“Sorry... saya
terpaksa tinggalkan Idlan dengan awak” tutur Haqem serba salah. Aku senyum.
Teruja bertemu dengan Idlan setelah lama tidak jumpa.
“Saya faham...” ujarku lalu merendahkan tubuh separas
tinggi Idlan. Lantas kucubit kedua-dua belah pipi Idlan yang nampak kian
berisi.
“Gembira jumpa kamu. Rindu tak dengan auntie?” tanyaku manja.
“Rindu sangat...” sahut Idlan dengan comelnya. Lantas aku
dengan Idlan berpelukan. Haqem tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Kemesraan
yang terjalin sejak sekian lama.
“Tak payah risau. Awak pergilah sekarang” arahku tatkala iPhone Haqem berdering lagi. Namun tidak
sempat diangkat oleh Haqem. Pasti Datin Sofea tidak sabar-sabar hendak bertemu
dengan Haqem.
“Terima kasih, Lia” Aku mengangguk. Tahu Haqem tiada
pilihan sekarang. Sepatutnya tiada halangan hendak membawa Idlan bertemu dengan
Datin Sofea. Namun selalunya perkara yang berlaku di luar kehendak hati. Datin
Sofea belum dapat menerima Idlan sebagai cucunya.
“Jangan nakal-nakal tau. Nanti papa datang ambil kamu” pesan
Haqem sebelum beredar pergi. Idlan mengangguk berjanji.
“Selamat jalan papa. Bye...” Haqem dan Idlan saling
bertukar lambaian tangan.
“Mari kita pergi...” ajakku sambil memimpin tangan Idlan
mengajaknya ke bilik operasi. Idlan mengangguk dan tersenyum lagi. Tidak sedih
ditinggalkan Haqem bersamaku.
“Wah...!” Idlan terpegun menatap deretan jambangan bunga
tatkala melangkah masuk ke dalam bilik ini. Persis dia berada di kedai bunga
sekarang. Ada pelbagai pilihan bunga mawar segar.
“Auntie nak
buka kedai bunga” ujarku bergurau. Idlan tersenyum. Matanya masih menatap
jambangan bunga yang tersusun di tepi dinding. Sudah tiada tempat yang sesuai
hendak menyimpan bunga-bunga ini. Aqel sangat bermurah hati menghantar
jambangan bunga mawar segar pada setiap hari. Sekarang aku sudah ada koleksi
pelbagai warna bunga mawar segar. Perkara yang tidak pernah berlaku dalam
hidupku. Bersungguh-sungguh Aqel mahu memikat hatiku. Aku keliru. Ada perkara
yang belum jelas.
“Nak duduk di mana? Di sofa ini atau di kerusi itu?”
tanyaku menunding jari ke arah kerusi itu, meminta Idlan membuat pilihan demi
keselesaannya. Pertemuaan Haqem dengan Datin Sofea pasti mengambil masa yang
panjang.
“Duduk di sini saja. Mama boleh buat kerja mama. Saya pun
nak siapkan kerja yang cikgu beri di sekolah tadi” ujar Idlan memutuskan mahu
duduk di sofa ini.
“Bagusnya budak ini” pujiku. Aku mengusap-usap kepala
Idlan. Dia tersenyum lebar.
“Kenapa papa tak bawa saya jumpa nenek?” tanya Idlan. Aku
terdiam seketika.
“Papa sangat sayang pada Idlan. Dia tak mahu kamu
bersedih” jelasku memujuk Idlan. Kuusap-usap kepala Idlan lagi. Datin Sofea
belum bersedia menerima kehadiran Idlan. Semoga Idlan mengerti.
“Saya faham...” ujarnya dan kembali tersenyum. Aku
menarik nafas lega. Idlan anak kecil yang matang melebihi usianya. Hatinya
cekal. Ketabahannya luar biasa. Perjalanan hidupnya tidak seperti kanak-kanak
yang lain. Dia melalui dugaan hidup yang sungguh berat. Aku kagum si kecil ini
mampu melaluinya dengan tabah. Sesungguhnya Allah itu maha mengasihinya.
“Tak payah sedihlah. Kamu masih berpeluang bermanja
dengan nenek. Insya-Allah peluang itu akan tiba” ujarku memberi harapan kepada
Idlan. Idlan mengangguk dan tersenyum.
“Betul...betul...betul...” ujar Idlan meniru lagak si
kembar Upin dan Ipin. Ketawaku dengan Idlan bersatu. Wajah Idlan kembali ceria.
“Kalau kamu nakkan apa-apa cakap saja pada auntie. Sekarang auntie nak buat kerja” ujarku. Idlan mengangguk. Dia mula
mengeluarkan buku dan peralatan tulis dari beg sekolahnya. Aku kembali ke tempat
dudukku mahu menyambung kerja semula. Senyap. Persis aku sedang bersendirian di
sini. Kulontar pandangan pada Idlan yang nampak tekun menyiapkan kerja
sekolahnya. Tidak merungut-rungut. Jelas bersungguh-sungguh. Kualih pandangan
pada fail di depanku. Ada yang memerlukan tandatangan Aqel. Selesai Idlan
menyiapkan kerja sekolahnya aku boleh mengajaknya berkunjung ke pejabat Aqel.
Kutinggalkan bahagian yang perlu ditandatangani Aqel setelah semua disemak.
Tiada yang silap. Semua maklumat perlu diteliti betul-betul sebelum menghadap
Aqel.
“Assalamualaikum...” sapa suara lelaki memberi salam.
Serentak aku dan Idlan berpaling ke pintu. Panjang umur Aqel. Baru sahaja
bercadang hendak menemuinya sekarang dia sudah muncul di depan mata. Aqel
tersenyum lebar melangkah masuk sambil membawa jambangan bunga mawar putih.
“Oh...kekasih hati pengarang jantung awak ada di sini!”
tegur Aqel berbaur nada cemburu. Namun dia teruja menatap Idlan. Idlan senyum
lantas menyalami tangan Aqel. Mesra.
“Apa khabar Uncle
Aqel?” tanyanya sopan-santun. Aqel senyum.
“Baik...” Tangan Aqel mengusap kepala Idlan. Aku hanya
memerhatikan gelagat kedua-duanya. Sudah lama saling mengenali. Idlan pun tidak
segan-segan lagi pada Aqel. Kubiarkan Aqel meluangkan masa bersama Idlan. Aku
kembali fokus pada kerjaku.
“Uncle yang
beri mama semua bunga ini?” tanya Idlan separuh berbisik sambil menatap
jambangan mawar putih yang baru sahaja Aqel letak di atas meja. Kemudian dia
menatap bunga-bunga yang disusun di tepi dinding itu. Aqel mempamer senyuman
lebar sambil mengangkat-angkat kening. Bangga.
“Kamu tak boleh nak lawan uncle” Aqel mendabik dada.
“Ini tak adil” keluh Idlan lalu mengetap bibir. Geram.
Aqel tergelak.
“Apa yang tak adilnya?” tanya Aqel tidak mengerti.
“Saya mana ada duit nak beli bunga banyak-banyak macam uncle” keluh Idlan kecewa. Aqel tergelak
lagi. Semakin seronok hendak menyakat Idlan.
“Perempuankan suka bunga” Idlan mengeluh lagi. Dia
membayangkan tindakan pemuda ini telah berjaya memikat gadis itu.
“Betul ke?” tanya Aqel teruja. Idlan mengangguk-angguk.
Tidak puas hati pesaing telah bertindak jauh meninggalkannya.
“Biar uncle
tengok apa yang kamu tulis ni” pinta Aqel.
“Dah siap pun...” ujar Idlan megah. Aqel mengambil buku
itu dari Idlan. Lalu berlagak seorang guru memeriksanya.
“Tengok ni...ejaan tak betul” tegur Aqel.
“Mana ...eh... bukan huruf s...h...ke?” tanya Idlan
sangsi. Aqel menggeleng.
“Bukan...s...y...syarikat...” tegur Aqel membetulkan.
Idlan garu-garu kepala. Dipadamkan kesalahan itu. Pembetulan segera dibuat.
“Itulah kamu tinggal lama-lama di luar negara. Kurang
pula baca buku Bahasa Melayu” omel Aqel meletari Idlan. Idlan menarik muka
masam. Aku tersenyum sendiri memerhatikan gelagat mereka. Memang nampak serasi.
Aqel bakal menjadi ayah mithali.
“Uncle tinggal
lama-lama di luar negara tapi tak pernah salah tulis. Bahasa Melayu uncle yang terbaik” ujar Aqel bermegah
diri. Aku mencebik. Aqel tidak sudah-sudah berbangga dengan dirinya. Dia
sentiasa sedar tentang kehebatan dirinya.
“Tak sudah-sudah angkat bakul sendiri” cemuhku mencelah
perbualan mereka. Aqel tergelak. Dahi Idlan berkerut. Tidak faham makna
peribahasa itu.
“Angkat bakul sendiri... nak bawa pergi mana?” tanya
Idlan terkebil-kebil menatapku. Aku dan Aqel tergelak. Lucu.
“Parah betul anak orang puteh celup ni” kutuk Aqel. Idlan
tersengih. Tidak ambil hati dengan perlian Aqel. Dia perlukan masa hendak menguasai
bahasa ibunda dengan baik.
“Saya tahulah... masuk bakul angkat sendiri. Orang yang
suka memuji diri sendiri macam Uncle
Aqel” ujar Idlan membuat kejutan. Aqel terlopong. Aku tergelak besar. Padan
muka Aqel sudah terkena tembakan Idlan. Suka sangat memperkecilkan kebolehan
orang lain.
“Tadi kata tak tahu” rungut Aqel terasa dirinya telah
dipermainkan oleh budak kecil ini. Idlan tersengih-sengih.
“Saja nak kenakan
uncle” ujar Idlan nakal. Bingkas Aqel bangun. Lantas memaut tubuh Idlan
lalu menjatuhkannya ke sofa panjang itu. Aqel terus menggeletek tubuh Idlan
membuatkan budak ini menjerit-jerit geli sambil meronta-ronta cuba melepaskan
diri. Tidak tahan dirinya diperlakukan sedemikian.
“Ampun...ampun uncle...
Janji tak buat lagi” rayu Idlan tidak berdaya. Sudah tidak tertahan dengan
geletakan tangan Aqel. Aqel tidak mengendahkan rayuan itu. Suara Idlan
terjerit-jerit berpadu dengan gelak tawa
Aqel memenuhi bilik ini. Pasti bunyi gelak tawa Idlan dan Aqel ini kedengaran
di luar. Namun aku tidak bimbang kerana Aqel bersamaku sekarang. Seorang yang
berkuasa di Syarikat KDUT ini.
“Mama...tolong saya” rayu Idlan meminta bantuan.
“Kamu tak boleh panggil isteri uncle mama” tegah Aqel.
“Nak panggil mama juga. Mama...! Mama...! Mama...!” ujar
Idlan berdegil. Larangan Aqel tidak dipedulikan. Semakin galak Aqel menggeletek
Idlan.
“Mama...tolong saya...!” jerit Idlan dalam tawa. Masih
cuba melepaskan diri daripada pautan tangan Aqel.
“”Sudahlah tu... Bising... Saya tak boleh buat kerja” Aku
bangkit dari kerusi lalu melangkah mendekati mereka. Barulah Aqel melepaskan
Idlan. Idlan terus sahaja bangkit dan melarikan diri dari Aqel. Sekarang duduk
jauh-jauh dari Aqel dengan sisa-sisa tawanya. Seronok bergurau dengan Aqel.
Tangan Aqel giat merapikan diri. Dia menyelak rambut depan yang terjuntai ke
tepi. Aku terpaku memerhatikannya.
“Tampankan saya” suara Aqel mengejutkan aku.
“Jangan nak perasanlah” tingkahku cuba melindung rasa
malu setelah tingkahlakuku disedari oleh Aqel. Aqel tersengih.
“Terus-terang sajalah yang awak dah terpikat pada
ketampanan saya” gesa Aqel tidak mengalah. Aku mencebik. Langsung tidak boleh
dipandang dirinya.
“Awak memang suka angkat bakul sendiri” kutukku.
Kedengaran gelak Idlan menyambut kutukanku. Aqel tersengih panjang. Seiras
wajah aktor Korea yang dipuja ramai di serata dunia menyebabkan sukar hendak
ditandingi ketampanan Aqel.
“Awak tolong tandatangan” pintaku sambil membuka helaian
kertas ini. Aku menunggu Aqel menandatangani semua bahagian yang memerlukan
pengesahannya. Idlan tersandar keletihan di kerusi itu selepas puas digeletek
Aqel.
“Okey...siap” ujar Aqel. Aku meneliti kembali setiap
helaian kertas itu. Bimbang ada bahagian yang perlukan tandatangan Aqel tetapi
terlepas pandang. Mujur tiada yang tercicir.
“Terima kasih” ujarku lantas bangun dan kembali ke tempat
dudukku semula. Lega. Satu tugas hari ini telah selesai.
“Nak buat apa sekarang?” tanya Aqel sambil menatapku.
Kemudian mengalih pandangan ke arah Idlan. Buntu.
“Awak takde kerja nak buat?” tanyaku hairan. Tidak
percaya Aqel ada masa lapang yang panjang. Setahuku Aqellah orang yang paling
sibuk di syarikat ini. Jarang tengok Aqel bersenang-lenang seperti sekarang.
Hidupnya dipenuhi kerja.
“Banyak...” keluhnya bosan.
“Tapi saya tak nak buat kerjalah sekarang” putus Aqel
sewenangnya. Tercengang-cengang aku menatap Aqel. Tidak pernah Aqel berhenti
menyiapkan kerjanya.
“Dahagalah... Marilah kita minum” ajak Aqel sambil
menatapku. Aku diam. Aqel mengalih pandangan ke arah Idlan.
“Kamu dahaga tak?” tanyanya. Idlan mengangguk. Mestilah
dia dahaga selepas terjerit-jerit lama tadi. Sudah kering tekaknya kerana
banyak menjerit.
“Nak minum minuman sejuk?” tanya Aqel dengan ekspresi menggoda.
Idlan mengangguk lagi. Aqel senyum. Dia berjaya mengajak Idlan.
“My Lady...
Idlan dahaga ni. Marilah kita minum” ajak Aqel.
“Marilah mama” rayu Idlan agar aku menyertai mereka.
Memang aku tidak tega menolak permintaan Idlan. Aku mengangguk buat Aqel dan
Idlan tersenyum. Mereka berjaya memujuk aku menyertai mereka. Idlan mendekati
Aqel. Lalu Aqel memaut tangannya dan menunggu kedatanganku. Aku bangun. Kucapai
beg di atas meja lantas melangkah ke arah Aqel Idlan. Aqel dan Idlan melangkah
berpimpinan tangan. Aku mengekori mereka sambil tersenyum memerhatikan gelagat
mereka. Nampak comel.
“Coklat ais ini untuk kamu, jus epal hijau untuk mama dan
jus oren ini untuk papa” ujar Aqel sambil menghidangkan minuman yang baru sahaja
dipesan di kaunter tadi. Serentak aku dan Idlan menatap Aqel. Aqel tersengih.
“Kalau isteri uncle
kamu panggil mama, jadi kamu mesti panggil uncle
papa” pinta Aqel. Aku terlopong menatap Aqel. Sesuka hati sahaja dia membuat
permintaan. Idlan garu-garu kepala yang tidak gatal. Aqel sedang membuat
permintaan kepadanya.
“Jadi saya ada dua orang papalah sekarang?” tanya Idlan
bingung. Aqel mengangguk.
“Ya... tak lama lagi kamu juga ada dua orang mama” tambah
Aqel buat Idlan tergamam. Kemudian dia tergelak suka.
“Sungguh Maha Pengasih Allah. Dia ambil seorang, kemudian
Dia beri dua orang pula” ujar Idlan buat aku dan Aqel terdiam. Sayu dan pilu
aku mendengar kata-kata Idlan. Tangan Aqel mengusap-usap kepala Idlan. Simpati
kepada Idlan yang kehilangan seluruh keluarga pada usia kanak-kanak. Sungguh
berat dugaan hidup si kecil ini. Mujur juga dia ada Haqem yang sungguh
menyayanginya. Haqemlah yang berperanan menjadi ibu bapanya sekarang.
“Kita minum sekarang” suara Aqel memecah keheningan ini.
Idlan tersenyum lalu laju menyedut coklat ais yang dipesan oleh Aqel. Aku dan
Aqel juga tidak ketinggalan merasa jus yang telah dipesan tadi.
“Uncle Aqel ...
boleh tak kalau uncle serahkan saja
mama pada Idlan dan papa” pinta Idlan buat Aqel tersedak. Aku tergamam.
“Tak kisahkan...Ramai yang suka uncle. Dari tadi saya tengok ramai kakak yang asyik pandang uncle” jelas Idlan sambil melirik ke
arah pekerja-pekerja perempuan di kafe ini. Mereka kebetulan sedang menghala
pandangan ke sini. Fokus mata mereka tearah kepada Aqel.
“Mestilah ramai yang suka tengok uncle sebab handsome”
ujar Aqel megah. Aqel sekadar berjenaka. Tidak mahu memandang serius permintaan
budak ini. Hakikatnya wajah seiras Seo Ing Guk ini memang sentiasa menjadi
perhatian di mana-mana sahaja. Aqel sudah terbiasa dengan situasi sedemikian.
“Papa Idlan pun handsome
juga” pujiku. Sengal sudah mendengar Aqel berbangga dengan wajahnya. Persis
dirinya seorang sahaja yang dicipta dengan sempurna.
“Emm...emm...” Aqel berdehem-dehem sambil menjelingku.
Tidak suka Haqem dipuji.
“Betul auntie?”
tanya Idlan tersenyum. Aku mengangguk. Haqem pun tiada kurangnya. Dia ramai
peminat. Malah ada peminat fanatik ketika di universiti dahulu.
“Yelah... papa pun handsome
juga” ujar Idlan berbangga dengan Haqem sambil tersenyum lebar. Haqem memang
saingan Aqel.
“Papa yang ini lagi handsome”
ujar Aqel sambil meletakkan telapak tangan di dada. Cuba mengalih pujian itu
kepadanya. Idlan menggeleng-geleng. Aku tergelak.
“Geez...” Aqel menjeling Idlan. Tidak puas hati Idlan
tidak mengakui ketampanan dirinya yang dibangga-banggakan selama ini.
“Yang ini isteri saya dan ini anak kami” Tiba-tiba sahaja
Aqel bersuara memperkenalkan aku dan Idlan kepada pekerja yang sedang mengelap
meja di sebelah kami. Salah seorang yang mencuri pandang ke arah Aqel. Aku
terlopong dan terkebil-kebil menatap Aqel yang tersengih. Aqel buang tabiat
hari ini.
“Cantik isteri encik. Anak encik pun comel” puji gadis
itu. Aqel mengangguk-angguk dan tersenyum bangga. Begitu juga Idlan. Hanya aku
sahaja yang berlagak biasa.
“Saya pun handsomekan...”
uajr Aqel minta dipuji. Besar anak mataku menatap Aqel. Gadis ini mengangguk
dan memandang ke arahku. Laju dia beredar pergi. Bimbang aku akan menyerangnya.
Berbakul-bakul pujian ditujukan kepada Aqel pun aku tidak kisah. Kebenaran itu
tidak dapat disembunyikan. Aqel memang tampan.
“Uncle ni
memang suka angkat bakul sendiri” kutuk Idlan. Sudah bosan mendengar Aqel
memuji diri. Aku dan Aqel tergelak. Peribahasa popular hari ini. Ditambah
dengan pertandingan siapa yang paling tampan.
“Sebenarnya... memang pun uncle handsome. Ini yang buat saya risau ni” ujar Idlan mengakui
ketampanan Aqel. Mekar senyuman dan bibir Aqel. Bertambah bangga mendapat
pujian Idlan. Akhirnya Aqel dapat mendengar sendiri pengakuan Idlan terhadap
ketampanannya.
“Tak payahlah risau. Bila kamu besar nanti lagi handsome kalah Uncle Aqel” ujarku menyenangkan hati Idlan. Aqel mengangguk
menyokong bicaraku.
“Saya risau mama akan jatuh cinta pada Uncle Aqel” ujar Idlan buat aku terpana.
Aqel tersenyum sambil menatapku.
“Saya tak nak kalah...” ujar Idlan bimbang. Besar anak
mataku menatap Aqel. Laju sahaja Aqel menyembunyikan muka berbentangkan telapak
tangannya. Gerun mahu bertentang mata denganku.
“Aqel...” jeritku sekuat-kuatnya namun tersimpan di
kerongkongku.
################################################
“Betulkah awak bertaruh dengan Idlan?” tanyaku meminta
kepastian Aqel. Aqel mendiamkan diri sahaja. Nampak dirinya bersalah.
“Tak sangka tindakan awak tak matang dan sanggup bersaing
dengan budak kecil” Aku mendengus kasar. Tidak puas hati dengan tindakan Aqel.
“Paling saya tak suka, saya jadi barang pertaruhan”
radangku. Aqel garu-garu kepala.
“Nampak sangat awak sengaja mahu mempermainkan saya.
Kata-kata awak selama ini tak boleh dipercayai. Semuanya bohong!” bentakku
geram. Emosiku bergolak.
“Awak silap menilai saya. Perasaan saya pada awak memang
tulus” Baru kedengaran suara Aqel setelah berdiam seketika.
“Awak ingat lagi sebab kesepuluh, mengetahui Cikgu Firdaus
jatuh cinta pada awak membuatkan saya tak tenteram. Saya sakit hati melihat
awak begitu baik dan mesra dengan cikgu itu. Rasa marah pada Aziq sebab selalu
memadankan awak dengan Cikgu Firdaus. Tika itu barulah saya sedar bahawa saya
telah jatuh cinta pada awak. Paling menyakitkan apabila saya tak mampu
meluahkan perasaan saya pada awak” Lancar Aqel mengulangi ayat yang terkandung
dalam sebab terakhir yang membuatkan dia bernikah denganku.
“Saya memang nak tawan hati awak... agar cinta di hati
ini berbalas” ujar Aqel serius. Aku melepaskan keluhan. Bijak Aqel bermain
kata-kata.
“Awak tak payah risau. Saya akan pujuk Idlan dan
senangkan hatinya” janji Aqel. Aku diam. Kulontar pandanganku keluar tingkap.
Cuba mengawal perasaan marah ini.
“Apapun saya kecewa dengan tindakan awak” keluhku lalu
melangkah ke pintu meninggalkan Aqel bersendirian di bilik ini. Aku merebahkan
tubuh di sofa di ruang tamu ini. Kupandang sekeliling. Sunyi sepi. Hanya aku
dan Aqel berada di rumah ini dengan haluan sendiri.
“Betulkah lelaki yang jatuh cinta akan bersikap
kebudak-budakan?” Aku berbicara sendiri. Tersenyum sinis mengenang sikap Aqel.
Kupejamkan mata rapat-rapat. Mahu mengundang lena. Mahu mengelak bertentang
mata dengan Aqel di saat kemarahan masih membara. Cuba mengelak bergaduh dengan
Aqel. Akhirnya aku terlena.
Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mataku. Samar-samar
aku nampak jarum jam yang panjang dan pendek tepat-tepat menunjuk ke angka 12. Sudah
pukul 12 tengah malam. Aku terpaku. Lama aku tertidur di sofa ini.
“Lama saya tunggu awak tadi” suara Aqel mengejutkan aku.
Aku mendongak. Aqel duduk di sofa di sebelah ini. Pasti sudah lama dia duduk di
situ sambil puas memerhatikan aku tidur nyenyak di sofa ini. Aku tidak
berganjak dari perbaringan ini. Aqel pula masih duduk di situ dan tidak
mengalih pandangannya dariku.
“Saya bukan bertaruh dengan Idlan tapi sebenarnya
bersaing dengan Haqem” suara Aqel memecah keheningan lewat malam ini. Aku tidak
teruja jika benar Aqel dan Haqem bersaing hendak memilikiku. Menyelinap
perasaan bimbang dalam diri ini. Aku tidak mahu persahabatan mereka berantakan
kerana aku. Aku mendiamkan diri. Lebih baik tidak berkata-kata ketika ini.
“Saya dan Haqem ada kelebihan tersendiri dalam persaingan
ini” tambah Aqel. Aqel tersenyum sendiri. Tidak menduga kisah cintanya akan
terencana sedemikian rupa.
“Haqem ada kelebihan sebab ada Idlan. Namun Idlan mahukan
persaingan yang adil. Dia berjanji akan mempastikan Haqem takkan menggunakan
dirinya untuk memiliki awak kembali”. Aku mendengar Aqel berbicara.
“Kelebihan yang saya ada, awak ialah isteri saya. Secara
logiknya, saya dah menang dalam persaingan ini kerana saya telah memiliki awak.
Namun saya tak mahu memiliki awak tanpa cinta awak. Saya mahu awak ada perasaan
pada saya. Perasaan cinta seorang kekasih kepada kekasihnya dan cinta seorang
isteri kepada suaminya” ujar Aqel serius. Aku memejamkan mata. Aku tidak
suka persaingan ini. Aku benci membuat
keputusan yang akan melukai hati orang lain.
“Awak ialah perempuan yang dicintai oleh dua orang lelaki
yang bersahabat baik. Mereka mahukan yang terbaik buat awak dan saya tak pernah
anggap awak barang taruhan. Saya nak awak hidup bahagia” ujar Aqel. Aku tetap
mendiamkan diri.
“Kalau awak lapar ada makanan di atas meja. Pergilah
makan. Sila tidur di bilik. Hari ini saya tak bertenaga nak angkat awak ke
bilik. Saya nak tidur. Letih sangat hari ini” ujar Aqel. Dalam serius sempat
juga dia menyelit jenaka. Aqel bangun dan melangkah meninggalkan aku
bersendirian di ruang tamu ini. Lama juga aku terbaring di sini memikirkan
bicara Aqel sebentar tadi. Aku tidak sempat menatap wajah Aqel. Namun dari nada
suaranya dapat aku rasakan Aqel tidak gembira saat ini.
Bingkas aku bangun dari perbaringanku. Aku ke dapur. Ada
makanan di atas meja seperti yang Aqel katakan tadi. Dia makan di luar hari ini
kerana aku tidak menyediakan makanan untuknya. Lama aku tidur. Aqel juga tidak
mahu mengejutkan aku. Aku melepaskan keluhan. Kasihan Aqel mesti dia lapar
tadi. Kupandang makanan yang dibeli Aqel untukku. Tiada selera hendak makan
selewat ini. Kubiarkan sahaja makanan di atas meja itu. Aku meninggalkan dapur
lalu melangkah longlai ke bilik. Daun pintu kutolak perlahan-lahan. Aku
melangkah masuk. Sunyi sepi. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Cepat Aqel
tidur. Dia sedang kepenatan.
Aku merebahkan tubuh ke atas tilam empuk ini. Baru
teringat pada iPhoneku, bingkas aku
bangun. Mungkin mak ada menghubungiku. Kucapai beg galas yang terletak di atas
almari solek lalu mengeluarkan iPhone.
Lega. Tiada rekod panggilan yang tidak dijawab. Bermakna sepanjang aku tidur
tadi tiada sesiapa menghubungiku. Namun ada lima mesej baru yang belum kubaca.
Aku kembali berbaring di katil. Laju jariku memaparkan mesej itu. Semua mesej
daripada Aqel.
~Maafkan saya
sebab buat awak marah. Saya belanja awak makan di luar malam ini sebagai
permohonan maaf saya. Awak sudikan~ Mesej
pertama Aqel yang dihantar pada pukul 05.30 petang. Ketika ini Aqel
bersendirian di bilik. Aku pula sedang berbaring di ruang tamu. iPhone ini tertinggal di bilik dan masih
tersimpan di dalam beg galasku.
~Awak tidur lagi?
Saya dah sampai di restoran kesukaan awak. Sebelum keluar tadi tak sampai hati
nak kejutkan awak~ Mesej kedua
dihantar pada pukul 08.35 malam.
~
Bangun...!!! Saya dah pesan semua makanan kegemaran awak. Awak mesti
datang. Saya tunggu awak di sini~ Mesej
ketiga pada pukul 09.15 malam.
~Makanan kegemaran
awak sudah terhidang. Rugi kalau awak tak datang. Datanglah... Saya tunggu awak
di sini~ Mesej keempat yang Aqel
hantar pada pukul 10. 30 malam. Aqel masih setia menungguku di situ.
~Saya masih tunggu
awak~ Mesej terakhir pada pukul 11.00
malam. Bingkas aku bangun dari perbaringan ini. Kulontar pandangan ke arah Aqel
yang sedang tidur di sofa. Lebih tiga jam Aqel berada di restoran itu. Lama
Aqel menungguku. Patutlah dia keletihan dan tidak bertenaga. Kucapai selimut
lantas melangkah ke arah Aqel. Dia sedang tidur nyenyak sambil memeluk tubuh
kedinginan. Kurenung wajah Aqel.
“Maafkan saya...Saya terlewat baca mesej awak...” bisikku
lalu menebarkan selimut ini ke tubuh Aqel. Lantas duduk di depan Aqel. Kurenung
Aqel yang sedang lena. Rasa bersalah menyebabkan Aqel terlalu lama menungguku.
Akhirnya aku tidak muncul di restoran itu. Penantian Aqel sia-sia. Pasti Aqel
kecewa. Aku melepaskan keluhan yang panjang. Kesal.
Jeritan kuat jam loceng menyedarkan aku. Aku terduduk. Cepat
kumatikan jeritan kuat yang membingitkan itu. Aku menggosok-gosok mataku.
Berpinar-pinar pandanganku. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Aku tersentak.
Aqel tidak berbaring di situ lagi. Bingkas aku turun dari katil lantas melangkah
ke sofa. Selimut itu sudah dilipat kemas. Kupandang memo yang ditampal pada
buku yang selalu Aqel baca. Lantas kubaca tulisan tangan Aqel itu.
~Beberapa hari ini
saya berada di luar negara. Jaga diri baik-baik~ Aku terpaku membaca memo yang Aqel tinggalkan ini. Aku
mengeluh. Hampa. Baru sahaja aku bercadang hendak menyediakan sarapan istimewa
untuk Aqel. Mahu menebus penantian Aqel semalam. Namun Aqel tiada di sini. Aku
mengatur langkah kembali ke katil. Kurebahkan tubuh ke atas tilam semula.
Berhasrat mahu menyambung tidur. Perancangan hari ini terbatal.
Namun mata ini enggan tidur semula. Terkebil-kebil
menatap siling sambil memikirkan perjalanan Aqel. Ke manakah destinasi Aqel
sedang orang lain masih lena dibuai mimpi. Lama aku berfikir namun aku tidak
dapat mengagak arah tuju Aqel hari ini. Lama terbaring aku tetap tidak dapat
melelapkan mata. Bingkas aku bangun. Aku melangkah ke dapur tatkala teringat
makanan yang Aqel beli semalam. Kebetulan perutku kosong dan mula berkeroncong
minta diisi.
Aku menatap tudung saji di atas meja. Hairan. Semalam
hanya ada makanan yang Aqel beli masih tersimpan di dalam beg plastik. Mungkin
Aqel telah memanaskan makanan tersebut. Seminit kemudian, aku terpandang
makanan itu sudah beralih tempat. Sekarang diletakkan di singki. Mungkin telah
basi. Usaha Aqel mendapatkan makanan ini bagai tidak dihargai. Tidak mustahil
Aqel akan berperasaan demikian. Aku mengeluh. Dua kali mengecewakan Aqel.
Kuangkat tudung saji. Aku tergamam. Hidangan sarapan yang Aqel sediakan sebelum
berangkat pergi. Masih sempat dia menyediakan sarapan istimewa untukku. Sebak dan
terharu menyerbu perasaan.
“Maaf...sebab buat awak tertunggu-tunggu. Maaf... sebab
tak datang temankan awak makan. Maaf... sebab tak makan makanan yang awak beli
semalam. Terima kasih... sebab sediakan sarapan sedap untuk saya” ujarku
berbicara sendiri. Alangkah baik kalau Aqel dapat mendengarkannya.
No comments:
Post a Comment