BAB 64
“Idlan tunggu Mak Usu datang nanti” suara anak kecil ini
mengundang ketidakselesaan ditambah dengan rasa hairanku. Terasa asing
panggilan itu buat diriku.
“Panggil saya auntie
Lia” tuturku membetulkan kesalahfahaman anak kecil ini.
“Tak nak” sahut Idlan berdegil. Kedengaran gelaknya.
“Nanti auntie Bella
tunang Pak Usu Idlan marah” ujarku memberi amaran. Bellalah orang yang
sepatutnya dipanggil sedemikian. Gadis itu bakal menjadi Mak Usu Idlan setelah
bergelar isteri Haqem nanti. Sebetulnya aku kurang selesa tatkala Idlan
memanggilku dengan panggilan itu. Nanti apa pula yang Haqem fikirkan. Aku tidak
mahu Haqem salah faham. Bimbang juga orang lain turut silap membuat tafsiran.
Kesilapan kecil yang tidak dibendung boleh menjadi perkara yang serius dan
memudaratkan. Perkara inilah yang perlu dielak.
“Tak suka jadi Mak Usu Idlan?” soal budak lelaki yang
bijak ini buat aku serba salah.
“Bukan macam tu. Idlan dah ada Mak Usu tapi bukan auntie Lia yang akan jadi Mak Usu, Idlan”
tegasku berharap Idlan mengerti. Senyap. Tersinggungkah Idlan dengan bicaraku?
“Tapi Pak Usu kata.....” Tiba – tiba sahaja Idlan senyap.
Bicaranya tergantung.
“Apa yang Pak Usu Idlan kata?” soalku ingin tahu perkara
yang telah Haqem katakan kepada budak pintar ini. Aku dapat rasakan ada sesuatu
yang telah Haqem beritahu kepada Idlan sehingga Idlan salah faham. Idlan
membisu. Aku mengetap bibir. Tidak patut Haqem buat Idlan keliru.
“Auntie Lia
dengan Pak Usu Idlan hanyalah kawan biasa” jelasku menjernihkan kekeliruan
Idlan. Senyap. Mulut comel yang petah berceloteh ini tiba – tiba sahaja
kehilangan suara.
“Hello.... Idlan masih ada di situ?” soalku memintanya
bersuara.
“Ya....” sahutnya pendek. Aku tersenyum sendiri. Mujur
juga dia tidak terus membisu.
“Auntie Lia
pasti datang ke majlis itu nanti. Uncle Aqel
dijemput sama jugakan?” ujarku dengan suara lembut cuba melenyapkan ketegangan.
Idlan masih tidak bersuara. Pertanyaanku tidak dijawab. Nampaknya budak lelaki
pintar ini sudah tidak teruja hendak berbual – bual denganku. Penjelasanku
memanjangkan diamnya. Betulkah Idlan berharap sangat aku akan menjadi Mak Usunya?
Sebanyak itukah dia menyukaiku? Sungguh bertuah rasanya andai benar Idlan
berperasaan demikian. Bahagia hati jika budak lelaki cerdik itu menyayangiku.
“Mengapa tak boleh panggil Mak Usu?” Idlan bersuara
kembali. Dia masih mahu membicarakan perkara ini. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Sebab auntie
Lia bukan Mak Usu Idlan” jawapan mudah kuberikan pada pertanyaannya.
“Auntie Lia tak
boleh jadi Mak Usu Idlan sebab Uncle
Aqelkah?” tanya Idlan menuntut penjelasan lanjut. Aku terkedu. Sungguh aku
tidak menduga Idlan mampu berkata – kata sedemikian. Bicaranya nampak matang
berbanding usianya.
“Idlan boleh minta kebenaran Uncle Aqel supaya benarkan auntie
Lia, jadi Mak Usu Idlan” jelas Idlan tidak mahu berputus asa. Masih mahu
memanggilku dengan gelaran itu.
“Mana boleh macam tu” tingkahku. Selagi aku bukan
bergelar isteri Haqem, selagi itu aku tidak berhak menjadi Mak Usu kepada budak
lelaki ini. Perkara yang sangat mustahil akan berlaku. Sekalipun Aqel akan
melepaskan aku tidak semestinya aku akan kembali kepada Haqem. Jodohku belum
tentu dengan Haqem meskipun dia ialah kekasih pertamaku. Biarpun pada Haqem, aku
adalah kekasih pertama dan kekasih terakhirnya. Soal jodoh sudah menjadi
ketetapan Allah.
“Kenapa tak boleh?” soal Idlan menuntut penjelasan lanjut.
“Sebab Auntie
Lia dah ada Uncle Aqel” sahutku tidak
berlengah. Aku berharap kebijaksanaan budak ini akan mendorongnya mengerti
tentang hubunganku dengan Aqel. Andai
pengakuaanku ini menimbulkan pertanyaan dalam dirinya, biarlah
kemusykilan itu disirnakan oleh Haqem sendiri. Haqem mesti bertanggungjawab
pada kenyataan yang keluar dari mulutnya. Tidak patut dia mengelirukan budak
lelaki ini.
“Uncle Aqel tak
suka auntie Lia lagi” ujar Idlan buat
aku terkedu. Aku terdiam panjang.
“Siapa cakap? Pak Usu Idlankah?” soalku memohon
penjelasan lanjut. Tiada suara yang menyahut. Idlan berdiam diri. Mungkin baru
sedar bahawasanya dia telah tersilap tingkah. Rahsia sudah tidak menjadi rahsia
lagi. Maklumat yang diperoleh daripada Haqem telah dikongsi bersamaku tanpa
sengaja.
“Uncle Aqel
memang tak pernah suka auntie Lia
pun” ujarku lirih diiringi dengan senyuman sendiri. Kebenaran yang tidak sukar
diterima. Langsung tiada rasa terkejut. Jauh sekali rasa terkilan. Masing –
masing ada perasaan sendiri. Perasaan yang menjadi hak milik sendiri. Aku
bukannya Flora, gadis pujaan hati Aqel. Namun yang sukar kuterima, Aqel melihat
bayangan diri Flora ada padaku. Dia memanggilku dengan nama gadis itu. Mengecewakan
tatkala aku gagal menghalangnya. Namaku bukan Flora! Sekian kalinya aku
bertegas. Mudah – mudahan Aqel mendengarkannya dari kejauhan ini.
Aku meletakkan buku motivasi garapan minda seorang pakar
motivasi tanah air di atas meja sisi katil. Kutarik selimut menutupi bahagian
kakiku sehingga ke paras lutut. Kedinginan penyaman udara mula terasa. Aku
melontar pandangan ke arah Aqel yang berada di sofa. Dia begitu khusyuk membaca
isu semasa yang ditulis di dada akhbar. Sebagai manusia bermaklumat, Aqel
memang sentiasa mengikuti perkembangan semasa di dalam dan di luar negara.
Pengetahuannya sangat meluas. Aku kagum kepada Aqel.
“Puan Harianie jemput awak ke majlis doa selamat hari
jadi Idlan petang lusa” ujarku menyampaikan jemputan Harianie. Aku menatap
Aqel. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkannya. Dia masih leka dengan akhbar
di tangannya.
“Awak akan pergi ke majlis itu kan? Apa kata kalau kita
sama – sama beli hadiah untuk Idlan” saranku dan yakin Aqel dapat memenuhi jemputan tersebut memandangkan
hubungan akrabnya dengan Haqem sekeluarga. Tambahan pula majlis itu berlangsung
pada hujung minggu di luar waktu kerja. Bermakna waktu senggang Aqel. Tiada
halangan untuk Aqel menghadiri majlis itu.
“Saya tak dapat
pergi ke majlis tu” Aqel bersuara tanpa sempat menatapku. Aku terdiam. Tidak
menyangka itu yang kudengar dari mulut Aqel. Kupandang Aqel. Seketika aku dan
Aqel beradu pandangan.
“Kalau macam tu awak kirim saja hadiah untuk Idlan. Nanti
kita sama – sama beli hadiah” ajakku mengulangi cadanganku tadi. Aqel kembali
menatap akhbar tadi. Nampak dia kurang berminat pada ajakanku. Sedetik aku
menantikan kata putus daripada Aqel.
“Esok saya nak pergi beli hadiah tu” ujarku masih mahu
membicarakan tentang hadiah itu. Dalam masa yang sama mahukan jawapan yang
jelas berkaitan dengan pelawaanku tadi. Nun jauh di sudut hatiku, aku
mengharapkan kesudian Aqel meluangkan sedikit masanya bersamaku membeli hadiah
buat Idlan. Keikhlasan Aqel menghadiahkan sesuatu buat Idlan akan menambah
keriangan budak lelaki itu. Pasti Idlan girang menerima banyak hadiah pada hari
ulang tahun kelahirannya. Besar maknanya tatkala kita menghiburkan hati si kecil
yang telah kehilangan sebahagian ahli keluarganya. Kuharap fikiran Aqel akan
terarah ke situ.
“Pergilah beli. Saya tak dapat ikut awak” sahut Aqel
setelah berdiam seketika tanpa sebarang penjelasan. Aku mengangguk. Sedikit
kecewa dengan keputusan Aqel. Namun aku tidak berhak memaksa Aqel mengubah
keputusannya. Mungkin ada perkara yang lebih mustahak yang perlu Aqel uruskan. Tidak
mahu prasangka buruk. Aqel meletakkan akhbar di atas meja lantas bangkit dari
sofa itu. Aku menatapnya.
“Saya nak keluar ni. Nanti tak balik ke sini. Saya tidur
rumah mama” ujar Aqel dingin lalu mengatur langkah ke muka pintu. Sempat mataku
melirik ke arah jam. Pukul 11.50 minit malam. Hampir – hampir melengkapkan putaran waktu sehari.
Boleh dikatakan agak lewat untuk bertemujanji dengan kawan – kawan. Aku
memerhatikan sahaja langkah Aqel melewati pintu. Tidak berapa lama kemudian,
sayup – sayup kedengaran bunyi deruan enjin kereta keluar meninggalkan halaman
rumah. Harap – harap tidur mak tidak terganggu. Paling penting mak tidak
menyedari Aqel telah meninggalkan rumah selewat begini. Bahkan tidak mengganggu
lena Mak Long dengan kedatangannya nanti. Mudah – mudahan juga Aqel selamat
sampai ke destinasinya. Kubaringkan tubuhku di atas katil. Kupejamkan rapat
mataku lantas mengundang lena yang panjang.
“Betul awak tak nak ikut saya?” tanyaku masih mahu
menggantung sisa harapan kepada Aqel. Laju Aqel menggeleng. Malah dengan
menggunakan bahasa isyarat dia mengarahkan aku cepat keluar dari kereta. Aku
terus bangkit dari kerusi penumpang ini lantas bergegas meninggalkan Aqel yang
hanya mahu menungguku di dalam kereta. Keputusan Aqel muktamad. Ternyata aku
gagal mengajak Aqel menyertaiku.
Aku mempercepatkan langkahku kerana tidak mahu Aqel
menungguku lama. Singgah di premis pertama yang kutemui menjual alat permainan
kanak - kanak. Terlalu banyak alatan permainan kanak – kanak yang dijual di
sini sehingga aku tidak tahu hendak membuat pilihan. Fikiranku buntu. Berfikir
sejenak. Idlan sangat meminati kereta kawalan jauh. Dari kotak lutsinar ini
terpamer sebuah model kereta ferarri yang mewah. Warna merah yang menyerlah
pasti akan membuatkan Idlan menyukainya. Kucapai kotak kereta ferarri ini.
Berfikir lagi. Kuletak kotak ini di atas rak semula. Tempoh hari Idlan telah
memilih sendiri kereta kawalan jauh. Hadiah daripada Haqem. Dia sangat berpuas
hati dan seronok memiliki hadiah itu. Maka pada pendapatku, Idlan tidak
memerlukan hadiah sebegini lagi. Hadiah yang serupa akan menghilangkan
keterujaannya. Aku harus memilih hadiah yang lain. Keseronokan dan kegembiraan
Idlan menjadi keutamaanku.
Pelbagai jenis peralatan permainan yang ada di sini tidak
memikat hatiku hendak dijadikan hadiah buat Idlan. Lantas aku bergerak ke
bahagian lain. Langkahku membawa aku ke bahagian bahan – bahan bacaan yang
sesuai mengikut peringkat perkembangan umur kanak – kanak. Kali ini aku
mengikut gerak hatiku. Dipengaruhi atas pertimbangan akalku, maka aku mengambil
keputusan membeli kamus elektronik yang serba canggih ini. Boleh menjadi
panduan dan rujukan yang menarik dan sangat berguna. Kamus ini lebih bermanfaat
daripada barangan mainan yang lain. Aku mahu Idlan menjadi manusia yang
berpengetahuan luas persis Aqel. Kamus ini juga akan menambah perbendaharaan
kata Idlan. Budak bijak seperti Idlan pasti mencintai ilmu. Kubawa kamus
elektronik ini ke kaunter pembayaran. Berbaris bersama – sama pelanggan lain
menunggu giliran hendak berurusan dengan juruwang. Waktu – waktu begini ramai
pula pelanggan yang berkunjung ke sini. Terpaksalah aku menanti giliranku
dengan sabar. Harap – harap Aqel juga akan sabar menungguku.
Nama Aqel terlintas di benakku. Walaupun Aqel tidak dapat
menghadirkan diri ke majlis hari jadi Idlan, tetapi sekurang – kurangnya Aqel perlu
menyediakan hadiah buat Idlan. Aku wajib membeli sesuatu untuk Aqel hadiahkan
kepada Idlan nanti. Aku berhajat kembali ke bahagian peralatan mainan tadi. Namun
belum sampai menjejakkan kaki ke situ, langkahku terhenti di bahagian peralatan
sukan ini. Mengimbas deretan alatan sukan yang ada di sini. Laju tanganku
mencapai bola ragbi yang nampak unik dengan corak yang terlukis. Lain daripada
bola ragbi biasa. Aku tersenyum. Muktamad bola ragbi ini adalah hadiah daripada
Aqel buat Idlan. Aku kembali ke kaunter pembayaran. Kuhulurkan kad kredit visa
kepada juruwang kerana bimbang jika wang tunai dalam dompetku tidak mencukupi.
“Sekejap ye cik....” pinta gadis ini. Aku terkebil –
kebil menatapnya. Risau jika ada masalah timbul. Bimbang juga andai kad kredit
ini tidak boleh digunakan. Seingatku dalam bulan ini kad kredit ini tiada
hutang di bank.
“Ada masalah dengan kad visa ni?”soalku keresahan.
Janganlah sampai aku terpaksa menghubungi Aqel memintanya datang ke sini bagi
melangsaikan kos barangan yang kubeli ini. Sungguh mengaibkan jika itu yang
berlaku. Nauzubillahminzalik. Jauh – jauhkan perkara yang tidak diingini
berlaku. Lega rasanya tatkala melihat gelengan kepala gadis ini. Seorang pemuda
bersama beberapa biji bola berlari anak ke kaunter pembayaran ini. Tiga biji
bola yang dibawa oleh pemuda ini diletakkan di atas meja kaunter di depan gadis
yang bertugas sebagai juruwang ini. Bola sepak, bola keranjang dan bola tampar.
Aku kehairanan menatap gadis ini, memohan penjelasan lanjut.
“Ini kawan - kawan bola ragbi yang cik nak beli ni” jelas
gadis ini sambil sempat berlawak denganku.
“Oh...... semua bola ini dijual dalam satu set” tekaku
membuat andaian. Gadis ini mengangguk. Yang ada sekarang bola sepak, bola
keranjang, bola tampar dan ditambah dengan bola ragbi. Aku tersenyum gembira.
Berbaloi dengan harganya. Sudah terbayang senyuman Idlan di mataku. Senyuman
yang begitu menyenangkan. Senyuman kedua yang mempesonakan selepas senyuman
Aqel. Sejujurnya senyuman Aqel memang meruntun kalbu.
“Terima kasih. Sila datang lagi” tutur gadis juruwang
ini. Aku tersenyum dan mengangguk. Barangan berkualiti, harga yang berpatutan
serta layanan yang mesra pasti mengundang kunjunganku ke premis ini lagi. Aku
membimbit dua buah beg plastik yang berisi sebuah kamus elektronik dan empat
biji bola yang memenuhi tanganku tatkala keluar meninggalkan premis ‘Dunia
Riang Si Kecil’ ini. Baru aku sempat menatap nama yang tertera pada papan tanda
perniagaan di atas muka pintu utama premis ini. Tidak dapat meneka reaksi yang
bakal Aqel tunjukkan tatkala melihat kemunculanku bersama barang – barang ini.
Dapat aku rasakan Aqel akan berbesar hati dengan tindakanku. Dia juga tidak
akan merungut dengan kelewatanku ini. Rasanya aku telah menghabiskan masa yang
lama di premis itu tadi. Lantas mencabar kesabaran Aqel menunggu kemunculanku.
Aku berlari – lari anak ke laman tempat letak kereta.
Mahu segera menamatkan penantian Aqel. Nafasku tercungap – cungap tiba di laman
ini. Tersentak tatkala menatap kereta Peugeot RCZ Sports Coupe tiada berpenghuni. Aqel menghilang diri. Dia sudah tidak
berada di sini lagi. Liar mataku menjejaki kelibat Aqel di sekitar kawasan ini.
Mungkin Aqel bosan menunggu lama di dalam kereta lantas berlegar – legar di
sekitar kawasan ini menghirup udara segar. Maklumlah kami berada di kompleks
membeli – belah yang terbina dalam taman. Rekaan yang sungguh sempurna. Pokok –
pokok menghijau dan bunga – bungaan pelbagai warna menghiasi lanskap indah
kompleks ini. Hembusan wangian haruman bunga – bungaan memberikan ketenangan.
Aku cuba menjejaki kelibat Aqel namun gagal kutemui. Aqel tidak berada di luar
kawasan kompleks ini. Barangkali Aqel berada di dalam kompleks mahu menjejakiku
lantaran sudah terlalu lama menanti kemunculanku.
Berhati – hati aku menyusun langkah mendaki permukaan
tanah yang bertangga – tangga. Kali ini baru teringat hendak berhati – hati. Permukaan
tanah yang tidak rata jika kurang waspada pasti membahayakan diri. Aku
melangkah mendekati pintu utama masuk ke kompleks ini lalu berdiri di sini.
Mudah hendak nampak kelibat Aqel nanti. Senang juga Aqel nampak aku yang sedang
terpacak berdekatan dengan pintu utama ini laksana pengawal keselamatan yang
sedang bertugas. Banyak juga mata yang memandangku dan memerhatikan barangan
yang kubawa ini. Tidak mustahil ada yang beranggapan aku penjual jualan
langsung. Ada juga yang nampak takut – takut hendak melewatiku. Bimbang ditahan
oleh penjual untuk mendengar promosi barangan yang dijual. Pastinya promosi
yang tidak mahu didengar. Selalunya banyak sangat penipuan. Lembut gigi
daripada lidah. Bijak berbicara, manis senyuman. Wajib berjaga – jaga agar
tidak mudah tertipu.
“Awak nak jadi guru sukan ke?” suara lelaki singgah di
halwa pendengaranku. Laju aku berpaling. Aqel sedang melewati muka pintu.
Langkahnya tidak berhenti. Sebaliknya terus laju ke hadapan tanpa menoleh –
noleh lagi. Aku bergegas memulakan langkah dengan membimbit dua buah beg
plastik pada kedua – dua tanganku. Terkocoh – kocoh aku mengejar langkah Aqel.
“Ya Allah....!” Buppp....! Aku terduduk di permukaan
lantai bersimen ini. Beg plastik di tangan kiriku terlepas dan terpelanting
jauh. Semua bola itu terkeluar lalu bergolek – golek laju menuruni cerun –
cerun membawa haluan sendiri. Mujur juga kamus elektronik ini selamat kerana berada
dalam pelukanku. Aku terkial – kial hendak bangun kerana sebelah kasut tumitku
ini tersepit di lubang kecil pada simen konkrit ini. Aku cuba menariknya namun
bagaikan sudah dipaku di situ. Aqel hanya memerhatikan aku dengan pandangan
kosong. Langsung dia tidak bergerak mendekatiku hendak menghulurkan bantuan. Persis
aku orang asing padanya. Barangkali dia berasa malu mahu memperlihatkan bahawa kami
saling mengenali kerana ramai yang sedang menyaksikan kejadian malang yang
menimpaku ketika ini. Maka Aqel berpura – pura tidak mengenaliku. Malah tiada
sesiapapun yang mengetahui aku dan Aqel saling mengenali dan sebetulnya berkongsi
kereta.
Timbul perasaan marah dan rasa terkilan dengan perlakuaan
Aqel yang hanya membiarkan aku bersendirian menghadapi kesulitan ini. Malu juga
kerana menjadi perhatian banyak mata. Namun tiada sesiapa yang mahu
menghulurkan bantuan kepadaku. Kukumpul kekuatan diri ditambah dengan perasaan
geram kepada Aqel, sekuat tenaga aku menarik kasut ini. Aku berjaya
melakukannya, namun malang sekali lagi tumit kasut ini tercabut. Aku tidak
boleh memakainya lagi. Dengan perasaan marah kutanggalkan kasut yang masih
tersarung di sebelah kakiku ini lalu melontarnya ke dalam tong sampah bersama –
sama kasut yang telah tercabut tumitnya ini. Aku terhinjut – hinjut menuruni cerun
yang bertangga – tangga ini cuba menjejaki empat biji bola yang bergolek –
golek tadi. Berkerut dahiku menahan kesakitan dan rasa ngilu tatkala memijakkan
sebelah kaki kananku. Kaki ini pasti telah terseliuh. Sudah menampakkan lebam
di bahagian buku laliku.
“Semua ni bola awak?” suara lelaki melontar pertanyaan
kepadaku. Aku berpaling. Terkedu. Saling beradu pandangan. Pertemuan yang tidak
diduga.
“Cikgu Firdaus.....” Sebaris nama ini meniti di bibirku.
Dia tersenyum. Empat biji bola itu sudah berada dalam rangkulan tangannya.
Lantas kuhulurkan beg plastik yang baru sahaja kukutip kepada Cikgu Firdaus.
Cikgu Firdaus memasukkan semua bola itu ke dalam beg plastik lalu mengikat
kemas tangkai beg plastik ini sebelum menyerahkan semula kepadaku. Andai sekali
lagi beg plastik ini terlepas dari tanganku pasti semua bola di dalamnya tidak
akan terkeluar.
“Awak boleh angkat?” soal Cikgu Firdaus sangsi. Laju aku
mengangguk.
“Kaki awak cedera” ujar Cikgu Firdaus memaklumkan
kepadaku. Cepat dia menyedari kecederaan pada kakiku.
“Tak serius” sahutku cuba berlagak biasa. Sebetulnya
terasa sakit yang menyucuk – nyucuk. Ngilu. Berkerut juga dahiku menahan
kesakitan ini.
“Awak datang seorang ke?” Pertanyaan Cikgu Firdaus
mengingatkan aku kepada Aqel. Hatiku membara kembali. Kulontar pandangan ke
arah Peugeot RCZ Sports Coupe. Aqel sudah duduk di kerusi pemandu. Bila – bila
masa sahaja akan bergerak meninggalkan kawasan ini.
“Saya datang
dengan Aqel. Terima kasih tolong saya kutip semua bola ni. Saya pergi dulu”
ujarku meminta diri kerana khuatir Aqel akan meninggalkan aku di sini jika
berlengah lagi. Sesungguhnya, Aqel boleh bertindak di luar dugaan. Tindakannya
tidak dapat difikirkan. Cikgu Firdaus mengangguk dan tersenyum. Baru beberapa
langkah aku meninggalkan Cikgu Firdaus, aku berpaling semula ke arahnya.
“Ada kelapangan
datanglah rumah dengan mak cikgu ye. Boleh kita dengan Izeq pergi memancing lagi”
ujarku mengimbau kenangan lalu. Cikgu Firdaus tersenyum dan mengangguk lagi.
“Kirim salam
pada mak cikgu. Assalamualaikum....” ujarku lantas menyambung langkah kembali.
Kedengaran suara Cikgu Firdaus menyahut salamku. Risau ditinggalkan Aqel dan
kerana berkaki ayam sahaja, tidak
tertahan dengan kepanasan simen, maka aku berlari ke arah kereta Aqel. Lantas
menyelinap masuk dan duduk di sebelah Aqel yang masih nampak bersahaja. Senyap.
Aqel berpaling ke arahku.
“Takkan awak
nak pegang beg plastik tu. Letaklah di bonet atau di kerusi penumpang belakang
ni” omel Aqel tatkala melihat aku tidak mahu melepaskan beg plastik yang berisi
bola dan kamus elektronik ini. Aku mematungkan diri. Juga menulikan telingaku.
Tidak mengendahkan bicara Aqel.
“Bola tu takde
kaki nak lari dari awak” ujar Aqel sinis. Aku mengetap bibir menahan gelodak
perasaan. Menyakitkan hati mendengar bicara Aqel persis sindiran buatku. Memanglah
terasa selepas bersusah payah mengejar bola – bola ini. Yang Aqel tahu
memerhatikan sahaja. Sebenarnya aku tidak sempat pun mengejarnya. Mujur Cikgu
Firdaus muncul. Dialah yang berjasa menolongku mendapatkan kesemua bola ini. Bahkan
hanya dialah yang sudi bertanyakan keadaanku sementara yang lain hanya menjadi
pemerhati pada babak yang mengaibkan aku. Tersentuh hatiku dengan keprihatinan
Cikgu Firdaus itu. Tapak kakiku
terasa pedih – pedih. Pasti luka dicucuk serpihan batu – batu kecil yang tajam.
“Diam saja awak” komen Aqel memanjangkan bicaranya. Aku
pula memanjangkan diamku. Masih terkilan dengan Aqel.
“Awak marahkan saya?” soal Aqel lagi. Aku masih mengunci
mulut. Tidak mahu berbual – bual dengan Aqel buat sementara waktu. Apatah saat
ini hati masih membara.
“Bukan salah saya tak tolong awak tadi. Awak yang nak
hidup berdikari dan mahu menjaga diri sendiri” jelas Aqel bersahaja. Kutatap
Aqel. Kemudian aku terus sahaja meraung. Dalam situasi sekarang bukan masa
sesuai untuk Aqel berlawak. Aqel terkebil – kebil menatapku.
“Flora..... kenapa ni?” soal Aqel cemas.
“Saya bukan Flora” sahutku dalam tangisan. Raunganku
semakin besar. Persis anak kecil yang sedang melempiaskan ketidakpuasan hatinya
melalui tangisan. Senjata berkesan dan berharga bagi orang yang tidak berdaya.
“Kenapa ni? Janganlah menangis” pujuk Aqel cuba meredakan
tangisanku. Aqel kematian akal. Air mata bercucuran di pipiku. Aku menangis
semahu – mahunya tanpa secebis perasaan malu kepada Aqel yang sedang
menyaksikan deraian air mata ini.
“Flora.... kenapa ni?” Aqel masih mengulangi pertanyaannya.
Kali ini bahuku digoncang. Mahu segera melenyapkan tangisanku.
“Okey....okey.... saya minta maaf. Salah saya sebab tak
pedulikan awak tadi. Awak hukumlah saya” ujar Aqel berjanji. Dia juga menyedari
perbuatannya yang tidak patut.
“Saya akan terima apa saja hukuman awak. Saya takkan
bantah” ujar Aqel menambah janjinya. Wajahnya serius menatapku. Cuba memujukku.
“Tapi awak mesti berhenti menangis sekarang” pintanya
memberi syarat. Aku mengesat sisa – sisa air mata sambil menahan esakanku.
“Janji?” soalku meminta kepastian. Aqel mengangguk seraya
mengangkat tangan kanan menunjukkan ikrar sumpah janjinya.
“Saya akan menurut perintah awak.....” ujar Aqel melafazkan
ikrar. Dia bersungguh – sungguh. Aku yakin Aqel akan mengotakan perkara yang
dijanjikannya.
“Kalau awak nak saya beli hadiah hari jadi budak itu,
saya akan beli. Awak cakap saja nak hadiah apa” ujar Aqel menyambung bicaranya.
“Kalau awak nak
saya hadir ke majlis hari jadi budak itu saya akan pergi. Awak beritahu saya
bila dan di mana majlisnya” bicaranya lagi. Aku mengetap bibir. Perkara itu
yang berada dalam benaknya.
“Boleh tak kalau awak diam” perintahku garang. Aqel
terkebil – kebil menatapku. Terkejut mendengar nada suaraku yang sedikit
tinggi.
“Banyak sangat cakap” keluhku berbicara sendiri. Aqel
masih menatapku.
“Awak ingat saya sekejam awak” ujarku melempiaskan
amarahku. Membutang mataku menatap Aqel.
“Saya takkan suruh awak buat perkara yang awak tak suka”
tegasku. Senyap.
“Apa nak tunggu lagi, kita baliklah” arahku sedikit
radang. Aqel menjelingku. Lantas menghidupkan enjin kereta. Kemudian memulakan
perjalanan. Rasa pedih semakin terasa. Aku menatap tapak kakiku. Ada luka –
luka kecil.
“Aduhhhh.....” Aku mengerang kecil. Mujur kaki di sebelah
kiri ini sahaja yang luka. Namun yang malangnya kaki kanan pula yang terseliuh.
Pasti menyukarkan aku bergerak pantas nanti. Bertimpa – timpa malang
mendatangiku. Kereta yang Aqel pandu berhenti. Kutatap Aqel.
“Kita nak pergi mana ni?” soalku hairan.
“Singgah sekejap di sini” sahut Aqel.
“Nak buat apa kat sini?” soalku binggung. Aku melontar
pandangan keluar. Sebuah taman rekreasi yang diwartakan sebagai hutan simpan. Maklumat
yang tertulis pada papan tanda yang terpacak berdekatan dengan pintu gerbang.
Tampak sunyi dan mendamaikan. Hanya kelihatan beberapa orang sedang berjalan
menerokai keindahan taman ini.
“Cepatlah keluar” arah Aqel. Aku berpaling. Aqel sedang
berdiri di tepi kereta.
“Nak buat apa kat sini?” soalku mengulangi pertanyaan
yang belum Aqel jawab lagi.
“Kita rehat kat pondok tu” jelas Aqel sambil menunding
jari ke arah pondok kayu yang hanya beratap tetapi tidak bertiang dan
berdinding itu. Ada meja dan bangku batu di situ. Pondok yang cantik untuk
beristerehat sambil menghirup udara segar. Namun perlukan banyak langkah untuk
datang ke situ. Aku menggeleng. Rasanya aku tidak mampu pergi sejauh itu.
Bimbang kecederaan yang menimpaku menjadi serius.
“Saya tak nak pergi ke pondok tu” ujarku sambil menatap
kakiku. Sekarang pergerakanku agak terbatas. Pasti sukar aku hendak sampai ke
situ.
“Tunggu sekejap” arah Aqel. Dia bergerak ke belakang,
membuka bonet lalu mengeluarkan sesuatu dari bonet kereta. Pintu kereta dikuak
dari luar. Sekelip mata Aqel sudah berdiri di sebelahku. Berada di tangannya
kotak set ubat – ubatan. Mengertilah aku tentang hajat hati Aqel. Cuba menembus
kesalahan dirinya dengan berbuat baik kepadaku.
“Keluarlah sekarang. Biar saya bubuh ubat luka di kaki
awak tu” jelas Aqel. Laju aku menggeleng.
“Tak nak... nanti pedih” tingkahku seperti budak kecil.
“Saya tak tahan sakit” tambahku memberi alasan. Aqel
tersenyum sinis memerliku.
“Manja sangat macam budak kecil” kutuk Aqel. Kutulikan
telinga.
“Cepat keluar....” arah Aqel tidak mengendahkan bicaraku.
Tidak mudah Aqel akan mengalah. Sikap degilnya setanding denganku. Aku
mendengus geram. Tidak suka dipaksa – paksa.
“Tak nak. Saya nak balik ke rumah sekarang” tegasku. Tidak
mudah patuh pada arahan Aqel. Nampak sangat dirinya bukanlah seorang yang
prihatin. Aku sakit – sakit begini disuruh lagi jalan jauh – jauh. Sudahlah
hanya berkaki ayam sahaja. Memang Aqel manusia yang tiada belas kasihan kepada
orang lain.
“Mari....” Aqel sudah menguak luas pintu kereta lalu
membengkok mendekatkan dirinya denganku. Aku tersentak dan tergamam. Tidak
selesa dalam posisi sekarang. Aqel terlalu dekat denganku. Wangian Aqel harum
semerbak memenuhi rongga hidungku.
“Awak nak buat apa ni?” tanyaku cemas.
“Nak bawa awak keluarlah” jelasnya.
“Saya nak balik rumah” tingkahku berkeras. Aqel masih
tidak berganjak. Mungkin dia mahu mengangkatku keluar dari kereta ini. Nampak
Aqel bersungguh – sungguh hendak melakukannya.
“Okey.....okey.... saya keluar sendiri” ujarku mengalah.
Aqel tersengih. Bahagia hatinya setelah kemenangan berpihak kepadanya. Dia
menjarakkan dirinya daripadaku. Berdiri di sebelahku menunggu aku keluar dari
kereta ini. Aku mendengus. Geram kepada Aqel. Perlahan – lahan kuletak kakiku
ke bumi. Berkerut dahiku menahan sakit.
“Aduhhh....” Aku mengerang kecil. Pandangan Aqel tidak
menjauhiku. Bagaikan dia sedang mengawasiku.
“Macam mana saya nak jalan ni, kan saya tak pakai kasut”
ujarku melenting.
“Itu perkara mudah saja. Mari saya dukung awak” sahut
Aqel bersahaja. Aku menjelingnya. Cadangan yang tidak masuk akal. Pasti dia
mahu mengambil kesempatan ke atasku.
“Nah.... pakai kasut saya ni” Aqel memberikan pilihan
kedua. Kasutnya diletakkan di hadapanku. Kutenung seketika kasut kulit hitam
yang berkilat ini.
“Pakailah....” arah Aqel tatkala melihat aku belum
berbuat apa – apa lagi. Kupandang Aqel. Mula berfikiran jahat. Kupandang
sekeliling. Tiada manusia yang berdekatan sekarang. Situasi yang sangat sesuai.
Aku ada agenda mahu mengenakan Aqel. Aku tersenyum sendiri.
“Tak payah fikir lama – lama pakai saja kasut tu. Kaki
saya bersih dan suci. Langsung takde kurap atau kudis malah sentiasa harum dan
wangi” leter Aqel panjang lebar. Sempat juga dia membangga diri. Aku mencebik
ke arahnya.
“Saya tak nak pakai kasut awak” ujarku. Tajam mata Aqel
menatapku.
“Saya nak awak dukung saya...” cepat aku menyambung
bicara sebelum sempat Aqel melenting. Berkerut dahi Aqel menatapku. Sudah
semestinya permintaanku di luar jangkaannya. Aqel tersenyum lebar. Nampak
menakutkan.
“Lagilah mudah...” ujarnya senang sambil memakai kasutnya
semula.
“Mari......” Aqel membongkokkan sedikit tubuhnya sambil
mendepakan tangan. Mula mengarahkan aku berbaring di tangannya.
“Saya tak nak posisi macam tu” tingkahku.
“Awak ni banyak sangat songehnya” leter Aqel geram. Aku
tersengih.
“Saya nak bergayut di belakang awak” ujarku tersengih
lagi.
“Awak ingat saya ni pohon pokok dan awak tu monyet” kutuk
Aqel. Aku tersenyum. Aqel membongkokkan tubuhnya di depanku. Sudah bersedia
mahu menampung berat tubuhku.
“Awak jangan bangun dulu tau” ujarku memberi peringatan
kepadanya.
“Dukung saya hati – hati. Jangan jatuhkan saya tau”
ujarku berpesan.
“Ye..... saya tahulah. Cepat naik....” sahut Aqel geram.
“Sedia....”Aku melingkarkan tanganku di leher Aqel. Kemudian
memanjat tubuh Aqel. Sekelip mata aku sudah bergayut di tubuh Aqel.
“Aa....awak ....nak bunuh saya ....” suara Aqel tersekat
– sekat. Dia batuk – batuk. Kuketatkan lagi lingkaran tanganku di leher Aqel.
Persis sedang mencekik leher Aqel sekarang.
“Aa....aa..wak..ce...kik.. le...her....sa...yaaa” suara
Aqel terputus – putus. Aku tersenyum sendiri. Padan mukanya. Seronok dapat
mempermainkan Aqel.
“Tak...saya takut jatuh” sahutku buat – buat cemas. Batuk
– batuk Aqel masih kedengaran. Semakin lebar pula senyumanku.
“Cepatlah jalan....cepat....” Aku mula bergoyang – goyang
bagai ditiup angin di belakang Aqel menambah kesukaran anak muda Mak Long ini.
Detik penyeksaan ke atas Aqel telah bermula.
“Diam – diamlah...!” arah Aqel melenting. Aku tersenyum
lagi. Aqel mula mengatur langkah. Aturan langkah Aqel tidak kemas. Sedikit
terumbang – ambing. Pautan tanganku di leher Aqel masih ketat. Sengaja mahu
menyukarkannya bernafas. Batuk Aqel masih kedengaran. Dengan penyeksaan ini
sudah semestinya perjalanan ini terasa panjang buat Aqel.
“Long...garkan....longgarkan ta...tangan...aa...awak....”
Sukar Aqel hendak berbicara. Saluran pernafasannya tersekat dan terhalang oleh
kuncian padu tanganku. Deruan nafas Aqel tercungap – cungap. Tidak lancar.
Berat tubuhku menjadi beban yang terpaksa Aqel pikul. Berkesan juga teknik yang
kupilih ini bagi memberi kesengsaraan seketika kepada Aqel. Aku memang mahu
mendera Aqel ketika ini.
“Cepat turun.....!” arah Aqel melontar suaranya sedikit
lantang. Sudah tidak tertanggung dirinya dengan penderaanku. Aku tersenyum
sendiri.
“Hati – hati nanti saya jatuh” ujarku melambat –
lambatkan permintaannya. .Cuba berlagak berwaspada demi keselamatan diri. Kakiku
tetap tergantung. Bebanan berat badanku masih terpikul di bahu Aqel. Tatkala
aku meleraikan pautan tanganku di leher Aqel kedengaran helaan nafas leganya. Baru
terlepas daripada bebanan yang menyeksakan. Wajah Aqel yang nan putih merah
merona. Kekurangan oksigen. Ditambah lagi berat badanku yang terpaksa
dipikulnya.
“Awak kena kurangkan berat badan awak” kutuk Aqel
disambut dengan sengihanku. Langsung tiada amarah mendengar perlian Aqel.
Sebaliknya kepuasan hati setelah berjaya mendera Aqel. Sudah tertebus rasa
terkilanku sebentar tadi.
“Duduk dan lunjurkan kaki awak” arah Aqel dengan
garangnya. Aku menurut sahaja arahannya masih dengan sengihan. Betapa seronok memperdayakan
Aqel. Aqel terus sahaja menggunakan kepakarannya merawat luka – luka kecil di
telapak kakiku mengikut prosuder rawatan kecederaan ringan.
“Aduh.....” Aku mengerang menahan pedih. Mukaku berkerut.
“Sakit?” soal Aqel.
“Memanglah sakit...” sahutku kasar.
“Luka – luka kecil saja” sinis sahaja suara Aqel mengulas
kecederaan yang kualami. Aku mengetap bibir. Cuba bertahan dan bersabar dengan
kepedihan luka ini. Silap – silap boleh melayang kaki ini menghadiahkan
tendangan kepada Aqel. Aqel membalut kemas telapak kakiku. Kemudian beralih
pada kaki kananku. Berkerut dahiku menahan sakit.
“Perlahan....” pintaku. Kaki kanan ini lebih sakit
daripada luka – luka di tapak kaki kiri.
“Jangan berkuat. Kaki awak terseliuh ni” ujar Aqel persis
yang kurasakan. Aku manggigit bibir menahan sakit tatkala tangan Aqel
menyentuhnya.
“Saya bawa awak ke klinik” saran Aqel. Laju aku
menggeleng. Kecederaan kecil. Aku hanya perlukan kepakaran mak untuk
memulihkan. Selepas mak mengurutnya nanti kesakitan ini akan hilang.
“Kalau macam tu biar saya yang betulkan urat – urat
awak....” ujar Aqel menawarkan jasanya. Bulat anak mataku menatap Aqel.
“Awak boleh buat ke?” tanyaku kurang yakin dengan
kebolehannya. Aqel tersenyum.
“Kita boleh cuba....” jawabnya bersahaja. Tangan Aqel
sudah memegang pergelangan kaki kananku. Sudah bersedia melakukannya.
“Tunggu.....” pintaku cuba melengahkan Aqel. Tidak dapat
aku bayangkan kesakitan yang bakal aku rasa.
“Buat perlahan – lahan....” pintaku sambil membayangkan
kesakitan luar biasa. Aqel mengangguk.
“Sedia...” arah Aqel. Aku mengangguk. Kupejamkan mataku.
Tidak sanggup menyaksikan tangan Aqel menyentap kuat kakiku.
“Bismillahnirahmanirahim.......” suara Aqel melafazkan
kalimah Allah.
“Aaahhhhhhhh......!!!... Aaahhhhhhhhhh!!!” suaraku dengan
suara Aqel bersatu lantas bergema dengan kuatnya. Tatkala tangan Aqel memusing
dan menarik kakiku dengan kuatnya, sepantas kilat tanganku hinggap di bahu
Aqel. Kukuku yang sedikit tajam telah mencengkam isi hingga ke tulang Aqel
membuatkannya separuh mati menjerit. Kedengaran bunyi tulang kakiku.
“Lepaskan cengkaman awak....” pinta Aqel dengan dahi
berkerut menahan sakit. Baru aku tersedar. Laju sahaja aku menarik tanganku.
Nampak bahu Aqel merah dan bercalar.
“Awak ni
harimau ke?” lirih suara Aqel dengan wajah kelatnya. Aku tergelak kecil.
“Ohh....sorry....
di luar kawalan saya tadi” ujarku rasa bersalah. Aqel menjelingku tajam. Tangannya
mengusap – usap lembut bahunya yang calar.
“Cuba awak berdiri....” arah Aqel. Kupandang Aqel. Kurang
yakin hendak menuruti arahannya. Bimbang sakit lagi.
“Cepat....” gesa Aqel. Lambat – lambat aku bangun dengan
menggantung kaki kananku. Masih takut – takut mahu memijakkannya. Aqel geleng
kepala.
“Pijakkanlah kaki kanan awak tu” arah Aqel melenting.
Sedikit demi sedikit kuturunkan kaki kanan ini sehinggalah mencecah ke simen.
Perlahan – lahan kupijakkan. Sedikit – sedikit kupindahkan berat badanku.
Ternyata kaki kananku sudah mampu menampung bahagiannya tanpa rasa sakit.
Kupandang Aqel.
“Dah tak sakit” ujarku teruja dan lebih aktif
menggerakkan kaki kanan ini. Kakiku yang terseliuh sudah pulih sepenuhnya.Aqel
tersenyum. Dia telah berjaya membuktikan keupayaan dirinya.
“Terima kasih, Aqel” ujarku gembira kerana kaki kananku
sudah pulih. Aqel senyum lagi. Lantas tangannya mula membalut kaki kananku ini
persis kaki kiriku.
“Kenapa nak dibalut? Kaki ni kan dah tak sakit lagi”
ujarku binggung. Aqel tidak mempedulikan bicaraku. Tangannya masih melingkarkan
kain pembalut itu di kakiku.
“Saya dah tak mampu nak dukung awak untuk hari ini. Lepas
ini awak jalan sendiri” jelas Aqel buat aku tertawa. Mengertilah aku bahawa
Aqel telah menyiapkan alas kakiku bagi memudahkan aku bergerak. Dalam masa yang
sama Aqel tidak perlu mendukungku lagi. Kutatap Aqel yang sedang fokus membalut
kaki kananku. Timbul perasaan bersalahku kepadanya. Tidak patut aku bersikap keanak
– anakan tadi.
“Terima kasih, Aqel dan maafkan saya....” ujarku kesal.
Aqel hanya senyum. Kupandang kedua – dua kakiku yang sudah dibalut kemas dengan
perasaan sayu. Rawan dan terkilan berpadu menjadi satu. Rawan kerana menerima
kebaikan Aqel dan terkilan kerana telah kehilangan kasut kesayanganku. Ada
kenangan tersimpan di sebalik sepasang kasut tumit itu. Kasut tumit pertama
yang aku miliki setelah diarahkan oleh Puan Rosie bertugas di KDUT sebagai
menebus kecuaianku. Kasut pertama yang aku pakai ketika pertama kali memijakkan
kaki ke KDUT. Kasut tumit yang aku pakai ketika dinobatkan dengan Aqel sebagai
pasangan yang ideal pada majlis makan malam KDUT malah aku memakai kasut ini
ketika Aqel menjemputku naik ke atas pentas lantas memperkenalkan aku sebagai
tunangnya di depan warga KDUT. Maka bermula dari detik itu terciptalah kisah
baru hidupku. Sesungguhnya, kasut tumit yang banyak menyaksikan kisah suka
dukaku di KDUT. Kalaulah aku tidak terlalu mengikut perasaan pasti kasut tumit
itu masih menjadi milikku. Aku boleh menghantarnya kepada tukang kasut untuk
dibaikpulih. Oh.... mengapalah aku tidak berfikir panjang tadi! Aku melepaskan
keluhan kecilku. Menyesali tindakan terburu – buruku.
“Awak nampak sedih” komen Aqel. Aku tersenyum sekilas.
“Teringat pada kasut saya tadi” jelasku.
“Belilah kasut yang baru” saran Aqel. Aku menggeleng.
“Yang baru takkan sama dengan yang lama” balasku berkias
– kias. Aqel tersenyum.
“Banyak sangat perkara yang menyentuh jiwa awak” lirih
sahaja suara Aqel.
“Sudah ditakdirkan saya jadi begini” ujarku memberikan
jawapan yang mudah dan tidak perlu dipersoalkan oleh Aqel lagi. Orang yang
pernah kecewa dan dilukai memang mudah terusik nalurinya. Sangat sensitif.
“Penting sangat ke hadiah tu sampai awak sanggup cedera”
duga Aqel.
“Saya tak nak biarkan bola tu lari jauh” sahutku membela
diri.
“Biarkan bola itu pergi sejauh yang boleh” balas Aqel.
Aku menggeleng.
“Saya takkan biarkan semua itu berlaku” tegasku meningkah
bicara Aqel.
“Kenapa?” tanya Aqel.
“Saya beli semua bola itu untuk awak berikan kepada
Idlan. Itu hadiah awak. Saya tak nak sia – siakan usaha saya” tegasku. Aqel
menatapku.
“Berikan semua bola itu kepada saya nanti” arah Aqel.
“Untuk apa?” tanyaku binggung.
“Sebab itu hadiah saya” jawab Aqel. Aqel sudah salah
faham.
“Hadiah daripada awak untuk Idlan. Bukan hadiah untuk
awak” ujarku menjelaskan lebih terperinci. Cuba membetulkan kesalahfahaman
Aqel. Aqel senyum.
“Berikan saja semua bola itu kepada saya. Biar saya
sendiri yang belikan Idlan hadiah nanti” jelas Aqel memecahkan kebinggunganku.
“Idlan tak suka bola?” tanyaku. Aqel menggeleng.
“Saya yang suka sangat dengan bola yang awak beli tu.
Saya tak boleh berikan barang yang saya suka pada orang lain” jelas Aqel
tersenyum.
“Awak suka bola?” tanyaku dengan mata yang membutang.
Terkejut mendengar pengakuan Aqel ini. Aqel mengangguk dan tersenyum lebar.
“Pelik....macam budak – budak....” perliku sukar mahu
menerima kenyataan Aqel.
“Awak memang tak memahami saya” ujar Aqel tergelak.
“Pelik lelaki dewasa meminati permainan budak – budak”
tingkahku cuba menyatakan kepada Aqel bahawa sikapnya agak luar biasa daripada
kebiasaan. Kuperhalusi sikap Aqel yang kuketahui, memang tiada yang mustahil.
Aqel memang seorang yang aneh.
“Mari balik....” ajak Aqel menyentakkanku.
“Saya ada perkara lain nak buat lagi” jelas Aqel lalu
bangkit dari duduknya lantas memulakan langkah mendahuluiku. Aku mengekori
langkah Aqel dengan kaki yang terjengket – jengket. Aku tidak mahu alas kaki
yang Aqel buat ini kotor. Aqel menghantarku balik ke rumah mak. Setelah
mengambil semua bola itu daripadaku dan tanpa sebarang bicara Aqel terus pergi
meninggalkan aku yang terkebil – kebil kehairanan. Tidak tahu ke mana destinasi
seterusnya. Jelasnya Aqel mengejar masa.
Dia melangkah ke arah tong sampah itu. Jelas pada
penglihatannya tadi kasut tumit itu dibaling ke dalam tong sampah itu dengan perasaan
marah. Hampa. Sepasang kasut itu tidak ditemui di situ. Aqel melangkah
menyusuri jalan kecil itu. Mana tahu sepasang kasut tumit itu telah tersasar ke
situ. Hampir ke penghujung jalan dia masih tidak menemui sepasang kasut itu.
Rasa kecewa yang tidak dapat dibendung. Dia melontar pandangan jauh – jauh.
Masih berharap sepasang kasut tumit itu akan ditemuinya jua.
“Assalamualaikum..... Awak sedang cari ni?” ada suara
lelaki menyapanya dari belakang. Aqel berpaling. Bertaut pandangan dengan
pemuda ini. Terbit rasa hairannya tatkala pemuda ini masih berada di sini. Kemudian
pandangannya beralih pada kasut tumit di tangan pemuda ini. Lantas hatinya
berbisik meluahkan rasa kecewa kerana gagal menemui sepasang kasut tumit itu
mendahului pemuda ini.
No comments:
Post a Comment