Monday, 31 May 2021

Cinta Jangan Pergi


"Maksudnya awak telah dipengaruhi oleh pelajar-pelajar awak," Rayyan memperincikan bicaranya. Aku senyum.

"Bukan. Kerjayaku yang mendorong aku adakala patut bertingkahlaku demikian," tingkahku.

Senyap. Aku meneguk sisa kopi panas di dalam cawan. Kosong. Alhamdulillah buat rezeki yang Allah kurniakan. Mata Rayyan tetap terarah kepadaku.

"Tamak bertempat untuk mencari kebahagiaan. Boleh awak jelaskan?" Rayyan mengungkit bicaraku semalam.

"Tak salah kalau seorang isteri banyak permintaan jika suaminya mampu," luahku.

"Aa...,"

"Sebab saya isteri awak dan awak suami saya," tambahku.

"Aa...,,"

"Awak ada banyak duit...ada segalanya. Jadi saya boleh minta apa saja dari awakkan," dugaku.

Laju Rayyan geleng kepala. Belum bermurah hati hendak bersedekah.

"Tak," Rayyan mempamer muka serius. Kedekut.

"Alah...Haji Bakhil betul awak," kutukku bingkas bangkit dari kerusi.

"Awak nak ke mana?," Terkebil- kebil Rayyan menatapku.

 "Oppss...sorry...Lupa nak cakap. Saya ada kelas tambahan. Saya dah masak untuk makan tengah hari nanti. Jangan lupa makan ye," Aku senyum semanis madu.

"Awak suruhlah mereka belajar di pusat tuisyen," cadang Rayyan serius.

"Parent pelajar- pelajar saya bukan golongan elit. Sebab itu saya pernah terfikir nak minta awak tubuhkan tabung dana untuk mereka," ujarku mereka cerita.

"Nampaknya hampa," keluhku. Dia belum dapat hidayah hendak berkongsi kekayaannya dengan orang lain.

"Saya pergi dulu. Jangan lupa makan tengah hari nanti," ujarku memberi peringatan sekali lagi.

"Jangan tunggu saya balik. Nanti awak lapar. Mungkin saya  balik lewat," tambahku. Pandai-pandai pula aku buat  andaian sendiri. Konon Rayyan menungguku.

"Bye...," Kutinggalkan Rayyan yang sedang melontar pandangan kosong ke arahku. Entah apa yang bergolak dalam fikirannya sekarang. Mungkin sedang memikirkan betapa kelam kabutnya hidupku.

"Saya tunggu awak balik," tuturnya masih melontar pandangan ke arah gadis yang telah melewati pintu itu. Kelibat gadis itu hilang. Seminit kemudian kedengaran deruan kereta yang bergerak meninggalkan halaman banglo itu.

 - Iman Zahra -

Sunday, 30 May 2021

Cinta Jangan Pergi

 


"Kadang-kadang awak nampak begitu matang. Tenang dan bersahaja mendepani semua masalah yang mendatang. Namun adakala awak persis anak-anak manja yang perlukan perhatian dan penjagaan agar tak tercedera," tutur Rayyan memberikan komentar akan personalitiku. Aku tergelak.

"Awak harus ingat saya menghabiskan separuh waktu siang saya bersama anak-anak yang baharu menginjak ke alam remaja dan sebahagiannya ke alam kedewasaan. Kalau awak nak rapat dan lebih memahami mereka, awak perlu turut menempatkan diri awak dalam situasi mereka," jelasku.

Berkerut dahi Rayyan. Pusing dengan tuturku.

"Saya perlu bijak menggunakan pertimbangan akal dan emosi serta sentiasa tenang menghadapi pelajar-pelajar saya yang pelbagai kecerdasan dan berbeza latar belakang. Ikhlas mencurah bakti dan amanah pada tanggungjawab yang diberikan," tegasku. Menjadi guru berkaliber bukan mudah.

"Saya nak jadi seorang guru yang hadirnya ditunggu, hilangnya dirindu, ilmunya diburu, nasihatnya diseru, tingkahlakunya ditiru," ujarku bersemangat.

"Selamat Hari Guru. Semoga impian awak termakbul," laju sahaja Rayyan mencelah. Aku tergelak. Reaksi pemuda ini mencuitku.

- Iman Zahra -

 

 

Saturday, 29 May 2021

Cinta Jangan Pergi

 



"Saya akan jadi Superman awak,". Aku menatap Rayyan. Mudah saja dia menuturkan kata-kata sedemikian.

"Saya tak nak awak jadi Superman. Saya nak awak jadi Doremon," tingkahku. Membutang mata Rayyan menatapku.

"Kenapa? Bukan ke Superman itu lelaki gagah yang akan sentiasa melindungi dan  menyelamatkan awak," jelas Rayyan berjela. Janggal dengan penolakanku. Aku menolak superhero.

"Lelaki gagah yang mampu melindungi dan menyelamatkanku nescaya tak semestinya  mampu memenuhi setiap kehendak dan keinginanku," balasku.

"Tamak juga awak ye," kutuk Rayyan sinis.

"Tamak bertempat untuk mencari kebahagiaan," balasku tersenyum. Tidak menafikan tuduhan Rayyan. Pemuda ini mencebik.

"Kenapa pula awak nak saya jadi Doremon?" Rayyan merenungku. Renungan yang bikin merinding reroma. Sedia mahu mendengar hujahku.

"Doremon...comel. Dia boleh buat apa saja untuk memenuhi setiap hajat yang diminta. Sekalipun dia tak pernah mengecewakan," ujarku sambil membayangkan kesungguhan Doremon merealisasikan setiap keinginan Nobita yang seringkali mencipta seribu masalah.

- Iman Zahra -