BAB 84
“Ke tepi...” Aku tidak sempat mengelak lagi, tangan Bella
menolak kasar tubuhku. Aku hilang keseimbangan diri lalu tersungkur ke lantai
simen. Lututku berlaga dengan lantai konkrit. Buku laliku terasa sakit. Mungkin
terseliuh. Aku mengerang kesakitan. Kini banyak mata melontar pandangan ke
arahku. Bella tersenyum sinis. Tiada simpati mahupun rasa bersalah.
“Lain kali kalau jalan tu guna mata. Jangan nak berkhayal
saja” kutuknya lantas melangkah meninggalkan aku yang masih terduduk di lantai.
Kugagahi bangun. Aku mengetap bibir menahan keperitan ini. Susah payah aku
bangkit. Kuheret kaki yang sakit dengan langkah sumbang. Tatkala aku memijak
pedal kereta, air mataku menitis. Perit. Senyuman sinis Bella terbayang di mata.
Aku cuba berlaku baik dengannya namun dibalas dengan kejahatan. Gadis itu
sentiasa mencabar kesabaranku.
“Aduh...aduh...!” Aku mengerang kesakitan tatkala jari
mak mendarat di buku laliku. Dahi mak berkerut seribu. Mak mengeluh.
“Teruk juga kaki kamu ni. Macam mana boleh jadi macam ni?”
rungut mak.
“Perlahan mak...” pintaku cuba bertahan. Tanganku
menggenggam erat hujung baju yang kupakai. Cuba bertahan dari kesakitan ini. Sentuhan
lembut tangan mak tidak mampu menghilangkan kesakitan ini.
“Lebam buku lali kamu ni. Macam mana boleh jatuh ni?”
tanya mak lagi tidak berpuas hati. Aku diam. Tidak mahu berterus-terang mahupun
mereka sebarang cerita untuk dijadikan jawapan bagi pertanyaan mak ini. Hanya
mampu mempamer wajah yang berkerut menahan sakit.
“Aqel tahu tak?” Laju aku menggeleng.
“Sikit saja. Tak payahlah beritahu Aqel” ujarku
tersengih. Mak menatapku.
“Jangan dibiarkan macam ni. Mana tahu ada tulang yang
patah riuk” omel mak. Aku tergelak. Tidaklah serius sampai begitu. Kalaupun
kaki ini patah pasti aku tidak mampu bergerak lagi. Hanya terseliuh sahaja.
Buku lali ini yang tercedera.
“Nanti Lia pergi klinik” sahutku cuba menenangkan hati
mak. Paling penting mak tidak membebankan Aqel dengan perkara ini. Aku mampu melakukan
sendiri.
“Bila nak pergi? Biar mak teman” ujar mak tidak mahu aku
berlengah lagi.
“Biar Lia berehat dulu” pintaku. Mak mengeluh.
“Esok Lia pergi klinik” janjiku memberi jaminan kepada
mak. Aku senyum. Mak tidak teruja dengan janjiku. Pasti dia bimbang melihat
keadaanku sekarang. Hati seorang ibu tidak pernah tenang apatah lagi melihat
kesakitan anaknya.
“Sama ada atas kecuaian kamu sendiri atau perbuatan orang
lain, lain kali jangan biarkan diri kamu disakiti” ujar mak serius. Aku
tersentak. Persis mak dapat mengagak bencana yang menimpaku ini atas perbuatan
jahat Bella. Kupandang mak.
“Mungkin Aqel belum pandai bertegas dengan kamu lagi
menyebabkan orang lain tak yakin dengan kamu” ujar mak penuh makna tersirat.
Aku terdiam mendengar bicara mak ini.
“Kamu pergilah berehat di bilik” suara mak mengarahkan
aku beredar dari sini. Aku mengangguk. Berkerut dahiku memulakan langkah
sumbang ini. Sungguh buku lali ini tercedera sekarang. Aku membaringkan tubuh
di atas tilam. Terngiang-ngiang kembali kata-kata mak. Mak curiga. Aku
melepaskan keluhan. Mahu sengketa berpanjangan ini segera sirna. Apa yang harus
aku lakukan daripada terus menjadi kebencian Bella dan Datin Sofea? Aku mahukan
hidup yang aman damai. Bimbang jua kesabaran yang kupertahankan selama ini akan
hilang. Aku bukan malaikat yang tiada perasaan marah. Keluhanku berpanjangan.
Kupejamkan mata rapat-rapat. Tidak mahu rehatku
terganggu. Teringat janjiku pada mak, laju kucapai iPhone dari saku beg galas ini. Kutekan nombor iPhone Marnie.
“Hello...” Laju pula Marnie menjawab panggilan ini.
“Assalamualaikum... Mar” sapaku.
“Waalaikumussalam” Salamku disambut.
“Sorry
mengganggu awak” tuturku kurang senang. Namun aku tidak mahu melambat-lambatkan
perkara ini. Bimbang aku akan lupa.
“Eh...takdelah. Kenapa ye?” tanya Marnie.
“Esok saya nak ambil cuti sakit. Nak pergi klinik. Kalau
ada orang cari saya tolong maklumkan ye” pintaku.
“Awak tak sihat? Demam?” tanya Marnie terkejut.
“Buku lali saya lebam, sakit bila nak jalan. Mungkin
terkehel” ceritaku ringkas.
“Awak jatuh? Di mana?” tanya Marnie. Terbayang senyuman
sinis Bella di mataku.
“Ya jatuh...tak serius pun” jelasku tidak mahu perkara
ini dibesar-besarkan. Aku tidak mahu memaklumkan kepada Marnie yang aku jatuh
tersungkur di ruang lobi KDUT. Bimbang Marnie akan mengetehui cerita sebenar.
“Berat hati juga nak ambil cuti ni, banyak kerja yang nak
disiapkan lagi” keluhku.
“Hey... awak ni pergilah berehat! Nak buat macam mana,
sakit takde siapa-siapa minta” ujar Marnie meningkah bicaraku. Aku tergelak
kecil. Memang semua orang berharap sentiasa sihat sejahtera sepanjang hayat.
“Okey... awak
berehatlah” arah Marnie sangat memahami keadaan.
“Terima kasih, Mar. Assalamualaikum” Kutamatkan perbualan
ini. Suara Marnie tidak kedengaran lagi. Kuletakkan iPhone ini di atas tilam. Terhinjut-hinjut langkahku ke bilik
mandi. Aku mahu menyegarkan diri dan berharap kesakitan ini cepat berkurangan.
Usai solat isyak, aku dan mak menikmati hidangan makan
malam tanpa Aqel kerana dia berada di luar daerah atas urusan kerja. Aku dan
mak tidak banyak berbual. Fokus pada hidangan malam. Masakan mak sentiasa
menyelerakan.
“Sudah lama kita tak jumpa mak mertua kamu?” tutur mak
mengenang Mak Long. Aku mengangguk. Bersetuju dengan bicara mak. Sejak
kebelakangan ini persatuan naungan Mak Long kurang bergerak aktif. Salah satu
sebab mak tidak dapat jumpa dengan Mak Long.
“Cubalah ambil masa sehari tidur di sana temankan mak
mentua kamu. Kamupun jarang-jarang menjenguknya” komen mak. Aku memang jarang
melawat Mak Long berbanding kekerapanku berkunjung ke rumah mak ini. Aku lebih
selesa berada di rumah ini setiap kali Aqel ada kerja di luar daerah. Memang
Aqel senang hati aku berada di sini. Tidak perlu bimbang kerana aku tidak
bersendirian di rumah.
“Yalah mak...Lia akan cuba atur masa yang sesuai nanti”
ujarku bersetuju.
“Sejak kamu dan Aqel tak tinggal lagi di rumah ni, mak
juga akan rasa sunyi macam tu” tutur mak beremosi. Kutatap wajah sugul mak. Mak
nampak sedih. Tinggal sendirian di rumah besar ini memang sunyi. Mungkin
kesunyian mak ini akan hilang apabila Izeq tidak tinggal di asrama lagi.
“Saya ajak Aqel pindah ke sini semula” saranku. Mak
menjelingku.
“Jangan mengarutlah kamu. Aqel dah sediakan rumah lebih
besar dan selesa untuk kamu” ujar mak mengingatkan aku. Aku mengeluh hampa.
“Mak boleh tinggal dengan kami” tegasku. Mak senyum lagi.
“Tak sampai hati nak tinggalkan rumah ni. Banyak kenangan
mak dan arwah ayah kamu di sini” ujar mak menyentuh perasaanku. Kalau aku jadi
mak, aku pun akan melakukan perkara yang sama. Tidak akan meninggalkan rumah
yang pernah didiami bersama insan yang dikasihi dan dicintai. Kenangan yang sangat
bernilai dan menyentuh jiwa. Di sinilah aku membesar bersama Izeq lambang
penyatuan hidup mak dan arwah ayah.
“Tak payahlah sedih. Izeq akan tinggal bersama mak di
rumah ni nanti” ujarku. Mak senyum. Izeq anak lelaki yang mempunyai lebih kuasa
ke atas isteri selepas kahwin suatu hari nanti. Tanggungjawab Izeq menjaga mak.
Izeq akan membina keluarganya di depan mak. Mudah-mudahan Izeq dipertemukan
dengan jodoh yang baik dan juga menantu yang baik buat mak.
“Walaupun Lia dah jadi isteri, Lia ada jika mak perlukan
Lia” ujarku tidak akan melepaskan tanggungjawab sebagai anak.
“Sudah cukup kamu datang menjenguk mak dan sekali-sekala
tidur di sini. Mak faham situasi kamu sebagai isteri. Memang dah jadi
tanggungjawab kamu lebih kepada suami” ujar mak mengerti tentang hakikat
kehidupan seorang anak perempuan yang bergelar isteri.
“Mak suka kamu datang dan tidur di sini, tapi lain kali
biarlah berlaku adil. Kamu kena biasakan diri dengan rumah mak mertua kamu.
Kamu kena juga jaga hati Aqel dan mak mertua kamu” nasihat mak. Aku mengangguk.
Setakat ini Aqel tidak pernah mempersoalkan kekerapanku bertandang dan tidur di
rumah mak berbanding dengan rumah Mak Long. Namun aku juga tidak pernah
menghalang Aqel tidur di situ tanpa aku. Kami saling memahami.
“Esok Lia ambil cuti, nak pergi klinik” ujarku
memaklumkan perancangan esok kepada mak. Mak mengangguk.
“Baguslah. Nak mak temankan kamu?” tanya mak sekali lagi
menawarkan kesudiannya hendak menemaniku ke klinik. Aku menggeleng. Tidak mahu
menyusahkan mak.
“Takpe... Lia boleh pergi seorang” ujarku.
“Habis makan ni, kamu pergilah berehat. Biar mak yang
kemas dapur dan cuci pinggan” ujar mak mahu mengambialih tugas rutinku setiap
malam.
“Yang sakit buku lali bukan tangan. Lia boleh buat semua
tulah mak” tingkahku tidak mahu mak melakukan semua kerja itu.
“Tak payah. Cepat habiskan nasi tu” tutur mak berkeras
menolak permintaanku.
“Dah habis makan pergilah basuh tangan” arah mak. Aku
mengangguk lantas bangkit dan melangkah ke sinki. Aku mencuci pinggan dan
tangan.
“Tak payah cuci pinggan tu” tegah mak. Aku senyum. Sudah
selesai membasuh pinggan ini lalu meletakkannya di rak pengeringan.
“Lia nak berehat di bilik sekarang” ujarku meminta diri.
Mak mengangguk. Aku hanya mampu menatap mak dengan pandangan simpati dan rasa
bersalah. Selalu sahaja menyusahkan mak.
“Jangan berjaga...terus tidur” pesan mak. Aku tersengih.
Tidak berani memberi jaminan. Kalau hanya terbaring di atas katil dan berjaya
mengosongkan fikiran pasti mudah sahaja hendak melelapkan mata. Aku merebahkan
tubuh di atas tilam. Selesa. Kucapai iPhone
yang masih berada di atas tilam di sebelahku. Beberapa kiriman informasi
melalui kumpulan wa.... Tidak berminat aku hendak membaca. Kulepaskan iPhone dari tangan. Mula terasa bosan.
Kuhidupkan lampu tidur lalu mematikan lampu yang menerangi bilik ini. Mata
kupejamkan. Aku mahu tidur secepat mungkin.
Aku tersentak tatkala ada tangan menyentuh buku laliku.
Mataku terbuka luas. Samar-samar aku nampak bayangan Aqel sedang duduk di birai
katil. Tangannya mengusap lembut buku laliku. Bingkas aku bangkit dari
perbaringan ini.
“Awak buat apa ni?” tanyaku. Segan dan kekok dengan
perlakuan Aqel.
“Teruk buku lali awak ni. Lebam” suara Aqel sayup-sayup.
Terang mata Aqel.
“Esok saya pergi klinik. Saya ambil cuti” jelasku mengambil
kesempatan memaklumkan perkara itu kepada Aqel. Aqel menatapku. Dalam cahaya
samar-samar ini jelas kelihatan wajah Aqel.
“Saya temankan awak” ujarnya. Aku menggeleng.
“Tak perlu. Saya boleh pergi sendiri” jelasku. Kedengaran
keluhan Aqel.
“Awak orang penting KDUT yang sentiasa sibuk. Saya tak
nak menambah kesibukan awak” ujarku tidak mahu Aqel ambil hati atas penolakanku
ini. Aku sangat memahami rutin harian Aqel.
“Macam mana boleh jatuh ni? Awak jatuh di mana?” tanya
Aqel mahu penjelasan lanjut. Aku terkedu. Buntu. Tidak tahu hendak menjawab
pertanyaan ini. Sungguh membingungkan. Aqel masih menanti jawapanku.
“Jatuh di tempat kerja atas kecuaian saya sendiri”
lambat-lambat aku menjawab. Kupandang Aqel. Tidak dapat mengagak sama ada Aqel
mempercayai kata-kataku ini. Kedengaran keluhan kecil Aqel.
“Betul kamu boleh pergi sendiri?” tanya Aqel meminta
kepastian.
“Ya... Awak tak payah risau” ujarku.
“Okeylah...” sahut Aqel. Lega. Mujur Aqel tidak berkeras
mahu menemaniku ke klinik. Tiba-tiba sahaja Aqel merangkak naik ke atas katil.
Lalu berbaring di sebelahku. Aku terkebil-kebil menatap Aqel. Perlakuannya di
luar dugaanku.
“Boleh saya berbaring di sebelah awak sekejap?” tanyanya
sambil tersenyum. Aku terdiam. Mataku masih menatap Aqel. Pemuda ini bagai
biskut chipmore. Sekejap muncul
sekejap hilang. Namun yang pasti Aqel akan muncul ketika aku ditimpa musibah.
“Huh...letih sangat. Selesa juga berbaring di sini”
ujarnya tersenyum sendiri sambil menatap siling. Sentiasa kelihatan tenang.
Pandai sungguh Aqel menyembunyikan masalah hidupnya.
“Awak tak nak baring? Tidurlah dan dapatkan rehat yang
cukup” arahnya dan mula memejamkan mata. Senyap. Mudah sahaja Aqel tidur.
Nampak dia sangat letih. Kupandang Aqel. Perasaan simpati terhadapnya masih
belum terhakis. Lelaki sebaik Aqel tiada ketenangan. Patutkah aku menyalahkan
Pak Long yang mencipta kesukaran buat Aqel? Haruskah aku bertegas kepada Aqel
agar melupakan Flora? Serba salah aku jadinya. Betulkah Pak Long yang
membuatkan cinta Flora beralih daripada Aqel? Aku keliru dan tertanya-tanya.
Namun hatiku mengatakan kisah cinta Aqel sedemikian. Kedengaran dengkuran Aqel.
Kurenung wajah tampan anak muda Mak Long ini. Dalam tidur pun dia masih nampak
tampan. Sedihnya... jiwa Aqel tidak tenteram. Semoga kesukaran yang Aqel lalui
ini cepat sirna. Aku merebahkan tubuh ke atas tilam lalu memalingkan muka ke
arah Aqel yang sudah terlena. Lama kupandang wajah Aqel.
“Semoga awak bahagia...dan...cepat melupakan Flora” suara
hatiku berbisik menitip doa buat Aqel. Perlahan-lahan aku melepaskan keluhan
kecil. Aku memejamkan mata mahu mengiringi lena Aqel.
Setelah mendapatkan rawatan di klinik, aku tidak terus
balik ke rumah. Sebaliknya mengubah haluan destinasiku memandangkan buku lali
ini sudah mendapat rawatan daripada doktor pakar yang telah Aqel aturkan temu
janjinya. Aku yakin sedikit masa lagi kecederaan ini akan sembuh. Kuparkir
kereta di halaman letak kereta. Aku mahu menghabiskan kerja-kerja pejabat yang
kutinggalkan semalam seberapa banyak yang termampu. Aku menarik nafas dalam-dalam
lantas menolak daun pintu kereta. Berhati-hati aku melangkah keluar. Cuba
mengimbangi rasa sakit ini. Perlahan-lahan aku mengatur langkah menghala ke arah
pintu utama bangunan KDUT.
“Hey..., perempuan! Jalan tak larat macam tu awak masih
nak datang sini!” tengking suara itu
garang dan sarat dengan kemarahan dan dendam. Langkahkku mati. Aku sangat
mengenali suara perempuan itu. Aku melangkah setapak lagi. Tidak mahu
mempedulikannya. Tidak pernah mengharapkan Bella akan melayanku dengan baik.
“Berhenti...!!!” bentak Bella garang. Aku masih mahu
meneruskan langkahku. Tidak akan patuh pada arahan gadis itu. Manusia yang
tidak tahu bersopan dan beradap tidak harus mendapat layanan yang baik. Aku
sudah tiada kekuatan hendak bersabar dengan sikap bongkaknya itu. Kedengaran
langkah Bella mengejarku. Aku tidak mampu bergerak pantas hendak
meninggalkannya. Kecederaan buku lali ini menghalang ketangkasan pergerakanku.
“Hey...hey...awak dengar tak!” Tubuhku terpaling. Tangan
kasar Bella menarik tanganku. Hampir-hampir aku tersungkur kerana perbuatannya
ini. Tajam mataku menatapnya.
“Awak ni memang tak tahu malukan. Kalau saya jadi awak,
saya takkan jejakkan kaki ke sini lagi” lirih suara Bella memperliku. Buat apa
aku hendak malu, aku tidak buat salah pun. Kedatanganku ke KDUT pun atas
undangan syarikat tersebut.
“Dah ada suami tapi masih ada hati pada lelaki lain.
Perempuan curang” tuduhnya pula. Aku menulikan telinga. Tidak mahu cepat
melatah. Aku tersenyum.
“Kenapa senyum-senyum!” bentak Bella garang. Aku
melebarkan senyuman.
“Kasihan awak” ujarku menambah bahang hatinya.
“Hush...kasihan?” Bella mendengus. Tidak suka mendengar
bicaraku.
“Saya simpati pada awak. Sampai sekarang awak masih tak
mampu berada di hati Haqem” Aku tersenyum sinis. Bella mengetap bibir menahan
gelodak perasaannya.
“Sungguh saya simpati pada awak” Aku tersenyum.
“Berani awak...” Laju tanganku menangkap tangan kasar
Bella sebelum sempat singgah di pipiku. Tidak sesekali aku akan biarkan dia
menyentuhku sesuka hati.
“Awak perlu belajar nak memiliki hati Haqem. Nak saya
ajar awak tawan hatinya?” tanyaku menyemarakkan kemarahan Bella. Bella
mendengus kasar. Sengaja mahu menambah kemurkaan dirinya.
“Kalaupun awak nak ... rasanya dah terlambat. Haqem
kekasih yang setia, takkan mudah mengalih cinta pada perempuan lain.
Oh...kasihannya awak!” Aku tersenyum sendiri.
“Awak...” Kutangkap tangan Bella kali kedua lalu
kugenggam kuat.
“Aduh...lepaskan tangan saya!” bentaknya cuba melepaskan
diri. Kupandang serius wajahnya. Cepat sahaja tangannya hendak mencederakan
orang lain.
“Saya takkan biarkan awak sakiti saya lagi” tegasku
memberi peringatan. Kulepaskan tangan Bella. Lantas aku memaling tubuhku mahu
meneruskan langkahku.
“Aqel...” Aku tersentak. Hampir-hampir sahaja aku
melanggar tubuh Aqel yang sedang terpacak di depanku kini. Tanpa bersuara Aqel
terus mencapai tanganku lalu menggenggamnya erat. Aku terkedu. Tahu-tahu Aqel
sudah memimpin tanganku beredar dari situ.
“Saya hantar awak balik sekarang” Kali ini baru Aqel bersuara.
Tanganku masih berada dalam genggaman tangannya. Aqel menguak pintu kereta lalu
meleraikan tautan tangan kami.
“Masuk...” arahnya. Aku patuh sahaja. Lantas duduk di
kerusi penumpang ini. Enjin kereta dihidupkan. Kereta dipandu meninggalkan
perkarangan KDUT. Aku membisu seribu bahasa. Sesekali melirik ke arah Aqel yang
berdiam panjang. Tatkala aku terjaga subuh tadi, Aqel sudah tiada di sebelahku.
Aku tidak menjangka akan bertemu dengan Aqel sekarang kerana aku mengandaikan
dia kembali ke luar daerah. Sunyi sepi. Sesekali aku mencuri pandang ke arah
Aqel. Terasa janggal keadaan ini.
“Biar saja kereta Waja itu berada di laman parkir KDUT.
Tak perlu risau kereta itu akan selamat” jelas Aqel sebelum sempat aku
mengutarakan pertanyaan tentang kereta Waja yang ditinggalkan di laman parkir
sekali gus memecah suasana sunyi sepi ini. Aku mengangguk. Teringat pada kejadian
motorku yang pernah diangkat masuk ke dalam stor. Pada hari itu aku tidak dapat
mengawal emosi lalu memarahi Aqel kerana menyangka motor itu telah dicuri. Kemudian
aku bersusah payah memohon maaf kepada Aqel. Tersentuh dengan tindakan Aqel
yang mengarah pengawal keselamatan KDUT menyimpan motor itu di dalam stor. Mahu
keselamatan motor cabuk kesayanganku itu terjamin.
Senyap kembali. Aku melirik ke arah Aqel. Pasti Aqel
telah mengikuti perbualanku dengan Bella tadi. Aqel telah mendengar semuanya.
Perlukah aku memberi penjelasan agar Aqel tidak salah faham? Adakah penjelasan
ini akan memberi makna kepada Aqel? Kereta memasuki perkarangan banglo milik
Aqel. Aku tidak dihantar balik ke rumah mak. Aqel mendahuluiku keluar dari
kereta ini lalu membuka pintu kereta untukku. Dia tidak bercakap apa-apa. Hanya
memandangku sekilas lalu meninggalkan aku di situ. Perlahan-lahan aku mengatur
langkah mengekori langkah Aqel ke muka pintu. Belum sampai langkah Aqel
berhenti di depan pintu, tiba-tiba sahaja langkah Aqel mati. Laju Aqel
berpaling ke arahku. Pandanganku dengan Aqel bersatu.
“Keyakinan kita sama... Haqem memang kekasih yang setia,
takkan mudah mengalih cinta pada perempuan lain” ujar Aqel mengulangi kata-kata
yang keluar dari mulutku tadi. Aku terkedu. Aqel kelihatan tenang. Renungan
mata Aqel buat aku serba salah.
“Boleh tak awak lupakan Haqem dan minta Haqem lepaskan
awak buat selama-lamanya” pinta Aqel. Aku tergamam. Sungguh tidak menduga
bicara ini akan keluar dari mulut Aqel.
“Saya sungguh cemburu pada Haqem sebab dia menjadi cinta
pertama awak” ujar Aqel tersenyum. Kemudian berpaling lantas menyambung
langkahnya. Aku masih berdiri di situ memerhatikan langkah Aqel sehinggalah
kelibatnya hilang di sebalik pintu.
“Saya ada jumpa dengan Profesor Kang Maru” cerita Aqel
memulakan cerita pada pertemuan ini. Aku terselit antara tiga orang sahabat
lama ini.
“Betulkah awak jumpa dia? Wow...bestnya!” sahut Rania teruja. Aqel mengangguk sambil tersenyum.
Begitu juga Haqem tersenyum. Ternyata mereka berkongsi pengetahuan tentang
lelaki itu. Hanya aku sahaja yang tidak mengenali siapa gerangan Profesor Kang
Maru. Mungkin juga lelaki itu pensyarah mereka. Setahuku Aqel, Haqem dan Rania
pernah belajar di universiti yang sama suatu waktu dahulu.
“Agaknya sampai tak jodohnya dengan Intan Zulaikha?”
tanya Rania dengan mata yang bercahaya. Laju Aqel menggeleng. Besar anak mata
Rania menatap Aqel. Tidak gembira menerima perkhabaran itu.
“Saya jumpa dia dengan perempuan Korea. Rasanya wifenya” jelas Aqel.
“Dia tak perkenalkan perempuan itu pada awak?” Haqem mula
bersuara.
“Tak sempat... Saya mengejar masa dan hanya sempat
bertanya khabar. Jumpa mereka pun di
airport. Mereka nak honeymoon di
Itali” cerita Aqel memberi sedikit informasi berkaitan lelaki itu. Haqem
tersenyum.
“Wah... bestnya!”
Rania semakin teruja.
“Apa khabar agaknya Intan Zulaikha? Di mana dia sekarang?
Kenapa dia berpisah dengan Profesor Kang Maru? Cinta merekakan terlalu utuh”
ujar Rania tidak puas hati.
“Soal jodoh adalah ketentuan Allah” sampuk Haqem sambil
memandang ke arahku. Aku terdiam. Pandangan mata Haqem buat aku tidak selesa.
Laju aku berpaling ke arah Aqel. Kebetulan Aqel sedang menatapku. Rania pula
sedang memandang Aqel. Semua terasa dengan bicara Haqem.
“Saya ambil makanan untuk awak. Awak nak makan apa?”
suaraku memecah kesepian setelah lama mendiamkan diri. Pandanganku terikat pada
Aqel.
“Takkan dah kahwin masih belum mengetahui cita rasa
suami” lirih suara Rania mengutukku. Aku senyum. Kulihat Aqel juga tersenyum.
Lantas aku bangun meninggalkan mereka. Tidak mahu menunggu jawapan Aqel lagi. Bukan
susah pun hendak memenuhi selera Aqel. Pelbagai menu sedap terhidang di atas
meja. Semuanya menyelerakan. Setahuku Aqel boleh makan apa sahaja makanan yang
dihidangkan untuknya. Melilau mataku menatap makanan sambil menyimpan nasi di
dalam pinggan. Aku masih membuat pilihan. Akhirnya, kucapai isi ketam masak
pedas dengan daging cincang lada hitam. Hidangan istimewa untuk Aqel yang mampu
membangkitkan seleranya.
“Saya percaya awak akan berselera dengan makanan pilihan
saya. Silalah makan” jemputku sambil tersenyum lebar. Bangga dengan makanan
pilihanku. Memang pilihan yang terbaik. Tidak bolehlah Rania memperkecilkan aku
sesuka hatinya.
“Awak bagi Aqel makan makanan macam ni?” Laju tangan
Rania merampas pinggan di depanku lalu meletakkannya di tepi meja. Aku terpana.
Tindakan Rania mengejutkan aku. Matanya besar menatapku.
“Kenapa? Awak tak boleh makan ketam atau daging?” tanyaku
terkejut. Rania tersenyum sinis. Aqel dan Haqem masih berdiam diri dan hanya
jadi pemerhati.
“Awak nak bunuh Aqel?” keras suara Rania menegurku. Aku
terkedu. Kupandang Aqel.
“Awak tak boleh makan ketam?” Aku meminta kepastian
daripada Aqel. Perkara ini tidak kuketahui.
“Alergik...” sahut Aqel. Aku melepaskan keluhan.
“Sorry...”
ujarku rasa bersalah. Kesal.
“Macam mana ni dah jadi isterinya pun awak masih tak tahu
tentang perkara ni” rungut Rania membidasku. Terasa mukaku panas membahang. Aku
terasa dengan bicara Rania. Sungguh cetek
pengetahuanku tentang Aqel berbanding dengan Rania.
“Takpe...saya makan saja makanan yang awak ambil ni” ujar
Aqel seraya mengambil pinggan itu. Dia tersenyum.
“Jangan...” tegahku.
“Aqel...” suara Rania melarang hampir serentak dengan
tegahanku.
“Biar saya ambil makanan lain untuk awak” ujarku lantas
bangun. Namun laju tangan Aqel memegang tanganku. Mahu menghalangku pergi.
“Tak payah... Duduk sekarang” pinta Aqel mengarah aku
duduk. Kupandang Aqel. Aqel menganggukkan kepala.
“Kalau awak ambil makanan lain belum tentu awak tahu apa
yang Aqel boleh makan dan tak boleh makan” ujar Rania sinis mempertikaikan
tindakanku. Aku mengangguk.
“Ya...saya tak tahu” ujarku mengakui kebenaran kata-kata
Rania dengan perasaan terkilan. Aqel tenang sahaja. Haqem menatapku dengan
pandangan simpati.
“Biar saya ambil makanan untuk awak” ujar Rania lalu bangkit
dari kerusi. Rania bergerak ke bahagian hidangan. Aqel tidak membantah.
Sebaliknya dia menanti Rania datang membawa makanan untuknya. Aku memandang sayu
makanan yang kuambil tadi masih di tepi meja ini. Baru aku tahu Aqel tidak
boleh makan ketam. Seingatku memang aku tidak pernah memasak ketam untuk Aqel.
“Biar saya saja yang makan nasi ni. Saya memang suka
sangat makan ketam” suara Haqem memecah kesepian. Lantas tangan Haqem mencapai
pinggan itu.
“Silakan...saya pun tak suka membazir” ujar Aqel
mempersilakan Haqem. Laju sahaja Haqem memulakan suapannya. Nampak berselera
Haqem menikmati nasi dan lauk-pauk pilihanku itu. Aqel memandangku.
“Awak pun makanlah... tak payah tunggu saya” arah Aqel.
Haqem mengangguk dan tersenyum kepadaku. Dia menyokong arahan Aqel itu.
“Makan banyak-banyak. Awak dah semakin kurus” komen
Haqem. Aku tersenyum sekilas. Kemudian memulakan suapan pertamaku. Menu yang
kunikmati sama seperti yang Haqem sedang makan.
“Nampaknya kamu punya selera sama” komen Rania sambil
menatapku dengan Haqem silih berganti. Haqem tersenyum. Aku juga tersenyum. Pilihan
sendiri mestilah aku menyukainya. Set daging panggang dan jejari kentang goreng
serta sesudu salad diletak di depan Aqel. Aku menjeling set makanan pilihan
Rania itu. Tidak kena dengan seleraku. Namun berbeza dengan Aqel. Dia berselera
menikmati set makanan barat untuk
hidangan tengah hari ini.
“Jumpa esok...” ujar Aqel lalu bangkit dari kerusi.
Bingkas aku bangun mengiringi Aqel. Singgah di kaunter pembayaran melangsaikan
harga hidangan tengah hari ini. Aku melangkah ke pintu lantas menanti Aqel di
sini.
“Mari...” ajak Aqel. Aku melangkah seiring langkah Aqel meninggalkan
restoran itu. Rania balik bersama Haqem. Aku memasang tali pinggang. Enjin
kereta dihidupkan. Aqel berpaling ke arahku. Terasa dia sedang memerhatikanku.
Aku berpaling menatap Aqel.
“Kenapa?” tanyaku. Rasa kurang senang dengan pandangan
mata Aqel. Dia tersenyum sendiri. Lantas memandu keretanya balik ke rumah.
Sepanjang perjalanan ini aku dan Aqel hanya mendiamkan diri. Tiada perkara yang
hendak dibicarakan. Sebaik sahaja kereta berhenti dan enjin dimatikan, aku
mendahului langkah Aqel masuk ke rumah.
“Awak nak pergi mana?” suara Aqel melontar pertanyaan.
Langkahku mati di anak tangga. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Nak berehat di bilik” jelasku merasa pelik dengan
pertanyaan Aqel.
“Pergilah berehat. Jangan lupa masak nanti” pesan Aqel.
Besar mataku menatap Aqel.
“Awakkan baru lepas makan, takkan nak makan lagi?”
tanyaku bingung. Aqel tersenyum lebar. Senyuman terkandung hajat tersembunyi.
“Saya belum kenyang lagi” sahutnya tersengih. Aku mendengus.
Geram mendengar jawapannya. Bicara yang ada makna.
“Itulah nak berlagak. Siapa suruh makan daging dan
kentang saja. Awak ingat perut awak tu perut orang puteh” omelku geram. Aqel
tergelak. Suka melihat aku berang.
“Apapun awak wajib masak kejap lagi” arah Aqel tidak mahu
bertolak-ansur. Aku mengetap bibir. Lantas menyeru diri agar bersabar
banyak-banyak. Kutip pahala berbakti pada suami.
“Dengar tak?” tanya Aqel.
“Dengar...” balasku lalu meneruskan langkah mendaki anak
tangga meninggalkan Aqel tercengat di situ. Usai menukar pakaian, aku terus ke
dapur mahu menjalankan misi resipi yang paling mudah. Tidak sempat hendak
berbaring-baring di katil. Aku memilih menu yang paling ringkas. Hampir sejam kemudian,
nasi, sup kentang dengan telur serta ikan dan daging goreng sudah terhidang di
atas meja. Aku melangkah ke ruang tamu. Kelihatan Aqel sedang terbaring di atas
sofa dengan senang-lenang persis raja.
“Tuanku... putera raja...santapan dah terhidang untuk
dijamah” jemputku. Aqel tersenyum lebar lantas bangkit dari perbaringan. Seronok
dirinya dipanggil sedemikan. Aku tersentak tatkala tangan Aqel mendarat di
bahuku. Laju aku menepisnya. Tangan Aqel masih berada di bahuku.
“Alihkan tangan awak” arahku. Aqel langsung tidak
mengendahkan arahanku. Dia tersenyum. Suka dengan tindakannya itu.
“Mari kita makan sama-sama” ajaknya sambil memaksa aku
melangkah bersamanya. Aku mendengus. Tangan Aqel masih kemas di bahuku. Aku
mengalah dan menurut sahaja langkah Aqel. Di meja makan ini aku menolak tangan
Aqel. Kali ini dia tidak berkeras.
“Awak makan kenyang-kenyang supaya saya tak payah masak
tengah malam nanti” ujarku mengutuknya. Aqel mempamer wajah bersahaja. Fokus pada
hidangan di depannya. Dia begitu berselera makan.
“Saiz kantung perut awak xxxl ke?” tanyaku memperlinya.
Makan beberapa kali masih belum kenyang. Aku memerhatikan Aqel makan.
“Awak tak nak makan?” Aku menggeleng.
“Kenyang lagi. Saya makan nasi. Bukan macam awak makan
stik daging dan ubi kentang. Mana boleh kenyang makanan macam tu” kutukku
tersenyum sinis memerli Aqel. Aqel menatapku.
“Awak terkilan dengan tindakan Rania tadi?” tanya Aqel.
Aku tersentak.
“Bicaranya menyakitkan hati” ujarku jujur tidak
berselindung.
“Nur Dahlia binti Sallehudin...Tak payah susah hati. Saya
menyukai awak melebihi awak menyukai saya” ujar Aqel tersenyum. Besar mataku
menatap Aqel. Aku terlopong. Aqel tidak pernah menyembunyikan perasaannya lagi.
No comments:
Post a Comment