Tuesday, 27 March 2018

99 Ros Merah UntukMu...! 11....New






Bab 11

“Awak balik sekarang. Tak payah tunggu saya,” tegas Aunie mengarah Azan beredar meninggalkannya di situ. Azan menatapnya. Berat hati hendak pergi. Namun kewujudannya di situ tidak diperlukan. Sebaliknya gadis ini hilang tumpuan kerana tidak senang dia berada di situ.
“Okeylah... saya tak nak ganggu awak. Kalau awak nak minta saya temankan makan tengah hari nanti, call saya. Saya sentiasa ada masa untuk awak,” pesan Azan separuh berbisik sebelum bangkit dari kerusi itu. Aunie diam sahaja. Tidak sempat memberikan reaksi mahupun memandang ke arah Azan. Fokus sepenuhnya ke arah buku yang dibaca. Lambat-lambat Azan melangkah ke pintu meninggalkan Aunie.
Tidak lama Azan pergi. Belum sampai 10 minit dia duduk kembali di kerusi kosong di sebelah Aunie . Kehadiran pemuda itu mengganggu fokus pembacaannya.
“Kenapa awak datang semula ke sini? Kan saya suruh awak balik tadi,” ujar Aunie kurang senang. Masih tidak mahu mengalih pandangannya daripada buku yang dibaca. Diam.
“Pergilah balik saya nak duduk lama-lama di sini,” tegas Aunie dengan suara yang ditahan-tahan. Tidak mahu mengganggu pengunjung perpustakaan yang lain. Semua orang tahu larangan utama tidak boleh berbuat bising di perpustakaan. Sejak menjejakkan kaki di alam persekolahan sudah diingatkan perkara ini. Masih senyap. Kali ini Azan tidak mahu bersuara. Hairan. Perubahan sikap yang drastik memaksa Aunie berpaling ke sisinya.
“Awak... Apa awak buat di sini?” Besar anak mata Aunie menatapnya. Terperanjat.
“Nak beli sayur,” sahut Eymar cuba berlawak sekali gus mengenakan gadis ini. Aunie mencebik. Geram. Ada sahaja gangguan. Eymar membuka buku yang diambil di rak tadi mahu mula membaca. Langsung tidak mengendahkan pandangan tajam gadis ini. Tidak kisah kedatangannya ke situ tidak dialu-alukan. Layanan biasa yang diterima daripada gadis ini. Aunie tiada kuasa hendak melarangnya duduk di situ. Perpustakaan kemudahan awam. Semua orang boleh menggunakannya.
“Awak duduklah di tempat lain,” arah Aunie menghalau pemuda ini dengan suara berbisik. Tidak mahu Eymar berada di sebelahnya. Dia mahu berada di situ bersama pengunjung perpustakaan yang lain yang tidak dikenali. Lebih fokus tanpa gangguan.
“Perpustakaan ialah kemudahan awam yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja,” ujar Eymar mengeluarkan fakta hujahnya. Dia tersenyum. Aunie mengeluh kecil.
“Awak tengok di sekeliling ini... Semua tempat dah penuhkan...,” tambah Eymar mengukuhkan alasan agar dia tidak perlu berganjak dari situ. Aunie mengetap bibir. Cuba bersabar. Pemuda ini memberikan alasan yang logik sekali gus memadamkan hasrat hatinya. Dia merancang hendak berpindah tempat duduk jikalau Eymar masih mahu duduk di sini. Namun tiada tempat kosong. Terpaksalah dia mendera perasaan sendiri.
“Teruskanlah baca buku itu. Saya takkan ganggu awak,” ujarnya sambil tersenyum. Dibalas dengan jelingan tajam Aunie. Lantas menyambung pembacaan yang tergendala sebentar tadi. Tidak percaya pemuda ini akan mengotakan kata-katanya.   
“Duduklah lama-lama di sini...saya akan temankan awak,” bisik Eymar lalu memulakan pembacaannya. Aunie menulikan telinga. Tidak mahu membuang masa melayan pemuda ini berbicara. Jika mereka terus berhujah walaupun dalam nada berbisik akan mengganggu pengunjung yang lain. Lantas diabaikan kewujudan pemuda di sebelahnya ini. Cuba berlagak mereka saling tidak mengenali. Pemuda ini juga fokus pada buku yang dibaca. Maka Aunie masih berasa aman terus bertahan di situ.
“Polisi yang nampak cantik atas kertas tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk tindakan, keadilan yang berat sebelah dan berpihak, keselamatan yang hanya memandang pada status dan pangkat, prinsip demokrasi yang nampak cantik dalam perlembagaan tetapi gagal dimanifestasikan secara realiti. Cantik ayat ini,” suara Eymar berbicara sendiri. Aunie menjelingnya. Walaupun nada suara pemuda ini masih terkawal namun memintas tumpuannya. Dia terganggu dengan lontaran suara pemuda ini.
“ Di mana-mana di seluruh dunia ini, keputusan demi keputusan yang menyusahkan dan membebankan golongan yang diperintah, setiap tindakan, setiap hukuman, menjadikan rakyat sasaran sementara yang berkuasa, berharta dan berpangkat kekal hidup bebas dan bermaharajalela. Awak setuju dengan kenyataan ini?” Eymar mengajukan pertanyaan kepada Aunie. Mula mengajak gadis ini berbicara lagi.
“Awak nak jadi pemimpin alaf barukah? Boleh tak awak baca senyap? Baca dalam hati saja” arah Aunie sinis. Dia menggetap bibir menahan ledakan emosi. Geram. Eymar senyum.
“Impaknya... rakyat terus terpinggir dan ketinggalan dalam langkah golongan pemerintah membina kekayaan bagi memuaskan nafsu kapitalisme,” Eymar membuat kesimpulan sekali gus menjawab pertanyaan sendiri. Tidak mempedulikan arahan gadis ini.
“Saya suka buku ini. Cetusan karya yang telus,” komennya menyanjungi penulis. Senyap. Tiada suara Aunie menyahut memberikan reaksi pada komen itu. Aunie menutup buku di depannya. Bingkas dia bangun.
“Awak dah nak pergikah?” tanya Eymar terkocoh-kocoh bangun mengekori Aunie. Aunie mempercepatkan langkahnya. Cuba menjarakkan diri daripada Eymar.
“Jangan ikut saya,” tegah Aunie tatkala menyedari pemuda ini masih mengekorinya.
“Saya pun nak pinjam buku juga macam awak,” tingkah Eymar. Tiada alasan Aunie hendak menghalangnya melangkah sehaluan. Kini mereka sudah memasuki barisan menunggu giliran menguruskan prosuder peminjaman buku di kaunter.
“Assalamualaikum...,” sapa Aunie pada gadis yang bertugas di kaunter peminjaman hari ini. Salamnya disambut. Mereka bertukar senyuman. Aunie meletakkan buku di atas meja lantas menghulurkan kad pelajar kepada gadis itu. Tiba-tiba sahaja Eymar melangkah setapak ke hadapan memintasnya. Sepantas kilat buku itu disambar oleh Eymar. Kemudian meletakkan buku yang berada di tangannya di atas meja kaunter. Berlaku pertukaran buku.
“Cik...scan sekarang buku ini atas namanya sebagai peminjam. Kami satu group study,” jelas Eymar dan memberi arahan kepada gadis itu. Kemudian kembali berdiri di belakang Aunie. Laju Aunie berpaling ke arahnya. Pandangan mereka bersatu. Tindakan pemuda ini buatnya terkedu.
“Mengapa awak ambil buku yang saya nak pinjam?” tanya Aunie terkebil-kebil menatap Eymar. Terkejut dengan tindakan drastik pemuda ini. Wajahnya garang.
“Saya tolong awak pinjam buku ni. Nanti kita boleh tukar-tukar,” ujar Eymar mengelirukan Aunie. Dia tidak faham dengan tindakan pemuda ini. Tidak mahu bertegang leher di depan siswa-siswi yang lain, akhirnya Aunie rela dalam paksa mengarahkan gadis itu meneruskan prosuder peminjaman buku itu menggunakan namanya. Buku yang mahu dipinjam oleh Eymar. Tidak mengerti motif pemuda ini menukar-nukar buku itu.
“Terima kasih...,” ujar Aunie. Laju dia berpaling ke arah Eymar.
“Saya tunggu awak di luar,” ujarnya serius.
“Ya tunggu saya,” balas Eymar sambil tersenyum mempamerkan lesung pipit. Sudah bersedia menghadapi kemurkaan gadis ini. Aunie mendengus lantas meninggalkannya. Bimbang hilang sabar terus sahaja menerkam pemuda itu lantas mencekik leher dan mematahkan tulang-temulang Eymar. Dalam keadaan marah, terasa dirinya begitu gagah dan kuat.
“Pelik betul perangainya. Suka sangat menyusahkan orang lain,” omel Aunie berbicara sendiri melempiaskan perasaan geram terhadap pemuda itu. Tidak lama kemudian kelihatan Eymar melewati pintu utama perpustakaan sambil menghala pandangan ke arahnya. Senyuman masih menguntum di bibirnya. Mengganda-gandakan kemarahan Aunie.
 “Minta buku tu,” pinta Aunie garang tidak mahu berlengah lagi. Mahu cepat beredar dari situ. Buku yang dipinjam atas namanya dihempap kasar ke tangan Eymar. Dia memulangkan buku itu kepada Eymar.
“Alamak... garangnya cik nona manis hoi...!” perlinya mengusik. Dia menghulurkan buku itu. Pantas disentap kasar oleh Aunie.
“Apa tujuan awak bersikap kebudak-budakan ni?” Aunie mendengus tidak puas hati. Hatinya membara. Kesabaran berhadapan dengan kerenah pemuda ini kian tipis.
“Dengan adanya buku ini kita akan saling terikat,” ujar Eymar tersenyum suka.
“Itu motif awak?” Aunie mendengus.
“Bukan susahpun nak kembalikan buku ini ke perpustakaan. Saya tak perlukan kad matrik awak. Habis saya baca... esok saya hantarlah buku ni,” jelas Aunie membuktikan dirinya tidak perlu terikat kepada pemuda ini. Mahu meleburkan niat hati Eymar.
“Awak jangan pula lupa buku yang saya pinjam atas nama awak,” Eymar memberi peringatan penting. Aunie mendengus. Geram. Dia sudah terperangkap.
“Awak takkan boleh lari dari saya. Saya ni ambil masa yang lama nak baca sebuah buku. Awak kenalah banyak bersabar ya...,” ujarnya cuba menenangkan Aunie. Semakin panas hati Aunie. Penangguhan Eymar akan mengehadkan buku yang boleh dipinjamnya. Lambat hantar juga dia akan didenda. Paling dia tidak mahu kalau disenaraikan oleh pihak perpustakaan sebagai peminjam bermasalah.
“Awak ingat saya akan tunggu awak habis baca buku tu? Jangan fikir saya ni manusia lurus bendul. Saya laporkan saja buku itu hilang. Ganti dengan wang ... selesai urusan,” sahut Aunie menjelaskan ada penyelesaian mudah. Eymar tersengih.
“Memang mudah saja nak bayar denda. Bukan mahal pun harga sebuah buku yang hilang... tetapi awak harus ingat denda yang lain,” ujar Eymar kembali menyemarak kemarahan Aunie. Pemuda ini tidak mudah mengalah. Dia ada hujah kukuh dan perancangan teliti sebelum bertindak. Aunie mengeluh. Dia sudah tersilap tingkah. Bersetuju sahaja tanpa berfikir panjang. Tidak menyangka pemuda ini punya agenda sejauh ini.
“Awak tak boleh pinjam buku selama dua minggu. Kemudahan untuk pinjam tiga buah buku ditarik balik. Hanya layak pinjam sebuah buku saja. Keadaan ini pasti menyukurkan ulat buku seperti awak. Paling menyedihkan nama disenarai hitam sebagai peminjam bermasalah. Anugerah yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat. Awak dah bersedia menerima semua ini?” tanya Eymar tersenyum sinis. Aunie mendengus. Wajahnya merah merona. Dia tidak akan membiarkan dirinya menanggung hukuman atas kesalahan orang lain.
“Awak ni memang manusia tak berakhlak. Suka menyusahkan orang lain,” bentak Aunie radang. Dia sudah terperangkap.
“Saya nak awak sentiasa cari saya. Selagi buku ini ada pada saya... awak akan selalu menghubungi saya,” ujar Eymar tersenyum. Aunie mendengus. Sakit hati.
“Awak gembira menyusahkan orang lain,” keluh Aunie kesal.
“Saya hanya nak sentiasa bersama awak,” sahut Eymar menyangkal bicara itu.
“Saya hanya kenal awak kaki samseng yang suka bergaduh, ramai musuh dan seorang yang bermasalah. Saya tak tahu siapa awak sebenarnya. Mengapa awak selalu muncul di depan saya? Sekarang awak dah mula menyusahkan saya,” keluh Aunie rimas.
“Saya percaya takdir yang mempertemukan kita,” sahutnya tenang.
“Cukup...! Saya tak nak cakap dengan awak lagi,” tegas Aunie lantas memulakan langkah meninggalkan Eymar. Pemuda itu tidak akan ketandusan idea menjawab setiap kata-katanya. Ada sahaja alasan yang diberikan. Otaknya ligat berfikir.
“Awak akan datang cari saya lagi. Percayalah...,” ujar Eymar separuh melaung tanpa menghiraukan manusia yang lalu-lalang di ruang legar di hadapan perpustakaan itu.
“Saya takkan bersimpati pada awak,” bisik hati kecil Aunie tatkala terkenang akan coretan pemuda itu. Percaya kisah itu hanyalah cereka cetusan ilham kreatifnya.
Sepanjang perjalanan balik itu, Aunie mengomel sendirian memarahi dirinya. Membuak-buak perasan marah tatkala terbayang senyuman dan wajah tenang pemuda itu. Eymar begitu kebal. Lain kali dia mesti lebih berhati-hati agar tidak tertipu dan mudah terperangkap dengan tindakan Eymar.
Hari ini... tatkala dia menjejakkan kaki masuk ke dalam kelas, dia terpandang senyuman pemuda itu. Persis kedatangannya sedang ditunggu-tunggu. Langkahnya diperhatikan.
“Hai...,” sapa Eymar dengan senyuman. Aunie menatap sekilas. Namun tiada sapaan balasan. Jauh sekali mahu bertukar senyuman dengan pemuda itu. Hairan. Hari ini Eymar datang ke kelas lebih awal daripadanya. Tindakan yang luar biasa.
“Orang sapa ... awak buat tak tahu saja,” tegur Era. Aunie berpaling menatap Era.
“Awak seorang sajalah yang layan orang asing tu,” balas Aunie tidak mahu memanjangkan perbualan itu. Era tersenyum lebar.
“Apa? Awak panggil saya orang asing?” Membutang mata Eymar dipanggil sedemikian. Dirinya bagai nampak berbeza dengan orang lain.
“Awak pandang saya betul-betul. Muka tampan seperti putera idaman sedunia macam saya ini awak kata orang asing,” tingkah Eymar meninggi diri. Aunie mencemuh.
“Terlebih perasaan,” kutuk Aunie disahut dengan gelak Eymar.
“Hey... dia memang tampanlah,” tingkah Era menyokong pengakuan pemuda ini dengan lengok manja. Aunie mencebik bibir. Dua kali lima sahaja. Sama padan sama citarasa. Memang sesuai menjadi kekasih sejoli. Dibalas dengan jelingan Era.   
“Sangat sesuai...sangat padan kalian menjadi kekasih sehati sejiwa,” cemuh Aunie geram. Era tersenyum lebar. Bicara Aunie membahagiakannya.
“Betul...betul...,” sahut Era teruja sungguh. Eymar tersengih.
“Nanti saya belanja awak makan sebab buat pertama kali kata-kata awak menggembirakan saya,” ujar Era teruja dengan senyuman lebar sehingga ke telinga. Aunie ternganga. Dalam hati dia mengulangi kata-katanya sebentar tadi. Era dengan Eymar memang pasangan secocok menjadi kekasih. Sama-sama kebal dan bermuka tembok.
“Saya kasihan pada awak...,” Kata-kata ini hanya tersimpan di dalam hati. Tidak mahu terlalu kejam hendak menyinggung perasaan gadis ini.
“Awak mesti jaga Era dengan baik,” nasihat Aunie lantas bangun. Eymar terkebil-kebil menatap Aunie beredar pergi. Era di sebelahnya tersenyum panjang. Girangnya hati kerana cintanya telah mendapat restu Aunie. Bermakna gadis itu tidak ada hati pada Eymar.
“Saya balik dulu,” ujar Eymar lantas bergegas ke muka pintu. Era terlopong dan hanya sempat melihat kelibat pemuda itu sebelum hilang di sebalik pintu. Laju sahaja langkahnya beredar. Entah apa yang mahu dikejarnya.
“Cepatnya dia menghilangkan diri...,” keluh Eymar yang sudah kehilangan jejak langkah gadis itu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aunie yang berselindung di sebalik dinding konkrit itu, perlahan-lahan menjengukkan kepala keluar. Dia menarik nafas lega tatkala menatap pemuda itu sedang mengorak langkah yang semakin jauh.
“Hey..., Aunie apa awak buat tu!” Aunie tersentak. Laju dia berpaling. Berkerut dahi Azan menatapnya. Hairan.
“Main sorok-sorok dengan siapa? Macam pengintip pula sembunyi-sembunyi,” komen Azan. Aunie melepaskan keluhan. Suara Azan menyakitkan halwa pendengarannya.
“Awak ni bisinglah,” rungutnya dengan wajah masam mencuka menatap Azan. Dipandang Azan dari hujung kaki sehingga kemuncak kepala. Azan tersenyum panjang dipandang sedemikian. Cuba mempamer kesegakan dirinya. Bangga.
“Ada perlawanan bola sepak hari ini?” tanyanya tatkala menatap Azan lengkap berpakaian jersi dengan sepatu bergigi. Stoking kuning menyala separa lutut. Tampak segak sebagai pemain bola sepak. Azan mengangguk.
“Awak tak nak tengok perlawanan ini? Marilah...,” ajak Azan mengharap kehadiran gadis ini sebagai penyuntik semangat. Mahu mempamer aksi yang terbaik. Aunie berfikir seketika. Cuba mempertimbangkan ajakan pemuda ini.
“Boleh juga. Mari...,” sahut Aunie mendahului langkah Azan. Azan tersenyum-senyum sendiri. Girang hatinya kerana Aunie berminat mahu menyaksikan perlawanan ini. Dia tekad akan mempamer aksi lincah yang membuatkan gadis ini kagum. Sekurang-kurangnya mahu Aunie berbangga akan dirinya. Satu teknik juga hendak memikat hati gadis ini.
“Awak tunggu di sini sampai permainan tamat. Nanti kita balik sama-sama,” pesan Azan. Aunie menulikan telinga lalu melabuhkan duduk di kerusi bersama peminat bola yang lain. Pesanan Azan dibiarkan sepi. Tiada sebarang jaminan yang diberikan.
“Kalau awak tak nampak saya di sini lagi, tak payah cari saya. Pasti saya dah balik,” ujar Aunie terlewat memberi respons pada pesanan Azan sebentar tadi. Azan mengeluh kecil. Kecewa mendengar bicara gadis ini. Akhirnya dia hanya mengangguk dengan reda. Tidak mampu membantah.
Sepak mula tepat pada jam 5.00 petang. Pemain-pemain mula beraksi di padang. Pandangan Aunie sudah pasti terikat pada Azan yang berada pada posisi penyerang utama. Lincah dan tangkas Azan beraksi. Belum lama permainan dimulakan hampir-hampir sahaja pemuda itu menjaringkan gol pertama. Namun ketangkasan penjaga gol lawan menepis bola itu mengecewakan Azan dan penyokong Tiger FC. Aunie mendengus. Tidak puas hati.
“Oh... akhirnya saya dapat jejaki awak di sini!” suara lelaki menegurnya. Aunie mendongak pemuda yang sudah terpacak di depannya. Dia tersentak. Eymar sudah melabuhkan duduk di kerusi kosong di sebelahnya.
“Takde tempat lain lagi awak nak duduk?” sinis pertanyaan itu keluar dari mulut Aunie. Tidak senang dengan kemunculan pemuda ini lantas duduk di sisinya. Eymar akan mengganggu fokusnya terhadap perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung.
“Ada... tetapi awak duduk di sini, jadi saya pun duduk di sini juga,” sahut Eymar bersahaja. Aunie mendengus.
“Di mana awak berada...di situlah saya akan muncul,” ujar Eymar tersengih mempamer barisan giginya yang rata dan tersusun kemas. Putih persis salji.
“Saya tak suka awak dekat dengan saya,” keras Aunie suara memberi peringatan dalam nada separuh berbisik. Tidak mahu orang lain menyedari ketegangan perbualan mereka. Bimbang disalahertikan. Eymar tersenyum.
“Semakin banyak perasaan tak suka awak pada saya... saya semakin berat hati saya nak jauhi awak,” balas Eymar separuh berbisik. Aunie berpaling menatap Eymar sambil mengetap bibir. Geram. Eymar masih tersenyum. Sedar hati Aunie sedang membara sekarang.
“Bisinglah awak ni. Dari awak asyik membebel di sini lebih baik awak beraksi di tengah padang,” arah Aunie sudah tidak mampu memberi tumpuan pada perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung itu. Sudah tidak sempat menonton aksi ligat Azan membawa bola ke hadapan pintu gawang pihak lawan.
“Saya tak pandai main bola sepak,” sahut Eymar. Aunie tergelak. Kesempatan hendak memperkecilkan kemampuan pemuda ini sudah terbuka luas.
“Sungguh mengecewakan darah Latin dalam tubuh awak tak menjadikan awak sehebat Neymar beraksi di padang. Tak sangka kaki bangku rupa-rupanya awak,” kutuk Aunie dengan senyuman sinis terukir di bibir. Eymar senyum. Dia tenang sahaja.
“Kalau bola sepak ini boleh menjadikan kita kawan, saya sanggup mempelajarinya walaupun saya tak suka sukan yang membuatkan tubuh bermandi-peluh,” keluhnya.
“Oh...sungguh saya tersentuh mendengar kata-kata awak ini!” sahut Aunie buat-buat teruja. Orang bersukan hendak mengeluarkan peluh. Tidak tahu pula ada sukan yang tidak membuatkan orang berpeluh. Getus hati kecil Aunie memperli.
“Cakap awak memang selalu tak boleh diterima akal,” kutuk Aunie mempertikaikan kelogikan bicara pemuda ini.
“Semua sukan buat orang berpeluhlah,” tingkah Aunie membidas fakta pemuda ini.
“Ada... Indoor game seperti dam dan catur. Main di dalam bilik aircond mana ada peluh,” balas Eymar. Aunie mendengus. Wajahnya serius dan nampak tidak berpuas hati.
“Diamlah awak...,” arahnya garang. Eymar tergelak sendiri. Senyap.
Sweet...,” Aunie berpaling menatap Eymar. Pemuda ini memang mengganggu tumpuannya terhadap perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung.
“Awak nampak manis bila marah,” Eymar memuji. Aunie menjeling tajam. Dia tidak akan mudah terpedaya dengan kata-kata manis pemuda ini. Langsung tidak teruja.
“Boleh tak awak duduk diam-diam? Tengok pemain-pemain itu kawal bola. Belajar cara sepak dan tendang bola. Sekurang-kurangnya awak boleh jadi Neymar Malaysia suatu hari nanti,” getus Aunie geram. Eymar tergelak lagi. Namun kali ini gelaknya panjang. Bicara Aunie mencuit hati.
“Gol...!” tiba-tiba sahaja Aunie melaung dan melonjak keriangan bersama penyokong Tiger FC yang lain. Eymar mengalih pandangan ke padang. Azan sedang menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan.
“Kegembiraan awak telus menyaksikan jaringan itu,” komen Eymar menatap senyuman yang masih terukir di bibir gadis ini.
“Hanya peminat fanatik sahaja yang mengetahui perasaan itu,” balas Aunie dengan pandangan masih terarah di tengah padang menyoroti langkah Azan sambil tersenyum. Memang dia mengharapkan Tiger FC akan memenangi perlawanan bola sepak itu.