Tuesday 18 March 2014

NamaKu Bukan Flora....! 57





BAB 57

“Masuk.....” Kedengaran suara Haqem mengarahkan masuk tatkala ketukan jemariku di muka pintu bilik pejabatnya. Aku menarik nafas dalam – dalam lantas menolak perlahan daun pintu. Haqem nampak sedikit tersentak dengan kunjunganku ini. Boleh dikatakan kedatanganku ini agak mengejutkan. Apatah lagi aku pernah meminta Haqem menjauhiku malah memaksa dirinya melupakanku. Sudah lama aku tidak bertemu dengan Haqem bersendirian begini.
“Awak apa khabar sekarang?” sapaku ikhlas tanpa sebarang niat tersembunyi. Sekilas senyuman terukir di bibir Haqem. Pertanyaanku tidak dijawab. Ternyata Haqem tidak mahu memaklumkan keadaan dirinya kepadaku.
“Duduk Lia” pelawa Haqem. Aku melabuhkan duduk bertentangan dengan Haqem. Seketika saling berpandangan dengannya. Kelihatan Haqem sedikit kurus. Adakah Haqem masih tidak mampu menerima kenyataan bahawa kami tiada jodoh hidup bersama?
“Saya perlukan penjelasan awak berkaitan beberapa perkara” ujarku tidak mahu melengahkan masa lagi. Berkerut dahi Haqem menatapku.
“Awak nampak serius saja” komen Haqem. Aku mengangguk. Kedatanganku ke sini dengan harapan yang menggunung. Aku memang mengharapkan Haqem akan berterus terang segalanya padaku.
“Awak dan Aqel memang ada perbincangan sebelum mengadakan perjanjian kerjasama antara KDUT dengan CNFL kan?” soalku memulakan penyiasatan.
“Sudah semestinya” sahut Haqem tenang dan meyakinkan.
“Awak juga mengetahui syarat perjanjian tersebut?” soalku lagi. Haqem mengangguk.
“Seorang pekerja CNFL yang berkelibar akan ditempatkan di Bahagian Kostum” jelas Haqem. Aku mengangguk. Memang ini syarat yang dikenakan oleh pihak KDUT yang telah dipersetujui oleh Puan Rosie.
“Tapi saya tak tahu yang awak akan dihantar berkhidmat di syarikat ni. Aqel tak pernah memaklumkan kepada saya perkara ni” jelas Haqem. Aku percaya Haqem bercakap benar.
“Dan saya yakin ketika itu Aqel juga tak pernah tahu tentang hubungan kita” ujar Haqem lagi. Aqel pernah menyatakan perkara ini kepadaku. Tiada kesangsian.
“Awak tahukan masalah ketika itu?” soalku lagi. Senyap. Haqem menatapku. Mesti Haqem mengetahui perkara yang telah terjadi.
“Awak dengan Aqel ada masalah ke?” soal Haqem curiga. Aku sedikit tersentak mendengar pertanyaan Haqem sedemikian.
“Aqel terlalu berahsia dengan saya” jelasku tidak mahu berselindung. Haqem tersenyum.
“Aqel memang macam tu. Tak semudahnya dia akan membuka keaiban orang lain” ujar Haqem memuji sikap Aqel.
“Saya perlukan penjelasan awak. Selagi saya tak mengetahui perkara sebenar saya takkan berhenti bersoal – jawab sendiri” jelasku. Kedengaran tawa kecil Haqem.
“Sikap awak masih tak berubah, Lia. Kedegilan awak tak dapat disangkal” ujar Haqem mengkritikku. Bicara yang tidak asing pada pendengaranku. Aqel juga selalu mengutarakannya.
“Sebab itu saya perlukan penjelasan awak. Saya perlu tahu siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini dan telah menganiaya saya? Siapa yang cuba Aqel lindungi?” tegasku lebih serius.   
“Awak nak balas dendam ke?” soal Haqem gusar. Aku menggeleng.
“Sekadar memuaskan hati saya” sahutku bersahaja. Senyap. Haqem menatapku. Kemudian mengalih pandangannya ke arah dinding kaca itu. Melontar pandangannya jauh – jauh. Pasti Haqem mahu membuat pertimbangan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Berfikir sedalamnya sebelum berbicara. Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya.
“Saya memang mengharapkan awak bercakap benar dengan saya. Saya bagaikan tak sanggup lagi berhadapan dengan perkara yang terjadi tanpa penjelasan. Betapa seksanya hidup dalam persoalan yang tak terjawab. Saya telah melalui perkara sedemikian dalam masa yang panjang” keluhku kesal malah cuba merayu ihsan Haqem agar berterus terang saja denganku. Haqem berpaling menatapku.
“Maafkan saya....” ujar Haqem turut terasa dengan bicaraku. Haqem juga pernah meninggalkan aku tanpa sebarang penjelasan.
“Saya perlu tahu siapa yang telah melakukannya?” soalku menggesa Haqem menyebut sebaris nama orang yang bertanggungjawab melenyapkan pakaian – pakaian mahal itu. Aku sedar memang takdir hidupku sebegini adalah atas ketentuan-Nya. Namun ada penyebabnya. Aku memang hendak mengetahui gerangan insan yang menjadi penyebab tercoraknya takdir hidupku sekarang.
“Mengenang kejadian pada hari itu buat saya rasa kesal dan sedih. Hari malang yang tak akan saya lupakan. Seumur hidup pertama kali saya diheret oleh pengawal keselamatan ke muka pintu. Saya dihalau keluar dari bangunan gah KDUT kerana dikatakan membuat kekacauan. Sedangkan tika itu saya hanya mahu jumpa Aqel. Saya sangat – sangat perlukan pertolongannya demi menyelamatkan kerjaya saya. Berapa banyak mata yang memandang saya tika itu. Memang memalukan” luahku dengan hati yang rawan dan tercalar.
“Saya memang marahkan Aqel. Awak tahu apa yang saya cakap pada diri saya sendiri tika itu? Jangan mengalah dan bersedih angkara seorang lelaki. Hidup saya tak boleh tewas selamanya kerana lelaki” tegasku. Aku melarikan mukaku dari pandangan Haqem. Tidak mahu dia menyedari anak mataku berkaca ketika ini. Bila – bila masa saja air mata ini akan berderai. Bukan mahu menagih simpati Haqem. Namun sekadar meluahkan kesedihan hatiku.
“Rania.....” tiba – tiba saja nama ini terbit dari mulut Haqem. Aku berpaling menatap Haqem. Berlaga pandangan dengannya seketika.
“Rania yang melakukannya.....” ulang Haqem lebih jelas lagi. Lalu Haqem memulakan ceritanya. CCTV yang terpasang di tempat pertemuanku dengan Aqel tidak diketahui kewujudannya oleh warga KDUT kecuali pihak pengurusan dan bahagian keselamatan yang telah dipertanggungjawabkan. Maka hati Aqel terdetik mengarahkan CCTV diperiksa. Ternyata Rania yang mengambil pakaian – pakaian tersebut. Lalu terbongkar rahsia bahawa pakaian – pakaian yang hilang di Bahagian Kostum selama ini juga adalah angkara Rania. Haqem tidak menjelaskan pula bagaimana Rania melesapkan pakaian - pakaian dari bilik itu. Akupun tidak beminat mahu ambil tahu perkara itu. Nyatanya Rania cukup bijak melakukan semua itu tanpa disedari lebih awal oleh pihak keselamatan KDUT.
 Menurut Haqem, Rania telah menjual pakaian – pakaian mahal itu kepada pihak tertentu demi menampung perbelanjaan mewahnya. Kali ini Rania tersilap langkah. Tidak selamanya orang yang melakukan kesalahan itu terlepas dari dosanya. Sedarlah aku mengapa Aqel mahu berahsia tentang perkara ini. Aqel mahu melindungi Rania kekasih pertamanya. Mungkin sebab perbuatan Rania ini juga menyebabkan Aqel tawar hati mahu kembali bersamanya. Pasti Aqel telah hilang kepercayaan kepada Rania. Lelaki tidak akan mampu hidup sebumbung dengan perempuan yang tidak dipercayainya lagi. Malah setiap insan di muka bumi ini tidak akan bahagia andai hidup sentiasa dalam lingkungan kecurigaan. Bahkan bukan sekali Rania melayan Aqel sebegini.
“Aqel mahu memberi peluang pada Rania untuk terus bekerja di sini. Sebenarnya Rania tak tahu pun yang Aqel telah mengetahui perkara ni. Hanya saya yang bertemu dengan Rania memberi peringatan kepadanya” jelas Haqem yang telah bersekongkol dengan Aqel untuk menipu Rania. Kononnya Haqem akan merahsiakan perkara ini daripada Aqel. Ternyata Aqel masih mahu menjaga air muka Rania. Mulianya hati Aqel.    
“Awak nak buat apa sekarang?” soal Haqem bimbang.
“Awak tak perlu risau. Saya takkan serang Rania. Saya masih rasional” jelasku.
“Baguslah kalau macam tu. Saya harap juga hanya kita saja yang mengetahui perkara ni” pinta Haqem menuntutku turut sama merahsiakannya. Sememangnya keaiban orang lain tidak perlu dihebah – hebahkan. Namun sebagai manusia biasa aku tidak dapat melenyapkan perasaan terkilan dengan perbuatan Rania terhadapku. Hakikatnya akulah mangsa dalam hal ini. Terpaksa bertanggungjawab pada kesalahan orang lain. Aku telah menebus kesalahan Rania. Sungguh kejam dan tidak adil rasanya tatkala terpaksa menanggung perbuatan jahat orang lain.
“Kerana perkara ni awak dan Aqel ada masalah?” suara Haqem menyentakkanku. Haqem sedang menatapku, menanti bicaraku. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Awak sedar tak betapa misterinya kawan baik awak tu. Sangat sukar nak difahami” ujarku meluahkan pandanganku terhadap Aqel. Haqem tersenyum sekilas.
“Bila awak dah lama bersama dengannya nanti pasti awak akan lebih memahaminya” ujar Haqem seakan mahu memujukku. Aku tersenyum.
“Okeylah Haqem, saya pergi dulu. Terima kasih banyak atas penjelasan awak. Semua ni memang amat penting buat saya” jelasku serius. Haqem hanya tersenyum.
“Sekurang – kurangnya ini yang termampu saya lakukan menebus sedikit penderitaan yang pernah saya tinggalkan pada awak” ujar Haqem mengungkit kesalahan lalunya.   
“Lupakan semua perkara yang menyakitkan itu, Haqem. Saya dah lama maafkan awak” ujarku jujur. Tidak mahu ada dendam yang terpendam antara aku dengan Haqem. Kisah hidupku dengan Haqem adalah cerita perit untuk dikenang.
“Awak hidup bahagia dengan Aqel?” soal Haqem di luar jangkaanku.  
“Hidup seperti pasangan pengantin yang lain, malah masih dalam proses mengenali hati budi masing – masing” jelasku tanpa berselindung.
“Belajar menerima Aqel sebagai suami awak?” duga Haqem. Aku mengangguk.
“Yelah... pernikahan awak dengan Aqel terlalu mendadak. Sejujurnya saya masih tak percaya yang awak telah menjadi isteri Aqel” ujar Haqem menyentakkanku. Kutatap wajah Haqem. Tampak sugul.
“Lia....., sekarang atau pada masa akan datang, adakah cinta awak pada Aqel melebihi cinta awak pada saya?” soal Haqem.
“Haqem.....! Awak tak patut cakap macam ni” tegurku tidak senang hati.
“Saya nak tahu, Lia” gesa Haqem serius menatapku.
“Pasti saya hanya akan mencintai suami saya. Tanggungjawab saya menjaga Aqel seumur hidup saya. Aqel sakit pun disebabkan saya” tegasku. Terimbau kembali kejadian malang yang menimpa Aqel berpunca dari tindakanku. Niat hati sekadar mahu menduga Aqel, namun perkara serius telah berlaku. Aqel tercedera kerana ketidakwarasanku. Sekarang Aqel terpaksa menanggung kesakitan itu dan aku dengan pasrah menunaikan ikrarku akan menjaga Aqel sepanjang hayatku. Soal hati dan perasaan bukan perkara utama sekarang. Janji wajib ditepati. Apatah lagi berkaitan soal hidup seseorang.
“Aqel sakit?” soal Haqem terkejut. Anak matanya membutang menatapku.
“Saya pernah langgar Aqel dengan kereta. Mungkin tulang pinggang atau bahagian dalaman Aqel tercedera kerana saya. Sehingga ke hari ni saya tiada keberanian bertanyakan Aqel tentang kecederaannya itu” jelasku memberanikan diri berterus terang pada Haqem yang terpaku menatapku. Dialah orang ketiga yang mengetahui perkara ini. Mak dan Mak Long langsung tidak mengetahuinya. Sebelum ini hanya aku dan Aqel saja yang tahu. Pasti juga doktor yang telah merawat Aqel turut mengetahuinya.
“Tengok betapa saya pentingkan diri sendiri. Saya takut nak mengetahui setakat mana seriusnya kecederaan Aqel” ujarku.
“Sebab inikah awak bersetuju menjadi isteri Aqel? Pada awak menjaga Aqel adalah tanggungjawab awak?” soal Haqem bertubi – tubi.
“Memang itu janji dan sumpah saya. Aqel cedera disebabkan saya” tegasku. Haqem menggeleng – geleng.
“Awak tak rasa tindakan awak ni terlalu mengikut perasaan?” soal Haqem serius.
“Apa maksud awak?” soalku kurang senang.
“Awak benar – benar yakin telah mencederakan Aqel?” soal Haqem. Diam. Aku keliru dengan reaksi Haqem tika ini. Lagaknya menimbulkan persoalan.
“Kemalangan kecil tempoh hari takkan mendatangkan kecederaan serius pada Aqel” komen Haqem. Aku dan Haqem saling berpandangan.
“Awak tengok keadaan Aqel sekarang. Kalau betul dia sedang cedera serius dia takkan boleh hidup setenang itu” jelas Haqem mengarah aku berfikir. Timbul rasa sangsi kepada Aqel.
“Pernikahan awak dengan Aqel adakah disebabkan perkara ni?” soal Haqem. Diam. Kelu lidahku hendak menjawab pertanyaan Haqem ini.
“Kalau betul awak bernikah dengan Aqel disebabkan perkara ni ternyata awak telah tertipu” jelas Haqem sewenangnya.
“Awak jangan cakap yang bukan – bukan, Haqem” tegurku kurang senang. Tidak tega mendengar Haqem menuduh kawan baiknya sebegitu. Sukar juga mahu menerima kenyataan bahawa Aqel telah menipuku.
“Percayalah Aqel telah menipu awak” ujar Haqem sejelasnya. Aku tidak terkata lagi. Banyak sangat kejutan saat ini.
“Awak boleh minta penjelasan Aqel tentang perkara ni” saran Haqem begitu yakin Aqel telah memperdayakan aku. Aku menatap Haqem. Betapa dia begitu serius tika ini.
“Sedarlah Lia, hubungan kita masih mampu diselamatkan” ujar Haqem mengejutkanku. Perkara yang tidak pernah terlintas di fikiranku. Tidak sangka juga Haqem masih menyemai harapan sebegitu.
“Awak boleh menyelamatkan percintaan kita, Lia” suara Haqem kedengaran lagi. Kutatap wajah Haqem. Ada kesungguhan terpancar di situ.
“Terima kasih, Haqem. Saya harus pergi sekarang” ujarku sambil bangkit kerusi. Aku melangkah ke muka pintu meninggalkan Haqem yang terpinga – pinga.
“Aqel tak sakit selama ni? Aqel tak cedera serius pun.....” hatiku berbisik. Mengapa Aqel mahu menipuku? Apa motifnya? Bertimpa – timpa persoalan menerjah ruang fikiranku. Aqel harus mensirnakan perkara ini padaku. Pasti Aqel sedang tergelak selama ini kerana telah berjaya mempedayakanku. Ohh.... sekejam inikah anak muda Mak Long? Sukar akal logikku hendak menerima fakta ini.
“Hoi.... buta ke sampai jalan nak langgar orang!” satu suara kasar menerjah halwa pendengaranku. Aku tersentak. Langkahku mati. Berlaga sedikit dengan tubuh pemilik suara garang itu. Suara seorang perempuan.
“Ohh.... maafkan saya...Saya...” Bicaraku tergantung. Lidahku kelu. Saat ini aku bertentangan mata dengan pandangan tajam Rania yang sarat dengan ketidakpuas hatinya padaku.
“Hah.... mengapa? Menyesal minta maaf pada saya? Kalau dah salah memang patut pun minta maaf” sindir Rania sinis menjelingku. Aku mengetap bibir. Berlagak bagai dirinya baik sangat. Tiba – tiba teringat pada topik perbualanku dengan Haqem sebentar tadi. Terus saja hatiku dicucuh dengan api kemarahan.
“Saya memang dah minta maaf pun. Saya bukan macam awak manusia hipokrit yang takut nak mengakui kesalahan sendiri” sindirku memulangkan kata – kata kesatnya.
“Apa maksud awak?” soal Rania panas hati.
“Tak payah nak berpura – pura baik sangat di depan semua orang. Saya tahu diri awak sebenarnya. Suka menganiaya orang lain, tak tahu bersyukur dan menghargai” bidasku dengan perasaan membara. Rania juga pernah bertindak kejam pada Aqel.
“Shut up...!” tengking Rania dengan wajah merah merona. Tajam matanya menatapku. Tidak semena – mena senyuman lirih terukir di bibirnya. Cepat sungguh perubahan perwatakan dirinya. Rania memang pelakon hebat.
“Baguslah kalau awak menyedari sekarang. Sekurang – kurangnya awak tahu saya ada di hati Aqel” ujar Rania berbangga. Aku hanya mendiamkan diri. Janggal sungguh melihat keangkuhan Rania. Langsung tiada perasaan malu dan insaf dalam dirinya. Kekebalan bermuka tembok yang agak luar biasa.
“Awak pasti cemburu pada sayakan” Rania tertawa kecil. Hatinya riang. Pasti berganda – ganda keriangannya andai berjaya membangkitkan kemarahanku. Aku berusaha menyabarkan diri. Tidak mahu mudah tewas berhadapan dengan sikap Rania yang sering kali menguji kesabaranku.
“Saya tak pernah lepaskan Aqel pada mana – mana perempuan dan sampai bila – bila” tegas Rania serius. Satu peringatan penting buatku. Aku tahu Rania bersungguh – sungguh pada bicaranya.
“Flora.....!” Serentak aku dan Rania berpaling. Laju langkah Aqel mendekati kami.
“Kan saya dah beri amaran pada awak jangan ganggu dan dekati Flora” tegas Aqel sambil merenung serius ke wajah Rania.
“Flora....! Flora...! Saya dah bosan mendengar nama ni. Dia bukan Flora, Aqel!” Rania mendengus kasar. Melawan pandangan tajam Aqel. Aku memandang Aqel. Cuba menilai reaksinya setelah mendengar bicara Rania. Persis diriku, nama ini juga turut mengganggu Rania.
“Ini amaran terakhir untuk awak. Saya tak mahu tengok awak cakap yang bukan – bukan pada isteri saya, apatah lagi untuk menyakiti hatinya” tegas Aqel serius lantas menarik tanganku beredar meninggalkan Rania termangu – mangu sendirian terpacak di situ. Sedikit terpadam kehangatan hatiku. Walaupun Aqel berlakon tika ini, tetapi sekurang – kurangnya Rania sedar bahawa Aqel tidak pernah melupakan aku sebagai isterinya. Rania akan sedar bahawa aku lebih berhak ke atas diri Aqel berbanding dirinya. Namun untuk apa semua ini andai di hati Aqel ada perempuan lain. Mungkin betul juga kata Rania bahawa dirinya masih ada di hati Aqel. Hatiku bertegas.
Aku menarik tanganku dari pautan tangan Aqel. Kelibat Rania sudah jauh ditinggalkan. Maka cukup setakat ini saja lakonan Aqel. Perasaanku tidak harus terbuai dengan layanan baik Aqel.
“Kenapa ni?” soal Aqel sambil menatapku. Aku geleng kepala. Saat ini aku hanya mahu membisu. Mahu menenangkan diri.
“Mari kita minum” ajak Aqel. Aku menggeleng lagi.
“Kalau macam itu awak temankan saya minum” pinta Aqel sambil menatapku. Aku mengangguk. Kali ini Aqel tersenyum. Walaupun sekadar peneman Aqel di kafeteria ini, namun Aqel tetap memesan segelas jus epal hijau untukku. Terusik hatiku tatkala Aqel masih mengingati minuman kegemaranku ini.
“Kan saya kata tadi tak nak minum. Tak payahlah awak pesan apa – apa air untuk saya” ujarku persis orang merajuk. Aqel tersenyum.
“Masih ada juga suara awak kan” ujar Aqel berlawak mengusikku. Aku diam.
“Tak sopan biarkan awak hanya tengok saya minum” jelas Aqel mempamerkan sikap budimannya.
“Kalau macam itu saya akan minum jus ni. Nanti awak fikir saya ni tak sopan pula” lirih saja suaraku. Aqel tergelak.
“Silakan.....” jemputnya dengan senyuman. Tercalar keegoan diri. Sebetulnya aku menahan liur juga melihat segelas jus epal hijau berais - ais di depanku ini. Selepas berbicara dengan Haqem dan bertikam lidah dengan Rania terasa haus juga tekak ini. Perlahan – lahan kusedut jus epal di gelas. Terasa segar tatkala jus epal ini melalui kerongkongku.
“Bagaimana pertemuan awak dengan Haqem tadi?” soal Aqel. Kupandang Aqel. Inikah tujuan Aqel mengajakku minum? Adakah Aqel dan Haqem saling berhubung tadi? Sudah sampaikan masanya untuk Aqel berterus – terang segala – galanya kepadaku?
“Banyak yang belum jelas” luahku tanpa berselindung. Senyap. Aku dan Aqel saling berpandangan. Namun Aqel lebih awal mengalih pandangannya.
“Awak ada jumpa Haqem tadi?” soalku pula. Aqel menggeleng. Senyap lagi.
“Esok kita balik rumah mak” suara Aqel memecah kesepian sekali gus mengubah topik perbualan kami. Kutatap Aqel yang sedang menanti jawapan daripadaku.
“Maaf.... Saya tak bersedia nak balik rumah awak esok” sahutku. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan dengan mulut yang terkunci. Aku dan Aqel tidak berbual lagi. Masing – masing membisu seribu bahasa. Akhirnya suasana sepi ini berlanjutan.


 @@@@@@@@@@@@@

“Kalau awak nak balik jumpa Mak Long, baliklah” arahku mengungkit perkara siang tadi. Aqel mengalih pandangan dari buku yang dibacanya ke arahku.
“Betulkah awak tak nak ikut sama?” soal Aqel meminta kepastian. Aku mengangguk. Kedengaran keluhan kecil Aqel. Keputusanku kurang menyenangkan hatinya.
“Nanti apa kata mama tengok awak tak ikut sama” ujar Aqel mengarahku berfikir.
“Cakap saja yang saya kurang sihat” saranku sewenangnya. Aqel geleng kepala. Jawapan kurang logik. Pasti akan dimarahi Mak Long andai jawapan sedemikian keluar dari mulut Aqel. Mak Long begitu menyayangi aku. Mana tega hatinya jika Aqel tidak berada di sisiku dalam keadaan aku kurang sihat.
“Saya tak nak mama dan mak fikir yang bukan – bukan” jelas Aqel.
“Maksud awak” tingkahku laju.
“Nanti mereka ingat hubungan kita ada masalah. Awak patut mempertimbangkan perkara ni” tegas sedikit suara Aqel.
“Saya tak nak mengundang masalah” tambah Aqel. Aku tersenyum sendiri.
“Bukan sesuatu yang pelik kalau saya tak muncul bersama awak nanti. Pandai – pandailah awak cakap. Tentang mak, awak tak perlu risau. Tahulah saya apa nak cakap nanti” jelasku bersahaja.
“Suka hati awaklah” tutur Aqel mengalah. Aqel menyambung pembacaannya kembali. Sebaliknya aku hanya mematungkan diri duduk di depan cermin solek ini. Fikiranku ligat berputar membuat pertimbangan. Memang tidak patut aku mengarahkan Aqel balik ke rumahnya bersendirian hujung minggu ini. Apatah lagi Aqel memang akan bermalam di situ. Pasti mak dan Mak Long akan kurang senang dengan keadaan ini.
“Awak tak nak tidur lagi ke? Saya nak tidur sekarang. Esok saya ada mesyuarat di luar” suara Aqel memecah keheningan ini. Aqel sudah membaringkan tubuhnya lalu menarik selimut. Beberapa minit kemudian kedengaran dengkurannya. Begitu mudah Aqel melelapkan mata. Aku merenung lama wajah Aqel. Bertuahnya menjadi pemuda ini. Persis langsung tiada perkara yang membelenggu fikirannya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


“Moyok saja muka kamu, Lia” tegur mak tatkala aku muncul di muka pintu dapur. Mak sedang bersarapan bersendirian. Namun ada cawan kosong dan sisa – sisa nasi goreng di pinggan di depan mak. Pasti mak bersarapan dengan Aqel tadi.
“Aqel dah pergi kerja tadi. Katanya ada mesyuarat di luar daerah dan kena pergi lebih awal” ujar mak persis menjawab pandangan sorotan mataku.
“Mak nak kejutkan kamu tadi teman Aqel sarapan, tapi dia kata kamu kurang sihat” ujar mak menambah bicara. Sedikit tersentak aku mendengar bicara mak. Namun cepat saja aku teringat pada perbualanku dengan Aqel semalam. Tidak sangka begitu cepat Aqel memaklumkannya kepada mak.
“Kamu deman ke Lia?” soal mak berbaur kerisauan. Aku menggeleng.
“Badan rasa tak sedap” ujarku berbohong. Sudah terlanjur Aqel memaklumkan kepada mak. Sekurang – kurangnya Aqel telah mempermudahkan rancanganku.
“Kamu mengandung ke, Lia” serkap jarang mak buat aku hampir – hampir tersedak. Cepat aku meneguk air teh yang sudah sejuk di cawan.
“Mak ni takkan cepat sangat” tingkahku tidak senang.
“Cepat apa dah setengah tahun kamu hidup bersama. Apa salahnya mengandung cepat kamu berduakan subur” ujar mak bersahaja. Rasa tercekik aku mendengar bicara mak ini. Mujur juga Aqel tidak bersama saat ini. Kalau tidak pasti menebal rasa maluku padanya. Mak bangkit lalu membawa cawan dan pinggan kosong ke sink, meninggalkan aku bersarapan sendirian.
“Jangan lupa buat pemeriksaan hari ni. Mana tahu memang betul kamu mengandung. Mak memang tak sabar – sabar nak timang cucu ni” tutur mak bersemangat.
“Mak janganlah fikir yang bukan – bukan” tegurku tidak mahu menghampakan mak. Mak berpaling menatapku.    
 “Kamukan ada suami. Memang logiklah boleh mengandung. Takde yang peliknya. Kamu belum datang bulan kan” tingkah mak berdegil. Aku diam. Memang pelik jika aku mengandung. Tidak pernah bersama Aqel. Tiba – tiba saja mengandung. Silap – silap Aqel boleh tuduh aku curang. Nauzubillah min zalik. Aku terus mendiamkan diri. Risau kalau bersungguh – sungguh menyangkal bicara mak akan menimbulkan kesangsian mak pula. Wanita berusia seperti mak memang kaya pengalaman hidup. Pengalaman inilah yang mampu memberi firasat tepat ke atas orang lain. 

HABIS waktu kerja hari ini, aku terus balik ke rumah. Tiada perancangan mahu ke mana – mana. Bahkan terpaksa menolak ajakan Nana yang menjemputku bersama Aqel ke majlis doa selamat sempena menyambut kelahiran ahli keluarga barunya. Aku hanya mampu mengirim permohonan maafku sekali gus ucapan tahniah kepada abangnya yang baru saja mendapat cahaya mata putera.
Aku membaringkan tubuhku ke tilam. Cuaca yang panas di luar memeningkanku. Tubuh juga cepat sangat lesu. Sudah berbotol – botal air tenaga kuminum, namun langsung tidak berkesan. Mungkin terlalu banyak berfikir.
“Betul awak tak nak pergi ni?” soal Aqel menutut keputusan muktamadku.
“Ya.....” sahutku ringkas. Terasa pula bagaikan aku terkena sumpahan sendiri. Sebelum ini sihat walfiat saja. Tidak semena – mena rasa mahu demam sekali gus menyedarkan aku tidak baik meminta – minta musibah. Aqel bangkit dari kerusi lalu melabuhkan duduknya di birai katil di bawah lunjuranku sambil melontar pandangan ke wajahku.
“Muka awak pucat. Awak tak sihat ke?” soal Aqel. Aku menggeleng. Cuba menafikan bicara Aqel. Risau dia akan menempelakku. Nanti tidak fasal – fasal Aqel akan cakap Allah telah memakbulkan kesakitan yang aku minta – minta.
“Betul ke awak boleh tinggal seorang – seorang ni?” soal Aqel bimbang.
“Makkan ada. Awak pergilah berkemas. Saya nak berehat ni” sahutku lemah. Kurang senang kalau Aqel terlalu mengambil berat ke atasku. Nanti berganda – ganda pula rawan hatiku. Kalau boleh saat ini aku tidak mahu terlalu dekat dengan Aqel.
“Takde yang perlu saya kemaskan pun. Pakaian saya masih banyak di rumah tu” jelas Aqel meningkah arahanku.
“Bila awak nak pergi. Kan dah lewat ni” ujarku cuba menyedarkannya.
“Hey.... tak menyabar – nyabar awak nak halau saya dari rumah ni ye” sahut Aqel sambil tersenyum lirih menatapku. Aku diam. Aqel bangkit dari birai katil lalu bergerak ke ruang bacaan tempat kegemarannya. Dia melabuhkan duduknya di situ. Terasa berdosa juga diriku andai telah membuatkan dirinya rasa terkilan dengan bicaraku sebentar tadi. Daun pintu diketuk. Aku dan Aqel melontar pandangan ke muka pintu. Seminit kemudian tersembul muka mak di muka pintu.
“Tak sihat lagi ke?” soal mak sambil menatapku. Aku termangu – mangu menatap mak. Kedatangan mak membuatkan aku rasa berdebar – debar. Risau bicara mak berpanjangan.
“Kamu dah nak gerak ke ni?” soal mak mengalih pertanyaan kepada Aqel.
“Sekejap lagi mak” sahut Aqel tersenyum. Mak mengangguk.
“Boleh ke saya tinggalkan Flora dalam keadaan dia macam ni, mak?” soal Aqel serba – salah. Pasti tidak tega dirinya dituduh suami dan menantu yang tidak bertimbang rasa.   
“Hish..... tak payah kamu risau, Aqel, makkan ada. Biasalah pembawaan budak. Lia ni macam mak dulu juga banyak sangat alahan” tutur mak sesedap mulutnya.
“Mak....” Membutang mataku menatap mak. Aqel terkebil – kebil menatapku. Terkejut sangat dia mendengar bicara mak.
“Jangan lewat sangat bertolak nanti bimbang mama kamu di rumah tu. Jangan lupa  kirim salam mak pada mama kamu. Tak payahlah kamu dan mak kamu risau. Beritahu dia keadaan Lia baik – baik saja” ujar mak begitu petah. Aku terus saja kematian akal berhadapan dengan mak.
“Berehatlah Lia. Kalau nak apa – apa panggil mak. Jangan buat kerja – kerja berat” pesan mak buat aku terlopong mendengarnya. Ambil berat sangat mak terhadapku persis aku sedang mengandung sekarang ini. Ketawa Aqel berderai sebaik saja mak meninggalkan bilik ini.
“Oh..... demam awak ni rupanya pembawaan budak....” ujar Aqel mengusikku. Aku menggetap bibir menahan geram. Sudah ada modal Aqel hendak kenakan aku.
“Awak jangan mengarutlah” rungutku sambil menjelingnya. Aqel tersengih panjang.
“Kan mak yang cakap tadi” balas Aqel terus – terusan mengusikku.
“Pergilah cepat!” arahku menghalaukan segera meninggalkan aku sendirian di bilik ini. Sebetulnya timbul rasa segan aku hendak berhadapan dengan Aqel. Bicara mak amat memalukan. Pandai – pandai pula mak membuat telaahan sendiri.
“Yalah.... yalah saya nak pergilah ni. Awak nak saya ambilkan apa – apakan sebelum saya pergi?” soal Aqel menawarkan khidmatnya. Tanpa menatap Aqel aku menggelengkan kepala.
“Okey.... saya nak pergi sekarang. Jaga diri baik – baik. Kalau ada apa – apa jangan lupa call saya” pesan Aqel masih dengan keprihatinannya. Aqel bergerak ke pintu. Beberapa minit kemudian tinggallah aku bersendirian di bilik ini. Sepanjang malam aku berkurung dalam bilik ini. Hanya mak yang beberapa kali menjengukku bagi mempastikan keadaan diriku. Nampak sangat mak percaya pada firasatnya yang bakal menimang cucu tidak lama lagi. Kasihan mak kemaruk sangat hendak jadi nenek.

Aku menyudu nasi bubur ayam yang mak hantar tadi. Tidak dapat aku menikmati kelazatannya sepenuh perasaan memandangkan deria rasaku kurang berfungsi. Rasa pahit saja. Kuletak kembali mangkuk bubur ini di atas meja di sisi katil. Memang tidak berselera hendak menjamahnya lagi. Terasa dingin mencengkam tulang – temulangku. Lantas kutarik selimut menyelubungi tubuhku. Aku diserang demam mengejut. Mahu menyambung tidurku kembali. Pilihan terbaik yang mampu aku lakukan saat ini. 

Selimut yang membaluti tubuhku tidak dapat melawan kedinginan yang kian berganda kurasa tika ini. Di celah – celah kelopak mataku, aku melirik ke arah jam. Sudah mencecah ke pukul 9.00 malam. Sayup – sayup kedengaran suara mak berbual – bual. Mungkin mak sedang bertelefon memandangkan hanya kami berdua saja yang berada di rumah sekarang. Kugagahi bangun lalu menyalakan lampu tidur sekali gus mematikan lampu yang menerangi bilik ini. Kipas yang berputar perlahan turut kumatikan. Aku kembali berbaring di katil. Mahu menyambung tidurku semula. Walaupun kipas sudah dimatikan dan penghawa dingin langsung tidak dihidupkan, aku tetap terasa dingin. Suhu bilik ini seolah – olah telah disejukkan oleh penghawa dingin. Kupaksa diri lena.

Dalam separuh sedar, terasa panas menormalkan suhu tubuhku kembali. Kedinginan lenyap. Aku benar – benar selesa. Kini baru aku boleh tidur lena. Setelah terlena sekian lama, aku mula terasa suhu bilik ini panas. Barangkali kerana suhu tubuhku yang sudah kembali normal. Perlahan – lahan aku mengangkat kelopak mataku. Tersentak melihat ada tangan yang sedang mendakap tubuhku. Terus saja aku leraikan tangan ini dari tubuhku. Bingkas aku bangun dari perbaringanku dan menjarakkan diri. Tergamam aku menatap Aqel yang sedang nyenyak. Langsung dia tidak terjaga. Aku bangun meninggalkan katil.

“Awak dah bangun....” suara Aqel menegurku. Aku berpaling lalu beradu pandangan dengan Aqel. Reaksi Aqel persis tiada apa yang berlaku.
“Awak buat apa kat saya ye....” bentakku menyinga. Aqel terkebil – kebil menatapku.
“Saya peluk awak, itu saja. Tak buat apa – apa pun” balas Aqel acuh tak acuh buat aku geram. Nampak Aqel begitu kecil saja di mataku.
“Lagipun saya tengoka awak terketar – ketar kedinginan semalam. Bila saya pindahkan suhu  panas tubuh saya pada awak, barulah awak boleh tidur lena” jelas Aqel meleret – leret.
“Cukup....!” tegahku. Wajahku panas membahang. Malu pada Aqel. Aqel tersengih panjang. Kelihatan dia berpuas hati setelah mendakapku sepanjang malam. Dasar lelaki buaya. Pantang dapat peluang dipergunakan sepenuhnya.
“Mama kirim salam. Mama minta awak jaga diri baik – baik” ujar Aqel masih dalam senyuman menguntum di bibirnya. Persis penghujung bicaranya itu dituturkan dengan makna yang tersirat.
“Oh.... hampir saya terlupa pula. Mama ada kirim mangga muda untuk awak, ada kat dapur tu” ujar Aqel menambah bicara dengan sengihan yang memanjang.
“Mangga muda? Saya tak mengandung nak mengidam mangga muda” sahutku dengan mata yang terbeliak. Mengapa begitu cepat perkara yang tidak betul ini sampai ke pengetahuan Mak Long.
“Mesti awak yang cakap yang bukan – bukan pada Mak Long kan” tuduhku begitu yakin angkara Aqellah cerita bohong itu tersebar begitu cepat.
“Taklah. Setahu saya semalam mak telefon mama. Lama juga mereka berbual – bual. Siap gelak – gelak lagi tu” cerita Aqel. Tepat. Mak yang berharap sangat hendak jadi nenek telah menyampaikan cerita yang tidak betul ini pada Mak Long. Bertambah runsing aku memikirkannya. Tidak sangka mak akan bertindak secepat ini.
“Yang awak balik awal ni, kenapa? Bukan ke esok masih cuti” rungutku melempiaskan rasa tidak puas hatiku. Selebihnya mahu menghentikan segera topik berbadan dua ini. Segan dan memalukan saja.
“Sedalam itu benci awak pada saya sampai dah tak sudi tengok muka saya lagi” sahut Aqel bagai merajuk. Aku diam. Mula membuat pertimbangan. Memang tidak patut aku bercakap macam itu pada Aqel. Rasa berdosa pula.
“Kan hari tu saya nasihatkan awak buat pertimbangan wajar agar tak timbul sebarang masalah” jelas Aqel mengungkit perbualan kami yang lepas. Aku menatap Aqel.
“Bukankah awak memang suka tengok saya ada masalah” bidasku perlahan. Tiba – tiba saja perasaan hiba menyelubungiku. Terasa panas mengalir di pipiku. Aku jadi terlalu emosional.
“Kenapa ni?” soal Aqel hairan. Aku terus berpaling dari tatapan mata Aqel. Lantas melangkah ke bilik air lalu mengunci diri di situ. Kutatap wajahku di dada cermin. Cepat saja kukesat air mataku.
“Bodohnya...... Mengapalah aku emosional sangat tadi” ujarku mengutuk diri sendiri. Lama aku mengurung diri di bilik ini. Setelah yakin Aqel sudah keluar, barulah aku meninggalkan bilik air. Rasa segan pula hendak bersemuka dengan Aqel. Inilah akibatnya bertindak melangkaui fikiran. Aku mengetuk kepala sendiri.


4 comments:

  1. Alhamdulillah..... di saat sy sdg sarat n menunggu kelahiran chy mata ke2, tetiba sj ada idea nak tulis bab seterusnya. mmg terindu sgt nak berkarya n x sabar nak tamatkan novel ini. tambahan pula x mahu rakan blog n pelayar blog tertungggu kesudahan NBF. diharap anda semua gembira baca bab ini...

    ReplyDelete
  2. terima kasih di atas n3 terbaru ni...x sbr nak tau kesudahannya...

    ReplyDelete
  3. Patut la lama x de n3 baru...kesian aqel..lia nikan...ishhh

    ReplyDelete
  4. Yeay..... n3 baru..... suka suka suka...... Errr tp x puas baca la..... ;-) ;-) ;-)

    ReplyDelete