Saturday, 24 November 2012

NamaKu Bukan Flora....29





BAB 29
 
Aku menatap tarikh di dada takwim  di depanku. Hari ini genap 20 hari mak dan Aziq berada di Tanah Suci Mekah. Separuh tempoh yang memisahkan kami telah berlalu. Terasa kerinduanku kepada mereka kian memuncak. Betapa lamanya masa itu berlalu. Memang aku sudah tidak sabar untuk bertemu dengan mak dan Aziq.  Menyebut nama Aziq mengingatkan aku pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil yang akan berlangsung pada esok hari. Aku sudah berjanji dengan Cikgu Firdaus untuk hadir pada majlis tersebut. Sedikit kalut aku dibuatnya memandangkan aku belum memohon cuti daripada Puan Rosie dan memaklumkan perkara ini kepada pihak KDUT. Semoga segalanya berjalan mengikut perancangan dan dipermudahkan oleh Allah. Lantas kudail nombor telefon Aqel.

“Hello....” kedengaran suara Aqel di talian.
“Assalamualaikum Aqel.....” sapaku. Salamku disambut.

“Apa hal awak telefon...” tutur Aqel bagaikan tidak senang menerima panggilanku tika ini. Macamlah aku hendak sangat mendengarkan suara ini. Kalau bukan disebabkan hal penting jangan harap aku akan menghubunginya. Bukan seronok sangat pun berbual dengan manusia dingin sajli ini. Malangnya Aqel sebahagian daripada majikanku.

“Saya nak keluar kejap lagi nak pergi CNFL jumpa Puan Rosie. Esok saya nak ambil cuti nak pergi sekolah Aziq” jelasku terperinci tanpa membuang masa. Tidak mahu melengahkan masa pemuda dingin membeku ini.

“Saya bercuti sekarang . Awak maklumkan perkara ni kepada office. Tak pun awak call Haqem sebelum meninggalkan KDUT supaya orang lain tak tercari – cari awak nanti” arah Aqel panjang lebar. Aku terdiam. Terasa bodoh pula tindakanku ini sebab mengganggu Aqel yang sedang bercuti. Aku ingatkan Aqel akan terus mengizinkannya tanpa mengambil kira prosuder. Kononnya memaklumkan perkara ini kepada Aqel agar aku tidak perlu berhubung dengan Marnie mahupun Haqem. Ternyata anak muda Mak Long ini seorang yang berpegang pada peraturan.  
“Awak dengar tak ni?” soal Aqel.

“Ya... Okey... Assalamualaikum....” Tanpa berlengah lagi aku terus saja mematikan panggilan ini. Seketika aku berfikir. Aku menarik nafas panjang. Lambat – lambat aku menekan nombor telefon bimbit Marnie. Aku menanti panggilan ini dijawab. Namun kedengaran suara perempuan mengarahkan aku meninggalkan pesanan. Ke mana pergi Marnie? Mengapa telefon bimbitnya tidak dijawab. Mungkin tertinggal di rumah. Aku beralih pula pada nombor telefon pejabat pula. Harap – harap kali ini Marnie akan menjawabnya. Aku menghembuskan nafasku. Panggilan ini juga tidak diangkat. Kucuba sekali lagi. Kali ini baru berjaya.

“Hello... assalamualaikum... Mar... Awak pergi mana tadi?” soalku terus menyerang Marnie. Geram susah sangat hendak bercakap dengannya.
“Ya... Lia...” Opocot...! Aku tersentak mendengar suara lelaki yang menyebut namaku. Bila kuamati betul – betul jelasnya suara ini adalah suara milik Haqem. Aku terus terdiam.
“Marnie pergi bilik air kejap. Apa halnya Lia?” suara Haqem berkumandang di telingaku. Sembelitkah Marnie sampai lama sangat di bilik air. Aku berfikir lagi. Sekarang aku bertembung dengan Haqem di talian.

“Lia.... awak masih di sana?” soal Haqem mempastikan kewujudanku.
“Ya...” sahutku perlahan.
“Apa halnya Lia? Awak nak tinggalkan pesanan pada Marnie ke?” soal Haqem bertalu – talu. Aku diam. Lantas menarik nafasku perlahan.

“Saya nak pergi CNFL kejap lagi. Nak jumpa Puan Rosie minta cuti esok. Saya nak maklumkan kepada pihak KDUT esok saya tak datang kerja” tuturku memaklumkan perkara itu kepada Haqem sebagai wakil KDUT. Tidak mahu Haqem salah faham dengan tindakanku.
“Oh.... awak nak jadi wakil adik awak” teka Haqem.
“Ya...” sahutku pendek.

“Apa kata kalau saya temankan awak esok” cadang Haqem menyentakkanku. Tidak menduga Haqem akan berbicara sebegini. Langsung tidak menggembirakan  aku bicaranya ini. Jauh sekali buat aku teruja. Aku memang tidak mahu ada kaitan dengan Haqem lagi selain jadi rakan sekerja.

“Tak pe saya boleh pergi sendiri” ujarku menolak cadangannya itu secara lembut setelah berjaya menenangkan diriku. Senyap. Kedengaran keluhan Haqem. Pasti dia kecewa dengan penolakanku ini. Memang ini yang sentiasa kuharapkan. Aku mahu Aqel putus asa untuk terus berbaik denganku.

“Mengapa saya tak boleh pergi dengan awak? Awak nak pergi dengan Aqel ke?” soal Haqem tidak puas hati.

“Ya saya memang nak pergi dengan Aqel” sahutku tanpa berfikir panjang. Aku berbohong pada Haqem. Dalam masa yang sama terpaksa meminjam nama Haqem agar aku tidak perlu memikirkan alasan terbaik untuk menolak hajat hati Haqem.

“Walaupun Aqel tak pergi bersama saya, kehadiran awak memang tak diperlukan. Assalamulaikum....” ujarku mematikan segera perbualan ini. Memang bicara ini yang patut keluar dari mulutku untuk didengarkan kepada Haqem. Aku tidak perlukan sebarang alasan untuk menolak kehadirannya. Cukup kalau aku katakan bahawa aku tidak memerlukan dia berada di sisiku. Namun aku sudah terlanjur bicara membabitkan Aqel dalam hal ini.

Lama Haqem terpaku dengan gagang telefon yang masih berada di tangannya. Hatinya terguris mendengar bicara gadis itu. Memang penolakan gadis itu melukakan perasaannya. Bicara gadis itu begitu tajam bak sembilu menghiris emosinya. Namun sedikitpun dia tidak pernah menyalahkan gadis itu. Dia sedar betapa gadis itu juga terluka lantaran tindakannya suatu masa dahulu. Perlahan – lahan Haqem melepaskan keluhan beratnya.

“Encik Haqem....” suara setiausahanya menegurnya. Haqem berpaling. Marnie sudah berada di sisinya dengan pandangan hairan. Haqem bagaikan baru saja tersedar lantas terus saja meletakkan gagang telefon itu kembali di tempat asalnya.

“Kenapa Encik Haqem? Siapa yang telefon?  Ada yang tak kena ke?” soal Marnie sedikit cemas melihat pemuda ini termenung dan berdiam diri. Laju Haqem geleng kepala.
“Awak dah dapat fail yang saya minta tu?” soalnya. Marnie mengangguk.
“Ni failnya...” tuturnya seraya menyerahkan fail hitam itu kepada pemuda ini. Haqem menyambut fail itu.

“Terima kasih...” tutur Haqem sedikit ceria.
“Boleh saya tahu Encik Haqem nak buat apa dengan fail peribadi Lia tu?” soal Marnie berhati – hati. Ketika pemuda ini mengarahkannya mengambil fail tersebut hati Marnie tertanya – tanya. Risau juga kalau sesuatu yang tidak diingini bakal menimpa gadis itu. Sebagai seorang kawan perasaan ingin melindungi tetap dirasakannya.

“Saya belum sempat lagi teliti pengalaman kerja dia. Mana tahu ada jawatan yang lebih sesuai boleh ditawarkan kepadanya nanti” tutur Haqem tenang.
“Encik Haqem nak pelawa Lia kerja dengan  KDUT ke?” soal Marnie semakin berminat dengan perbualan yang berkisar tentang gadis itu.

“Kalau layak apa salahnya. Awak tak suka Lia jadi warga KDUT ke?” duga Encik Haqem.
“Alah... adakah Encik Haqem boleh fikir macam tu. Saya gembira sangat kalau selamanya Lia kerja di sini. Dia pun seorang yang komited pada tugas” ujar Marnie sekaligus memberi ulasannya tentang gadis itu. Encik Haqem tersenyum puas hati.
“Saya nak tengok fail peribadi Lia sekarang” ujar Encik Haqem memaklumkan sekaligus isyarat memohon diri untuk berganjak ke bilik pejabatnya. Marnie mengangguk.
“Silakan Encik Haqem” tutur Marnie tersenyum riang. Sudah ada cerira terbaharu yang ingin disampaikan kepada Lia lagi.

Haqem terus saja melabuhkan punggung di kerusi empuk itu. Tidak mahu berlengah terus saja diselaknya fail hitam itu. Lama anak matanya merenung gambar ukuran pasport yang terletak di bahagian atas di tepi sebelah kanan itu. Ukiran senyuman di bibir gadis itu tidak pernah luput dari ingatannya. Masa yang lama yang telah memisahkan mereka tidak pernah memadamkan ingatannya kepada Lia cinta pertamanya. Semakin hari dirinya sarat menanggung rindu kepada Lia. Betapa dia terbeban dengan perasaannya terhadap gadis itu. Mata Haqem beralih pada butiran tentang gadis itu. Lengkap. Haqem tersenyum sendiri tatkala menatap status bujang yang tertulis itu. Sesuatu yang cukup menyenangkannya. Dia yakin andai dia berusaha gigih menambat kembali hati gadis itu dan mampu bertahan tidak mustahil dia dan Lia akan mengulangi percintaan yang lalu. Haqem memang mahu menebus tindakannya dulu. Haqem mengeluh lagi. Betapa menebal penyesalannya tatkala mengingati perkara yang lalu.

Pandangan mata Haqem terikat pada butiran seterusnya. Dia tersentak. Hatinya cemas tiba – tiba. Terimbau kenangan lalu. Sebulan selepas Haqem melafazkan perpisahan itu dia tidak nampak Lia di kampus lagi. Hari – hari dia menunggu di depan perpustakaan, di muka pintu bilik toturial dan dewan kuliah untuk bertembung dengan Lia. Namun Lia tidak pernah muncul. Sebetulnya selepas pertemuan terakhir mereka pada malam itu, tanpa diketahui oleh sesiapa termasuklah Datin Sofea, Haqem memang tidak pernah meninggalkan Lia dari penglihatannya. Dari kejauhan dia melontar rasa rindunya pada gadis itu. Setiap pergerakan gadis itu dalam pengawasannya. Akhirnya kelibat Lia hilang tiba – tiba. Haqem mula menerima haikat bahawa Lia sudah tidak mahu bertemu dengannya lagi. Gadis itu cuba bersembunyi daripada pandangan matanya lantas melenyapkan cerita – cerita tentang dirinya daripada sampai ke pengetahuan Haqem. Pada Hari Konvokesyen itu Haqem mengharapkan pertemuaannya dengan gadis itu. Sepanjang hari dia menanti kemunculan gadis itu. Kemudian beberapa hari diulanginya lagi penantian itu sehinggalah pada hari terakhir konvokesyen Lia tidak muncul – muncul juga. Kemudian pertemuannya dengan Nabila menjawab pencariannya selama ini. Kononnya Lia telah memohon pertukaran universiti. Lia ingin memulakan hidup baru. Tika itu dia menarik nafas lega. Sekurang – kurangnya Lia juga telah berjaya menamatkan pengajiannya. 

Tergerak hati Haqem untuk menghubungi Nabila meminta penjelasan tentang perkara itu, namun sudah bertahun – tahun dia tidak berhubung dengan gadis itu. Malah nombor telefon Nabila tidak pernah tersimpan dalam memori telefonnya. Kali terakhit dia bertemu Nabila pada hari terakhir konvokesyen itu. Tika itulah dia mendapat cerita tentang Lia. Haqem melepaskan keluhan beratnya. Betapa kesal hatinya tatkala mengetahui Lia tidak menamatkan pengajiannya. Pencapaian akademik yang tertinggi yang tertulis di dada kertas ini hanyalah setakat STPM. Jadi di mana segulung ijazah yang pernah mereka impiankan bersama dahulu? Haqem sudah berjaya memilikinya tetapi bagaimana pula dengan Lia?
“Mungkin sebab inilah awak membenci saya, Lia..” bisik hati Haqem.
“Betulkah mama sampai hati melakukan semua ni” Haqem masih berbicara sendiri.

Tidak sudah – sudah Haqem melepaskan keluhannya sambil diikuti dengan gelengan kepalanya. Perasaan kesalnya berpanjangan. Dia semakin menyalahkan dirinya. Andai semua ini berpunca daripada tindakan mamanya, maka dia rasa berdosa pada Lia dan keluarganya.

“Kalau awak masih beranggapan yang saya masih mencintai awak, saya nasihatkan awak lebih baik lupakan saja. Saya dan keluarga saya dah tak mampu menerima kehadiran awak lagi. Kelukaan dan penghinaan yang awak tinggalkan untuk keluarga saya dah cukup sengsara untuk kami tanggung” suara Lia menerpa pendengarannya. Haqem tidak mampu bertenang lagi. Lantas dia bangkit dari duduknya lalu melangkah keluar dari bilik itu.

“Marnie, saya balik awal hari ni ada perkara penting” ujarnya berpesan ketika melewati meja setiausahanya itu. Marnie hanya terkebil – kebil menatap langkah laju Haqem ke muka pintu lalu kelibatnya terus saja hilang. Sebarang pertanyaan tidak sempat dikemukakan selain mengetahui pemuda itu ada hal penting sekarang. Marnie hanya mampu geleng – geleng kepala. Sukar untuknya memahami sikap majikannya. Nyatanya Haqem dan Aqel sering kali memeningkan kepalanya. Tiba – tiba saja dia teringatkan fail yang baru saja diserahkannya kepada pemuda itu. Lama dia berfikir.

“Jangan – jangan fail tu yang buat Encik Haqem jadi begini...” duganya membuat telaahan sendiri. Marnie mengangguk – anggukkan kepalanya tanda mula mengerti.

“Misteri juga awak Lia... pelik perangai Encik Haqem kalau dengar nama awak. Encik Aqel pula... Flora...” Marnie berfikir lagi.

“Awak betul – betul misteri Lia.... ya... Flora” Marnie berbicara sendiri sambil terus berfikir. Ada persoalan yang perlu dicari jawapan penyelesaiannya. Tidak mahu terus tertanya – tanya lantas laju saja jarinya menekan nombor telefon Lia. Malangnya panggilannya tidak dijawab. Marnie melepaskan keluhan hampanya.

Ketika Haqem melangkah ke banglo itu, kelihatan Datin Sofea bersendirian di ruang tamu. Haqem menarik nafas lega. Jarang benar dia melihat Datin Sofea bersantai – santai di rumah kalau tidak disibukkan dengan pelbagai aktiviti persatuan. Pandangan Datin Sofea terikat pada kaca tv. Cuba mengisi masa yang ada agar tidak bosan memandangkan mesyuarat persatuan hari ini terpaksa dibatalkan disebabkan setiausaha tidak sihat. Sebagai pengerusi persatuan dia harus memperlihatkan sikap timbang rasa dan keprihatinannya terhadap ahli – ahli persatuan. Lantaran sikap terpujinya inilah yang melayakkannya menduduki kerusi pengerusi selama lima penggal berturut – turut. Ketegasan Datin Sofea membuatkan dirinya sentiasa cemerlang dalam apa saja yang diceburinya. Namun dia terlupa ketegasannya itu jugalah yang menghalangnya akrab dengan anak – anaknya. Anak sulung dan anak keduanya, Haruen dan Harnie telah membawa rajuk sendiri setelah terluka dengan tindakan Datin Sofea. Maka tinggallah Haqem anak bungsunya bersamanya menghuni banglo besar itu tika ini. Suaminya Datuk Helmie setahun lalu meninggalkan dunia akibat terlibat dalam kemalangan ngeri. Namun ada kisah duka di sebalik semua itu. Kedatangan anak mudanya ini sedikit menimbulkan kehairanan hati Datin Sofea.

“Awal kamu balik hari ni. Tak sihat ke?” soalnya sambil menatap Haqem yang sudah melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan kedudukannya. Haqem geleng kepala.
“Apa hal kamu nampak gelisah ni” komennya. Haqem menatap wajah Datin Sofea. Keduanya saling berpandangan seketika. Haqem masih berfikir bagaimana hendak memulakannya. Sedikit merisaukannya kalau tindakannya ini bakal menimbulkan kemarahan Datin Sofea. Perlahan – lahan keluhannya dilepaskan.

“Kamu ada masalah dengan Aqel ke?” soal Datin Sofea meneka. Setahunya hubungan Haqem dan Aqel begitu akrab. Malah dia sendiri begitu menyenangi sikap Aqel. Aqel pun mesra dengannya. Pernah dia terfikir untuk menyatukan Aqel dengan Harnie, namun niatnya itu ditentang hebat oleh anak gadisnya itu lantaran sudah ada pilihan hati sendiri. Akhirnya tanpa persetujuannya Harnie telah bernikah dengan lelaki pilihannya sendiri. Mujur juga dia tidak pernah menyuarakan keinginan itu kepada Aqel. Kalau tidak pasti dia malu sendiri. Siapa tahu kalau Aqel bersetuju dengan cadangannya itu. Perbezaan umur bukan jadi masalah. Datin Sofea tidak dapat menerima kenyataan itu. Kemuncak kemarahannya dia telah menghalang anak perempuan tunggalnya itu menjejakkan kaki ke banglonya lagi. Sudah tiga tahun dia tidak bertemu mahupun mendengar berita tentang Harnie dan suaminya. Mungkin saat ini dia sudah bergelar nenek.

“Habis tu apa yang berlaku? Kenapa kamu balik awal hari ni?” diulanginya pertanyaannya tadi.
“Haqem ada perkara nak tanya pada mama” ujar Haqem mula menyusun kata.
“Hal apa? Cakaplah...” arah Datin Sofea tenang.
“Perkara yang berlaku beberapa tahun yang lalu...” tutur Haqem perlahan.

“Beberapa tahun yang lalu? Sudah lama tu” tutur Datin Sofea tanpa curiga. Senyap. Haqem mengumpulkan kekuatan diri sebelum memberikan penjelasan lanjut. Sikap tenang Datin Sofea tika ini mencabar dirinya. Dapat sudah dibayangkannya sedikit masa lagi ketenangan ini akan padam. Datin Sofea akan menjadi lebih garang jika perkara lalu itu diungkit kembali. Namun Haqem tiada pilihan. Dia mesti menuntut penjelasan daripada Datin Sofea. Maka dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan perempuan ini.

“Beberapa tahun lalu...” mulut Datin Sofea masih menyebut perkara itu. Bagaikan dia cuba mengingati sesuatu. Laju saja dia berpaling ke arah Haqem. Datin Sofea dan Haqem beradu pandangan.

“Jangan – jangan  hal kamu dengan Lia. Betul tak Haqem?” soal Datin Sofea dengan suara sedikit tinggi. Haqem mengangguk.
“Kamu ada jumpa Lia?” soalnya. Senyap. Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Haqem.
“Betulkah mama tak pernah halang pengajian Lia?” soal Haqem. Tajam pandangan Datin Sofea menatap Haqem.

“Kamu ingat mama akan mungkir janji mama setelah kamu bersetuju dengan permintaan mama” radang Datin Sofea. Tidak suka dirinya dituduh seorang yang mudah mungkir janji. Senyap. Haqem tahu biarpun sikap mamanya banyak yang kurang menyenangkannya, namun dia sedarnya Datin Sofea seorang yang berpegang pada janji. Apa yang dikatakannya pasti akan dikota.

“Kamu ada jumpa Lia, Haqem?” diulanginya pertanyaannya itu. Haqem masih berdiam diri. Dia masih memikirkan pengajian Lia yang tidak sampai ke penghujung dengan jayanya.
“Mungkin Lia gagal menamatkan pengajiannya kerana aku. Aku yang buatkan Lia rasa kecewa sangat sehingga tiada keinginan untuk meneruskan pengajiannya....” bisik hati Haqem.

“Haqem.... kamu dengar tak ni?” soal Datin Sofea tidak senang pertanyaannya tidak dijawab. Wajah Haqem direnung.
“Betulkah kamu ada jumpa Lia?” tekanya. Haqem tetap membisukan dirinya. Perkara itu biarlah menjadi rahsia dirinya. Sudah sampai masanya Datin Sofea tidak mencampuri urusannya lagi.
“Mama... Qem nak berehat di bilik sekarang” tuturnya lalu bangkit dari duduknya. Haqem terus saja mengatur langkah meninggalkan Datin Sofea.

“Haqem..., kamu jangan pula lupa yang kamu tu dah jadi milik Bella sekarang. Tak lama lagi kamu berdua nak nikah....!!!” lantang saja suara Datin Sofea memberi peringatan kepada anak mudanya itu. Haqem memejamkan matanya lantas melepaskan keluhannya. Dipicit – picitnya kepalanya yang mula terasa sakit itu. Banyak sangat bebanan di fikirannya. Namun persoalan itu belum terjawab lagi. Dia juga tidak mahu menafikan bahawa tindakannya yang membuatkan gadis itu bernasib malang. Maka Haqem nekad mahu menebus segala kesalahan lalunya pada gadis itu. Andai dia bersikap lebih berani dan tidak cepat mengalah begitu saja pasti semua ini tidak akan berlaku. Hidup Lia akan lebih cemerlang. Paling penting gadis itu tidak terus menyalahkan dirinya. Haqem sudah cukup terseksa tatkala Lia memusuhi dirinya. Dia terus saja merebahkan tubuhnya ke tilam empuk itu. Seketika dia tidak bergerak – gerak lagi. Sungguh dia mahu melupakan perkara yang menyakitkan hatinya itu.  

AKU tiba di premis CNFL disambut dengan senyuman manis Nana. Tubuhku terus saja dipeluk oleh Nana. Seketika aku dan Nana berpelukan. Sudah sekian lama kami tidak bertemu. Sudah menggunung juga kerinduanku pada Nana sahabat sejatiku sejak bertahun – tahun lamanya. Andai aku diberi pilihan untuk memilih antara Aqel saudaraku, Haqem bekas kekasih hatiku  dan Nana sahabatku, pasti aku dengan senang hati akan memilih Nana. Minta maaflah Mak Long. Rasanya anak muda Mak Long itu kurang berkepentingan padaku. He...he....he...

“Puan Rosie ada?” soalku terus pada tujuan kedatanganku ke sini.
“ Dia keluar kejap” jelas Nana.
“Takpe aku tunggu dia” ujarku lalu mencapai majalah di rak Suria lantas menyandarkan tubuh di sofa sambil memulakan bacaan.
“Kau nak jumpa dia ke?” soal Nana. Aku mengangguk.
“Nak minta cuti esok” jelasku.
“Nak pergi mana?” soal Nana lagi.

“Esok nak jadi wakil Aziq terima sijil dan hadiah di sekolah” jelasku sambil terus memfokus pandanganku pada majalah Suria di tanganku. Senyap. Nana menyambung kerjanya. Aku menatap ruangan santai yang kali ini memaparkan langkah – langkah untuk memikat bekas kekasih. Mengarut saja! Aku tidak berminat membacanya. Kuselak halaman seterusnya.

“Lia, kau masih berhutang dengan aku tau” suara Nana memecah kesepian.
“Berhutang dengan kau? Berapa ringgit” soalku.
“Bukan hutang duitlah tapi hutang janji” tutur Nana mencebik. Berkerut dahiku mendengar bicara Nana ini. Pelik juga. Janjipun boleh dihutang. Agaknya janji yang belum dipenuhilah yang dimaksudkan Nana sebagai hutang.

“Aku janji apa dengan kau, Nana” soalku meminta penjelasan lanjut.
“Kan hari tu kau tak jadi tidur rumah kami. Kau kata ada hal dan sampai sekarang kau belum cerita lagi hal itu padaku” jelas Nana terperinci.
“Oh... yang itu” Aku terus saja terbayang wajah Aqel yang sedang menahan sakit. Kemudian terbayang keadaanku yang ketakutan sangat sehingga membuatkan aku termuntah. Ketakutan paling dahsyat seumur hidupku ini.

“Aku langgar Aqel dengan kereta Waja mak” ujarku memulakan cerita.
“Apa!!!! Gila....” Besar anak mata Nana menatapku. Mulutnya juga ternganga luas. Sungguh Nana terkejut mendengar kenyataanku ini.
“Betul – betul gila tindakan kau ni, Lia” marah Nana. Aku mengangguk bersetuju dengan bicara Nana.

“Memang kerja gila. Aku pun tak sangka boleh berlaku sampai macam tu sekali” tuturku menyokong bicara Nana. Langsung aku tidak ambil hati. Perbuatanku itu memang tidak masuk akal. Mujur juga aku tidak sampai jadi pembunuh. Kalau tidak ke tali gantunglah aku. Nauzubillah....

“Tak sangka kau tak suka Aqel sampai ke tahap sanggup nak langgar dia. Dahsyat betul kau ni. Bagaimana keadaan Aqel sekarang?” soal Nana. 
“Dia masih cuti sakit di rumah. Kasihan juga tengok keadaan dia macam tu” keluhku menyesal. Lalu aku ceritakan segalanya pada Nana. Dari awal sehinggalah kepada kejadian kemalangan itu. Nana hanya geleng – geleng kepala. Walau apapun Nana tetap salahkan aku.

“Nilah akibatnya kalau dua – dua sama degil. Rasanya ni genitek keluarga yang kamu berdua warisi” perli Nana buat aku tertawa. Memang pun aku dan Aqel sama – sama degil. Mungkin bicara Nana ada benarnya. Mana tahu Mak Long dan arwah ayah juga punya sikap degil. Namun kalau aku fikir balik, Mak Long adalah seorang ibu yang terpuji yang penuh dengan kasih sayang. Lemah lembut dan sangat prihatin. Jauh benar bezanya perangai Mak Long jika dibandingkan dengan anak mudanya Si Tunggul Kayu itu. Namun sedikit sikap Aqel yang menyerupai sikap Mak Long ialah keprihatinan. Aqel memang seorang yang prihatin. Malah boleh dikatakan sentiasa menjadi penyelamatku. Mungkin penyelamat yang Allah ciptakan untukku. Siapa tahukan.... Nauzubillah... Cepat saja hatiku menyangkalnya. Aku memang tidak berkenan dengan sikap Aqel yang suka sangat menghancurkan perasaan perempuan persis diri Haqem !

“Hoi... sempat pula berkhayal...!  Puan Rosie dah sampai tu” Aku tersentak mendengar sergahan Nana lalu tersenyum.
“Puan Rosie dah masuk bilik dia?” soalku meminta kepastian. Nana mengangguk. Bingkas aku bangun lalu menadah tangan berdoa. Semoga pertemuanku denganku Puan Rosie dipermudahkan Allah. Nana hanya tersenyum – senyum memerhatikan gelagatku. Kulambaikan tanganku pada Nana lantas mengatur langkah ke bilik Puan Rosie. Daun pintu kuketuk.

“Masuk...” kedengaran suara Puan Rosie mengarahkan aku masuk. Dengan puji – pujian ke atas Allah, Tuhan sekalian alam, aku menolak daun pintu dengan berhati – hati.
“Assalamulaikum Puan Rosie...” sapaku.

“Waalaikumussalam...ee... Lia...” sapa Puan Rosie tersenyum sekilas. Wajahnya kelihatan sugul. Anak matanya kemerah – merahan persis orang yang baru saja lepas menangis.
“Duduk Lia...” arahnya Puan Rosie. Bagaikan saat ini taring Puan Rosie sudah tiada lagi. Dia nampak begitu bersedih. Aku dapat rasakan apa yang dilaluinya saat ini. Bahkah aku percaya lebih hebat dugaan yang Puan Rosie tempuhi jika dibandingkan dengan diriku. Lelaki yang telah dipilih untuk menjadi teman hidup sematinya tiba – tiba saja curang. Kepercayaan yang dipegang selama ini sudah lebur.  Sesuatu yang menyakitkan untuk diterima. Kasihannya aku melihat keadaan Puan Rosie tika ini.

“Puan Rosie tak apa – apa?” soalku berhati – hati. Tidak mahu menyinggung perasaannya mahupun dia tersalah anggap yang aku mahu mencampuri urusan peribadinya. Aku sangat mengerti emosi orang yang dilukai pasti berantakan dan kacau - bilau. Sering kali gagal membuat pertimbangan.  Aku hanya ingin menjadi teman pendengar yang setia andai dia ingin berkongsi masalah denganku. Aku sedar saat – saat sukar begini dia perlukan teman berbicara. Sesungguhnya kesakitan yang Puan Rosie rasakan sekarang memang patut diluahkan bukannya dipendam. Risau akan memakan diri Puan Rosie. Puan Rosie mengangguk sambil cuba mengukir senyuman. Senyuman tawar.

“Apa hal awak mahu jumpa saya?” soal Puan Rosie cuba berlagak tenang bagaikan tiada apa – apa yang berlaku. Puan Rosie cuba hidup seperti biasa. Namun Puan Rosie yang berada di depanku saat ini bukan seperti Puan Rosie yang kukenali selama ini seorang yang garang persis singa jantan. Setenang manapun dia cuba bertingkahlaku, Puan Rosie tetap tidak mampu mengaburi mataku untuk memperlihatkan dirinya betapa dia dalam keadaan yang baik sekarang. Orang yang pernah dilukai akan lebih memahami orang yang baru saja dilukai.

“Saya nak pohon cuti. Esok saya nak pergi sekolah adik saya ada Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah. Jadi pihak sekolah telah menjemput saya sebagai wakil” tuturku memberi penjelasan terperinci.

“Adik awak  yang menunaikan haji tu ke?” Aku mengangguk. Pasti Puan Rosie masih ingat perkara ini kerana aku juga pernah memohon cuti dan minta balik awal untuk menguruskan keberangkatan mak dan Aziq ke Tanah Suci Mekah.
“Adik awak pergi dengan mak awak kan? Apa khabar mereka sekarang?” soal Puan Rosie lebih mesra. Aku mengangguk.

“Alhamdulillah... sihat Puan Rosie” sahutku tersenyum. Cukup senang melihat kemesraan Puan Rosie ini. Sesungguhnya di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kelukaan dan kesengsaraan yang dialami Puan Rosie telah membawa perubahan sahsiah dirinya yang lebih baik. Alhamdulillah.... Betapa Allah itu Maha Adil lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Awak pergilah nanti” ujar Puan Rosie meluluskan permohonan cuti yang kupinta.
“Terima kasih Puan Rosie” tuturku berlapang dada. Lega rasanya. Esok bolehlah aku bertemu dan berkenalan dengan Cikgu Firdaus. He....he....he.... Mana tahu dia boleh jadi kawan yang baik. Mudah – mudahan....! Bukan terdesak tetapi pengharapan... he... he....he....!

“Saya pergi dulu Puan Rosie. Terima kasih sekali lagi” ujarku gembira dan rasa terhutang budi atas timbang rasanya meluluskan cutiku esok. Puan Rosie mengangguk dan tersenyum. Aku terus saja bangkit dari dudukku lalu mengatur langkah ke muka pintu dengan senyuman mekar menguntum di bibir. Selama ini tidak pernah aku segembira begini selepas bertemu dengan Puan Rosie. Buat pertama kalinya pertemuanku dengan Puan Rosie cukup menyenangkanku.

“Lia...” Langkahku terhenti. Alamak...!!!! Adakah Puan Rosie akan menarik balik kelulusan cutiku yang baru saja dipersetujuinya sekejap tadi? Puan Rosie sudah sedar lalu kembali pada sikap azalinya? Ohh....janganlah jadi macam ini! Harap – harap Puan Rosie tidak bertukar menjadi singa garang saat ini. Perlahan – lahan aku berpaling menatap wajah Puan Rosie.

“Ya  Puan Rosie” tuturku lemah. Semangatku yang berkobar – kobar sebentar tadi mula menurun. Alangkah menyedihkan andai Puan Rosie menarik balik cutiku ini.
“Awak okey tak kerja di KDUT tu?” soal Puan Rosie mengejutkan aku. Wajahnya tampak sunggul persis orang yang bersalah. Mungkin Puan Rosie rasa bersalah melibatkan aku dalam perjanjian antara CNFL dengan KDUT.

“Okey Puan Rosie. Segalanya berjalan lancar. Puan Rosie janganlah bimbang” tuturku disulami dengan senyuman. Tidak sampai hati aku hendak menyalahkan Puan Rosie. Bekerja di KDUT pun secara tidak langsung adalah pilihanku sendiri berpaksikan  syarat yang mendatangkan keuntungan kepada teman – teman di CNFL. Puan Rosie sudah menunaikan janjinya untuk menaikkan gaji pekerja.
“Mereka layan awak dengan baik?” soal Puan Rosie lagi. Sebak hatiku melihat keprihatinannya ini. Puan Rosie memang sudah berubah. Aku mengangguk biarpun saat ini aku terbayang wajah Rania.

“Baguslah kalau macam tu. Saya pun senang hati mendengarkannya. Selagi Encik Aqel ada di sana tiada siapa yang boleh apa – apakan awak. Saya tengok dia memang mengambil berat terhadap awak” tutur Puan Rosie mengejutkan aku lagi. Hampir – hampir aku menyatakan pada Puan Rosie bahawa aku dan Aqel adalah sepupu agar dia tidak silap tanggapan. Namun melihat senyuman Puan Rosie aku pendamkan saja penjelasan itu. Tidak tega melenyapkan senyuman di bibir Puan Rosie. Lantas aku hanya tersenyum.

“Saya pergi dulu Puan Rosie” tuturku setelah tiada apa yang perlu aku bicarakan lagi. Puan Rosie mengangguk. Aku mengatur langkahku sambil terus memikirkan bicara Puan Rosie sebentar tadi. Teringin juga aku hendak mengetahui topik perbualan antara Puan Rosie dan Aqel ketika itu sebelum temeterainya perjanjian kerjasama antara KDUT dengan CNFL ini. Namun pada siapa harus aku ajukan perkara ini. Kepada Puan Rosie? Rasa segan pula. Kepada Aqel? Anak muda Mak Long itu tidak akan berbicara tentang perkara yang lalu. Silap – silap percuma saja dia menyinggung perasaanku. Maka satu – satunya perkara yang boleh aku lakukan adalah menunggu peluang dan kesempatan yang ada andai Aqel mahupun Puan Rosie ingin membicarakan perkara ini semula. Aku akan menantikannya...........!!!


Monday, 19 November 2012

NamaKu Bukan Flora .....28



BAB 28

Aku menarik nafas panjang. Kemudian mengetuk daun pintu bilik ini.
“Masuk...” kedengaran suara Aqel dari dalam mengarahkan masuk. Awal pula dia bangun walaupun hari ini dia bercuti. Kujengukkan sedikit kepalaku di sebalik daun pintu. Aqel kebetulan sedang melontar pandangan ke sini. Maka pandangan kami bertembung.

“Awak dah bangun...” sapaku. Aqel mengangguk. Lalu aku melangkah masuk sambil menatang hidangan sarapan yang disediakan oleh Mak Long untuk Aqel. Dulang yang kutatang kuletakkan di atas meja almari solek milik pemuda dingin membeku ini. Kupandang Aqel yang sedang menatapku.

“Awak boleh tidur lena malam tadi?” soalku cuba berlagak mesra dengan Aqel.

“Mestilah.... bukan cedera serius pun. Saya ni bukan congek macam awak” ujar Aqel memerliku. Aku menjeling Aqel. Dia tersenyum. Sungguh mempesonakan senyumannya sehingga buat aku tertawan. Hish.... selisih 44 malaikat!

“Saya bawa breakfast untuk awak ni. Kejap lagi awak makan ye. Ubat pun ada kat situ. Saya dah nak pergi kerja ni. Bye...” ujarku lalu berpaling bersedia untuk melangkah pergi.

“Hey....hey.... awak pergi mana?” soal Aqel terkebil – kebil. Aku berpaling ke arah Aqel semula.

“Nak pergi kerjalah. Nanti terlewat pula” sahutku. Tangannya melambai ke arahku.

“Buat apa?” soalku tanpa berganjak sedikit pun daripada kedudukanku sekarang.

“Awak nak suruh saya breakfast tanpa basuh muka dan berus gigi?” Besar anak mata Aqel menatapku. Hal berkaitan kebersihan memang sangat sensitif kepada pemuda dingin membeku ini. Dia seorang lelaki yang sangat menjaga kebersihan. Lantaran itu kadangkala nampak pula dirinya seorang yang cerewet. Hey... ngerinya kalau dapat pakwe macam Aqel!

“Awak belum berus gigi lagi ke? Oh..., patutlah bau busuk” perliku mengusiknya. Besar anak mata Aqel menatapku.

“Flora...!!!” radang Aqel buat aku tersenyum.

“Kalau awak belum basuh muka dan berus gigi pergilah buat. Takkan saya pula nak beruskan gigi awak. Eee... tak mahulah saya” ujarku mempamerkan wajah ngeriku. Semakin besar anak mata Aqel menatapku.

“Awak tolonglah papah saya ke bilik air...” pinta Aqel menyinga.

“Kata tadi tak cedera serius.... tak congek....” perliku memulangkan kata – kata angkuhnya sebentar tadi.

“Cepat...!” arah Aqel. Aku mendekati Aqel. Lalu membantunya berdiri. Kupapah tubuh Aqel lantas menyusun langkah satu – persatu dengan berhati – hati. Di bilik air ini aku melayan Aqel persis anak kecil menyediakan ubat gigi dan air di gelas. Kuhulurkan tuala kecil yang sudah tersedia untuknya mengelap muka yang dibasihi air. Kemudian membantu Aqel kembali ke katilnya. Kucapai meja kecil yang khas Mak Long sediakan untuk Aqel. Lalu kuletakkan di atas katil di depan Aqel. Kuletakkan hidangan sarapan di atas meja ini.

“Silalah sarapan si putera raja...” pelawaku memperlinya. Aqel menatap hidangan sarapannya hari ini tanpa mengendahkan perlianku. Bubur ayam dan segelas susu. Kedengaran kalimah Allah meniti di bibirnya sebelum memulakan suapan pertamanya. Kemudian dia terus saja menikmati bubur ayam dan susu yang disediakan oleh Mak Long untuknya. Tampak begitu berselera tidak seperti orang sakit lagaknya.

“Nak rasa ke?” soalnya sambil menyuakan sudu yang berisi bubur itu kepadaku. Aku geleng kepala. Mustahil aku mahu dilayan semesra lagak insan yang sedang memadu kasih. Apatah lagi insan itu adalah Aqel anak Mak Longku. Huhhh.... Simpang 44 malaikat! Aqel bukan lelaki impianku.

“Saya dah sarapan tadi. Awak tak perlukan pertolongan saya lagi kan so saya nak pergi kerja sekarang. Bye...” ujarku lalu bangkit dari kerusi itu. Aqel masih leka dengan hidangan sarapannya sehingga dia langsung tidak sempat memberikan tindak balasnya pada bicaraku. Aku meninggalkan Aqel yang tampak kebuluran saat ini.
 
Aku meletakkan fail di sisi meja. Pandanganku fokus pada skrin komputer di depanku. Kuteliti angka – angka yang baru saja aku masukkan dalam jadual pada paparan excel ini. Beberapa kali aku memeriksaanya. Tidak mahu berlaku kesilapan. Setelah yakin tiada yang perlu diubah aku terus saja menekan ikon ‘save’. Lega sudah selesai satu tugasan hari ini. Daun pintu diketuk. Aku mengangkat muka lalu melontar pandangan ke muka pintu. Marnie tersenyum meleret sedang mengatur langkah ke arahku. Lalu terus saja duduk di kerusi kosong di depanku. 

“Busy ke?” soalnya tersenyum. Aku mengangguk. Hari – hari aku dilanda kesibukan kerja. Ada saja yang perlu aku siapkan. Apatah lagi sekarang banyak sangat pembikinan iklan. Secara tidak langsung aku turut merasa tempiasnya. Setiap hari ada saja keluar masuk kostum. Kemudian perlu pula berhubung dengan CNFL untuk proses dobi kostum tersebut. Andainya aku tidak cuai ketika itu pasti aku tidak akan berada di sini dan melalui kehidupan sukar begini. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhan kecilku. 

“Awak nampak tak bersemangat je hari nie” komen Marnie yang asyik memerhatikan aku sejak dari tadi. Aku diam. Bukan tidak bersemangat cuma kesal dengan nasib malang yang sentiasa mendatangiku. Kalaulah aku tidak bertemu dengan Aqel ketika itu aku tidak akan terjerumus dengan perjanjian KDUT dengan Puan Rosie. Maka aku tidak akan ditemukan dengan Haqem lagi. Andainya Puan Rosie lebih bersikap belas kasihan kepadaku, maka aku tidak perlu berdepan dengan Rania yang menakutkan itu. Ahh...! Aku melepaskan keluhanku lagi.

“Awak tak bersemangat sebab Encik Aqel tak masuk kerja hari ni?” lancang saja mulut Marnie membuat andaian.

“What....!!!” Besar anak mataku menatap Marnie. Jauh sangat dia berfikir. Marnie tersengih panjang. Dia memang suka memadankan aku dengan Aqel bos pujaan hatinya itu. Aku menarik muka masam sambil menjeling tajam Marnie yang masih tersenyum – senyum ini.

“Janganlah marah, Lia. Saya gurau je. Kalau betul apa salahnya” ujar Marnie masih mahu mengusikku.

“Awak ni cakap tak masuk akal langsung” rungutku tidak suka dikaitkan dengan Aqel. Anak muda Mak Long itu adalah hero pujaan hati Rania. Gadis itu rela lakukan apa saja demi Aqel. Mungkin juga Rania jodoh Aqel suatu hari nanti. Siapa tahukan.... Aku mula membayangkan kehidupan Aqel dengan Rania. Seorang dingin membeku manakala seorang lagi panas membakar. Wah.... memang sesuailah jadi pasangan ideal! He..he...he....! Aku tersenyum. Boleh tahan juga jahatnya aku ini... Sorry Aqel...!

“Tengok tu tersenyum sendiri pula. Ni mesti ada sesuatu yang berlaku antara awak dengan Encik Aqel ni” serkap jarang Marnie curiga.

“Jangan merepeklah awak” radangku. Sekali lagi aku menjeling Marnie yang suka sangat mahu jadi Mak Nujum.

“Mana ada saya merepek. Saya cakap berasaslah. Kalau awak dan Encik Aqel tak de apa – apa, kenapa Encik Aqel tercari – cari awak semalam. Saya tengok bukan main risaunya dia terhadap awak. Bila saya beritahu awak tak de kat bilik ni dia terus saja pulang. Mungkin cari awak” jelas Marnie panjang lebar. Memang pun Aqel cari aku. Kalau tidak kecelakaan itu tidak akan menimpa Aqel. Maka hari ini Aqel akan bekerja.

“Dia dah buat salah mestilah datang cari saya...” tuturku tanpa sedar.

“What? Encik Aqel ada buat salah pada awak? Apa yang Encik Aqel telah buat?” Banyak sangat persoalan yang keluar dari mulut Marnie. Aku hanya menatap Marnie dengan pandangan kosong. Keterujaan Marnie bercakap tentang Aqel menjengkelkanku. Entahlah kenapa aku tidak rasa serasi dengan anak muda Mak Long itu. Kadangkala aku rasa Aqel lelaki yang jahat.

“Jangan – jangan dia telah menceroboh masuk ke bilik awak tak?” serkap jarang Marnie berbisik.

“Mar....!!!” suaraku melenting kuat. Marnie terus saja tertawa. Macam tahu – tahu saja dia yang aku tinggal bersama Aqel sekarang ini. Bukan tinggal bersama Aqel saja malah tinggal bersama Mak Long juga. Mesti perkara ini dijelaskan sejelasnya agar tiada yang salah faham nanti. Tajam pandanganku menatap Marnie yang masih tergelak – gelak ini. 

“Bos awak tu masuk campur hal aku dengan Haqem...” radangku. 

“What! Hal awak dengan Encik Haqem? Hal apa pula tu?” soal Marnie bertubi – tubi dengan mata yang terbuka luas. Alamak...!!! Semakin lama aku berbual dengan Marnie semakin banyak pula perkara yang sepatutnya aku simpan tanpa sedar terluah  pula. Pasti berganda – ganda kehairanan Marnie saat ini. Aku melepaskan keluhanku menyesali ketelanjuran bicaraku.

“Apa hal awak datang sini?” soalku mengubah topik perbualan. Persoalan Marnie tidak kujawab.

“Ada perkara yang saya nak siasat” tutur Marnie berterus terang sambil tersenyum.  Aku mencebik bibir.

“Awak kalau nak bercakap baik hati – hati. Saya tak nak mengundang kemarahan Rania. Nanti tak pasal – pasal dia mengamuk” ujarku memberi peringatan pada Marnie. Giliran Marnie pula yang mencebik bibir. Dia memang kurang senang dengan sikap gadis itu. Sebagai setiausaha Haqem yang sering membantu dan berhubung dengan Aqel menyebabkan Marnie turut merasa tempias api cemburu Rania. Memanglah adat orang bercinta. Cemburu tandanya sayang. Namun kalau berlebihan jadi mudarat juga. Mengimbau kembali pada kisah lalu. Seingatku ketika aku dan Haqem menjalin hubungan cinta tidaklah aku seperti Rania yang mudah sangat cemburu pada setiap gadis yang berkomunikasi dengan Haqem. Hanya seorang saja yang buat aku cemburu. Nabila yang pengoda dan terkedik – kedik itu. Manjanya dibuat – buat. Sekalipun aku cemburu tetapi tidaklah sampai bertindak ganas menyerang Nabila ketika itu. Paling teruk tindakanku aku akan menjeling tajam gadis itu dan menutup mulut tidak mahu berbicara dengannya. Masih ingat di saat – saat perpisahanku dengan Haqem. Nabila begitu bangga berdampingan dengan Haqem. Malah begitu kesat bicara yang Nabila lemparkan kepadaku. Ringkasnya cinta Haqem beralih pada Nabila yang lebih setaraf dengan dirinya. Mengapa Haqem dan Nabila tidak bersatu? Apa pula hubungan Haqem dengan gadis cantik yang muncul pada majlis makan malam KDUT itu? Aku melepaskan keluhanku. Betapa kenangan lalu itu menyakitkan hatiku. Sungguh aku tidak mahu mengingati semua itu. Segera kumatikan kenangan itu.

“Sebenarnya Encik Haqem nak jumpa awak” tutur Marnie mengejutkanku. Serta – merta wajahku bertukar reaksi. Cukup sensitif aku mendengar sebaris nama itu. Kutatap Marnie yang nampak serius membalas pandanganku. Aku mula gelisah.

“Buat apa dia nak jumpa saya?” lambat – lambat suaraku melontar persoalan itu. Marnie mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

“Mestilah atas urusan kerja” balas Marnie membuat andaian. Aku menghela nafas. Sedikit lega. Kalau urusan kerja aku mesti bersikap lebih profesional. Namun aku masih mendiamkan diri. Cuba membayangkan pertemuanku dengan Haqem. Risau segalanya tidak berjalan lancar. Tiba – tiba saja kedengaran tawa Marnie. Laju saja aku menatap Marnie.

“Muka awak pucat. Awak ada dosa pada Encik Haqem ke?” soal Marnie. Serius wajahku menatap gadis ini. Suka sangat buat helah.

“Sorry.... sorry... Lia... Encik Haqem dah keluar tadi. Tak tahu pula dia nak pergi mana. Mungkin lunch dengan Cik Bella” jelas Marnie tanpa dipinta. Mesti itulah gadis yang aku jumpa pada malam itu.

“Mereka tu memang mencemburi anugerah pasangan ideal yang awak dengan Encik Aqel terima tu” tutur Marnie suka sangat membuat andaian sendiri. Aku masih mendiamkan diri. Tidak mahu memberikan sebarang ulasan.

“Awak dengar tak ni?” soal Marnie setelah melihat aku hanya mendiamkan diri. Aku mengangguk.

“Tak berminat saya nak ambil tahu hal orang lain. Bukan macam awak suka sangat jadi wartawan tak berlesen” perliku. Terbeliak mata Marnie menatapku. Kemudian kedengaran tawanya kembali. Bicaraku tidak disimpannya di hati. Inilah sikap Marnie yang aku puji tidak mudah tersinggung.

“Ni tujuan kedatangan saya sebenarnya. Encik Aqel minta awak bawa pulang fail ni. Seminggu ni mungkin dia tak masuk kerja. Dengar – dengar dia tak sihat” jelas Marnie seraya meletakkan fail hitam sederhana tebal itu di depanku. Aku terdiam. Betulkah Aqel bercuti seminggu? Serius sangatkah kecederaannya itu? Aku mula bimbang dan gelisah. Kecederaan Aqel berpunca dariku. Betapa aku telah menyusahkan anak muda Mak Long itu. Malah Mak Long turut sama susah lantaran menjaga Aqel yang kini pergerakannya terbatas. Oh.... betapa aku menyusahkan banyak pihak! Kalaulah aku lebih bersikap matang semua ini tidak akan terjadi! Aqel tidak akan jadi mangsa lantaran emosiku yang tidak menentu.

“Lia... saya nak sambung buat kerja. Duduk depan awak bosan juga asyik tengok awak berkhayal...” tutur Marnie menyentakkanku. Marnie sudah bangkit dari duduknya sambil tersengih menatapku. Aku memerhatikan Marnie mengatur langkahnya ke muka pintu. Tiba – tiba saja langkahnya terhenti di ambang pintu   bilik ini. Marnie berpaling ke arahku semula. Seminit aku dan Marnie saling bertentangan mata.

“Musykillah... Awak dan Aqel tinggal serumah ke?” soal Marnie.

“Sayakan sepupu dia. Sekadar nak singgah rumah Mak Long hantar fail ni pada Aqel bukan susah pun. Lagipun saya tak tahu pula dia tak sihat. Nantilah saya terus jenguk dia” ujarku dengan tenang. Mujur juga aku cepat berfikir. Jadi tidaklah Marnie terus syak wasangka padaku.

“Baguslah kalau macam tu. Lain kali awak janganlah bertindak kejam pada Encik Aqel. Sian Encik Aqel. Bye...” tutur Marnie lalu menyambung langkahnya kembali. Kelibat Marnie hilang di sebalik pintu. Aku terdiam mendengar bicara Marnie sebentar tadi. Terasa pula aku dengan bicaranya itu. Mungkinkah Marnie mengetahui akulah punca kesakitan Aqel itu? Aku terus saja menyandarkan tubuhku di kerusi empuk ini. Memang aku rasa betapa kejamnya aku pada Aqel. Mana ada orang sanggup langgar orang lain dengan kereta. Apatah lagi orang yang dilanggar itu ahli keluarga sendiri. Aku mengeluh lagi. Selepas ini aku mesti bersikap lebih baik dengan Aqel. InsyaAllah...

Tepat pukul 05.00 petang aku menamatkan kerjaku hari ini. Kumasukkan fail hitam yang diserahkan Marnie tadi ke dalam beg galasku. Usai menyusun fail di atas meja ke dalam rak, aku bergerak ke bahagian kostum memeriksa kali terakhir. Semua kabinet kaca ini telah berkunci. Tidak mahu perkara lalu berulang lagi. Andai  kostum – kostum di sini hilang, maka seumur hiduplah aku terpaksa bekerja di sini. Nauzubillah.... Tidak tega aku. Kuperhatikan seluruh ruang bilik ini. Setelah yakin bilik ini dalam keadaan selamat, aku bergerak ke muka pintu. Sebelum menutup daun pintu kupetik suis lampu. Gelap. Kukunci pintu lalu memasukkan kunci ke dalam beg galasku. Aku terus saja menyusun langkah merentasi ruang lobi yang luas ini.

 “Lia...!!!” Namaku dipanggil. Langkahku terus saja mati. Kedengaran gerak langkah sedang berlari mendekatiku. Aku berpaling. Tersentak melihat Rania sedang berlari anak ke arahku. Timbul sedikit kerisauan di hatiku. Mana tahu dia menyerangku di ruang lobi ini. Maka aku harus berhati – hati. Tidak mahu nasib malang asyik berulang – ulang menimpaku. Rania sudah berada di depanku saat ini. Aku dan dia saling berpandangan. Kali ini pandangan mata Rania tidak menakutkan. Sempat juga aku memuji akan kejelitaan gadis ini. Patutlah Aqel jatuh cinta padanya. Kejelitaan Rania mampu menggetarkan hati semua lelaki. Rania tersenyum. Macam tahu – tahu saja dia yang aku sedang memujinya saat ini. Buat pertama kali dia tersenyum padaku. Senyumannya sungguh manis buat aku rasa lega. Kali ini memang dia berniat baik hendak bertemu denganku.

“Aqel mana?” soalnya menyentakkanku. Kupandang wajahnya. Hairan. Mengapa dia perlu bertanya padaku tentang Aqel. Bukankah dia sendiri boleh menghubungi Aqel?

“Aqel tak jawab call saya” jelas Rania sekaligus menjawab persoalan di kepalaku. Oh.... patutlah persoalan ini diajukan kepadaku! Mengapa pula Rania bertanya soalan ini kepadaku? Mengapa bukan Haqem mahupun Marnie yang menjawabnya? Aku masih diam.

“Semalam saya ada nampak awak, Haqem dan Aqel keluar bersama” tutur Rania mengejutkanku. Sekali lagi Rania menjawab persoalan dalam diriku.

“Oh.... kami nak lunch sama” jelasku berhati - hati. Tidak terniat langsung aku hendak menimbulkan rasa cemburu Rania lantaran Aqel ada bersama ketika itu. Mujur juga Haqem ada bersama tika itu yang menyebabkan aku duduk di kerusi penumpang belakang bukan di sebelah Aqel . Sekurang – kurangnya tidak timbul curiga gadis ini. Baru aku terfikir ada juga baiknya kewujudan Haqem pada ketika itu. Rania mengangguk faham.

“Awak tahu di mana Aqel sekarang?” soal Rania. Aku diam. Mula membuat pertimbangan sama ada terus berdiam diri  ataupun menceritakan segalanya apa telah berlaku kepada Aqel. Kalaulah aku berterus terang mungkin akan membangkitkan kembali api cemburu gadis ini. Lantas Rania akan menyerangku di ruang lobi ini. Kemudian kami sama – sama akan jadi tontonan orang ramai yang sentiasa lalu lalang di sini. Hey.... ngerinya hendak aku bayangkan semua itu!!!!

“Saya dengar dia tak datang office hari nie. Dia out station ke atau sakit?” soal Rania risau. Aku diam. Hairan mengapa Rania tidak mengetahui gerak langkah kekasihnya ini? Dalam masa yang sama aku terfikir dengan pelbagai perwatakan yang dimiliki oleh Aqel. Banyak masanya Aqel lebih suka mendiamkan diri dan jadi dingin membeku persis salji. Mungkin sebab inilah Rania tidak tahu di mana Aqel sekarang dan apa yang berlaku pada Aqel. Kasihan Rania.

“Maaf... saya tak tahu di mana Aqel berada sekarang. Saya rasa baik awak tanya perkara ni pada Encik Haqem ataupun Marnie” ujarku berbohong sekaligus memberi cadangan terbaik buatnya. Rasa kasihanku pada gadis ini berganda. Kesal aku terpaksa menyembunyikan perkara sebenar demi keselamatan diriku dan demi mengelakkan rasa cemas dan api cemburu Rania. Ringkasnya demi kebaikan kami berdua. Kalaulah Rania lebih profesional dan tidak pernah bertindak ganas padaku, sudah semestinya dengan senang hati aku akan memaklumkan perkara ini kepadanya. Malah menjemputnya datang menjenguk Aqel di rumah Mak Long. Biar Mak Long berkesempatan berkenal – kenalan dengan bakal menantunya ini.

“Tak pelah nanti saya tanya mereka, tapi kalau awak tahu di mana Aqel awak beritahu saya ye” pinta Rania. Aku mengangguk dengan perasaan kesal yang menebal dalam diri kerana tidak mampu berterus terang dengannya.

“Saya pergi dululah. Bye...”

“Bye...” Aku membalas lambaian tangan Rania. Kemudian menyambung langkahku kembali dengan keluhan. Rasanya aku perlu menasihati Aqel dalam hal ini. Tidak sepatutnya dia bersikap begini kepada Rania. Khuatir juga Rania tidak mampu bertahan dengan sikapnya ini lantas meninggalkan dirinya. Sesuatu yang menyakitkan menjadi mangsa yang ditinggalkan. Aku tidak mahu Aqel melalui kesakitan yang aku alami sekarang. Namun layakkah aku menjadi penasihat Aqel dalam hal ini sedangkan aku sendiri masih tidak mampu menangani perkara ini dengan baik? Buktinya sehingga detik ini aku masih tewas untuk berdepan dengan Haqem. Walau bagaimanapun tidak salahkan kalau aku ingin berkongsi pengalaman cintaku dengan Aqel agar dirinya tidak menurut jejak langkahku. Sepanjang perjalanan balik ini banyak sangat perkara yang bermain di fikiranku. Tiba di perkarangan banglo milik Mak Long ini, aku nampak sebuah kereta mewah tersadai di sini. Rasanya ada tetamu yang datang. Mungkin juga kawan – kawan Aqel yang datang menjenguk bertanyakan khabarnya. Tidak mustahil juga kawan – kawan Mak Long. Beberapa kali aku pernah bertembung dan bertegur sapa dengan kawan – kawan Mak Long yang kebetulan ada perbincangan persatuan di sini. Memandangkan Mak Long pengerusi persatuan maka perbincangan itu seringkali juga diadakan di rumah Mak Long ini. Teringat pada Datin Orkid buat aku tersenyum sendiri. Datin Orkid bersungguh – sungguh hendak memperkenalkan aku dengan anak terunanya yang sedang bekerja di USA sekarang. Kononnya dia berkenan sangat hendak menjadikan aku menantunya. Tambahan pula namaku dan namanya dari spesies bunga. Maka katanya ada keserasian sebagai menanti dan mentua. Aku tersenyum lagi. Bicara Datin Orkid mencuit hatiku. Mujur Mak Long jadi penyelamat keadaanya. Kononnya Mak Long sudah ada lelaki terbaik untuk dijadikan calon suamiku. Maka terpaksalah Datin Orkid berputih mata hendak menjadikan aku menantunya. Rasa terhutang budi juga pada Mak Long.

“Assalamualaikum.....” sapaku seraya melangkah masuk. Kelihatan Aqel dan Mak Long sedang rancak berbual – bual dengan pemilik kereta BMW di halaman ini. Kedengaran suara lelaki yang menyahut bicara Mak Long dan Aqel.

“Kamu dah balik Lia...” sapa Mak Long mesra.

“Ya Mak Long...” sahutku tersenyum lantas mengatur langkah mendapatkan mereka. Bertegur sapa dengan tetamu yang datang. Tetamu yang datang mesti dimuliakan. Itulah pengajaran mak padaku dan Aziq. Maksudnya siapa saja yang datang ke rumah kita, maka wajib melayan mereka dengan baik.

“Ni kawan Aqel...” tutur Mak Long memperkenalkan aku pada lelaki yang duduk di sofa membelakangiku ini. Aqel menatapku. Namun tidak kuhiraukan padangannya itu. Tatkala aku berada di sebelah Mak Long, maka jelaslah wajah dan susuk tubuh gerangan tetamu ini. Aku terkedu menatap Haqem yang sedang
tersenyum ini.

“Mari duduk sini Lia...” pinta Mak Long. Aku patuh saja. Lantas melabuhkan punggung di sebelah Mak Long sambil diperhatikan oleh Aqel. Aku sedar Aqel mengetahui keadaanku tika ini. Nampaknya kali ini aku tidak mampu menjauhi Haqem. Lantas aku memaksa diri untuk tersenyum pada Haqem agar tidak timbul kecurigaan Mak Long.

“Sama tempat kerja mesti kenal dengan Haqem kan” duga Mak Long. Aku mengangguk. Memang aku sangat kenal dengan lelaki ini Mak Long. Kalau Mak Long hendak tahu, lelaki inilah yang telah mengkucar – kacirkan hidup anak saudara Mak Long ini suatu waktu dulu. Lelaki inilah juga yang menabur kata – kata indah sehingga anak saudara Mak Long ini terbuai dan terleka. Kemudian lelaki ini jugalah yang meninggalkan anak saudara Mak Long ini terkapai – kapai sendirian. Suara hatiku berbicara.

“Bagaimana kerja awak hari ni?” soal Haqem mengajak gadis itu berbicara. Senyap. Pandangan gadis itu seolah – olah sedang menembusi tubuhnya. Aqel menatapnya kemudian beralih pada gadis itu.

“Lia dengar tak Haqem tanya tu” cuitan tangan Mak Long di bahuku menyentakkanku. Aku sedikit menggelabah.

“Dia memang suka berkhayal” perli Aqel mula bersuara. Tajam pandangan mataku menjeling Aqel. Mak Long dan Haqem hanya tersenyum.

“Haqem tanya kerja Lia hari ni okey ke tak” jelas Mak Long mengulangi pertanyaan Haqem.

“Okey...” balasku ringkas. Mak Long tersenyum puas hati.

“Awak baru balik kerja pergilah berehat di bilik” arah Aqel tiba – tiba.
Kutatap wajah Aqel. Apakah tujuan Aqel bertindak begini? Adakah kali ini dia ingin menyelamatkan aku dari bertembung dengan Haqem seperti yang selalu aku lakukan selama ini? Terima kasih Aqel kerana memahamiku. Namun kali ini aku harus berani bertentang mata dengan Haqem. Biarlah Mak Long dan Aqel jadi saksinya. Haqem memandang sekilas ke arah Aqel. Nampak Aqel mengambil berat terhadap gadis itu buat Haqem iri hati dan rasa tidak senang.

“Tak pe... taklah letih sangat pun” ujarku menolak permintaan Aqel itu.

“Berbual – bualah biar Mak Long buat air kejap” tutur Mak Long. Sah Haqem belum lama sampai di sini. Kuhalang Mak Long bangkit dari duduknya.

“Tak pe Mak Long biar Lia saja yang buat” pintaku lalu bangkit dari dudukku. Mak Long mengangguk akur. Aku terus saja bergerak ke dapur. Kedengaran suara Mak Long, Aqel dan Haqem silih berganti berbual. Rancak betul perbualan mereka. Aku menarik nafas dalam – dalam. Sedikit lega bersendirian di sini. Tanpa membuang masa aku terus saja membancuh air teh kosong. Kebetulan kuih sudah disimpan di dalam pinggan menunggu masa untuk dihidangkan saja. Kemudian aku muncul kembali di ruang tamu sambil menatang dulang yang berisi air teh panas dan sepinggan kuih. Kuletakkan di atas meja lalu menuangkan ke dalam gelas.

“Jemputlah minum...” pelawaku.

“Terima kasih...” tutur Haqem tersenyum. Aku dan Haqem saling tersenyum seketika. Terasa juga Aqel sedang memerhatikan gelagatku ketika ini. Entah apa yang ada di fikiran anak muda Mak Long ini sekarang. Mungkin Aqel sedang mengutuk aku betapa aku boleh jadi pelakon yang hebat lalu mengaburi mata Mak Long. Pastinya Aqel dan Haqem cukup memahami kepura – puraanku ini. Tiba – tiba kedengaran telefon bimbitku berbunyi. Tertera barisan nombor yang tidak kukenali. Mak Long dan Haqem kembali berbual – bual. Langsung tidak terganggu dengan deringan telefon bimbitku ini. Aqel seperti biasa lebih banyak mendiamkan diri dan jadi pendengar setia. Aku terus saja menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum.... Cik Nur Dahlia kan?” suara lelaki penuh sopan di talian sekarang.

“Ya saya...” sahutku.

“Saya Cikgu Firdaus... cikgu sekolah Aziq...” tutur suara ini memperkenalkan diri. Fikiranku terus menerawang mengingati sebaris nama ini. Aku ingat nama cikgu ini. Malah pernah nampak wajahnya sekali ketika aku menjemput Aziq di perkarangan asrama.

“Oh.... Cikgu Firdaus... saya ingat. Apa khabar sekarang cikgu?” sapaku mesra. Senyap. Baru aku menyedari rupanya mata Mak Long, Aqel dan Haqem sedang terarah padaku sekarang. Semuanya nampak berminat mendengar nama Cikgu Firdaus ini.

“Baik. Saya wakili pihak sekolah ingin menjemput Cik Nur Dahlia datang ke sekolah sebagai wakil Aziq menerima hadiah dan sijil Anugerah Pelajar Cemerlang di Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah 24 hari bulan nie. Aziq memang wakilkan Cikgu Nur Dahlia bagi pihaknya sebab itu juga dia ada bagi nombor telefon ni kepada saya” jelas Cikgu Firdaus ramah.

“Alah....cikgu macam tahu – tahu saja dia akan dapat anugerah tu” perliku pada Aziq. Dalam hati memang aku bangga dengan pencapaian adik lelaki tunggal kesayanganku itu.

“Mestilah dia dah dapat agak punya. Pelajaran dia sepanjang tahun cemerlang dan berada pada kedudukan yang terbaik dalam kalangan pelajar lain” jelas Cikgu Firdaus bersunggguh – sungguh. Aku tersenyum sendiri. Alhamdulillah Aziq tidak pernah mengecewakan aku dan mak. Kebijaksanaan Aziq mengalahkan aku. Aku dapat rasakan masa depan Aziq akan cerah. 

“Cik Nur Dahlia dapat datang ke majlis ni nanti?” soal Cikgu Firdaus begitu formal. Begitu janggal di telingaku mendengar namaku dipanggil sedemikian. 

“InsyaAllah cikgu saya akan pergi. Cikgu boleh panggil saya Lia” pintaku tanpa menghiraukan pandangan Haqem dan Aqel kepadaku. 

“Terima kasih cikgu. Assalamualaikum...” tuturku mesra sebelum menamatkan perbualan di talian. Mak Long menatapku.

“Apa halnya Lia?” soal Mak Long ingin tahu. Aqel dan Haqem sudah bersedia mendengar bicara yang bakal keluar dari mulutku.

“Cikgu Firdaus jemput hadir ke sekolah” jelasku ringkas.

“Cikgu Aziq ke?” soal Mak Long lagi. Aku mengangguk. 

“Dia cikgu yang paling rapat dengan Aziq” ujarku. Mak Long mengangguk – angguk. Aqel juga pernah mendengar nama itu. Malah dia juga terdengar bahawa sepupu kecilnya itu begitu bersemangat hendak menemukan kakaknya ini dengan cikgu itu. 

“Cikgu yang adik awak nak jodohkan dengan awak tu kan” tiba – tiba saja Aqel bersuara. Mak Long dan Haqem terus saja menatapku. Laju aku mengangguk.

“Apa salahnya. Saya bukannya berpunya pun” sahutku tiba – tiba. Mak Long terus saja tergelak. Wajah Haqem nampak serius. 

“Mengapa kamu cemburu ke, Aqel?” soal Mak Long. Alamak... Ke situ pula Mak Long fikir! Aqel hanya tersenyum. Wajah Haqem kian serius. Barangkali dirinya rasa tercabar. Mungkin juga dia tidak senang hati melihat aku bahagia.  

“Lia akan pergi ke majlis tu Mak Long” tuturku memaklumkan perkara itu. Mak Long mengangguk.

“Ajaklah Aqel pergi sekali” cadang Mak Long. Laju aku geleng kepala. Dalam keadaan Aqel sekarang mana mampu dia bergerak jauh.

“Flora tak nak ada orang jadi pengacau nanti mama” tutur Aqel berlagak merajuk sekaligus mengenakan aku. 

“Pandailah awak...” rungutku. Mak Long tersenyum. Seketika kami bagaikan lupa dengan kewujudan Haqem yang hanya memerhatikan gelagat kami. Bukan mahu meminggirkan kewujudan Haqem saat ini tetapi memang dia terkecuali dalam cerita ini. Memandangkan Haqem belum mahu balik lagi dan aku juga belum solat Asar maka aku memohon diri untuk ke bilik. Mak Long dan Aqel masih bersama Haqem di ruang tamu. Tidak berapa lama kemudian kedengaran bunyi deruan kereta meninggalkan halaman banglo ini. Mungkin Haqem sudah balik. Usai solat Asar aku melangkah ke ruang tamu untuk bertemu Aqel kembali. Amanat  Marnie perlu kulaksanakan. Maka fail hitam ini perlu aku serahkan pada Aqel tanpa mahu melengahkan masa lagi. Andai Haqem tidak berada di sini tadi sudah pasti fail ini ada pada Aqel. Namun Aqel mahupun Mak Long tidak berada di ruang tamu lagi. Aku berpatah balik ke tingkat atas. Langkahku terhenti di depan pintu bilik Aqel. Lantas ketuk daun pintu. 
“Masuk...” kedengaran suara Aqel mengarahkan aku masuk. Perlahan – lahan kutolak daun pintu. Kelihatan Aqel sedang bersandar di kepala katil sambil
leka membaca buku di tangannya. Aku mendekati Aqel.

“Ni fail yang awak minta pada Marnie” ujarku seraya meletakkan fail hitam ini di atas meja.

“Thanks. Duduklah” pelawa Aqel sambil menunding jari pada kerusi di sisi katil ini. Aku terus saja melabuhkan punggung di situ. Mungkin Aqel perlukan teman berbual – bual setelah seharian hanya terkurung di banglo ini.   

“Bagaimana awak hari ni?” soalku bertanyakan khabar diri Yen. Tadi tidak sempat untuk bertanya. Ternyata kewujudan Haqem di depanku menjadi penghalang banyak perkara.

“Bertambah sihat” ujar Aqel. Senyap seketika. Aqel merenungku buat aku tidak selesa. Mungkin dia ingin memberikan ulasannya tentang sikapku di depan Haqem sebentar tadi.

“Pertanyaan awak agak terlewat sikit. Awak risau Haqem cemburu ke?” soal Aqel di luar jangkaanku. Dia sedang mempersoalkan tindakanku yang tidak terus bertanya perkhabaran dirinya setibanya aku di sini. Aqel juga mula mengaitkan tindakanku itu dengan Haqem.

“Awak tak suka ke saya terlambat tanya tentang diri awak?” kubalas bicara Aqel dengan persoalan juga. Senyap. Aqel tidak terus memberikan jawapan atas pertanyaanku ini. Dia hanya geleng kepala. Mungkin Aqel ingat aku seorang yang tidak bertimbang rasa. Justeru tidak menghiraukan dirinya. Rasanya aku patut berterus terang pada Aqel.

“Mungkin awak ingat saya begitu kejam dengan awakkan sebab langgar awak dengan kereta” tuturku menyusun bicara. Aqel tenang menatapku.

“Sebenarnya saya masih rasa bersalah pada awak dan pada Mak Long atas kejadian yang menimpa awak ni. Saya memang bimbangkan awak.  Selagi awak terbaring di bilik ini dan belum boleh bekerja selagi itu saya akan susah hati dan menyalahkan diri” ujarku meluahkan isi hatiku. Aqel masih mendiamkan diri dan nampak tenang menatapku. 

“Saya dah bersumpah dengan diri saya sendiri yang saya akan jaga awak seumur hidup awak andai awak hilang keupayaan diri. Saya rela tak kahwin demi jaga awak” tuturku serius. Tiba – tiba saja Aqel tertawa.

“Saya serius tau...” kutekan suaraku menunjukkan kepada Aqel betapa aku bersungguh – sungguh dengan bicaraku.

“Saya betul – betul menghargai pengorbanan awak tu” tutur Aqel tersenyum disambut dengan gelak tawanya lagi. Bicaraku benar – benar mencuit hatinya. Aku menjelingnya tajam. Tidak suka dia menjadikan keikhlasan bicaraku sebagai bahan tawanya. Mungkin Aqel tidak percaya betapa aku serius andai semua itu menimpa Aqel. Nauzubillah.... Harap – harap Aqel sentiasa sihat sejahtera. Bukan mudah pun hendak sentiasa bersamanya. Tidak pasal – pasal aku hidup makan hati berulam jantung. Aku tersenyum sendiri.

“Apa hal awak senyum – senyum ni?” soal Aqel menyentakkanku. Aku garu – garu kepala yang tidak gatal. 

“Saya cuba bayangkan betapa seksa dan sengsaranya saya menjaga lelaki dingin membeku macam awak” tuturku mengusiknya. 

“Flora....!!!” melenting suara Aqel melaungkan namaku. Pasti dia tidak suka dirinya dikutuk sedemikian. Aku bingkas bangkit dari dudukku lalu memulakan langkah meninggalkan Aqel terkebil – kebil ditinggalkan sedemikian.

“Awak nak pergi mana?” soalnya sedikit melaung. Aku berpaling ke arah Aqel.

“Saya nak tolong Mak Long di dapur. Bye...” Kulambaikan tanganku sebelum menutup daun pintu bilik ini. Baru saja aku hendak melangkah baru aku teringat ada perkara yang ingin aku maklumkan kepada Aqel. Kutolak perlahan daun pintu. Lalu menjengukkan kepalaku di sebalik daun pintu. Kebetulan Aqel sedang melontar pandangan ke pintu.

“Saya terlupa nak beritahu awak tadi. Rania sedang cari awak” jelasku sambil menatap Aqel. Diam. Pandangan Aqel nampak kosong saja.

“Tak elok awak buat dia tercari – cari awak” nasihatku. Senyap. Aqel masih tidak mahu bersuara. Perlahan – lahan kututup daun pintu kembali. Buang masa saja berbual dengan Yen tentang perkara ini. Aku terus mendapatkan Mak Long di dapur.

Aqel tersenyum – senyum sendiri mengingati bicara gadis itu. Dia tidak pernah menyangka gadis itu akan sanggup melakukan pengorbanan sebesar itu. Walaupun agak melucukan kata – kata gadis itu, namun hatinya cukup senang mendengarkannya.

“Saya dah bersumpah dengan diri saya sendiri yang saya akan jaga awak seumur hidup awak andai awak hilang keupayaan diri. Saya rela tak kahwin demi jaga awak” suara gadis itu berulang lagi di telinganya. Lantas Aqel tersenyum lagi. Senyuman yang panjang.