saya pergi dulu...” Haqem meminta diri lalu bergerak ke pintu. Kelibat Haqem hilang di sebalik pintu. Aku memandang di sekeliling bilik ini. Terasa aku menjadi Cinderella yang dikurung di dalam bilik yang dipenuhi dengan gaun-gaun yang cantik. Berbeza sedikit plot cerita. Si Cinderella yang kehilangan sepatu. Aku teringat pada baris ayat yang Aqel tulis. Aku tersenyum sendiri mengenang peristiwa itu. Lucu. Ternyata Aqel juga menggelarku Cinderella.
 “Dalam masa 30 minit, saya nak kerusi dan meja itu sampai di sini” arah Haqem tegas melewati Bella yang sedang memerhatikan. Langsung tidak mempedulikan kewujudan gadis itu. Bella mendengus kasar. Tidak berpuas hati dengan layanan dingin Haqem. Dia semakin sakit hati kepada Lia. Gadis itulah yang menyebabkan Haqem berubah sikap. Kalau dahulu sebelum kemunculan gadis itu, dia dan Haqem masih boleh berbual-bual dengan baik. Sekarang Haqem hanya memandang sepi kepadanya. Bella mengetap bibir. Cuba menahan-nahan perasaan geram.  
“Dengan perempuan itu bukan main mesra dia bercerita. Boleh pula bercerita lama” rungut Bella tidak puas hati. Bella menepuk meja dengan kasar. Cuba melempiaskan rasa tidak puas hati. Perasaan marah terhadap gadis itu semakin membuak-buak. Dia tidak boleh duduk tenang. Tidak mahu juga hanya jadi pemerhati kemesraan mereka. Dia perlu bertindak. Gadis itu perlu diberi pengajaran dan peringatan.

Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling. Hairan dengan kedatangan tiga orang pekerja Syarikat Perabot Jati Idaman yang sedang melewati ruang lobi bersama dengan kerusi dan meja.
“Selamat petang Encik Aqel” sapa lelaki yang bertugas di pintu utama KDUT itu.
“Selamat petang. Kerusi dan meja itu siapa yang tempah?” tanya Aqel hairan.
“Encik Haqem, nak letak di bahagian kostum” jelas lelaki itu yang baru sahaja memberi kebenaran kepada pekerja syarikat perabot itu melewati pintu selepas mendapat keterangan. Aqel mengangguk faham. Kemudian terus menyambung langkah keluar dari bangunan itu. Ada urusan kerja di luar yang perlu dibereskan.
Daun pintu diketuk. Bella menoleh ke pintu. Dua orang lelaki yang mengangkat kerusi dan seorang lelaki pula mengangkat meja muncul di sebalik pintu. Tercengang-cengang dia memerhatikan gelagat mereka.
“Maaf, bilik penyimpanan kostum di mana?” tanya salah seorang daripada mereka. Bella menunding jari ke arah bilik itu. Masih tertanya-tanya akan kedatangan ketiga-tiga lelaki yang memakai pakaian seragam Syarikat Perabot Jati Idaman itu.
“Terima kasih...” ujar lelaki itu lalu mengajak kedua-dua lelaki yang mengangkat kerusi itu ke bilik itu. Bella terpinga-pinga memerhatikan. Aku yang sedang leka mengelap almari kaca ini berpaling ke pintu tatkala daun pintu ditolak. Muncul tiga orang lelaki yang tidak kukenali. Dua orang membawa kerusi beralas kusyen empuk dan seorang pula membawa meja.
“Nak letak di mana cik?” tanya salah seorang daripada mereka. Aku yang terpinga-pinga dan tidak mengerti apa-apa hanya menunding jari ke sudut kosong itu. D situ sahaja tiada almari kaca. Ketiga-tiga lelaki ini bergerak ke situ lalu menyusun atur kedudukan meja dan kerusi yang mereka bawa. Aku hanya memerhati dan tertanya-tanya tentang kemunculan tiga orang lelaki ini. Baru sebentar tadi Bella mengarahkan aku berada di bilik ini agar tidak perlu bersua muka denganku. Kemudian muncul Haqem. Baru kira-kira 30 minit Haqem pergi, tiga orang lelaki ini pula muncul bersama dengan kerusi dan meja itu. Hairan.   
“Kerusi ini boleh diubahsuai kedudukan mengikut keselesaan cik. Kalau nak tidur dengan selesa pun boleh. Tarik saja pemegang di belakang ini. Nanti masa rehat bolehlah cik tidur” ujar lelaki ini memberi penerangan ringkas tentang kerusi serbaguna ini. Aku tersenyum.
  “Di sini ada buku panduan cara-cara penggunaan. Nanti cik baca ye...” pintanya sambil meletakkan buku kecil berbalut plastik itu di atas meja. Terkebil-kebil aku menatapnya.
  “Maaf...,saya tak order pun kerusi dan meja ini. Encik salah hantar ni. Bukan di sini tempatnya” jelasku yakin berlaku kesilapan. Lelaki ini menggeleng dan tersenyum.
“Encik Haqem yang pesan dan minta kami hantar ke sini. Ini bilik kostumkan?” tanyanya. Aku mengangguk. Lelaki ini tersenyum.
“Ya...betul tempat ini” jelasnya yakin tidak silap tempat. Haqem bertindak cepat.
“Pasti mahal harganyakan” dugaku serba salah. Kurang senang dengan tindakan Haqem. Tidak suka membebankan Haqem. Mereka tersenyum.
“Cik tak payah risau, Encik Haqem dah bayar. Sekarang tolong tandatangan di sini. Bukti barang yang dipesan sudah selamat diterima” jelas lelaki itu menambah rasa tidak senang hatiku. Harga kerusi dan meja ini dirahsiakan.
“Atau cik nak periksa dulu kerusi dan meja ini? Silakan...” pelawa lelaki ini lagi. Laju aku menggeleng. Yakin kerusi dan meja itu berada dalam keadaan yang elok.
“Tak payah. Saya tandatangan sekarang” ujarku menolak cadangan itu. Tidak teruja mendapat kerusi dan meja baharu. Aku menandatangani kertas yang dihulurkan kepadaku.
“Terima kasih cik” Ketiga-tiga orang lelaki ini berlalu pergi. Kupandang kerusi dan meja itu. Aku mengeluh. Berat sahaja hati hendak menerima kerusi dan meja itu.
“Lia...!” Namaku dilaung dengan kuat. Aku tersentak. Bergegas aku ke pintu. Aku harus menemui Bella. Tajam pandangan gadis itu menyambut kedatanganku.
“Ya...Cik Bella” Aku sudah berada di depannya. Bersedia menerima arahan yang harus dilaksanakan. Dia melemparkan sekeping kertas di depanku. Aku menatap tulisan pada kertas ini. Senarai beberapa buah butik ternama berserta beberapa jenis barangan yang tercatat di situ.
“Saya nak awak pergi ke butik-butik ini. Pastikan semua barangan tepat dan tiada cacat cela sebelum awak bawa balik ke sini” tegas Bella dengan wajah menyinga. Aku mengangguk. Kucapai kertas ini. Tersentak tatkala tangan Bella mencengkam kuat pergelangan tanganku. Dahiku berkerut menahan sakit. Gadis ini sengaja mahu menyakitiku.
“Sampai satu masa nanti Haqem takkan mampu melindungi awak” ancam Bella memberi peringatan. Kutarik tanganku. Namun cengkaman kuat tangan Bella sukar hendak dilepaskan. Aku menatap Bella. Tidak gentar. 
“Lepaskan tangan saya” pintaku. Aku dan Bella beradu pandangan.
“Selagi awak sakiti saya selagi itu awak takkan dapat Haqem” tegasku.
“Sombongnya awak...” Bella mendengus. Tiba-tiba daun pintu ditolak.
“Bella...!” suara Haqem lantang. Bella tersentak. Cengkaman pada pergelangan tanganku dilepaskan. Aku berpaling. Haqem sedang bergerak ke arahku. Tidak menduga Haqem akan kembali ke sini.
“Awak okey?” Haqem menatapku. Aku mengangguk dan tersenyum. Bella mengetap bibir menahan gelodak amarah. Serius wajah Haqem menatap Bella. Lantas kucapai kertas di meja tadi. Kupandang Bella kemudian mataku beralih kepada Haqem. Mahu Bella menjadi saksi. 
“Maafkan saya Haqem. Saya takkan biarkan awak bernikah dengan Bella selagi dia dan Datin Sofea tak dapat menerima Idlan” ujarku serius. Amanah Kak Harianie terpikul di bahuku. Aku juga kasih pada Idlan. Tidak tega aku membiarkan Idlan hidup bersendirian dan menagih kasih Datin Sofea sepanjang hidup.
“Awak adalah kekuatan saya untuk mempastikan Idlan mendapatkan kehidupan yang terbaik seperti kanak-kanak lain. Saya harap awak takkan mengalah kepada Datin Sofea. Pastikan awak sentiasa bersama saya” pintaku. Haqem tersenyum. Bella mendengus kuat.
“Kata-kata awak buat saya gembira” ujar Haqem sambil menatapku. Seketika aku dan Haqem berpandangan. Tidak peduli dengan pandangan tajam Bella. Mungkin Haqem tersilap mentafsir kata-kataku.
‘Maafkan aku, Haqem. Demi Idlan aku tak mahu memberi penjelasan lanjut. Aku sedang melukai perasaanmu... mungkin lebih dalam lagi jikalau tika ini engkau punya angan-angan indah hendak bersamaku dengan Idlan. Sesungguhnya, aku sedang merencana kebahagiaan hidupmu dengan Idlan bersama keluarga kalian’ bisik hati kecilku. Kupandang Haqem yang masih tersenyum dengan pandangan rasa bersalah. Aku menarik nafas.
“Saya ada kerja di luar yang perlu diuruskan” jelasku.
“Biar saya hantar awak” pelawa Haqem.
“Ya... terima kasih” Cepat sahaja aku menerima pelawaan Haqem sambil tersenyum manis menatap Haqem. Sengaja mahu menambah kemarahan Bella. Lantas kami beriringan melangkah ke pintu, meninggalkan Bella yang sedang marah.

“Assalamulaikum...” Aku menolak daun pintu. Berdiri di muka pintu sambil melontar pandangan ke arah sofa itu. Aqel sedang berbaring di situ. Dia lebih awal sampai di rumah. Aku pula berputar macam gasing. Banyak tempat yang harus aku pergi hari ini. Maka aku tidak dapat balik bersama Aqel tadi. Mujur juga Haqem ada membantuku. Perkara ini sudah kumaklumkan kepada Aqel. Tidak mahu dia menunggu kemunculanku. 
“Awak dan Bella berperang besar ke tadi? Sampai Haqem guna duit sendiri beli kerusi dan meja baharu untuk awak” tanya Aqel sambil menatapku. Kupandang Aqel. Dia juga mengetahui perkara ini. Aku mengeluh. Tidak suka menyusahkan Haqem. Aku melangkah mendekati Aqel. Lalu duduk di sofa di depan Aqel.
“Pasti mahalkan harga kerusi dan meja itu?” tanyaku. Aqel mengangguk. Tidak menafikan. Sudah kujangka. Produk Syarikat Perabot Jati Idaman memang terkenal dalam kalangan golongan elit. Tidak semua orang mampu membeli produk mereka.
“Saya pinjam duit awak nak bayar duit Haqem” Aqel menatapku. Dahinya berkerut.
“Atau saya minta duit awak saja. Duit awak banyak, minta sikit takkan luak pun” ujarku tersengih menatap Aqel. Aqel membalas pandanganku tanpa perasaan.
“Kenapa saya pula yang perlu keluar duit untuk awak?” tanyanya.
“Sebab awak suami saya. Duit awak...duit saya juga” ujarku tersengih panjang. Aqel menjelingku. Tidak mudah hendak menggunakan duit Aqel.
“Kedekut...” rungutku dengan muka masam. Silap. Aqel tidak kedekut. Masakan orang kedekut boleh beli kereta BMW ActiveHybrid 7 untukku.
“Itu hadiahnya untuk awak” jelas Aqel berandaian sendiri.
“Saya tak senang hati menerimanya. Bella pun dah marah-marah dan nak mengamuk tadi” keluhku lalu menyandarkan tubuh di sofa. Kemudian memejamkan mata seketika. Letihnya.  
“Tak pe... Haqem beri awak hadiah, awak pun kerja dengan mamanya. Anggaplah itu sumbangannya kepada Datin Sofea” ujar Aqel cuba menenangkan hati gadis itu. Senyap. Tiada suara yang menyahut. Aqel melontar pandangan ke arah gadis itu. Dia geleng kepala.
“Nampaknya awak melalui hari yang sukar. Tentu awak dah kehabisan tenaga sekarang” keluh Aqel sambil merenung gadis itu. Mudah sahaja dia terlena di sofa itu. Aqel bangun lalu mengangkat tubuh gadis itu ke katil. Tidur yang lena. Direnung wajah gadis itu.
“Saya tak tahu apa yang perlu saya buat dengan awak” keluh Aqel. Tersentak dirinya tatkala menatap pergelangan tangan gadis ini. Merah. Ditilik seketika. Jelas kelihatan kesan cengkaman tangan yang kuat. Wajah Aqel bertukar serius namun jari-jemarinya lembut mengusap pergelangan tangan gadis itu.

“Boleh saya tumpang kereta awak lagi?” tanyaku sambil menatap Aqel yang sedang berhati-hati meneguk air kopi panas di cawan. Aqel hanya menatapku. Belum memberikan jawapan. Tidak hairan dengan perangai Aqel yang dingin.
“Terasa malas pula nak drive sendiri” keluhku sambil mengurut-urut pergelangan tanganku. Berkerut dahiku. Masih terasa sakit.
“Kenapa dengan pergelangan tangan awak tu?” Aku tersentak. Aqel sedang menatapku. Aku tersengih. Tidak menduga Aqel menyedari kesakitan yang kutanggung.
“Banyak angkat barang semalam. Rasa sengal-sengal” jelasku tidak mahu berterus-terang punca sebenar kesakitan ini. Tambahan pula aku memang banyak mengerah tenaga semalam.
“Ceh...!” Aqel mencebik memperliku. Aku hanya mempamer sengihan panjang. Harap-harap Aqel percaya dan tidak akan curiga.
“Cepat kemas pinggan dan cawan ni, kalau tak saya tinggalkan awak” ancam Aqel lalu bangkit dari kerusi. Bergegas aku menghantar pinggan dan cawan ini ke singki lalu membasuh. Tidak mahu ditinggalkan oleh Aqel. Aku berlari anak ke halaman. Ternyata Aqel sedang menantiku di dalam kereta sambil memerhatikan gelagatku. Entah apa yang sedang difikirkannya. Nampak serius sahaja. Mungkin sedang memikirkan urusan kerja yang belum selesai.
“Terima kasih...” ujarku berbesar hati dengan kesudian Aqel menungguku. Kupasang tali pinggang. Kereta yang dipandu Aqel meluncur laju di dada jalan. Sunyi sepi. Tiada perkara yang kubualkan dengan Aqel. Lantas aku terpandang gadis bergaun merah di atas dashboard di depanku ini. Laju tanganku hendak menepuk kepala gadis bergaun merah ini. Mahu melihat senyuman dan kenyitan matanya. Namun lebih laju tangan Aqel menghalang. Tanganku ditangkap. 
“Kan saya dah beri peringatan jangan kacau barang saya” Aqel menjelingku. Aku mencebik. Kedekut. Hari itu jual mahal. Macam tidak sudi sahaja menerima hadiah ini. Sekarang langsung tidak boleh disentuh pula.
“Aqel...” panggilku. Aqel berpaling menatapku.
“Kenapa?” tanyanya tidak suka diganggu ketika memandu.
“Tangan saya...” jelasku.  
“Huh...” Aqel menatap tanganku yang masih dipegangnya. Terus terlepas. Bagai baru sedar. Kepala Aqel tegak ke hadapan. Fokus pada pemanduan. Aku melontar pandangan keluar. Sunyi sepi. Tiada perbualan antara aku dengan Aqel lagi sehinggalah sampai ke perkarangan KDUT.
“Terima kasih sebab sudi tumpangkan saya” ujarku tersenyum lalu mendahului Aqel keluar dari kereta. Tidak mahu menunggu Aqel untuk berjalan beriringan ke pintu utama KDUT.
“Flora... tunggu!” Langkahku mati. Aku berpaling. Aqel sedang melangkah mendekatiku. Dicapai tanganku lalu meletakkan sesuatu di telapak tanganku.
“Jangan lupa tampal pelekat ini di pergelangan tangan awak. Ada rasa panas sedikit tapi melegakan” jelas Aqel lalu menyambung langkah kembali. Aku menatap pelekat yang sudah berada di tanganku. Terkedu dan terharu dengan keprihatinan Aqel.
“Awak sungguh baik hati! Terima kasih...!” ujarku separuh melaung. Walaupun Aqel tidak memberikan sebarang reaksi, namun aku percaya Aqel mendengar launganku. 

Aku menyorong pakaian ke lokasi penggambaran iklan pada awal pagi ini. Seronok menyaksikan model-model bergaya di depan kamera. Memiliki personaliti yang menarik dan dilengkapi dengan pakaian yang cantik, mereka nampak sungguh hebat.
“Mata awak cantik” Ada suara lelaki yang menegurku. Laju aku berpaling.
“Huh...” Aku terpinga-pinga. Lelaki itu sedang menatapku buat aku rasa segan.
“Awak memiliki bebola mata yang bersinar...bercahaya” pujinya. Aku tergelak. Segan pula dinilai sedemikian.
“Saya Razman” ujarnya memperkenalkan diri. Razman. Nama yang biasa kudengar.
“Encik pereka fesyen yang terkenal tu kan” ujarku meminta kepastian. Dia tersenyum. Terkedu aku berpeluang berkenalan dengan pereka fesyen yang cemerlang dalam kerjayanya.
“Berminat jadi model saya? Bulan depan nak melancarkan rekaan terbaru saya di Festival Fesyen Antarabangsa di Itali” jelasnya bercerita. Aku tergelak kecil. Laju aku geleng kepala.
“Saya tak pandai bergaya di depan kamera. Saya ni pemalu orangnya” Aku berterus-terang. Encik Razman tergelak.
“Semua model bermula macam tu” tingkahnya cuba memberi motivasi kepadaku. Aku geleng kepala. Tidak pernah terfikir hendak menjadi model.
“Awak memiliki sepasang mata yang sungguh cantik. Sekali pandang tak cukup. Orang akan tengok banyak kali lagi. Itu istimewanya awak” jelasnya telus tidak berselindung lagi. Rasa segan pula diriku diperkatakan sedemikian. Pujiannya terlalu melangit.
“Maaf... saya tak berminat nak jadi model” ujarku menolak tawarannya.
“Oh... kecewanya saya...” keluhnya sambil tersenyum.
“Maaf... ye...” ujarku rasa bersalah kerana telah menyebabkannya berperasaan demikian.
“Saya gembira berkenalan dengan awak” ujarnya senang hati.
“Saya pun...” sahutku. Encik Razman yang peramah dan tidak sombong.
“Saya pergi dulu...Bye...” Encik Razman meminta diri setelah aku menolak pelawaan itu.
Bye...” Aku melambai tangan dan saling bertukar senyuman dengan Encik Razman. Gembira dapat berkenalan dengan orang terkenal. Ada cerita menarik hendak dikongsi dengan Nina nanti. Apa reaksi Nana apabila mendengar pujian lelaki ini? Aku tersenyum sendiri.
“Dipuji sedikit dah bangga berlebih-lebih...” perli suara lelaki yang amat kukenali. Aku berpaling. Tepat dugaanku. Aqel mencebik menatapku.  
“Awak curi dengar perbualan orang ye...” kutukku membalas suara sinisnya.
“Geez... Awak kalau dah puji lupa dunia. Saya berdiri di sini pun awak tak nampak” rungut Aqel menjelingku tajam. Penjelasan yang menafikan tuduhanku.
Are you jealous?” Aku tersenyum menatap Aqel. Tajam pandangan Aqel menatapku. Aqel menapak mendekatiku. Dekat...dekat...semakin dekat Aqel denganku.
“Awak nak buat apa ni?” tanyaku cemas. Tidakkan Aqel hendak memelukku di depan semua orang ini. Akal Aqel sukar hendak dijangka. Aku berundur selangkah. Harus berjaga-jaga sebelum Aqel bertindak.
“Orang cemburu selalu melakukan sesuatu yang di luar dugaan” ujar Aqel memberi peringatan. Dia tersengih. Aqel hendak menciumku?
“Sesuatu yang sukar nak diterima akal” tambah Aqel menggerunkan aku.
“Aqel...” Aqel tersenyum nakal. Aku sudah terkepung. Tidak dapat lari daripada Aqel lagi. Aqel menundukkan kepala mendekatkan muka denganku. Laju aku berpaling dan memejamkan mata. Tidak sanggup melihat Aqel berlagak romantik di depan semua orang. Terasa tangan Aqel mencapai pergelangan tanganku.
“Mana pelekat yang saya beri tadi? Kenapa tak lekat lagi?” Bertalu-talu pertanyaan Aqel singgah di telingaku. Aku membuka mata lalu berpaling ke arah Aqel. Dia tersengih.
“Mana pelekat tu?” tanya Aqel mengulangi pertanyaan. Aku terpinga-pinga menatap Aqel.
“Saya tolong awak lekat” ujarnya. Aku menjeling Aqel. Sebentar tadi dia telah berjaya mempermainkan aku. Sempat juga aku merasa ketakutan itu.
“Cepat...!” arah Aqel. Aku mengeluarkan pelekat yang Aqel beri tadi. Laju sahaja tangan Aqel mengambil lalu menggoyak tepi kertas itu. Pelekat itu dipisahkan dari gam.
“Minta tangan awak” arah Aqel. Aku menghulurkan tangan kepada Aqel. Dia terus menampal pelekat ini di pergelangan tanganku. Begitu teliti Aqel melakukannya. Dia menilik-nilik pergelangan tanganku. Kemudian memandangku.
“Apa yang awak fikirkan tadi?” tanya Aqel tersenyum nakal mengusikku. Mukaku terasa panas. Malu. Segan.
“Nak saya cium awak ke?” tanya Aqel. Laju tanganku menampar bahu Aqel. Aqel tergelak. Aku mempamer muka masam. Lelaki buaya.
“Oh...romantiknya!” Marnie muncul tiba-tiba sambil tersengih menatapku dan Aqel. Laju kutarik tanganku dari pegangan tangan Aqel.
“Dia tolong saya tampal pelekat ni” Tidak mahu Marnie salah tafsiran. Aku mengetap bibir. Tidak suka melihat senyuman mengusik Marnie. Aqel sekadar mempamer wajah kosong.
 “Hai..., Aqel!” Kami berpaling. Encik Razman muncul lagi. Dia bertukar senyuman dengan Aqel. Tidak terkejut mereka saling mengenali.
“Eh..., awak kenal gadis Si Pemilik Mata Cantik ini?” Encik Razman menatapku. Aku senyum. Marnie terkebil-kebil. Panggilan istimewa untukku. Orang pertama yang kagum kepadaku. Kasihan aku.
“Merstilah...sayakan peker...”
“Perkenalkan... isteri saya, Flora” ujar Aqel laju memintas kata-kataku. Aku berhasrat mahu memperkenalkan diri kepada lelaki ini sebagai pekerja Aqel.
“Bukan...Lia” tingkahku. Aku menatap Aqel. Tidak suka nama itu.
“Dia ada dua nama yang berbeza tapi orangnya tetap sama” Marnie memberi penjelasan.
“Isteri awak?” Encik Razman tersentak. Dia tidak kisah dengan dua nama yang berbeza itu. Perkara yang menarik perhatiannya ialah statusku sebagai isteri Aqel.
“Ya...isteri Encik Aqel” Marnie menyampuk mengesahkan kata-kata Aqel.
 “Oh..., so sweet. Pasangan ideal...sama padan. Saya terpikat tengok mata isteri awak. Bebola mata yang bersinar...bercahaya...berkaca-kaca” pujik Encik Rizman berbisik ke arah Aqel. Namun jelas dipendengaranku dan Marnie. Segan pula mendengar pujian lelaki ini. Marnie tersenyum suka. Aqel juga senyum.
“Maaf... Encik Aqel, Mr. Bong dan Encik Haqem sedang menunggu. Kita harus pergi sekarang” ujar Marnie memaklumkan perkara itu. Aqel mengangguk.
“Jumpa lagi” ujar Aqel meminta diri lalu memulakan langkah.
“Pergi dulu Si Pemilik Mata Cantik...” bisik Marnie sambil melambai tangan. Sempat tanganku menampar lengan Marnie. Suka mengusikku. Aqel yang mendengar usikan itu tersenyum sendiri.
“Sayapun nak pergi juga. Harap-harap kita akan jumpa lagi” ujar Encik Razman. Seorang yang sangat mesra. Aku mengangguk. Menjelang tengah hari sesi penggambaran iklan ini berakhir. Aku meninggalkan lokasi penggambaran setelah semua pakaian di bawah seliaanku terkumpul.   
“Jaga elok-elok pakaian itu. Harganya terlalu mahal dan saya yakin awak tak mampu bayar” sinis suara Bella memberi peringatan.
“Ya...” sahutku faham.
“Saya ada letak alamat di atas meja awak. Pastikan esok awak hantar pakaian ini ke situ” arah Bella serius. Kupandang Bella. Musykil.  
“Bukan ke selama ini pakaian dihantar ke CNFL?” tanyaku. Bella mendengus.
“Saya tak puas hati dengan service mereka. Tak nak ambil risiko menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit kalau pakaian ini rosak walaupun sedikit” tingkah Bella memperkecilkan kemampun CNFL. Aku mengeluh kecil. Turut terasa akan kata-kata Bella. Alasan semata-mata. Bertahun-tahun KDUT bekerjasam dengan CNFL menguruskan pengendalian pakaian syarikat ini tidak pernah pun berlaku perkara yang serius. Malah sejak kerjasama itu terjalin pengurusan di bahagian kostum lebih baik. Tiada pernah kes kehilangan pakaian berlaku lagi. Namun kuasa ditangan Bella. Aku tidak mampu membantah. Jauh sekali hendak memberi cadangan yang terbaik.

Tepat pukul 5.00 petang, aku bergerak ke pintu utama KDUT. Kira-kira setengah jam berlalu barulah nampak kelibat Aqel. Mesyuarat yang dihadirinya memakan masa yang panjang.
“Lama awak tunggu?” tanyanya.
“30 minit” sahutku sambil mempamer wajah kebosanan setelah lama menunggunya. Aqel hanya mempamer wajah bersahaja. Langsung tidak merasa bersalah kerana membiarkan aku menunggunya lama.
“Belanja saya makan. Saya lapar” pintaku. Aqel menatapku. Lama.
“Oh..., so sweet. Pasangan ideal...sama padan. Saya terpikat tengok mata isteri awak. Bebola mata yang bersinar...bercahaya...berkaca-kaca” suara lelaki itu didengarnya lagi. Aqel tersenyum. Bangga.
“Kenapa awak pandang saya begitu?” tanyaku hairan. Aqel tersentak. Lalu memulakan langkah.
“Jom... saya belanja awak makan... Si Pemilik Mata yang cantik” ajak Aqel. Dipenghujung bicara itu tidak berapa jelas kerana Aqel sudah melangkah meninggalkan aku. Aku tersenyum. Suka mendengar Aqel akan belanja aku makan. Bermakna balik rumah nanti tidak perlu masak lagi. Aku juga tidak perlu menahan rasa lapar ini. Kupercepatkan langkah mengejar Aqel.
“Hari ini awak betul-betul baik dengan saya ye” pujiku tersenyum sambil melangkah beriringan dengan Aqel. Aqel menatapku sekilas. Dia tetap mempamer wajah bersahaja. Aku mengetap bibir. Geram. Berlagak sungguh. Sekurang-kurangnya tunjukkanlah senyuman. Persis dirinya menghadapi krisis emosi. Perasaan yang tidak stabil. Tidak tahu tersenyum tatkala gembira. Tidak tahu senyum apabila hati senang. Tidak tahu bersedih di kala berduka. Hanya tahu menunjukkan wajah yang tiada perasaan sahaja. Panjang berjela aku menghuraikan sikap Aqel.
“Hati-hati...Lia!” suara lantang Aqel bergema. Aku berpaling. Sekelip mata tubuhku sudah berada dalam rangkulan Aqel. Kemudian tersungkur ke atas jalan raya beralaskan tubuh Aqel.
“Awak tak apa-apa?” laju Aqel mengaju pertanyaan. Dia cemas.
“Saya okey...” jelasku lalu bangkit sambil mengibas-ngibas pakaianku. Tiada yang cedera. Kupandang Aqel.
“Aqel...awak cedera” Aku nampak darah pada siku Aqel. Laju telapak tangan Aqel menutup luka itu. Dahinya berkerut menahan sakit. Aqel mengerang kecil.
“Luka awak serius. Kita perlu ke hospital” ujarku cemas.
“Kita balik rumah sekarang” ajak Aqel tidak menghiraukan bicaraku.
“Tapi... luka awak” Aku cuba mengingatkan Aqel tentang kecederaannya itu.
“Luka kecil tak perlu risau” sahutnya bersahaja sambil mendahului langkah bergerak ke laman parkir. Telapak tangan Aqel menutupi luka itu. Darah masih keluar. Laju aku melangkah ke arah Aqel lantas memaut lengannya. Langkah Aqel terhenti. Dia tersentak. Kukeluarkan tuala kecil dari beg galas. Lantas siku kanan Aqel kubalut kemas. Kucapai tangan Aqel yang melekat dengan darah lalu kubersihkan perlahan-lahan dengan tisu. Aqel menatapku tanpa bersuara.
“Terima kasih kerana selamatkan saya. Lain kali awak tak boleh cedera kerana saya” ujarku mengingatkan Aqel. Aku tidak mahu Aqel mengorbankan nyawa kerana aku.
“Anggaplah kejadian ini kerana kecuaian saya” pintaku memohon pengertian. Aku memberi peringatan agar Aqel tidak melakukan tindakan susulan. Dia mengenali pemandu kereta mewah itu. Aqel memandangku.
“Saya tak nak Idlan bersedih dan Haqem rasa bersalah” jelasku. Aku dan Aqel beradu pandangan seketika. Kemudian Aqel menyambung langkah. Dia tidak bersuara. Aku mengekori langkah Aqel. Turut mengunci mulut. Bungkam yang panjang.
  

No comments:

Post a Comment