Sunday 26 October 2014

NamaKu BukanFlora! .....62





BAB 62



“Jangan salahkan Hyeon... ye” suara Mak Long terngiang – ngiang di telingaku. Sukar hendak memahami bicara Mak Long itu. Namun memohon penjelasan lanjut tidak sampai hati pula tatkala menatap wajah sugul Mak Long.
“Mama dah masak sup tulang untuk kamu. Kak Helda kata kamu terkena selsema” suara mak memintas lamunanku. Kupandang mak yang sudah berdiri di depanku sedang merenungku. Dahinya berkerut.
“Kenapa? Nampak serius saja kamu berfikir” komen mak. Aku menggeleng. Belum sampai masanya hendak mengutarakan perkara ini kepada mak. 
“Dah mandi?” soal mak lagi sambil matanya liar menilik luaran fizikalku. Aku menggeleng. Usai sahaja menukar pakaian dan mencuci t – shirt serta seluar tidur Aqel yang kupinjam malam tadi, aku meminta diri daripada Mak Long. Nampak berat hati sahaja Mak Long hendak melepaskan aku pergi.
“Pergilah mandi dulu. Biar rasa segar” arah mak. Aku mengangguk. Kuatur langkah longlai ke bilik. Sampai di bilik aku terus melontarkan tubuhku ke atas tilam. Berbaring – baring sambil bayangan Aqel dan Mak Long silih berganti mendatangiku. Bicara Mak Long masih kufikirkan. Mak Long berharap agar aku tidak menyalahkan anak mudanya itu. Mungkin Aqel ada berkongsi cerita dengan Mak Long tentang kemarahan dan rasa tidak puas hatiku tatkala mengetahui Aqel menipuku sehingga aku terdorong mengambil keputusan menerima sahaja jodohku dengan Aqel. Kusangka Aqel sakit serius kerana perbuatanku. Hakikatnya Aqel terhibur mempermainkanku. Masih ada sisa – sisa kemarahan itu bersarang di hatiku. Kesal dengan perbuatan Aqel.
“Jangan salahkan Aqel” kuulangi frasa ayat ini lagi. Cuba kuperhalusi maksud bicara yang cuba Mak Long sampaikan kepadaku. Aqel sudah ada keputusan muktamad? Mungkin jodohku dengan Aqel tidak berpanjangan. Aqel akan melepaskanku dan kembali kepada Rania. Bagaimana dengan Flora? Banyak sangat kemungkinannya. Teringat pada pertemuan Aqel dengan Haqem. Barangkali Aqel dengan Haqem sudah mencapai persetujuan. Aqel akan menyerahkan aku kepada Haqem dengan syarat Haqem akan menjaga dan melindungiku dengan sebaik – baiknya. Kemunculan Harianie yang memberi jaminan akan berpihak kepadaku juga ada kaitan dengan perkara ini. Susun galur perkara yang sudah dirancang sempurna tanpa pengetahuanku.
‘Ya Allah.... benarkah terlalu kuat jodohku dengan Haqem? Kesucian diriku masih terpelihara kerana dijanjikan perkara itu buat Haqem. Benarkah ya Allah....’. Aku dan Aqel akan berpisah. Keputusan yang akan Aqel ambil sebab itu Mak Long memintaku agar tidak menyalahkan anak mudanya itu. Kupejamkan mataku rapat – rapat. Tidak mampu membayangkan perjalanan hidupku seterusnya. Terbayang wajah sayu mak yang bersedih meratapi nasibku.
‘Mak.... berhentilah bersedih kerana Lia. Lia akan bahagia walaupun tanpa Haqem dan Aqel’ bisik hatiku berikrar. Putaran hidupku tidak akan terhenti hanya kerana lelaki. Perkara yang berlaku akan lebih mendewasakanku. Aku tidak mahu menghukum diri lagi persis yang pernah berlaku tatkala Haqem meninggalkanku. Tempoh yang panjang aku berduka. Sudah tidak termampu hendak dikira banyaknya tumpah air mataku. Terima kasih Haqem. Terima kasih Aqel. Kalian telah mematangkanku.

Aku memandang kosong iPhoneku yang sepi memanjang. Sudah jarang kedengaran bunyi mesej mahupun bunyi panggilan diterima. Sesekali mesej Nana kuterima bertanyakan perkhabaranku. Sudah lama aku tidak menghabiskan masa terluang bersama Nana. Nana perlu memberi perhatian kepada Arryan. Aku faham dan berharap mudah – mudahan Nana dan Arryan bahagia menjadi pasangan kekasih yang sudah ada ikatan pertunangan. Semoga jodoh mereka kesampaian.
Marnie dan Reka juga semakin sibuk dengan tanggungjawab masing – masing. Komitmen di tempat kerja sangat menguji kesabaran dan daya ketahanan diri. Tidak lari daripada tekanan bebanan tugas. Ringkasnya semua tugasan yang diberi perlu dilangsaikan dengan sempurna. Sudah menjadi kemestian kepada warga KDUT di bawah pucuk pimpinan Aqel dan Haqem yang tegas. Nama Rania menjengah benakku. Sudah lama juga aku tidak nampak kelibatnya. Ke mana gadis itu menghilang? Mungkinkah dia bersama Aqel sekarang?
  “Jauhnya awak termenung.....” suara lelaki yang sangat kukenali menerjah halwa pendengaranku. Aku melontar pandangan ke muka pintu. Aqel sedang terpacak di situ. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan. Aqel sudah kembali.
“Mari temankan saya makan” ajaknya. Laju pandanganku beralih pada jam di dinding. Belum masa waktu rehat. Sekarang masih berada dalam tempoh waktu bekerja.
“Saya bos awak, jadi awak wajib patuhi arahan saya. Temankan saya makan” tutur Aqel persis memahami perkara yang sedang aku fikirkan. Aqel menatapku yang masih mematungkan diri di kerusi ini.
“Ini satu arahan” nada suara Aqel kedengaran tegas. Lambat – lambat aku bangkit dari dudukku. Melangkah perlahan mendekati Aqel.
“Awak masih sakit lagikah nampak tak bertenga saja” komennya persis memerliku. Tiba – tiba sahaja laju tangan Aqel mencapai tanganku lalu memautnya. Aku terkesima dan terkedu. Aqel mula mengatur langkah membuatkan aku terdorong mengiringi rentak langkahnya. Dalam masa yang sama pautan tangan Aqel semakin kemas. Tampak sungguh mesra pada mata yang memandangnya. Aku tidak pula berniat mahu menariknya. Maka aku biarkan sahaja diriku diperlakukan sedemikian oleh Aqel. Memang tidak salah dan tiada batasan yang menghalangnya. Sentuhan yang halal di sisi agama.
“Oh..... very sweet.... Jealousnya saya, Lia” tutur Reka teruja. Orang pertama yang menyedari kehadiran kami di kafeteria ini. Aku tersenyum sekilas. Rasa malu yang menebal. Tidak berani pula mahu melihat reaksi Aqel.
“Hai.... Encik Aqel...” sapa Reka mesra. Aqel dan Reka saling bertukar senyuman.
“Saya tahulah awak rindukan Encik Aqel tapi tak payahlah manja sangat. Saya jealous tau” tutur Reka mengusikku. Besar anak mataku menatap Reka. Kurang senang mendengar bicaranya itu. Aqel tersenyum. Aku mengetap bibir menahan geram sambil menatap Reka yang tersengih panjang. Mudah – mudahan Reka segera beredar dari sini.
“Marilah makan sama” ajakku cuba menutup perasaan seganku. Laju Reka menggeleng kepala. Tidak menghairankan ajakanku ditolak oleh Reka. Reka begitu menjaga kelangsingan tubuhnya.
“Selamat menjamu selera. Encik Aqel, pegang kuat – kuat tangan Lia ni nanti dia lari. Bye....” tutur Reka sesuka hatinya. Terlopong aku mendengarnya. Menambah perasaan seganku. Geram juga melihat sengihan panjang Reka. Reka berlalu pergi.
Aqel memilih tempat duduk di tepi dinding kaca ini, jauh sedikit daripada pengunjung lain. Namun masih banyak pandangan mata dilontar ke arah kami. Kehadiran Aqel di sini telah menarik perhatian pengunjung kafeteria ini. Kelazimannya Aqel tetap berlagak biasa. Dia memang sudah biasa menjadi tarikan mata orang di sekeliling. Tumpang bangga suami kacak. Aku tersenyum sendiri.
“Duduklah....” arah Aqel seraya melepaskan tanganku daripada pautan tangannya. Aku melabuhkan duduk bertentangan dengan Aqel. Sempat menilik diri Aqel sekejap. Kemudian laju mengalih pandanganku. Bimbang kalau tertangkap oleh pandangan mata Aqel. Tidak mahu Aqel salah tanggapan. Langsung tiada perubahan pada diri Aqel. Dia tetap tampan. Pujian ikhlas daripadaku.
“Awak dah sihat?” soal Aqel memulakan bicara memecah keheningan. Aku mengangguk. Tersentuh juga hati dengan keprihatinannya.
“Baguslah.....” ujar Aqel lega. Senyap lagi. Berita yang menyenangkan Aqel. Aku tidak perlu mendapat penjagaan rapi daripadanya lagi. Aqel tidak payah bersengkang mata hendak menjagaku sepanjang malam.
“Terima kasih sebab menjaga saya malam tu. Terima kasih juga sebab mereneh sup yang sedap....” ujarku dengan ayat yang tergantung di penghujung bicara. Niat hatiku mahu menyatakan penghargaanku kepada Aqel kerana telah mereneh sup yang sedap untukku. Segan pula hendak berbicara sedemikian. Mana tahu sup direneh bukan semata - mata untukku. Mungkin juga baki yang tertinggal dihidangkan kepadaku. Selebihnya untuk dinikmati oleh Aqel sendiri ataupun buah tangan untuk Rania. Bukankah aku dan Nana pernah melihat Aqel dan Rania di perkaranga hospital.
“Lain kali jangan suka main air hujan” ujar Aqel buat aku tersenyum.
“Awak dah letih nak jaga saya sakitkan” tekaku menguji Aqel. Aqel menggeleng menafikannya. Syukurlah kalau Aqel tidak terbeban olehku.
“Sampai masanya saya tak boleh jaga awak lagi” tutur Aqel buat aku terdiam. Kenyataan yang tidak dapat aku nafikan. Perpisahan itu tetap akan terjadi. Cepat atau lambat yang membezakannya. Aqel akan memilih masa yang sesuai. Aku menanti ketibaan saat itu.
“Jahat juga awak ni ye....” suara Aqel menyentakkanku.
“Apa....!” Aqel tersenyum.
“Pakai baju tidur saya tak minta kebenaran” perli Aqel buat aku terlopong.
“Mak Long cakap ...... oh.... tidak...” Aku tidak sempat menghabiskan bicaraku tatkala teringat akan kemunculan Aqel pada malam itu. Bukan Mak Long yang melanggar perjanjian.
“Bukan main lenanya awak tidur dengan baju dan seluar tidur saya” kutuk Aqel tersengih.
“Bukan sebab baju dan seluar awaklah. Saya lena sebab ubat selsema tau” tingkahku menangkis tuduhan Aqel. Aqel tersenyum.
“Lagipun baju teddy bear tu saya yang punya” tuturku mengingatkannya.
“Buruk siku” kutuk Aqel. Aku diam dan berfikir. Betulkah aku telah memberikan baju teddy bear itu kepada Aqel? Peristiwa itu kabur diingatanku.
“Saya pinjam saja bukan macam awak pinjam dan terus ambil” Kali ini giliranku pula mengutuknya.
“Senang awak tuduh saya. Saya tak ambil baju tu. Awak yang beri baju itu pada saya” tingkah Aqel menangkis tuduhanku. Diam dan berfikir lagi.
“Awak dah lupa” tambah Aqel. Tidak mustahil aku lupa. Logiknya buat apa Aqel hendak mencuri t – shirt murah itu sedangkan dia berkemampuan sangat membelinya. Tidak perlu harga borong, dengan harga normal pun dia sangat mampu. Soal kewangan tidak menjadi masalah. Oh.... jauhnya fikiranku menyimpang.
“Makanlah” arah Aqel tatkala makanan yang dipesan sudah terhidang di atas meja. Aqel terlebih dahulu menikmatinya. Aku memerhatikan tingkahlaku Aqel. Nampak dia sungguh berselera.
“Lapar ni. Sejak semalam tak makan lagi” jelas Aqel seolah – olah memahami pandangan mataku. Aqel bagaikan dapat mendengar gerak suara hatiku.
“Awak belum balik ke rumah lagi?” soalku. Mustahil Mak Long belum masak lagi. Kalaupun Mak Long tidak sempat masak, mereka ada pembantu rumah yang boleh menyediakan hidangan tengah hari untuk Aqel. Menggelirukan.
“Dari airport saya terus datang sini” jelas Aqel bersahaja sekali gus menjawab kemusyikilanku. Aqel belum balik ke rumah lagi. Dia belum berjumpa dengan Mak Long.
“Lama tak jumpa awak teringin pula nak makan bersama awak” tambah Aqel.
“Di rumah kita jumpa juga nanti” jelasku. Aqel memandangku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. Aqel menikmati kembali hidangan tengah hari ini. Masih berselera.
“Maaf... saya tak balik rumah awak nanti” ujar Aqel tanpa sempat menatap wajahku. Aqel tidak balik ke rumah keluargaku? Beberapa lama keadaan ini akan berlaku? Bagaimana dengan penerimaan mak dan Mak Long nanti? Tidak perlu gusar. Aku yakin Aqel telah memaklumkan perkara ini kepada Mak Long dan mak.
“Tentang mama dan mak awak, saya akan uruskan. Awak janganlah risau” ujar Aqel memberi penjelasan. Tepat dugaanku. Persediaan Aqel begitu rapi.
“Buatlah yang terbaik. Saya tak kisah” sahutku menyerahkan sepenuhnya kepada Aqel. Aqel tersenyum senang. Di wajahnya sedikit pun tidak tercelit kesedihan.
“Banyak kesedihan yang telah awak lalui. Maafkan saya sebab gagal membahagiakan awak” tutur Aqel serius. Kupandang wajah Aqel.
“Awak tak patut tipu saya” ujarku meluahkan kekesalanku.
“Maafkan saya...” pinta Aqel. Aku melepaskan keluhan beratku.
“Saya terlalu pentingkan diri sendiri. Sentiasa mahu menjadi anak yang terbaik sehingga membebankan awak. Saya tak patut buat awak menderita. Namun keinginan mahu melindungi keluarga tak dapat saya kawal. Demi keluarga saya sanggup lakukan apa saja” tutur Aqel berterus terang. Sungguh murni hati Aqel.
“Awak tak boleh korbankan diri awak demi membahagiakan keluarga kita. Saya yakin mak dan Mak Long pun tak setuju dengan tindakan awak ni. Awak patut hidup bahagia bersama orang yang awak cintai. Mak Long akan lebih bahagia kalau awak juga bahagia. Saya yakin Mak Long takkan halang siapa saja pilihan awak” jelasku panjang lebar. Begitu tenang aku menuturkannya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rahsiaku dan Aqel terbongkar membawa pada jalan penyelesaian terhadap hubungan kami. Walaupun mendatangkan kesedihan kepada Mak Long dan mak di saat ini, namun penyelesaian ini juga akan memberi kebahagiaan kepada Aqel dan mudah – mudahan buat diriku jua. Di mataku terbayang wajah Rania dan Flora silih berganti. Antara kedua – duanya siapa pilihan Aqel? Flora atau Rania? Oh... Aqel masih dibelenggu masalah! Kasihan Aqel.

Usai menikmati hidangan makan malam bersama mak, aku meminta diri berehat di dalam bilik. Hari ini terasa sungguh meletihkan. Aku melemparkan tubuhku di atas tilam. Berbaring semahu mahunya. Kemalasan yang memuncak. Banyak kali kucuba melelapkan mata namun gagal. Liat mahu tidur. Aku bangkit daripada perbaringanku dan melangkah ke sofa. Menyandarkan tubuh di sofa. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling bilik ini. Betapa terasa sunyi bersendirian di sini. Tiada teman berbicara. Saat ini bayangan Aqel menjelma di benakku.Walaupun aku sering bertelagah dan tidak sependapat dengannya dalam banyak perkara, namun dia boleh dijadikan teman berbicara. Adakala cerita – ceritanya boleh membuatkan aku ketawa. Tidak kurang juga membuatkan aku melenting. Perkara yang nyata Aqel sentiasa mahu melindungiku dari sebarang kesakitan. Dia sering muncul di saat aku bersedih. Hakikat yang tidak dapat aku nafikan. 
“........ Namun keinginan mahu melindungi keluarga tak dapat saya kawal. Demi keluarga saya sanggup lakukan apa saja” suara Aqel terngiang – ngiang di telingaku. Rasa tanggungjawab terhadap keluarga yang sukar ditandingi. Timbul perasaan simpatiku kepada Aqel. Selalu sahaja dirinya berkorban demi keluarga sehingga dia mengetepikan kebahagiaan dirinya sendiri.
“Kasihan Aqel.....” keluhku bersedih mengenang nasib Aqel. Aku bangkit dari sofa ini kembali berbaring di katil. Aku melirik bantal di sebelahku. Sudah lama kosong. Sejak aku berterus terang tentang hubunganku dengan Aqel kepada mak dan Mak Long, Aqel belum pernah balik lagi ke sini. Terasa perpisahan itu kian dekat. Lama sungguh Aqel membawa rajuknya. Bukan rajuk! Satu kebebasan buat dirinya.
Sudah tidak ada alasan untuk Aqel sentiasa berada di sisiku. Kupandang ruang kosong di sebelahku ini. Selalunya Aqel terbaring di situ. Begitu lama dia dekat denganku, jiwa lelaki Aqel tidak pernah terusik. Hatinya kosong. Bibir Aqel pula sentiasa menyebut nama Flora agar terus mampu bertahan berada di sisiku. Nama ini memberikan kekuatan buat dirinya.
“Maafkan aku Aqel....Aku bukan ratu hatimu kerana namaku bukan Flora” tuturku berbicara sendiri. Kupejamkan mataku rapat – rapat. Cuba melenyapkan bayangan Aqel.


~Saya tunggu awak di Kafeteria Ria. Datang ke sini sekarang~ Mesej yang kuterima daripada Aqel. Kuletak iPhone ini di atas meja. Kupandang iPhone ini. Kasihan juga membiarkan Aqel tertunggu – tunggu. Aku melepaskan keluhan kecil. Lambat – lambat aku bangun. Rasa malas sahaja hendak ke sana. Namun memikirkan tentang Aqel timbul belas kasihan pula hendak membiarkannya bersendirian di situ. Mahu tidak mahu terpaksa juga aku mengorak langkah ke situ. Di ambang pintu kafeteria ini, melilau mataku mencari kelibat Aqel. Dari sudut terpencil itu, aku nampak Aqel sedang melambai – lambaikan tangannya memanggilku.Aqel memang gemar duduk di situ. Lantas kuatur langkah ke arah Aqel.
“Awak boleh cari orang lain untuk temankan awak makan” tuturku terus menyerang Aqel. Rindu juga hendak bertikam lidah dengan Aqel.
“Saya tak datang sendirian...” sahut Aqel tersenyum. Kupandang tiga buah kerusi yang menggelilingi meja ini. Kosong. Tiada sesiapa bersama Aqel sekarang. Mudah sangat dia hendak permainkan aku.
“Mana? Mana?” soalku bertalu – talu. Aku tidak nampak Rania di sini.
“Tu di belakang awak” sahut Aqel sambil menunding jarinya. Laju aku berpaling. Aku tersentak. Haqem tersenyum.
“Mari duduk di sini” arah Aqel. Selamba sahaja Aqel menarik tanganku sekali gus meminta aku duduk di sebelahnya. Haqem melabuhkan duduknya bertentangan denganku.
“Haqem sila order. Saya belanja awak berdua makan hari ni” ujar Aqel ceria. Baru sahaja tanganku mencapai senarai menu, laju sahaja tangan Aqel menghalangnya. Aku menatap Aqel dengan dahi berkerut. Kata hendak belanja makan. Bicara dan tindakannya tidak seiring.
“Saya dah order untuk awak tadi” tutur Aqel. Aku menjelingnya. Macamlah dia tahu sangat seleraku.
“Saya order jus oren dengan nasi putih dan sup ayam. Awak baru saja sihat. Jadi awak mesti makan sup” leter Aqel. Aku mencebik bibir ke arah Aqel. Macam mak nenek pula hendak berkhutbah di depanku. 
“Belajar jaga diri baik – baik” tutur Aqel membuatkan aku terdiam.
“Saya memang pandai jaga diri sendiri. Tak payahlah awak risau” tingkahku geram. Aku bukan anak kecil yang perlukan pengawasan orang dewasa. Aku mempamer muka masam.
“Tengok.... merajuklah tu” tutur Aqel tersengih. Kutulikan telinga.
“Susah nak jaga dia ni, Haqem. Banyak sangat degilnya” tutur Aqel sekali gus menyedarkan aku tentang kewujudan Haqem yang ada bersama kami saat ini. Hampir aku terlupa tentang Haqem. Dia hanya tersenyum menerima aduan sahabatnya ini.
“Lia memang macam tu” sahut Haqem menyokong bicara Aqel.
“Tak adillah dua lawan satu” tingkahku memprotes. Aqel dan Haqem tersenyum. Tidak sangka pula pertemuan kali ini mengundang perbualan rancak antara kami bertiga. Saling memberi pendapat tatkala sesuatu isu ditimbulkan. Aqel pula tidak sudah – sudah mempertikaikan pendapatku. Sesekali Haqem berpihak kepadaku. Selebihnya, dia lebih banyak tersenyum melihat gelagatku dengan Aqel yang tidak sehaluan. Bagai tikus dengan kucing. Ibarat Tom dengan Jerry.
“Kenapa tiba – tiba saja awak diam?” soal Aqel. Aku masih mengunci mulutku.
“Dah habis idea? Lain kali kalau awak nak berbual – bual dengan Haqem, biar saya temankan awak” tutur Aqel memanjangkan diamku. Kutatap wajah Aqel. Apa niatnya berbicara sedemikian?
“Aqel.... Haqem.... saya dah ambil keputusan akan meninggalkan KDUT” tuturku. Aqel dan Haqem menatapku. Tampak mereka terkejut dengan keputusan yang kuambil ini.
“Mengapa?” soal Haqem. Aku tersenyum sekilas.
“Jangan buat keputusan terburu – buru” tutur Haqem lagi. Persis tidak merestui keputusanku. Haqem cuba menghalang kepergianku. Aqel masih membisu. Aku tersenyum.
“Selagi awak dan Aqel berada di depan mata saya, selagi itu saya takkan melalui kehidupan sebenar. Saya mahu hidup berdikari, mengharungi cabaran hidup tanpa sokongan awak berdua. Seperti yang Aqel harapkan, saya mahu menjaga diri saya sendiri” jelasku nekad. Aqel dan Haqem menatapku lagi.
“Paling penting saya tak nak merosakkan persahabatan akrab ini. Saya sayang awak berdua” tuturku meluahkan isi hatiku. Lega. Aqel dan Haqem tidak bersuara lagi.
“Terima kasih kerana belanja saya makan dan bersama saya selama ini. Saya pergi dulu....” ujarku lalu bangun. Aqel dan Haqem memandangku dengan mulut yang terkunci. Kutinggalkan Aqel dan Haqem yang setia memerhatikan langkahku.
“Saya takkan biarkan awak tinggalkan saya” tegas suara lelaki di belakangku. Langkahku mati. Aku berpaling. Haqem sudah terpacak di depanku. Kutatap wajah Aqel. Kemudian melontar pandangan ke arah sudut terpencil itu. Aqel masih duduk di situ menjadi pemerhati.
“Kalau Aqel tak kisah awak nak keluar dari KDUT ini tapi saya kisah. Saya serius ni” suara tegas Haqem singgah di halwa pendengaranku. Pandanganku masih terikat pada Aqel yang setia duduk di sudut terpencil itu. Tiba – tiba aku rasa betapa unik dan peliknya kisah hidupku ini. Bekas kekasihku yang masih setia sedang berdiri di depanku, cuba menghalang hasratku sambil diperhatikan oleh lelaki yang bergelar suamiku yang kelihatan begitu tenang.
“Awak jangan pergi ye..... Please” rayu Aqel. Kutatap wajah insan yang sedang berdiri di depanku ini. Bukan dia. Lelaki ini ialah Haqem. Aqel masih duduk di sudut itu. Haqem sedang memujukku. Aqel pula tidak berbuat apa – apa.
  “Mama serahkan perkara ini pada Lia dan Hyeon. Ambil jalan penyelesaian yang terbaik. Biar Hyeon mahupun Lia mesti bahagia” suara Mak Long terngiang – ngiang di telingaku. Sedar bahawa ini adalah keputusan Aqel. Keberanian Haqem saat ini adalah didorong oleh Aqel. Mengertilah aku. Kupandang Haqem. Lantas menghadiahkan senyuman paling indah buat dirinya setelah sekian lama aku tidak mampu melakukannya.
“Terima kasih, Lia” tutur Haqem teruja dengan senyuman lebar. Wajah Haqem ceria. Aku turut tersenyum. Gembira melihat Haqem kembali ceria.
“Sampai masanya saya tak boleh jaga awak lagi” suara Aqel berulang berbisik di telingaku. Kali ini aku tidak menghala pandanganku ke arah Aqel lagi. Terasa diri ini tidak kuat untuk menatap senyuman Aqel.


Aku melontar pandanganku ke muka pintu. Sedikit mengejutkanku dengan kemunculan Aqel lewat malam ini. Dia melangkah masuk ke bilik ini.
“Lewat awak tidur” tegurnya.
“Belum mengantuk” sahutku. Aqel melabuhkan duduknya di sebelahku di sofa ini. Anak matanya merenungku, sedikit mengganggu konsentrasiku pada majalah di tanganku. Fokus bacaanku terganggu.
“Saya ada perkara penting nak cakap dengan awak” terus terang Aqel sebelum sempat aku bertanya tentang tujuan kedatangannya lewat malam ini. Aku menatap wajah Aqel yang nampak begitu tenang. Ada perkara penting yang mahu Aqel bicarakan denganku. Sedikit mendebarkanku. Kututup majalah di tanganku lantas kuletak di tepi. Kupandang Aqel.
“Cakaplah” arahku. Sedetik aku dan Aqel saling beradu pandangan. Apa sahaja yang bakal keluar dari mulut Aqel akan aku terima dengan hati yang terbuka.
“Saya tak boleh tinggalkan Rania. Dia tak boleh hidup tanpa saya” ujar Aqel. Kenyataan yang keluar dari mulut Aqel ini langsung tidak mengejutkan aku. Hakikat yang sudah aku tahu sejak aku mengenali mereka. Rania tidak mudah melepaskan Aqel, kekasih hatinya.
“Saya tahu” balasku. Aqel menatapku lagi. Mungkin mahu menilai reaksiku.
“Tapi saya ada masalah sekarang” keluh Aqel.
“Awak tak tahu nak cakap perkara ini pada Mak Long. Ini masalah awakkan?” tekaku. Laju Aqel mengangguk.
“Saya risau kalau mama tak boleh terima perkara ini” luah Aqel bimbang. Pertama kali nampak Aqel tewas. Sukar hendak melihat Aqel hilang ketenangan diri tatkala berdepan dengan masalah. 
“Awak nak saya pujuk Mak Long?” tanyaku lagi. Aqel menatapku.
“Saya memang perlukan pertolongan awak. Mama sangat sayangkan awak. Saya yakin mama akan dengar cakap awak” tutur Aqel menggantung harapan kepadaku buat pertama kalinya.
“Saya boleh tolong awak” ujarku memberi jaminan. Aqel tersenyum.
“Terima kasih” tutur Aqel. Dia tersenyum lagi. Nampak gembira dirinya dengan jaminan yang kuberikan. Tiba – tiba terlintas nama Flora di benakku.
“Awak serius nak bersama Rania?” soalku sedikit sangsi. Laju sahaja Aqel mengangguk.
“Kalau saya berjaya tolong awak, adakah awak takkan mensia – siakan Rania?” soalku terus menguji Aqel. Aku mahu kesetiaan Rania kepada Aqel selama ini akan terbalas.
“Ya... saya akan setia kepadanya seorang” ujar Aqel begitu yakin.
“Bagaimana dengan Flora? Andai kata Flora muncul suatu hari nanti, mampukah awak terus setia kepada Rania?” Dua persoalan kuajukan kepada Aqel. Aqel terdiam. Kutatap wajah Aqel. Masih menanti jawapan daripadanya. Namun diam Aqel berpanjangan. Dia tidak mampu menjawab pertanyaanku.
“Ehhmmmm....” Halwa pendengaranku menangkap suara lelaki yang sedang berdehem – dehem. Berat rasanya hendak mengangkat kelopak mata ini. Kugagahi jua. Terpandang Aqel sedang duduk di birai katil menghala pandangannya ke arahku. Mataku terbuka luas. Bingkas aku bangun. Tidak mahu Aqel memerhatiku dalam keadaan terlentang di atas katil. Tidak manis.
“Bila awak sampai?” soalku.
“Adalah sejam yang lalu” sahut Aqel bersahaja. Jawapan yang kurang menyenangkanku tatkala mengingati sudah puas Aqel memerhatikan aku tidur. Terasa panas pipiku.
“Lena awak tidur” komen Aqel tersenyum sendiri menambah rasa maluku berganda – ganda. Bukankah aku sedang berbual – bual dengan Aqel tadi?
“Awak ada berbual – bual dengan saya tadi?” soalku binggung. Dahi Aqel berkerut – kerut. Pasti musykil diajukan pertanyaan sedemikian.
“Awak mimpi tu” ujar Aqel menyedarkanku. Kulontar pandangan ke sofa itu. Kosong. Aku baru sahaja bangkit dari perbaringan di katil manakala Aqel masih duduk di birai katil menghala pandangan ke arahku. Betul kata Aqel aku bermimpi tadi. Kupandang jam di dinding. Sudah melepasi jam 12 tengah malam. Terlalu lewat Aqel berkunjung ke sini.
“Awak nak ambil barang – barang awak?” laju sahaja pertanyaan ini keluar dari mulutku. Aqel sengaja datang lewat kerana tidak mahu bertembung dengan mak.
“Tak sabar – sabar awak nak halau saya keluar dari rumah ni” sahut Aqel tersenyum sendiri. Aku terpana mendengar bicara Aqel sedemikian. Langsung tidak terniat aku hendak menghalau Aqel.
“Tiba – tiba saja rindu dengan awak” tutur Aqel bersahaja lalu bangkit dari duduknya  melangkah ke sofa. Aku terdiam. Aqel terus sahaja berbaring di situ. Mula memejamkan matanya. Jelas Aqel berhasrat mahu tidur di situ. Seketika aku memerhatikan gelagat Aqel. Dia memakukan dirinya di atas sofa panjang itu. Kupandang ruang di sebelahku yang kosong. Aku tidak akan mengajak mahupun mengarahkan Aqel tidur di sebelahku di atas katil ini. Biarpun di sini tempat tidurnya.
Suasana sungguh hening. Aku masih duduk terpaku di atas katil ini. Bagaikan mataku sudah merajuk mahu lena kembali. Kulontar pandangan ke arah Aqel yang tidak bergerak – gerak lagi terbaring di atas sofa itu. Mudahnya dia lena.
“Awak tak nak tidur ke?” Tubuhku terangkat. Betapa aku terkejut mendengar suara Aqel itu. Mata Aqel masih terpejam. Rupa – rupanya dia belum tidur lagi.
 “Saya masih memikirkan tentang mimpi saya tadi” ujarku cuba mengajaknya berbual.
“Awak mimpi apa tadi?” soal Aqel berminat hendak mengetahuinya. Aqel melontar pandangannya ke arahku. Aku berfikir seketika. Patutkah aku kongsi mimpiku tadi bersama Aqel? Bimbang juga jika Aqel salah faham terhadapku. Aqel memejamkan matanya kembali. Aku yakin Aqel belum tidur lagi.
“Andai kata awak terpaksa membuat pilihan antara Rania dengan Flora, siapa yang akan awak pilih?” soalku berhati – hati. Senyap. Aqel belum bersuara untuk menjawab pertanyaanku ini. Aku dengan sabar menunggunya. Aku memang ingin tahu jawapan Aqel. Diam Aqel berlanjutan. Persis dalam mimpiku sekali lagi pertanyaanku tidak dijawabnya.   


2 comments: