Wednesday 16 July 2014

99 Mawar Merah UntukMu....! Bab 1







Bab 1

Dengan ekor mataku, aku melirik ke arah anak muda yang sedang bersandar di dinding bangunan lama yang tidak berapa jauh dari tempatku berdiri sekarang. Dia sedang merenungku. Pandangan matanya itu seolah – olah menembusi tubuhku. Tidak berkelip – kelip. Fikirannya tampak kosong. Sebenarnya aku kurang pasti sama ada dia benar – benar sedang memerhatikan aku atau matanya sahaja yang terarah kepadaku. Namun hakikatnya dia tidak nampak sesiapapun. Mungkin juga dia sedang termenung jauh. Walau apapun aku tetap diselubungi kekhuatiran dan rasa gerun. Mungkin pemuda ini perogol bersiri yang menunggu mangsanya. Laju sahaja kulontar plastik berisi sampah di tangan ke dalam tong sampah besar yang sedia ternganga, lantas mengatur langkah mahu segera beredar dari sini. Tegak kepalaku tatkala melewati pemuda ini. Gerun mahu bertentangan mata dengannya. Beberapa langkah jarak aku daripada pemuda itu, langkahku terhenti. Perlahan – lahan aku berpaling. Berniat mahu mempastikan pemuda yang mencurigakan itu sama ada masih berada di situ. Aku tersentak. Laju sahaja aku mengalih mukaku lantas mempercepatkan langkahku meninggalkannya. Tidak sangka dia masih memerhatikan aku tadi. Sempat juga aku dengannya bertentang mata seketika. Lantaran rasa takut sangat aku terus sahaja berlari.
“Apa hal kamu tercungap – cungap ni? Ada nampak hantukah tadi?” soal mama memperliku yang baru sahaja menapak di muka pintu Butik Selendang Kasih milik mama. Aku menggeleng dengan tangan mengusap – usap dadaku. Rancak sahaja jantungku berdegup. Maklumlah baru sahaja menamatkan larian pecut 100 meter.
“Ada anjing kejarkah?” teka mama. Aku menggeleng lagi. Lalu melabuhkan duduk di kerusi kaunter pembayaran. Mahu memulakan tugas rutin sepanjang cuti semester ini.  
“Jangan – jangan dia jumpa hantu terbang tak berkepala” sampuk Kak Ros mengusikku. Kak Ros memang suka menyakatku. Pantang ada peluang pasti digunakan sebaik – baiknya.
“Kamu ni Ros macam – macam. Mana ada hantu siang – siang hari” tingkah mama sambil geleng – geleng kepala. Kak Ros tergelak. Aku mengetap bibir menahan geram.
“Jangan – jangan kamu dikejar lelaki tak siuman tadi. Bahaya tu Auni” tambah Kak Ros menambah kegerunanku. Aku memanjangkan diamku. Wajah pemuda itu kembali menerawang di mataku. Raut wajah yang begitu asing. Persis dia orang luar. Namun air muka pemuda itu tidaklah nampak seperti orang jahat. Yang pelik mengapa dia bersendirian di situ. Dia penagih dadah? Mustahil. Penampilannya bukan seorang penagih dadah. Mengapa dia perhatikan aku lama – lama? Comelkah aku ini sehingga dia suka sangat memerhatikan aku? Jangan – jangan dia sudah terpikat kepadaku. Jatuh cinta pandang pertama. He..he...he... he... Aku tersenyum sendiri. Boleh tahan kreatifnya imaginasiku ini. Aku tersenyum – senyum sendiri.
“Hoi.... cik adik bayar!” Aku tersentak dengan sergahan Kak Ros yang sudah berdiri di depan kaunter ini bersama seorang perempuan pertengahan usia yang sedang tersenyum kepadaku.
“Sempat berangan lagi” kutuk Kak Ros. Aku menjeling Kak Ros. Kemudian tersenyum kepada perempuan ini.
“Berapa harga?” soalku menatap Kak Ros yang sudah berganjak meninggalkan aku dan perempuan ini.
“Tengok tag harga” Besar mata Kak Ros menatapku. Pasti janggal dengan pertanyaanku. Aku tersengih. Persis baru tersedar.
“Takde diskaun?” soalku lagi. Kak Ros menggeleng.
“Boleh juga kalau adik nak beri diskaun” Perempuan ini mencelah. Aku tersenyum dan geleng kepala.
“Tak boleh auntie. Kalau saya beri diskaun bos saya akan potong gaji saya” ujarku bergurau. Perempuan ini tersenyum.
“RM 145.00 auntie  Perempuan ini menghulurkan tiga keping wang kertas RM 50.00. Aku menyambutnya dengan senyuman. Alhamdulillah .... rezeki mama. Lantas kuhulurkan bakinya bersama tudung yang tersimpan di dalam beg kertas ini.
“Terima kasih. Sila datang lagi” ujarku dengan dengan senyuman manis semanis madu. Petua mudah hendak mengambil hati pelanggan agar berkunjung ke butik ini lagi. perempuan ini berlalu ke muka pintu. Sekejap sahaja kelibatnya hilang dari pandangan mata.
“Mama nak ambil barang ni. Auni nak ikut?” Aku berpaling ke arah mama yang baru sahaja muncul dari bilik pejabatnya.
“Siapa jaga kaunter?” soalku.
“Kak Ros kan ada. Bagi Kak Ros jaga kaunter” arah mama sebagai majikan.
“Kak Ros boleh jaga kaunter?” soalku sambil melontar pandangan ke arah Kak Ros.
“Okey....” Kak Ros tersenyum lantas mendekatiku. Sentiasa bersedia untuk mengambilalih tugasku.
“Nak pergi mana?” soal Kak Ros sambil menyoroti pandangan ke arah mama yang sudah bergerak ke muka pintu.
“Nak temankan mama cari calon menantu” ujarku bergurau.
“Alah.... masih belajar lagi dah ingat nak kahwin” perli Kak Ros mengutukku. Aku terus sahaja tertawa.
“Bukan untuk sayalah tapi untuk Along” sahutku membela diri. Tidak sanggup dituduh kemaruk hendak berlaki. Buat malu sahaja kalau Kak Ros ingat aku sudah tidak sabar – sabar mahu kahwin.
“Bye... Kak Ros” Kutinggalkan Kak Ros  bersama lambaian tanganku. Kupercepatkan langkahku kerana mama sedang menantiku di dalam kereta BMWnya. Terus sahaja aku menyelinap masuk lalu duduk di kerusi penumpang di sebelah mama.
“Pakai tali pinggang. Masa ni JPJ dan polis trafik aktif beroperasi” ujar mama mengingatkan aku.
“Takpe duit mamakan banyak. Nanti mama tolonglah bayar untuk Auni” sahutku bergurau mengusik mama. Mama mencebik.
“Tak elok bazirkan duit pada perkara yang tak berfaedah” sahut mama serius.
“Rugi kerana kelalaian sendiri bukan ciri – ciri seorang usahawan yang berjaya” tambah mama membuatkan aku tersenyum. Memang patut mama berbicara sedemikian kerana label mama sudah sampai ke tahap usahawan yang berjaya. Banyak pengalaman yang sudah mama tempuhi. Mama memang arif dengan bidang perniagaan yang diceburi.
Kereta BMW ini melewati kawasan ini. Aku berpaling ke tingkap sisi melontar pandangan keluar cuba menjejaki kelibat pemuda tadi. Dinding itu kosong. Pemuda itu tidak bersandar di situ lagi.
“Tengok apa?” soal mama menyentakkanku. Laju aku geleng kepala. Aku senyum. Perihal pemuda itu tidak boleh dijadikan cerita untuk dikongsi bersama mama. Tidak tega membangkitkan kebimbangan mama. Nanti tidak pasal – pasal mama akan melarangku membantunya di Butik Selendang Kasih. Pasti aku akan separuh mati kebosanan terperap di rumah bersama Kak Mawar, pembantu rumah. Oh..... tidak dapat aku bayangkan cuti semester dihabiskan sedemikian.
“Bila Along cuti mama?” soalku mengalih fokus bicara mama.
“Esok. Dua hari off, lepas tu terbang balik” sahut mama tidak teruja dengan kesibukan anak sulung mama yang bekerja sebagai juruterbang. Aku tersenyum. Mengerti perasaan mama yang mengharapkan anak – anak sentiasa berada di sisinya.
“Apa kata hujung bulan ni kita buat family vacotion. Setuju tak mama?” soalku cuba memujuk sedikit kesedihan mama.
“Ayah dan abang – abang Auni ada masa freekah nanti? Merekakan busy memanjang” keluh mama mengingati kesibukan ahli keluarganya. Aku terdiam. Bicara mama ada benarnya. Hero – hero dalam keluargaku memang sentiasa kesuntukan waktu bersama keluarga. Along sentiasa padat dengan jadual penerbangan ke luar negara. Kepakaran Angah di bilik bedah sentiasa diperlukan sampaikan dia tidak ada masa hendak berpacaran. Ayah seperti biasa sibuk dengan kuliah dan aktiviti kampus. Sana – sini buat kajian dan penyelidikan. Nama Profesor Adam Malik begitu tersohor sampailah ke peringkat antarabangsa. Kupandang mama. Mama juga tidak kurang hebatnya. Mama bekas seorang peguam. Apabila Along lahir, mama meletak jawatan untuk fokus pada keluarga. Mama mahu anak – anaknya membesar di depan matanya. Tugas seorang ibu tidak mahu diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah. Apabila anak – anak sudah membesar dan mampu berdikari, mama tinggal bersendirian di rumah. Lantas ayah menyarankan mama menceburi bidang perniagaan. Butik Selendang Kasih adalah hadiah ayah untuk mama. Butik ini begitu bermakna buat mama. Di butik itulah mama mengisi masa terluangnya. Aku pula.... insyaallah bakal menjadi seorang arkitek. Selain fokus pada kursus seni bina, aku turut mengambil kursus perniagaan. Suatu hari nanti kalau sudah bosan makan gaji dengan orang, bolehlah aku buka perniagaan sendiri. Sektor hartanah sentiasa berkembang. Begitu juga peluang jurubina mempamerkan bakat terbuka luas. Aku yakin khidmat jurubina profesional akan diperlukan. Demikianlah ringkasan pengenalan tentang keluargaku, Auni Hanania gadis berusia 21 tahun, anak gadis tunggal Profesor Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba. Seorang gadis yang gemar berimaginasi jauh, manja tetapi tegas, pemarah tetapi mudah tersenyum, ringkas tetapi comel. Ha..ha...ha... perasan pula!
Betullah comel. Kalau tidak masakan Azan terpikat denganku. Aduh....Azan lagi! Pusing kepalaku memikirkan anak muda bermuka tembok itu. Semakin aku menjauhinya, semakin kerap pula dia muncul di depanku. Rimas dan sesak nafasku dengan sikap jiwang – jiwang karatnya itu. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhanku. Segera kuluputkan nama pemuda jiwang itu dari ingatanku.
“Mengapa? Rindu dengan Azankah?” soal mama tersenyum melirik mengusikku.
“Mama.....” Aku menarik muka masam. Tidak suka mendengar bicara mama.
“Mana tahu rindu pada Azan, kan dah lama tak jumpa. Takpe minggu depan boleh jumpakan” ujar mama terus mengusikku sekali gus menguji kesabaranku agar jangan cepat melatah.
“Tak sukalah mama cakap macam ni” keluhku dengan muka yang masam mencuka. Mama tersenyum lebar. Suka hati memadankan aku dengan Azan seorang pemuda yang begitu gentleman di mata mama. Apapun aku tidak senang dengan kekebalan Azan yang agak luar biasa itu. Rimas.

***********

“Suri makan dua ketul ayam ini. Yang ini akak punya” tuturku sambil meletakkan dulang di atas meja di depan anak gadis sunti Kak Ros yang bakal menduduki PMR pada tahun ini.
“Kak Auni makan sikit” komen Suri.
“Tak pe... Suri perlukan lebih tenaga untuk ulangkaji dan membesar dengan sihat” tuturku mengusiknya.
“Ayam goreng banyak kolesterol dan lemak, nanti boleh buat gemuk” tingkah Suri. Aku tersenyum.
“Sesekali makan takpe. Bukan selalupun. Lagipun Suri masih kurus lagi ni” komenku. Suri tersenyum. Seronok dikatakan kurus. Khasnya golongan Hawa lebih suka dikatakan ibarat tidak cukup makan daripada terlebih makan.
“Selamat menjamu selera.....” tokokku berbicara.
“Bismillahnirahamnirahim.....” Aku memulakan suapanku. Menyudu salad dan kentang putar. Sesekali disusuli dengan sedutan jus oren sejuk di gelas.
“Kak Auni sedar tak, ada orang pandang Kak Auni” bisik Suri sambil menatapku.
“Mana?” soalku terkejut.
“Meja hujung sekali sebaris dengan meja ini. Dekat dengan dinding itu” jelas Suri sambil mencuri – curi pandang ke situ. Cuba berlagak biasa.
“Perasaan Suri saja tu” tingkahku sudah rasa tidak sedap hati. Sensitif sangat mendengar perkataan diperhatikan.
“Bukan. Memang dia masih perhatikan Kak Auni. Sekarang dia masih tengok Kak Auni” jelas Suri serius.
“Suri jangan nak takutkan akak pula” tingkahku gelisah.
“Betul Kak Auni” Suri menekan suaranya. Cuba menggambarkan betapa serius dirinya. Dia tidak main – main.
“Lelakikah perempuan?” soalku meminta kepastian.
“Lelaki. Not bad. Macam dia berminat sangat dengan Kak Auni” Cepat sahaja Suri membuat kesimpulan.
“Hey.... mengarutlah Suri ini” tingkahku tidak sedap hati. Siapakah gerangan lelaki itu? Adakah seseorang diupah untuk mengekoriku? Kemudian menculikku. Seterusnya, meminta wang tebusan daripada keluargaku. Hey.... ini bukan cerita karangan sebagai tugasan yang diberikan oleh guru Bahasa Melayuku.
“Betul. Lelaki itu masih pandang Kak Auni” jelas Suri yang sesekali melontar pandangan ke situ. Aku rasa berdebar – debar.
“Suri habiskan cepat makanan ini” arahku. Suri patuh sahaja. Dia menyedut air cola di gelas kali terakhir.
“Dah siap Kak Auni” tuturnya sambil menatapku menanti arahan seterusnya.
“Bangun.... jalan perlahan – lahan ke pintu dan jangan pandang ke arah lelaki itu” arahku. Mudah – mudahan segalanya berjalan lancar. Semoga aku dan Suri sentiasa mendapat perlindungan Allah. Tiada sebarang musibah yang menimpa kami. Amin.
“Okey......” Suri menarik nafas. Begitu juga aku.
“Mari....” ajakku mengarahkan Suri bergerak mendahuluiku dengan isyarat mataku. Suri mengangguk patuh. Aku dan Suri terus melangkah ke muka pintu. Cuba berlagak biasa. Tidak mahu mempamerkan kebimbingan. Silap tingkah boleh timbul kekecohan. Melewati muka pintu, sedikit lega hatiku. Beberapa langkah menjarakkan diri dari premis tadi, aku memberanikan diri berpaling ke premis itu semula. Cuba menjejaki gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh Suri sebentar tadi. Keinginan yang melonjak – lonjak ingin tahu. Tidak kuduga pandanganku dengan lelaki itu bertembung di sebalik dinding kaca premis itu. Aku tersentak. Laju aku mengalih pandanganku. Pantas kutarik tangan Suri mahu segera beredar dari situ. Sungguh aku gentar dengan lelaki misteri itu.
“Oh.... pemuda itu lagi” bisik hatiku tidak keruan. Adakah kemunculan lelaki itu di depanku secara kebetulan ataupun telah dirancang? Sangsi.
“Kak Auni kenal lelaki itu?” soal Suri. Aku menggeleng.
“Langsung tak kenal tapi dah pernah nampak dia tempoh hari” jelasku.
“Maksudnya sebelum ini lelaki itu juga perhatikan Kak Auni” teka Suri tercengang – cengang menatapku.
“Entahlah.... susah akak nak cakap” keluhku terasa terbeban dengan kemunculan pemuda itu. Aku melepaskan keluhanku.
“Kak Auni dalam bahaya ni” tutur Suri dengan wajah yang serius.
“Bahaya apa pula? Dia bukan nak apa – apakan akak pun” tingkahku.
“Macam mana Kak Auni tahu dia takkan apa – apakan Kak Auni. Tindakannya sangat mencurigakan. Kak Auni mesti berhati – hati. Tak boleh jalan seorang – seorang nanti lelaki itu culik Kak Auni” lancang sahaja Suri berkata – kata.
“Suri ni menakutkan akak saja” rungutku tidak senang hati. Suri tersengih.
“Sekadar nak ingatkan Kak Auni agar selalu berwaspada. Sekarang ini banyak sangat orang jahat di sekeliling kita” tutur Suri mengutarakan fakta yang sahih. Memang inilah kenyataannya. Banyak sangat jenayah yang berlaku sekarang.
“Nauzubillahminzalik....” Gerun aku hendak memikirkannya.
“Suri... janji dengan akak, Suri takkan cakap perkara ini kepada sesiapa termasuk pada ibu Suri” pintaku. Suri menatapku. Ada persoalan sedang bermain di kepalanya. Permintaanku ini pasti mengundang kehairanannya. Aku tidak mahu hal ini sampai kepengetahuan mama. Kalau perkara ini sampai ke telinga Kak Ros maka akan lebih mudah mama mengetahuinya. Lambat – lambat Suri mengangguk. Janji telah termenterai.
“Terima kasih, Suri” ujarku berlapang dada. Mama tidak perlu tahu perkara ini. Kalau mama tahu jangan - jangan mama akan mengurung aku di rumah. Paling aku tidak mahu kalau Along mengetahui perkara ini. Nanti tidak pasal – pasal dia akan menjadi  bodyguardku. Ke sana sini ditemani Along. Kemudian akan menjangkit pula tugas ini dengan Angah. Aduh... memang kebebasanku akan hilang sepenuhnya! 
“Ingat jangan cerita pada ibu Suri” ujarku mengulangi peringatan kepada Suri sebelum kami berpisah mengikut haluan masing – masing. Suri ke perpustakaan awam kerana sudah berjanji dengan kawan – kawannya mahu mengulangkaji pelajaran di sana. Aku pula meneruskan langkahku ke Butik Selendang Kasih sambil terus memikirkan tentang pemuda itu. Dirinya buat aku tertanya – tanya.
“Hoi.... kalau awak benar – benar anak jantan datanglah sini...!!!” satu suara lantang bergema singgah di telingaku. Aku berpaling. Tiga orang lelaki itu meluru ke arah sekumpulan lelaki yang salah seorang bersuara tadi. Berlaku pergaduhan. Adegan tumbuk terajang saling berbalas – balasan. Sekelip mata sahaja mereka sudah menjadi tontonan. Mereka langsung tidak mengendahkan pandangan orang ramai. Lagak sebuah produksi sedang membikin filem gengstar. Aku menelan liur. Sungguh gerun menyaksikan aksi – aksi ganas tanpa tepisan, nyata dan jelas berlaku di depan mata.
“Oh... pemuda itu....” Aku terpana menatap wajah pemuda itu. Sungguh lagaknya persis pahlawan terbilang. Tubuhnya melayang tinggi melibas seterunya. Kakinya hinggap di tubuh lelaki itu. Sebiji penumbuknya pula singgah di muka lelaki yang sama. Dia tersenyum puas menatap darah yang mengalir dari bibir musuhnya.
“Betullah... dia gengstar....” bisik hatiku diserbu rasa takut. Laju langkahku berganjak dari sini. Sudah tidak sanggup menatap adegan ganas, pukul memukul antara dua kumpulan samseng yang saling bersengketa.
“Mengapa tercungap – cungap ni? Ada orang kejar lagikah?” soal Kak Ros yang menyambut kedatanganku di muka pintu.
“Lari dari orang bergaduh kat sana tu” jelasku. Wajah pemuda itu masih terbayang di mataku. Disusuli dengan lagak keperwiraannya bagai hero handalan dalam medan tempur pergaduhan. Pemuda itu memang berbakat dalam beradu tenaga. Sungguh nampak kekuatan dirinya. Walaupun tubuhnya tampak kurus, tetapi tidak mudah musuh dapat membalas balik serangan bertubi – tubinya. Dia menguasai ilmu mempertahankan diri.
Aku menyandarkan tubuhku di sofa empuk ini. Cuba menenangkan diri. Wajah pemuda itu kembali bermain – main di ruang mataku. Melalui pandangan mata kasarku, dia bukan pemuda yang bersopan santun, kaya budi bahasa yang boleh dijadikan sahabat. Dia lelaki berbahaya. Terasa keselamatan diriku terancam sekarang. 

3 comments:

  1. salam ramadhan.... dr pg tadi duduk depan laktop ni langsung takde idea nak smbg bab NBF.....tgk muka neymar... tetiba jari jemari ni ligat di papan kekunci. ilham pula datang mencurah - curah..... bagai dapat seru nak bikin novel baru... heheheheh.... utk pengetahuan pelayar blog yg setia.... novel 'Awak Jodohku Lagi....' diberhentikan setakat bab 15 utk jd tatapan di blog ini atas syarat yg dikenakan olh penerbit spjg penilaian ini. doakan ya semoga novel ini diterima utk dibukukan... amin...

    ReplyDelete