Bab 10
Aunie merebahkan
tubuh di atas tilam. Dipejamkan mata rapat-rapat. Seminit kemudian mata dibuka
seluas-luas. Dia melepaskan keluhan panjang. Menyesali tingkahlakunya siang
tadi. Baru tersedar sikapnya yang kurang berhati-hati berhadapan dengan Eymar
dan kawan-kawannya. Mujur juga tutur kata dan layanan yang agak kasar dan
sesekali merungut memarahi pemuda-pemuda itu tidak diambil hati. Sebaliknya
Cheng dan Raju hanya tersengih dan Eymar tersenyum berpanjangan. Lega. Dia
benar-benar terlupa tentang identiti pemuda-pemuda itu. Akhirnya malam itu,
Aunie tidur lena setelah melalui hari yang memenatkan berhadapan dengan kerenah
Eymar dan kawan-kawannya. Letih dirinya yang sentiasa mengawasi pertemuan
antara Puan Aisyah Adiba dengan pemuda-pemuda itu. Syukur... semuanya terkawal
dan berjalan lancar.
Keesokan hari...setibanya
di kelas...
Aunie mengeluh
tatkala menatap kerusi itu masih kosong. Mungkin Eymar tidak akan muncul lagi. Kesal
kerana mudah mempercayai pemuda itu. Beg di bahu dilepaskan di atas meja.
Kemudian melabuhkan duduk di kerusi. Encik Amir masuk ke kelas tepat pada
masanya. Sesi tutorial berlangsung sekejap lagi. Aunie sudah bersiap sedia
mengikuti kelas ini. Dia menoleh kembali ke arah tempat duduk itu. Kali ini
kedua-dua tempat duduk itu kosong. Era juga tidak datang ke kelas hari ini.
Aunie melepaskan keluhan lagi. Terfikir juga kalau kedua-duanya ponteng kelas
kerana ada temujanji antara mereka.
“Sorry sir...,” Aunie berpaling ke arah pintu.
Eymar terkocoh-kocoh masuk ke kelas. Sempat juga melemparkan senyuman ke arah
Aunie sebelum melabuhkan duduk. Aunie fokus pada kelas Encik Amir yang baru
sahaja bermula. Urusannya dengan pemuda itu akan diselesaikan selepas kelas ini
berakhir. Dia tersentak tatkala Eymar tiba-tiba sahaja beralih duduk di
sebelahnya. Sempat juga jelingan tajam dilemparkan ke arah pemuda ini. Eymar
hanya tersenyum menampakkan lesung di pipi.
“Mana borang soal
selidik yang awak janji nak serahkan pada saya hari ni?” tanya Aunie sebaik
sahaja Encik Amir menamatkan kelas tutorial hari ini. Tidak mahu melengahkan
masa. Bimbang juga kalau pemuda ini mahu melarikan diri. Borang itu diletakkan
di depan Aunie. Laju tangan Aunie mencapainya.
“Awak beri balik
borang kosong? Awak belum jawab lagi?” Besar anak mata Aunie menatap pemuda
ini. Hatinya mendidih-didih. Hilang sabar pasti dia akan mengamuk.
“Tulisan saya tak
cantik...,”
“Jadi... awak tak
nak tulislah. Alasan...,” rungut Aunie radang. Laju dia memintas bicara Eymar.
Seolah-olah dia dapat mengagak alasan yang cuba diberikan oleh pemuda ini.
Alasan orang malas dan tidak bertanggungjawab. Eymar senyum.
“Tak payahlah
marah-marah cik nona manis,” Eymar cuba mengajuk panggilan yang Cheng berikan
kepada gadis ini. Aunie mencebik.
“Nah...,” Eymar
meletakkan pen drive itu di depan
Aunie. Lantas bangkit dari duduknya. Bersedia hendak beredar dari situ.
“Nak pergi mana?
Kita belum habis cakap lagi,” Aunie terkebil-kebil menatap Eymar.
“Saya call awak malam ini. Nanti kita boleh
berbual-bual sampai subuh,” ujarnya tersengih. Aunie mendengus.
“Tak payah...! Saya takkan jawab call awak,” tegah Aunie memberi
peringatan.
“Maklumat yang
awak perlukan dah saya simpan dalam pen
drive tu,” jelas Eymar.
“Saya dah tulis
selengkapnya. Saya jamin awak akan berpuas hati. Awak bukalah fail tu nanti.
Kalau awak belum puas hati boleh call
saya bila-bila masa saja. Kita boleh bincang semula,” tambahnya panjang
berjela. Kemudian memulakan langkah ke muka pintu. Langkahnya laju, tidak
sempat hendak dihalang. Sekelip mata kelibat anak muda itu sudah tidak
kelihatan. Aunie terlopong ditinggalkan sedemikian. Pemuda itu bagai chipmore, sekejap ada sekejap hilang. Barangkali
ada misi menyelamat yang hendak dilakukannya. Pasti ada episod dendam yang
berpanjangan dalam kalangan kumpulan samseng.
Aunie melangkah
meninggalkan kelas dengan keluhan panjang. Pening kepala memikirkan kerenah
Eymar. Hendak menyesal sudah tiada guna. Perkara yang telah berlaku tidak boleh
diundur kembali. Semua ini atas kehendak dan pilihan hatinya. Dia yang rela
hati menjadi rakan setugas pemuda itu dan dia jugalah yang telah menentukan
skop kajian mereka. Tiada siapa yang harus disalahkan selain dirinya sendiri.
“Hello... cik nona manis...!” Aunie
terperanjat mendengar laungan suara itu. Cheng yang sedang tersengih sambil
melambaikan tangan ke arahnya. Kereta BMW milik Eymar laju melewati. Sekelip
mata hilang daripada pandangan mata. Pasti pemuda itu yang memandu kereta itu.
Aunie menelan liur pahit. Ngilu hati membayangkan cara pemanduan yang tidak
berhemah itu.
Daun pintu bilik diketuk. Aunie melemparkan pandangan ke muka pintu. Puan Aisyah Adiba muncul di sebalik pintu. Senyuman Aunie dan Puan Aisyah Adiba bersatu.
“Belum tidur
lagi?” sapa Puan Aisyah Adiba prihatin. Aunie senyum.
“Nak siapkan
tugasan Encik Lokman malam ni. Tak banyak yang nak buat lagi,” jelas Aunie.
Tidak perlu berjaga jauh malam hendak menyiapkan tugasan tersebut kerana hampir
semua sudah diselesaikan. Penjelasan ini yang cuba disampaikan kepada Puan
Aisyah Adiba. Pengertian di sebalik bahasa tersirat.
“Baguslah kalau
dah hampir siap,” ujar Puan Aisyah Adiba tumpang lega. Aunie senyum. Memang dia
tidak sabar-sabar hendak menyelesaikan tugasan ini. Mahu cepat menamatkan
urusannya dengan pemuda itu. Usai sahaja tugasan ini maka dia tidak perlu
berhubung dengan pemuda itu lagi. Tidak pening kepala hendak menjejaki pemuda
itu. Tidak tertekan kerana Eymar dan kawan-kawannya tidak perlu muncul
di Butik Selendang Kasih lagi. Pertemuan Puan Aisyah Adiba dengan pemuda-pemuda
itu membuatkan Aunie sesak nafas. Terasa sukar hendak menyedut udara segar.
“Mama...
nak minta maaflah...sebab awal-awal halang kamu buat kajian ini. Tak patut mama prasangka buruk kepada kawan
kamu tu,” keluh Puan Aisyh Adiba kesal. Aunie terdiam. Perasaan serba salah
menyelubungi diri. Jikalau identiti sebenar pemuda-pemuda itu diketahui, pasti
mamanya tidak akan setenang ini. Sebaliknya kemarahan maknya akan menjadi
sebahang letusan gunung berapi.
“Siapa nama pemuda
yang jadi rakan tugasan kamu tu?” Pertanyaan Puan Aisyah Adiba menyentakkan
Aunie. Bimbang dia akan tersilap tingkah.
“Eymar...,”sahut
Aunie berhati-hati.
“Lain kali ajaklah
Eymar dan kawan-kawannya datang ke rumah. Boleh kita makan sama-sama. Ayah
kamupun nak kenal dengan mereka,” ujar Puan Aisyah Adiba teruja. Aunie terkedu.
Hati tidak tenteram. Tidak akan dibiarkan Eymar dan kawan-kawannya menjadi
tetamu rumah ini. Tidak dapat menjangka perkara yang berlaku jikalau pertemuan
itu diadakan. Kepercayaannya terhadap Eymar dan kawan-kawan sangat tipis.
“Tak payahlah ajak
mereka mama, mereka itu sibuk memanjang. Pasti mereka tak ada masa nak datang
sini,” sahut Aunie mewakili pemuda-pemuda itu. Menolak cadangan mamanya
beralasan. Dia tidak mahu Eymar dan kawan-kawannya muncul di depan orang
tuanya. Bahaya.
“Cubalah aturkan
masa yang sesuai nanti,” ujar Puan Aisyah Adiba berusaha memenuhi hasrat
hatinya. Mustahak dia mengenali kawan-kawan Aunie. Puteri tunggalnya ini perlu
dijaga dan diawasi. Bukan kerana tidak percaya tetapi tuntutan kasih ibu yang
menggunung.
“Insya-Allah mama,”
sahut Aunie tidak berdaya menolak hajat hati mamanya.
“Daripada ajak
mereka, baik ajak Azan datang sini,” saran Aunie cuba melenyapkan hasrat hati
mamanya. Puan Aisyah Adiba tergelak. Cadangan yang tidak pernah didengar
keluar dari mulut Aunie. Memang pantang nama pemuda ini disebut di depan gadis
ini.
“Sejak bila baik
hati dengan Azan ni. Selalu sebut saja nama Azan terus melenting. Ada
apa-apakah ni?” tanya Puan Aisyah Adiba mengusik anak gadisnya. Besar anak mata
Aunie menatap mamanya. Dia menggeleng-geleng kepala menafikan usikan itu.
“Azankan dah macam
ahli keluarga kita. Lebih selesa menjemput orang yang dikenali,” jelas Aunie
berkias-kias cuba menghalang hajat hati mamanya sekali gus mematikan usikan
itu. Puan Aisyah Adiba tersenyum.
“Sebenarnya...
mama nak berterima kasih kepada pemuda itu kerana telah menjaga kamu dengan
baik sepanjang menyelesaikan tugasan ini. Mama rasa terhutang budi kepadanya
dan sebagai tanda minta maaf sebab pernah meraguinya,” ujar Puan Aisyah Adiba
bersungguh-sungguh. Aunie terpana.
“Nanti kamu
jemputlah Azan datang sama,” saran Puan Aisyah Adiba senang hati. Aunie menelan
liur pahit. Mempertemukan Azan dengan Eymar samalah seperti menempah maut
sendiri. Azan tidak akan berdiam diri. Apatah lagi dia tidak menyenangi
Eymar.
“Tak naklah...,”
ujar Aunie berterus-terang. Azan dengan Eymar tidak akan duduk semeja di rumah
ini. Puan Aisyah Adiba mengeleng kepala.
“Azan... pemuda
yang baik tapi kamu tak pernahpun layan dia dengan baik,” keluh Puan Aisyah
Adiba. Tidak bersetuju dengan tindakan anak gadisnya ini. Selalu garang dan
berkasar dengan anak muda itu.
“Dia memang kawan
yang baik tapi Adik tak boleh tahan dengan sikap jiwang-jiwangnya tu,” keluh
Aunie dengan ekspresi muka berkerut. Lemas dengan sikap romantis pemuda itu.
Puan Aisyah Adiba tergelak kecil.
“Kamu ni macam tunggal
kayu, tak ada perasaan langsung,” kutuk Puan Aisyah Adiba. Aunie mempamer wajah
bersahaja. Tidak mahu membebankan diri memikirkan tentang Azan. Dia hanya mampu
mengelak diri daripada pemuda itu setelah hatinya dimiliki. Hanya sebab itu
yang mampu menjauhkan Azan daripadanya.
“Saya akan lihat
kebahagiaan awak dari kejauhan,” suara Azan berbisik di telinganya. Janji Azan
akan mengundur diri setelah hatinya dimiliki.
“Buatlah kerja
kamu. Jangan berjaga sampai lewat malam,” nasihat Puan Aisyah Adiba
menyentakkan Aunie. Puan Aisyah Adiba sudah melangkah ke muka pintu. Daun pintu
ditutup rapat. Aunie bersendirian di bilik ini. Dia termenung panjang. Kemudian
melepaskan keluhan. Lantas mengeluarkan pen
drive dan menghidupkan laktop itu. Mahu menyelesaikan misi malam ini.
“Apa agaknya yang
awak tulis. Harap-harap tak memeningkan saya nak memahaminya. Cukuplah saya
pening dengan struktur ayat yang kawan-kawan awak tulis. Sukar nak faham,”
keluh Aunie berbicara sendiri. Raju dan Cheng perlu lebih banyak latihan
menulis dan membaca. Mungkin juga benar mereka tidak mendapat pendidikan yang
sempurna. Membuat pilihan sendiri untuk menamatkan zaman persekolahan lebih
awal daripada sepatutnya. Leka menuntut kebebasan diri. Akhirnya kecundang
dengan keseronokan duniawi. Aunie terfikir tentang kisah hidup pemuda itu.
Lantas mengalih pandangannya ke arah paparan skrin laktop yang mempamerkan
coretan Eymar.
“Harta bertimbun... wang ringgit melunaskan
impian... tetapi berseorangan yang berpanjangan. Tatkala hidup dilimpahi
kemewahan, tiada halangan, tiada sekatan memakbulkan kehendak hati. Nun jauh di
sudut hati...menyelinap perasaan sepi biarpun hidup di kelilingi pesta-pesta rancak
yang menghiburkan hati. Masih terasa sunyi...biarpun ramai kawan yang semuanya
taksub dan bermegah dengan harta keluarga. Masih terasa bersendirian... biarpun
tinggal sebumbung dengan ahli keluarga yang patuh pada protokol ciptaan manusia
sendiri. Terbukti... manusia tidak tahu bersyukur...’ Wah..., hebat juga
ayat yang ditulis pemuda ini” puji Aunie kagum. Bayangan negatif awal tadi
terus lebur. Jangkaan awal silap. Cara penulisan pemuda ini lebih hebat
daripadanya. Dia tidak mampu menggarap ayat-ayat puitis yang indah dilafazkan. Aunie
terus menyelami luahan perasaan pemuda ini. Tekun dia membaca setiap patah
perkataan sehingga menjadi bait-bait ayat indah yang ditulis oleh Eymar. Pemuda
yang tampak keras tetapi memiliki jiwa seni. Aunie tersenyum sendiri.
“Apakah yang awak
kesali dalam hidup ini?” pertanyaan itu terbit dari mulut Aunie setelah membaca
sebahagian daripada tinta curahan hati yang digarap indah oleh pemuda itu.
Persis dirinya sedang menemubual pemuda itu. Direnung jawapan yang ditulis yang
terpamer di di depannya kini.
“Tidak mengenali ibu kandung sendiri... dan
hidup sebumbung dengan ayah tetapi terasa jauh...,” Aunie menzahirkan
tulisan yang terpamer di dada skrin itu. Luahan hati yang tersirat yang mampu
ditafsirkan oleh Aunie. Eymar tidak rapat dengan ayahnya. Mungkin juga hubungan
antara anak dengan ayah berantakan. Aunie meneruskan pembacaan. Di pertengahan
cerita, air matanya menitis. Sayu dan hiba hatinya. Dicekalkan diri meneruskan
pembacaan sehingga menemui noktah terakhir.
‘Ya... Allah aku
bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa dan abang-abang yang mengasihiku sedang
di luar sana masih ramai anak-anak yang terpinggir daripada kasih sayang ibu
bapa biarpun hidup mereka dilimpahi kemewahan’ bisik hati kecil Aunie. Air
matanya menitis lagi. Hatinya semakin rawan. Baru sedar rupa-rupanya di sebalik
tawa riang pemuda itu sebenarnya jiwa Eymar berantakan. Kosong.
“Tahniah kerana
anda telah berjaya menyelesaikan tugasan Encik Lokman,” ujar Aunie sambil
menepuk-nepuk bahu sendiri. Eymar tersenyum memerhatikan gelagatnya.
“Awakpun ucapkan
tahniah kepada diri sendiri,” arah Aunie mahu Eymar melakukan perkara yang
sama. Tugasan Encik Lokman telah selamat dihantar pagi tadi.
“Tahniah kerana
anda telah berjaya menyelesaikan tugasan Encik Lokman,” ujar Eymar meniru
gelagat gadis itu. Aunie tersenyum.
“Macam itu baru
betul,” puji Aunie berpuas hati. Penat lelah sendiri harus dihargai. Motivasi
diri. Lega. Sekarang boleh fokus pada kuliah dan tugas-tugas yang lain. Semua
itu tidak membimbangkannya kerana tidak melibatkan orang lain. Hanya bergantung
kepada diri sendiri. Aunie menatap Eymar yang sentiasa mempamer senyuman.
“Saya sangat berpuas
hati dengan kajian yang telah kita laksanakan dengan jayanya. Apa sahaja gred
yang kita dapat saya akan terima dengan hati terbuka kerana kita telah melakukan
yang terbaik,” ujar Aunie bersungguh-sungguh dan berserah.
“Terima kasih
banyak-banyak atas kerjasama awak dengan rakan-rakan awak. Kalian memberikan
sumbangan yang penting dan telah melakukan yang terbaik,” ujar Aunie jujur. Eymar
tersenyum. Aunie cuba melupakan kisah sedih semalam. Tidak mahu mengungkit
tentang kajian yang telah dijalankan. Biar setakat di situ sahaja. Dia tidak
akan mencanang kisah hidup Eymar yang tidak menggembirakan.
Wajah pemuda ini
ditatap lama. Rambutnya keperang-perangan. Bebola mata hazel yang jernih. Bulu
mata melentik. Kulitnya tidak putih. Tidak juga gelap. Sawo matang persis kulit
Melayu. Tampak manis dipandang mata. Begitu terserlah wajah Latinnya. Baru ada
kesempatan Aunie hendak memerhatikan Eymar.
“Awak pernah jumpa
Neymar?” tanya Aunie serius dalam nada berbisik kerana tidak mahu didengar oleh
rakan sekelas yang lain. Bintang bola sepak Brazil idolanya. Masih terbayang
kekecewaannya tatkala Neymar tidak dapat beraksi ketika perlawanan semi final
antara Brazil dengan Jerman. Kecewa sungguh tatkala Jerman membelasah Brazil
dengan kemenangan yang penuh bergaya tujuh gol berbalas satu gol. Ada juga
baiknya Neymar tidak turun padang ketika perlawanan itu. Tidak mahu menatap
wajah kecewa Neymar. Pasti belas kasihan tengok wajah kacak itu dibasahi dengan
titisan air mata andai ketika itu Brazil tetap tewas. Aduhhh… demam piala dunia
masih terasa walau bertahun sudah berlalu!
“Dia satu kelas
dengan saya dulu. Hahahaha…,” Eymar ketawa berdekah-dekah menampakkan barisan
gigi putihnya yang mempesonakan. Jelas terpamer lesung pipit. Dia masih
tersenyum. Aunie mengetap bibir menahan geram. Soalan cepu emas. Jawapan yang
diberikan menyakitkan hati.
“Ramai yang kata
mata saya macam mata Neymar,” ujarnya bersahaja sambil mengangkat-angkat
keningnya. Berlagak menggoda. Dia sentiasa nampak ceria. Ekspresi diri yang
bertentangan dengan kisah sedih hidupnya. Barangkali cerita itu hanya rekaan
semata-mata. Kisah sedih yang dikarang indah untuk menerbitkan simpati orang
lain. Hebat.
“Perasan sungguh,”
Aunie mencemuh. Eymar Luiz Choo tersenyum lagi. Nama penuh pemuda Tioangha
kacukan Brazil ini. Nama yang diketahui pada hari mereka menjadi rakan
sepasukan. Pemuda Latin yang meninggi diri dengan kehebatan fizikal yang
dianugerahkan kepadanya.
“Bagaimana awak
tahu saya peminat Neymar?” Aunie mengajukan pertanyaan itu.
“Saya pernah
nampak awak teruja merenung Neymar di layar LCD. Kemudian bila Encik Lokman
sebut nama saya, awak terus pandang saya. Mungkin awak terdengar nama saya
seperti nama Neymar,” cerita Eymar. Aunie diam. Cuba mengimbau kembali rentetan
peristiwa yang berlaku dalam hidupnya. Mahu mengingat bila dan di mana dia
merenung gambar bintang bola sepak Brazil itu sambil diperhatikan oleh pemuda
ini. Aunie mengeluh kecil. Dia langsung tidak ingat perkara itu. Malah tidak
pernah menyedari ada orang sedang memerhatikannya tika itu. Fokusnya hanya pada
wajah kacak bintang bola dunia itu. Dia terpikat pada aksi lincah dan tangkas
Neymar membawa bola di padang.
“Bila dan di mana awak nampak saya merenung
Neymar?” Tidak mampu mengingat perkara lalu, dia terus sahaja mengajukan
pertanyaan itu.
“12 Jun 2014...
Detik berlangsung Fifa World Cup Brazil,”
jelas Eymar. Aunie terpana. Sudah dua perkara ini berlalu.
“Sudah lama awak
perhatikan saya?” tanya Aunie tidak senang hati. Eymar mengangguk dan
tersenyum.
“Sejak dari tarikh
itu... hari pertama saya nampak awak sampailah sekarang awak sedar tentang
kewujudan saya,” jelas Eymar.
“Kenapa?” tanya
Aunie janggal. Perbuatan pemuda ini tidak dapat diterimanya. Kening Eymar
terangkat-angkat. Tidak mengerti pertanyaan itu.
“Kenapa awak ekori
saya? Saya ada buat salah pada awak?” tanya Aunie kesal. Eymar menggeleng.
Gadis ini tidak melakukan kesalahan kepadanya.
“Saja suka-suka...,”
sahutnya bersahaja. Aunie mengetap bibir. Jawapan yang diberikan tidak
memuaskan hati.
“Oh...ya... Awak
berada di sekeliling peminat fanatik bola yang kebanyakannya kaum lelaki.
Ibarat seorang puteri yang di kelilingi pengawal-pengawal istana,” ujar Eymar
berbahasa simbolik pula. Aunie mencebik. Pada malam itu Hezqal Haqimi bermurah
hati mengajaknya menonton piala dunia di Dataran Sukmaria, lokasi berkumpulnya
kaki-kaki bola. Menjamu selera sambil menonton perlawanan bola sepak memang
menyeronokkan. Maka peluang untuk mengalami pengalaman itu tidak dilepaskan
begitu sahaja. Rakan-rakan Hezqal ada bersama-sama mereka. Mereka bukanlah
pengawal peribadinya.
“Saya bersama
Angahlah pada malam itu,” jelas Aunie kurang senang dengan bicara Eymar. Persis
Eymar mempertikaikan kewujudannya dalam kelompok lelaki tika itu. Nampak
janggal. Mungkin juga tidak manis pada pandangan mata Eymar. Aunie cuba
membayangkan persepsi pemuda ini tentang dirinya pada malam itu. Rasa tidak
puas hati jikalau pemuda ini beranggapan sedemikian. Tidak patut mencerca tanpa
siasatan terlebih dahulu.
“Angah?” Dahi
Eymar berkerut lagi.
“Abang sayalah...,”
ujar Aunie lebih jelas. Dia mungkin tidak biasa hierarki dalam keluarga. Eymar
tersenyum. Pengakuan gadis ini menyenangkannya.
“Apapun selepas
piala dunia berlangsung, saya tak ikut perkembangan semasa bola sepak antarabangsa
lagi,” keluh Aunie. Hampa. Terbayang di matanya Neymar diusung keluar padang
kerana tercedera yang membuatkan berjuta peminta meraung kekecewaaan terutama
warga Brazil. Aunie turut merasa kekecewaan itu.
“Kenapa?” tanya
Eymar.
“Sebab Neymar tak
beraksi pada perlawanan akhir itu dan Brazil tewas teruk di tangan Jerman,”
ujar Aunie membayangkan detik yang mengecewakan itu. Dia mengeluh.
“Tiada kesetiaan
dalam diri awak,” ujarnya membalas luahan hati Aunie yang hampa.
“Apa?” Membutang
pandangan Aunie menatap Eymar yang tersenyum. Kata-kata pemuda ini menyinggung
hatinya. Dialah mangsa.
“Awak tak setia,”
ulang Eymar. Aunie mempamer wajah serius. Tuduhan itu berat hendak diterima.
Terasa tidak adil. Benci mendengar perkataan itu.
“Mesti awak
menangiskan,” teka Eymar. Aunie mengangguk.
“Saya menangis
bila Neymar tercedera, saya menangis bila Brazil tewas. Terukkan saya...,”
Aunie tersenyum sendiri mengenangkan detik itu. Dia menangis bukan semata-mata
kerana Neymar tidak mampu beraksi pada perlawanan akhir itu. Dia menangis juga
bukan disebabkan Jerman telah menewaskan Brazil. Dia menangis kerana telah
merasakan tewas kepada Adika. Kemenangan bergaya Jerman mengingatkannya kepada
pemuda itu. Dia dan Adika pernah meramal siapa yang akan menang. Ternyata Adika
berjaya. Perkara itu yang menyakitkan hatinya. Berpanjangan pemuda itu
mengecewakannya.
“Sekurang-kurangnya
air mata awak yang keluar boleh tenangkan awak masa itu,” ujar Eymar. Aunie
terkedu. Bicara itu penuh makna tersirat. Direnung wajah pemuda ini.
“Sejauh mana awak
tahu tentang saya?” tanya Aunie curiga.
“Tak banyak
sangat...,” sahutnya. Aunie masih menatapnya.