BAB 28
Aku menarik nafas panjang. Kemudian mengetuk daun pintu
bilik ini.
“Masuk...” kedengaran suara Aqel dari dalam mengarahkan
masuk. Awal pula dia bangun walaupun hari ini dia bercuti. Kujengukkan sedikit
kepalaku di sebalik daun pintu. Aqel kebetulan sedang melontar pandangan ke
sini. Maka pandangan kami bertembung.
“Awak dah bangun...” sapaku. Aqel mengangguk. Lalu aku
melangkah masuk sambil menatang hidangan sarapan yang disediakan oleh Mak Long
untuk Aqel. Dulang yang kutatang kuletakkan di atas meja almari solek milik pemuda
dingin membeku ini. Kupandang Aqel yang sedang menatapku.
“Awak boleh tidur lena malam tadi?” soalku cuba berlagak
mesra dengan Aqel.
“Mestilah.... bukan cedera serius pun. Saya ni bukan
congek macam awak” ujar Aqel memerliku. Aku menjeling Aqel. Dia tersenyum.
Sungguh mempesonakan senyumannya sehingga buat aku tertawan. Hish.... selisih
44 malaikat!
“Saya bawa breakfast untuk awak ni. Kejap lagi awak makan
ye. Ubat pun ada kat situ. Saya dah nak pergi kerja ni. Bye...” ujarku lalu
berpaling bersedia untuk melangkah pergi.
“Hey....hey.... awak pergi mana?” soal Aqel terkebil –
kebil. Aku berpaling ke arah Aqel semula.
“Nak pergi kerjalah. Nanti terlewat pula” sahutku.
Tangannya melambai ke arahku.
“Buat apa?” soalku tanpa berganjak sedikit pun daripada
kedudukanku sekarang.
“Awak nak suruh saya breakfast tanpa basuh muka dan berus
gigi?” Besar anak mata Aqel menatapku. Hal berkaitan kebersihan memang sangat
sensitif kepada pemuda dingin membeku ini. Dia seorang lelaki yang sangat
menjaga kebersihan. Lantaran itu kadangkala nampak pula dirinya seorang yang
cerewet. Hey... ngerinya kalau dapat pakwe macam Aqel!
“Awak belum berus gigi lagi ke? Oh..., patutlah bau
busuk” perliku mengusiknya. Besar anak mata Aqel menatapku.
“Flora...!!!” radang Aqel buat aku tersenyum.
“Kalau awak belum basuh muka dan berus gigi pergilah
buat. Takkan saya pula nak beruskan gigi awak. Eee... tak mahulah saya” ujarku
mempamerkan wajah ngeriku. Semakin besar anak mata Aqel menatapku.
“Awak tolonglah papah saya ke bilik air...” pinta Aqel
menyinga.
“Kata tadi tak cedera serius.... tak congek....” perliku
memulangkan kata – kata angkuhnya sebentar tadi.
“Cepat...!” arah Aqel. Aku mendekati Aqel. Lalu
membantunya berdiri. Kupapah tubuh Aqel lantas menyusun langkah satu – persatu
dengan berhati – hati. Di bilik air ini aku melayan Aqel persis anak kecil
menyediakan ubat gigi dan air di gelas. Kuhulurkan tuala kecil yang sudah
tersedia untuknya mengelap muka yang dibasihi air. Kemudian membantu Aqel
kembali ke katilnya. Kucapai meja kecil yang khas Mak Long sediakan untuk Aqel.
Lalu kuletakkan di atas katil di depan Aqel. Kuletakkan hidangan sarapan di
atas meja ini.
“Silalah sarapan si putera raja...” pelawaku memperlinya.
Aqel menatap hidangan sarapannya hari ini tanpa mengendahkan perlianku. Bubur
ayam dan segelas susu. Kedengaran kalimah Allah meniti di bibirnya sebelum
memulakan suapan pertamanya. Kemudian dia terus saja menikmati bubur ayam dan
susu yang disediakan oleh Mak Long untuknya. Tampak begitu berselera tidak
seperti orang sakit lagaknya.
“Nak rasa ke?” soalnya sambil menyuakan sudu yang berisi
bubur itu kepadaku. Aku geleng kepala. Mustahil aku mahu dilayan semesra lagak
insan yang sedang memadu kasih. Apatah lagi insan itu adalah Aqel anak Mak
Longku. Huhhh.... Simpang 44 malaikat! Aqel bukan lelaki impianku.
“Saya dah sarapan tadi. Awak tak perlukan pertolongan
saya lagi kan so saya nak pergi kerja sekarang. Bye...” ujarku lalu bangkit
dari kerusi itu. Aqel masih leka dengan hidangan sarapannya sehingga dia
langsung tidak sempat memberikan tindak balasnya pada bicaraku. Aku
meninggalkan Aqel yang tampak kebuluran saat ini.
Aku meletakkan fail di sisi meja. Pandanganku fokus pada
skrin komputer di depanku. Kuteliti angka – angka yang baru saja aku masukkan
dalam jadual pada paparan excel ini. Beberapa kali aku memeriksaanya. Tidak
mahu berlaku kesilapan. Setelah yakin tiada yang perlu diubah aku terus saja
menekan ikon ‘save’. Lega sudah selesai satu tugasan hari ini. Daun pintu
diketuk. Aku mengangkat muka lalu melontar pandangan ke muka pintu. Marnie
tersenyum meleret sedang mengatur langkah ke arahku. Lalu terus saja duduk di
kerusi kosong di depanku.
“Busy ke?” soalnya tersenyum. Aku mengangguk. Hari – hari
aku dilanda kesibukan kerja. Ada saja yang perlu aku siapkan. Apatah lagi
sekarang banyak sangat pembikinan iklan. Secara tidak langsung aku turut merasa
tempiasnya. Setiap hari ada saja keluar masuk kostum. Kemudian perlu pula
berhubung dengan CNFL untuk proses dobi kostum tersebut. Andainya aku tidak
cuai ketika itu pasti aku tidak akan berada di sini dan melalui kehidupan sukar
begini. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan kecilku.
“Awak nampak tak bersemangat je hari nie” komen Marnie
yang asyik memerhatikan aku sejak dari tadi. Aku diam. Bukan tidak bersemangat
cuma kesal dengan nasib malang yang sentiasa mendatangiku. Kalaulah aku tidak
bertemu dengan Aqel ketika itu aku tidak akan terjerumus dengan perjanjian KDUT
dengan Puan Rosie. Maka aku tidak akan ditemukan dengan Haqem lagi. Andainya
Puan Rosie lebih bersikap belas kasihan kepadaku, maka aku tidak perlu berdepan
dengan Rania yang menakutkan itu. Ahh...! Aku melepaskan keluhanku lagi.
“Awak tak bersemangat sebab Encik Aqel tak masuk kerja
hari ni?” lancang saja mulut Marnie membuat andaian.
“What....!!!” Besar anak mataku menatap Marnie. Jauh sangat
dia berfikir. Marnie tersengih panjang. Dia memang suka memadankan aku dengan
Aqel bos pujaan hatinya itu. Aku menarik muka masam sambil menjeling tajam
Marnie yang masih tersenyum – senyum ini.
“Janganlah marah, Lia. Saya gurau je. Kalau betul apa
salahnya” ujar Marnie masih mahu mengusikku.
“Awak ni cakap tak masuk akal langsung” rungutku tidak
suka dikaitkan dengan Aqel. Anak muda Mak Long itu adalah hero pujaan hati
Rania. Gadis itu rela lakukan apa saja demi Aqel. Mungkin juga Rania jodoh Aqel
suatu hari nanti. Siapa tahukan.... Aku mula membayangkan kehidupan Aqel dengan
Rania. Seorang dingin membeku manakala seorang lagi panas membakar. Wah....
memang sesuailah jadi pasangan ideal! He..he...he....! Aku tersenyum. Boleh
tahan juga jahatnya aku ini... Sorry Aqel...!
“Tengok tu tersenyum sendiri pula. Ni mesti ada sesuatu
yang berlaku antara awak dengan Encik Aqel ni” serkap jarang Marnie curiga.
“Jangan merepeklah awak” radangku. Sekali lagi aku
menjeling Marnie yang suka sangat mahu jadi Mak Nujum.
“Mana ada saya merepek. Saya cakap berasaslah. Kalau awak
dan Encik Aqel tak de apa – apa, kenapa Encik Aqel tercari – cari awak semalam.
Saya tengok bukan main risaunya dia terhadap awak. Bila saya beritahu awak tak
de kat bilik ni dia terus saja pulang. Mungkin cari awak” jelas Marnie panjang
lebar. Memang pun Aqel cari aku. Kalau tidak kecelakaan itu tidak akan menimpa
Aqel. Maka hari ini Aqel akan bekerja.
“Dia dah buat salah mestilah datang cari saya...” tuturku
tanpa sedar.
“What? Encik Aqel ada buat salah pada awak? Apa yang
Encik Aqel telah buat?” Banyak sangat persoalan yang keluar dari mulut Marnie.
Aku hanya menatap Marnie dengan pandangan kosong. Keterujaan Marnie bercakap
tentang Aqel menjengkelkanku. Entahlah kenapa aku tidak rasa serasi dengan anak
muda Mak Long itu. Kadangkala aku rasa Aqel lelaki yang jahat.
“Jangan – jangan dia telah menceroboh masuk ke bilik awak
tak?” serkap jarang Marnie berbisik.
“Mar....!!!” suaraku melenting kuat. Marnie terus saja
tertawa. Macam tahu – tahu saja dia yang aku tinggal bersama Aqel
sekarang ini. Bukan tinggal bersama Aqel saja malah tinggal bersama Mak Long
juga. Mesti perkara ini dijelaskan sejelasnya agar tiada yang salah faham
nanti. Tajam pandanganku menatap Marnie yang masih tergelak – gelak ini.
“Bos awak tu masuk campur hal aku dengan Haqem...”
radangku.
“What! Hal awak dengan Encik Haqem? Hal apa pula tu?”
soal Marnie bertubi – tubi dengan mata yang terbuka luas. Alamak...!!! Semakin
lama aku berbual dengan Marnie semakin banyak pula perkara yang sepatutnya aku
simpan tanpa sedar terluah pula. Pasti
berganda – ganda kehairanan Marnie saat ini. Aku melepaskan keluhanku menyesali
ketelanjuran bicaraku.
“Apa hal awak datang sini?” soalku mengubah topik
perbualan. Persoalan Marnie tidak kujawab.
“Ada perkara yang saya nak siasat” tutur Marnie berterus
terang sambil tersenyum. Aku mencebik
bibir.
“Awak kalau nak bercakap baik hati – hati. Saya tak nak
mengundang kemarahan Rania. Nanti tak pasal – pasal dia mengamuk” ujarku
memberi peringatan pada Marnie. Giliran Marnie pula yang mencebik bibir. Dia
memang kurang senang dengan sikap gadis itu. Sebagai setiausaha Haqem yang
sering membantu dan berhubung dengan Aqel menyebabkan Marnie turut merasa
tempias api cemburu Rania. Memanglah adat orang bercinta. Cemburu tandanya
sayang. Namun kalau berlebihan jadi mudarat juga. Mengimbau kembali pada kisah
lalu. Seingatku ketika aku dan Haqem menjalin hubungan cinta tidaklah aku
seperti Rania yang mudah sangat cemburu pada setiap gadis yang berkomunikasi dengan
Haqem. Hanya seorang saja yang buat aku cemburu. Nabila yang pengoda dan
terkedik – kedik itu. Manjanya dibuat – buat. Sekalipun aku cemburu tetapi
tidaklah sampai bertindak ganas menyerang Nabila ketika itu. Paling teruk
tindakanku aku akan menjeling tajam gadis itu dan menutup mulut tidak mahu
berbicara dengannya. Masih ingat di saat – saat perpisahanku dengan Haqem.
Nabila begitu bangga berdampingan dengan Haqem. Malah begitu kesat bicara yang
Nabila lemparkan kepadaku. Ringkasnya cinta Haqem beralih pada Nabila yang
lebih setaraf dengan dirinya. Mengapa Haqem dan Nabila tidak bersatu? Apa pula
hubungan Haqem dengan gadis cantik yang muncul pada majlis makan malam KDUT
itu? Aku melepaskan keluhanku. Betapa kenangan lalu itu menyakitkan hatiku.
Sungguh aku tidak mahu mengingati semua itu. Segera kumatikan kenangan itu.
“Sebenarnya Encik Haqem nak jumpa awak” tutur Marnie
mengejutkanku. Serta – merta wajahku bertukar reaksi. Cukup sensitif aku mendengar
sebaris nama itu. Kutatap Marnie yang nampak serius membalas pandanganku. Aku
mula gelisah.
“Buat apa dia nak jumpa saya?” lambat – lambat suaraku
melontar persoalan itu. Marnie mengangkat bahunya tanda tidak tahu.
“Mestilah atas urusan kerja” balas Marnie membuat
andaian. Aku menghela nafas. Sedikit lega. Kalau urusan kerja aku mesti
bersikap lebih profesional. Namun aku masih mendiamkan diri. Cuba membayangkan
pertemuanku dengan Haqem. Risau segalanya tidak berjalan lancar. Tiba – tiba
saja kedengaran tawa Marnie. Laju saja aku menatap Marnie.
“Muka awak pucat. Awak ada dosa pada Encik Haqem ke?”
soal Marnie. Serius wajahku menatap gadis ini. Suka sangat buat helah.
“Sorry.... sorry... Lia... Encik Haqem dah keluar tadi.
Tak tahu pula dia nak pergi mana. Mungkin lunch dengan Cik Bella” jelas Marnie tanpa dipinta. Mesti itulah gadis
yang aku jumpa pada malam itu.
“Mereka tu memang mencemburi anugerah pasangan ideal yang
awak dengan Encik Aqel terima tu” tutur
Marnie suka sangat membuat andaian sendiri. Aku masih mendiamkan diri. Tidak
mahu memberikan sebarang ulasan.
“Awak dengar tak ni?” soal Marnie setelah melihat aku
hanya mendiamkan diri. Aku mengangguk.
“Tak berminat saya nak ambil tahu hal orang lain. Bukan
macam awak suka sangat jadi wartawan tak berlesen” perliku. Terbeliak mata
Marnie menatapku. Kemudian kedengaran tawanya kembali. Bicaraku tidak
disimpannya di hati. Inilah sikap Marnie yang aku puji tidak mudah tersinggung.
“Ni tujuan kedatangan saya sebenarnya. Encik Aqel minta
awak bawa pulang fail ni. Seminggu ni mungkin dia tak masuk kerja. Dengar –
dengar dia tak sihat” jelas Marnie seraya meletakkan fail hitam sederhana tebal
itu di depanku. Aku terdiam. Betulkah Aqel bercuti seminggu? Serius sangatkah
kecederaannya itu? Aku mula bimbang dan gelisah. Kecederaan Aqel berpunca
dariku. Betapa aku telah menyusahkan anak muda Mak Long itu. Malah Mak Long
turut sama susah lantaran menjaga Aqel yang kini pergerakannya terbatas. Oh....
betapa aku menyusahkan banyak pihak! Kalaulah aku lebih bersikap matang semua
ini tidak akan terjadi! Aqel tidak akan jadi mangsa lantaran emosiku yang tidak
menentu.
“Lia... saya nak sambung buat kerja. Duduk depan awak
bosan juga asyik tengok awak berkhayal...” tutur Marnie menyentakkanku. Marnie
sudah bangkit dari duduknya sambil tersengih menatapku. Aku memerhatikan Marnie
mengatur langkahnya ke muka pintu. Tiba – tiba saja langkahnya terhenti di
ambang pintu bilik ini. Marnie
berpaling ke arahku semula. Seminit aku dan Marnie saling bertentangan mata.
“Musykillah... Awak dan Aqel tinggal serumah ke?” soal
Marnie.
“Sayakan sepupu dia. Sekadar nak singgah rumah Mak Long
hantar fail ni pada Aqel bukan susah pun. Lagipun saya tak tahu pula dia tak
sihat. Nantilah saya terus jenguk dia” ujarku dengan tenang. Mujur juga aku
cepat berfikir. Jadi tidaklah Marnie terus syak wasangka padaku.
“Baguslah kalau macam tu. Lain kali awak janganlah
bertindak kejam pada Encik Aqel. Sian Encik Aqel. Bye...” tutur Marnie lalu
menyambung langkahnya kembali. Kelibat Marnie hilang di sebalik pintu. Aku
terdiam mendengar bicara Marnie sebentar tadi. Terasa pula aku dengan bicaranya
itu. Mungkinkah Marnie mengetahui akulah punca kesakitan Aqel itu? Aku terus
saja menyandarkan tubuhku di kerusi empuk ini. Memang aku rasa betapa kejamnya
aku pada Aqel. Mana ada orang sanggup langgar orang lain dengan kereta. Apatah
lagi orang yang dilanggar itu ahli keluarga sendiri. Aku mengeluh lagi. Selepas
ini aku mesti bersikap lebih baik dengan Aqel. InsyaAllah...
Tepat pukul 05.00 petang aku menamatkan kerjaku hari ini.
Kumasukkan fail hitam yang diserahkan Marnie tadi ke dalam beg galasku. Usai
menyusun fail di atas meja ke dalam rak, aku bergerak ke bahagian kostum
memeriksa kali terakhir. Semua kabinet kaca ini telah berkunci. Tidak mahu
perkara lalu berulang lagi. Andai kostum
– kostum di sini hilang, maka seumur hiduplah aku terpaksa bekerja di sini.
Nauzubillah.... Tidak tega aku. Kuperhatikan seluruh ruang bilik ini. Setelah
yakin bilik ini dalam keadaan selamat, aku bergerak ke muka pintu. Sebelum
menutup daun pintu kupetik suis lampu. Gelap. Kukunci pintu lalu memasukkan
kunci ke dalam beg galasku. Aku terus saja menyusun langkah merentasi ruang
lobi yang luas ini.
“Lia...!!!” Namaku
dipanggil. Langkahku terus saja mati. Kedengaran gerak langkah sedang berlari
mendekatiku. Aku berpaling. Tersentak melihat Rania sedang berlari anak ke
arahku. Timbul sedikit kerisauan di hatiku. Mana tahu dia menyerangku di ruang
lobi ini. Maka aku harus berhati – hati. Tidak mahu nasib malang asyik berulang
– ulang menimpaku. Rania sudah berada di depanku saat ini. Aku dan dia saling
berpandangan. Kali ini pandangan mata Rania tidak menakutkan. Sempat juga aku
memuji akan kejelitaan gadis ini. Patutlah Aqel jatuh cinta padanya. Kejelitaan
Rania mampu menggetarkan hati semua lelaki. Rania tersenyum. Macam tahu – tahu
saja dia yang aku sedang memujinya saat ini. Buat pertama kali dia tersenyum
padaku. Senyumannya sungguh manis buat aku rasa lega. Kali ini memang dia
berniat baik hendak bertemu denganku.
“Aqel mana?” soalnya menyentakkanku. Kupandang wajahnya.
Hairan. Mengapa dia perlu bertanya padaku tentang Aqel. Bukankah dia sendiri
boleh menghubungi Aqel?
“Aqel tak jawab call saya” jelas Rania sekaligus menjawab
persoalan di kepalaku. Oh.... patutlah persoalan ini diajukan kepadaku! Mengapa
pula Rania bertanya soalan ini kepadaku? Mengapa bukan Haqem mahupun Marnie
yang menjawabnya? Aku masih diam.
“Semalam saya ada nampak awak, Haqem dan Aqel keluar
bersama” tutur Rania mengejutkanku. Sekali lagi Rania menjawab persoalan dalam
diriku.
“Oh.... kami nak lunch sama” jelasku berhati - hati.
Tidak terniat langsung aku hendak menimbulkan rasa cemburu Rania lantaran Aqel ada
bersama ketika itu. Mujur juga Haqem ada bersama tika itu yang menyebabkan aku
duduk di kerusi penumpang belakang bukan di sebelah Aqel . Sekurang – kurangnya
tidak timbul curiga gadis ini. Baru aku terfikir ada juga baiknya kewujudan
Haqem pada ketika itu. Rania mengangguk faham.
“Awak tahu di mana Aqel sekarang?” soal Rania. Aku diam.
Mula membuat pertimbangan sama ada terus berdiam diri ataupun menceritakan segalanya apa telah
berlaku kepada Aqel. Kalaulah aku berterus terang mungkin akan membangkitkan
kembali api cemburu gadis ini. Lantas Rania akan menyerangku di ruang lobi ini.
Kemudian kami sama – sama akan jadi tontonan orang ramai yang sentiasa lalu
lalang di sini. Hey.... ngerinya hendak aku bayangkan semua itu!!!!
“Saya dengar dia tak datang office hari nie. Dia out
station ke atau sakit?” soal Rania risau. Aku diam. Hairan mengapa Rania tidak
mengetahui gerak langkah kekasihnya ini? Dalam masa yang sama aku terfikir
dengan pelbagai perwatakan yang dimiliki oleh Aqel. Banyak masanya Aqel lebih
suka mendiamkan diri dan jadi dingin membeku persis salji. Mungkin sebab inilah
Rania tidak tahu di mana Aqel sekarang dan apa yang berlaku pada Aqel. Kasihan
Rania.
“Maaf... saya tak tahu di mana Aqel berada sekarang. Saya
rasa baik awak tanya perkara ni pada Encik Haqem ataupun Marnie” ujarku
berbohong sekaligus memberi cadangan terbaik buatnya. Rasa kasihanku pada gadis
ini berganda. Kesal aku terpaksa menyembunyikan perkara sebenar demi
keselamatan diriku dan demi mengelakkan rasa cemas dan api cemburu Rania.
Ringkasnya demi kebaikan kami berdua. Kalaulah Rania lebih profesional dan
tidak pernah bertindak ganas padaku, sudah semestinya dengan senang hati aku
akan memaklumkan perkara ini kepadanya. Malah menjemputnya datang menjenguk
Aqel di rumah Mak Long. Biar Mak Long berkesempatan berkenal – kenalan dengan
bakal menantunya ini.
“Tak pelah nanti saya tanya mereka, tapi kalau awak tahu
di mana Aqel awak beritahu saya ye” pinta Rania. Aku mengangguk dengan perasaan
kesal yang menebal dalam diri kerana tidak mampu berterus terang dengannya.
“Saya pergi dululah. Bye...”
“Bye...” Aku membalas lambaian tangan Rania. Kemudian
menyambung langkahku kembali dengan keluhan. Rasanya aku perlu menasihati Aqel
dalam hal ini. Tidak sepatutnya dia bersikap begini kepada Rania. Khuatir juga
Rania tidak mampu bertahan dengan sikapnya ini lantas meninggalkan dirinya.
Sesuatu yang menyakitkan menjadi mangsa yang ditinggalkan. Aku tidak mahu Aqel
melalui kesakitan yang aku alami sekarang. Namun layakkah aku menjadi penasihat
Aqel dalam hal ini sedangkan aku sendiri masih tidak mampu menangani perkara
ini dengan baik? Buktinya sehingga detik ini aku masih tewas untuk berdepan
dengan Haqem. Walau bagaimanapun tidak salahkan kalau aku ingin berkongsi
pengalaman cintaku dengan Aqel agar dirinya tidak menurut jejak langkahku.
Sepanjang perjalanan balik ini banyak sangat perkara yang bermain di fikiranku.
Tiba di perkarangan banglo milik Mak Long ini, aku nampak sebuah kereta mewah tersadai
di sini. Rasanya ada tetamu yang datang. Mungkin juga kawan – kawan Aqel yang
datang menjenguk bertanyakan khabarnya. Tidak mustahil juga kawan – kawan Mak
Long. Beberapa kali aku pernah bertembung dan bertegur sapa dengan kawan –
kawan Mak Long yang kebetulan ada perbincangan persatuan di sini. Memandangkan
Mak Long pengerusi persatuan maka perbincangan itu seringkali juga diadakan di
rumah Mak Long ini. Teringat pada Datin Orkid buat aku tersenyum sendiri. Datin
Orkid bersungguh – sungguh hendak memperkenalkan aku dengan anak terunanya yang
sedang bekerja di USA sekarang. Kononnya dia berkenan sangat hendak menjadikan
aku menantunya. Tambahan pula namaku dan namanya dari spesies bunga. Maka katanya
ada keserasian sebagai menanti dan mentua. Aku tersenyum lagi. Bicara Datin
Orkid mencuit hatiku. Mujur Mak Long jadi penyelamat keadaanya. Kononnya Mak
Long sudah ada lelaki terbaik untuk dijadikan calon suamiku. Maka terpaksalah
Datin Orkid berputih mata hendak menjadikan aku menantunya. Rasa terhutang budi
juga pada Mak Long.
“Assalamualaikum.....” sapaku seraya melangkah masuk.
Kelihatan Aqel dan Mak Long sedang rancak berbual – bual dengan pemilik kereta
BMW di halaman ini. Kedengaran suara lelaki yang menyahut bicara Mak Long dan
Aqel.
“Kamu dah balik Lia...” sapa Mak Long mesra.
“Ya Mak Long...” sahutku tersenyum lantas mengatur
langkah mendapatkan mereka. Bertegur sapa dengan tetamu yang datang. Tetamu
yang datang mesti dimuliakan. Itulah pengajaran mak padaku dan Aziq. Maksudnya
siapa saja yang datang ke rumah kita, maka wajib melayan mereka dengan baik.
“Ni kawan Aqel...” tutur Mak Long memperkenalkan aku pada
lelaki yang duduk di sofa membelakangiku ini. Aqel menatapku. Namun tidak
kuhiraukan padangannya itu. Tatkala aku berada di sebelah Mak Long, maka
jelaslah wajah dan susuk tubuh gerangan tetamu ini. Aku terkedu menatap Haqem
yang sedang
tersenyum ini.
“Mari duduk sini Lia...” pinta Mak Long. Aku patuh saja.
Lantas melabuhkan punggung di sebelah Mak Long sambil diperhatikan oleh Aqel.
Aku sedar Aqel mengetahui keadaanku tika ini. Nampaknya kali ini aku tidak mampu
menjauhi Haqem. Lantas aku memaksa diri untuk tersenyum pada Haqem agar tidak
timbul kecurigaan Mak Long.
“Sama tempat kerja mesti kenal dengan Haqem kan” duga Mak
Long. Aku mengangguk. Memang aku sangat kenal dengan lelaki ini Mak Long. Kalau
Mak Long hendak tahu, lelaki inilah yang telah mengkucar – kacirkan hidup anak
saudara Mak Long ini suatu waktu dulu. Lelaki inilah juga yang menabur kata –
kata indah sehingga anak saudara Mak Long ini terbuai dan terleka. Kemudian
lelaki ini jugalah yang meninggalkan anak saudara Mak Long ini terkapai – kapai
sendirian. Suara hatiku berbicara.
“Bagaimana kerja awak hari ni?” soal Haqem mengajak gadis
itu berbicara. Senyap. Pandangan gadis itu seolah – olah sedang menembusi
tubuhnya. Aqel menatapnya kemudian beralih pada gadis itu.
“Lia dengar tak Haqem tanya tu” cuitan tangan Mak Long di
bahuku menyentakkanku. Aku sedikit menggelabah.
“Dia memang suka berkhayal” perli Aqel mula bersuara.
Tajam pandangan mataku menjeling Aqel. Mak Long dan Haqem hanya tersenyum.
“Haqem tanya kerja Lia hari ni okey ke tak” jelas Mak
Long mengulangi pertanyaan Haqem.
“Okey...” balasku ringkas. Mak Long tersenyum puas hati.
“Awak baru balik kerja pergilah berehat di bilik” arah
Aqel tiba – tiba.
Kutatap wajah Aqel. Apakah tujuan Aqel bertindak begini?
Adakah kali ini dia ingin menyelamatkan aku dari bertembung dengan Haqem
seperti yang selalu aku lakukan selama ini? Terima kasih Aqel kerana
memahamiku. Namun kali ini aku harus berani bertentang mata dengan Haqem.
Biarlah Mak Long dan Aqel jadi saksinya. Haqem memandang sekilas ke arah Aqel.
Nampak Aqel mengambil berat terhadap gadis itu buat Haqem iri hati dan rasa
tidak senang.
“Tak pe... taklah letih sangat pun” ujarku menolak
permintaan Aqel itu.
“Berbual – bualah biar Mak Long buat air kejap” tutur Mak
Long. Sah Haqem belum lama sampai di sini. Kuhalang Mak Long bangkit dari
duduknya.
“Tak pe Mak Long biar Lia saja yang buat” pintaku lalu
bangkit dari dudukku. Mak Long mengangguk akur. Aku terus saja bergerak ke
dapur. Kedengaran suara Mak Long, Aqel dan Haqem silih berganti berbual. Rancak
betul perbualan mereka. Aku menarik nafas dalam – dalam. Sedikit lega
bersendirian di sini. Tanpa membuang masa aku terus saja membancuh air teh
kosong. Kebetulan kuih sudah disimpan di dalam pinggan menunggu masa untuk
dihidangkan saja. Kemudian aku muncul kembali di ruang tamu sambil menatang
dulang yang berisi air teh panas dan sepinggan kuih. Kuletakkan di atas meja
lalu menuangkan ke dalam gelas.
“Jemputlah minum...” pelawaku.
“Terima kasih...” tutur Haqem tersenyum. Aku dan Haqem
saling tersenyum seketika. Terasa juga Aqel sedang memerhatikan gelagatku
ketika ini. Entah apa yang ada di fikiran anak muda Mak Long ini sekarang.
Mungkin Aqel sedang mengutuk aku betapa aku boleh jadi pelakon yang hebat lalu
mengaburi mata Mak Long. Pastinya Aqel dan Haqem cukup memahami kepura –
puraanku ini. Tiba – tiba kedengaran telefon bimbitku berbunyi. Tertera barisan
nombor yang tidak kukenali. Mak Long dan Haqem kembali berbual – bual. Langsung
tidak terganggu dengan deringan telefon bimbitku ini. Aqel seperti biasa lebih
banyak mendiamkan diri dan jadi pendengar setia. Aku terus saja menjawab
panggilan itu.
“Assalamualaikum.... Cik Nur Dahlia kan?” suara lelaki
penuh sopan di talian sekarang.
“Ya saya...” sahutku.
“Saya Cikgu Firdaus... cikgu sekolah Aziq...” tutur suara
ini memperkenalkan diri. Fikiranku terus menerawang mengingati sebaris nama
ini. Aku ingat nama cikgu ini. Malah pernah nampak wajahnya sekali ketika aku
menjemput Aziq di perkarangan asrama.
“Oh.... Cikgu Firdaus... saya ingat. Apa khabar sekarang
cikgu?” sapaku mesra. Senyap. Baru aku menyedari rupanya mata Mak Long, Aqel
dan Haqem sedang terarah padaku sekarang. Semuanya nampak berminat mendengar
nama Cikgu Firdaus ini.
“Baik. Saya wakili pihak sekolah ingin menjemput Cik Nur
Dahlia datang ke sekolah sebagai wakil Aziq menerima hadiah dan sijil Anugerah
Pelajar Cemerlang di Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah 24 hari bulan nie.
Aziq memang wakilkan Cikgu Nur Dahlia bagi pihaknya sebab itu juga dia ada bagi
nombor telefon ni kepada saya” jelas Cikgu Firdaus ramah.
“Alah....cikgu macam tahu – tahu saja dia akan dapat
anugerah tu” perliku pada Aziq. Dalam hati memang aku bangga dengan pencapaian
adik lelaki tunggal kesayanganku itu.
“Mestilah dia dah dapat agak punya. Pelajaran dia
sepanjang tahun cemerlang dan berada pada kedudukan yang terbaik dalam
kalangan pelajar lain” jelas Cikgu Firdaus bersunggguh – sungguh. Aku tersenyum
sendiri. Alhamdulillah Aziq tidak pernah mengecewakan aku dan mak.
Kebijaksanaan Aziq mengalahkan aku. Aku dapat rasakan masa depan Aziq akan
cerah.
“Cik Nur Dahlia dapat datang ke majlis ni nanti?” soal
Cikgu Firdaus begitu formal. Begitu janggal di telingaku mendengar namaku
dipanggil sedemikian.
“InsyaAllah cikgu saya akan pergi. Cikgu boleh panggil
saya Lia” pintaku tanpa menghiraukan pandangan Haqem dan Aqel kepadaku.
“Terima kasih cikgu. Assalamualaikum...” tuturku mesra
sebelum menamatkan perbualan di talian. Mak Long menatapku.
“Apa halnya Lia?” soal Mak Long ingin tahu. Aqel dan
Haqem sudah bersedia mendengar bicara yang bakal keluar dari mulutku.
“Cikgu Firdaus jemput hadir ke sekolah” jelasku ringkas.
“Cikgu Aziq ke?” soal Mak Long lagi. Aku mengangguk.
“Dia cikgu yang paling rapat dengan Aziq” ujarku. Mak
Long mengangguk – angguk. Aqel juga pernah mendengar nama itu. Malah dia juga
terdengar bahawa sepupu kecilnya itu begitu bersemangat hendak menemukan
kakaknya ini dengan cikgu itu.
“Cikgu yang adik awak nak jodohkan dengan awak tu kan”
tiba – tiba saja Aqel bersuara. Mak Long dan Haqem terus saja menatapku. Laju
aku mengangguk.
“Apa salahnya. Saya bukannya berpunya pun” sahutku tiba –
tiba. Mak Long terus saja tergelak. Wajah Haqem nampak serius.
“Mengapa kamu cemburu ke, Aqel?” soal Mak Long. Alamak...
Ke situ pula Mak Long fikir! Aqel hanya tersenyum. Wajah Haqem
kian serius. Barangkali dirinya rasa tercabar. Mungkin juga dia tidak senang
hati melihat aku bahagia.
“Lia akan pergi ke majlis tu Mak Long” tuturku
memaklumkan perkara itu. Mak Long mengangguk.
“Ajaklah Aqel pergi sekali” cadang Mak Long. Laju aku
geleng kepala. Dalam keadaan Aqel sekarang mana mampu dia bergerak jauh.
“Flora tak nak ada orang jadi pengacau nanti mama” tutur
Aqel berlagak merajuk sekaligus mengenakan aku.
“Pandailah awak...” rungutku. Mak Long tersenyum.
Seketika kami bagaikan lupa dengan kewujudan Haqem yang hanya memerhatikan
gelagat kami. Bukan mahu meminggirkan kewujudan Haqem saat ini tetapi memang
dia terkecuali dalam cerita ini. Memandangkan Haqem belum mahu balik lagi dan
aku juga belum solat Asar maka aku memohon diri untuk ke bilik. Mak Long dan
Aqel masih bersama Haqem di ruang tamu. Tidak berapa lama kemudian kedengaran
bunyi deruan kereta meninggalkan halaman banglo ini. Mungkin Haqem sudah balik.
Usai solat Asar aku melangkah ke ruang tamu untuk bertemu Aqel kembali. Amanat Marnie perlu kulaksanakan. Maka fail hitam ini
perlu aku serahkan pada Aqel tanpa mahu melengahkan masa lagi. Andai Haqem
tidak berada di sini tadi sudah pasti fail ini ada pada Aqel. Namun Aqel
mahupun Mak Long tidak berada di ruang tamu lagi. Aku berpatah balik ke tingkat
atas. Langkahku terhenti di depan pintu bilik Aqel. Lantas ketuk daun pintu.
“Masuk...” kedengaran suara Aqel mengarahkan aku masuk.
Perlahan – lahan kutolak daun pintu. Kelihatan Aqel sedang bersandar di kepala
katil sambil
leka membaca buku di tangannya. Aku mendekati Aqel.
“Ni fail yang awak minta pada Marnie” ujarku seraya
meletakkan fail hitam ini di atas meja.
“Thanks. Duduklah” pelawa Aqel sambil menunding jari pada
kerusi di sisi katil ini. Aku terus saja melabuhkan punggung di situ. Mungkin
Aqel perlukan teman berbual – bual setelah seharian hanya terkurung di banglo
ini.
“Bagaimana awak hari ni?” soalku bertanyakan khabar diri
Yen. Tadi tidak sempat untuk bertanya. Ternyata kewujudan Haqem di depanku
menjadi penghalang banyak perkara.
“Bertambah sihat” ujar Aqel. Senyap seketika. Aqel
merenungku buat aku tidak selesa. Mungkin dia ingin memberikan ulasannya
tentang sikapku di depan Haqem sebentar tadi.
“Pertanyaan awak agak terlewat sikit. Awak risau Haqem
cemburu ke?” soal Aqel di luar jangkaanku. Dia sedang mempersoalkan tindakanku
yang tidak terus bertanya perkhabaran dirinya setibanya aku di sini. Aqel juga
mula mengaitkan tindakanku itu dengan Haqem.
“Awak tak suka ke saya terlambat tanya tentang diri
awak?” kubalas bicara Aqel dengan persoalan juga. Senyap. Aqel tidak terus memberikan
jawapan atas pertanyaanku ini. Dia hanya geleng kepala. Mungkin Aqel ingat aku
seorang yang tidak bertimbang rasa. Justeru tidak menghiraukan dirinya. Rasanya
aku patut berterus terang pada Aqel.
“Mungkin awak ingat saya begitu kejam dengan awakkan
sebab langgar awak dengan kereta” tuturku menyusun bicara. Aqel tenang
menatapku.
“Sebenarnya saya masih rasa bersalah pada awak dan pada
Mak Long atas kejadian yang menimpa awak ni. Saya memang
bimbangkan awak. Selagi awak terbaring
di bilik ini dan belum boleh bekerja selagi itu saya akan susah hati dan
menyalahkan diri” ujarku meluahkan isi hatiku. Aqel masih mendiamkan diri dan nampak
tenang menatapku.
“Saya dah bersumpah dengan diri saya sendiri yang saya
akan jaga awak seumur hidup awak andai awak hilang keupayaan diri. Saya rela
tak kahwin demi jaga awak” tuturku serius. Tiba – tiba saja Aqel tertawa.
“Saya serius tau...” kutekan suaraku menunjukkan kepada
Aqel betapa aku bersungguh – sungguh dengan bicaraku.
“Saya betul – betul menghargai pengorbanan awak tu” tutur
Aqel tersenyum disambut dengan gelak tawanya lagi. Bicaraku benar – benar
mencuit hatinya. Aku menjelingnya tajam. Tidak suka dia menjadikan keikhlasan
bicaraku sebagai bahan tawanya. Mungkin Aqel tidak percaya betapa aku serius
andai semua itu menimpa Aqel. Nauzubillah.... Harap – harap Aqel sentiasa sihat
sejahtera. Bukan mudah pun hendak sentiasa bersamanya. Tidak pasal – pasal aku
hidup makan hati berulam jantung. Aku tersenyum sendiri.
“Apa hal awak senyum – senyum ni?” soal Aqel
menyentakkanku. Aku garu – garu kepala yang tidak gatal.
“Saya cuba bayangkan betapa seksa dan sengsaranya saya
menjaga lelaki dingin membeku macam awak” tuturku mengusiknya.
“Flora....!!!” melenting suara Aqel melaungkan namaku.
Pasti dia tidak suka dirinya dikutuk sedemikian. Aku bingkas bangkit dari
dudukku lalu memulakan langkah meninggalkan Aqel terkebil – kebil ditinggalkan
sedemikian.
“Awak nak pergi mana?” soalnya sedikit melaung. Aku
berpaling ke arah Aqel.
“Saya nak tolong Mak Long di dapur. Bye...” Kulambaikan
tanganku sebelum menutup daun pintu bilik ini. Baru saja aku hendak melangkah baru
aku teringat ada perkara yang ingin aku maklumkan kepada Aqel. Kutolak perlahan
daun pintu. Lalu menjengukkan kepalaku di sebalik daun pintu. Kebetulan Aqel sedang
melontar pandangan ke pintu.
“Saya terlupa nak beritahu awak tadi. Rania sedang cari awak”
jelasku sambil menatap Aqel. Diam. Pandangan Aqel nampak kosong saja.
“Tak elok awak buat dia tercari – cari awak” nasihatku. Senyap.
Aqel masih tidak mahu bersuara. Perlahan – lahan kututup daun pintu kembali. Buang
masa saja berbual dengan Yen tentang perkara ini. Aku terus mendapatkan Mak
Long di dapur.
Aqel tersenyum – senyum sendiri mengingati bicara gadis
itu. Dia tidak pernah menyangka gadis itu akan sanggup melakukan pengorbanan
sebesar itu. Walaupun agak melucukan kata – kata gadis itu, namun hatinya cukup
senang mendengarkannya.
“Saya dah bersumpah dengan diri saya sendiri yang saya
akan jaga awak seumur hidup awak andai awak hilang keupayaan diri. Saya rela
tak kahwin demi jaga awak” suara gadis itu berulang lagi di telinganya. Lantas
Aqel tersenyum lagi. Senyuman yang panjang.
Tq,
ReplyDeleteHehehe!! Permata Nilam... Belum lupa Yen lagi ke..... i have seen Yen name in few chapters......
ReplyDeleteye ke heheheheh sy memeng kadangkala asyik tetukar nama watak. sori ye... faham2 ler watak mana yg sy maksudkan
ReplyDelete