BAB 65
Aku menatap kotak besar yang dibalut dengan kertas warna
warni yang cerah terletak di atas meja sofa ini. Pasti hadiah untuk Idlan
daripada Aqel. Aku tersenyum sendiri. Aqel telah mengotakan janjinya.
“Cikgu Firdaus tu bekas kekasih awak?” Aku berpaling.
Aqel melangkah masuk ke bilik ini sambil
menatapku. Berkerut dahiku mendengar pertanyaannya ini. Sudahlah muncul secara
mengejut, bertanya pula soalan yang tidak masuk akal. Aqel sudah melabuhkan
duduknya di sofa di sudut bilik ini dengan mengarah pandangannya kepadaku.
“Awak jangan merepeklah.....” rungutku. Aqel tersenyum
sinis. Terdetik rasa hairanku tiba – tiba sahaja Aqel mengemukakan pertanyaan ini
kepadaku. Teringat aku pada pertemuaan singkat dengan Cikgu Firdaus semalam.
Aqel pun ada di situ. Mungkin inilah sebabnya Aqel bertanya sedemikian.
“Bukan main dia ambil berat pada awak” ujar Aqel menambah
bicaranya.
“Cikgu Firdaus tu berhati mulia, bertimbang rasa, tak
lokek nak tolong orang” sahutku telus. Tidak mahu menyembunyikan kebaikan yang
dimiliki oleh Cikgu Firdaus. Aku ikhlas menuturkannya. Jauh sekali mahu
membandingkan personaliti Cikgu Firdaus dengan Aqel.
“Lelaki lain semua hebat di mata awak” lirih sahaja suara
Aqel.
“Kenapa? Awak jaelous?”
meluncur laju ayat ini keluar dari mulutku. Seringkali aku didatangi perasaan
geram terhadap anak muda Mak Long ini. Aqel tersenyum sendiri. Sukar hendak
menafsir senyumannya itu. Namun sudah cukup menambah perasaan geramku
terhadapnya. Persis diri ini sedang diperli Aqel. Aku mendengus.
“Itu hadiah untuk Idlan. Petang nanti kita pergi sama ke
majlis tu” ujar Aqel seraya bangkit dari sofa itu. Langkah Aqel menghala ke
muka pintu.
“Awak nak pergi mana?” tanyaku mematikan langkah Aqel.
Baru sekejap ini Aqel berjanji. Bimbang juga jika dia ada agenda lain sehingga
terlupa pada janjinya ini.
“Nak jumpa kekasih saya” balas Aqel bersahaja dengan
senyuman lebar menguntum di bibir. Aku terdiam sambil memerhatikan langkah Aqel
meninggalkan bilik ini. Nampak girang sahaja dia hendak bertemu dengan buah
hatinya. Pasti Aqel hendak bertemu dengan Rania. Mungkin juga Flora. Setakat
ini aku tidak jelas tentang hubungan cinta Aqel dengan Rania. Apatah lagi
hubungannya dengan Flora, insan yang tidak pernah kuketahui tentang dirinya.
Gadis yang sangat misteri. Namun gadis itulah yang bertakhta di hati Aqel
sehingga ke hari ini.
Aku melangkah ke dapur mendapatkan mak. Mahu menolong mak
menyediakan hidangan tengah hari. Hari cuti sahaja aku ada masa yang panjang menolong
mak di dapur. Jika hari bekerja, mencuci pinggan mangkuk sahaja yang sempat aku
lakukan selesai menikmati hidangan kerana mak sudah siap memasak tatkala aku
sampai di rumah. Sudah menjadi kebiasaan hidangan malam akan disiapkan sebelum
solat Maghrib. Manakala waktu rehat tengah hari aku akan makan di luar sahaja.
Tidak sempat hendak balik ke rumah. Inilah rutin hari bekerjaku.
“Kenapa tak ikut Aqel?” tanya mak menyapaku. Aku
menggeleng.
“Dia nak jumpa buah hatinya, takkan menyibuk nak ikut”
balasku acuh tak acuh. Malas mahu menyibuk diri dengan hal Aqel. Sekadar hendak
jadi peneman buang masa sahaja. Lebih baik berehat di rumah. Lebih banyak
manfaatnya. Sememangnya pula Aqel tidak perlukan kehadiranku.
“Apa?” Berkerut dahi mak menatapku.
“Hey..... takdelah...” nafiku. Baru tersedar tidak patut
aku berbicara sedemikian kepada mak. Hal Aqel dengan para kekasihnya tidak
patut dikongsi dengan mak. Perkara ini hanya akan melukai hati mak. Malah boleh
membuatkan mak kecewa dengan sikap Aqel. Pasti mak akan hilang kepercayaan
kepada menantu kesayangannya itu. Kasihan mak dan Mak Long. Percaturan jodoh
yang mereka jalinkan tidak menjadi. Aku dan Aqel tidak pernah menjalani hidup
sebagai suami isteri yang sebenar – benarnya.
“Banyak mak masak hari ini” komenku sambil menatap
beberapa jenis masakan yang sedang dipantau oleh mak di atas dapur gas. Fasa
terakhir sebelum sampai masa hendak menikmatinya. Hari ini awal pula mak masak.
Haruman semerbak mewangi bau masakan mak menimbulkan rasa laparku. Berkeroncong
perutku minta diisi. Lantas aku melabuhkan duduk di kerusi. Mahu meluangkan
masa bersama mak di dapur. Dapat juga berbual – bual panjang dengan mak sekali
gus menimba ilmu masakannya. Memang patut mak menurunkan kepakarannya kepadaku.
Pertama, aku anak perempuan tunggal mak persis Aziq anak teruna tunggal dalam
keluarga ini. Namun lebih afdal perempuan berada di dapur. Seorang isteri dan
ibu bertanggungjawab menyediakan keperluan makanan keluarganya. Isteri yang
pandai masak boleh menambat hati suami. Kedua, kelebihan berpihak kepadaku
kerana aku tinggal bersama mak, maka aku lebih berpeluang menuntut ilmu masakan
mak.
“Rasa lapar pula....” ujarku tersengih menatap mak.
“Makanlah sikit” arah mak.
“Tak boleh makan kenyang – kenyang?” tanyaku hairan. Tidak
pernah mak kedekut dengan masakannya. Malahan, makan banyak masakan mak akan
memuaskan hatinya. Mak akan tersenyum lebar jikalau aku begitu berselera
menikmati hidangan yang disediakannya. Rasa kepenatan berbaloi. Naluri suci
murni seorang ibu mahukan yang terbaik buat anak – anaknya.
“Aqel kan nak bawa mak mertua kamu datang sini makan
tengah hari sama - sama” jelas mak mengejutkanku. Tidak pula Aqel memaklumkan
aku tentang perkara ini.
“Biar betul. Kata tadi nak jumpa buah hatinya” bisik hati
kecilku berbicara sendiri. Sukar aku hendak percaya. Terkeliru. Yang mana satu
benar. Bicara Aqel padaku atau janjinya kepada mak? Tidak mungkin Aqel hendak
menabur kata – kata kosong kepada mak juga.
“Kamu cakap apa?” tanya mak menyentakkanku. Mustahil mak
mendengar suara hatiku. Aku menggeleng. Termenung aku seketika memikirkan
agenda Aqel. Seringkali bicara dan tindakan Aqel tidak seiringan. Lain yang
dicakap lain pula yang dilakukannya. Sungguh menakutkan. Sukar sangatkah Aqel
hendak berlaku jujur?
“Pergi siapkan meja makan” arah mak menyentakkanku. Terkebil
– kebil aku menatap mak. Mak membalas pandanganku dengan dahi berkerut. Nampak
pelik tingkahlaku di mata mak. Ada curiga dan sangsi menerjah hati mak.
“Kamu dengar apa yang mak cakap tadi?” tanya mak bingung.
Laju aku mengangguk. Bingkas aku bangun mahu memulakan tugasan yang baru sahaja
mak arahkan. Dalam masa yang sama mahu mengelak sebarang persoalan sukar yang
mahu diajukan kepadaku. Pancaindera mak sangat sensitif. Mudah sahaja bagi mak
mentafsir tingkahlakuku. Sejauhmana hendak menyembunyikan sesuatu perkara,
akhirnya akan terbongkar jua. Tiada perkara yang bertahan menjadi rahsia.
Betapa naluri seorang ibu yang mengenali anaknya tiada sempadan.
Aku menyiapkan keperluan di meja makan. Usai menyusun
pinggan dan sudu, aku ke dapur semula mendapatkan mak. Bertanya kepada mak
jikalau dia perlukan bantuanku. Nyatanya kecekapan mak membereskan semua dengan
pantas menyebabkan khidmatku tidak diperlukan lagi.
“Nanti saja kamu masukkan semua ni dalam mangkuk” ujar
mak memberi arahan. Aku mengangguk. Bila Mak Long sudah sampai nanti makanan baru
dihidangkan. Aku bergerak ke ruang tamu. Di sini tiada yang perlu dikemaskan lagi.
Sememangnya sudah tersusun rapi. Maklumlah hanya aku dan mak yang menjadi
penghuni tetap rumah ini, sementara Aqel hanya beberapa malam dalam seminggu singgah
tidur di rumah ini. Selebihnya tidur di rumah keluarganya menemani Mak Long. Itu
andaianku jika Aqel tidak balik ke sini. Cuba bersangka baik kepada Aqel. Sudah
menjadi tanggungjawab Aqel sebagai anak lelaki wajib menjaga Mak Long selagi
Mak Long bernyawa. Mudah – mudahan Mak Long dipanjangkan usia dan hidup
sejahtera. Amin.
Rumah yang hanya didiami orang dewasa, tidak banyak kerja
pembersihan yang diperlukan. Kebetulan pula mak memang setiap hari membersih
dan mengemas rumah sampaikan tiada kerja yang perlu aku lakukan di ruang tamu
ini. Kupandang koleksi majalah wanita yang tersusun kemas di bawah meja ini.
Kususun kembali mengikut urutan mingguan diterbitkan. Sengaja buat kerja
setelah tiada kerja. Kemudian aku hanya duduk mematungkan diri di ruang tamu
ini.
Kutatap jam di dinding. Sekejap lagi Mak Long akan
muncul. Mungkinkah ada agenda penting pada pertemuan yang dirancang pada hari
ini? Adakah mak dan Mak Long akan berbincang tentang hubunganku dengan Aqel? Apakah
keputusan yang mak dan Mak Long harapkan dalam hubunganku dengan Aqel? Banyak
sangat persoalan yang membelenggu benakku. Setakat ini Aqel belum membuka mulut
mahu berbicara tentang perkara ini. Mak mahupun Mak Long tidak pernah
mengungkit tentang hubunganku dengan Aqel biarpun rahsia kami telah sampai ke
pengetahuan mereka. Seolah – olah mak dan Mak Long mengambil pendekatan tunggu
dan lihat sahaja. Barangkali mak dan Mak Long berdiam diri kerana percaya aku
dan Aqel boleh menyelesaikan perkara ini dengan baik. Mungkin juga menyesali
tindakan mereka yang telah menyatukan kami sebagai suami isteri. Maka demi
menebus rasa bersalah itu, mak dan Mak Long sudah tidak mahu campur tangan
lagi. Adakah hari ini mak dan Mak Long mahu kami menyuarakan keputusan masing –
masing? Kata putus yang terbit dari hati sendiri lalu diluahkan secara terang –
terangan.
“Lia kena jawab dengan jujur. Betulkah Lia tak mahu hidup
dengan Hyeon lagi?” suara Mak Long melontar pertanyaan kepadaku. Pandangan mak,
Mak Long dan Aqel bersatu di wajahku. Tiba – tiba sahaja aku kehilangan suara.
“Jawab ikut kemahuan hati kamu” tutur mak. Kupandang satu
– persatu wajah yang ada di depanku ini. Mak dan Mak Long tidak ceria. Aqel
kelihatan tenang.
“Lia mahu Hyeon lepaskan Lia?” tanya Mak Long lagi. Aku
masih tidak mampu bersuara. Dikelilingi oleh tiga orang insan ini buat aku kaku
dan kematian akal.
“Sekarang bukan masa nak berdiam diri. Fikirkan masa
depan kamu” tegas mak mahu mematikan segera diamku. Kugenggam tanganku. Cuba
mengumpul kekuatan diri.
“Andai Lia dan Aqel berpisah, adakah mak dan Mak Long
akan bersedih?” satu pertanyaan yang aku ajukan bagi menjawab pertanyaan mak
dan Mak Long. Aqel tersenyum sinis. Aku tahu dia sedang memerliku kerana tiada
kekuatan diri. Mak Long menggeleng dan tersenyum.
“Paling penting Lia bahagia dengan keputusan yang Lia
buat” jelas Mak Long tulus. Kupandang wajah mak. Meminta jawapan mak untuk
pertanyaanku tadi.
“Sudah lama kamu bersedih. Sekarang hiduplah dengan
bahagia” pinta mak berharap. Masih ada senyuman sinis di bibir Aqel tatkala aku
mengalih pandanganku ke wajahnya. Tiada apa yang menggentarkan dirinya.
Kekuatan yang luar biasa yang dimiliki oleh Aqel. Dia boleh menghadapi sebarang
situasi. Betapa kental jiwa Aqel.
“Jangan salahkan Hyeon... ye” suara Mak Long terngiang –
ngiang di telingaku. Permintaan Mak Long yang tidak jelas ini kembali berlegar
– legar di benakku. Bingung juga aku memikirkannya.
“Baguslah kalau akak dah hidup sendirian sekarang. Cikgu
Firdaus pun masih sukakan akak” Laju aku berpaling. Aziq terpacak di muka pintu
dengan senyuman indah menatapku. Semua yang berada di sini sedang menatap Aziq.
Berani sungguh Aziq meluahkan hasrat hatinya.
“Biar betul budak ni. Sampai sekarang masih mahu menjaja
nama cikgu kesayangannya itu. Besar sangat impiannya nak berabang iparkan Cikgu
Firdaus” bisik hati kecilku. Aziq lebih mesra dengan Cikgu Firdaus. Bersama
Aqel dia lebih banyak berdiam diri. Walaupun sebagai sepupu perbualan mereka
agak terbatas.
“Hey.... kamu tak nampak Mak Long kamu terpacak di depan
ni!” sergah mak dengan tamparan tangannya singgah di bahuku. Aku tersentak. Mak
Long tersenyum menatapku.
“Termenung jauh Lia” komen Mak Long. Aku tersengih. Segan
juga disergah demikian di depan Mak Long. Aku terus menyalami tangan Mak Long.
Mak Long memeluk tubuhku.
“Dia memang suka sangat berangan” ujar Aqel menyampuk
yang baru sahaja melangkah masuk. Sempat juga aku menjelingnya. Suka sangat
hendak mengutuk aku. Mak Long dan mak duduk di ruang tamu ditemani Aqel.
“Lia nak pergi dapur sediakan makanan” ujarku meminta
diri.
“Saya tolong awak” ujar Aqel mencelah. Mak dan Mak Long
tersenyum.
“Pergilah tolong Lia” arah Mak Long buat aku tidak
terkata. Arahan yang keluar dari mulut Mak Long menjadi penghalang hendak
menolak khidmat tenaga Aqel. Aku memaksa diri tersenyum. Buat – buat gembira
menerima pertolongan Aqel. Sebetulnya aku lebih selesa melakukannya sendirian.
Aku melangkah ke dapur diekori langkah Aqel.
“Awak tolong angkat mangkuk – mangkuk ni dan letak di atas
meja makan” arahku setelah menyeduk masakan dari periuk. Aqel yang berdiri di
sisiku mengangguk. Dia melakukan tugasan yang kuberi tanpa bantahan.
“Tolong keluarkan jag kaca dari kabinet atas tu. Ambil
sekali dengan gelasnya. Pastikan awak keluarkan empat biji gelas. Jangan lupa
tolong cuci jag dan gelas – gelas tu” arahku lagi. Aqel masih patuh pada
arahanku. Dia bergerak ke sinki. Aku terpandang jag kaca dengan beberapa biji gelas
yang sudah tersusun di atas dulang yang disediakan oleh mak. Pasti mak mahu
menggunakannya untuk makan tengah hari ini. Aku tersenyum sendiri tatkala sudah
telajak mengarah Aqel mengambil set jag yang baharu yang hampir – hampir sudah siap
dicucinya. Tidak sangka hari ini aku berpeluang mendera Aqel lagi.
“Jag dan gelas – gelas ni nak buat apa? Kan dah ada dalam
dulang ni...” ujar Aqel dengan pandangan terarah ke situ. Aqel sudah
menyedarinya.
“Saya tak nak guna set jag tu” sahutku memberi alasan.
“Kenapa? Nampak elok saja...” komen Aqel. Aku tidak
menyahut pertanyaan Aqel.
“Awak keringkan jag dan semua gelas yang awak cuci dengan
kain bersih di situ” arahku sambil menunding jari pada helaian kain lap bersih yang
tergantung.
“Baiklah madam....”
jawab Aqel masih setia menjadi orang suruhanku. Kebal juga anak muda Mak Long
ini. Tidak pula dia merungut – rungut kali ini.
“Siap lap jag dan semua gelas tu, letak dalam dulang.
Cari dulang dalam kabinet tadi. Pastikan dulang bersih sebelum digunakan. Kalau
tak bersih cuci dan lap kering – kering. Kemudian buka peti sejuk, keluarkan
air sirap dan ais kiub. Bancuh air sirap. Gula ada dalam bekas merah itu.
Pastikan penutup bekas itu ditutup ketat – ketat. Nanti ada semut masuk. Ambil
air dah dimasak dalam tong itu. Bancuh elok – elok. Jangan buat manis sangat.
Pastikan air sirap awak bancuh dalam jag yang lain. Ambil jag jingga atas rak itu.
Bancuh air sirap dalam jag itu. Kalau dah siap baru tuang air sirap itu ke
dalam jag kaca yang awak basuh tadi. Siap semua itu awak letak air sirap dan
gelas dalam dulang di atas meja makan” arahanku panjang berjela – jela.
Terkebil – kebil Aqel menatapku.
“Ini dah lebih ni” rungut Aqel tidak puas hati. Matanya
sedikit sepet terbuka luas. Kali ini nampak dia mahu memprotes arahanku.
“Kan awak kata nak tolong saya” balasku sinis.
“Okey.....okey..... Awak ingat saya tak boleh buat?”
tinggi sedikit suara Aqel. Aku melemparkan senyuman sinis. Sengaja mahu
menambah bara hati Aqel.
“Jangan harap awak nak peningkan kepala saya dengan
arahan yang berbelit – belit itu. Tengok nanti saya boleh lakukan semua itu
dengan baik” tegas Aqel dengan geram.
“Buktikanlah....” arahku mencabarnya.
“Okey.... saya akan bancuh air sirap tu. Nanti saya akan
habiskan semuanya supaya awak tak berpeluang nak minum” ujar Aqel kedekut tidak
mahu berkongsi. Dia begitu yakin.
“Silakan kalau awak mampu menghalangnya” sahutku mencabar
dirinya. Aqel mendengus. Kemudian terus sahaja melaksanakan tugasan tersebut.
Aku sekadar jadi pemerhati. Langsung tiada pertanyaan yang diajukan kepadaku.
Aqel melakukan tugasan ini mengikut arahan yang kuberikan. Kagum juga aku
dengan ketajaman memori ingatannya. Akhirnya Aqel berjaya menyediakan air sirap
dengan sempurna.
“Tambah nasi lagi, Aqel....” tutur mak. Aqel tersenyum
manis kepada mak. Sempat mempamerkan barisan giginya yang cantik. Mak
meletakkan nasi dalam pinggan Aqel. Nampak mak prihatin sangat kepada
menantunya ini.
“Cukup mak....” ujar Aqel menahan mak daripada menambah
sesenduk nasi lagi dalam pinggannya. Mudah sahaja Aqel berkongsi panggilan
‘mak’ denganku.
“Takut sangat nak makan banyak” keluh mak. Aqel
tersenyum. Begitu juga dengan Mak Long. Aku hanya memerhatikan gelagat mereka.
Sangat mesra sebagai menantu dengan mak mertua.
“Lia tak nak minum ke?” soal Mak Long sambil menatap
gelas kosong di depanku.
“Dia makan nasi dengan air kosong je” laju sahaja Aqel
menyahut bicara Mak Long sambil menambah air sirap dalam gelasnya. Tersengih –
sengih Aqel mengenakan aku. Sengaja dia hendak menghabiskan air sirap dalam jag
ini. Kupandang air sirap ini. Tinggal sesuku sahaja lagi. Kalau ada antara
mereka bertiga ini yang menambah lagi, pasti aku kempunan hendak minum. Maka
Aqel telah berjaya menunaikan hasratnya.
Aku tidak akan biarkan Aqel mencapai misinya. Kemenangan tidak akan aku berikan
begitu mudah kepada Aqel.
“Tabiat pemakanan yang baik” puji Mak Long menyahut
penjelasan Aqel tentang diriku. Tatkala aku melihat tangan Aqel hampir – hampir
menyentuh tangkai jag kaca ini, aku terus sahaja buat – buat tersedak.
“Hyeon.... tuang air sirap untuk Lia” perintah Mak Long
cemas. Aku mengurut – urut dadaku sambil masih terbatuk – batuk kecil. Batuk
yang sengaja dibuat – buat.
“Cepatlah....” arah Mak Long geram tatkala melihat Aqel
hanya memegang jag kaca itu tanpa berbuat apa – apa. Berat hati Aqel hendak
menuang air sirap untukku. Namun dia sudah tiada pilihan. Aqel menuang baki air
sirap ke dalam gelasku dengan berat hati. Laju sahaja tanganku mencapai segelas
air sirap di depanku lalu meneguknya dengan perlahan – lahan sambil melirik ke
arah Aqel yang sedang memerhatikanku. Jelas terpancar rasa tidak puas hatinya
terhadapku. Sempat juga aku mengenyitkan mata ke arah Aqel. Sengaja mahu
menambah sakit hatinya. Aqel menggigit bibir menahan perasaan geram. Terasa
dirinya dipermainkan olehku.
“Lia okey?” tanya Mak Long. Aku mengangguk.
“Lain kali kunyah betul – betul, jangan terus telan”
tegur mak memarahiku persis budak kecil. Senyumanku lenyap. Aku menarik muka
masam. Terasa layanan mak tidak adil. Dengan Aqel bukan main prihatinnya mak. Aqel
tersengih kepadaku.
Usai menikmati hidangan tengah hari, Aqel tergegas pergi
tanpa sebarang pesanan. Seolah – olah dia sudah lupa pada majlis hari jadi Idlan
yang dijanjikannya hendak pergi bersamaku. Mak Long pula masih berada di rumah
ini kerana mahu membeli – belah bersama mak hari ini. Lega hatiku. Biarlah
mereka saling teman – menemani agar kesunyian mereka sedikit terubat. Sedar aku
dan Aqel gagal meluangkan banyak masa bersama mereka.
Aku menatap jam kemudian melirik ke arah iPhone yang sepi
memanjang. Sudah menjangkau ke pukul 03.50 minit petang. Kira – kira tinggal 40
minit lagi majlis hari jadi Idlan akan berlangsung. Aku masih bersendirian di
rumah ini. Aqel belum muncul lagi. Mak sudah semestinya masih membeli – belah
bersama Mak Long. Bingkas aku bangun mahu menyiapkan diri. Tidak perlu menunggu
kedatangan Aqel. Barangkali dia masih menyulam kasih asmara bersama kekasih
hatinya. Pasti dia sudah lupa pada janjinya hendak menghadiri hari jadi Idlan
bersamaku. Aku melangkah ke muka pintu sambil membimbit beg kertas yang berisi
hadiah untuk Idlan. Langkahku terhenti dan berpaling ke arah meja sofa itu.
Hadiah Aqel masih berada di situ. Aku berpatah balik lalu mencapai kotak hadiah
ini. Sudah janjiku akan menolong Aqel menyerahkan hadiah ini kepada Idlan.
Bunyi hon kereta di halaman rumah memaksa aku mempercepatkan langkahku. Aku
menjengukkan kepalaku keluar tingkap. Aqel baru sahaja sampai dan sedang
menungguku di dalam kereta. Laju langkahku ke muka pintu utama lantas
menguncinya. Terkocoh – kocoh aku mendapatkan Aqel.
“Saya ingat awak takkan pergi” ujarku setelah duduk di
kerusi penumpang di sebelah Aqel. Peugeot RCZ Sports Coupe ini mula
bergerak meninggalkan halaman.
“Saya tak
pernah mungkir janji pada awak” sahut Aqel tanpa sempat melontar pandangan ke
arahku. Dia sedang menatap iPhonenya. Ada mesej yang baru diterimanya. Aqel
tersenyum sendiri. Mungkin mesej daripada kekasihnya. Nampak ceria wajahnya.
“Mana tau
terlupa bila dah seronok jumpa buah hati” lirih sahaja suaraku. Senyap. Aqel
tidak menyahut bicaraku. Mesej yang diterimanya memanjangkan senyuman Aqel.
Kegirangannya sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Nampak Aqel di awang –
awangan sekarang. Sungguh indah tatkala diri dilamun cinta. Aku terus
menyepikan diri. Sia – sia sahaja hendak berbicara dengan Aqel tika dirinya
dalam khayalan dibuai perasaan.
“Awak cemburu?”
suara Aqel memecah keheningan ini.
“Aahhh...”Aku
berpaling menatap Aqel. Aqel tersenyum lagi.
“Awak tak suka
saya jumpa kekasih saya?” tanya Aqel lebih jelas. Aku tersenyum sinis.
“Pertanyaan
awak ni mencuit hati saya” balasku lirih.
“Takde yang
lucunya pun” sahut Aqel memperkecilkanku.
“Awak
mengajukan pertanyaan yang tak masuk akal” bidasku geram. Senyap.
“Saya tahu di
hati awak hanya ada Haqem” ujar Aqel tenang. Aku diam lagi. Tidak mahu
memanjangkan bicara dengan Aqel. Bimbang wujud pertelingkahan kecil yang boleh
mematikan mood sedangkan aku dan Aqel perlu ceria menghadiri majlis ini. Aku
mematungkan diri di sebelah Aqel. Skrin iPhone Aqel menyala. Laju sahaja jari
Aqel menekannya. Sempat aku melihat bayangan tubuh yang memakai baju kurung jingga bermanik dan
labuci. Namun wajah sipemakainya tidak kelihatan. Persis baju kurung jingga yang kupakai ketika majlis pertunangan
Nana dengan Arryan. Aqel yang menghadiahkan baju kurung itu kepadaku. Lantas mengingatkan
aku pada andaianku yang Rania juga memakai baju kurung sedemikian ketika
menjadi pengapit pengantin bersama Aqel pada hari yang sama aku memakainya. Hadiah yang serupa yang diterima Rania daripada Aqel. Aku
yakin gambar Rania yang menghiasi skrin iPhone Aqel itu. Di sebelah Rania
adalah Aqel. Sungguh romantik Aqel.
Peugeot RCZ
Sports Coupe ini telah sampai ke destinasinya. Kereta diletakkan di luar memandangkan halaman dipenuhi dengan kanopi. Majlis
hari jadi Idlan disambut secara besar – besaran. Ramai tetamu yang datang.
“Awakkan
kekasih pertama dan terakhir Haqem” ujar Aqel menyambung bicaranya tadi lantas
menguak pintu kereta. Aqel keluar meninggalkan aku. Aqel sudah tercengat di
sisi kereta menunggu aku keluar. Aku mematikan niatku hendak bangkit dari
kerusi ini tatkala terpandang kakiku.
Gara – gara terburu – buru hendak pergi tadi, aku tersilap memakai selipar
jipun. Menambah malang sepasang selipar jipun ini berbeza warna. Sebelah kuning
dan sebelah merah. Pasangan selipar jipun mak yang berada di kaki kiriku. Jikalaulah
majlis ini diadakan di dalam rumah, dapat juga aku sembunyikan selipar jipun
ini daripada penglihatan para tetamu. Segan juga hanya memakai selipar jipun di
majlis hebat sebegini. Tambahan pula aku perlu menjaga reputasi Aqel yang
sentiasa segak di mata orang ramai.
“Awak tak nak
keluar ke?”Aqel menjengukkan kepala ke dalam kereta.
“Tak payah
risaulah Datin Sofea dan Bella takkan datang sini” tambah Aqel. Terkebil –
kebil aku menatapnya. Tidak sempat menjelaskan tentang perkara sebenar, Aqel
telah ada andaiannya sendiri. Dia mengingatkan aku nama – nama yang memusuhiku.
“Cepatlah
keluar” arah Aqel tatkala melihat aku belum bergerak dari tempat duduk ini.
“Aqel....”
panggilku perlahan.
“Ye....
kenapa?” tanyanya sambil menatapku kehairanan. Lambat – lambat kutunding jari
pada kakiku. Aqel menatap kakiku kemudian mengalih pandangannya kepadaku. Aku
tersengih panjang. Cuba berlagak bersahaja menutup kecuaianku. Perkara kecil
tetapi boleh memberi impak besar kepada Aqel. Tidak tega aku mendengar Aqel
dihina keranaku.
“Takkan dah
cantik macam ni nak pakai selipar jipun pula” puji Aqel bersama rungutannya.
Dia mengeluh sambil menggeleng kepala. Tidak dapat menerima penampilan diriku
sedemikian. Aku tersengih lagi.
“Pakai selipar
berlainan warna pula. Macam ada yang tak betul” bicara Aqel sendirian namun
sangat jelas di telingaku. Aku menyabarkan diri agar tidak terus melenting.
Maklumlah kecuaian diri sendiri.
“Tunggu di sini
sekejap” arah Aqel. Aku mengangguk. Aqel melangkah ke belakang. Bonet kereta
dibuka. Kemudian mendapatkan aku semula dengan membimbit beg kertas.
“Tukar selipar
jipun awak tu” arah Aqel sambil menghulurkan beg kertas itu kepadaku. Aku
kehairanan menatap Aqel. Kulihat ada kotak kasut di dalam beg kertas ini. Aqel
memang sentiasa bersedia dengan situasi yang tidak dijangka. Ala – ala poket
doremon pula keretanya ini kerana menyimpan segala macam benda dan ada sahaja
jalan penyelesaian setiap masalah yang timbul. Jangan – jangan ini kasut yang
hendak dihadiahkannya kepada Rania. Tidak patut aku hendak memakainya pula.
“Cepatlah tukar
selipar tu” arah Aqel lebih tegas.
“Saya tak boleh
pakai kasut ini kalau awak nak hadiahkan untuk Rania” ujarku meluahkan perkara
yang terdetik di hati ini. Aku lebih rela kembali ke rumah untuk menukar
selipar jipun ini daripada memakai kasut yang bukan hakku. Aqel mengeluh.
“Itu kasut awaklah”
jelasnya mewujudkan kehairananku semula.
“Kasut saya?”
tanyaku tidak percaya. Aqel menggangguk.
“Cepat....
majlis dah mula ni” ujar Aqel mendesakku dan langsung tidak memberi aku peluang
membuat pilihan lain. Dengan berat hati aku mengeluarkan kotak kasut ini dari
beg kertas ini. Pandangan Aqel mengawasiku.
“Hey.... kasut
sayalah....” ujarku separuh menjerit tatkala terpandang kasut tumit ini. Aqel
nampak terperanjat. Bukan kepalang girang hatiku kerana berpeluang memiliki
kasut tumit yang mencatat banyak suka duka hari – hari yang kulalui di KDUT
buat kali kedua. Cepat sahaja aku menyarungkan kasut tumit ini di kakiku. Tidak
sangka aku akan jadi tuannya lagi. Lantas aku keluar dari kereta lalu berdiri
di sebelah Aqel. Yakin Aqel tidak akan dihina kerana aku.
“Terima kasih
banyak – banyak. Saya tak tahu bagaimana awak dapatkan balik kasut ini dan membaikpulihnya
begitu sempurna sekali. Apa yang awak lakukan ini sangat bererti buat saya” ujarku
telus dengan senyuman paling manis kuhadiahkan kepada Aqel. Aqel hanya
mempamerkan lagak bersahajanya. Namun aku tidak mengendahkannya lantaran Aqel
telah melakukan sesuatu yang sangat bernilai buatku. Tidak dapat mengelak rasa
terhutang budi kepada Aqel.
“Berterima
kasih kepada tukang kasut yang telah melakukannya dengan sempurna. Bukannya
saya” tingkah Aqel ego lantas memulakan langkah meninggalkan aku. Laju sahaja
langkahku mengejar langkah Aqel sehingga aku mampu beriringan dengannya. Sempat
aku menatap senyuman Aqel yang cuba disembunyikannya daripada pandanganku. Aku
tahu Aqel berbesar hati mendengar ungkapan kata – kataku sebentar tadi.
“Hey.....
kenapa lambat sampai?” tanya Harianie yang menyambut kedatangan kami. Aku dan
Aqel tersenyum. Harap – harap Aqel tidak akan berkongsi cerita lucu tadi dengan
Harianie. Segan juga jika Harianie dapat tahu.
“Ada hal tadi”
jelas Aqel berahsia. Aku mengangguk menyokong bicara Aqel. Lega.
“Haqem mana?”
tanya Aqel mencari kelibat sahabat baiknya itu.
“Di sana dengan
Idlan. Dari tadi kedua – duanya tak berenggang langsung” ujar Harianie
tersenyum ceria. Aku turut senyum. Haqem dan Idlan tidak dapat dipisahkan. Mereka
sangat akrab. Sepenuh kasih dicurahkan buat Idlan. Haqemlah pengganti ayah yang
sudah tiada.
“Mereka memang
rapat” komen Aqel pada kenyataan Harianie. Haqem memang sabar melayan kerenah
Idlan. Sudah jelas ciri – ciri ayah penyayang ada dalam diri Haqem.
“Haqem pun
bakal jadi ayah penyayang” tambah Aqel memuji Haqem sambil melirik ke arahku.
Persis Aqel mendengar suara hatiku yang memuji – muji Haqem.
“Kamu pun bakal
jadi ayah penyayang suatu hari nanti” ujar Harianie turut memuji Aqel. Aqel
hanya tersenyum. Kedinginan Aqel tidak dapat menjanjikan kebenaran bicara
Harianie. Setakat ini aku tidak pernah melihat Aqel melayan budak – budak.
Hubungannya dengan Aziq pun tidak berapa mesra. Menjadi anak tunggal telah
membentuk keperibadian Aqel sedemikian. Tidak dapat juga disalahkan jika Aqel
tidak seperti Haqem.
“Idlan dari
tadi tertunggu – tunggu kedatangan kamu, Lia” ujar Harianie. Aku melirik ke
arah Aqel. Cuba menilik reaksinya. Aqel sentiasa dengan wajah bersahajanya. Aku
senyum.
“Oh..... hadiah
tertinggal di dalam kereta” ujarku baru teringat hadiah untuk Idlan masih
berada di dalam kereta. Gara – gara sibuk menyelesaikan insiden selipar jipun
tadi, aku dan Aqel terlupa hendak membawa hadiah itu.
“Takpe biar
saya yang ambil hadiah itu. Awak pergilah jumpa Idlan sekarang” arah Aqel
memberi keizinan. Harianie tersenyum. Aku jadi serba salah pula. Datang bersama
Aqel, berat hati pula hendak meninggalkannya bersendirian. Tambahan pula
kehadiran Aqel di majlis ini sekadar mahu mengotakan janjinya kepadaku. Awal –
awal Aqel telah menyatakan yang dia tidak dapat menghadiri majlis hari jadi
Idlan. Namun dia telah terlanjur berjanji denganku yang memaksanya mengubah
perancangannya. Barangkali jikalau Aqel tidak berada di sini sudah pasti
sekarang dia sedang berbahagia menghabiskan masa hujung minggunya bersama
kekasihnya. Minta maaf Rania. Minta maaf Flora. Aku tidak tahu dengan siapa Aqel
bertemujanji tadi sama ada Rania ataupun Flora.
“Mari Lia” Harianie
menarik tanganku menyentakkanku. Aku sempat berpaling ke arah Aqel. Dia belum
berganjak dari tempatnya berdiri dan sedang memerhatikan aku meninggalkannya.
Apakah perasaan Aqel tika ini? Terkilankah dirinya ditinggalkan sedemikian?
Bersedihkah hatinya tatkala aku membiarkannya bersendirian? Mungkin juga emosi
Aqel langsung tidak terusik. Aku sahaja yang berfikir sejauh ini. Jiwa raga
Aqel sangat kental. Dirinya seakan ketandusan nilai sensitiviti. Maka
adakalanya Aqel nampak begitu kejam.
“Mak Usu.....!”
jeritan Idlan menyentakkanku. Dia meluru ke arahku. Sekelip mata sahaja dia
sudah berada di depanku lantas memelukku. Haqem dan Harianie tersenyum.
“Jangan panggil
auntie macam tu” bisikku ke telinga
Idlan. Tiada sesiapa yang mendengarnya termasuklah Haqem dengan Harianie. Idlan
tersengih panjang. Seakan permintaanku ini tidak diendahkannya. Aku berharap
sangat Idlan akan berhenti memanggilku sedemikian. Tidak manis didengar oleh
Aqel dan semua orang. Boleh mengundang salah faham orang lain. Tidak mustahil
aku akan dilabel sebagai isteri yang curang. Sudah terbayang wajah menyinga
Nana, Marnie dan Reka mahu meleteriku. Maklumlah Aqel hero terbaik pilihan hati
mereka.
“Kenapa lambat
sampai?” rengek Idlan manja memasamkan wajahnya.
“Lama betul
Idlan tunggu tau” rungutnya dengan muncung tajam.
“Idlan....”
tegur Harianie. Aku tersenyum.
“Sorry..... sorry.... auntie ada hal
sikit tadi” jelasku tidak mahu berterus – terang. Cukuplah aku dan Aqel sahaja
yang mengetahui perkara yang berlaku. Aku tersenyum sendiri mengingati perkara
tadi. Lantas mataku menatap sepasang kasut tumit yang kupakai. Berkilat persis
kasut baru. Tidak sangka terukir lagi kisah baru yang bakal menjadi kenangan
suatu hari nanti.
“Idlan ada
simpan kek untuk Mak Usu.....” tutur Idlan seraya menarik tanganku mengajakku
beredar dari tempat pertemuan ini. Aku tersentak lantas terdorong menuruti
langkah Idlan. Tidak tahu ke mana Idlan mahu membawaku pergi.
“Kamu ikut ke
mana Idlan tu bawa Lia. Akak nak layan tetamu” arah Harianie. Haqem mengangguk
dan dengan senang hati menerima arahan itu. Kesempatan bersama gadis itu akan
digunakan sebaik – baiknya.
“Ini kek untuk
Mak Usu” ujar Idlan sambil menghulurkan sepotong kek kepadaku.
“Terima
kasih...” Kusambut kek yang dihulurkan kepadaku. Kemudian kupandang Haqem yang
hanya tersenyum memerhatikan gelagat Idlan. Aku mahukan penjelasan Haqem dan
berharap agar dia memberhentikan segera panggilan ‘Mak Usu’ yang sentiasa
keluar dari mulut anak buah kesayangannya ini. Haqem wajib menarik balik kenyataan
yang pernah diperdengarkannya di telinga Idlan. Tanggungjawab Haqem membetulkan
salah faham Idlan. Aku sangat yakin bicara Haqem telah mempengaruhi tingkahlaku
Idlan.
“Mak Usu dan
Pak Usu tinggal sini ye.... Idlan nak jumpa kawan – kawan sebentar” ujar Idlan
bersopan – santun meminta diri. Haqem mengangguk. Aku pula terkebil – kebil
menatap Idlan tatkala dia masih mahu membahasakan diriku dengan panggilan itu. Maka
tinggallah aku bersama Haqem di kelilingi para tetamu yang bertandang ke majlis
ini. Masa yang sesuai untuk aku mengutarakan perkara ini kepada Haqem. Haqem
mesti menghalang Idlan memanggilku sedemikian. Gelaran yang bukan milikku.
Sungguh aku tidak selesa.
“Aqel ada
datang sama” ujarku memaklumkan kehadiranku bersama sahabat baiknya itu.
“Mana dia?”
tanya Haqem.
“Tadi pergi
ambil hadiah di dalam kereta. Mungkin dia ada dalam kalangan tetamu yang
dijemput” sahutku. Aku berpaling mencari kelibat Aqel di celah – celah para
tetamu yang rancak berbual – bual sambil menikmati hidangan. Namun kelibat Aqel
tidak kutemui. Kulontar pandangan ke pintu masuk halaman ini. Mustahil Aqel perlukan
masa yang panjang hendak mengambil hadiah yang tertinggal di dalam kereta
kerana jaraknya tidaklah jauh.
“Aqel ada di
hujung sana tu” jelas Haqem sambil menunding jari pada satu arah. Aku menyoroti
telunjuk Haqem. Memang Aqel ada di situ sedang rancak berbual – bual dengan
seorang perempuan. Tampak begitu mesra. Jarang aku dapat melihat Aqel mesra
dengan orang di sekelilingnya. Pandanganku masih terikat di situ. Cuba mengenal
pasti gerangan insan yang sedang berbual – bual dengan Aqel. Mana tahu
ditakdirkan malam ini aku dipertemukan dengan Flora. Namun kelibat perempuan
itu tidak jelas di mataku.
“Saya nak jumpa
Aqel” ujarku lalu mengorak langkah mendekati Aqel. Lebih dekat lebih jelas di
pandangan mata. Mahu memuaskan hati. Mungkin malam ini akan terungkai segala
persoalan yang bercambah di benakku sejak sekian lamanya. Haqem yang mengekori
langkah gadis ini dengan perasaan tidak tenteram. Curiga pada tingkahlaku Lia.
Keresahan menjengah dirinya. Tidak tega jika Lia tidak menyenangi Aqel
berhubung dengan gadis lain. Itu satu petanda buruk buat dirinya.
“Cemburukah Lia
melihat Aqel mesra dengan perempuan itu?” suara hati Haqem melontar pertanyaan.
Langkahku mati. Aku berpaling. Haqem melangkah lalu berdiri di sebelahku.
“Kenapa?” tanya
Haqem sambil menatapku.
“Tegur Idlan
agar jangan memanggil saya Mak Usu. Dia pasti akan dengar cakap awak” pintaku.
Bicara gadis ini menambah keresahan Haqem.
“Pada masa akan
datang mungkin awak benar – benar akan jadi Mak Usu Idlan” sahut Haqem serius.
Kupandang Haqem. Begitu yakin dia menuturkan bicaranya ini.
“Aqel nak
berpisah dengan saya?” tanyaku sangsi. Pandanganku dengan Haqem bertaut. Haqem
membisu. Pertanyaanku tidak dijawabnya. Kesungguhan bicara Haqem mencipta
kepastian. Kulontar pandanganku ke arah Aqel. Kelibat Aqel sudah tidak
kelihatan. Tiba – tiba sahaja Aqel hilang daripada pandangan mataku. Kedengaran
bunyi mesej yang kuterima. Laju sahaja tanganku mengeluarkan iPhone dari tas
tanganku. Terpamer mesej daripada Aqel.
~ Saya pergi dulu. Jangan risau Haqem akan hantar awak pulang ~ Aku melepaskan
keluhan. Lantas kusimpan iPhone ini ke dalam tas tanganku semula. Kalau sudah sedemikian
yang Aqel rencanakan, aku tiada pilihan lain. Terpaksa patuh pada bicara Aqel.
“Awak kecewa?”
tanya Haqem. Laju aku menggeleng.
“Sedikit kecewa
sebab tak sempat mengenali perempuan yang berbual – bual dengan Aqel tadi”
jelasku menjawab pertanyaan Haqem. Keinginan mengenali Flora begitu melonjak –
lonjak. Detik ini aku terlepas peluang itu.
“Awak cemburu
melihat Aqel bercakap dengan perempuan lain?” tanya Haqem lagi. Aku menggeleng.
Hati Aqel bukan milikku hendak dicemburui dirinya.
“Saya kecewa
sebab tak sempat berkenalan dengan perempuan itu. Mungkinkah perempuan itu
ialah Flora.... buah hati Aqel” jelasku masih memperkatakan tentang gadis itu.
Kesal.
“Flora...?”
Haqem menyebut sebaris nama itu. Dahinya berkerut.
“Saya ingin
benar mengenali gadis itu” ujarku meluahkan hasrat hatiku. Haqem tidak bersuara
lagi. Jelas dia juga tidak mengenali Flora. Sungguh bijak Aqel menyimpan
rahsia.
“Bukankah itu
nama awak?” tanya Haqem bingung. Dia pernah mendengar Aqel memanggil Lia dengan
nama itu. Aku menggeleng lagi. Lantas suara hatiku bertegas; “Namaku bukan
Flora.....!!!!”
No comments:
Post a Comment