Monday, 26 October 2015

99 Mawar Merah UntukMu.... 3






Bab 3

“Tunggu di sini, mama nak jumpa Madam Rossel sekejap” perintah Puan  Aisyah Adiba mengarahkan Aunie duduk di kerusi di situ. Dia mengangguk tanda patuh pada perintah mamanya. Lantas melabuhkan duduk di kerusi antik restoran mewah ini. Hidangan tengah hari bakal dinikmati di sini atas belas ihsan mamanya. Dari situ dia memerhatikan gelagat Puan Aisyah Adiba dengan Madam Rossel. Rancak sahaja mereka berbual-bual. Aunie menyanyi-nyanyi kecil  sementara menunggu kedatangan mamanya. Sudah tidak tahu perkara yang patut dilakukan saat ini. Duduk bersendirian tiada siapa yang boleh diajak berbual.
Dipandang Puan Aisyah Adiba dan Madam Rossel. Mereka masih rancak berbual-bual. Ternyata banyak perkara yang harus diperkatakan. Mula terasa bosan bersendirian di sini. Dilontar pandangan keluar menembusi dinding kaca ini. Tidak diduga dia akan nampak pemuda itu setelah beberapa hari kelibatnya tidak kelihatan. Pemuda itu bersendirian. Kebiasaannya dia akan ditemani oleh kawan-kawannya. Aunie begitu berminat memerhatikan gerak lakunya. Pemuda itu berlegar-legar di luar sana bagai hilang arah haluan. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Mungkin juga dia sedang kebosanan menanti seseorang persis dirinya saat ini. Mereka senasib. Itu yang dirasakan oleh Aunie tika ini. Penantian yang begitu menyeksakan.
Aunie berpaling ke arah mamanya dan Madam Rossel lagi. Perbualan mereka belum sampai ke noktah. Perbualan rancak yang telah menangguhkan waktu makan tengah hari ini. Sekumpulan lelaki yang melintas di depan ini menarik perhatian Aunie. Diamati wajah-wajah lelaki sasa yang semua berpakaian hitam ini. Lagak mereka persis kumpulan samseng Gagak Hitam dalam filem P.Ramlee.  Aunie terkedu tatkala menatap wajah lelaki yang terakhir melintas di depannya tika ini. Begitu segar ingatannya pada wajah yang tampak lebih garang itu. Lelaki itulah yang mengejar pemuda itu tempoh hari. Pemuda itu dengan sekumpulan lelaki itu bermusuhan. Dia melontar pandangan keluar semula. Pemuda itu masih berlegar-legar di luar sana. Aunie masih terpaku di kerusi ini. Tidak mahu mencampuri urusan mereka. Mereka bukan calang-calang orang. Bermusuhan dengan kaki samseng bakal mengundang masalah. Hidup tidak akan tenteram. Aunie ambil pendekatan tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku nanti. Tidak mahu ambil sebarang risiko.
Patutkah dia hanya berdiam diri di situ sahaja? Mematungkan diri melihat pemuda itu dibelasah teruk oleh sekumpulan samseng itu. Tegakah dia hanya jadi pemerhati? Haruskah dia maklumkan kepada pemuda itu bahawa musuh-musuhnya sedang berlegaran di sini? Hati Aunie bersoal-jawab sendiri. Benaknya berkecemuk. Dia sedar keselamatan pemuda itu terancam sekarang. Dialih pandangan ke arah sekumpulan lelaki tadi. Mereka masih berada di restoran ini. Namun bila-bila masa sahaja akan keluar meninggalkan restoran ini. Maka tika itulah pertembungan dengan pemuda itu akan berlaku. Pemuda itu tidak akan mampu menangkis serangan bertubi-tubi sekumpulan lelaki bertubuh sasa itu. Malah mahu melarikan diripun pasti sukar. Dia tidak akan mampu melawan dan bertarung tenaga dengan sekumpulan lelaki sasa itu. Mereka bukan lawannya.
Aunie melepaskan keluhan berat. Keliru. Kata hatinya bercanggah-canggah. Cuba membuat pertimbangan. Tiba-tiba lelaki yang dilihat tempoh hari ini bangkit dari kerusi. Hatinya berdebar-debar. Bingkas Aunie bangkit. Dia berlari anak ke muka pintu memintas langkah lelaki itu. Cuba menghalang lelaki garang itu mendahului menemui pemuda itu.
“Kamu nak pergi mana tu?” suara Puan Aisyah Adiba menahan langkahnya. Aunie berpaling. Pandangannya dengan Puan Aisyah Adiba bersatu. Dia sudah kesuntukan masa. Pemuda itu harus disembunyikan daripada pandangan sekumpulan lelaki sasa tadi.
“Mama tunggu di restoran tadi. Adik ada hal sekejap” ujarnya lantas bergegas ke muka pintu meninggalkan Puan Aisyah Adiba terkebil-kebil memerhatikannya. Langkahnya laju menghala ke arah pemuda itu. Ditarik t-shirt pemuda itu membuatkannya terdorong mengikut langkah Aunie.
“Apa hal ni?” Dia tersentak. Tidak senang dirinya diperlakukan sedemikian.
“Cepat bersembunyi kalau awak nak selamat” tutur Aunie memberi amaran keras tanpa sempat memandang wajah pemuda ini. Tangannya masih menarik t-shirt pemuda ini. Mereka berselindung di sebalik dinding ini. Sukar hendak dilihat oleh sekumpulan lelaki tadi.
“Awak...” Pemuda ini terperanjat tatkala beradu pandangan dengan Aunie. Pertemuan yang tidak disangka-sangka. Pemuda ini tersenyum. Mempesonakan.
“Huuuussss...” Aunie meletakkan jari di bibirnya. Syarat meminta pemuda ini berdiam diri tika ini. Terkebil-kebil pemuda ini menatapnya.
“Musuh awak berdekatan dengan awak sekarang” jelas Aunie berbisik. Ada senyuman terukir di bibir pemuda ini. Janggal sungguh Aunie melihat senyuman itu. Keadaan genting sekarang dia masih bersahaja. Langsung tiada ketakutan yang terpamer pada wajah pemuda ini. Aunie mengetap bibir menahan geram.
“Awak tak takut?” soal Aunie bingung. Pemuda ini tersenyum lagi. Aunie mendengus kuat,  melontar perasaan tidak puas hati. Terasa tindakannya ini sia-sia sahaja. Pemuda ini tidak patut diselamatkan. Dia tidak sepatutnya bersusah-payah menyembunyikan pemuda ini.
“Kalau awak nak selamat duduk diam-diam di sini” perintah Aunie dengan pandangan yang tajam. Senyuman masih terukir di bibir pemuda ini. Timbul sakit hati Aunie melihat senyuman ini. Aunie menjengketkan kaki. Cuba meninjau-ninjau menjejaki kelibat sekumpulan lelaki tadi. Mereka sudah tidak kelihatan berada di situ.
“Saya dah nak pergi ni... pandai-pandailah awak jaga diri sendiri” nasihat Aunie. Dia sudah menunjukkan keperimanusiaannya. Tahulah pemuda ini menjaga diri sendiri. Ditinggalkan pemuda ini di situ.
“Awak nak ke mana?” tanya pemuda ini mengekori langkah Aunie.
“Jangan dekat-dekat dengan saya” tegah Aunie garang.
“Mama saya ada di dalam tu” tambahnya cuba memberi amaran kepada pemuda ini.  Pemuda ini tersenyum lagi.
“Saya nak jumpa mama awak” sahutnya tidak mengendahkan amaran itu. Besar anak mata Aunie memandang pemuda itu. Ancaman yang baru sahaja keluar dari mulutnya langsung tidak berbekas di hati pemuda ini. Sungguh membinggungkan.
“Mama saya tak suka orang jahat macam awak” Lancar sahaja mulutnya mereka kenyataan tanpa menghiraukan perasaan pemuda itu. Dia yakin pemuda ini memiliki kekebalan yang luar biasa. Dalam masa yang sama dia bimbang jikalau pemuda ini mengotakan kata-katanya. Nampak pemuda ini tidak gentar kepada sesiapa sahaja.
“Kalau macam itu saya nak jumpa mama awak juga” sahut pemuda ini bersahaja.
“Siapa awak nak jumpa mama saya? Awak siapa? Saya bukan kawan awak pun” tegas Aunie geram. Buang masa berbual dengan pemuda ini. Aunie bergegas meninggalkannya. Mamanya pasti sudah lama menunggu.
“Jangan ekori saya!” tegas Aunie memandang tajam wajah pemuda itu. Dia tersentak.
“Saya nak berkawan dengan awak” ujarnya. Aunie menggeleng kepala. Tanda menolak persahabatan yang dihulurkan oleh pemuda ini.
“Saya tak berkawan dengan orang jahat” tegas Aunie geram lantas meninggalkan pemuda ini terkebil-kebil. Pemuda ini hanya mampu memerhatikan langkah Aunie. Barangkali terpukul mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya. Memang itu niat hati Aunie agar pemuda itu segera menjauhinya.Terasa lega tatkala pemuda itu tidak mengekorinya lagi. Puan Aisyah Adiba termanggu-manggu sendirian menyambut kedatangan anak gadisnya. Kesangsian menyerpa hati. Aunie berperangai pelik sebentar tadi. Bimbang ada perkara tidak elok disembunyikan daripada pengetahuannya.
“Siapa pemuda itu?” tanya Puan Aisyah Adiba. Belum sempat Aunie hendak melabuhkan duduk, mamanya sudah mengajukan pertanyaan. Dia menggaru-garu kepala. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu siapa nama pemuda itu. Tidak tahu hendak menjelaskan perkara ini kepada mamanya.
“Kawan belajar?” teka Puan Aisyah Adiba tidak mahu menunggu lama. Aunie menggeleng. Patutkah dia berterus terang kepada mamanya? Bagaimana penerimaan mamanya terhadap cerita itu nanti? Mamanya tidak akan senang mendengar cerita yang lebih banyak negatif ini. Tidak mustahil juga andai kata kebebasan yang dimiliki sekarang akan ditarik. Mamanya ada kuasa mengehadkan pergerakannya.
“Baru saja kenal” jelas Aunie menjawab pertanyaan Puan Aisyah Adiba.
“Jangan berkawan dengan orang yang tak tentu identiti dirinya” tegur Puan Aisyah Adiba memberi peringatan kepada anak gadisnya. Aunie mengangguk. Terasa mamanya ada pandangan negatif terhadap pemuda itu. Aunie mendiamkan diri. Tidak akan bercerita lebih lanjut tentang pemuda itu. Tidak mahu mencari nahas diri sendiri.
“Pesanlah nak makan apa” arah Puan Aisyah Adiba menoktahkan perbualan mereka tentang pemuda yang belum diketahui namanya itu. Lega. Aunie mengangguk lantas mencapai senarai menu yang terletak di atas meja di depannya. Mula membuat pilihan pada senarai menu yang disediakan. Mencari-cari hidangan yang memikat selera. Akhirnya mi sizzling dan segelas jus epal hijau menjadi pilihan dan Puan Aisyah Adiba memilih nasi dalapan ikan bawal hitam bersama segelas air kosong sebagai hidangan tengah hari ini. Menu yang lengkap neutrasinya. Puan Aisyah Adiba memang sentiasa menjaga pemakanannya. Buktinya dia tetap menawan walaupun sudah di ambang usia 60 tahun. Tentang pemuda itu dilupakan sahaja.

“Aunie...miss you...so much...” Azan meluru ke arah Aunie dengan lagak romantis. Meremang bulu roma Aunie mendengar ungkapan kalimah jiwang-jiwang itu. Apatah lagi ungkapan itu keluar dari mulut Azan. Pantang sungguh.
“Pergilah jauh-jauh...” arah Aunie menghalau pemuda ini. Rimas berdekatan dengan arjuna yang romantis ini. Azan menarik muka masam. Kecewa dengan layanan dingin Aunie. Namun sekejap sahaja rajuknya. Dia mempamer senyuman mengoda kembali.
“Awak tak rindu saya?” tanya Azan berharap.
“Eeerrr...gelilah saya dengan awak ni” rungut Aunie tidak mahu membendung ledakan emosinya. Ruang hati yang masih kosong itu bukan untuk diisi oleh pemuda ini. Belum sampai seru dia hendak bercinta lagi. Perpisahan lalu masih terasa sakit Kekasih yang dicintai sepenuh hati mengalih kasih pada kawan baik sendiri. Sekarang Adika berbahagia memadu kasih asmara bersama Serina. Cinta luka ini hanya dipendam di lubuk hati. Tidak mahu dikongsi bersama orang lain termasuklah keluarga sendiri. Soal hati dan perasaan memang dia sangat berahsia. Dia kehilangan cinta pertama, tetapi masih banyak yang dimilikinya. Ada keluarga yang menyayanginya. Barisan abang yang sangat mengambil berat lantas sentiasa mengawasinya. Ada kawan-kawan yang sering bersamanya. Ada Azan yang sangat setia dan tidak jemu mencurah kasih kepadanya. Aunie masih kuat. Kuat untuk meneruskan kehidupan ini. Suatu hari nanti dia pasti akan dipertemukan dengan lelaki istimewa yang sangat setia.
Dipandang Azan yang kaya dengan senyuman untuk dihadiahkan kepadanya. Cintanya didambakan oleh pemuda ini. Azan bersungguh-sungguh memikat hatinya. Mungkinkah pemuda ini diutuskan Allah sebagai pengganti Adika yang telah berlaku curang kepadanya? Laju Aunie menggeleng kepala. Tidak reda dengan kenyataan itu. Azan... bukan jodohnya! Dia tidak akan bercinta dengan Azan. Hatinya tidak pernah berdebar-debar tatkala berada di sisi Azan. Dia langsung tidak teruja dihujani ungkapan kalimah romantis yang sering diperdengarkan di telinganya. Azan tidak mampu menggetarkan jiwa raganya. Dia yakin mereka tidak akan menjadi pasangan kekasih.
“Mari... saya belanja awak makan” tutur Aunie menyentakkan Azan. Murah hatinya hendak belanja pemuda ini makan. Mungkin juga mahu memujuk Azan. Bukan. Menebus sikap dinginnya kepada pemuda ini. Sudah kerap kali hati pemuda ini dihujani dengan kata-kata kesat. Aunie berharap Azan cepat berputus-asa. Jiwa raga mereka tidak akan bersatu menjadi kekasih.
“Betulkah ni?” tanya Azan persis tidak percaya. Bukan selalu Aunie berlaku baik padanya. Tidak pernah juga gadis ini mempelawa makan duduk semeja. Selama ini dia sendiri menjadi peneman tanpa diundang. Memunculkan diri di sisi gadis ini lalu menjadi pendamping Aunie di kampus ini. Ditulikan sahaja telinga tatkala gadis ini meminta dirinya dijauhi.  
Aunie mengangguk mengukuhkan pelawaannya. Undangan yang serius. Dia ikhlas mahu belanja Azan makan. Sekurang-kurangnya dia cuba menjadi sahabat pemuda ini. Cukuplah sebagai sahabat untuk menebus kebaikan pemuda ini terhadap dirinya.
“Seriuslah... Kalau awak tak nak tak kisahpun” ujar Aunie sudah mengorak langkah berganjak meninggalkan Azan.
“Hey... siapa kata tak mahu. Naklah...!” tegas Azan lantas mengejar langkah Aunie. Tidak mahu tertinggal langkah dari gadis itu. Rasa bahagia berada di sebelah Aunie. Paling membahagiakan jikalau diterima menjadi buah hati pengarang jantung Aunie. Azan tersengih-sengih sendiri memasang angan-angannya. Dia tidak pernah berputus asa.
“Terima kasih sayang... Opps... sorry... tersasul pula” tutur Azan tersenyum lebar tatkala menatap jelingan tajam Aunie. Tidak tega sedikit kemesraan Aunie bertukar dingin kembali. Ada taman dalam hati. Bahagia dapat bersama menikmati hidangan tengah hari bersama gadis pujaan kalbu. Apatah lagi hari pertama sekembalinya dari cuti semester. Mungkin ini petanda baik untuk hubungan mereka kelak. Azan sudah berangan-angan jauh.
Menjejakkan kaki di kafeteria itu, mereka terus membuat pesanan mengikut selera sendiri. Kemudian mencari tempat kosong memandangkan jam sebegini ramai yang berkunjung ke situ. Mereka duduk di tepi sudut itu. Mula melayan tekak masing-masing. Begitu leka. Azan asyik mencuri pandang ke arah Aunie. Cuba mencari ruang yang sesuai hendak mengajak Aunie berbicara. Namun bimbang juga silap tingkah gadis ini akan menghalaunya lantaran suasana diam ini telah dicemari oleh kebisingan suaranya. Mood Aunie cepat berubah. Mungkin juga Aunie tidak suka berbicara waktu makan. Maka Azan masih mendiamkan diri. Mahu mengikut rentak Aunie. Langkah selamat untuk terus berada di sisi gadis ini. Dia memang sangat menitik-beratkan perkara yang Aunie suka dan perkara yang tidak disukai gadis ini.
“Oh... di sini awak. Satu kampus ni saya jejaki nak cari awak” Pemuda itu terus melabuhkan duduk di kerusi kosong di sebelah Azan. Azan dan Aunie terperanjat mendengar suara lelaki yang menegur itu. Terkejut juga dengan kunjungan pemuda yang tidak dikenali itu. Kebetulan Aunie belum bertentang mata dengannya.
“Hai...” sapanya sambil tersenyum lebar menatap Aunie.
“Awak...!!!” Aunie tersentak. Pemuda ini muncul di depannya lagi.
“Awak kenal dia?” tanya Azan terkebil-kebil. Aunie tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya memandang tajam ke arah pemuda ini. Tidak keruan hatinya dikunjungi oleh pemuda misteri ini. Liar mata Azan menilik-nilik pemuda ini. Cemburu.
“Awak siapa?” tanya Azan kurang senang. Rasa tergugat dirinya. Pertanyaan yang tidak pernah terdetik di benak Aunie. Dia tidak pernah bertanya siapa gerangan pemuda misteri ini. Sebarang maklumat tentang pemuda ini tidak diketahui. Dia hanya tahu pemuda ini kaki gaduh dan mungkin ahli kongsi gelap.
“Saya...? Oh... saya bodyguard kawan awak ni. Akan muncul di mana saja dia berada” sahutnya sambil melirik ke arah gadis itu. Aunie mengetap bibir menahan geram. Tidak senang hati pemuda ini muncul di depan Azan. Bimbang Azan akan mereka cereka yang bukan-bukan di depan keluarganya. Risau akan diketahui oleh ibu dan abang-abangnya.
“Abang-abang awak upah pengawal jaga awak? Awak dalam bahaya?” Besar anak mata Azan menatap Aunie. Sudah terjerat dirinya dengan bicara pemuda ini.
“Jangan mengarutlah” tingkah Aunie serius.
“Sudah lama awak kenal dia?” tanya Azan menyiasat sambil melirik ke arah Aunie. Pemuda ini misteri. Dia menggeleng buat Azan terlopong.
“Tak kenal pun tapi dah lama nampak kawan awak ni” bersahaja pemuda ini memberi penjelasan. Dia tersenyum sendiri. Aunie berdiam diri dan hanya mengikuti perbualan itu.

“Siapa nama kawan awak ni? Saya rasa... saya dan awak ada jodoh sebab tu kita sentiasa bertemu” lancar mulutnya berkata-kata sambil mengalih pandangan kepada Aunie.
What...!!!” suara Azan dan Aunie bergabung di udara. Tidak senang.
“Awak yang sentiasa mengekori saya” tegas Aunie berang.
“Awak tak tahu pun namanya. Senang-senang saja awak kata dia jodoh awak” tingkah Azan tidak senang hati. Pemuda ini tersenyum.
“Sebab itu saya tanya awak tadi... siapa nama kawan awak ni?” ulangnya mengutarakan pertanyaan itu. Aunie mendengus.
“Nama awak siapa?” pertanyaan ini diajukan pula kepada Aunie setelah Azan tidak memberikan jawapan. Aunie mempamerkan wajah serius. Dia mengunci mulut. Tidak berminat melayan pemuda ini. Namanya tetap dirahsiakan daripada pengetahuan pemuda ini.
“Kalau awak tak nak cakap... apa kata saya panggil awak Puteri Salji. Nama ni memang sesuai dengan awak yang nampak dingin macam salji” lancang mulutnya berbicara.
“Otak awak tu ada yang tak betul” marah Aunie tidak dapat menahan sabar lagi.
“Puteri Salji...macam tak sedap pula didengar. Saya tukarlah nama awak jadi Puteri Salju..” ujarnya berbicara sendiri tanpa mengendahkan kemarahan Aunie.
“Awak ni benar-benar peliklah. Datang tak diundang. Muncul sesuka hati awak. Saya ada hutang dengan awakkah?” tanya Aunie tidak mampu membendung kesabaran lagi. Dia mendengus kasar melempiaskan perasaan tidak puas hati. Azan pula masih binggung memikirkan kemunculan pemuda ini. Sebelum ini dia tidak pernah nampak wajah pemuda ini. Mungkin juga kerana taksub membayangkan wajah Aunie sehingga mengabaikan wajah-wajah orang di sekelilingnya. Dia terlepas pandang wajah pemuda ini. Wajah komersial yang digemari gadis-gadis. Terasa dirinya diberi saingan hebat. Rasa tergugat sekarang. Pemuda ini tersenyum.
“Saya dah cakap tadi...dan takkan ulang kenyataan saya tu” balasnya bersahaja. Dia tersenyum menatap Aunie. Sungguh tenang dan bersahaja. Langsung tidak mengendahkan pandangan tajam Aunie dan Azan yang melekat di wajahnya. Tidak kisah kedatangannya disambut dingin. Hati Azan tidak keruan menatap renungan anak muda ini yang tidak berganjak dari wajah Aunie. Terikat di situ. Persis sudah terpikat kepada Aunie.
“Jangan bimbang dan jangan takut. Saya bukan orang jahat seperti yang awak sangka” jelas pemuda ini. Mahu mengubah persepsi Aunie terhadap dirinya. Dia nakal tetapi tidak jahat.
“Kalau macam tu berhenti mengekori saya. Saya tak suka dan tak nak berkawan dengan awak” tegas Aunie serius. Azan tersenyum mendengar kenyataan gadis ini. Cukup senang hatinya. Memang itu yang diharapkannya. Dia tidak mahu Aunie jatuh cinta kepada pemuda ini. Dia yakin pemuda ini sentiasa mendapat perhatian gadis-gadis.
“Saya takkan biarkan pelamin angan saya musnah kerana awak” tegas Azan serius buat Aunie tersedak. Gelak pemuda ini kedengaran. Hatinya tercuit mendengar kenyataan Azan sebentar tadi. Aunie mengurut-urut dada.
“Saya beri amaran serius pada awak... jangan sesekali dekati Aunie lagi” tutur Azan mengancam. Aunie memijak kaki Azan. Wajah Azan berkerut menahan sakit. Pemuda ini hanya tersenyum.
“Oh... nama awak, Aunie...” Dia tersenyum-senyum sendiri. Persis berpuas hati tatkala mengetahui sebaris nama itu. Dia bangkit dari duduknya. Tanpa sebarang kata dan bicara dia beredar pergi. Aunie dan Azan terkebil-kebil menatap pemuda itu.
“Pelik betul perangainya...” keluh Azan.
“Datang tak diundang... pergi tak dihalau. Memang perangai tak sopan” sinis suara Aunie mengutuk pemuda itu. Aunie menoleh ke arah Azan.
“Jangan sesekali ancamnya. Awak belum kenal siapa dia” keluh Aunie kurang senang. Di matanya terbayang aksi sepak terajang pemuda itu. Amaran Azan tadi sudah pasti tidak menakutkan pemuda itu malahan keselamatan Azan yang terancam sekarang. Aunie melepaskan keluhan. Pening kepala memikirkan tiba-tiba sahaja pemuda itu muncul dalam hidupnya. Kedamaian hidupnya telah diganggu.
“Dah habis makan? Saya nak pergi sekarang” ujar Aunie seraya bangkit dari kerusi. Terkocoh-kocoh Azan menghabiskan teh ais di gelas. Tidak mahu ditinggalkan Aunie di situ.
Azan berlari-lari anak mengejar langkah Aunie. Mahu seiringan langkah gadis ini. Kesempatan bersama gadis ini digunakan sebaik-baiknya. Bukan selalu dia berpeluang berada di sisi gadis ini. Keluar sahaja di pintu utama kampus ini, langkah Aunie terhenti. Begitu juga Azan. Serentak pandangan mereka dilontar pada kaki yang melayang di awangan lalu melibas mangsanya. Tendangan padu yang mengena musuh. Tiba-tiba meluru seorang lelaki membawa kayu pemukul cuba membantu rakannya yang dibelasah itu. Sungguh tangkas dan cekap dia mengelak serangan bertubi-tubi lelaki itu. Bukan seorang tetapi dua orang lelaki yang sedang beradu tenaga dengannya tika ini.
“Wah... hebat ilmu seni mempertahankan dirinya!” puji Azan kagum.
“Mujur juga dia cekap mengelak” tambah Azan kagum. Aunie mencebik. Tiada yang harus dibanggakan. Tabiat memusnahkan keamanan dan kedamaian sejagat. Suka sangat buat sengketa. Angkuh dengan ketangkasan diri. Ilmu seni mempertahankan diri yang dituntut telah salahgunakan. Cuak dengan manusia yang berperangai begini.
“Ah...pemuda itu...” Azan terlopong tatkala terpandang seraut wajah itu. Aunie mempamer wajah bersahaja. Langsung tidak terperanjat melihat pemuda itu. Sudah dalam jangkauan jangkaannya. Azan berpaling ke arahnya.
“Awak diekori gangster...” Besar anak mata Azan menatap Aunie. Bagai baru sedar dengan kenyataan itu. Aunie tetap kelihatan tenang dan hanya berdiam diri. Malas mahu mengulas bicara Azan itu.


No comments:

Post a Comment