BAB 88
Aku mendekati Aqel yang sedang leka membaca buku. Aqel
mengalih pandangan ke arahku. Wajahku direnung. Hairan. Aku tersengih.
“Sorry... Ini
hadiah awak” ujarku lalu meletakkan kotak putih bereben merah ini di atas meja
di depan Aqel. Aqel menatapku.
“Saya harap awak gembira menerimanya” ujarku sambil menunggu
Aqel bersuara. Kotak putih ni dipandang sekilas. Mungkin sedang membandingkan
hadiah yang dibelinya dengan hadiah ini. Selangit beza nilainya.
“Memang tak setanding dengan hadiah yang awak beri” ujarku
mentafir reaksi yang Aqel tunjukkan tika ini.
“Hadiah ini tak cukup lagi” Aqel berterus-terang. Tepat
tafsiranku.
“Huh...” Aku terpinga-pinga menatap Aqel.
“Saya tak de duit banyak nak beli hadiah mahal-mahal
untuk awak” ujarku tidak berselindung.
Aqel serius menatapku.
“Jangan kedekut” kutuk Aqel.
“Huh...” Terlopong mendengar tuduhan Aqel.
“Saya bukan kaya macam awak” rungutku tidak puas hati.
“Suami awak kaya” balas Aqel angkuh. Aku mencebik. Masuk
bakul angkat sendiri. Suka puji diri sendiri.
“Saya nak guna duit sendiri. Takkan nak bagi awak hadiah
guna duit awak pula. Tak de makna langsung” rungutku memberi alasan yang dapat
diterima akal. Aqel tersenyum. Sekejap sahaja.
“Yang penting hadiah itu dari awak” tingkah Aqel.
Kemudian mencapai kotak putih bereben merah di atas meja ini. Aqel
membelek-belek kotak ini seketika. Aku hanya memerhatikan gelagat Aqel dan
menunggu kotak ini dibuka. Mahu melihat reaksi Aqel. Kotak putih ini diletak di
atas meja kembali. Aqel tidak berminat hendak mengetahui isi di dalam kotak
ini. Dia menatapku.
“Saya tak nak hadiah ini saja” Aqel tidak berselindung.
Aku garu-garu kepala. Orang beri hadiah terima sahajalah.
“Dalam kotak tu saya letak kunci treler” sindirku. Geram.
“Saya nak awak
masak untuk saya” arah Aqel membuat permintaan. Masak untuk Aqel? Mudah sahaja.
“Okey...” Laju aku memberi kesanggupan. Kerja mudah.
“Sekarang sudah pukul 8.00 malam. Saya ingat awak dah
makan di rumah mak tadi. Tak sempat nak masak macam-macam. Lagipun bahan mentah
nak dimasak dah habis. Beri saya masa 30 minit. Tepat pukul 8.30 nanti kita
makan sama-sama” janjiku lalu bergerak ke pintu. Tidak mahu berlengah lagi.
Pandangan Aqel menyoroti langkah gadis itu ke pintu. Kemudian mengalih
pandangan ke arah kotak kecil putih bereben merah di depannya.
“Kunci treler...” Aqel berbicara sendiri. Dia tersenyum.
Lantas dicapai kotak itu. Ikatan reben merah dileraikan. Penutup kotak itu
diangkat. Tangannya mengeluarkan isi kotak. Aqel tersenyum menatap patung
perempuan berkaki spring itu. Ditekan berulangkali kerana suka melihat senyuman
dan kenyitan mata gadis bergaun merah itu.
“Comel...persis orang yang menghadiahkannya...” puji Aqel
suka. Berulang-ulangkali gadis bergaun merah itu mengenyitkan mata ke arahnya.
~Saya harap
senyuman dan kenyitan mata gadis ini akan menghilangkan rasa marah awak~ Aqel tersenyum. Hadiah ini telah memujuk hatinya.
“Masa untuk makan” ajakku sambil berdiri di depan pintu.
Aqel tersentak. Cepat dia menyembunyikan patung dan kad itu di belakangnya.
Aqel bangkit dari sofa lalu melangkah ke pintu.
“Awak dah tengok hadiah tu?” tanyaku mahu mendengar komen
Aqel. Aqel menggeleng.
“Belum ada masa lagi” ujarnya. Aku mencebik. Dia langsung
tidak teruja hendak melihat hadiah yang kubeli. Tiada perasaan langsung. Aqel
mengiringi langkahku ke dapur.
“Perlu banyak masa ke nak tengok hadiah tu”
Terkumat-kamit mulutku berbicara sendiri. Tidak puas hati mendengar alasan
Aqel.
“Apa?” Aku tersentak. Laju aku geleng kepala dan
tersengih menatap Aqel. Harap-harap Aqel tidak mendengar rungutanku itu. Kami
melangkah ke ruang makan.
“Ta-da...” Aku mempersembahkan hidangan istimewa malam
ini kepada Aqel. Aqel memandang makanan yang terhidang di atas meja. Sudah
sedia menerima komen pedas Aqel.
“Silakan duduk...” pelawaku mempersilakan Aqel duduk
menghadap hidangan malam. Aqel memandangku.
“Malam ini tema masakan saya...telur oh telur. Ada telur
dadar cili padi, telur rebus kasih-sayang, sup telur jernih suci murni dan
telur masak merah berani” ujarku tersengih menatap Aqel. Aqel memandangku
dengan pandangan kosong. Tiada komen.
“Nasi...” pintanya. Laju aku menyenduk nasi ke dalam
pinggan. Masa untuk menikmati hidangan malam yang sungguh istimewa. Kuletakkan
nasi di depen Aqel. Aku tersenyum sendiri. Lapan biji telur aku gunakan untuk
empat jenis masakan malam ini. Aqel menikmati hidangan malam ini dengan
berselera tanpa sebarang komen. Mungkin juga tahap kelaparan yang memuncak
menyebabkan dia tidak sempat berfikir. Melihat pinggan Aqel sudah kosong cepat
aku menuangkan air untuknya. Dia sudah habis makan. Aku tersentak tatkala Aqel
menyuakan pinggan kosong itu ke arahku.
“Tambah nasi sedikit” arahnya. Tidak menduga Aqel akan
makan banyak malam ini.
“Berselera awak makan ye...” ujarku seakan tidak percaya
menu telur ini akan memikat selera Aqel. Aqel mengangguk.
“Saya paling suka makan telur rebus kasih sayang ini”
ujar Aqel.
“Ceh...!” Aku tergelak sendiri. Aqel sedang menyindirku.
“Awakpun patut selalu makan telur rebus kasih sayang ini
agar orang dalam rumah ini sentiasa berkasih sayang” ujar Aqel lalu bangkit
dari kerusi.
“Huh...”Aku terkebil-kebil menatap Aqel.
“Terima kasih atas hidangan istimewa awak ye...” Aqel
membasuh tangan ke singki. Kemudian meninggalkan aku sendirian di dapur ini.
“Ada masa nanti awak bukalah hadiah tu” arahku sedikit
melaung. Tidak sabar hendak melihat reaksi Aqel.
“Saya suka hadiah awak...” sahut Aqel berbicara sendiri.
Usai mencuci pinggan dan mengemas dapur, aku ke ruang
tamu melabuhkan duduk di situ. Aqel leka menonton dokumentari sejarah yang
mengisahkan tentang pemerintahan Hilter di Jerman. Dua tiga kali aku menguap.
Sudah sampai masa hendak tidur. Bekerja di bawah penyeliaan Bella dan Datin
Sofea menyebabkan berganda tenaga yang perlu dikerah.
“Saya nak tidur sekarang” jelasku sambil menutup mulut.
Menguap lagi. Aku mengatur langkah sambil menggerakkan tangan membuat senaman
ringan. Lenguh seluruh badan.
“Sampai bila awak mampu bertahan hidup macam tu” rungut
Aqel sambil memerhatikan langkah gadis itu. Aqel melepaskan keluhan.
Masuk ke bilik, aku terus melempar tubuh ke atas tilam.
“Oh..., selesanya dapat berbaring begini” ujarku sambil
memejamkan mata. Mataku buka. Aku mengangkat kepalaku. Meninjau-ninjau hadiah
yang kuberi kepada Aqel tadi. Tiada di atas meja itu lagi. Mungkin kotak itu
sudah Aqel simpan. Aku kembali memejamkan mata. Mahu tidur sekarang. Kedengaran
bunyi daun pintu ditolak. Tahu Aqel yang masuk ke bilik ini. Tiba-tiba tubuhku
di atas tilam ini melambung. Aku membuka mata. Tersentak melihat Aqel sudah
berbaring di sebelahku.
“Lepas makan telur rebus kasih sayang tadi teringin pula
nak tidur di sebelah awak malam ni” tutur Aqel tersengih mengecilkan matanya.
Besar anak mataku menatap Aqel. Laju juga tanganku mencapai selimut lantas
membungkus tubuhku.
“Awak tak boleh melepasi sempadan ini” ujarku memberi
peringatan sambil meletakkan bantal peluk sebagai tembok pemisah. Aqel hanya
tersenyum. Aku memaling tubuh lalu menghadap dinding. Tidak mahu bertentang
muka dengan Aqel. Hilang rasa mengantukku tatkala berbaring berdekatan dengan
Aqel tika ini. Wangian dunhill memenuhi rongga hidungku.
“Nak tidur pun awak pakai wangi-wangi”
rungutku.
“Bau wangi-wangian elok dan boleh hasilkan hormon kasih
sayang suami isteri” balas Aqel buat aku ternganga.
“Geez...” Aku mengetap bibir menahan perasaan geram.
Kuambil bantal lantas menutup kepalaku. Cuba berlagak tidak kisah Aqel
berbaring di sebelahku.
“Sejuklah... Nak kongsi selimut dengan awak” Tangan Aqel
sudah menarik selimut yang membungkus tubuhku. Aku memegang kuat-kuat selimut
ini. Sama sekali tidak akan berkongsi selimut dengn Aqel.
“Awak ambillah selimut awak sendiri” arahku.
“Awak tak basuh selimut tu lagi. Bau busuk” Aqel memberi
alasan. Aku dan Aqel saling tarik-menarik selimut ini. Aku cuba mempertahankan
selimut ini daripada jatuh ke tangan Aqel. Maka berlakulah pertarungan tenaga
yang lebih serius. Sudah sampai aksi silat. Kutolak tubuh Aqel. Aqel guna
teknik bertahan. Dia memaku tubuhnya di atas tilam. Aku mengumpul tenagaku.
Terpandang jari-jemari putih Aqel yang menggenggam kuat selimut ini. Mungkin
ini sahaja cara hendak buat Aqel mengalah. Aku menundukkan kepala lalu
mendekatkan gigiku pada jemari Aqel.
“Aduuuhhh...!” Aqel menjerit sekuat hati. Serentak itu
bahagian selimut yang berada dalam genggaman tangan terlepas. Aku tersenyum
puas dengan nafas yang tercungap-cungap. Letih selepas beradu tenaga dengan
Aqel.
“Awak gigit jari saya...” marah Aqel sambil meniup-niup
jari telunjuk. Nampak merah dan kesan gigitan.
“Awak tak boleh buli saya sesuka hati” Aku memberi peringatan. Aqel
menjeling tajam. Bingkas dia bangun dari katil lalu melangkah ke pintu. Tatkala
tubuh Aqel melepasi pintu, aku terus menerpa ke arah pintu lalu menekan tembol
pintu. Aqel menolak-nolak daun pintu yang sudah berkunci.
“Flora... buka pintu ni!” arah Aqel marah. Aku menulikan
telinga.
“Cepat buka...!” Aqel mengulangi arahannya. Aku tersenyum
sendiri. Puas hati yang berganda kerana berjaya membalas dendam.
“Minta maaf...Encik Aqel. Malam ini terpaksalah awak
tidur di ruang tamu” laungku memaklumkan kepada Aqel bahawa pintu ini tidak
akan dibuka. Keputusan muktamad.
“Flora...” Aqel mendengus. Pasti wajahnya merah padam
menahan marah sekarang.
“Satu perkara lagi... Sumpah selepas ini takkan ada telur
rebus kasih sayang lagi” tegasku memberi peringatan. Telur rebus kasih sayang
ini yang menyebabkan Aqel bertingkahlaku pelik.
“Apa?” Aku terus merebahkan tubuh di atas katil. Selesa
dan aman damai. Tiada Aqel yang menggangguku. Boleh tidur lena sampai ke pagi
esok.
Aqel melangkah longlai menuruni anak tangga dengan muka
masam dan menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia terus merebahkan tubuh di
atas sofa. Malam ini terpaksalah dia tidur di situ. Aqel mengusap-usap jari
telunjuknya yang lebam. Terasa perit. Kesan gigi tajam gadis itu tertinggal di
situ.
“Sumpah selepas ini takkan ada telur rebus kasih sayang
lagi” suara gadis itu bermain di halwa pendengarannya. Aqel tersenyum sendiri.
Aqel membuka mata dan menggeliat. Hairan melihat selimut
yang menutupi tubuhnya. Patutlah tiba-tiba rasa dingin itu berkurangan. Dia
menguap beberapa kali. Rasa malas hendak bangun. Belum cukup tidur kerana
semalam sukar hendak melelapkan mata di tempat tidur baru itu. Dia tidak pernah
tidur di ruang tamu. Matanya menjeling ke arah jam. Laju dia bangun lalu
terkocoh-kocoh melangkah ke bilik air mengambil wuduk. Risau terlepas waktu
subuh. Usai solat subuh, Aqel melangkah ke dapur. Dipandang makanan yang
terhidang di atas meja.
“Awal dia bangun siapkan sarapan” Aqel berbicara sendiri.
Masih awal hendak bersarapan. Segelas air kosong diteguk. Kemudian mendaki anak
tangga ke tingkat atas. Pintu bilik sedikit terkuak. Lega. Sekarang dia boleh masuk
ke bilik itu. Berdiri di depan pintu pandangan Aqel liar menatap sekeliling
bilik itu. Kelibat gadis itu langsung tidak kelihatan. Dipandang katil yang
sudah diatur kemas. Yakin gadis itu sudah tidak berada di bilik itu lagi. Aqel
melontar tubuh ke sofa panjang itu. Mahu berbaring seketika. Ada sesuatu yang
keras mengena kepalanya. Kepala diangkat lalu tangannya mencapai benda keras
itu. Aqel tersenyum tatkala menatap gadis bergaun merah itu. Laju sahaja
tangannya menekan membuatkan gadis kecil ini tersenyum dan mengenyitkan mata
berulangkali. Aqel tersenyum panjang.
*************************************
“Bagaimana kerja dengan Cik Bella dan Datin Sofea?” tanya
Marnie dengan wajah yang serius. Cuba membayangkan kesukaran yang kulalui.
“Okey...” sahutku pendek. Tidak perlu bercerita panjang
berjela dan terperinci tentang perkara ini. Pasti Marnie sudah dapat
menjangkakan situasi tersebut.
“Sabar sajalah, Lia. Kalau dah tahan dengan perangai
mereka, awak letak jawatan je” saran Marnie bersimpati. Aku tersenyum tawar.
“Ya...memang menuntut kesabaran” sahutku. Bersabar demi
Idlan dan arwah Kak Harianie. Aku meneguk air kopi panas dengan berhati-hati.
Laju tanganku menutup mulut. Masih menguap beberapa kali. Harap-harap sedikit
masa lagi air kopi ini akan melenyapkan mengantuk.
“Lewat tidur semalam?” tanya Marnie menyedari aku banyak
kali menguap.
“Tidur lewat dan bangun awal” jelasku. Aqel mengganggu
tidurku. Awal pagi aku menyediakan sarapan untuk Aqel. Simpati melihat Aqel
memeluk tubuh menahan kedinginan subuh tanpa selimut. Rasanya dia tidak dapat
tidur lena malam tadi.
“Awal awak menghilangkan diri” Aku dan Marnie serentak
berpaling. Aqel baru sahaja hendak melabuhkan duduk di kerusi di sebelahku.
Marnie terus sahaja mengukir senyuman. Aku pula tercengang-cengang menatap
Aqel. Apa mimpinya malam tadi tiba-tiba muncul di sini. Tidak diundang, tidak
dijemput terus duduk semeja dengan kami.
“Boleh saya duduk di sini?” Aqel mengaju pertanyaan
kepada Marnie.
“Oh...,boleh...boleh..! Silakan...” ujar Marnie teruja.
Aku mencebik. Tidak pula pertanyaan itu diajukan kepadaku. Pasti aku tidak akan
membenarkan Aqel duduk semeja bersama kami. Aqel berpaling ke arahku. Dia
tersenyum.
“Boleh tidur lena semalam?” tanyanya tersengih.
“Mestilah...” balasku serius. Marnie tersenyum-senyum.
“Tipu dia Encik
Aqel. Lia masih mengantuklah” Marnie mencelah. Besar anak mataku menatap
Marnie. Aqel tersenyum. Terbongkar pembohonganku. Marnie tersengih dan melirik
nakal ke arahku. Makanan yang dipesan oleh Aqel sampai. Nasi putih dan kerang
bakar. Dilengkapi dengan sup cendawan. Ringkas sahaja menu hidangan tengah hari
Aqel. Sudahlah malam tadi makan telur pelbagai rasa sahaja. Aku tersenyum
sendiri.
“Kenapa dengan jari telunjuk Encik Aqel tu? Luka?” suara
Marnie bertanya mengejutkan aku. Aku menatap Aqel yang sedang menanggalkan
kulit kerang itu. Jelas kelihatan jari telunjuknya lebam. Aqel melirik ke
arahku dan tersenyum.
“Sepit ketam” Laju aku menjawab bagi pihak Aqel.
Sensitif.
“Huh...” Terlopong Marnie mendengar jawapanku.
“Bukanlah. Dia yang gigit semalam” ujar Aqel membetulkan
jawapanku.
“Apa?” Ternganga Marnie mendengar jawapan Aqel. Kemudian
tersenyum nakal menatapku.
“Ganasnya awak, Lia” Marnie tersipu-sipu. Besar gelak Aqel. Mukaku panas membahang. Rasa
terbakar diri ini.
“Jangan fikir yang bukan-bukanlah...” rungutku. Tajam
pandanganku menatap Marnie yang tersengih-sengih. Aqel tersenyum. Tiada nampak
dia hendak membuat sebarang penjelasan tentang perkara semalam bagi mensirnakan
salah faham Marnie.
“Mar...saya tak nak awak salah faham...” ujarku serius.
Marnie senyum.
“Saya gigit ...”
“Ssshhhh...” Aqel sudah meletakkan telunjuk di bibir
memotong bicaraku. Isyarat meminta aku diam. Jari telunjuk Aqel lebam. Gigitan
yang kuat yang menyebabkan Aqel melaung kesakitan sekali gus menyerah kalah
dalam perebutan selimut malam tadi.
“Rahsia suami isteri tak boleh cakap pada orang lain”
tegur Aqel menghalang aku menghabiskan kata-kata. Marnie tergelak. Aku mengetap
bibir menahan geram. Kata-kata Aqel menambah salah faham Marnie.
“Jangan risau, Lia. Saya faham” sahut Marnie tersenyum
mengusikku. Aku menarik muka masam. Aqel telah mengenakan aku. Sengaja dia mahu
membuatkan Marnie salah faham.
“Encik Aqel nak berapa orang anak?” tanya Marnie
mengesahkan andaianku. Memang Marnie mempunyai tafsiran yang lain. Semakin
panas mukaku mendengar pertanyaan yang Marnie ajukan kepada Aqel. Aqel
tersenyum.
“Saya nak sepasang cahayamata” balas Aqel persis telah
membuat perancangan keluarga.
“Rugi beranak sedikit Encik Aqel. Encik Aqelkan bijak, handsome dan Lia pun cantik. Beranaklah
banyak-banyak” saran Marnie tanpa segan-silu.
“Awak ingat saya ni kilang nak keluarkan anak
berdozen-dozen...” rungutku. Aqel dan Marnie tergelak. Suka hati menyakatku.
Bertambah masam mukaku. Pasti merah merona juga saat ini. Aku memandang jari
telunjuk Aqel yang lebam itu. Simpati dan rasa bersalah. Laju aku mencapai beg
galas lalu mengeluarkan sesuatu dari poket kecil ini.
“Tengok telunjuk awak tu” arahku. Aqel dan Marnie
menatapku.
“Cepat...” perintahku lebih tegas. Terkebil-kebil Aqel
menghulurkan jari telunjuk itu kepadaku sambil diperhatikan oleh Marnie.
Kutanggalkan plaster ini dari gam lalu membalut jari telunjuk Aqel kemas-kemas
dan berhati-hati.
“Oh..., so sweet...”
Marnie penuh perasaan memerhatikan kami. Aqel tersenyum lebar. Suka. Seronok
tatkala dirinya diberi perhatian.
“Jangan senyum lebih-lebih” tegurku. Semakin lebar pula
senyuman Aqel. Matanya turut mengecil. Aduh..., sungguh mengoda!
“Perasaan awak bergelora tengok saya senyum” balas Aqel
menyakat. Marnie ketawa. Laju jariku memicit telunjuk Aqel.
“Aduh...!” Dahi Aqel berkerut menahan sakit.
“Kejamnya awak, Lia” rungut Marnie. Aku tersenyum. Puas
hati dapat membalas dendam. Banyak kali Aqel mengenakan aku di depan Marnie.
“Haqem...!” tiba-tiba Aqel melaung nama itu sambil
melambai tangan. Aku dan Marnie berpaling. Haqem sedang mengorak langkah
mendekati kami bersama segelas jus oren di tangan. Sempat Marnie memandangku.
Aku senyum. Faham dengan pandangan mata Marnie.
“Duduklah kat sini...” ajak Aqel.
“Boleh ke duduk sini?” tanya Haqem memandangku dan Marnie
silih bergannti.
“Boleh...” serentak aku dan Marnie memberi keizinan. Haqem
senyum lantas melabuhkan duduk di sebelah Marnie bertentangan dengan Aqel. Dari
berdua sekarang sudah berempat. Mungkin sekejap lagi berenam. Rania dan Bella
boleh menyertai kami. Aku tersenyum sendiri. Gara-gara Aqel dan Haqem kedua-dua
gadis itu tidak menyukaiku. Malang sungguh nasibku. Aku mengeluh kecil.
“Kenapa dengan jari awak tu?” Haqem melontar pertanyaan
sambil menatap telunjuk Aqel. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Aqel tersenyum.
Marnie juga senyum. Bahaya.
“Lia yang gigit...” Marnie bersuara menjawab pertanyaan
Haqem.
“Mar...” tegurku. Marnie sudah tergelak. Aqel senyum.
Haqem terdiam. Ikutkan hati mahu sahaja aku menceritakan kejadian semalam agar
tiada yang salah faham. Namun segan juga pergaduhanku dengan Aqel yang hanya
berpunca daripada selimut diketahui. Nampak pula keanak-anakan nanti. Setelah
berfikir dan membuat pertimbangan, aku ambil pendekatan untuk berdiam diri.
Biarlah cerita ini terhenti di situ sahaja.
“Awak suka hadiah yang Lia beri?” tanya Haqem
menyentakkanku. Aqel juga nampak tersentak dan menatapku. Aku tersengih.
“Jangan lupa janji awak nak beli hadiah untuk saya” Haqem
mengungkit janjiku. Aku terkedu. Namun cepat sahaja aku mengangguk dan senyum.
“Semalam terserempak dengan Haqem di kedai hadiah. Sebab
dia kawan baik awak, maka saya minta pertolongan dia nak pilih hadiah untuk
awak. Banyak perkara yang saya tak tahu tentang awak” ujarku memberi penjelasan.
Senyap. Masing-masing berdiam diri. Situasi ceria dengan gelak tawa Marnie dan
Aqel sebentar tadi bertukar serius. Terasa tegang. Marnie menatapku lalu
memberi isyarat. Tidak tahu hasrat hati Marnie.
“Kami dah nak masuk kerja semula ni. Dah lama di sini”
tiba-tiba sahaja Marnie bangkit lalu menarik tanganku mengajak pergi.
Terkebil-kebil aku bangun.
“Kami pergi dulu...” ujarku meminta diri. Marnie terus
menarik tanganku mahu segera beredar dari situ. Mahu cepat meninggalkan Aqel
dan Haqem.
“Kenapa ni?” Hairan melihat Marnie cemas.
“Awak patut ajak saya semalam pergi beli hadiah itu.
Bukannya pergi dengan Haqem” Marnie mengetap bibir. Geram.
“Saya pergi seoranglah. Tak pernahpun ajak Haqem. Saya
terserempak dia di sana” jelasku panjang lebar. Marnie melepaskan keluhan.
“Kenapa? Serius ke perkara ni?” tanyaku bingung.
“Apa yang tak seriusnya. Dua orang pemuda kacak itu ada
hati pada awak. Encik Haqem bekas kekasih awak masih menyimpan perasaan pada
awak, Encik Aqel pula ialah suami awak yang juga ada hati pada awak. Awak tak
rasa tindakan awak telah menyebabkan kedua-duanya kurang senang” berjela Marnie
memberi penjelasan. Bingung. Aqel dan Haqem bersahabat baik. Namun sering kali
kedua-dua tersinggung kerana aku. Aku melepaskan keluhan. Susah hendak
memuaskan hati setiap orang.
“Sekarang apa yang patut saya buat?” tanyaku kematian
akal. Sudah tidak mampu berfikir. Marnie mengeluh lagi. Perkara ini sangat
serius. Namun kuketahui Marnie akan sentiasa berpihak kepada Aqel.
“Awak fikirlah sendiri. Apapun awak harus jaga perasaan
Aqel kerana dia suami awak. Awak buatlah pilihan” nasihat Marnie menyerahkan
aku membuat keputusan dan bertindak. Aku mula berfikir.
“Apa yang berlaku malam tadi? Tak sangka awak ni gelojoh
juga ye” Marnie tersengih.
“Mar...!” Aku menjerit lalu menampar-nampar lengan
Marnie. Marnie tergelak panjang. Terasa terbakar seluruh tubuhku menahan malu.
Panas membahang.
“Nampaknya tak lama lagi bolehlah saya tengok Aqel Junior. Tak sabar rasanya” Marnie terus
mengusikku. Sakit telingaku.
“Apa yang awak fikirkan tak pernah berlaku” tegasku
marah. Lantas mengatur langkah laju meninggalkan Marnie yang sedang ketawa
berpanjangan. Tidak tahan mendengar usikan Marnie.
“Lia..., tunggu saya!” laung Marnie sambil berlari
mengejar langkahku. Kutulikan telinga.
****************************
Aku memandang kerusi kosong di sudut itu. Lega. Lebih
tenang Bella tidak ada di sini. Tidak kuketahui ke mana dia pergi. Dia tidak
pernah memaklumkan perkara itu kepadaku. Tiada keperluan. Tidak kisah. Paling
penting aku melaksanakan tugasku dengan sempurna. iPhone berbunyi. Nama Haqem terpamer di dada skrin.
“Assalamualaikum...” suara Haqem memberi salam. Aku
menjawab salam itu.
“Ye... Haqem, apa hal?” tanyaku. Ada perkara penting
sahaja yang akan membuatkan menghubungi aku.
“Saya nak minta tolong. Bolehkah?” tanya Haqem.
“Boleh. Apa yang boleh saya tolong?” tanyaku.
“Tolong jaga Idlan kejap. Saya perlu jumpa klien hari ni
tak sempat nak hantar dia balik ke rumah” jelas Haqem serba salah.
“Oh..., Idlan. Hantarlah dia ke sini” Teruja mendengar
Idlan akan datang.
“Kejap lagi saya hantar Idlan pergi sana.
Assalamualaikum...” Sekali lagi salam Haqem kujawab. Aku melangkah ke pintu
mahu menyambut kedatangan Idlan. Tidak sabar hendak bertemu dengan Idlan. Sudah
lama tidak bersua muka.
“Mama...!” Idlan berlari menerpa ke arahku sebaik sahaja
melihat aku di ambang pintu.
“Hati-hati...!” laung Haqem memberi peringatan. Aku dan
Idlan berpelukan seketika. Haqem tersenyum memerhatikan. Cukup senang menatap
kemesraan itu.
“Rindu kamu...dah lama tak jumpa” ujarku sambil
mengusap-usap rambut Idlan. Idlan tersenyum ceria. Semakin comel budak ini.
Dewasa nanti bakal menjadi pemuda yang kacak dan mampu menyaingi ketampanan
Haqem.
“Saya pun rindu mama...” ujar Idlan
“Sorry... saya
tinggalkan Idlan sekejap di sini. Nanti saya datang sini ambil dia” jelas
Haqem. Rasa telah membebankan gadis ini.
“It’s okey...”
Aku tersenyum. Langsung tidak terbeban hendak menjaga Idlan. Budak ini pandai
berdikari. Pandai jaga diri. Tidak pernah menyusahkan.
“Idlan duduk sana” arahku sambil menunding jari ke arah
sofa. Idlan mengangguk lalu bergerak ke situ. Mudah sahaja hendak menjaganya.
“Idlan dah makan?” Haqem menggeleng.
“Dia tak nak makan tadi. Masih kenyang” jelas Haqem.
“Takpe...nanti saya ajak dia makan” janjiku. Haqem
tersenyum.
“Terima kasih, Lia” Haqem senyum lagi. Aku mengangguk.
Dipandang tempat duduk Bella.
“Bella mana?” tanyanya. Aku menjungkit bahu. Tidak tahu
ke mana gadis itu menghilangkan diri. Mungkin juga ada pertemuan dengan Datin
Sofea.
“Mesti awak tertekan bekerja dengan mama dan Bella. Sorry” Haqem menyalahkan diri.
“Semua berjalan
lancar. Tak payah risau” Cuba menghilangkan rasa bersalah Haqem.
“Okeylah... saya pergi dulu. Idlan... jangan nakal-nakal
tau. Dengar cakap mama” pesan Haqem kepada Idlan. Idlan mengangguk.
“Okey... papa” sahut Idlan berjanji.
“Saya pergi dulu. Terima kasih” Aku mengangguk.
“Hati-hati” pesanku. Haqem tersenyum lantas menutup daun
pintu. Aku melangkah ke arah Idlan. Idlan sedang menulis.
“Banyak kerja rumah yang cikgu beri?” tanyaku. Idlan
mengangguk.
“Kalau Idlan letih dan nak tidur, baring atas sofa
panjang ni nanti. Kalau rasa lapar nanti cakap juga ye” pesanku. Idlan
mengangguk-angguk faham.
“Auntie nak
sambung buat kerja sekarang” Idlan mengangguk lagi. Kuusap-usap kepalanya. Idlan
anak yang baik. Setiap kali menatapnya simpatiku kian menebal. Kutinggal Idlan
yang sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah. Kupandang ke pintu. Kalau Aqel
muncul saat ini pasti dia boleh menemani dan melayan Idlan. Tidaklah budak itu
bersendirian di situ.
“Aqel...datanglah sini! Aqel...datanglah di sini!” suara
hatiku menyeru kemunculan Aqel. Aku sungguh mengharapkan Aqel akan datang
sedetik lagi. Aku melepaskan keluhan kecil. Tidak mungkin Aqel akan muncul. Dia
perlu menyelesaikan banyak perkara. Kualih pandangan menjauhi pintu. Aku
menyambung kerja yang perlu diselesaikan.
Daun pintu ditolak. Allah memperkenankan hajat hatiku. Aqel
muncul? Mungkin Aqel mendengar panggilanku. Laju aku mendongak lalu memandang
ke pintu.
“Awak dah buat kerja yang saya suruh semalam?” suara
garang Bella memecah kesepian. Idlan tersentak lalu memandang ke pintu. Baru
sahaja melangkah ke pintu dia sudah membawa angin tidak elok. Harap-harap Bella
tidak akan mengamuk di depan Idlan.
“Oh..., Idlan ada di sini” Dia baru tersedar aku tidak
bersendirian di sini. Terkocoh-kocoh Bella mendekati Idlan dengan senyuman
mekar menguntum. Sekejap sahaja moodnya berubah. Terpinga-pinga Idlan menatap
Bella. Dia belum mengenali gadis ini. Sekejap tadi garang seperti singa
sekarang sungguh mesra pula.
“Hai, saya Bella. Boleh panggil Auntie Bella. Oh...boleh juga panggil saya mama” ujar Bella
memperkenalkan diri. Aku tersenyum sendiri. Bella sudah memeningkan kepala
Idlan. Tanpa diarah Idlan bangkit dari duduknya lalu bersalam dengan Bella.
“Nama saya Idlan Raid. Boleh panggil Idlan je” ujar Idlan
memperkenalkan diri.
“Oh..., so sweet”
Bella tersenyum ceria. Hatinya terpaut kepada kesopanan Idlan.
“Handsome boy...”
Bella mengusap-usap rambut Idlan lagi. Matanya bercahaya menatap Idlan. Jelas
ketelusan Bella. Pasti dia bersimpati dengan perjalanan hidup Idlan yang penuh
dugaan. Yakin dan percaya Bella tidak berlakon di depanku. Dia ikhlas melayan
Idlan dengan baik. Lega. Kubiarkan Bella bersama Idlan. Bella bijak
berinteraksi dengan Idlan. Kemesraan cepat terjalin antara mereka.
“Dulu auntie
belajar di luar negara. Banyak tempat auntie telah pergi di USA” Bella
bercerita memberi reaksi tatkala Idlan mula bercakap tentang kehidupan di luar
negara. Idlan tersenyum teruja. Mereka berkongsi cerita dan pengalaman hidup di
Amerika Syarikat. Kemudian sama-sama ketawa tatkala ada peristiwa yang mencuit
hati. Aku tersenyum sendiri. Masih ada kemurniaan dalam hati Bella.
“Sekejap ye...” Perbualan mereka terhenti. Tangan Bella
mencapai iPhone. Bella menatap skrin
dan kemudian mengalih pandangan kepada Idlan. Dia tersenyum kepada Idlan.
Diusap rambut budak ini lagi.
“Ya...mama, saya di pejabat sekarang” Aku memandang
Bella. Cara dia bercakap aku yakin dia sedang berbual dengan Datin Sofea di
talian. Aku berharap Bella tidak akan memberitahu Datin Sofea bahawa Idlan ada
di sini.
“Balik kerja nanti saya singgah rumah mama. Sekarang saya
busy...banyak kerja nak settle” ujar Bella memberi alasan. Aku
menarik nafas lega. Mujur Bella tidak menyebut tentang Idlan. Datin Sofea tidak
suka Idlan berada di sini.
“Okey... jumpa nanti. Assalamualaikum” Bella menyimpan iPhone di dalam beg tangan. Dia
tersenyum menatap Idlan.
“Nenek yang call?”
Idlan bertanya. Bella mengangguk.
“Kamu nak jumpa nenek?” tanya Bella dengan pandangan
simpati.
“Nak...nak...” sahut Idlan teruja. Kasihan Idlan.
“Ada masa yang sesuai nanti auntie akan bawa kamu jumpa nenek. Auntie janji” ujar Bella sambil menepuk-nepuk lembut tubuh Idlan.
“Janji?” Idlan memohon kepastian. Bella mengangguk. Aku
memerhatikan mereka. Lapang dada. Janji Bella lebih kuyakini. Aku percaya Bella
mampu melakukannya.
“Betul ke auntie
banyak kerja sekarang?” tanya Idlan mengulas perbualan Bella dengan Datin Sofea
sebentar tadi. Bella tergelak. Aku turut tersenyum. Pembohongan Bella dapat
dikesan.
“Mestilah... sebab auntie
nak habiskan masa dengan Idlan” ujar Bella buat Idlan tersenyum suka. Senang
hatiku mendengar pengakuan Bella sedemikian.
“Dah siap kerja sekolah? Lapar tak?” tanya Bella. Idlan
mengangguk.
“Kalau macam tu kita keluar makan” ajak Bella. Idlan
terus berpaling ke arahku.
“Mama...boleh saya makan dengan auntie Bella?” tanya Idlan meminta keizinan.
“Mama...” Bella menjeling tajam ke arahku.Tidak suka cara
Idlan memanggilku. Kupandang Bella. Dia mampu menjaga Idlan dengan baik. Bella
juga mampu menyatukan Idlan dengan Datin Sofea. Aku perlukan gadis ini untuk
menunaikan hajat hati arwah Kak Harianie dan impian Idlan. Idlan dahagakan
kasih sayang Datin Sofea.
“Awak jangan
risau, saya akan jaga Idlan dengan baik” janji Bella memberi jaminan tatkala
melihat aku masih diam. Bella dan Idlan menatapku.
“Saya percaya awak boleh jaga Idlan dengan baik” ujarku
tanda keizinan diberi. Idlan tersenyum. Tidak perlu bimbang kerana Idlan
gembira bersama Bella. Cara ini juga akan membuatkan Idlan dan Bella saling
mengenali dan mereka juga akan lebih akrab. Keakraban yang terjalin akan mewujudkan
kasih sayang antara mereka. Kasih sayang inilah yang akan membuatkan Bella
tidak tega menyakiti perasaan Idlan. Kegembiraan Idlan juga merupakan
kebahagiaan Haqem. Jikalau Bella boleh menggembirakan dan membahagiakan Idlan,
pasti perspektif Haqem terhadap gadis itu juga akan berubah. Haqem bukanlah
manusia kejam yang sentiasa mahu menghakimi
dan menghukum seseorang itu kerana sikap lalu. Aku kenal Haqem.
“Tapi jangan pergi lama sangat. Nanti Haqem datang nak
ambil Idlan” pesanku mengingatkan Bella. Tajam sahaja pandangan Bella tatkala
aku menyebut nama Haqem. Cemburu. Idlan mengangguk.
“Terima kasih, mama” Aku mengangguk. Idlan gembira hendak
keluar dengan Bella.
“Kita pergi sekarang” Bella mencapai tangan Idlan lalu
memimpinnya melangkah ke pintu. Sempat Idlan berpaling sambil melambaikan
tangan ke arahku. Aku menarik nafas lega.
“Terima kasih Bella” ujarku berbicara sendiri. Sungguh
berpuas hati dengan layanan baik yang diterima Idlan. Mudah-mudahan Datin Sofea
juga mampu melakukan perkara yang sama.
Idlan dan Bella muncul di muka pintu setelah menghilang
hampir sejam. Liar pandangan kedua-dua menjelajah bilik ini. Cemas. Cuba
mencari kelibat Haqem. Bimbang Haqem telah lama menunggu. Banyak juga barang
Bella beli untuk Idlan.
“Haqem belum sampai lagi” jelasku. Bella menarik nafas
lega.
“Auntie nak
pergi kejap lagi. Esok-esok datang sini lagi ye. Kita boleh pergi beli buku
cerita nanti. Hari ni tak sempat” ujar Bella merancang aktiviti akan datang.
Idlan mengangguk setuju.
“Terima kasih, Auntie
Bella” Idlan memeluk tubuh Bella. Bella tergamam. Dibalas pelukan itu dengan
erat. Kemudian diusap-usap lembut rambut Idlan. Sayu hatiku melihat.
“Ingat janji Idlan tadi” ujar Bella mengingatkan Idlan.
Idlan mengangguk. Bella dan Idlan telah menterai janji.
“Bye...” Bella
dan Idlan saling bertukar lambaian tangan. Kemudian kelibat Bella lenyap di
sebalik pintu. Dia sudah pergi. Aku mendekati Idlan lalu melabuhkan duduk di
sofa memerhatikan gelagat Idlan. Idlan tersenyum menatapku.
“Banyak barang Auntie Bella beli untuk Idlan” tegurku.
Idlan mengangguk.
“Auntie Bella
baikkan” Aku mengangguk. Tidak akan meracuni fikiran budak ini. Janji Bella
ingin menyatukan Idlan dengan Datin Sofea melapangkan dadaku. Aku memang
berharap Bella akan melakukannya dengan baik. Aku yakin dia mampu. Tambahan
pula dia memang rapat dengan Datin Sofea. Tidak mustahil dia mampu menyatukan
kasih sayang antara nenek dengan cucu yang sejak sekian lama terpisah.
“Dia sayangkan kamu” tambahku. Yakin Bella ada perasaan
sedemikian. Idlan senyum sambil mengemas barang-barang yang dibeli dengan Bella
tadi.
“Boleh tak tolong simpan mainan ini di sini?” tanya
Idlan. Berkerut dahiku menatap Idlan. Permintaan yang tidak diduga.
“Kenapa nak ditinggalkan di sini pula” tanyaku hairan.
Semua ini Bella beli untuk Idlan. Sudah menjadi haknya untuk dibawa balik
bersama.
“Saya dah janji dengan Auntie Bella takkan cakap pasal hari ni. Nanti tengok barang-barang
ini mesti papa akan tahu” jelas Idlan. Mahu pertemuaan dengan Bella
dirahsiakan. Musykil.
“Auntie Bella
kata, papa tak suka dia. Papa tak bagi Auntie
Bella dekat dengan saya” jelas Idlan menjawab kemusykilanku. Inilah janji
Idlan dengan Bella. Aku melepaskan keluhan kecil. Haqem masih sangsi pada
Bella. Tidak boleh disalahkan Haqem. Akupun pernah berperasaan sedemikian
sebelum pertemuan ini dan pandangan mataku yang membuktikan kebaikan Bella. Sedar
Haqem hanya mahu melindungi Idlan.
“Kesian Auntie
Bellakan...” keluh Idlan hampa. Wajahnya mendung. Dia tidak gembira. Tidak
patut ajar kanak-kanak tentang kebencian. Hati mereka suci murni.
“Boleh. Nanti simpan dalam loker itu. Loker itu kosong” jelasku
sambil menunding jari ke arah loker besi itu. Idlan tersenyum. Lega. Tiada
perkara yang perlu dirisaukan lagi. Aku perlu yakinkan Haqem bahawa Bella
ikhlas menyayangi Idlan
No comments:
Post a Comment