BAB 92
Aqel mengangkat kedua-dua belah kelopak mata. Laju dia
bangkit dari perbaringan. Dia melontar pandangan ke arah katil itu. Kosong.
Katil itu sudah dikemas rapi. Bingkas Aqel bangkit dari sofa lalu melangkah
keluar dari bilik itu. Sunyi sepi. Terasa dia bersendirian tika ini. Aqel
melangkah ke dapur. Dicapai gelas kaca itu lalu menuang air kosong.
Perlahan-lahan diteguk. Lega. Dia menghala pandangan ke arah meja itu. Di bawah
tudung saji sudah siap hidangan sarapan. Aqel melangkah ke situ. Tudung saji
diangkat. Nasi lemak, sambal sotong dan kerang pedas, ikan bilis goreng,
hirisan timun dan tomato. Ada seteko air teh kosong yang masih berasap.
Aqel menatap hidangan yang menyelerakan itu. Nampak dia
sedang berfikir. Ditutup hidangan itu kembali. Aqel melangkah laju ke ruang
tamu. Diselak langsir dinding kaca itu. Dia memandang keluar. Kereta BMW ActiveHybrid 7 tiada di garaj. Aqel
mengorak langkah laju mendaki anak tangga. Tangannya mencapai iPhone lantas membuat panggilan. Dia
menanti panggilan itu dijawab dengan perasaan cemas. Panggilan itu tidak
dijawab. Tidak mahu mencuba kali kedua, laju langkah Aqel masuk ke bilik air.
Lima belas minit kemudian, Aqel bergegas meninggalkan perkarangan banglo itu.
Kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe QL144
yang dipandu Aqel meluncur laju ke destinasi yang dituju.
Aku berdiri di depan pintu dobi ini. Pintu kaca ini
dirantai. Pandanganku menembusi dinding kaca ini. Bangunan ini sudah
dikosongkan. Baru beberapa hari lalu aku berkunjung ke sini buat kali kedua. Teringat
pada lelaki yang misteri yang memerhatikan aku di sebalik dinding kaca ini. Sekarang
premis ini sudah tidak beroperasi lagi. Pakaian-pakaian yang telah aku hantar
hilang begitu sahaja. Kemudian diganti dengan sejumlah wang yang banyak dan
dokumen yang ditemui di dalam laci mejaku. Aku tersenyum sendiri. Baru aku
mengerti. Kurenung papan tanda yang digantung di depan pintu premis ini. Dobi
Cenderawasih Nilam. Laju aku mengatur langkah ke hadapan. Selang tiga buah dari
Dobi Cenderawasih Nilam ini aku nampak nama yang sama pada premis itu.
Langkahku mati. Aku mendongak. Kupandang papan tanda yang tertulis Dobi
Cenderawasih Nila. Terkedu. Nama yang hampir sama. Sekali imbas nampak sama
sahaja. Pasti mengelirukan banyak mata. Apatah lagi jikalau hanya memandang
sekilas.
“Maaf...cik cari apa? Nak cuci pakaian?” sapa seorang
gadis sambil beralih pandangan ke tanganku. Aku datang dengan tangan kosong. Tiada
pakaian yang hendak dicuci. Gadis ini kehairanan menatapku.
“Betul nama ini Dobi Cenderawasih Nila?” tanyaku meminta
kepasatian. Dia mengangguk. Terpancar kehairanan di wajah gadis ini.
Pertanyaanku ini pasti mengundang persoalan.
“Ya...saya Nila, pemilik dobi ini” ujarnya memperkenalkan
diri. Aku menatap gadis ini.
“Boleh saya masuk ke dalam?” tanyaku memohon keizinan
memandangkan aku datang ke sini bukan untuk menghantar pakaian yang hendak
dicuci.
“Boleh. Silakan...” ujarnya memberi keizinan sambil
menguak pintu kaca itu luas-luas untukku. Aku melangkah masuk lalu ke kaunter.
Kupandang sijil perniagaan yang dipamer di dinding. Pendaftaran perniagaan yang
sah di sisi undang-undang. Tidak ada keraguan yang timbul.
“Apa yang boleh saya bantu cik?” tanya gadis ini. Aku
menatapnya.
“Selang tiga buah dari premis ini, ada sebuah dobi di
sana” jelasku berhati-hati menyusun kata. Tidak mahu menimbulkan keraguan dan
perasaan tidak senang gadis ini.
“Oh... Dobi Cenderawasih Nilam... Ada pekerja saya
mengadu nama dobi itu hampir sama dengan nama dobi ini. Beza satu huruf saja”
cerita gadis ini tersengih. Dia menyedari nama yang hampir serupa itu.
“Kenapa dengan dobi itu?” Dia menatapku. Hairan.
“Sebenarnya...saya ada hantar banyak pakaian syarikat di
sana. Bila saya datang tadi nampak premis itu seolah-olah tak beroperasi lagi.
Saya risau pasal pakaian itu” ujarku.
“Ya...saya pun rasa pelik juga. Baru dua bulan mereka
beroperasi sekarang dah tutup” tambah Nila menyentakku. Dua bulan selepas
beroperasi terus tutup. Bukan. Ditutup setelah
kunjungan keduaku di premis itu. Bermakna misi mereka telah berjaya.
“Betul ke dah tutup?” tanyaku meminta kepastian. Nila
mengangguk. Aku berharap mereka pergi tidak lama. Namun harapan hanyalah
tinggal harapan. Sia-sia sahaja.
“Saya ada nampak mereka angkut mesin-mesin dan peralatan
lain dengan beberapa buah lori beberapa hari lalu. Nampak bergegas saja mereka.
Mungkin ada hal kecemasan” cerita Nila masih beranggapan baik. Aku melepaskan
keluhan. Mereka menghilangkan diri setelah aku didakwa melakukan pecah amanah
pada syarikat. Mereka telah berjaya melaksanakan misi itu. Sempurna rancangan
mereka. Sekarang mereka jadikan aku pesalah yang sedang menunggu hukuman
dijatuhkan. Selagi bukti-bukti yang ada tidak diragui maka aku akan diserahkan
kepada pihak polis. Kemudian mahkamah akan menjatuhkan hukuman ke atasku. Maka
berakhirlah kebebasanku. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Awak tahu arah tuju mereka?” tanyaku masih berusaha
menjejaki mereka. Nila mengeleng kepala.
“Mereka kurang mesra dengan orang di sekeliling ini.
Kebetulan juga mereka orang baru di sini” ujar Nila. Aku mengerti. Mereka hanya
singgah buat sementara waktu. Tidak perlu mengenali orang sekeliling. Sasaran mereka
ialah aku. Mereka hanya menunggu kunjunganku.
“Kasihan cik. Saya simpati dengan nasib cik” suara gadis
ini memecah kesepian. Aku tersenyum sekilas. Nampak Nila ikhlas menuturkannya.
“Takpelah. Terima kasih...” ujarku hampa. Aku melangkah
longlai ke pintu. Sudah jelas sekarang. Sudah terlambat. Aku kembali ke Dobi
Cenderawasih Nilam. Lama aku terpacak di depan pintu premis ini. Memandang dan
terus memandang premis ini. Terbayang lelaki yang berdiri di depan dinding kaca
ini sambil memandang aku. Ternyata di sinilah permainan nasibku bermula. Aku
melepaskan keluhan panjang.
“Saya ada letak alamat di atas meja awak. Pastikan esok
awak hantar pakaian ini ke situ” suara Bella mengarah kedengaran di
telingaku.
“Saya tak puas hati dengan service mereka. Tak nak ambil risiko menanggung kerugian berpuluh
ribu ringgit kalau pakaian ini rosak walaupun sedikit” suara Bella masih
terngiang-ngiang. Itu alasan Bella meningkah pertanyaanku. Dia tidak mahu
menghantar pakaian-pakaian itu ke CNFL sebaliknya ke premis ini. Ada alasan
tersendiri.
“Sampai satu masa nanti Haqem takkan mampu melindungi
awak” ujarku berbicara sendiri mengulang kata-kata ancaman yang pernah terbit
dari mulut Bella. Butiran bicara itu masih jelas. Aku sudah terperangkap dalam
jerat mereka. Aku tersenyum sendiri. Pasti saat ini Datin Sofea dan Bella
tergelak panjang. Sungguh mudah mereka mempermainkan nasib hidupku.
“Flora...” Aku berpaling. Tersentak menatap Aqel yang sudah
berdiri di depanku.
“Apa awak buat di sini?” tanya Aqel hairan. Kemudian
mendongak menatap papan tanda premis ini. Aqel merenung nama yang tertulis.
Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
“Mari ikut saya ke pejabat. Encik Mahroof call tadi. Dia minta awak datang
sekarang” jelas Aqel. Kupandang Aqel. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan.
Aku masih statik berdiri di sini. Sukar hendak berganjak meninggalkan tempat
ini. Kalau Aqel membenarkan pasti aku akan berada di sini menunggu salah
seorang daripada mereka memunculkan diri. Mungkin lelaki itu akan kembali ke
sini lagi. Siapa tahu kalau-kalau masih ada barang penting yang tertinggal.
“Mari...” Tangan Aqel sudah memaut tanganku. Aku terpaksa
mengikut langkah Aqel. Pintu kereta Peugeot RCZ
Sports Coupe QL144
dikuak.
“Masuk...” Aqel mengarahkan aku masuk lalu melepaskan
tanganku dari pautan tngannya. Kupandang Aqel.
“Saya drive
kereta tadi” jelasku menolak ajakan Aqel berkongsi kereta.
“Masuk... Saya dah arahkan pekerja KDUT bawa kereta awak
balik tadi” jelas Aqel. Aku terpinga-pinga menatap Aqel. Tangan Aqel lembut
memegang kedua-dua belah bahuku lalu meletakkan tubuhku di kerusi penumpang.
Lantas dia memasang tali pinggang untukku. Kemudian berlari anak kembali ke
kerusi pemandu.
“Aqel...” panggilku. Aqel berpaling ke arahku.
“Awak boleh tolong saya?” tanyaku. Aqel memandangku. Dia
diam. Tidak menyahut, mengangguk mahupun menggeleng kepala. Statik menatapku.
“Andai sesuatu berlaku kepada saya, awak boleh tolong
saya jaga mak dan Aziq dengan baik?” tanyaku dengan perasaan yang sebak. Terasa
aku sudah tiada peluang hendak membela diri. Aku akan menjalani hukuman.
“Tidak. Saya takkan tolong awak” tegas Aqel mengejutkan
aku. Kali ini Aqel menolak permintaanku. Agaknya Aqel sudah letih dibebani.
“Aqel...” Kupandang Aqel. Aqel tidak mahu dirinya
dibebani. Aku tidak akan menyalahnya. Namun aku masih berharap Aqel mahu
menunaikan permintaanku. Hanya Aqel sahaja yang mampu menjaga mak dan Aziq
dengan baik.
“Awak sendiri akan jaga mak dan Aziq. Takkan berlaku
apa-apa pada awak” tegas Aqel. Aku terkedu. Cukup mengerti dengan kata-kata
Aqel. Aqel tidak pernah menolak permintaanku. Sebaliknya dia tidak mahu aku
patah semangat.
“Awak mesti percaya saya. Faham...” tegas Aqel
dengan pandangan serius menatapku. Aku terpaku. Aqel fokus pada pemanduan. Aku
tersandar di kerusi ini sambil memandang keluar tingkap. Aku dan Aqel berdiam
diri. Tiada perkara yang hendak dibicarakan sehinggalah kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini memasuki
laman parkir KDUT. Aqel sudah melangkah keluar. Aku menolak perlahan daun pintu.
Lantas memijak dataran perkarangan KDUT. Aku mendongak memerhatikan bangunan
kaca 30 tingkat yang gah ini. Aqel sudah memulakan langkah. Namun langkahnya
terhenti. Dia berpaling ke arahku.
“Awak nak
berdiri di situ sepanjang hari?” tanyanya janggal. Aku senyum. Lalu mengatur
langkah. Terasa berat sahaja langkah ini. Jauh rasanya hendak sampai ke pintu
itu. Langkahku mati.
“Aqel...”
panggilku. Langkah Aqel terhenti. Dia berpaling dan menatapku.
“Awak dah makan
sarapan yang saya sediakan tadi?” tanyaku. Aqel diam. Dia menatap gadis itu.
Jari-jemari gadis itu saling bertautan. Tampak gelisah.
“Saya masak makanan
kegemaran awak. Sambal sotong dan kerang pedas. Rugi kalau awak tak makan”
ujarku menambah bicara. Aqel masih menatapku tanpa suara. Tidak menyahut
bicaraku. Matanya statik memandangku.
“Mungkin itu
sarapan terakhir saya sediakan untuk awak sebelum saya dijatuhi hukuman” ujarku
perlahan. Aku tersengih melawan pandangan Aqel. Cuba menyembunyikan perasaanku
yang sedang kacau-bilau. Aqel mengeluh dan mengalih pandangan dariku. Nampak
persis orang sedang kecewa. Kecewa melihat aku hilang keberanian dan keyakinan
diri.
“Maaf...Aqel...Bukan
aku tak yakin dan tak percaya pada awak...tapi aku tak yakin yang aku akan kuat
menjalani hukuman itu” suara hatiku berbicara sendiri. Aqel memaling tubuh lalu
mengatur langkah ke arahku. Aku terpaku tatkala Aqel terus memelukku. Erat.
“Tak perlu
takut. Saya ada untuk melindungi awak. Percayalah pada saya” tegas Aqel
berbisik di telingaku. Aku memejamkan mata. Air mataku mengalir. Sebak dan
terharu. Terasa selamat berada dalam pelukan Aqel. Rasa selesa dan tenteram.
“Terima kasih Aqel...” bisikku tidak mampu menahan air
mata lagi. Aku menangis.
################
“Kalau betul orang itu banyak duit, kenapa tak beli saja
pakaian yang baru” tutur Marnie meluah kemusykilan. RM 100,000 dipindahkan ke
dalam akaun Lia ditambah RM50,000 yang ditemui di dalam laci meja gadis itu.
Jumlah wang banyak untuk bayaran pakaian yang bukan baharu menimbulkan kesangsian. Semua ini mengundang
kemusykilan Marnie. Tindakan individu itu tidak dapat diterima akal logik.
Sungguh mengelirukan.
“Mungkin juga edisi terhad... tak jual di pasaran lagi...
sebab itu mereka nakkan semua pakaian itu” Marnie berbicara sendiri. Cuba
memecahkan persoalan yang berlegar-legar dalam benak.
“Bukan itu persoalannya” tingkah Haqem serius. Marnie
menatap Haqem. Pemuda ini akan memberi jawapan terbaik pada masalah yang
menimpa gadis itu.
“Lia telah dianiaya...sengaja dijadikan pesalah. Mereka
nak Lia meringkuk di dalam penjara. Mereka nak musnahkan hidup Lia” tegas Haqem
mengerti ada komplot di sebalik kejadian ini. Marnie terlopong. Terkejut
mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Haqem.
“Betul ke Encik Haqem? Kasihannya Lia” keluh Marnie
mengenang nasib gadis itu.
“Encik Haqem kena tolong Lia bebas daripada tuduhan itu.
Semua orang sedang bercakap tentang perkara itu sekarang. Kasihan Lia” Marnie
mengesat air mata. Haqem mengeluh. Tekanan yang diterima oleh gadis itu sungguh
berat sekarang. Bimbang Lia tidak mampu menghadapinya.
“Siapa agaknya yang sanggup berbuat demikian...” keluh
Marnie berduka. Kemudian berpandangan dengan Haqem. Persis benak mereka sedang
memikirkan gerangan insan yang serupa yang bertanggungjawab mempermainkan nasib
Lia. Kedengaran keluhan berat Haqem.
“Awak ada jumpa Encik Aqel hari ini?” tanya Haqem. Laju
Marnie menggeleng.
“Saya hanya jumpa dia pada hari Lia disiasat. Mungkin Encik
Aqel sedang menguruskan perkara ini” sahut Marnie. Dia yakin pemuda itu tidak
akan berdiam diri. Pemuda itu tidak akan membiarkan Lia meringkuk di dalam
penjara. Sedikit lega hati Marnie tatkala memikirkan perkara itu. Kedengaran
deringan iPhone Haqem. Laju tangan Haqem menjawab panggilan itu. Perbualan yang
singkat.
“Saya ada hal mustahak nak uruskan sekarang. Kalau ada
siapa-siapa yang call cari saya
katakan saya berada di luar kawasan” arah Haqem meninggalkan pesanan setelah
mendapat panggilan telefon itu.
“Saya nak pergi sekarang...” ujar Haqem sambil menghala
langkah ke pintu. Marnie terkebil-kebil menatap pemuda itu. Tidak sempat
memohon penjelasan lebih lanjut. Sekejap sahaja kelibat Haqem sudah hilang di
sebalik daun pintu.
Haqem meletak kereta tepat-tepat di hadapan banglo mewah
itu. Tidak sempat hendak memarkir kereta di tempat yang sedia ada. Tidak
sabar-sabar hendak bertemu dengan perempuan itu. Laju langkah Haqem memasuki
banglo itu.
“Sudah dijangka kamu akan muncul jumpa mama” Datin Sofea
tersenyum lirih. Haqem mengetap bibir. Bicara itu sudah membuktikan Datin Sofea
terlibat dalam kes itu.
“Sanggup mama buat Lia macam tu” keluh Haqem kecewa.
Datin Sofea tertawa. Puas hati. Penderitaan demi penderitaan yang mahu
dihadiahkan kepada gadis itu.
“Bebaskan Lia dari dakwaan itu. Saya sanggup bayar berapa
saja yang mama nak” Serius wajah Haqem menatap Datin Sofea. Dia membuat
tawaran. Datin Sofea tergelak kuat. Bicara Haqem mencuit hatinya. Dia tidak
perlukan duit. Kekayaan yang dimiliki sudah cukup membiayai hidupnya.
“Mama tak perlukan duit kamu” tingkah Datin Sofea bengis.
“Jadi...mama nak saya buat apa?” tanya Haqem kecewa.
Datin Sofea tersenyum sinis.
“Kamu dah tahu apa yang mama nak” balas Datin Sofea
menyahut pertanyaan Haqem. Haqem melepaskan keluhan. Perempuan ini tidak pernah
mengalah dan berputus-asa dengan keinginannya.
“Saya tak nak nikah dengan Bella. Saya tak mampu penuhi
hasrat hati mama” jelas Haqem. Datin Sofea mendengus kasar. Kemudian tersenyum
sinis.
“Kalau macam itu bermakna kamu dah bersedia melihat hidup
perempuan itu musnah” ujar Datin Sofea dengan pandangan tajam menatap Haqem.
Dia bersungguh-sungguh dengan setiap tindakannya.
“Insaflah mama. Jangan musnahkan hidup mama macam ni”
rayu Haqem cuba melembutkan hati Datin Sofea.
“Berhentilah menyakiti Lia. Lepaskan dia. Barulah hidup
mama akan tenang” pujuk Haqem. Datin Sofea tertawa berdekah-dekah. Ketawa yang
dipaksa-paksa.
“Mama hanya akan boleh hidup tenang kalau kamu nikah
dengan Bella” balas Datin Sofea tidak mengalah. Haqem mengeluh lagi.
“Tolonglah mama. Lepaskan Lia dari tuduhan itu. Saya
merayu mama...” Haqem melutut di depan Datin Sofea sambil menatap sayu
perempuan itu. Datin Sofea mendengus kasar. Sakit hati dengan tindakan pemuda
itu.
“Baliklah. Selagi kamu tak mampu penuhi hasrat mama
jangan datang sini. Mama takkan dapat ubah keputusan mama” tegas Datin Sofea
tidak akan berganjak dengan perkara yang direncanakan. Datin Sofea bangkit dari
sofa lantas mengatur langkah meninggalkan Haqem yang masih berlutut. Haqem
memejamkan mata sedetik sambil menggenggam tangan. Cuba menggumpul kekuatan
diri. Dia tiada pilihan.
“Mama dah kehilangan papa dan Kak Har. Mama dah bersedia
kehilangan saya?” tanya Haqem mendesak. Langkah kaki Datin Sofea terhenti. Dia
berpaling menatap pemuda itu. Mereka saling berpandangan.
“Mama dah lama kehilangan kamu sejak perempuan itu muncul
kembali dalam hidup kamu. Baliklah... mama nak rehat sekarang” ujar Datin Sofea
buat Haqem terdiam. Kebencian perempuan ini terhadap gadis itu tidak pernah
berkurang. Kukuh dan utuh bersemadi dalam hati.
“Baliklah...jangan ganggu mama” ujar Datin Sofea lantas
menyambung langkah kembali meninggalkan Haqem bersendirian di ruang tamu itu.
“Aqel takkan berdiam diri. Saya tak nak mama dapat susah
kemudian hari” ujar Haqem memberi peringatan. Datin Sofea menulikan telinga.
Dia tidak mengendahkan bicara itu. Ternyata kata-kata Haqem tidak berbekas di
hatinya.
##################
Aku melangkah longlai lantas duduk di atas bangku kayu
ini. Bersandar panda bangku kayu ini. Cuba menggumpul kekuatan diri. Aku
memejamkan mata sambil menarik nafas panjang. Hatiku berbisik bermunajat
memohan agar Allah memberi kekuatan dan kekentalan jiwa menghadapi musibah ini.
“Akhirnya...awak tunjukkan taring sebenar awak” lirih
suara Bella menghinaku. Aku mengunci mulut. Bersabar.
“Baru beberapa hari saya tinggalkan office ini. Awak dah gelapkan harta syarikat ini. Kalau sebulan
saya takde di sini, pasti muflis syarikat ini awak buat” Bella menghinaku. Aku
menelan liur pahit. Tuduhan yang kejam.
“Cik Bella tak boleh sesuka hati tuduh saya” tingkahku
memprotes. Bella tergelak sendiri. Kata-kataku melucukan hatinya.
“Semua bukti dah terkumpul nak sabit kesalahan awak”
tegas gadis ini menakut-nakutkan aku. Kupandang Bella.
“Saya tak bersalah” tegasku meningkah tuduhan Bella. Dia
ketawa.
“Saya suruh awak hantar pakaian itu ke Dobi Cenderawasih
Nila tapi awak hantar ke Dobi Cenderawasih Nilam. Awak terima RM100,000 dalam
akaun awak dan RM50,000 ditemui di dalam laci meja awak bersama dokumen
urusniaga awak dengan Dobi Cenderawasih Nilam. Semua itu dah cukup membuktikan
kesalahan awak” tegas Bella serius. Aku menatap Bella. Baru beberapa jam sampai
di sini, dia sudah mengetahui dengan terperinci perkara yang berlaku. Sesuatu
yang menimbulkan syak wasangka.
“Awak sengaja nak perangkap saya. Awak yang beri saya
alamat itu” tegasku tidak puas hati. Bella tergelak.
“Saya beri awak alamat yang tepat. Cuba awak lihat
betul-betul kad yang saya beri pada awak tempoh hari” arah Bella mahu
membuktikan aku memang bersalah. Laju kucapai kad yang terletak di atas meja
ini. Kutatap nama premis yang tercatat pada kertas ini. Dobi Cenderawasih Nila.
Kupandang Bella yang tersenyum sinis.
“Awak masih nak menafikan?” lirih suara Bella bertanya.
“Saya yakin kad yang saya nampak tempoh hari ialah Dobi
Cenderawasih Nilam. Bukan yang ini. Tak mustahil kalau awak telah menukar kad
ini” tingkahku tidak percaya. Bella tergelak.
“Mudahnya awak nak letakkan kesalahan awak pada orang
lain” perli Bella.
“Tapi saya tak terkejut pun. Dulu awak pernah lakukan
kesalahan yang sama... melenyapkan semua pakaian itu. Kemudian awak diarahkan
bekerja di KDUT sebagai ganti rugi. Kelicikan awak tak berhenti setakat itu
saja. Yang kesian Rania. Dia kehilangan Aqel kerana awak” sinis tuduhan Bella
dilontar kepadaku. Tajam pandanganku menatap Bella.
“Jangan cakap sesuka hati kalau awak tak tahu cerita
sebenar” tingkahku geram. Bella tergelak. Sengaja mahu menyakiti hatiku.
Kugenggam tangan cuba mempertahankan benteng kesabaran diri. Hilang kesabaran
bermakna lebih galak Bella akan melontar kata-kata tajam.
“Tak sabar saya nak halau awak keluar dari bilik ini.
Sekarang kemas semua barang awak. Esok saya dan Datin Sofea akan dakwa awak di
mahkamah kerana melakukan penyelewengan aset Mawar Berhad” Bella tersenyum
panjang.
“Bersedialah fizikal dan mental. Awak pasti akan dihukum
penjara kerana Aqel dan Haqem tak mampu melepaskan awak dari tuduhan itu” ujar
Bella begitu yakin. Aku mengetap bibir. Suara Bella berlegar-legar di halwa
telingaku. Kulontar pandangan jauh-jauh. Esok yang dinanti sungguh mendebarkan.
Sudah terbayang gelak tawa dan tepuk sorak Datin Sofea dan Bella meraikan
kemenangan mereka. Aku melepas keluhan berat. Mak, Aziq dan Mak Long pasti
terkejut tatkala mengetahui perkara ini. Aku akan membuatkan mereka berduka.
Perkara ini harus dimaklumkan kepada mak sebelum menjelang hari pendakwaan dan
pengisytiharan hukuman yang dijatuhkan kepadaku. iPhone berdering. Aku tersentak. Nama Aqel terpapar di dada skrin.
“Hello...assalamualaikum...” Kukawal suara biarpun hati
ini sebak. Aku tidak mahu menangis sekarang.
“Awak di mana sekarang?” suara Aqel melontar pertanyaan.
“Duduk di taman bunga awak... nak hirup udara segar”
jelasku.
“Taman Cahaya Dahlia?” Aqel tersentak. Rupa-rupanya sudah
muktamad Aqel menamakan taman ini dengan nama sedemikian. Kupandang sekeliling
taman ini. Banyak bunga dahlia putih dan merah jambu sedang berkembang mekar
nampak indah dipandangan mata.
“Awak pandang ke office
saya” arah Aqel. Aku mendongak. Kelihatan Aqel sedang tercengat di sebalik
dinding kaca sambil melambai tangan ke arahku. Aku senyum.
“Sekejap lagi saya pergi sana. Kita sama-sama tengok
matahari terbenam” ujar Aqel lalu mematikan
iPhone. Aqel berpaling dari dinding kaca itu. Bergerak meninggalkan pejabat.
Sekejap sahaja Aqel sudah muncul di depanku. Tidak mahu terlepas menyaksikan
matahari terbenam.
“Tengok di sana...” Aqel menunding jari ke arah matahari
yang perlahan-lahan turun ke arah barat. Cahaya kejinggaan begitu mempesonakan.
Aku kagum.
“Indahnya...” suaraku memuji. Aku dan Aqel terpegun pada
keindahan ciptaan Allah. Terpaku kami menatap lanskap matahari terbenam ini.
“Hari ini kita
sempat tengok matahari terbenam bersama-sama” ujar Aqel sambil merakam beberapa keping gambar
suasana matahari terbenam. Aqel masih ingat pada kata-katanya.
“Tengok
cantikkan...” Aqel menayangkan gambar yang dirakam dalam iPhone itu. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Cantik...” pujiku. Kemudian mengalih pandangan kepada
Aqel.
“Taman awak ini dah dipenuhi dengan bunga-bunga dahlia”
komenku. Aqel tersenyum.
“Dah nama taman ini Taman Cahaya Dahlia mestilah tanam
bunga dahlia” sahut Aqel bersahaja dan tersenyum.
“Pinjam iPhone awak...
iPhone saya tak secanggih iPhone awak” ujarku tersengih. Tidak
berkata apa-apa Aqel terus menghulurkan iPhone
itu kepadaku. Aku tersentak menatap gambarku ketika hari pertunangan Nana dan
Arryan menjadi penghias wallpaper iPhone
Aqel. Pada hari itu aku, mak dan Mak Long memakai pakaian sedondon yang Aqel
tempah khas di butik. Sepatutnya, Aqel juga memakai pakaian yang sama warna
dengan kami namun dia tidak muncul. Hendak hilangkan rasa rendah diri dan
setanding dengan kehebatan Aqel, aku telah menggunakan kepakaran juruhias
profesional untuk menatarias wajahku. Solekan yang memuaskan hati dan mendapat
banyak pujian. Aku mahu Aqel bangga denganku. Namun usaha itu sia-sia sahaja.
Aku tersenyum sendiri. Kupandang Aqel.
“Bagaimana awak dapat gambar ini? Kan awak tak datang ke
majlis pertunangan Nana” tanyaku hairan. Aqel senyum.
“Saya datang sana kamu semua dah balik” sahut Aqel. Aku
tersentak. Aqel tidak pernah menceritakan perkara ini. Sekembalinya dari majlis
itu, aku meradang dan terkilan kerana Aqel tidak muncul-muncul.
“Pada hari itu awak dan Rania jadi pengapit pengantin”
ujarku mengimbas perkara itu. Aqel tersenyum. Nampak gembira menjadi pengapit
pengantin bergandingan dengan buah hati.
“Nana kata betapa rugi saya tak tengok awak pada hari
itu” cerita Aqel. Aku tergelak kecil. Terbuktilah Nana yang memberi gambar ini
kepada Aqel.
“Nana...” Aku tersenyum sendiri. Sahabatku yang sungguh
fanatik terhadap Aqel persis Marnie. Segala-gala Aqel yang terbaik.
“Cantik awak... Saya yang minta gambar awak dari Nana”
puji Aqel sambil memberi penjelasan. Aku tergelak lagi. Pujian Aqel sekadar
hendak menggembirakan hati dan jiwaku yang tidak tenteram. Sudah lama gambar
ini menjadi penghias skrin iPhone Aqel. Namun baru sekarang disedari oleh gadis
ini.
“Make-up yang
mengubah penampilan saya” tingkahku merendah diri. Pada hari itu aku tatarias
wajahku melebihi daripada hari-hari yang lain. Orang yang jarang bersolek
tatkala disolek akan nampak penampilan yang berbeza. Itu yang berlaku kepadaku
pada hari itu.
“Hari-hari awak nampak cantik. Bebola mata awak bersinar
dan berkaca-kaca” puji Aqel sambil menatapku. Aku diam. Segan pula mendengar
pujian Aqel ini.
“Walaupun awak tak menyayangi saya, saya tetap bangga
jadi suami awak” ujar Aqel tersenyum. Aku terdiam. Terasa dengan bicara Aqel.
“Nak buat apa dengan iPhone
saya?” tanya Aqel menyentakkanku. Aku tersenyum. Baru sedar iPhone Aqel masih berada di tanganku.
“Duduk dekat sikit” arahku buat Aqel tercengang-cengang.
Tidak pernah menerima arahan sedemikian. Pantang Aqel duduk terlalu dekat
denganku pasti aku akan melenting. Namun hari ini berbeza pula. Aku mahu Aqel
duduk rapat di sebelahku.
“Cepat...saya nak ambil gambar dengan awak. Kita tak
pernah pun ambil gambar sama-sama selain gambar pengantin” jelasku. Aqel tersengih.
Lantas mendekatkan tubuh di sebelahku.
“Ada ler gambar saya dengan awak. Masa kita berbulan madu
di Korea. Saya peluk pinggang awak masa tu” ujar Aqel tersenyum. Panas wajahku.
“Oh..., gambar yang itu! Awak minta saya berlakon menjadi
pasangan pengantin yang romantik di
depan Pak Long” ujarku mengimbas kunjungan pertamaku di Korea sebagai bulan
madu kami. Di situlah aku dapat tahu bahawa Pak Long juga mengenali Flora.
Namun tidak mampu aku mengungkai rahsia itu kerana Pak Long turut berahsia.
Betulkah Pak Long rampas Flora daripada Aqel? Tidak gembira aku dengan
kenyataan ini. Mudah-mudahan andaianku ini tidak tepat.
“Sedia...1...2...3... senyum...” Klik. Aku menekan punat
kemera. Sekejap sahaja gambarku dengan Aqel yang sedang tersenyum terakam.
“Lagi...” pinta Aqel. Mahu gambar dirakam lagi. Tidak
cukup hanya sekeping sahaja. Tiada bantahan. Aku menurut sahaja permintaan
Aqel. Mahu merakam beberapa keping gambar dengan Aqel sebelum usia berganjak
dan berubah wajah.
“Sedia...1...2...3...senyum...” Sepantas kilat tangan
Aqel memeluk bahuku. Aku berpaling ke arah Aqel. Mata bertentang mata. Klik.
Aku terpaku. Aqel hanya tersenyum.
“Tengok...gambar ini cantik” komen Aqel sambil jari
menunjuk pada gambar yang baru sahaja dirakam itu. Gambar kadet yang diambil
nampak sempurna. Sungguh romantik. Persis aku dan Aqel sedang bergaya di depan
kemera. Kemudian kuhantar dua keping gambar ini ke arah iPhoneku. Aku mahu memiliki dan menyimpan gambar ini. Selesai.
Lantas kukembalikan iPhone Aqel.
“Terima kasih kerana tiada bantahan nak ambil gambar
dengan awak” ujarku tersengih.
“Nak buat apa dengan gambar tu?” tanya Aqel. Aku menarik
nafas panjang. Terasa sebak.
“Nak buat kenangan dengan awak. Lepas ini ambil masa yang
lama nak jumpa awak dan pada masa itu pasti saya dah kelihatan tua. Awak takkan
mahu bergambar dengan saya lagi” ujarku tergelak sendiri. Air mata menitis di
pipi. Laju jariku mengesat. Aqel menatapku dengan mulut terkunci.
“Aqel...” suaraku terhenti di situ. Aku dan Aqel saling
berpandangan. Aku melepaskan keluhan. Berusaha mengumpul kekuatan diri.
“Sebenarnya...saya takut sekarang. Saya berharap hari ini
takkan berganjak dan esok takkan muncul” luahku dengan senyuman. Jemari Aqel
memaut jemariku. Erat.
“Saya takkan biarkan awak disakiti. Saya akan lindungi
awak” Aqel mengulangi janji itu sekian kali. Sebak dan rawan hati mendengar
kata-kata Aqel. Aku menangis teresak-esak. Sudah tidak mampu mengawal
tangisanku. Aqel terus memelukku. Cuba mendamaikan gelodak perasaanku. Tidak
boleh cepat berputus-asa.
“Saya harus
kembali ke Bahagian Unit Keselamatan sekarang. Encik Mahroof pasti sedang
tunggu saya. Tadi saya minta keluar sekejap” ujarku sambil merenggangkan tubuh
dari pelukan Aqel. Aqel mengangguk.
“Saya hantar awak...” pelawa Aqel. Aku mengangguk. Lantas
aku dan Aqel beriringan melangkah meninggalkan Taman Cahaya Dahlia ini.
Langkahku dan langkah Aqel terhenti di depan pintu bilik ini. Aku dan Aqel
berpandangan.
“Tinggalkan saya di sini. Tak payah hantar saya masuk ke
dalam” pintaku. Aqel mengangguk. Tidak membantah.
“Tunggu saya datang. Saya akan bawa awak balik nanti”
ujar Aqel serius. Aku menganguk. Yakin pada
kata-kata Aqel.
“Saya masuk
sekarang. Pergilah...” arahku. Aqel senyum namun belum berganjak. Sehinggalah
aku menutup daun pintu, Aqel masih terpacak di depan pintu.
Aqel mengatur langkah kemas. Tampak berkeyakinan. Hari
ini perhitungan akan dilakukan. Sudah sampai masa hendak bertindak. Daun pintu
bilik itu ditolak kasar lantas kakinya melangkah masuk. Langkahnya terhenti di
depan gadis itu. Wajahnya serius.
“Aqel...” Bella tersentak. Kedatangan pemuda ini tidak
diduga.
“Awak salahkan yang betul dan betulkan yang salah” tegas
Aqel serius. Bella terpinga-pinga. Kata-kata Aqel penuh makna tersirat. Aqel
tidak mahu menangguhkan masa lagi. Nekad akan membawa gadis itu balik hari ini.
Esok tiada perkara buruk yang berlaku.
“Awak dan Datin Bella telah rancang segala-gala dengan sempurna.
Awak arah Flora hantar pakaian itu ke dobi yang hanya beroperasi sementara bagi
memudahkan awak menuduhnya telah melakukan penyelewengan. Kemudian kerana
kecuaian gadis itu, mudah saja awak meletakkan kesalahan itu kepadanya” tegas
Aqel. Bella terkebil-kebil. Belum bersedia menangkis hujah Aqel. Hujah yang
disokong dengan fakta.
“Awak kukuhkan tindakan awak dengan menukar kad alamat
itu. Awak letak alamat laundry yang
betul di atas meja itu. Apabila penyiasatan dijalankan nampak seolah-olah Flora
berbohong. Nak kukuhkan penyelewengan ini, awak arahkan orang suruhan awak letak
RM50,000 di dalam laci itu. Kemudian RM100,000 dari akaun Bank Swiss telah
dipindah ke dalam akaun Flora dua hari lalu sebelum dia dituduh menyeleweng
aset syarikat” tegas Aqel. Tajam pandangannya menatap Bella. Tiba-tiba sahaja
Bella bertepuk tangan.
“Hebat cerita awak” sinis suara Bella memperlekehkan
hujah Aqel. Hakikatnya sudah timbul bibit-bibit keresahan dalam diri. Namun dia
berusaha menjadi kuat agar dapat mengaburi pandangan mata dan keyakinan anak
muda ini.
“Awak boleh cakap apa saja yang awak suka. Saya tak
takut. Awak takde bukti nak lepaskan Lia daripada tuduhan itu” tegas Bella
angkuh. Aqel tersenyum.
“Betul. Saya tak boleh katakan Flora tak lakukan semua
itu. Polis takkan percaya. Tapi awak harus ingat, saya ada bukti nak sabit
kesalahan awak dan Datin Sofea yang telah menganiaya gadis itu. Bukti ini akan
membebaskan Flora dari tuduhan itu” tegas Aqel serius menatap Bella. Lantas
mengeluarkan iPhone dari saku seluar.
Ditekan punat. Maka video itu terpasang. Cerita yang jelas. Bella terkedu.
“Saya letak kamera tersembunyi di setiap tempat duduk
Flora. Saya tak boleh bergantung pada cctv
syarikat ini. Saya yakin awak dan Datin Sofea ada perancangan yang teliti” ujar
Aqel tersenyum sinis. Lega.
“Seorang lelaki yang tak dikenali... yang bukan warga
KDUT ini takkan mudah menceroboh bilik ini tanpa bantuan orang dalam. Tiba-tiba
saja cctv dan alat penggera bilik ini tak berfungsi walaupun lelaki yang tiada
ID KDUT telah melepasi pintu bilik ini. Saya pasti awak yang bertanggungjawab
mematikan sistem sekuriti bilik ini” tegas Aqel lantang. Perkara yang diramal
akan berlaku benar-benar telah terjadi. Bahagian Unit Keselamatan KDUT
memaklumkan cctv yang dipasang di
bahagian kostum tidak berfungsi pada masa kejadian tersebut. Maka tuduhan
terhadap gadis itu tidak dapat ditolak buat sementara waktu.
“Belum cukup bukti awak nak katakan semua itu rancangan
saya dan Datin Sofea” tingkah Bella menafikan. Aqel tergelak.
“Bagaimana dengan ini? Awak pasti kenal lelaki ini kan.
Dengar-dengar dia baru keluar penjara dua bulan lalu” Aqel menayangkan video
pengakuan lelaki itu. Bermula daripada kejadian yang menyebabkan kecederaan di
siku Aqel. Percubaan untuk melanggar gadis itu. Kemudian kewujudan dobi yang
telah dipercayai berurusniaga jual-beli pakaian tersebut untuk menyabitkan
kesalahan pecah amanah. Seterusnya pengakuan lelaki ini telah menerima arahan
untuk meletakkan RM50,000 di dalam laci meja gadis itu. Akhirnya dia mengaku
telah memindahkan RM 100,000 dari akaun Bank Swiss ke dalam akaun bank atas
nama Nurdahlia binti Salllehudin. Bella terkejut. Wajahnya pucat lesi. Dia
kehilangan kata-kata. Tidak mampu membuat penafian lagi.
“Ada perkara yang perlu awak dengar dan tengok” ujar Aqel
tersenyum sinis. Kemenangan sudah berpihak kepada gadis itu. Sekarang dia sudah
boleh menyabitkan kesalahan itu kepada Bella dan Datin Sofea. Aqel menekan
video lain. Lantas menayangkan kepada Bella.
“Saya terima arahan ini daripada mereka...” Lelaki itu
menayangkan gambar di tangannya. Besar mata Bella menatap gambar itu. Dia
terkedu. Gambarnya dengan Datin Sofea. Bukti sudah jelas. Jerat sendiri telah
memerangkap mereka.
“Arahan daripada Datin Sofea dan Cik Bella” Telinganya
menangkap suara lelaki itu menyebut nama mereka. Tangan Bella terketar-ketar.
Semua sudah jelas perkara yang menimpa gadis itu angkaranya dengan Datin Sofea.
“Apa yang awak mahu?” Bella menatap Aqel. Dia sudah tidak
berdaya. Aqel senyum lagi. Suka mendengar pertanyaan gadis itu.
“Semua bukti berada di hujung jari saya. Dalam beberapa
saat saja saya boleh hantar video ini kepada pihak polis, pihak keselamatan
KDUT dan blog syarikat ini. Maka semua orang boleh menonton dan mengetahui
kisah sebenar. Sekurang-kurangnya awak dan Datin Sofea akan merasa hidup di
dalam penjara untuk beberapa tahun atas kesalahan mencederakan, menganiaya dan
menfitnah orang yang tak bersalah. Awak ingat kehidupan bekas banduan begitu
mudah?” jelas Aqel dengan pandangan yang serius. Renungan matanya tajam. Gerun
Bella menatapnya. Bergetar jari-jemari gadis ini. Dia ketakutan.
“Saya boleh buat awak dan Datin Sofea jadi muflis kerana
fitnah kalian... tapi saya ingat pada Haqem dan Idlan. Pasti Flora takkan
gembira kalau saya lakukan semua ini” suara Aqel lembut namun bernada ancaman.
Bella tidak boleh duduk tenang lagi.
“Awak nak saya dan Datin Sofea buat apa?” tinggi suara
Bella mengulangi pertanyaan itu. Dia cemas. Aqel sudah berjaya membuktikan
gadis itu tidak bersalah.
“Saya nak awak dan Datin Sofea tarik balik tuduhan itu.
Saya nak tengok balik nanti Flora dah ada di rumah. Saya beri kalian tempoh 24
jam bersihkan nama gadis itu dan buat permohonan maaf secara terbuka. Kemas
semua barang awak yang ada di dalam bilik ini. Saya tak nak tengok awak ada di
sini lagi” lantang suara Aqel memberi arahan. Kulitnya yang putih nampak
kemerah-merahan. Aqel murka lalu melangkah ke pintu meninggalkan Bella yang
sedang ketakutan. Tangan Bella terketar-ketar. Dia mencapai iPhone lalu membuat panggilan.
“Mama...Aqel dah tahu segala-galanya. Semua bukti ada di tangannya...”
suara Bella bergetar. Datin Bella terduduk. Mereka sudah tidak selamat. Nasib
mereka terletak di tangan pemuda itu. Dia perlu belas ehsan Aqel. Langkah deras
Aqel terhenti. Dia menatap skrin iPhone
yang berada dalam genggaman tangan. Serius. Sudah dijangka dia akan menerima
panggilan itu. Datin Sofea dan Bella tidak akan mampu berdiam diri. Mereka
berada dalam keadaan terdesak sekarang.
“Berkuatkuasa 24 jam kerjasama KDUT dengan Mawar Berhad ditamatkan”
tegas Aqel mematikan perbualan itu. Tidak sempat mendengar suara Datin Sofea.
Arahan tegas itu sudah cukup memberi peringatan kepada wanita itu. Kali ini
Aqel tidak akan bertolak ansur lagi. Aqel meneruskan langkah ke Bahagian Unit Keselamatan
KDUT dengan wajah yang serius. Membayangkan kembali tangisan gadis itu
membuatkan dia marah pada Datin Sofea dan Bella. Melihat tangisan dan ketakutan
gadis itu membuatkan dia marah pada diri sendiri. Dia menyalahkan diri kerana
gagal melindungi gadis itu. Langkahnya terhenti. Dia memandang sayu ke arah
gadis yang sedang berteleku di lantai itu. Tiada tenaga. Ternyata Datin Sofea
dan Bella telah melaksanakan arahannya serta-merta.