Wednesday 20 August 2014

Namaku Bukan Flora!...60





BAB 60

Aku menatap hanger kosong tersangkut di depan pintu almari. Tidak silap aku sebelum pergi tadi baju Melayu Aqel ada tergantung di situ. Ke mana pergi baju Melayu itu? Mungkinkah Aqel ada balik ke sini tadi? Ke mana pula Aqel pergi dengan persalinan baju Melayu itu sedangkan dia tidak muncul di majlis pertunangan Nana? Aku membiarkan kemusykilan menghantuiku.  
Sejam sudah aku sampai di rumah. Mak Long sudah balik dijemput oleh pemandunya. Mak mungkin berehat di bilik. Bersungguh – sungguh dia mahu menemani aku di sini selagi Aqel tidak pulang. Mujur juga mak tidak membantah tatkala aku ingin bersendirian. Sebetulnya aku tiada kekuatan menatap wajah mak tika ini. Tidak sudah – sudah aku menyalahkan diri. Sungguh aku terhukum dengan keterujaan mak dan Mak Long hendak menimang cucu. Sesuatu yang tidak mampu aku penuhi sekarang. Aku dan Aqel bukan seperti pasangan suami isteri yang lain. Berkongsi bilik dan katil tidak semestinya bersatu. Hubunganku dengan Aqel agak terbatas.
Aqel belum muncul lagi walaupun Mak Long sudah mengarahkannya agar segera balik. Kononnya aku tidak sihat. Kenyataan Mak Long tidak berbekas di hati Aqel. Terbukti Aqel tidak kisah tentang keadaanku dan ada perkara yang lebih penting dariku. Buat apa Aqel kisah tentang kesihatanku kerana dia tahu salah faham mak dan Mak Long yang menghangatkan keadaan. Entah ke mana Aqel menghilangkan diri. Mungkin juga masih menemani kawannya. 

Perlahan – lahan mata kubuka. Aqel tersandar di sofa sambil melontar pandangan ke arahku sedang memerhatikan aku. Bingkas aku bangun. Tidak suka Aqel melihat dalam keadaanku begini. Seketika kami saling berpandangan. Laju aku mengalih mukaku lantas melontar pandangan ke arah almari. Baju Melayu Aqel sudah tergantung di situ. Hanger itu tidak kosong lagi.
“Mama kata awak tak sihat?” suara Aqel memecah kesepian ini. Aku menatap Aqel dengan pandangan kosong. Pertanyaannya kubiarkan berlalu.
 “Awak dah sihat?” soal Aqel menunjukkan keprihatinan dirinya. Aku masih membisu. Senyap. Aqel bagaikan  sudah kehilangan kata – kata mahu berbicara denganku. Bingkas aku bangkit dari katil lalu melangkah ke bilik air mahu mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, Aqel masih duduk di sofa. Kucapai telekung dan sejadah lalu membentangkan sejadah ini mengarah ke arah kiblat. Aku terus sahaja solat asar tanpa menghiraukan Aqel. Usai solat aku kembali meletakkan telengkung dan sejadah di tempatnya tadi. Aqel masih duduk di sofa itu. Terasa pandangan matanya mengekori setiap pergerakanku di bilik ini.
“Awak marahkan sayakah?” suara Aqel memecah kesepian. Aku masih tidak bersuara.
“Awak marah sebab saya tak datang ke majlis pertunangan Nana bersama awak? Atau awak marah sebab saya balik lewat?” Dua persoalan diajukan kepadaku. Masih senyap.
“Cakaplah..... saya nak berbual – bual dengan awak” pinta Aqel serius menatapku. Mungkin sudah bosan dengan diamku.
“Awak dah tak pandai cakapkah?” soal Aqel baran. Aku mendengus. Hatiku terbakar.
“Malas saya nak cakap dengan orang munafik ini” tuturku melempiaskan ketidakpuasan hatiku.
“Awak panggil saya munafik?” soal Aqel dengan matanya yang sedikit sepet terbuka luas. Terbakar hatinya mendengar dirinya dipanggil sedemikian.
“Orang yang tak tepati janji adalah munafik. Suka berbohong!” tegasku mengulangi kenyataanku tadi. Ini bukan kali pertama Aqel berbohong kepadaku, malah Aqel telah melakukan pembohongan paling besar. Dia menipuku selama ini. Ikatan yang terjalin antara aku dengannya juga berlandaskan penipuan. Bijak sungguh Aqel mempermainkan aku. 
“Saya dah minta maaf tadi” ujar Aqel tidak mahu dirinya dipersalahkan.
“Semudah itu awak mungkir janji. Cukupkah hanya dengan kata maaf?” soalku sinis. Rasa mendidih – didih sahaja perasaanku saat ini. Sakit hati sebab sikap Aqel yang tidak bertanggungjawab ini. Gemar menabur kata – kata kosong.
“Habis awak nak saya buat apa?” soal Aqel. Lirih sahaja suaranya.
“Awak sepatutnya tak membiarkan saya menunggu awak lama. Kalau awak tak dapat pergi, awak telefon saya atau sekurang – kurangnya hantar mesej bukan senyap begitu saja. Saya tak kisah awak nak keluar dengan kawan awak seberapa lama awak mahu, tapi jangan sesekali bohongi saya” tegasku melempiaskan perasaan terkilanku. Sebetulnya kejadian hari ini hanyalah perkara kecil sahaja. Aqel tidak bersalahpun. Perkara yang berlaku di luar kawalannya. Aku marah saat ini sebab teringat pada pembohongan Aqel yang mewujudkan terjalinnya ikatan antara kami sekarang. Aqel sanggup mengaku dirinya sakit semata – mata mahu memenuhi hajat Mak Long dan mak. Akulah mangsa pembohonganya itu. Bijak sungguh Aqel mempermainkanku.  
“Awak nampak tak puas hati dengan saya” ujar Aqel tenang.
“Kali ini awak mesti bercakap benar Aqel” tegasku.
“Awak nak tahu apa yang berlaku hari ini? Saya menghadiri kenduri kahwin kawan baik saya. Tak sangka di sana saya jumpa Rania dan memang dah dirancang dan dipersetujui saya dan Rania telah menjadi pengapit pengantin” cerita Aqel dengan senyuman lebar terukir di bibirnya. Cerita indah mahu diimbas kembali lalu dikongsi bersamaku. Nampak sangat Aqel gembira menjadi pengapit pengantin berpasangan dengan Rania. Patutlah Aqel begitu bersemangat membeli baju Melayu tempoh hari. Mungkin juga Aqel sudah menempah baju kurung untuk Rania bersama – sama baju kurung Mak Long dan mak. Biar dirinya dengan Rania nampak sepadan. Ahh....aku peduli apa!
“Memang patutpun awak berkawan dengan perempuan itu, spesis yang suka berlagak” tuturku tidak mampu mengawal marah lagi.
What!” Serius muka Aqel memandangku. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan.
“ Apa yang awak tak puas hati sangat ini? Berterus terang sajalah” arah Aqel. Aku mengetap bibir hingga berbekas. Memang sudah sampai masanya aku luahkan perkara ini kepada Aqel. Aku sudah tidak mampu memendamnya lagi. Bagaikan ledakan gunung berapi yang tidak dapat ditahan – tahan.   
“Awak berbohong dengan saya. Kononnya awak sakit serius selepas saya langgar awak. Kemudian awak menuntut janji saya untuk menjaga awak seumur hidup saya. Ternyata semua ini hanyalah permainan awak” ujarku terkilan. Aqel terdiam panjang. Nampak sangat dia terkejut.
“Puas hati awak mentertawakan saya kan...” ujarku kecewa.
“Saya tak bermaksud macam tu” tegas Aqel meningkah bicaraku.
“Awak perangkap saya dengan janji saya. Saya ingatkan awak betul – betul sakit” keluhku sayu dan kecewa. Aqel menatapku.
“Mujur juga Haqem memaklumkan perkara sebenar. Kalau tak seumur hidup saya akan menyalahkan diri sendiri. Awak pula terus seronok mempermainkan saya” luahku terkilan. Senyap.
“Awak nampak menyesal bernikah dengan saya” suara Aqel memecah kesepian sambil melontar pandangan tepat ke wajahku. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan. 
“Saya memang ikhlas menjadi suami awak. Saya tak sangka pula kalau buat awak rasa terpaksa menerima saya sebagai suami awak. Maaf sebab saya, awak dan Haqem tak dapat bersama. Maaf juga sebab saya takkan lepaskan awak. Awak takkan dapat hidup bersama Haqem lagi” tegas Aqel dengan wajah yang serius.
“Saya tak kisah kalau awak nak berlaku kejam pada saya, tapi bagaimana dengan Rania? Awak nak terus biarkan dia menunggu awak begitu lama?” ujarku lirih dengan pandangan sinis menatap Aqel. 
“Berlaku kejam pada awak?” bicaraku menjadi persoalan Aqel.
“Nampaknya awak terseksa tak dapat hidup bersama Haqem” ujar Aqel lagi.
“Berhenti bercakap pasal Haqem. Dia takde kena – mengena dalam hal ini. Saya tak mahu mendengar awak menyebut namanya lagi” tegasku. Aqel tersenyum – senyum sendiri.
“Ada perlunya kita bercakap pasal Haqem” tingkah Aqel. Aku mendengus. Aqel sudah kehabisan modal mahu berbicara sebab itu dia mula membabitkan Haqem pula. Tidak disangka Aqel sanggup berbuat demikian terhadap sahabat baiknya.
“Setiap kali awak rindukan saya, awak tengok buku ini. Setiap kali awak teringat pada saya, awak tengok juga buku ini” ujar Aqel menyentakkanku. Itu kata – kata yang pernah keluar dari mulutku diperdengarkan di telinga Haqem pada hari perpisahan kami. Bagaimana Aqel boleh mengeluarkan ayat yang serupa ini?
“Patutlah setiap hari Haqem tengok buku itu. Ke mana – mana saja dia bawa buku itu. Dia langsung tak mahu berenggang dengan buku itu. Bermakna Haqem sentiasa merindui dan mengingati awak. Mungkin sebab ini juga hati awak tak pernah tenang” tutur Aqel persis sedang menyalahkanku.
“Bukan salah saya kalau Haqem bertindak sedemikian” tingkahku.
“Awak mahu berpisah dengan Haqem, tapi dalam masa yang sama awak berikan harapan padanya. Haqem tak pernah berputus asa nak dapatkan awak kembali” ujar Aqel.
“Awak tahu sebab Haqem masih menaruh harapan pada awak?” soal Aqel sambil merenungku. Aku mengunci mulut. Tidak mahu bertikam lidah dengan Aqel tentang perkara ini.
“Dalam hati awak masih ada Haqem. Bayangan Haqem sentiasa bersama awak” tutur Aqel serius. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaanku.
“Sama jugalah seperti awak, Rania tak pernah melepaskan awak. Dalam masa yang sama awak masih mengingati kekasih pertama awak” bentakku tidak ralat hanya aku dipersalahkan seorang. Tiba – tiba sahaja Aqel tersenyum sendiri.
“Akhirnya mengaku juga awak ya. Sungguh mengecewakan saya” lirih sahaja suara Aqel singgah di telingaku. Aqel bangkit dari sofa itu lalu melangkah longlai ke muka pintu. Langkah Aqel mati. Dia berpaling semula ke arahku.
“Saya nak jumpa kawan dan tak balik malam ini” tutur Aqel lalu menyambung langkahnya kembali. Daun pintu ditutup. Susuk tubuh Aqel sudah tidak kelihatan lagi. Di birai katil ini aku terdiam panjang. Rasa kecewa dan terkilan yang belum padam. Apa yang kuharapkan berlaku hari ini terpesong jauh. Nyatanya aku dan Aqel dalam sengketa sekarang.
“Awak tunggu di luar ya, kejap lagi saya sampai” tutur Nana mengarah.
“Okey... Assalamualaikum” sahutku seraya mematikan perbualanku dengan Nana. Kusimpan i-Phone ke dalam saku beg galasku lalu bergerak keluar bilik. Kasihan Nana. Baru semalam dia berbahagia dengan majlis pertunangannya dengan Arryan. Hari ini tiba – tiba sahaja ayahnya dimasukkan ke hospital. Mujur juga tiada sakit yang serius sekadar tersalah makan.
“Mak, Lia dah nak pergi ni” beritahuku sedikit melaung.
“Hati – hati dan jangan lupa kirim salam pada mak dan ayah Nana” sahut mak dari dapur. 
“Okey....” balasku lalu melangkah ke pintu. Kebetulan Nana baru sahaja sampai. Aku segera menyelinap masuk ke dalam kereta Nana.
“Awak okey?” soalku sambil berpaling menatap Nana. Nana tersenyum. Sudah cukup menggambarkan dirinya baik – baik sahaja.
“Masih keletihan. Majlis seringkas macam mana sekalipun tetap banyak menggunakan tenaga” ujar Nana berkongsi pengalaman. Aku tersenyum.
“Jangan – jangan awak tak dapat tidur semalam sebab seronok sangat bertunang” ujarku mengusik Nana. Nana tergelak.
“Taklah sampai macam tu sekali” tingkah Nana mematikan usikanku.
Kereta Nana membelok memasuki kawasan Hospital Sri Cahaya. Jarak hospital ini tidaklah jauh dari rumah mak. Mujur juga mudah sahaja kami mendapatkan parkir. Bukan senang hendak dapatkan parkir kosong kalau tidak tawaf dua tiga kali memandangkan kawasan ini sering dikunjungi orang. Pagi ini kami bernasib baik. Aku dan Nana keluar dari kereta lantas beriringan mengatur langkah ke wad lelaki.
“Lupa saya nak beritahu awak. Aqel ada datang semalam. Sekejap saja” tutur Nina mengejutkan aku. Kupandang Nana. Kami berbalas pandangan.
“Aqel datang ke rumah awak?” soalku meminta kepastian. Nana mengangguk.
“Kira – kira sejam selepas awak balik” jelas Nana. Aku diam. Aqel sudah menepati janjinya. Rasa bersalah pula melayannya dingin semalam. Ahh.... bukan salahku! Sepatutnya Aqel berterus terang sahaja denganku. Kedatangannya ke rumah Nana tidak perlu disembunyikan. Namun yang menghairankan aku ke mana dia pergi sebelum berkunjung ke rumah Nana? Bukankah Aqel telah memaklumkan bahawa dia dan Rania menjadi pengapit di majlis persandingan sahabatnya. Pasti Aqel dan Rania menjadi pasangan pengapit yang telah memukau pandangan mata para tetamu.Bagai pinang dibelah dua, laksana cincin dengan permata. Bisa mengalahkan pasangan pengantin. Sempat juga aku membayangkannya.
“Oh... rupa – rupanya awak berdua pakai baju yang sama. Patutlah awak nampak cantik sangat semalam. Sayangnya awak dan Aqel tak datang bersama kalau tak boleh ambil gambar awak berdua” tutur Nana tersengih.
“Takdelah...” tingkahku. Timbul rasa seganku kepada Nana. Aku menghias diri bukan mahu memukau pandangan Aqel. Sekadar teringin menjadi pasangan yang sepadan dengan Aqel di majlis pertunangan Nana. Itu sahaja dan setakat itu sahaja. Oh... rasa menyesal pula melakukan semua itu!
“Aqel dan perempuan...” suara Nana menyentakkanku. Serta – merta langkahku dan langkah Nana terhenti. Pandangan kami dilontar ke arah Aqel dan Rania yang sedang beriringan melangkah. Tangan Rania memaut mesra lengan Aqel. Mereka bergerak ke parkir. Kemudian menyelinap masuk ke dalam kereta Aqel.
“Lia.... itu Rania kan...?” soal Nana dengan raut wajah yang terkejut. Mungkin tidak menyangka akan menyaksikan Aqel bersama perempuan lain di depan matanya.
“Ya.... kekasih Aqel. Mari....” sahutku lalu menyambung langkah kembali. Rupa – rupanya Aqel tidak balik semalam kerana bersama Rania. Mengapa mereka berada di sini? Siapa yang sakit?
“Tak mungkin Aqel curang. Mesti perempuan itu sengaja nak perangkap Aqel” ujar Nana tidak puas hati dengan gelengan kepalanya. Sukar dirinya hendak menerima kenyataan Aqel nampak mesra bersama Rania.
“Tak menghairankan Nana. Lelaki buaya memang suka perempuan” bidasku.
“Awak call Aqel sekarang. Cuba tanya dia di mana. Nak tahu dia bercakap benarkah tak. Kalau dia bercakap benar maksudnya takde apa – apalah dia dengan perempuan itu” ujar Nana.
“Biarkan sajalah” ujarku tidak mahu mengendahkan semua itu. Besar anak mata Nana menatapku. Jawapan yang tidak dijangka akan didengarnya dari mulutku. Pelikkan. Seorang isteri masih tenang tatkala melihat suaminya mesra bersama perempuan lain.
“Lia... awak dan Aqel ada masalahkah?” soal Nana mematikan langkahku. Tersentak. Tidak menduga Nana akan mengutarakan persoalan ini.
“Awak nak kembali bersama Haqem?” soal Nana lebih mengejutkanku. Aku dan Nana berbalas pandangan. Mulutku terkunci. Tidak percaya Nana akan berfikiran sejauh itu.
“Mari....” ajak Nana mendahului langkahku melewati pintu wad lelaki. Persoalan Nana berlalu bersama angin. Belum sempat aku hendak menjawabnya, Nana sudah melangkah mendapatkan ayahnya yang ditemani Mak cik Norimah, ibu Nana. Pertanyaan Nana tergantung begitu sahaja.

“Lia... free sekarang?”
“Ya... Mak Long duduk rumah saja. Baru lepas jenguk ayah kawan di hospital” jelasku. Tidak berniat pula mahu bercerita terperinci tentang ayah Nana yang dimasukkan ke hospital kepada Mak Long.
“Lia boleh datang sini sekarang. Tadi call Hyeon, dia kata ada hal” jelas Mak Long. Aqel ada hal? Aku tersenyum sinis sendiri. Terbayang kembali tangan Rania memaut mesra lengan Aqel. Mereka bagaikan pasangan suami – isteri yang bahagia.
“Nak tunjukkan sesuatu  pada Lia” tambah Mak Long berbicara dengan suara yang ceria. Bagai tidak sabar – sabar dirinya hendak menanti kunjunganku ke situ.
“Okey... kejap lagi Lia datang” janjiku tidak mahu mengecewakan Mak Long.
“Mak Long tunggu tau...” ujar Mak Long mengingatkan aku.
“Ya ..... assalamualaikum Mak Long” Kutamatkan perbualan dengan Mak Long. Mengingati Mak Long aku melepaskan keluhan kecilku. Berpanjangan rasa bersalahku kepada Mak Long. Berat hati sahaja mahu bertentang mata dengan Mak Long. Bukan kebencian tetapi tiada kekuatan berterus terang mensirnakan salah faham Mak Long dan mak terhadapku.
Memandangkan mak masih belum balik lagi, kukunci pintu rumah. Aku terus menghidupkan motor sambil membuang pandangan jauh. Terdetik persoalan terhadap undangan Mak Long ini. Mungkinkah Mak Long ada perkara serius yang mahu dibualkan denganku?Apa sebenarnya yang mahu Mak Long tunjukkan kepadaku?
Aku memulakan perjalanan. Setibanya di sini, pintu pagar banglo ini sudah terkuak luas menjemputku masuk tanpa perlu menunggu. Tatkala aku sampai di halaman, kelihatan Mak Long sedang terpacak di muka pintu menyambut kedatanganku dengan senyuman yang lebar. Nampak tidak sabar – sabar Mak Long mahu bertemu denganku. Aku menyalami tangan Mak Long yang berwajah berseri – seri.
“Lia masih naik motor?” soal Mak Long bernada bimbang.
“Ya Mak Long. Mak dah keluar tadi, tak dapat nak pinjam kereta Waja” jelasku. Aku faham dengan kebimbangan Mak Long. Mak Long pasti risaukan keadaanku yang kononnya sedang mengandung sekarang. Mak Long mahu menjaga keselamatanku dan janin yang tidak pernah wujud ini.
“Lia, mari masuk” laju sahaja tanganku ditarik mengekori langkah Mak Long.
“Nak buat apa ni, Mak Long?” soalku hairan. Tanganku masih dipimpin tangan Mak Long. Langsung tidak mahu dilepaskan.
“Nak tunjukkan sesuatu pada Lia” ujar Mak Long masih berahsia. Hatiku melonjak – lonjak ingin tahu. Tertanya – tanya mengapa Mak Long begitu bersemangat. Langkahku dan Mak Long terhenti di depan pintu bilik ini. Mak Long menatapku. Senyuman indah terukir di bibirnya. Ada sesuatu yang istimewa yang mahu Mak Long tunjukkan kepadaku. Perlahan – lahan tangan Mak Long menolak daun pintu. Mahu membuat kejutan kepadaku.
“Khas untuk baby Hyeon dan Lia” ujar Mak Long tatkala daun pintu sudah terkuak seluasnya. Aku tergamam dan terpaku. Bilik berlatar belakangkan warna biru laut bercampur biru gelap. Tujuh planet dunia terlukis di dada dinding. Sangat menarik dan menakjubkan. Persis berada di ruang angkasa. Kejora menghiasi katil comel si kecil bersama model kapal terbang plastik yang sedang terbuai – buai ditiup angin. Di dada cadar katil itu kelihatan Si Angkasawan ‘Bear’ dalam pelbagai aksi setelah berjaya menawan bulan. Sungguh comel. Anak mataku bergerak ke bahagian lain di ruang bilik luas ini. Dinding merah itu adalah lukisan litar perlumbaan. Imej kereta lumba Ferrari memecut dengan laju. Diekori motor berkuasa tinggi. Ada kereta dan motor budak bersama pelbagai jenis mainan peralatan sukan. Bak pusat jagaan budak yang dilengkapi dengan pelbagai alat permainan. Ini adalah ruang Si Comel bermain – main.
“Mama memang yakin Lia dan Hyeon akan dapat baby boy” suara lunak Mak Long singgah di halwa pendengaranku. Aku terkedu.
“Ini cetusan idea mama. Mama nak buat sesuatu yang istimewa untuk cucu yang dikasihi” luah Mak Long bersungguh – sungguh sambil merangkul mesra bahuku . Aku masih terdiam panjang. Buat pertama kali Mak Long membahasakan dirinya ‘mama’.
“Mama harap Lia menyukainya” tutur Mak Long menatapku buat aku serba salah.
“Mak Long buat sesuatu yang sangat menakjubkan sampai Lia tak terkata” jelasku dengan perasaan yang terbeban.
“Sayang cucu nenek” ujar Mak Long mengusap lembut perutku. Aku tersentak dengan tindakan Mak Long. Rasa gemuruh menyentapku. Dapatkah Mak Long merasakan bahawa tiada janin dalam kantung rahimku ini. Alangkah baik jika Mak Long dapat merasakannya, maka tidaklah aku rasa terhukum begini. Mak Long mengajakku menerokai bilik luas ini. Betapa Mak Long bangga merealisasikan impiannya mewujudkan bilik tidur bayi yang menakjubkan buat cucu kesayangannya.
Aku menatap Mak Long yang berwajah berseri – seri bercerita tentang segala persiapan bilik ini dengan perasaan teruja. Tidak cukup itu, Mak Long berimaginasi juga tentang gelagat dan kerenah bakal cucu kesayangannya itu persis si ayahnya, Aqel. Mak Long begitu percaya benih Aqel sedang bercambah dan membesar dalam rahimku ini. Suara ceria Mak Long bercerita panjang tentang bakal cucu kesayangannya itu melemahkanku. Aku terasa lemas berada di dalam bilik indah ini. Nafasku sesak. Jiwaku terseksa. Aku bagaikan tidak mampu bertahan lama di dalam bilik ini.
“Lia nampak tak selesa. Tak sihatkah?” soal Mak Long menyedari diamku yang  panjang. Aku geleng kepala.
“Lia ada hal?” soal Mak Long.
“Maaf Mak Long, Lia tak dapat lama di sini” sahutku. Mak Long tersenyum sambil menepuk lembut bahuku.
“Tak pe .... Lia boleh balik berehat” ujar Mak Long mengerti.
“Terima kasih, Mak Long” ujarku menghargai pengertian Mak Long.
“Tak pun berehat di sini saja. Nanti mama suruh Hyeon datang ambil Lia” saran Mak Long. Laju aku menggeleng.
“Lia boleh bawa motor? Kalau tak biar driver mama yang hantar Lia balik” cadang Mak Long. Aku menggeleng.
“Hey.... tak perlulah, Mak Long. Lia masih boleh bawa motor” jelasku menolak lembut cadangan Mak Long. Mahu tidak mahu Mak Long terpaksa menurut bicaraku. Kusalami tangan Mak Long. Lantas Mak Long memeluk tubuhku erat.
“Terima kasih, Lia” tutur Mak Long sambil menatapku penuh kasih sayang. Aku tercengang - cengang. Tidak mengerti maksud di sebalik pengucapan Mak Long ini.
“Terima kasih sebab buat mama lebih bahagia saat ini. Mama memang impikan keluarga yang besar. Hyeon juga sukakan kanak – kanak. Sudah sampai masanya Hyeon melupakan kisah lalu dan mencurah kasih sayangnya kepada orang baru” tutur Mak Long buat aku termangu – mangu. Terlintas nama Flora di benakku. Betulkah Mak Long mahu Aqel melupakan Flora cinta pertamanya? Ada cerita tentang Aqel yang Mak Long tidak mahu kongsi bersamaku? Oh.... Mak Long juga persis Aqel suka berahsia! Aku berpisah dengan Mak Long dengan perasaan yang terbeban. Rasa bersalah yang mendalam. Tidak tega juga mahu membunuh kebahagiaan Mak Long. Aku semakin tertekan.   
Setibanya aku di halaman rumah mak, aku nampak kereta Aqel sudah berada di sini. Sudah balik selepas bersama dengan Rania semalaman. Mak belum balik lagi. Aku melangkah longlai ke bilik tidur. Aqel sedang terlentang tidur di atas katil. Tampak sungguh lena. Kupandang lama wajah putih bersih itu. Kupandang rambutnya, beralih pada sepasang matanya, hidung, bibir dan dagunya. Begitu sempurna sebagai seorang lelaki. Kupandang tubuh Aqel yang sedikit kurus ini. Kalaulah aku boleh nampak hati Aqel lantas mentafsirnya, pasti tiada rahsia antara kami. Aku dan Aqel akan saling memahami. Maka hubunganku dengan Aqel akan menjadi lebih baik. Seterusnya, menjadi suami isteri seperti orang lain. Ketika itu impian mak dan Mak Long akan termakbul.
“Dah lama awak perhatikan saya?” Aku tersentak mendengar suara Aqel menegurku. Beradu pandangan dengan Aqel seketika. Aku mengalih pandanganku lantas membawa diri ke sofa di sudut tepi bilik ini. Aku melabuhkan duduk di situ.
“Saya baru balik dari rumah awak. Berada di sana membuatkan saya bagaikan tak mampu bernafas. Sesak nafas saya. Saya rasa tertekan sangat” ujarku perlahan- lahan. Aqel bingkas bangun dari perbaringannya. Duduk berlunjur di atas katil sambil memandangku.
“Apa yang mama buat pada awak?” soal Aqel serius. Senyap. Aku mengetap bibir menahan gelora perasaan. Terasa anak mataku berkaca – kaca. Cuba bertahan. Tidak mahu menangis di depan Aqel.
“Saya dah tak mampu berhadapan dengan Mak Long” tuturku perlahan. Suaraku bergetar. Air mataku perlahan mengalir menuruni cerun pipiku.
“Flora.... kenapa ni?” soal Aqel bingkas bangun merapatiku.
“Mengapa awak menangis?” soal Aqel gusar.
“Semua ini harus diakhiri” ujarku sambil mengesat titisan air mata yang mengalir di pipi.
“Apa yang harus diakhiri? Awak nak berpisah dengan saya?” soal Aqel sambil menatap wajahku. Kupandang Aqel.
“Kembalilah pada Rania. Dia tak boleh kehilangan awak” tegasku.
“Mengapa dengan awak ni?” nada suara Aqel tinggi. Aku menarik nafas dalam – dalam. Kukumpul kekuatan diri.
“Saya tak mahu berlaku kejam pada awak dan Rania. Disebabkan saya, awak dan Rania tak dapat bersama. Pagi tadi saya nampak awak dengan Rania di hospital” jelasku berterus terang. Aqel terpana menatapku. Pasti dia tidak mahu aku mengetahui perkara ini. Kutatap Aqel yang terdiam panjang. Tiba – tiba sahaja deringan iPhone Aqel memecah keheningan ini. Aqel mengalih pandangannya ke arah iPhone itu lantas mencapainya. Panggilan itu dijawab.
“Assalamualaikum.... ya... Rania” Nama itu meniti di bibir Aqel. Rania sedang bercakap dengan Aqel sekarang. Apa yang dimahukan oleh gadis itu? Semalaman sudah dihabiskan bersama Aqel. Rania langsung tidak mahu berenggang dengan Aqel. Mungkinkah cinta mereka sudah kembali bertaut?
“Tunggu di sana ..... sekejap lagi saya sampai” arah Aqel. Panggilan itu dimatikan. Aqel menatapku. Ternyata penyatuan kembali hubungannya dengan Rania tidak mahu disembunyikan daripada pengetahuanku lagi.
“Saya nak keluar. Rania perlukan saya sekarang” jelas Aqel.
“Dia memang sentiasa perlukan awak” sahutku jujur. Aqel menatapku seketika. Itulah kenyataannya. Aqel tidak boleh menafikannya. Rania memang sentiasa perlukan dirinya. Sebab itu jugalah sampai sekarang Rania masih menjejaki Aqel. 
“Pergilah .... nanti lama pula Rania tunggu awak. Saya nak bersendirian di bilik ini sekarang .... saya nak mandi” jelasku meminta Aqel segera berganjak keluar dari bilik ini.
“Balik nanti kita sambung perbualan ini” tutur Aqel lalu bangun dari katil lantas melangkah ke muka pintu. Sekejap sahaja kelibat Aqel lenyap di sebalik pintu, mahu segera bertemu dengan Rania, sedangkan aku masih terpacak di sini, melontar pandangan ke muka pintu bagai menanti seseorang. Mungkin berharap Aqel berpatah balik. Aku melepaskan keluhan sambil melangkah longlai mendekati katil lalu merebahkan tubuh ke tilam. Kupejamkan mata rapat – rapat. Cuba mengosongkan fikiranku. Kuseru hatiku agar bertenang. Yakin pada kebijaksanaan Aqel. Segalanya akan mudah.

  “Awak mesti jealous tengok saya bersama dengan Raniakan?” teka Aqel dengan senyuman mengusik. Aku mencebik bibir. Langsung tidak terfikir akan berperasaan sedemikian.
“Jangan nak mimpi di siang harilah” perliku. Aqel tersengih.
“So kenapa awak nampak begitu dingin saja? Awak cuba nak sembunyikan perasaan awak itu tapi saya terlalu bijak menyelaminya” tutur Aqel masih tidak berputus asa.
“Berhentilah berfikir yang bukan – bukan” tegahku rimas. Aqel tersenyum sendiri. Pening kepalaku melayan kerenahnya. Bingkas aku bangun dari sofa ini.
“Awak nak ke mana tu?” soal Aqel tatkala melihat aku sudah memusing tembol pintu. Kutulikan telinga. Daun pintu sudah terkuak. Lantas aku melangkah keluar dari bilik ini.
“Awak nak lari dari saya ya...” Aqel sedang mengekori langkahku.
“Buat apa saya nak lari dari awak” tingkahku janggal.
“Sebab awak masih mahu berpura – pura di depan saya. Cuba buat tak kisah pasal Rania” tutur Aqel persis mahu melihat aku mencemburui mereka.
“Jadi awak nak tengok saya meraung – raung dan merayu – rayu awak?” tingkahku radang. Aqel tersenyum lebar.
“Tengok awak marah. Sah awak cemburu sekarang” tutur Aqel tersenyum – senyum.
“Malas saya nak layan manusia perasan macam awak ni” rungutku cuba menjarakkan diri dari Aqel. Kedengaran gelak Aqel.
“Flora... Tak payah marah...” Langkahku terhenti lantas tubuhku terpaling tatkala tangan Aqel menarikku. Terlalu dekat jarakku dengan Aqel. Deruan nafasnya begitu jelas di pendengaranku.
“Saya sayang awak!” Cup!!! Kucupan bibir Aqel singgah di pipiku. Aku terpana.
“Awak....!!!” jeritku bagaikan baru tersedar. Hati yang radang dengan mata yang menyinga aku menatap Aqel. Aqel tergelak – gelak suka. Laju sahaja penumbukku melayang cuba mensasarkan pipi Aqel. Namun Aqel berjaya mengelak. Tumbukanku tersasar di bahunya. Aqel menggerang kesakitan. Wajahnya berkerut.
“Kalau awak berani buat lagi saya korek – korek mata awak tu” ancamku memberi amaran tegas. Terkebil – kebil Aqel menatapku sambil tangannya mengusap – usap bahunya. Dia tidak menyangka aku akan bertindak ganas. Padan mukanya! Suka sangat mengambil kesempatan.  
  “Apa hal ni, Lia?” suara mak menegur. Laju aku dan Aqel berpaling. Mak dan Mak Long sedang menatap kami. Serta merta wajahku panas membahang. Pasti mereka nampak perlakuan tidak senonoh Aqel sebentar tadi.
“Takkan Aqel nak sayang kamu sampai nak pukulnya pula” tegur mak kurang senang. Aku menggetap bibir menahan geram. Aqel tersengih mendapat pembelaan mak.
“Memang patut Lia pukul Hyeon sebab berperangai tak senonoh. Kalau nak sayang isteri pun tak payah nak tunjuk – tunjuk” Mak Long pula bersuara berpihak kepadaku. Aku menahan rasa malu yang menebal di depan mak dan Mak Long. Sungguh aku tidak suka perkara ini menjadi isu perbualan sekarang.
“Tak payahlah risau, Su. Mesti sebab pembawaan budak tu. Dulu masa akak mengandungkan Hyeon, akak pun tak suka suami dekat – dekat. Cepat melenting” tutur Mak Long cuba membuatkan mak mengerti akan tindakanku. Mak Long tidak mahu mak menyalahkan aku atas tindakanku terhadap Aqel sebentar tadi. Sungguh suci murni hati Mak Long.
“Minta maaf pada Aqel. Berdosa memperlakukan suami begitu” tegur mak dengan wajah serius. Aku mengangguk. Lantas kujeling Aqel yang masih tersengih – sengih di sebelahku.
“Kami bergurau sajalah mak” tutur Aqel tidak mahu mak mengambil serius perkara ini. Mak menghantar isyarat matanya mengarahkan aku bersuara.
Sorry....” tuturku sekadar melafazkan di bibir. Tiada kesungguhan. Merasakan tindakan yang tidak patut. Aqel yang bersalah, aku pula yang harus meminta maaf.
“Petua mudah nak bersalin, jaga tutur kata dan tingkahlaku di depan suami” nasihat mak merimaskan aku. Bukan marah sebab nasihat ini tetapi kenyataan di sebalik bicara mak. Aku memang tidak tahan kalau berbicara pasal bab mengandung. Sungguh menekan aku.
“Di mana nak letak barang – barang ini, puan?” suara lelaki mencelah lantas semua melontar pandangan ke muka pintu. Di situ pandangan kami bersatu.
“Oh.... kamu dah sampai. Mari saya tunjukkan biliknya” tutur mak berwajah ceria. Cepat sahaja mood mak berubah.
“Mari kak....” ajak mak meminta Mak Long mengekori langkahnya. Aku dan Aqel terkebil – kebil menatap beberapa orang lelaki yang masuk membawa beberapa buah kotak besar mengekori langkah mak dan Mak Long.
“Mereka buat apa?” soalku sambil menatap Aqel. Sungguh aku musykil dengan kedatangan beberapa orang lelaki yang tidak kukenali ini.
“Aqel dan Lia datanglah sini” suara mak mengarah sedikit melaung memanggilku dan Aqel. Aku dan Aqel saling berpandangan. Ada sesuatu yang mak mahu tunjukkan kepadaku dan Aqel. Aku mendahului langkah Aqel hendak bersama mak dan Mak Long di bilik tingkat atas. Bilik yang sudah agak lama terbiar kosong bersebelahan dengan bilikku.
“Simpan barang – barang itu di sana” arah mak kepada lelaki – lelaki itu. Sebenarnya pekerja sebuah syarikat alat permainan kanak – kanak. Aku terbaca label pada kotak – kotak yang baru sahaja dibawa masuk ke dalam bilik ini. Aku terkedu panjang. Aqel juga membisu.
“Su..., kamu suka warna apa? Nak tema apa?” soal Mak Long teruja.
“Terpulanglah pada Lia dan Aqel” sahut mak tersenyum sambil melirik ke arahku dan Aqel. Aku tersentak. Aqel terlopong panjang.
“Akak rasa kita akan dapat baby boy. Perangai Lia sama macam perangai akak masa mengandungkan Hyeon dulu” jelas Mak Long dengan wajah berseri – seri. Aku terpana mendengar bicara Mak Long.
“Kalau macam tu kita hiaslah bilik ni untuk baby boy, kak” sahut mak tersenyum. Sama girang dengan Mak Long. Senyuman mak dan Mak Long bersatu. Aku menelan liur pahit. Kupandang Aqel. Berharap Aqel akan bersuara dan melakukan sesuatu. 
“Hyeon.... kamu dah buat apa yang mama suruh?” soal Mak Long seraya berpaling ke arah Aqel. Aqel tersentak. Dia mengangguk. Mak Long tersenyum berpuas hati. Aku bertambah keliru. Apa yang telah Aqel lakukan?
“Mana kuncinya?” soal Mak Long dengan kening yang sedikit terangkat.
“Sekejap... Hyeon ambil sekarang” ujar Aqel lantas berpaling dan melangkah ke pintu. Tidak sempat aku hendak mengemukakan pertanyaan kepadanya. Kelibat Aqel lenyap. Aku memerhatikan gelagat mak dan Mak Long yang sedang rancak berbincang tentang konsep bilik tidur ini. Banyak sangat idea mereka.
“Flora.....” Aku berpaling. Aqel sudah berada di sebelahku. Wajahku ditenung.
“Untuk awak. Saya harap awak akan menerimanya tanpa sebarang persoalan” tutur Aqel.
“Apa ni?” soalku sambil menatap kunci yang sudah berada di tanganku. Kupandang Aqel. Sungguh aku tidak mengerti.
“Hadiah saya untuk awak” jelas Aqel.
“Hadiah?” Dahiku berkerut seribu. Hari ini bukan ulang tahun kelahiranku.
“Selepas ini Lia tak boleh guna motor lagi. Pergi mana – mana bawa kereta tu” suara Mak Long mencelah. Aku terkesima. Rupa – rupanya kunci kereta berada ditanganku sekarang. Kutatap Aqel memohon penjelasan lanjut. Dalam masa yang sama aku tidak mahu Aqel terus berdiam diri dalam hal ini. Hatiku mendesak agar salah faham ini disirnakan. Aku sudah tidak mampu menanggungnya.     
“Sayang sangat Aqel pada kamu, Lia” suara mak begitu ceria. Kutatap mak dan Mak Long silih berganti. Kualih pandangan kepada Aqel yang hanya membisu.
“Lia tak boleh terima hadiah ini” tegasku dengan wajah yang serius. Mak dan Mak Long nampak tersentak. Mereka keliru.
“Mak dan Mak Long dah salah faham” tegasku lagi. Kali ini aku nekad akan berterus – terang. Kukumpul kekuatan diri.
“Apa maksud Lia?” soal Mak Long. Kugenggam jari – jemariku. Ada kekuatan yang sudah terkumpul. Pandangan mata mak dan Mak Long tidak melemahkanku. 
“Lia dan Aqel tak pernah hidup sebagai suami isteri yang sebenar – benarnya. Lia masih anak gadis mak (suara ditekan )...... masih dara” ujarku serius.
“Flora..... Lia” suara Aqel dan mak berselang – seli. Aqel tergamam dan terpaku. Mak terduduk dengan wajah yang pucat. Begitu juga dengan Mak Long yang tersandar di sofa di bilik ini. Semua lemah tidak bermaya. Keterujaan mak dan Mak Long hendak menimang cucu hancur lebur.
“Maafkan Lia, mak.... Mak Long” pintaku rasa bersalah. Aku telah melukai perasaan mak dan Mak Long. Aku juga telah menempatkan diri Aqel dalam masalah sekarang. Sungguh aku tiada pilihan. Keadaan yang mendesak aku berterus – terang tentang kehidupanku dengan Aqel.
“Kamu tak mencintai Hyeon, Lia? Selama hidup bersama Hyeon, hati kamu langsung tak tertarik padanya?” soal Mak Long kecewa. Kutatap wajah Mak Long. Seketika kami saling berpandangan. Aku tertunduk. Sudah tiada keberanian mahu menatap wajah Mak Long. Rasa bersalah yang menggunung menyelubungi diri.
“Patutlah kehidupan kamu berdua adakalanya nampak pelik” tutur mak bersuara meluahkan kesangsiannya. Mak melepaskan keluhannya. Dia menggeleng kepala beberapa kali. Nampak sangat mak kecewa. Senyap seketika. Kuberanikan diri melontar pandangan kepada Aqel yang masih tidak bersuara. Kebetulan Aqel sedang mengarah matanya ke arahku. Aku dan Aqel beradu pandangan seketika. Wajah yang paling serius yang pernah aku nampak sedang dipamerkannya kepadaku. Terasa Aqel murka dengan tindakanku. Aku tahu dia begitu menjaga perasaan Mak Long dan mak selama ini.
“Demi kebahagiaan awak juga, Aqel” ujarku perlahan.
“Maksud Lia?” Mak Long dan mak saling berpandangan. Kemudian sama - sama menatapku. Menunggu bicaraku selanjutnya.
“Ada insan yang lebih berhak ke atas Aqel yang tak pernah dilupakannya sampai sekarang” ujarku berterus terang. Alang – alang aku membuka mulut, biarlah semuanya kuluahkan. Sudah lama juga aku dibelenggu perkara ini.
“Apa semua ini, Hyeon? Kamu curang dengan Lia?” suara Mak Long tinggi. Pandangannya menyinga menatap Aqel yang terkebil – kebil menatapku. Aqel mengetap bibir menahan perasaan.
“Bertenang, kak. Biar kita bincang elok – elok perkara ini” ujar mak menenangkan Mak Long yang sudah berang. 
“Siapa perempuan itu, Hyeon?” soal Mak Long serius. Aqel masih berdiam diri. Mak Long mengalih pandangannya ke arahku. Gerun dan gusar bercampur baur menyelubungiku. Pandangan Mak Long melemahkanku.
“Awak tahu perempuan itu, Lia?” soal Mak Long mengalih pertanyaan yang belum terjawab itu. Kutatap Aqel kemudian beralih ke wajah Mak Long. Mak Long tidak mahu melarikan pandangannya dari wajahku. Tiba – tiba sahaja Aqel melangkah ke arahku lantas mencapai tanganku. Erat. Aku terkedu. Mak dan Mak Long nampak tersentak dengan tindakan Aqel.
“Biar Hyeon dan Lia selesaikan salah faham ini” ujar Aqel lalu menarik tanganku beredar dari situ. Aku cuba menyentap kuat tanganku dari genggaman tangan Aqel. Gagal. Genggaman tangan Aqel begitu kukuh. Aku tiada berdaya melepaskan diri selain terdorong mengikut langkah Aqel ke bilik tidur. Daun pintu dikunci. Aku menjarakkan diri dari Aqel. Cuba berjaga – jaga. Risau melihat keseriusan Aqel saat ini. Mungkin Aqel boleh bertindak di luar kawalan.
“Apa sebenarnya niat awak?” soal Aqel serius. Senyap. Aku mengunci mulut.
“Awak dah tak de suara nak cakap? Tadi bukan main pandainya awak bercakap” sinis sahaja suara Aqel.
“Kenapa awak halang saya beritahu Mak Long yang awak sebenarnya ada kekasih? Selama ini awak tak pernah pun melupakan Flora, kekasih awak itu” tegasku. Tajam pandangan Aqel menatapku.
“Kalau awak berani awak cakaplah pada mama!” lantang suara Aqel. Bahuku terangkat. Terkejut mendengar  suara Aqel yang meninggi. Aqel menengkingku. Senyap. Aqel terduduk di birai katil dengan kepala yang tertunduk menatap lantai. Dia meraup kedua – dua belah tangannya ke muka. Kedengaran keluhan beratnya. Tampak dirinya tidak berdaya.
  “Awak hampir – hampir membunuh seluruh keceriaan hidup mama” suara Aqel perlahan. Kesal. Aku tersentak. Betulkah tindakanku tadi terlalu kejam? Terasa terhukum dengan bicara Aqel. Binggung. Langsung tidak terniat aku hendak memusnahkan keceriaan hidup Mak Long. Apatah lagi mahu memusnahkan kehidupan Aqel. Aku mahu Aqel bahagia bersama cinta sejatinya. Aku berniat baik mahu menyatukan Aqel dengan Flora. Biarlah Aqel dengan Flora hidup bahagia dengan restu Mak Long. Sesungguhnya, Aqel sendiri tidak mampu berterus terang pada Mak Long demi mempertahankan cintanya itu.
“Awak benar – benar mahu bersama Haqem kan....” suara Aqel melontar bicara yang amat mengejutkanku. Aku terdiam. Tidak sangka Aqel ada perspektif demikian. Akal Aqel masih tidak dapat memisahkan aku dari Haqem.
“Pasti awak terseksa hidup bersama saya ” keluh Aqel pula. Dia berpaling menatapku.
“Maafkan saya sebab buat awak tak bahagia selama ini” tutur Aqel hampa. Aku terus kehilangan bicara. Aqel bangkit dari duduknya lalu melangkah ke muka pintu. Tembol pintu dipusing. Daun pintu terkuak. Aqel berpaling ke arahku.
“Saya nak hantar mama balik” ujarnya memaklumkan perkara itu lalu melangkah keluar. Daun pintu tertutup. Kelibat Aqel sudah tidak kelihatan lagi. Aku masih mematungkan diri di sudut ini. Cuba mengimbau apa yang telah berlaku tadi. Nyatanya bicara Aqel meninggalkan kesan mendalam di jiwaku. Rawan hati melihat wajah sayu Aqel. Sayup – sayup kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman. Pasti Aqel dan Mak Long sudah berganjak meninggalkan rumah ini. Aku melangkah longlai ke katil lalu merebahkan diri di situ. Terasa lemah tidak bertenaga. Benakku mula membuat pertimbangan. Kesal. Sepatutnya aku tidak bertindak senekad itu di depan mak dan Mak Long. Bagaimana aku hendak berhadapan dengan mereka nanti? Sudah semestinya mak dan Mak Long bersedih saat ini. Aku memejamkan mata mula menyalahkan diri.
Daun pintu diketuk. Kulontar pandangan ke muka pintu yang sudah terkuak. Mak terpacak di situ tanpa secebis senyuman sedang menatapku. 
“Aqel tak balik malam ini tak payah tunggu. Dia nak temankan mamanya. Kasihan Kak Helda, pasti dia terkejut sangat” ujar mak persis berbicara dengan dirinya sendiri.

3 comments:

  1. kenapa cerita ayat berulang atas dan bawah,dah lama tgu citer nih tapi pendek dan berulang pulak tu huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. ohh... sorry...sy br perasan. tq. time post x sempat nak check lg. kbtln line x ok. sbnrnya ni slh satu bab yg pnjg dlm 17 ms. ikut penerbit digalakkan 1 bab dlm 12-15 ms shj. tq ats kesudian membacanya...

      Delete