Bab 5
“Semester ini kamu
semua wajib buat kajian kes tentang masalah sosial yang berlaku di sekitar
bandar ini. Pilih pasangan masing-masing. Saya tak nak tugasan ini dilakukan
dalam kumpulan yang ramai bagi mengelakkan wujud ahli yang tahu menumpang nama
saja tapi tak buat apa-apa. Saya dah tetapkan dua orang sepasukan ... bilangan yang
paling sesuai” Encik Lokman baru sahaja mengeluarkan arahan sebagai mukadimah
kelas hari ini. Aduh... lemah semangat Aunie! Tugasan bersyarat begini
menyukarkannya. Dia lebih selesa tugasan yang diberi secara individu.
Bergantung sepenuhnya pada diri sendiri. Lebih mudah diselesaikan.
“Sekarang pilih
pasangan masing-masing dan daftar nama kalian kepada saya. Saya galakkan yang
perempuan pilih pasangan lelaki sebab kamu perlu turun ke lapangan kajian.
Mungkin situasi ini sedikit membahayakan diri” nasihat Encik Lokman. Lebar
senyuman Era. Pandangan Era sudah terikat kepada pemuda itu. Hari ini pemuda
itu tidak tidur seperti selalu. Terbuka luas pula matanya.
Aunie melepaskan keluhan.
Kawan-kawan sekelas yang lain sudah ramai mendaftar nama kepada Encik Lokman
sebagai rakan sepasukan. Dia masih terpaku di kerusi ini. Dipandang Era yang
masih tidak berganjak dari tempat duduk. Tidak mungkin pula dia hendak
mempelawa Era menjadi rakan sepasukan. Rimas dia melihat cermin muka yang
sentiasa mendampingi gadis itu. Setiap masa Era akan merenung diri dalam cermin
yang berada di tangannya itu. Sudah tentu juga Era punya pilihan sendiri yang
mampu menjamin keselamatan dirinya. Melihat reaksi yang ditunjukkan Era tika
ini pasti dia berhasrat akan menjadi pasangan pemuda itu. Aunie melepaskan
keluhan kecil. Hanya beberapa orang sahaja lagi yang belum mendaftarkan nama.
“Minta maaf ...
Encik Lokman, boleh tak saya buat kajian kes ini sendirian?” Aunie angkat
tangan lalu mengutarakan pertanyaannya. Encik Lokman geleng kepala.
“Wajib
berpasangan. Ini pun demi kebaikan kamu juga” hujah Encik Lokman.
Aunie melepaskan
keluhan lagi. Sukar hendak mencari rakan sepasukan. Dia tiada sahabat karib di sini.
Tiada juga sesiapa yang menawarkan diri untuk menjadi rakan sepasukan.
Fikirannya buntu. Aunie hanya mendiamkan diri. Mungkin menunggu Encik Lokman
menemukannya dengan rakan sepasukan dari kalangan orang yang senasib dengannya
iaitu orang yang tidak terpilih.
“Eymar Luiz...
Kamu dah pilih rakan sepasukan?” Encik Lokman melontar suara kepada pemilik
nama asing itu. Aunie tersentak. Bagai nama Neymar yang disebut yang singgah di
pendengarannya sebentar tadi. Pandangan mata Encik Lokman terarah ke belakang.
Lantaran fanatik terhadap bintang bola Brazil itu, perlahan-lahan Aunie
berpaling menyoroti arah mata Encik Lokman. Dia terkedu menatap wajah pemilik
nama itu. Pemuda itu tersenyum kepadanya.
“Saya nak Aunie
jadi rakan sepasukan saya” ujarnya bersahaja tanpa mendapatkan persetujuan
gadis itu terlebih dahulu. Aunie terpana. Tidak menduga pemuda yang baru sahaja
dikenali dengan nama Eymar Luiz itu telah memilihnya untuk menjadi rakan
sepasukan. Rasa menyesal pula menghala pandangan ke arah pemuda itu. Namun
keinginan mahu mengetahui gerangan pemilik nama itu memaksa dirinya berpaling
ke belakang. Rupa-rupanya pemuda itulah Eymar Luiz. Persis gabungan nama
bintang bola sepak Brazil. Mungkin juga dia lincah beraksi di padang. Sempat
juga Aunie memikirkan perkara itu.
“Okey... Tak ada
masalahkan kamu jadi rakan pasukan Eymar” ujar Encik Lokman. Aunie
terkebil-kebil. Pilihan yang sukar. Manusia yang hendak dijauhinya sekarang
hendak digandingkan dengannya pula. Bimbang tidak mampu menjalinkan kerjasama.
“Kalau dibenarkan
saya nak buat kajian kes ini sendirian Encik Lokman” ujar Aunie masih
mengharapkan persetujuan Encik Lokman. Masih berharap Encik Lokman akan
mengubah keputusannya. Kemudian bermurah hati memberi kebenaran untuknya
menyiapkan tugasan secara individu. Dia merasakan dirinya dengan pemuda itu
bukan gandingan yang tepat.
“Saya tak
benarkan. Sekarang saya nak kamu dan Eymar jadi rakan sepasukan” putus Encik
Lokman langsung tiada diplomasi. Aunie berpaling ke belakang. Eymar mengangkat-angkat
kening kepadanya dibalas dengan cebikan bibir Aunie. Perang dingin sedang
dilancarkan.
“Encik Lokman...
kalau Aunie tak setuju, saya boleh jadi pasangan serasi Eymar. Eh...maksud saya
rakan sepasukan Eymar” ujar Era menawarkan diri dengan suara manjanya. Cuba
memujuk Encik Lokman mengubah keputusan itu. Ada suara-suara sumbang memberi
reaksi pada permintaan Era. Seperti biasa Era hanya menunjukkan reaksi
bersahaja.
“Kamu terlambat
Era, Eymar dah pilih sendiri rakan pasukannya” tukar Encik Lokman terpaksa menolak
permintaan Era. Eymar tersenyum-senyum. Kelihatan dia tenang sahaja. Tidak
kisah dengan penolakan Aunie yang dilakukan secara terang-terangan itu. Memang
dia mahu melakukan tugasan itu bersama gadis itu.
“Tapi Aunie tak
setuju jadi rakan sepasukan Eymar” tegas Era masih mahu mencuba nasib. Peluang
hendak menjadi rakan pasukan pemuda itu masih terbuka selagi nama mereka belum
berdaftar. Aunie juga nampak belum bersedia hendak bekerjasama dengan Eymar.
“Saya setuju
menjadi rakan pasukan Eymar Luiz” suara Aunie mencelah bersetuju. Lama juga dia
berfikir sebelum mengutarakan persetujuan ini. Encik Lokman tersenyum. Eymar
juga tersenyum. Hanya Era yang nampak
kecewa. Impiannya hendak menjadi rakan pasukan Eymar tidak kesampaian.
“Bagus ...
daftarkan nama kalian di sini” arah Encik Lokman meminta mereka bergerak ke
hadapan. Kedengaran bunyi kerusi ditolak. Eymar tersenyum melewatinya.
“Aunie... tulis
nama penuh dan nombor kad pengenalan kamu di sini” arah Encik Lokman tatkala
melihat Aunie belum berganjak dari tempat duduk. Lambat-lambat Aunie bangkit
meninggalkan kerusi, lalu melangkah malas ke arah Encik Lokman dan pemuda itu.
Eymar Luiz Choo nama yang dicatat oleh pemuda itu pada kertas ini. Lahir pada
14 Februari 1994. Sudah genap 21 tahun. Pemuda ini lahir pada tanggal Hari
Kekasih yang disambut oleh sebilangan populasi penduduk dunia. Dia tidak pernah
meraikan hari tersebut. Setiap hari ialah hari berkasih- sayang. Berbangsa
Cina. Aunie memandang pemuda ini. Tiada nampak ciri fizikal Tionghua pada
dirinya. Kulitnya sawo matang. Pasti dirinya lahir daripada kahwin campur.
Aunie membuat kesimpulan sendiri.
Tiba giliran Aunie
mencatat sedikit identiti dirinya di sebelah ruang maklumat Eymar. Dia masih
berdiri di situ, di sebelah gadis itu menunggu Aunie menulis maklumat diri.
Kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya.
“Oh... nama penuh
awak... Aunie Hanania. Nama yang indah” Sekali lagi dia memuji nama yang
ditulis Aunie. Encik Lokman hanya tersenyum. Kerenah orang muda. Dia faham.
“ 05 Februari... Betul
ini tarikh lahir awak?” tanyanya ingin tahu tatkala Aunie selesai menulis
nombor kad pengenalannya. Aunie mengangguk.
“Tarikh lahir awak
sama dengan hari kelahiran Neymar da Silva Santos Junior. Patutlah awak peminat
fanatiknya. Oh... kebetulan juga saya pilih jersi nombor 10 kan” tuturnya
panjang lebar. Banyak cakap pula dia tika ini. Ada sedikit kemusykilan.
Kemudian Aunie teringat pada jersi yang belum dipulangkan kepada pemuda ini.
Sudah terlupa pula di mana dia letak jersi itu. Mungkin masih di Butik
Selendang Kasih. Harap-harap mamanya tidak akan nampak beg kertas itu. Tidak
mahu cerita hari itu terbongkar.
“Saya tahu...”
balas Aunie bersahaja. Tidak mahu mempamer rasa bangga kerana berkongsi tarikh
lahir yang sama dengan bintang bola sepak dunia yang kacak di depan Eymar.
“Kita berkongsi
bulan kelahiran yang sama. Nanti bolehlah kita sambut hari jadi sama-sama.
Nampaknya awak lebih tua 9 hari daripada saya” Eymar mempamer senyuman. Aunie
menulikan telinga. Tidak kisah umurnya lebih tua daripada pemuda ini. Dia bukan
hendak jadi kekasih Eymar. Jauh sekali hendak kahwin dengan pemuda ini.
“Sebagai adik awak
mesti hormat pada saya dan dengar arahan saya” arah Aunie. Eymer mencebik.
Tidak suka mendengar arahan itu. Encik Lokman juga tersenyum.
“Bagus...kalian
boleh jadi rakan sepasukan yang baik. Habis kelas nanti kamu sambung sesi
perkenalan ini” ujar Encik Lokman. Eymar mengangguk dan tersenyum. Kemudian mereka
meninggalkan Encik Lokman untuk meneruskan kelas pada hari itu.
“Boleh saya duduk
di sebelah awak?” tanya Eymar mematikan langkah di situ. Aunie menatapnya. Permintaan
itu tidak akan ditunaikan.
“Kitakan dah jadi
rakan sepasukan. Memang elok duduk bersebelahan...mudah nak buat perbincangan.
Lagipun kerusi ni memang kosong” ujar Eymar tersengih. Aunie geleng-geleng
kepala. Jari telunjuknya bergerak-gerak isyarat permintaan itu ditolak.
“Sebagai seorang
kakak... saya arahkan awak duduk diam-diam di tempat awak. Jangan memanjang
tidur. Sakit mata saya tengok” ujar Aunie dibalas dengan sengihan Eymar.
“Boleh tak saya
duduk di sebelah awak?” tanya Eymar lagi.
“Tak boleh...”
tegas Aunie tidak memberi keizinan.
“Eymar... awak
duduklah di sebelah saya kalau bosan bersendirian di belakang tu” Era mencelah.
Tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama pemuda itu. Hasrat hatinya belum
terkabul lagi.
“Awak boleh duduk
di sebelah Era” saran Aunie sambil menunding jari ke arah Era yang sedang
tersenyum-senyum. Suka hatinya mendengar cadangan itu. Eymer tersenyum. Dia
melangkah ke tempat duduknya. Lantas mencapai beg lalu melangkah ke arah Era.
Bermula hari ini di situlah dia akan duduk sebaris dengan kedudukan meja Aunie
yang hanya dipisahkan oleh dua buah meja. Era masih tersenyum-senyum ceria
menyambut kedatangan Eymar. Pasti dia rasa seronok kerana Eymar sudah berada di
sebelahnya.
Kelas toturial
Encik Lokman sudah tamat. Aunie mula mengemaskan buku catatan dan menyimpan pen
di dalam beg pensel. Kemudian meletakkan semua itu ke dalam beg galasnya.
Dipandang jam. Masih awal. Petang nanti baru ada kuliah. Balik atau terus
berada di kampus? Dia membuat perkiraan. Akhirnya dia memutuskan untuk
berkunjung ke perpustakaan sahaja. Mahu merujuk contoh-contoh kajian kes yang
pernah dilaksanakan oleh senior-senior. Banyak jurnal hasil kajian terdahulu
disimpan di situ. Selalunya hasil tugasan yang terbaik akan dijadikan rujukan
pelajar. Teringat pada rakan sepasukan, Aunie berpaling ke arah Eymar.
Pandangan mereka bersatu. Ternyata pemuda ini sedang memerhatikan gelagatnya
dari tadi. Eymar tersenyum.
“Bila nak mulakan
perbincangan?” Eymar lebih awal bersuara. Aunie diam dan berfikir. Perlukah dia
mengajak pemuda ini ke perpustakaan bersamanya? Bimbang pula Eymar akan
mengganggu fokus pencarian maklumat yang hendak dilakukan selepas ini.
“Kemudian saya
beritahu awak” ujar Aunie setelah berdiam seketika. Lantas bangkit dari
duduknya dan memulakan langkah ke muka pintu. Terkebil-kebil Eymar yang
ditinggalkan sedemikian. Era terlopong.
“Saya nak nombor
telefon awak” pinta Eymar separuh melaung. Namun Aunie melewati pintu kelas
tanpa menghiraukan permintaan Eymar. Kelibatnya hilang dari pandangan.
“Ugh...” Eymar
melepaskan keluhan.
“Hish...
sombongnya dia” komen Era yang masih setia menemani pemuda ini. Dia tidak berganjak dari situ biarpun kelas Encik
Lokman sudah berakhir. Eymar tersenyum.
“Saya suka” balas
Eymar bangun lalu menyandang beg di belakangnya.
“Ahh...” Terlopong
Era mendengar jawapan pemuda itu. Kemudian mencebik bibir pula. Jawapan yang
tidak menyenangkannya. Terbukti Eymar tidak kisah dengan kedinginan Aunie.
“Awak tahu nombor
telefon Aunie?” tanya Eymar. Laju Era menggeleng.
“Buat apa saya nak
simpan nombornya” jawab Era dengan wajah kelat. Tidak suka melihat Eymar
bersungguh-sungguh mahu mendapatkan nombor telefon gadis itu.
“Awak nak nombor
telefon saya? Saya boleh beri awak” ujar Era menawarkan diri dengan sengihan.
Eymar hanya tersenyum. Kemudian memulakan langkah beredar meninggalkan kelas.
“Hey... hey...
tunggulah saya” Era terkocoh-kocoh bangun mahu mengejar langkah pemuda itu.
“Tak payahlah awak
beriya-iya nak dekatinya. Dia hanya suka Aunielah” laung Farid rakan sekelas.
Era berpaling. Jelingan tajamnya singgah di wajah pemuda itu.
“Awak tak
nampakkah dia suka Aunie” tambah Farid cuba menyedarkannya. Era mendengus
kasar. Mencerlung matanya menatap pemuda itu. Kemudian dia berlari anak ke muka
pintu, mahu mengejar langkah Eymar yang kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.
Farid hanya geleng-geleng kepala.
“Awak cari nahas
sendiri... Era” keluhnya. Tidak mampu menghalang Era memburu pemuda itu. Gadis
itu akan berusaha mendapatkan perhatian Eymar. Sudah nampak hala tujunya hendak
mendampingi pemuda itu.
“Biarlah dia...”
ujar Kamal tersengih. Memang sudah kenal dengan sikap Era yang suka memburu
lelaki tampan.
“Saya kasihan
tengok dia jadi macam itu...” keluh Farid kesal.
“Atau hati awak
sakit tengok Era suka lelaki lain?” teka Kamal masih tersengih. Cuba menguji
sahabatnya ini. Farid menatapnya.
“Jangan
mengarutlah. Era itu rakan sekelas saya sejak sekolah rendah lagi. Saya sekadar
mahu menasihatinya. Tak tahan juga saya tengok dia terhegeh-hegeh pada Eymar.
Macam perigi mencari timba pula lagaknya. Sakit mata saya ini tengok tahu”
Farid bersungguh-sungguh meluahkan perkara yang tersirat di hatinya. Kamal
tergelak.
“Membesar bersama
pasti banyak kenangan manis yang telah terukir. Menariknya...” Kamal sudah
membayangkan sesuatu. Masih mahu mengusik Farid yang sedang meradang ketika
ini. Kamal persis merasakan bahawa sahabatnya ini menyimpan perasaan kepada
gadis itu. Hatinya tergerak mahu membantu Farid mendapatkan Era. Tidak mahu
gadis itu terlepas ke tangan Eymar. Bimbang Farid akan kecewa.
“Hey...
tunggulah...!” laung Kamal tatkala menyedari Farid sudah melewati ambang pintu.
Laju langkahnya mengejar Farid.
“Sudah habis
angan-angan awak tadi?”perli Farid. Kamal tersengih. Mereka melewati kafeteria.
Langkah mereka terhenti di situ seketika. Pandangan Farid dan Kamal terarah
kepada Eymar dan Era yang sedang minum bersama di kafeteria itu. Terpamer wajah
ceria Era yang sentiasa tersenyum. Nampak bahagia dirinya berada di sisi pemuda
itu. Farid menyambung langkahnya kembali diikuti oleh Kamal yang masih setia
menemani.
Aunie menatap
cetakan beberapa helai kertas A4 di tangannya. Dibaca dan disemak sekali imbas
lalu diletak di tepi. Dia tersenyum puas. Borang soal selidik sudah siap dan
menunggu masa sahaja untuk dikemukakan kepada responden. Lantas mengingatkannya
kepada pemuda itu. Dia mula membuat perkiraan. Tempoh tiga minggu hendak menyiapkan
tugasan ini terasa begitu singkat. Dia tidak boleh melengahkan masa lagi.
“Sudah siap?”
Aunie tersentak. Puan Aisyah Adiba sudah melangkah masuk ke bilik pejabatnya
ini. Aunie mempamer senyuman lebar. Petanda baik.
“Terima kasih mama
sebab pinjamkan printer ini” ujar
Aunie. Lega. Puan Aisyah Adiba melontar pandangan pada kertas di tepi meja ini.
Hasil kerja anak gadisnya yang baru sahaja dicetak.
“ ‘Kewujudan Kumpulan Samseng yang Semakin
Menular dalam Masyarakat Moden Hari Ini’ ” Ayat ini meniti keluar dari
mulut Puan Aisyah Adiba. Besar anak matanya menatap Aunie. Wajahnya serius.
“Ini tajuk kajian
kes kamu?” tanya Puan Aisyah Adiba meminta kepastian. Risau. Aunie mengangguk.
“Kamu nak turun
lapangan nak cari maklumat kumpulan samseng ini? Mama tak benarkan” putus Puan
Aisyah Adiba bimbang tentang keselamatan anak gadisnya ini.
“Kamu tukar tajuk
kajian kamu ini. Banyak lagi masalah sosial yang berlaku di sekitar kita ini”
saran Puan Aisyah Adiba tidak bersetuju dengan kajian yang dirancang oleh Aunie.
“Mama...
bertenang. Skop kajian kes yang Adik rancang ini pasti hebat kalau dapat
dilaksanakan dengan jayanya. Jarang sekali dan mungkin tak pernah pelajar lain
buat pun kajian sebegini. Jadi Adik teruja nak membongkar permasalahan ini”
suara Aunie lembut menenangkan mamanya. Dibalas dengan keluhan berat Puan
Aisyah Adiba.
“Mestilah orang
lain tak nak buat sebab bahaya. Mana ada orang nak tempah maut sendiri” sahut
Puan Aisyah Adiba serius. Aunie tersenyum. Tenang sahaja dirinya.
“Ada. Pihak polis
sanggup gadai nyawa nak tangkap penjenayah demi kesejahteraan hidup rakyat.
Begitu juga perajurit-perajurit kita yang bertugas di udara, di laut dan di
darat sanggup berkorban nyawa demi keselamatan rakyat dan keamanan negara. Para
wartawan juga membahayakan diri untuk memperoleh berita-berita sensasi. Mereka
berada di medan pertempuran negara yang bergolak, mereka ikut sama mengejar
penjenayah malah turut menyamar sebagai sebahagian daripada mereka yang
melanggar undang-undang” jelas Aunie.
“Masalahnya...
kamu bukan sebahagian daripada mereka. Kamu nak jadi wartawankah?” Besar anak
mata Puan Aisyah Adiba menatap Aunie. Geram. Tidak memandang perkara ini
sesuatu yang serius. Aunie tergelak. Mustahil pula pelajar seni bina sepertinya
tiba-tiba hendak jadi wartawan pula. Tidak pernah dia terfikir sedemikian.
Mujur juga mamanya tidak mengatakan dirinya mahu jadi polis atau askar. Sungguh
jauh terpesong daripada perancangan masa depannya.
“Mama... ini
kajian kes ini salah satu daripada kertas pengajian universiti yang wajib diambil oleh semua pelajar tak kiralah dari
pengajian seni bina, doktor, jurutera atau peguam sekalipun. Semua wajib ambil”
jelas Aunie serius dan mengharapkan pengertian Puan Aisyah Adiba.
“Jikalau macam
itu, tukar tajuk kajian kamu” tingkah Puan Aisyah Adiba memberi arahan. Aunie
mengetap bibir. Hampa.
“Mamakan tahu...
Adik suka perkara yang mencabar. Lagipun bukan Adik buat kajian ini sendirian.
Adik ada rakan pasukan yang boleh diharap” ujar Aunie cuba memancing keizinan
mamanya. Di matanya sudah terbayang wajah pemuda itu.
“Nanti kami akan
sama-sama turun ke lapangan kajian. Mama tak payahlah risau” tambah Aunie
menggantung harapan yang tinggi. Kebenaran mamanya sangat diperlukan.
“Kami takkan sampai
pergi ke sarang kongsi gelap. Sekadar buat kajian umum sahaja. Rasanya yang
jadi samseng ini tak semuanya jahat. Ada sebab tertentu yang mendorong mereka
menjadi samseng. Adik teringin nak membongkar kisah-kisah samseng ini” ujar
Aunie meluahkan isi hatinya. Puan Aisyah Adiba mengeluh berat. Perkara ini tidak
dapat diterima akal logiknya.
“Cara kamu cakap
macam kamu sudah kenal mereka. Kamu berkawan dengan kumpulan samsengkah?” tanya
Puan Aisyah Adiba curiga. Hatinya dipagut kerisauan. Tidak rela anak gadis
tunggalnya ini terpengaruh dengan masalah sosial yang semakin membimbangkan.
“Tak adalah mama”
Laju Aunie meningkah. Nama Eymar terlintas di benaknya. Mamanya pernah nampak
pemuda itu bersamanya. Dia berharap perkara ini tidak akan diungkit.
“Pemuda yang kamu
jumpa di restoran tempoh hari siapa? Mama tak kenal pun dia kalau betul kawan
kamu. Penampilannya sangat mengelirukan” ujar Puan Aisyah Adiba sangsi.
“Dialah rakan
sepasukan Adik, mama. Pelajar baru... pelajar pertukaran universiti” ujar Aunie
mereka andaian sendiri. Alasannya memandangkan Eymar muncul pada semester akhir
ini. Memang tidak akan dikenali semua siswazah di kampus yang terlalu ramai
bilangannya. Mungkin sebenarnya Eymar sudah lama wujud dalam kalangan
beribu-ribu siswazah tersebut namun mereka tidak pernah bersua muka. Dia tidak menyedari
kewujudan pemuda itu.
“Rakan sepasukan
boleh menjamin keselamatan Adik. Percayalah mama” pujuk Aunie separuh merayu.
Suara Eymar yang berjanji akan melindungi dan menjaganya terngiang-ngiang di
telinga. Pelik tatkala pemuda yang tidak dikenali bersungguh-sungguh mahu
melindunginya. Mungkin diutuskan Allah untuk menjadi pelindungnya. Aunie
geleng-geleng kepala sendirian. Tidak mengharapkan perkara yang terlintas di
benaknya menjadi kenyataan.
“Apapun mama
memang tak benarkan kamu buat kajian ini. Kamu bincang dengan rakan sepasukan
kamu tukar kajian lapangan yang lain” putus Puan Aisyah Adiba nekad. Tampak dia
tidak akan bertolak-ansur dalam hal ini. Aunie melepaskan keluhan kecil. Sukar
hendak meraih kepercayaan mamanya.
“Mama juga nak
jumpa pemuda itu. Sangat perlu mama mengenali rakan sepasukan kamu” tegas Puan
Aisyah Adiba lantas melangkah ke muka pintu meninggalkan Aunie bersendiran di
bilik pejabat ini. Aunie melepaskan keluhan lagi. Lantas memanggung kepala di
atas meja itu. Persis orang yang sudah berputus-asa. Direnung kertas soal
selidik itu.
Kesanggupannya
menjadi rakan sepasukan Eymar kerana keinginan mahu mengkaji kumpulan samseng
di sekitar bandar ini. Isu sosial yang sangat menarik untuk dikupas lebih
mendalam. Pasti cerita menarik yang mahu didedahkan kepada generasi baru
jikalau kajian ini terpilih dijadikan rujukan di perpustakaan. Ketika menatap
kajian-kajian yang lalu di rak perpustakaan timbul keinginannya mahu
menghasilkan tugasan yang terbaik.
Aunie juga
berangan-angan mahu meletakkan hasil kajian yang dilakukannya berada di dalam
rak itu. Dia akan berbangga jikalau isu yang dikajinya akan menjadi kajian
pertama. Pasti teruja menatap pelajar-pelajar lain menjadikan hasil kajiannya
sebagai sumber rujukan. Dicapai kertas itu lantas dia bangun dan mengatur
langkah ke pintu. Dia tidak mahu begitu mudah melepaskan angan-angannya tanpa
berusaha meraih kepercayaan mamanya.
“Kak Ros... kalau
mama cari saya... katakan saya ke Plaza Queen sekejap. Nak cari barang” ujarnya
meninggalkan pesan sebelum keluar dari Butik Selendang Kasih. Kak Ros
mengangguk. Aunie menyeberangi jalan raya yang memisahkan Plaza Queen dengan
Butik Selendang Kasih. Laju langkah diatur memasuki bangunan itu dengan agenda
yang mahu dilaksanakannya. Dia mahu bertemu dengan pemuda itu.
Hampir sejam sudah
Aunie berlegar-legar di bangunan itu. Kali ini dia berharap akan terserempak
dengan pemuda itu. Perkara ini bukan seperti yang selalu diharapkannya. Letih
menjejaki pemuda itu, Aunie melabuhkan duduk di bangku kayu itu. Dia
memerhatikan manusia yang lalu-lalang. Hari ini Eymar tidak muncul di situ.
Aunie melepaskan keluhan. Rasa menyesal pula kerana tidak bertukar-tukar nombor
telefon dengan pemuda itu.
Aunie disentakkan
dengan deringan iPhone. Laju
tangannya mengeluarkan iPhone dari
saku beg galas. Dipandang nama pemanggil yang tertera di skrin iPhone itu.
“Assalamualaikum...
mama. Ya... Adik masih di Plaza Queen ini...” jelas Aunie lemah.
“Datang ke sini
sekarang” arah Puan Aisyah Adiba. Tegas.
“Okey...
Assalamualaikum” sahut Aunie patuh. Dia bangkit dari bangku kayu itu dengan
perasaan kecewa. Langkah longlai diatur keluar dari bangunan itu. Punah harapannya
hendak menemui Eymar tika ini. Pada saat pertemuan itu diharapkan pemuda itu
pula tidak muncul-muncul.
Di ambang pintu
Butik Selendang Kasih, Puan Aisyah Adiba sedang tercengat menanti kedatangan
anak gadisnya. Aunie melepaskan keluhan kecil. Mula terasa dirinya diawasi
gara-gara kajian kes yang mahu dilaksanakan itu.
“Berehat di sini.
Sekejap lagi kita balik sama-sama” ujar Puan Aisyah Adiba serius.
Terkebil-kebil Aunie menatap mamanya. Datang ke butik secara berasingan. Balik
pula satu kereta. Perkara yang tidak pernah dilakukan.
“Ngah akan bawa
balik kereta kamu” tambah Puan Aisyah Adiba menambah kebinggungan Aunie.
Pandangannya bersatu dengan mamanya.
“Kamu faham?” Puan
Aisyah Adiba bersuara lagi. Perlahan-lahan Aunie mengangguk.
“Bagus...” ujar
Puan Aisyah Adiba berpuas hati lantas mengatur langkah ke pejabatnya. Aunie
menggaru-garu kepala yang dilitupi hijab sambil melontar pandangan ke arah Kak
Ros. Perempuan itu hanya menjengket bahu, tidak mengerti dengan perubahan sikap
Puan Aisyah Adiba hari ini.
No comments:
Post a Comment