Wednesday 30 April 2014

Namaku Bukan Flora !....58





BAB 58

Aku melontar pandangan keluar melalui cermin tingkap Peugeot RCZ Sports Coupe ini. Sesekali Aqel melirik ke arahku. Bagai ada sesuatu yang mahu dibicarakannya. Namun setakat ini Aqel tetap membisu sepertiku. Perjalanan ini diselubungi diam yang panjang. Tiba – tiba suasana hening ini dicemari dengan bunyi deringan telefon bimbitku. Laju tanganku mengeluarkannya dari beg galasku lalu menekan punat panggilan diterima.
“Assalamualaikum.....” sapaku mendahului suara Nana. Salamku dijawab. Kedengaran suara tawa riang Nana. Sungguh perkhabaran bahagia yang mahu dikongsinya bersamaku.
“Bulan depan rombongan keluarga Arryan akan datang ke rumah. Terus sekali dengan majlis pertunangan. Awak jangan lupa datang tau” ujar Nana ceria.
“Oh.... seronoknya! Alhamdulillah. Tahniah setinggi – tinggi tahniah” ujarku mengusik Nana sambil tersenyum sendiri. Nana juga yang lebih beruntung kerana berpeluang melakar kebahagiaan sendiri.
“Cepatnya terus bertunang” komenku. Barangkali bimbang masing – masing berubah hati andai dipanjangkan lagi tempoh perkenalan tanpa sebarang ikatan rasmi.
“Nak jimat kos. Arryan bukan sekaya suami awak. Awak beruntung” ujar Nana memuji Aqel. Lelaki yang sering menerima pujian melangit Nana. Bagaikan Aqel begitu sempurna di mata Nana.
“Tak baik awak rendah – rendahkan Arryan. Nanti dah jadi suami isteri, maruahnya maruah awak juga” pandai – pandai aku berkhutbah memberi nasihat. Nana tergelak.
“Datang awal tau” pinta Nana.
“Alah..... lama lagi majlisnya” tingkahku.
“Saya nak ingatkan awak” balasnya.
“Okey..... Awak bagi detail tentang majlis itu nanti” pintaku.
“No problem. Ajak Aqel sekali. Jangan lupa” pesan Nana tidak pernah melupakan lelaki ini.
“Insya- Allah” sahutku tidak mahu berjanji. Kesibukan Aqel tiada tandingannya.
“Jangan lupa juga ajak mak cik dan Aziq” pesan Nana menjemput sekalian ahli keluargaku ke majlis pertunangannya itu nanti.
“Mak mertua awak pun boleh datang jika sudi” ujar Nana berlawak.
“Nanti saya ajak semua orang yang saya kenal” sahutku.
“Seriuslah saya jemput dia” tingkah Nana.
“Seorang saja saya tak mahu jemput” tutur Nana lagi.
“Siapa?” soalku laju. Mahu tahu gerangan musuh Nana itu. Agaknya musuhnyakan....
“Haqem. Saya tak jemput dia pun” ujar Nana memaklumkan. Aku terdiam. Haqem juga sahabat Nana. Pasti ada sebab Nana bertindak sedemikian.
“Awak tahu tak, kenapa saya tak jemput Haqem?” soal Nana. Aku masih diam. Tidak berminat menjawab pertanyaannya itu. Dia berhak menentukan siapa tetamunya.
“Sebab dia pesaing Aqel di hati sahabat baik saya” ujar Nana di luar jangkauan fikiranku. Langsung tidak terlintas di benakku Nana akan bercakap sedemikian.
“Kalau awak lapang datanglah jenguk saya. Saya perlukan awak sebagai perunding majlis” tutur Nana begitu cepat mengubah topik perbualan.
“Saya akan tolong awak setakat mana yang saya mampu” ujarku menyedari keterbatasan daya kreativitiku. Berbanding dengan aku, Nana lebih mahir dalam membuat persiapan majlis sedemikian.
“Okey.... Lia jumpa nanti. Assalamualaikum....” Nana menamatkan panggilan. Terkumat – kamit mulutku menjawab salam Nana.
“Nana yang telefon?” teka Aqel mula bersuara. Aku mengangguk dan berpaling ke arahnya.
“Dia jemput awak dan Mak Long ke majlis pertunangannya bulan depan” ujarku memaklumkan tentang jemputan Nana itu.
“Kita pergi sama nanti” saran Aqel beriya – iya.
“Mak Long mahu pergi ke majlis itu?” soalku.
“Kalau awak yang ajak pasti mama mahu pergi” ujar Aqel begitu yakin. Lebih menyenangkan kalau Mak Long ikut sama ke majlis itu. Nanti ada juga teman mak berbual – bual. Tidaklah mak rasa janggal. Pasti Mak Long seronok. Bukan selalu dia berkesempatan menghadiri majlis adat istiadat rasmi Melayu. 
“Awak yakin awak boleh pergi ke majlis itu?” dugaku. Cepat Aqel mengangguk dengan penuh keyakinan.
“Kenapa?” soal Aqel.
“Nana mahukan saya dengan awak muncul bersama di majlis itu. Nana ialah kawan baik saya. Andai awak tak dapat pergi sekalipun saya akan tetap pergi ke majlis itu. Walaupun terpaksa pergi bersendirian” tuturku nekad.
“Saya takkan kecewakan awak. Jangan risaulah” ujar Aqel seolah – olah aku mengharapkan sangat dia pergi bersamaku ke majlis itu. Betulkah aku akan kecewa andai Aqel gagal mengotakan kata – katanya ini?
“Hari ini saya ada meeting luar lagi. Balik nanti saya ambil awak. Saya nak bawa awak pergi ke satu tempat” ujar Aqel.
“Awak nak bawa saya pergi mana?” soalku hairan.
“Rahsia...” sahut Aqel tersengih. Aku mencebik bibir. Bosan. Tidak suka diri tertanya – tanya.
“Tunggu sampai saya datang tau” pesan Aqel memberi peringatan.
“Walau apapun yang berlaku, awak mesti tunggu saya” tegas Aqel menggerunkanku.
“Serius?” soalku tidak sedap hati. Aqel mengangguk.
“Baik awak berterus terang saja. Saya paling tak suka berteka – teki ni” tegasku. Aqel tersenyum sendiri. Nampak sangat dia mahu terus berahsia denganku.
“Awak nak perkenalkan saya pada Flora ke?” tekaku. Aqel berpaling menatapku. Serius saja wajahnya.
“Awak takkan jumpa dia” tegas Aqel.
“Kenapa? Saya tak layak mengenalinya?” soalku.
“Saya tak mahu sesiapa bercerita tentang dirinya” tegas Aqel lagi.
“Pelik...” rungutku tidak berpuas hati.
“Jadi benarlah gadis bernama Flora itu memang wujud” ujarku meminta kepastian.
“Berhenti bercakap pasal dia. Tiada sesiapapun yang layak mengenali dan mengetahui siapa dirinya” tegas Aqel memberi peringatan. Aku mengetap bibir. Terguris hatiku mendengar bicara Aqel sedemikian. Ternyata Aqel terlalu mengagungkan gadis ini.
“Saya pun tak suka awak panggil saya Flora. Jadi awak mesti berhenti panggil saya dengan nama itu” tegasku turut memberi peringatan. Senyap. Jangan Aqel ingat hanya dia saja yang berhak memberi amaran padaku.
“Maafkan saya andai saya telah menyinggung perasaan awak” ujar Aqel. Terlalu mendadak perubahan perwatakan dirinya. Sebentar tadi betapa egonya dia melontarkan kata – katanya. Sekelip mata saja dia sudah insaf. Aku mengunci mulut. Keinginan hendak berbicara dengan Aqel sudah lenyap. Mujur juga perjalanan ini telah sampai ke destinasinya. Maka tidak perlu lagi aku berdua – duaan dengan Aqel. Parkir saja kereta, aku terus saja menolak daun pintu. Segera keluar meninggalkan Aqel.
“Awak tunggu sampai saya datang tau!” laung Aqel mengulangi peringatannya tadi. Memandangkan aku terkilan dengan bicaranya tadi, maka aku cuba tidak mempedulikan laungannya itu. Malah andai benar bicara Haqem tentang Aqel, maka Aqel telah berlaku kejam padaku. Tunggu masanya akan aku langsaikan semua itu dengan Aqel. Aku tidak boleh selamanya diperdayakan oleh kaum Adam.

Aku melirik jam tanganku. Berbaki 30 minit lagi tibanya waktu makan tengah hari. Aku melentokkan kepala di atas meja. Tidak teruja hendak makan kerana seleraku belum pulih. Malas juga hendak mengemaskini fail – fail yang terpampang di dada destop. Hanya pandangan kosong dilontar ke situ. Terasa serba tidak kena pula hari ini. Aku tersentak dengan ketukan daun pintu. Kulontar pandangan ke situ. Marnie dengan senyuman mekar menguntum muncul di sebalik pintu bersama kuntuman ros merah yang masih segar – bugar.
“Just for you” tutur Marnie sambil menghulurkan bunga ros ini kepadaku. Aku menatap Marnie dengan persoalan. Gerangan siapakah pengirimnya.
“Ambillah. Awak tak sudi ke?” soal Marnie. Lambat – lambat aku menyambut bunga ros yang dihulurkan oleh Marnie. Lantas kuletak jambangan bunga ros ini di atas meja.
“Awak tak nak baca kadnya?” soal Marnie menyibuk. Aku menjelingnya. Marnie tersenyum – senyum.
“Yelah siapa lagi kalau bukan Encik Aqel yang beri awak bunga ros ini. Mesti kamu bergaduh pagi ini kan?” serkap jarang Marnie mengena. Aku mencebik.
“Patutlah saya tengok awak kurang bersemangat je hari ini. Tak pe bergaduh kecil tandanya jalan mencari keserasian. Sekurang – kurangnya Encik Aqel dah pujuk awak” petah saja Marnie berbicara.
“Encik Aqel ada meeting luar hari ini kan. Mari makan sama” ajak Marnie. Aku menggeleng menolak ajakan Marnie.
“Saya belum berselera nak makan” jelasku.
“Awak masih tak sihat lagi ke?” soal Marnie dengan dahi berkerut. Aku menjungkit bahu. Kurang pasti sebab musababnya.
“Jangan – jangan awak mengandung tak?” serkap jarang Marnie. Terbeliak mataku menatap Marnie yang sedang tersengih panjang di depanku ini.
“Mengarutlah awak” rungutku tidak suka.
“Okeylah awak berehat saja. Kalau ada apa – apa awak nak makan, telefon saya. Nanti saya tolong beli” pesan Marnie lalu beredar ke muka pintu. Kelibat Marnie lenyap. Aku menilik tubuhku. Nampak gemukkah aku sekarang sehingga membuatkan orang di sekelilingku meramal aku mengandung. Langsung tiada pertambahan saiz. Bahkan tampak semakin kurus. Aku menggeleng – geleng kepala. Kupandang bunga ros di atas meja di sisiku. Laju saja suara hatiku mengira jumlah kuntuman bunga ros ini. 15 kuntum semuanya. Lantas jemariku memaparkan ulasan di sebalik makna bilangan kiriman bunga ros yang kusimpan di fail dokumen.
  “Saya minta maaf. Tolong maafkan saya” suaraku membunyikan aksara yang tertulis di sebalik 15 kuntuman ros ini. Luahan suara hati Aqel yang begitu simbolik. Dia telah mengakui kesalahan dirinya. Aku tersenyum sendiri. Bijak juga Aqel memujukku.
 “Dasar lelaki buaya darat” kutukku.
Lantas kucapai kuntuman bunga ros ini lalu bangkit dari duduk. Aku melangkah ke sudut anjung  bilik ini. Kukeluarkan bunga dari pasu kristal ini lalu menggantikannya dengan 15 kuntum bunga ros kiriman Aqel ini. Sekarang sudut ini telah nampak berseri - seri. Aku tersenyum puas hati.Terubat sedikit marahku pada Aqel pagi tadi.

Marnie muncul di depanku buat kali kedua. Dia begitu bermurah hati menghantar nasi bungkus sebagai santapan tengah hariku.
“Tak payahlah susah – susah. Saya masih tak de selera nak makan” jelasku tidak senang hati dengan keprihatinan yang ditunjukkannya.
“Saya hanya menurut perintah” sahut Marnie tersenyum lebar.
“Maksud awak? Perintah siapa pula?” soalku menuntut penjelasan. Semakin mekar senyuman Marnie.
“Tak salah menyampaikan hajat baik kawan... kan. Kawan yang lebih mengerti di sebalik apa yang telah berlaku. Encik Aqel pasti lebih memahami” tutur Marnie berbicara sendiri. Pertanyaanku tidak dijawabnya.
“Apa yang awak mengarut ni” rungutku. Marnie masih tersenyum – senyum.
“Rugilah awak tak makan sama tadi. Encik Haqem belanja kami” cerita Marnie ceria.
“Tak elok sering menerima kebaikan orang lain. Bimbang kalau - kalau terpaksa menebusnya suatu hari nanti” nasihatku. Marnie tergelak.
“Jangan – jangan awak terhutang budi dengan Encik Aqel sebab itu tiba – tiba je kahwin dengan sepupu sendiri sedangkan awak adalah kekasih Encik Haqem dan Encik Aqel pula ada hubungan dengan Rania” lancang saja mulut Marnie mengeluarkan kata – katanya. Aku terlopong menatap Marnie.
“Sebab itu Encik Haqem sentiasa ambil berat pada awak. Dalam masa yang sama Rania memusuhi awak. Berasas jugakan fakta ini” jelas Marnie lebih lanjut.
“Itu cerita lama dan tiada kaitan dengan pernikahan saya dengan Encik Aqel” tegasku sedikit emosi. Selain pernikahan tersebut demi memenuhi kemahuan keluarga, aku juga mahu menjaga Aqel sepanjang hayatku. Aqel sakit kerana aku.
“Percayalah Aqel telah menipu awak”suara Haqem terngiang – ngiang di telingaku. Aku mendengus. Terkilan. Aqel telah memperbodohkanku.
“Awak marah saya?” soal Marnie.
“Saya dan Encik Haqem takde jodoh. Mungkin juga jodoh saya dengan Encik Aqel tak panjang” ujarku bersahaja. Marnie tersentak.
“Apa awak cakap ni” tegur Marnie tidak senang.
“Encik Aqelkan kekasih Rania. Sudah pasti siang malam Rania akan menadah tangan berdoa agar kami berpisah” ujarku membuat andaian sendiri. Marnie menggeleng kepala.
“Tak elok awak berprasangka yang bukan – bukan dan menuduh Rania sedemikian” tegur Marnie. Senyap. Bicara Marnie tepat. Lantas kubisikkan isytighfarku menyesali ketelanjuranku.
“Saya tahu hubungan awak dengan Rania tak berapa baik. Andai tindakannya menyakiti awak selama ini hanya kerana Encik Aqel, awak tak perlu risau. Mereka dah takde apa - apa hubungan sekarang” jelas Marnie persis mahu menenangkanku. Aku mengunci mulut. Tidak berminat mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya pergi dulu. Jangan pula lupa makan nasi bungkus tu” ujar Marnie berpesan. Aku mengangguk. Bau sedap nasi bungkus di atas meja depanku ini menyerang rongga hidungku. Terbangkit pula seleraku hendak menikmatinya. Sedar – sedar laju saja tanganku membuka nasi bungkus ini. Ada sambal bilis tumbuk pembangkit selera. Ayam masak merah dan sayur kacang goreng bersama sotong masak cili menu kegemaranku. Ditambah dengan jus epal hijau penghilang dahaga. Tersentuh hatiku menatap hidangan tengah hari yang istimewa ini. Daya pemerhatian Aqel begitu tinggi. Dia memang seorang yang begitu teliti. Sesingkat ini Aqel sudah mengetahui banyak perkara tentangku. Tanpa membuang masa, aku terus menikmati nasi bungkus ini. Sebutir nasipun tidak tertinggal dan seteguk jus epalpun tidak berbaki. Semuanya masuk ke dalam perutku. Langsung tidak bersisa. Tanda aku menghargai makanan yang dibeli dengan wang Aqel sekali gus mensyukuri nikmat Yang Maha Esa berikan.

Tepat pukul 5.10 minit. 10 minit sudah berlalu dari tamatnya waktu bekerja. Aku masih bersenang – lenang di kerusi ini. Sengaja melambat – lambatkan masa. Sekadar mahu menguji kesabaran Aqel. Pandanganku terarah pada 15 kuntum ros segar yang menghiasi vas kristal itu. Kehadirannya menyerikan sudut itu.
“Saya minta maaf. Tolong maafkan saya” aku bersuara sendirian mentafsir bahasa simbolik di sebalik 15 kuntuman ros ini. Laju saja aku bangkit dari kerusi. Mematikan suis penyaman udara dan lampu lalu melangkah ke pintu. Pintu dikunci. Aku terus mengorak langkah ke pintu utama bangunan ini sambil melontar pandangan menjejaki kelibat Aqel kalau – kalau dia sudah terpacak di luar sana menanti kedatanganku. Aqel belum sampai lagi. Aku menarik nafas lega.
“Lia, tak balik lagi” tegur satu suara. Laju aku berpaling ke arah suara itu. Haqem tersenyum. Dia sudah berdiri di sisiku.
“Sekejap lagi” sahutku ringkas.
“Tak bawa kereta?” soal Haqem memanjangkan bicara. Aku mengangguk.
“Mari biar saya hantar awak balik. Tinggal rumah Aqel atau rumah keluarga awak?” tanya Haqem persis aku telah menerima pelawaannya itu.
“Tak pelah, terima kasih. Saya balik dengan Aqel” ujarku menolak pelawaannya itu.
“Bukankah Aqel ada meeting di luar tadi. Mungkin lewat baru habis meeting tu” jelas Haqem. Aku tersenyum.
“Saya akan tunggu Aqel datang. Kebetulan juga saya dah janji dengannya akan balik sama – sama” ujarku tidak berganjak dengan pendirianku.
“Awak baliklah dulu” arahku kurang senang dengan kewujudan Haqem di sini. Tidak mahu mengundang salah faham orang lain. Haqem tersenyum tawar. Mungkin kecewa dengan tindakanku.
“Saya balik dulu” ujarnya. Aku mengangguk. Haqem beredar dengan langkah longlai. Belum sempat kelibatnya memasuki kereta, Aqel muncul dan berhenti tepat – tepat di depanku bersama Peugeot RCZ Sports Coupe kesayangannya ini. Bergegas aku masuk ke dalam kereta. Seminit kemudian aku sudah duduk di sebelah Aqel. Ketika kereta yang Aqel pandu bergerak melewati Haqem di laman parkir sempat juga Aqel melontar pandangan ke arah sahabatnya itu.
“Terima kasih sebab awak tunggu saya datang” suara Aqel memecah kesepian.
“Saya tak bawa kereta sebab itu tak boleh balik sendiri” sahutku tidak mahu membuatkan Aqel rasa istimewa kerana kesanggupanku menunggu kemunculannya. Aqel tersenyum sendiri.
“Kan awak boleh balik dengan Haqem. Dia ada ajak awakkan” ujar Aqel menyentakkanku. Aku berpaling menatap Aqel. Pasti dia melihat aku dan Haqem berbual – bual tadi. Macam tahu – tahu saja dirinya bahawa Haqem mempelawaku balik bersamanya.
“Awak cemburu ke?” soalku menebalkan muka. Soalan cepu emas. Aqel tersenyum lagi. Ekspresi wajahnya tenang saja.
“Maruah suami maruah isteri juga. Sangat bermakna kata – kata ini buat saya” ujar Aqel memulangkan kata – kataku pada Nana.
Very interesting. Saya suka dengan nasihat awak pada Nana” ujar Aqel lagi buat aku terdiam panjang. Begitu dalam makna bicaranya ini. Tersindir juga aku. Aku meneruskan diamku. Aqel pun tidak berbicara lagi. Terus fokus pada pemanduannya.
“Kita nak buat apa kat sini?” soalku tatkala kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini berhenti di depan pusat membeli belah yang terkemuka ini. Jarang aku datang ke sini kerana tempat ini lebih sesuai untuk golongan elit dan manusia yang sanggup berhabis banyak duit. Harga barang – barang di sini mahal belaka. Tidak mampu aku hendak membelinya kalau hanya semata – mata mahu bergaya. Kebetulan pula aku memang tidak ada duit yang berlebihan membolehkan aku membeli belah sakan. Nasib badan.  
“Mari ikut saya...” pinta Aqel mendahului aku keluar dari kereta ini tanpa menjawab pertanyaanku. Aku patuh saja. Malas mahu melengahkan masa. Tanpa bantahan akan memudahkan urusan Aqel. Cepat juga aku sampai ke rumah dan berehat.

Aku mengekori langkah Aqel tanpa sebarang pertanyaan lagi. Aqel singgah di Butik Elliza. Cantik sungguh pakaian perempuan dan lelaki di sini. Sepadan dengan harganya. Kain yang berkualiti tinggi. Paling menarik hanya ada satu warna saja setiap pakaian yang tergantung di sini. Sebab itu nilainya tinggi serta dapat menjamin kepuasan hati para pelanggan terutama yang impiankan penampilan berbeza dari orang lain.
“Cantik tak warna ini?” soal Aqel menayangkan sepasang baju kurung jingga lembut yang dihias ringkas dengan manik dan labuci. Namun tampak elegan. Aku mengangguk. Sempat juga tanganku menyentuhnya. Lembut bak sutera.
“Baju kurung ini ada padanan dengan baju Melayu tak?” soal Aqel. Gadis ini  mengangguk. Aqel tersenyum.
“Tolong bawa sini saya nak tengok” pinta Aqel bersungguh – sungguh.
“Tunggu sekejap ye encik, saya ambil sekarang” tutur gadis ini dengan tatasusilanya. Aku kehairanan menatap Aqel.
“Nak buat apa baju ni?” soalku meluahkan keraguanku.
“Nak hadiahkan pada awak dan pada diri saya sendiri” ujar Aqel melawak.
“Jangan nak mengarutlah. Kan lambat lagi nak raya” tingkahku tidak mudah termakan bicara Aqel. Aqel memandangku.
“Hadiah untuk awak sebab tunggu saya tadi. Saya gembira tau” ujar Aqel membuatkan aku terdiam. Ikhlaskah bicara Aqel ini? Betulkah Aqel gembira kerana kesanggupan aku menanti kedatangannya sekali gus menolak pelawaan Haqem?
“Janganlah cepat sangat tersentuh hati. Tengok sepadan tak?” Bahuku ditepuk. Aqel tersengih – sengih menayangkan baju Melayu sedondon dengan baju kurung tadi. Aku mengetap bibir. Segan dan malu tatkala menatap senyuman gadis ini. Pasti dia mendengar Aqel mengutukku tadi.
“Nak buat apa beli pakaian sedondon ini? Bukan nak nikah pun. Atau awak nak jadi pengapit kawan awak? Maaf... saya tak nak jadi pengapit” ujarku sambil menatap baju kurung dan baju Melayu jingga ini. Aqel tergelak. 
 “Kalau saya nak tempah dua pasang baju kurung yang sama dan sepasang baju melayu macam ini juga, boleh tak?” soal Aqel.
“Boleh encik. Encik berikan ukuran baju dan bila pakaian ini diperlukan” jelas gadis ini. Pelik. Aku menatap Aqel lagi.
“Awak pergi cuba baju ini” arah Aqel sambil menunding jari pada bilik itu.
“Mari cik saya temankan” Tahu – tahu gadis ini memegang bahuku mesra mengajak aku bergerak ke bilik itu. Tiada pilihan aku patuh saja. Selebihnya mahu menjaga air muka Aqel kerana maruah suami, maruah isteri juga. Itulah kata – kataku yang dipegang oleh Aqel.  
“Memang padan dengan awak” komen Aqel tatkala aku terpacak di depannya dengan baju kurung jingga yang sudah membaluti tubuhku.
“Ukuran tubuh awak dengan mama dan mak samakan. Aziq pun tak jauh bezanya dengan saiz tubuh saya” ujar Aqel berbicara sendiri.
“Baju untuk family?” soal gadis ini ramah. Aqel mengangguk.
“Nanti ukuran baju tu ikut saja ukuran baju kurung dan baju Melayu ini” arah Aqel. Gadis itu mengangguk. Aku semakin keliru dengan tindakan Aqel.
“Awak ada apa – apa nak beli kat sini?” soal Aqel. Laju aku menggeleng. Bergegas aku kembali ke bilik tadi mahu menukar pakaian semula.
“Dia memang isteri yang baik tak pandai bazirkan duit suami” bicara Aqel memujiku yang sempat kudengar disambut dengan gelak gadis itu. Usai segala urusan dengan Butik Elliza, aku dan Aqel terus pulang.
“Bila nak pakai baju tadi?” soalku mahu penjelasan Aqel.
“Awak dah lupa majlis pertunangan Nana. Nanti kita pakaian baju itu sama – sama” sahut Aqel memecahkan kekeliruanku.
“Kalau ya pun tak payah keluar duit banyak. Kan saya ada banyak baju kurung kat rumah ” bidasku kurang senang membazirkan duit Aqel. Paling penting tidak mahu terhutang budi pada Aqel.
“Tapi kita tak de baju yang sedondon” ujar Aqel menyedarkanku. Aku diam. Memang aku tidak pernah membeli baju kurung dan baju Melayu yang sedondon untukku dan Aqel.
“Baju – baju yang ditempah tadi untuk keluarga kita?” soalku. Aqel mengangguk buat aku tergelak sendiri.
“Betul – betul macam boria” ujarku sambil membayangkan kami sekeluarga yang datang ke majlis pertunangan Nana dengan pakaian sedondon. Silap – silap dikata rombongan keluarga lelaki pula nanti.
“Tak kisahlah apa orang nak kata. Paling penting kita gembira memakainya” ujar Aqel. Kupandang Aqel yang mengarah pandangannya di dada jalan. Betulkah Aqel akan gembira berpakaian sedondon denganku? Tidak risaukah dirinya yang hebat dibanding – bandingkan dengan aku yang serba ringkas ini? Perlukah aku muncul dengan penampilan yang anggun agar sepadan dengan kehebatan Aqel?
“Kita akan jadi pasangan yang sempurna pada hari itu” bisik suara hatiku. Aku tersenyum sendiri. Nekad mahu membuat kejutan pada Aqel.
  

 Aku menatap baju kurung dan baju Melayu jingga yang tergantung di luar almari menunggu masa untuk dibasuh. Baju termahal yang pernah aku miliki setakat ini. Sesekali dihadiahi baju yang mahal rasa teruja jua hati. Bukan semua orang bertuah sebegini. Aku bertuah pun sebab berkahwin dengan Aqel, seorang usahawan muda yang berjaya merangkap sepupuku.

“Terima kasih sebab hadiahkan saya baju yang cantik ini” ujarku pada Aqel yang baru saja muncul dari bilik air.
“Hari lain saya hadiahkan awak yang lebih istimewa lagi” ujar Aqel tersenyum mengusikku. Aku menggeleng.
“Dah banyak yang awak buat hari ini untuk saya. Terima kasih sebab beri saya 15 kuntum bunga ros merah segar. Saya dah terima permohonan maaf awak. Terima kasih juga sebab belikan saya nasi bungkus yang sedap. Hidangan tengah hari istimewa yang telah mengembalikan selera saya” ujarku bersungguh – sungguh.
“15 kuntum bunga ros segar dan nasi bungkus yang sedap” tutur Aqel mengulangi kata – kataku. Aku mengangguk. Dahi Aqel berkerut.
“Nampaknya Haqem masih tak berputus asa dengan awak” tutur Aqel.
“Apa?” Aku tersentak. Aqel sudah merebahkan tubuhnya di katil.
“Bukan awak yang hantar bunga ros itu? Nasi bungkus itu pun bukan awak yang beli?” soalku bertalu – talu. Aqel menjawab pertanyaanku dengan anggukan kepalanya. Dia sudah tidak mahu bersuara lagi. Marahkah Aqel sebab sewenangnya aku menerima semua itu? Patutkah aku disalahkan?
“Saya tak tahupun semua itu dari Haqem” ujarku rasa bersalah. 
“Awak pun yakinkan semua itu dari Haqem” ujar Aqel menjeratku. Aku terdiam.  
“Susah sangatkan nak lupakan kekasih pertama” suara Aqel mendatar saja. Aku masih diam. Bicara Aqel kupertimbangkan sedalamnya. Ada makna tersirat di sebalik kata – katanya ini. Mungkin inilah luahan hati kecil Aqel. Kedengaran dengkuran kecil Aqel. Mudah saja dia hendak melelapkan mata. Pasti Aqel keletihan.
“Sebab itulah juga awak tak pernah melupakan gadis itu. Yang pasti... namaku bukan Flora! Aku tak mahu jadi bayangan gadis itu” jerit hatiku yang tidak boleh didengar oleh Aqel.


LANGKAHKU dan Aqel terhenti. Tergamam menatap Mak Long yang sudah bersedia hendak bersarapan bersama.
“Bila Mak Long sampai?” soalku. Laju langkahku mendapatkan Mak Long. Kucium tangan Mak Long.
“Awal – awal subuh tadi mama sampai sini” jelas Mak Long. Aku dan Aqel saling berpandangan. Kedatangan Mak Long ini membangitkan kehairanan kami. Bagai ada perkara penting saja yang mahu dibincangkan.
“Bagaimana keadaan kamu?” soal Mak Long sambil menelitiku buat aku terasa janggal. Mata Mak Long liar memerhatikan fizikalku.
“Baik...” balasku ringkas.
“Duduk.... duduk.... Kita sarapan sama – sama pagi ini” ujar mak yang muncul menatang semangkuk bubur yang panas – panas. Lain benar selera mak pagi ini. Mungkinkah Mak Long kurang sihat? Atau dia teringin hendak merasa bubur nasi ayam cendawan mak yang sedap ini. Aku dan Aqel melabuhkan duduk di kerusi yang bertentangan. Semangkuk bubur nasi ikan bilis bercampur sayur bayam diletakkan di depanku. Aku mendongak wajah mak. Mohon penjelasan lanjut. Hairan tiba – tiba saja bubur  nasi dihidangkan. Selalunya ketika sakit saja aku merasa menu sebegini. Mak menyeduk nasi goreng untuk Aqel. Aku menatap nasi goreng yang sudah berada di depan Aqel dengan perasaan tidak adil. Tampak begitu menyelerakan.
“Bubur nasi ikan bilis campur bayam baik untuk tambah zat besi. Tengok muka kamu pucat saja mungkin kurang darah” ujar Mak Long meneliti wajahku.
“Makanlah bubur nasi itu. Mak mertua kamu yang masak untuk kamu” ujar mak mengundang seribu kehairananku.
“Datang awal – awal subuh ke sini semata – mata mahu masak bubur untuk kamu” jelas mak menambah bicara. Aku tersentak. Mak Long hanya tersenyum.
“Terima kasih, Mak Long” ujarku menghargainya.
“Tengok tu dah nak jadi ibu pun masih panggil mak mertua macam tu. Nanti esok – esok keluar anak dalam perut kamu itu hairan dia bila dengar neneknya dipanggil Mak Long” leter mak menegurku buat aku tersedak. Laju saja tanganku meneguk air milo di cawan. Mujur juga air milo ini tidak panas. Kini mengertilah aku dengan kedatangan Mak Long ini. Kupandang Aqel. Dia tersenyum – senyum sendiri.
“Kamu kena belajar panggil Mak Long kamu ini mama” tegur mak lagi. Mak Long tersenyum. Aqel buat – buat tidak dengar. Namun nampak sangat dia menahan gelak. Pasti dia sedang mentertawakan aku sekarang. Geramnya!
“Makan Lia. Sekarang kamu kena makan banyak sebab anak di dalam perut kamu tumpang makan sekali. Pemakanan kamu juga mesti dijaga” ujar Mak Long membuatkan aku rasa tercekik. Mak dan Mak Long masih mengutarakan topik yang sama. Kupandang Aqel lagi. Dia hanya membisu seribu bahasa dengan senyuman yang tidak lekang menghias bibirnya.
 “Mama ada bawa ramuan turun temurun  dari Korea. Ayah Hyeon yang kirim. Ramuan ini baik untuk kesihatan bakal  ibu. Dulu masa mama mengandungkan Hyeon mama pun makan ramuan ini juga. Sentiasa buat kita rasa bertenaga” jelas Mak Long buat aku semakin tidak berdaya.
“Sentiasa bertenaga... macam bahaya saja bunyinya, mama” sampuk Aqel tersenyum.
“Kamu jangan fikir yang bukan – bukan pula. Sekarang Lia dah mengandung kamu kena bersabar dan jaga tingkahlaku sendiri. Kalau Lia tak sihat jangan desaknya” ujar Mak Long dengan bahasa tersiratnya membuatkan wajahku terasa panas membahang. Aqel tergelak – gelak kecil. Mak tumpang tersenyum.
“Tengok muka menantu mama merah sekarang” tutur Aqel mengenakanku.
“Makan... Lia. Tak payah layan sangat perangai suami kamu ini” ujar Mak Long. Aqel tergelak lagi. Suka sangat dia melihat situasi yang kuhadapi sekarang.
“Nanti kita sama – sama cari barang baby, Suraya” ujar Mak Long sambil menatap mak. Mak mengangguk sambil tersenyum buat aku semakin tertekan. Nampak mereka berdua beriya – iya sangat hendak menjadi nenek.
“Masih awal lagilah, mama” tegur Aqel menyampuk.
“Dah tak sabar nak jadi nenek ni” ujar Mak Long tersenyum.
“Yalah... kak, saya pun dah tak sabar ni” sokong mak dengan wajah berseri - seri.
“Esok – esok bila dah keluar baby kita jaga sama – sama ye. Tak payah nak hantar pergi mana – mana atau gaji orang nak jaganya” ujar Mak Long disambut dengan anggukan kepala mak. Aku terdiam panjang. Begitu terperinci perancangan mereka menyambut cucu sulung yang entah bila akan lahir.  
Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan. Berat sungguh tekanan yang kurasa saat ini. Pilu dan sedih melihat keterujaan mak dan Mak Long hendak menyambut kehadiran cucu sulung yang tidak kutahu bila akan lahirnya. Aku sungguh tidak berdaya berterus terang kepada mak dan Mak Long. Tidak mungkin cucu mereka akan lahir dalam masa terdekat ini.
“Kenapa? Rasa bersalah pada mak dan mama?” soal Aqel. Aku berpaling menatap Aqel. Perlahan – lahan aku mengangguk. Aqel tersenyum sekilas.
“Apa yang patut saya buat?” soalku tidak berdaya meminta pandangan Aqel.
“Melihat kesungguhan mereka tak sampai hati pula nak berterus terang” ujarku menokok bicara. Aku mengeluh lagi. Kasihan mak dan Mak Long.
“Satu saja jalan penyelesaiannya” ujar Aqel. Kupandang Aqel. Terasa lapang dada mendengar bicara Aqel.
“Apa kata kita buat anak sekarang” cadang Aqel dengan senyuman nakal mengusikku. Tajam jelinganku singgah di wajah Aqel. Saat kritikal begini dia masih mahu mempermainkan aku. Aku mempamerkan wajah masam. Tidak suka dengan usikannya.
“Tak payahlah risau nanti saya beritahu mereka yang awak tak mengandung” ujar Aqel. Aqel mengangguk. Tiada lagi senyuman di bibir Aqel. Kali ini dia serius.
“Terima kasih, Aqel” Aku senyum. Lapang dadaku. Sudah boleh menarik nafas lega. Mujur juga Aqel sanggup menolongku. Rasa terhutang budi pada Aqel.
“Nak tanya” tutur Aqel menarik perhatianku.
“Tanya apa?” soalku memberinya peluang meneruskan bicara.
“Awak tak nak mengandungkan anak saya?” soalnya.
“Aqel....” Aqel sudah tergelak – gelak mentertawakan aku. Wajahku membahang. Segan dan malu mendengar bicara sedemikian.
“Muka awak merah” komennya. Laju aku melarikan muka dari pandangan Aqel. Sisa – sisa ketawa Aqel masih kedengaran. Tersembunyi dari pandangan mata Aqel, aku tersenyum sendiri.



1 comment:

  1. Assalamualaikum.... salam kedinginan tatkala gerimis mencurah - curah membasahi bumi limbang. salam hari pekerja... untuk 38 orang yg telah membaca bab ini semalam sila baca semula coz ada pertambahan kisah aqel n lia... sorry....

    ReplyDelete