Bab 12
“Bolehlah mama
cuti semester ini Adik kerja di Fast Food
Conner itu” rayu Aunie memujuk Puan Aisyah Adiba. Tinggal dua minggu sahaja
menjelang cuti semester. Aunie sudah ada perancangan sendiri. Kali ini dia mahu
menimba pengalaman yang lain pula.
“Kamu kerja sahaja
di Butik Selendang Kasih tolong mama” tingkah Puan Aisyah Adiba tidak merestui
hasrat hati anak gadisnya ini. Mahu Aunie fokus pada pengajian. Kerja di bawah
seliaannya sendiri tidak perlu serius bekerja. Kerja sekadar menghilangkan
bosan. Ada masa hendak mengulang kaji. Dia juga boleh mengawasi pergerakan
Aunie.
“Tapi Adik dah
minta kerja dengan tuan kedai itu. Nak rasa pengalaman kerja di premis makanan
pula. Takkan nak jual tudung sahaja, tak merasalah pengalaman lain” jelas Aunie
bersungguh-sungguh meningkah bicara Puan Aisyah Adiba. Dia cuba memancing
kesudian mamanya agar merestui permintaannya.
“Lagipun kerja di
sana boleh mendisiplinkan diri. Kalau kerja di butik mama, Adik masih boleh
curi tulang” ujar Aunie memperkukuhkan hujahnya.
“Biar sajalah dia
kerja di premis itu. Biar dia rasa dimarahi kalau tak buat kerja betul-betul” suara
Datuk Adam Malik mencelah memberi pandangan. Sejak tadi dia hanya berdiam diri
mendengar perbualan isteri dengan anak gadisnya itu. Bagai pucuk dicita, ulam
mendatang. Laju Aunie mengangguk-angguk menyokong kata-kata ayahnya. Kedengaran
keluhan Puan Aisyah Adiba. Berat hati hendak menuruti kehendak hati gadis ini.
“Saya bimbang
kalau dia takde masa nak buat ulang kaji. Tahun akhir ini exam sukar. Takkan setakat nak lulus sahaja” keluh Puan Aisyah
Adiba meluahkan kebimbangan. Aunie tersenyum lantas mendekati Puan Aisyah
Adiba. Dipeluk erat tubuh mamanya. Cuba mengambil hati Puan Aisyah Adiba.
“Adik janji takkan
hampakan mama dan keluarga kita. Adik akan teruskan kecemerlangan anak-anak
Datuk Adam Malik dan Puan Aisyah Adiba” ujar Aunie sambil mengangkat tangan
berikrar. Datuk Adam Malik tersenyum memerhatikan gelagat Aunie dan isterinya.
Sama-sama degil. Masing-masing bertegas dengan kemahuan sendiri. Aunie sudah
semestinya tidak pernah berputus asa mencuba sehinggalah dia dapat perkara yang
dihajatinya.
“Pandainya kamu
berkata-kata. Tapi ingat kalau kamu tak penuhi janji kamu, mama takkan
bertolak-ansur dengan kamu” ujar Puan Aisyah Adiba menggertak anak gadis
tunggalnya itu. Aunie tersengih panjang. Timbul juga perasaan gerun tatkala
mendengar peringatan mamanya itu. Sudah semestinya Puan Aisyah Adiba tidak
pernah main-main dengan setiap tutur kata yang keluar daripada mulutnya. Setiap
amaran pasti akan dikotakan.
“Apa hukuman mama
jika Adik gagal memenuhi janji tersebut?” Aunie cuba merisik hukuman yang bakal
diterima jika perkara itu benar-benar terjadi. Mahu mengingatkan dirinya agar
sentiasa bermotivasi hendak belajar.
“Hukumannya...
mama akan nikahkan kamu dengan Azan” ujar Puan Aisyah Adiba berwajah serius.
Persis dia bersungguh-sungguh dengaan kata-katanya.
“Mama...!”Aunie
terjerit tidak suka. Memadankannya dengan Azan sangat menyesakkan dirinya. Puan
Aisyah Adiba dan Datuk Adam Malik tergelak. Perkara ini juga yang menakutkan
Aunie. Jodoh yang dipilih oleh keluarga.
“Umur kamu
sekarang memang dah boleh jadi isteri pun. Tak salah jadi isteri walaupun masih
belajar. Ini perkara biasa yang berlaku di universiti. Ayah dan mama pun dahulu
nikah pada tahun akhir pengajian” jelas Datuk Adam Malik menyokong bicara isterinya
sekali gus menyingkap kisah percintaan mereka yang tidak diketahui oleh
anak-anak. Aunie terlopong. Tidak menyangka ayah dan mamanya menjadi suami
isteri ketika masih bergelar pelajar. Ternyata ayah dan mamanya begitu nekad
dengan keputusan mereka. Aunie kagum.
“Datuk dan nenek
tak menghalang pernikahan tersebut?” tanya Aunie teruja hendak mengetahui kisah
percintaan orang tuanya.
Datuk Adam Malik
dan Puan Aisyah Adiba tersenyum. Mata mereka bercahaya. Tampak mereka pasangan
yang bahagia. Aunie bersyukur.
“Nenek kamu sahaja
yang bimbang kalau-kalau mama mengandung dan terpaksa tangguhkan pengajian”
jelas Puan Aisyah Adiba berkongsi cerita silam.
“Along lahir
setahun selepas mama dan ayah menamatkan pengajian. Semua itu boleh dirancang”
tambah Puan Aisyah Adiba lagi.
“Boleh juga kalau
kamu setuju ayah nikahkan kamu dengan Azan. Ada orang yang sentiasa jaga kamu.
Tak payahlah ayah dan mama risaukan kamu lagi” ujar Datuk Adam Malik menyokong.
“Ayah...!”Aunie
terjerit mendengar usikan Datuk Adam Malik itu.Tidak suka dirinya masih
dipadankan dengan pemuda itu.
“Atau kamu dah ada
calon lain? Kamu boleh perkenalkannya kepada ayah” ujar Datuk Adam Malik
memanjangkan usikannya. Aunie menarik muka masam. Cuba memprotes. Tidak tega
dirinya terus menjadi usikan orang tuanya.
“Di tempat kerja
ayah pun ramai jejaka tampan dan bijak. Kalau kamu mahu, ayah boleh perkenalkan
kamu dengan pelajar terbaik ayah” ujar Datuk Adam Malik berseloroh. Tidak
semena-mena Aunie teringat pada Adika salah seorang bekas pelajar cemerlang
ayahnya. Mengingati pemuda itu menusuk kembali luka di lubuk hatinya. Suatu
masa dahulu, dia sering berkunjung ke situ menghabiskan masa lapangnya. Sebagai
anak pensyarah yang bertugas di situ, dia bebas bergerak di kampus itu seperti
siswa-siswi yang lain. Setiap kali berkunjung ke situ, Aunie akan menghabiskan
masa di perpustakaan. Di situlah dia dipertemukan dan berkenalan dengan Adika.
Calar hatinya terasa pedih tatkala kenangan lalu terimbau kembali.
“Tetiba senyap,
kenapa ni?” suara Puan Aisyah Adiba menyentakkannya. Aunie memaksa diri
tersenyum.
“Adik ada kerja
nak dibereskan. Adik masuk bilik dulu” Didekati Puan Aisyah Adiba dan Datuk
Adam Malik lantas disalami tangan kedua-duanya.
“Jangan tidur
lewat” pesan Puan Aisyah Adiba. Aunie mengangguk.
“Assalamualaikum...”
Kemudian mengatur langkah meninggalkan Puan Aisyah Adiba dan Datuk Adam Malik
di situ dengan hati yang hiba. Teringat pada nama pemuda itu menimbulkan
kesedihannya.
“Allah ciptakan
Adika... tetapi bukan jadi milikku ” diseru kalimah ini dalam dirinya. Cuba
menenangkan hati yang lara.
“Hai... lama tak
jumpa!” sapa Eymar mesra setelah seminggu menghilangkan diri. Langkah pemuda
ini berhenti di depannya. Aunie tersentak dan kaget. Besar anak matanya menatap
Eymar yang sedang tersenyum lebar menatapnya tika ini. Pertemuaan yang tidak
diharapkan.
“Baru seminggu
saya boleh hidup aman. Tetiba hari terakhir ini awak muncul pula” keluh Aunie
bosan tanpa mengendah perasaan pemuda ini. Tidak kisah jikalau Eymar
tersinggung akan kata-katanya itu. Sebetulnya sudah lama dia berhasrat mahu
pemuda ini berkecil hati dengan sikap dinginnya. Mahu Eymar menjauhinya.
“Awak menghitung
hari ketiadaan saya? Saya tahu awak rindukan saya” Eymar tersengih. Kata-kata
Aunie ditafsir dengan cara tersendiri. Aunie mengetap bibir. Geram.
“Tingginya
imaginasi awak” perli Aunie dengan sengihan sinis membalas pandangan pemuda
ini. Dia tidak pernah peduli tentang kehadiran Eymar ke kelas. Lebih tenteram
dirinya jika pemuda ini tidak muncul. Aunie terbeban dengan pandangan mata
Eymar yang sentiasa mengekori pergerakannya. Bagai dirinya seorang pesalah yang
harus diawasi.
“Pergilah duduk”
arah Aunie menghalau Eymar dari terus terpacak di depannya.
“Hari ini saya
duduk di sebelah awak” Laju sahaja dia melabuhkan duduknya di kerusi itu. Aunie
tergamam. Tidak sempat hendak menghalang Eymar. Tindakan pemuda ini terlalu
pantas. Eymar menongkat dagu sambil tersenyum-senyum menatap Aunie. Lagak menggoda.
“Apa
pandang-pandang orang!” marah Aunie rimas diperlakukan sedemikian.
“Adoi... garangnya
nona manis!” Eymar sudah meniru gaya Cheng memanggil Aunie. Aunie menulikan
telinga. Cuba menyembunyikan senyuman. Mengingati lagak Cheng mencuit hatinya.
“Cuti nanti awak
ada di butik?” tanya Eymar tidak pernah bosan menjejaki dirinya.
“Duduk di rumah saja”
sahut Aunie berahsia.
“Tak cayalah. Awak
mesti tolong mama awak di butik. Nanti setiap hari saya singgah di sana jumpa
awak” Eymar mengutus peringatannya.
“Buat apa awak nak
singgah di butik? Takde barang yang sesuai awak nak beli di sana” tegah Aunie
cuba menyedarkan pemuda ini.
“Ada... tudung”
sahut Eymar bersahaja buat Aunie terlopong. Tidak menduga Eymar memiliki ahli
keluarga yang tidak seagama dengannya.
“Takkan setiap
hari awak nak singgah di butik itu beli tudung?” tanya Aunie janggal.
“Saya dah sedia
nak labur duit banyak-banyak untuk awak” sahut Eymar berlagak romantis. Aunie
mencebik. Rasa malas hendak berbual-bual dengan pemuda ini. Eymar sudah terkena
tempias jiwang-jiwang Azan buat Aunie terasa sukar hendak bernafas. Sesak.
“Awak semakin
menakutkan saya” luah Aunie tidak dapat membendung perasaan itu. Sikap
berterus-terang Eymar terasa janggal.
“Awak nak beli
tudung untuk ahli keluarga awak?” tanya Aunie meminta kepastian. Eymar
menggeleng kepala.
“Jadi pergi butik
nak beli tudung siapa?” tanya Aunie kematian akal.
“Saya nak beli
tudung untuk awak” jelas Eymar bersahaja.
“Jangan
mengarutlah. Tak payah pergi ke Butik Selendang Kasih. Kalau niat awak nak cari
saya di situ, awak takkan jumpa saya” tegas Aunie memberi peringatan.
“Awak nak bercuti
di mana? Saya boleh temankan awak” ujar Eymar bersungguh-sungguh. Persis tidak
faham bahasa. Masih mahu menjejaki gadis ini sedangkan Aunie mahu Eymar hilang
daripada pandangan matanya. Tiada pertemuan antara mereka sepanjang cuti
semester ini.
“Jangan
merepeklah. Saya tak nak jumpa awak” ujar Aunie tanpa berselindung.
“Saya akan tetap
cari awak” sahut Eymar berdegil. Aunie mendengus kasar. Kedegilan pemuda ini
mencabar kesabarannya.
“Boleh tak awak
biarkan saya hidup aman damai tanpa gangguan?” pinta Aunie sakit hati. Tindakan
Eymar tidak dapat diterima akal. Kemunculan pemuda ini telah mengganggu
hidupnya.
“Saya tak boleh
jauhkan diri daripada awak” sahut Eymar tersengih panjang. Aunie mendengus.
Geram kepada pemuda ini. Sentiasa mahu membuat hatinya panas membara.
“Kita berdua sudah
ditakdirkan bersama” tambah Eymar tersenyum mempamer lesung pipitnya. Aunie
mencebik. Kata-kata pemuda ini membuatkan tekaknya loya. Bosan berhadapan
dengan lelaki yang berlagak romantik.
“Jangan nak
mimpilah...”Aunie mendengus geram. Pemuda ini gemar bermain dengan kata-kata.
Lembut gigi daripada lidah. Dia tidak akan terbuai dengan bicara romantis
Eymar.
“Kenapa? Awak
takut jatuh cinta pada saya?” Eymar sudah menggerak-gerakkan keningnya sambil
mempamerkan senyuman manis kepada Aunie. Aunie ketawa. Ketawa yang dibuat-buat.
“Saya tak suka
lelaki seperti awak” jelas Aunie tanpa mempedulikan perasaan Eymar.
“Sebab hati awak
telah dimiliki?” tanya Eymar. Aunie dan Eymar beradu pandangan seketika.
Senyap. Tajam matanya menatap pemuda ini. Hatinya terusik.
“Aunie...!”
namanya dipanggil. Serentak Aunie dan Eymar mengalih pandangan ke arah suara
itu. Azan sedang bergerak mendekati mereka.
“Saya sukakan
lelaki seperti Azan yang tahu hala tuju masa depannya. Bukan macam
awak...samseng, kaki pukul dan suka bermegah diri” bidas Aunie menghina Eymar.
Memaksa diri berkata-kata tidak seiring dengan kehendak hatinya. Sengaja mahu
merobohkan kekebalan yang luar biasa dimiliki oleh pemuda ini.
“Awak ingat saya
akan terluka dengan kata-kata awak ini. Awak tak boleh halang saya mendekati
awak. Saya akan buat perkara yang saya suka” ujar Eymar tidak terusik langsung
perasaannya. Degil.
“Awak mesti jujur pada
diri sendiri. Jangan paksa diri awak melakukan sesuatu yang awak tak suka. Saya
akan sentiasa cari awak. Saya pergi dulu...bye”
ujar Eymar memberi peringatan. Lantas meninggalkan Aunie setibanya Azan di
situ. Aunie terdiam. Bicara pemuda itu meninggalkan kesan kepadanya.
“Kenapa? Dia dah
cakap nak jadi boyfriend awak?” tanya
Azan berdiri di sebelah Aunie sambil mengarah pandangan ke arah gadis ini.
Gusar Eymar akan bertindak sejauh itu.
“Jangan mudah
terpedaya dengan kata-katanya” tambah Azan tidak memberi peluang kepada Aunie
hendak bersuara. Laju ketukan tangan Aunie mendarat di kepala Azan membuatkan
muka pemuda itu berkerut menahan sakit.
“Sejak
kebelakangan ini ramai lelaki pelik saya jumpa” keluh Aunie lalu memulakan langkah beredar dari
situ.
“Jadi dia cakap
apa pada awak tadi?” tanya Azan sambil mengejar langkah Aunie. Tangannya
mengusap-usap kepala yang dipalu sebentar tadi. Perasaan ingin tahu yang
membuak-buak. Dia melihat Eymar serius berbicara dengan Aunie tadi.
AUNIE melontar
pandangan keluar menembusi dinding kaca itu. Kelihatan manusia lalu-lalang yang
sedang bersaing dengan waktu. Awal pagi begini, semuanya berkejar-kejaran.
Tidak mahu terlewat sampai ke tempat kerja masing-masing. Bimbang mendapat
teguran disiplin oleh bos. Aunie menghela nafas panjang. Lega dan lapang dada.
Rasa tenang dirinya. Keputusan hendak bekerja di premis ini adalah pilihan yang
paling tepat. Dia seronok dan gembira bekerja di sini. Bertemu dengan ramai
pelanggan yang mempunyai pelbagai ragam dan kerenah mengajar dirinya bersabar.
“Ini makanan yang
dipesan. Sila menikmatinya dengan hati yang gembira” ujar Aunie sambil
meletakkan makanan dan minuman yang dipesan di atas meja.
“Terima kasih...”
Suara lelaki ini mengajak Aunie mengangkat muka lalu memandang pelanggan yang
sedang dijamu. Suara ini sungguh dikenalinya.
“Awak...”
Terlopong Aunie tatkala beradu pandangan dengan Eymar yang sedang tersenyum. Tidak
menduga secepat ini dia akan bertemu dengan pemuda ini. Eymar sudah berjaya
menjejaki dirinya. Ternyata dia tiada kepakaran hendak menyembunyikan diri.
Begitu mudah sahaja pemuda ini menemui dirinya. Mungkin juga Eymar terlalu
tangkas dan memilliki daya pengamatan yang tajam sehingga begitu mudah
kelibatnya dijejaki oleh pemuda ini..
“Saya baru nak
hidup aman, sekarang awak muncul lagi. Awak buat apa di sini?” keluh Aunie
tidak senang. Sudah seminggu mereka tidak bersua muka.
“Nak makan dan
minum. Saya pelanggan setia premis ni” ujar Eymar cuba menyedarkan Aunie agar
memberikan layanan mesra dan terbaik buat dirinya. Jawapan yang bersahaja.
Aunie menggetap bibir menahan perasaan.
“Makanlah...” arah
Aunie kasar lantas bergegas meninggalkan Eymar. Tidak mahu lama-lama di situ.
“Saya belum habis
cakap dengan awak lagi” panggil Eymar tidak menghiraukan pelanggan lain yang
berada di situ.
“Aunie...!
Aunie...!” Aunie menulikan telinga. Pura-pura tidak mendengar.
“Hello...hello...cik!
Nak air kopi panas satu,” pinta Eymar masih mahu menarik perhatian Aunie. Aunie
mengetap bibir menahan geram. Dia jadi serba salah. Ikutkan hati mahu sahaja
dia tidak mengendahkan pemuda itu. Namun memikirkan Eymar ialah pelanggan
premis ini sekarang, dia memang patut mendapat layanan yang terbaik. Dalam
keadaan terpaksa, Aunie memalingkan tubuh berhasrat hendak kembali mendapatkan
Eymar. Lega hatinya tatkala melihat Qristine rakan sekerja sudah terpacak di
depan Eymar.
“Sorry... saya nak dia ambil pesanan...
dan ada perkara saya nak beritahunya. Kalau dia tak mahu jumpa saya, saya akan
buat aduan pekerja di premis ini sombong” ujar Eymar tersenyum sambil menunding
jari ke arah Aunie yang sedang memerhatikan mereka. Terlopong Qristine menatap
Eymar yang nampak bersahaja namun bicaranya penuh ancaman.
“Dia rakan sekelas
saya yang degil dan sombong...” jelas Eymar kerana tidak mahu mengundang
kehairanan gadis ini. Dalam masa yang sama dia tidak mahu gadis ini tersinggung
dengan permintaannya. Qristine tersenyum. Sempat juga dia bertukar senyuman
dengan Eymar sekali lagi sebelum melangkah ke arah Aunie.
“Teruna tampan itu
mahu jumpa awak” ujar Qristine memaklumkan kepada Aunie. Aunie mencebik
mendengar pujian itu.
“Apa yang dia
nak?” tanya Aunie tidak senang hati. Qristine menjungkit bahu.
“Ada perkara yang dia
nak cakap dengan awak. Kalau awak tak mahu jumpanya, dia akan buat aduan... tak
dapat layanan yang baik di premis ini ” ujar Qristine menyampaikan separuh kata-kata
Eymar yang didengarnya sebentar tadi. Aunie melepaskan keluhan. Geram.
“Pergilah...” arah
Qristine lalu berpaling ke arah Eymar yang sedang memerhatikan mereka sambil
tersenyum. Aunie merungut-rungut sendirian. Berat hati hendak menemui pemuda
itu.
“Awak nak pergi
mana?” tanya Qristine tatkala melihat Aunie menghala langkah ke arah kaunter. Bimbang
jikalau Aunie tidak mahu menemui pemuda itu. Lantas pemuda itu akan mengotakan
kata-katanya. Qristine melangkah mendekati Aunie yang sedang membuat beberapa
pesanan. Mahu memujuk Aunie agar mengalah sahaja.
“Siapa yang buat
pesanan ini?” tanyanya musykil. Dahi Qristine berkerut.
“Saya nak hantar
pesanan ini untuk manusia sombong dan degil itu” rungut Aunie geram. Qristine
terus tergelak. Aunie dengan pemuda itu saling tuduh-menuduh.
“Kenapa?” tanya
Aunie hairan melihat Qristine tergelak. Qristine geleng kepala. Dia tidak
berhasrat hendak menjelaskan bahawa kata-kata Aunie dan pemuda itu serupa.
Kedua-duanya mirip.
“Dia tak buat
pesanan tambahan” ujar Qristine hairan dengan tindakan Aunie. Aunie senyum. Dia
ada agenda sendiri.
“Saya mahu dia
bayar semua ini,” jelas Aunie sambil mencapai resit yang baru sahaja dicetak
daripada mesin wang itu. Dia tersenyum sendiri lantas menatang dulang yang penuh
dengan makanan mendekati Eymar yang sedang tertunggu-tunggu akan kedatangannya.
“Ini pesanan baru
awak... dan ini resit jumlah harga pesanan yang perlu awak bayar,” jelas Aunie
bersopan-santun sambil menundukkan kepala.
“Awak...,” Eymar
terlopong menatap Aunie yang sedang mempamer senyuman manis sambil berlaga
pandangan dengannya.
“Sila menikmatinya.
Permisi...” Aunie menundukkan diri sambil berundur beberapa langkah ke belakang
sebelum berpaling tubuh. Kemudian dia meninggalkan Eymar yang masih tergamam
menatap makanan yang perlu dihabiskan. Aunie tergelak kecil. Puas hati.
Tidak mungkin Eymar mampu menghabiskan makanan itu sendirian.
“Assalamulaikum...,”
Aunie melangkah longlai masuk ke dalam banglo mewah itu. Letih dan memenatkan
kerana ramai pelanggan yang singgah menjamu selera di premis makanan segera di
tempatnya bekerja hari ini.
“Dah balik
kamu...” sapa Mak Siti pembantu rumah menyambut kedatangannya. Aunie mengangguk
dan tersenyum.
“Tuan dan puan
belum balik lagi” jelas Mak Siti menjawab pandangan liar mata gadis ini.
Gerak-geri gadis ini dapat dibacanya. Aunie tersenyum.
“Kamu nak makan?
Mak Siti dah masak. Kalau nak Mak Siti hidangkan sekarang” ujar Mak Siti cekap
dengan tugasnya. Laju Aunie menggeleng kepala.
“Saya nak berehat
di bilik dulu. Letih hari ini,” jelas Aunie. Mak Siti tersenyum dan mengangguk. Langkah
longlai Aunie sudah cukup mempamer keletihannya.
“Berehatlah. Kalau
perlukan apa-apa panggil Mak Siti,” ujarnya berpesan dan patuh pada tugasnya
sebagai pembantu rumah. Aunie mengangguk. Sebetulnya dia lebih suka melakukan
sendiri daripada mengarah pembantu rumah itu. Perkara ini juga yang dikehendaki
oleh ibu bapanya. Mereka adik-beradik diajar hidup berdikari tanpa bergantung
terhadap orang lain. Aunie menyambung
langkah ke bilik.
Setiba di bilik
tidur ini, dia terus merebahkan tubuh ke atas tilam empuk itu. Selesa berbaring
di situ. Dia mahu merehatkan diri seketika di situ sebelum melangkah ke bilik
air. Mata dipejamkan rapat-rapat. Dia tersenyum sendiri. Terbayang kesungguhan
dan kepayahan pemuda itu menghabiskan set hidangan tersebut. Eymar telah
berhempas-pulas menghabiskan makanan dan minuman yang dihidang dan akhirnya dia
kekenyangan tersandar di kerusi. Beberapa minit kemudian, dia nampak pemuda itu
bergegas ke bilik air. Barangkali mahu memuntahkan semula makanan yang
dimuatkan ke dalam kantung perutnya.
“Padan muka
awak...Eymar,” Aunie berbicara sendiri. Senyuman masih terukir di bibir. Hatinya
puas. Terasa hidupnya yang tidak tenteram gara-gara sering diganggu oleh pemuda
itu telah terbela.