Sunday, 12 May 2013

NamaKU Bukan Flora....48




BAB 48

“Sini rupanya kamu ye...! Perempuan tak tahu malu...!!!” Aku yang sedang leka meneliti fail – fail di rak kebinet ini terus berpaling mendengar suara  perempuan yang mengherdik dengan garang. Terkejut aku melihat Datin Sofea sedang melangkah masuk ke bilik ini dengan wajah yang menyinga.

“Err.... datin....” tuturku dengan jantung yang berdegup kencang. Memandang wajah menyinga Datin Sofea menimbulkan rasa gerunku.

“Saya dah pernah beri amaran kepada kamu agar jangan mendekati Haqem lagi. Kamu ni betul – betul perempuan tak tahu malukan....! Saya haramkan kamu bercinta dengan Haqem. Sampai bila – bila saya takkan terima kamu menjadi menantu saya....!” herdik Datin Sofea dengan kasarnya. Aku menelan liur pahit. Terasa hina sangat diri ini.

“Ini amaran terakhir saya kepada awak. Kalau sekali lagi saya dapat tahu awak masih bersama Haqem, saya takkan teragak – agak lakukan sesuatu kepada awak. Jangan kata saya tak pernah beri peringatan kepada awak andai sesuatu buruk menimpa awak!” tegas Datin Sofea serius. Betapa menggunungnya kebencirian Datin Sofea kepadaku.

“Mama buat apa ni....” Serentak aku dan Datin Sofea mengalih pandangan ke muka pintu. Haqem sedang melangkah masuk ke bilik ini. Lalu berdiri di tengah – tengah antara aku dengan Datin Sofea. Bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Awak tak apa – apa, Lia?” soal Haqem menatapku. Dia jadi serba salah.Aku cuba tersenyum dan mengangguk.


“Sorry....” ujar Haqem melafazkan kekesalannya. Aku tersenyum lagi. Pandangan mata Datin Sofea tajam menatapku. Wajahnya bertambah garang. Nampak dia sedang menahan perasaan marahnya.

“Mama bagi amaran terakhir juga kepada kamu. Segera akhiri semua ni kalau kamu mahu melihat dia ada di sini” tutur Datin Sofea memberi amaran kepada Haqem.

“Mama nak buat apa pada Lia?” soal Haqem bimbang. Datin Sofea tersenyum – senyum sendiri. Dia merasakan betapa berkuasa dirinya.

“Qem takkan biarkan mama menyusahkan Lia. Kalau berlaku sesuatu buruk kepada Lia, Qem takkan berdiam diri” ujar Haqem buatku terharu.

“Haqem... berani kamu berkata begitu pada mama .. hah....!!!” jerkah Datin Sofea tidak terkawal lagi. Pandangan Datin Sofea mencerlang menatapku. Bagaikan mahu menelanku hidup – hidup. Hatiku bergetar.

“Kamu memang perempuan tak guna.... Sebab kamu... Haqem mahu jadi anak derhaka!” tengking Datin Sofea sambil menunding jari ke arahku. Sebak dadaku menerima tuduhan sebegini. Aku tidak pernah mengharapkan semua ini berlaku.

“Mama.... please.... Qem merayu pada mama.... restuilah hubungan ini. Qem tak boleh hidup bersama Bella mahupun siapa – siapa saja selain Lia. Qem hanya akan bahagia bersama Lia” rayu Haqem menyayat hatiku. Terharu aku mendengar bicara Haqem ini. Namun jiwa raga Datin Sofea begitu teguh. Dia langsung tidak terusik mendengar rayuan Haqem  ini. Tiada simpati mahupun belas kasihan Datin Sofea kepada anak mudanya ini. Wajah Datin Sofea semakin merona.

“Andai mama tak dapat bertolak ansur juga.... Qem akan lepaskan kedudukan Qem sekarang. Qem akan pulangkan pada mama semua yang Qem ada sekarang” tutur Haqem penuh makna tersirat. Aku tersentak mendengar bicara Haqem senekad ini.

“Haqem......!!!” lantang suara Datin Sofea.

“Maafkan Qem... mama” tutur Haqem kesal.

“Kerana dia.... kamu nak tinggalkan mama. Kerana perempuan yang tak tahu malu ni kamu sanggup kehilangan segalanya...!!” jerkah Datin Sofea memuntahkan kemarahannya. Dadanya berombak kencang. Tangan Datin Sofea menepuk – nepuk dadanya. Nafas Datin Sofea kehilangan rentak. Tiba – tiba saja Datin Sofea sesak nafas. Tubuh Datin Sofea hampir – hampir rebah. Namun Haqem bertindak pantas.

“Mama.... kenapa ni?” Haqem menggoncang tubuh Datin Sofea. Aku yang turut mendekati Datin Sofea jadi panik melihat matanya sudah tertutup rapat. Keadaaan jadi cemas.

“Mama.... bangun...! Bangun mama...! Janganlah takutkan Qem begini...” rintih Haqem kematian akal melihat keadaan Datin Sofea yang sudah tidak bergerak – gerak lagi.

“Haqem.... saya telefon ambulans sekarang” ujarku lalu berlari ke mejaku. Kucapai beg galasku yang tersangkut di bahu kerusi. Terketar – ketar tanganku ketika menekan nombor kecemasan ini. Kemudian mendapatkan Haqem kembali.

“Mama... maafkan Qem.... Qem tak mahu mama jadi begini....Bangunlah mama” rintih Haqem ketakutan. Setitik air jernih menitis dari birai anak mata Haqem. Pilu hatiku menyaksikan keadaan Haqem tika ini. Bimbang dan simpati juga kepada Datin Sofea yang sudah tidak sedarkan diri lagi. Ambulans datang bersama kakitangan perubatan. Datin Sofea dikejarkan ke hospital. Haqem ada bersamanya di dalam ambulans itu. Memandangkan hubunganku dengan Datin Sofea tidak terjalin dengan baik, maka aku tidak dapat menemani Haqem saat ini. Namun doaku tidak putus – putus mendoakan semoga Datin Sofea selamat.

Aku menyandarkan tubuhku di kerusi. Perasaan terkejut masih menyelubungiku. Mengenangkan situasi cemas tadi, terbayang aku wajah pucat Haqem melihat Datin Sofea yang tidak sedarkan diri itu. Begitu menyayat hati menyaksikan air mata Haqem yang menitis keluar itu. Pasti Haqem sedang menyalahkan dirinya sekarang. Kalau aku berada dalam situasi Haqem sekarang pasti aku turut berperasaan demikian. Ya Allah.... Engkau lindungi Datin Sofea. Kembalikanlah dia sihat seperti sediakala. Ya Allah ya tuhanku....Engkau berilah ketenangan dan ketabahan kepada Haqem melalui saat gentir begini. Kurniakanlah kekuatan kepada dirinya di sisi Datin Sofea. Datin Sofea memang perlukan sangat kehadiran Haqem. Aku dikejutkan dengan deringan telefon bimbitku. Laju saja aku mencapainya. Mungkin Haqem yang menelefonku. Satu barisan nombor yang tidak kukenali terpamer di dada skrin sekali gus menimbulkan rasa hairanku. Mustahil Haqem yang menelefonku sekarang. Aku terus saja menekan butang menandakan panggilan diterima.

“Hello....”

“Kau ni memang perempuan yang tak berhati perut! Sanggup kau nak pisahkan hubungan anak dengan ibu” tengking suara perempuan di corong telefon ini. Aku terkedu. Suara ini milik Bella. Aku tahu Bella sedang berbual denganku sekarang.

“ Puaslah hati kau sekarang melihat mama Haqem masuk ICU!” kasar saja suara Bella menyalahkan aku. Aku tersentak. Nampak keadaan Datin Sofea kritikal sekarang.

“Kau ingat dengan cara ini kau akan dapat Haqem! Sedarlah Lia... Haqem takkan tinggalkan Datin Sofea. Kisah cinta kamu dahulu dah lama terkubur. Tak payahlah berharap sangat nak bercinta semula. Saya dan Haqem akan tetap jadi suami isteri!” lantang suara Bella berbicara. Aku memejamkan mataku. Bella tahu tentang hubungan laluku dengan Haqem. Aku menggigit bibir hingga berbekas. Sabarlah hati. Semua ini hanyalah ujian sementara untuk mengukur kekebalan tembok kesabaranku. Ketahuilah Allah sedang mengujimu.

“Hey.... perempuan... kau dengar tak ni...!!!!” tengking Bella naik angin tatkala aku hanya membisu dan membiarkan dirinya memaki hamun aku sesuka hati.

“Kau dah pekakkah tak dengar apa aku cakap ni! Atau kau dah bisu sebab tu tak tahu nak cakap apa!” jerkah Bella menyinga. Aku menelan liur. Tut...tuuuttttt.... Panggilan di talian dimatikan. Suara Bella sudah lenyap. Aku menghela nafas panjang. Serangan bertubi – tubi Bella satu pun tidak mampu kutepis. Sebetulnya benakku masih memikirkan tentang Datin Sofea dan keadaan Haqem tika ini. Betapa aku masih terkejut dengan kejadian sebentar tadi.

“Flora....” Aku mengangkat mukaku. Aqel sedang melangkah masuk mendekatiku.

“Awak okey?” soal Aqel. Barangkali dia sudah dapat meneka apa yang terjadi? Perlahan – lahan aku mengangguk walaupun hakikatnya tidak sedemikian. Aqel merenungku. Laju aku menundukkan wajahku. Tiada kekuatan untuk melawan pandangan Aqel. Risau Aqel mengetahui gelodok perasaanku tika ini yang sebetulnya jiwaku terasa kacau – bilau. Hatiku terguris dihujani dengan kata – kata kejam yang tidak mampu aku tepis. Telingaku terasa pedih mendengar kata – kata kesat Datin Sofea dan Bella. Saat ini aku hanya mampu membiarkan diriku di maki – hamun. ‘Ohh..... Lia....kasihannya awak. Awak betul – betul menyedihkan....’ bisik hatiku. Terasa panas meluncur laju menuruni pipiku. Laju saja tanganku mengesatnya. Tidak mahu Aqel menyaksikan deraian air mataku. Namun aku tidak mampu menahannya. Akhirnya bahuku terhinjut – hinjut menahan tangisanku. Betapa pilunya hatiku tika ini. Beberapa minit keadaan ini berlanjutan di depan Aqel. Ternyata Aqel hanya membiarkan aku merembeskan air mataku sepuas – puas hatiku.

“Nah.... dah rasa tenang sekarang?” soal Aqel sambil menghulurkan tisu kepadaku tatkala aku sudah kembali tenang. Aku geleng kepala. Kali ini aku tidak mahu berbohong kepada Aqel lagi. Andai aku menafikan sekalipun Aqel tetap aku mengetahuinya juga. Seakan Aqel lebih mengenali aku daripada diriku sendiri. Tafsiran Aqel begitu tepat.

“Saya bimbangkan Datin Sofea....kasihan pada Haqem....” tuturku perlahan.

“Kasihan pada Haqem saja... Datin Sofea?” soal Aqel sambil menatapku. Aku tersenyum. Baru tersedar dengan bicara sendiri.

“Kasihan juga...” sahutku buat Aqel tersenyum.

“Awak memang baik hati, Flora” tutur Aqel. Kurang mengerti bicara Aqel. Saat ini tiada kaitan dengan nilai hatiku. Andai Aqel berpendapat aku tidak berdendam kepada Datin Sofea memang itu yang patut aku lakukan sekarang memandangkan akulah punca pergaduhannya dengan Haqem. Sikap Haqem pasti menyakitkan hati Datin Sofea.

 “Saya nak pergi hospital sekarang. Awak nak ikut?” soal Aqel. Kupandang Aqel. Memang aku mahu mengetahui keadaan di sana, tetapi aku sedar kehadiranku di situ tidak diperlukan. Datin Sofea tidak akan mahu bertentang mata denganku dan sudah pasti Bella tidak akan membenarkan aku berada di situ. Situasi ini akan membuat Haqem serba salah dan rasa terbeban. Maka aku tidak mahu Haqem begini.

“Tiba di hospital nanti awak duduklah di mana – mana. Mungkin Haqem mahu jumpa awak” tutur Aqel cukup memahami suara hatiku yang tidak terluah. Seketika aku dan Aqel saling berpandangan.

“Okey... saya ikut awak” tuturku membuat keputusan. Aqel tersenyum.

“Mari kita pergi sekarang...” ajak Aqel lantas memulakan langkahnya. Aku mengekori langkah Aqel. Beberapa minit kemudian kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini bergerak ke destinasinya. Sepanjang perjalanan ini sunyi sepi tanpa bicara. Ternyata aku dan Aqel lebih senang membisu melayan perasaan sendiri. Di benakku bersoal jawab tentang keadaan Datin Sofea saat ini. Di mataku terbayang kesugulan Haqem. Kupejamkan mataku. Tidak mampu aku bayangkan apa akan berlaku andai keadaan Datin Sofea serius. Haqem akan terhukum sepanjang hayatnya. Lalu aku juga akan menyalahkan diri seumur hidupku ini. Aku dan Haqem tidak akan bahagia biarpun hidup bersama. Masing – masing akan menyalahkan diri dan terhukum dengan kejadian hari ini. Ya Allah... selamatkan Datin Sofea. Andai semua ini menuntut hukuman dan pengorbanan, aku sanggup menjadi galang gantinya. Aku rela menanggungnya sendirian.

“Awak nak tunggu dalam kereta ni saja?” suara Aqel menyentakkanku. Aku terkejut apabila menyedari kami sudah sampai di perkarangan hospital. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini sudah berada di laman parkir. Aku berpaling ke arah Aqel yang sudah bersedia untuk keluar dari kereta ini. Betapa jauhnya aku mengalamun.

“Saya nak keluar” sahutku lalu bangkit dari dudukku. Kubiarkan Aqel melangkah di depanku. Aku masih setia mengekori langkah Aqel.

“Bilik rawatan Datin Sofea di depan tu. Awak dah sedia nak berhadapan dengan semua orang?” soal Aqel. Perlahan – lahan aku mengangguk dengan perasaan yang tidak yakin. Kubisikkan doa di dalam hati agar segalanya berjalan dengan baik. Beberapa langkah lagi menapak di depan pintu bilik itu, langkahku tiba – tiba terhenti. Aku seakan tiada kekuatan untuk berada di situ. Langkah Aqel terhenti. Aqel berpaling ke arahku. Pandanganku dan Aqel beradu.

“Aqel.... saya rasa nak tunggu di ruang di depan tu saja” tuturku. Aqel mengangguk dan tersenyum. Tiada bantahan langsung.

“Awak tak payah susah hati. Datin Sofea takkan apa – apa. Saya akan beritahu awak tentang keadaan dirinya” jelas Aqel. Aku mengangguk. Berbesar hati dengan pertolongan Aqel ini. Memang aku ingin sangat mengetahui keadaan Datin Sofea tika ini. Aku juga ingin Aqel menyampaikan pesananku pada Haqem memintanya agar bertenang. Namun tidak mampu kuluahkan.

“Terima kasih, Aqel” tuturku menghargai pengertiannya ini.

“Saya pergi dulu” ujar Aqel lalu menyambung langkahnya kembali. Aku hanya mampu menyoroti langkah Aqel sehinggalah kelibatnya lenyap di sebalik pintu itu. Aku berpatah balik ke ruang legar pesakit luar. Lantas melabuhkan dudukku di kerusi yang agak terasing daripada orang lain. Aku ingin bersendirian menenangkan diri sehinggalah Aqel muncul kembali. Aku dengan kesabaran akan menunggu Aqel biarpun hatiku melonjak – lonjak hendak mengetahui keadaan Datin Sofea sekarang.

‘Ya Allah.... aku masih mampu menghadapi keperitan dan kesakitan yang Engkau jadikan ujian ke atasku. Biarpun aku menangis dan merintih kepiluan, aku redha ya Allah. Namun ya Allah... janganlah Engkau pindahkan apa yang aku alami ini kepada Haqem hanya kerana cintanya kepadaku. Ya Allah aku tahu ...... sesungguhnya Haqem sangat memerlukan Datin Sofea melebihi dirinya memerlukan aku. Maka janganlah Engkau ambil Datin Sofea tika ini. Berilah kesempatan kepada hamba – hambaMu yang kerdil dan lemah ini memohon ampun dan sujud di kaki seorang insan yang bergelar ibu. Aku perlukan pertolongan-Mu ya Allah...Perkenankanlah doaku ini ya Allah... ya Rabbi, Tuhan yang berkuasa di semester alam ini. Amin’.

  “Lia....” namaku dipanggil. Aku mendongak.

“Haqem....” Aku terkedu. Haqem sudah berada di depanku sekarang. Dia masih mampu tersenyum biarpun tidak seceria seperti biasa. Haqem melabuhkan duduknya di depanku.

“Aqel  mana?” soalku. Mungkin Aqel sedang menantiku di dalam keretanya. Andai begitu aku akan meminta Aqel pergi saja tanpa perlu menungguku. Aku ingin berada di sisi Haqem tika ini biarpun hanya dari kejauhan.

“Dia ada di dalam bilik tu bersama Bella menemani mama yang sedang tidur berehat” jelas Haqem. Rupanya Bella ada di situ. Aku menarik nafas lega. Ternyata pilihanku untuk berada di sini adalah tepat.

“Aqel beritahu saya yang awak berada di sini” jelas Haqem.

“Tak payah awak datang sini. Awak perlu jaga Datin Sofea” tuturku. Haqem tersenyum. Dia menatapku.

“Saya juga risaukan awak” tuturnya.

“Saya baik – baik saja. Aqel ada bersama saya” jelasku. Haqem menatapku lama.

“Ya... Aqel akan sentiasa bersama awak. Jadi saya tak perlu risau sangat” sahut Haqem. Aku mengangguk. Saat ini Haqem hanya perlu fikirkan tentang Datin Sofea.

“Saya pun boleh jaga diri sendiri. Awak mesti beri perhatian sepenuhnya pada Datin Sofea. Dia sangat perlukan awak” nasihatku. Haqem mengangguk. Senyap. Haqem melepaskan keluhan beratnya. Dia tertunduk menatap lantai.

“Saya benar – benar takut, Lia. Andai berlaku sesuatu buruk pada mama ... saya takkan maafkan diri saya” tutur Haqem kesal. Aku tahu Haqem menyesal atas tindakannya itu. Dia menyalahkan dirinya kerana telah membahayakan nyawa Datin Sofea. Perasaan bersalah menerpa dalam diri ini. Disebabkan mahu mempertahankan aku, Haqem bertindak sedemikian.   

“Saya faham perasaan awak Haqem. Maafkan saya.. saya yang bersalah” tuturku. Haqem berpaling menatapku. Dia geleng kepala.

“Kalaulah saya mampu terus menjauhi awak alangkah baiknya” keluhku kesal lantas menyalahkan diri. Haqem menggeleng lagi.

“Saya tak mahu awak menjauhi saya” tegas Haqem. Aku tersenyum.

“Pergilah temankan Datin Sofea. Saya dan Aqel perlu balik ke pejabat semula” jelasku. Aqel mesti berada di KDUT memandangkan Haqem berada di sini. Haqem mengangguk.

“Saya akan telefon awak nanti” janji Haqem. Aku mengangguk. Haqem bangkit dari duduknya namun tidak terus melangkah. Dia menatapku semula.

“Saya mahu awak terus bersama saya. Jangan sesekali jauhi saya” tutur Haqem serius. Aku terkedu. Sebak dan terharu aku mendengarkan bicara Haqem ini. Haqem meninggalkan aku bersendirian di sini. Ya Allah... aku memang mahu membahagiakan Haqem. Namun Datin Sofea juga merupakan sebahagian dari kebahagiaan hidup Haqem. Perkara yang menyedihkan... aku dan Datin Sofea tidak mungkin menjadi keluarga. Perempuan kaya itu tidak perlukan aku. Ohh... aku penasaran sekarang! Pandangan kulontar kepada Aqel yang sedang mengatur langkah ke arahku. Aqel tersenyum. Tanda tiada sesuatu yang serius sedang berlaku. Mungkin Datin Sofea dalam keadaan baik.

“Mari kita balik” ajak Aqel. Aku mengangguk lalu bangkit dari dudukku. Aku melangkah seiringan dengan Aqel ke muka pintu utama. Kami bergerak ke parkir kereta.

“Hoi.... perempuan tak tahu malu...!!!!” Langkahku dan Aqel terhenti. Serentak aku dan Aqel berpaling. Bella sedang melangkah dengan garangnya mendekati kami. Wajahnya menyinga. Betapa murkanya Bella kepadaku.

“Awak nikan memang tak tahu malu. Dalam keadaan Datin Sofea tenat begitu awak sembunyi – sembunyi lagi nak jumpa Haqem!” jerkah Bella tanpa pedulikan manusia yang lalu lalang di perkarangan hospital ini. Aku terkedu.

“Saya... sa..”

“Awakkan dah tahu Datin Sofea tak suka awak jumpa Haqem lagi! Awak begitu bodohkah sampai tak faham cakap orang lain...!” tingkah Bella memotong bicaraku. Aku menelan liur pahitku. Bicara Bella langsung tidak mempertimbangkan perasaanku. Betapa aku malu kepada Aqel dan malu kepada orang di sekeliling yang sedang menoleh – noleh ke arah kami.

“Awak tak boleh cakap begitu pada Flora!” tiba – tiba saja Aqel bersuara lantang buat Bella tersentak. Bella mengetap bibir menahan perasaan geramnya.

“Saya yang minta Haqem jumpa Flora. Saya tak mahu Flora rasa bersalah dan disalahkan dalam hal ini. Sebagai tunang dia saya wajib melindungi dirinya” tegas Aqel serius. Aku tergamam. Pembelaan Aqel ini membuatkan aku terdiam.

“Tunang dia? Awak membiarkan tunang awak sentiasa bersama bekas kekasih pertamanya?” soal Bella tersenyum sinis.

“Awak tak mengetahui apa yang saya tahu. Jadi awak kena jaga perlakuan awak. Jangan menuduh Flora sesuka hati awak. Saya takkan berdiam diri kalau ada yang cuba sakiti Flora” tegas Aqel memberikan peringatan serius. Aku terkedu, sebak dan terharu. Semuanya bercampur baur menjadi satu.

“Lebih baik kalau awak beri peringatan kepada tunang awak ni. Kalau awak tak mahu dirinya disakiti jauhi Haqem mulai sekarang” tegas Bella.

“Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Awak tak perlu ajar saya” tingkah Aqel.

“Baguslah kalau macam tu. Untuk pengetahuan kalian, hari ini Haqem dah bersumpah dengan Datin Sofea akan bernikah dengan saya. Jadi kalau awak masih berangan – angan nak bersama Haqem kembali, saya nasihatkan awak jangan buang masa. Saya dan Haqem akan bernikah bila dah tiba masanya nanti. Jadi kalian juga patut bernikah” tutur Bella dengan senyuman puas yang terukir di bibirnya. Bagaikan kemenangan sudah berpihak kepadanya. Bella terus melangkah meninggalkan aku dan Aqel yang masih terpacak di situ. Aqel berpaling ke arahku.

“Awak okey?” soal Aqel. Aku tersenyum dan mengangguk.

“Marilah kita balik” tuturku mengajaknya lalu melangkah mendahului langkah Aqel ke arah Peugeot RCZ Sports Coupe. Aku duduk di sebelah Aqel. Kulontar pandangan keluar cermin kereta yang mula bergerak ini. Sunyi sepi.       

“Saya mahu awak terus bersama saya. Jangan sesekali jauhi saya” suara Haqem berbisik di telingaku. Aku tersenyum sendiri. Ya Allah .... betapa sukarnya kehidupan ini.

“Awak dan Haqem patut bernikah sekarang” suara Aqel memecah kesepian.

“Apa?” soalku tersentak. Barangkali aku tersilap dengar.

“Awak dan Haqem patut bernikah sekarang” ujar Aqel mengulangi bicaranya. Aku tergelak sendiri. Saranan Aqel tidak dapat diterima akalku.

“Kalau betul awak dan Haqem nak hidup bersama, kalian harus bernikah sebelum terlambat. Saya cukup kenal dengan sikap Datin Sofea. Dia takkan mengalah dan bertolak ansur dengan mudah. Dia rela kehilangan apa saja daripada hajatnya tak tercapai. Takkan awak nak berpisah dengan Haqem untuk kedua kalinya?” tegas Aqel. Aku geleng kepala.

“Patutkah tunang saya cakap begini?” soalku.

“What?” terkebil – kebil Aqel menatapku.

“Baru tadi awak beritahu Bella yang saya ini tunang awak. Sekarang awak nak suruh saya nikah dengan Haqem. Logikkah?” soalku bergurau. Aqel terus tergelak.

“Sebab awak tak mahu jadi isteri saya kerana Haqem. Jadi awak harus bernikah dengan Haqem” tutur Aqel bersahaja. Aku terdiam dan terus teringat pada hajat hati mak dan Mak Long. Aku telah menggecewakan mak dan Mak Long.

“Flora.... ada orang telefon awak” suara Aqel menyentakkanku. Kedengaran deringan telefon bimbitku. Laju tanganku menyelongkar tas tanganku. Nama Aziq terpamer di dada skrin.

 “Assalamualaikum...ya Along ni” sahutku.

“Along dah lupakah hari ni janji dengan Aziq dan Cikgu Firdaus nak pergi memancing. Along tak ambil cuti ke?” bertalu – talu pertanyaan yang diajukan oleh Aziq kepadaku.

“Ya Allah... Along lupalah. Minta maaf ye...” sahutku rasa bersalah kepada Aziq dan Cikgu Firdaus.

“Macam mana ni.... Aziq bersama Cikgu Firdaus sekarang. Kami tunggu Along ni” tutur Aziq bernada rajuk. Aku menghela nafas.

“Nak batalkah ke? Sianlah Cikgu Firdaus dah susah – susah datang sini” rungut Aziq menyalahkanku secara tidak terang – terangan.

“Jangan batalkan. Nanti ambik Along di depan bakeri yang selalu kita pergi tu” pintaku. Aziq sangat arif dengan tempat itu.

“Betulkah ni Along boleh pergi?” soal Aziq teruja. Suara Aziq sudah ceria.

“Betul. Sekejap lagi kita jumpa” ujarku meyakinkannya.

“Okey... sekejap lagi Aziq dan Cikgu Firdaus datang jumpa Along” ujar Aziq.

“Okey... assalamualaikum...” Kutekan punat merah. Suara Aziq sudah tidak kedengaran lagi. Aku menatap Aqel yang sedang berpaling ke arahku.

“Saya nak kerja half day hari ni. Boleh ke?” soalku sekali gus meminta keizinan daripada Aqel. Berkerut dahi Aqel menatapku.  

 “Awak nak pergi mana?” soal Aqel hairan.

“Saya baru je ingat yang saya sepatutnya ambil cuti hari ni. Saya dah janji dengan Aziq dan Cikgu Firdaus nak pergi memancing” jelasku dan berharap Aqel akan memberi keizinan untukku bercuti.

“Hujung minggukan lebih sesuai pergi memancing” komen Aqel.

“Aqel.... saya mahu menenangkan diri” ujarku meluahkan isi hatiku. Senyap. seminit kemudian Aqel mengangguk buat aku tersenyum.

“Terima kasih, Aqel” tuturku senang hati.

“Boleh awak tolong turunkan saya di depan tu. Mereka akan datang jemput saya di situ” jelasku. Aqel patuh saja dengan permintaanku. Aku berpaling ke arah Aqel.

“Terima kasih banyak – banyak untuk hari ni. Saya juga nak minta maaf banyak – banyak sebab banyak buat salah pada awak” tuturku serius. Aqel tersenyum.

“Berapa banyak awak nak cakap ni.... Berulang – ulang cakap banyak...” komen Aqel buat aku tergelak.

“Saya sepupu awak sebab tu banyak perkara yang saya boleh buat untuk awak” jelas Aqel. Aku mengangguk faham.

“Sebab itu juga saya tak boleh jadi isteri awak.... bukan sebab Haqem” jelasku menjawab bicara Aqel tadi. Aqel menatapku.

“Saya harap awak boleh menenangkan diri. Lupakan apa yang berlaku hari ini. Tak perlu risau. Datin Sofea akan sihat seperti biasa. Awak juga perlu fikirkan tentang cadangan saya tadi” pesan Aqel mengingatkan aku pada bicaranya yang mencadangkan agar aku bernikah dengan Haqem mendahului rancangan Datin Sofea.

“Saya tak mampu lakukan semua tu” sahutku lemah. Aqel menatapku.

“Awak....” Aqel mengeluh dan geleng kepala. Aku tahu Aqel tidak bersetuju denganku. Sudah lupakah Aqel tentang kewajipan seorang anak yang mesti taat kepada bondanya. Aqel juga begitu taat kepada Mak Long. Namun bezanya sikap Mak Long tidak serupa dengan Datin Sofea. Alhamdulillah... Mak Long seorang yang serba sederhana. Beruntunglah Aqel memiliki ibu seperi Mak Long. Cabaran dan dugaan Allah berikan kepada Haqem untuk berhadapan dengan Datin Sofea. Nasib hidup seseorang memang tidak sama.  

 “Aziq dan Cikgu Firdaus dah sampai tu. Terima kasih kerana awak masih bersama saya” tuturku. Aku merasakan memang patut aku berbicara begini kepada Aqel. Hakikat yang aku harus terima bahawa Aqel akan sentiasa muncul di saat aku bersedih dan memerlukan kawan. Baru aku menyedari bahawasanya Allah telah menganugerahkan sepupu terbaik buatku yang sentiasa bersamaku. Aqel kembali mempamerkan wajah bersahajanya. Sifat dingin membekunya belum terhakis dalam dirinya.

“Esok jangan lupa datang kerja. Dapat banyak ikan nanti jangan lupa masak gulai lemak cili api untuk saya” tutur Aqel dengan wajah statiknya. Aku terus tergelak. Aqel masih dengan pandangan kosongnya menatapku.

“Selalunya kalau memancing saya ni tak berezeki. Saya hanya mahu temankan Aziq dan Cikgu Firdaus memancing” ujarku menyahut permintaan Aqel. Aqel mencebik ke arahku. Pasti dia sedang mengutukku setelah mendengar pengakuanku ini.

“Awak pergilah tidur kat rumah. Rasanya itu lebih berfaedah” saran Aqel. Aku tersengih. Betul juga cadangan Aqel ini. Namun aku telah berjanji dengan Aziq untuk bersama mereka hari ini.

“Bye....” Perlahan – lahan aku menutup daun pintu kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ini. Aqel meneruskan pemanduaan. Sekelip mata saja bayangan Peugeot RCZ Sports Coupe ini hilang dari penglihatanku. Aku terus melangkah ke arah Aziq dan Cikgu Firdaus yang sedang menanti kedatanganku.

“Assalamualaikum....” sapaku lantas menyelinap masuk ke dalam kereta Waja Cikgu Firdaus ini. Duduk bersandar di kerusi penumpang belakang.

“Along dan abang Aqel dari mana?” suara Aziq melontar pertanyaan kepadaku.

“Jenguk kawan sekerja di hospital tadi” sahutku. Serta merta aku terbayang wajah sugul Haqem. Kasihan Haqem. Perasaan bersalah menebal dalam diriku. Ya Allah kurniakanlah kesejahteraan-Mu kepada Datin Sofea. Amin.

“Nak memancing kat mana ni?” soalku mengajak Aziq dan Cikgu Firdaus berbual. Tidak mahu suasana sepi ini berterusan. Janggal rasanya perjalanan yang panjang disulami dengan kebisuan.

“Tempat yang paling banyak ikan” sahut Aziq berahsia.

“Kat kolam ternakan ikan ke?” tekaku. Cikgu Firdaus dan Aziq terus saja tergelak. Pasti mereka sedang mentertawakanku.

“Buat apa nak pancing kat kolam, tak mencabar langsung” perli Aziq.

“Dah kamu kata tadi tempat banyak ikan.. mestilah kolam ternakan ikankan...” balasku menegakkan hujahku. Cikgu Firdaus tersenyum.

“Apalah Along ni ...” kutuk Aziq. Aku tersengih. Nampak sangat memancing bukan hobiku. Mungkin aku harus ikut saja nasihat Aqel tadi.... tidur di rumah. Mudah – mudahan memancing ini akan membuatkan jiwaku kembali tenang. Ternyata Aziq mahupun Cikgu Firdaus masih mahu berahsia denganku, sehinggalah kami sampai di pinggir sebuah kampung. Aku keluar dari kereta menyertai Cikgu Firdaus dan Aziq yang nampak teruja sangat dan sudah tidak sabar – sabar lagi hendak melabuhkan pancing. Kupandang di sekelilingku. Pemandangan menghijau yang menyegarkan dan mempesonakan. Angai sepoi – sepoi membuaiku seketika. Betapa tenangnya. Kini aku berada di lokasi yang mendamaikan.

“Cik Lia nak pancing ke? Ni saya ada bawa pancing lebih” suara Cikgu Firdaus menyentakkanku. Aku berpaling. Cikgu Firdaus dan Aziq sudah berada di kawasan pilihan masing – masing. Bila – bila masa saja akan melabuhkan pancing.

“Boleh juga” sahutku lalu mendekati Cikgu Firdaus. Aku melabuhkan dudukku di sebelah Cikgu Firdaus. Posisi dua depa tangan jaraknya antara aku dengan Cikgu Firdaus. Tidak  mahu terlalu dekat demi keselesaan diri masing – masing. Pancing yang dipinjamkan kepadaku sudah siap dipasang umpan oleh Cikgu Firdaus. Aku terus melabuhkan pancing ini ke dalam sungai. Lagi cepat aku melontar umpan ke dalam sungai lagi cepat aku dapat ikan. He..he...he.... Yakin saja aku akan memperoleh hasilnya! Bukan sesuatu yang mustahil memandangkan sungai ini banyak ikan. Itu yang Aziq beritahu aku tadi. Aku terus memerhatikan pancingku.

 “Cik Lia diam dan muram je?” tegur Cikgu Firdaaus. Aku tersenyum sekilas. Bagaimana aku mahu girangkan hati ini jika Haqem sekarang bersedih dan berduka. Apatah lagi akulah puncanya. Aku tidak boleh membohongi diriku lantas tidak mempedulikan situasi Haqem tika ini.

“Ada kecemasan di tempat kerja tadi. Rasa terkejut masih tak hilang lagi” ujarku. Cikgu Firdaus mengangguk – angguk. Senyuman terukir di bibirnya.

“Semuanya okeykan sekarang?” soal Cikgu Firdaus lagi. Aku mengangguk seraya menghela nafas. Mudah – mudahan Datin Sofea cepat pulih dan Haqem sudah mampu bertenang.

“Kalau macam tu Cik Lia janganlah bersedih lagi” pinta Cikgu Firdaus menyentakkanku. Betulkah sedemikian reaksiku tika ini?

“Betulkah muka saya nampak bersedih, Cikgu Firdaus?” soalku. Cikgu Firdaus mengangguk dan tersenyum. 

“Sedih yang panjang....” tutur Cikgu Firdaus perlahan. Tersentak aku. Kutatap Cikgu Firdaus. Bicaranya terlalu dalam maknanya. Adakah tiada rahsia antara Aziq dengannya? Betulkah Aziq sudah mencanang kisah hidupku kepada Cikgu Firdaus?

“Hey.... Cikgu Firdaus ni macam Pak Nujum pula” Aku tergelak. Cuba menukar putik – putik keseriusan ini. Cikgu Firdaus turut tergelak.

“Memang pun saya Pak Nujum, Cik Lia. Cik Lia jangan tak tahu pula” gurau Cikgu Firdaus.

“Hey.... takutnya saya...” sahutku buat – buat takut. Kemudian tawaku dan Cikgu Firdaus bersatu.

“Tak payahlah bercik – cik dengan saya Cikgu Firdaus. Janggallah panggil saya begitu” luahku. Seingatku aku pernah menegur dan memohon kepada Cikgu Firdaus agar tidak memanggilku sedemikian.

“Hey... terlupa pula saya yang awak tak suka saya panggil cik... Sorry” tutur Cikgu Firdaus sambil tersengih. Cikgu Firdaus kembali mengingati perkara itu.

“Baiklah... saya takkan bercik – cik dengan awak lagi. Saya panggil awak Lia” tutur Cikgu Firdaus.

“Kan bagus macam tu.... nampak mesra” pujiku cukup senang andai Cikgu Firdaus boleh memanggilku sedemikian. Aku dan Cikgu Firdaus bertukar senyuman. Kemudian berpaling ke arah Aziq yang menjarakkan diri dariku dan Cikgu Firdaus.

“Pancinglah kat sini!” panggilku seraya melambaikan tangan ke arah Aziq. Terasa Aziq menjauhkan diri semata – mata mahu membiarkan aku bersama Cikgu Firdaus. Laju Aziq menggeleng.

“Tak nak pancing kat sana sebab Along dan cikgu asyik berbual.... bising. Nanti takde ikan datang” ujar Aziq sedikit melaung. Cikgu Firdaus tergelak. Aku terus mencebik ke arah Aziq. Alasan dia saja. Macamlah aku tidak dapat meneka hajat hatinya yang menggunung itu. Aziq pastinya akan gembira andai Cikgu Firdaus bukan setakat menjadi gurunya malah abang iparnya. Aku tahu Aziq cuba menemukan jodohku dengan Cikgu Firdaus, guru kesayangannya ini.  Seminit kemudian aku dan Cikgu Firdaus sudah tidak bersuara lagi. Mula fokus pada pancing masing – masing. Tambahan pula aku perlu banyak menjana idea untuk terus berbual panjang dengan Cikgu Firdaus.

“Lia... pancing awak. Tarik sekarang!” laung Cikgu Firdaus menyentakkanku. Aku terus saja menarik pancingku. Terasa sedikit berat. Umpan sudah mengena pada mangsanya.

“Boleh tarik?” soal Cikgu Firdaus yang sudah bangkit untuk menghulurkan bantuannya. Aku mengangguk.

“Tarik perlahan – lahan... jangan mengejut. Risau kalau – kalau ikan terlepas” pesan Cikgu Firdaus. Aku menurut saja nasihat Cikgu Firdaus. Tersenyum gembira aku tatkala melihat bukan ikan tetapi ibu udang galah sudah tergantung di pancingku. Terbukti ada juga tuahnya diriku. Cikgu Firdaus telah membantuku memisahkan udang galah ini dari mata pancing. Kemudian memasang umpan. Aku hanya tahu melabuhkan pancing ke sungai untuk menunggu mangsa seterusnya. Beberapa minit kemudian pancing Cikgu Firdaus pula yang mengena mangsanya. Begitu juga dengan Aziq. Bagaikan bergilir – gilir pula pancing kami menjerat mangsanya. Genap dua jam memancing di sini, banyak juga hasil pancing yang diperoleh. Memang betul kata Aziq tempat ini banyak ikan. Hasil pancingku seekor udang galah dan dua ekor ikan sungai. Selebihnya hasil tangkapan pancing Aziq dan Cikgu Firdaus. Walaupun aku penyumbang hasil tangkapan paling sedikit, namun sudah cukup buat aku gembira dan bangga. Sekurang – kurangnya aku tidak pulang dengan tangan kosong.

“Perut dah terasa lapar ni. Kalau ikan dan udang ni dimasak gulai lemak cili api sekarang pasti sedap sebab masih segar” tutur Cikgu Firdaus teruja.

“Betul cikgu... memang sedap” sahut Aziq tersengih menyokong bicara Cikgu Firdaus.

“Apa kata kita balik sekarang. Kemudian masak dan sama – sama menikmatinya” cadang Cikgu Firdaus.

“Cadangan yang baik. Marilah...” sahut Aziq tidak menyabar.

“Siapa yang nak masak gulai lemak cili api ni?” soalku gusar.

“Alonglah.... kan Along orang perempuan” tutur Aziq bersahaja. Besar anak mataku menatap Aziq dan Cikgu Firdaus.

“Saya tak reti masak gulai lemak cili api” sahutku berterus terang. Cikgu Firdaus tersenyum. Aziq memcebik memerliku.

“Takpe saya akan tolong awak” tutur Cikgu Firdaus sambil mengemas peralatan pancingnya serta hasil tangkapan. Kemudian melangkah ke keretanya sambil diekori oleh Aziq. Aku mengejar langkah mereka.

“Nak masak kat mana?” soalku. Pertanyaanku tidak dijawab. Aziq dan Cikgu Firdaus saling berpandangan dan tersenyum buat aku curiga.

“Kita nak masak kat mana ni?” soalku mengulangi pertanyaanku.

“Kat rumah ler” sahut Aziq masih berahsia denganku.

“Rumah mak?” soalku mahu jawapan yang terperinci. Aziq mengangguk sambil tersenyum. Aku menghela nafas panjang. Lega. Sekurang – kurangnya mak ada membantu masak lemak cili api. Wow.... sudah terbayang kelazatan masak gulai lemak cili api ikan sungai dan udang galah yang segar! Pasti menjanjikan kelazatan yang berganda – ganda. Mesti makan banyak hari ini kalau tidak rugi. Sudah terbayang di mataku hidangan tengah hari yang begitu menyelerakan. Bolehlah jemput Aqel datang ke rumah nanti memandangkan dia pun sedang mengidamkan masak lemak cili api. Alangkah baiknya kalau Haqem juga dapat bersama. Pasti sesi makan tengah hari lebih meriah lagi. Namun semua itu tidak mungkin terjadi. Bimbang jika mak dan Aziq menolak kehadiran Haqem di rumah mak.

“Kita nak pergi mana ni?” soalku hairan tatkala mula menyedari kereta waja ini tidak melalui jalan yang sama tadi.

“Relakslah Along. Kejap lagi sampailah kita ni” ujar Aziq menenangkanku. Tidak mungkin Aziq dan Cikgu Firdaus berbuat jahat denganku. Kereta waja ini membelok memasuki jalan kecil lalu berhenti di laman sebuah rumah kayu tradisional yang unik dan cantik. Aku menjengukkan kepalaku ke tingkap. Seorang perempuan berusia sedang menuruni anak tangga untuk menyambut kedatangan kami.

“Lia, kita dah sampai rumah mak saya” ujar Cikgu Firdaus buat aku terlopong. Perempuan berusia itu pasti ibu Cikgu Firdaus. Aziq dan Cikgu Firdaus terus saja keluar dari kereta Waja ini. Aku yang masih tergamam dengan kunjungan ke sini bergegas keluar. Cikgu Firdaus mengucup tangan perempuan itu lalu memeluknya. Aziq yang berdiri di sisi turut menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku pun turut sama bersalam dengan ibu Cikgu Firdaus.

“Ni pasti Liakan?” tekanya mengejutkan aku. Laju aku mengangguk. Tidak sangka perempuan ini mengetahui namaku. Kupandang Aziq yang sedang tersenyum lebar memerhatikan aku bersama perempuan ini. Pasti ini bukan kunjungan pertama Aziq datang ke sini. Nampak sangat Aziq mesra dengan ibu Cikgu Firdaus.

“Apa khabar mak cik?” soalku cuba mengukir senyuman sekali gus menghilangkan rasa terkejut dan gemuruhku. Rasa – rasa macam mahu berkenalan dengan mak mertua pula.

“Alhamdulillah sihat.... Marilah kita naik ke rumah.... kat luar ni panas” ujarnya mesra. Aku mengangguk.

“Jemput naik ke rumah, Lia” ujar Cikgu Firdaus mempersilakan aku masuk ke dalam rumah ibunya ini. Aku mengangguk dengan perasaan berbaur – baur. Segan ada, bimbang pun ada. Aziq mendahuluiku. Langkahnya seiringan dengan langkah ibu Cikgu Firdaus itu. Memang mereka sudah saling mengenali memandangkan Aziq nampak begitu mesra dengan perempuan itu. Rasanya ini bukan pertemuan pertama mereka.

“Cikgu Firdaus... saya tak reti nak masak gulai lemak cili api ler...” bisikku. Cikgu Firdaus tersenyum. Aku pula bukan main menggelabah.

“Jangan risau, mak saya akan ajar awak nanti” sahut Cikgu Firdaus. Fuhhh....buat malu saja. Rasa menyesal pun ada sebab tidak belajar sungguh – sungguh dengan mak. Berat langkahku memasuki ruangan dapur tatkala masa untuk menyediakan hidangan makan tengah hari sudah sampai.

“Kita masak gulai lemak cili api ye ikan – ikan ni. Udang galah ni Firdaus suruh Lia bawa balik nanti, buah tangan untuk mak Lia” tutur perempuan ini. Aku tersenyum. Cadangan yang tepat. Bukannya apa bimbang kalau ada menu tambahan yang terpaksa aku masak. Sekurang – kurangnya tidak perlulah aku menunjukkan bakat terpendamku. He....he....he... Selamat – selamat.

“Mak cik, saya ni bukan reti masak pun. Mak cik kena ler bagi tunjuk ajar pada saya cara – cara nak masak gulai lemak cili api” ujarku berterus – terang. Daripada berbohong dan buat – buat pandai, lebih baik bercakap benar. Nanti tidak fasal – fasal gulai lemak cili api yang aku masak tidak boleh dimakan. Tidak berbaloi pula dengan tenaga memancing berjam - jam yang dicurah hari ini. Paling penting risau buat Aziq dan Cikgu Firdaus kempunan hendak merasa gulai lemak cili api.

“Jangan risau Mak Tie akan ajar Lia macam mana nak masak gulai lemak cili api”

“Terima kasih mak cik” tuturku mula tersenyum. Lega.

“Panggil Mak Tie je... lebih mesra” pintanya. Aku mengangguk. Lima minit kemudian, Mak Tie sudah memulakan sesi pengajarannya. Aku begitu tekun menjadi pembantu dan mendengar setiap arahan Mak Tie. Pengajaran yang sangat berguna untuk menambat hati suami suatu hari nanti. Aku tersenyum sendiri. Memasak sambil berbual – bual mesra dengan Mak Tie. Jelas Mak Teh seorang yang begitu menyenangkan.

“Lia dah lama kenal dengan Firdaus ke?” soal Mak Tie. Sedikit tersentak aku mendengar pertanyaan ini.

“Tak silap saya ini kali ketiga saya bertemu dengan Cikgu Firdaus. Baru je kenal” jelasku. Bimbang juga kalau Mak Tie merasakan akulah calon menantunya.

“Ohh....” Mak Tie mengangguk faham. Namun suaranya nampak sedikit kecewa. Mungkin dia mengharapnya jodoh Cikgu Firdaus dengan segera. Mana tahu terlintas di fikirannya akulah kekasih hati anak mudanya ini. Kasihan Mak Tie jika dia ada andaian silap begini.

“Cikgu Firdaus... lelaki yang baik. Suatu hari nanti pasti dia akan jumpa isteri yang baik juga” tuturku cuba menyenangkan hati Mak Tie, malah inilah doa tulusku untuk Cikgu Firdaus. Mak Tie tersenyum dan mengangguk.

“Mak Tie pun berharap macam tu juga” sahutnya. Di dunia ini mana ada ibu yang mengharapkan anaknya tidak hidup bahagia. Mesti mereka mahukan yang terbaik dalam hidup anak – anak. Mak tidak pernah putus – putus berdoa semoga aku dipertemukan dengan lelaki yang baik. Malah mak percaya sudah ada lelaki yang terbaik Allah ciptakan untukku. Begitu juga Datin Sofea memilih Bella untuk jadi menantunya kerana dia percaya hanya gadis itu yang boleh membahagiakan Haqem.

 Sesi makan tengah hari berlangsung dengan meriahnya walaupun hanya kami berempat. Masakan Mak Tie memang lazat sehingga menjilat jari. Setanding dengan masakan mak. Begitu berselera Cikgu Firdaus dan Aziq menikmati hidangan tengah hari ini.

“Tambah lagi, Lia” saran Mak Tie. Aku geleng kepala.

“Sedikit je awak makan?” tegur Cikgu Firdaus.

“Mesti Mak Tie masak tak sedapkan” teka Mak Tie macam orang berjauh hati pula.

“Hey.... tek delah macam tu. Memang sedap pun Mak Tie masak” tingkahku tidak bersetuju dengan kenyataannya itu. Mak Tie dan Cikgu Firdaus tersenyum.

“Along memang tak kuat makan, Mak Tie” sampuk Aziq menjadi penyelamatku.

“Tapi... kuat berangan” tambah Aziq mengenakan aku pula.

“Aziq....” tegurku geram sambil menatap tajam ke arahnya. Aziq tersengih – sengih panjang. Mak Tie dan Cikgu Firdaus tersenyum – senyum.

“Orang kuat berangan maknanya sedang dilamun cinta. Betul ke Lia?” soal Mak Tie hampir – hampir buat aku tersedak. Laju aku meneguk air di gelas.

“Mana ada, Mak Tie” nafiku. Aziq sudah tergelak – gelak. Cikgu Firdaus masih dengan senyumannya. Hey.... geramnya dengan Aziq! Pandai – pandai dia buat cerita.

“Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena...he...he....he...” Aziq tersengih – sengih. Bijak pula dia berperibahasa kala ini. Bukan main lagi dia mengenakan aku.

“Tak percayalah saya orang mandi tak basah” tingkahku. Cikgu Firdaus dan Mak Tie terus saja gelak. Aku sengaja buat – buat tidak faham.

“Yelah... saya pun tak percaya orang mandi tak basah” sahut Cikgu Firdaus menyokongku. Aziq hanya tersengih – sengih.

“Seronok juga dapat makan beramai – ramai macam ni. Lebih meriah kalau mak Lia ada sama. Kan lebih baik kalau kita jadi sebuah keluarga” tutur Mak Tie buat aku terdiam. Cikgu Firdaus sempat melirik ke arahku. Aziq masih dengan sengihannya sambil menatapku.

Usai menikmati hidangan tengah hari, aku membantu Mak Tie mencuci pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Memandangkan sudah lama berada di rumah ini, aku dan Aziq memohon diri untuk pulang. Kebetulan pula Cikgu Firdaus ada urusan di bandar.

“Balik dulu, Mak Tie. Terima kasih kerana sudi terima kunjungan Lia dan Aziq dengan baik dan masak sedap – sedap tadi” tuturku berbesar hati dengan layanan mesra yang kami terima daripada Mak Tie. Mak Tie tersenyum.

“ Datanglah lebih kerap ke sini. Bawa mak sekali” pesan Mak Tie. Aku mengangguk. Namun tidak berani berjanji.

“Pergi dulu, Mak Tie” tuturku seraya bersalam dengannya.

“Hari ni Mak Tie... Esok – esok nama kat hujung tu dah hilang. Jadilah mak” bisik Aziq yang sudah berdiri di sebelahku menunggu giliran untuk bersalam dengan Mak Tie. Laju aku menyiku lengan Aziq. Celupar sangat mulutnya. Tidak tahulah sama ada Mak Tie dapat mendengar bisikannya itu. Harap – harap butir bicaranya itu tidak jelas di telinga Mak Tie. Mak Tie tersenyum.

“Kirim salam pada mak ye” pesan Mak Tie. Serentak aku nak Aziq mengangguk lalu melangkah ke arah Cikgu Firdaus yang sudah berada di dalam kereta sedang menanti kedatangan kami. Sebelum kereta ini jauh meninggalkan perkarangan rumah Mak Tie, sempat juga aku dan Aziq melambaikan tangan ke arah Mak Tie. Sepanjang perjalanan ini, Aziq dan Cikgu Firdaus begitu rancak berbual – bual. Hanya sesekali aku mencelah perbualan mereka. Itupun jawapan pertanyaan yang diajukan mereka kepadaku. Selebihnya aku lebih banyak mendiamkan diri. Aku kembali memikirkan tentang keadaan Datin Sofea dan Haqem tika ini. Betapa aku belum mampu melenyapkan kebimbanganku sepenuhnya.

“Terima kasih...” ujarku kepada Cikgu Firdaus tatkala memijak halaman rumah mak. Bererti Cikgu Firdaus sudah selamat menghantar kepulanganku dan Aziq. Cikgu Firdaus mengangguk dan tersenyum.

“Saya harap awak tak ambil hati dengan apa saja yang keluar dari mulut mak saya” tutur Cikgu Firdaus. Aku menggeleng kepala.

“Mak Tie seorang yang baik hati. Beruntung Cikgu Firdaus ada mak sebegitu” pujiku telus. Cikgu Firdaus tersenyum.

“Ya... sebaik mak awak juga” balas Cikgu Firdaus memuji mak. Aku mengangguk.

“Ya...” sahutku menerima pujian itu. Memang mak seorang ibu yang baik. Aku tidak pernah menafikan kenyataan itu.

“Cikgu Firdaus berbual – buallah dengan Aziq. Mungkin ada perkara lagi yang mahu dibualkan” tuturku lalu memohon diri untuk beredar dari situ. Cikgu Firdaus mengangguk. Aziq yang baru saja muncul sekembalinya menyimpan peralatan memancing ke dalam stor di belakang rumah. Aku sudah memulakan langkahku menjauhi mereka. Segera kukeluarkan telefon bimbitku. Lantas menulis mesej.

~ Saya harap mama awak akan cepat sembuh. Saya di sini sentiasa bersama awak ~ Lalu kuutus mesej itu kepada Haqem. Semoga kedatangan mesej ini tidak mengganggu Haqem.


No comments:

Post a Comment