BAB 49
“Encik Haqem tak kerja hari ni” tutur Marnie memaklumkan
kepadaku. Kutatap wajah Marnie. Kerisauan berputik di hatiku.
“Sakit Datin Sofea serius ke? Bukankah Datin Sofea dah
keluar wad?” soalku bertalu – talu. Semalam Haqem menelefonku lantas
memaklumkan perkara ini. Malah dia sempat juga bercerita tentang keadaan Datin
Sofea yang tidak perlu dirisaukan lagi. Mustahil pula Haqem bertikam lidah
dengannya sehingga menyebabkan Datin Sofea mendapat serangan jantung lagi. Aku
tidak percaya Haqem sekejam itu.
“Encik Haqem ambil cuti beberapa hari nak jaga Datin
Sofea” jelas Marnie menjawab persoalanku. Aku menghela nafas lega. Syukur tiada
yang serius yang berlaku kepada Datin Sofea.
“Memang patut Encik Haqem jaga Datin Sofea” sahutku
menyokong tindakan Haqem. Sebagai anak memang sudah menjadi tanggungjawab Haqem
sentiasa berada di sisi Datin Sofea tidak kira ketika senang mahupun ketika
sukar. Apatah lagi hanya Haqem satu – satunya ahli keluarga yang bersama Datin
Sofea sekarang.
“Aku mendengar khabar angin kononnya Datin Sofea diserang
sakit jantung selepas berjumpa dengan awak” tutur Marnie berhati – hati. Aku
diam. Marnie melepaskan keluhannya.
“Tapi saya tak percaya semua tu. Khabar angin sukar nak
dipercayai. Apa pula kaitan Datin Sofea dengan awakkan” ujar Marnie menolak
kenyataan itu. Aku masih membisu. Sukar aku hendak memulakan bicara. Risau kalau
aku berterus terang segalanya kepada Marnie akan mengundang perasaan tidak
senang Marnie kepadaku. Marnie pasti mengatakan aku bukan perempuan yang baik
kerana mengganggu tunang orang lain dan curang kepada tunang sendiri. Lebih
kejam andai aku dituduh menjadi penyebab derhakanya Haqem kepada Datin Sofea.
Adakah aku pentingkan diri? Tenangkah hatiku dengan bertindak sebegini?
“Kasihan Encik Haqem.... mesti dia bersedih
sekarangkan...” tutur Marnie berbicara sendiri. Aku masih senyap. Memang
kasihan dengan Haqem. Dia mesti bimbang dengan keadaan Datin Sofea sekarang.
“Okeylah... Lia, saya nak sambung buat kerja saya
sekarang. Banyak yang perlu disiapkan sebelum Encik Haqem masuk kerja semula”
jelas Marnie. Aku mengangguk. Marnie beredar meninggalkan aku di bilik ini. Aku
kembali bersendirian. Perlukah aku hubungi Haqem sekarang? Tidakkah akan mengganggu
Datin Sofea andai tika ini Haqem berada di sisinya. Sudah semestinya Datin
Sofea akan terganggu malah bakal menimbulkan ketegangan antara dua beranak itu.
Kulontar pandangan kosong pada telefon bimbitku. Ohh ...... apa yang patut aku
lakukan sekarang? Rasanya menanti Haqem menghubungiku itu lebih baik. Biarpun
aku ingin sekali mengetahui keadaan di sana. Aduhai.... tetiba saja rasa tidak
bersemangat mahu meneruskan kerja hari ini! Hati pula tidak tenteram. Aku
menjatuhkan kepalaku ke atas meja lalu memejamkan mata. Aku ingin lena walau
hanya untuk seminit andai semua itu mampu mengurangkan bebanan perasaan yang
kutanggung tika ini.
Deringan telefon bimbit mengejutkanku. Rasa malas pula
mahu mengangkatnya. Tatkala nama Haqem terlintas di ruang benakku, laju saja
tanganku menyeluk saku beg galasku. Aku tersenyum sendiri menatap sebaris nama
yang terpamer di dada skrin ini. Lega rasanya. Baru saja aku memikirkan tentang
Haqem, sekarang Haqem sudah muncul di talian. Aku tahu Haqem tidak akan membiarkan
aku bersendirian begitu lama.
“Assalamualaikum Haqem...” sapaku ceria. Salamku disambut
oleh suara Haqem yang jelas berbisik – bisik. Mungkin Haqem sembunyi – sembunyi
untuk menghubungiku. Maklumlah Datin Sofea berada di situ. Pasti Bella juga
sedang bersama dengan Datin Sofea. Saat ini memang Datin Sofea perlukan orang
yang disayangi berada di sampingnya.
“Saya memang ingin sangat jumpa awak. Nak makan sama –
sama dan bercerita panjang” ujar Haqem bersungguh – sungguh. Aku tersenyum
sendiri. Bicara Haqem sangat bererti buatku. Sesungguhnya, aku bahagia
mendengarkannya.
“Nanti kalau kita jumpa, saya masak sedap untuk awak”
laju saja mulutku berjanji.
“Hey.... tak sabarlah nak jumpa awak” tutur Haqem ceria.
Aku tertawa kecil.
“Mama awak dah sihat?” soalku.
“Alhamdulillah..... mama dah berselera makan. Macam –
macam yang dia nak. Mengalahkan orang mengidam pula lagaknya” cerita Haqem.
“Syukurlah kalau macam tu” ujarku lega dan begitu senang
mendengarkannya.
“Kalau mama rasa sup yang awak reneh mesti dia akan puji
sedap. Saya pasti mama akan menyukainya” tutur Haqem begitu yakin. Betulkah
Datin Sofea akan menyukai sup yang direneh oleh seorang yang paling dibencinya?
Sudikah Datin Sofea merasanya?
“Betulkah saya boleh reneh sup untuk mak awak?” soalku
meminta kepastian dari Haqem. Tidak yakin Datin Sofea akan menyukainya jauh
sekali sudi merasanya. Kebencian Datin Sofea kepadaku menjadi tembok penghalang
untuk aku dengan dirinya menjalin hubungan yang baik. Kisahku dengan Datin
Sofea persis drama yang sering ditayangkan di kaca tv. Si Enggang dan Si Pipit
tidak mungkin akan terbang bersama.
“Mestilah boleh....” sahut Haqem teruja.
“Saya akan reneh sup untuk awak dan Datin Sofea, tapi
awak janji dengan saya akan merahsiakan perkara ini. Saya tak mahu awak cakap
pada Datin Sofea bahawa sayalah yang mereneh sup untuknya” pintaku. Aku tidak
mahu niat suciku akan disalahertikan. Paling mustahak perkara itu tidak akan
mengundang perbalahan antara Haqem dengan Datin Sofea.
“Awak tak perlu risau. Saya faham...” ujar Haqem mengerti
perkara yang sedang bergolak di benakku sekarang.
“Mana tahu bila dah merasa sup tu nanti, mama terus suka
awak” tutur Haqem berharap. Aku terdiam. Terlalu tinggi angan – angan Haqem.
“Petang esok saya tunggu awak kat office ye. Esok awak
dah kerja ke?” soalku.
“Saya masih cuti lagi” sahut Haqem. Mungkin esok bukan
hari yang sesuai untuk berjumpa dengan Haqem.
“Tapi.... saya akan datang jumpa awak” tutur Haqem.
“Awak pasti ke ni?” soalku seakan tidak yakin Haqem akan
datang.
“Ye... saya memang dah tak sabar nak jumpa awak. Rindu
sangat dengan awak” tutur Haqem begitu romantis. Aku tersenyum sendiri.
“Tak sabar nak jumpa saya atau tak sabar nak merasa sup
tu” tuturku mengusik Haqem. Haqem tergelak.
“Dua – dua sekali” sahut Haqem diikuti dengan tawanya.
Aku tersenyum. Tiba – tiba saja aku terdengar suara perempuan memanggil Haqem.
Suara yang cukup aku kenali.
“Lia, nanti saya call awak lagi. Assalamualaikum....”
tergesa – gesa Haqem mengakhiri perbualan ini. Suara Haqem sudah tidak
kedengaran lagi. Aku yakin saat ini Bella sudah berada dekat dengan Haqem.
Kasihan Haqem. Pasti Haqem sedang disoal siasat oleh gadis itu sekarang.
Kulupakan tentang Bella seketika. Aku mula memikirkan tentang janjiku pada
Haqem. Aku akan mereneh sup yang sedap untuk Haqem dan Datin Sofea. Kucapai
buku catatan kecilku lalu menyenaraikan bahan – bahan yang perlu aku beli balik
kerja nanti. Kutenung seketika senarai bahan yang sudah siap aku tulis ini.
Berfikir seketika. Cuba mengingati jikalau ada bahan yang tertinggal. Rasanya
sudah lengkap semuanya. Lantas kututup buku catatan ini lalu menyimpannya ke
dalam beg galasku. Risau jikalau tertinggal di sini nanti.
Tepat jam 5.00 petang, aku bergegas meninggalkan bilik
ini menyusun langkah merentasi ruang legar KDUT yang luas ini. Sempat bertukar
senyuman dengan pengawal keselamatan ketika melewati pintu utama. Sesungguhnya,
ada kenangan pahit yang terakam di sini. Kenangan yang mencuit hati sehingga
membuatkan aku tersenyum sendiri. Peristiwa yang berpunca dari Aqel. Oh.. sudah
beberapa hari aku tidak ketemu Aqel mahupun mendengar perkhabaran dirinya.
Sejak kebelakangan ini, mak juga jarang bercerita tentang Aqel dan Mak Long
kepadaku. Barangkali mak sudah menerima kenyataan bahawa aku dan Aqel tidak
berjodoh untuk menjadi suami - isteri. Kecewakah mak dan Mak Long? Maafkan aku
mak.... Mak Long.... Aqel memang lelaki yang baik dan sesempurna lelaki, namun
aku tiada perasaan istimewa kepadanya.
Kereta Waja yang kupandu singgah di sebuah pasar raya
pilihanku. Sebelum langkahku jauh menjelajahi premis ini, kucapai bakul. Aku
memang perlukan bakul ini memandangkan sudah ada senarai barang yang perlu aku
beli sekejap lagi. Kukeluarkan buku catatan kecilku dari beg galasku bagi
memudahkan aku mencari barang yang perlu aku beli. Sekurang – kurangnya aku
boleh menjimatkan masa untuk mengingat semua itu. Paling mustahak tiada bahan
yang terlupa untuk dibeli. Lima belas minit kemudian, bakul kuning ini sudah
hampir penuh terisi. Aku hampir – hampir berjaya mengumpul kesemua bahan yang
tersenarai dalam buku catatanku ini. Bahan terakhir yang paling penting yang
mesti aku dapatkan ialah tulang daging untuk dibuat sup nanti. Aku bergerak ke
bahagian bahan – bahan mentah. Salah satu sebab mengapa aku suka berkunjung ke
premis ini walaupun terpaksa berbaris di kaunter pembayaran ialah kerana bahan
– bahan mentahnya yang segar. Aku meminta penjual itu membungkus 2 kilogram
tulang daging kerbau segar untuk dibuat sup nanti. Rasanya tidaklah banyak
sangat memandangkan Haqem boleh makan dengan banyak.
“Terima kasih ....” tuturku sambil menyambut tulang
daging yang sudah siap dibungkus yang
dihulurkan kepadaku. Aku dan penjual itu sempat bertukar senyuman.
Kuletakkan bungkusan tulang daging ini ke dalam bakul yang sudah hampir penuh
ini. Rasa menyesal pula tidak mengambil troli tadi. Bukankah itu lebih
menyenangkan. Tidak perlulah aku mengangkat bebanan yang berat sangat. Belum
sempat tanganku mendarat di tangkai bakul kuning ini, tiba – tiba saja begitu
pantas sepasang tangan mendarat di situ.
“Boleh saya tolong awak?” suara lelaki bertanya. Aku
mendongak.
“Aqel....” tersentak aku menatap Aqel yang sudah berada
di depanku sambil membimbit bakul kuning ini.
“Awak buat apa kat sini?” soalku tidak menyangka akan
bertembung dengannya di sini.
“Nak buat show” sahut Aqel mengenakan aku. Aku menjeling
Aqel yang sedang tersenyum. Suka sangat dia mengenakan aku. Memang dasar kaki
buli.
“Datang dengan Mak Long ke?” soalku sambil anak mataku
melilau mencari kelibat Mak Long. Aqel menggeleng.
“Mama kat rumahlah” jelas Aqel menjawab pertanyaanku.
Bermakna Aqel juga sepertiku sehabis waktu kerja terus datang ke sini. Buktinya
pakaian kerja masih tersarung di tubuh Aqel. Bukan sesuatu yang ganjil Aqel
mengunjungi premis ini hendak membeli barang – barang dapur memandangkan Aqel
suka memasak dan punya kemahiran memasak tersendiri.
“Banyak barang awak beli. Nak buat kenduri ke?” soal Aqel
dengan dahi berkerut. Aku hanya senyum.
“Mana cukup buat kenduri hanya dengan sebakul barang” sahutku sinis. Aqel tersenyum. Sungguh manis senyuman anak teruna Mak Long ini. Bikin hati terusik.... hehehe. Perkara ini tidak boleh diketahui oleh Aqel. Nanti tidak fasal – fasal kembang kuncup hidungnya. Paling penting dia tidak jadi jejaka perasan. Jangan salah tanggapan pula. Hal ini tidak bermakna aku sudah suka kepada Aqel sebagai seorang perempuan. Sama sekali tidak! Perasaanku kepada Aqel tetap seperti dahulu.
“Mana cukup buat kenduri hanya dengan sebakul barang” sahutku sinis. Aqel tersenyum. Sungguh manis senyuman anak teruna Mak Long ini. Bikin hati terusik.... hehehe. Perkara ini tidak boleh diketahui oleh Aqel. Nanti tidak fasal – fasal kembang kuncup hidungnya. Paling penting dia tidak jadi jejaka perasan. Jangan salah tanggapan pula. Hal ini tidak bermakna aku sudah suka kepada Aqel sebagai seorang perempuan. Sama sekali tidak! Perasaanku kepada Aqel tetap seperti dahulu.
“Ada apa – apa nak beli lagi?” soal Aqel. Aku geleng.
“Nak bayar kat kaunter” jelasku sekali gus memohon Aqel
bergerak ke situ. Aqel mendahului langkahku. Laju saja aku mengeluarkan dua
keping not RM 50.00 dari dompetku. Satu syarat kepada Aqel bahawa aku sendiri
akan membayar kos barang – barang ini. Tatkala barang terakhir dimasukkan ke
dalam beg plastik, aku terus saja menghulurkan not RM 50.00 ini kepada juruwang
yang bertugas. Bimbang kalau Aqel yang mendahuluinya. Aku tidak mahu terlalu
banyak terhutang budi kepada Aqel. Terasa segan kalau Aqel terlalu baik
kepadaku. Pertolongan Aqel bukan setakat ini saja, malah anak muda Mak Long ini
jugalah yang menyimpan barang – barang yang kubeli ini ke dalam bonet kereta
Waja ini.
“Terima kasih banyak – banyak Aqel” tuturku berbesar hati
dengan pertolongan yang dihulurkannya ini. Aku sangat menghargainya.
“Kalau awak atau Mak Usu nak masak sedap – sedap jangan
pula lupa jemput saya sekali ye” tutur Aqel berwajah bersahaja. Aku tersenyum.
“Walau sebahagia manapun awak, ahli keluarga awak jangan
pula dilupa” tutur Aqel sinis mengutukku. Aku menjeling tajam ke arahnya.
“Saya takkan jadi macam tulah. Saya bukannya macam awak,
dah tahu saudara sendiri tapi masih buat – buat tak kenal” sindirku mengimbau
pertemuan awalku dengan Aqel. Aqel masih mempamerkan wajah bersahajanya. Betapa
aku terkejut sangat tatkala melihat Aqel berada di ruang dapur bersama Mak Long
dan mak tika itu. Sedangkan kutengok Aqel hanya bersahaja melihatku. Sungguh
aku tidak menyangka rupanya Aqellah anak muda Mak Long yang bernama Hyeon itu.
“Saya mengenali awak sebelum bertemu awak” tutur Aqel
sambil menatapku.
“Maksud awak?” soalku kurang faham.
“Pandu kereta hati – hati. Kirim salam pada Mak Usu.
Jumpa lagi” tutur Aqel lalu memaling tubuhnya dari pandanganku. Aqel memulakan
langkahnya meninggalkan aku bersama persoalan yang belum terjawab itu. Tidak
semena – mena aku rasa geram kepada Aqel sebab telah meninggalkan aku dalam
kemusykilan. Aduhai..... binggungnya! Tidak suka diri tertanya – tanya
sebegini. Mengapalah aku bersaudara dengan manusia pelik seperti Aqel?
Setiba di rumah, aku bergegas solat Asar kerana sudah
terlewat lantaran banyak masa telah dihabiskan di pasar raya tadi. Kemudian
mula menyiapkan bahan – bahan untuk mereneh sup agar keesokannya tidak perlu
bangun awal pagi sangat. Bahan – bahan yang sudah siap dihiris kusimpan di
dalam peti sejuk.
“Banyak bahan kamu sediakan. Ada majlis di tempat kerja
ke esok?” suara mak melontar pertanyaan kepadaku. Aku berpaling. Mak berada di
sink membasuh tangan.
“Lia nak tolong masak untuk kawan” sahutku.
“Kawan sekerja ke?” soal mak lagi. Aku mengangguk.
“Lelaki ke perempuan?” soal mak buat aku terkedu.
“Lelaki.... kawan Aqel” jawabku perlahan dan masih mahu
menyimpan rahsia.
“Oh....” Mak mengangguk – angguk faham. Mudah – mudahan
mak tidak akan mengajukan perkara ini kepadaku lagi. Aku yang sudah kematian akal
memang tidak mampu memberi sebarang jawapan lagi.
“Nanti masak sedap – sedap. Jangan buat malu diri
sendiri. Biar Aqel bangga ada sepupu macam kamu” nasihat mak.
“Perkara itu pula yang mak fikir” komenku. Mak tersenyum.
Suka sangat mak mengaitkan diri Aqel denganku. Adakah mak masih tidak berputus
asa untuk menyatukan aku dengan Aqel? Masihkah mak menggantung harapan untuk
bermenantukan Aqel?
“Mak suka sangat dengan Aqelkan” ujarku. Mak mengangguk.
“Sayang Aqel juga seperti Mak Long kamu sayangkan kamu dua
beradik” ujar mak. Aku diam. Hakikat yang tidak mampu aku sangkal. Sebuah
keluarga kecil yang saling sayang – menyayangi. Kasih sayang yang mahu
diutuhkan lagi dengan ikatan pernikahanku dengan Aqel. Namun aku tidak mampu
memenuhi impian mak dan Mak Long itu. ‘Maafkan Lia, mak. Maafkan Lia, Mak
Long’... bisik hatiku sambil menatap wajah mak.
“Lia tahu betapa suka dan sayangnya mak pada Aqel. Lia
juga sayangkan Aqel. Namun Lia tak mampu penuhi hajat hati mak dan Mak Long.
Lia tak dapat bernikah dengan lelaki yang Lia anggap sebagai abang sendiri”
tuturku perlahan meluahkan isi hatiku. Seketika aku dan mak berpandangan dengan
mulut yang terkunci. Mak tersenyum.
“Mak masih berharap kamu berdua ada jodoh” tutur mak
begitu tenang lalu melangkah meninggalkan aku bersendirian di dapur ini. Aku
termenung panjang. Betulkah mak masih tidak berputus asa? Kesungguhan mak
merunsingkanku. Aku sedar betapa mujarabnya doa seorang ibu untuk anaknya.
Harapan dan keinginan akan mendorong seseorang berdoa. Mungkinkah mak akan
sentiasa berdoa agar Allah akan mempertemukan aku dengan Aqel sebagai suami
isteri? Sesuatu yang tidak mustahil bagi mak melakukannya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku menatap dua biji bekas yang begitu setia menemaniku
menanti kemunculan Haqem walaupun sudah sejam masa berlalu dari waktu yang
dijanjikan. Aku masih berada di sini dengan kesabaran. Tika ini menuntut
sedikit pengorbanan. Berbanding dengan
apa yang telah Haqem lakukan untukku selama ini belum mampu menandingi
pengorbananku yang sedikit ini. Sesekali anak mataku melirik ke arah jam di
pergelenganan tanganku. Sedikit membimbingkan aku jikalau Haqem tidak muncul.
Siapa yang akan menghabiskan sup tulang dalam dua bekas ini? Sedekah kepada
Marnie, Reka atau rakan sekerja yang lain? Malangnya mereka sudah lama
meninggalkan perkarangan KDUT ini. Mungkin sudah bersenang – lenang di rumah.
Kucapai telefon bimbitku. Mungkin juga ada mesej dari
Haqem yang tidak kusedari kedatangannya. Skrin kosong. Tiada sebarang panggilan
yang tidak dijawab mahupun pesanan mesej yang dikirimkan kepadaku. Lama kutatap
telefon bimbit ini, lantas membuat pertimbangan. Perlukah aku menghubungi
Haqem? Barangkali Haqem terlupa tentang pertemuan kami petang ini. Mungkin juga
Datin Sofea menghalang Haqem meninggalkan rumah, maka Haqem dikehendaki
sentiasa berada di sisinya. Oh.... tidak baik aku berprasangka buruk! Andai
andaian ini tepat memang patut Datin Sofea bertindak sedemikian. Haqem anak
lelaki. Memang dirinya sudah menjadi hak Datin Sofea. Tanggungjawab seorang
anak lelaki kepada ibu bapanya adalah sepanjang hayatnya. Kusimpan telefon ini
kembali ke dalam saku beg galasku. Aku tidak mahu membuat panggilan mahupun
menghantar mesej kepada Haqem. Mahu terus menunggu Haqem di sini.
Aku mengatur dudukku di bangku kayu ini. Cuba mencari
keselesaan diri lantaran sudah lama melabuhkan duduk di sini. Kulontar
pandangan jauh – jauh. Berada di taman di atas bumbung bangunan KDUT ini
menyedarkan aku betapa sunyinya saat ini. Tiada sesiapapun yang sudi berkunjung
ke sini selain aku. Taman ini seolah – olah taman larangan yang tidak boleh
dikunjungi sesuka hati oleh sesiapa saja. Mungkin warga KDUT tidak mengetahui
tentang kewujudan taman ini? Marnie
mahupun Reka tidak pernah bercerita tentang taman ini. Betapa ruginya andai keindahan
taman ini tidak dinikmati sebaliknya terbiar begitu saja. Aku melirik lagi ke
arah jarum jam tanganku. Sudah hampir dua jam aku berada di sini. Tercelit rasa
bimbang andai mak menanti kepulanganku. Namun aku sudah maklumkan kepada mak
yang aku akan balik lewat hari ini. Kebetulan pula sudah dua hari aku bercuti
solat. Sesuatu yang biasa bagi perempuan.
Aku melontar pandangan ke pintu itu. Berharap kelibat
Haqem akan muncul sebentar lagi. Bukan bosan menanti kemunculan Haqem, tetapi
rasa tidak selesa bersendirian di tempat sunyi begini. Tempat yang sunyi
sebegini sangat berisiko terdedah pada perkara yang tidak elok. Ruang dan
peluang untuk berlaku jenayah terbuka luas. Lebih – lebih lagi bagi seorang
perempuan. Ya Allah... Engkau lindungilah aku daripada sebarang musibah.
Kupejamkan mataku.
“......hari ini Haqem dah bersumpah dengan Datin Sofea
akan bernikah dengan saya. Jadi kalau awak masih berangan – angan nak bersama
Haqem kembali, saya nasihatkan awak jangan buang masa. Saya dan Haqem akan
bernikah bila dah tiba masanya nanti” suara Bella tiba – tiba saja menerpa
pendengaranku. Aku tersentak. Suara Bella terus lenyap. Nada dering telefon
bimbitku mengejutkan aku. Mungkin Haqem yang menghubungi memaklumkan tentang
kelewatannya untuk datang ke sini lantaran terlalu sukar untuk melepaskan diri
dari pandangan Datin Sofea. Kemudian Haqem memintaku terus bertahan di sini
menanti kedatangannya. Ataupun Haqem mahu menyampaikan permohonan maafnya
kerana dia tidak dapat menemuiku demi menjaga hati dan perasaan Datin Sofea.
Andai inilah sebab ketidakmunculan Haqem, maka aku harus menerimanya dengan
hati terbuka. Haqem adalah hak Datin Sofea. Kewajipan seorang anak lelaki untuk
terus berada di sisi ibunya sehinggalah deruan nafasnya berakhir.
“Assalamualaikum... mak. Ye sekejap lagi Lia balik”
tuturku menjawab panggilan itu sekali gus isyarat aku mengalah bagi meneruskan
perjuanganku di sini. Tidak ralat mahu membiarkan mak menunggu lama
kepulanganku. Kasihan juga membiarkan mak terus bersendirian sepanjang hari
ini. Kulontar pandangan ke pintu itu lagi. Sesaat... seminit...dua minit...tiga
minit...empat minit...lima minit... tiada sesiapa muncul di situ. Perlahan –
lahan aku bangkit dari dudukku. Kucapai beg kertas yang terisi dua biji bekas
ini. Nampaknya bukan rezeki Haqem mahupun Datin Sofea hendak merasa sup ini.
Aku mengatur langkah longlai ke pintu meninggalkan taman ini. Rasanya Haqem
tidak akan muncul di sini.
“Assalamualaikum.... Awak masih ada di pejabat?” soalku
meminta kepastian.
“Ye ..... ” sahut Aqel hairan. Aku menarik nafas lega.
“Boleh kita jumpa sekejap? Saya tunggu awak di depan
pintu utama bangunan ni” pintaku sekali gus memberi penjelasan. Senyap. Mudah –
mudahan Aqel akan bersetuju.
“Okey...” jawab Aqel ringkas. Tut...tut.... Aqel sudah
mematikan panggilan ini tanpa sebarang pertanyaan yang mahu diajukan kepadaku.
Nampaknya Aqel tidak mahukan penjelasan lanjut dariku. Kadangkala terasa begitu
mudah saja hendak berurusan dengan Aqel. Dari dinding kaca ini aku melihat
kelibat Aqel yang sedang berlari anak ke arahku. Aku tersenyum menyambut
kedatangan Aqel. Meskipun aku rasa letih sangat saat ini.
“Nah...” Beg kertas di tanganku ini terus saja kuhulurkan
kepada Aqel. Terkebil – kebil Aqel menatapku. Hairan. Beg kertas yang
kuhulurkan disambutnya.
“Saya harap awak boleh habiskan semua ni” pintaku sedikit
menghukum Aqel. Pasti sukar bagi Aqel untuk melakukannya. Melihat bentuk
fizikal Aqel yang sedikit kurus ini sudah menunjukkan bahawa dirinya bukan
seorang yang taksub makan. Tambahan pula, Aqel jenis manusia yang menjaga penampilan
dirinya. Aqel menjenguk bekas yang ada di dalam beg kertas yang sudah berada di
tangannya ini. Kemudian mengalih pandangannya kepadaku. Aku tersenyum.
“Saya reneh sup tu dengan bersungguh – sungguh tau. Awak
mesti makan dengan banyak. Kalau termampu tolong habiskan. Kasihan kepada saya.
Kalau tak sia – sia saja apa yang telah saya lakukan ni” tuturku. Tiba – tiba
saja aku mengeluarkan kata – kata ini. Kemudian baru sedar. Betapa kesalnya aku
atas ketelanjuran bicaraku ini. Tidak mahu Aqel fikir yang bukan – bukan,
mahupun melihat aku seorang yang sangat dikasihani. Namun yang pasti aku hanya
melempiaskan apa yang terbuku di hatiku. Sukarnya berlaku ikhlas saat ini. Aqel
masih membisu. Kutatap jam di tanganku. Masa terus bergerak pantas.
“Dah lewat ni, saya balik dulu” tuturku memohon diri. Aku
memulakan langkah meninggalkan Aqel yang masih membisu.
“Flora....!” namaku dilaung. Langkahku mati. Aku
berpaling ke arah Aqel.
“Haqem tak datang?” soalan itu dilontar kepadaku. Aku
tersenyum sekilas. Tidak perlu aku menjawab pertanyaan Aqel ini. Aku yakin Aqel
sudah tahu jawapannya. Aku menarik nafas panjang. Betapa aku rasa letih sangat
saat ini. Tidak sabar mahu berbaring di katil.
“Aqel.... Maafkan saya. Saya sering terlupa yang saya ada
sepupu yang baik” keluhku menyesali perbuatanku. Penjelasan penting mahu
kutujukan kepada Aqel. Andai Haqem muncul tadi, pasti Aqel tidak akan merasa
sup itu. Saat aku gembira, aku terlupa pada Aqel. Aku tidak menyalahkan diri
Aqel andai dia merasakan dirinya sering dijadikan penyelesai masalahku.
“Hati awak pasti sakit sekarangkan” teka Aqel. Aku geleng
dan tersenyum.
“Saya mahu menangis sekarang tapi hati saya menegahnya.
Mungkin segan pada awak” tuturku cuba berjenaka kepada Aqel. Aqel merenungku.
Renungan yang begitu dalam sehingga aku tidak keruan dibuatnya. Aku tidak
selesa Aqel merenungku sedemikian.
“Saya nak balik sekarang. Bye... Aqel” ujarku memaklumkan
tentang hajat hatiku yang tertangguh sebentar tadi. Lantas memalingkan tubuhku
dari pandangan Aqel, seterusnya memulakan langkah menjauhi Aqel yang masih
terpacak di situ memerhatikan aku. Tidak tahu apa yang sedang Aqel fikirkan
saat ini. Aku terus menyelinap masuk ke dalam kereta Waja mak ini. Kusandarkan
tubuhku di kerusi pemandu ini. Kupejamkan mata. Cuba bertenang. Aku melepaskan
keluhan beratku. Sunyi sepi. Deringan telefon bimbitku memecah keheningan ini.
Kucapai telefon bimbitku. Tersentak aku melihat nama yang terpamer di dada
skrin. Laju aku menoleh ke belakang. Aqel masih terpacak di situ sambil
mendakap telefon di telinga menunggu panggilannya dijawab. Kutekan punat
panggilan diterima.
“Assalamualaikum..... jangan menangis ketika awak
bersendirian” suara Aqel kedengaran dekat di telingaku. Senyap.
“Menangislah ketika saya berada di sana...” ujar Aqel
buat aku sebak. Terharu sungguh aku mendengar kata – kata Aqel ini.
“Terima kasih... Aqel” ujarku. Setitis air mata gugur ke
pipiku. Aku terus saja mematikan panggilan itu. Tidak mahu Aqel mengetahui
keadaan diriku saat ini. Kupandu Waja ini meninggalkan perkarangan KDUT. Dari
cermin sisi kereta ini sempat juga aku melihat Aqel yang masih terpacak di situ
sedang melontar pandangannya menyoroti kepergianku.
Aqel terus berlari ke laman parkir. Beberapa minit
kemudian Peugeot RCZ Sports Coupe juga meninggalkan perkarangan KDUT. Selang beberapa buah
kereta, Aqel mengekori kereta Waja itu. Lega hatinya tatkala kereta Waja itu
membelok memasuki perkarangan banglo itu. Kemudian berhenti di laman parkir.
Bermakna gadis itu sudah selamat sampai ke destinasinya. Aqel berpatah balik.
Kehadirannya di situ tidak perlu diketahui oleh gadis itu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Lama awak tunggu saya tadi?” suara Haqem kedengaran
cemas melontar pertanyaan.
“Tak delah” sahutku. Saat ini hatiku mengakuinya namun
mulutku menafikannya. Tidak sampai hati menghukum Haqem dengan perasaan
bersalahnya.
“Saya tak sempat nak hubungi awak memaklumkan yang saya
tak dapat datang. Keluarga Bella datang menziarahi mama. Mama mahukan saya
berada di situ melayan mereka” jelas Haqem. Keluarga Bella bertemu dengan Datin
Sofea. Rasanya itu pertemuan yang sangat penting.
“Memang itu yang patut awak lakukan” tuturku merestui
tindakan Haqem dengan tenang. Hanya Haqem yang diharapkan oleh Datin Sofea.
“Maafkan saya, Lia” pinta Haqem sekali lagi.
“Saya tak apa – apalah. Awak tak payahlah risau. Saya pun
minta maaf juga sebab tak sempat mereneh sup untuk awak. Kalau awak datang tadi
mesti saya rasa bersalah sebab tak tunaikan janji saya” ujarku mereka cerita
bohong. Berbohong untuk mengurangkan rasa bersalah Haqem kepadaku. Haqem
tergelak.
“Syukurlah kalau macam tu. Sekurang – kurangnya saya tak
mensia – siakan tenaga awak” ujar Haqem. Di mataku terbayang Aqel sedang
berhempas – pulas menghabiskan sup tulang itu. Kasihan Aqel menjadi mangsa. Mungkin
juga Aqel tersedak sekarang.
“Datin Sofea dah sihat?” soalku.
“Alhamdulillah... mama sihat macam biasa” ujar Haqem.
“Alhamdulillah...” tuturku turut merasa lega. Mesti Datin
Sofea sudah bertenaga menyerangku. Hish.... jahatnya aku! Teringat kembali pada
penjelasan Haqem tentang kunjungan keluarga Bella sebentar tadi. Serta – merta
suara Bella terngiang – ngiang di telingaku. Betulkah Haqem telah bersumpah
kepada Datin Sofea yang dia akan bernikah dengan Bella?
“Haqem...” panggilku.
“Ye...” sahut Haqem bersedia mendengar bicaraku. Senyap.
Tiba – tiba saja lidahku kelu. Persoalan itu hanya tersimpan di kerongkongku.
Tidak tega aku melontar pertanyaan itu kepada Haqem.
“Kenapa diam je” komen Haqem.
“Hey... cuma rasa letih je. Banyak kerja hari ni” tuturku
mengubah topik perbualan.
“Rania dera awak lagi ke?” soal Haqem gusar.
“Tak delah... Rania dah layan saya dengan baik sekarang
sejak berbaik dengan Aqel” tuturku.
“Aqel dah berbaik dengan Rania?” soal Haqem terkejut dan
seakan tidak percaya.
“Rasanya macam tulah” sahutku. Teringat kembali kerakusan
Rania menghabiskan mee yang kusediakan untuk Aqel. Beberapa kali juga aku
terserempak Rania bersama Aqel. Walaupun kebanyakan pertemuan itu Aqel nampak
bersahaja, namun itu sudah menunjukkan satu petanda positif. Tidak
menghairankan Aqel sebegitu kerana dirinya memang berperwatakan sedemikian.
Sebaliknya akan nampak pelik dan ganjil jikalau Aqel tiba – tiba menjadi
seorang yang begitu mesra. Aku pasti akan tertanya – tanya dan musykil andai
sikap bersahaja Aqel terhapus.
“Tak mungkin....” ujar Haqem menafikan kenyataanku.
“Apa yang mustahilnya?” soalku musykil.
“Tak mungkin Aqel menerima Rania semula. Aqel boleh
memaafkan Rania, tapi tak mungkin akan bersama dengan gadis itu lagi. Saya
cukup kenal dengan Aqel” tutur Haqem.
“Entahlah.... Yang pasti Aqel ada bersama Rania” ujarku
cuba menyatakan kepada Haqem bahawa Aqel tidak melarikan diri daripada Rania
lagi.
“Sukar untuk saya yakini kenyataan ni” luah Haqem ragu.
“Hati manusia mudah berubah. Mungkin Aqel dah melupakan
apa yang telah terjadi” tuturku cuba menyedarkan Haqem tentang hakikat itu. Senyap.
Memaafkan kesalahan orang lain adalah tindakan terpuji. Bukan mudah untuk
melakukan semua itu.
“Biarlah pendirian Aqel berubah... tapi saya harap hati
awak takkan berubah” tutur Haqem serius. Aku terdiam.
“Tapi saya harap awak akan berubah, Haqem” tuturku lalu
tergelak sendiri.
“Maksud awak?”
soal Haqem serius.
“Saya harap awak akan hidup lebih bahagia dari hari ni”
ujarku telus ikhlas.
“Saya hanya akan hidup bahagia bersama awak” sahut Haqem.
Senyap.
“Awak yakin akan hidup bahagia bersama saya walaupun
tanpa restu Datin Sofea?” soalku.
“Saya akan pastikan mama boleh terima awak dengan baik
sebab restu ibu amat penting untuk menjamin kebahagiaan rumahtangga yang
berkekalan” ujar Haqem penuh kematangan. Aku tersenyum sendiri. Jawapan Haqem
memuaskan hatiku. Syukurlah Haqem tidak terlalu taksub pada cintanya.
Sebaliknya dia masih mampu membuat pertimbangan sewajarnya.
“Tahniah.... Haqem. Awak memang layak untuk hidup
bahagia” ujarku sejujurnya.
“Hidup bahagia bersama awak” tutur Haqem menyambung
bicaraku. Aku hanya diam. Bicara Bella kembali terngiang – ngiang di telingaku.
Lalu hatiku pun berbisik. Walau siapa saja jodoh untuk Haqem, aku akan sentiasa
mendoakan kebahagiaan dirinya. Haqem memang berhak untuk hidup bahagia.