Monday, 20 October 2014

NamaKu Bukan Flora 61



BAB 61

Aku menatap lama lima pasang kemeja milik Aqel yang tergantung di dalam almari. Dua hari lepas aku menseterikannya. Masih tidak berkurang. Bermakna sudah dua hari Aqel tidak balik ke rumah ini. Di tempat kerja juga aku tidak nampak kelibat Aqel. Merajuk sungguh dia. Kucapai beg galasku. Aku melangkah longlai ke dapur.
“Mari sarapan” ajak mak. Aku mengangguk. Kedengaran deruan air teh yang mak tuang ke dalam cawan. Bunyi sudu berlaga dengan pinggan. Betapa senyapnya ruang makan ini. Mak tidak banyak bersuara. Maka aku juga turut mendiamkan diri. Terasa mak masih terkilan dengan tindakanku.
“Mak... Lia nak pergi kerja sekarang” suaraku memecah kesepian. Mak mengangguk. Bingkas aku bangun lantas menyelami tangan mak.
“Hati – hati bawa motor” pesanan yang tidak pernah luput dari mulut mak. Aku mengangguk dengan rasa terharu. Walau apa keadaan sekalipun pesanan itu tidak pernah mak lupakan.

Di ruang legar lobi KDUT ini aku bertembung dengan Haqem.
“Awak nampak susah hati saja” komen Haqem menilikku. Aku tersenyum sekilas.
“Marilah ke pejabat saya bersembang - sembang” ajaknya. Laju aku menggeleng. Waktu bekerja bukan masa yang sesuai mahu berbual – bual hal yang tiada kaitan dengan bidang kerja. Kuasa Haqem tidak mengizinkan semua itu.
“Awak janganlah risau, Marnie pun ada di situ” jelas Haqem masih berusaha mengajakku. Aku geleng kepala lagi.
“Banyak kerja yang perlu saya siapkan” tuturku berbohong. Bukan masa yang sesuai aku hendak meluangkan masa bersama Haqem. Banyak sangat faktor halangan.
“Takpelah Haqem, saya pergi dulu” ujarku mengundur diri. Haqem mengangguk dan terpaksa membiarkan aku berlalu pergi.
Lebih lima minit aku termanggu – manggu sendirian melontar pandangan menatap dinding kaku di depanku. Terasa tepu otakku. Buntu yang memanjang. Hatiku gundah gelana. Rungsing. Bunyi mesej diterima di iPhoneku memecah keheningan ini. Lambat – lambat aku mengeluarkannya dari saku beg galasku setelah membiarkan seketika. Mesej daripada Marnie.
~ Assalamualaikum..... Encik Haqem nak jumpa awak sekarang ~ Aku melepaskan keluhan. Kuletakkan iPhone ini di atas meja. Tidak mengendahkan mesej itu. Berat hati mahu bertandang ke situ di saat keadaan berantakan sekarang. iPhoneku berbunyi lagi. Rasanya Marnie tidak akan berputus asa. Betapa dia begitu setia kepada Haqem. Marnie cuba melakukan yang terbaik buat pemuda itu.
 ~ Atas urusan kerja.....~ Kesinambungan mesej Marnie menyusul. Satu arahan yang tidak mungkin aku ingkari. Tiada pilihan selain bertindak atas arahan. Alangkah bagusnya kalau aku ada kuasa di syarikat besar ini. Sudah semestinya arahan ini akan aku abaikan sahaja.
Lambat – lambat aku bangun meninggalkan kerusi. Mengatur langkah berat ke pejabat Haqem. Sekerat jalan lankahku terhenti. Melontar pandangan ke arah pintu pejabat Haqem dan berfikir sejenak. Aku memalingkan tubuhku lalu mengubah haluan langkahku. Langkahku mati di muka pintu bilik ini. Terasa berdebar – debar. Mungkinkah Aqel ada di dalam bilik ini? Barangkali  juga Rania ada bersamanya. Bagaimana reaksi yang harus aku tunjukkan kepada mereka kalau itulah kenyataannya. Tidak sempat berfikir panjang, laju tanganku memusing tembol pintu. Pintu tidak berkunci. Kutolak perlahan – lahan daun pintu. Di mataku membayangkan Aqel dan Rania saling berpandangan mesra memadu kasih. Sepi. Bilik ini tiada penghuni. Aqel tidak berada di sini. Tiada sesiapa di bilik ini. Kesal berprasangka yang bukan – bukan. Namun ada kelegaan. Aku menutup kembali daun pintu.
Ke mana Aqel menghilang? Merajukkah dia? Kecewakah Aqel? Aku melepaskan keluhan kecilku. iPhoneku berbunyi. Nama Marnie terpamer di dada skrin.
“Assalamualaikum.... Mar” sapaku tidak bersemangat. Salamku dijawab.
“Awak di mana sekarang?” soal Marnie. Diam.
“Dalam perjalanan nak ke sana” jelasku terlewat seminit.
“Mak oiii.... jauhnya perjalanan awak... tak sampai – sampai lagi” sahut suara Marnie memerliku. Bicara Marnie berasas.  
“Sekejap lagi saya sampai” ujarku memberi jaminan sekali gus cuba menghalangnya daripada memanjangkan khutbahnya. Tidak bersemangat hendak mendengar Marnie berceramah hari ini.
“Cepat datang sini” arah Marnie tidak mahu menunggu lama.
“Okey.... Assalamualaikum.....” Aku menamatkan perbualan ini. Kuatur langkah kecil menghala ke pejabat Haqem. Menapak di muka pintu, kelihatan Marnie sedang leka menghadap skrin komputer. Banyak tugasan pejabat yang perlu diselesaikannya.
“Assalamualaikum....” sapaku menyedarkan Marnie akan kehadiranku di sini.
“Oh....awak dah sampai” tutur Marnie mesra menyambut kedatanganku. Manis senyumannya.
“Apa hal panggil saya datang sini?” soalku tidak mahu melengahkan masa.
“Amboi..... seriusnya awak!” usik Marnie. Aku tersenyum sekilas. Saat ini aku merasakan tidak patut aku bergembira mahupun menghabiskan hari ini dengan penuh keceriaan.
“Encik Haqem nak jumpa awak” sahut Marnie. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Mengapa ni... macam orang tak de mood saja” tutur Marnie mengulas tingkahlakuku. Aku membisu. Tiada ulasan untuk bicara Marnie.
“Saya tahulah Encik Aqel pergi jauh. Bersabarlah.... Dia bukan pergi lamapun” tutur Marnie tersengih mengusikku. Aku tersentak. Aqel pergi jauh? Ke mana dia pergi?
“Awak nampak terkejut saja” komen Marnie sangsi. Laju aku menggeleng. Tidak mahu Marnie fikir yang bukan – bukan, aku cuba berlagak biasa. Melawan kesangsianku. Tertanya – tanya Aqel di mana sekarang? Persis orang di sekelilingku cuba menyembunyikan Aqel daripada pengetahuanku. Interkom di atas meja Marnie berbunyi. Ada arahan bakal diterima. Pasti Haqem yang berhubung dengannya. Aku hanya menjadi pemerhati.
“Ya.... Encik Haqem, Lia dah ada di sini” Tepat telaahanku. Haqem sedang berbual dengan Marnie.
“Okey....” Perbualan Marnie dengan Haqem tamat. Marnie menatapku. Aku sudah bersedia menerima arahan Haqem yang bakal Marnie sampaikan.
“Encik Haqem nak jumpa awak sekarang” jelas Marnie tersenyum. Aku mengangguk. Perkara yang sudah terlintas di fikiranku. Kutinggalkan Marnie. Aku mengatur langkah ke arah pejabat Haqem. Daun pintu kuketuk.
“Masuk Lia....” arah suara Haqem yang sudah dapat meneka akan kedatanganku ini. Kukuak daun pintu seluasnya. Membiarkan sahaja pintu ini ternganga kerana tidak mahu mengundang fitnah. Haqem sedang melontar pandangannya ke sini. Seketika beradu pandangan dengan Haqem. Terasa tidak selesa.
“Sila duduk Lia” jemput suara Haqem lembut. Aku melabuhkan duduk di depan Haqem.
“Cuba selesakan diri awak” tutur Haqem lagi. Haqem persis menyedari situasiku tika ini. Aku menyandarkan tubuhku di kerusi empuk ini. Berada di hadapan Haqem, aku mesti bersemangat. Haqem menyambung kerjanya. Aku hanya duduk terpaku di depan Haqem sambil memerhati gerak lakunya. Dia persis tidak mengendahkan kewujudanku di sini. Beberapa minit berlalu, keadaan tetap sama. Haqem masih membisu dan fokus pada kerjanya, sementara aku hanya menjadi pemerhati.
“Kalau takde perkara nak bincangkan saya pergi dulu” suaraku memecah keheningan ini. Haqem menatapku. Serius aku melawan pandangan Haqem.
“Saya nak awak duduk di sini tenangkan diri” tutur Haqem. Tajam pandanganku menatap Haqem. Kurang senang mendengar dia berbicara sedemikian.
“Saya datang sini atas urusan kerja” tegasku mengungkit mesej yang dihantar Marnie. Senyap. Haqem tidak memberikan sebarang reaksi pada bicaraku.
“Kita tamatkan saja pertemuan ini” tegasku lagi seraya cuba bangkit dari kerusi ini.
“Tunggu.... Kalau Aqel lepaskan awak.... awak mesti kembali pada saya” suara Haqem serius menerjah pendengaranku. Kupandang Haqem lantas kumatikan niatku hendak bangkit dari kerusi ini.
“Awak mesti kembali pada saya” ulang Haqem.
“Awak cakap apa ni?” soalku bingung.
“Aqel kata awak masih ada perasaan pada saya” tutur Haqem buat aku tersentak.
“Aqel cakap macam itu dengan awak?” soalku meminta kepastian. Haqem mengangguk.
“Awak dan Aqel dah ada perbincangan?” soalku lagi. Kali ini Haqem tidak memberikan reaksi. Dia membisu. Aku mendengus. Geram dan sakit hati bergabung menjadi satu.
“Saya bukan barang urus niaga awak dengan Aqel. Berhenti memperkatakan tentang saya. Tiada sesiapa yang layak menentukan hala tuju hidup saya. Hati saya adalah milik saya. Saya tak mahu awak ambil tahu tentang saya” tegasku dengan perasaan yang membara.
“Saya tak bermaksud nak sakiti hati awak” tingkah Haqem serba salah.
“Tak pasti sama ada saya atau awak yang buat Aqel selalu salah faham. Tapi saya benar ­– benar berharap awak tak akan mencampuri urusan saya dengan Aqel lagi” tegasku. Haqem mengetap bibir. Barangkali terhukum dengan bicaraku sedemikian.
“Tak adil awak menghukum Haqem sedemikian” bentak suara perempuan mencelah. Serentak aku dan Haqem melontar pandangan ke muka pintu.
“Kak Har....” perlahan – lahan sebaris nama terkeluar dari mulut Haqem. Haqem juga nampak tersentak dengan kemunculan mengejut perempuan ini. Kuamati seraut wajah putih bersih ini. Wajah yang tidak asing pada penglihatan mataku. Kupandang Haqem. Wajahnya seiras wajah Haqem. Ya mirip juga dengan wajah Datin Sofea. Harianie. Nama ini yang disebut oleh Kak Ida. Memang aku pernah bertemu dengannya di Salon Anggun. Dialah kakak kandung Haqem yang juga sahabat karib Kak Ida. Kami pernah saling bertukar senyuman.
“Kekayaan tak menjamin kebahagiaan” sayup – sayup suara Kak Ida terngiang – ngiang di telingaku. Perempuan ini mengamati wajahku. Barangkali juga cuba memutar ingatannya mengimbas pertemuaan lalu kami.
“Rupa – rupanya awaklah Lia” tuturnya seakan turut terkejut dipertemukan denganku. Aku mengangguk. Tidak mahu menafikannya. Andai dia juga seperti Datin Sofea tidak dapat menerima baik kewujudanku, aku langsung tidak akan terkejut. Mungkin sudah ditakdirkan aku menjadi musuh tradisi keluarga Datin Sofea.
“Kita pernah jumpa di Salon Anggunkan?” soalnya meminta kepastian. Aku mengangguk. Haqem terkebil – kebil menatap kami. Barangkali dia tidak menyangka aku pernah dipertemukan dengan kakaknya.
“Awak lapang sekarang?” soalnya. Aku mengangguk.
“Saya nak berbual – bual dengan awak” tuturnya lalu menarik tanganku bangkit dari kerusi ini. Terkedu aku diperlakukan sebegini. Namun aku menurut sahaja. Haqem tercengang – cengang. Namun tidak mampu menghalang tindakan kakaknya ini.
“Kak Har nak bawa Lia pergi mana?” soal Haqem.
“Nanti akak jumpa kamu” ujarnya lalu menarik tanganku beredar meninggalkan Haqem bersendirian di bilik ini. Tangannya masih memegang tanganku persis tidak mahu aku terlepas dan melarikan diri daripadanya. Namun sentuhan tangannya lembut sahaja. Aku yakin dia tidak akan berlaku kasar kepadaku. Marnie terkebil – kebil melihat aku diperlakukan sedemikian. Pasti mengundang kehairanannya.
“Tak perlu call Aqel, saya takkan apa – apakan isterinya” ujar Harainie meninggalkan pesanan kepada Marnie. Dia tersenyum.
“Aaa.....” Tampak Marnie terlopong. Kupandang Harianie. Dia mengetahui hubunganku dengan Aqel? Sudah pasti dia mengikuti perbualanku dengan Kak Ida tempoh hari. Apa pandangannya terhadapku? Mesti dia fikir aku perempuan yang jahat, curang kepada suami dan tidak tahu menjaga maruah diri. Ada suami tetapi masih berhubung dengan bekas kekasih. Oh..... kunjunganku ke pejabat Haqem bukan kemahuanku! Melangkah ke bahagian anjung bangunan ini, barulah Harianie melepaskan tanganku.
“Sila duduk, Lia” arahnya. Suara Harianie masih bernada lembut. Aku patuh sahaja lantas melabuhkan duduk di kerusi batu marmar ini bertentangan dengan nya. Pandangan matanya terikat di wajahku buat aku kurang selesa. Tidak suka diperhatikan sedalamnya.
“Awak cantik.....” pujinya sambil tersenyum sendiri. Aku masih berdiam diri.
“Kasihan Haqem.....” Harianie masih berbicara sendiri.
“Kasihan sebab awak tinggalkannya” tuturnya selamba buat dahiku berkerut. Sewenangnya dia menuduhku sedemikian. Nampak sangat aku ini kejam.
Sorry.... Sebenarnya bukan salah awakpun. Haqem terlalu lemah sehingga tak mampu mempertahankan cintanya” Kali ini dia mengutuk Haqem pula.
“Awak tak mahu berbual – bual dengan saya?” soalnya sambil menatapku. Aku geleng kepala. Menyangkal tanggapannya itu.
“Tak usah takut pada saya. Saya bukan seperti Datin Sofea yang garang itu” ujarnya sambil tersenyum. Namun bicaranya ini cukup mendamaikan perasaanku. Harianie melontar pandangannya jauh – jauh. Menyebut nama Datin Sofea mungkin membangkitkan kesedihan di hatinya. Pasti ada cerita duka yang telah berlaku antara Datin Sofea dengan dirinya.
“Memang patut awak pilih Aqel” tutur Harianie sambil menatapku.
“Datin Sofea bukan lawan awak, jauh sekali tunduk pada kemahuan Haqem. Kasihan Haqemkan...” keluh Harianie lantas menunduk memandang meja. Hatinya tersentuh. Aku terdiam panjang.
“Andai ditakdirkan wujud peluang ketiga untuk awak bersama Haqem, adakah awak akan menerima Haqem semula? Selama ini awak langsung tak tertarik pada Aqel? Bolehkah awak beri jaminan yang awak takkan jatuh cinta kepada Aqel?” bertalu – talu persoalan diajukan kepadaku. 
Aku terkedu. Harianie menatapku.
“Apa niat puan bertanyakan soalan – soalan begini?” tanyaku semula.
“Panggil saya Kak Har. Walaupun kedengaran tak logik, namun saya mahu berjuang bersama awak” tutur Harianie bersungguh – sungguh.
“Berjuang?” Dahiku berkerut. Adakah Harianie maksudkah berjuang bersamaku menentang Datin Sofea? Berjuang untuk bersama Haqem semula? Karut.
“Berjuang mendalami kata hati awak, siapa sebenarnya pilihan awak. Haqem atau Aqel?” tegas Harianie tanpa berselindung.
“Saya isteri Aqel” sahutku menyedarkan Harianie bahawa perjuangan itu tidak diperlukan. Kisah hidupku sudah termaktub begini. Bercinta bertahun – tahun dengan Haqem dan bernikah dengan Aqel dalam sekilip mata sahaja. Kisah yang sukar diterima oleh kebanyakan orang termasuklah Haqem. Haqem masih mengharapkan kesinambungan cintanya denganku.
“Menjadi isteri Aqel tak semesti hati awak sepenuhnya milik Aqel. Bukan mudah nak mencintai lelaki persis abang kandung sendiri yang sentiasa mahu melindungi” tutur Harianie buat aku terpukul. Memang sejak awal perkenalan kami, Aqel sentiasa mahu melindungiku. Perlindungan seorang abang kepada adiknya. Itulah tanggapanku tatkala Aqel sentiasa menjadi penyelamatku. Kebetulan juga Flora masih bertakhta di hati Aqel.
“Mengapa Kak Har mahu berjuang bersama saya?” soalku keliru. Bukan mudah aku hendak menerima kebaikan orang lain. Harus berhati – hati dan berwaspada. Harianie tersenyum.
“Aqel seperti adik saya sendiri. Saya takkan berpihak kepada siapa. Kalau Aqel boleh jadi suami yang baik dan boleh membahagiakan awak, apa salahnya awak cuba jadi isteri yang terbaik buat Aqel. Namun kalau Aqel ada orang lain mengapa harus diteruskan hubungan ini? Awak berhak hidup bahagia. Jika ditakdirkan awak kembali bersama Haqem, saya berjanji takkan biarkan awak disakiti oleh mama dan Bella” tutur Harianie bersungguh – sungguh. Wajah Rania menerpa di ruang mataku. Nama Flora kedengaran di telingaku.
“Saya bersimpati pada awak dan pada Haqem. Dalam masa yang sama saya tak mahu Aqel menjadi mangsa tersepit antara awak dengan Haqem. Mereka seperti adik beradik. Saya tak nak tengok mereka bersengketa” luah Harianie sambil mempamerkan wajah mendungnya.
“Kak Har nak saya kembali bersama Haqem?” soalku cuba mencungkil keinginan hatinya. Harianie menggeleng dan tersenyum.
“Awak yang lebih tahu siapa sebenarnya di hati awak” tuturnya menyahut pertanyaanku. Sungguh rasional dirinya.
“Saya tinggalkan awak sendirian di sini. Ambillah masa buat musabah diri” ujar Harianie lalu melangkah meninggalkan aku bersendirian di anjung ini. Lama aku termangu di sini. Berfikir dan berfikir dan terus berfikir. Namun tiada jawapan yang pasti kutemui. Wajah Rania dan nama Flora sesekali singgah di benakku. Terlintas di fikiranku, aku menjadi isteri kepada lelaki yang merupakan anak yang taat dan patuh pada kemahuan keluarga dan dalam masa yang sama setia kepada kekasih hatinya. Kupejamkan mataku. Mungkinkah Aqel masih menganggapku persis adik sepupunya yang mahu terus dilindunginya? Terlalu sukar hendak memahami Aqel.
“Assalamualaikum ..... mak. Malam ini Lia nak tidur rumah Mak Long .... nak temankannya. Lia.... nak minta maaf kepada Mak Long” ujarku menyusun bicara dengan perasaan bersalah yang menebal.
“Alhamdulillah. Pergilah tidur di sana” arah mak merestui tindakanku. Aku menghela nafas lega. Tidak mampu aku memikul bebanan rasa bersalah ini. Aku harus bersemuka dengan Mak Long dan Aqel. Betapa aku telah menguris perasaan Mak Long yang suci murni itu. Perasaan Mak Long pasti terpukul mendengar bicaraku tempoh hari. Aku yakin Aqel sedang murka kepadaku.
Aku mendongak hamparan langit yang tampak gelap. Menampakkan ciri – ciri  hujan akan mencurah pada bila – bila masa sahaja. Kupandang motor di laman parkir. Risiko disimbah air hujan memang tinggi.
“Biar saya hantar awak balik” satu suara berbicara denganku. Aku berpaling. Haqem sudah berdiri di belakangku.
“ Saya boleh balik sendiri” balasku dingin.
“Sekejap lagi hujan turun. Awak akan demam kalau terkena air hujan” jelas Haqem begitu prihatin. Aku menggeleng.
“Tak manis dipandangan mata orang kalau kita berdua bersembang begini. Saya pergi dulu. Assalamualaikum....” Tanpa memandang wajah Haqem, aku beredar dari situ. Bergegas ke laman parkir. Cuba mengelak bertembung dengan hujan dalam perjalanan balik ini. Mudah – mudahan aku tidak dibasahi titisan hujan.
Guruh berdentum di langit. Kilat memancar – mancar. Tiba – tiba sahaja hujan turun dengan lebatnya menyimbah muka bumi ini. Tidak dapat dielak lagi, aku hanya membiarkan diriku bermandikan air hujan. Hanya mampu bertawakal agar Allah sentiasa melindungiku. Alhamdulillah... aku selamat menapak di depan pintu banglo Mak Long. Terketar – ketar jari jemariku tatkala telunjukku menekan loceng pintu. Gigiku berlaga – laga menahan kedinginan hujan. Daun pintu terkuak.
“Assalamualaikum.... Mak Long” sapaku dengan senyuman.
“Ya Allah....habis basah.... Lia bermandikan hujan ni” ujar Mak Long cemas. Laju sahaja tangan Mak Long menarik tanganku masuk ke dalam banglo.
“Habis basah nanti rumah Mak Long ni” tuturku menyedarkannya.
“Pedulikan Lia. Yang lebih penting Lia” tutur Mak Long buat hatiku tersentuh. Kasih sayang Mak Long tidak pernah berkurangan biarpun aku telah mengecewakannya. Persis anak kecil yang manja, Mak Long mengeringkan rambutku dengan tuala. Mengelap tubuhku dan membuatkan air milo panas buatku. Layanan yang begitu istimewa.
“Tak payah balik. Tidur di sini saja” tutur Mak Long. Aku mengangguk.
“Memang Lia nak tidur di sini malam ni” sahutku. Mak Long tersenyum suka.
“Mak Long....” suaraku terhenti. Kupandang wajah Mak Long. Wajah yang begitu mendamaikan perasaanku.
“Lia minta maaf. Lia bersalah pada Mak Long, mak dan Aqel” tuturku perlahan. Anak mataku berkaca. Mak Long geleng kepala.
“Kemudian kita bincangkan perkara itu. Lia pergilah tukar pakaian di bilik. Banyak baju – baju Aqel di dalam almari itu” tutur Mak Long menyedarkan aku bahawa aku jarang sangat bertandang ke sini. Sehelai pakaian milikku pun tidak tersimpan di sini. Nampak sangat aku bukan menantu yang baik. Aku akur dengan bicara Mak Long. Kuatur langkah ke bilik Aqel. Malam ini aku akan tidur di bilik ini. Melangkah masuk ke bilik, semerbak wangian dunhill memenuhi rongga hidungku. Persis Aqel sedang berdiri di sebelahku. Aqel memang gemar haruman.
“Lia pilihlah baju mana yang berkenan dan sesuai dengan Lia” tutur Mak Long mewakili Aqel memberi keizinan.  Yang pastinya Mak Long lebih baik hati dengan mudah meminjamkan aku baju anak mudanya itu. Berbanding Aqel, mungkin menerokai barang – barang miliknya di bilik ini pun tidak akan dibenarkan. Mak Long masih terpacak di muka pintu sedang memerhatikanku. Berhati – hati aku menolak daun pintu almari di sebelah kanan ini. Ada tiga buah almari besar yang berada di bilik ini. Banyak sungguh barang Aqel.
“Semua pakaian dalam almari itu adalah pakaian kesayangan Aqel yang dijaga elok – elok” jelas Mak Long. Tanganku terhenti. Tidak jadi menyelak – nyelak barisan baju T yang tergantung di sini. Aku berpaling ke arah Mak Long.
“Pakai saja baju yang ada di situ. Hyeon takkan marah pun” ujar Mak Long memberi jaminan. Bimbang juga kalau tiba – tiba sahaja Aqel muncul lalu memaksaku memulangkan bajunya. Niaya juga. Mengimbas perkara lalu, aku pernah meminta Aqel menanggalkan baju T teady bearku yang dipinjamkan mak kepadanya. Tidak mustahil juga Aqel akan bertindak perkara yang sama.
“Pakailah baju yang padan dengan Lia” ulang Mak Long. Aku hanya mengangguk sambil meneruskan pencarian. Tanganku yang giat menyelak – nyelak barisan baju T yang tergantung terus terhenti. Baju T merah teady bearku ada di sini. Laju sahaja tanganku mengeluarkannya. Baju inilah yang paling padan dan sesuai denganku.
“Itu t-shirt yang paling Hyeon sayang dan suka” Laju aku berpaling menatap Mak Long. Mak Long tersenyum. Kenyataan Mak Long menyentakkanku. Betulkah baju T merah teady bear yang kubeli di pasar malam dengan harga RM 15 ini telah menjadi baju kesayangan Aqel? Macam tidak percaya sahaja aku mendengar bicara Mak Long ini.
“Lia yang beri t-shirt tu kan...” teka Mak Long. Aku mengangguk.
“Pergilah mandi dan berehat. Selepas solat nanti kita makan sama – sama” ujar Mak Long masih dengan senyuman.
“Baiklah Mak Long” jawabku akur. Mak Long meninggalkan aku sendirian di bilik ini. Aku kembali menerokai isi almari ini. Kucapai seluar tidur Aqel dan berusaha mencari tuala mandi. Pencarian beralih pada almari kedua dan ketiga. Namun tuala mandi yang kucari tidak kutemui. Kupandang sekeliling bilik ini. Tiada almari lain mahupun loker yang boleh diterokai lagi bagi meneruskan misi pencarian. Pandanganku menghala ke arah tuala yang tersidai kemas di rak penyidai aluminium itu. Pasti itu tuala Aqel. Perlukah aku pinjam tuala itu? Aku tidak pernah berkongsi tuala dengan sesiapapun. Tidak tega melakukannya apatah lagi berkongsi tuala dengan seorang lelaki. Ngeri hendak berimaginasi cara penggunaannya. Masih mahu membuat pertimbangan. Tubuhku menggigil kesejukan. Mula bersin beberapa kali. Ada kebimbangan andai aku diserang demam selsema kerana aku algerlik dengan air hujan.
Aku melangkah ke arah rak penyidai aluminium ini. Laju sahaja tanganku mencapai tuala yang tersidai. Tidak mahu berfikir lama lagi kerana aku perlu mandi dan membersihkan diri dari simbahan air hujan. Lega rasanya tatkala melihat berus gigiku masih tersimpan di dalam bekas comel itu. Usai memberus gigi kuletakkan kembali berus gigi ini di dalam bekas comel ini elok – elok. Memastikan kekemasan dan kerapian bilik air ini memandangkan tuannya telah menjaganya dengan baik. Berada di bawah curahan air suam begitu menyegarkan. Usai mandi kucapai tuala yang tergantung. Baru sahaja aku hendak meletakkan tuala ini ke mukaku, gerakan tanganku terhenti. Teringat lagi ini adalah tuala yang Aqel pakai. Berat hatiku hendak berkongsi tuala dengan Aqel. Bimbang ada bau yang kurang menyenangkan.
Terpacak lama – lama begini terasa dingin kembali. Aku selalu tiada pilihan lain. Kupejamkan mataku. Perlahan – lahan aku mendaratkan tuala ini di atas kepala dan cuba menghentikan pernafasanku seketika. Mataku terbuka luas. Imaginasiku lenyap. Haruman wangi yang selalu Aqel pakai melekat pada tuala ini. Haruman yang menyenangkanku. Tanpa perasaan was – was lagi aku terus menggunakan tuala ini semaksimumnya.      
Seperti yang dijanjikan, usai solat aku dan Mak Long menikmati hidangan makan malam. Hanya kami berdua sahaja. Aqel masih tidak kuketahui di mana dia berada sekarang. Segan pula hendak bertanyakan kepada Mak Long setelah apa yang aku lakukan tempoh hari. Namun aku berharap juga kalau Mak Long mahu pun mak menyatakan Aqel di mana sekarang. Aku bersin lagi.
“Maaf.... Mak Long” tuturku sambil mengesat hidung.
“Lia kena demam selsema ni” ujar Mak Long. Aku hanya senyum.
“Alergik dengan air hujan” jelasku.
“Tahu.... sebab dulu Lia pernah demam bila terkena air hujan. Masa tu mama takde di rumah” tutur Mak Long mengimbau peristiwa lalu.
“Ya.... Aqellah yang jaga dan rawat Lia” tuturku perlahan. Terbayang di mataku kesungguhan Aqel merawatku. Kagum kepada Aqel kerana lebih tahu tentang rawatan selsema secara tradisional. Ilmu yang Mak Long perturunkan kepadanya.
“Lia... rindu Aqel?” suara Mak Long bertanya. Aku tersentak. Kutatap Mak Long yang sedang tersenyum menatapku.
“Mari makan....” arah Mak Long sambil meletakkan nasi di pingganku. Aku dan Mak Long menikmati hidangan makan malam penuh   
Usai menikmati hidangan malam, aku dan Mak Long bergerak ke ruang tamu. Meluangkan masa bersama Mak Long menonton televisyen. Mak Long tersenyum – senyum menatapku.
“Hyeon pernah juga pakai suit tidur macam ni. Memang sesuai dengan Lia” puji Mak Long. Aku tersenyum sekilas. Kutatap hujang seluar tidur ini. Terpaksa dilipat beberapa kali kerana ketinggianku dengan Aqel berbeza.
“Mak Long jangan cakap pada Aqel yang Lia pakai baju dan seluarnya ye....” pintaku. Kening Mak Long terangkat. Hairan dengan permintaanku ini.
“Segan....” tambahku. Mak Long tersenyum. Nampak sangat hubunganku dengan Aqel ada sempadan. Aku yakin perkara ini sudah tidak mengundang kehairanan Mak Long.
“Boleh mama tanya sesuatu?” soal Mak Long. Aku mengangguk. Ada debaran kurasakan. Seketika bertentangan mata dengan Aqel.
“Lia langsung takde hati pada Hyeon?” soal Mak Long mengunci mulutku. Mak Long menatapku sedalamnya. Jiwaku bergentar. Aku terdiam.
“Maafkan Mak Long sebab buatkan Lia terpaksa bernikah dengan Hyeon. Mak Long rasa bersalah tengok Lia tak bahagia bersama Hyeon” tutur Mak Long meruntun jiwaku. Aku terkedu. Tidak sangka bicara sebegini akan keluar dari mulut Mak Long. Wajah Mak Long mendung.
“Mesti Lia bersedih selama ni” tutur Mak Long sayu. Aku menggeleng. Anak mataku berkaca. Bila – bila masa sahaja air mataku menitis ke pipi. Tiba – tiba sahaja hatiku rawan.
“Hyeon ada juga bincang perkara ini dengan mama. Kita tunggu Hyeon balik. Mungkin dia ada cara terbaik nak selesaikan masalah ini. Mama harap Lia masih mampu bertahan lagi” tutur Mak Long sambil menggenggam tanganku lembut. Air mataku menitis ke pipi. Laju sahaja tanganku mengesatnya. Rasa bersalah yang menggunung kepada Mak Long. Pasti perasaannya hancur lebur sekarang.
“Maafkan Lia, Mak Long” pintaku. Aku terus memeluk tubuh Mak Long lalu menangis teresak – esak di bahu Mak Long. Lembut tangan Mak Long mengusap – usap belakangku. 
“Bukan salah Lia” tingkah Mak Long menggeleng kepala.
“Mama serahkan perkara ini pada Lia dan Hyeon. Ambil jalan penyelesaian yang terbaik. Biar Hyeon mahupun Lia akan bahagia” tutur Mak Long lembut menusuk hatiku. Murninya hati Mak Long.
“Hey.... badan Lia panas ni. Lia dah kena demam selsema” suara Mak Long cemas. Wajahku ditatap. Aku hanya mampu geleng kepala. Cuba menafikan bicara Mak Long kerana tidak mahu Mak Long bimbang.
“Maaf Mak Long....” Aku bersin lagi.
“Biar mama ambil ubat untuk Lia. Tunggu di sini tau” arah Mak Long. Aku terkebil – kebil menatap Mak Long yang terkocoh – kocoh ke dapur. Mak Long muncul semula bersama segelas air dan ubat.
“Telan pil selsema ni” arah Mak Long sambil menyuakan air dan ubat itu.
“Terima kasih Mak Long” sempat aku menyatakan penghargaanku sebelum meneguk air bersama telanan pil ini.
“Lepas nie pergi berehat di bilik. Pil selsema ini akan buat Lia mengantuk” jelas Mak Long prihatin.
“Lia nak temankan Mak Long lagi.... nak berbual – bual” sahutku. Mak Long tersenyum.
“Banyak masa lagi Lia boleh berbual – bual dengan mama. Sekarang Lia perlu berehat” tutur Mak Long.
“Baiklah Mak Long” jawabku lemah sekali gus mengalah pada permintaan Mak Long. Mak Long tersenyum.
“Lia masuk bilik dulu, Mak Long” tuturku meminta diri. Mak Long mengangguk. Aku mengatur langkah longlai mendaki anak tangga dengan bersin yang tidak sudah – sudah. Aku berbaring di katil. Telapak tanganku mendarat di dahiku. Panas. Dalam masa yang sama terasa kedinginan. Pandanganku mula pusing – pusing. Laju sahaja tanganku menarik selimut menyelubungi tubuhku. Malang sungguh. Banyak kali menyusahkan Mak Long. Bersin dan menguap bersilih ganti. Sah aku telah diserang demam selsema. Aku ambil keputusan untuk melelapkan mata.
Kuangkat kelopak mataku. Laju sahaja tanganku mendarat pada dahiku. Terasa lembap. Kuangkat. Tuala kecil diletakkan di dahiku. Laju aku berpaling. Terkedu melihat Aqel sedang tidur lena di tepi katil dengan kepala yang terlentok di atas tilam. Sungguh lena. Barangkali semalaman bersekang mata menjagaku. Kasihan Aqel. Tersentuh hatiku. Tiba – tiba sahaja Aqel bergerak. Laju aku memejamkan mataku kembali lantas memakukan diri. Berpura – pura tidur. Tangan Aqel menyentuh dahiku. Sudah pasti mahu mempastikan keadaan diriku. Kedengaran bunyi gerakan kerusi. Sedikit kurenggangkan kelopak mataku. Aqel sedang melangkah ke muka pintu. Aku melirik jam di atas meja solek. Tepat pukul 5.00 pagi. Awal Aqel terjaga hujung minggu ini. Memandangkan aku tidak boleh solat, kusambung tidurku kembali.
Rongga hidungku menghidu bau wangi semerbak yang menyelerakan sekali gus membangkitkan rasa lapar. Mata kubuka. Ada hidangan di atas meja kecil di sisi katil di sebelahku. Aku bangkit dari perbaringan. Kuangkat penutup bekas ini. Sup ayam cendawan yang masih panas – panas. Rasa tidak sabar pula aku hendak merasanya.
“Lia dah bangun.....” Aku berpaling ke muka pintu. Mak Long melangkah masuk dengan senyuman yang menghiasi bibirnya.
“Ya Mak Long” sahutku. Mak Long duduk di birai katil sambil merenungku.
“Dah okey?” soal Mak Long prihatin. Aku mengangguk.
“Makanlah sup ni.... Aqel yang reneh sup ni untuk Lia” ujar Mak Long menyampaikan informasi. Kutatap Mak Long. Mohon penjelasan lanjut mengapa kelibat Aqel tidak kelihatan di sini. Perlukah dia ke pejabat pada hari cuti bekerja ini?
“Semalam dia call.... jadi mama ceritalah Lia ada di sini. Cakap dengannya juga Lia terkena demam selsema. Terkejut juga mama tengok tengah – tengah malam Aqel muncul” cerita Mak Long tersenyum. Rawan. Sungguh hatiku tersentuh mendengar cerita Mak Long ini.
“Aqel dah balik ke Penang awal pagi tadi. Seminar perniagaan itu belum habis lagi” jelas Mak Long menyentakkanku. Aku terkedu. Menambah kesayuan hatiku. Perjalanan yang panjang untuk Aqel harungi. Aqel balik semata – mata mahu menjagaku. Kutatap wajah Mak Long. Mungkin juga Mak Long yang mengarahkannya balik ke sini. Sebagai anak yang taat sudah semesti Aqel akan patuh pada arahan Mak Long. Sama sekali dia tidak akan mengabaikan permintaan Mak Long sekali gus menambah rasa bersalahku. Aqel pasti terpaksa melakukannya. 
“Makanlah sup ni sekarang” tutur Mak Long lantas mencapai bekas yang berisi sup dan mengambil sudu lalu menyerahkan kepadaku. Aku menyambutnya.
“Terima kasih Mak Long” tuturku.
“Hati – hati panas ni” ujar Mak Long memberi peringatan. Aku mengangguk. Bismillahirahmanirahim. Aku menyedut perlahan – lahan kuah sup. Ohh...., sungguh menyegarkan!
“Sedap tak?”soal Mak Long tersenyum simpul menatapku. Aku mengangguk.
“Sup yang Aqel reneh lebih sedap dari yang mama buat” tutur Mak Long sambil tersenyum. Aku menggeleng.
“Sama – sama sedap” ujarku membalas bicara Mak Long. Mak Long tersenyum lagi. Sudah semestinya Aqel mewarisi kepakaran Mak Long. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak pada nasi.  
“Lia habiskanlah sup ni dan berehat. Mama ada kerja nak buat di luar tu” tutur Mak Long. Aku mengangguk. Mak Long bangun. Diusap – usap kepalaku persis memperlakukan aku seperti anak kecil. Yang pastinya kasih Mak Long tidak pernah surut.
“Jangan salahkan Aqel ye” tutur Mak Long menyentakkanku. Kupandang Mak Long.  Sungguh aku tidak mengerti pada bicaranya itu.
   

No comments:

Post a Comment