BAB 26
“Awak tak tahu apa yang saya tanggung selama ni. Hati
saya hancur. Seluruh kepercayaan yang pernah saya berikan kepadanya musnah.
Saya dipermainkan sesuka hati. Kalau awak di tempat saya adakah semudah itu
awak akan memaafkannya” suara gadis itu bermain – main di telinganya.
“Salahkah saya bertegas dengan dia....” bisik hati kecil
Aqel. Berfikir lagi. Pandangannya seolah – olah sudah menembusi skrin laptop di
depannya itu. Padahal tiada satupun yang singgah dipandangan matanya. Hatinya
tidak tenteram. Apatah lagi mengingati bicaranya itu telah menambah bebanan
yang ditanggung oleh gadis itu.
“Keterlaluankah bicara saya tu” keluh Aqel berbicara
sendiri. Marnie yang berada di situ berpaling ke arahnya. Dia geleng kepala.
“Apa yang Encik Aqel menungkan tu?” tegur Marnie yang
sejak dari tadi memerhatikan gelagat Aqel.
“Awak cuba call Flora kalau dia belum balik lagi...” arah
Aqel.
“Flora....?” Berkerut dahi Marnie mendengar nama itu.
Oh..., Lia....” baru Marnie teringatkan nama itu. Dalam
diserbu rasa hairan laju juga jari – jemarinya menekan nama gadis itu di
bahagian senarai nombor telefon yang disimpan di dalam memori telefon bimbitnya.
Nombor itu tidak dapat dihubungi. Dicubanya sekali lagi. Masih gagal.
“Tak dapat dihubungilah Encik Aqel” ujar Marnie.
“Dia masih matikan telefon dia tu” keluh Aqel membuatkan
Marnie bertambah hairan. Lantas memaksa dirinya terus berfikir.
“Awak pergi tengok dia kat bilik dia tu and then jangan lupa
call saya” arah Aqel membuatkan Marnie semakin tidak mengerti. Namun dia tidak
sempat meminta penjelasan lebih lanjut.
Marnie patuh saja dengan arahan Aqel. Lantas dia mengorak
langkah ke bahagian pengurusan kostum sambil terus – terusan berfikir. Kekeliruan
yang menyelubungi dirinya sudah pasti akan dituntut penjelasannya daripada
gadis itu. Langkah Marnie mati tepat – tepat di depan pintu itu. Laju saja
tangannya mengetuk daun piintu lalu menolaknya. Berkunci. Diketuk lagi. Sunyi
sepi. Bilik ini memang tidak ada penghuni sekarang. Ditekannya nombor telefon
itu.
“Hello..., Encik Aqel, Lia takde kat bilik dia sekarang.
Mungkin dia dah balik” ujar Marnie memaklumkan perkara itu. Kedengaran keluhan
berat lelaki itu.
“Okey ....tak pe... Thanks... Kejap lagi saya nak balik.
Esok je awak sambung kerja kat bilik saya ye... Bye...” Tiba – tiba saja Aqel
tergesa – gesa hendak balik menambah kekeliruan Marnie.
“Perlakuan Encik Aqel dan Lia nampak pelik je hari
nie...” tutur Marnie sangsi. Tercetus keluhan panjang Marnie tatkala dia gagal mengungkai
persoalan yang sedang bermain di kepalanya tika ini.
“Flora.... awak selalu bertindak sesuka hati...” keluh
Aqel. Kereta Peugeot RCZ Sports
Coupe itu terus saja meninggalkan perkarangan KDUT. Dalam perjalanan Aqel singgah
di sebuah kedai serbaneka. Laju saja tangannya mencapai ais krim vanila lantas
ke kaunter pembayaran. Kemudian meneruskan perjalanannya.
“Harap – harap ais krim vanila ni boleh padamkan rasa
marah awak pada saya” bisiknya sambil menatap ais krim vanila yang berada di
sebelahnya itu. Aqel tersenyum sendiri. Dicapainya ais krim vanila itu lalu
menolak daun pintu kereta Peugeot RCZ Sports Coupe itu. Aqel melangkah masuk ke
dalam banglo itu dengan satu harapan yang tersemat di dalam hatinya.
“Assalamualaikum....” sapanya sambil memunculkan diri di
sebalik daun pintu itu. Puan Helda tersenyum lebar menyambut kepulangan anak
muda kesayangannya itu. Terbit perasaan hairan di hatinya tatkala Aqel muncul
lebih awal daripada kebiasaanya.
“Awal kamu balik hari ni” tegur Puan Helda meluahkan apa
yang terbuku di hatinya. Aqel tersenyum. Langkah di atur ke dapur lalu
memasukkan ais krim vanila tersebut di dalam frizer. Kemudian melangkah ke
ruang tamu untuk bersama Puan Helda. Aqel terus duduk di sebelah Puan Helda
yang sedang menatapnya masih dalam senyuman. Suka benar hatinya Aqel muncul di
rumah itu lebih awal.
“Apa yang kamu simpan di dapur tu?” soal Puan Helda.
“Ais krim vanila” sahut Aqel pendek. Puan Helda hairan
menatapnya. Setahunya Aqel tidak gemar makan ais krim. Aqel seorang yang begitu
menitik beratkan kesihatan diri. Makanan manis terlalu jarang dimakannya.
“Sejak bila pula kamu suka makan ais krim nie?” soal Puan
Helda.
“Aqel beli untuk anak buah kesayangan mama tu” sahut Aqel
mencebik bibir tatkala mengingati emosi gadis itu tidak stabil sekarang.
“Lia suka makan ais krim vanila ke?” soal Puan Helda
lagi. Aqel mengangguk.
“Macam mana Aqel tahu Lia suka makan ais krim vanila?”
soal Puan Helda teruja. Teruja sebab anak mudanya itu mula ambil tahu tentang
hal – hal kegemaran gadis itu. Perkara itu amat mustahak malah begitu
menyenangkan hati Puan Helda. Aqel nampak berfikir.
“Tengok dia asyik makan ais krim vanila” jawab Aqel
menggunakan akal logiknya. Malas dia mahu membincangkan perkara itu lebih lanjut.
Sekurang – kurangnya jawapan yang diberikan cukup lengkap.
“Nampaknya esok lusa barulah Lia dapat makan ais krim
vanila tu” ujar Puan Helda. Laju saja Aqel berpaling menatap Puan Helda.
“Dia belum balik lagi ke?” soalnya terkejut.
“Hari nie Lia tak balik sini” tutur Puan Helda.
“Dia pergi mana?” soal Aqel tidak menyabar – nyabar ingin
tahu. Puan Helda tersenyum sendiri. Melihat senyuman Puan Helda itu buat Aqel
tersedar.
“Mama jangan pula salah faham...” tegurnya.
“Tak salah faham pun...” sahut Puan Helda masih dalam
senyuman.
“Dia pergi mana?” soal Aqel mengulangi pertanyaannya yang
belum dijawab itu.
“Malam nie Lia tidur rumah kawan dia Nana di Taman
Selasih” sahut Puan Helda. Kira – kira sejam yang lalu dia menerima panggilan
telefon daripada Lia untuk memaklumkan perkara itu kepadanya.
“Mama yakin ke dia pergi rumah kawan dia?” soal Aqel
sangsi sekaligus membuatkan hati Puan Helda tidak tenteram melihat perlakuan
cemas anak terunanya itu.
“Habis tu takkan Lia nak bohong dengan mama. Lia nak
pergi mana pula?” soal Puan Helda turut cemas melihat reaksi yang ditunjukkan
oleh anak terunanya itu. Aqel diam.
“Apa yang berlaku Aqel? Kamu bergaduh dengan Lia ke
sampai dia tak nak balik sini” soal Puan Helda gusar. Aqel diam. Tiba – tiba
saja Aqel bangun.
“Aqel akan bawa dia balik ke rumah ni” tutur Aqel seakan
berjanji. Puan Helda mengeluh. Sungguh hatinya tidak tenang tika ini. Aqel
sudah melangkah keluar. Kemudian kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan
halaman banglo itu.
AKU yang terbaring di katilku ini, bingkas bangun tatkala
menatap jam sudah hampir – hampir mencecah ke pukul 06.00 petang. Tadi aku berjanji
dengan Nana akan sampai di rumahnya sebelum Maghrib. Nanti bolehlah bersama –
sama keluarganya solat Maghrib berjemaah. Lantas bergegas aku melangkah ke
bilik air untuk membersihkan diri. Usai mandi aku menyiapkan diri sebelum
melangkah keluar meninggalkan rumah ini. Terasa berat saja langkahku hendak
keluar dari rumah mak ini. Namun mengingati janjiku dengan mak tidak akan tidur
di rumah ini sepanjang ketiadaannya, aku terpaksa juga menguburkan keinginanku
untuk bermalam di sini. Sungguh menggunung kerinduanku untuk berada di sini.
Terasa rindu juga kepada mak dan Aziq. Sebak dadaku mengingati mak dan Aziq
yang kini berada di Tanah Suci Mekah. Semoga kalian sihat walfiat serta dapat
melaksanakan ibadat haji dengan sempurna. Aku bergerak ke pintu. Kukeluarkan
kunci dari poket beg galasku lalu mula mengunci.
“Awak buat apa kat sini...” Opocot!!! Kur semangat....
Aku terkejut sangat mendengar suara lelaki yang menegurku. Laju aku berpaling.
Terkejut sekali lagi tatkala bertembung pandangan dengan Aqel. Aqel sedang terpacak
beberapa langkah dariku.
“Buat apa awak datang sini?” soalku memulangkan
pertanyaannya yang belum kujawab itu. Rasanya tidak perlu aku menjawab
pertanyaannya itu memandangkan rumah ini adalah milik keluargaku. Aku tidak
perlukan sebab untuk bertandang di rumah sendiri.
“Saya datang nak bawa awak balik rumah” ujar Aqel dengan
wajah bersahajanya.
“Malam nie saya nak tidur rumah Nana” sahutku menolak
bicaranya itu. Aku kembali mengunci pintu rumah yang tergendala sebentar tadi.
Aqel masih terpacak di belakangku. Aku berpaling semula ke arah Aqel.
“Saya dah cakap kat Mak Long perkara ni. Awak baliklah
sekarang” arahku. Namun Aqel masih terpacak di situ. Langsung tidak bergerak –
gerak.
“Awak tunggu apa lagi. Cepat ler pergi...” gesaku. Aqel
langsung tidak menunjukkan sebarang reaksinya. Dia masih tidak mahu berganjak
daripada posisinya itu. Aku mengeluh. Boleh tahan juga degilnya anak muda Mak
Long ini.
“Suka hati awak ler kalau nak jadi jaga kat sini. Tapi
kalau awak sayangkan nyawa baik awak ke tepi saya nak keluarkan kereta ni”
pintaku berputus asa setelah Aqel langsung tidak mempedulikan arahanku. Pintu
kereta Waja mama sudah kukuak. Aku menoleh ke arah Aqel. Dia masih statik di
situ. Rasa geramku kian membuak – buak. Kuhidupkan enjin kereta. Kuturunkan
cermin kereta lalu menjengukkan kepalaku.
“Awak nak mati ke? Saya nak undur kereta ni tau. Cepat
ler berganjak dari situ” radangku. Bengangnya dengan perangai degil pemuda
dingin membeku ini. Malah buat aku sakit jiwa raga.
“Aqel... saya serius ni tau...!” laungku melempiaskan
kemarahanku.
Aqel masih berada dalam posisinya tadi. Dia memang mahu
mencabar kesabaranku. Aku mengetap bibir. Geram sangat dengan perangai Aqel.
Ego melangit. Ternyata tidak semudahnya dia mahu menyerah kalah kepadaku. Orang
seperti dia ini harus diajar. Aku memandang cermin pandang belakang. Aqel masih
berdiri di situ. Lalu kulepaskan brek tangan dan menukar gear untuk berundur.
Perlahan – lahan. Ternyata Aqel tidak mempedulikannya membuatkan aku terpaksa
menekan brek mengejut. Kutukar gear satu lalu kembali memandu keretaku ke
depan. Tidak jadi berundur.
“Awak betul – betul nak mati ke...!!!” teriakku marah.
Aqel masih tenang berdiri di situ. Tiba – tiba saja aku rasa marah sangat. Kali
ini aku mesti buat lebih serius. Barulah Aqel mahu berganjak dari situ.
“Kalau awak cedera jangan salahkan saya tau. Saya nak
undur kereta sekarang” ujarku memberi peringatan kepada Aqel sambil
menjengukkan kepala di tingkap. Aku menarik nafas dalam – dalam.
“Mak Long, Lia takkan cederakan anak Mak Long tapi Lia
harus beri pengajaran kepada dia. Andai Aqel tercedera tolong jangan salahkan
Lia Mak Long” bisik hatiku.
“Flora.... awak takkan sampai hati nak langgar saya. Awak
takkan sekejam itu....” bisik hati Aqel penuh yakin. Dia sudah nekad dengan
tindakannya. Sekarang dia hanya bertawakal. Ditariknya nafas dalam – dalam.
Kedengaran bunyi ngauman ganas enjin kereta Waja yang dipandu oleh gadis itu.
“Awak betul – betul nak uji saya ye.... Kejap ye...”
tuturku geram. Aku melepaskan keluhanku sekuat – kuatnya.
Bismillahirahmanirahim.... semoga tidak akan berlaku perkara yang serius.
Kupandang cermin pandang belakang. Cuba membuat anggaran antara kedudukan Aqel
dengan titik harus aku berhenti. Mesti tepat – tepat di depan Aqel. Biar
bersentuhan sedikit dengan tubuh Aqel asalkan Aqel tidak cedera. Kupijak pedal
minyak lalu kutekan sehingga mencapai kelajuan 40. Aqel menatap kereta itu
meluncur laju ke arahnya. Dia mula memejamkan matanya.
“Flora... awak takkan cederakan saya....” bisiknya. Waja
yang kuundur dari kelajuan 40 turun ke 20. Semakin mendekati Aqel. Kira – kira
sampai ke titik perhentian aku menekan pedal brek. Tiba – tiba....pupp...!!!!
Subhahanallah....!!!
“Flora...!!!!” Aku mendengar suara jeritan Aqel. Kakiku
yang berada di pedal minyak terus beralih ke pedal brek. Tanganku terketar –
ketar mengangkat brek tangan dan terkial – kial mencari kunci untuk mematikan
enjin. Dadaku berombak kencang. Laju aku menolak pintu kereta lalu berlari ke
belakang. Aku tergamam melihat Aqel sudah terbaring di atas simen. Mujur juga
tayar tidak mengilis kaki mahupun tubuhnya.
“Flora.... kejamnya awak....” samar – samar Aqel
bersuara. Nampak dia sedang kesakitan sekarang.
“Ampun... ampun.... ampun.... saya tak berniat nak
cederakan awak. Saya hanya nak takut – takutkan awak. Tak sangka saya tersilap
pijak pedal minyak tadi...” tuturku menggelabah dengan wajah yang pucat. Aku
cuba membantu Aqel bangun.
“Aduuuuhhhh....” Aqel sudah pasti jatuh terhentak kuat
tadi. Pinggangnya sakit. Aku semakin tidak keruan tatkala melihat siku Aqel
luka. Mesti bersentuhan dengan simen tadi. Aqel mula terhinjut – hinjut.
Melihat keadaan Aqel saat ini aku semakin cemas. Seluruh tubuhku terasa dingin
dan menggeletar. Aku seakan mahu pengsan. Dadaku berombak kencang. Aku diserang
pening tiba – tiba.
“Flora.... awak okey ke ni?” soal Aqel dengan wajahnya
berkerut - kerut menahan sakit. Aku mengangguk. Aku mesti kuat sekarang. Aqel
perlukan pertolongan dan rawatan segera. Apapun terjadi Aqel harus diselamatkan
dulu. Aku memapah tubuh Aqel lalu menolong dia duduk di atas buaian besi di
laman rumah ini.
“Awak okey lagi?” soalku. Aqel mengangguk. Pandanganku
berpinar – pinar. Terasa peluh dingin membasahi dahiku.
“Flora... awak okey ke ni....?” soal Aqel. Tidak sempat
memberikan sebarang reaksi, aku terus berlari ke longkang lalu muntah di situ.
Terasa isi – isi dalam perutku semua terkeluar sehinggakan sukar untuk aku
bernafas. Mahu mati ketakutan aku rasa saat ini. Aku benar – benar terkejut
dengan kejadian sebentar tadi. Setelah semuanya terkeluar barulah aku rasa lega
dan boleh bernafas. Kubuka pili air lalu membasuh mukaku. Kemudian mendekati
Aqel.
“Awak okey ke ni?”
soal Aqel kerisauan. Aku mengangguk.
“Siku awak luka.... maaf. Saya memang tak berniat nak
cederakan awak tadi” ujarku kesal. Tiba – tiba saja aku menangis teresak – esak
membuatkan Aqel terkejut. Terkebil – kebil Aqel menatapku. Aqel garu – garu
kepala. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya demi memberhentikan tangisan
gadis itu.
“Sumpah saya tak berniat nak langgar awak. Saya cuma nak
takutkan awak tadi. Tak sangka saya tersilap pijak pedal minyak pula tadi”
tuturku kesal. Betapa aku telah melakukan gurauan paling bodoh selama hidupku
ini. Kedengaran Aqel mengerang kesakitan. Dia hanya mengangguk – angguk.
“Mari kita balik...” ajak Aqel lalu cuba berdiri. Duduk
kembali. Aqel tidak mampu berdiri sendiri. Kakinya sakit. Mungkin terkehel.
Sikunya juga masih berdarah.
“Mari saya tolong awak...” ujarku lalu memapah tubuh
Aqel. Langkahku yang baru menapak beberapa langkah terhenti. Aku menatap kereta
Peugeot RCZ Sports Coupe Aqel. Kemudian pandanganku
beralih pada kereta Waja mama. Perlukah aku tinggalkan kereta mewah Aqel di
sini sedangkan rumah ini tiada penghuni sekarang. Risau dengan adanya kereta
mewah di garaj rumah yang tiada penghuni akan mengundang musibah pula. Namun
adakah Aqel memberi keizinan untukku memandu kereta kesayangannya itu? Aku
masih membuat pertimbangan.
“Awak pandu je kereta saya” ujar Aqel memecah kebuntuan.
Tidak sangka Aqel mengerti apa yang sedang aku fikirkan tika ini. Rasa simpati
dan belas kasihan terhadap Aqel. Ya Allah semoga tiada kecederaan yang serius
menimpa Aqel. Sungguh aku takut sekarang. Takut yang tidak pernah aku rasa
selama ini. Aqel masih mengerang – ngerang kesakitan. Air mataku menitis lagi.
Rasa bersalah sangat kepada Aqel dan Mak Long. Pasti Mak Long akan bersedih
melihat keadaan Aqel begini. Aku menangis teresak – esak. Sungguh aku tidak
dapat mengawal emosiku.
“Flora.... kenapa dengan awak? Awak sakit?” samar – samar
suara Aqel singgah di telingaku. Aku geleng kepala.
“Saya tak nak awak cedera. Saya tak nak masuk penjara...”
luahku buat Aqel tersenyum sekilas. Sudah menjadi kesalahan melanggar orang
lain.
“Saya jamin awak takkan masuk penjara” ujar Aqel cuba menenangkan aku. Kusapu air mata yang membasahi wajahku,
“Betul?” soalku. Aqel mengangguk.
“Walaupun saya cedera serius dan hilang keupayaan seumur
hidup, saya takkan dakwa awak” tutur Aqel buat aku terdiam. Begitu sucinya hati
Aqel. Sebak dan terharu aku mendengar bicaranya ini.
“Mana ada orang sanggup sakiti saudara sendiri” tutur
Aqel buat aku terasa. Hakikatnya Aqel cedera sekarang disebabkan aku.
“Saya...”
“Awak tak sengajakan....” tingkah Aqel memintas bicaraku.
Aku mengangguk. Sumpah aku tidak pernah berniat untuk melanggar Aqel tadi.
“Saya percayakan awak. Tak payah susah hatilah” pujuk
Aqel lalu memejamkan matanya semula. Aku berpaling ke arah Aqel,
“I’m sorry... Aqel...” bisik hatiku tidak mahu mengganggu
Aqel berehat.
Tiba di Klinik Saujana ini, Aqel terus mendapat rawatan
daripada doktor. Kaki Aqel terkehel dan kedua – dua sikunya luka. Sedikit
melegakan aku apabila kecederaan Aqel sudah dirawat. Aku yang setia bersama
Aqel di bilik ini segera bangkit lalu mendekati Aqel sebaik saja doktor itu
selesai melakukan tugasnya.
“Puan ambil ubat di kaunter depan ye. Pastkan suami puan
mengambil ubat mengikut masa yang teratur” nasihat doktor itu.
“Aaa...” Aku tidak tercakap apabila doktor ini sudah
tersalah anggap terhadap hubunganku dengan Aqel. Aqel tersenyum.
“Thanks....” ujar Aqel menyampaikan penghargaannya atas
rawatan yang diterimanya itu. Doktor itu mengangguk dan tersenyum.
“Terima kasih doktor” ujarku turut menyampaikan
penghargaanku kerana telah memberikan rawatan terbaik kepada Aqel. Kupapah Aqel
keluar dari bilik ini. Lalu kuhantar dia duduk di kerusi sementara
aku mengambil ubat dan menguruskan pembayaran. Kemudian aku kembali mendapatkan
Aqel.
“Mari kita balik...” ajakku lalu memapah Aqel bangun dan
seterusnya mengatur langkah meninggalkan klinik ini.
Kemunculanku bersama Aqel dalam keadaan dirinya yang
dipapah dan siku berbalut membuatkan Mak Long tergamam dan mengurut dada
beberapa kali. Betapa Mak Long terkejut melihat kecederaan anak tunggal
kesayangannya ini. Maka aku rasa bersalah sangat kepada Mak Long. Akulah punca
kecederaan anak mudanya ini.
“Maafkan Lia Mak Long. Semua ni salah Lia...” luahku
kesal.
“Apa yang berlaku Lia, Aqel...?” soal Mak Long ingin tahu
perkara sebenarnya. Apa reaksi yang bakal Mak Long tunjukkan tatkala dia
mengetahui cerita sebenarnya. Adakah Mak Long akan marahkan aku lalu menghalau
aku keluar dari banglonya ini lantaran aku telah mencederakan anaknya.
“Sebenarnya Lia yang salah sebab.....”
“Salah Aqel sebab cuai tadi...” laju saja Aqel memintas
bicaraku. Kupandang Aqel. Aqel menjadi penyelamatku untuk sekian kalinya. Niatku
untuk berterus – terang terus saja tergendala. Jelasnya Aqel tidak mahu aku
menjelaskan perkara yang berlaku kepada Mak Long.
“Lia pun nampak teruk...” komen Mak Long. Sudah
semestinya. Hari ini aku ketakutan sangat sehingga menangis berulang – ulang
kali.
“Mari kita hantar Aqel di biliknya” tutur Mak Long sudah
berdiri di sebelah Aqel. Sekarang Aqel diapit olehku dan Mak Long.
Kami sama – sama memapah Aqel ke biliknya. Perlahan – lahan tubuh Aqel
dibaringkan di katil.
“Kejap lagi mama lap tubuh dan tukar pakaian Aqel” tutur
Mak Long.
“Mama tak payah risaulah, Aqel cedera ringgan je. Aqel
boleh tukar pakaian sendiri” sahut Aqel tersenyum. Dalam kesakitan Aqel cuba
berlagak biasa. Betapa dia cuba menenangkan hati Mak Long. Aqel seorang anak
yang baik.
“Lia pun pergi ler mandi dan berehat. Mak Long tengok Lia
tu nampak keletihan sangat” tutur Mak Long mengarahkan aku.
“Ubat nie Mak Long...” Aku menayangkan ubat di tanganku
kepada Mak Long. Masih ingat dengan pesanan doktor kepadaku sebentar tadi.
Amanah telah dipertanggungjawabkan kepadaku. Maka aku berkewajipan melaksanakan
amanah itu. Tambahan pula Aqel jadi begini adalah disebabkan aku.
“Biar Mak Long yang bagi Aqel nanti. Lia berehatlah
ye...” ulang Mak Long. Aku melepaskan keluhan kecilku. Betapa malangnya nasibku
hari ini. Malah Aqel turut menerima tempias malang itu.
“Awak pergilah
berehat” suara Aqel mencelah turut mengulangi arahan Mak Long sebentar tadi.
Aku mengangguk.
“Kalau Mak Long perlukan apa – apa, Mak Long panggil Lia
ye. Biar kita sama – sama jaga Aqel” ujarku ikhlas. Mak Long mengangguk dan
tersenyum. Aqel juga turut tersenyum. Lantas aku memulakan langkah meninggalkan
Mak Long dan Aqel di bilik ini. Aku membaling tubuhku ke tilam. Sungguh aku
merasakan keletihan yang panjang. Bahkan ketakutan yang luar biasa. Kedengaran
nada bunyi telefon bimbitku. Kucapai beg galasku lalu menatap telefon bimbit
yang sudah berada di tanganku. Nama Nana terpamer di dada skrin. Baru aku
teringat janjiku pada Nana. Pasti dia lama menunggu kedatanganku.
“Assalamualaikum.... Nana aku tak jadi pergi rumah kau.
Tadi berlaku perkara buruk” jelasku.
“Apa yang berlaku?” soal Nana cemas.
“Aqel tercedera kerana aku...” sahutku tanpa mahu
berselindung.
“Mengapa dengan dia?” soal Nana semakin cemas.
“Sorry Nana, aku letih sangat sekarang. Esok aku cerita
ye...” ujarku. Kedengaran keluhan Nana. Pasti hatinya tidak tenteram selagi
tidak mengetahui perkara sebenarnya.
“Kau okey ke nie?” soal Nana risau.
“Okey... Cuma letih sangat” sahutku.
“Kau berehatlah ye...” arah Nana begitu bertimbang rasa.
“Thanks Nana..... Assalamuaikum...” ujarku menghargai
sikap timbang rasanya itu. Kuletakkan telefon bimbit ini di sebelahku. Aku
masih terbaring di tilam ini. Cuba menggembalikan semangat diri yang hilang
sebentar tadi. Kedengaran ketukan di muka pintu bilik ini. Laju aku bangun lalu
menguak daun pintu. Mak Long tersenyum kepadaku.
“Ni ais krim vanila untuk Lia. Aqel beli tadi dan suruh
Mak Long hantar untuk Lia. Mana tahu kejadian yang berlaku sebab kempunan nak
bagi Lia makan ais krim ni” ujar Mak Long bercanda sambil tersenyum. Aku turut
tersenyum.
“Makanlah cepat nanti cair pula” arah Mak Long. Aku
mengangguk.
“Mak Long nak pergi dulu” ujar Mak Long memohon diri lalu
meninggalkan aku yang masih terpacak di depan pintu buat seketika. Kelibat Mak
Long sudah tidak kelihatan lagi. Kututup daun pintu bilik. Aku duduk di birai
katil sambil memerhatikan ais krim vanila yang berada di tanganku sekarang.
“Dia ada beli aiskrim vanila kegemaran kamu. Kalau nak
makan ada dalam frizer tu” suara mak terngiang – ngiang di telingaku.
“Dia pesan kat mak suruh beritahu kamu, kalau makan
aiskrim cepat padamkan hati yang panas” ujar mak menyampaikan bicara Aqel
kepadaku. Cerita ais krim vanila terakam kembali. Aku melepaskan keluhan
panjangku. Hatiku sebak dan terharu. Rasa bersalahku kepada Aqel berganda –
ganda. Laju saja aku menyudu ais krim vanila yang mula mencair ini lalu satu –
persatu kulontar ke dalam mulutku tanpa putus – putus. Aku tidak akan mensia –
siakan perkara yang telah Aqel lakukan untukku hari ini. Terima kasih Aqel.
“Saya akan cuba jadi sepupu terbaik awak, Aqel” ujarku
berikrar. Semoga hubunganku dengan pemuda dingin membeku ini akan lebih baik
daripada semalam. Amin.
Best....#^_^
ReplyDeletetq ...
ReplyDeleteHeheee.. sy rasa Aqel dh jatuh hati kat Lia, sebab itu Aqel sanggup buat apa saja utk gadis itu.
ReplyDeleteRasanyer bila nak update new n3, dh lama x baca cite. Thanks Permata Nilam.
tqvm has... time ni bz dgn kssr n kursus. nanti sy curi2 waktu yg terluang utk smbg cite nie
ReplyDelete