Monday, 14 November 2016

Awaklah Sonataku....Saranghae....2



BAB 2
                        Aku dapat gaji hari. Awal-awal lagi aku dan Suzan sudah merancang akan berkunjung ke premis Speedy. Satu kemestian. Usai waktu kerja, kulangsaikan solat zohor. Kemudian barulah kami berangkat ke destinasi yang dituju.
                      “Awak nak beli cerita apa pula kali ni?” tanya Suzan sebaik sahaja melangkah ke di premis ini. Pelbagai judul drama dan filem korea sudah berada di depan mata. Kami sering berkunjung ke sini.
                        “Lakonon Gwon Sang-Wu. Saya nak koleksi semua movienya. Yang lepas-lepas dan yang terbaru saya dah ada cuma satu saja yang belum dibeli. ‘My Love By My Side’ terbitan tahun 2009” jelasku panjang lebar dan bersemangat.
                        “Awak dah tengok movie tu. Cerita lama” tingkah Suzan.
                        “Betul tapi saya nak miliki juga cerita tu, nak tambah koleksi movie aktor tu. Satupun tak boleh tertinggal tau” jelasku. Anak mataku melilau mencari-cari dalam deretan dvd yang ada di sini. Informasi daripada tuan kedai ini, dvd yang aku cari itu berada di rak belakang ini.
                        “Awak tolong tengok ye” pintaku. Bimbang terlepas pandang.
                        “Okey...” sahut Suzan bersedia menjalankan misi pencarian. Aku dan Suzan berpisah mencari arah haluan masing-masing. Di bahagiann movie Korea ini, aku meneruskan pencarian pada rak kedua. Aku memandang sekitar premis ini jika ada pekerja yang boleh membantuku. Lebih mudah dan menjimatkan masa dan tenaga. Tampak gadis itu sedang sibuk melayan pelanggan lain.
                        “Ke mana pula pekerja yang lain?” keluhku. Aku menatap jam di tangan. Patutlah waktu rehat sekarang. Bukan salah mereka. Aku dan Suzan yang salah pilih waktu. Aku meneruskan pencarian pada rak yang lain lagi. Anak mataku terpaut pada wajah aktor kacak Jung Ji-Hoon atau lebih dikenali sebagai Bi Rain. Pandanganku terus menyusuri deretan movie yang dibintangi oleh aktor kacak ini. Walaupun aku telah memiliki kesemua cakera padat lakonan dan lagunya, namun aku masih mahu menilik-nilik. Belum puas hati. Segar mata menatapnya. Sungguh langsung tiada perasaan bosan mengulangi sekian kali. Bolehlah aku dinobatkan sebagai peminat fanatik aktor-aktor Korea ini. Mereka bukan sahaja tampan-tampan malah lakonan mereka sungguh berkualiti. Tampak hidup bukan sekadar lakonan semata-mata. Tambahan pula jalan cerita pun menarik.
                        “Oh... di sini...” tuturku sendirian lalu memanjangkan tangan mencapai movie yang kucari-cari selama ini. Belum sempat aku mengangkat dvd tersebut dari raknya, ada tangan putih mulus juga turut memegangnya. Aku terpegun seketika melihat kejelitaan gadis di sebelahku ini. Sungguh mempesonakan. Namun solekan tebal sedikit menyembunyikan kecantikan aslinya. Seakan wajah ini sering kali aku temui. Wajah yang tidak begitu asing.
“Saya nak dvd ni” tuturnya memaklumkan kepadaku.
                        “Tapi saya yang dulu dapatkannya” balasku. Kalau bab movie Korea ini apatah lagi  lakonan aktor kesayanganku, aku tidak akan mudah bertolak ansur dan mengalah. Sebegini susah aku hendak mendapatkan, tidak sewenang aku akan melepaskannya. Lainlah kalau dia yang menemuinya sebelum aku. Kedengaran keluhan gadis ini.                       
“Awak minta tuan kedai tu order lagi. Next day awak dapat juga movie ni” arahnya membangkitkan rasa kurang senangku. Pat-pat suku lipat, siapa cepat dia yang dapat. Ternyata dia tidak mahu mengikut peraturan ini.
                        “Minta maaf cik. Cik yang kena tunggu order baru sebab saya yang dulu dapat movie ni” tegasku tidak mahu mengalah.
                        “Tapi saya nakkan movie ni sekarang . Okey... awak beli dvd ni, kemudian awak jual pada saya dengan harga dua kali ganda dari harga asal. Setuju?” cadangnya cuba memancing kesudianku dengan nilai gandaan itu. Tidak! Tidak! Muktamad! Dia ingat aku ini tamakkan duit.  Geramnya. Muka sahaja cantik tetapi tidak tahu bersopan dan menjaga perasaan orang lain. Riak dengan kemewahan yang dimilikinya.
                        “Minta maaf banyak-banyak. Saya tak berminat dengan tawaran cik. Saya pun dah lama cari movie ni. Hari ini baru jumpa” balasku tidak berminat dengan tawaran berganda itu. Gadis seperti ini harus diajar agar dia sedar bahawa tidak semua boleh dibeli dengan wang. Dia mengeluh panjang sambil menatapku. Liar matanya menilikku. Agaknya sedang membuat perbandingan antara aku dengan dirinya. Pasti bagai langit dengan bumi. Jurang yang sangat jauh.
“Kerja restoran?” tiba-tiba terpancul pertanyaan itu dari mulutnya. Aku sedikit tersentak.
                        “Ye... jaga kaunter makanan segera” balasku bersahaja. Tidak ada hina kerja sedemikian asalkan rezeki itu halal. Paling penting aku ada majikan yang baik. Tidak pernah aku lupa tentang kebaikan Encik Rizal.
                        “Beli dvd ni ada lebih wang nanti nak bayar yang lain?” tanyanya seraya tersenyum sinis menjeling sekilas ke arahku. Bicaranya berbaur sindiran dan penghinaan. Aku mengetap bibir. Geram.
“Awak dah dapat ke movie tu?” Panas hatiku melihat kesombongan dan keangkuhan gadis ini. Belum sempat aku membuka mulut melancarkan perang, ada pula suara lelaki yang menyapa di belakangku.
                        “Tinggal satu saja tapi pekerja restoran ni nak juga” tuturnya merengek manja membuatkan aku meluat mendengarnya. Kugenggam erat dvd yang berada dalam tanganku. Aku tidak akan menyerahkan dvd ini kepada gadis ini.
                        Let’s go....” ajak lelaki di belakangku ini.
                        But honey, saya nakkan movie ini juga” tuturnya berdegil. Sebal aku melihat tingkahlakunya. Manja yang sengaja dibuat-buat.
                        “Takpe nanti  saya pergi Korea beli sebanyak mana yang awak mahu cerita tu dan bawa sekali aktor tu datang sini” balas suara itu bersahaja. Aku tersenyum sendiri. Ada lawak di sebalik bicara itu.
                        “Pelik betul orang perempuan ini tergila-gilakan sangat movie macam tu. Kalian ingat aktor-aktor itu akan kenal peminat mereka? Jangan mimpilah” rungutnya pula. Pedas bicara pemuda yang berdiri di belakangku ini. Perlahan-lahan aku berpaling. Maka matapun bertaut. Kami beradu pandangan seketika. Terasa seakan jantungku terhenti berdegup. Jung Ji-Hoon, Gwon Sang-Wu, Lee Dong Geon, Hyeon Bin, Song Seung Heon, Jang Hyun, Song Joongki silih berganti nama aktor-aktor Korea itu berlegar-legar di kepalaku. Hari ini aku ditakdirkan dipertemukan dengan pemuda Korea.
                        “Awak boleh cakap Melayu?” tanpa kuduga perlahan-lahan sebaris ayat itu keluar dari mulutku. Kagum. Aku terpaku pada seraut wajah ini.
                        What?”Terkebil-kebil matanya menatapku. Aku terdiam kembali. Namun sempat juga aku mentenyah-tenyah mataku beberapa kali. Bimbang aku hanya bermimpi kerana aku boleh berkhayal dalam sedar. Kebetulan aku memang selalu didatangi mimpi sebegini.
                        “Kita dah lewat ni, let’s go” ajaknya sekali lagi. Dia langsung tidak terganggu dengan pandangan mataku yang tidak berganjak menatapnya. Terikat di wajahnya yang nan putih bersih itu. Sungguh sempurna hamba ciptaan Allah yang berada di depanku saat ini. Bergetar jiwa ragaku menatap seraut wajah  ini. Mataku membutang menatap pemuda ini. Terpukau.
                        Honey, saya nak movie tu juga” rengeknya lagi. Meremang bulu romaku mendengar suara manja gadis ini. Aku masih terpaku menatap seraut wajah ini. Dadaku berdegup kencang. Inikah yang dinamakan jatuh cinta pandang pertama? Pemuda ini telah memukauku.
                        Are you okey?” sayup-sayup suaranya kedengaran. Lidahku kelu hendak menyahut bicaranya. Dia melangkah mendekatiku lantas mencapai tanganku. Aku terkedu. Terasa panas tangannya tatkala bersentuhan dengan tanganku.
                        Honey, apa yang awak buat ni?” tanya gadis itu kurang senang. Aku tersedar. Laju aku menarik tanganku namun genggamannya begitu kuat. Aku  marah dengan perlakuannya yang kurang sopan ini. Selama ini tidak pernah seorang pun lelaki menyentuhku mahupun memegang tanganku sedemikian. Dialah orang pertama. Tiba-tiba hatiku meraung kesedihan. Dia telah mencemari impianku. Tidak guna punya lelaki! Namun menatap wajah itu marahku tidak terluah. Aku hanya terpaku dan tergamam kembali.
“Kita takde masa lagi. Ini saja caranya” bicaranya yang tidak aku fahami.
                        Sorry ye....” tuturnya lantas menarik tangan gadis ini beredar pergi meninggalkan aku yang masih termangu-mangu. Persis aku telah dipukau.
                        “Iman, kenapa ni?”Aku tersentak. Suzan sudah berada di sisiku.
                        “Dah jumpa movie tu?” Movie? Aku menatap genggaman tanganku. Dvd yang kupertahankan tadi tiada di tanganku. Namun yang ada cuma not RM100. Aku melontor pandangan keluar. Tampak pemuda itu memandangku sebelum kelibatnya hilang di sebalik kereta Mercedez Benz hitam metalik itu.
                        “Wah, tampannya pemuda itu!” puji Suzan terpegun. Pemuda itu bersama kekasihnya telah melarikan dvd yang sepatutnya akulah yang layak milikinya. Betapa jahat mereka. Orang kaya yang suka menindas.
                        “Apa yang berlaku?” tanya Suzan hairan. Aku tidak menjawab pertanyaan Suzan. Sebaliknya terus ke kaunter meminta penjelasan daripada tuan premis ini. Dvd tersebut telah dibayar oleh pemuda itu. Mengapa dia harus meninggalkan not RM100 kepadaku? Dalam perjalanan balik, aku menceritakan kejadian tadi kepada Suzan. Suzan tertawa besar.
                        “Agaknya duit itu ganti rugi untuk awak” sewenangnya amoi seorang ini membuat telaahnya. Aku mengetap bibir. Panas juga hati diperlakukan sedemikian apatah lagi tatkala mengingat tingkahlaku gadis itu.
                        “Nasib baik muka dia pujaan hati awak, kalau tak pasti dah jadi batu kena sumpah” tambah Suzan berlawak. Aku ketawa mendengar gurauan Suzan itu. Amarahku sedikit berkurang.
                        “Pemuda itu memang macam aktor Korea, Sue. Agaknya dia tu aktor Korea yang melancong ke sini. Bestlah kalau dapat jumpa dia lagi” tuturku seakan mengharap pertemuan kedua sekali gus melupakan kemarahanku sebentar tadi. Mahu mendapatkan tandatangannya. Nanti dengan bangganya boleh ditunjukkan kepada Linda dan Kak Leha. Pasti mereka tergamam. Linda sudah pasti akan berhenti memperlekehkanku kerana aku telah berjaya menjejaki jejaka Korea.
                        “Biji mata awak tu dah terlalu banyak tengok cerita Korea, macam itulah jadinya... orang Malaysia jadi mamat Korea pula” kutuk Suzan disusuli dengan gelaknya. Tidak percaya dengan pandangan mataku.
                        “Macam mana awak tahu dia orang Malaysia?” tanyaku hairan. Aku sendiri tidak mengetahui identiti pemuda itu. Ajaib.
                        “Kan awak kata tadi dia cakap Melayu. Pasti orang sinilah tu” tegas Suzan penuh yakin. Aku diam. Berfikir seketika. Betulkah orang Malaysia? Mustahil! Wajah 100% wajah pemuda negara K-POP itu. Penampilan pun trend orang Korea. Rambutnya perang setakat bahu dan tampak sedikit beralun. Kulitnya putih kapas. Agaknya pemuda Korea yang fasih berbahasa Melayu. Mungkin sedang belajar atau bekerja di sini.
                        “Awak kata tadi dia ada girlfriend” Aku mengangguk. Lagak gadis itu buat sakit hati. Kejelitaan wajahnya sedikit terjejas. Kalaulah dia tidak bersolek tebal pasti lebih jelita lagi. Pandai-pandai pula aku membuat andaian sendiri. Aku tersenyum.
                        “Aik.. senyum sendiri nampak. Mesti ada yang tak kena ni” teka Suzan. Kutulikan telinga lalu menyandarkan tubuh kemas-kemas di kerusi. Wajah pemuda itu kembali berlegar di ruang mataku. Terlalu jauh aku hendak berangan-angan memiliki hatinya. Akhirnya aku membuat keputusan cukup sekadar aku memuja aktor kacak Korea kerana mereka memang untuk dipuja oleh sekalian manusia yang meminati mereka. Muktamad!


                        ORDER adik set Chocolate Cupcake, set Cheese Cupcake dan dua set Mini Choc Cupcakes. Empat gelas milo ais. Semua RM20.00” Budak lelaki yang masih berseragam sekolah ini mengeluarkan duit dari poket seluarnya lalu menghulurkan kepadaku. Aku menyambut dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. Terasa rindu pula pada zaman persekolahan.
                        “Terima kasih dan sila datang lagi” ujarku seraya menghulurkan menu yang telah dipesan sebentar tadi. Aku menarik nafas lega. Tugas terakhirku pada hari ini telah selesai. Syukur semua berjalan lancar. Sham sudah bersedia mengambil-alih tugas seterusnya di bahagian chasier.
“Bos suruh awak jumpa dia sekarang” beritahu Arlen. Aku terkejut dan menelan liur. Seingat aku tidak ada kesalahan yang telah aku lakukan hari ini. Sebelum melangkah ke bilik Encik Rizal, terlebih dahulu aku menemui Suzan memaklumkan perkara tersebut agar dia tidak tercari-cari aku. Aku juga memintanya agar balik dahulu kerana khuatir pertemuan ini akan mengambil masa yang lama. Namun Suzan menunjukkan kesetiaan kerana masih mahu menungguku. Lantas aku mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Suzan. 
                        “Encik Rizal nak jumpa saya?” tanyaku tatkala melangkah masuk ke bilik pejabat ini. Dia mengangguk dan tersenyum. Bos muda ini sangat murah dengan senyuman.
                        “Duduk Iman” arahnya lantas menutup fail di depannya. Aku menurut  perintah. Kutatap wajah Encik Rizal yang sudah bersedia hendak berbicara denganku.
                        “Hari ini awak terpaksa amik OT. Nanti bersiap-siap dalam pukul 8.00 malam saya jemput awak di rumah” jelasnya. Aku terkedu.
                        “Nak pergi mana Encik Rizal?” tanyaku hairan. Selalunya kerja lebih masa di premis ini sahaja. Tidak pernah pula aku balik ke rumah kemudian mesti turun kerja semula. Ada dua shif kerja sehari.
                        “Kita jumpa klien di Daejeon Legend Hotel. Kalau berjaya malam ini ada job baru untuk Rozana Cupcake Conner. Important” jelas Encik Rizal bersungguh-sungguh. Aku terkedu. Risau juga Bimbang dengan perjumpaan formal sedemikian. Pasti aku kekok nanti kerana aku tidak pernah menghadiri pertemuan sedemikian. Apatah lagi di tempat ekskulsif sebegitu. Ada perasaan gugup menyelubungiku.
                        “Baiklah Encik Rizal” Lambat-lambat aku memberi persetujuan. Tidak mampu menolak kerana ini melibatkan bidang kerjaku. Arahan majikan selagi tidak memudaratkan diri harus dipatuhi. Namun sedikit rasa tertekan membayangkan pertemuan malam ini. Aku melangkah longlai mendapatkan Suzan. Bimbang aku tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan oleh Encik Rizal. Tanggungjawab besar memikat hati klien agar mahu bekerjasama dengan Rozana Cupcake Conner. Perkara ini bukan mudah. Keistimewaan dan bijaksanaan harus diperlihatkan kepada klien. Mampukah aku?
                        “Kenapa? Nampak tak bersemangat awak selepas jumpa bos” tegur Suzan. Dia menyedari perubahan tingkahlakuku saat ini.
                        “Malam ini kena temankan Encik Rizal jumpa klien. Nak dapatkan job  baru untuk RCC” jelasku. Tiba-tiba sahaja Suzan ketawa mengundang rasa pelikku.
                        Chaiyok...! Chaiyok... Iman! Memang betullah bos ada hati pada awak” usik Suzan dengan sengihan panjang. Terbeliak mataku menatap Suzan. Tidak senang hati mendengar tanggapan sedemikian.
                        “Hey...ini kerjalah bukan keluar dating!” balasku membetulkan kata-kata Suzan. Suzan masih tergelak-gelak. Suka.
                        “Peribahasa kata sambil menyelam sambil minum air” Suzan tergelak lagi. Pandai pula amoi ini berbahasa kiasan. Aku tidak mengendahkan usikan Suzan sebaliknya masih memikirkan tentang pertemuan malam ini. Mampukah aku berperanan seperti yang Encik Rizal harapkan? Malam ini kami mesti berjaya mendapatkan kepercayaan mereka untuk bekerjasama dengan Rozana Cupcake Conner. Maka kami wajib menunjukkan kemampuan dan kekuatan serta keistimewaan yang dimiliki oleh Rozana Cupcake Conner. Bukan senang hendak memikat hati usahawan yang terulung ini.
                        “Pakai cantik-cantik tau malam ni. Chaiyok! Chaiyok Iman” Sekali lagi Suzan memberikan kata-kata semangat buatku namun masih dalam nada usikan.
                        “Saya yakin awak boleh buat. Chaiyok!” ulangnya lagi sebelum meninggalkan aku di perkarangan rumah sewa yang kudiami bersama Linda dan Kak Leha. Aku membalas lambaian tangan Suzan dengan longlai. Kulepaskan keluhan sekian kali. Tepat pukul 8.00 malam aku sudah siap sedia menanti kedatangan Encik Rizal seperti yang telah dijanjikan. Kedengaran bunyi kereta memasuki halaman. Segera aku keluar. Aku menarik nafas dalam-dalam. Banyak-banyak kupanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar urusan malam ini berjalan lancar. Aku tidak mahu mengecewakan Encik Rizal.
                        “Kau boleh buat Iman. Chaiyok!” bisik hatiku. Cuba memotivasikan diri sendiri. Encik Rizal tersenyum menyambut kedatanganku. Terasa segan pula tatkala dia menguak pintu kereta untukku. Janggal dengan tindakannya itu kerana aku hanyalah orang bawahan. Tidak layak mendapat layanan istimewa.
                        “Cantik awak” pujinya sambil menatapku. Aku tersenyum. Aku langsung tidak teruja dengan pujian ini. Jauh sekali bangga. Pujian ini mungkin sekadar mahu menyedapkan hatiku. Ramai gadis yang lebih cantik yang pernah ditemui oleh Encik Rizal selama ini.
                        “Saya tak pandai sangat nak bergaul dengan orang luar, apatah lagi kalau golongan VIP, Encik Rizal” terus-terangku. Tidak mahu Encik Rizal menggantung harapan yang tinggi kepadaku. Bimbang kecewa nanti. Encik Rizal tersenyum.
                        “Jangan stress okey” balasnya. Dia dapat mentafsir perlakuan dan raut wajah yang kupamerkan tika ini.
                        “Dari sekarang awak kena belajar semua ini. Dulu saya pun macam itu juga” tambahnya lagi. Berkongsi pengalaman denganku.
                        “Tapi semua ini takde kepentingan pada saya. Saya ini pekerja biasa je Encik Rizal. Lainlah Encik Rizal...ada bisnes sendiri” tuturku ikhlas dan merendah diri. Sedar dengan kenyataan.
                        “Siapa kata tak penting. Ini pengalaman berguna. Mana tahu suatu hari nanti akan berguna kepada awak” tingkahnya tidak bersetuju dengan kata-kataku. Aku diam seketika memikirkan bicara Encik Rizal. Ada benarnya. Suatu hari nanti jika aku ditakdirkan berkecimpung dalam perniagaan, pasti semua ini begitu penting. Aku tersenyum sendiri kerana sempat juga berangan-angan.
                        “Sebenarnya semua maklumat yang mereka nak telah difaks. Kita cuma jawab saja pertanyaan mereka nanti. Lebih berkesan komunikasi dua hala. Awak tolong saya catat, tak pun tolong senyum bagi pihak saya” tutur Encik Rizal berlawak. Aku tersenyum. Tolong catat? Kenapa bukan Florina yang ikut sama kerana dia setiausaha Encik Rizal. Ada kemusykilan berlegar di benakku. Barangkali Florina ada masalah menyebabkan dia tidak dapat datang pada malam ini, maka aku menjadi pengganti. Aku berteka-teki sendiri.
                   Tidak lama perjalanan sampai di destinasi yang dituju. Aku terpegun melihat bangunan Daejeon Legend Hotel yang tersergam indah dan mewah. Daejeon merupakan tempat kelahiran Gwon Sang-Wu aktor yang bersuara romantik. Fakta ini sudah melekat dalam memoriku. Kedatangan kami disambut oleh senyuman dua orang gadis berpakaian chima-jeogori serta rambut yang bersanggul rapi. Tampak unik dan cantik. Sempat juga mataku melirik ke arah pekerja yang bertugas  lengkap dengan pakaian seragam bercirikan hanbok yang diolah moden. Gabungan warna merah dan putih cukup menyerlah. Pemilik hotel ini mempunyai citarasa yang tinggi dan unik.
                        Kami dipelawa duduk di ruangan khas tempat perbincangan. Sinaran lampu kristal mempamer kemewahan. Deklorasi hotel ini memang bercirikan budaya Korea. Aku begitu teruja berpeluang berada di tempat mewah sebegini. Terima kasih Encik Rizal. Kalau bukan kerana majikanku ini, pasti seumur hidup ini aku tidak berpeluang menjejakkan kaki ke tempat mewah sebegini.
                        “Hotel ini milik orang Korea tapi kahwin dengan orang Malaysia” cerita Encik Rizal menjawab persoalan yang berlegar di benakku. Aku teringat pada pertanyaan Linda. Pasti malam ini buat pertama kali aku akan bertemu dengan generasi kacukan Malaysian-Korean. Satu cerita menarik hendak diceritakan kepada Linda nanti.
                        “Mereka dah sampai” bisik Encik Rizal. Aku melontar pandangan ke situ. Seorang lelaki pertengahan usia bersama dua orang lelaki yang hampir seusia dengan Encik Rizal. Mungkin anak-anaknya ataupun pembantunya. Aku menatap wajah-wajah itu. Wajah-wajah lelaki Melayu. Seorang pun tiada menampakkan wajah orang Korea.
                        “Lama dah sampai?” sapa lelaki yang lebih berusia ini. Aku dan Encik Rizal sudah bangun. Baru jelas wajah lelaki ini. Matanya sedikit sepet. Aku yakin dialah pemilik empayar perniagaan ini yang merupakan generasi kacukan Malaysia-Korea. Namun wajah kemelayuan lebih menyerlah dalam dirinya menenggelamkan ciri-ciri orang Korea. Lebih banyak genetik Melayu. Sukar hendak mendapat kepercayaan Linda jikalau wajah ini dijadikan bukti pertemuanku dengan orang Korea pada malam ini. Mudah sahaja Linda akan mengatakan yang aku berangan-angan lagi.
“Baru sampai sebentar tadi Datuk” Encik Rizal bersalaman dengan mereka dan aku hanya mengangguk seraya tersenyum. Sapaan perkenalan. Sedikit gemuruh. Pengalaman pertama bertemu dan duduk semeja dengan ahli perniagaan yang terulung.
                        “Silalah duduk” pintanya setelah melihat aku dan Encik Rizal masih berdiri. Kami menurut sahaja. Berhati-hati aku melabuhkan duduk. Risau tersilap tingkah yang boleh memalukan diri sendiri.
                        “Datuk, saya perkenalkan ini Cik Iman” ujar Encik Rizal memperkenalkan aku kepada lelaki ini.
                        “Cantik nama secantik orangnya” pujinya. Aku tersenyum mendengar usikan ini. Melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh lelaki ini sedikit demi sedikit perasaan gemuruhku hilang. Aku dapat menilai sikap Datuk Kamarudin ini. Dia seorang yang ramah dan merendah diri. Tutur bahasanya sopan dan lembut. Bicaranya penuh motivasi. Dia seringkali memuji-muji kebolehan Encik Rizal malah cukup bangga dengan pencapaian Encik Rizal sekarang. Ternyata perbincangan malam ini tidak sesukar yang aku fikirkan.
                        “Datuk ada hal ke?” tanya Encik Rizal. Barangkali dia juga sepertiku menyedari tingkahlaku Datuk Kamarudin yang kelihatan sentiasa mengawasi pergerakan masa jam tangannya.
                        “Saya menanti kedatangan anak muda saya yang mahu saya perkenalkan kepada Encik Rizal. Dia baru balik dari Korea” tutur Datuk Kamarudin memberi penjelasan. Aku begitu sensitif mendengar perkataan Korea itu. Teruja hendak menatap wajah anak muda itu. Pasti kacak kerana kacukan Korea-Melayu. Datuk Kamarudin segak juga orangnya.
                        “Cuba call dia sekarang” arah Datuk Kamarudin kepada lelaki di sebelahnya. Lelaki itu menurut perintah Datuk Kamarudin. Tampak dia berbual-bual di talian seketika.
                        “Encik Yen dalam perjalanan Datuk” ujarnya memaklumkan. Datuk Kamarudin mengangguk. Perbualan Encik Rizal dengan Datuk Kamarudin semakin rancak. Aku hanya menjadi pendengar setia dan sesekali menjawab pertanyaan Datuk Kamarudin. Adakalanya aku turut diminta memberikan pendapatan dalam sesuatu topik perbincangan.
                        “Saya suka dengan pendapat Cik Iman” tutur Datuk Kamarudin. Aku senyum. Begitu juga dengan Encik Rizal. Pujian yang nampak ikhlas.
                        “Bertuah Encik Rizal ada pekerja bijak seperti Cik Iman ini” pujinya lagi. Kulihat semakin lebar senyuman Encik Rizal. Sebagai bos barangkali dia bangga aku dipuji sedemikian. Kedengaran bunyi derap langkah yang semakin dekat. Semakin lama semakin jelas bunyi sepatunya. Bunyi sepatu itu berhenti tepat-tepat di belakangku. Perbualan yang rancak antara Encik Rizal dengan Datuk Kamarudin terus lenyap.
Aku berpaling lalu pandanganku melekat pada sepasang Amerikan boot hitam berkilat kira-kira separuh lagi mahu sampai ke paras lutut. Seluar jeans hitam ketat. Ada jalur-jalur koyak. Sengaja dicipta sedemikian rupa untuk yang berjiwa rock. Berjaket kulit hitam separas lutut. Ada rantai besi melingkari jari sehingga ke telapak tangannya. Dua bentuk cincin besar di jarinya. Di pergelangan tangannya dilingkari gelang besi. Kuangkat sedikit kepala. Ada subang di telinganya. Beberapa utas rantai bertali hitam dan berloket tergantung di leher. Rambut perang sedikit panjang dan beralun diikat di belakang dan berjuntai di depan. Susuk tubuh tinggi sedikit kurus sudah terpacak di sisiku. Aku terus mengamatinya. Kulit putih bersih, hidung mancung, sepasang mata yang menarik sedikit  sepet, kening yang terbentuk indah dan bibir nipis yang merah. Di belakangnya tersangkut sebuah gitar yang tersimpan di dalam casenya. Si Rocker yang cukup mempesonakan. Tiba-tiba pandanganku dengan pemuda itu bertaut.
You....!” “Awak....!” serentak perkataan itu keluar dari mulutku dan mulut pemuda ini. Rupa-rupanya dialah jejaka Korea itu. Yang lain terlopong memerhatikan gelagat kami. Manakala Encik Rizal masih terdiam. Barangkali terkejut melihat penampilan pemuda ini dan tidak menyangka sebegini anak Datuk Kamarudin, pemilik empayar perniagaan yang terulung. Berbeza sungguh dengan identiti anak mudanya persis seorang pemuzik rock. Sungguh berbeza penampilan kedua-dua beranak ini. Sedikit pun tiada persamaan.
“Linda... malam ini aku telah menemui pemuda Korea di bumi Malaysia. Suzan pemuda yang telah melarikan vcd tempoh hari sekarang berada di depanku...” bisik hatiku sambil bertentangan mata dengan anak muda Datuk Kamarudin ini.