Friday 24 March 2017

NamaKu Bukan Flora..... 87.... ketemu lagi...




BAB 87

“Mama yang beriya-iya nak Lia keluar dari KDUT, tetapi kenapa sekarang mama nak dia jadi pembantu Bella?” tanya Haqem curiga dan tidak sedap hati. Dia tahu Datin Sofea dan Bella ada perancangan sendiri.
“Kamu ingat mama nak biarkan dia hidup tenang” Datin Sofea tersenyum sinis.
“Selagi kamu tak bernikah dengan Bella, selagi itu mama akan membuatkan gadis itu menderita. Anggaplah semua ini hukuman atas kedegilan kamu. Kalau kamu tak nak dia menderita, cepat nikah dengan Bella” arah Datin Sofea tanpa berselindung. Mahu Haqem patuh.
“Saya tak nak nikah dengan Bella. Saya tak cintakannya” tingkah Haqem sudah banyak kali menyatakan perkara itu. Namun Datin Sofea tidak pernah peduli. Kedengaran dengusan kasar Datin Sofea. Kata-kata itu menyakitkan hati.
“Kamu masih nak tunggu gadis itu?” Terbeliak mata Datin Sofea menatap Haqem. Hati mendidih. Pantang kehendak ditentang. Datin Sofea mendengus geram.
“Jangan harap Aqel nak lepaskannya” lirih suara Datin Sofea. Mereka saling berlawan pandangan. Datin Sofea berkeyakinan tinggi tentang perkara itu. Walaupun ada kekeliruan terhadap tindakan Aqel yang membenarkan Lia bekerja dengannya. Jangkaan pemuda itu mempercayai ketulusannya membuat tawaran tersebut.
“Aqel dah jatuh cinta pada gadis itu. Dia takkan ceraikan isterinya nak suruh kalian bersama. Mama juga takkan berdiam diri” tegas Datin Sofea  memberi peringatan keras. Haqem menatap kosong wajah Datin Sofea. Kata-kata itu kerap kali didengari. Tiada yang menghairankan. Penerimaan Datin Sofea terhadap Lia tidak pernah berubah.
“Jadi mama dan Bella kena ingat juga, Aqel takkkan biarkan Lia disakiti sesuka hati. Mama dan Bella mesti berhati-hati dengan setiap tindakan kalian” pesan Haqem. Datin Sofea menjeling tajam ke arah Haqem. Peringatan yang tidak disenangi. Haqem bangkit dari sofa itu. Dipandang wajah Datin Sofea.
“Saya nak balik sekarang. Sekejap lagi nak ambil Idlan di sekolah. Kalau ada masa datanglah rumah jenguk Idlan. Kasihan budak tu” keluh Haqem kecewa. Dia masih mencuba. Pasti permintaan itu akan terus keluar dari mulutnya sehingga Datin Sofea ada kesudian hendak bertemu dengan budak lelaki itu. Datin Sofea memandang kosong langkah Haqem ke pintu tanpa mempedulikan kata-kata itu. Hatinya tidak terusik. Tidak sempat membayangkan wajah comel cucu tunggalnya itu.
Sebuah kereta Honda Jazz FMC merah, baru sahaja parkir di perkarangan banglo mewah ini. Langkah Haqem terhenti. Dia melontar pandangan ke arah gadis yang tersenyum manis sedang mengorak langkah mendekati.
“Hai...Haqem!” sapanya manja. Langkah berhenti tepat di depan Haqem. Jarak yang terlalu dekat membuatkan Haqem menjarak diri setapak ke belakang. Bella menarik muka masam. Tidak suka dengan tindakan Haqem itu.
“Kenapa nak cepat balik? Saya baru saja nak masak untuk awak. Nanti kita boleh makan bersama-sama dengan mama” rengek Bella manja. Mahu memikat Haqem dengan air tangannya.
“Oh..., awak mesti nak jumpa isteri Aqelkan, sahabat baik awak!” sinis suara Bella mengutuk Haqem. Haqem menggetap bibir. Tidak puas hati dia mendengar kata-kata itu.
“Saya nak ambil Idlan di sekolah. Jangan racuni fikiran awak dengan prasangka buruk” tegur Haqem meningkah kata-kata Bella. Bella tersenyum. Penafian Haqem membahagiakan.
Really...? Oh... baguslah” Dipandang Haqem dengan lirikan manja. Hatinya girang.
 “Awak bawalah Idlan jumpa saya. Saya nak habiskan masa sehari suntuk dengannya. Biar dia kenal saya” ujar Bella teruja. Haqem memandang kosong wajah Bella. Kata-kata yang baru sahaja didengar itu tidak membawa erti apa-apa.
“Saya takkan biarkan awak racuni fikiran anak kecil yang suci seperti Idlan” tingkah Haqem tidak akan membenarkan pertemuan itu.
“Sampai hati awak cakap macam tu” Bella mempamer wajah sedih. Dia tersinggung mendengar Haqem berkata sedemikian. Langsung tiada kepercayaan pemuda ini terhadapnya.
“Kalau awak beri peluang, saya akan buktikan keikhlasan saya terhadap Idlan” tegas Bella bersungguh-sungguh.
“Awak akan tengok saya layan Idlan lebih baik... tak seperti mama awak” perlahan sahaja Bella menuturkan ayat terakhir itu. Haqem melepaskan keluhan berat. Dia tidak mampu menilai kejujuran gadis ini. Lantas dia menyambung langkah kembali meninggalkan Bella yang masih mengharapkan perbualan itu berpanjangan. Tiba-tiba langkah Haqem terhenti. Haqem berpaling ke arah Bella yang sudah tersenyum lebar. Barangkali Haqem telah berubah fikiran. Permintaannya telah dipertimbangkan dengan baik oleh pemuda ini.
“Jangan sesekali sakiti atau layan Lia dengan buruk. Saya takkan maafkan awak” ancam Haqem memberi peringatan keras. Kemudian meninggalkan Bella terkebil-kebil dengan mulut yang terlopong. Dia hanya mampu menahan gelodok emosi sambil menatap kereta Haqem meluncur laju meninggalkan halaman banglo itu.
“Mama...betulkah Lia terima tawaran mama?” Terkedek-kedek langkah Bella mendapatkan Datin Sofea. Datin Sofea mengangguk. Jari Bella bermain-main di dagu. Dia  berfikir panjang. Tidak menduga tawaran itu dengan mudah akan diterima oleh gadis itu.
“Apa yang kamu fikirkan?” tanya Datin Sofea melihat Bella berdiam diri.
“Sedang berfikir mama” sahutnya masih memikirkan motif gadis itu menerima tawaran tersebut. Apa pula tindakan perempuan ini sekarang? Dia melontar pandangan ke arah Datin Sofea. Belum banyak diketahui tentang perkara yang sedang direncanakan oleh Datin Sofea. Dia sekadar membantu mempastikan semua berjalan lancar dan hajat hati Datin Sofea tercapai.
“Apa tindakan mama sekarang? Gadis itu nampak semakin berani. Rasanya tak mudah nak suruh dia sujud di kaki mama” luah Bella kerisauan. Datin Sofea mendengus.
“Siapa kata kita tak boleh tewaskannya. Kita akan ajar dia cukup-cukup. Biar dia melutut merayu-rayu minta dikasihani” sahut Datin Sofea angkuh. Betapa dia merasakan bahawa dirinya sungguh berkuasa. Keangkuhan kerana harta dan kuasa yang dimiliki. Bella tersenyum.
“Bagaimana Haqem dan Aqel? Mereka takkan berdiam diri” ujar Bella memberi peringatan. Kedua-dua pemuda itu sentiasa melindungi gadis itu. Sukar hendak mendekati Lia.
“Kita akan ajar perempuan itu perlahan-lahan, secara halus sehingga tak disedari oleh sesiapa. Buat perkara yang dahsyat yang terpaksa ditanggungnya. Apabila dia dah tak mampu menanggung, dia akan datang sendiri merayu kepada kita. Saat itulah kita akan minta apa saja sehinggalah Haqem datang sendiri melamar kamu menjadi isteri” tutur Datin Sofea sambil membayangkan detik kejayaannya itu. Bella tersenyum.
“Perancangan yang sempurna mama. Saya tak sabar menunggu detik itu” ujar Bella teruja. Datin Sofea tersenyum.
“Sebenarnya kamu dah tak sabar nak jadi isteri Haqem” ujar Datin Sofea mengusik Bella. Kemudian kedua-dua tergelak. Yakin agenda mereka akan beroleh kejayaan. Datin Sofea sudah membayangkan gadis itu sedang menangis merayu-rayu sambil melutut di depannya. Di mata Bella pula, dia nampak persandingannya dengan Haqem yang gilang-gemilang.

*****************************

“Cik Bella perlu semak sebelum menandatangani dokumen ini” pesanku lantas meletakkan beberapa buah fail di atas meja. Perempuan ini mencebik dan memandang kosong fail tersebut. Kurang berminat.
“Nak segera?” tanyanya kurang senang. Sebenarnya dia tidak berminat hendak meneliti dokumen-dokumen yang harus ditandatangani. Aku mengangguk. Tanpa tandatangan gadis ini kerja ini tidak akan beres. Kemudian akan menangguhkan beberapa prosuder kerja.
“Kejap lagi awak kemas gaun-gaun dalam bilik itu. Susun atur semula. Semak mata saya tengok. Datin pun tak suka pekerja malas” ujar Bella memberi arahan baru. Sudah sepuluh arahan yang dikeluarkan sejak tiga jam waktu bekerja beroperasi pada hari kedua dia menjadi bosku. Cerewet. Aku hanya mengangguk. Lama juga aku terpacak di depan Bella menanti dia selesai membaca dan meneliti butiran dokumen sebelum menurunkan tandatangan. Dia perlu berhati-hati. Mesti kelihatan sempurna di depan mata Datin Sofea. Mahu membuktikan diri lebih hebat daripada gadis di depannya ini. Iri hati terhadap Lia tidak pernah berkurang.
“Ada kerja yang lebih seronok daripada membaca dokumen yang memeningkan ini” keluhnya sendirian. Aku senyum. Jiwa Bella terseksa bekerja di sini. Apatah lagi setiap detik terpaksa bertemu denganku. Pasti hati dan matanya sakit melihatku.
“Nah...!” Bella menolak kasar fail ke penjuru meja. Mujur sempat tanganku menghadang daripada jatuh. Kucapai fail lalu bergerak ke bilik penyimpanan pakaian. Lebih cepat meninggalkan Bella lebih tenang hati ini. Aku memandang gaun-gaun yang tergantung dalam almari kaca ini. Cantik tetapi seksi. Tidak sesuai untukku.
  “Pastikan awak ubah susunan atur semua gaun ini. Selagi tak selesai jangan balik” lantang suara Bella menyentakkanku. Aku berpaling. Bella sedang bercekak pinggang di muka pintu.
“Awak faham tak?” tanyanya kasar. Aku mengangguk.
“Awak bisu?” Bella tidak berpuasa hati dengan anggukan kepalaku.
“Ya...saya faham” balasku mula bersuara.
“Hah..., tahupun bercakap!” bentak Bella angkuh dengan kuasa memerintah yang dimiliki. Aku menarik nafas. Cuba bertenang dan bersabar. Daun pintu berdentum. Gaun-gaun di sekelilingku kupandang. Kerja yang memerlukan tenaga yang banyak. Mampukah aku hendak selesaikan kerja ini sebelum jam 5.00 petang. Peluang yang tipis. Kucapai kunci lalu membuka pintu kaca ini. Aku terus melakukan kerja yang telah diarahkan oleh Bella sebentar tadi.
Sukar aku hendak mengubah posisi susun atur gaun-gaun dengan keluasan almari kaca yang terhad ini. Hanya mampu melakukan sedikit perubahan. Kupandang gaun-gaun dalam almari kaca yang sudah kuubah susun atur ini. Jika tidak dapat memuaskan hati Bella, bermakna terpaksa ubah lagi. Banyak gaun yang perlu dibereskan. Tenaga berbaki setengah sahaja lagi. Aku melepaskan helaan nafas dengan kuat. Tidak boleh cepat mengalah. Kerja ini harus diselesaikan segera.
Aduh...! Tinggal 30 minit lagi jarum jam mencecah ke pukul 5.00 petang. Kupandang gaun-gaun ini. Kerja yang belum selesai perlukan lebih masa. Teringat pada Aqel, laju kucapai iPhone lantas menghantar mesej kepadanya. Aku tidak dapat balik bersama Aqel. Seminit kemudian kedengaran bunyi mesej diterima. Cepat Aqel menjawab.
~OK...~ Ringkas sahaja jawapan Aqel. Aku meneruskan kerja ini. Berusaha menghabiskan cepat. Langkahku menapak di depan pintu rumah ketika jarum jam hampir-hampir menunjuk ke arah angka pukul 10 malam. Aku menguap beberapa kali. Langkahku longlai mendaki anak tangga ke bilik. Sunyi sepi. Mungkin mak dan Aqel sudah tidur. Perlahan aku menolak daun pintu. Tepat. Aqel sudah lena di atas sofa itu. Aku memicit-micit bahu dan lengan. Lenguh-lenguh. Bekerja keras menyelesaikan kerja tadi. Kurebahkan tubuh di atas katil. Sudah kehabisan tenaga. Kalau boleh mahu terus tidur sahaja.       

Aqel berdiri di tepi katil itu sambil memandang gadis itu. Sungguh lena. Persis anak kecil yang sedang tidur. Langsung tidak sedar diri diperhatikan.
“Pasti semalam awak telah menghabiskan seluruh tenaga awak” ujarnya berbicara sendiri. Aqel melepaskan keluhan kecil. Kemudian melangkah keluar. Perlahan-lahan daun pintu bilik itu ditutup.
“Mak...! Saya dah lewat ni” Aku terkocoh-kocoh menuruni anak tangga. Wajah menyinga Bella terbayang di mata. Pasti pagi ini akan mendengar kata-kata yang menyakitkan hati lagi.
“Sarapan dulu Lia” tegur mak.
“Dah tak sempat ni” ujarku berlari anak ke pintu.
“Tunggu...” Mak bergegas ke arahku.
“Nah...!” Segelas jus dihulurkan kepadaku. Mak tidak mahu aku keluar rumah dengan perut kosong. Aqel pasti sudah bersarapan dengan mak tadi.
“Terima kasih” Sempat tersenyum kepada mak. Rakus aku meneguk jus oren di dalam gelas. Kemudian memulangkan gelas kepada mak.
“Semua ini salah Aqel. Dia tak kejutkan Lia tadi. Sengaja dia nak buat Lia kelam- kabut pagi ni” rungutku sempat meletari Aqel. Mudah sahaja hendak menyalahkan Aqel. Kasihan Aqel.
“Salah kamu kerja sampai lewat malam” balas mak menyebelahi Aqel. Aku menarik muka masam. Tidak suka mak berpihak kepada Aqel.
“Lia, pergi dulu mak...” Kusalami tangan mak. Kemudian berpaling ke pintu.
“Kunci...” suara mak mematikan langkahku. Mak menghulurkan kunci kereta kepadaku.
“Aqel tak suruh kamu balik lewat dengan teksi. Dia suruh kamu bawa kereta hari ini” arah mak. Aku terus mencapai kunci kereta yang mak hulurkan. Tidak boleh menumpang teksi kalau balik lewat. Ada-ada sahaja.
“Saya pergi dulu mak...” Aku berlari ke pintu sambil menekan kunci kereta. Menyambar pemegang pintu kereta yang tidak berkunci. Enjin kereta dihidupkan. Aku terus memandu kereta ini keluar dari garaj sekali gus meninggalkan halaman rumah. Mahu segera sampai ke tempat kerja. Hari ini terasa sungguh selesa memandu kereta Waja ini. Lembut stering persis kereta baru pula. Aku tiba di perkarangan KDUT. Kereta Bella belum ada di laman parkir. Lega. Laju aku keluar dari kereta. Mahu mendahului Bella sampai di pejabat. Kutekan kunci kereta lantas bergegas mengatur langkah ke arah pintu utama KDUT. Tiba-tiba langkahku mati. Pelik. Aku berpaling.
“Ya...Allah..., kereta siapa ni?” Terbeliak mataku menatap kereta BMW ActiveHybrid 7 hitam metalik di depanku. Warna serupa dengan Waja mak.  Cepat kutekan kunci mahu mempastikan kereta yang kupandu tadi. Mungkin pandangan mataku silap. Bukan aku yang memandu kereta mewah ini tadi. Kunci pintu BMW ActiveHybrid 7 ini terbuka dan lampu menyala sekejap. Aku terpaku menatap kereta ini. Sah aku yang memandu kereta ini ke sini.
Kereta Honda Jazz FMC merah dipandu laju memasuki laman parkir. Bella baru sampai. Lupakan seketika tentang BMW ActiveHybrid 7 hitam QMV144 ini. Laju aku meneruskan langkah ke pintu utama KDUT. Tidak mahu bertembung dengan Bella.
Morning Lia. Kereta baru ye...” tegur Marnie melempar senyuman kepadaku. Berkerut dahiku menatap Marnie sambil garu-garu kepala. Keliru.
Why?” tanya Marnie. Hairan.
“Saya tak tahu kereta siapa yang saya pandu tadi” jelasku bingung.
What...!” Besar mata Marnie menatapku. Terkejut.
“Awak biar betul, Lia. Mana awak dapat kunci tadi?” tanya Marnie musykil.
“Mak yang beri...” jelasku tidak sempat banyak berfikir tentang kereta BMW ActiveHybrid 7 itu. Marnie tergelak.
“Kereta family kamulah tu” Marnie memberikan jawapan. Aku menggeleng.
“Bukan. Kereta mak Waja” tingkahku. Aku ingat kereta Waja  mak yang kupandu tadi.
“Kereta awak...” Marnie sekali lagi memberikan jawapan.
“Saya tak pernah beli kereta pun” ujarku. Tiada simpanan yang mencukupi hendak beli kereta. Tambahan lagi kereta mewah sebegini. Bila perlu boleh pinjam kereta mak. Bukan beli.
“Kereta awak. Bukan susah pun Encik Aqel nak beli sebuah kereta untuk awak. Malah beli 10 buah kereta sekali gus pun dia mampu” ujar Marnie tersengih menatapku.
“Aqel tak suruh kamu balik dengan teksi. Dia suruh kamu bawa kereta hari ini” suara mak mencelah dipendengaranku. Oh..., kereta baru Aqel! Patutlah selesa pandu tadi. Baiknya hati Aqel pinjamkan aku kereta baru itu. Aku tersenyum sendiri.

Aku menarik nafas lega. Alhamdulillah. Hari ini boleh balik lebih awal daripada semalam. Semua kerja sudah beres sebelum tamat waktu bekerja. Namun gara-gara mahu menyiapkan kerja lebih awal, tidak sempat aku hendak makan tengah hari tadi. Tidak sempat juga mencari Aqel hendak bertanya tentang kereta BMW ActiveHybrid 7 QMV144 itu. Dia lebih tahu daripada mak.
Bella bergegas meninggalkan pejabat. Lega bersendirian di sini. Aku juga boleh balik ke rumah tepat pada masa yang ditetapkan. Ketika memasuki perkarangan rumah, kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 sudah berada di dalam garaj. Bermakna Aqel sudah berada di rumah. Aku parkir di sebelah kereta Aqel. Kemudian mematikan enjin dan terus keluar. Tidak terus melangkah masuk ke rumah. Sebaliknya aku ke belakang mahu mempastikan sesuatu. Nombor plat kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QLV144 serupa dengan kereta BMW ActiveHybrid 7. Terbukti kereta BMW ActiveHybrid 7 yang kupandu ini milik Aqel. Kereta Waja sudah  tidak ada di sini. Mesti berada di halaman rumah mak kerana pagi tadi aku memandu kereta BMW ActiveHybrid 7 ini.  Aku bergegas masuk ke rumah. Mahu berjumpa dengan Aqel. Tatkala daun pintu bilik terkuak, nampak Aqel baru selesai mandi dan sudah siap berpakaian. Nampak segar dirinya. Dia memandangku sekilas. Kemudian duduk di atas sofa lalu mencapai buku di atas meja. Buku itu dibaca. Nampak dia tidak mempedulikan kepulanganku.
Sunyi sepi. Aku dan Aqel masih tidak bersuara. Kupandang Aqel. Bagaimana aku hendak memulakan perbualan dengan Aqel? Dia nampak tidak berminat hendak berbual denganku. Aku melangkah ke arah Aqel lalu terpacak berdiri di depannya. Aqel mengalih pandangan ke arahku.
“Kunci kereta awak. Terima kasih pinjamkan kereta” ujarku menyusun kata-kata sambil menghulurkan kunci ini kepada Aqel. Aqel kembali mengalih pandangan pada buku. Kunci yang kuhulurkan tidak disambut.
“Awak gunalah kereta tu. Bahaya naik teksi jauh malam ” ujarnya tidak sempat memandangku. Aku melepaskan keluhan kecil. Bekerja dengan Datin Sofea dan Bella perlu banyak tenaga. Bagai akan jadi rutin harian balik lewat.
“Saya akan cuba balik awal. Saya tak perlukan kereta ni. Kereta Waja mak kan ada” ujarku menolak kemurahan hati Aqel meminjamkan kereta itu. Bimbang hendak memandu kereta mewah. Apatah lagi kereta baru. Aqel hanya mematungkan diri. Tidak mengendahkan kata-kataku. Aku meletakkan kunci kereta BMW ActiveHybrid 7 ini di atas meja di depan Aqel. Kemudian melangkah mendekati katil lalu merebahkan tubuh. Mahu berehat sekejap sebelum mandi. Kupejamkan mata rapat-rapat. Selesa dapat berbaring begini.   
“Kereta ini saya beli untuk awak. Jadi awak guna sajalah” suara Aqel yang terlalu dekat denganku. Kuangkat kelopak mata. Tersentak menatap Aqel sudah berdiri di depanku. Laju aku bangkit dari perbaringan ini. Tidak selesa membiarkan mata Aqel menatap tubuhku terlentang di atas tilam ini. Segan. 
“Awak beli kereta untuk saya?” tanyaku. Terkejut.
“Ya...” Aqel meletakkan kunci dalam genggaman tanganku. Aku terpinga-pinga menatapnya. Beli kereta mahal macam dia beli barang murah.  
“Saya tak perlukan kereta. Awak juallah balik” saranku. Serius Aqel menatapku.
“Saya suruh awak guna saja... bukan suruh orang bayar pun” rungut Aqel. Degil. Aku menggeleng kepala. Mahu mempertahankan keputusanku. Aqel tidak boleh memaksa aku memandu kereta ini ke tempat kerja pada setiap hari.  
“Maaf...saya tak nak kereta ini” tegasku dan berharap Aqel memahami keputusan. Aqel melepaskan keluhan berat. Aku dan Aqel beradu pandangan.
“Sekalipun tarikh ini tak istimewa buat awak, sekurang-kurangnya awak terimalah hadiah saya” ujar Aqel sambil menatapku. Aku terpinga-pinga menatap Aqel. Tarikh hari ini? Apa yang istimewa tarikh ini? Hari jadi Aqel? Bukan. Aqel tidak akan memberi hadiah kepadaku pada hari jadinya. Hari jadiku? Sekarang bulan Januari. Belum sampai tarikh hari jadiku.
“Oh..., kecewanya saya awak langsung tak ingat tarikh ini!” Aqel menepuk dada. Kupandang Aqel. Mohon penjelasan lanjut. Kunci itu diambil kembali.
“Pergilah berehat. Pastikan awak mandi sebelum tidur” pesan Aqel menyindirku.
“Apakan daya orang tak sudi” ujarnya sambil merenung kunci kereta yang tergantung di jari telunjuknya lalu meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga cuba mengingat tarikh hari ini. Aqel kembali ke sofa lalu merebahkan diri di situ. Kunci di tangan dibaling ke meja. Dia tidak gembira .
Aku melontar pandangan ke arah Aqel yang sudah lena di atas sofa itu. Sejak dari tadi aku masih memikirkan tentang tarikh hari ini. Apa yang istimewa tanggal 13 Januari ini? Aku berfikir lagi. Patutkah aku tanyakan kepada mak tentang perkara ini? Kupandang jam. Sudah melewati pukul 12.00 tengah malam. Mak sudah lena dibuai mimpi. Tidak patut pula hendak kejutkannnya semata-mata hendak bertanyakan perkara ini. Daripada jam pandanganku beralih pada gambar persandingan itu. Kacak Aqel dengan senyuman yang terukir di bibir. Setiap kali senyum pasti mata Aqel akan turut mengecil. Aku suka tengok Aqel tersenyum dan matanya yang mengecil. Persandingan itu. Laju aku bangkit dari perbaringan lalu melangkah mendekati gambar persandingan yang berbingkai indah ini. Aku mendongak. Ada tarikh yang tercatat di sudut tepi gambar ini. Aku terpana. Lantas berpaling ke arah Aqel. Lama aku terpaku di situ sambil pandangan terarah kepada Aqel.
“Inilah tarikh istimewa yang awak katakan tadi” Aku berbicara sendiri. Pandanganku masih terikat pada Aqel. Lambat-lambat aku melangkah ke arah Aqel. Langkahku mati. Kini berdiri di depan Aqel. Kurenung wajah Aqel. Biarpun mata tertutup, Aqel masih kelihatan hebat. Bangga.
“Maafkan saya, Aqel...” ujarku berbicara sendiri. Kesal. Aku membongkak lalu mencapai kunci kereta BMW ActiveHybrid 7 QMV144 di atas meja.
“Terima kasih atas hadiah awak ye...” ujarku sambil menggenggam erat kunci ini BMW ActiveHybrid 7 QMV144.

*********************

“Cari hadiah?” suara lelaki menyapaku. Laju aku berpaling. Haqem tersenyum. Sedikit mengejutkan aku kemunculan Haqem ini. Tidak menduga akan dipertemukan dengannya di sini.
“Saya nampak kereta BMW ActiveHybrid 7 QMV144 di luar tadi. Ingat Aqel ada di sini” Haqem memberi penjelasan. Barangkali bimbang aku salah faham dengan kemunculannya di sini. Tidak mahu juga dituduh mengekoriku. Aku senyum.
“Kalau macam tu saya pergi dululah. Tak nak ganggu awak” Haqem memaling tubuh bersedia mahu melangkah pergi. Mahu pergi cepat-cepat kerana kurang selesa dengan diamku.
“Haqem...” panggilku mematikan langkah pemuda ini. Haqem berpaling ke arahku semula. Dia tersenyum.
“Awak boleh tolong saya?” tanyaku mula bersuara. Laju Haqem mengangguk.
“Awak pasti lebih mengenali Aqel berbanding saya. Misalnya...Aqel suka warna apa...atau apa-apa saja yang menjadi kesukaannya” ujarku tersengih sambil garu-garu kepala. Segan. Sudah lama menjadi isteri Aqel namun belum banyak tahu tentang pemuda itu. Haqem menatapku. Tidak bersuara. Dalam renungan Haqem. Adakah aku tersilap tingkah? Tersinggungkah Haqem? Renungan Haqem membuatkan aku berfikir. 
“Awak tak boleh tolong saya?” tanyaku tatkala melihat Haqem berdiam diri. Silap juga tidak membuat pertimbangan sebelum meminta pertolongan daripada Haqem tadi. Tidak mengambil kira akan perasaan Haqem. Tidak sengaja.
Sorry...” Aku tersengih menatap Haqem sambil garu-garu kepala. Tidak mahu mencipta suasana yang tegang.
“Kalau awak tak dapat tolong... saya faham” ujarku bertimbang rasa. Haqem senyum. Lantas mendekatiku.
“Awak nak beli hadiah untuk Aqel?” tanyanya. Aku mengangguk. Lega. Haqem tidak ambil hati. Bimbang juga akan menyinggung perasaan Haqem.
“Pasti ada sesuatu yang teruk telah awak lakukan” Haqem mengutukku. Aku mengangguk dan tersengih lagi. Memang salahku. Aku mengulangi kesilapan tahun lalu.
“Aqel marah awak ke?” tanya Haqem sambil melangkah beriringan denganku. Misi memilih hadiah untuk Aqel bermula.
“Rasanya dia kecewa” balasku.
“Apa yang buat Aqel kecewa dengan awak? Macam serius je” komen Haqem persis penyiasat. Aku tergelak. Tidak mahu menceritakan kejadian semalam kepada Haqem. Tidak mahu juga dia berfikir jauh.
“Nak beli apa ye...untuk Aqel. Saya tak pasti kalau pilihan saya tepat dengan citarasa Aqel” ujarku bingung. Haqem senyum. Banyak cakap pula aku hari ini.
“Awak tak pernah beri Aqel hadiah?” tanya Haqem. Aku mengangguk. Kemudian tersengih sendiri. Memang rasa teruk.
“Risau Aqel tak suka dengan pilihan saya. Antara Aqel dengan awak, saya lebih mengenali awak. Awak suka warna biru gelap dan putih, suka makan makanan laut, minum jus lobak, suka main tenis, suka...” Bicaraku tergantung. Pandangan Haqem menoktahkan bicaraku. Bagai baru tersedar aku tidak patut berkata sedemikian. Haqem tersenyum.
“Terima kasih, Lia. Terima kasih sebab masih mengingati semua itu. Saya sungguh gembira” ujar Haqem tersenyum ceria. Aku tersenyum sekilas. Tersilap tingkah lagi.
“Saya dah lama mengenali awak” jelasku tidak mahu Haqem salah pengertian. Haqem masih senyum. Memang dia gembira saat ini. Sudah lama tidak nampak senyuman ceria Haqem.
“Saya juga lebih mengenali awak berbanding Aqel” sahut Haqem. Aku tersengih. Tidak dapat menyangkal kenyataan Haqem itu.
 “Nak beli apa untuk Aqel?” tanyaku meminta pendapat Haqem sambil memikirkan sendiri. Pelbagai pilihan yang boleh dijadikan hadiah untuk Aqel ada di premis ini. Namun masih sukar hendak memilih hadiah yang boleh melenyapkan rasa terkilan Aqel.
“Apa kata awak beli t-shirt ini? Aqel suka pakai t-shirt waktu santai-santai” saran Haqem. Aku dan Haqem menatap t-shirt lelaki yang tergantung di depan kami. Ada pelbagai warna dan corak. Pandanganku tertumpu pada t-shirt merah beruang itu. Aku tersenyum sendiri.
T-shirt teddy bear ni pun okey. Nampak comel” ujar Haqem sambil memegang t-shirt merah yang menarik perhatianku. Laju aku menggeleng.
“Aqel dah ada t-shirt macam ni” jelasku. Haqem menatapku.
“Awak hadiahkan untuk Aqel?” tanya Haqem. Aku menggeleng kepala.
“Dia sendiri yang ambil t-shirt beruang merah kesayangan saya itu” rungutku. Betapa aku sayang akan t-shirt merah itu. Namun mak telah meminjamkan t-shirt beruang itu kepada Aqel. Kemudian Aqel menjadikan sebagai hak mutlak. Aku mengeluh kecil mengingati semua itu.
“Mana t-shirt teddy bear itu sekarang?” tanya Haqem.
“Ada dia simpan dalam almari pakaiannya” jelasku mencebik. Teringin juga hendak mengambil kembali. Namun memikirkan t-shirt itu pernah tersarung di tubuh Aqel, aku pendam sahaja niat itu. Pelik tengok Aqel bersungguh-sungguh hendak memiliki t-shirt itu. Padahal dia pakai t-shirt yang berjenama. Bukan yang dibeli di pasar malam.
“Cemburu saya...awak berkongsi baju dengan Aqel” ujar Haqem tidak berselindung. Kupandang Haqem. Aku diam.
“Kita cari di bahagian sana” ajak Haqem mendahului langkahku. Aku mengekori Haqem. Walaupun Haqem memberikan beberapa cadangan, akhirnya aku buat pilihan sendiri. Ikut gerak hati. Gadis comel bermata besar ini tampak comel. Berkaki spring yang boleh ditekan-tekan. Memang sesuai diletak di atas dashboard kereta. Setiap kali spring ditekan pasti gadis bergaun merah ini akan tersenyum sambil mengenyitkan mata. Harap-harap boleh tebus kekecewaan Aqel terhadapku.
“Terima kasih sebab sudi luangkan masa tolong saya cari hadiah ini” ujarku berbesar hati sambil menunjukkan hadiah yang tersimpan dalam kotak kecil yang cantik. Terhutang budi kepada Haqem. Haqem senyum.
“Tak banyak pun yang boleh saya bantu. Akhirnya awak sendiri juga yang buat pilihan” sahut Haqem. Aku tergelak kecil. Mahu kelainan.
“Harap-harap Aqel akan menyukai hadiah ini” luahku tanpa berselindung. Haqem menatapku.
“Saya cemburu Aqel dapat hadiah daripada awak” ujar Haqem buat aku terdiam. Aku dan Haqem berpandangan. Terasa bersalah pula memohon pertolongan Haqem.  
“Tak pe... Lain kali saya beli hadiah untuk awak” ujarku seakan memujuk Haqem. Cuba melenyapkan perasaan cemburu itu. Haqem senyum.
“Janji?” tanya Haqem persis anak kecil yang teruja hendak mendapatkan hadiah. Aku mengangguk dan tersenyum. Tercuit hati melihat tingkahlaku keanak-anakan Haqem.
“Belanja saya minum sebab tolong awak hari ini” pinta Haqem.
“Oh..., tolong tak ikhlas ye...” kutukku buat Haqem tergelak.
“Dahaga sebab dah terlebih cakap hari ini. Suruh beli itu...ini...tapi awak ikut juga pilihan sendiri” kutuk Haqem tidak puas hati. Aku tergelak.
“Okey...okey... Mari saya belanja awak minum dan makan sekali” ajakku buat Haqem tersenyum lebar. Kemudian beriringan melangkah meninggalkan premis ini. Sempat melirik ke arah kotak kecil di dalam beg kertas yang kubimbit ini. Aku tersenyum sendiri. Mahu pujuk rajuk Aqel. Tidak sedar Haqem sedang memerhatikan tingkahlaku itu. Sekali lagi Haqem rasa cemburu. Cemburu kepada Aqel.



1 comment:

  1. Assalamualaikum...selamat malam. ketemu lagi. mohon kemaafan setelah sekian lama membuatkan kalian menunggu sambungan NBF. diharap anda berpuas hati n3 kali ini.

    ReplyDelete