Monday, 28 March 2016

99 Mawar Merah UntukMu....bab 5





Bab 5

“Semester ini kamu semua wajib buat kajian kes tentang masalah sosial yang berlaku di sekitar bandar ini. Pilih pasangan masing-masing. Saya tak nak tugasan ini dilakukan dalam kumpulan yang ramai bagi mengelakkan wujud ahli yang tahu menumpang nama saja tapi tak buat apa-apa. Saya dah tetapkan dua orang sepasukan ... bilangan yang paling sesuai” Encik Lokman baru sahaja mengeluarkan arahan sebagai mukadimah kelas hari ini. Aduh... lemah semangat Aunie! Tugasan bersyarat begini menyukarkannya. Dia lebih selesa tugasan yang diberi secara individu. Bergantung sepenuhnya pada diri sendiri. Lebih mudah diselesaikan.
“Sekarang pilih pasangan masing-masing dan daftar nama kalian kepada saya. Saya galakkan yang perempuan pilih pasangan lelaki sebab kamu perlu turun ke lapangan kajian. Mungkin situasi ini sedikit membahayakan diri” nasihat Encik Lokman. Lebar senyuman Era. Pandangan Era sudah terikat kepada pemuda itu. Hari ini pemuda itu tidak tidur seperti selalu. Terbuka luas pula matanya.
Aunie melepaskan keluhan. Kawan-kawan sekelas yang lain sudah ramai mendaftar nama kepada Encik Lokman sebagai rakan sepasukan. Dia masih terpaku di kerusi ini. Dipandang Era yang masih tidak berganjak dari tempat duduk. Tidak mungkin pula dia hendak mempelawa Era menjadi rakan sepasukan. Rimas dia melihat cermin muka yang sentiasa mendampingi gadis itu. Setiap masa Era akan merenung diri dalam cermin yang berada di tangannya itu. Sudah tentu juga Era punya pilihan sendiri yang mampu menjamin keselamatan dirinya. Melihat reaksi yang ditunjukkan Era tika ini pasti dia berhasrat akan menjadi pasangan pemuda itu. Aunie melepaskan keluhan kecil. Hanya beberapa orang sahaja lagi yang belum mendaftarkan nama.
“Minta maaf ... Encik Lokman, boleh tak saya buat kajian kes ini sendirian?” Aunie angkat tangan lalu mengutarakan pertanyaannya. Encik Lokman geleng kepala.
“Wajib berpasangan. Ini pun demi kebaikan kamu juga” hujah Encik Lokman.
Aunie melepaskan keluhan lagi. Sukar hendak mencari rakan sepasukan. Dia tiada sahabat karib di sini. Tiada juga sesiapa yang menawarkan diri untuk menjadi rakan sepasukan. Fikirannya buntu. Aunie hanya mendiamkan diri. Mungkin menunggu Encik Lokman menemukannya dengan rakan sepasukan dari kalangan orang yang senasib dengannya iaitu orang yang tidak terpilih.
“Eymar Luiz... Kamu dah pilih rakan sepasukan?” Encik Lokman melontar suara kepada pemilik nama asing itu. Aunie tersentak. Bagai nama Neymar yang disebut yang singgah di pendengarannya sebentar tadi. Pandangan mata Encik Lokman terarah ke belakang. Lantaran fanatik terhadap bintang bola Brazil itu, perlahan-lahan Aunie berpaling menyoroti arah mata Encik Lokman. Dia terkedu menatap wajah pemilik nama itu. Pemuda itu tersenyum kepadanya.
“Saya nak Aunie jadi rakan sepasukan saya” ujarnya bersahaja tanpa mendapatkan persetujuan gadis itu terlebih dahulu. Aunie terpana. Tidak menduga pemuda yang baru sahaja dikenali dengan nama Eymar Luiz itu telah memilihnya untuk menjadi rakan sepasukan. Rasa menyesal pula menghala pandangan ke arah pemuda itu. Namun keinginan mahu mengetahui gerangan pemilik nama itu memaksa dirinya berpaling ke belakang. Rupa-rupanya pemuda itulah Eymar Luiz. Persis gabungan nama bintang bola sepak Brazil. Mungkin juga dia lincah beraksi di padang. Sempat juga Aunie memikirkan perkara itu.
“Okey... Tak ada masalahkan kamu jadi rakan pasukan Eymar” ujar Encik Lokman. Aunie terkebil-kebil. Pilihan yang sukar. Manusia yang hendak dijauhinya sekarang hendak digandingkan dengannya pula. Bimbang tidak mampu menjalinkan kerjasama.
“Kalau dibenarkan saya nak buat kajian kes ini sendirian Encik Lokman” ujar Aunie masih mengharapkan persetujuan Encik Lokman. Masih berharap Encik Lokman akan mengubah keputusannya. Kemudian bermurah hati memberi kebenaran untuknya menyiapkan tugasan secara individu. Dia merasakan dirinya dengan pemuda itu bukan gandingan yang tepat.
“Saya tak benarkan. Sekarang saya nak kamu dan Eymar jadi rakan sepasukan” putus Encik Lokman langsung tiada diplomasi. Aunie berpaling ke belakang. Eymar mengangkat-angkat kening kepadanya dibalas dengan cebikan bibir Aunie. Perang dingin sedang dilancarkan.
“Encik Lokman... kalau Aunie tak setuju, saya boleh jadi pasangan serasi Eymar. Eh...maksud saya rakan sepasukan Eymar” ujar Era menawarkan diri dengan suara manjanya. Cuba memujuk Encik Lokman mengubah keputusan itu. Ada suara-suara sumbang memberi reaksi pada permintaan Era. Seperti biasa Era hanya menunjukkan reaksi bersahaja.
“Kamu terlambat Era, Eymar dah pilih sendiri rakan pasukannya” tukar Encik Lokman terpaksa menolak permintaan Era. Eymar tersenyum-senyum. Kelihatan dia tenang sahaja. Tidak kisah dengan penolakan Aunie yang dilakukan secara terang-terangan itu. Memang dia mahu melakukan tugasan itu bersama gadis itu.
“Tapi Aunie tak setuju jadi rakan sepasukan Eymar” tegas Era masih mahu mencuba nasib. Peluang hendak menjadi rakan pasukan pemuda itu masih terbuka selagi nama mereka belum berdaftar. Aunie juga nampak belum bersedia hendak bekerjasama dengan Eymar.
“Saya setuju menjadi rakan pasukan Eymar Luiz” suara Aunie mencelah bersetuju. Lama juga dia berfikir sebelum mengutarakan persetujuan ini. Encik Lokman tersenyum. Eymar juga  tersenyum. Hanya Era yang nampak kecewa. Impiannya hendak menjadi rakan pasukan Eymar tidak kesampaian.
“Bagus ... daftarkan nama kalian di sini” arah Encik Lokman meminta mereka bergerak ke hadapan. Kedengaran bunyi kerusi ditolak. Eymar tersenyum melewatinya.
“Aunie... tulis nama penuh dan nombor kad pengenalan kamu di sini” arah Encik Lokman tatkala melihat Aunie belum berganjak dari tempat duduk. Lambat-lambat Aunie bangkit meninggalkan kerusi, lalu melangkah malas ke arah Encik Lokman dan pemuda itu. Eymar Luiz Choo nama yang dicatat oleh pemuda itu pada kertas ini. Lahir pada 14 Februari 1994. Sudah genap 21 tahun. Pemuda ini lahir pada tanggal Hari Kekasih yang disambut oleh sebilangan populasi penduduk dunia. Dia tidak pernah meraikan hari tersebut. Setiap hari ialah hari berkasih- sayang. Berbangsa Cina. Aunie memandang pemuda ini. Tiada nampak ciri fizikal Tionghua pada dirinya. Kulitnya sawo matang. Pasti dirinya lahir daripada kahwin campur. Aunie membuat kesimpulan sendiri.
Tiba giliran Aunie mencatat sedikit identiti dirinya di sebelah ruang maklumat Eymar. Dia masih berdiri di situ, di sebelah gadis itu menunggu Aunie menulis maklumat diri. Kesempatan ini digunakan sebaik-baiknya.
“Oh... nama penuh awak... Aunie Hanania. Nama yang indah” Sekali lagi dia memuji nama yang ditulis Aunie. Encik Lokman hanya tersenyum. Kerenah orang muda. Dia faham.
“ 05 Februari... Betul ini tarikh lahir awak?” tanyanya ingin tahu tatkala Aunie selesai menulis nombor kad pengenalannya. Aunie mengangguk.
“Tarikh lahir awak sama dengan hari kelahiran Neymar da Silva Santos Junior. Patutlah awak peminat fanatiknya. Oh... kebetulan juga saya pilih jersi nombor 10 kan” tuturnya panjang lebar. Banyak cakap pula dia tika ini. Ada sedikit kemusykilan. Kemudian Aunie teringat pada jersi yang belum dipulangkan kepada pemuda ini. Sudah terlupa pula di mana dia letak jersi itu. Mungkin masih di Butik Selendang Kasih. Harap-harap mamanya tidak akan nampak beg kertas itu. Tidak mahu cerita hari itu terbongkar.
“Saya tahu...” balas Aunie bersahaja. Tidak mahu mempamer rasa bangga kerana berkongsi tarikh lahir yang sama dengan bintang bola sepak dunia yang kacak di depan Eymar.
“Kita berkongsi bulan kelahiran yang sama. Nanti bolehlah kita sambut hari jadi sama-sama. Nampaknya awak lebih tua 9 hari daripada saya” Eymar mempamer senyuman. Aunie menulikan telinga. Tidak kisah umurnya lebih tua daripada pemuda ini. Dia bukan hendak jadi kekasih Eymar. Jauh sekali hendak kahwin dengan pemuda ini.
“Sebagai adik awak mesti hormat pada saya dan dengar arahan saya” arah Aunie. Eymer mencebik. Tidak suka mendengar arahan itu. Encik Lokman juga tersenyum.
“Bagus...kalian boleh jadi rakan sepasukan yang baik. Habis kelas nanti kamu sambung sesi perkenalan ini” ujar Encik Lokman. Eymar mengangguk dan tersenyum. Kemudian mereka meninggalkan Encik Lokman untuk meneruskan kelas pada hari itu.
“Boleh saya duduk di sebelah awak?” tanya Eymar mematikan langkah di situ. Aunie menatapnya. Permintaan itu tidak akan ditunaikan.
“Kitakan dah jadi rakan sepasukan. Memang elok duduk bersebelahan...mudah nak buat perbincangan. Lagipun kerusi ni memang kosong” ujar Eymar tersengih. Aunie geleng-geleng kepala. Jari telunjuknya bergerak-gerak isyarat permintaan itu ditolak.
“Sebagai seorang kakak... saya arahkan awak duduk diam-diam di tempat awak. Jangan memanjang tidur. Sakit mata saya tengok” ujar Aunie dibalas dengan sengihan Eymar.
“Boleh tak saya duduk di sebelah awak?” tanya Eymar lagi.
“Tak boleh...” tegas Aunie tidak memberi keizinan.
“Eymar... awak duduklah di sebelah saya kalau bosan bersendirian di belakang tu” Era mencelah. Tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama pemuda itu. Hasrat hatinya belum terkabul lagi.
“Awak boleh duduk di sebelah Era” saran Aunie sambil menunding jari ke arah Era yang sedang tersenyum-senyum. Suka hatinya mendengar cadangan itu. Eymer tersenyum. Dia melangkah ke tempat duduknya. Lantas mencapai beg lalu melangkah ke arah Era. Bermula hari ini di situlah dia akan duduk sebaris dengan kedudukan meja Aunie yang hanya dipisahkan oleh dua buah meja. Era masih tersenyum-senyum ceria menyambut kedatangan Eymar. Pasti dia rasa seronok kerana Eymar sudah berada di sebelahnya.
Kelas toturial Encik Lokman sudah tamat. Aunie mula mengemaskan buku catatan dan menyimpan pen di dalam beg pensel. Kemudian meletakkan semua itu ke dalam beg galasnya. Dipandang jam. Masih awal. Petang nanti baru ada kuliah. Balik atau terus berada di kampus? Dia membuat perkiraan. Akhirnya dia memutuskan untuk berkunjung ke perpustakaan sahaja. Mahu merujuk contoh-contoh kajian kes yang pernah dilaksanakan oleh senior-senior. Banyak jurnal hasil kajian terdahulu disimpan di situ. Selalunya hasil tugasan yang terbaik akan dijadikan rujukan pelajar. Teringat pada rakan sepasukan, Aunie berpaling ke arah Eymar. Pandangan mereka bersatu. Ternyata pemuda ini sedang memerhatikan gelagatnya dari tadi. Eymar tersenyum.
“Bila nak mulakan perbincangan?” Eymar lebih awal bersuara. Aunie diam dan berfikir. Perlukah dia mengajak pemuda ini ke perpustakaan bersamanya? Bimbang pula Eymar akan mengganggu fokus pencarian maklumat yang hendak dilakukan selepas ini.
“Kemudian saya beritahu awak” ujar Aunie setelah berdiam seketika. Lantas bangkit dari duduknya dan memulakan langkah ke muka pintu. Terkebil-kebil Eymar yang ditinggalkan sedemikian. Era terlopong.
“Saya nak nombor telefon awak” pinta Eymar separuh melaung. Namun Aunie melewati pintu kelas tanpa menghiraukan permintaan Eymar. Kelibatnya hilang dari pandangan.
“Ugh...” Eymar melepaskan keluhan.
“Hish... sombongnya dia” komen Era yang masih setia menemani pemuda ini. Dia  tidak berganjak dari situ biarpun kelas Encik Lokman sudah berakhir. Eymar tersenyum.
“Saya suka” balas Eymar bangun lalu menyandang beg di belakangnya.
“Ahh...” Terlopong Era mendengar jawapan pemuda itu. Kemudian mencebik bibir pula. Jawapan yang tidak menyenangkannya. Terbukti Eymar tidak kisah dengan kedinginan Aunie.
“Awak tahu nombor telefon Aunie?” tanya Eymar. Laju Era menggeleng.
“Buat apa saya nak simpan nombornya” jawab Era dengan wajah kelat. Tidak suka melihat Eymar bersungguh-sungguh mahu mendapatkan nombor telefon gadis itu.
“Awak nak nombor telefon saya? Saya boleh beri awak” ujar Era menawarkan diri dengan sengihan. Eymar hanya tersenyum. Kemudian memulakan langkah beredar meninggalkan kelas.
“Hey... hey... tunggulah saya” Era terkocoh-kocoh bangun mahu mengejar langkah pemuda itu.
“Tak payahlah awak beriya-iya nak dekatinya. Dia hanya suka Aunielah” laung Farid rakan sekelas. Era berpaling. Jelingan tajamnya singgah di wajah pemuda itu.
“Awak tak nampakkah dia suka Aunie” tambah Farid cuba menyedarkannya. Era mendengus kasar. Mencerlung matanya menatap pemuda itu. Kemudian dia berlari anak ke muka pintu, mahu mengejar langkah Eymar yang kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi. Farid hanya geleng-geleng kepala.
“Awak cari nahas sendiri... Era” keluhnya. Tidak mampu menghalang Era memburu pemuda itu. Gadis itu akan berusaha mendapatkan perhatian Eymar. Sudah nampak hala tujunya hendak mendampingi pemuda itu.
“Biarlah dia...” ujar Kamal tersengih. Memang sudah kenal dengan sikap Era yang suka memburu lelaki tampan.
“Saya kasihan tengok dia jadi macam itu...” keluh Farid kesal.
“Atau hati awak sakit tengok Era suka lelaki lain?” teka Kamal masih tersengih. Cuba menguji sahabatnya ini. Farid menatapnya.
“Jangan mengarutlah. Era itu rakan sekelas saya sejak sekolah rendah lagi. Saya sekadar mahu menasihatinya. Tak tahan juga saya tengok dia terhegeh-hegeh pada Eymar. Macam perigi mencari timba pula lagaknya. Sakit mata saya ini tengok tahu” Farid bersungguh-sungguh meluahkan perkara yang tersirat di hatinya. Kamal tergelak.
“Membesar bersama pasti banyak kenangan manis yang telah terukir. Menariknya...” Kamal sudah membayangkan sesuatu. Masih mahu mengusik Farid yang sedang meradang ketika ini. Kamal persis merasakan bahawa sahabatnya ini menyimpan perasaan kepada gadis itu. Hatinya tergerak mahu membantu Farid mendapatkan Era. Tidak mahu gadis itu terlepas ke tangan Eymar. Bimbang Farid akan kecewa.
“Hey... tunggulah...!” laung Kamal tatkala menyedari Farid sudah melewati ambang pintu. Laju langkahnya mengejar Farid.
“Sudah habis angan-angan awak tadi?”perli Farid. Kamal tersengih. Mereka melewati kafeteria. Langkah mereka terhenti di situ seketika. Pandangan Farid dan Kamal terarah kepada Eymar dan Era yang sedang minum bersama di kafeteria itu. Terpamer wajah ceria Era yang sentiasa tersenyum. Nampak bahagia dirinya berada di sisi pemuda itu. Farid menyambung langkahnya kembali diikuti oleh Kamal yang masih setia menemani.
Aunie menatap cetakan beberapa helai kertas A4 di tangannya. Dibaca dan disemak sekali imbas lalu diletak di tepi. Dia tersenyum puas. Borang soal selidik sudah siap dan menunggu masa sahaja untuk dikemukakan kepada responden. Lantas mengingatkannya kepada pemuda itu. Dia mula membuat perkiraan. Tempoh tiga minggu hendak menyiapkan tugasan ini terasa begitu singkat. Dia tidak boleh melengahkan masa lagi.
“Sudah siap?” Aunie tersentak. Puan Aisyah Adiba sudah melangkah masuk ke bilik pejabatnya ini. Aunie mempamer senyuman lebar. Petanda baik.
“Terima kasih mama sebab pinjamkan printer ini” ujar Aunie. Lega. Puan Aisyah Adiba melontar pandangan pada kertas di tepi meja ini. Hasil kerja anak gadisnya yang baru sahaja dicetak.
“ ‘Kewujudan Kumpulan Samseng yang Semakin Menular dalam Masyarakat Moden Hari Ini’ ” Ayat ini meniti keluar dari mulut Puan Aisyah Adiba. Besar anak matanya menatap Aunie. Wajahnya serius.
“Ini tajuk kajian kes kamu?” tanya Puan Aisyah Adiba meminta kepastian. Risau. Aunie mengangguk.
“Kamu nak turun lapangan nak cari maklumat kumpulan samseng ini? Mama tak benarkan” putus Puan Aisyah Adiba bimbang tentang keselamatan anak gadisnya ini.
“Kamu tukar tajuk kajian kamu ini. Banyak lagi masalah sosial yang berlaku di sekitar kita ini” saran Puan Aisyah Adiba tidak bersetuju dengan kajian yang dirancang oleh Aunie.
“Mama... bertenang. Skop kajian kes yang Adik rancang ini pasti hebat kalau dapat dilaksanakan dengan jayanya. Jarang sekali dan mungkin tak pernah pelajar lain buat pun kajian sebegini. Jadi Adik teruja nak membongkar permasalahan ini” suara Aunie lembut menenangkan mamanya. Dibalas dengan keluhan berat Puan Aisyah Adiba.
“Mestilah orang lain tak nak buat sebab bahaya. Mana ada orang nak tempah maut sendiri” sahut Puan Aisyah Adiba serius. Aunie tersenyum. Tenang sahaja dirinya.
“Ada. Pihak polis sanggup gadai nyawa nak tangkap penjenayah demi kesejahteraan hidup rakyat. Begitu juga perajurit-perajurit kita yang bertugas di udara, di laut dan di darat sanggup berkorban nyawa demi keselamatan rakyat dan keamanan negara. Para wartawan juga membahayakan diri untuk memperoleh berita-berita sensasi. Mereka berada di medan pertempuran negara yang bergolak, mereka ikut sama mengejar penjenayah malah turut menyamar sebagai sebahagian daripada mereka yang melanggar undang-undang” jelas Aunie.
“Masalahnya... kamu bukan sebahagian daripada mereka. Kamu nak jadi wartawankah?” Besar anak mata Puan Aisyah Adiba menatap Aunie. Geram. Tidak memandang perkara ini sesuatu yang serius. Aunie tergelak. Mustahil pula pelajar seni bina sepertinya tiba-tiba hendak jadi wartawan pula. Tidak pernah dia terfikir sedemikian. Mujur juga mamanya tidak mengatakan dirinya mahu jadi polis atau askar. Sungguh jauh terpesong daripada perancangan masa depannya.
“Mama... ini kajian kes ini salah satu daripada kertas pengajian universiti yang wajib  diambil oleh semua pelajar tak kiralah dari pengajian seni bina, doktor, jurutera atau peguam sekalipun. Semua wajib ambil” jelas Aunie serius dan mengharapkan pengertian Puan Aisyah Adiba.
“Jikalau macam itu, tukar tajuk kajian kamu” tingkah Puan Aisyah Adiba memberi arahan. Aunie mengetap bibir. Hampa.
“Mamakan tahu... Adik suka perkara yang mencabar. Lagipun bukan Adik buat kajian ini sendirian. Adik ada rakan pasukan yang boleh diharap” ujar Aunie cuba memancing keizinan mamanya. Di matanya sudah terbayang wajah pemuda itu.
“Nanti kami akan sama-sama turun ke lapangan kajian. Mama tak payahlah risau” tambah Aunie menggantung harapan yang tinggi. Kebenaran mamanya sangat diperlukan.
“Kami takkan sampai pergi ke sarang kongsi gelap. Sekadar buat kajian umum sahaja. Rasanya yang jadi samseng ini tak semuanya jahat. Ada sebab tertentu yang mendorong mereka menjadi samseng. Adik teringin nak membongkar kisah-kisah samseng ini” ujar Aunie meluahkan isi hatinya. Puan Aisyah Adiba mengeluh berat. Perkara ini tidak dapat diterima akal logiknya.
“Cara kamu cakap macam kamu sudah kenal mereka. Kamu berkawan dengan kumpulan samsengkah?” tanya Puan Aisyah Adiba curiga. Hatinya dipagut kerisauan. Tidak rela anak gadis tunggalnya ini terpengaruh dengan masalah sosial yang semakin membimbangkan.
“Tak adalah mama” Laju Aunie meningkah. Nama Eymar terlintas di benaknya. Mamanya pernah nampak pemuda itu bersamanya. Dia berharap perkara ini tidak akan diungkit.
“Pemuda yang kamu jumpa di restoran tempoh hari siapa? Mama tak kenal pun dia kalau betul kawan kamu. Penampilannya sangat mengelirukan” ujar Puan Aisyah Adiba sangsi.
“Dialah rakan sepasukan Adik, mama. Pelajar baru... pelajar pertukaran universiti” ujar Aunie mereka andaian sendiri. Alasannya memandangkan Eymar muncul pada semester akhir ini. Memang tidak akan dikenali semua siswazah di kampus yang terlalu ramai bilangannya. Mungkin sebenarnya Eymar sudah lama wujud dalam kalangan beribu-ribu siswazah tersebut namun mereka tidak pernah bersua muka. Dia tidak menyedari kewujudan pemuda itu.
“Rakan sepasukan boleh menjamin keselamatan Adik. Percayalah mama” pujuk Aunie separuh merayu. Suara Eymar yang berjanji akan melindungi dan menjaganya terngiang-ngiang di telinga. Pelik tatkala pemuda yang tidak dikenali bersungguh-sungguh mahu melindunginya. Mungkin diutuskan Allah untuk menjadi pelindungnya. Aunie geleng-geleng kepala sendirian. Tidak mengharapkan perkara yang terlintas di benaknya menjadi kenyataan.
“Apapun mama memang tak benarkan kamu buat kajian ini. Kamu bincang dengan rakan sepasukan kamu tukar kajian lapangan yang lain” putus Puan Aisyah Adiba nekad. Tampak dia tidak akan bertolak-ansur dalam hal ini. Aunie melepaskan keluhan kecil. Sukar hendak meraih kepercayaan mamanya.
“Mama juga nak jumpa pemuda itu. Sangat perlu mama mengenali rakan sepasukan kamu” tegas Puan Aisyah Adiba lantas melangkah ke muka pintu meninggalkan Aunie bersendiran di bilik pejabat ini. Aunie melepaskan keluhan lagi. Lantas memanggung kepala di atas meja itu. Persis orang yang sudah berputus-asa. Direnung kertas soal selidik itu.
Kesanggupannya menjadi rakan sepasukan Eymar kerana keinginan mahu mengkaji kumpulan samseng di sekitar bandar ini. Isu sosial yang sangat menarik untuk dikupas lebih mendalam. Pasti cerita menarik yang mahu didedahkan kepada generasi baru jikalau kajian ini terpilih dijadikan rujukan di perpustakaan. Ketika menatap kajian-kajian yang lalu di rak perpustakaan timbul keinginannya mahu menghasilkan tugasan yang terbaik.
Aunie juga berangan-angan mahu meletakkan hasil kajian yang dilakukannya berada di dalam rak itu. Dia akan berbangga jikalau isu yang dikajinya akan menjadi kajian pertama. Pasti teruja menatap pelajar-pelajar lain menjadikan hasil kajiannya sebagai sumber rujukan. Dicapai kertas itu lantas dia bangun dan mengatur langkah ke pintu. Dia tidak mahu begitu mudah melepaskan angan-angannya tanpa berusaha meraih kepercayaan mamanya.
“Kak Ros... kalau mama cari saya... katakan saya ke Plaza Queen sekejap. Nak cari barang” ujarnya meninggalkan pesan sebelum keluar dari Butik Selendang Kasih. Kak Ros mengangguk. Aunie menyeberangi jalan raya yang memisahkan Plaza Queen dengan Butik Selendang Kasih. Laju langkah diatur memasuki bangunan itu dengan agenda yang mahu dilaksanakannya. Dia mahu bertemu dengan pemuda itu.
Hampir sejam sudah Aunie berlegar-legar di bangunan itu. Kali ini dia berharap akan terserempak dengan pemuda itu. Perkara ini bukan seperti yang selalu diharapkannya. Letih menjejaki pemuda itu, Aunie melabuhkan duduk di bangku kayu itu. Dia memerhatikan manusia yang lalu-lalang. Hari ini Eymar tidak muncul di situ. Aunie melepaskan keluhan. Rasa menyesal pula kerana tidak bertukar-tukar nombor telefon dengan pemuda itu.
Aunie disentakkan dengan deringan iPhone. Laju tangannya mengeluarkan iPhone dari saku beg galas. Dipandang nama pemanggil yang tertera di skrin iPhone itu.
“Assalamualaikum... mama. Ya... Adik masih di Plaza Queen ini...” jelas Aunie lemah.
“Datang ke sini sekarang” arah Puan Aisyah Adiba. Tegas.
“Okey... Assalamualaikum” sahut Aunie patuh. Dia bangkit dari bangku kayu itu dengan perasaan kecewa. Langkah longlai diatur keluar dari bangunan itu. Punah harapannya hendak menemui Eymar tika ini. Pada saat pertemuan itu diharapkan pemuda itu pula tidak muncul-muncul.
Di ambang pintu Butik Selendang Kasih, Puan Aisyah Adiba sedang tercengat menanti kedatangan anak gadisnya. Aunie melepaskan keluhan kecil. Mula terasa dirinya diawasi gara-gara kajian kes yang mahu dilaksanakan itu.
“Berehat di sini. Sekejap lagi kita balik sama-sama” ujar Puan Aisyah Adiba serius. Terkebil-kebil Aunie menatap mamanya. Datang ke butik secara berasingan. Balik pula satu kereta. Perkara yang tidak pernah dilakukan.
“Ngah akan bawa balik kereta kamu” tambah Puan Aisyah Adiba menambah kebinggungan Aunie. Pandangannya bersatu dengan mamanya.
“Kamu faham?” Puan Aisyah Adiba bersuara lagi. Perlahan-lahan Aunie mengangguk.
“Bagus...” ujar Puan Aisyah Adiba berpuas hati lantas mengatur langkah ke pejabatnya. Aunie menggaru-garu kepala yang dilitupi hijab sambil melontar pandangan ke arah Kak Ros. Perempuan itu hanya menjengket bahu, tidak mengerti dengan perubahan sikap Puan Aisyah Adiba hari ini.

Wednesday, 23 March 2016

NamaKu Bukan Flora....82


BAB 82

Sorry... saya terpaksa tinggalkan Idlan dengan awak” tutur Haqem serba salah. Aku senyum. Teruja bertemu dengan Idlan setelah lama tidak jumpa.
“Saya faham...” ujarku lalu merendahkan tubuh separas tinggi Idlan. Lantas kucubit kedua-dua belah pipi Idlan yang nampak kian berisi.
“Gembira jumpa kamu. Rindu tak dengan auntie?” tanyaku manja.
“Rindu sangat...” sahut Idlan dengan comelnya. Lantas aku dengan Idlan berpelukan. Haqem tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Kemesraan yang terjalin sejak sekian lama.
“Tak payah risau. Awak pergilah sekarang” arahku tatkala iPhone Haqem berdering lagi. Namun tidak sempat diangkat oleh Haqem. Pasti Datin Sofea tidak sabar-sabar hendak bertemu dengan Haqem.
“Terima kasih, Lia” Aku mengangguk. Tahu Haqem tiada pilihan sekarang. Sepatutnya tiada halangan hendak membawa Idlan bertemu dengan Datin Sofea. Namun selalunya perkara yang berlaku di luar kehendak hati. Datin Sofea belum dapat menerima Idlan sebagai cucunya.   
“Jangan nakal-nakal tau. Nanti papa datang ambil kamu” pesan Haqem sebelum beredar pergi. Idlan mengangguk berjanji.
“Selamat jalan papa. Bye...” Haqem dan Idlan saling bertukar lambaian tangan.
“Mari kita pergi...” ajakku sambil memimpin tangan Idlan mengajaknya ke bilik operasi. Idlan mengangguk dan tersenyum lagi. Tidak sedih ditinggalkan Haqem bersamaku.
“Wah...!” Idlan terpegun menatap deretan jambangan bunga tatkala melangkah masuk ke dalam bilik ini. Persis dia berada di kedai bunga sekarang. Ada pelbagai pilihan bunga mawar segar.
Auntie nak buka kedai bunga” ujarku bergurau. Idlan tersenyum. Matanya masih menatap jambangan bunga yang tersusun di tepi dinding. Sudah tiada tempat yang sesuai hendak menyimpan bunga-bunga ini. Aqel sangat bermurah hati menghantar jambangan bunga mawar segar pada setiap hari. Sekarang aku sudah ada koleksi pelbagai warna bunga mawar segar. Perkara yang tidak pernah berlaku dalam hidupku. Bersungguh-sungguh Aqel mahu memikat hatiku. Aku keliru. Ada perkara yang belum jelas.
“Nak duduk di mana? Di sofa ini atau di kerusi itu?” tanyaku menunding jari ke arah kerusi itu, meminta Idlan membuat pilihan demi keselesaannya. Pertemuaan Haqem dengan Datin Sofea pasti mengambil masa yang panjang.
“Duduk di sini saja. Mama boleh buat kerja mama. Saya pun nak siapkan kerja yang cikgu beri di sekolah tadi” ujar Idlan memutuskan mahu duduk di sofa ini.
“Bagusnya budak ini” pujiku. Aku mengusap-usap kepala Idlan. Dia tersenyum lebar.
“Kenapa papa tak bawa saya jumpa nenek?” tanya Idlan. Aku terdiam seketika.
“Papa sangat sayang pada Idlan. Dia tak mahu kamu bersedih” jelasku memujuk Idlan. Kuusap-usap kepala Idlan lagi. Datin Sofea belum bersedia menerima kehadiran Idlan. Semoga Idlan mengerti.
“Saya faham...” ujarnya dan kembali tersenyum. Aku menarik nafas lega. Idlan anak kecil yang matang melebihi usianya. Hatinya cekal. Ketabahannya luar biasa. Perjalanan hidupnya tidak seperti kanak-kanak yang lain. Dia melalui dugaan hidup yang sungguh berat. Aku kagum si kecil ini mampu melaluinya dengan tabah. Sesungguhnya Allah itu maha mengasihinya.
“Tak payah sedihlah. Kamu masih berpeluang bermanja dengan nenek. Insya-Allah peluang itu akan tiba” ujarku memberi harapan kepada Idlan. Idlan mengangguk dan tersenyum.
“Betul...betul...betul...” ujar Idlan meniru lagak si kembar Upin dan Ipin. Ketawaku dengan Idlan bersatu. Wajah Idlan kembali ceria.
“Kalau kamu nakkan apa-apa cakap saja pada auntie. Sekarang auntie nak buat kerja” ujarku. Idlan mengangguk. Dia mula mengeluarkan buku dan peralatan tulis dari beg sekolahnya. Aku kembali ke tempat dudukku mahu menyambung kerja semula. Senyap. Persis aku sedang bersendirian di sini. Kulontar pandangan pada Idlan yang nampak tekun menyiapkan kerja sekolahnya. Tidak merungut-rungut. Jelas bersungguh-sungguh. Kualih pandangan pada fail di depanku. Ada yang memerlukan tandatangan Aqel. Selesai Idlan menyiapkan kerja sekolahnya aku boleh mengajaknya berkunjung ke pejabat Aqel. Kutinggalkan bahagian yang perlu ditandatangani Aqel setelah semua disemak. Tiada yang silap. Semua maklumat perlu diteliti betul-betul sebelum menghadap Aqel.
“Assalamualaikum...” sapa suara lelaki memberi salam. Serentak aku dan Idlan berpaling ke pintu. Panjang umur Aqel. Baru sahaja bercadang hendak menemuinya sekarang dia sudah muncul di depan mata. Aqel tersenyum lebar melangkah masuk sambil membawa jambangan bunga mawar putih.
“Oh...kekasih hati pengarang jantung awak ada di sini!” tegur Aqel berbaur nada cemburu. Namun dia teruja menatap Idlan. Idlan senyum lantas menyalami tangan Aqel. Mesra.
“Apa khabar Uncle Aqel?” tanyanya sopan-santun. Aqel senyum.
“Baik...” Tangan Aqel mengusap kepala Idlan. Aku hanya memerhatikan gelagat kedua-duanya. Sudah lama saling mengenali. Idlan pun tidak segan-segan lagi pada Aqel. Kubiarkan Aqel meluangkan masa bersama Idlan. Aku kembali fokus pada kerjaku.
Uncle yang beri mama semua bunga ini?” tanya Idlan separuh berbisik sambil menatap jambangan mawar putih yang baru sahaja Aqel letak di atas meja. Kemudian dia menatap bunga-bunga yang disusun di tepi dinding itu. Aqel mempamer senyuman lebar sambil mengangkat-angkat kening. Bangga.
“Kamu tak boleh nak lawan uncle” Aqel mendabik dada.
“Ini tak adil” keluh Idlan lalu mengetap bibir. Geram. Aqel tergelak.
“Apa yang tak adilnya?” tanya Aqel tidak mengerti.
“Saya mana ada duit nak beli bunga banyak-banyak macam uncle” keluh Idlan kecewa. Aqel tergelak lagi. Semakin seronok hendak menyakat Idlan.
“Perempuankan suka bunga” Idlan mengeluh lagi. Dia membayangkan tindakan pemuda ini telah berjaya memikat gadis itu.
“Betul ke?” tanya Aqel teruja. Idlan mengangguk-angguk. Tidak puas hati pesaing telah bertindak jauh meninggalkannya.
“Biar uncle tengok apa yang kamu tulis ni” pinta Aqel.
“Dah siap pun...” ujar Idlan megah. Aqel mengambil buku itu dari Idlan. Lalu berlagak seorang guru memeriksanya.
“Tengok ni...ejaan tak betul” tegur Aqel.
“Mana ...eh... bukan huruf s...h...ke?” tanya Idlan sangsi. Aqel menggeleng.
“Bukan...s...y...syarikat...” tegur Aqel membetulkan. Idlan garu-garu kepala. Dipadamkan kesalahan itu. Pembetulan segera dibuat.
“Itulah kamu tinggal lama-lama di luar negara. Kurang pula baca buku Bahasa Melayu” omel Aqel meletari Idlan. Idlan menarik muka masam. Aku tersenyum sendiri memerhatikan gelagat mereka. Memang nampak serasi. Aqel bakal menjadi ayah mithali.
Uncle tinggal lama-lama di luar negara tapi tak pernah salah tulis. Bahasa Melayu uncle yang terbaik” ujar Aqel bermegah diri. Aku mencebik. Aqel tidak sudah-sudah berbangga dengan dirinya. Dia sentiasa sedar tentang kehebatan dirinya.
“Tak sudah-sudah angkat bakul sendiri” cemuhku mencelah perbualan mereka. Aqel tergelak. Dahi Idlan berkerut. Tidak faham makna peribahasa itu.
“Angkat bakul sendiri... nak bawa pergi mana?” tanya Idlan terkebil-kebil menatapku. Aku dan Aqel tergelak. Lucu.
“Parah betul anak orang puteh celup ni” kutuk Aqel. Idlan tersengih. Tidak ambil hati dengan perlian Aqel. Dia perlukan masa hendak menguasai bahasa ibunda dengan baik.
“Saya tahulah... masuk bakul angkat sendiri. Orang yang suka memuji diri sendiri macam Uncle Aqel” ujar Idlan membuat kejutan. Aqel terlopong. Aku tergelak besar. Padan muka Aqel sudah terkena tembakan Idlan. Suka sangat memperkecilkan kebolehan orang lain.
“Tadi kata tak tahu” rungut Aqel terasa dirinya telah dipermainkan oleh budak kecil ini. Idlan tersengih-sengih.
“Saja nak kenakan uncle” ujar Idlan nakal. Bingkas Aqel bangun. Lantas memaut tubuh Idlan lalu menjatuhkannya ke sofa panjang itu. Aqel terus menggeletek tubuh Idlan membuatkan budak ini menjerit-jerit geli sambil meronta-ronta cuba melepaskan diri. Tidak tahan dirinya diperlakukan sedemikian.
“Ampun...ampun uncle... Janji tak buat lagi” rayu Idlan tidak berdaya. Sudah tidak tertahan dengan geletakan tangan Aqel. Aqel tidak mengendahkan rayuan itu. Suara Idlan terjerit-jerit  berpadu dengan gelak tawa Aqel memenuhi bilik ini. Pasti bunyi gelak tawa Idlan dan Aqel ini kedengaran di luar. Namun aku tidak bimbang kerana Aqel bersamaku sekarang. Seorang yang berkuasa di Syarikat KDUT ini.
“Mama...tolong saya” rayu Idlan meminta bantuan.
“Kamu tak boleh panggil isteri uncle mama” tegah Aqel.
“Nak panggil mama juga. Mama...! Mama...! Mama...!” ujar Idlan berdegil. Larangan Aqel tidak dipedulikan. Semakin galak Aqel menggeletek Idlan.
“Mama...tolong saya...!” jerit Idlan dalam tawa. Masih cuba melepaskan diri daripada pautan tangan Aqel.
“”Sudahlah tu... Bising... Saya tak boleh buat kerja” Aku bangkit dari kerusi lalu melangkah mendekati mereka. Barulah Aqel melepaskan Idlan. Idlan terus sahaja bangkit dan melarikan diri dari Aqel. Sekarang duduk jauh-jauh dari Aqel dengan sisa-sisa tawanya. Seronok bergurau dengan Aqel. Tangan Aqel giat merapikan diri. Dia menyelak rambut depan yang terjuntai ke tepi. Aku terpaku memerhatikannya.
“Tampankan saya” suara Aqel mengejutkan aku.
“Jangan nak perasanlah” tingkahku cuba melindung rasa malu setelah tingkahlakuku disedari oleh Aqel. Aqel tersengih.
“Terus-terang sajalah yang awak dah terpikat pada ketampanan saya” gesa Aqel tidak mengalah. Aku mencebik. Langsung tidak boleh dipandang dirinya.
“Awak memang suka angkat bakul sendiri” kutukku. Kedengaran gelak Idlan menyambut kutukanku. Aqel tersengih panjang. Seiras wajah aktor Korea yang dipuja ramai di serata dunia menyebabkan sukar hendak ditandingi ketampanan Aqel.
“Awak tolong tandatangan” pintaku sambil membuka helaian kertas ini. Aku menunggu Aqel menandatangani semua bahagian yang memerlukan pengesahannya. Idlan tersandar keletihan di kerusi itu selepas puas digeletek Aqel.
“Okey...siap” ujar Aqel. Aku meneliti kembali setiap helaian kertas itu. Bimbang ada bahagian yang perlukan tandatangan Aqel tetapi terlepas pandang. Mujur tiada yang tercicir.
“Terima kasih” ujarku lantas bangun dan kembali ke tempat dudukku semula. Lega. Satu tugas hari ini telah selesai.
“Nak buat apa sekarang?” tanya Aqel sambil menatapku. Kemudian mengalih pandangan ke arah Idlan. Buntu.
“Awak takde kerja nak buat?” tanyaku hairan. Tidak percaya Aqel ada masa lapang yang panjang. Setahuku Aqellah orang yang paling sibuk di syarikat ini. Jarang tengok Aqel bersenang-lenang seperti sekarang. Hidupnya dipenuhi kerja.
“Banyak...” keluhnya bosan.
“Tapi saya tak nak buat kerjalah sekarang” putus Aqel sewenangnya. Tercengang-cengang aku menatap Aqel. Tidak pernah Aqel berhenti menyiapkan kerjanya.
“Dahagalah... Marilah kita minum” ajak Aqel sambil menatapku. Aku diam. Aqel mengalih pandangan ke arah Idlan.
“Kamu dahaga tak?” tanyanya. Idlan mengangguk. Mestilah dia dahaga selepas terjerit-jerit lama tadi. Sudah kering tekaknya kerana banyak menjerit.
“Nak minum minuman sejuk?” tanya Aqel dengan ekspresi menggoda. Idlan mengangguk lagi. Aqel senyum. Dia berjaya mengajak Idlan.
My Lady... Idlan dahaga ni. Marilah kita minum” ajak Aqel.
“Marilah mama” rayu Idlan agar aku menyertai mereka. Memang aku tidak tega menolak permintaan Idlan. Aku mengangguk buat Aqel dan Idlan tersenyum. Mereka berjaya memujuk aku menyertai mereka. Idlan mendekati Aqel. Lalu Aqel memaut tangannya dan menunggu kedatanganku. Aku bangun. Kucapai beg di atas meja lantas melangkah ke arah Aqel Idlan. Aqel dan Idlan melangkah berpimpinan tangan. Aku mengekori mereka sambil tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Nampak comel.
“Coklat ais ini untuk kamu, jus epal hijau untuk mama dan jus oren ini untuk papa” ujar Aqel sambil menghidangkan minuman yang baru sahaja dipesan di kaunter tadi. Serentak aku dan Idlan menatap Aqel. Aqel tersengih.
“Kalau isteri uncle kamu panggil mama, jadi kamu mesti panggil uncle papa” pinta Aqel. Aku terlopong menatap Aqel. Sesuka hati sahaja dia membuat permintaan. Idlan garu-garu kepala yang tidak gatal. Aqel sedang membuat permintaan kepadanya.
“Jadi saya ada dua orang papalah sekarang?” tanya Idlan bingung. Aqel mengangguk.
“Ya... tak lama lagi kamu juga ada dua orang mama” tambah Aqel buat Idlan tergamam. Kemudian dia tergelak suka.
“Sungguh Maha Pengasih Allah. Dia ambil seorang, kemudian Dia beri dua orang pula” ujar Idlan buat aku dan Aqel terdiam. Sayu dan pilu aku mendengar kata-kata Idlan. Tangan Aqel mengusap-usap kepala Idlan. Simpati kepada Idlan yang kehilangan seluruh keluarga pada usia kanak-kanak. Sungguh berat dugaan hidup si kecil ini. Mujur juga dia ada Haqem yang sungguh menyayanginya. Haqemlah yang berperanan menjadi ibu bapanya sekarang.
“Kita minum sekarang” suara Aqel memecah keheningan ini. Idlan tersenyum lalu laju menyedut coklat ais yang dipesan oleh Aqel. Aku dan Aqel juga tidak ketinggalan merasa jus yang telah dipesan tadi.
Uncle Aqel ... boleh tak kalau uncle serahkan saja mama pada Idlan dan papa” pinta Idlan buat Aqel tersedak. Aku tergamam.
“Tak kisahkan...Ramai yang suka uncle. Dari tadi saya tengok ramai kakak yang asyik pandang uncle” jelas Idlan sambil melirik ke arah pekerja-pekerja perempuan di kafe ini. Mereka kebetulan sedang menghala pandangan ke sini. Fokus mata mereka tearah kepada Aqel.
“Mestilah ramai yang suka tengok uncle sebab handsome” ujar Aqel megah. Aqel sekadar berjenaka. Tidak mahu memandang serius permintaan budak ini. Hakikatnya wajah seiras Seo Ing Guk ini memang sentiasa menjadi perhatian di mana-mana sahaja. Aqel sudah terbiasa dengan situasi sedemikian.
“Papa Idlan pun handsome juga” pujiku. Sengal sudah mendengar Aqel berbangga dengan wajahnya. Persis dirinya seorang sahaja yang dicipta dengan sempurna.
“Emm...emm...” Aqel berdehem-dehem sambil menjelingku. Tidak suka Haqem dipuji.
“Betul auntie?” tanya Idlan tersenyum. Aku mengangguk. Haqem pun tiada kurangnya. Dia ramai peminat. Malah ada peminat fanatik ketika di universiti dahulu.
“Yelah... papa pun handsome juga” ujar Idlan berbangga dengan Haqem sambil tersenyum lebar. Haqem memang saingan Aqel.
“Papa yang ini lagi handsome” ujar Aqel sambil meletakkan telapak tangan di dada. Cuba mengalih pujian itu kepadanya. Idlan menggeleng-geleng. Aku tergelak.
“Geez...” Aqel menjeling Idlan. Tidak puas hati Idlan tidak mengakui ketampanan dirinya yang dibangga-banggakan selama ini.
“Yang ini isteri saya dan ini anak kami” Tiba-tiba sahaja Aqel bersuara memperkenalkan aku dan Idlan kepada pekerja yang sedang mengelap meja di sebelah kami. Salah seorang yang mencuri pandang ke arah Aqel. Aku terlopong dan terkebil-kebil menatap Aqel yang tersengih. Aqel buang tabiat hari ini.
“Cantik isteri encik. Anak encik pun comel” puji gadis itu. Aqel mengangguk-angguk dan tersenyum bangga. Begitu juga Idlan. Hanya aku sahaja yang berlagak biasa.
“Saya pun handsomekan...” uajr Aqel minta dipuji. Besar anak mataku menatap Aqel. Gadis ini mengangguk dan memandang ke arahku. Laju dia beredar pergi. Bimbang aku akan menyerangnya. Berbakul-bakul pujian ditujukan kepada Aqel pun aku tidak kisah. Kebenaran itu tidak dapat disembunyikan. Aqel memang tampan.
Uncle ni memang suka angkat bakul sendiri” kutuk Idlan. Sudah bosan mendengar Aqel memuji diri. Aku dan Aqel tergelak. Peribahasa popular hari ini. Ditambah dengan pertandingan siapa yang paling tampan.
“Sebenarnya... memang pun uncle handsome. Ini yang buat saya risau ni” ujar Idlan mengakui ketampanan Aqel. Mekar senyuman dan bibir Aqel. Bertambah bangga mendapat pujian Idlan. Akhirnya Aqel dapat mendengar sendiri pengakuan Idlan terhadap ketampanannya.
“Tak payahlah risau. Bila kamu besar nanti lagi handsome kalah Uncle Aqel” ujarku menyenangkan hati Idlan. Aqel mengangguk menyokong bicaraku.
“Saya risau mama akan jatuh cinta pada Uncle Aqel” ujar Idlan buat aku terpana. Aqel tersenyum sambil menatapku.
“Saya tak nak kalah...” ujar Idlan bimbang. Besar anak mataku menatap Aqel. Laju sahaja Aqel menyembunyikan muka berbentangkan telapak tangannya. Gerun mahu bertentang mata denganku.
“Aqel...” jeritku sekuat-kuatnya namun tersimpan di kerongkongku.

################################################ 

“Betulkah awak bertaruh dengan Idlan?” tanyaku meminta kepastian Aqel. Aqel mendiamkan diri sahaja. Nampak dirinya bersalah.
“Tak sangka tindakan awak tak matang dan sanggup bersaing dengan budak kecil” Aku mendengus kasar. Tidak puas hati dengan tindakan Aqel.
“Paling saya tak suka, saya jadi barang pertaruhan” radangku. Aqel garu-garu kepala.
“Nampak sangat awak sengaja mahu mempermainkan saya. Kata-kata awak selama ini tak boleh dipercayai. Semuanya bohong!” bentakku geram. Emosiku bergolak.
“Awak silap menilai saya. Perasaan saya pada awak memang tulus” Baru kedengaran suara Aqel setelah berdiam seketika.
“Awak ingat lagi sebab kesepuluh, mengetahui Cikgu Firdaus jatuh cinta pada awak membuatkan saya tak tenteram. Saya sakit hati melihat awak begitu baik dan mesra dengan cikgu itu. Rasa marah pada Aziq sebab selalu memadankan awak dengan Cikgu Firdaus. Tika itu barulah saya sedar bahawa saya telah jatuh cinta pada awak. Paling menyakitkan apabila saya tak mampu meluahkan perasaan saya pada awak” Lancar Aqel mengulangi ayat yang terkandung dalam sebab terakhir yang membuatkan dia bernikah denganku.
“Saya memang nak tawan hati awak... agar cinta di hati ini berbalas” ujar Aqel serius. Aku melepaskan keluhan. Bijak Aqel bermain kata-kata.
“Awak tak payah risau. Saya akan pujuk Idlan dan senangkan hatinya” janji Aqel. Aku diam. Kulontar pandanganku keluar tingkap. Cuba mengawal perasaan marah ini. 
“Apapun saya kecewa dengan tindakan awak” keluhku lalu melangkah ke pintu meninggalkan Aqel bersendirian di bilik ini. Aku merebahkan tubuh di sofa di ruang tamu ini. Kupandang sekeliling. Sunyi sepi. Hanya aku dan Aqel berada di rumah ini dengan haluan sendiri.
“Betulkah lelaki yang jatuh cinta akan bersikap kebudak-budakan?” Aku berbicara sendiri. Tersenyum sinis mengenang sikap Aqel. Kupejamkan mata rapat-rapat. Mahu mengundang lena. Mahu mengelak bertentang mata dengan Aqel di saat kemarahan masih membara. Cuba mengelak bergaduh dengan Aqel. Akhirnya aku terlena.
Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mataku. Samar-samar aku nampak jarum jam yang panjang dan pendek tepat-tepat menunjuk ke angka 12. Sudah pukul 12 tengah malam. Aku terpaku. Lama aku tertidur di sofa ini.
“Lama saya tunggu awak tadi” suara Aqel mengejutkan aku. Aku mendongak. Aqel duduk di sofa di sebelah ini. Pasti sudah lama dia duduk di situ sambil puas memerhatikan aku tidur nyenyak di sofa ini. Aku tidak berganjak dari perbaringan ini. Aqel pula masih duduk di situ dan tidak mengalih pandangannya dariku.
“Saya bukan bertaruh dengan Idlan tapi sebenarnya bersaing dengan Haqem” suara Aqel memecah keheningan lewat malam ini. Aku tidak teruja jika benar Aqel dan Haqem bersaing hendak memilikiku. Menyelinap perasaan bimbang dalam diri ini. Aku tidak mahu persahabatan mereka berantakan kerana aku. Aku mendiamkan diri. Lebih baik tidak berkata-kata ketika ini.
“Saya dan Haqem ada kelebihan tersendiri dalam persaingan ini” tambah Aqel. Aqel tersenyum sendiri. Tidak menduga kisah cintanya akan terencana sedemikian rupa.
“Haqem ada kelebihan sebab ada Idlan. Namun Idlan mahukan persaingan yang adil. Dia berjanji akan mempastikan Haqem takkan menggunakan dirinya untuk memiliki awak kembali”. Aku mendengar Aqel berbicara.
“Kelebihan yang saya ada, awak ialah isteri saya. Secara logiknya, saya dah menang dalam persaingan ini kerana saya telah memiliki awak. Namun saya tak mahu memiliki awak tanpa cinta awak. Saya mahu awak ada perasaan pada saya. Perasaan cinta seorang kekasih kepada kekasihnya dan cinta seorang isteri kepada suaminya” ujar Aqel serius. Aku memejamkan mata. Aku tidak suka  persaingan ini. Aku benci membuat keputusan yang akan melukai hati orang lain.
“Awak ialah perempuan yang dicintai oleh dua orang lelaki yang bersahabat baik. Mereka mahukan yang terbaik buat awak dan saya tak pernah anggap awak barang taruhan. Saya nak awak hidup bahagia” ujar Aqel. Aku tetap mendiamkan diri.
“Kalau awak lapar ada makanan di atas meja. Pergilah makan. Sila tidur di bilik. Hari ini saya tak bertenaga nak angkat awak ke bilik. Saya nak tidur. Letih sangat hari ini” ujar Aqel. Dalam serius sempat juga dia menyelit jenaka. Aqel bangun dan melangkah meninggalkan aku bersendirian di ruang tamu ini. Lama juga aku terbaring di sini memikirkan bicara Aqel sebentar tadi. Aku tidak sempat menatap wajah Aqel. Namun dari nada suaranya dapat aku rasakan Aqel tidak gembira saat ini.
Bingkas aku bangun dari perbaringanku. Aku ke dapur. Ada makanan di atas meja seperti yang Aqel katakan tadi. Dia makan di luar hari ini kerana aku tidak menyediakan makanan untuknya. Lama aku tidur. Aqel juga tidak mahu mengejutkan aku. Aku melepaskan keluhan. Kasihan Aqel mesti dia lapar tadi. Kupandang makanan yang dibeli Aqel untukku. Tiada selera hendak makan selewat ini. Kubiarkan sahaja makanan di atas meja itu. Aku meninggalkan dapur lalu melangkah longlai ke bilik. Daun pintu kutolak perlahan-lahan. Aku melangkah masuk. Sunyi sepi. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Cepat Aqel tidur. Dia sedang kepenatan.
Aku merebahkan tubuh ke atas tilam empuk ini. Baru teringat pada iPhoneku, bingkas aku bangun. Mungkin mak ada menghubungiku. Kucapai beg galas yang terletak di atas almari solek lalu mengeluarkan iPhone. Lega. Tiada rekod panggilan yang tidak dijawab. Bermakna sepanjang aku tidur tadi tiada sesiapa menghubungiku. Namun ada lima mesej baru yang belum kubaca. Aku kembali berbaring di katil. Laju jariku memaparkan mesej itu. Semua mesej daripada Aqel.
~Maafkan saya sebab buat awak marah. Saya belanja awak makan di luar malam ini sebagai permohonan maaf saya. Awak sudikan~ Mesej pertama Aqel yang dihantar pada pukul 05.30 petang. Ketika ini Aqel bersendirian di bilik. Aku pula sedang berbaring di ruang tamu. iPhone ini tertinggal di bilik dan masih tersimpan di dalam beg galasku.
~Awak tidur lagi? Saya dah sampai di restoran kesukaan awak. Sebelum keluar tadi tak sampai hati nak kejutkan awak~ Mesej kedua dihantar pada pukul 08.35 malam.
~ Bangun...!!! Saya dah pesan semua makanan kegemaran awak. Awak mesti datang. Saya tunggu awak di sini~ Mesej ketiga pada pukul 09.15 malam.
~Makanan kegemaran awak sudah terhidang. Rugi kalau awak tak datang. Datanglah... Saya tunggu awak di sini~ Mesej keempat yang Aqel hantar pada pukul 10. 30 malam. Aqel masih setia menungguku di situ.
~Saya masih tunggu awak~ Mesej terakhir pada pukul 11.00 malam. Bingkas aku bangun dari perbaringan ini. Kulontar pandangan ke arah Aqel yang sedang tidur di sofa. Lebih tiga jam Aqel berada di restoran itu. Lama Aqel menungguku. Patutlah dia keletihan dan tidak bertenaga. Kucapai selimut lantas melangkah ke arah Aqel. Dia sedang tidur nyenyak sambil memeluk tubuh kedinginan. Kurenung wajah Aqel.
“Maafkan saya...Saya terlewat baca mesej awak...” bisikku lalu menebarkan selimut ini ke tubuh Aqel. Lantas duduk di depan Aqel. Kurenung Aqel yang sedang lena. Rasa bersalah  menyebabkan Aqel terlalu lama menungguku. Akhirnya aku tidak muncul di restoran itu. Penantian Aqel sia-sia. Pasti Aqel kecewa. Aku melepaskan keluhan yang panjang. Kesal.

Jeritan kuat jam loceng menyedarkan aku. Aku terduduk. Cepat kumatikan jeritan kuat yang membingitkan itu. Aku menggosok-gosok mataku. Berpinar-pinar pandanganku. Kulontar pandangan ke arah sofa itu. Aku tersentak. Aqel tidak berbaring di situ lagi. Bingkas aku turun dari katil lantas melangkah ke sofa. Selimut itu sudah dilipat kemas. Kupandang memo yang ditampal pada buku yang selalu Aqel baca. Lantas kubaca tulisan tangan Aqel itu.
~Beberapa hari ini saya berada di luar negara. Jaga diri baik-baik~ Aku terpaku membaca memo yang Aqel tinggalkan ini. Aku mengeluh. Hampa. Baru sahaja aku bercadang hendak menyediakan sarapan istimewa untuk Aqel. Mahu menebus penantian Aqel semalam. Namun Aqel tiada di sini. Aku mengatur langkah kembali ke katil. Kurebahkan tubuh ke atas tilam semula. Berhasrat mahu menyambung tidur. Perancangan hari ini terbatal.
Namun mata ini enggan tidur semula. Terkebil-kebil menatap siling sambil memikirkan perjalanan Aqel. Ke manakah destinasi Aqel sedang orang lain masih lena dibuai mimpi. Lama aku berfikir namun aku tidak dapat mengagak arah tuju Aqel hari ini. Lama terbaring aku tetap tidak dapat melelapkan mata. Bingkas aku bangun. Aku melangkah ke dapur tatkala teringat makanan yang Aqel beli semalam. Kebetulan perutku kosong dan mula berkeroncong minta diisi.
Aku menatap tudung saji di atas meja. Hairan. Semalam hanya ada makanan yang Aqel beli masih tersimpan di dalam beg plastik. Mungkin Aqel telah memanaskan makanan tersebut. Seminit kemudian, aku terpandang makanan itu sudah beralih tempat. Sekarang diletakkan di singki. Mungkin telah basi. Usaha Aqel mendapatkan makanan ini bagai tidak dihargai. Tidak mustahil Aqel akan berperasaan demikian. Aku mengeluh. Dua kali mengecewakan Aqel. Kuangkat tudung saji. Aku tergamam. Hidangan sarapan yang Aqel sediakan sebelum berangkat pergi. Masih sempat dia menyediakan sarapan istimewa untukku. Sebak dan terharu menyerbu perasaan.

“Maaf...sebab buat awak tertunggu-tunggu. Maaf... sebab tak datang temankan awak makan. Maaf... sebab tak makan makanan yang awak beli semalam. Terima kasih... sebab sediakan sarapan sedap untuk saya” ujarku berbicara sendiri. Alangkah baik kalau Aqel dapat mendengarkannya.