BAB 60
Aku menatap hanger kosong tersangkut di depan pintu almari. Tidak silap aku sebelum pergi tadi baju Melayu Aqel ada tergantung di situ. Ke mana pergi baju Melayu itu? Mungkinkah Aqel ada balik ke sini tadi? Ke mana pula Aqel pergi dengan persalinan baju Melayu itu sedangkan dia tidak muncul di majlis pertunangan Nana? Aku membiarkan kemusykilan menghantuiku.
Sejam sudah aku sampai di rumah. Mak Long sudah balik
dijemput oleh pemandunya. Mak mungkin berehat di bilik. Bersungguh – sungguh
dia mahu menemani aku di sini selagi Aqel tidak pulang. Mujur juga mak tidak
membantah tatkala aku ingin bersendirian. Sebetulnya aku tiada kekuatan menatap
wajah mak tika ini. Tidak sudah – sudah aku menyalahkan diri. Sungguh aku
terhukum dengan keterujaan mak dan Mak Long hendak menimang cucu. Sesuatu yang
tidak mampu aku penuhi sekarang. Aku dan Aqel bukan seperti pasangan suami
isteri yang lain. Berkongsi bilik dan katil tidak semestinya bersatu. Hubunganku
dengan Aqel agak terbatas.
Aqel belum muncul lagi walaupun Mak Long sudah
mengarahkannya agar segera balik. Kononnya aku tidak sihat. Kenyataan Mak Long
tidak berbekas di hati Aqel. Terbukti Aqel tidak kisah tentang keadaanku dan
ada perkara yang lebih penting dariku. Buat apa Aqel kisah tentang kesihatanku
kerana dia tahu salah faham mak dan Mak Long yang menghangatkan keadaan. Entah
ke mana Aqel menghilangkan diri. Mungkin juga masih menemani kawannya.
Perlahan – lahan mata kubuka. Aqel tersandar di sofa
sambil melontar pandangan ke arahku sedang memerhatikan aku. Bingkas aku
bangun. Tidak suka Aqel melihat dalam keadaanku begini. Seketika kami saling
berpandangan. Laju aku mengalih mukaku lantas melontar pandangan ke arah
almari. Baju Melayu Aqel sudah tergantung di situ. Hanger itu tidak kosong
lagi.
“Mama kata awak tak sihat?” suara Aqel memecah kesepian
ini. Aku menatap Aqel dengan pandangan kosong. Pertanyaannya kubiarkan berlalu.
“Awak dah sihat?”
soal Aqel menunjukkan keprihatinan dirinya. Aku masih membisu. Senyap. Aqel
bagaikan sudah kehilangan kata – kata
mahu berbicara denganku. Bingkas aku bangkit dari katil lalu melangkah ke bilik
air mahu mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, Aqel masih duduk di sofa.
Kucapai telekung dan sejadah lalu membentangkan sejadah ini mengarah ke arah
kiblat. Aku terus sahaja solat asar tanpa menghiraukan Aqel. Usai solat aku
kembali meletakkan telengkung dan sejadah di tempatnya tadi. Aqel masih duduk
di sofa itu. Terasa pandangan matanya mengekori setiap pergerakanku di bilik
ini.
“Awak marahkan sayakah?” suara Aqel memecah kesepian. Aku
masih tidak bersuara.
“Awak marah sebab saya tak datang ke majlis pertunangan
Nana bersama awak? Atau awak marah sebab saya balik lewat?” Dua persoalan
diajukan kepadaku. Masih senyap.
“Cakaplah..... saya nak berbual – bual dengan awak” pinta
Aqel serius menatapku. Mungkin sudah bosan dengan diamku.
“Awak dah tak pandai cakapkah?” soal Aqel baran. Aku
mendengus. Hatiku terbakar.
“Malas saya nak cakap dengan orang munafik ini” tuturku
melempiaskan ketidakpuasan hatiku.
“Awak panggil saya munafik?” soal Aqel dengan matanya
yang sedikit sepet terbuka luas. Terbakar hatinya mendengar dirinya dipanggil
sedemikian.
“Orang yang tak tepati janji adalah munafik. Suka
berbohong!” tegasku mengulangi kenyataanku tadi. Ini bukan kali pertama Aqel
berbohong kepadaku, malah Aqel telah melakukan pembohongan paling besar. Dia
menipuku selama ini. Ikatan yang terjalin antara aku dengannya juga berlandaskan
penipuan. Bijak sungguh Aqel mempermainkan aku.
“Saya dah minta maaf tadi” ujar Aqel tidak mahu dirinya
dipersalahkan.
“Semudah itu awak mungkir janji. Cukupkah hanya dengan
kata maaf?” soalku sinis. Rasa mendidih – didih sahaja perasaanku saat ini.
Sakit hati sebab sikap Aqel yang tidak bertanggungjawab ini. Gemar menabur kata
– kata kosong.
“Habis awak nak saya buat apa?” soal Aqel. Lirih sahaja
suaranya.
“Awak sepatutnya tak membiarkan saya menunggu awak lama.
Kalau awak tak dapat pergi, awak telefon saya atau sekurang – kurangnya hantar
mesej bukan senyap begitu saja. Saya tak kisah awak nak keluar dengan kawan
awak seberapa lama awak mahu, tapi jangan sesekali bohongi saya” tegasku
melempiaskan perasaan terkilanku. Sebetulnya kejadian hari ini hanyalah perkara
kecil sahaja. Aqel tidak bersalahpun. Perkara yang berlaku di luar kawalannya.
Aku marah saat ini sebab teringat pada pembohongan Aqel yang mewujudkan
terjalinnya ikatan antara kami sekarang. Aqel sanggup mengaku dirinya sakit
semata – mata mahu memenuhi hajat Mak Long dan mak. Akulah mangsa pembohonganya
itu. Bijak sungguh Aqel mempermainkanku.
“Awak nampak tak puas hati dengan saya” ujar Aqel tenang.
“Kali ini awak mesti bercakap benar Aqel” tegasku.
“Awak nak tahu apa yang berlaku hari ini? Saya menghadiri
kenduri kahwin kawan baik saya. Tak sangka di sana saya jumpa Rania dan memang
dah dirancang dan dipersetujui saya dan Rania telah menjadi pengapit pengantin”
cerita Aqel dengan senyuman lebar terukir di bibirnya. Cerita indah mahu diimbas
kembali lalu dikongsi bersamaku. Nampak sangat Aqel gembira menjadi pengapit
pengantin berpasangan dengan Rania. Patutlah Aqel begitu bersemangat membeli
baju Melayu tempoh hari. Mungkin juga Aqel sudah menempah baju kurung untuk
Rania bersama – sama baju kurung Mak Long dan mak. Biar dirinya dengan Rania
nampak sepadan. Ahh....aku peduli apa!
“Memang patutpun awak berkawan dengan perempuan itu,
spesis yang suka berlagak” tuturku tidak mampu mengawal marah lagi.
“What!” Serius
muka Aqel memandangku. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan.
“ Apa yang awak tak puas hati sangat ini? Berterus terang
sajalah” arah Aqel. Aku mengetap bibir hingga berbekas. Memang sudah sampai
masanya aku luahkan perkara ini kepada Aqel. Aku sudah tidak mampu memendamnya
lagi. Bagaikan ledakan gunung berapi yang tidak dapat ditahan – tahan.
“Awak berbohong dengan saya. Kononnya awak sakit serius
selepas saya langgar awak. Kemudian awak menuntut janji saya untuk menjaga awak
seumur hidup saya. Ternyata semua ini hanyalah permainan awak” ujarku terkilan.
Aqel terdiam panjang. Nampak sangat dia terkejut.
“Puas hati awak mentertawakan saya kan...” ujarku kecewa.
“Saya tak bermaksud macam tu” tegas Aqel meningkah
bicaraku.
“Awak perangkap saya dengan janji saya. Saya ingatkan
awak betul – betul sakit” keluhku sayu dan kecewa. Aqel menatapku.
“Mujur juga Haqem memaklumkan perkara sebenar. Kalau tak
seumur hidup saya akan menyalahkan diri sendiri. Awak pula terus seronok
mempermainkan saya” luahku terkilan. Senyap.
“Awak nampak menyesal bernikah dengan saya” suara Aqel
memecah kesepian sambil melontar pandangan tepat ke wajahku. Seketika aku dan
Aqel saling berpandangan.
“Saya memang ikhlas menjadi suami awak. Saya tak sangka
pula kalau buat awak rasa terpaksa menerima saya sebagai suami awak. Maaf sebab
saya, awak dan Haqem tak dapat bersama. Maaf juga sebab saya takkan lepaskan
awak. Awak takkan dapat hidup bersama Haqem lagi” tegas Aqel dengan wajah yang
serius.
“Saya tak kisah kalau awak nak berlaku kejam pada saya,
tapi bagaimana dengan Rania? Awak nak terus biarkan dia menunggu awak begitu
lama?” ujarku lirih dengan pandangan sinis menatap Aqel.
“Berlaku kejam pada awak?” bicaraku menjadi persoalan
Aqel.
“Nampaknya awak terseksa tak dapat hidup bersama Haqem”
ujar Aqel lagi.
“Berhenti bercakap pasal Haqem. Dia takde kena – mengena
dalam hal ini. Saya tak mahu mendengar awak menyebut namanya lagi” tegasku.
Aqel tersenyum – senyum sendiri.
“Ada perlunya kita bercakap pasal Haqem” tingkah Aqel.
Aku mendengus. Aqel sudah kehabisan modal mahu berbicara sebab itu dia mula
membabitkan Haqem pula. Tidak disangka Aqel sanggup berbuat demikian terhadap
sahabat baiknya.
“Setiap kali awak rindukan saya, awak tengok buku ini.
Setiap kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ini” ujar Aqel
menyentakkanku. Itu kata – kata yang pernah keluar dari mulutku diperdengarkan
di telinga Haqem pada hari perpisahan kami. Bagaimana Aqel boleh mengeluarkan
ayat yang serupa ini?
“Patutlah setiap hari Haqem tengok buku itu. Ke mana –
mana saja dia bawa buku itu. Dia langsung tak mahu berenggang dengan buku itu.
Bermakna Haqem sentiasa merindui dan mengingati awak. Mungkin sebab ini juga hati
awak tak pernah tenang” tutur Aqel persis sedang menyalahkanku.
“Bukan salah saya kalau Haqem bertindak sedemikian”
tingkahku.
“Awak mahu berpisah dengan Haqem, tapi dalam masa yang
sama awak berikan harapan padanya. Haqem tak pernah berputus asa nak dapatkan
awak kembali” ujar Aqel.
“Awak tahu sebab Haqem masih menaruh harapan pada awak?”
soal Aqel sambil merenungku. Aku mengunci mulut. Tidak mahu bertikam lidah
dengan Aqel tentang perkara ini.
“Dalam hati awak masih ada Haqem. Bayangan Haqem sentiasa
bersama awak” tutur Aqel serius. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaanku.
“Sama jugalah seperti awak, Rania tak pernah melepaskan
awak. Dalam masa yang sama awak masih mengingati kekasih pertama awak” bentakku
tidak ralat hanya aku dipersalahkan seorang. Tiba – tiba sahaja Aqel tersenyum
sendiri.
“Akhirnya mengaku juga awak ya. Sungguh mengecewakan
saya” lirih sahaja suara Aqel singgah di telingaku. Aqel bangkit dari sofa itu
lalu melangkah longlai ke muka pintu. Langkah Aqel mati. Dia berpaling semula
ke arahku.
“Saya nak jumpa kawan dan tak balik malam ini” tutur Aqel
lalu menyambung langkahnya kembali. Daun pintu ditutup. Susuk tubuh Aqel sudah
tidak kelihatan lagi. Di birai katil ini aku terdiam panjang. Rasa kecewa dan
terkilan yang belum padam. Apa yang kuharapkan berlaku hari ini terpesong jauh.
Nyatanya aku dan Aqel dalam sengketa sekarang.
“Awak tunggu di luar ya, kejap lagi saya sampai” tutur
Nana mengarah.
“Okey... Assalamualaikum” sahutku seraya mematikan
perbualanku dengan Nana. Kusimpan i-Phone ke dalam saku beg galasku lalu
bergerak keluar bilik. Kasihan Nana. Baru semalam dia berbahagia dengan majlis
pertunangannya dengan Arryan. Hari ini tiba – tiba sahaja ayahnya dimasukkan ke
hospital. Mujur juga tiada sakit yang serius sekadar tersalah makan.
“Mak, Lia dah nak pergi ni” beritahuku sedikit melaung.
“Hati – hati dan jangan lupa kirim salam pada mak dan
ayah Nana” sahut mak dari dapur.
“Okey....” balasku lalu melangkah ke pintu. Kebetulan
Nana baru sahaja sampai. Aku segera menyelinap masuk ke dalam kereta Nana.
“Awak okey?” soalku sambil berpaling menatap Nana. Nana
tersenyum. Sudah cukup menggambarkan dirinya baik – baik sahaja.
“Masih keletihan. Majlis seringkas macam mana sekalipun
tetap banyak menggunakan tenaga” ujar Nana berkongsi pengalaman. Aku tersenyum.
“Jangan – jangan awak tak dapat tidur semalam sebab
seronok sangat bertunang” ujarku mengusik Nana. Nana tergelak.
“Taklah sampai macam tu sekali” tingkah Nana mematikan
usikanku.
Kereta Nana membelok memasuki kawasan Hospital Sri
Cahaya. Jarak hospital ini tidaklah jauh dari rumah mak. Mujur juga mudah
sahaja kami mendapatkan parkir. Bukan senang hendak dapatkan parkir kosong
kalau tidak tawaf dua tiga kali memandangkan kawasan ini sering dikunjungi orang.
Pagi ini kami bernasib baik. Aku dan Nana keluar dari kereta lantas beriringan
mengatur langkah ke wad lelaki.
“Lupa saya nak beritahu awak. Aqel ada datang semalam.
Sekejap saja” tutur Nina mengejutkan aku. Kupandang Nana. Kami berbalas
pandangan.
“Aqel datang ke rumah awak?” soalku meminta kepastian.
Nana mengangguk.
“Kira – kira sejam selepas awak balik” jelas Nana. Aku
diam. Aqel sudah menepati janjinya. Rasa bersalah pula melayannya dingin
semalam. Ahh.... bukan salahku! Sepatutnya Aqel berterus terang sahaja
denganku. Kedatangannya ke rumah Nana tidak perlu disembunyikan. Namun yang
menghairankan aku ke mana dia pergi sebelum berkunjung ke rumah Nana? Bukankah
Aqel telah memaklumkan bahawa dia dan Rania menjadi pengapit di majlis
persandingan sahabatnya. Pasti Aqel dan Rania menjadi pasangan pengapit yang
telah memukau pandangan mata para tetamu.Bagai pinang dibelah dua, laksana
cincin dengan permata. Bisa mengalahkan pasangan pengantin. Sempat juga aku
membayangkannya.
“Oh... rupa – rupanya awak berdua pakai baju yang sama.
Patutlah awak nampak cantik sangat semalam. Sayangnya awak dan Aqel tak datang
bersama kalau tak boleh ambil gambar awak berdua” tutur Nana tersengih.
“Takdelah...” tingkahku. Timbul rasa seganku kepada Nana.
Aku menghias diri bukan mahu memukau pandangan Aqel. Sekadar teringin menjadi
pasangan yang sepadan dengan Aqel di majlis pertunangan Nana. Itu sahaja dan
setakat itu sahaja. Oh... rasa menyesal pula melakukan semua itu!
“Aqel dan perempuan...” suara Nana menyentakkanku. Serta
– merta langkahku dan langkah Nana terhenti. Pandangan kami dilontar ke arah
Aqel dan Rania yang sedang beriringan melangkah. Tangan Rania memaut mesra
lengan Aqel. Mereka bergerak ke parkir. Kemudian menyelinap masuk ke dalam
kereta Aqel.
“Lia.... itu Rania kan...?” soal Nana dengan raut wajah
yang terkejut. Mungkin tidak menyangka akan menyaksikan Aqel bersama perempuan
lain di depan matanya.
“Ya.... kekasih Aqel. Mari....” sahutku lalu menyambung
langkah kembali. Rupa – rupanya Aqel tidak balik semalam kerana bersama Rania.
Mengapa mereka berada di sini? Siapa yang sakit?
“Tak mungkin Aqel curang. Mesti perempuan itu sengaja nak
perangkap Aqel” ujar Nana tidak puas hati dengan gelengan kepalanya. Sukar
dirinya hendak menerima kenyataan Aqel nampak mesra bersama Rania.
“Tak menghairankan Nana. Lelaki buaya memang suka
perempuan” bidasku.
“Awak call Aqel
sekarang. Cuba tanya dia di mana. Nak tahu dia bercakap benarkah tak. Kalau dia
bercakap benar maksudnya takde apa – apalah dia dengan perempuan itu” ujar
Nana.
“Biarkan sajalah” ujarku tidak mahu mengendahkan semua
itu. Besar anak mata Nana menatapku. Jawapan yang tidak dijangka akan didengarnya
dari mulutku. Pelikkan. Seorang isteri masih tenang tatkala melihat suaminya
mesra bersama perempuan lain.
“Lia... awak dan Aqel ada masalahkah?” soal Nana
mematikan langkahku. Tersentak. Tidak menduga Nana akan mengutarakan persoalan
ini.
“Awak nak kembali bersama Haqem?” soal Nana lebih
mengejutkanku. Aku dan Nana berbalas pandangan. Mulutku terkunci. Tidak percaya
Nana akan berfikiran sejauh itu.
“Mari....” ajak Nana mendahului langkahku melewati pintu
wad lelaki. Persoalan Nana berlalu bersama angin. Belum sempat aku hendak
menjawabnya, Nana sudah melangkah mendapatkan ayahnya yang ditemani Mak cik
Norimah, ibu Nana. Pertanyaan Nana tergantung begitu sahaja.
“Lia... free
sekarang?”
“Ya... Mak Long duduk rumah saja. Baru lepas jenguk ayah
kawan di hospital” jelasku. Tidak berniat pula mahu bercerita terperinci
tentang ayah Nana yang dimasukkan ke hospital kepada Mak Long.
“Lia boleh datang sini sekarang. Tadi call Hyeon, dia kata ada hal” jelas Mak
Long. Aqel ada hal? Aku tersenyum sinis sendiri. Terbayang kembali tangan Rania
memaut mesra lengan Aqel. Mereka bagaikan pasangan suami – isteri yang bahagia.
“Nak tunjukkan sesuatu pada Lia” tambah Mak Long berbicara dengan
suara yang ceria. Bagai tidak sabar – sabar dirinya hendak menanti kunjunganku
ke situ.
“Okey... kejap lagi Lia datang” janjiku tidak mahu
mengecewakan Mak Long.
“Mak Long tunggu tau...” ujar Mak Long mengingatkan aku.
“Ya ..... assalamualaikum Mak Long” Kutamatkan perbualan
dengan Mak Long. Mengingati Mak Long aku melepaskan keluhan kecilku.
Berpanjangan rasa bersalahku kepada Mak Long. Berat hati sahaja mahu bertentang
mata dengan Mak Long. Bukan kebencian tetapi tiada kekuatan berterus terang
mensirnakan salah faham Mak Long dan mak terhadapku.
Memandangkan mak masih belum balik lagi, kukunci pintu
rumah. Aku terus menghidupkan motor sambil membuang pandangan jauh. Terdetik
persoalan terhadap undangan Mak Long ini. Mungkinkah Mak Long ada perkara
serius yang mahu dibualkan denganku?Apa sebenarnya yang mahu Mak Long tunjukkan
kepadaku?
Aku memulakan perjalanan. Setibanya di sini, pintu pagar
banglo ini sudah terkuak luas menjemputku masuk tanpa perlu menunggu. Tatkala
aku sampai di halaman, kelihatan Mak Long sedang terpacak di muka pintu
menyambut kedatanganku dengan senyuman yang lebar. Nampak tidak sabar – sabar
Mak Long mahu bertemu denganku. Aku menyalami tangan Mak Long yang berwajah berseri
– seri.
“Lia masih naik motor?” soal Mak Long bernada bimbang.
“Ya Mak Long. Mak dah keluar tadi, tak dapat nak pinjam
kereta Waja” jelasku. Aku faham dengan kebimbangan Mak Long. Mak Long pasti
risaukan keadaanku yang kononnya sedang mengandung sekarang. Mak Long mahu
menjaga keselamatanku dan janin yang tidak pernah wujud ini.
“Lia, mari masuk” laju sahaja tanganku ditarik mengekori
langkah Mak Long.
“Nak buat apa ni, Mak Long?” soalku hairan. Tanganku masih
dipimpin tangan Mak Long. Langsung tidak mahu dilepaskan.
“Nak tunjukkan sesuatu pada Lia” ujar Mak Long masih
berahsia. Hatiku melonjak – lonjak ingin tahu. Tertanya – tanya mengapa Mak
Long begitu bersemangat. Langkahku dan Mak Long terhenti di depan pintu bilik
ini. Mak Long menatapku. Senyuman indah terukir di bibirnya. Ada sesuatu yang
istimewa yang mahu Mak Long tunjukkan kepadaku. Perlahan – lahan tangan Mak
Long menolak daun pintu. Mahu membuat kejutan kepadaku.
“Khas untuk baby Hyeon
dan Lia” ujar Mak Long tatkala daun pintu sudah terkuak seluasnya. Aku tergamam
dan terpaku. Bilik berlatar belakangkan warna biru laut bercampur biru gelap.
Tujuh planet dunia terlukis di dada dinding. Sangat menarik dan menakjubkan.
Persis berada di ruang angkasa. Kejora menghiasi katil comel si kecil bersama
model kapal terbang plastik yang sedang terbuai – buai ditiup angin. Di dada
cadar katil itu kelihatan Si Angkasawan ‘Bear’
dalam pelbagai aksi setelah berjaya menawan bulan. Sungguh comel. Anak mataku
bergerak ke bahagian lain di ruang bilik luas ini. Dinding merah itu adalah
lukisan litar perlumbaan. Imej kereta lumba Ferrari memecut dengan laju.
Diekori motor berkuasa tinggi. Ada kereta dan motor budak bersama pelbagai
jenis mainan peralatan sukan. Bak pusat jagaan budak yang dilengkapi dengan
pelbagai alat permainan. Ini adalah ruang Si Comel bermain – main.
“Mama memang yakin Lia dan Hyeon akan dapat baby boy” suara lunak Mak Long singgah
di halwa pendengaranku. Aku terkedu.
“Ini cetusan idea mama. Mama nak buat sesuatu yang
istimewa untuk cucu yang dikasihi” luah Mak Long bersungguh – sungguh sambil
merangkul mesra bahuku . Aku masih terdiam panjang. Buat pertama kali Mak Long
membahasakan dirinya ‘mama’.
“Mama harap Lia menyukainya” tutur Mak Long menatapku
buat aku serba salah.
“Mak Long buat sesuatu yang sangat menakjubkan sampai Lia
tak terkata” jelasku dengan perasaan yang terbeban.
“Sayang cucu nenek” ujar Mak Long mengusap lembut
perutku. Aku tersentak dengan tindakan Mak Long. Rasa gemuruh menyentapku.
Dapatkah Mak Long merasakan bahawa tiada janin dalam kantung rahimku ini.
Alangkah baik jika Mak Long dapat merasakannya, maka tidaklah aku rasa terhukum
begini. Mak Long mengajakku menerokai bilik luas ini. Betapa Mak Long bangga
merealisasikan impiannya mewujudkan bilik tidur bayi yang menakjubkan buat cucu
kesayangannya.
Aku menatap Mak Long yang berwajah berseri – seri
bercerita tentang segala persiapan bilik ini dengan perasaan teruja. Tidak
cukup itu, Mak Long berimaginasi juga tentang gelagat dan kerenah bakal cucu
kesayangannya itu persis si ayahnya, Aqel. Mak Long begitu percaya benih Aqel
sedang bercambah dan membesar dalam rahimku ini. Suara ceria Mak Long bercerita
panjang tentang bakal cucu kesayangannya itu melemahkanku. Aku terasa lemas
berada di dalam bilik indah ini. Nafasku sesak. Jiwaku terseksa. Aku bagaikan
tidak mampu bertahan lama di dalam bilik ini.
“Lia nampak tak selesa. Tak sihatkah?” soal Mak Long
menyedari diamku yang panjang. Aku
geleng kepala.
“Lia ada hal?” soal Mak Long.
“Maaf Mak Long, Lia tak dapat lama di sini” sahutku. Mak
Long tersenyum sambil menepuk lembut bahuku.
“Tak pe .... Lia boleh balik berehat” ujar Mak Long
mengerti.
“Terima kasih, Mak Long” ujarku menghargai pengertian Mak
Long.
“Tak pun berehat di sini saja. Nanti mama suruh Hyeon
datang ambil Lia” saran Mak Long. Laju aku menggeleng.
“Lia boleh bawa motor? Kalau tak biar driver mama yang hantar Lia balik”
cadang Mak Long. Aku menggeleng.
“Hey.... tak perlulah, Mak Long. Lia masih boleh bawa
motor” jelasku menolak lembut cadangan Mak Long. Mahu tidak mahu Mak Long
terpaksa menurut bicaraku. Kusalami tangan Mak Long. Lantas Mak Long memeluk
tubuhku erat.
“Terima kasih, Lia” tutur Mak Long sambil menatapku penuh
kasih sayang. Aku tercengang - cengang. Tidak mengerti maksud di sebalik pengucapan
Mak Long ini.
“Terima kasih sebab buat mama lebih bahagia saat ini.
Mama memang impikan keluarga yang besar. Hyeon juga sukakan kanak – kanak.
Sudah sampai masanya Hyeon melupakan kisah lalu dan mencurah kasih sayangnya
kepada orang baru” tutur Mak Long buat aku termangu – mangu. Terlintas nama
Flora di benakku. Betulkah Mak Long mahu Aqel melupakan Flora cinta pertamanya?
Ada cerita tentang Aqel yang Mak Long tidak mahu kongsi bersamaku? Oh.... Mak
Long juga persis Aqel suka berahsia! Aku berpisah dengan Mak Long dengan
perasaan yang terbeban. Rasa bersalah yang mendalam. Tidak tega juga mahu membunuh
kebahagiaan Mak Long. Aku semakin tertekan.
Setibanya aku di halaman rumah mak, aku nampak kereta
Aqel sudah berada di sini. Sudah balik selepas bersama dengan Rania semalaman.
Mak belum balik lagi. Aku melangkah longlai ke bilik tidur. Aqel sedang
terlentang tidur di atas katil. Tampak sungguh lena. Kupandang lama wajah putih
bersih itu. Kupandang rambutnya, beralih pada sepasang matanya, hidung, bibir
dan dagunya. Begitu sempurna sebagai seorang lelaki. Kupandang tubuh Aqel yang
sedikit kurus ini. Kalaulah aku boleh nampak hati Aqel lantas mentafsirnya,
pasti tiada rahsia antara kami. Aku dan Aqel akan saling memahami. Maka
hubunganku dengan Aqel akan menjadi lebih baik. Seterusnya, menjadi suami
isteri seperti orang lain. Ketika itu impian mak dan Mak Long akan termakbul.
“Dah lama awak perhatikan saya?” Aku tersentak mendengar
suara Aqel menegurku. Beradu pandangan dengan Aqel seketika. Aku mengalih
pandanganku lantas membawa diri ke sofa di sudut tepi bilik ini. Aku melabuhkan
duduk di situ.
“Saya baru balik dari rumah awak. Berada di sana
membuatkan saya bagaikan tak mampu bernafas. Sesak nafas saya. Saya rasa
tertekan sangat” ujarku perlahan- lahan. Aqel bingkas bangun dari
perbaringannya. Duduk berlunjur di atas katil sambil memandangku.
“Apa yang mama buat pada awak?” soal Aqel serius. Senyap.
Aku mengetap bibir menahan gelora perasaan. Terasa anak mataku berkaca – kaca.
Cuba bertahan. Tidak mahu menangis di depan Aqel.
“Saya dah tak mampu berhadapan dengan Mak Long” tuturku
perlahan. Suaraku bergetar. Air mataku perlahan mengalir menuruni cerun pipiku.
“Flora.... kenapa ni?” soal Aqel bingkas bangun
merapatiku.
“Mengapa awak menangis?” soal Aqel gusar.
“Semua ini harus diakhiri” ujarku sambil mengesat titisan
air mata yang mengalir di pipi.
“Apa yang harus diakhiri? Awak nak berpisah dengan saya?”
soal Aqel sambil menatap wajahku. Kupandang Aqel.
“Kembalilah pada Rania. Dia tak boleh kehilangan awak” tegasku.
“Mengapa dengan awak ni?” nada suara Aqel tinggi. Aku
menarik nafas dalam – dalam. Kukumpul kekuatan diri.
“Saya tak mahu berlaku kejam pada awak dan Rania.
Disebabkan saya, awak dan Rania tak dapat bersama. Pagi tadi saya nampak awak
dengan Rania di hospital” jelasku berterus terang. Aqel terpana menatapku.
Pasti dia tidak mahu aku mengetahui perkara ini. Kutatap Aqel yang terdiam panjang.
Tiba – tiba sahaja deringan iPhone Aqel memecah keheningan ini. Aqel mengalih
pandangannya ke arah iPhone itu lantas mencapainya. Panggilan itu dijawab.
“Assalamualaikum.... ya... Rania” Nama itu meniti di
bibir Aqel. Rania sedang bercakap dengan Aqel sekarang. Apa yang dimahukan oleh
gadis itu? Semalaman sudah dihabiskan bersama Aqel. Rania langsung tidak mahu
berenggang dengan Aqel. Mungkinkah cinta mereka sudah kembali bertaut?
“Tunggu di sana ..... sekejap lagi saya sampai” arah
Aqel. Panggilan itu dimatikan. Aqel menatapku. Ternyata penyatuan kembali
hubungannya dengan Rania tidak mahu disembunyikan daripada pengetahuanku lagi.
“Saya nak keluar. Rania perlukan saya sekarang” jelas
Aqel.
“Dia memang sentiasa perlukan awak” sahutku jujur. Aqel
menatapku seketika. Itulah kenyataannya. Aqel tidak boleh menafikannya. Rania
memang sentiasa perlukan dirinya. Sebab itu jugalah sampai sekarang Rania masih
menjejaki Aqel.
“Pergilah .... nanti lama pula Rania tunggu awak. Saya
nak bersendirian di bilik ini sekarang .... saya nak mandi” jelasku meminta
Aqel segera berganjak keluar dari bilik ini.
“Balik nanti kita sambung perbualan ini” tutur Aqel lalu
bangun dari katil lantas melangkah ke muka pintu. Sekejap sahaja kelibat Aqel
lenyap di sebalik pintu, mahu segera bertemu dengan Rania, sedangkan aku masih
terpacak di sini, melontar pandangan ke muka pintu bagai menanti seseorang. Mungkin
berharap Aqel berpatah balik. Aku melepaskan keluhan sambil melangkah longlai
mendekati katil lalu merebahkan tubuh ke tilam. Kupejamkan mata rapat – rapat.
Cuba mengosongkan fikiranku. Kuseru hatiku agar bertenang. Yakin pada
kebijaksanaan Aqel. Segalanya akan mudah.
“Awak mesti jealous tengok saya bersama dengan
Raniakan?” teka Aqel dengan senyuman mengusik. Aku mencebik bibir. Langsung
tidak terfikir akan berperasaan sedemikian.
“Jangan nak mimpi di siang harilah” perliku. Aqel
tersengih.
“So kenapa awak nampak begitu dingin saja? Awak cuba nak
sembunyikan perasaan awak itu tapi saya terlalu bijak menyelaminya” tutur Aqel
masih tidak berputus asa.
“Berhentilah berfikir yang bukan – bukan” tegahku rimas.
Aqel tersenyum sendiri. Pening kepalaku melayan kerenahnya. Bingkas aku bangun
dari sofa ini.
“Awak nak ke mana tu?” soal Aqel tatkala melihat aku
sudah memusing tembol pintu. Kutulikan telinga. Daun pintu sudah terkuak.
Lantas aku melangkah keluar dari bilik ini.
“Awak nak lari dari saya ya...” Aqel sedang mengekori
langkahku.
“Buat apa saya nak lari dari awak” tingkahku janggal.
“Sebab awak masih mahu berpura – pura di depan saya. Cuba
buat tak kisah pasal Rania” tutur Aqel persis mahu melihat aku mencemburui
mereka.
“Jadi awak nak tengok saya meraung – raung dan merayu –
rayu awak?” tingkahku radang. Aqel tersenyum lebar.
“Tengok awak marah. Sah awak cemburu sekarang” tutur Aqel
tersenyum – senyum.
“Malas saya nak layan manusia perasan macam awak ni”
rungutku cuba menjarakkan diri dari Aqel. Kedengaran gelak Aqel.
“Flora... Tak payah marah...” Langkahku terhenti lantas
tubuhku terpaling tatkala tangan Aqel menarikku. Terlalu dekat jarakku dengan
Aqel. Deruan nafasnya begitu jelas di pendengaranku.
“Saya sayang awak!” Cup!!! Kucupan bibir Aqel singgah di
pipiku. Aku terpana.
“Awak....!!!” jeritku bagaikan baru tersedar. Hati yang
radang dengan mata yang menyinga aku menatap Aqel. Aqel tergelak – gelak suka.
Laju sahaja penumbukku melayang cuba mensasarkan pipi Aqel. Namun Aqel berjaya
mengelak. Tumbukanku tersasar di bahunya. Aqel menggerang kesakitan. Wajahnya
berkerut.
“Kalau awak berani buat lagi saya korek – korek mata awak
tu” ancamku memberi amaran tegas. Terkebil – kebil Aqel menatapku sambil
tangannya mengusap – usap bahunya. Dia tidak menyangka aku akan bertindak
ganas. Padan mukanya! Suka sangat mengambil kesempatan.
“Apa hal ni,
Lia?” suara mak menegur. Laju aku dan Aqel berpaling. Mak dan Mak Long sedang
menatap kami. Serta merta wajahku panas membahang. Pasti mereka nampak
perlakuan tidak senonoh Aqel sebentar tadi.
“Takkan Aqel nak sayang kamu sampai nak pukulnya pula”
tegur mak kurang senang. Aku menggetap bibir menahan geram. Aqel tersengih
mendapat pembelaan mak.
“Memang patut Lia pukul Hyeon sebab berperangai tak
senonoh. Kalau nak sayang isteri pun tak payah nak tunjuk – tunjuk” Mak Long
pula bersuara berpihak kepadaku. Aku menahan rasa malu yang menebal di depan
mak dan Mak Long. Sungguh aku tidak suka perkara ini menjadi isu perbualan sekarang.
“Tak payahlah risau, Su. Mesti sebab pembawaan budak tu.
Dulu masa akak mengandungkan Hyeon, akak pun tak suka suami dekat – dekat.
Cepat melenting” tutur Mak Long cuba membuatkan mak mengerti akan tindakanku.
Mak Long tidak mahu mak menyalahkan aku atas tindakanku terhadap Aqel sebentar
tadi. Sungguh suci murni hati Mak Long.
“Minta maaf pada Aqel. Berdosa memperlakukan suami
begitu” tegur mak dengan wajah serius. Aku mengangguk. Lantas kujeling Aqel
yang masih tersengih – sengih di sebelahku.
“Kami bergurau sajalah mak” tutur Aqel tidak mahu mak mengambil
serius perkara ini. Mak menghantar isyarat matanya mengarahkan aku bersuara.
“Sorry....”
tuturku sekadar melafazkan di bibir. Tiada kesungguhan. Merasakan tindakan yang
tidak patut. Aqel yang bersalah, aku pula yang harus meminta maaf.
“Petua mudah nak bersalin, jaga tutur kata dan
tingkahlaku di depan suami” nasihat mak merimaskan aku. Bukan marah sebab
nasihat ini tetapi kenyataan di sebalik bicara mak. Aku memang tidak tahan
kalau berbicara pasal bab mengandung. Sungguh menekan aku.
“Di mana nak letak barang – barang ini, puan?” suara
lelaki mencelah lantas semua melontar pandangan ke muka pintu. Di situ
pandangan kami bersatu.
“Oh.... kamu dah sampai. Mari saya tunjukkan biliknya”
tutur mak berwajah ceria. Cepat sahaja mood mak berubah.
“Mari kak....” ajak mak meminta Mak Long mengekori
langkahnya. Aku dan Aqel terkebil – kebil menatap beberapa orang lelaki yang
masuk membawa beberapa buah kotak besar mengekori langkah mak dan Mak Long.
“Mereka buat apa?” soalku sambil menatap Aqel. Sungguh aku
musykil dengan kedatangan beberapa orang lelaki yang tidak kukenali ini.
“Aqel dan Lia datanglah sini” suara mak mengarah sedikit
melaung memanggilku dan Aqel. Aku dan Aqel saling berpandangan. Ada sesuatu
yang mak mahu tunjukkan kepadaku dan Aqel. Aku mendahului langkah Aqel hendak
bersama mak dan Mak Long di bilik tingkat atas. Bilik yang sudah agak lama
terbiar kosong bersebelahan dengan bilikku.
“Simpan barang – barang itu di sana” arah mak kepada
lelaki – lelaki itu. Sebenarnya pekerja sebuah syarikat alat permainan kanak –
kanak. Aku terbaca label pada kotak – kotak yang baru sahaja dibawa masuk ke
dalam bilik ini. Aku terkedu panjang. Aqel juga membisu.
“Su..., kamu suka warna apa? Nak tema apa?” soal Mak Long
teruja.
“Terpulanglah pada Lia dan Aqel” sahut mak tersenyum
sambil melirik ke arahku dan Aqel. Aku tersentak. Aqel terlopong panjang.
“Akak rasa kita akan dapat baby boy. Perangai Lia sama macam perangai akak masa mengandungkan
Hyeon dulu” jelas Mak Long dengan wajah berseri – seri. Aku terpana mendengar
bicara Mak Long.
“Kalau macam tu kita hiaslah bilik ni untuk baby boy, kak” sahut mak tersenyum. Sama
girang dengan Mak Long. Senyuman mak dan Mak Long bersatu. Aku menelan liur
pahit. Kupandang Aqel. Berharap Aqel akan bersuara dan melakukan sesuatu.
“Hyeon.... kamu dah buat apa yang mama suruh?” soal Mak
Long seraya berpaling ke arah Aqel. Aqel tersentak. Dia mengangguk. Mak Long
tersenyum berpuas hati. Aku bertambah keliru. Apa yang telah Aqel lakukan?
“Mana kuncinya?” soal Mak Long dengan kening yang sedikit
terangkat.
“Sekejap... Hyeon ambil sekarang” ujar Aqel lantas
berpaling dan melangkah ke pintu. Tidak sempat aku hendak mengemukakan
pertanyaan kepadanya. Kelibat Aqel lenyap. Aku memerhatikan gelagat mak dan Mak
Long yang sedang rancak berbincang tentang konsep bilik tidur ini. Banyak
sangat idea mereka.
“Flora.....” Aku berpaling. Aqel sudah berada di
sebelahku. Wajahku ditenung.
“Untuk awak. Saya harap awak akan menerimanya tanpa
sebarang persoalan” tutur Aqel.
“Apa ni?” soalku sambil menatap kunci yang sudah berada
di tanganku. Kupandang Aqel. Sungguh aku tidak mengerti.
“Hadiah saya untuk awak” jelas Aqel.
“Hadiah?” Dahiku berkerut seribu. Hari ini bukan ulang
tahun kelahiranku.
“Selepas ini Lia tak boleh guna motor lagi. Pergi mana –
mana bawa kereta tu” suara Mak Long mencelah. Aku terkesima. Rupa – rupanya
kunci kereta berada ditanganku sekarang. Kutatap Aqel memohon penjelasan
lanjut. Dalam masa yang sama aku tidak mahu Aqel terus berdiam diri dalam hal
ini. Hatiku mendesak agar salah faham ini disirnakan. Aku sudah tidak mampu
menanggungnya.
“Sayang sangat Aqel pada kamu, Lia” suara mak begitu
ceria. Kutatap mak dan Mak Long silih berganti. Kualih pandangan kepada Aqel
yang hanya membisu.
“Lia tak boleh terima hadiah ini” tegasku dengan wajah
yang serius. Mak dan Mak Long nampak tersentak. Mereka keliru.
“Mak dan Mak Long dah salah faham” tegasku lagi. Kali ini
aku nekad akan berterus – terang. Kukumpul kekuatan diri.
“Apa maksud Lia?” soal Mak Long. Kugenggam jari –
jemariku. Ada kekuatan yang sudah terkumpul. Pandangan mata mak dan Mak Long
tidak melemahkanku.
“Lia dan Aqel tak pernah hidup sebagai suami isteri yang
sebenar – benarnya. Lia masih anak gadis mak (suara ditekan )...... masih dara” ujarku serius.
“Flora..... Lia” suara Aqel dan mak berselang – seli.
Aqel tergamam dan terpaku. Mak terduduk dengan wajah yang pucat. Begitu juga
dengan Mak Long yang tersandar di sofa di bilik ini. Semua lemah tidak bermaya.
Keterujaan mak dan Mak Long hendak menimang cucu hancur lebur.
“Maafkan Lia, mak.... Mak Long” pintaku rasa bersalah.
Aku telah melukai perasaan mak dan Mak Long. Aku juga telah menempatkan diri
Aqel dalam masalah sekarang. Sungguh aku tiada pilihan. Keadaan yang mendesak
aku berterus – terang tentang kehidupanku dengan Aqel.
“Kamu tak mencintai Hyeon, Lia? Selama hidup bersama
Hyeon, hati kamu langsung tak tertarik padanya?” soal Mak Long kecewa. Kutatap
wajah Mak Long. Seketika kami saling berpandangan. Aku tertunduk. Sudah tiada
keberanian mahu menatap wajah Mak Long. Rasa bersalah yang menggunung
menyelubungi diri.
“Patutlah kehidupan kamu berdua adakalanya nampak pelik”
tutur mak bersuara meluahkan kesangsiannya. Mak melepaskan keluhannya. Dia
menggeleng kepala beberapa kali. Nampak sangat mak kecewa. Senyap seketika.
Kuberanikan diri melontar pandangan kepada Aqel yang masih tidak bersuara.
Kebetulan Aqel sedang mengarah matanya ke arahku. Aku dan Aqel beradu pandangan
seketika. Wajah yang paling serius yang pernah aku nampak sedang dipamerkannya
kepadaku. Terasa Aqel murka dengan tindakanku. Aku tahu dia begitu menjaga
perasaan Mak Long dan mak selama ini.
“Demi kebahagiaan awak juga, Aqel” ujarku perlahan.
“Maksud Lia?” Mak Long dan mak saling berpandangan.
Kemudian sama - sama menatapku. Menunggu bicaraku selanjutnya.
“Ada insan yang lebih berhak ke atas Aqel yang tak pernah
dilupakannya sampai sekarang” ujarku berterus terang. Alang – alang aku membuka
mulut, biarlah semuanya kuluahkan. Sudah lama juga aku dibelenggu perkara ini.
“Apa semua ini, Hyeon? Kamu curang dengan Lia?” suara Mak
Long tinggi. Pandangannya menyinga menatap Aqel yang terkebil – kebil
menatapku. Aqel mengetap bibir menahan perasaan.
“Bertenang, kak. Biar kita bincang elok – elok perkara
ini” ujar mak menenangkan Mak Long yang sudah berang.
“Siapa perempuan itu, Hyeon?” soal Mak Long serius. Aqel
masih berdiam diri. Mak Long mengalih pandangannya ke arahku. Gerun dan gusar
bercampur baur menyelubungiku. Pandangan Mak Long melemahkanku.
“Awak tahu perempuan itu, Lia?” soal Mak Long mengalih
pertanyaan yang belum terjawab itu. Kutatap Aqel kemudian beralih ke wajah Mak
Long. Mak Long tidak mahu melarikan pandangannya dari wajahku. Tiba – tiba
sahaja Aqel melangkah ke arahku lantas mencapai tanganku. Erat. Aku terkedu.
Mak dan Mak Long nampak tersentak dengan tindakan Aqel.
“Biar Hyeon dan Lia selesaikan salah faham ini” ujar Aqel
lalu menarik tanganku beredar dari situ. Aku cuba menyentap kuat tanganku dari
genggaman tangan Aqel. Gagal. Genggaman tangan Aqel begitu kukuh. Aku tiada
berdaya melepaskan diri selain terdorong mengikut langkah Aqel ke bilik tidur.
Daun pintu dikunci. Aku menjarakkan diri dari Aqel. Cuba berjaga – jaga. Risau
melihat keseriusan Aqel saat ini. Mungkin Aqel boleh bertindak di luar kawalan.
“Apa sebenarnya niat awak?” soal Aqel serius. Senyap. Aku
mengunci mulut.
“Awak dah tak de suara nak cakap? Tadi bukan main
pandainya awak bercakap” sinis sahaja suara Aqel.
“Kenapa awak halang saya beritahu Mak Long yang awak
sebenarnya ada kekasih? Selama ini awak tak pernah pun melupakan Flora, kekasih
awak itu” tegasku. Tajam pandangan Aqel menatapku.
“Kalau awak berani awak cakaplah pada mama!” lantang
suara Aqel. Bahuku terangkat. Terkejut mendengar suara Aqel yang meninggi. Aqel menengkingku.
Senyap. Aqel terduduk di birai katil dengan kepala yang tertunduk menatap
lantai. Dia meraup kedua – dua belah tangannya ke muka. Kedengaran keluhan
beratnya. Tampak dirinya tidak berdaya.
“Awak hampir –
hampir membunuh seluruh keceriaan hidup mama” suara Aqel perlahan. Kesal. Aku
tersentak. Betulkah tindakanku tadi terlalu kejam? Terasa terhukum dengan
bicara Aqel. Binggung. Langsung tidak terniat aku hendak memusnahkan keceriaan
hidup Mak Long. Apatah lagi mahu memusnahkan kehidupan Aqel. Aku mahu Aqel
bahagia bersama cinta sejatinya. Aku berniat baik mahu menyatukan Aqel dengan
Flora. Biarlah Aqel dengan Flora hidup bahagia dengan restu Mak Long.
Sesungguhnya, Aqel sendiri tidak mampu berterus terang pada Mak Long demi
mempertahankan cintanya itu.
“Awak benar – benar mahu bersama Haqem kan....” suara
Aqel melontar bicara yang amat mengejutkanku. Aku terdiam. Tidak sangka Aqel
ada perspektif demikian. Akal Aqel masih tidak dapat memisahkan aku dari Haqem.
“Pasti awak terseksa hidup bersama saya ” keluh Aqel
pula. Dia berpaling menatapku.
“Maafkan saya sebab buat awak tak bahagia selama ini”
tutur Aqel hampa. Aku terus kehilangan bicara. Aqel bangkit dari duduknya lalu
melangkah ke muka pintu. Tembol pintu dipusing. Daun pintu terkuak. Aqel berpaling
ke arahku.
“Saya nak hantar mama balik” ujarnya memaklumkan perkara
itu lalu melangkah keluar. Daun pintu tertutup. Kelibat Aqel sudah tidak
kelihatan lagi. Aku masih mematungkan diri di sudut ini. Cuba mengimbau apa
yang telah berlaku tadi. Nyatanya bicara Aqel meninggalkan kesan mendalam di
jiwaku. Rawan hati melihat wajah sayu Aqel. Sayup – sayup kedengaran bunyi
deruan kereta meninggalkan halaman. Pasti Aqel dan Mak Long sudah berganjak
meninggalkan rumah ini. Aku melangkah longlai ke katil lalu merebahkan diri di
situ. Terasa lemah tidak bertenaga. Benakku mula membuat pertimbangan. Kesal.
Sepatutnya aku tidak bertindak senekad itu di depan mak dan Mak Long. Bagaimana
aku hendak berhadapan dengan mereka nanti? Sudah semestinya mak dan Mak Long bersedih
saat ini. Aku memejamkan mata mula menyalahkan diri.
Daun pintu diketuk. Kulontar pandangan ke muka pintu yang
sudah terkuak. Mak terpacak di situ tanpa secebis senyuman sedang
menatapku.
“Aqel tak balik malam ini tak payah tunggu. Dia nak
temankan mamanya. Kasihan Kak Helda, pasti dia terkejut sangat” ujar mak persis
berbicara dengan dirinya sendiri.
kenapa cerita ayat berulang atas dan bawah,dah lama tgu citer nih tapi pendek dan berulang pulak tu huhuhu
ReplyDeleteohh... sorry...sy br perasan. tq. time post x sempat nak check lg. kbtln line x ok. sbnrnya ni slh satu bab yg pnjg dlm 17 ms. ikut penerbit digalakkan 1 bab dlm 12-15 ms shj. tq ats kesudian membacanya...
Deletebest .
ReplyDelete