Friday 8 April 2016

NamaKU Bukan Flora....83





BAB 83
Aku merenung jambangan bunga mawar segar yang baru kuterima pagi ini. Kuselak kad kecil yang terselit di tangkai. Tulisan tangan Aqel. Aqel masih sempat mengirim bunga kepadaku sedangkan sebelum aku terjaga, dia sudah pergi. Kudekatkan hidung pada kuntuman kelopak bunga ini. Bau haruman semerbak sungguh menyegarkan.
“Lain kali dekatkan hidung awak pada kelopak bunga itu. Biar haruman itu meresap sampai ke dasar hati awak. Nanti ada taman dalam hati awak” suara Aqel terngiang-ngiang di telingaku. Aku tersenyum sendiri. Kupandang iPhone yang menyepi di atas meja. Tiada mesej mahupun panggilan sesiapa yang aku terima. Aqel juga masih belum mengutus sebarang perkhabaran dirinya. Mungkin masih dalam perjalanan yang panjang yang tidak kuketahui destinasinya. Mudah-mudahan Aqel selamat sampai ke destinasi yang dituju dan selamat kembali.
“Assalamualaikum...” Aku melontar pandangan ke muka pintu sambil menyahut salam itu. Haqem melangkah masuk dengan senyuman terukir di bibir. Langkah Haqem terhenti. Dia memandang jambangan bunga mawar yang hampir memenuhi ruang kosong bilik ini. Kemudian memandang bunga mawar segar yang kuterima pagi ini. Mawar merah ini masih terletak di atas meja di sisiku.
“Aqel menjadikan bilik awak taman bunga” komen Haqem. Aku senyum. Walaupun aku tidak memberitahunya, namun Haqem dapat mengagak bunga-bunga mawar ini adalah kiriman Aqel.
“Tak sangka Aqel bertindak sejauh ini” suara hati Haqem berkata-kata.
“Silalah duduk” pelawaku. Haqem senyum.
“Terima kasih sebab tolong jaga Idlan semalam” ujar Haqem berbesar hati. Lantas meletakkan coklat cadbury itu di depan gadis ini.
“Untuk awak sebab jaga Idlan dengan baik”  ujar Haqem memberikan coklat ini sebagai ganjaran menjaga Idlan.
“Terima kasih” Aku dan Haqem bertukar senyuman.
“Sebenarnya... Aqel yang tolong jaga Idlan semalam. Dia banyak menghabiskan masa bersama Idlan” ceritaku kepada Haqem.
“Idlan ada cerita pada saya semalam. Dia seronok bersama Aqel” jelas Haqem tidak merahsiakan perkara itu. Aku menarik nafas lega. Namun tatkala teringat rahsia Idlan dan Aqel yang sudah terbongkar, aku sedikit bimbang. Nampak Idlan bersungguh-sungguh dengan tindakannya. Aqel mesti bertanggungjawab atas perkara ini.
“Idlan okey?” tanyaku. Haqem mengangguk.
“Namun dia risau mamanya akan jatuh cinta pada Aqel” ujar Haqem tersenyum tawat buat aku terdiam. Kata-kata ini ditujukan kepadaku.
“Sayapun risau juga” ujar Haqem tidak berselindung. Wajahku ditenung. Senyap.
“Awak duduklah dulu. Saya nak gantikan bunga dalam vase itu” jelasku lalu bangkit dari kerusi ini. Aku tidak senang dengan keadaan senyap sekarang. Terasa kekok. Kucapai vase di atas kabinet ini.
“Takpe... awak buatlah kerja awak. Saya pergi dulu” ujar Haqem meminta diri. Dia bangun dan mengatur langkah ke pintu. Langkahnya terhenti. Dia berpaling semula ke arahku.
“Kita makan tengah hari nanti” ajaknya. Aku diam seketika.
“Maaf... kita tunggu Aqel balik. Nanti kita sama-sama makan dengan Aqel” sahutku memberi cadangan sekali gus menangguhkan pelawaan Haqem.
“Okey...” Haqem bersetuju.
“Saya pergi dulu. Bye...” Haqem menyambung langkah ke pintu lalu meninggalkan aku bersendirian di bilik ini. Vase yang masih berada di tangan, kuletak di atas kabinet semula. Tidak jadi menukar bunga. Kuletak jambangan mawar merah ini di atas meja kembali. Balik nanti aku perlu singgah di kedai bunga. Tepat pukul 5.00 petang. Aku keluar dari bilik ini meninggalkan bangunan KDUT lantas berkunjung ke kedai bunga. Mahu menunaikan hajat pagi tadi.  
“Kak... saya nak vase ini. Nak sepuluh ye” pintaku sambil menunding jari pada vase kaca lutsinar pilihanku. Ringkas tetapi menarik. Tidak mahu yang bercorak-corak dan berwarna-warni. Nampak berserabut. Perempuan pemilik kedai bunga ini mengangguk lalu mencapai vase kaca lutsinar di atas rak lalu meletakkannya di atas meja kaunter.
“Banyak adik beli. Mesti banyak terima bunga dari boyfriendkan” tekanya tersenyum. Aku tersenyum sekilas.
“Orang cantik seperti adik ni kenalah jaga elok-elok sebab ramai yang berkenan ni. Bijak boyfriend adik” ujar perempuan ini. Ini bukan kunjungan pertamaku ke sini. Sejak Aqel bermurah hati menghantar bunga kepadaku sudah beberapa kali aku datang ke sini.
“Bukan boyfriend...” jelasku. Aqel ialah suamiku. Dia senyum mendengar penafianku ini. Mesti perempuan ini tidak mempercayaiku.
“Biasa-biasa sajalah, kak” sahutku menyambung bicara dengan merendah diri. Dia tersenyum lagi.
“Kalau dah beli banyak vase itu dah luar biasa. Maknanya lelaki itu memang dah jatuh cinta pada adik. Dia akan sanggup buat apa saja nak tawan hati adik” ujar perempuan ini berkongsi pengalaman. Aku terdiam. Sikap Aqel sukar hendak diramal.
“Ini vase yang adik nak...dengan harganya sekali” ujar perempuan ini sambil menghulurkan beg kertas ini. Aku menyambut beg kertas yang dihulurkan kepadaku. Terasa berat. Kupandang nilai vase yang terpampang pada skrin mesin kira-kira wang itu.
“Hati-hati...” ujar perempuan ini mengingatkan aku. Kukeluarkan wang kertas RM150 lantas menghulurkan kepada perempuan pemilik kedai bunga ini.
“Saya beli ye...kak” ujarku.
“Saya jual” balasnya. Kami bertukar senyuman.
“Terima kasih... Datang lagi” ujarnya. Aku mengangguk. Pasti aku akan datang lagi ke situ. Sudah terpikat dengan kemesraan dan keramahan pemilik kedai bunga ini. Kemudian melangkah keluar meninggalkan kedai bunga ini. Senang hati vase sudah dibeli. Awal pagi esok bolehlah aku masukkan tiga jambangan bunga mawar yang baru kuterima ke dalam vase ini.

###################################

Hari ke-7 Aqel berada di Kota Londan. Destinasi yang Aqel maklumkan kepadaku dua hari lalu melalui mesej ringkas yang dihantarnya. Aku hanya mengetahui lokasi dia berada setelah lima hari Aqel berada di situ. Belum tahu lagi bila Aqel akan balik ke Malaysia. Dia sangat sibuk dengan urusan perniagaan. Aku menatap iPhone di depanku. Sepi memanjang. Tiada siapa yang sudi menghantar mesej hari ini. Kemudian kualih pandangan ke arah jambangan bunga mawar segar yang kuterima pagi ini bersama kad yang ditulis oleh Aqel. Tulisan tangan Aqel. Setiap hari aku menerima jambangan bunga mawar daripada Aqel yang kini berada jauh di luar negara. Pelik. Terasa seolah-olah Aqel berada di sekitar ini.
“Betulkah awak berada di Kota London sekarang?”. Aku bertanya pada diri sendiri. Bingung memikirkan kehadiran bunga-bunga ini. Tidak seharipun terkecuali. Aku menatap jambangan-jambangan bunga yang telah melalui peringkatan pengawetan. Perempuan pemilik kedai bunga itu telah mengajarku bahawa bunga segar ini boleh dijadikan bunga kering. Jangan dibuang setelah layu. Sebaliknya gantung dengan tangkai ke atas. InsyaAllah kelopak bunga yang layu tidak akan berguguran. Ternyata tunjuk ajarnya itu berkesan.
“Hari ini bawa balik bunga lagi” tegur mak dengan pandangan membutang menatapku. Aku senyum. Kulepaskan beg di sofa, lantas mencapai vase kosong di atas almari hiasan di ruang tamu ini. Aku melangkah ke dapur. Kumasukan air dan jambangan mawar ungu ke dalam vase ini Kemudian kembali ke ruang tamu lalu meletakkan bunga mawar ini di atas almari hiasan semula. Kupandang mak yang dari tadi memerhatikan tingkahlakuku.
“Sekarang ruang tamu rumah mak dah nampak serinya” ujarku tersengih menatap mak. Mak memandangku dengan pandangan serius.
“Bunga dari siapa?” tanyanya nampak kurang senang dengan kemunculan jambangan mawar merah ini. Semalam mak nampak aku membawa jambangan mawar putih yang telah menjadi penyeri bilik tidurku.
“Mestilah bunga dari menantu kesayangan mak” jelasku. Mak terus sahaja tersenyum tatkala mengetahui gerangan pengirim bunga ini ialah Aqel.
“Kalau tak suka, Lia bawa balik ke pejabat semula. Boleh letak dalam bilik Marnie nanti” ujarku mahu menguji reaksi mak.
“Tak payah. Biar saja di situ” ujar mak menghalang. Aku tersenyum sendiri.
“Kalau dah Aqel beli bunga tu untuk kamu, buat apa nak beri orang lain pula. Kamu mesti simpan selama-lamanya” ujar mak memberi peringatan. Aku tergelak.
“Macamlah bunga ni hidup tahan lama” tingkahku tercuit dengan kata-kata mak.
“Bunga hidup boleh dikeringkan. Bukan susah pun” jelas mak.
“Tahu...” sahutku. Aku telah pun melakukannya. Namun tidak mahu bercerita pada mak.
“Suka tak dengan bunga ni?” tanyaku. Mak tersenyum lebar. Jawapannya sudah kuketahui. Semua yang berkaitan dengan Aqel pasti mak suka.
“Esok Lia bawa balik bunga lagi” ujarku cuba mengurangkan jambangan-jambangan bunga mawar yang memenuhi ruang di bilik tempat kerjaku. Pasti esok ada bunga mawar yang kuterima lagi.
“Setiap hari kamu dapat bunga macam ni?” tanya mak. Dahinya berkerut. Sukar hendak percaya. Kebenarannya memang setiap hari aku menerima jambangan mawar segar daripada Aqel. Aku mengangguk.
“Kamu yakin Aqel yang kirim bunga ni?” tanya mak sangsi. Aku mengangguk lagi. Memang sukar hendak mempercayai tindakan Aqel ini. Pemuda sedingin sajli itu tidak dijangka akan seromantis ini.
“Sejak kebelakangan ini dia memang menjadi pengemar bunga yang setia” ujarku sinis. Mak tergelak sendiri. Nampak suka dengan tindakan Aqel.
“Mak tegurlah dia... suruh jangan bazirkan duit lagi. Bunga mawar segar ini bukan seringgit dua harganya. Lia tahu dia banyak duit... tapi tak sukalah dia buang duit macam tu” rungutku tidak sedap hati. Kalau aku yang tegur pasti Aqel akan ambil hati. Mak tersenyum.
“Tak elok nak halang orang luahkan perasaan” tingkah mak tidak bersetuju dengan permintaanku. Mak sesekali tidak akan melarang Aqel membeli bunga untukku. Aku mengeluh.
“Perempuan suka kalau kekasih beri bunga” ujar mak memprotes sikapku. Aku menggetap bibir. Mungkin betul kalau aku kekasih Aqel.
“Aqel bukan kekasih Lia” laju sahaja ayat ini keluar dari mulutku. Serius muka mak menatapku. Kata-kataku tidak disenanginya.
“Kalau pun dia bukan kekasih kamu, tapi dia suami kamu. Suami yang lebih berhak daripada kekasih” ujar mak radang. Aku terdiam. Tajam pandangan mak menatapku.
“Kamu belum jelas tentang perasaan kamu. Mak nak ingatkan kamu tiada lelaki yang boleh menjaga kamu dengan baik selain Aqel. Aqel suami kamu. Kamu wajib setia pada Aqel walau apapun yang berlaku” tegas mak. Aku mengangguk.
“Saya tahu mak” sahutku tidak akan mengingkari kata-kata mak. Aku tahu seorang isteri wajib taat kepada suaminya. Isteri yang solehan dijanjikan syurga di akhirat kelak. Aku melepaskan keluhan.
“Bagaimana kalau suami tak setia pada isteri?” tanyaku mahu mendengar pendapat mak. Mak menatapku.
“Aqel ada orang lain?” tanya mak tidak menjawab pertanyaanku. Aku dan mak saling berpandangan. Nama Flora melintas di benakku. Lambat-lambat aku menggelang. Tidak sampai hati mengecewakan hati mak.
“Hidup suami isteri tak lari dari masalah. Mesti sentiasa berbincang barulah masalah  dapat diselesaikan dengan baik. Memang ramai perempuan yang berkenan dengan Aqel. Itu memang mak tak nafikan sebab dia ada rupa dan harta. Tapi kamu mesti ingat, Aqel dah pilih kamu jadi isterinya. Dia janji pada mak akan jaga kamu dengan baik. Dia juga menantu yang baik. Mak percaya dan yakin pada Aqel” ujar mak panjang berjela persis mengetahui kewujudan Flora namun cuba menafikannya. Mungkin tidak sanggup membayangkan Aqel memiliki kekasih hati.
“Jangan sesekali bertindak terburu-buru” tegas mak sambil memandangku. Aku terdiam panjang. Tidak akan aku maklumkan kepada mak tentang kewujudan Flora. Tidak harus bertindak terburu-buru persis yang mak katakan.
“Kamu dah letih bekerja seharian. Pergilah berehat di bilik...” arah mak. Aku beredar meninggalkan mak bersendirian di situ. Langkah longlaiku mendaki satu-persatu anak tangga. Kutolak perlahan daun pintu. Aku melangkah masuk dan terpacak di situ seketika. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Di situlah Aqel banyak menghabiskan waktu tidurnya. Sudah lama aku tidak jumpa Aqel.

##################################

“Nak beli vase lagi?” perempuan ini mendahului menyapaku sebaik sahaja aku muncul di ambang pintu kedai bunga ini. Aku tersenyum.
“Pengirim bunga itu memang telah jatuh cinta pada kamu” ujarnya tersenyum. Aku tersenyum sekilas. Tidak tahu sejauhmana kebenarannya. Sekadar membeli bunga sesiapapun boleh melakukannya. Bukan perkara yang luar biasa.
“Dah selalu jumpa tapi masih tak tahu nama” ujar perempuan ini mesra. Aku tergelak. Terlepas pandang perkara ini. Sudah wujud kemesraan tetapi masih tidak mengetahui nama masing-masing.
“Panggil saya Lia, kak” ujarku memperkenalkan diri.
“Nama betulnya?” tanyanya ingin tahu. Jarang aku ditanya begini. 
“Nurdahlia” jelasku. Nama yang ringkas seringkas orangnya. Aku tersenyum sendiri.
“Oh... patutlah selalu dapat bunga! Rupa-rupanya namapun nama bunga” ujarnya bergurau. Aku tergelak kecil.
“Nama kak?” tanyaku.
“Terlupa pula nak cakap. Samsiah. Panggil Kak Sam saja” ujarnya memperkenalkan diri.
“Setiap hari kamu terima bunga?” tanya Kak Sam setelah usai berkenalan. Aku mengangguk. Bukan hendak bermegah atau teruja. Hanya mahu bercakap benar.
“Wow... seronoknya!”. Kak Sam teruja mendengarnya.
“Sayang juga nak biarkan layu macam tu saja” ceritaku. Kak Sam tersenyum.
“Mesti menghargai pemberian orang. Saya suka bunga” nasihatnya. Aku mengangguk. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Aku musykil walaupun Aqel tiada di sini, namun aku tetap menerima jambangan bunga mawar yang dikirimnya. Mungkin juga Aqel menempah bunga-bunga ini selama 360 hari. Oleh itu aku menerima bunga mawar segar setiap hari daripada Aqel.
“Pelanggan boleh tempah bunga untuk tempoh setahun?” tanyaku berhati-hati. Bimbang Kak Sam akan mentertawakanku. Dalam masa yang sama mahu menyiasat perkara ini.
“Boleh...asalkan ada duit nak bayar. Harga bunga segar ini mahal juga” jelas Kak Sam tidak terkejut mendengar pertanyaan sedemikian mahupun mentertawakan aku. Mungkin Kak Sam ada pelanggan fanatik bunga sedemikian.
“Kaya juga orang itu kalau sepanjang tahun tempah bunga” ujarku rasa tidak berbaloi. Aqel kaya memang dia mampu melakukannya. Beli kedai bungapun dia mampu malah boleh beli ladang bunga.
“Ada seorang pelanggan saya tempah bunga setiap hari sepanjang tahun ini. Dia sediakan 360 keping kad yang dah ditulis dan siap ditandatangani untuk diselit pada jambangan bunga yang akan dihantar setiap hari” cerita Kak Sam menarik perhatianku. Terbukti Kak Sal ada pelanggan yang sungguh setia. Pasti si pengirim itu kekasih sejati.
“Dia kaya. Bos Syarikat KDUT” cerita Kak Sam mengejutkan aku. Aku tertarik pada ceritanya ini. Teruja hendak mengetahui gerangan si pengirim itu. Siapa? Adakah Aqel atau Haqem? Mungkin juga Haqem ada menempah bunga di sini untuk Bella.
“Aqel tempah bunga di sini?” tanyaku menyiasat.
“Kamu kenal bos KDUT?” tanya Kak Sam turut teruja setelah mendengar nama yang kusebut. Aku mengangguk.
“Tampan orangnya” puji Kak Sam memuji Aqel. Pujian Kak Sam berlalu persis angin. Aku sudah dapat menjejaki lokasi pengedar bunga yang aku terima setiap hari. Kemusykilanku telah terjawab. Rupa-rupanya di sinilah Aqel melaburkan duit-duitnya membeli jambangan-jambangan bunga mawar segar itu.
“Jadi kamulah yang menerima bunga-bunga yang ditempah oleh Encik Aqel?” tanya Kak Sam baru menyedari perkara itu. Besar anak matanya menatapku. Aku tersenyum sekilas. Tidak dapat menafikan kebenaran ini.
“Aduh...rupa-rupanya kamu kekasih Encik Aqel!” tutur Kak Sam semakin teruja. Laju aku mengeleng. Berkerut dahi Kak Sam melihat penafianku ini.
“Sebenarnya... saya bukan kekasihnya. Saya isteri Encik Aqel...” ujarku membuat pengakuan.  Terlopong Kak Sam mendengar pengakuanku. Aku telah mengejutkan Kak Sam.
“Kalian memang pasangan sepadan. Bagai pinang dibelah dua, sama-sama lawa” puji Kak Sam semakin teruja. Gembira mengetahui berita yang baru diterimanya ini.
“Seorang beli bunga dan seorang lagi beli vase. Memang padan menjadi pasangan” Kak Sam tergelak pada bicaranya sendiri. Seronok mengetahui bahawa aku dan Aqel ialah pasangan suami isteri. Kutinggalkan kedai bunga milik Kak Sam setelah membeli tiga buah vase sama seperti yang aku beli sebelum ini. Lega. Kemusykilanku telah terungkai. Aku juga telah berbincang dengan Kak Sam tentang tempahan bunga yang dibuat oleh Aqel. Dengan ehsan Kak Sam, persetujuan bersama dicapai iaitu tempahan setiap hari ditukar kepada tempahan bulanan sahaja. Aku hanya akan menerima bunga mawar sekali setiap bulan. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku menghentikan terus tempahan bunga ini. Namun perkara ini melibatkan perniagaan Kak Sam yang telah dipersetujui dengan Aqel. Maka aku tak boleh melakukannya. Baki duit tempahan setahun ini akan dikembalikan kepada Aqel melalui cek. Selamat dan mudah. Alhamdulillah urusan bunga selesai.

##################################
 
“Lia...!” Langkahku terhenti tatkala mendengar laungan suara Marnie memanggilku. Aku berpaling. Sungguh aku tersentak tatkala terpandang Aqel bersama Marnie tika ini. Kepulangan yang tidak kuketahui. Aqel tidak menghubungi mahupun menghantar mesej kepadaku lagi setelah memaklumkan kunjungannya ke Kota London. Aqel juga tidak pernah memaklumkan tarikh kepulangannya kepadaku. Aqel menyepi di Kota London.
“Encik Aqel dah balik...” ujar Marnie tersenyum kepadaku. Aku mengangguk. Memang Aqel sudah balik. Sekarang dia sedang terpacak di depanku dengan wajah kosongnya. Sikapnya sedingin salju juga telah kembali.
“Kita dah lambat ni. Mari...” ajak Aqel mahu beredar segera. Dia melangkah meninggalkan Marnie dan aku tanpa sebarang sapaan. Aqel tidak mahu menegurku. Dahi Marnie berkerut menatapku. Sedar kedinginan sikap Aqel.
“Ada meeting. Saya pergi dulu. Jumpa nanti. Bye...” jelas Marnie lantas terkocoh-kocoh mengejar langkah Aqel yang sudah jauh meninggalkannya. Aku hanya memerhatikan mereka pergi. Masih terkejut melihat jasad Aqel yang terpacak di depanku setelah sebulan tidak bertemu.
Lewat pukul 5.00 petang, kereta Waja yang kupandu memasuki perkarangan rumah. Tiada kereta Aqel di garaj. Bermakna Aqel belum balik lagi dan mungkin tidak akan balik ke sini hari ini. Kereta Aqel juga tidak kelihatan di laman parkir perkarangan KDUT tadi. Mungkin juga mesyuarat yang Marnie katakan tadi belum selesai lagi.
“Assalamulaikum...” Aku memberi salam dan melewati pintu. Salamku disambut oleh mak yang sedang berehat-rehat di ruang tamu. Aku duduk di sofa lalu memandang mak.
“Aqel... ada balik sini tadi?” suara hatiku melontar pertanyaan ini kepada mak. Namun tidak terzahir. Tidak mahu mengundang kehairanan mak jikalau Aqel tidak muncul-muncul di sini. Kupendam sahaja pertanyaan ini.
“Kenapa?” tanya mak hairan dirinya diperhatikan sedemikian. Aku tersengih dan geleng kepala. Mak masih menatapku buat aku gelisah. Bimbang mak akan bertanya tentang kepulangan Aqel. Sukar hendak berbohong tentang menantu kesayangannya itu.
“Lia nak berehat di bilik dulu. Letih sangat hari ni...” Aku meminta diri beredar dari situ sebelum mak bertanya tentang Aqel. Mak mengangguk.
Kuatur langkah longlai ke bilik. Kutolak daun pintu dan melangkah masuk. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Perlahan-lahan aku melepaskan keluhan. Kemudian merebahkan tubuh ke atas tilam. Mahu berbaring-baring seketika di situ. Hampir-hampir masuk waktu Maghrib, aku bergegas ke bilik air. Mahu membersihkan diri sebelum solat Maghrib. Baru rasa bertenaga setelah air membasahi seluruh tubuh. Lima belas minit kemudian, aku menyiapkan diri untuk menunaikan solat Maghrib. Kupandang kain pelikat kepunyaan Aqel tersidai di rak. Aqel lebih selesa memakai kain pelikat ketika menunaikan solat di rumah. Aku terus mengerjakan solat Maghrib. Kemudian berbaring-baring di atas katil menunggu waktu solat Isyak pula. Tidak banyak perkara yang hendak dilakukan. Buntu. Usai solat Isyak aku kembali berbaring di katil.
“Lia, mari makan” laung mak. Dengan malas aku bangkit dari katil. Aku melangkah ke dapur. Mak sudah duduk di meja makan menunggu kedatanganku. Aku menarik kerusi lalu duduk di depan mak.
“Takde selera nak makan. Lia temankan mak makan ye” ujarku.
“Kamu tak sihat?” tanya mak gusar. Laju aku geleng kepala.
“Letih saja...” sahutku. Kutuang air kosong dingin di gelas lalu meneguknya.
“Kalau letih pergi berehat di bilik. Tidur awal” arah mak. Kuhabiskan air di gelas.
“Maaf... Lia berehat di bilik ye...” ujarku dengan senang menerima cadangan mak. Mak mengangguk. Kubasuh gelas di singki. Aku meninggalkan dapur dan sempat bertukar senyuman dengan mak. Aku kembali berbaring di katil setibanya di bilik ini. Kupejamkan mata. Mahu lena segera. Tidak sedar pukul aku tertidur. Aku terjaga. Kutarik selimut menyelubungi tubuh. Terasa dingin. Kupandang jam loceng di atas meja solek. Sudah pukul 10.45 malam. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Tiada Aqel di situ. Aku memejamkan mata semula. Mahu menyambung tidur kembali. Deringan iPhone memecah keheningan malam ini. Kupanjangkan tangan mencapai iPhone yang tidak jauh daripada perbaringanku. Mak Long yang menghubungiku. Aku cemas. Bimbang ada perkara tidak elok telah berlaku. Cepat aku menekan panggilan diterima.
“Assalamualaikum...Mak Long” sapaku. Salamku dijawab.
“Dah tidur?” tanya Mak Long. Lega mendengar suara Mak Long biasa-biasa sahaja.
“Baru saja bangun” jelasku.
“Maaf call kamu lewat malam begini” ujar Mak Long rasa bersalah.
“Takpe... Mak Long” ujarku tidak terganggu dengan panggilan ini.
“Mama nak beritahu kamu, Aqel tidur di sini malam ni. Rasanya dia tak sempat call kamu tadi. Sekarang dia dah tidur. Macam tak tidur berbulan-bulan. Dikejutkan pun tak sedar-sedar. Nampak letih sungguh” rungut Mak Long bercerita tentang Aqel.
“Okey... Mak Long. Biarlah dia tidur di sana. Mesti letih setelah perjalanan jauh. Lagipun dah lama dia tak jumpa Mak Long” jelasku sangat memahami situasi ini. Anak lelaki wajib mengutamakan ibu bapanya. Tiada perasaan cemburu mahupun rasa terkilan. Memang patut Aqel meluangkan masa bersama Mak Long yang seharian ditemani pembantu rumah. Aku pun jarang berkesempatan meluangkan masa untuk Mak Long. Kesal.
“Sekarang dah lewat. Esok datanglah sini. Boleh kita makan sama-sama. Nanti balik dengan Aqel” ajak Mak Long, lengkap sekali dengan perancangannya.
“InsyaAllah... Mak Long. Esok saya beritahu lagi” sahutku belum dapat memberikan jawapan muktamad. Tidak mahu Mak Long tertunggu-tunggu dan berharap akan kedatanganku. Kadangkala berlaku perkara yang tidak dirancang.
“Kamu dengan Aqel tak bergaduhkan?” tanya Mak Long. Aku tergelak.
“Takdelah... Mak Long. Semuanya baik-baik saja” ujarku tidak mahu Mak Long fikir yang bukan-bukan. Tidak mahu juga Mak Long susah hati.
“Baguslah kalau macam tu. Kamu bukan tak faham perangai Aqel tu. Ikut suka hatinya nak buat apa saja” keluh Mak Long persis tidak bersetuju sepenuhnya dengan tindakan Aqel selama ini. Aku hanya diam. Mak Long lebih mengerti perangai Aqel berbanding aku.
“Okeylah... Kamu sambunglah tidur. Kalau takde apa-apa urusan penting, singgahlah rumah mama esok” pesan Mak Long.
“InsyaAllah...Mak Long”. Ini sahaja yang mampu aku jawab ketika ini.
“Assalamualaikum...”.Salam Mak Long kusambut. Suara Mak Long tidak kedengaran lagi. Kuletakkan iPhone di sebelahku lalu merebahkan tubuh di atas tilam. Aku mahu menyambung tidurku semula. Mudah sahaja hendak melelapkan mata ini. Aku tidur tanpa perlu dipaksa-paksa.

###########################

Tepat pukul 12.40 tengah hari. Masa makan tengah hari sudah tiba. Kucapai beg di atas meja lalu melangkah ke pintu. Aku sekadar mahu mendapatkan air dan roti sahaja. Tidak berselera hendak makan nasi sejak semalam.
“Lia...”. Aku berpaling. Tersentak melihat Aqel dan Haqem sedang menatapku.
“Nak pergi mana?” tanya Haqem.
“Pergi kafe. Nak beli roti dan air” jelasku. Berkerut dahi Haqem.
“Takkan nak makan tu je” tegur Haqem tidak percaya. Aku senyum. Tidak mahu memberi penjelasan lanjut.
“Marilah makan sama. Kan hari tu awak janji akan makan tengah hari dengan saya kalau Aqel dah balik” ajak Haqem sambil mengungkit bicara itu. Aku diam. Kupandang Aqel yang berdiam diri sahaja. Berat hati pula hendak menyertai mereka. Melihat kedinginan Aqel bimbang dia tidak mengalu-alukan penyertaanku.
“Boleh ke?” tanyaku berat hati.
“Apa yang tak bolehnya. Aqelkan ada di sini” tingkah Haqem.
“Marilah...” Kali ini Aqel bersuara. Kemudian melangkah meninggalkan aku dan Haqem yang masih tidak berganjak.
“Mari...Lia” ajak Haqem. Aku mengangguk. Kemudian seiringan langkah Haqem mengejar Aqel. Tiba di Kafeteria Chantek Aqel telah memilih tempat duduk. Aku dan Haqem menurut sahaja.
“Nak makan apa?” tanya Haqem menilik-nilik senarai menu lalu menatap Aqel dan aku.
“Awak pilihlah apa yang awak berdua nak makan” arahku.
“Awak tak nak makan?” tanya Aqel serius. Aku menggeleng.
“Diet ye...” Haqem tersenyum menatapku. Aku senyum.
“Takde selera” jelasku.
“Awak sakit?” tanya Haqem. Haqem dan Aqel menatapku. Aku menggeleng lagi.
“Rasa letih saja” ujarku berterus-terang. Bagai tidak cukup tenaga.
“Awak nak demam ni” ujar Haqem. Aqel masih memandangku.
“Makan sedikit, biar bertenaga” arah Haqem prihtin. Aku senyum sekilas.
“Saya nak pergi kaunter sekejap”. Aku bangkit lalu beredar meninggalkan mereka. Kucapai dua biji roti dan sebotol air mineral. Aku melangsaikan bayaran di kaunter. Kemudian mendapatkan Aqel dan Haqem semula.
“Maaf...saya nak balik office sekarang” jelasku. Mereka tersentak.
“Awak betul tak nak makan nasi?” tanya Haqem. Aku mengangguk.
“Saya dah beli roti dan air mineral” jelasku.
“Cukup makan tu saja? Kalau tak sihat baliklah berehat” ujar Haqem risau. Aku senyum.
“Saya sihatlah...” tingkahku tidak mahu Haqem bimbang. Aqel kelihatan tenang sahaja.
“Biar Aqel hantar awak balik rumah” cadang Haqem. Aku menggeleng.
“Saya pergi dulu. Selamat menjamu selera” Kutinggalkan Haqem dan Aqel di situ. Aku mahu bersendirian menikmati roti dan air mineral sebagai hidangan tengah hari. Tiba di bilik ini aku memaksa diri cuba menghabiskan sebiji roti berinti kacang hitam ini. Sebiji roti lagi terbiar di atas meja. Tidak mampu hendak menghabiskan kedua-duanya. Kuteguk air mineral di botol. Maka lengkaplah sudah makan tengah hariku untuk hari ini. Selepas solat zuhor, aku berbaring sekejap di sofa panjang di bilik ini. Aku dikejutkan dengan deringan iPhoneku. Tidak dirancang aku tertidur tadi. Laju aku melangkah mendapatkan iPhoneku di atas meja. Panggilan Mak Long.
“Assalamualaikum... Mak Long” sapaku menjawb panggilan ini.
“Waalaikumussalam... Tak sihat ke? Suara kamu macam bunyi orang sakit saja” komen Mak Long. Aku tersenyum.
“Tertidur sekejap tadi” jelasku. Terasa kurang bertenaga. Lesu.
“Nak beritahu kamu, hari ini tak dapat nak makan bersama. Tiba-tiba saja mama dapat undangan majlis doa kesyukuran di rumah kawan” jelas Mak Long rasa bersalah.
“Hey... takpelah. Mak Long pergilah. Lia pun rasa letih ni, macam tak larat nak pergi mana-mana” ujarku.
“Oh... takpelah kalau macam tu. Kamu berehatlah. Minta Aqel hantar balik ke rumah kalau rasa tak sihat” arah Mak Long prihatin.
“Sihat...” sahutku.
“Okeylah... Lia. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum...” Mak Long mematikan panggilan. Aku menyahut salam Mak Long dalam hati. Lega. Memang aku tidak dapat berkunjung ke rumah Mak Long habis kerja nanti. Rasa tidak bertenaga. Mujur Mak Long membatalkan makan malam yang dirancang semalam. Aku menyambung kerja yang belum selesai tadi. Dari sini aku terpandang beg kertas di atas meja sofa. Baru nampak beg kertas itu sedangkan sebelum aku tertidur tadi meja kaca itu kosong sahaja. Bingkas aku bangun dan melangkah ke situ. Coklat cadbury Barangkali Haqem berkunjung ke sini tadi. Kubiarkan sahaja coklat itu di situ. Sekarang belum berselera hendak makan. Coklat cadbury yang Haqem beri tempoh hari pun belum habis lagi. Aku kembali menyambung kerjaku. Cuba menyiapkan sedaya-upaya yang termampu. Tidak mahu kerja hari ini tertangguh walaupun aku rasa tidak cukup tenaga.
“Mari makan...Lia” ajak mak yang muncul di sebalik pintu. Aku bangkit dari perbaringanku. Namun tidak meninggalkan katil ini.
“Lia tak berselera nak makan” ujarku rasa bersalah kepada mak kerana terpaksa membiarkan dia makan bersendirian lagi malam ini.
“Kamu sakit?” tanya mak. Aku menggeleng. Mak masuk ke bilik. Tangannya didakap di dahiku. Mahu menyukat suhu tubuhku.
“Tak panas pun” ujar mak. Aku senyum.
“Lia tak sakit cuma letih saja” ujarku. Mak senyum.
“Mak tinggalkan makanan di atas meja. Kalau kamu rasa lapar pergi makan nanti” pesan mak lalu melangkah keluar meninggalkan aku bersendirian di bilik ini. Aku kembali berbaring di katil. Sejak beberapa hari ini aku tiada selera hendak makan. Terasa lesu memanjang. Tidak banyak perkara yang dapat aku fikirkan dan lakukan. Tidak bertenaga hendak melakukan banyak aktiviti selepas tamat waktu bekerja, sampai di rumah aku lebih banyak berbaring dan tidur.
“Awak tak makan dari semalam” suara Aqel singgah di telingaku. Aku berpaling. Tersentak tatkala Aqel sudah berdiri di depanku. Kemunculannya mengejutkan aku. Mesti mak yang memaklumkan perkara ini kepadanya.
“Saya takde selera nak makan” jelasku masih terbaring di atas katil ini. Kedengaran keluhan Aqel. Aku membelakangi Aqel kembali.
“Hanya makan sebiji roti dan setengah botol air mineral tak cukup beri awak tenaga” tegas Aqel. Sebiji roti dan setengah botol air mineral. Aqel yang mengunjungiku siang tadi. Coklat cadbury itu daripada Aqel bukan Haqem.
“Awak perlu makan. Cepat bangun...” arah Aqel serius. Aku masih berbaring. Tidak mahu berganjak dari katil ini. Tiba-tiba sahaja Aqel mencapai tanganku. Lantas menarikku bangun.
“Awak buat apa ni? Kan saya kata tak nak makan” rungutku tidak suka dipaksa-paksa. Namun Aqel tidak mengendahkan kata-kataku. Dia masih berdegil dan memaksaku bangun.
“Saya tak suka orang bantah kata-kata saya” ujar Aqel tidak berselindung mempamerkan kuasa veto. Aku mengetap bibir. Tenaga Aqel membuatkan aku terdorong bangun. Aqel menarik tanganku meninggalkan katil dan bilik ini. Aku terpaksa mengikut langkah Aqel ke dapur.
“Duduk...” arah Aqel sambil menekan bahuku membuatkan aku terduduk di kerusi. Aku mendengus. Tidak suka diri diperlakukan sedemikian.
“Tunggu di sini...” arahnya. Aku mencebik. Aqel mengangkat periuk itu. Dicapai mangkuk dan sudu lalu berhati-hati menuang isi dalam periuk itu ke dalam mangkuk tadi.  Beberapa minit kemudian semangkuk sup ayam yang berasap-asap dihidang di depanku.
“Habiskan samgyetang ni” arah Aqel. Berkerut dahiku menatap Aqel. Baru pernah mendengar nama masakan sedemikian. Agak pelik namanya dan aku tidak pernah merasa masakan ini. Mungkin sejenis masakan Korea. Nampak sedap.
“Ini sup ayam ginseng. Sesuai dimakan dalam cuaca panas begini kerana menu ini mempunyai nutrisi yang sihat yang dapat meningkatkan tenaga setelah kehilangan tenaga” jelas Aqel panjang berjela persis pakar pemakanan. Aku menatap Aqel. Kagum.
“Menu popular pada musim panas di Korea” ceritanya lagi.
“Rasalah...” arah Aqel. Aku menghirup perlahan-lahan sup itu. Berkerut dahiku. Terasa sedikit pahit. Aqel menatapku.
“Ginseng Korea ada sedikit rasa pahit. Banyak makan ginseng boleh menguatkan badan dan awet muda” jelasnya. Aku tersenyum.  Aku sedia maklum ginseng memang makanan tradisional yang penuh berkhasiat dan tinggi nilainya. Aku menghirup lagi kuah sup di mangkuk. Terasa menyegarkan. Bicara Aqel ada benarnya.
“Awak wajib habiskan sup ni agar awak lebih bertenaga. Saya tak mahu perkara lalu berulang lagi. Awak hampir pengsan kerana kelaparan. Belum pernah saya jumpa kes macam tu” suara Aqel kedengaran sinis mengutukku. Wajahnya serius. Aku mengetap bibir. Peristiwa itu terimbau kembali. Segan dan memalukan hendak mengingati semula. Tidak sangka perkara itu masih segar dalam benak Aqel. Kupandang Aqel yang sejak dari tadi memerhatikan aku menikmati sup ini.
“Saya dah batalkan tempahan bunga di kedai Kak Sam” jelasku berhati-hati. Aqel menatapku. Tidak dapat ditafsir ekspresi wajah yang dipamerkannya tika ini.  
“Okey...” sahut Aqel pendek.
“Sebenarnya saya dah tukar tempahan itu. Saya takkan dapat bunga setiap hari lagi sebaliknya sebulan sekali. Baki duit tempahan itu akan dikembalikan pada awak. Persetujuan dicapai bersama Kak Sam” jelasku berjela. Tidak mahu Aqel tersinggung dengan tindakanku.
“Okey...” ringkas sahaja jawapan Aqel. Tidak juga dia tersinggung dengan tindakanku. Nampak dia tidak kisah tentang perkara ini. Malah dia langsung tidak terkejut mendengar kenyataanku ini. Tiada perasaan ingin tahu bagaimana aku boleh menjejaki kedai bunga itu? Mungkin Kak Sam telah berhubung dengannya.
“Kenapa tak awak batalkan terus tempahan itu?”. Kupandang Aqel. Ikhlaskah dia menuturkan kata-katanya ini? Betulkah ini kemahuannya? Atau dia sekadar mahu menyendirku.
“Kalau awak terbeban dengan bunga-bunga itu awak boleh minta batalkan saja tempahan itu. Tak kisah pun kalau tak dapat balik wang itu” ujar Aqel bersahaja. Aku terkebil-kebil menatap Aqel. Ternyata wang itu tidak bernilai padanya. Maklumlah dia banyak duit.
“Sejak kebelakangan ini saya banyak berfikir tentang tindakan saya. Terasa saya buat perkara yang bukan-bukan nak pikat hati awak. Pasti awak tertekan kerana saya”. Aqel tersenyum. Tidka percaya pada tindakan sendiri.
“Saya takkan buat awak tertekan dan serba salah lagi. Jika jodoh kita panjang dan awak memang ditakdirkan jadi teman hidup saya, insya-Allah awak akan jatuh cinta pada saya kelak” tutur Aqel yakin. Aku terpaku. Betapa tenang diri Aqel ketika ini.
“Awak dah berputus-asa nak tawan hati saya?” Pertanyaan ini tersimpan di hati. Tidak terluah. Namun aku percaya pada bicara Aqel. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.


1 comment: