Wednesday 9 March 2016

99 Mawar Merah UntukMu... 4





Bab 4

“Hussshhhh... Encik Lokman datang” tegur satu suara cuba melenyapkan kebisingan di dalam kelas yang akan bermula tidak lama lagi. Perbualan santai yang sangat rancak dalam beberapa kelompok tadi tiba-tiba sahaja lenyap. Siswa-siswi yang bertebaran di dalam kelas itu kembali di tempat duduk masing-masing. Begitu juga beberapa kelompok kecil tadi mula berpecah. Masing-masing duduk di tempat sendiri sambil melontar pandangan ke muka pintu menunggu kedatangan pensyarah. Aunie tidak mahu ketinggalan turut sama melontar pandangan ke muka pintu.
Semakin jelas kedengaran bunyi derap langkah. Aturan langkah yang tidak kemas. Mungkin  Encik Lokman berat hati hendak melaksanakan kelas toturial pagi ini.
“Bukankah lebih baik batalkan saja kelas toturial ini” getus suara hati Aunie. Dia pun rasa malas hendak menghadiri kelas ini. Namun mamanya bertegas tidak mahu dia ponteng kelas. Tiada alasan dia tidak dapat hadir ke kelas. Aunie mengetap bibir. Ketegasan mamanya tidak mampu ditewaskannya. Dia patuh sahaja. Perkara yang baik tidak harus ditentang. Semua ini berkaitan masa depannya. Mujur juga masih ada kesedaran dalam dirinya. Aunie masih melontar pandangan ke muka pintu. Menanti gerangan siapa yang muncul. Mahu mempastikan tekaannya tepat. 
“Aaaa...” Kedengaran lontaran suara teman sekelas tatkala kelibat itu berdiri di ambang pintu. Silap. Bukan Encik Lokman yang muncul. Kedengaran suara teman perempuan berbisik-bisik nakal. Terpegun. Disambut dengan cebikan sang arjuna yang iri hati. Terasa sudah ada saingan baru muncul. Mata Aunie menatap pemuda yang sedang melangkah masuk sambil menguap panjang. Nampak mengantuk sangat. Tidak cukup tidur. Pasti semalam dia menggunakan tenaga semaksimumnya untuk memenangi pertarungan. Balik ke rumah pula pada pagi subuh. Hanya sempat tidur sejam atau dua jam. Aunie berandaian sendiri.
“Orang barulah...” suara teman perempuan mengulas namun tidak diendahkannya.
“Di sebelah saya ni kosong. Awak boleh duduk d sini” pelawa Era mesra. Dia memang terkenal dengan sikap penggodanya. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan pemuda ini. Era dilewati begitu sahaja. Ada suara-suara sumbang mengutuk Era. Gadis ini hanya mempamer wajah bersahaja. Tenang dan langsung tidak terusik perasaannya. Memang sudah diketahui  Era memiliki kekebalan yang luar biasa. Sentiasa bermuka tembok. Boleh dikatakan sangat berkeyakinan tinggi.
“Saya memang tak suka lelaki sombong” tutur Era menangkis reaksi dingin pemuda itu. Helah bela diri. Aunie mendiamkan diri. Anak matanya melirik ke arah kerusi yang masih kosong di sebelahnya. Bimbang pemuda ini akan singgah di situ lalu menjadi pasangannya sepanjang berlangsung kelas ini. Era pasti tidak gembira. Laju tangannya meletakkan beg galasnya di kerusi ini sebagai isyarat tiada kekosongan.
“Boooo...” suara nakal teman sekelas memberi reaksi pada bicara Era.
 “Janganlah awak duduk di sebelah saya...” doa suara hati Aunie kerisauan. Tidak tega berdekatan dengan pemuda itu. Bagai ada musibah bakal menimpa jikalau berjiran dengannya. Era tidak akan senang dengan keadaan itu. Berdebar-debar hati Aunie ketika langkah pemuda itu semakin mendekatinya. Bagaikan nafasnya terhenti tatkala langkah pemuda itu mati di sisinya. Pemuda itu menatapnya. Tiada senyuman. Serius sahaja. Aunie mula merencana kisah yang akan menghalang pemuda ini duduk di sebelahnya. Dia tidak mengalu-alukan pemuda ini menjadi teman duduknya. Dia tidak suka.
Pandangan teman sekelas masih mengekori langkah pemuda ini. Mata Era masih fokus terarah kepada pemuda ini. Lagaknya persis sudah terpikat kepada pemuda ini. Pemuda ini meneruskan langkah setelah terpacak di sisi Aunie buat seketika. Tempat duduk bersendirian di belakang sekali menjadi pilihannya. Lega. Aunie menarik nafas panjang. Lapang dada. Doanya didengar Yang Maha Esa. Hati pemuda itu telah digerakkan agar tidak duduk di sebelahnya.
Kerusi ditarik keluar. Beg yang digalas di bahu dilepaskan di atas meja. Dia terus sahaja melabuhkan duduk di situ dengan menguap yang panjang. Rasa mengantuk yang tidak mampu dikawal lagi. Sekelip mata kepalanya sudah terlentok di atas meja. Begitu mudah terlena. Tidak menghiraukan pandangan sinis teman-teman sekelas. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah kelas toturial ini tamat. Encik Lokman membiarkan sahaja pemuda itu bermaharajalela di kelas ini. Tidurnya langsung tidak diganggu. Prinsip Encik Lokman mudah sahaja. Jikalau berminat hendak mendapatkan ilmu berikan tumpuan dan melibatkan diri dalam perbincangan. Semua sudah dewasa dan boleh fikir perkara yang terbaik untuk diri sendiri.
Aunie bangun dari tempat duduknya. Sempat dia melontar pandangan ke belakang. Pemuda itu sedang bergerak-gerak. Dia sudah terjaga. Macam tahu-tahu sahaja kelas sudah tamat. Laju sahaja tangan Aunie mencapai beg lantas memulakan langkah meninggalkan kelas. Cuba menghindarkan diri dari bertembung dengan pemuda itu.
Hari kedua berkongsi kelas toturial dengan pemuda ini lagi. Bezanya hari ini dia datang lebih awal daripada Aunie. Namun aktivitinya tetap sama. Dia masih tidur di dalam kelas. Bagai rutin kelas medan tempat melepaskan rasa mengantuknya. Hidupnya nampak mudah. Lakukan sahaja perkara yang disukai. Betul-betul dirinya bebas. Langsung tidak terikat pada norma hidup masyarakat sekeliling. Tidak perlu mengendahkan orang lain.
Usai kelas toturial hari ini. Aunie bersiap-siap hendak meninggalkan kelas. Beg galas dicapai lantas memulakan langkah. Di muka pintu langkahnya terhenti. Dia berpaling ke arah meja paling belakang di dalam kelas itu. Kosong. Pelik. Berkerut dahi Aunie memikirkannya. Dia tidak nampak pemuda itu melewatinya namun tempat duduk itu sudah kosong. Persis halimunan pemuda itu meninggalkan kelas ini. Laju langkahnya disambung kembali. Malas dia mahu memikirkan tentang pemuda itu lagi. Di benaknya dia mahu segera sampai ke Butik Selendang Kasih. Mahu berbual-bual dengan Kak Ros dan mamanya. Paling penting dapat menikmati hidangan tengah hari percuma hari ini. Itulah motifnya hendak meminta ehsan mamanya. Aunie tersenyum sendiri. Dia tahu mamanya memang suka mereka dapat makan bersama. Seronok  sekeluarga meluangkan masa makan bersama.   
Langkah Aunie terhenti. Kedengaran persis bunyi derap langkah sedang mengekorinya. Dia berpaling. Para penuntut kampus ini dengan halu tuju sendiri. Mungkin hanya mainan perasaannya sahaja. Bisik hatinya. Langkah disambung kembali. Namun masih kedengaran bunyi langkah mengekorinya. Di lorong laluan ini bunyi langkah itu semakin jelas. Aunie tidak menoleh-noleh lagi. Laju langkah diatur. Mahu segera sampai ke laman parkir. Lantaran rasa takut yang menebal Aunie berlari. Tatkala diri rasa selamat baru dia ada keberanian menoleh ke belakang dengan langkah yang tidak berhenti. Kosong. Tiada sesiapa di situ.
Pupp....! Tubuhnya berlanggar dengan seseorang. Hampir-hampir dia jatuh namun tangkas sahaja sepasang tangan itu menyambutnya. Dia mendongak wajah yang dihiasi senyuman itu. Seketika tubuhnya tersadai dalam rangkulan tangan pemuda itu. Laju Aunie bangkit. Dia berpaling semua ke belakang. Tercari-cari pemilik langkah yang mengekorinya tadi.
“Kenapa?” Pemuda ini bertanya. Aunie menatapnya. Pertanyaan itu tidak dijawab.
“Muka awak pucat? Ada orang kejar awak?” Pemuda ini bersuara lagi lalu melontar pandangan ke situ. Cuba menyiasat perkara yang berlaku. Aunie masih membisu.
“Awak jangan takut saya akan jaga dan lindungi awak. Tak ada siapa yang boleh menyakiti dan mencederakan awak” ujarnya tenang. Aunie mendengus. Bicara pemuda ini tidak buat dirinya teruja.
“Bagaimana awak boleh tiba-tiba muncul di sini?” tanya Aunie curiga. Mungkin juga pemuda ini yang mahu menakut-nakutkannya sebentar tadi. Logikkah? Bunyi langkah itu berada di belakangnya tadi. Pemuda ini pula muncul di depannya. Sepantas kilatkah dia beralih tempat? Pemuda ini tersenyum.
“Saya nak balik. Itu kereta saya. Awak nak tumpang?” tanyanya mempelawa.
Aunie mengetap bibir menatap kereta BMW hitam metalik yang pernah nyaris-nyaris melanggarnya. Arah langkah pemuda ini tidak patut diragui. Memang patut dia melalui landasan laluan ini.
“Oh... mungkin awak ingat saya yang mengekori awak tadi. Saya bukan pengecut macam itu. Kalau saya nak cari awak... saya akan muncul di depan awak” ujarnya. Dia tersenyum lagi. Tepat. Aunie setuju dengan pengakuan pemuda ini.
“Saya nak baliklah...” putus Aunie tidak mahu memikirkannya lagi. Dia melangkah meninggalkan pemuda ini. Mahu segera beredar dari situ.
“Aunie...!” Namanya dipanggil. Langkahnya terhenti. Aunie berpaling ke arah pemuda yang masih belum diketahui namanya itu. Dia tidak pernah bertanya nama pemuda itu. Tiada keperluan. Tidak terkejut juga pemuda itu mengetahui namanya. Mulut Azan yang telah membocorkan nama itu. Aunie menatapnya. Pandangan yang kurang senang.
“Awak belum ucap terima kasih lagi” ujarnya.
“Terima kasih?” Dahi Aunie berkerut. Tidak mengerti.
“Saya selamatkan awak dari jatuh tersungkur ke simen sebentar tadi” jelasnya beriya-iya menuntut penghargaan. Aunie mendengus. Pertolongan yang tidak ikhlas.
“Perlukah?” tanya Aunie sinis. Wajahnya serius. Persis dia tidak boleh berbaik dengan pemuda ini. Janggal. Tidak pernah jumpa orang yang menagih ucapan terima kasih atas sedikit bantuan yang dihulurkan.
“Ugh... buruknya perangai awak” kutuk pemuda ini. Aunie mendengus lagi. Baran hatinya mendengar kata-kata pemuda itu. Sewenang menuduhnya.
“Awak pun tak ucapkan terima kasih pada saya. Kalau saya tak sembunyikan awak tempoh hari pasti sekarang awak terlantar di katil wad. Saya yakin awak tak mampu tangkis kekuatan musuh-musuh awak tu” balas Aunie mengungkit perkara itu lantas meragui ketangkasan dirinya. Pemuda itu ketawa. Bicara Aunie menghiburkannya.
“Banding dengan awak... Perangai awak lebih buruk. Awak suka pukul orang dan cari gaduh. Sedarlah...” ujar Aunie menasihati. Pemuda itu masih tersenyum. Bicara Aunie tidak menimbulkan kemarahannya.   
“Eerrr...Malaslah nak layan orang seperti awak” rungut Aunie mendengus. Dia menyambung langkah kembali. Ditinggalkan pemuda itu terpacak di situ dengan sengihan yang menyakitkan hati.
“Tengok... awak masih tak nak berterima kasih pada saya. Tingginya ego awak!” ujar pemuda itu separuh melaung. Aunie hanya menulikan telinga. Tidak mahu melayan kerenah pemuda itu.
“Kutuk orang bukan main. Tak sedar diri. Dia pun tak reti ucap terima kasih” omel Aunie bersendirian mengungkit pertolongan yang dihulurkan kepada pemuda itu. Enjin kereta dihidupkan. Perut berkeroncong minta diisi sedangkan tekak pula terasa kering-kontang. Berbicara dengan pemuda itu menyebabkan air liurnya kering. Bukan lama pun mereka berbual tetapi meninggalkan kesan. Aunie hilang sabar mendengar kata-kata pemuda itu. Panas hatinya pula melihat ketenangan pemuda itu. Akhirnya dia terlupa tentang langkah misteri yang mengekorinya sebentar tadi. Dipandu kereta keluar dari laman parkir. Kemudian kereta bergerak perlahan memandangkan masih berada dalam kawasan kampus.
Ponnnn...! Aunie tersentak. Bunyi hon yang membingitkan telinga. Kereta BMW yang dipandu pemuda itu laju melewatinya. Aunie mengurut dada. Marahnya kepada pemuda itu kian bertambah-tambah. Pemuda itulah samseng segala samseng. Samseng kongsi gelap, samseng gaduh, samseng jalan dan yakin banyak lagi kategori samseng yang disandangnya. Kereta di parkir di hadapan Butik Selendang Kasih. Sebelum keluar dari kereta pandangannya liar memerhatikan sekeliling. Cuba menjejaki kelibat pemuda itu. Pastinya dia mahu mengelakkan pertembungan dengan pemuda itu. Pemuda itu harus dijauhi. Sungguh dia tidak selesa dengan kemunculan pemuda itu. Yakin pemuda itu tidak akan muncul di sekitar kawasan itu, Aunie melangkah keluar. Kunci kereta ditekan lantas melangkah longlai ke Butik Selendang Kasih.
“Assalamualaikum...” sapanya lemah menolak daun pintu kaca itu. Kak Ros tersenyum menyambut kedatangannya. Pekerja yang lain nampak sibuk melayan pelanggan. Dia melemparkan tubuhnya ke sofa. Tersadai lesu di situ.
“Aik... nampak tak bertenaga saja” tegur Kak Ros menilik dirinya. Aunie tersenyum sekilas. Memang tidak bertenaga saat ini. Tambahan pula hati masih membara. Dia bangkit dari sofa lalu melangkah ke anjung istirahat. Lebih selesa dan terlindung daripada pandangan pelanggan. Beg di bahu dilepaskan di atas meja. Lantas duduk di sofa yang tersedia di situ. Dikeluarkan iPhone dari saku beg galas. Tiada panggilan. Rekod simpanan kosong. Namun ada beberapa mesej yang dihantar kepadanya. Mesej daripada Azan. Tidak berminat hendak membacanya, iPhone disimpan di dalam saku beg galas itu kembali.
Hello...my pretty princess... my young lady” suara lelaki menyapanya. Laju Aunie berpaling.  Harres tersenyuman manis. Lantas tangannya singgah di bahu Aunie. Nampak mesra.
“Assalamualaikum... Encik Harres Helmi” balas Aunie dengan jelingan manja. Harres tergelak besar. Terasa dirinya disindir.
“Mana mama?” soal Aunie melilau mencari kelibat Puan Aisyah Adiba.
“Hoi... mak datin...macam ni sambut kepulangan kekanda?” tanya Harres begang. Aunie tergelak. Sengaja mahu menyakat pemuda ini.
“Selamat kembali ke tanah air abang tersayang... yang macho dan smart bangat” tutur Aunie mengusik Harres. Tangan Harres dikucup. Senyuman terukir di bibir pemuda ini.
“Suka sangat tengok sinetron di tv” perli Harres. Aunie tersenyum.
“Mana hadiah Adik?” tagihnya sambil menghalakan telapak tangan di depan Harres. Setiap kali kepulangan pemuda ini pasti ada hadiah akan diberikan untuknya. Maka perkara ini sudah menjadi kebiasaan padanya.
“Ada...dalam beg” sahut Harres.
“Betul?” Harres mengangguk. Aunie tersenyum riang.
“Mana mama?” pertanyaan itu diulang kembali. Harres jungkit bahu. Tidak tahu ke mana Puan Aisyah Adiba menghilang diri. Setibanya di Butik Selendang Kasih itu kelibat mamanya tidak kelihatan. Niat hati mahu membuat kejutan tidak menjadi. Anak mata Aunie melilau menjejaki kelibat Puan Aisyah Adiba. Kelihatan Kak Ros dan pekerja-pekerja lain sibuk melayan pelanggan.
“Laparlah... Marilah belanja Adik makan” rengek Aunie manja. Meneruskan misinya mahu makan tengah hari yang ditaja.
“Tak elok suka kikis duit orang” ujar Harres mengusik. Aunie mencebik bibir.
“Tak elok juga kalau kedekut sangat ni. Untuk perempuan lain tak kisah berhabis duit... tapi darah daging sendiri berkira pula” balas Aunie melancarkan serangan balik. Harres tergelak lagi. Langsung tidak ambil hati dengan bicara Aunie.
“Okey... okey... Along belanja” putus Harres mengalah. Aunie tersenyum.
“Bagus... Kan elok macam ni. Along ada bayar zakat tak? Tak berkat duit banyak kalau tak bayar zakat dan tak tahu bersedekah” Kali ini Aunie berkhubat pula. Besar anak mata Harres menatap Aunie. Geram.
“Mulut ustazah seorang ni memang tak berinsurans. Bercakap main hentam saja. Mestilah bayar zakat dan bersedekah. Ah... sekarang pun nak sedekah pada budak yang tak berkemampuan ni” ujar Harres sambil mendaratkan tangannya tepat-tepat di tengah-tengah kepala Aunie. Laju tangan Aunie menepisnya. Tidak senang diperlakukan sedemikian. Dia bukan budak kecil lagi hendak dibuli oleh abangnya.
“Budak ... Along kata. Eerrr... geramnya!” Gigi atas dan gigi bawah berlaga menahan perasaan geramnya. Tangannya cepat mengemaskan tudung bawal yang dipakainya. Sedikit tersasar akibat sentuhan kasar tangan Harres sebentar tadi.
“Marilah... nak balik rumah kejap lagi. Nak rehat” ujar Harres mahu menghilangkan kepenatannya berehat di rumah. Timbul rasa kasihan Aunie. Dia faham perjalanan panjang membawa beratus nyawa dengan menanggung risiko keselamatan memang memberikan tekanan hebat. Letih fizikal dan mental. Apatah lagi sejak kebelakangan ini banyak berlaku kes kemalangan udara. Mudah-mudahan setiap perjalanan yang dilalui abang kesayangannya ini akan selamat dan dilindungi Yang Maha Esa. Doa yang sering dititip di bibir Aunie.
“Kita tapau sajalah” saran Aunie mahu Harres segera berehat di rumah. Mereka beriringan meninggalkan Butik Selendang Kasih.
“Makan dulu... lepas tu baru kita balik rumah sama-sama. Tak payah merayau-rayau lagi” ujar Harres mula menunjukkan karisma seorang abang.  Aunie mengangguk setuju. Arahan abangnya tidak pernah dibantah. Dia dididik untuk patuh kepada keluarga.
Melangkah beriringan sambil berpaut mesra pada lengan Harres sudah menjadi kebiasaan membuatkan tidak siapa yang berani merenung dan menegur sapa kedua-duanya untuk menghulur salam perkenalan. Mungkin ramai yang berpendapat mereka pasangan kekasih yang sedang hangat memadu kasih asmara. Tiada siapa yang sangka Harres dan Aunie ialah adik-beradik kandung. Aunie memang manja dan rapat dengan Harres berbanding dengan Hezqal Haqimi. Pada Aunie, Along lebih lembut, tenang dan sabar melayan kerenahnya berbanding dengan Angah yang garang dan tegas seperti Puan Aisyah Adiba. Angah persis mahu mengawal perjalanan hidupnya. Ada pula pantang larang yang harus dipatuhi. Mujur juga Aunie bukan jenis yang suka memberontak dan fanatik tentang kebebasan diri. Dia masih mampu mengikut rentak hidup yang dicorak oleh keluarga untuk dirinya. Aunie percaya semua itu demi kebaikannya. Pasti keluarganya mahukan yang terbaik buat dirinya.
“Saya nak set rendang daging dan tambah dengan ikan masak lemak cili api” Harres sudah memesan menu yang hendak dimakannya. Terasa rindu pula hendak makan menu Malaysia sekembalinya dari terbang menggelingi Eropah.
“Minum encik?” tanya gadis itu sopan.
“Air kosong suam” pinta Harres. Aunie senyum. Ringkas dan mudah pilihanan Along. Tidak memeningkan kepala hendak memilih-milih. Gadis itu mencatat pesanan itu.
“Isteri encik nak makan apa?” tanya gadis ini pula.
“Apa...isteri?” Besar anak mata Aunie menatap gadis itu. Harres tergelak.
“Maaf... Saya belum jadi puan lagilah. Ini Along... abang kandung saya” ujar Aunie membetulkan tanggapan gadis itu. Harres masih tersenyum-senyum.
“Oh...maaf cik..” Gadis itu menunduk kepala rasa bersalah. Dia sudah tersilap tafsir hubungan Aunie dan Harres.
“Tak apa. Saya nak mi sizzling seafood. Biar pedas ya dan jus epal hijau” pinta Aunie dan menerima kesilapan gadis itu dengan tenang. Gadis itu berlalu. Harres masih tersenyum.
“Cuba Along tengok betul-betul muka Adik. Betulkah Adik nampak macam orang sudah kahwin?” tanyanya. Harres tergelak lagi. Tidak menduga pula bicara gadis itu begitu berkesan. Aunie sedang berfikir. Sama ada tanggapan gadis itu suatu penghormatan ataupun kekurangan pada dirinya. Usai kian berganjak membawa perubahan yang ketara pada fizikalnya.
“Tak sedap hati pula kalau orang kata Adik nampak macam isteri orang. Kedengaran agak teruk. Nampak dah berusiakah Adik ni?” tanya Aunie tidak puas hati. Harres tergelak lagi. Kerisauan Aunie mencuit hatinya. Lumrah perempuan. Sensitif.
“Adik seriuslah...” rungut Aunie tatkala bicaranya disambut dengan gelak tawa Harres. Segan dan rasa rendah diri ditertawakan oleh Harres.
“Anak gadis Profesor Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba ini sangat comel. Ramai jejaka yang menaruh hati mahu jadikan Adik isteri mereka” tutur Harres memuji. Aunie tersenyum. Bangga mendengar pujian Harres.
“Sayangnya... mereka takut nak dekati Adik sebab garang sungguh” tambah Harres. Aunie mencebik. Hipotesis abangnya ini tidak tepat. Terbayang wajah pemuda itu di matanya. Tidak semua lelaki gentar mendekatinya.
“Macam mana boleh kata Adik garang?” tanyanya ingin tahu. Harres senyum.
“Tengoklah cara Adik layan Azan” Aunie mencebik mendengar nama pemuda itu disebut. Dia jadi garang sebab Azan tidak pernah mendengar nasihatnya. Azan tidak mahu patuh pada bicaranya. Azan selalu melakukan perkara sia-sia. Dia tidak mampu menerima cinta pemuda itu. Namun Azan tidak pernah patah hati. Dia nekad dengan kata hatinya. Akhirnya Aunie jadi garang kepada Azan. Pemuda itu selalu jadi mangsa kemarahannya. Harapannya hanya satu agar Azan mencurah kasih dan cintanya kepada gadis lain.
“Makanlah... tak payah berkhayal lagi” arah Harres menyentakkannya. Makanan yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Malah Harres sudah mula menikmati rendang daging dan ikan masak cili api dengan berselera. Aunie mencapai gerpu lalu menikmati mi sizzling di pinggan. Sedap. Kombinasi ramuan yang menepati cita rasanya. Dia begitu berselera menghabiskan mi sizzling di pinggan sebagai hidangan tengah hari yang ditaja oleh Harres.
Aunie melangkah mendahului Harres yang singgah di kaunter membuat pembayaran. Dia terpacak di ambang pintu menanti kedatangan pemuda itu.
“Mari...” ajak Harres beredar dari situ. Tangannya yang baru sahaja berpaut di lengan Harres laju ditarik kembali. Harres menatapnya.
 “Kenapa?” tanyanya hairan. Aunie tersengih. Tidak mahu berterus-terang. Bimbang menjadi bahan gelak abangnya lagi. Sudah cukup dia menanggung perasaan malu tadi.
“Oh...mesti tak mahu dikata jadi isteri orang ni” ujar Harres mengerti. Aunie hanya geleng-geleng kepala. Tidak mahu mengakui kenyataan itu.
“Nak beri peluang gadis-gadis mengorat Along” sahut Aunie memberi jawapan helah bela diri. Harres tersenyum.
“Baru sedar kenapa Along tak ada kekasih...sebab orang lain ingat Along dah kahwin” Bicara itu diputar balik kepada Harres.
“Hey... mengarutlah” tingkah Harres tidak setuju. Kemudian dia dan Aunie sama-sama ketawa. Mereka beriringan meninggalkan restoran itu. Belum jauh melangkah, Aunie terpandang wajah pemuda itu. Mata mereka berlaga. Aunie terus sahaja memaut tangan Harres. Pautan yang erat dan kemas.
“Aik... tak mahu jalan sendiri lagi” perli Harres.
“Di sini tak nampak gadis-gadis yang cantik untuk Along. Jadi bolehlah tumpang bermanja lagi” ujar Aunie memberi alasan. Harres menepuk kepala Aunie buat gadis itu mengaduh kecil. Kemudian Harres dan Aunie sama-sama ketawa. Pautan tangannya pada lengan Harres tidak mahu dilepaskan. Sengaja mahu mempamerkan kemesraan itu. Dia yakin pandangan pemuda itu masih mengekori mereka.

1 comment: