BAB 85
“Siapa ni mama?” tanya Haqem sambil memandang gadis yang
berdiri di sebelah Datin Sofea itu. Gadis itu menundukkan kepala memberi hormat
kepada Haqem.
“Gina... pekerja yang akan menggantikan tempat perempuan
itu” tegas Datin Sofea serius. Berkerut dahi Haqem. Datin Sofea sentiasa mahu
membuat kejutan padanya.
“Saya tak faham. Apa maksud mama?” tanya Haqem tidak
mengerti dengan kunjungan Datin Sofea bersama gadis yang tidak dikenalinya ini.
Bingung Haqem.
“Mama nak kamu ganti tempat perempuan itu dengan Gina.
Mama tak suka dia bekerja di sini. Mama tengok sekarang dia dah semakin berani.
Hari itu dia serang Bella. Mujur Bella tak cedera serius” Datin Sofea
mendengus. Dia marah. Cereka telah diputar-belitkan. Kebenaran dikaburkan.
“Lia serang Bella? Saya tak percaya” tingkah Haqem. Datin
Sofea mendengus lagi.
“Halau dia dari syarikat ini sekarang!” bentak Datin
Sofea berang. Tidak suka dengan tindak-balas yang ditunjukkan oleh Haqem. Dia
tahu Haqem sentiasa berpihak kepada gadis itu.
“Saya tak boleh pecat pekerja sesuka hati tanpa sebab.
Apatah lagi Lia memang pekerja yang sentiasa menunjukkan prestasi kerja yang
baik. Rugi KDUT nak lepaskan Lia keluar dari syarikat ini” tutur Haqem
membantah permintaan Datin Sofea. Tajam mata Datin Sofea menatap Haqem. Pujian
itu menghangatkan hatinya.
“Kalau kamu perlukan sebab nak pecatnya, kamu serahkan
saja pada mama. Tahulah mama nak buat macam mana nanti” ujar Datin Sofea
bersungguh-sungguh. Sudah biasa mencipta sengketa. Bijak memutar-belitkan
cerita dan keadaan.
“Apa yang mama nak buat?” Haqem diburu perasaan bimbang.
Dia tahu Datin Sofea mampu melakukan banyak perkara tanpa belas kasihan. Nekadnya
tiada batasan.
“Mama tak boleh sakiti Lia lagi” tegas Haqem. Datin Sofea
mendengus kasar. Baran diberi peringatan sedemikian. Haqem tiada kuasa hendak
menentukan tindakannya.
“Kalau Lia disakiti lagi saya takkan berdiam diri. Mama
harus ingat Aqel juga takkan lepaskan orang yang menyakiti Lia” ujar Haqem
bersungguh-sungguh memberi peringatan. Tiba-tiba sahaja Datin Sofea tergelak
sendiri. Hatinya tercuit. Dia menggeleng-geleng kepala. Aqel dan Haqem telah
diperdayakan oleh gadis itu.
“Kamu berdua dah diguna-guna oleh perempuan itu. Nampak
bodoh sangat. Dua orang lelaki bersahabat baik, seorang kekasih dan seorang
lagi suami yang berkongsi perempuan yang sama” lirih suara Datin Sofea melontar
kata-kata kesat itu. Dia tertawa. Gadis itu terpana menatap Haqem. Terkejut
mendengar cerita itu. Haqem menelan liur pahit. Terasa maruahnya dirobek.
“Saya tak kisah apa mama nak kata. Saya tahu siapa Lia,
dia seratus kali ganda lebih baik daripada Bella. Walau sepuluh kali Lia
tinggalkan saya dan hidup dengan lelaki lain, perasaan saya padanya takkan
berubah” tegas Haqem buat Gina terpaku. Kagum pada kesetiaan Haqem. Datin Sofea
mendengus kuat. Wajahnya merah merona. Bicara Haqem menyakitkan hatinya.
“Teruslah hidup dengan perasaan kamu tu. Selagi mama
hidup kamu takkan dapat bersama dengan perempuan itu biarpun Aqel lepaskannya”
ujar Datin Sofea nekad.
“Boleh tak mama biarkan saya tentukan hidup saya sendiri?”
pinta Haqem kesal. Datin Sofea menggeleng. Keputusannya muktamad. Tindakan dan
kata-katanya pasti akan dikotakan.
“Kamu hanya akan bernikah dengan Bella. Bukan dengan
perempuan lain!” tegas Datin Sofea tidak mengendahkan permintaan Haqem.
“Mama lahirkan dan besarkan kamu sebab nak jadikan Bella
menantu” ujar Datin Sofea dengan bicara yang tersirat. Haqem tertunduk kecewa.
Sedar dia dilahirkan dan dibesarkan hanya untuk memenuhi hajat hati Datin
Sofea. Sejak kecil sudah ada perancangan terperinci untuknya.
“Kalaulah masa itu boleh diundur kembali, saya nak mama
bunuh saja saya pada hari saya datang ke dunia yang kejam ni” ujar Haqem hampa.
Dirinya dirundung kekecewaan. Gina memandang Haqem dengan perasaan simpati.
Perasaan Haqem hancur. Dia tidak memiliki pengertian seorang ibu. Datin Sofea geleng
kepala dan tersenyum.
“Mama nak kamu balas kesakitan yang mama tanggung selama
sembilan bulan itu” pinta Datin Sofea tanpa berselindung sekali gus mempamer
dendam kasumatnya.
“Layan Bella dengan baik. Dia akan jadi isteri kamu” arah
Datin Sofea. Haqem terdiam.
“Mama akan sentiasa awasi perempuan itu. Hati-hati dengan
tindakan kamu kalau tak mahu perempuan itu disakiti” ujar Datin Sofea memberi
amaran keras. Haqem menelan liur pahit.
“Mari Gina...” ujarnya mengajak gadis itu meninggalkan
Haqem di situ. Berdentum daun pintu bilik itu dilepaskan. Marnie menelan liur.
Tahu keadaan berantakan di dalam bilik pejabat Haqem tadi. Kunjungan Datin
Sofea pasti mengundang ketegangan.
Melihat Datin Sofea berjalan deras ke arahnya,
cepat-cepat dia bangkit dari kerusi. Dia menundukkan kepala memberi hormat.
Gentar hendak bertegur sapa dengan Datin Sofea yang nampak murka. Namun sempat
bertukar senyuman dengan Gina. Hatinya tertanya-tanya tentang gerangan gadis
yang nampak lebih bersopan-santun daripada Bella. Langkah Datin Sofea terhenti.
Tiba-tiba sahaja dia berpatah balik ke arah Marnie yang masih berdiri sambil
melontar pandangan ke arah Datin Sofea. Langkahnya terhenti tepat-tepat di
depan Marnie. Marnie terpaku menatap wajah menyinga Datin Sofea.
“Kamu beritahu perempuan itu kalau dia nak hidup tenang
cepat-cepat tinggalkan syarikat ini” ujar Datin Sofea meninggalkan pesanan
peringatan keras kepada Marnie. Marnie tergamam.
“Kamu dengar tak?” lantang suara Datin Sofea menerpa
halwa pendengarannya. Laju Marnie mengangguk. Terkejut diherdik oleh suara
lantang Datin Sofea.
“Bagus...” Datin Sofea terus mendapatkan Gina yang sedang
menanti di ambang pintu. Kedua-duanya melewati pintu meninggalkan Marnie
bersendirian di situ. Marnie menghela nafas panjang lalu terduduk di kerusi
itu. Baru boleh bernafas. Garang dan bengis Datin Sofea menggentar dirinya.
Marnie mengomel sendirian tatkala teringat pada pesanan Datin Sofea. Dia tidak
akan menyampaikan pesanan itu kepada Lia. Datin Sofea tiada kuasa hendak
mencampuri urusan KDUT. Marnie tersenyum sendiri. Puas hati sebab diam-diam
ingkar pada arahan Datin Sofea.
“Haqem ada?” suara lelaki menegur. Marnie tersentak
disapa sedemikian.
“Oh... Encik Aqel. Kurrr... semangat. Terkejut saya” ujar
Marnie sambil mengusap-usap dada. Dia tidak sedar akan kemunculan pemuda ini.
Aqel tersengih.
“Jauh awak berangan” usik Aqel. Marnie hanya
tersenyum.
“Haqem ada?” Sekali lagi diaju pertanyaan itu. Laju
Marnie mengangguk.
“Mungkin moodnya
tak elok” ujar Marnie membuat andaian sebagai peringatan awal kepada Aqel. Dahi
Aqel berkerut.
“Kenapa?” tanyanya mahu penjelasan lanjut. Marnie
tersenyum tawar.
“Datin Sofea datang sini tadi” jelas Marnie pendek.
Penjelasan yang sudah diketahui pengakhiran pertemuan itu. Aqel melepaskan
keluhan kecil. Datin Sofea tidak pernah melayan Haqem dengan baik. Aqel tidak
bertanya lagi. Dia terus menapak ke pintu bilik pejabat Haqem. Daun pintu
diketuk.
“Saya nak masuk ni” ujarnya lantas menolak daun pintu.
Haqem yang menundukkan muka, laju sahaja tangannya mengesat mata. Dia
mengangkat muka lalu membalas pandangan Aqel.
“Awak okey...?” Aqel mahu mempastikan keadaan dirinya.
Perlahan-lahan Haqem mengangguk. Dia tersenyum tawar.
“Okeylah kalau macam tu. Saya datang balik nanti” ujar
Aqel masih mahu memberi Haqem peluang bersendirian. Dia perlukan masa untuk
menenangkan diri. Haqem mengangguk lemah. Pengertian sahabatnya itu sangat
dihargai. Daun pintu ditutup kembali.
“Encik Aqel dah jumpa Encik Haqem?” tanya Marnie bagai
mahu mengetahui keadaan lelaki itu. Aqel mengangguk dan tersenyum.
“Tak payah risau... dia okey” jelas Aqel. Marnie menarik
nafas lega.
“Beri dia masa bersendirian” arah Aqel. Marnie
mengangguk. Kemudian Aqel melangkah ke pintu. Mahu beredar dari situ.
“Encik Aqel...” panggil Marnie. Tiba-tiba dia teringat
tentang amaran Datin Sofea tadi. Langkah Aqel mati. Dia berpaling ke arah
Marnie. Hairan.
“Datin Sofea nampak tak puas hati pada Lia tadi. Saya
risau...” Bicara Marnie tergantung. Sekelip mata Aqel sudah meluru keluar
melewati pintu. Bagai mengerti kebimbangan yang Marnie pamerkan. Dia turut
merasa kebimbangan itu. Laju dia berlari. Mahu cepat sampai ke bilik itu.
“Lepaskan saya datin...” Aku meronta-ronta cuba
membebaskan diri dari cengkaman kuat tangan kasar Datin Sofea. Hampir-hampir
sahaja tudungku tercabut dari kepala. Sudah tidak tentu letakannya. Habis
direnyuk-renyuk oleh tangan tangan kasar perempuan ini.
“Sabar datin...mengucap...” ujar gadis ini sambil menarik
tubuh Datin Sofea. Ternyata dia juga tidak tega dengan tindakan kejam perempuan
ini. Jelasnya gadis ini lebih berhati mulia berbanding dengan Datin Sofea dan
Bella. Aku menolak tubuh Datin Sofea dan menepis tangannya sekuat tenagaku.
Akhirnya aku terlepas daripada cengkaman Datin Sofea. Terasa pipiku pedih.
Mungkin luka akibat cakaran kuku tajam perempuan ini. Tiba-tiba perasaan
teramat marah menjalar dalam tubuhku. Aku memandang tajam ke arah Datin Sofea.
“Saya takkan lepas Haqem. Saya takkan biarkan Haqem
menikahi Bella selagi datin tak dapat terima Idlan” ujarku memberi amaran.
“Berani kamu...!” Datin Sofea meluru ke arahku. Cuba
menyerangku lagi. Namun kali ini aku telah bersiap sedia melawan tindakan
kasarnya. Aku menangkis serangan Datin Sofea. Gadis itu hanya tergamam
memerhatikan. Sudah kematian akal.
“Saya takkan biarkan Haqem bernikah dengan Bella. Haqem juga
takkan tinggalkan saya” ulangku menghangatkan kemarahan Datin Sofea yang
membuak-buak. Aku mahu Datin Sofea merasa penderaan jiwa raga. Biar hatinya
sakit. Biar dirinya diselubungi kebimbangan.
“Cukup...!!!” Aku dan Datin Sofea berpaling. Aqel sudah
berada di sini dengan wajah serius. Dia melangkah mendekatiku lalu menjadi
benteng keselamatanku. Datin Sofea berundur setapak. Gerun juga dia dengan
kedatangan Aqel ini. Dia tahu Aqel tidak akan tunduk kepadanya.
“Datin...sila tinggalkan tempat ini” arah Aqel serius.
Datin Sofea mendengus. Tidak suka dia menerima arahan. Dia hanya suka
memerintah. Semua orang patut patuh pada kemahuannya. Persis Datin Sofea
memiliki kuasa veto yang tidak boleh ditingkah oleh sesiapapun.
“Gina...mari kita pergi” ajak Datin Sofea lantas
melangkah ke muka pintu bersama gadis itu. Kelibatnya terus hilang di sebalik
pintu. Aku dan Aqel berpandangan seketika dengan mulut terkunci. Pasti aku
nampak teruk sekarang setelah diserang bertubi-tubi oleh Datin Sofea yang
garang itu. Aku mendakap tangan ke pipi. Masih terasa pedih.
“Terima kasih kerana datang... Saya nak ke bilik air
sekarang” ujarku meminta diri. Tiba-tiba tangan Aqel menarik tanganku
membuatkan langkahku yang baru sahaja hendak bermula terhenti. Aku berpaling
menatap Aqel. Aqel mengeluarkan sapu tangan dari saku seluarnya, lantas
mengelap celitan darah di pipiku yang tercalar. Lembut gerakan tangannya. Aku
menundukkan muka. Sebak.
“Biar saya hantar awak balik” suara Aqel lembut. Aku
menggeleng.
“Saya nak terus berada di sini... banyak kerja yang perlu
saya selesaikan. Saya nak ke bilik air” ujarku mengulangi kata-kataku tadi. Kutinggalkan
Aqel di sini. Aku melangkah longlai ke bilik air. Berpasang-pasang mata
mengarah pandangan ke arahku. Tampak hairan melihat keadaanku yang berserabut.
Nampak sangat selepas bertempur di medan pergelutan.
“Lia...!”Aku berpaling. Marnie terkocoh-kocoh
mendapatkanku.
“Ya...Allah... Lia. Awak nampak teruk macam ni” keluhnya
dengan anak mata yang terbuka luas. Bagai tidak percaya akan melihat aku dalam
keadaan sedemikian.
“Cepat masuk bilik air” ajaknya sambil menarik tanganku
tatkala sedar banyak mata yang memandang ke arah kami. Aku berdiri di depan
cermin menatap diri. Lia berdiri di sebelahku dengan wajah yang sedih. Simpati
melihat diriku diperlakukan sedemikian.
“Awak okey?” tanya Marnie simpati. Aku mengangguk. Cuba
tersenyum. Hambar.
“Pipi awak luka dicakar Datin Sofea. Perempuan itu memang
macam hantu suka cakar-cakar orang” omel Marnie merungut. Kucapai tisu. Kulap
perlahan calar panjang di pipiku. Aku mengetap bibir menahan sakit. Kemudian
merapikan tudung dan pakaianku.
“Kasihan awak...” Tangan Marnie mengusap-usap bahuku.
“Biar saya cakap perkara ini pada Encik Haqem” ujar
Marnie mahukan aku mendapat pembelaan. Aku menggeleng. Haqem bukan lawan Datin
Sofea.
“Tak usah...” tegahku. Tidak mahu membuatkan Haqem serba
salah. Haqem sudah cukup terseksa kerana sikap Datin Sofea selama ini.
“Saya ada cara sendiri nak selesaikan perkara ini”
jelasku tidak mahu membabitkan Marnie mahupun sesiapa. Bukan mudah hendak
menjadi musuh Datin Sofea. Wajib ada kekentalan jiwa raga. Tercengang-cengang
Marnie menatapku.
“Awak nak buat apa? Jangan pula awak bunuh Datin Sofea”
ujar Marnie bimbang. Aku tersenyum. Bicara Marnie mencuit hati.
“Rugi kalau nak terus bunuh Datin Sofea. Balasan yang
terbaik pada musuh kita ialah seksa perlahan-lahan, buat dia menderita. Bila
dia dah tak tahan, akhirnya dia akan bunuh diri” ujarku cuba membayangkan
keadaan itu. Kejam. Marnie terkebil-kebil menatapku.
“Lia... awak biar betul!” Marnie terjerit sendiri. Aku melangkah keluar dari bilik air sambil
diekori oleh Marnie. Tika perasaan marah yang sedang membuak-buak pasti
kata-kata juga tidak berperikemanusiaan.
“Awak takkan buat macam tu kan” Marnie masih mahu
memperkatakan perkara itu. Gusar. Aku hanya senyum. Berjaya juga aku membuatkan
Marnie rasa gerun. Pada Marnie, penyeksaan Datin Sofea selama ini akan
membuatkan aku hilang pertimbangan waras. Lalu aku terdorong bertindak kejam
membalas perbuatan Datin Sofea selama ini.
“Awak kena banyak-banyak bersabar, Lia. Saya tahu
perbuatan Datin Sofea selama ini sangat melampau. Tak patut dia layan awak
dengan teruk. Tak perlu awak hukumnya. Dia akan dapat pembalasan nanti. Doa
orang yang teraniaya ialah doa yang didengar oleh Allah” nasihat Marnie panjang
lebar. Cuba mendamaikan perasaanku.
“Awak doalah banyak-banyak nanti” arah Marnie memujukku.
Bimbang aku akan mengotakan kata-kataku. Marnie tidak mahu aku menjadi sekejam
Datin Sofea.
“Tak payahlah awak bimbang. Saya takkan apa-apakan Datin
Sofea. Cuma saya nak berperang dengannya. Saya dah mula lancarkan serangan pertama”
ujarku melenyapkan kerisauan Marnie. Aku masih waras dan tidak akan bertindak
sesuka hati.
“Kalau macam itu baguslah...” Marnie menarik nafas lega.
Dia tersenyum. Namun sekejap sahaja kelegaannya itu. Laju dia berpaling ke
arahku. Wajahnya tegang kembali.
“Berperang? Awak dah lancarkan serangan pertama?” Besar
anak matanya menatapku. Aku mengangguk. Membenarkan pertanyaannya itu. Marnie
menepuk dahi.
“Nampaknya perang dunia ketiga dah meletus” keluh Marnie seakan
tidak berdaya menghalangku. Aku dan Datin Sofea tidak mungkin dapat menjalin
hubungan yang baik.
“Saya akan pujuk Encik Haqem agar cepat-cepat bernikah
dengan Cik Bella. Baru Datin Sofea senang hati dan takkan ganggu hidup awak
lagi” ujar Marnie bersungguh-sungguh.
“Bukan perkara itu yang saya sedang fikirankan”
tingkahku. Tidak setuju dengan perancangan Marnie. Datin Sofea bukan manusia
yang cepat berpuas hati. Ada hajat hati yang mahu aku tunaikan di sebalik
tuntutan keinginan Datin Sofea. Aku akan tentang Datin Sofea dengan caraku
sendiri.
“Awak nak buat apa?” tanya Marnie dengan mata yang
terbuka luas. Aku tersenyum.
“Takkan begitu mudah saya nak lepaskan Haqem. Saya mahu
Haqem bersama saya untuk...” bicaraku tergantung. Langkahku mati. Langkah
Marnie juga terhenti. Aku terpana. Marnie tergamam.
“Encik Aqel...” perlahan-lahan nama itu meniti di bibir
Marnie. Aqel sedang menantapku. Tangan Marnie sedang menguisku. Kupandang
Marnie sekilas. Ada kerisauan terpamer di wajahnya.
“Encik Aqel pasti dengar...” suara Marnie sayup-sayup
berbisik di telingaku namun masih kedengaran jelas. Kulawan renungan mata Aqel
yang terikat padaku sedangkan mulut terkunci rapat. Aku dan Aqel sama-sama berdiam
diri. Diam yang panjang
Aku mencuri pandang ke arah Aqel yang sedang leka
mengunyah potongan daging goreng di dalam mulutnya. Begitu khusyuk dan tekun
dia melumat daging itu sebelum menelan. Dilontar sepotong daging ke dalam mulut
lagi. Nampak Aqel sedang menikmati daging itu persis seorang tukang masak
sedang menghakimi pertandingan masakan. Teliti dia merasa daging itu. Suasana
di meja makan ini sunyi sepi. Kemudian laju pula gerakan tangan Aqel melontar
nasi sesudu demi sesudu masuk ke dalam mulut yang turut lincah mengunyah.
“Nak tambah nasi?” tanyaku setelah melihat pinggan Aqel
kosong. Dia menggeleng kepala. Dicapai air kosong di dalam gelas kaca itu lalu
meneguk dengan rakus. Sekali helaan nafas sahaja air kosong itu dihabiskan. Aqel
bangun lalu meninggalkan ruang makan ini tanpa sepatah kata. Kali ini dia
benar-benar menyepikan diri. Aqel yang pendiam sudah kembali.
Usai mengemas dapur dan mencuci pinggan, aku bergerak
meninggalkan dapur. Aqel tidak menonton televisyen di ruang tamu. Aku melangkah
ke bilik tidur. Aqel terbaring di atas sofa sedang tekun membaca buku. Aku
membaringkan tubuh di atas tilam. Mahu tidur awal malam ini. Perlahan-lahan
jariku meraba pipiku. Terasa calar panjang. Inilah hadiah yang kuterima
daripada Datin Sofea siang tadi. Aku memejamkan mata.
Jam loceng berdering kuat. Mataku terbuka luas. Laju
tanganku mematikannya. Bingkas aku bangun. Kulontar pandangan ke arah sofa itu.
Kosong. Aqel tidak berada di situ lagi. Awal dia bangun hari ini. Aku mengatur
langkah ke bilik air. Belum sampai di muka pintu, langkahku mati. Kutatap memo
merah jambu yang tertampal di cermin meja solek. Kuubah haluan langkahku.
Tulisan tangan Aqel yang kemas.
~Saya ada penerbangan tengah malam
tadi. Jaga diri baik-baik sepanjang ketiadaan saya~ Terkelip-kelip mataku menatap pesanan Aqel itu. Pasti
saat ini Aqel berada di dalam kapal terbang sekarang ke destinasi yang tidak
kuketahui. Kubiarkan sahaja memo itu tertampal di situ. Aku menyambung
langkahku ke bilik air.
“Awak dah buat penjelasan pada Encik Aqel?” tanya Marnie
tidak sabar-sabar sebaik sahaja aku muncul di tempat kerja awal pagi ini.
“Penjelasan apa?” tanyaku buat-buat tidak mengerti.
Kedengaran keluhan Marnie.
“Saya yakin Encik Aqel dengar cakap awak semalam” jelas
Marnie. Bimbang.
“Dia hanya berdiam diri dan saya tak tahu nak mulakan
cerita” ujarku. Sedemikianlah keadaanku
dengan Aqel semalam. Aqel tidak berkata sepatahpun. Dia hanya menggunakan
bahasa isyarat. “Dia pasti kecewa dengan kata-kata awak. Oh...kasihan Encik
Aqel!” Marnie dibuai emosi. Tiba-tiba sahaja kedua-dua tangan Marnie memegang
bahuku. Mataku direnung dalam-dalam. Serius.
“Awak tak boleh terus biarkan Encik Aqel kecewa. Awak
wajib jelaskan kata-kata awak semalam supaya Encik Aqel tak salah faham” gesa
Marnie bersungguh-sungguh.
“Saya tak nak Encik Aqel bersedih” ujar Marnie dengan pandangan
redup menatapku. Wajahnya mendung. Konon merasai kesedihan yang Aqel tanggung.
Jangan-jangan nun jauh di sana Aqel sedang bergelak ketawa sekarang.
“Awak tak boleh terus buat Encik Aqel bersedih. Awak
mesti jumpa dia sekarang” gesa Marnie. Aku menggeleng.
“Saya tak dapat jumpa Aqel” sahutku.
“Kenapa?” Serius muka Marnie menatapku.
“Saya tak tahu di mana Aqel berada sekarang” jelasku.
“Apa?” Marnie kurang senang mendengar bicaraku.
“Tengah malam tadi dia berangkat ke luar negara tanpa
pengetahuan saya. Pagi ini saya baca memo yang ditampalnya di cermin meja
solek” tambahku.
“Aduh...gawat!” Marnie mengeluh kecewa.
“Awak jangan risau. Saya tahu siapa Aqel. Dia tak pernah
rasa sedih dan kecewa kerana saya” ujarku meredakan gelodok emosi Marnie.
Marnie menggeleng.
“Awak belum cukup mengenali Encik Aqel” tingkah Marnie
menolak kenyataanku. Kupandang Marnie.
“Awak tak tahu perasaannya” tambah Marnie.
“Okey... kata-kata awak mungkin betul. Awak lebih
memahami Aqel daripada saya. Awak dah lama mengenalinya” ujarku menyokong kata-kata
Marnie. Marnie mengangguk. Tidak meningkah kata-kataku. Kupandang Marnie.
Mungkin Marnie mengetahui gadis itu.
“Siapa Flora, Mar? Awak pasti mengetahui siapa gadis ini.
Dia kekasih Aqelkan?” tekaku lantas memohon penjelasan Marnie tentang gadis
itu.
“Sorry... saya
memang tak tahu siapa Flora. Setahu saya...awaklah Flora” ujar Marnie serius.
Laju aku menggeleng. Marnie silap.
“Saya bukan Flora” tegasku sekian kalinya. Tidak suka
pada nama itu. Tidak logik juga jikalau aku terlupa nama sendiri melainkan
memori lampauku telah terpadam. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Cuba menjelmakan
wajah Aqel pada zaman lalu. Aku tidak pernah mengenali manusia yang bernama
Aqel pada zaman kanak-kanakku mahupun zaman remajaku. Aku tiada kenangan
membesar bersama pemuda ini. Aku mengeluh.
“Hanya Aqel saja yang tahu tentang gadis itu...” ujarku
sendirian.
“Awak cemburu pada Flora?” tanya Marnie.
“Saya tak suka jadi Flora!” Besar suaraku membalas
pertanyaan Marnie. Aku sakit hati tatkala Aqel menyamakan aku dengan Flora. Di
mata Aqel aku ialah kekasih hati pujaan kalbunya. Selama ini Aqel hidup dengan
imaginasinya.
“Awak cintakan Encik Aqelkan...” Marnie menatapku menanti
jawapanku. Aku mengunci mulut. Belum bersedia menjawab pertanyaan itu. Sekarang
bukan masa yang sesuai hendak membincangkan perkara ini. Belum ada keyakinan.
“Saya tak pasti...” lambat-lambat aku bersuara.
Kedengaran keluhan kecil Marnie.
“Walau apapun perasaan awak terhadap Encik Haqem, awak
telah ditakdirkan menjadi isteri Aqel. Sebelum mengenali awak, saya hanya
pernah nampak Encik Aqel bersama Rania. Namun mereka bukanlah pasangan kekasih
lagi. Saya langsung tak kenal siapa gadis yang bernama Flora itu. Saya tak
pernah mendengar cerita tentangnya. Awak yakin gadis itu wujud?” Panjang lebar
Marnie berbicara. Aku diam. Penjelasan Marnie tidak dapat mengubah keadaan. Misteri
Aqel masih tidak mampu diungkai.
“Awak harus setia kepada Encik Aqel walaupun cinta Encik
Haqem tak pernah berkurang. Hanya Encik Aqel yang mampu membahagiakan awak.
Percayalah...” sungguh-sungguh Marnie
berbicara.
“Tak semudahnya
saya nak jadi Flora. Saya ada hati dan perasaan” sahutku kecewa. Aku melontar pandangan
jauh-jauh. Tangan Marnie menepuk lembut bahuku.
“Saya faham...” ujar Marnie penuh pengertian.
“Kita sama-sama jejaki siapa Flora. Saya percaya Encik
Aqel bukan seorang yang mudah jatuh cinta. Percayalah...” ujar Marnie
memujukku. Keyakinan Marnie terhadap Aqel tidak pernah berkurangan. Sungguh
sempurna Aqel di mata Marnie.
Terasa sungguh sunyi malam ini. Aku melontar
pandangan ke arah sofa panjang itu. Buku tebal itu masih terletak di situ.
Statik di atas meja kaca itu. Kupandang
iPhone di atas tilam di sisiku. Senyap memanjang. Tiada panggilan mahupun
mesej Aqel yang kuterima. Aqel menghilangkan diri seketika. Namun aku yakin Mak
Long dan mak pasti mengetahui arah tuju Aqel. Aku bangkit dari tilam empuk ini.
Kutarik laci almari solek ini lalu mengeluarkan buku catatanku. Kucapai memo
merah jambu yang masih tertampal di dada cermin solek ini lantas melekatnya
pada buku catatan ini. Kutulis sebaris ayat di bawah memo ini.
Bunyi deringan iPhone
mengejutkan aku. Bingkas aku bangun. Panggilan daripada mak. Kucapai iPhone. “Assalamualaikum...mak” sapaku
mendahului. Kedengaran suara mak menyahut salamku. Kutatap jam. Sudah
melangkaui pukul 10.30 malam. Lewat begini mak belum tidur lagi.
“Kamu tak nak datang sini?” tanya mak. Sudah rutin aku
akan pindah sementara ke rumah mak setiap kali Aqel berada di luar kawasan.
“Emm... nak tinggal di rumah ni saja. Banyak kerja nak
buat” jelasku.
“Aqel tak suka kamu tinggal sendirian di rumah tu. Risau
dia nanti” tutur mak meningkah. Pasti Aqel sudah menyampaikan permintaannya
kepada mak sebelum keberangkatannya meninggalkan negara ini buat sementara
waktu.
“Lia boleh jaga dirilah... mak” ujarku cuba menyenangkan
hati mak. Kali ini rasa malas pula hendak pindah ke rumah mak. Bukan tidak mahu
tinggal dengan mak. Tika ini aku ingin bersendirian.
“Kamu tak takut tinggal sendirian di sana malam ini?”
tanya mak.
“Lia tinggal di dalam rumah, pintu dan tingkap berkunci.
Selamatlah tinggal di rumah ni mak” jelasku meyakinkan mak. Kedengaran keluhan
kecil mak.
“Aqel pasti tak sedap hati kalau tahu kamu bersendirian
di rumah tu” keluh mak persis tidak mampu memaksa aku meninggalkan rumah ini.
“Tak sedap hati apa pula. Dia yang sengaja tinggalkan Lia
sendirian di rumah ni” ujarku.
“Apa?” Aku ternganga. Laju tanganku menutup mulut.
“Tak delah mak. Esok Lia datang jenguk mak” ujarku cuba
menyenangkan hati mak. Mak tidak patut bimbang kerana Aqel telah melengkapi
banglo mewah ini dengan alat kawalan keselamatan yang canggih. Kalau Aqel belum
yakin lagi, dia boleh mengambil pengawal untuk berkawal di sekitar banglo ini.
“Tidurlah sekarang. Jangan berjaga jauh malam” arah mak
mengakhiri perbualan ini. Aku senyum sendiri. Tidak mampu berjanji. Bimbang aku
tidak dapat tidur.
“Assalamualaikum mak...” ujarku. Kedengaran suara mak
menyahut salamku. Kemudian terus hilang dari pendengaran. Aku merebahkan tubuh
di atas tilam lalu meletakkan iPhone
ini di sisi perbaringanku. Kupejamkan mata. Seminit kemudian kelopak mataku
terangkat kembali. Kupandang iPhone di
sisiku yang menyepi. Aqel masih tidak mendiamkan diri. Tiada panggilan mahupun
mesej yang dihantarnya. Barangkali Aqel sedang sibuk dengan urusan perniagaannya.
Dia seorang yang kuat bekerja. Aku tersentak dengan deringan iPhone yang memecah kesepian ini.
Mungkin panggilan daripada Aqel. Baru sekarang dia ada masa hendak
menghubungiku. Laju tanganku mencapai iPhone
di sisiku. Tidak sempat mengamati skrin iPhone
bagi mempastikan gerangan yang berada di talian sekarang.
“Assalamualaikum...”
sapaku. Salamku disambut. Bukan suara Aqel.
“Buat apa sekarang?”
“Sedang baring-baring” jelasku.
“Maaf... saya baru dapat tahu mama serang awak beberapa
hari yang lalu. Saya sungguh kesal dengan kejadian ni. Maafkan saya, Lia”
Permohonan maaf yang berulangkali keluar daripada mulut Haqem.
“Bukan salah awak, tak perlu minta maaf” tingkahku tidak
bersetuju. Haqem tidak ada kena-mengena dengan tindakan Datin Sofea menyerangku.
“Awak tak apa-apa?” tanya Haqem bimbang.
“Saya okey saja. Awak tak perlu risau. Maaf... Haqem,
saya mengantuk sekarang.
Assalamualaikum...” Aku terus sahaja menamatkan perbualan ini. Tidak
berhasrat hendak berbual panjang Haqem. Kuletakkan iPhone ini di atas tilam. Masih tidak berjauhan denganku. Mudah
sahaja aku hendak mencapainya kalaulah Aqel menghubungiku nanti. Kupandang lama
iPhone ini. Masih senyap. Ada
keyakinan tinggi iPhone ini tidak
akan berdering lagi pada lewat malam begini. Aku memejamkan mata. Mahu tidur
sekarang.
Di banglo... di pinggir hutan itu,
“Jemput minum...” jemput Pak Shuib mesra. Aqel dan gadis
itu tersenyum.
“Terima kasih, pak cik” ujarnya mesra. Pak Shuib
meninggalkan Aqel bersama gadis itu di ruang tamu kerana hendak menyambung
tugas di dapur. Perlahan-lahan air kopi panas dihirup. Kemudian diletakkan di
atas meja.
“Kenapa tak bawa isteri datang sini” tanya Dr. Fiona
Nabila. Aqel hanya mengukir senyuman. Perkara itu masih dalam pertimbangan. Dia
masih perlukan masa. Aqel mahu Lia masih beranggapan bahawa dia berada di luar
negara sekarang atas urusan perniagaan.
“Saya ingin bertemu dan berkenalan dengannya” tambah Dr.
Fiona Nabila berharap.
“Insya-Allah, kalian akan berkenalan juga suatu hari
nanti” ujar Aqel tersenyum.
“Saya anggap itu janji awak ye...” ujar Dr. Fiona Nabila
memberi peringatan. Aqel mengangguk dan tergelak kecil.
“Saya tak nak rahsiakan perkara ini daripada
pengetahuannya” ujar Aqel.
“Memang patut dia mengetahui perkara ini. Jangan lupa dia
isteri awak” ujar Dr. Fiona Nabila. Aqel tersenyum. Dia tidak pernah lupa
tentang kenyataan itu.
“Okeylah... dah lewat ni. Pasti awak nak berbual-bual
dengannya melepaskan kerinduan berjauhan” ujarnya mengusik Aqel. Aqel senyum.
Sempat jam di dinding dipandang sekilas. Pasti Lia sudah tidur sekarang.
“Saya balik dulu. Jangan lupa ambil ubat kerana suhu
badan awak agak panas. Awak di ambang demam” nasihat Dr. Fiona Nabila setia menjaga
pesakitnya. Aqel mengangguk lalu menghantar kepulangan gadis ini sehingga ke
halaman rumah.
“Terima kasih. Jumpa lagi” ujar Aqel sambil tersenyum.
“Sudah semestinya kita akan bertemu lagi. Saya hanya akan
bebaskan awak setelah yakin awak betul-betul sihat” ujar Dr. Fiona Nabila
membalas bicara Aqel. Aqel tergelak kecil.
“Saya balik dulu. Assalamualaikum...” ujar Dr. Fiona
Nabila meminta diri.
“Hati-hati perjalanan balik. Bye...” ujar Aqel memperingatkannya. Gadis ini hanya mengangguk
sambil melambaikan tangan. Kereta BMW yang dipandu oleh gadis itu bergerak
perlahan-lahan meninggalkan perkarangan banglo itu. Angin malam yang
mendinginkan. Cepat Aqel meninggalkan halaman sambil memeluk tubuh. Dia
terbatuk-batuk kecil. Aqel melontar pandangan ke arah Pak Shuib yang sedang
mengemas meja ruang tamu.
“Saya dah tak mengalami mimpi buruk lagi. Saya juga dah
tak dengar suara kanak-kanak perempuan menangis. Tidur saya lena sekarang”
jelas Aqel seraya melontar pandangan ke arah Pak Shuib. Wajahnya bercahaya.
Nampak kegirangan terpancar dari raut wajah Aqel.
“Alhamdulillah.... petanda yang baik. Kamu dah sembuh”
ujar Pak Shuib tersenyum. Hatinya gembira mendengar bicara Aqel ini. Munajatnya
selama ini telah didengar oleh Yang Maha Esa. Rasa syukur dipanjatkan kepada
Ilahi. Aqel tersenyum panjang.
No comments:
Post a Comment