Saturday, 15 September 2012

NamaKu Bukan Flora!...........25



 BAB 25
Aku duduk kaku di sebelah Aqel. Pergerakanku terbatas bersama lelaki dingin membeku yang mempunyai beberapa perwatakan ini. Kalau kena pada masanya dia akan jadi seorang yang begitu mudah untuk diajak berbicara. Namun setakat ini diamnya lebih banyak daripada bicaranya. Sesekali aku melirik ke arah Aqel. Tidak selesa aku sepanjang perjalanan ini hanya membisukan diri. 

“Bagaimana keadaan awak hari nie?” suara Aqel memecah kesepian. Syukur Aqel sudah mula bersuara. Tidak juga aku mati kebosanan dengan sikap dingin membekunya ini.

“Alhamdulillah sihat. Mujarab betul petua awak tu ye. Terima kasih” sahutku terhutang budi pada Aqel. Aqel menerima penghargaanku dengan wajah bersahaja. Anak teruna Mak Long ini memang ketandusan emosi. Ekspresi wajahnya sudah cukup menggambarkan betapa kosong dirinya.  

“Belanja saya makan tengah hari nie” pinta Aqel sedikit mengejutkan aku. Satu tindakan Aqel di luar jangkaanku. Kupandang Aqel.

“Setengah hari saya jaga awak, jadi hari nie awak mesti belanja saya makan” ujar Aqel mengulangi permintaannya.

“Awak nie tolong orang tak ikhlas” kutukku. Aqel tersenyum sendiri.

“Yang awak tu kedekut” kutuknya balik.

“Okey.... okey.... saya belanja awak. Makan ler puas – puas nanti sampai awak kekenyangan tak leh gerak – gerak lagi” kutukku lagi.

“Tengok tu awak pun tak ikhlas” balas Aqel mengenakan aku.

“Perangai kita serupa ler...” balasku tersengih.

“Memang pun sepupu sepapat” sahut Aqel buat aku tergelak. Aqel turut sama tergelak. Senyap tiba – tiba.

“Beberapa perwatakan ada dalam diri awakkan” komenku.

“What!” Aqel serius menatapku.

“Yeler awak macam cuaca. Banyak masanya jadi salji nampak dingin membeku. Kadangkala jadi macam angin sepoi bahasa, nampak tenang dan bersahaja. Bahkan ada kalanya jadi ribut taufan yang mengganas. Sukar untuk diramal sikap awak” komenku. Aqel diam. 

“Salji kan ramai orang suka. Beruntung ler saya macam salji” sahut Aqel menguntum senyum. Laju aku geleng kepala. Tidak setuju dengan pendapatnya itu. Aku maksudkan sikap dia persis salji. Bukan salji tempat orang meluncur itu. Hish.. hish... hish! Mesti anak muda Mak Long ini tidak faham bahasa simbolikku.

“Kenapa?” soal Aqel menuntut penjelasan lanjut.

“Ingat seronok ke berdepan dengan manusia yang bersikap salji nie? Apa yang saya rasa betul – betul menguji kesabaran malah kadangkala rasa membosankan” luahku tanpa berselindung. Yen menghadiah jelingan tajamnya padaku membuatkan aku tersenyum sendiri. Mesti dia kurang senang mendengar bicaraku tadi. Aku ikhlas meluahkan pendapatku.

“Jadi awak suka ler lelaki romantik seperti Haqem” balas Aqel menyebut sebaris nama lelaki itu. Senyumanku terus saja padam. Sudah tiada keinginan untukku berbual dengan Aqel lagi. Mujur juga kereta ini sudah memasuki perkarangan Syarikat KDUT. Jadi tidak perlu aku berbicara tentang lelaki itu. Setelah kereta memasuki parking dan berhenti, aku terus saja keluar mendahului langkah Aqel. Mahu menjarakkan diri daripadanya. Tidak mahu mengundang kontroversi mahupun menimbulkan kemarahan Rania.

“Flora...!” panggil Aqel. Langkahku terhenti. Nama itu sudah sebati dengan diri Aqel. Aku pula sudah tidak mampu menghalang Aqel dari terus memanggilku dengan nama itu biarpun hakikatnya tidak kusenangi.

“Awak tak letih ke asyik lari dari Haqem? Sejauh manapun awak nak bawa diri, awak takkan dapat lari dari Haqem. Awak tahu apa sebab? Bayangan Haqem masih membelenggu awak sebab awak sendiri yang tak nak melepaskannya” tutur Aqel tanpa kuduga. Buat pertama kali Aqel berbicara sejelasnya tentang halku dengan Haqem. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Tiba – tiba saja aku rasa marah kepada Aqel kerana telah merasakan dia telah mencampuri urusan peribadiku.

“Flora...!” Sekali lagi Aqel melaung nama itu. Kali ini aku sudah nekad tidak akan memberhentikan langkahku.

“Jangan lupa tengah hari nanti tunaikan janji awak” laung Aqel memperingatkan aku. Aku hanya memasang telinga pada laungan Aqel itu. Langkahku terus saja diatur memasuki ruangan lobi dan seterusya ke bilik operasiku. Kubaling beg galasku ke meja lalu menyandarkan tubuhku di kerusi empuk ini. Kulepaskan keluhan beratku. Bicara Aqel menghantuiku.

Tepat pada masa yang dijanjikan aku menanti Aqel di depan pintu utama KDUT. Walaupun tiada keseronokan untuk keluar bersama Aqel, namun aku  mesti menunaikan janjiku kepada pemuda dingin membeku itu. Anak mataku liar memerhatikan sekeliling. Risau juga kalau Rania ternampak aku bersama Aqel. Lima minit berlalu, kelibat Aqel belum kelihatan lagi. Harap – harap Aqel terlupa untuk makan bersamaku. Alangkah baiknya kalau tiba – tiba saja dia ada hal penting yang harus tindakan segera lalu membatalkan saja rancangan hari ini. Kemudian meminta aku membelikan makanan tengah hari untuknya. Aku pasti dengan senang hati akan melakukannya. Harapanku terus saja musnah tatkala ternampak Aqel sedang mengatur langkah ke arahku.

“Mengapa? Awak tak gembira jumpa saya ke?” soalnya dengan wajah bersahajanya tatkala melihat reaksi yang terpamer di wajahku.

“Memang pun” sahutku tidak mahu menafikannya. Perasaan marahku padanya belum padam lagi.

“Malanglah kerana selamanya awak terpaksa berdepan dengan saya nanti” tutur Yen tersengih memperliku.

“Apa...” Aku tidak mengerti dengan bicara Aqel. Tamatnya kerjasama KDUT dengan CNF maka aku tidak perlu bekerja di sini lagi. Setibanya mak dan Aziq dari Mekah nanti, aku juga tidak perlu tinggal sebumbung dengan Aqel lagi. Maka tidak selamanya aku berdepan dengan dirinya.

“Mari .....” ajak Aqel melangkah ke kereta kesayangannya itu. Aku mengekori langkah Aqel. Sedikit menjarakkan diri darinya sebagai langkah keselamatan untuk melindungi diri. Andai tiba – tiba saja Rania muncul aku ada ruang untuk memberi alasan kepada gadis itu bahawa aku tidak bersama dengan Aqel ketika ini. 

“Awak duduk belakang ye....” arah Aqel yang begitu aku senangi. Aku dengan gembiranya dan bersenang lenang akan duduk sendirian di kerusi penumpang  belakang. Tanpa mempersoalkan arahannya itu, aku terus saja masuk ke dalam kereta Peugeot RCZ Sports Coupe kebanggaan Yen ini. Lalu bersandar. Oh..., selesanya. Apatah lagi hembusan penghawa dingin yang baru dihidupkan menambah keselesaan yang berganda – ganda. Inilah nikmati memiliki barang mewah. Orang kata alah membeli menang memakai. Walaupun harga mahal namun memberi kepuasan yang maksimum.

Kira – kira lima minit sudah berlalu namun Peugeot RCZ Sports Coupe belum ada tanda – tanda mahu bergerak. Aqel belum mahu memulakan pemanduannya. Sesekali nampak dia melontar pandangan keluar. Lagaknya bagai sedang menantikan seseorang.

“Awak ada tunggu orang ke?” soalku setelah letih mentafsir gerak gerinya itu. Aqel memandangku melalui cermin belakang. Dia mengangguk.

“Siapa?” soalku ingin tahu.

“Awak tunggu sajalah siapa yang datang” sahutnya mahu berahsia. Aku mengeluh. Bosan bersoal – jawab sendiri. Lantas aku lupakan saja keinginanku hendak mengetahui gerangan orang yang membuatkan aku dan Aqel terpaksa menunggu akan kedatangannya ini. 

“Itu dia dah sampai....” tutur Aqel sekaligus mengarah aku berpaling ke cermin tingkap kereta ini. Maka ternampaklah aku susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berlari – lari anak ke arah kami. Aku tergamam.

“Aqel, mengapa awak ajak dia sekali?” soalku kurang senang dengan kehadiran Haqem. Sungguh aku tidak pernah mengalu – alukan kedatangannya ini. Kalau aku tahu Haqem akan turut serta pasti awal – awal lagi aku sudah membatalkan perjanjian ini. Aku lebih rela dituduh oleh Aqel sebagai penipu daripada duduk semeja dengan Haqem.

“Saya tak ajak, dia yang nak ikut” jawab Aqel cuba melindungi diri daripada disalahkan olehku.

“Tapi awak yang cakap nak makan dengan saya kan” dugaku. Aqel mengangguk disambut dengan keluhanku. Sungguh sikap Aqel membinggungkan aku. Dia langsung tiada pertimbangan. Sepatutnya Aqel lebih memahami keadaanku dengan Haqem sekarang.

“Anggap ler semua ni ujian untuk awak” ujar Aqel bersahaja sekaligus membangkitkan rasa marahku. Aku terus saja mempamerkan wajah masamku. Tatkala Haqem duduk di sebelah Aqel, laju saja aku mengalih pandanganku keluar. Statik di situ sehinggalah kereta ini mula bergerak dan tiba ke destinasinya. Sepanjang perjalanan tadi aku juga membisukan diri. Langsung tidak berminat mencelah perbualan Aqel dan Haqem walaupun kadangkala perbualan mereka perlukan respon daripadaku. 

Aqel sudah memilih untuk makan di sebuah restoran mewah. Timbul kerisauan di hatiku tatkala memikirkan harga makanan yang disediakan di sini. Mesti mahal harganya. Namun sedikit memberi kelegaan padaku tatkala mengingati aku memiliki kad kredit sebagai langkah berjaga – jaga. Kalau terdesak nanti bolehlah aku menggunakan. Sekurang – kurangnya tidaklah aku dimalukan oleh Aqel di depan Haqem nanti. 

Di restoran ini, aku diapit oleh dua orang jejaka tampan bergaya. Malah bertaraf jutawan. Banyak juga pandangan yang dilontarkan ke arah kami. Mesti ada yang memuji – muji kehebatan dua orang jejaka yang bersamaku tika ini. Dalam diam aku tumpang bangga. Makanan yang dipesan oleh Aqel dan Haqem sudah terhidang untuk dinikmati. Aqel tanpa sebarang bicara terus saja menikmati. Lagaknya bagaikan orang yang sedang kebuluran sangat. Anak muda Mak Long ini memang sikapnya sentiasa bersahaja.

“Lia, makan ler....” pelawa Haqem sebaik saja aku masih belum memulakan suapanku sebaliknya hanya memerhatikan gelagat Aqel. Aqel berpaling ke arahku. Mulutnya berhenti mengunyah. 

“Awak tak nak makan ke?” soal Aqel tercengang. Aku masih mendiamkan diri. Kewujudan Haqem bersama kami tika ini tidak memberi keselesaan kepadaku. 

“Nah, makan sayur nie. Baby corn nie macam bertih juga boleh buat orang cakap banyak” ujar Aqel lalu meletakkan hirisan jagung muda di pingganku sambil diperhatikan oleh Haqem. Aku menjeling Aqel. Terasa bicaranya itu sedang memerliku. Haqem pula merasakan ada kemesraan yang terjalin antara Aqel dengan Lia. Hatinya mula tidak tenteram. Dia cemburu.

Sepanjang sesi menjamu selera ini berlangsung aku tetap mendiamkan diri. Tidak berminat untuk mencelah perbualan Aqel dan Haqem selain menjadi pendengar setia. Perbualan Aqel dan Haqem terhenti tatkala telefon bimbitnya berdering. Aqel berbual – bual seketika dengan si pemanggil yang tidak aku ketahui gerangannya itu. Namun tampak mesra. Tiba – tiba saja Aqel berdiri menyentakkanku. Adakah Aqel berniat hendak meninggalkan aku bersama dengan Haqem di sini? Oh..., aku tidak sanggup berdua – duaan dengan Haqem tika ini! Sungguh...!!!

“Awak nak pergi mana?” soalku pada Aqel yang sudah terpacak bila – bila saja akan memulakan langkahnya. 

“Kamu berdua tinggal sini kejap ye... Saya hal sikit” tutur Aqel seraya menatapku dan Haqem. 

“Saya ikut awak” pintaku seraya berdiri di sebelah Aqel. Aku menatap Aqel memohon belas kasihannya agar membawaku pergi bersamanya. Lama Aqel
menatapku. Barangkali dia sedang membuat pertimbangan.

“Please....” rayuku sambil mempamerkan wajahku yang menagih simpatinya. Saat ini aku terpaksa melupakan keegoan diriku. 

“Tak pe.... awak bawalah Lia pergi sama” arah Haqem mencelah. Aqel menatap Haqem. 

“Kalau macam tu kau pergilah sekali” pelawa Aqel. Kupandang Aqel. Aku cuba memprotes tindakannya itu melalui pandangan mataku. Tidak suka kalau Haqem ada bersama kami.

“Saya tunggu kat sini je” sahut Haqem melegakanku. Sememangnya Haqem cukup sedar bahawa aku tidak menyenangi kehadirannya.

“Okeylah... kau tunggu kejap kat sini ye...”arah Aqel. Haqem mengangguk. Lantas Aqel memulakan langkahnya. Aku apa lagi terkejar – kejar langkah laju Aqel yang meninggalkan aku sambil diperhatikan oleh Haqem.

“Aqel ... tunggulah saya..” pintaku sambil cuba beriringan dengan langkah Aqel. Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling menatapku.

“Awak nie macam budak –budak. Langsung tak matang” ujarnya sinis sambil serius menatapku. Aku hanya mendiamkan diri. Cukup mengerti maksud di sebalik bicaranya itu. Aku tahu Aqel tidak suka dengan tindakanku sekarang. Apatah lagi perkara ini melibatkan sahabat baiknya.

“Cubalah matang dan berani. Bukan jadi pengecut begini” tutur Aqel memarahiku. Aku tetap mendiamkan diri.

“Sampai bila awak nak melarikan diri daripada Haqem?” suara Aqel
masih sinis. Aku tetap mengunci mulutku.

“Saya benar – benar tak suka dengan tindakan awak ni. Sebagai kawan dan sepupu awak, saya malu dengan sikap awak ni” tegas Aqel berterus – terang. Terguris hatiku mendengar bicara Aqel ini. Lantas aku hanya mampu menundukkan kepalaku.

“Saya tunggu awak kat sini” tuturku memecah kebisuanku. Aqel menatapku. Lantas melepaskan keluhannya. Kemudian Aqel terus saja meninggalkan aku tanpa sebarang bicara lagi. Aku membawa diri duduk di bangku yang terlindung daripada pandangan orang ramai. Suara Aqel yang marahkan aku masih terngiang – ngiang di telingaku. Aku menundukkan wajahku. Perlahan – lahan terasa hangat menuruni cerun pipiku. Sesungguhnya, aku terluka dengan sikap Aqel. Apa yang aku rasa selama ini tidak semudah dia melontarkan kata – kata kesatnya itu. Ternyata Aqel langsung tidak memahami dan mengendahkan perasaanku. Kucapai telefon bimbitku. Aku terus saja menulis mesej lalu kuhantar kepada Aqel. Mesej itu selamat dihantar. Terus saja aku matikan telefon bimbitku. Aku bangun lalu mengatur langkah meninggalkan bangunan ini. Di luar aku segera mendapatkan teksi. Mujur juga tidak perlu menunggu lama. Teksi yang kutumpangi mula bergerak ke destinasi pilihanku. Untuk sekian kalinya aku menjauhkan diri daripada Aqel lagi.

“Mana Lia?” soal Haqem hairan tatkala melihat Aqel muncul sendirian. Aqel melepaskan keluhannya. Sudah banyak kali dia cuba menghubungi gadis itu. Namun telefon bimbit itu telah dimatikan buat seketika. Aqel tahu gadis itu tidak mahu menerima panggilannya.

“Dia dah pergi...” sahut Aqel. 

“Mengapa?” soal Haqem yang nampak tersentak. Aqel geleng kepala. Dia terus saja ke kaunter melangsaikan bayaran hidangan makan tengah hari mereka tadi.

“Kita balik office sekarang” ajak Aqel. Bingkas Haqem bangun lalu mengekori langkah sahabatnya itu. Sepanjang perjalanan itu Aqel dan Haqem hanya mendiamkan diri. Masing – masing berbicara dengan diri sendiri. Namun yang pasti kedua – duanya sedang memikirkan gadis itu. Aqel terasa bersalah terhadap gadis itu. Haqem pula terus terluka dengan sikap Lia yang masih mahu meminggirkan dirinya.

Aku memaksa diri melupakan kejadian sebentar tadi. Lantas aku mula menyibukkan diri dengan mengemaskini rekod – rekod yang lepas. Hujung bulan ini aku perlu menghantar laporan kepada Puan Rosie dan pihak KDUT.

“Awak pergi mana tadi?” Aku tersentak lantas mengangkat mukaku lalu melontar pandangan ke muka pintu. Aqel sedang melangkah mendekatiku. Aku meneruskan kerjaku tanpa mempedulikan kehadiran Aqel.

“Flora....!” Aqel nampak hilang sabar tatkala kehadirannya langsung tidak diendahkan olehku. Tiada moodku hendak bertikam lidah dengannya setelah dia menghujani aku dengan bicara kesatnya. Sakit hatiku kepada dirinya belum lenyap lagi.

“Saya cakap dengan awak nie... Kenapa awak balik sendiri tadi?” soal Aqel pantas merampas fail yang ingin aku capai. Aku kaget dengan tindakan Aqel.

“Nak tunggu awak terus sakiti perasaan saya...” lirih saja suaraku.

“Siapa yang sebenarnya sakiti perasaan awak?” soal Aqel sinis. Aku mendengus kasar. Aqel benar – benar telah menguji tembok kesabaranku.

“Rupanya awak masih tak sedar lagi...” bidas Aqel masih mahu menyucuk api kemarahanku. Tajam pandanganku menatap Aqel.

“Tinggalkan saya sendirian di sini...” pintaku.

“Ni ler perangai awak suka lari dari kenyataan” tegas Aqel serius.

“Cukup...!!!” jeritku penuh emosi. Senyap. Aqel nampak terkejut dengan tindakanku. Aku melepaskan keluhan panjangku.

“Awak tak tahu apa yang saya tanggung selama ni. Hati saya hancur. Seluruh kepercayaan yang pernah saya berikan kepadanya musnah. Saya dipermainkan sesuka hati. Kalau awak di tempat saya adakah semudah itu awak akan memaafkannya” tuturku perlahan. Setitis air mataku gugur ke pipi. Laju saja tanganku mengesatnya.

“Silapnya saya sangat mencintainya sebab itu luka saya dalam” keluhku tertunduk. Aqel menatapku. Mulutnya sudah terkunci.

“Jangan pedulikan saya.... Saya akan lari selagi saya termampu. Saya turut kesal kerana awak ada sepupu seperti saya yang sangat lemah. Jadi untuk menyenangkan perasaan awak, awak boleh anggap saya tak pernah wujud dalam keluarga awak. Maaf....” Aku terus saja melangkah meninggalkan Aqel terpacak di situ. Langkahku diatur ke bilik air. Di bilik air ini aku melempiaskan tangisanku. Setelah puas menangis barulah aku memunculkan diriku di bilik ini semula. Aqel sudah tidak berada di sini. Kucapai telefon bimbitku lalu menekan nombor telefon bimbit Nana.

“Assalamualaikum ...... Nana malam ni saya tumpang tidur rumah awak” tuturku perlahan.

“Terima kasih, Nana. Assalamualaikum....” Kusimpan kembali telefon bimbitku di dalam beg galasku. Aku melepaskan keluhan beratku.

  “Aku akan lari selagi aku termampu....” ujarku sendirian lalu memejamkan mataku.


3 comments:

  1. I like the storyline but i hated waiting for soooo long for the next entry....

    ReplyDelete
  2. sorry semua sy terlambt nak smbg novel nie coz plan awal2 nak settle 'saranghae' dulu. namun ada idea sejak akhir2 nie utk novel nie... nie ler muncul tiba2 nie. insyaallah lps saranghae tamat sy akn fokus pd NBF. sori ye....

    ReplyDelete