Bab 2
Kuletak jus oren
di tangan di atas tembok batu ini. Terkocoh – kocoh aku mengeluarkan iPhone
dari saku beg sandangku. Jeritannya masih kedengaran. Bukan panggilan daripada
Azan. Lega. Kutatap sebaris nombor baru yang tidak kukenali sambil membuat
pertimbangan. Perlukah aku jawab panggilan nombor yang tidak kukenali ini? Beberapa
orang yang berada dekat denganku memandangku. Mungkin terganggu dengan bunyi
deringan iPhone ini.
“Bisinglah....”bisik
hatiku. Kutekan punat panggilan diterima.
“Hello...
Assalamualaikum....” sapaku perlahan sambil memikirkan suara siapakah yang bakal
aku dengar sekejap lagi.
“Auni.... rindu
awaklah....!!!” Opocot...!! Aku tersentak. Kutelan liur pahit sebaik sahaja
suara lelaki itu singgah di halwa pendengaranku. Suara yang tidak ingin
kudengar.
“Jangan matikan
telefon.....” Laju sahaja Azan mengeluarkan arahannya. Cepat dia menegah
sebelum aku bertindak. Pengalaman mengingatkannya.
“Apa hal awak call saya ni?” soalku kurang senang.
“Kan saya dah
cakap tadi saya rindukan awak ... he he he...” Azan tergelak sendiri. Aku
mendengus bosan. Azan masih tidak mengalah.
“Malas saya nak
layan awak” ujarku tanpa berselindung. Berbicara dengan insan kebal persis dirinya
tidak perlu berkias – kias. Mahu segera memusnahkan keterujaan Azan berbicara
denganku. Kejam? Memang pun terasa kejam. Namun ini sahaja caranya hendak
mengusir Azan daripada terus mengekori hidupku. Rimas sungguh melayan karenah
Azan yang keanak – anakan ini.
“Sampai hati awak
cakap macam tu” ujar Azan dalam nada rajuk. Aku diam. Tercelit sedikit belas
kasihan padanya.
“Ni guna nombor
telefon siapa pula ni?” soalku cuba memanjangkan bicara. Nombor ini bukan
nombor yang biasa Azan gunakan.
“Saya pinjam
nombor ibu saya. Awak takkan angkat kalau saya guna nombor saya” sahut Azan
memberi penjelasan. Dia sudah sedia maklum kenyataan tersebut.
“Tahupun awak”
perliku.
“Saya cakap pada
ibu nak call girlfriend. Buka main
sukanya ibu” cerita Azan ceria.
“Awak jangan nak
merepeklah” marahku. Tidak boleh diberi muka langsung pemuda ini. Sesuka hati
sahaja dia bertindak.
“Betul Auni....
ibu teruja nak kenal awak” jelas Azan bersemangat.
“Awak jangan cakap
yang bukan – bukan” rungutku radang.
“Saya banyak
bercerita tentang awak pada ibu saya” Azan bersuara lagi. Aku mendengus kasar.
Memang tidak mengizinkan Azan bertindak sedemikian.
“Malas saya nak
layan awak. Otak awak tu ada yang tak betul” radangku tidak dapat menahan sabar
lagi. Terus kutekan punat merah. Suara Azan serta merta lenyap. Segera kupilih
mod senyap agar deringan panggilan Azan tidak didengari lagi. Biarlah berjuta
kali Azan menelefon, kali ini tiada sesiapa yang akan terganggu. Kucapai jus
oren di atas tembok batu lalu menyambung langkahku semula. Sudah tidak mahu
memikirkan tentang Azan lagi.
Subhanallah...!!!
Aku terloncat ke tepi. Terkejut. Tanganku mengurut – urut dadaku yang berdegup
kencang. Berdebah betul Si Pemandu kereta BMW itu.
“Berlagak
sangat...! Mentang – mentanglah pandu kereta mewah. Bawa kereta macam samseng”
rungutku sendirian. Terkilan dengan tindakan pemuda yang tidak berhemah. Bahkan
sakit hati sebagai mangsa yang teraniaya.
“Alamak....!” Aku
terjerit kecil menatap t – shirt yang
kupakai basah bertompok – tompak di bahagian hadapan akibat disimbah jus oren
di tanganku ini. Sungguh memalukan. Aku mendengus geram. Berbaki setengah gelas
sahaja lagi. Tanganku habis dibasahi jus oren ini. Rasa meleket. Lantas
kubaling baki jus oren yang tertinggal ke dalam tong sampah. Kempunan hendak
minum jus oren.
“Kalaulah saya
jumpa orang itu tahulah saya nak ajarnya nanti. Berlagak betul...!” marahku
tidak puas hati. Aku menutup bahagian t –
shirt yang basah dengan beg galasku. Sudah tidak selesa dalam keadaan
begini. Apatah lagi dengan emosi yang tidak stabil sekarang. Mahu diamuk sahaja
pemilik kereta BMW yang tidak tahu berbudi bahasa itu.
Kutolak kasar daun
pintu kaca Butik Selendang Kasih. Kulepaskan beg sandangku ke atas meja kaunter
dengan wajah yang masam mencuka. Aku terus sahaja berlalu ke bilik air. Lama
juga aku menghabiskan masa di dalam bilik air ini. Habis basah bahagian hadapan
t – shirt yang kupakai ini. Rimas.
“Apa hal t – shirt kamu basah?” tegur Kak Ros
hairan. Aku mencebik. Baran di hati belum lenyap sepenuhnya. Mahu disepak –
sepak macam bola sahaja pemandu BMW itu.
“Ada orang yang
tak guna mata pandu kereta” rungutku dengan wajah yang serius. Terkebil – kebil
Kak Ros menatapku. Kurang faham.
“Ada samseng
jalanan yang bawa kereta macam hantu. Hampir – hampir nak langgar saya” marahku
dengan dengusan kecil.
“Apa...!” Besar
anak mata Kak Ros menatapku. Terkejut.
“Kamu tak apa – apa?
Pergilah tukar t – shirt kamu tu” arah Kak Ros. Berkerut dahiku memikirkan
bicara Kak Ros. Hendak tukar baju? Mana hendak dapat baju? Aku mencapai dompet
di dalam beg galasku. Menyelak – menyelak dompetku. Tiada pilihan terpaksa
mengorbankan wangku demi menggantikan t –
shirt basah yang masih tersarung di tubuhku ini. Pemandu BMW itu sungguh
menyusahkan aku. Aku mendengus sendirian. Perasaan geram masih tidak hilang.
“Kak Ros saya
keluar.......” Bicaraku tergantung. Serentak aku dan Kak Ros melontar pandangan
ke muka pintu kaca yang sudah terkuak. Seorang pemuda melangkah masuk. Aku
terkedu menatapnya. Begitu juga dengan Kak Ros. Penampilan pemuda itu
menggusarkanku. Leher berantai, telinganya bersubang dan bergelang tangan.
Selayaknya seorang samseng. Kupandang Kak Ros. Kak Ros pandang aku. Hati
gentar. Terlintas di fikiranku mungkinkah dia lintah darah yang mengutip duit
perlindungan.
“Hemmm....” Pemuda
ini berdehem memaksa aku mengarah pandangan kepadanya. Aku dan pemuda ini
bertentang mata. Adakah dia akan menyerangku lantaran kemarahanku tadi. Mulutku
telah melempiaskan bicara – bicara kurang senang tadi. Aku mengetap bibir.
Hatiku menitip doa mudah – mudahan aku dilindungi Allah.
Pemuda ini
melangkah setapak mendekatiku. Aku melangkah setapak ke belakang. Cuba
menjarakkan diri darinya. Tidak senang berdekatan dengannya. Dia melangkah
setapak lagi.
“Stop....!” Aku baru sahaja mahu berundur
lagi tetapi larangannya mematikan hajatku. Aku terkebil – kebil menatapnya.
Begitu juga Kak Ros terkedu panjang. Tanganku dicapai lalu beg kertas
ditangannya dipindahkan ke tanganku. Tergantung di tanganku. Kemudian berpaling
dan terus melangkah ke pintu. Sekelip mata dia hilang dari pandangan mataku.
Aku menghela nafas panjang. Kulihat Kak Ros sedang mengurut – urut dadanya.
Mungkin sama terkejut dengan kehadiran pemuda misteri itu. Pemuda yang sering
membayangi diriku.
“Apa yang dia
hadiahkan pada kamu, Lia?” suara Kak Ros memecah kesepian sekali gus
menyedarkan aku ada sesuatu yang tergantung di tanganku. Beg kertas pemberian
pemuda misteri itu. Aku meletakkan di atas meja. Kak Ros datang merapati mahu
mengetahui kandungan beg kertas ini.
“Dia belikan kamu
baju” Nyaring suara yang dilontar dari kerongkong Kak Ros. Aku terpana. Ada
kemusykilan menyerbu diriku. Aku menilik – nilik jersi merah di tanganku ini. Lembut
fabriknya.
“Sah dia yang
kotorkan baju kamu. Nak tunjuk baiklah tu” suara Kak Ros berbaur sinis. Aku
masih membisu. Fikiranku ligat berputar memikirkan tindakan pemuda itu. Jangan
– jangan dia mendengar kemarahanku dan memerhatikan gelagatku tadi. Oh.....
sungguh membinggungkan! Perkara yang pasti pemuda itulah pemandu yang tidak
berhemah itu.
“Dah ada orang
belikan baju baru, pergilah tukar baju kamu tu” arah Kak Ros.
“Tak mahulah Kak
Ros” putusku sambil memasukkan kembali jersi merah ini ke dalam beg kertas
lantas meletakkannya di atas meja.
“Hey.... jual mahal
pula” perli Kak Ros sambil mencebik bibir ke arahku. Aku hanya menayangkan
wajah bersahajaku. Kalau aku memakai jersi merah ini bermakna terlalu mudah aku
memaafkannya. Sikap negatif yang belum mampu aku kikis suka berdendam.
“Kamu masih nak
pakai baju basah tu?” soal Kak Ros dengan dahi yang berkerut. Runsing dengan
tindakanku. Aku mengetap bibir.
“Saya nak keluar
sekejap, Kak Ros” beritahuku. Kak Ros tercengang – cengang menyoroti langkahku
sehingga ke muka pintu.
Aku memasuki Plaza
Limbang. Berkunjung ke Pasar raya Queens. Bergerak ke bahagian pakaian
perempuan lalu memilih – milih t –shirt yang
berkenan di hati. Kucapai t – shirt
ungu yang di dadanya terpampang gambar beruang. Sungguh comel. Muktamad aku
akan memiliki t – shirt ini.
“Saya tak tahu
pula awak suka beruang. Ganas juga awak ni ye” satu suara berbicara di
belakangku. Laju aku berpaling. Bertentang mata dengan pemuda ini. Aku terkedu.
Aneh dan pelik. Menakjubkan. Persis aku tidak percaya dia boleh bertutur dalam
bahasa Melayu dengan begitu fasih. Sungguh mengkagumkan. Rasa aneh yang menebal
dengan kemunculannya yang tidak diundang ini. Laju sahaja tanganku mencapai t – shirt ungu ini lantas bergerak ke
kaunter pembayaran. Mahu segera berlalu dari sini. Rasa tidak percaya dia masih
mengekoriku.
“RM 39.90 cik...”
tutur gadis di kaunter ini. Aku menguak dompetku.
“Biar saya yang
bayar” suaranya mencelah.
“Tak usah” tegahku
tidak senang hati. Namun not RM 50 itu sudah dihulurkan kepada gadis itu, lalu
memproses bayaran untuk t – shirt
yang sudah disimpan di dalam beg kertas.
“Terima kasih...”
Baki wang dihulurkan kepada pemuda misteri yang dermawan ini, manakala beg
kertas diserahkan kepadaku.
“Terima kasih....” ujarku kepada gadis di kaunter
pembayaran ini. Aku melangkah meninggalkan kaunter.
“Nah.... saya bayar duit awak” tuturku sambil berpaling
ke arahnya. Langkahnya mati. Dia tersentak.
“Saya tak suka berhutang. Apatah lagi berhutang dengan
orang asing” tegasku serius. Kuletakkan wang kertas RM50 di atas telapak
tangannya. Dia terkebil – kebil menatapku.
“Esok datang ke Butik Selendang Kasih. Saya nak pulangkan
jersi yang awak hantar tadi” jelasku. Sungguh aku tidak mahu terikat dengan
dirinya. Tiada yang menyenangkan. Keluargaku juga pasti tidak mahu aku
bersahabat dengannya. Dia yang terlalu mencurigakan.
“Awak.....”
“Esok awak pulangkan baki wang saya itu di Butik
Selendang Kasih” arahku memintas bicaranya. Aku memusing tubuhku, lantas melangkah
laju meninggalkannya. Dadaku berdebar – debar. Kebimbangan menyelubungiku.
Risau jika pemuda itu masih mahu mengekoriku. Cuba kuamati bunyi derap langkah.
Aku menarik nafas lega. Berdiri di sebalik tiang batu besar ini, aku melontar
pandangan ke arahnya. Pemuda itu sedanng menjawab panggilan iPhonenya. Wajahnya
cemas. Sekelip mata sahaja dia sudah berlari pantas ke arah pintu utama.
Langsung tidak mengendahkan pandangan orang awam yang berlegaran di pusat
membeli – belah ini. Sungguh tinggi keyakinan dirinya. Perlahan – lahan aku
melepaskan keluhanku. Pasti sekejap lagi dia akan beraksi persis seorang
pahlawan handalan yang beradu tenaga di medan pertarungan.
“Polis….polis… lari…
lari…!!!” Beberapa kelibat anak muda lari bertempiaran membawa diri. Pasti ada
perkara yang menyalahi undang – undang yang telah mereka lakukan. Sejak akhir –
akhir ini banyak sangat pergaduhan samseng – samseng yang berlaku di sekitar
kawasan ini. Dendam yang tidak pernah habis. Masing – masing mahu melindungi
dan menuntut bela untuk anak buah.
Pupp...! Daun
pintu kaca Butik Selendang Kasih ditolak kasar. Seorang lelaki meluru masuk.
Dia berlari lalu menyelinap masuk di bawah meja kaunter. Aku tersentak dan terkebil
– kebil.
“Awak ni siapa?”
soalku dengan rasa was – was. Hatiku gusar.
“Huussshhh....”
Isyarat diamku yang panjang. Aku mengerti kehadirannya di sini minta
dirahsiakan. Kulontar pandangan keluar. Sekumpulan lelaki berpakaian seragam
biru sedang bertebaran di kawasan ini membuat pemeriksaan. Mereka sudah
semestinya telah menerima laporan tentang pergaduhan yang dicetuskan oleh kaki
– kaki samseng. Samseng? Aku terkedu. Lambat – lambat aku menundukkan muka.
Cuba memberanikan diri mengarah mataku kepada lelaki yang sedang bersembunyi di
bawah kaunter ini. Mata bertentang mata. Aku berundur selangkah ke belakang.
Jarinya diletak antara celah – celah bibirnya. Meminta agar aku berdiam diri.
Kewujudannya di sini harus dirahsiakan. Maka aku hanya mematungkan diri dengan
pandangan sentiasa terarah menembusi dinding – dinding kaca ini. Cuba mengawasi
keadaan di luar. Berlagak biasa. Persis diupah jadi peninjau.
“Awak keluar dari
sini sekarang” tegasku dalam nada berbisik. Sedikit gusar kerana bersubahat
dengan pesalah. Dia menatapku. Langsung tidak bergerak.
“Cepat keluar”
arahku lebih tegas. Dia masih menatapku. Aku mengetap bibir menahan geram. Kata
samseng tetapi tahu pula takut. Getus suara hatiku.
“Awak tak bohong?”
Kali ini dia bersuara. Aku mengangguk. Memang aku bercakap benar.
“Saya percaya awak”
tuturnya mula bangkit dari tempat persembunyian ini. Tiba – tiba sahaja aku
terpandang dua orang lelaki bertubuh sasa liar memandang sekeliling. Persis
sedang mencari – cari seseorang.
“Jangan bergerak!”
tegahku. Dia terduduk kembali di bawah kaunter ini.
“Saya rasa dua
orang lelaki di luar itu sedang mencari awak” tuturku berbisik. Liar sahaja
anak mataku mengekori gerak – geri dua orang lelaki itu. Kira – kira 10 minit
berlegar – legar di kawasan ini, akhirnya datang sebuah kereta pacuan empat
roda membawa dua orang lelaki itu berlalu.
“Keadaan selamat
sekarang. Awak boleh keluar.... dan pergi dari sini” pintaku tidak mahu
terbabit sama dalam hal ini. Risau mengundang musibah. Melindungi orang yang
bersalah pasti turut mendapat tempias masalahnya. Bingkas dia bangun dari
persembunyiannya.
“Terima kasih”
tuturnya lantas mengeluarkan sesuatu dari poket seluar jeans yang dipakainya.
“Baki wang awak
semalam” tuturnya seraya meletakkan beberapa keping wang kertas di atas
kaunter.
“Bibir awak
berdarah” tegurku baru menyedarinya. Laju tangannya mengesat. Tanpa sepatah
kata dia berlalu ke pintu dan melangkah keluar meninggalkan aku termanggu –
manggu. Langsung kata – kataku tidak diendahkannya. Sekejap sahaja kelibatnya
lenyap dari pandangan mata.
“Aunie....” Aku
tersentak. Kak Ros sudah melewati pintu melangkah mendekatiku.
“Juahnya kamu
termenung” tegurnya. Aku tersenyum sekilas. Lega hatiku tatkala pemuda itu sudah
tidak berada di sini ketika kemunculan Kak Ros.
“Apa yang kamu fikirkan?
Akak tengok pandangan kamu menembusi dinding kaca ni” komen Kak Ros. Aku
menggeleng. Lantas mencapai duit yang ditinggalkan oleh pemuda itu. Kusimpan di
dalam saku beg galasku. Sedekit gusar hati mengenang kecederaan pemuda itu. Tidak
payah fikirkan sangat. Bibirnya hanya pecah sedikit sahaja. Lagipun bukan aku
penyebab kecederaannya. Tidak perlu bimbang dan rasa bersalah. Muktamad.
Aku memulakan
tugas harianku di Butik Selendang Kasih. Menyambut kedatangan para pelenggan
dan melayan mereka sebaik – baiknya. Sesekali kulontar pandanganku keluar
melalui dinding kaca ini. Mencari kelibat pemuda itu. Dia langsung tidak
kelihatan mahupun rakan – rakannya. Pihak lawannya juga sudah tidak berkeliaran
di luar sana. Aku yakin dia telah balik ke rumahnya. Mungkin juga sedang berada
di mana – mana klinik perubatan merawat kecederaannya.
“Apa yang sedang kamu fikirkan?” soal Kak Ros
menyentakkanku. Aku menggeleng dan tersengih. Sekali lagi soalan ini
diajukannya kepadaku.
“Kamu tunggu
seseorang?” soal Kak Ros curiga.
“Taklah” sahutku.
“Mencurigakan
tingkahlaku kamu. Asyik pandang keluar saja” tutur Kak Ros lagi.
“Jangan – jangan
kamu sedang menunggu lelaki itu” serkap jarang Kak Ros sambil menatapku. Membutang
pandangan Kak Ros menatapku.
“Lelaki? Lelaki
mana pula ni?” soalku berlagak tenang. Tidak mudah mengakuinya. Sebetulnya aku
tidak menunggu kedatangan lelaki itu. Hanya aku sedang memikirkannya.
“Lelaki yang
belikan kamu t – shirt” tambah Kak Ros.
“Takde untungnya
saya memikirkan orang yang pelik Kak Ros. Langsung tak kenal, jauh sekali
pernah berbual – bual, tiba – tiba saja begitu baik hati belikan saya t –
shirt. Betul – betul membinggungkan” keluhku kurang senang dan sedikit rasa
terbeban.
“Akak yakin dan
sangat – sangat yakin lelaki itu sukakan kamu, Aunie. Mungkin juga dia dah
jatuh cinta pandang pertama pada kamu” tutur Kak Ros menyakatku.
“Mengarutlah Kak
Ros ni” keluhku menarik muka masam. Kak Ros sudah tergelak – gelak. Suka sangat
mengusikku.
“Akak nak ingatkan
kamu lagi agar berhati – hati. Tak tahu apa motifnya baik sangat dengan kamu.
Risau kalau dia berniat jahat dengan kamu. Sekarang ini ramai sangat orang
jahat. Setiap hari dah tak rasa selamat lagi” keluh Kak Ros serius. Kecut
hatiku mendengarkannya. Bicara Kak Ros memang berasas.
“Boleh jadi juga
orang yang dengki dengan keluarga kamu. Cuba memusnahkan usaha mama kamu dengan
mempergunakan kamu. Mula – mula buat kamu jatuh cinta. Kemudian gunakan kamu
untuk capai niat jahat mereka” ujar Kak Ros memanjangkan curiganya.
“Tak elok
prasangka buruk, Kak Ros” tegurku. Kak Ros tersenyum.
“Sekadar berhati –
hati. Tak salahkan. Lagipun pemuda misteri itu handsome juga” sahut Kak Ros tersenyum meleret lalu meninggalkan
aku kembali bersendirian di ruang kaunter ini. Kak Ros menyambung tugasnya
melayan para pelanggan yang berkunjung. Bersendirian di sini mengajak aku berfikir
semula tentang bicara Kak Ros. Apabila aku memikirkan logiknya memang
menakutkan. Kemunculan lelaki misteri itu sukar mahu difahami. Rasa sangsi yang
mendalam. Seseorang yang begitu asing dan berkelakuan aneh tiba – tiba sahaja
bermurah hati memberi hadiah.
‘Ya Allah.... aku
mohon perlindunganMu. Jauhi segala kejahatan daripada menimpa ke atasku dan
keluargaku, ke atas sekalian orang yang kusayangi yang berada di sekelilingku.
Engkau sucikanlah hati – hati hambaMu yang berniat jahat di muka bumi ini.
Amin’.
Aku serahkan
segala – galanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui. Selagi
manusia taat kepada Allah pasti tiada kejahatan akan berlaku di muka bumi ini.
Tiada sesiapa yang menzalami mahupun dizalami sesama sendiri. Lantas kupadamkan
syakwasangka kepada lelaki itu. Tidak mahu prasangka yang bukan – bukan.
No comments:
Post a Comment