Anak mataku liar memerhatikan sekitar bilik ini. Cuba mengesan di mana aku meletakkan beg galas. Lama juga aku mengingat. Aku melepaskan keluhan tatkala gagal menemui, walaupun sudah sekitar bilik ini aku selongkar. Seingatku sejak aku melangkah masuk ke dalam banglo ini aku tidak singgah di mana-mana kecuali di ruang tamu. Itupun hanya terpacak seketika di depan Yen. Mustahil pula tercicir sekitar banglo ini. Mungkin juga tertinggal di dalam kereta Linda. Maklumlah mengantuk sangat semalam. Tidak ingat apa-apa lagi selain mahu terus berbaring di katil.
“Alamak, iPhone pun ada kat dalam beg tu,” rungutku menepuk dahi tatkala berhajat ingin menghubungi Linda memintanya mengesan jika beg galasku ada tertinggal di dalam kereta Kancilnya. Kulupakan niat hati. Kuseluk saku seluar jeans yang kupakai semalam. Mujur juga ada not kertas bernilai RM 20.00 ada di situ. Bolehlah buat wang sakuku hari ini. Aku bergegas keluar. Risau Suzan lama menungguku. Langkahku bergerak perlahan tatkala melihat Yen tidur lena di atas sofa panjang itu. Agaknya semalaman dia terbaring di situ. Berjengkit-jengkit aku menghampiri pintu mahu keluar. Tidak mahu mengganggu tidur pemuda Korea itu. Maklumlah rutin hidup Yen sering berjaga pada waktu malam.
“Sorry, saya terlambat sikit,” ujarku rasa bersalah. Suzan hanya tersenyum. Aku menarik nafas sambil bersandar di kerusi kereta. Cuba melegakan kerisauan di hati. Macam manalah aku boleh terlupa dengan barang pentingku itu.
“Boleh pinjam iPhone awak kejap? Saya nak WhatsApp Linda tanya kalau beg galas ada tak tertinggal di dalam kereta dia,” ujarku membuatkan Suzan terlopong mendengarnya.
“Cuainya awak ni,” rungut Suzan sambil menghulurkan iPhone kepadaku. Aku tersengih. Segera kuhantar WhatsApp kepada Linda.
“Awak call dia,” arah Suzan memberi kebenaran kepadaku untuk menggunakan iPhone ini.
“Takpe,” ujarku sambil menanti WhatsApp ku dibalas oleh Linda Si Ayamor. Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi mesej masuk. Sah mesej Linda yang baru sahaja kuterima. Aku menarik nafas lega tatkala mengetahui beg galasku itu ada pada Linda dan dia berjanji akan menghantar kepadaku nanti.
“Thanks Suzan,” Kuhulurkan kembali iPhone itu pada Suzan.
“Macam mana?” soal Suzan.
“Syukur juga beg tu ada pada Linda,” ujarku mula tersenyum.
“Pelupa sangat awak ni. Benda penting macam tu pun awak boleh missing,” perli Suzan disambut dengan sengihanku.
“Harap-harap bila dah kahwin nanti awak takkan lupa suami sendiri. Nanti tak pasal-pasal dikebas perempuan lain,” ujar Suzan mengusikku. Sengihanku terus lenyap. Aku terdiam seketika. Bicara Suzan berbekas di hatiku buat pertama kali. Sekarang aku berada dalam situasi itu. Namun sedikit berbeza. Sebetulnya akulah yang sering terlupa bahawa aku seorang isteri yang masih memiliki suami. Teringat akan ketegangan kecil antara aku dengan Yen semalam. Tatkala difikirkan semula dari sudut agama memang tidak patut aku memperlakukan Yen sedemikian. Malah tindakanku balik jauh malam juga tindakan yang salah. Menyesal pula melayan Yen sedemikian. Namun bila kufikir balik, sememangnya dalam perjanjian yang dipersetujui tertulis untuk aku mahupun Yen meneruskan kehidupan masing-masing. Yen sendiri yang menggariskan peraturan sedemikian. Yang pelik dia juga yang sering mempertikaikan. Sungguh memeningkan untuk memahami sepenuhnya tingkahlaku pemuda Korea itu.
“Awak dah kosongkan loker di tempat kerja?” soal Suzan. Aku mengangguk. Hari ini merupakan hari terakhir aku bekerja di Rozana Cupcake Conner. Walaupun tarikh pendaftaran untuk kemasukan kampus masih ada tinggal kira-kira seminggu lagi, namun aku perlu membuat persiapan sebelum bergelar mahasiswi.
“Tak best nanti awak takde. Mesti rindu kat awak nanti,” luah Suzan. Aku tersenyum. Terharu juga mendengar bicara ini. Perkenalanku dengan Suzan sudah begitu lama. Dialah sahabat keduaku yang lama bersamaku selepas Linda orang pertama.
“Saya pun pasti rindukan awak juga. Tapi takpe, saya akan datang jenguk-jenguk warga RCC nanti,” janjiku. Aku tidak akan melupakan kawan-kawan di RCC. Terlalu banyak kenanganku bersama mereka. Bahkan RCC terlalu berjasa kepadaku selama ini.
“Awak tahu ada seorang yang lebih rindukan awak nanti,” tutur Suzan mengusikku. Aku hanya senyum. Malas mahu melayan usikan Suzan yang mula hendak berputik itu.
“Encik Rizal sure miss you very much,” ujar Suzan tersenyum sendiri. Aku mencebik bibir. Sudah kuagak nama lelaki itu akan keluar dari mulut amoi ini.
“Saya harap dia akan dipertemukan gadis sebaik dirinya,” doaku tulus.
“Dia dah jumpa pun,” sahut Suzan buat aku teruja.
“Betul ke ni. Alhamdulillah...,” luahku penuh kelegaan.
“Awak nak tahu ke siapa gadis tu?” soal Suzan lagi. Laju sahaja aku mengangguk. Rasa tidak sabar ingin mengetahuinya. Mana tahu jikalau aku mengenali gadis itu.
“Siapa ye...?”
“Awaklah...! Ha...ha...ha...!”
“Suzan...!” Tamparan tanganku sudah hinggap di bahu Suzan. Aku menarik muka masam. Suzan masih terkekeh-kekeh kerana berjaya mengenakan aku. Tatkala aku dan Suzan memijakkan kaki di premis Rozana Cupcake Conner, Suzan masih tersenyum simpul. Malah semakin lebar senyumannya ketika kami disapa oleh Encik Rizal. Hatinya betul-betul tercuit kerana berjaya mengenakan aku pada awal-awal pagi ini.
Hari ini seperti biasa, premis Rozana Cupcake Conner sibuk dikunjungi oleh para pelanggan. Alhamdulillah bertambah juga rezeki Encik Rizal. Aku yang berdiri di kaunter ini hampir tiga jam tidak putus-putus dikunjungi oleh para pelanggan yang membuat pesanan. Suzan di sebelahku juga kelihatan sibuk. Memang hari cuti begini para pelanggan melebihi hari biasa. Apabila jam mencecah ke sekitar pukul 12.00 tengah hari barulah aku boleh bersantai-santai sekejap sebab pelanggan sudah berkurangan. Maklumlah waktu makan tengah hari sudah tiba. Jadi giliran gerai-gerai dan restoran-restoran yang menjual hidangan nasi jadi pilihan.
Dari kejauhan aku nampak kelibat Linda yang sedang bergerak ke sini. Tersenyum simpul dia tatkala bertembung pandangan denganku. Kebetulan pula saat ini tiada pelanggan yang berurusan denganku. Kuberi isyarat agar menungguku buat seketika. Linda mengangguk faham. Aku menunding jari meminta Linda bergerak ke belakang. Sekali lagi Linda mengangguk. Lantas melabuhkan duduk di kerusi di tepi dinding kaca itu agak terlindung daripada manusia yang lalu-lalang.
“Ravi, saya nak jumpa kawan kejap,” ujarku memaklumkan kepada Ravi supervisor baharu yang menggantikan Arlen setelah aku menolak jawatan itu.
“Okey,” balas Ravi tersenyum. Kalau pelanggan datang nanti, bolehlah dia menggantikan tempatku seminit dua.
“Thanks,” tuturku berbesar hati atas pertimbangannya. Ravi tersenyum lagi. Aku bergegas mendapatkan Linda. Tidak mahu membiarkan dia menungguku lama. Malah aku juga tidak mahu mencuri masa kerjaku.
“Nasib baik tinggal di dalam kereta. Kalau tercicir kat luar, menangis tak berlagulah awak padahnya,” rungut Linda. Aku hanya tersengih.
“Syukur... syukur...,” balasku seraya mengurut-urut dada kelegaan.
“iPhone awak tu dari tadi berdering. Cuba awak check,” arah Linda.
“Kenapa awak tak angkat je,”
“Malaslah saya. Orang tu bukan nak cakap dengan saya pun,” balas Linda buat aku tersenyum.
“Mestilah nak cakap dengan saya sebab tu call saya,” balasku.
“Tahupun,” balas Linda. Aku tersenyum lagi. Lantas kumasukkan tangan ke dalam beg galas. Kukeluarkan iPhone. Bateri tinggal satu bar sahaja. Laju tanganku memaparkan panggilan yang tidak dijawab. Tiga panggilan daripada Yen sekitar pukul 12.00 tengah hari ini. Mungkin dia baru sahaja bangun dari tidurnya.
“Ada hal penting ke dia nak cakap,” ujarku berbicara sendiri.
“Call balik,” suara Linda mencelah. Baru sahaja aku hendak membuat panggilan, iPhoneku terus padam. Bateri sudah habis. Lantas kusimpan kembali ke dalam beg galas. Waktu rehat nanti aku cas bateri.
“Kenapa? Tak boleh call ke?” soal Linda hairan.
“Bateri dah habis,” sahutku.
“Nah..., guna iPhone ni,” arah Linda seraya menghulurkan telefon kepadaku.
“Tak payah, nanti saya call dia lepas cas bateri ni,” ujarku menolak keizinan Linda untuk menggunakan iPhone itu.
“Awak tak kerja ke hari ni?” soalku hairan melihat dia muncul jam begini. Linda menguap. Pantas sahaja tangan menutup mulut. Mungkin masih mengantuk gara-gara balik lewat semalam.
“Saya cuti hari ni,” balas Linda untuk pertanyaanku itu.
“Awak nak rasa cupcake yang dijual kat sini? Saya belanja,” pelawaku.
“Bagus juga... saya sedang kebuluran ni,” balas Linda tersengih.
“Awak nak minum apa?”
“Apa-apa saja,” sahut Linda yang berselera universal.
“Okey... tunggu kejap ye...,” perintahku kerana sebentar lagi aku akan menghantar cupcake istimewa untuk Linda bersama air gas Pepsi kegemarannya. Selangkah aku meninggalkan Linda, tiba-tiba... pupp...! Kepalaku ditepuk kuat sehingga membuat aku terdorong ke hadapan. Belum sempat aku menoleh ke belakang, rambutku sudah dicengkam kuat. Kepalaku terdongak ke atas dan betapa peritnya tatkala rambutku ditarik sekuat hati.
“Kenapa ni?” kedengaran suara Linda menjerit. Linda menerpa ke arahku. Dia berusaha untuk melepaskanku dari seseorang yang belum aku nampak wajahnya. Seketika berlaku pergelutan antara Linda dengan gerangan yang menyerangku secara tiba-tiba ini. Aku masih dalam tawanan orang yang tidak aku nampak ini. Cengkaman tangannya begitu kuat sehingga sukar hendak Linda melepaskanku. Aku tersungkur ke lantai. Tangan itu masih tidak mahu melepaskan tanganku dari cengkaman kuat tangannya. Aku terjerit kesakitan.
“Lepaskan sekarang...!” jerit Linda. Bagai diserang histeria Linda begitu bertenaga menolak tubuh itu lalu terhumban beberapa langkah ke belakang. Linda terus memaut tubuhku membantuku bangun. Aku berpaling.
“Velviana...!” nama itu meniti di bibirku. Jari-jemariku meramas-ramas rambutku yang terasa seakan tercabut akibat tarikan kuat tangan Velviana tadi. Velviana masih terduduk di lantai sambil menatapku tajam.
“Awak kenal perempuan ni?” soal Linda. Aku mengangguk. Namun tidak sempat bercerita lebih terperinci apabila Velviana bangun dan terus meluru ke arahku. Aku terjelompok ke lantai simen tatkala tangan Velviana menolak tubuhku sekuat tenaga. Belum sempat aku bangun, Velviana sudah duduk di atas perutku. Aku cuba menepis tamparan tangannya daripada hinggap di wajahku. Dia cuba memalu kepalaku dengan lantai simen ini. Linda masih berusaha menarik tubuh Velviana menjauhiku. Velviana bagai sudah dirasuk. Tenaganya begitu kuat sehingga sukar untukku dan Linda melawannya. Kedengaran bunyi derap langkah datang menghampiri kami.
“Sudah...! Sudah...!” suara Ravi kedengaran menerpa telingaku. Aku terpandang kelibat Ravi dan Sham yang berusaha meleraikan adegan gusti yang sedang berlangsung. Ravi menarik tubuh Velviana menjauhiku yang sedang terbaring tewas. Lantas Linda dan Sham menarik tanganku membantuku bangun semula. Kelihatan Velviana meronta-ronta cuba melepaskan diri dari pautan tangan Ravi. Hampir-hampir juga jari-jemarinya mencakar muka Ravi. Namun Ravi cekap mengelak. Melihat keadaan Ravi yang begitu sukar mengawal keganasan Velviana, lantas Sham membantunya memegang tangan gadis itu. Kini Velviana berjaya ditawan oleh Sham dan Ravi.
“Perempuan gatal! Perempuan sundal! Awak ingat saya akan biarkan awak rampas Yen!” jerit Velviana lantang. Linda menatapku. Memohon penjelasan terhadap bicara yang keluar dari mulut Velviana.
“Siapa dia tu sebenarnya, Iman?” soal Linda. Aku senyap. Sukar hendak memaklumkan perkara ini kepada Linda. Linda masih merenungku.
“Kekasih Yen,” tuturku perlahan.
“What!” Linda tersentak. Terasa panas menitis ke pipiku. Laju tanganku menyentuhnya. Aku menatap jariku yang sudah tercelit darah.
“Dahi awak luka,” tutur Linda memaklumkan keadaanku sekarang.
“Ha...ha...ha...padam muka awak, perempuan sundal! Belum cukup lagi saya belasah awak,” ujar Velviana. Dia terbahak-bahak ketawa. Puas hati melihat kecederaanku.
“Hey..., perempuan gila, antara awak dengan Iman, Iman lebih berhak ke atas Yen!” balas Linda menambah kemarahan Velviana.
“Apa awak kata!” bentaknya.
“Iman ni....,”
“Linda jangan!” laju aku memotong bicara Linda. Mujur juga aku sempat menghalang Linda menghabiskan bicaranya. Linda menatapku.
“Please...,” rayuku meminta perkara ini harus dirahsiakan. Kedengaran Linda mendengus kasar. Betapa dia tidak puas hati dengan permintaanku ini. Aku tahu tindakan ganas Velviana ini tidak patut diberi bertolak ansur. Maka Linda merasakan dia patut membalasnya. Aku terharu dengan sikap Linda yang berusaha melindungiku.
“Baik cik pergi sekarang sebelum saya panggil pengawal keselamatan datang halau cik,” tegas Ravi memberi peringatan.
“Awak nak halau saya? Awak tak kenal siapa saya!” bentak Velviana garang. Berkerut wajah Sham dan Ravi menahan gema suara Velviana yang menusuk gegendang telinga. Cukup nyaring.
“Awak tu bukan siapa-siapa pun selain perempuan gila!” balas Linda menyemarakkan kemarahan gadis itu. Betapa Linda tidak boleh bersabar dengan perangai Velviana.
“Apa hal ni?” serentak aku dan Linda berpaling ke arah suara itu. Encik Rizal dengan wajah serius melontar pandangan ke arah Velviana. Aku semakin bimbang. Risau kalau segala-galanya akan terbongkar. Saat ini hanya Linda sahaja yang mengetahui kisahku dengan Yen. Pandangan Encik Rizal beralih ke arahku.
“Iman, dahi awak berdarah,” kedengaran suara Encik Rizal agak cemas.
“Takpe... sikit je,” ujarku masih bertenang walaupun hakikatnya kepalaku terasa pening dan tubuhku sakit-sakit akibat serangan bertubi-tubi Velviana sebentar tadi. Pipiku juga masih terasa perit akibat tamparan tangan Velviana.
“Ha...ha...ha... padam muka awak!” tutur Velviana tertawa bahagia melihat keadaanku. Puas hatinya kerana berjaya mencederakanku.
“Baik awak pergi sebelum saya call polis kerana awak telah mencederakan kekasih saya,” tutur Encik Rizal menyentakkanku.
“Kekasih...” serentak Velviana dan Linda menyebut perkataan itu. Linda menatapku. Ada persoalan di wajahnya. Aku terdiam dan tidak sempat melihat reaksi Ravi dan Sham pula. Pengakuan Encik Rizal benar-benar mengejutkan aku malah mengejutkan semua orang yang berada di sini.
“Lepaskan tangan saya...!” pinta Velviana sambil meronta menarik tangannya dari pegangan Ravi dan Sham. Encik Rizal memberi isyarat. Lantas Ravi dan Sham melepaskan tangan Velviana. Namun masih berjaga-jaga.Velviana menatapku lagi.
“Lain kali saya tak nak tengok awak bersama boyfriend saya. Saya akan buat awak lebih teruk lagi. Hari ni saya lepaskan awak sebab kekasih awak ni,” tutur Velviana angkuh sambil tangannya giat merapikan diri. Linda mengetap bibir menahan geram. Pandangan Velviana beralih ke wajah Encik Rizal.
“Awak harus jaga kekasih awak ni, kalau tak awak akan menyesal nanti,” ancam Velviana memperingatkan Encik Rizal lalu memulakan langkah meninggalkan kami. Kelihatan Ravi dan Sham geleng-geleng kepala.
“Sayang sungguh, muka cantik tapi perangai busuk,” omel Ravi menyesali sikap Velviana. Sham mengangguk menyokong bicara lelaki Tamil ini.
“Are you okay, Iman?” soal Encik Rizal lagi.
“Ya saya tak apa-apa, Encik Rizal,” sahutku dan cuba tersenyum.
“Tak apa-apa awak kata! Tengok dahi awak luka, rambut awak dah menggerbang macam dilanggar geruda,” marah Linda. Laju tanganku merapikan rambutku yang terlepas dari ikatannya. Ravi dan Sham tersenyum. Pasti tercuit mendengar bicara yang keluar dari mulut Linda ini. Encik Rizal menatapku. Aku segan dengan kejadian ini.
“Luka di dahi awak tu perlu dibersihkan,” jelas Encik Rizal.
“Tak guna punya perempuan! Habis dia cakar-cakar tangan saya,” rungut Linda sambil menilik-nilik pergelangan tangannya yang bergaris-garis panjang. Pasti angkara kuku tajam Velviana tadi. Aku jadi serba salah. Kasihan Linda tidak pasal-pasal dirinya cedera kerana aku.
“Sorry Linda,” ujarku bersimpati dan bersedih dengan kecederaannya itu.
“Buat apa awak nak minta maaf, bukan salah awak pun. Yang salah perempuan gila tak guna tu!” radang Linda yang tidak boleh dikawal-kawal lagi.
“ Mari ikut saya. Kamu berdua perlukan first aid,” ujar Encik Rizal.
“Yelah Iman,” sokong Ravi . Memandangkan aku masih berada dalam waktu kerja, aku patuh sahaja pada bicara Encik Rizal. Kami bergerak bersama-sama ke ruang depan premis Rozana Cupcake Conner memandangkan di situ letaknya pintu utama. Kedatangan kami menarik perhatian rakan sekerja. Mujur juga para pelanggan tidak berapa ramai saat ini. Kebetulan juga mereka sedang leka menikmati hidangan, maka kehadiran kami tidak dihiraukan.
“Apa yang telah berlaku, Iman, Linda?” soal Suzan memandangku dan Linda silih berganti.
“Ada perempuan gila mengamuk tak tentu pasal tadi,” sahut Linda masih dalam kemarahannya. Aku hanya diam.
“Yang lain teruskan tugas masing-masing. Ravi, awak ambil-alih tugas Iman. Saya pergi ambil kotak first aid,” arah Encik Rizal mahu keadaan kembali seperti biasa. Masing-masing mengangguk faham. Aku tahu Encik Rizal cuba memberi keselesaan kepadaku. Kawan-kawan juga sungguh bertimbang rasa. Aku dan Linda duduk di sudut tepi premis Rozana Cupcake Conner sementara menanti kemunculan Encik Rizal membawa kotak first aid. Suzan pula ke ruangan dapur tempat penyediaan makanan mengambil air mineral untuk kami.
“Awak tunggu di sini. Saya ada hal sekejap,” tiba-tiba sahaja Linda bangkit dari duduk lantas melangkah meninggalkanku.
“Awak nak ke mana tu?” soalku risau Linda akan bertindak yang bukan-bukan. Mana tahu dia pergi mencari Velviana semula. Pertanyaanku tidak diendahkan oleh Linda.
Tiba di luar premis Rozan Cupcake Conner, dengan posisi yang terlindung daripada pandangan sahabatnya itu, Linda pantas mengeluarkan iPhone dari saku jeans. Laju jemarinya menekan barisan nombor itu. Seketika dia menanti panggilan iti dijawab.
“Assalamualaikum...,” kedengaran suara seorang lelaki di talian.
“Awak ni suami apa biarkan isteri sendiri cedera diserang oleh perempuan tak guna tu! Mana janji awak nak jaga Iman sebaiknya. Kalau pun awak terpaksa kahwin dengan Iman, tak bermaksud awak boleh lepas tangan. Awak tak boleh biarkan kekasih awak yang tak guna tu cederakan Iman!” bentak Linda geram langsung tidak memberi peluang kepada pemuda Korea itu bersuara.
“Apa hal ni, Linda? Awak cakap sejelasnya,” pintanya kurang senang dirinya terus-terusan dipersalahkan.
“Velviana, kekasih awak tu serang Iman di tempat kerja ni. Sekarang Iman cedera,” suaranya ditekan. Sengaja diperbesar-besarkannya perkara itu.
“What...! Iman ssi cedera!” Yen tersentak. Kejadian semalam menerjah ingatannya. Tindakan Velviana ada kaitan dengan kejadian itu. Ternyata gadis itu tidak boleh tenteram melihat dia bersama Iman di pawagam itu. Penjelasannya masih diragui oleh Velviana. Yen mendengus kasar.
“Untuk pengetahuan awak, Encik Rizal bos di tempat kerja Iman ni mengaku bahawa Iman ialah kekasihnya. Betul ke ni, Yen?” soal Linda cuba memecah persoalan yang bermain di kepala sejak dari tadi.
“What...!” Kali ini suara Yen lebih kuat. Bertambah risau dirinya.
“Kejap lagi saya datang,” tuturnya lantas mematikan panggilan itu. Dicapai kunci kereta Mercedez Benz, lantas berlari ke halaman. Seketika kemudian kedengaran kereta itu mengaum meninggalkan halaman banglo mewah itu. Dia perlu cepat sampai ke situ.
Aku menarik nafas lega melihat kelibat Linda yang baru sahaja muncul setelah menghilangkan diri beberapa minit. Risau betul aku kalau Linda bertindak sesuatu ke atas Velviana tanpa pengetahuanku demi melempiaskan rasa sakit hatinya.
“Awak ke mana tadi?” soalku sebaik sahaja Linda melabuhkan duduk di depanku. Kutenung wajah Linda.
“Menghirup udara segar di luar,” sahut Linda sambil mengusap-usap pergelengan tangannya yang calar-balar angkara cakaran Velviana tadi. Aku mengeluh. Pasti Linda terasa sesak nafas sekarang.
“Lin, maafkan saya sebab hari ni awak susah kerana saya,” luahku rasa bersalah setelah menyusahkannya. Kedengaran keluhan Linda.
“Iman, banyak perkara yang saya perlukan penjelasan awak,” tutur Linda mengingatkan aku. Aku terdiam. Kupandang wajah Linda.
“Yen ada kekasih, awak pula bercinta dengan Encik Rizal. Sebegini teruk ke hubungan perkahwinan kalian?” soal Linda yang mengharapkan ada perubahan positif ke atas hubunganku dengan Yen selama ini. Pada pendapat Linda mungkin dia ingat aku dan Yen persis pasangan suami isteri yang lain yang sentiasa berkongsi kehidupan.
“Linda, aku dan Encik Rizal takde hubungan istimewa selain hubungan antara pekerja dengan majikan,” jelasku.
“Jadi pengakuannya tadi?”
“Saya pun terkejut mendengar dia berkata begitu. Mungkin dia sekadar ingin mengaburi mata Velviana. Saya tahu dia ingin melindungi saya daripada gadis itu,” jelasku lagi.
“Macam mana pula Yen dengan gadis itu?” soal Linda tidak puas hati.
“Mereka memang masih pasangan kekasih,” tuturku perlahan. Besar anak mata Linda menatapku. Nampak sangat dia terkejut mendengar kenyataanku ini.
“Saya tak kisah hubungan mereka,” tambahku lagi. Linda terdiam.
“Hanya awak seorang saja yang tahu tentang hal ni. Tolong rahsiakan demi saya ye,” pintaku sambil menatap wajah Linda menagih pertimbangannya.
“Iman...,” bicara Linda terhenti setakat itu. Kutatap wajah Linda menanti bicara seterusnya.
“Awak pasti ke antara awak dengan Yen langsung takde perasaan? Betul ke Yen tak pernah menyukai awak? Awak benar-benar yakin yang awak sedikit pun tak menyimpan perasaan pada dia?” soal Linda bertalu-talu. Aku terdiam panjang. Kelihatan Suzan dan Encik Rizal sedang bergerak ke arah kami. Pertanyaan Linda tidak sempat aku jawab secara lisan. Aku hanya geleng kepala.
“Kalau macam tu semua ni perlu diakhiri demi kehidupan kamu berdua,” tutur Linda menamatkan perbualan kami.
“Apa yang perlu diakhiri tu?” suara Encik Rizal mencelah.
“Takde apa-apa,” sahut Linda mendahuluiku. Kemudian aku dan Linda hanya tersengih.
“Minum air ni,” ujar Suzan seraya meletakkan dua botol air mineral di depan kami. Aku dan Linda mengangguk dan patuh. Terasa nikmat tatkala air ini mengalir di kerongkongku.
“Mari saya tolong sikat rambut awak,” tutur Suzan lalu mengeluarkan sikatn. Suzan terus merapikan rambutku yang kusut masai sambil diperhatikan oleh Encik Rizal. Linda sudah membersihkam calar-calar di pergelangan tangannya. Kedengaran keluhannya tatkala cecair pembersih itu mengena luka-lukanya. Pasti terasa pedih. Aku mengusap-usap pipiku yang masih terasa sakit akibat tampar tangan Velviana tadi.
“Saya tolong awak bersihkan luka di dahi awak tu,” ujar Encik Rizal. Ditangannya sudah memegang botol cecair pencuci luka berserta kapas. Suzan yang sudah usai merapikan rambutku berganjak untuk memberi ruang kepada Encik Rizal. Aku melihat tangan Encik Rizal membuka penutup botol itu lalu meletakkan kapas pada lubang botol itu. Kapas yang putih bersih sudah bertukar warna kekuningan. Aku memejamkan mata tatkala tangan Encik Rizal hampir-hampir singgah di permukaan luka itu. Sudah dapat kubayangkan betapa pedihnya.
“Iman ssi...!!!” Mataku terbuka luas mendengar suara lantang Yen. Serentak dengan itu tangan Encik Rizal juga terhenti tidak sempat menyentuh dahiku. Semua mata memandang Yen yang sedang melangkah masuk.
“Iman, Korean guy...,” sayup-sayup suara Suzan kedengaran. Suzan terpaku dengan kemunculan Yen. Yen terus bergerak mendekatiku lantas menarik tanganku bangkit dari duduk. Semua terpukau dengan kemunculan Yen. Lebih-lebih lagi rakan sekerja perempuan yang tampak teruja melihat Yen. Aku kurang selesa dengan tindakan Yen. Apatah lagi melihat pandangan mata Encik Rizal.
“Kenapa awak ni? Lepaskan tangan saya,” pintaku sambil cuba melonggarkan pautan tangan Yen. Namun tidak berhasil
“Kita balik sekarang,” arahnya tanpa mengendahkan permintaanku sebentar tadi. Yen menarik tanganku membawa pergi.
“Saya pergi dulu,” hanya itu yang mampu kulaungkan tatkala tangan Yen sudah menarik tanganku melangkah meninggalkan premis Rozana Cupcake Conner sambil terus diperhatikan oleh warga RCC termasuk Linda yang nampak tidak terkejut dengan kemunculan Yen yang secara tiba-tiba ini.