Bab 3
“Tunggu di sini,
mama nak jumpa Madam Rossel sekejap”
perintah Puan Aisyah Adiba mengarahkan
Aunie duduk di kerusi di situ. Dia mengangguk tanda patuh pada perintah
mamanya. Lantas melabuhkan duduk di kerusi antik restoran mewah ini. Hidangan
tengah hari bakal dinikmati di sini atas belas ihsan mamanya. Dari situ dia
memerhatikan gelagat Puan Aisyah Adiba dengan Madam Rossel. Rancak sahaja mereka berbual-bual. Aunie menyanyi-nyanyi
kecil sementara menunggu kedatangan mamanya.
Sudah tidak tahu perkara yang patut dilakukan saat ini. Duduk bersendirian
tiada siapa yang boleh diajak berbual.
Dipandang Puan
Aisyah Adiba dan Madam Rossel. Mereka
masih rancak berbual-bual. Ternyata banyak perkara yang harus diperkatakan.
Mula terasa bosan bersendirian di sini. Dilontar pandangan keluar menembusi dinding
kaca ini. Tidak diduga dia akan nampak pemuda itu setelah beberapa hari
kelibatnya tidak kelihatan. Pemuda itu bersendirian. Kebiasaannya dia akan ditemani
oleh kawan-kawannya. Aunie begitu berminat memerhatikan gerak lakunya. Pemuda
itu berlegar-legar di luar sana bagai hilang arah haluan. Tidak tahu ke mana
hendak dituju. Mungkin juga dia sedang kebosanan menanti seseorang persis
dirinya saat ini. Mereka senasib. Itu yang dirasakan oleh Aunie tika ini.
Penantian yang begitu menyeksakan.
Aunie berpaling ke
arah mamanya dan Madam Rossel lagi. Perbualan mereka belum sampai ke noktah. Perbualan rancak
yang telah menangguhkan waktu makan tengah hari ini. Sekumpulan lelaki yang
melintas di depan ini menarik perhatian Aunie. Diamati wajah-wajah lelaki
sasa yang semua berpakaian hitam ini. Lagak mereka persis kumpulan samseng Gagak Hitam dalam filem P.Ramlee. Aunie terkedu tatkala menatap wajah lelaki yang terakhir melintas di depannya
tika ini. Begitu segar ingatannya pada wajah yang tampak lebih garang itu.
Lelaki itulah yang mengejar pemuda itu tempoh hari. Pemuda itu dengan
sekumpulan lelaki itu bermusuhan. Dia melontar pandangan keluar semula. Pemuda
itu masih berlegar-legar di luar sana. Aunie masih terpaku di kerusi
ini. Tidak mahu mencampuri urusan mereka. Mereka bukan calang-calang orang.
Bermusuhan dengan kaki samseng bakal mengundang masalah. Hidup tidak akan
tenteram. Aunie ambil pendekatan tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku
nanti. Tidak mahu ambil sebarang risiko.
Patutkah dia hanya berdiam diri di situ sahaja? Mematungkan diri melihat pemuda itu dibelasah
teruk oleh sekumpulan samseng itu. Tegakah dia hanya jadi pemerhati? Haruskah
dia maklumkan kepada pemuda itu bahawa musuh-musuhnya sedang berlegaran di
sini? Hati Aunie bersoal-jawab sendiri. Benaknya berkecemuk. Dia sedar
keselamatan pemuda itu terancam sekarang. Dialih pandangan ke arah sekumpulan
lelaki tadi. Mereka masih berada di restoran ini. Namun bila-bila masa sahaja
akan keluar meninggalkan restoran ini. Maka tika itulah pertembungan dengan
pemuda itu akan berlaku. Pemuda itu tidak akan mampu menangkis serangan
bertubi-tubi sekumpulan lelaki bertubuh sasa itu. Malah mahu melarikan diripun
pasti sukar. Dia tidak akan mampu melawan dan bertarung tenaga dengan sekumpulan
lelaki sasa itu. Mereka bukan lawannya.
Aunie melepaskan
keluhan berat. Keliru. Kata hatinya bercanggah-canggah. Cuba membuat
pertimbangan. Tiba-tiba lelaki yang dilihat tempoh hari ini bangkit dari kerusi.
Hatinya berdebar-debar. Bingkas Aunie bangkit. Dia berlari anak ke muka pintu
memintas langkah lelaki itu. Cuba menghalang lelaki garang itu mendahului menemui
pemuda itu.
“Kamu nak pergi
mana tu?” suara Puan Aisyah Adiba menahan langkahnya. Aunie berpaling.
Pandangannya dengan Puan Aisyah Adiba bersatu. Dia sudah kesuntukan masa.
Pemuda itu harus disembunyikan daripada pandangan sekumpulan lelaki sasa tadi.
“Mama tunggu di
restoran tadi. Adik ada hal sekejap” ujarnya lantas bergegas ke muka pintu
meninggalkan Puan Aisyah Adiba terkebil-kebil memerhatikannya. Langkahnya laju
menghala ke arah pemuda itu. Ditarik t-shirt
pemuda itu membuatkannya terdorong mengikut langkah Aunie.
“Apa hal ni?” Dia
tersentak. Tidak senang dirinya diperlakukan sedemikian.
“Cepat bersembunyi
kalau awak nak selamat” tutur Aunie memberi amaran keras tanpa sempat memandang
wajah pemuda ini. Tangannya masih menarik t-shirt
pemuda ini. Mereka berselindung di sebalik dinding ini. Sukar hendak dilihat
oleh sekumpulan lelaki tadi.
“Awak...” Pemuda
ini terperanjat tatkala beradu pandangan dengan Aunie. Pertemuan yang tidak
disangka-sangka. Pemuda ini tersenyum. Mempesonakan.
“Huuuussss...”
Aunie meletakkan jari di bibirnya. Syarat meminta pemuda ini berdiam diri tika
ini. Terkebil-kebil pemuda ini menatapnya.
“Musuh awak
berdekatan dengan awak sekarang” jelas Aunie berbisik. Ada senyuman terukir di
bibir pemuda ini. Janggal sungguh Aunie melihat senyuman itu. Keadaan genting
sekarang dia masih bersahaja. Langsung tiada ketakutan yang terpamer pada wajah
pemuda ini. Aunie mengetap bibir menahan geram.
“Awak tak takut?”
soal Aunie bingung. Pemuda ini tersenyum lagi. Aunie mendengus kuat, melontar perasaan tidak puas hati. Terasa
tindakannya ini sia-sia sahaja. Pemuda ini tidak patut diselamatkan. Dia tidak
sepatutnya bersusah-payah menyembunyikan pemuda ini.
“Kalau awak nak
selamat duduk diam-diam di sini” perintah Aunie dengan pandangan yang tajam. Senyuman
masih terukir di bibir pemuda ini. Timbul sakit hati Aunie melihat senyuman ini.
Aunie menjengketkan kaki. Cuba meninjau-ninjau menjejaki kelibat sekumpulan
lelaki tadi. Mereka sudah tidak kelihatan berada di situ.
“Saya dah nak
pergi ni... pandai-pandailah awak jaga diri sendiri” nasihat Aunie. Dia sudah
menunjukkan keperimanusiaannya. Tahulah pemuda ini menjaga diri sendiri.
Ditinggalkan pemuda ini di situ.
“Awak nak ke
mana?” tanya pemuda ini mengekori langkah Aunie.
“Jangan dekat-dekat
dengan saya” tegah Aunie garang.
“Mama saya ada di
dalam tu” tambahnya cuba memberi amaran kepada pemuda ini. Pemuda ini tersenyum lagi.
“Saya nak jumpa
mama awak” sahutnya tidak mengendahkan amaran itu. Besar anak mata Aunie
memandang pemuda itu. Ancaman yang baru sahaja keluar dari mulutnya langsung
tidak berbekas di hati pemuda ini. Sungguh membinggungkan.
“Mama saya tak suka
orang jahat macam awak” Lancar sahaja mulutnya mereka kenyataan tanpa
menghiraukan perasaan pemuda itu. Dia yakin pemuda ini memiliki kekebalan yang
luar biasa. Dalam masa yang sama dia bimbang jikalau pemuda ini mengotakan kata-katanya.
Nampak pemuda ini tidak gentar kepada sesiapa sahaja.
“Kalau macam itu
saya nak jumpa mama awak juga” sahut pemuda ini bersahaja.
“Siapa awak nak
jumpa mama saya? Awak siapa? Saya bukan kawan awak pun” tegas Aunie geram.
Buang masa berbual dengan pemuda ini. Aunie bergegas meninggalkannya. Mamanya
pasti sudah lama menunggu.
“Jangan ekori
saya!” tegas Aunie memandang tajam wajah pemuda itu. Dia tersentak.
“Saya nak berkawan
dengan awak” ujarnya. Aunie menggeleng kepala. Tanda menolak persahabatan yang
dihulurkan oleh pemuda ini.
“Saya tak berkawan
dengan orang jahat” tegas Aunie geram lantas meninggalkan pemuda ini terkebil-kebil.
Pemuda ini hanya mampu memerhatikan langkah Aunie. Barangkali terpukul
mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya. Memang itu niat hati Aunie agar
pemuda itu segera menjauhinya.Terasa lega tatkala pemuda itu tidak mengekorinya
lagi. Puan Aisyah Adiba termanggu-manggu sendirian menyambut kedatangan anak
gadisnya. Kesangsian menyerpa hati. Aunie berperangai pelik sebentar tadi.
Bimbang ada perkara tidak elok disembunyikan daripada pengetahuannya.
“Siapa pemuda
itu?” tanya Puan Aisyah Adiba. Belum sempat Aunie hendak melabuhkan duduk, mamanya
sudah mengajukan pertanyaan. Dia menggaru-garu kepala. Sebenarnya dia sendiri tidak
tahu siapa nama pemuda itu. Tidak tahu hendak menjelaskan perkara ini kepada
mamanya.
“Kawan belajar?”
teka Puan Aisyah Adiba tidak mahu menunggu lama. Aunie menggeleng. Patutkah dia
berterus terang kepada mamanya? Bagaimana penerimaan mamanya terhadap cerita
itu nanti? Mamanya tidak akan senang mendengar cerita yang lebih banyak negatif
ini. Tidak mustahil juga andai kata kebebasan yang dimiliki sekarang akan
ditarik. Mamanya ada kuasa mengehadkan pergerakannya.
“Baru saja kenal”
jelas Aunie menjawab pertanyaan Puan Aisyah Adiba.
“Jangan berkawan
dengan orang yang tak tentu identiti dirinya” tegur Puan Aisyah Adiba memberi
peringatan kepada anak gadisnya. Aunie mengangguk. Terasa mamanya ada pandangan
negatif terhadap pemuda itu. Aunie mendiamkan diri. Tidak akan bercerita lebih
lanjut tentang pemuda itu. Tidak mahu mencari nahas diri sendiri.
“Pesanlah nak
makan apa” arah Puan Aisyah Adiba menoktahkan perbualan mereka tentang pemuda
yang belum diketahui namanya itu. Lega. Aunie mengangguk lantas mencapai
senarai menu yang terletak di atas meja di depannya. Mula membuat pilihan pada
senarai menu yang disediakan. Mencari-cari hidangan yang memikat selera.
Akhirnya mi sizzling dan segelas jus epal hijau menjadi pilihan dan Puan Aisyah
Adiba memilih nasi dalapan ikan bawal hitam bersama segelas air kosong sebagai
hidangan tengah hari ini. Menu yang lengkap neutrasinya. Puan Aisyah Adiba memang
sentiasa menjaga pemakanannya. Buktinya dia tetap menawan walaupun sudah di
ambang usia 60 tahun. Tentang pemuda itu dilupakan sahaja.
“Aunie...miss you...so much...” Azan meluru ke
arah Aunie dengan lagak romantis. Meremang bulu roma Aunie mendengar
ungkapan kalimah jiwang-jiwang itu. Apatah lagi ungkapan itu keluar dari mulut
Azan. Pantang sungguh.
“Pergilah
jauh-jauh...” arah Aunie menghalau pemuda ini. Rimas berdekatan dengan arjuna
yang romantis ini. Azan menarik muka masam. Kecewa dengan layanan dingin Aunie.
Namun sekejap sahaja rajuknya. Dia mempamer senyuman mengoda kembali.
“Awak tak rindu
saya?” tanya Azan berharap.
“Eeerrr...gelilah
saya dengan awak ni” rungut Aunie tidak mahu membendung ledakan emosinya. Ruang
hati yang masih kosong itu bukan untuk diisi oleh pemuda ini. Belum sampai seru
dia hendak bercinta lagi. Perpisahan lalu masih terasa sakit Kekasih yang
dicintai sepenuh hati mengalih kasih pada kawan baik sendiri. Sekarang Adika
berbahagia memadu kasih asmara bersama Serina. Cinta luka ini hanya dipendam di
lubuk hati. Tidak mahu dikongsi bersama orang lain termasuklah keluarga
sendiri. Soal hati dan perasaan memang dia sangat berahsia. Dia kehilangan
cinta pertama, tetapi masih banyak yang dimilikinya. Ada keluarga yang menyayanginya.
Barisan abang yang sangat mengambil berat lantas sentiasa mengawasinya. Ada
kawan-kawan yang sering bersamanya. Ada Azan yang sangat setia dan tidak jemu
mencurah kasih kepadanya. Aunie masih kuat. Kuat untuk meneruskan kehidupan ini.
Suatu hari nanti dia pasti akan dipertemukan dengan lelaki istimewa yang sangat
setia.
Dipandang Azan
yang kaya dengan senyuman untuk dihadiahkan kepadanya. Cintanya didambakan oleh
pemuda ini. Azan bersungguh-sungguh memikat hatinya. Mungkinkah pemuda ini
diutuskan Allah sebagai pengganti Adika yang telah berlaku curang kepadanya?
Laju Aunie menggeleng kepala. Tidak reda dengan kenyataan itu. Azan... bukan
jodohnya! Dia tidak akan bercinta dengan Azan. Hatinya tidak pernah
berdebar-debar tatkala berada di sisi Azan. Dia langsung tidak teruja dihujani
ungkapan kalimah romantis yang sering diperdengarkan di telinganya. Azan tidak
mampu menggetarkan jiwa raganya. Dia yakin mereka tidak akan menjadi pasangan
kekasih.
“Mari... saya
belanja awak makan” tutur Aunie menyentakkan Azan. Murah hatinya hendak belanja
pemuda ini makan. Mungkin juga mahu memujuk Azan. Bukan. Menebus sikap dinginnya
kepada pemuda ini. Sudah kerap kali hati pemuda ini dihujani dengan kata-kata
kesat. Aunie berharap Azan cepat berputus-asa. Jiwa raga mereka tidak akan
bersatu menjadi kekasih.
“Betulkah ni?”
tanya Azan persis tidak percaya. Bukan selalu Aunie berlaku baik padanya. Tidak
pernah juga gadis ini mempelawa makan duduk semeja. Selama ini dia sendiri menjadi
peneman tanpa diundang. Memunculkan diri di sisi gadis ini lalu menjadi
pendamping Aunie di kampus ini. Ditulikan sahaja telinga tatkala gadis ini
meminta dirinya dijauhi.
Aunie mengangguk
mengukuhkan pelawaannya. Undangan yang serius. Dia ikhlas mahu belanja Azan
makan. Sekurang-kurangnya dia cuba menjadi sahabat pemuda ini. Cukuplah sebagai
sahabat untuk menebus kebaikan pemuda ini terhadap dirinya.
“Seriuslah...
Kalau awak tak nak tak kisahpun” ujar Aunie sudah mengorak langkah berganjak
meninggalkan Azan.
“Hey... siapa kata
tak mahu. Naklah...!” tegas Azan lantas mengejar langkah Aunie. Tidak mahu
tertinggal langkah dari gadis itu. Rasa bahagia berada di sebelah Aunie. Paling
membahagiakan jikalau diterima menjadi buah hati pengarang jantung Aunie. Azan
tersengih-sengih sendiri memasang angan-angannya. Dia tidak pernah berputus
asa.
“Terima kasih
sayang... Opps... sorry... tersasul
pula” tutur Azan tersenyum lebar tatkala menatap jelingan tajam Aunie. Tidak
tega sedikit kemesraan Aunie bertukar dingin kembali. Ada taman dalam hati.
Bahagia dapat bersama menikmati hidangan tengah hari bersama gadis pujaan
kalbu. Apatah lagi hari pertama sekembalinya dari cuti semester. Mungkin ini
petanda baik untuk hubungan mereka kelak. Azan sudah berangan-angan jauh.
Menjejakkan kaki
di kafeteria itu, mereka terus membuat pesanan mengikut selera sendiri.
Kemudian mencari tempat kosong memandangkan jam sebegini ramai yang berkunjung
ke situ. Mereka duduk di tepi sudut itu. Mula melayan tekak masing-masing.
Begitu leka. Azan asyik mencuri pandang ke arah Aunie. Cuba mencari ruang yang
sesuai hendak mengajak Aunie berbicara. Namun bimbang juga silap tingkah gadis
ini akan menghalaunya lantaran suasana diam ini telah dicemari oleh kebisingan
suaranya. Mood Aunie cepat berubah. Mungkin
juga Aunie tidak suka berbicara waktu makan. Maka Azan masih mendiamkan diri.
Mahu mengikut rentak Aunie. Langkah selamat untuk terus berada di sisi gadis
ini. Dia memang sangat menitik-beratkan perkara yang Aunie suka dan perkara
yang tidak disukai gadis ini.
“Oh... di sini
awak. Satu kampus ni saya jejaki nak cari awak” Pemuda itu terus melabuhkan duduk di
kerusi kosong di sebelah Azan. Azan dan Aunie terperanjat mendengar suara
lelaki yang menegur itu. Terkejut juga dengan kunjungan pemuda yang tidak
dikenali itu. Kebetulan Aunie belum bertentang mata dengannya.
“Hai...” sapanya
sambil tersenyum lebar menatap Aunie.
“Awak...!!!” Aunie
tersentak. Pemuda ini muncul di depannya lagi.
“Awak kenal dia?”
tanya Azan terkebil-kebil. Aunie tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya
memandang tajam ke arah pemuda ini. Tidak keruan hatinya dikunjungi oleh pemuda
misteri ini. Liar mata Azan menilik-nilik pemuda ini. Cemburu.
“Awak siapa?”
tanya Azan kurang senang. Rasa tergugat dirinya. Pertanyaan yang tidak pernah
terdetik di benak Aunie. Dia tidak pernah bertanya siapa gerangan pemuda
misteri ini. Sebarang maklumat tentang pemuda ini tidak diketahui. Dia hanya
tahu pemuda ini kaki gaduh dan mungkin ahli kongsi gelap.
“Saya...? Oh...
saya bodyguard kawan awak ni. Akan
muncul di mana saja dia berada” sahutnya sambil melirik ke arah gadis itu.
Aunie mengetap bibir menahan geram. Tidak senang hati pemuda ini muncul di depan
Azan. Bimbang Azan akan mereka cereka yang bukan-bukan di depan keluarganya.
Risau akan diketahui oleh ibu dan abang-abangnya.
“Abang-abang awak
upah pengawal jaga awak? Awak dalam bahaya?” Besar anak mata Azan menatap
Aunie. Sudah terjerat dirinya dengan bicara pemuda ini.
“Jangan
mengarutlah” tingkah Aunie serius.
“Sudah lama awak
kenal dia?” tanya Azan menyiasat sambil melirik ke arah Aunie. Pemuda ini
misteri. Dia menggeleng buat Azan terlopong.
“Tak kenal pun
tapi dah lama nampak kawan awak ni” bersahaja pemuda ini memberi penjelasan.
Dia tersenyum sendiri. Aunie berdiam diri dan hanya mengikuti perbualan itu.
“Siapa nama kawan
awak ni? Saya rasa... saya dan awak ada jodoh sebab tu kita sentiasa bertemu”
lancar mulutnya berkata-kata sambil mengalih pandangan kepada Aunie.
“What...!!!” suara Azan dan Aunie
bergabung di udara. Tidak senang.
“Awak yang
sentiasa mengekori saya” tegas Aunie berang.
“Awak tak tahu pun
namanya. Senang-senang saja awak kata dia jodoh awak” tingkah Azan tidak senang
hati. Pemuda ini tersenyum.
“Sebab itu saya
tanya awak tadi... siapa nama kawan awak ni?” ulangnya mengutarakan pertanyaan
itu. Aunie mendengus.
“Nama awak siapa?”
pertanyaan ini diajukan pula kepada Aunie setelah Azan tidak memberikan jawapan.
Aunie mempamerkan wajah serius. Dia mengunci mulut. Tidak berminat melayan
pemuda ini. Namanya tetap dirahsiakan daripada pengetahuan pemuda ini.
“Kalau awak tak
nak cakap... apa kata saya panggil awak Puteri Salji. Nama ni memang sesuai
dengan awak yang nampak dingin macam salji” lancang mulutnya berbicara.
“Otak awak tu ada
yang tak betul” marah Aunie tidak dapat menahan sabar lagi.
“Puteri Salji...macam
tak sedap pula didengar. Saya tukarlah nama awak jadi Puteri Salju..” ujarnya
berbicara sendiri tanpa mengendahkan kemarahan Aunie.
“Awak ni
benar-benar peliklah. Datang tak diundang. Muncul sesuka hati awak. Saya ada
hutang dengan awakkah?” tanya Aunie tidak mampu membendung kesabaran lagi. Dia
mendengus kasar melempiaskan perasaan tidak puas hati. Azan pula masih binggung
memikirkan kemunculan pemuda ini. Sebelum ini dia tidak pernah nampak wajah
pemuda ini. Mungkin juga kerana taksub membayangkan wajah Aunie sehingga
mengabaikan wajah-wajah orang di sekelilingnya. Dia terlepas pandang wajah
pemuda ini. Wajah komersial yang digemari gadis-gadis. Terasa dirinya diberi
saingan hebat. Rasa tergugat sekarang. Pemuda ini tersenyum.
“Saya dah cakap
tadi...dan takkan ulang kenyataan saya tu” balasnya bersahaja. Dia tersenyum
menatap Aunie. Sungguh tenang dan bersahaja. Langsung tidak mengendahkan
pandangan tajam Aunie dan Azan yang melekat di wajahnya. Tidak kisah
kedatangannya disambut dingin. Hati Azan tidak keruan menatap renungan anak
muda ini yang tidak berganjak dari wajah Aunie. Terikat di situ. Persis sudah
terpikat kepada Aunie.
“Jangan bimbang
dan jangan takut. Saya bukan orang jahat seperti yang awak sangka” jelas pemuda
ini. Mahu mengubah persepsi Aunie terhadap dirinya. Dia nakal tetapi tidak
jahat.
“Kalau macam tu
berhenti mengekori saya. Saya tak suka dan tak nak berkawan dengan awak” tegas
Aunie serius. Azan tersenyum mendengar kenyataan gadis ini. Cukup senang
hatinya. Memang itu yang diharapkannya. Dia tidak mahu Aunie jatuh cinta kepada
pemuda ini. Dia yakin pemuda ini sentiasa mendapat perhatian gadis-gadis.
“Saya takkan
biarkan pelamin angan saya musnah kerana awak” tegas Azan serius buat Aunie
tersedak. Gelak pemuda ini kedengaran. Hatinya tercuit mendengar kenyataan Azan
sebentar tadi. Aunie mengurut-urut dada.
“Saya beri amaran
serius pada awak... jangan sesekali dekati Aunie lagi” tutur Azan mengancam.
Aunie memijak kaki Azan. Wajah Azan berkerut menahan sakit. Pemuda ini hanya
tersenyum.
“Oh... nama awak,
Aunie...” Dia tersenyum-senyum sendiri. Persis berpuas hati tatkala mengetahui
sebaris nama itu. Dia bangkit dari duduknya. Tanpa sebarang kata dan bicara dia
beredar pergi. Aunie dan Azan terkebil-kebil menatap pemuda itu.
“Pelik betul
perangainya...” keluh Azan.
“Datang tak
diundang... pergi tak dihalau. Memang perangai tak sopan” sinis suara Aunie
mengutuk pemuda itu. Aunie menoleh ke arah Azan.
“Jangan sesekali
ancamnya. Awak belum kenal siapa dia” keluh Aunie kurang senang. Di matanya
terbayang aksi sepak terajang pemuda itu. Amaran Azan tadi sudah pasti tidak
menakutkan pemuda itu malahan keselamatan Azan yang terancam sekarang. Aunie
melepaskan keluhan. Pening kepala memikirkan tiba-tiba sahaja pemuda itu muncul
dalam hidupnya. Kedamaian hidupnya telah diganggu.
“Dah habis makan?
Saya nak pergi sekarang” ujar Aunie seraya bangkit dari kerusi. Terkocoh-kocoh
Azan menghabiskan teh ais di gelas. Tidak mahu ditinggalkan Aunie di situ.
Azan berlari-lari
anak mengejar langkah Aunie. Mahu seiringan langkah gadis ini. Kesempatan
bersama gadis ini digunakan sebaik-baiknya. Bukan selalu dia berpeluang berada
di sisi gadis ini. Keluar sahaja di pintu utama kampus ini, langkah Aunie
terhenti. Begitu juga Azan. Serentak pandangan mereka dilontar pada kaki yang
melayang di awangan lalu melibas mangsanya. Tendangan padu yang mengena musuh. Tiba-tiba
meluru seorang lelaki membawa kayu pemukul cuba membantu rakannya yang
dibelasah itu. Sungguh tangkas dan cekap dia mengelak serangan bertubi-tubi
lelaki itu. Bukan seorang tetapi dua orang lelaki yang sedang beradu tenaga
dengannya tika ini.
“Wah... hebat ilmu
seni mempertahankan dirinya!” puji Azan kagum.
“Mujur juga dia
cekap mengelak” tambah Azan kagum. Aunie mencebik. Tiada yang harus
dibanggakan. Tabiat memusnahkan keamanan dan kedamaian sejagat. Suka sangat
buat sengketa. Angkuh dengan ketangkasan diri. Ilmu seni mempertahankan diri
yang dituntut telah salahgunakan. Cuak dengan manusia yang berperangai begini.
“Ah...pemuda
itu...” Azan terlopong tatkala terpandang seraut wajah itu. Aunie mempamer
wajah bersahaja. Langsung tidak terperanjat melihat pemuda itu. Sudah dalam
jangkauan jangkaannya. Azan berpaling ke arahnya.
“Awak diekori gangster...” Besar anak mata Azan
menatap Aunie. Bagai baru sedar dengan kenyataan itu. Aunie tetap kelihatan
tenang dan hanya berdiam diri. Malas mahu mengulas bicara Azan itu.