Thursday, 25 December 2014

NamaKu Bukan Flora...! 66





BAB 66

“Awak bersama Flora semalam?” Haqem mengajukan pertanyaan kepada Aqel. Aqel tersentak. Tidak pernah nama itu disebut oleh Haqem. Malah dia langsung tidak pernah bercerita tentang gadis itu kepada Haqem. Musykil. Tertanya – tanya dirinya.
“Siapa Flora, Aqel?” tanya Haqem lagi. Sudah tidak terbendung keinginannya hendak mengetahui gadis itu lantaran Lia nampak sangat teruja mahu mengenali Flora. Keterujaan Lia mendorong Haqem mahu mengenali Flora. Aqel membisu.
“Kenapa awak panggil Lia, Flora?” soal Haqem lagi. Diam Aqel berpanjangan.
“Saya risau jika awak melihat bayangan Flora ada dalam diri Lia” tutur Haqem meluahkan keresahannya. Ada makna yang tersirat cuba disampaikan di sebalik bicara itu. Aqel menatapnya.
“Flora kekasih awak?” soal Haqem tidak berputus asa mengungkai misteri ini. Senyap.
“Sebab Florakah, Rania rasa terpinggir sehingga mendorongnya berlaku curang?” soal Haqem masih tidak mengalah. Kisah percintaan Aqel dengan Rania memang diketahui Haqem. Namun sejak sekian lama mengenali Aqel, dia tidak pernah mendengar nama Flora. Hairannya nama itulah yang Aqel berikan kepada Lia.
“Kalaulah awak bernikah dengan Lia kerana dia ada persamaan dengan Flora, saya takkan berdiam diri. Tak patut awak layan Lia begini. Jangan tangguh – tangguh lagi. Awak serahkan Lia kembali kepada saya” tegas Haqem dengan serius.
“Kalau awak dah ada Flora, kenapa kalian tak terus nikah saja. Pada masa itu pasti Lia takkan berpisah dengan saya” tutur Haqem kesal. Tidak sanggup dia mengimbau hari berlakunya perpisahan tersebut. Sungguh menyakitkan. Lama dirinya terseksa.
“Saya nikah dengan Flora sebab awak tak boleh jaganya dengan baik” sahut Aqel mula bersuara setelah lama membisu. Dia tidak tega berdiam diri dan membiarkan sahaja Datin Sofea dan Bella berlaku kejam kepada Lia. Sudah kewajipannya mahu melindungi gadis itu. Itu janjinya.
“Dia bukan Flora, Aqel!” tinggi suara Haqem. Aqel dan Haqem beradu pandangan.
“Awak ada masalah serius” tutur Haqem. Wajahnya keruh. Perkara yang difikirkannya sukar hendak diterima. Tidak menyangka Aqel boleh bertindak sejauh ini.
“Pergilah tenangkan diri awak. Fikir sedalamnya. Lia tak boleh terus hidup dalam ilusi awak. Awak mesti lepaskannya kalau betul awak nak melindunginya” nasihat Haqem.
“Awak sendiri tak mampu melindunginya” keluh Aqel tidak meyakini kemampuan Haqem. Sudah banyak tumpahan air mata gadis itu kerana Haqem.
“Dia tak boleh hidup hanya bersandarkan cinta awak” tegas Aqel lebih realistik.
“Saya takkan biarkan mama dan Bella sakiti Lia lagi. Itu janji saya pada awak” ujar Haqem bersungguh – sungguh. Mahu Aqel mempercayai dirinya. Mereka saling berpandangan.
“Awak yakin mampu melakukannya?” tanya Aqel was – was. Haqem mengangguk.
“Saya janji” tegas Haqem mahu membuktikan kesungguhan dirinya.
“Percayalah Lia akan bahagia bersama saya” tambah Haqem cuba mendapatkan kepercayaan Aqel. Selain ketentuan Yang Maha Esa, Aqellah yang berkuasa menentukan kesinambungan cintanya dengan Lia. Cinta mereka hanya akan bertaut kembali setelah Aqel melepaskan Lia dengan rela hati. Saat yang ditunggu – tunggu oleh Haqem. Sudah tidak sabar dirinya  hendak merealisasikan impiannya mahu hidup bahagia bersama Lia.
“Betulkan dia akan bahagia bersama awak?” soal Aqel tidak sepenuhnya meyakini kemampuan Haqem. Dia tidak mampu melenyapkan kebimbangannya terhadap gadis itu.
“Saya dan Lia berpisah bukan dengan kerelaan hati masing – masing. Banyak sangat halangan dan rintangan yang kami hadapi. Kali ini saya takkan mengalah lagi. Saya akan mempertahankan cinta kami” tutur Haqem serius. Aqel menatapnya.
“Lagipun awak dan Lia menjadi suami isteri bukan sebab cinta tapi kerana keluarga. Lia pula terpedaya. Dia fikir awak benar – benar cedera dan akan hilang keupayaan diri kerana kecuaiannya. Maka dia bersumpah akan menjaga awak sepanjang hayatnya” ujar Haqem mengungkit perkara tersebut. Aqel kaget. Tidak disangka Haqem juga mengetahui perkara itu. Aqel yakin Haqem dan gadis itu berkongsi cerita ini. Dia meluahkan perasaannya kepada Haqem. Tindakan yang bukan di luar jangkaannya memandangkan masih wujud pertautan kasih antara mereka. Apatah lagi Haqem tidak pernah melupakan gadis itu. Haqem meneruskan hidupnya bersandarkan bayangan gadis itu.
“Lia sanggup mengorbankan hidupnya demi menebus kesilapannya” tegas Haqem.
“Sungguh menyedihkan bila Lia ditipu” ujar Haqem kesal.
“Saya tak pernah tipu Flora”tingkah Aqel membela diri. Tidak tega dirinya dipersalahkan. 
 “Dia bukan Flora, Aqel!” tegas Haqem dengan suara yang tinggi. Tidak akan dibiarkan Aqel beranggapan sedemikian. Lia dengan Flora adalah orang yang berbeza. Yang pastinya Lia ialah kekasih hatinya manakala Flora ialah cinta Aqel.
“Awak tak sedar awak telah menyeksa Lia demi kepentingan sendiri” tuduh Haqem tidak berselindung. Aqel harus sedar tentang perkara ini. Dua orang gadis yang berbeza hadir dalam hidupnya. Aqel sanggup hidup bersama Lia kerana dia melihat gadis itu adalah Flora. Perkara inilah yang membimbangkan Haqem. Dia tidak tega Lia hidup dalam ilusi Aqel.
“Saya tak pasti kisah awak dengan Flora. Saya langsung tak tahu siapa Flora. Namun saya yakin dia adalah orang yang awak sayangi. Andai ditakdirkan Lia dengan Flora ada banyak persamaan, tak bermakna awak boleh menjadikan Lia sebagai Flora. Awak sepatutnya sedar bahawa Lia dengan Flora adalah orang yang berbeza, memiliki hati yang tak sama dan ada impian sendiri” tegas Haqem. Hati gadis itu milik Haqem. Dia memiliki impian hendak hidup bersama Haqem sepanjang hayatnya. Dua perkara ini berlegar – legar dalam benak Aqel. Kasihnya kepada Flora juga tidak pernah surut biarpun masa dan keadaan yang telah memisahkan mereka. Bukan menjadi kesalahan jikalau dia mahu menggandingkan Lia dengan Flora. Sekarang soal hati sahaja yang menjadi penghalangnya.
“Lepaskan Lia. Jangan seksa dirinya lagi” rayu Haqem.
“Saya tak pernah ada niat nak seksa dan sakiti Lia” tingkah Aqel. Dia tidak bersetuju jika Haqem beranggapan dia sengaja mahu menyeksa hidup gadis itu. Tiada motifnya hendak melakukan kejahatan kepada gadis itu. Jauh sekali mahu membinasakan hidup gadis itu.
“Kalau begitu lepaskan Lia demi kebahagiaannya” pinta Haqem mengulangi bicara itu.
“Awak yakin mampu membahagiakannya? Awak takkan buat dia menangis lagi?” tanya Aqel meminta jaminan. Laju Haqem mengangguk.
“Lia ialah kekasih awal dan akhir saya. Saya takkan mampu membahagiakan Lia selagi dia bergelar isteri awak” jelas Haqem menuntut Aqel melakukan sesuatu. Ada sempadan yang memisahkan dirinya dengan gadis itu. Sempadan yang hanya boleh dirobohkan oleh Aqel.
“Sekarang saya dan Lia hanya bergantung harapan pada awak. Kalau awak nak Lia bahagia, kembalikan Lia kepada saya” tutur Haqem mendesak Aqel. Senyap. Haqem tidak bersuara lagi. Aqel terdiam panjang. Nampak dia sedang berfikir. Sunyi sepi.
“Semua ini harus ada penghujungnya.....” suara Aqel sayup – sayup memecah keheningan itu. Haqem menghela nafas panjang. Lega. Bagaikan ada sinar baru dalam hidupnya.
“Terima kasih, Aqel....” ujarnya dengan perasaan terhutang budi kepada sahabatnya itu. Tindakan dan pengertian Aqel sangat diperlukannya tika ini. Hanya Aqellah tempatnya bergantung harapan.

Aku menilik – nilik kotak hadiah berwarna merah hitam ini. Kombinasi warna yang menarik. Ada garis – garis yang timbul membentuk corak bunga halus – halus. Kotak khas yang dibeli oleh Aqel untuk menempatkan kasut tumitku yang telah dibaikpulih dengan begitu sempurna. Hasratku mahu menyimpan kotak ini untuk dijadikan kotak serbaguna. Sekeping kertas merah jambu terselit di celah – celah garis lipatan di bahagian tepi kotak. Memo yang Aqel selitkan. Sedikit disorokkan daripada pandangan mata. Memang tidak akan terpandang ketika dalam keadaan kelam – kabut. Sebab itulah aku tidak nampak memo merah jambu ini ketika mengeluarkan kasut dari kotak ini.

~ Hoi..... Si Cinderella yang kehilangan sepatu..... Selepas ini pasti jiwa awak tersentuh.....      ~ Memo tulisan tangan Aqel buat aku tersenyum sendiri.
Kutarik laci meja solek. Kukeluarkan diari lalu menyelak halaman seterusnya. Pada ruang tarikh hari semalam kutampal memo comel ini. Diari inilah yang menjadi arkib himpunan memo tulisan tangan Aqel yang kuterima. Teringin pula hendak menatap memo – memo yang pernah kuterima daripada Aqel. Lantas aku menyelak helaian – helaian yang lalu. Ada beberapa memo tulisan tangan Aqel yang tersimpan kemas menghiasi diari ini. Aku membacanya.

~ Never cry for the person who hurts you.... just smile and say thanks for giving me a chance to find someone better than you.... ~ Coretan tangan Aqel yang paling menarik perhatianku.

Begitu dalam makna kalimah ini. Motivasi yang Aqel mahu sampaikan agar aku tidak  menangisi orang yang telah melukaiku. Ukirlah senyuman untuk membuktikan kepadanya bahawa akulah manusia yang kuat dan tabah menerima perpisahan itu. Ucapkanlah terima kasih kepadanya kerana meninggalkan aku. Perpisahan ini telah memberi aku peluang menemui seseorang yang lebih baik daripada dirinya. Lama aku termenung memikirkannya. Bayangan Haqem dan Aqel silih berganti mendatangiku. Sesungguhnya putaran takdir hidupku melibatkan dua orang insan ini. Haqem, kisah hidup laluku manakala Aqel kisah hidup masa depanku. Benarkah aku akan bersama Aqel sepanjang hayatku? Jika benar berlaku, bagaimana kehidupanku dengan Aqel ketika itu? Adakah lebih baik daripada sekarang? Ohh.... aku tidak dapat meramalnya!
“Awak buat apa tu?” suara Aqel menyentakkanku. Kelam – kabut aku menyimpan diari ini di tempat asalnya. Tidak mahu Aqel mengetahui yang aku baru sahaja selesai membaca memo – memo merah jambu tulisan tangannya. Segan. Banyak sangat modal Aqel hendak mengenakan aku jika perkara lalu diungkit kembali.
“Takde buat apa – apa” sahutku sambil menutup rapat laci ini. Aqel membaling tubuhnya ke sofa. Sejak akhir – akhir ini di situlah tempat kegemaran Aqel mendaratkan tubuhnya di bilik ini.
“Buang saja kotak itu” arah Aqel sambil mengarah pandangan matanya pada kotak merah hitam yang terletak di atas meja solek ini. Aku menggeleng.
“Saya nak simpan kotak ini” sahutku.
“Sayang juga awak dengan barang pemberian saya ye” ujarnya tersengih.
“Kotak cantik ini boleh dijadikan kotak serbaguna. Boleh simpan banyak barang dalam ini. Tak payahlah nak bazir duit nak beli rak” balasku dengan penerangan yang berjela. Cuba membetulkan tafsiran Aqel. Aqel mencebik bibir.
“Kedekut sangat....” perlinya. Aku mempamerkan muka bersahaja. Tidak mahu cepat melenting. Cepat sangat marah akan mendorong Aqel menyerangku bertubi – tubi. Dia memang suka menguji kesabaranku. Nampak selesa Aqel berbaring terlentang di atas sofa itu dengan hanya berbantalkan lengan.
“Kreatif juga awak....” Kali ini pujian diberikan kepadaku. Aku mencebik. Manusia lalang. Tidak tetap pendirian. Sekejap dikutuk, sekejap dipuji. Cakap berbelit – belit. Hanya memeningkan kepala sahaja hendak memikirkannya.
“Awak pergi mana tadi?” tanyaku. Bangun sahaja dari tidur, Aqel sudah tiada di rumah ini. Mak yang banyak menghabiskan masa sepanjang hari di taman bunga juga tidak mengetahui ke mana Aqel menghilang diri tatkala aku ajukan pertanyaan kepadanya.
“Keluar minum dengan Haqem” sahut Aqel membuatkan aku terdiam. Tiada perkara yang perlu aku ketahui pada pertemuan itu. Banyak tanya nanti akan mengundang salah faham Aqel. Maka aku tidak mahu berbicara tentang pertemuannya dengan Haqem itu. Senyap. Suara Aqel tidak kedengaran lagi. Mungkin dia tertidur. Aku melirik ke arah Aqel. Dalam menusuk pandangannya menatap hamparan siling. Tidak tahu apa yang sedang bergolak dalam fikirannya.
“Flora....!” Aqel berpaling ke arahku. Keluhanku menyahut panggilan Aqel. Tanda protes. Aku tidak senang Aqel memanggilku dengan nama itu.
“Saya dah terbiasa panggil awak Flora. Nama ini kan cantik dan feminin. Memang sesuai dengan awak” ujar Aqel persis memujiku sekali lagi. Namun aku tidak cepat teruja mendengar pujian tersembunyi ini.
“Ibu bapa saya bersusah payah beri saya nama yang cantik...Nurdahlia. Awak panggillah dengan nama ini. Ataupun awak boleh panggil saya Lia” tegasku.
“Saya nak panggil awak Flora juga. Ramai sangat dah orang panggil awak Lia menjadikan nama itu tak istimewa lagi” sahut Aqel sesuka mulutnya berbicara.
“Jadi nama Flora itu istimewa sangatlah...!” balasku sinis. Nurdahlia, nama yang cantik yang diberikan oleh arwah abah. Senang – senang sahaja dia kata nama yang tidak istimewa.
“Jadi nama Flora itu istimewalah..” perliku dengan anak mata yang terbuka luas menatap Aqel. Aqel tersenyum.
“Sangat istimewa. Awak jealous?” soal Aqel mengusikku.
“Minta maaf banyak – banyak. Langsung tak terlintas dalam fikiran saya” balasku geram. Aqel tergelak. Tercuit hatinya melihat reaksi yang kupamerkan.
“Pelik...... bunga....” bicaraku sendiri mengulas sebaris nama yang Aqel gemari itu. Tiada hebatnya nama itu. Langsung tidak mampu menandingi nama yang arwah abah berikan kepadaku.
“Nama awakkan bunga juga. Bunga dahlia......” ujar Aqel persis mendengar bicaraku. Telinga lintah. Cakap bisik – bisik pun masih jelas butiran bicaraku di telinga Aqel.
“Nanti saya nak tanam bunga dahlia banyak – banyak di halaman rumah supaya saya sentiasa ingat awak” tutur Aqel bersahaja.
“Suka hati awaklah...” balasku malas mahu melayan loyar buruk Aqel. Silap cakap percuma sahaja aku menerima kutukan dan perliannya. Oppss.... sekejap! Aku meneliti semula butiran bicara Aqel sebentar tadi. Aqel hendak sentiasa mengingatiku? Kenapa? Aqel ada perasaan kepadaku? Mustahil. Baru sebentar tadi dia membuktikan betapa dirinya tidak boleh dipisahkan dengan Flora. Aqel hendak berpisah denganku? Mungkin juga Aqel sudah membuat keputusan sebab itu dia mahu menjadikan aku memorinya.
“Awak menderita hidup bersama saya selama ini?” tanya Aqel. Aku berpaling ke arah Aqel. Seketika aku dan Aqel beradu pandangan. Perlahan – lahan aku menggeleng. Aqel senyum. Pelik pertanyaannya. Aqel buat aku tertanya – tanya. Sejujurnya Aqel tidak pernah menyakiti hatiku sehingga membuatkan aku menangis. Sebaliknya Aqel sentiasa berusaha melakukan yang terbaik buatku. Sungguh aku terhutang jasa kepada Aqel.
“Awak bahagia bersama saya?” pertanyaan ini pula yang keluar dari mulut Aqel. Bahagia? Bagaimana rasanya bahagia? Sentiasa dilindungi? Tergelak dan ketawa yang berpanjangan sudah cukup dikatakan bahagia? Bertikam lidah dan kritik mengkritik bahagiakah itu? Kupandang Aqel yang terbaring di sofa, kemudian mengalih pandanganku ke arah katil ini. Tidur bersempadan dan kini sentiasa bersendirian di atas tilam empuk ini, sesuaikah ditafsir bahagia? Aku tidak mampu menjawab pertanyaan Aqel. Terasa diriku kosong. Sebetulnya aku dan Aqel tidak pernah berkongsi hidup. Mungkin Aqel terlupa. Maka pertanyaan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Aqel dan aku tidak berhak menjawabnya.
“Takpe. Tak payah jawab pertanyaan saya tadi” ujar Aqel setelah lama menunggu aku bersuara. Aqel tersenyum. Wajahnya tenang sahaja. Lega. Diamku tidak menguris hatinya. Aku tidak mampu mengukur kebahagiaan itu.
“Sebenarnya kita belum bersedia melayari bahtera rumahtangga ini” bisik hati kecilku namun tidak mampu kuzahirkan di mulut. Maka diamku berpanjangan. Pernikahan boleh dilangsungkan tanpa cinta kerana cinta itu boleh hadir pada bila – bila masa sahaja.


“Lia, tunggu saya...!” laungan suara lelaki yang sangat kukenali mematikan langkahku di ruangan lobi ini. Aku berpaling. Haqem sedang mempercepatkan langkahnya mendekatiku.
“Aqel mana?” tanyanya.
“Masih dalam kereta” jawabku. Aqel menerima panggilan sebaik sahaja kereta memasuki laman parkir. Maka kutinggalkan Aqel berbual – bual dengan si pemanggil. Aqel lebih selesa jika aku tidak berada di situ. Mendengar kawalan nada suara Aqel sudah jelas menunjukkan panggilan itu bukan atas urusan kerja. Barangkali Rania yang sedang berbual dengan Aqel tadi. Oh.... sudah lama aku tidak ketemu dengan Rania! Di manakah dia sekarang? Setahuku Rania tidak bekerja di KDUT lagi. Tiada kuketahui sebab musabab dia meletak jawatan. Kali terakhir aku dan Nana nampak dia di hospital bersama Aqel. Mereka nampak mesra. Mungkin cinta mereka sudah bertaut kembali. Maklumlah Rania tidak pernah berputus asa mendapatkan cinta Aqel semula. Kalau masih ada perasaan cinta, memang tidak salah Aqel menerima Rania semula. Aqel mesti memberi peluang kepada Rania untuk menebus kesalahannya. Manusia memang tidak lari daripada melakukan kesalahan. Saling maaf – memaafkan adalah sifat yang terpuji.
“Saya nak sampaikan amanah Idlan. Dia nak saya tunjukkan gambar – gambar awak dengannya di majlis hari itu. Boleh awak singgah sebentar di office saya?” tanya Haqem.
“Tak payah risau, Marnie pun ada di situ. Kalau tak biar saya call Aqel” tambah Haqem berbicara. Haqem bersedia memohon keizinan Aqel hendak mengajakku bertandang ke pejabatnya memandangkan statusku sebagai isteri kepada sahabat baiknya itu. Kutatap jam tanganku.
“Tak apalah... saya nak tengok sekarang” pintaku menolak secara baik pelawaannya itu. Tinggal beberapa minit lagi waktu pejabat bermula. Aku yakin tiada halangan daripada Aqel.
“Boleh juga. Tak pun saya pinjamkan pada awak dulu. Selesai tengok baru awak pulangkan kepada saya” cadang Haqem. Aku mengangguk setuju. Cadangan yang baik. Lebih seronok menatap gambar bersendirian dan lebih selesa berada di pejabat sendiri.
“Ini gambarnya...” tutur Haqem sambil menghulurkan tiga buah album. Terkebil – kebil aku mengambil album daripada tangan Haqem.
“Wah, banyak juga gambar Idlan!” ujarku terkejut. Tidak menyangka gemar juga Idlan bergaya di depan kamera. Ada bakat jadi model kanak – kanak. Petah dan comel.
“Banyak gambar awak dengan Idlan dalam album tu” komen Haqem buat aku tersenyum. Sudah pasti. Setiap kali gambar diambil, Idlan tidak pernah meninggalkanku. Dia sentiasa sahaja mahu aku berada di sebelahnya. Pada majlis itu juga berkali – kali Harianie melafazkan ucapan terima kasihnya kerana kehadiranku lebih menceriakan anak kesayangannya itu. Sungguh dia berbesar hati mengenaliku. Alhamdulillah... Aku juga gembira berkenalan dengan mereka. Sesungguhnya, masih ada insan yang baik dalam kalangan orang kaya. Budi perkerti yang mulia bukanlah milik warisan keluarga. Perangai dan tingkahlaku ibu bapa tidak semestinya serupa dengan anak – anak. Wajah bengis Datin Sofea terbayang sekilas di mataku. Betapa personaliti dirinya sangat berbeza dengan personaliti Harianie. Biarpun Harianie darah dagingnya sendiri.
“Banyak – banyak gambar dalam album itu, ada satu gambar yang paling saya suka. Idlan pun cakap suka gambar tu. Saya dan Idlan nak besarkan gambar itu tapi Kak Har suruh minta keizinan awak dulu. Cadang nak gantung gambar tu dalam bilik tidur Idlan dan dalam bilik bacaan di rumah saya” jelas Haqem bercerita.
“Oh.... Takpe nanti saya cuba cari dan teka gambar yang mana satu” ujarku teruja mendengar cerita Haqem. Haqem senyum. Apa yang istimewa sangat pada gambar itu sehingga Haqem dan Idlan teruja hendak mempamerkannya. Dalam fikiranku gambar Idlan dan Haqem sedang meniup lilin dan memotong kek hari jadi. Aku dan Aqel tidak sempat menyaksikan acara itu gara – gara insiden tersalah pakai selipar jepun. Aku tersenyum sendiri.
“Awak tengoklah nanti” ujar Haqem. Aku mengangguk.
“Kalau macam tu saya pergi dululah” ujar Haqem meminta diri. Lapang dadanya setelah menyelesaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Aku mengangguk. Haqem memulakan langkah meninggalkan aku di ruang legar ini. Sebelum menyambung langkahku sempat juga aku menoleh ke belakang. Kelibat Aqel belum kelihatan lagi. Panjang juga perbualan mereka. Pasti banyak cerita yang mahu dikongsi. Maklumlah kini mereka sudah berjauhan. Tatkala hati dilamun cinta, putaran waktu 24 jam terasa singkat. Aku terus memulakan langkahku beberapa langkah di belakang Haqem. Kelihatan Haqem tergesa – gesa mengeluaran iPhone dari saku seluarnya. Ada panggilan yang diterima. Langkah Haqem terhenti. Aku melewati Haqem. Sempat bertukar senyuman seketika.
Langkahku mati. Aku berpaling ke arah Haqem. Terasa pelik tatkala aku menyedari Haqem masih mematungkan diri di situ dengan iPhone yang masih mendakap di telinga namun tiada perbualan lagi. Lama. Wajahnya pucat. Hairan aku menatap tingkahlaku Haqem yang nampak pelik. Lantas aku berpatah balik mendapatkan Haqem. Bimbang ada sesuatu yang berlaku. Mana tahu tiba – tiba sahaja Haqem rasa tidak selesa. Maklumlah zaman sekarang ini banyak sangat sakit yang mengejut. Nauzubillahminzalik. Jauh – jauhkan semua itu menimpa diri. Sentiasa memohon kepada Allah agar diberikan kesejahteraan hidup sepanjang hayat. Amin.
“Haqem..... kenapa ni?” tanyaku cemas tatkala menatap Haqem terpaku lama di situ. Haqem membisu. Mulutnya terkunci. Bagaikan ada sesuatu berita buruk yang diterimanya. Aku jadi cemas.
“Haqem..... apa yang berlaku?” tanyaku lagi. Masih tiada kata – kata yang keluar dari mulut Haqem menambah cemasku. Aku hilang akal hendak menyuruh Haqem bersuara memecah kebuntuan ini. Roh Haqem bagaikan sudah terpisah daripada jasadnya. Dia terpaku. Tidak pernah Haqem berkeadaan begini. Aku berpaling. Kelihatan kelibat Aqel baru sahaja melewati pintu utama.
“Aqel..... cepat datang sini!” laungku sambil melambaikan tangan ke arah Aqel. Mujur suaraku didengar oleh Aqel. Aqel berlari.
“Kenapa?” tanya Aqel cemas.
“Awak tengok apa yang telah berlaku kepada Haqem” ujarku cemas juga.
“Haqem.....” panggil Aqel sambil menggoncang kuat bahu Haqem. Haqem tersentak. Roh dan jasad Haqem bersatu kembali. iPhone yang didakap di telinga jatuh dari tangannya. Mujur gerakan pantas tangan Aqel sempat menyambutnya. iPhone Haqem selamat.
Are you okay?” tanya Aqel sambil menatap wajah pucat Haqem. Haqem menggeleng. Dia sudah memberikan tindak balas. Suara Aqel didengarnya. Sedikit melegakan aku. Mujur Aqel ada di sini sekarang. Dia lebih tenang menghadapi hal – hal kecemasan.
“Kenapa Haqem? Apa yang telah berlaku?” tanyaku. Haqem menatapku. Anak matanya berkaca. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Nampak kesedihan di wajah Haqem. Tangannya terketar – ketar. Bagaikan kekuatan dirinya sudah hilang.
“Ka...kak... Har....” suara Haqem tersekat – sekat. Dia tidak mampu meneruskan bicaranya. Ada sesuatu yang memberi tekanan kepadanya.
“Kenapa dengan Kak Har?” tanyaku cemas. Wajah Idlan terus menerpa diingatanku. Haqem menatapku. Kemudian mengalih pandangan kepada Aqel.
“Tenangkan diri awak” nasihat Aqel sambil menyentuh bahu Haqem. Cuba menyuntik kekuatan dalam diri Haqem. Haqem menarik nafas dalam – dalam. Cuba mengumpul semangatnya.
“Dia dah takde.....” hanya kenyataan ini yang mampu keluar dari mulut Haqem. Air matanya menitis ke pipi. Laju tangan Haqem mengesatnya. Haqem tidak mampu memberi penjelasan lanjut. Kenyataan yang samar – samar. Namun sangat memilukan.
“Kak Har dah takde?” ulangku bertanya semula. Sukar mahu menerima kenyataan ini. Haqem mengangguk. Aku terpana. Belum lama aku bertemu dengannya. Masih terngiang – ngiang suara dan gelak tawanya. Masih jelas senyumannya. Air mataku menitis mengiringi kesayuan Haqem. Mulut Aqel terkumat – kamit melafazkan kalimah tanda redha pada ketentuan Allah. Dia lebih tenang.
“Takziah. Berbanyaklah bersabar. Idlan sangat perlukan awak sekarang” tutur Aqel sambil memegang bahu Haqem. Cuba menenangkan jiwa Haqem. Wajah Idlan terbayang di mataku. Kasihannya anak yang masih dahagakan kasih sayang ibunya. Sekarang Idlan telah kehilangan ibu bapa dan adik – beradiknya. Tinggallah dia bersendirian. Sungguh Idlan kesunyian sekarang. Ya Allah, betapa beratnya ujian yang Engkau berikan kepada anak kecil itu. Lebih berat daripada yang pernah aku alami. Betapa Engkau amat menyayangi anak kecil itu....ya Allah. Air mataku menitis lagi. Cepat aku memalingkan mukaku dari pandangan Aqel dan Haqem. Tidak mahu mereka menyaksikan tangisanku.
“Kita percepatkan urusan jenazah. Cuba maklumkan perkara ini kepada saudara mara dan sahabat – handai arwah” ujar Aqel. Senyap. Haqem menundukkan wajahnya. Pilu hatinya.
“Sekejap lagi saya akan call mama” tutur Haqem. Aqel mengangguk.
“Baguslah....” sahut Aqel bersetuju. Dalam situasi sekarang persengketaan harus dilupakan. Aku yakin arwah Harianie juga mengharapkan pertemuaan terakhirnya dengan Datin Sofea sebelum jasadnya bersemadi. Dia tidak pernah berkecil hati dengan tindakan Datin Sofea selama ini. Malahan arwah mengharapkan hubungannya dengan Datin Sofea akan kembali sirna suatu hari nanti. Kasihan Harianie. Impiannya tidak terlaksana. Mudah – mudahan kepergian Harianie akan menginsafkan Datin Sofea. Sungguh aku berharap agar Datin Sofea dapat mencurah kasih sayangnya kepada Idlan. Sekarang Idlan hanya bergantung harapan kepada Haqem dan Datin Sofea.
“Saya nak ke hospital nak bawa balik jenazah. Idlan pun masih berada di sana” suara Haqem bergetar. Kesedihannya tidak dapat dibendung.
“Biar saya yang drive kereta” sahut Aqel. Tindakan yang paling tepat. Dalam keadaan sekarang Haqem memang perlukan sokongan.
“Mari...” ajak Aqel sambil memberi isyarat kepadaku. Aku mengangguk. Kemudian kami bertiga beriringan melangkah ke pintu utama meninggalkan KDUT. Bicara Harianie tempoh hari sayup – sayup menyelinap di pendengaranku. Bagaikan dirinya sudah mendapat petanda awal yang dia akan pergi buat selama – selamanya. Namun aku tidak pernah memikirkan bicara Harianie itu sehinggalah berita sedih ini kuterima. Saat yang lebih menyedihkan bakal menunggu. Aku akan cuba menjadi lebih kuat di depan Idlan agar aku mampu menyuntik semangat anak kecil itu. Sedaya upaya aku akan menahan air mata ini dari mengalir keluar.
“Pak Usu......!” Idlan terus meluru ke arah Haqem setibanya kami di wad hospital. Haqem terus sahaja memeluk tubuh Idlan. Sungguh menyayat hati.
“Mama dah tinggalkan Idlan....” getaran suara Idlan dalam tangisan yang tiada penghujung. Semakin erat Haqem memeluk tubuh Idlan. Haqem menitiskan air mata lagi. Segera dikesatnya. Tidak boleh menangis di depan Idlan. Anak kecil ini perlukan kekuatan dirinya. Haqem mesti tabah mengharungi semua ini. Aku berpaling. Tidak sanggup terus menyaksikan keadaan Idlan. Hiba dan rawan hatiku. Aku tidak mampu menahan air mataku.
“Sapu air mata awak tu. Idlan rapat dengan awak. Dia perlukan awak sekarang” ujar Aqel sambil menghulurkan sapu tangannya kepadaku. Kupandang Aqel.
“Kebersihannya terjamin. Gunakanlah tanpa was – was” ujar Aqel merujuk sapu tangan yang dipinjamkannya kepadaku. Cuba mengurangkan sedikit ketegangan. Aku tersenyum.
“Terima kasih....” ujarku sambil menyambut sapu tangan yang dihulurkan. Aku terus menyapu sisa – sisa air mata di pipiku.
“Awak cubalah pujuk dia. Tenangkan dirinya” arah Aqel. Aku mengangguk. Aku akan berusaha melakukan yang terbaik buat Idlan. Lantas aku melangkah mendekati Idlan yang masih berada dalam pelukan Haqem.
“Idlan....” panggilku lembut. Dia merenggangkan tubuhnya dari pelukan Haqem. Lantas mendongak menatapku. Wajah suci ini dibasahi oleh linangan air mata.
“Mak Usu.....” Idlan terus sahaja memeluk tubuhku. Dia menangis teresak – esak.
“Sabar sayang.... Jangan menangis lagi” pujukku.
“Mama dah takde.....” ujar Idlan hiba.
“Ya.... auntie tahu...” Kubelai lembut rambut Idlan.
“Idlan masih ada Pak Usu ..... ada Nenek Tijah ...... ada auntie” tuturku cuba meredakan tangisannya. Sempat bertentangan mata dengan Aqel. Dia tersenyum. Haqem menggosok - gosok matanya. Mak cik Tijah, penjaga Idlan menahan sendu. Dia bercakap dengan Haqem. Haqem mengangguk. Kemudian Mak cik Tijah beredar dari sini. Mungkin mahu memaklumkan yang dia hendak ke bilik air.
“Lia, saya tinggalkan Idlan dengan awak. Saya nak uruskan jenazah dengan pihak hospital. Awak tolong jaga Idlan ye” pinta Haqem. Aku mengangguk. Haqem dan Aqel meninggalkan aku dengan Idlan di sini. Sunyi sepi. Tiada celoteh panjang yang keluar dari mulut Idlan lagi. Yang kedengaran hanyalah dengkurannya yang beralun lemah.
“Sini duduk mak cik...” ujarku mempelawa Mak cik Tijah yang muncul kembali. Dia mengangguk. Dipandang Idlan yang terkulai dalam pelukanku.
“Idlan baru saja tidur” jelasku berbisik. Tidak mahu mengganggu tidur Idlan.
“Kasihan Idlan....” rintih Mak cik Tijah. Dia mengesat air matanya lagi. Kutepuk – tepuk tangan Mak cik Tijah. Aku faham perasaannya. Dia rapat dengan arwah. Pasti dia masih di awangan.
“Semua ini bagaikan mimpi” luah Mak cik Tijah. Aku mengangguk.
“Semalaman arwah mengadu sakit kepala. Mak cik nasihatkan pergi jumpa doktor. Katanya hari ini baru nak jumpa doktor. Tak sangka jadi begini pula” cerita Mak cik Tijah lemah.
“Sudah sampai ajalnya mak cik. Kita bacakan banyak al – fatihah untuk arwah. Semoga rohnya tenang di sana” doaku. Mak cik Tijah mengangguk. Hanya inilah yang terbaik buat hamba Allah yang telah kembali ke alam berzakh. Matinya hamba Allah maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang terus menerus berjalan, ilmu yang diajarkan dan bermanfaat serta anak soleh yangg mendoakannya. Aku yakin semurni hati Harianie pasti telah melakukan amalan tersebut. Arwah akan mendapat ganjarannya. Mudah – mudahan Idlan akan menjadi anak yang soleh kerana arwah telah mendidiknya dengan baik.
“Dia jatuh di bilik air masa nak ambil wuduk pagi tadi. Suami saya yang hantarnya ke hospital. Sampai di bilik kecemasan, Puan Harianie dah tak bernyawa” jelas Mak cik Tijah menyambung ceritanya. Tangannya mengesat air matanya lagi.
“Arwah ini baik orangnya. Saya dah anggap dia macam anak sendiri. Dia pun manja dengan saya” tutur Mak cik Tijah menambah ceritanya. Kasihan arwah Harianie. Dia mendapatkan kasih sayang seorang ibu daripada pembantu rumahnya. Betapa terasing dirinya daripada kasih sayang Datin Sofea. Kepergian anak perempuan tunggalnya ini kuharap akan menginsafkan Datin Sofea.
“Arwah ada menghidap penyakit serius ke mak cik?” tanyaku berbisik agar tidak mengganggu lena Idlan. Nampak Idlan keletihan. Menatap wajah suci bersih ini, hatiku pilu. Ada sisa – sisa air mata yang tertinggal di pipinya. Lembut jari telunjukku menyapunya. Sungguh aku berduka mengenang nasib Idlan yang kehilangan ahli keluarganya. Mujur dia masih ada Haqem. Selepas ini dia akan bergantung harapan kepada Haqem. Aku yakin Haqem mampu menjaga Idlan dengan limpahan kasih sayang.
“Tak tahu pula mak cik. Tapi dia selalu mengadu sakit kepala. Ada masanya kalau sakit kepalanya menyerang, arwah akan terlentang di atas katil sepanjang hari” jelas  Mak cik Tijah. Riak wajahnya persis sedang membayangkan saat – saat getir yang dilalui oleh arwah.
“Serius juga sakitnya mak cik” keluhku. Mak cik Tijah melepaskan keluhan. Wajahnya terpancar kekesalan. Kasihan arwah Harianie. Dia bersendirian menanggung derita. Rasanya Haqem juga tidak mengetahui jika arwah kakaknya itu sedang sakit. Aku yakin Haqem akan menuntut penjelasan daripada doktor tentang penyakit yang ditanggung oleh arwah Harianie.
“Bila dah diserang sakit kepala yang teruk, penglihatannya jadi kabur” ceritanya lagi. Pasti Mak cik Tijah puas menyaksikan kesakitan yang cuba Harianie sembunyikan.
“Kasihan arwah” Hanya ini yang mampu aku katakan. Kurenung wajah Idlan yang masih lena terbaring dalam pangkuanku. Sungguh berat ujian yang Allah berikan kepada Idlan. Bimbang Idlan tidak mampu memikulnya. ‘Ya Allah.... Engkau berikanlah kekuatan yang luar biasa kepada anak kecil yang tidak mengerti apa – apa ini. Tabahkanlah hatinya menghadapi ujianMu ini....’ bisik hatiku bermunajat untuk Idlan yang kini telah menjadi anak yatim piatu.
“Lenguh? Mari... biar Idlan tidur di pangkuan mak cik pula” ujar Mak cik Tijah. Aku menggeleng. Biarlah Idlan terus lena dalam pangkuanku. Tidak tega juga membiarkan Mak cik Tijah menanggung berat tubuh Idlan. Perempuan ini sudah tua hendak dibebani.
“Itu Encik Aqel ......” suara Mak cik Tijah menyentakkanku. Aku berpaling dan nampak Aqel bersendirian. Di manakah Haqem?
“Mari kita balik. Haqem dah bertolak bersama jenazah” jelas Aqel berbisik sekali gus menjawab persoalanku. Aku menatap Idlan kemudian mengalih pandangan ke arah Aqel. Rasanya tidak kuat aku hendak memikul tubuh Idlan sehingga ke laman parkir. Maka aku tiada pilihan selain membangunkan Idlan. Tidak sampai hati pula hendak mengganggu lenanya.
“Tak payah bangunkannya. Biar saya yang angkat” ujar Aqel mengerti perkara yang sedang kufikirkan. Lega. Aqel terus sahaja memaut tubuh Idlan. Kepala Idlan diletakkan di bahunya. Kemudian melangkah gagah meninggalkan kawasan ini. Langsung tidak terbeban dirinya dengan berat tubuh Idlan. Berat tubuhku pun Aqel mampu menampungnya, inikan pula tubuh kecil Idlan. Walaupun nampak sedikit kurus, namun Aqel bertenaga. Berkat gaya hidup sihat yang diamalkannya. Aku dan Mak cik Tijah mengekori langkah Aqel. Tersentuh hatiku melihat Aqel mendukung Idlan.
Lena Idlan agak luar biasa. Sampai di banglo ini Idlan masih tidur. Bebanan perasaan yang ditanggungnya menyebabkan dia keletihan yang teramat. Lagipun awal pagi dia sudah berada di hospital mengiringi ibunya. Bonda yang disangka sakit biasa – biasa sahaja, rupa – rupanya telah tiada. Perpisahan yang meruntun jiwa dan menikam kalbu. Aku mengetap bibir sehingga berbekas. Cuba menahan sendu. Gagal lagi. Setitik air mataku menitis. Laju aku mengesatnya. Betapa mudahnya air mataku keluar tika ini. Sungguh aku tidak mampu membendung perasaan sedih dan pilu tatkala menatap wajah Idlan. Anak kecil ini masih mahu bermanja dengan ibunya. Idlan memang mendambakan belaian dan kasih sayang Harianie yang sudah tiada lagi. Tanggungjawab berat yang akan Haqem pikul. Mampukah Haqem melakukannya dengan baik? Ya Allah... permudahkanlah  Haqem menangani kerenah anak kecil ini.
Alhamdulillah.....Urusan pengembumian jenazah berjalan dengan lancar. Suasana pilu dan menyayat hati menyelubungi banglo mewah ini. Tambahan pula sepanjang hari ini mendung. Bagaikan turut bersedih dengan kepergian Harianie yang mengejut. Ramai juga sahabat handai arwah dan sanak saudara Haqem datang berziarah menyampaikan ucapan takziah kepada Haqem. Tidak ketinggalan warga KDUT turut datang berziarah. Semuanya bersedih mengenang nasib Idlan yang kehilangan tempat bergantung pada usia kecilnya. Simpati melihat Idlan yang menangis teresak – esak tatkala jasad Harianie ditimbus dengan tanah. Sukar dia hendak berpisah dengan ibunya. Aku hanya mampu memeluk tubuh Idlan cuba mendamaikan perasaannya.
Tetamu sudah beransur pulang. Kini tnggallah aku, Idlan, Haqem, Aqel dan Mak cik Tijah bersama suaminya, Pak Yunus. Pak Yunus merupakan  tukang kebun keluarga ini. Idlan sejak balik dari kubur tadi hanya mendiamkan diri dan duduk bersendirian di tepi sudut ruang tamu ini. Bagaikan dirinya tidak mahu diganggu. Wajahnya nampak kosong. Nampak sangat emosinya terganggu. Idlan termenung panjang di situ. Barangkali sedang memikirkan hari – hari yang bakal dilalui tanpa ibunya. Tidak berdaya aku hendak menenangkan jiwa Idlan tika ini. Tidak mampu aku hendak menyuntik semangat kepada Idlan sedangkan aku sendiri berkali – kali gagal menahan titisan air mataku. Haqem ada masanya juga menggosok – gosok birai matanya. Berusaha menahan tangis. Hanya Aqel yang kelihatan begitu tenang. Langsung tiada air matanya yang keluar. Namun dia juga bersedih dan bersimpati kepada Idlan.
“Awak tak perlulah risau tentang hal kerja di office. Saya boleh uruskan semuanya. Awak ambillah masa berehat dan uruskan perkara yang perlu” tutur Aqel bertimbang rasa. Haqem mengangguk. Lantas ditepuk bahu Haqem. Cuba menyuntik semangat sahabatnya itu.
“Kalau awak perlukan pertolongan beritahu saya” pesan Aqel bersedia membantu pada bila – bila masa sahaja. Aqel tidak akan membiarkan Haqem menghadapi kesukaran ini bersendirian. Sudah sekian lama terbukti merekalah sahabat sejati. Berkongsi suka duka kehidupan.
“Terima kasih, Aqel” tutur Haqem lemah. Wajahnya sugul. Kepergian Harianie mengejutkannya. Belum puas menghabiskan masa bersama, bercerita panjang dan bergelak ketawa mengimbau zaman kanak – kanak mereka. Masih banyak yang mahu Haqem kongsikan bersama kakak kesayangannya itu. Aqel memandang ke arahku. Bingkas aku bangun. Sudah sampai masa kami meminta diri. Sudah sepanjang hari berada di sisi Haqem dan Idlan. Jadi tidak berat hati hendak meninggalkan mereka sekarang.
“Jaga Idlan baik – baik. Jangan biarkan dia tidur sendirian. Awak ataupun Mak cik Tijah mesti temankannya tidur” pesanku tidak mahu Idlan kesunyian. Bersendirian di bilik tidur adalah saat yang paling sunyi. Keadaan ini akan menambah kedukaan Idlan. Tidak mustahil Idlan akan meratapi kepergian ibunya sepanjang malam. Haqem mengangguk.
“Kami balik dulu” ujar Aqel lantas berjabat tangan dengan Haqem. Kulontar pandangan ke arah Idlan. Keadaannya tetap sama. Sugul. Kepetahannya berbicara sudah tidak kedengaran lagi. Sekelip mata sahaja Idlan telah menjadi pendiam. Kehilangan Harianie, ibu yang dikasihi memberikan tamparan hebat kepada Idlan. Biarlah Idlan bersendirian sekarang. Aku tidak mahu mengganggunya. Kuiringi langkah Aqel ke muka pintu.
“Mak Usu..... jangan tinggalkan Idlan....!” jerit Idlan. Serentak aku dan Aqel berpaling. Idlan terus sahaja meluru ke arahku lantas memeluk tubuhku. Kedengaran esakannya. Haqem terkedu memerhatikan gelagat Idlan. Dia sudah tidak berdaya berbuat apa – apa lagi.
“Mak Usu jangan pergi....” suaranya bergetar merayuku. Kupandang Aqel. Fikiranku buntu. Haqem tetap mematungkan diri. Sekadar memerhati.
“Awak tinggallah di sini dulu temankan Idlan” arah Aqel membuat keputusan untukku. Kupandang Idlan yang masih teresak – esak menangis sambil memeluk pinggangku. Cuba menghalang langkahku. Tidak rela dirinya ditinggalkan.
“Idlan tak payah menangis. Auntie akan temankan Idlan” pujukku sambil mengusap – usap lembut rambutnya. Idlan mendongak wajahku.
“Janji....” pintanya. Aku mengangguk.
“Ya .... janji” lafazku. Barulah Idlan mahu melepaskan pelukannya di tubuhku. Kutatap Aqel. Bimbang juga mak tidak senang aku bermalam di sini dan membiarkan Aqel balik bersendirian. Namun Aqel yang mengarahkan aku menemani Idlan. Bukan keputusan yang kubuat. Mudah – mudahan mak menilai perkara ini dari sudut belas kasihan kepada Idlan yang telah kehilangan ibu. Menolak ke tepi kisah laluku dengan Haqem. Memang aku berharap mak akan bertimbang rasa kepada Idlan persis Aqel. Haqem melangkah ke dapur tatkala Mak cik Tijah memanggilnya. Mereka perlu berbincang tentang majlis tahlil malam ini.
“Nanti saya beritahu mak perkara ini. Jangan lupa call mak minta siapkan barang yang awak perlukan” jelas Aqel akan memaklumkan tentang ketidakpulanganku bersamanya. Aku mengangguk dan berharap mak akan mengerti. Datang ke sini sehelai sepinggang sahaja. Aku memang perlukan jasa baik Aqel. Risau juga mak akan menghalang aku berbuat baik kepada keluarga Haqem tatkala mengingati layanan dingin Datin Sofea terhadapku selama ini. Namun arwah Harianie terlalu baik kepadaku. Tiada alasan aku hendak membiarkan Idlan berduka sendirian.
“Awak pun tidurlah di sini malam ni. Lebih ramai lebih elok. Ada teman berbual – bual taklah rasa sunyi sangat” tutur Haqem yang baru muncul dari dapur. Dia mengajak Aqel bermalam di sini juga. Aqel tersenyum.
“Tengoklah nanti” sahut Aqel tidak mahu menjanjikan kepastian. Namun yang pasti malam ini Aqel akan datang ke sini lagi. Dia perlu menghantar barang keperluanku. Aqel tidak pernah mungkir janji kepadaku. Keadaan darurat sekarang. Aku memang perlukan pakaian untuk malam ini dan esok. Pakaian di tubuhku ini perlu ditukar.
“Saya balik dulu. Jangan lupa call mak nanti minta tolong sediakan barang awak. Maklumlah saya ni tak arif dengan barang keperluan perempuan dan tak tahu di mana awak letak. Nanti tak jumpa pula. Saya ni bukan terror nak cari barang” ujar Aqel berjela. Bicaranya masuk akal. Aku tidak pernah memberinya taklimat tentang kedudukan harta bendaku di dalam bilik itu. He..he...he....! Barangku dengan barang Aqel disimpan secara berasingan. Hanya ada minyak wangi dan minyak rambut, berus gigi, pencuci muka, tuala mandi dan beberapa helai pakaian milik Aqel yang berada di bilikku. Barang milikku pula tiada yang tertinggal di bilik Aqel.
“Patutlah awak tak pernah menang pertandingan cari harta karun” bisik hatiku mengutuk Aqel. Namun tidak kuluahkan. Cuba menjaga tingkahlaku di depan Idlan yang berada di sisiku yang langsung tidak mahu melepaskan tanganku. Mahu menunjukkan contoh tingkahlaku orang dewasa yang terpuji yang boleh ditirunya. Aqel menatapku.
“Saya memang tak suka pertandingan mencari harta karun” ujar Aqel mengejutkanku. Persis dia terdengar suara hatiku. Sungguh ajaib. Aqel mengalih pandangannya ke wajah Idlan.
“Tak payah pegang kuat – kuat tangan Mak Usu ni, uncle takkan bawa dia balik. Suka tak kalau Mak Usu ni yang jaga Idlan?” tanya Aqel. Tangan Aqel mengusap lembut rambut Idlan. Laju Idlan mengangguk memberi reaksi pada pertanyaan Aqel. Aku terdiam. Aqel menyedari cara Idlan membahasakan diriku. Kupandang Aqel. Dia tersenyum.
“Saya balik dulu. Insyaallah saya akan datang sebelum Maghrib nanti” ujar Aqel berbicara kepada Haqem.
“Ya ..... solat Maghrib berjemaah di sini nanti” jemput Haqem. Aqel mengangguk. Aqel terus sahaja bergerak ke muka pintu. Tidak mahu berlengah kerana tinggal beberapa jam lagi dia harus kembali ke sini semula. Aku meninggalkan Haqem bersama Idlan. Memberi ruang kepada Haqem berbual – bual dengan Idlan. Mesti ada kata – kata semangat yang mahu Haqem suntikkan dalam diri Idlan. Biarlah kedua – duanya saling meluahkan isi hati masing – masing. Ketiadaanku di situ akan membuatkan mereka lebih selesa sekalipun Haqem hendak menangis. Mudah – mudahan Haqem dan Idlan tabah menghadapi semua ini.