BAB 87
“Mama yang beriya-iya nak Lia keluar dari KDUT, tetapi
kenapa sekarang mama nak dia jadi pembantu Bella?” tanya Haqem curiga dan tidak
sedap hati. Dia tahu Datin Sofea dan Bella ada perancangan sendiri.
“Kamu ingat mama nak biarkan dia hidup tenang” Datin
Sofea tersenyum sinis.
“Selagi kamu tak bernikah dengan Bella, selagi itu mama
akan membuatkan gadis itu menderita. Anggaplah semua ini hukuman atas kedegilan
kamu. Kalau kamu tak nak dia menderita, cepat nikah dengan Bella” arah Datin
Sofea tanpa berselindung. Mahu Haqem patuh.
“Saya tak nak nikah dengan Bella. Saya tak cintakannya”
tingkah Haqem sudah banyak kali menyatakan perkara itu. Namun Datin Sofea tidak
pernah peduli. Kedengaran dengusan kasar Datin Sofea. Kata-kata itu menyakitkan
hati.
“Kamu masih nak tunggu gadis itu?” Terbeliak mata Datin
Sofea menatap Haqem. Hati mendidih. Pantang kehendak ditentang. Datin Sofea
mendengus geram.
“Jangan harap Aqel nak lepaskannya” lirih suara Datin
Sofea. Mereka saling berlawan pandangan. Datin Sofea berkeyakinan tinggi
tentang perkara itu. Walaupun ada kekeliruan terhadap tindakan Aqel yang
membenarkan Lia bekerja dengannya. Jangkaan pemuda itu mempercayai ketulusannya
membuat tawaran tersebut.
“Aqel dah jatuh cinta pada gadis itu. Dia takkan ceraikan
isterinya nak suruh kalian bersama. Mama juga takkan berdiam diri” tegas Datin
Sofea memberi peringatan keras. Haqem
menatap kosong wajah Datin Sofea. Kata-kata itu kerap kali didengari. Tiada
yang menghairankan. Penerimaan Datin Sofea terhadap Lia tidak pernah berubah.
“Jadi mama dan Bella kena ingat juga, Aqel takkkan
biarkan Lia disakiti sesuka hati. Mama dan Bella mesti berhati-hati dengan
setiap tindakan kalian” pesan Haqem. Datin Sofea menjeling tajam ke arah Haqem.
Peringatan yang tidak disenangi. Haqem bangkit dari sofa itu. Dipandang wajah
Datin Sofea.
“Saya nak balik sekarang. Sekejap lagi nak ambil Idlan di
sekolah. Kalau ada masa datanglah rumah jenguk Idlan. Kasihan budak tu” keluh
Haqem kecewa. Dia masih mencuba. Pasti permintaan itu akan terus keluar dari
mulutnya sehingga Datin Sofea ada kesudian hendak bertemu dengan budak lelaki
itu. Datin Sofea memandang kosong langkah Haqem ke pintu tanpa mempedulikan
kata-kata itu. Hatinya tidak terusik. Tidak sempat membayangkan wajah comel
cucu tunggalnya itu.
Sebuah kereta Honda
Jazz FMC merah, baru sahaja parkir di perkarangan banglo mewah ini. Langkah
Haqem terhenti. Dia melontar pandangan ke arah gadis yang tersenyum manis sedang
mengorak langkah mendekati.
“Hai...Haqem!” sapanya manja. Langkah berhenti tepat di
depan Haqem. Jarak yang terlalu dekat membuatkan Haqem menjarak diri setapak ke
belakang. Bella menarik muka masam. Tidak suka dengan tindakan Haqem itu.
“Kenapa nak cepat balik? Saya baru saja nak masak untuk
awak. Nanti kita boleh makan bersama-sama dengan mama” rengek Bella manja. Mahu
memikat Haqem dengan air tangannya.
“Oh..., awak mesti nak jumpa isteri Aqelkan, sahabat baik
awak!” sinis suara Bella mengutuk Haqem. Haqem menggetap bibir. Tidak puas hati
dia mendengar kata-kata itu.
“Saya nak ambil Idlan di sekolah. Jangan racuni fikiran
awak dengan prasangka buruk” tegur Haqem meningkah kata-kata Bella. Bella
tersenyum. Penafian Haqem membahagiakan.
“Really...?
Oh... baguslah” Dipandang Haqem dengan lirikan manja. Hatinya girang.
“Awak bawalah
Idlan jumpa saya. Saya nak habiskan masa sehari suntuk dengannya. Biar dia
kenal saya” ujar Bella teruja. Haqem memandang kosong wajah Bella. Kata-kata
yang baru sahaja didengar itu tidak membawa erti apa-apa.
“Saya takkan biarkan awak racuni fikiran anak kecil yang
suci seperti Idlan” tingkah Haqem tidak akan membenarkan pertemuan itu.
“Sampai hati awak cakap macam tu” Bella mempamer wajah
sedih. Dia tersinggung mendengar Haqem berkata sedemikian. Langsung tiada
kepercayaan pemuda ini terhadapnya.
“Kalau awak beri peluang, saya akan buktikan keikhlasan
saya terhadap Idlan” tegas Bella bersungguh-sungguh.
“Awak akan tengok saya layan Idlan lebih baik... tak
seperti mama awak” perlahan sahaja Bella menuturkan ayat terakhir itu. Haqem
melepaskan keluhan berat. Dia tidak mampu menilai kejujuran gadis ini. Lantas
dia menyambung langkah kembali meninggalkan Bella yang masih mengharapkan
perbualan itu berpanjangan. Tiba-tiba langkah Haqem terhenti. Haqem berpaling
ke arah Bella yang sudah tersenyum lebar. Barangkali Haqem telah berubah
fikiran. Permintaannya telah dipertimbangkan dengan baik oleh pemuda ini.
“Jangan sesekali sakiti atau layan Lia dengan buruk. Saya
takkan maafkan awak” ancam Haqem memberi peringatan keras. Kemudian
meninggalkan Bella terkebil-kebil dengan mulut yang terlopong. Dia hanya mampu
menahan gelodok emosi sambil menatap kereta Haqem meluncur laju meninggalkan
halaman banglo itu.
“Mama...betulkah Lia terima tawaran mama?” Terkedek-kedek
langkah Bella mendapatkan Datin Sofea. Datin Sofea mengangguk. Jari Bella
bermain-main di dagu. Dia berfikir
panjang. Tidak menduga tawaran itu dengan mudah akan diterima oleh gadis itu.
“Apa yang kamu fikirkan?” tanya Datin Sofea melihat Bella
berdiam diri.
“Sedang berfikir mama” sahutnya masih memikirkan motif
gadis itu menerima tawaran tersebut. Apa pula tindakan perempuan ini sekarang?
Dia melontar pandangan ke arah Datin Sofea. Belum banyak diketahui tentang
perkara yang sedang direncanakan oleh Datin Sofea. Dia sekadar membantu mempastikan
semua berjalan lancar dan hajat hati Datin Sofea tercapai.
“Apa tindakan mama sekarang? Gadis itu nampak semakin
berani. Rasanya tak mudah nak suruh dia sujud di kaki mama” luah Bella
kerisauan. Datin Sofea mendengus.
“Siapa kata kita tak boleh tewaskannya. Kita akan ajar
dia cukup-cukup. Biar dia melutut merayu-rayu minta dikasihani” sahut Datin
Sofea angkuh. Betapa dia merasakan bahawa dirinya sungguh berkuasa. Keangkuhan
kerana harta dan kuasa yang dimiliki. Bella tersenyum.
“Bagaimana Haqem dan Aqel? Mereka takkan berdiam diri” ujar
Bella memberi peringatan. Kedua-dua pemuda itu sentiasa melindungi gadis itu.
Sukar hendak mendekati Lia.
“Kita akan ajar perempuan itu perlahan-lahan, secara
halus sehingga tak disedari oleh sesiapa. Buat perkara yang dahsyat yang
terpaksa ditanggungnya. Apabila dia dah tak mampu menanggung, dia akan datang
sendiri merayu kepada kita. Saat itulah kita akan minta apa saja sehinggalah
Haqem datang sendiri melamar kamu menjadi isteri” tutur Datin Sofea sambil
membayangkan detik kejayaannya itu. Bella tersenyum.
“Perancangan yang sempurna mama. Saya tak sabar menunggu
detik itu” ujar Bella teruja. Datin Sofea tersenyum.
“Sebenarnya kamu dah tak sabar nak jadi isteri Haqem”
ujar Datin Sofea mengusik Bella. Kemudian kedua-dua tergelak. Yakin agenda
mereka akan beroleh kejayaan. Datin Sofea sudah membayangkan gadis itu sedang
menangis merayu-rayu sambil melutut di depannya. Di mata Bella pula, dia nampak
persandingannya dengan Haqem yang gilang-gemilang.
*****************************
“Cik Bella perlu semak sebelum menandatangani dokumen ini”
pesanku lantas meletakkan beberapa buah fail di atas meja. Perempuan ini
mencebik dan memandang kosong fail tersebut. Kurang berminat.
“Nak segera?” tanyanya kurang senang. Sebenarnya dia
tidak berminat hendak meneliti dokumen-dokumen yang harus ditandatangani. Aku
mengangguk. Tanpa tandatangan gadis ini kerja ini tidak akan beres. Kemudian
akan menangguhkan beberapa prosuder kerja.
“Kejap lagi awak kemas gaun-gaun dalam bilik itu. Susun
atur semula. Semak mata saya tengok. Datin pun tak suka pekerja malas” ujar
Bella memberi arahan baru. Sudah sepuluh arahan yang dikeluarkan sejak tiga jam
waktu bekerja beroperasi pada hari kedua dia menjadi bosku. Cerewet. Aku hanya
mengangguk. Lama juga aku terpacak di depan Bella menanti dia selesai membaca
dan meneliti butiran dokumen sebelum menurunkan tandatangan. Dia perlu berhati-hati.
Mesti kelihatan sempurna di depan mata Datin Sofea. Mahu membuktikan diri lebih
hebat daripada gadis di depannya ini. Iri hati terhadap Lia tidak pernah
berkurang.
“Ada kerja yang lebih seronok daripada membaca dokumen
yang memeningkan ini” keluhnya sendirian. Aku senyum. Jiwa Bella terseksa bekerja
di sini. Apatah lagi setiap detik terpaksa bertemu denganku. Pasti hati dan
matanya sakit melihatku.
“Nah...!” Bella menolak kasar fail ke penjuru meja. Mujur
sempat tanganku menghadang daripada jatuh. Kucapai fail lalu bergerak ke bilik penyimpanan
pakaian. Lebih cepat meninggalkan Bella lebih tenang hati ini. Aku memandang
gaun-gaun yang tergantung dalam almari kaca ini. Cantik tetapi seksi. Tidak
sesuai untukku.
“Pastikan awak ubah susunan atur semua gaun
ini. Selagi tak selesai jangan balik” lantang suara Bella menyentakkanku. Aku
berpaling. Bella sedang bercekak pinggang di muka pintu.
“Awak faham tak?” tanyanya kasar. Aku mengangguk.
“Awak bisu?” Bella tidak berpuasa hati dengan anggukan
kepalaku.
“Ya...saya faham” balasku mula bersuara.
“Hah..., tahupun bercakap!” bentak Bella angkuh dengan
kuasa memerintah yang dimiliki. Aku menarik nafas. Cuba bertenang dan bersabar.
Daun pintu berdentum. Gaun-gaun di sekelilingku kupandang. Kerja yang memerlukan
tenaga yang banyak. Mampukah aku hendak selesaikan kerja ini sebelum jam 5.00 petang.
Peluang yang tipis. Kucapai kunci lalu membuka pintu kaca ini. Aku terus
melakukan kerja yang telah diarahkan oleh Bella sebentar tadi.
Sukar aku hendak mengubah posisi susun atur gaun-gaun
dengan keluasan almari kaca yang terhad ini. Hanya mampu melakukan sedikit
perubahan. Kupandang gaun-gaun dalam almari kaca yang sudah kuubah susun atur
ini. Jika tidak dapat memuaskan hati Bella, bermakna terpaksa ubah lagi. Banyak
gaun yang perlu dibereskan. Tenaga berbaki setengah sahaja lagi. Aku melepaskan
helaan nafas dengan kuat. Tidak boleh cepat mengalah. Kerja ini harus
diselesaikan segera.
Aduh...! Tinggal 30 minit lagi jarum jam mencecah ke
pukul 5.00 petang. Kupandang gaun-gaun ini. Kerja yang belum selesai perlukan
lebih masa. Teringat pada Aqel, laju kucapai iPhone lantas menghantar mesej kepadanya. Aku tidak dapat balik
bersama Aqel. Seminit kemudian kedengaran bunyi mesej diterima. Cepat Aqel
menjawab.
~OK...~ Ringkas sahaja jawapan Aqel. Aku meneruskan kerja
ini. Berusaha menghabiskan cepat. Langkahku menapak di depan pintu rumah ketika
jarum jam hampir-hampir menunjuk ke arah angka pukul 10 malam. Aku menguap
beberapa kali. Langkahku longlai mendaki anak tangga ke bilik. Sunyi sepi.
Mungkin mak dan Aqel sudah tidur. Perlahan aku menolak daun pintu. Tepat. Aqel
sudah lena di atas sofa itu. Aku memicit-micit bahu dan lengan. Lenguh-lenguh.
Bekerja keras menyelesaikan kerja tadi. Kurebahkan tubuh di atas katil. Sudah
kehabisan tenaga. Kalau boleh mahu terus tidur sahaja.
Aqel berdiri di tepi katil itu sambil memandang gadis
itu. Sungguh lena. Persis anak kecil yang sedang tidur. Langsung tidak sedar
diri diperhatikan.
“Pasti semalam awak telah menghabiskan seluruh tenaga
awak” ujarnya berbicara sendiri. Aqel melepaskan keluhan kecil. Kemudian
melangkah keluar. Perlahan-lahan daun pintu bilik itu ditutup.
“Mak...! Saya dah lewat ni” Aku terkocoh-kocoh menuruni
anak tangga. Wajah menyinga Bella terbayang di mata. Pasti pagi ini akan
mendengar kata-kata yang menyakitkan hati lagi.
“Sarapan dulu Lia” tegur mak.
“Dah tak sempat ni” ujarku berlari anak ke pintu.
“Tunggu...” Mak bergegas ke arahku.
“Nah...!” Segelas jus dihulurkan kepadaku. Mak tidak mahu
aku keluar rumah dengan perut kosong. Aqel pasti sudah bersarapan dengan mak
tadi.
“Terima kasih” Sempat tersenyum kepada mak. Rakus aku
meneguk jus oren di dalam gelas. Kemudian memulangkan gelas kepada mak.
“Semua ini salah Aqel. Dia tak kejutkan Lia tadi. Sengaja
dia nak buat Lia kelam- kabut pagi ni” rungutku sempat meletari Aqel. Mudah
sahaja hendak menyalahkan Aqel. Kasihan Aqel.
“Salah kamu kerja sampai lewat malam” balas mak
menyebelahi Aqel. Aku menarik muka masam. Tidak suka mak berpihak kepada Aqel.
“Lia, pergi dulu mak...” Kusalami tangan mak. Kemudian
berpaling ke pintu.
“Kunci...” suara mak mematikan langkahku. Mak
menghulurkan kunci kereta kepadaku.
“Aqel tak suruh kamu balik lewat dengan teksi. Dia suruh
kamu bawa kereta hari ini” arah mak. Aku terus mencapai kunci kereta yang mak
hulurkan. Tidak boleh menumpang teksi kalau balik lewat. Ada-ada sahaja.
“Saya pergi dulu mak...” Aku berlari ke pintu sambil
menekan kunci kereta. Menyambar pemegang pintu kereta yang tidak berkunci.
Enjin kereta dihidupkan. Aku terus memandu kereta ini keluar dari garaj sekali
gus meninggalkan halaman rumah. Mahu segera sampai ke tempat kerja. Hari ini
terasa sungguh selesa memandu kereta Waja ini. Lembut stering persis kereta baru
pula. Aku tiba di perkarangan KDUT. Kereta Bella belum ada di laman parkir.
Lega. Laju aku keluar dari kereta. Mahu mendahului Bella sampai di pejabat.
Kutekan kunci kereta lantas bergegas mengatur langkah ke arah pintu utama KDUT.
Tiba-tiba langkahku mati. Pelik. Aku berpaling.
“Ya...Allah..., kereta siapa ni?” Terbeliak mataku
menatap kereta BMW ActiveHybrid 7 hitam
metalik di depanku. Warna serupa dengan Waja mak. Cepat kutekan kunci mahu mempastikan kereta
yang kupandu tadi. Mungkin pandangan mataku silap. Bukan aku yang memandu
kereta mewah ini tadi. Kunci pintu BMW
ActiveHybrid 7 ini terbuka dan lampu menyala sekejap. Aku terpaku menatap
kereta ini. Sah aku yang memandu kereta ini ke sini.
Kereta Honda Jazz
FMC merah dipandu laju memasuki laman parkir. Bella baru sampai. Lupakan
seketika tentang BMW ActiveHybrid 7 hitam
QMV144 ini. Laju aku meneruskan langkah ke pintu utama KDUT. Tidak mahu bertembung
dengan Bella.
“Morning Lia.
Kereta baru ye...” tegur Marnie melempar senyuman kepadaku. Berkerut dahiku
menatap Marnie sambil garu-garu kepala. Keliru.
“Why?” tanya
Marnie. Hairan.
“Saya tak tahu kereta siapa yang saya pandu tadi” jelasku
bingung.
“What...!”
Besar mata Marnie menatapku. Terkejut.
“Awak biar betul, Lia. Mana awak dapat kunci tadi?” tanya
Marnie musykil.
“Mak yang beri...” jelasku tidak sempat banyak berfikir
tentang kereta BMW ActiveHybrid 7 itu.
Marnie tergelak.
“Kereta family
kamulah tu” Marnie memberikan jawapan. Aku menggeleng.
“Bukan. Kereta mak Waja” tingkahku. Aku ingat kereta
Waja mak yang kupandu tadi.
“Kereta awak...” Marnie sekali lagi memberikan jawapan.
“Saya tak pernah beli kereta pun” ujarku. Tiada simpanan
yang mencukupi hendak beli kereta. Tambahan lagi kereta mewah sebegini. Bila
perlu boleh pinjam kereta mak. Bukan beli.
“Kereta awak. Bukan susah pun Encik Aqel nak beli sebuah
kereta untuk awak. Malah beli 10 buah kereta sekali gus pun dia mampu” ujar
Marnie tersengih menatapku.
“Aqel tak suruh kamu balik dengan teksi. Dia suruh kamu
bawa kereta hari ini” suara mak mencelah dipendengaranku. Oh..., kereta baru
Aqel! Patutlah selesa pandu tadi. Baiknya hati Aqel pinjamkan aku kereta baru
itu. Aku tersenyum sendiri.
Aku menarik nafas lega. Alhamdulillah. Hari ini boleh
balik lebih awal daripada semalam. Semua kerja sudah beres sebelum tamat waktu
bekerja. Namun gara-gara mahu menyiapkan kerja lebih awal, tidak sempat aku
hendak makan tengah hari tadi. Tidak sempat juga mencari Aqel hendak bertanya
tentang kereta BMW ActiveHybrid 7 QMV144
itu. Dia lebih tahu daripada mak.
Bella bergegas meninggalkan pejabat. Lega bersendirian di
sini. Aku juga boleh balik ke rumah tepat pada masa yang ditetapkan. Ketika
memasuki perkarangan rumah, kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 sudah berada di dalam garaj. Bermakna Aqel sudah berada
di rumah. Aku parkir di sebelah kereta Aqel. Kemudian mematikan enjin dan terus
keluar. Tidak terus melangkah masuk ke rumah. Sebaliknya aku ke belakang mahu
mempastikan sesuatu. Nombor plat kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 serupa dengan kereta BMW ActiveHybrid 7. Terbukti kereta BMW ActiveHybrid 7 yang kupandu ini milik Aqel. Kereta Waja sudah tidak ada di sini. Mesti berada di halaman
rumah mak kerana pagi tadi aku memandu kereta BMW ActiveHybrid 7 ini. Aku
bergegas masuk ke rumah. Mahu berjumpa dengan Aqel. Tatkala daun pintu bilik
terkuak, nampak Aqel baru selesai mandi dan sudah siap berpakaian. Nampak segar
dirinya. Dia memandangku sekilas. Kemudian duduk di atas sofa lalu mencapai
buku di atas meja. Buku itu dibaca. Nampak dia tidak mempedulikan kepulanganku.
Sunyi sepi. Aku dan
Aqel masih tidak bersuara. Kupandang Aqel. Bagaimana aku hendak memulakan
perbualan dengan Aqel? Dia nampak tidak berminat hendak berbual denganku. Aku
melangkah ke arah Aqel lalu terpacak berdiri di depannya. Aqel mengalih
pandangan ke arahku.
“Kunci kereta awak. Terima kasih pinjamkan kereta” ujarku
menyusun kata-kata sambil menghulurkan kunci ini kepada Aqel. Aqel kembali
mengalih pandangan pada buku. Kunci yang kuhulurkan tidak disambut.
“Awak gunalah kereta tu. Bahaya naik teksi jauh malam ”
ujarnya tidak sempat memandangku. Aku melepaskan keluhan kecil. Bekerja dengan
Datin Sofea dan Bella perlu banyak tenaga. Bagai akan jadi rutin harian balik
lewat.
“Saya akan cuba balik awal. Saya tak perlukan kereta ni.
Kereta Waja mak kan ada” ujarku menolak kemurahan hati Aqel meminjamkan kereta
itu. Bimbang hendak memandu kereta mewah. Apatah lagi kereta baru. Aqel hanya
mematungkan diri. Tidak mengendahkan kata-kataku. Aku meletakkan kunci kereta BMW ActiveHybrid 7 ini di atas meja di
depan Aqel. Kemudian melangkah mendekati katil lalu merebahkan tubuh. Mahu
berehat sekejap sebelum mandi. Kupejamkan mata rapat-rapat. Selesa dapat
berbaring begini.
“Kereta ini saya beli untuk awak. Jadi awak guna sajalah”
suara Aqel yang terlalu dekat denganku. Kuangkat kelopak mata. Tersentak
menatap Aqel sudah berdiri di depanku. Laju aku bangkit dari perbaringan ini. Tidak
selesa membiarkan mata Aqel menatap tubuhku terlentang di atas tilam ini.
Segan.
“Awak beli kereta untuk saya?” tanyaku. Terkejut.
“Ya...” Aqel meletakkan kunci dalam genggaman tanganku.
Aku terpinga-pinga menatapnya. Beli kereta mahal macam dia beli barang murah.
“Saya tak perlukan kereta. Awak juallah balik” saranku.
Serius Aqel menatapku.
“Saya suruh awak guna saja... bukan suruh orang bayar
pun” rungut Aqel. Degil. Aku menggeleng kepala. Mahu mempertahankan
keputusanku. Aqel tidak boleh memaksa aku memandu kereta ini ke tempat kerja
pada setiap hari.
“Maaf...saya tak nak kereta ini” tegasku dan berharap
Aqel memahami keputusan. Aqel melepaskan keluhan berat. Aku dan Aqel beradu
pandangan.
“Sekalipun tarikh ini tak istimewa buat awak,
sekurang-kurangnya awak terimalah hadiah saya” ujar Aqel sambil menatapku. Aku
terpinga-pinga menatap Aqel. Tarikh hari ini? Apa yang istimewa tarikh ini?
Hari jadi Aqel? Bukan. Aqel tidak akan memberi hadiah kepadaku pada hari
jadinya. Hari jadiku? Sekarang bulan Januari. Belum sampai tarikh hari jadiku.
“Oh..., kecewanya saya awak langsung tak ingat tarikh ini!”
Aqel menepuk dada. Kupandang Aqel. Mohon penjelasan lanjut. Kunci itu diambil
kembali.
“Pergilah berehat. Pastikan awak mandi sebelum tidur”
pesan Aqel menyindirku.
“Apakan daya orang tak sudi” ujarnya sambil merenung
kunci kereta yang tergantung di jari telunjuknya lalu meninggalkan aku yang
masih terpinga-pinga cuba mengingat tarikh hari ini. Aqel kembali ke sofa lalu
merebahkan diri di situ. Kunci di tangan dibaling ke meja. Dia tidak gembira .
Aku melontar pandangan ke arah Aqel yang sudah lena di
atas sofa itu. Sejak dari tadi aku masih memikirkan tentang tarikh hari ini.
Apa yang istimewa tanggal 13 Januari ini? Aku berfikir lagi. Patutkah aku
tanyakan kepada mak tentang perkara ini? Kupandang jam. Sudah melewati pukul 12.00
tengah malam. Mak sudah lena dibuai mimpi. Tidak patut pula hendak kejutkannnya
semata-mata hendak bertanyakan perkara ini. Daripada jam pandanganku beralih
pada gambar persandingan itu. Kacak Aqel dengan senyuman yang terukir di bibir.
Setiap kali senyum pasti mata Aqel akan turut mengecil. Aku suka tengok Aqel
tersenyum dan matanya yang mengecil. Persandingan itu. Laju aku bangkit dari
perbaringan lalu melangkah mendekati gambar persandingan yang berbingkai indah
ini. Aku mendongak. Ada tarikh yang tercatat di sudut tepi gambar ini. Aku
terpana. Lantas berpaling ke arah Aqel. Lama aku terpaku di situ sambil
pandangan terarah kepada Aqel.
“Inilah tarikh istimewa yang awak katakan tadi” Aku
berbicara sendiri. Pandanganku masih terikat pada Aqel. Lambat-lambat aku
melangkah ke arah Aqel. Langkahku mati. Kini berdiri di depan Aqel. Kurenung
wajah Aqel. Biarpun mata tertutup, Aqel masih kelihatan hebat. Bangga.
“Maafkan saya, Aqel...” ujarku berbicara sendiri. Kesal.
Aku membongkak lalu mencapai kunci kereta
BMW ActiveHybrid 7 QMV144 di atas meja.
“Terima kasih atas hadiah awak ye...” ujarku sambil
menggenggam erat kunci ini BMW
ActiveHybrid 7 QMV144.
*********************
“Cari hadiah?” suara lelaki menyapaku. Laju aku
berpaling. Haqem tersenyum. Sedikit mengejutkan aku kemunculan Haqem ini. Tidak
menduga akan dipertemukan dengannya di sini.
“Saya nampak kereta BMW
ActiveHybrid 7 QMV144 di luar tadi.
Ingat Aqel ada di sini” Haqem memberi penjelasan. Barangkali bimbang aku salah
faham dengan kemunculannya di sini. Tidak mahu juga dituduh mengekoriku. Aku
senyum.
“Kalau macam tu saya pergi dululah. Tak nak ganggu awak” Haqem
memaling tubuh bersedia mahu melangkah pergi. Mahu pergi cepat-cepat kerana
kurang selesa dengan diamku.
“Haqem...” panggilku mematikan langkah pemuda ini. Haqem
berpaling ke arahku semula. Dia tersenyum.
“Awak boleh tolong saya?” tanyaku mula bersuara. Laju
Haqem mengangguk.
“Awak pasti lebih mengenali Aqel berbanding saya.
Misalnya...Aqel suka warna apa...atau apa-apa saja yang menjadi kesukaannya” ujarku
tersengih sambil garu-garu kepala. Segan. Sudah lama menjadi isteri Aqel namun
belum banyak tahu tentang pemuda itu. Haqem menatapku. Tidak bersuara. Dalam
renungan Haqem. Adakah aku tersilap tingkah? Tersinggungkah Haqem? Renungan
Haqem membuatkan aku berfikir.
“Awak tak boleh tolong saya?” tanyaku tatkala melihat
Haqem berdiam diri. Silap juga tidak membuat pertimbangan sebelum meminta
pertolongan daripada Haqem tadi. Tidak mengambil kira akan perasaan Haqem.
Tidak sengaja.
“Sorry...” Aku
tersengih menatap Haqem sambil garu-garu kepala. Tidak mahu mencipta suasana
yang tegang.
“Kalau awak tak dapat tolong... saya faham” ujarku
bertimbang rasa. Haqem senyum. Lantas mendekatiku.
“Awak nak beli hadiah untuk Aqel?” tanyanya. Aku
mengangguk. Lega. Haqem tidak ambil hati. Bimbang juga akan menyinggung
perasaan Haqem.
“Pasti ada sesuatu yang teruk telah awak lakukan” Haqem
mengutukku. Aku mengangguk dan tersengih lagi. Memang salahku. Aku mengulangi
kesilapan tahun lalu.
“Aqel marah awak ke?” tanya Haqem sambil melangkah
beriringan denganku. Misi memilih hadiah untuk Aqel bermula.
“Rasanya dia kecewa” balasku.
“Apa yang buat Aqel kecewa dengan awak? Macam serius je” komen
Haqem persis penyiasat. Aku tergelak. Tidak mahu menceritakan kejadian semalam
kepada Haqem. Tidak mahu juga dia berfikir jauh.
“Nak beli apa ye...untuk Aqel. Saya tak pasti kalau
pilihan saya tepat dengan citarasa Aqel” ujarku bingung. Haqem senyum. Banyak
cakap pula aku hari ini.
“Awak tak pernah beri Aqel hadiah?” tanya Haqem. Aku
mengangguk. Kemudian tersengih sendiri. Memang rasa teruk.
“Risau Aqel tak suka dengan pilihan saya. Antara Aqel
dengan awak, saya lebih mengenali awak. Awak suka warna biru gelap dan putih,
suka makan makanan laut, minum jus lobak, suka main tenis, suka...” Bicaraku
tergantung. Pandangan Haqem menoktahkan bicaraku. Bagai baru tersedar aku tidak
patut berkata sedemikian. Haqem tersenyum.
“Terima kasih, Lia. Terima kasih sebab masih mengingati
semua itu. Saya sungguh gembira” ujar Haqem tersenyum ceria. Aku tersenyum
sekilas. Tersilap tingkah lagi.
“Saya dah lama mengenali awak” jelasku tidak mahu Haqem
salah pengertian. Haqem masih senyum. Memang dia gembira saat ini. Sudah lama
tidak nampak senyuman ceria Haqem.
“Saya juga lebih mengenali awak berbanding Aqel” sahut
Haqem. Aku tersengih. Tidak dapat menyangkal kenyataan Haqem itu.
“Nak beli apa
untuk Aqel?” tanyaku meminta pendapat Haqem sambil memikirkan sendiri. Pelbagai
pilihan yang boleh dijadikan hadiah untuk Aqel ada di premis ini. Namun masih
sukar hendak memilih hadiah yang boleh melenyapkan rasa terkilan Aqel.
“Apa kata awak beli t-shirt
ini? Aqel suka pakai t-shirt waktu
santai-santai” saran Haqem. Aku dan Haqem menatap t-shirt lelaki yang tergantung di depan kami. Ada pelbagai warna
dan corak. Pandanganku tertumpu pada t-shirt
merah beruang itu. Aku tersenyum sendiri.
“T-shirt teddy
bear ni pun okey. Nampak comel” ujar Haqem sambil memegang t-shirt merah yang menarik perhatianku.
Laju aku menggeleng.
“Aqel dah ada t-shirt
macam ni” jelasku. Haqem menatapku.
“Awak hadiahkan untuk Aqel?” tanya Haqem. Aku menggeleng
kepala.
“Dia sendiri yang ambil t-shirt beruang merah kesayangan saya itu” rungutku. Betapa aku
sayang akan t-shirt merah itu. Namun
mak telah meminjamkan t-shirt beruang
itu kepada Aqel. Kemudian Aqel menjadikan sebagai hak mutlak. Aku mengeluh
kecil mengingati semua itu.
“Mana t-shirt teddy
bear itu sekarang?” tanya Haqem.
“Ada dia simpan dalam almari pakaiannya” jelasku
mencebik. Teringin juga hendak mengambil kembali. Namun memikirkan t-shirt itu pernah tersarung di tubuh
Aqel, aku pendam sahaja niat itu. Pelik tengok Aqel bersungguh-sungguh hendak
memiliki t-shirt itu. Padahal dia
pakai t-shirt yang berjenama. Bukan
yang dibeli di pasar malam.
“Cemburu saya...awak berkongsi baju dengan Aqel” ujar
Haqem tidak berselindung. Kupandang Haqem. Aku diam.
“Kita cari di bahagian sana” ajak Haqem mendahului
langkahku. Aku mengekori Haqem. Walaupun Haqem memberikan beberapa cadangan,
akhirnya aku buat pilihan sendiri. Ikut gerak hati. Gadis comel bermata besar
ini tampak comel. Berkaki spring yang
boleh ditekan-tekan. Memang sesuai diletak di atas dashboard kereta. Setiap kali
spring ditekan pasti gadis bergaun merah ini akan tersenyum sambil
mengenyitkan mata. Harap-harap boleh tebus kekecewaan Aqel terhadapku.
“Terima kasih sebab sudi luangkan masa tolong saya cari
hadiah ini” ujarku berbesar hati sambil menunjukkan hadiah yang tersimpan dalam
kotak kecil yang cantik. Terhutang budi kepada Haqem. Haqem senyum.
“Tak banyak pun yang boleh saya bantu. Akhirnya awak
sendiri juga yang buat pilihan” sahut Haqem. Aku tergelak kecil. Mahu kelainan.
“Harap-harap Aqel akan menyukai hadiah ini” luahku tanpa
berselindung. Haqem menatapku.
“Saya cemburu Aqel dapat hadiah daripada awak” ujar Haqem
buat aku terdiam. Aku dan Haqem berpandangan. Terasa bersalah pula memohon
pertolongan Haqem.
“Tak pe... Lain kali saya beli hadiah untuk awak” ujarku
seakan memujuk Haqem. Cuba melenyapkan perasaan cemburu itu. Haqem senyum.
“Janji?” tanya Haqem persis anak kecil yang teruja hendak
mendapatkan hadiah. Aku mengangguk dan tersenyum. Tercuit hati melihat
tingkahlaku keanak-anakan Haqem.
“Belanja saya minum sebab tolong awak hari ini” pinta
Haqem.
“Oh..., tolong tak ikhlas ye...” kutukku buat Haqem
tergelak.
“Dahaga sebab dah terlebih cakap hari ini. Suruh beli
itu...ini...tapi awak ikut juga pilihan sendiri” kutuk Haqem tidak puas hati.
Aku tergelak.
“Okey...okey... Mari saya belanja awak minum dan makan
sekali” ajakku buat Haqem tersenyum lebar. Kemudian beriringan melangkah
meninggalkan premis ini. Sempat melirik ke arah kotak kecil di dalam beg kertas
yang kubimbit ini. Aku tersenyum sendiri. Mahu pujuk rajuk Aqel. Tidak sedar
Haqem sedang memerhatikan tingkahlaku itu. Sekali lagi Haqem rasa cemburu. Cemburu
kepada Aqel.
Assalamualaikum...selamat malam. ketemu lagi. mohon kemaafan setelah sekian lama membuatkan kalian menunggu sambungan NBF. diharap anda berpuas hati n3 kali ini.
ReplyDelete