Bab 9
“Assalamualaikum...
Kak Ros” sapa Aunie menjawab panggilan itu.
“Waalaikumussalam...
Kamu di mana sekarang? Cepat datang sini...” arah Kak Ros. Kedengaran suaranya
cemas.
“Kenapa Kak Ros?”
tanya Aunie resah. Persis ada sesuatu yang tidak elok sedang berlaku.
“Kawan-kawan kamu
ada di sini sekarang” ujar Kak Ros memberi penjelasan.
“Kawan-kawan
saya?” tanya Aunie semula. Dahinya berkerut. Seingatnya dia tidak memiliki
ramai kawan. Cuba diingat nama-nama kawan yang dia ada. Kebanyakan mereka
berada di luar negara menyambung pengajian masing-masing. Ada juga yang sudah
bekerja.
“Jersi 10 dan dua
orang kawannya yang datang ke butik tempoh hari. Mereka nak jumpa kamu” Kak Ros
memberi penjelasan terperinci.
“Apa?” Aunie
tersentak dan terkedu. Sudah terbayang kekecohan Cheng. Risau pemuda itu akan
meminta bermacam-macam daripada Kak Ros dan mamanya tanpa segan-silu. Lagaknya
persis membuat pesanan di restoran. Bertmbah lagi kemurkaan mPuan Aisyah Adiba. Pasti keadaan
tidak akan terkawal.
“Mama ada di
sana?” tanya Aunie cemas. Mahu kepastian.
“Ada dalam bilik pejabat. Belum keluar lagi. Kali ini mereka nampak pelik...” ujar Kak Ros
membingungkan Aunie. Menambah kebimbangan gadis ini.
“Suruh mereka
tunggu saya di Restoran Mutiara” pinta Aunie. Mahu cepat Eymar dan
kawan-kawannya beredar dari situ sebelum Puan Aisyah Adiba menyedari akan kehadiran
mereka. Cuba menghalang
pertemuan itu terjadi.
“Jersi 10 nak
tunggu kamu di sini” jelas Kak Ros tidak berdaya. Aunie mengetap bibir menahan
gelodak perasaan. Mungkin Eymar mahu memberi pengajaran kepadanya. Mahu melihat
dia dalam ketakutan. Misi membalas dendam. Aunie tidak mampu mengarahkan Kak
Ros menghalau Eymar dan kawan-kawannya. Bimbang mereka akan bertindak liar jika
diperlakukan sedemikian. Mereka mampu melakukan apa sahaja jika maruah mereka
tercalar.
“Suruh mereka
duduk diam-diam. Sekejap lagi saya datang sana. Assalamualaikum... Bye...” ujar
Aunie terus mematikan panggilan itu. Nombor
iPhone pemuda itu ditekan. Dia menanti panggilan itu dijawab.
“Awak jawab
sekarang” arah Aunie berbicara sendiri. Dia berharap Eymar akan menjawab
panggilan itu. Kedengaran suara perempuan mengarahkan pesanan ditinggalkan. Panggilan
ini seperti sengaja diabaikan. Pemuda itu tidak mahu menjawab panggilan itu.
Resah dan gelisah
dia memikirkan pertemuan Eymar dan kawan-kawannya dengan mamanya. Kemudian
teringat pada bicara Kak Ros. Aunie berlari ke laman parkir. Masuk ke dalam kereta
lalu menghidupkan enjin. Mahu segera sampai ke Butik Selendang Kasih. Cuba
menghalang pertemuan Puan Aisyah Adiba dengan Eymar dan kawan-kawannya. Tidak
dapat membayangkan rasa terkejut mamanya berhadapan dengan pemuda-pemuda itu.
“Mama tak boleh jumpa
mereka” ujar Aunie mengingatkan diri sendiri. Laju kereta itu dipandu. Lebih
cepat sampai ke destinasi. Aunie bergegas keluar dari kereta. Dia berlari ke
Butik Selendang Kasih. Daun pintu ditolak.
“Tak sempat nak
berbuat apa-apa lagi” keluh Kak Ros sambil melontar pandangan ke arah mereka.
Aunie menyoroti pandangan Kak Ros. Dia mendengar suara Eymar berbual-bual dengan Puan Aisyah Adiba. Pertemuan yang cuba dihalang itu sedang berlangsung. Tiada ketegangan.
Perbualan yang santai. Sedikit mententeramkan hati Aunie.
“Mereka nampak
pelik terutama kawan-kawan Jersi 10 tu” ujar Kak Ros separuh berbisik. Cuba
mengawal suara. Tidak mahu bicara didengar oleh mereka.
“Pelik apa pula
Kak Ros?” Aunie kembali gelisah. Tidak tenang mendengar bicara Kak Ros. Persis
ada perkara buruk bakal berlaku.
“Kamu pergilah
tengok sendiri” arah Kak Ros tidak mahu memberi penjelasan lanjut. Ditarik nafas dalam-dalam lalu memulakan
langkah. Hatinya berdebar-debar mengingatkan bicara Kak Ros sebentar tadi. Tidak
mahu melihat mamanya pengsan berhadapan dengan Eymar dan kawan-kawannya.
“Oh... ini pun
kamu! Kuliah petangkan... pergi mana tadi?” tanya Puan Aisyah Adiba.
“Pergi
perpustakaan sekejap. Tak tahu mereka nak datang sini” ujar Aunie sambil terkebil-kebil
menatap Raju yang berpakaian kurta dan Cheng bersamfu. Mereka tersengih menatap
Aunie.
“Hai...nona manis!”
sapa Cheng mesra sambil melambai tangan ke arah Aunie. Aunie tersenyum. Laju
Aunie berpaling ke arah Eymar. Aunie menarik nafas lega. Mujur juga dia tidak
berserban dan berjubah. Dia hanya memakai kemeja biru gelap petak-petak bersama
seluar slack hitam. Rambutnya disikat
rapi. Nampak kemas. Persis seorang ahli koperat.
“Duduklah di
sini...” arah Puan Aisyah Adiba tatkala menatap Aunie masih tercengat di situ.
Aunie tersenyum. Baru sedar dia masih berdiri di situ. Lantas melabuhkan duduk
di sebelah Puan Aisyah Adiba.
“Sorry... saya terlambat sampai sini.
Boleh kita pergi sekarang” Isyarat mata dihantar kepada Eymar. Mahu mengajak
mereka beredar dari situ. Rasa tidak selamat terus membiarkan Eymar dan
kawan-kawan berada di sini. Tindakan mereka di luar jangkaan.
“Nak pergi mana
pula? Buatlah perbincangan di sini. Lagipun mama belum habis lagi berbual
dengan mereka” ujar Puan Aisyah Adiba menghalang. Aunie menatap Eymar lagi.
Memohon pertolongan pemuda ini. Dia mahu Eymar bersuara meminta keizinan Puan Aisyah Adiba untuk beredar dari situ. Eymar hanya tersengih menatap Aunie. Buat-buat
tidak faham. Masih mahu bersembang dengan Puan Aisyah Adiba.
“Semalam kamu cakap
bukan hari ini nak perkenalkan kawan pada mama. Mujur juga mama tak keluar hari
ni” rungut Puan Aisyah Adiba mengungkit bicara Aunie semalam. Aunie tersengih.
Segan pula menjadi bebelan mamanya di depan Eymar dan kawan-kawannya.
“Saja nak buat
kejutan pada mama” ujar Aunie melindungi diri. Aunie mengetap bibir dengan mata
yang tajam menatap Eymar. Menahan perasaan geram melihat senyuman sinis di
bibir pemuda itu.
“Inikah orangnya
yang tangkas, mempunyai ilmu seni mempertahankan diri yang hebat?” teka Puan
Aisyah Adiba sambil menunding jari ke arah Eymar. Aunie tersedak.
“Betul puan...
teakwondo dah sampai level tali pinggang hitam. Bukan setakat itu saja malah
boleh berkungfu dan bersilat” ujar Raju memuji kehebatan Eymar sekali gus
mensahihkan bicara Puan Aisyah Adiba. Maklumat baru yang Aunie ketahui tentang
pemuda ini. Eymar hanya tersenyum mendengar Raju mempromosikan kehebatan
dirinya.
“Dia boleh terbang
sana...terbang sini” suara Cheng mencelah, menambah kehebatan pemuda ini.
Terbayang di mata Aunie aksi melayang Eymar yang pernah disaksikannya sendiri.
Puan Aisyah Adiba tergelak. Hatinya tercuit. Kehebatan yang luar biasa kalau
sudah boleh terbang sana-sini. Pasti menyamai hero Tamil dalam filem.
“Dengar macam superman pula” ujar Puan Aisyah Adiba
bersenda. Raju dan Cheng tersengih. Eymar kelihatan tenang walaupun dirinya
sedang diperkatakan.
“Lega kalau kamu
boleh lindungi dan jaga keselamatan Aunie” ujar Puan Aisyah Adiba buat Aunie
terkedu. Eymar mengangguk. Cheng dan Raju tersenyum menatap Eymar. Cuba membuat
tafsiran bicara itu berlandasan kefahaman sendiri.
“Puan jangan
risau, saya akan pastikan Aunie selamat bersama saya” janji Eymar. Puan Aisyah
Adiba tersenyum lega. Semakin mekar pula senyuman Raju dan Cheng.
“Lagipun puan tak
perlu risau sebab saya dah bawa responden yang nak ditemubual. Tak perlu nak
bahayakan diri pergi ke sarang-sarang samseng” ujar Eymar mengejutkan Aunie.
Bakal terbongkar rahsia yang disembunyikan daripada pengetahuan mamanya. Puan
Aisyah Adiba nampak keliru dengan kenyataan Eymar. Aunie menatap Eymar. Pandangan
amaran. Dia berharap pemuda ini akan berhati-hati mengeluarkan kenyataannya. Silap
tingkah mamanya akan mengetahui identiti sebenar mereka.
“Maksud
kamu...kawan-kawan kamu ni...” Puan Aisyah Adiba mengalih pandangan ke arah
Raju dan Cheng. Aunie diserbu kebimbangan. Eymar masih kelihatan tenang.
“Bekas ahli
kumpulan samseng...” sahut Cheng menyambung bicara Puan Aisyah Adiba yang
tergantung. Mendahului Aunie yang baru sahaja hendak bersuara.
“Kami dah taubat
tak mahu terlibat dengan aktiviti yang tak sihat lagi” ujar Raju mengukuhkan
pengakuan Cheng sebentar tadi. Aunie menahan liur pahit. Puan Aisyah Adiba
melepaskan keluhan. Terkejut mendengar kenyataan Eymar. Tidak mahu Aunie
tersilap pilih kawan. Apatah lagi bergaul dengan kumpulan samseng.
“Baguslah kalau
kamu dah insaf. Mulakan hidup baru yang lebih bermanfaat kepada agama, keluarga,
masyarakat dan negara” nasihat Puan Aisyah Adiba. Serentak Cheng dan Raju mengangguk. Aunie
mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Tidak tenang kerana merasakan
kenyataan Raju dan Cheng ialah pembohongan terhadap mamanya.
“Mesti beri peluang
kepada kamu memulakan hidup baru” tambah Puan Aisyah Adiba memberikan motivasi
kepada Cheng dan Raju.
“Terima kasih,
puan” ujar Cheng dan Raju hampir serentak. Puan Aisyah Adiba tersenyum. Aunie
hanya memerhatikan mereka. Perasaan bersalah menyelinap dalam diri. Tidak suka
mereka berbohong kepada mamanya. Namun tidak mampu hendak menyalahkan Eymar dan
kawan-kawannya. Mereka tiada pilihan untuk memberikan alasan yang lebih baik.
Tatkala memikirkan sedalamnya, dia menyalahkan diri sendiri. Semua ini berpunca
daripada keterujaan dirinya yang berkeras mahu melaksanakan kajian ini.
“Kalau kita nak
berubah, selangkah kita lakukan kebaikan, beribu langkah yang akan mengajak
kita di jalan kesesatan. Kamu mesti kental menghadapi dugaan ini” nasihat Puan
Aisyah Adiba lagi. Cheng dan Raju mengangguk-angguk faham. Sebaliknya rasa
bersalah Aunie semakin bertambah-tambah. Eymar tetap kelihatan tenang.
“Kamu mulakanlah
perbincangan kamu sekarang” arah Puan Aisyah Adiba lantas bangkit dari sofa
itu. Mahu memberi ruang kepada mereka melaksanakan tugasan yang diberi.
“Terima kasih,
puan. Gembira jumpa puan” tutur Cheng yang cepat mesra dengan orang yang baru
dikenalinya. Mujur juga hari ini tiada aksi terbangnya. Puan Aisyah Adiba hanya
tersenyum.
“Jumpa lagi, puan”
ujar Raju pula. Aunie memejamkan mata. Tidak akan ada lagi perjumpaan kedua
antara mereka dengan mamanya. Puan Aisyah Adiba mengangguk. Kemudian berpaling
ke arah Eymar.
“Saya percaya kamu
boleh jaga dan lindungi keselamatan Aunie” ujarnya yakin buat Aunie tergamam.
Eymar tersenyum.
“Terima kasih,
puan. Saya amat menghargai keyakinan puan ini” ujar Eymar penuh berhemah dan
bersopan santun. ‘Berlagak pemuda budiman pula...’ kutuk suara hati Aunie.
“Kalian harus
tahu... Aunie ni seperti anak kecil. Hanya tahu menangis saja bila sakit” ujar
Puan Aisyah Adiba disambut gelak tamu pemuda-pemuda ini.
“Mama...” Tidak
suka dirinya diperkatakan sedemikian. Aunie menggetap bibir tidak puas hati. Geram
dirinya menjadi bahan ketawa pemuda-pemuda ini.
“Mulakan
perbincangan kamu, saya minta diri dulu” ujar Puan Aisyah Adiba memohon pergi.
Mereka menganggukk-angguk. Puan Aisyah Adiba melangkah pergi. Aunie tersandar
di sofa. Baru boleh menarik nafas lega. Sepanjang kewujudan Puan Aisyah Adiba
di sini dirinya tertekan. Bimbang Eymar dan kawan-kawannya terlanjur kata dan
tersilap tingkahlaku. Dia sentiasa mengawasi tutur kata tetamu yang tidak
diundang ini.
“Yah...!” Aunie
menjerit kecil melepaskan tekanan perasaannya. Pandangannya tajam menatap muka
yang terkebil-kebil di depannya ketika ini. Mereka terkejut.
“Kamu buat saya
tak dapat bernafas” radang Aunie tidak dapat mengawal emosi. Eymar tersenyum
sinis.
“Bertenang cik...”
pujuk Cheng dengan senyuman. Aunie mendengus. Diurut-urut dadanya. Laju tangan
Raju menghulurkan air mineral itu ke arah Aunie. Disentap kasar botol itu.
Tiada rasa takut. Lupa seketika tentang identiti pemuda-pemuda yang bersamanya
saat ini. Aunie terus sahaja meneguk air mineral itu. Beberapa minit kemudian
baru terasa lega. Dipandang Cheng dan Raju silih berganti.
“Awak berdua ni ahli
kelab kebudayaankah?” sindir Aunie radang. Eymar tergelak. Namun cepat menutup
mulut. Raju dan Cheng tersengih panjang.Aunie berpaling ke arah Eymar.
“Ini mesti idea
awakkan” teka Aunie geram. Eymar hanya mempamer wajah bersahaja. Pemuda ini
sengaja mengenakannya. Diperhatikan lama Cheng dan Raju. Terasa bagai hari
pertama sambutan Deepevali dan Tahun Baru Cina pula hari ini. Nun jauh di sudut
hati, dia tercuit menatap penampilan Raju dan Cheng ketika ini. Persis mereka
hendak menyertai persembahan pancawarna. Rupa-rupanya inilah yang Kak Ros
maksudkan nampak pelik tadi.
“Awak berdua
selesakah dengan pakaian itu?” tanya Aunie melontar pandangan ke arah Cheng dan
Raju. Samfu merah menyala bercampur benang emas. Cheng seperti maharaja dinasti
kerajaan zaman lampau. Kurta Raju juga sedikit berkilat.
“Panas...” ujar
Cheng sambil menggaru-garu kepalanya. Mereka saling berpandangan. Kemudian
kedengaran tawa mereka berempat berpadu kuat.
“Hush...” Laju
Aunie meletakkan jari di bibir meminta mereka senyap. Raju dan Cheng menutup
mulut kerana ketawa merekalah yang paling kuat.
“Buat kerja tak
masuk akal...” kutuk Aunie seraya menjeling ke arah Eymar. Pasti pemuda ini
yang mengarah kawan-kawannya berpakaian sedemikian rupa.
“Saya nak pakai
jubah dan serban tadi tapi terlupa nak beli semalam” ujar Eymar bersahaja
disambut dengan gelak Cheng dan Raju. Sudah membayangkan Eymar seperti saudagar
Arab. Aunie menggetap bibir menahan perasaan geram. Mereka sedang
mempermainkannya.
“Lama awak
menghilang diri. Ditelefon dan dimesej langsung tak jawab. Betul-betul dah jadi
supermankah sibuk dengan misi nak
menyelamatkan orang” sindir Aunie geram. Eymar tersenyum.
“Baru dua hari tak
nampak, awak dah rindu saya” ujarnya bersahaja. Raju dan Cheng tergelak. Suka
mendengar bicara Eymar.
“Awak...” Tajam
pandangan Aunie menatap Eymar. Perasan.
“Hoi.. orang
bercinta, tak payahlah gaduh-gaduh. Kan dah lama tak jumpa” ujar Cheng
menyakat. Aunie menjeling tajam Cheng. Tidak suka mendengar bicara Cheng.
“Kita mulakan sesi
temubual sekarang” putus Aunie tidak mahu melayan usikan mereka. Semakin
dilayan semakin menjadi. Akhirnya dia juga yang menjadi mangsa usikan.
“Awak nak rakam
suara sayakah? Ehem...ehem... Hello...hello...” Cheng sudah menguji suaranya.
Mahu kedengaran macho. Raju
tergelak-gelak.
“Jangan perasanlah...”
rungut Aunie menjelingnya. Cheng tersengih sambil garu-garu kepala.
“Nak temubual apa
lagi, semua soalan yang awak beri dah dijawabpun oleh mereka” ujar Eymar. Raju
dan Cheng mengangguk. Menyokong kenyataan Eymar.
“Betul?” tanya Aunie
sangsi. Tidak mudah percaya pada bicara pemuda ini. Eymar mengeluarkan fail dari
beg itu. Fail yang diserahkan kepada Eymar tempoh hari. Mahu pemuda itu
meneliti dan menyemak soalan-soalan yang akan dikemukakan sebelum sesi temubual
bersama responden berlangsung. Fail itu dikembalikan kepada Aunie.
“Awak tengoklah
kalau tak percaya” arah Eymar cuba membuktikan dirinya bercakap benar. Dia
sudah menyempurnakan tugasan itu dengan baik.
“Okey...” Aunie
mula menyelak fail itu sambil diperhatikan oleh Eymar. Raju dan Cheng mula leka
dengan telefon pintar masing-masing. Ada permainan video baru yang
menyeronokkan. Cheng dan Raju bersaing menambah peningkatan tahap permainan
mereka. Cuba membuktikan siapa yang bakal dinokbatkan sebagai jaguh. Sekarang
urusan Aunie dan Eymar menyelesaikan tugasan itu. Mereka tidak mahu masuk
campur lagi. Tugas mereka sudah dibereskan dengan baik setelah dua hari
bersusah-payah melengkapkan borong itu. Lebih sukar daripada beradu tenaga
dengan pihak musuh.
Satu persatu Aunie
menatap ruang-ruang kosong dalam borang ini yang sudah diisi dengan lengakap.
Tiada satupun yang tertinggal. Set borang soal selidik yang mengandungi 10
halaman itu sudah disemak. Kemudian beralih pula pada set borang soal selidik
kedua. Nampak tulisan tangan yang berbeza. Tidak tahu yang mana satu tulisan
Raju dengan tulisan Cheng. Namun Aunie tidak kisah sebab perkara itu bukan
fokus utama. Set borang kedua juga sudah selesai disemak. Kedua-duannya
memuaskan hati.
“Borang soal
selidik awak mana?” Aunie memandang Eymar.
“Kan dah cukup dua
borang yang mereka isi tu” sahut Eymar. Aunie melepaskan keluhan. Dikeluarkan
borang soal selidik kosong dari fail. Lantas diletakkan di depan Eymar.
“Saya nak awak
lengkapkan borang soal selidik ini sekarang” tegas Aunie mengarah pemuda ini.
Eymar mengeluh. Malas mahu menulis.
“Esoklah saya beri
borang ni pada awak. Malam nanti saya buat” ujar Eymar.
“Okey... awak
serahkan pada saya sebelum kelas Encik Amir bermula. Awak wajib datang awal
esok” arah Aunie serius. Eymar mengangguk. Aunie memandang Raju dan Cheng.
“Kalau borang ni
dah dilengkapkan, buat apa mereka nak datang sini?” tanya Aunie bingung.
Mungkin pemuda ini sengaja mendera emosinya.
“Awak ingat jadi
responden awak percuma? Janganlah kedekut sangat” perli Eymar tersenyum sinis.
Menguji kesabaran Aunie. Ada maksud tersirat di sebalik kata-kata ini.
“Saya dan Raju dah
lapar ni? Bila nak makan?” tanya Cheng. Raju mengangguk.
“Dengar tu...”
Eymar tersenyum. Dia sudah menjanjikan ganjaran.
“Okey... kita
makan sekarang” ajak Aunie bersedia mahu belanja mereka makan sebagai balasan
atas kerjasama mereka. Raju dan Cheng sudah bangun dari sofa.
“Wow... banyak
baik nona manis!” puji Cheng teruja mendengar ajakan Aunie.
“Makan di tempat
tempoh hari?” tanya Raju meminta kepastian. Aunie mengangguk.
“I like...” ujar Raju tersenyum.
“Ada Rani kerja di
situ. Dia nak jumpa Rani” ujar Cheng mengusik. Raju tergelak.
“Rani Murkajee...”
tambah Raju. Kemudian ketawanya bersatu dengan ketawa Cheng. Aunie menyabarkan
diri. Cuba bertahan dengan kerenah nakal pemuda-pemuda ini. Eymar tetap tenang
dan bersahaja.
“Kalian pergu dulu,
saya nak jumpa mama sekejap. Nanti dia tercari-cari saya pula” jelas Aunie.
Keberangkatan mereka harus dimaklumkan kepada Puan Aisyah Adiba.
“Boleh kami terus
buat pesanan?” tanya Cheng tersengih.
“Pesanlah apa yang
kamu nak makan” arah Aunie tidak kisah.
“Kalau duit saya
tak cukup, kita boleh minta kawan awak ini tolong bayar” cadang Aunie. Eymar
tersenyum. Tidak membantah.
“Dia anak orang
kaya. Beli restoran itu pun dia mampu” ujar Raju memperlihatkan kekayaan pemuda
ini. Sejak dari tadi mempromosi kelebihan Eymar. Aunie mencebik bibir.
“Betul... betul...
Dia memang anak orang kaya. Rugi kalau awak lepaskan Eymar” ujar Cheng berbisik.
Aunie mendengus. Tidak sudah-sudah menjadi bahan usikan mereka.
“Tak hairan saya. Yang
kaya keluarganya, bukan dia” bidas Aunie menyindir Eymar. Dijeling Eymar yang
mempemar wajah kosong. Persis bukan dirinya yang sedang diperkatakan.
“Eymar pewaris
harta kekayaan keluarganya” tambah Cheng kagum.
“Sudah... saya tak
berminat dengan harta kekayaan orang lain. Saya boleh cari kekayaan sendiri”
tingkah Aunie. Eymar tetap dengan ekspresi wajah bersahaja. Langsung tidak
terusik walaupun perihal dirinya yang sedang diperkatakan.
“Wow... tabiklah
dengan awak!” puji Raju kagum. Aunie mempamer senyuman yang dibuat-buat. Konon
bangga mendapat pujian pemuda itu.
“Dia memang calon
isteri terbaik” ujar Cheng berbisik kepada Eymar. Eymar tersenyum.
“Kamu bergeraklah
sekarang. Kalau lambat lima minit lagi saya takkan belanja kamu makan” ujar
Aunie lantang memberi amaran.
“Okey...ma’am...” Bergegas Cheng dan Raju
melangkah ke muka pintu. Eymar masih terpacak di situ menatap Aunie.
“Apa?” tanya
Aunie. Tidak suka dengan pandangan mata pemuda ini.
“Ada ciri-ciri
jadi ibu tiri yang garang” kutuk Eymar bersahaja. Besar anak mata Aunie mendengar
dirinya diperkatakan sedemikian. Dia mendengus. Lantas mengatur langkah ke
bilik pejabat menemui mamanya. Tatkala Aunie melangkah ke muka pintu, tersentak
menatap pemuda itu masih belum berganjak menyertai kawan-kawannya ke Restoran
Mahligai. Eymar menunggu kedatangannya di ambang pintu Butik Selendang Kasih.
Mereka memulakan langkah seiringan.
“Kenapa awak belum
pergi lagi?”tanya Aunie hairan.
“Saja nak tunggu
awak. Selepas ini boleh pergi sama-sama” ujar Eymar tersenyum.
“Baiknya awak...”
perli Aunie.
“Awak dah lupa?”
Eymar cuba mengingatkannya.
“Lupa apa?” tanya
Aunie.
“Kan mama awak
tadi minta saya jaga dan lindungi keselamatan awak” sahutnya.
“Ahh...” Aunie
mendengus. Pemuda ini sudah salah faham.
“Mama minta awak
jaga saya bila kita pergi ke lapangan kajian, serbu sarang-sarang samseng”
tingkah Aunie memperincikan penjelasan.
“Bukan semua
tempat awak nak jadi bodyguard saya”
ujar Aunie memperbetulkan salah faham pemuda ini. Rimas kalau ramai sangat yang
dilantik oleh mamanya menjadi pengawal peribadinya. Eymar tersenyum.
“Saya dengan rela
hati jadi pengawal peribadi awak walau di mana-mana saja” ujar Eymar menawarkan
jasanya. Bersedia mengekori pergerakan gadis ini walau di mana sahaja. Sanggup
merisikokan nyawa sendiri demi menjamin keselamatan Aunie. Tindakan yang mulia.
“Wah... baiknya
awak...!” puji Aunie buat-buat teruja. Konon dia suka kerana pemuda ini dengan
rela hati akan sentiasa mendampinginya demi menjamin keselamatannya.
“Tak payah. Saya
pandai jaga diri sendiri” tegasnya dengan wajah serius. Tidak suka menyusahkan
orang lain. Dia bukan orang penting yang sering menjadi sasaran musuh. Jauh
sekali seorang puteri yang mesti punya ramai pengawal peribadi. Apatah lagi
pemuda ini masih asing baginya.
“Oh...ya... Era
cari awak. Dia susah hati awak tak muncul-muncul. Baik awak call Era nanti” saran Aunie. Simpati
melihat Era yang tidak bersemangat sejak dua hari lalu.
“Esok saya jumpa
dia” sahut Eymar persis tidak terusik mendengar bicara Aunie.
“Tak elok awak
buat dia risau” tegur Aunie memprotes tindakan pemuda ini. Eymar hanya
membiarkan kata-kata itu berlalu persis angin. Bukan perkara penting.
“Kalau saya ajak awak pergi Brazil jumpa
Neymar awak nak tak?” Laju Aunie berpaling menatap pemuda ini. Tiada senyuman
terukir di bibir Eymar. Dia nampak serius sahaja. Nama bintang bola dunia itu
menarik perhatian Aunie. Namun Aunie tidak terus menjawab pertanyaan itu. Ada
kehairanan terdetik di hati. Bagaimana pemuda ini mengetahui dia meminati
bintang bola dunia kelahiran Brazil itu?
“Awak ni kembar
diakah mudah sangat nak jumpanya?” tanya Aunie sinis. Eymar tergelak. Pertanyaan
Aunie tidak dijawab.
“Awak belum jawab
pertanyaan saya” ujar pemuda ini. Aunie menatap Eymar.
“Saya takkan pergi
dengan lelaki yang tiada pertalian dengan saya. Awak bukan muhrim saya” tegas
Aunie. Pegangan hidup Eymar dengannya mungkin berbeza.
“Oh...kalau macam
tu mudah saja. Tiada pertalian ... kita wujudkan pertalian. Bukan muhrim kita
jadikan hubungan yang halal” ujar Eymar. Aunie kaget. Dipandang pemuda ini.
“Oh... awak ni
pandai juga buat lawak” Aunie buat-buat tergelak. Tidak ambil serius bicara
pemuda ini. Mungkin Eymar sekadar mahu mengujinya.
“Saya serius...”
ujar Eymar mematikan tawa Aunie.
“Awak suka sayakah?” tanya Aunie sambil
memandang Eymar.
“Ya... saya suka
awak” sahut Eymar buat Aunie terkedu. Pengakuan yang sangat berani dan
dituturkan dengan keyakinan yang tinggi.
“Maaf... saya tak
suka orang yang saya tak kenali. Malah saya mengambil masa yang lama untuk
mengenali seseorang itu” ujar Aunie menyatakan prinsip hidupnya. Suatu
peringatan tentang dirinya. Sesungguhnya, hatinya sukar dimiliki. Eymar
tergelak.
“Saya tetap suka
awak” ujar Eymar menyatakan perasaannya. Aunie tergamam.
“Saya nak menyelesaikan
tugasan Encik Lokman bersama awak tanpa rasa kekok. Sikap berterus-terang awak
kurang menyenangkan saya. Jadi saya anggap saya tak pernah dengar cakap awak yang awak sukakan saya” tegas
Aunie mengabaikan luahan perasaan pemuda ini.
“Saya akan sentiasa
menjadi bayang-bayang awak walaupun tugasan Encik Lokman ini sudah selesai.
Saya juga bukan jenis manusia yang mudah mengalah. Sikap terus terang saya
membuatkan saya tak suka memendam perasaan saya. Saya juga ada sikap degil yang
melampau. Jadi saya akan terus suka awak” tutur Eymar dengan senyuman menguntum
di bibir.
“Terpulang pada
awak... tapi saya tak suka awak” tegas Aunie mengulangi kenyataan itu. Eymar
tersenyum. Pengakuan Aunie tidak melemahkan dirinya.
“Awak akan suka
saya” tingkah Eymar begitu yakin. Mereka beradu pandangan.
No comments:
Post a Comment