BAB 97
Di taman tema ini, aku melontar laungan jeritan kuat
tatkala menaiki kereta api udara yang laju ini. Tiada sempat berfikir selain
menjerit sepanjang perjalanan yang pantas ini. Sungguh mencabar dan menguji
keberanianku. Sedikit meredakan kegelisahan ini. Haqem tertawa panjang. Nampak
sungguh ceria pada hari ini. Idlan apatah lagi memang berlebih-lebih manja.
Sentiasa minta dilayan. Lagak bermanja dengan ibu bapanya buat aku sayu. Lama
juga aku memerhatikan gelagat Idlan. Hari ini aku akan menghabiskan masa
seharian bersama Idlan dan Haqem. Selepas ini akan mengambil masa lama hendak bertemu
lagi. Itupun jika masih ada kesempatan dan keizinan Aqel.
“Selepas ini nak pergi mana?” tanya Idlan teruja.
Kupandang Haqem. Haqem tersenyum.
“Nak beli buku. Apa kata kita pergi kedai buku tempoh
hari,” cadang Idlan menjawab pertanyaan sendiri. Aku tersenyum. Kuat daya
ingatan Idlan malah hobinya langsung tidak berubah. Dia masih jadi ulat buku
persis Aqel. Memang sesuai mereka menjadi anak-beranak. Kedua-dua sangat
menyukai buku. Bukulah peneman masa senggang mereka. Kalaulah Aqel dan Idlan
tinggal sebumbung pasti tiada temanku berbual di rumah.
“Kedai yang mana?” tanya Haqem. Dahinya berkerut.
Seingatnya tidak pernah mereka pergi ke
kedai buku sebelum ini. Dia dan Idlan tidak pernah berkongsi minat.
“Pergi dengan Uncle
Aqel,” jelas Idlan berkongsi cerita sekali gus menjawab kemusykilan Haqem.
Haqem berpaling menatapku memohon penjelasan. Aku mengangguk. Menyokong bicara
Idlan. Mana mungkin aku melupakan hari tersebut tatkala aku rasa dipinggirkan.
Aku tersenyum sendiri. Firasatku Aqel bakal menjadi ayah yang baik.
“Marilah pergi...,” ajak Idlan sambil menarik tanganku.
Aku menurut sahaja langkah Idlan. Haqem hanya geleng kepala. Masuk sahaja ke
premis buku ini, Idlan terus membawa diri menjelajahi sudut-sudut kegemarannya.
Dia sudah mengetahui sudut yang perlu dikunjungi kerana dia telah menghabiskan
masa bersama Aqel berjam-jam di sini. Aku mencapai buku berkaitan perniagaan
lantas duduk di kerusi. Sementara menunggu Idlan meneroka lautan ilmu di sini
bolehlah aku mengisi masa terluang dengan membaca buku ini. Lima minit
kemudian, Haqem datang menyertaiku. Dia melabuhkan duduk di kerusi di
sebelahku. Sempat aku dan Haqem bertukar senyum sebelum menyambung pembacaanku
semula. Haqem menatap buku di tanganku. Kemudian mengalih pandangan ke arahku.
“Maaf...,” Haqem bersuara.
“Huh...,” Aku kurang jelas dengan permohonan maaf yang
keluar dari mulut Haqem.
“Saya minta maaf kerana sejak awak mengenali saya banyak
masalah yang menimpa awak selama ini. Sungguh saya kesal sebab saya tak mampu
menghalang segala tindakan mama dan tak mampu melindungi awak,” Haqem melepaskan
keluhan kecil. Wajah muram.
“Maaf... sebab
saya... awak tak berjaya menghabiskan study.
Kalau awak tak pernah mengenali saya dah pasti awak ada ijazah sekarang,”
tambah Haqem kesal. Wajahnya mendung. Aku melepaskan keluhan. Tidak mahu
jikalau Haqem terus menghukum diri. Semua ini bukan salah Haqem. Aku yang tidak
cukup kuat menghadapi dugaan. Begitu mudah tewas pada kata hati. Akhirnya
kuliahku terabai.
“Bukan salah awak. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah,”
ujarku yakin. Reda pada qada dan qadar yang Allah tentukan. Perkara yang
berlaku pasti ada sebab tersendiri.
“Hikmah?” Haqem menatapku. Aku mengangguk. Yakin.
“Perpisahan kita memberi awak peluang mengenali Aqel,”
jelas Haqem. Kupandang Haqem. Dia tersenyum tawar. Barangkali itulah hikmah
yang terlintas dalam benak Haqem sekarang.
“Saya banyak kali berfikir. Kalaulah awak berjaya
menghabiskan study awak ketika itu
pasti awak takkan datang ke KDUT. Awak takkan jumpa Aqel dan menjadi isterinya.
Saya sedih sebab mama... awak tak berjaya habiskan study awak,” keluh Haqem kesal.
“Bukan salah Datin Sofea. Selepas awak pergi... mama awak
tak pernah ganggu saya. Saya tak pernah jumpa mama awak lagi. Saya yang terlalu
ikut kata hati,” tingkahku mengakui kesilapan sendiri. Tidak mahu Haqem terus
menyalahkan Datin Sofea. Bukan hendak berlagak baik tetapi demikianlah kisahnya.
Aku kembali bersua muka dengan Datin Sofea setelah bertemu dengan Haqem semula.
Namun perbuatan Datin Sofea dan Bella cuba menyumbat aku ke penjara memang
menguris hati. Aku terluka kerana membebankan Aqel dan melihat kesedihan mak. Menyaksikan
tangisan mak membuatkan aku rasa marah kepada Datin Sofea dan Bella. Haqem
melepaskan keluhan.
“Haqem... jangan kesal perkara yang berlaku antara kita.
Kini saya yakin Aqel ialah jodoh saya. Saya reda...,” ujarku serius dengan hati
yang tenang. Haqem menatapku. Sukar hendak mentafsir wajahnya tika ini.
Barangkali kata-kataku ini bukan yang diharapkan oleh Haqem. Sebentar lagi aku
akan memaklumkan kepada Haqem tentang keberangkatanku meninggalkan negara ini.
Aku mahu Haqem dan Idlan hidup bahagia.
“Saya juga nak awak reda...,” pintaku berharap. Haqem
mesti berhenti bergantung harapan kepadaku biarpun perjalanan hidup ini belum
jelas. Aku tidak pasti dengan kehidupanku sendiri.
“Awak boleh hidup bersama lelaki yang awak tak cinta?”
tanya Haqem janggal. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kupandang Haqem.
“Aqel lelaki yang baik. Saya nak lebih mengenalinya,”
putusku. Haqem mengeluh.
“Soal hati dan perasaan boleh dipupuk kemudian hari.
Paling penting saya nak restu keluarga saya,” ujarku serius. Restu keluarga
akan menjamin kebahagiaan. Perkara yang menimpa arwah Harianie boleh diambil
ikhtibar. Walaupun aku yakin mak tidak sekeras Datin Sofea.
“Saya akan teruskan perjuangan hidup saya. Esok saya akan
meninggalkan negara ini. Tak pasti sama ada saya masih berkesempatan berjumpa
awak dan Idlan. Saya yakin awak boleh jaga Idlan dengan baik dan mulakanlah
hidup baru,” pintaku. Haqem terdiam panjang. Nampak berita yang baru
kusampaikan ini mengejutkannya. Haqem pasti tidak menyangka tindakan Aqel
senekad ini. Namun tiada sesiapa mampu membantah keputusan Aqel. Dia berkuasa
penuh terhadapku.
“Aqel yang hantar awak ke luar negara?” teka Haqem. Aku
hanya senyum. Pertanyaan itu tidak perlu aku jawab. Kuasa Aqel ke atasku tiada
siapa boleh mempersoalkan. Kuasa veto.
“Maaf... mungkin kata-kata saya ini akan melukai perasaan
awak tapi saya masih juga nak cakap pada awak,” tuturku menyambung bicara.
Haqem menatapku. Aku menarik nafas.
“Saya tengok Bella tak sejahat yang awak fikirkan. Dia
boleh jaga Idlan dengan baik. Selain sayangkan awak, dia juga sayangkan Idlan,”
luahku mentafsir perkara yang aku perhatikan selama ini. Mudah-mudahan Haqem terbuka hati memberi peluang
Bella hidup di sisinya. Kemudian bersama-sama gadis itu membesarkan Idlan.
Tiada halangan untuk mereka membina keluarga sempurna. Idlan juga menyenangi
Bella. Bella ikhlas menyayangi Idlan. Hanya Bella dan Haqem sahaja yang mampu
memakbulkan impian dan hasrat hati Idlan hendak memiliki kasih sayang Datin
Sofea.
“Kejamnya awak, Lia” ujar Haqem kecewa. Sebak.
“Maafkan saya, Haqem,” Hanya ini yang mampu aku katakan.
Demi Idlan dan menyatukan keluarga mereka, aku terpaksa melukai perasaan Haqem.
“Kita boleh hidup bersama asalkan Aqel bersedia
melepaskan awak. Kita akan hidup bahagia bersama Idlan. Awak tahukan Idlan sungguh
sayangkan awak. Awak juga sayangkan Idlan,” gesa Haqem mempertahankan hasrat
hati. Aku terkedu menatap Haqem.
“Kalau awak risaukan mama saya, kita tinggalkan negara
ini. Awak pilihlah di mana awak nak tinggal. Saya akan minta Aqel lepaskan awak.
Saya yakin Aqel mahu awak hidup bahagia,” ujar Haqem bersungguh-sungguh. Aku
menggeleng. Haqem lupa betapa penting restu keluarga mengiringi perjalanan
hidup ini.
“Biarlah Aqel yang atur hidup saya. Dia lebih tahu
perkara yang terbaik buat saya,” ujarku jujur. Haqem mendengus. Tidak puas hati
mendengar kata-kataku.
“Awak dah jatuh cinta pada Aqel?” keras suara Haqem.
Beberapa orang yang turut berada di sini menoleh ke arah kami. Pasti terganggu
dengan perbualan ini. Aku melepaskan keluhan.
“Awak tewas pada Aqelkan,” serius Haqem menatapku.
Wajahnya tegang.
“Dari awal lagi saya tak setuju awak bernikah dengan
Aqel. Aqel boleh buat sesiapa saja jatuh cinta kepadanya. Apatah lagi pada
orang yang tiada kesetiaan,” Haqem melontar kata-kata dengan sinis. Aku terpukul.
Haqem mengatakan aku tidak setia. Aku tersenyum sendiri. Tuduhan Haqem
menyinggung perasaanku.
“Saya perlukan seorang lelaki yang boleh melindungi dan
mempertahankan saya. Bukan sekadar cinta...,” tegasku.
“Walaupun saya tak pernah jadi kekasih Aqel, tapi dia
bersungguh-sungguh mahu melindungi saya. Dia langsung tak boleh melihat saya
menangis. Jauh sekali membiarkan saya disakiti. Selagi Aqel perlukan saya
selagi itu saya akan bersamanya,” tegasku. Aku akan patuh pada perintah Aqel.
Hanya itu yang mampu aku lakukan demi membalas kesukaran Aqel hidup bersamaku
selama ini. Aku sungguh membebankan Aqel. Senyap. Haqem tertunduk. Mungkin
hatinya terguris mendengar bicaraku ini. Biarlah... kerana selama ini pun aku
sudah cukup terguris dengan sikapnya. Haqem tidak mampu mempertahankan aku di
depan Datin Sofea. Berkali-kali peluang itu kuberikan tetapi Haqem tetap gagal
memanfaatkan. Tuduhan Haqem berat hendak diterima. Terasa sayu hati ini. Anak
mataku berkaca-kaca. Bila-bila masa sahaja air mata ini akan gugur membasahi
pipi.
“Keluarga ialah pilihan terbaik buat awak. Saya yakin dah
ada lelaki terbaik yang Allah tetapkan untuk saya,” Kuulangi kata-kata yang
pernah mak dan Nana perdengarkan kepadaku. Haqem menatapku. Mencari kepastian.
“Dia mampu menyayangi dan menerima saya seadanya, mampu melindungi
dan mempertahankan saya,” tambahku meyakinkan Haqem. Senyap.
“Saya pergi dulu. Selamat tinggal Haqem,” Bingkas aku
bangun lalu kutinggalkan Haqem termangu-mangu memerhatikan langkahku yang kian
pantas menjauh bersama deraian air mata. Aku menangis. Akhirnya aku mampu
meninggalkan Haqem cinta pertamaku. Cinta yang aku agung-agungkan selama ini. Aku
mampu melakarkan keputusan yang paling tepat buat diriku. Ya Allah, dadaku
benar-benar lapang saat ini. Dari kejauhan aku memandang Idlan. Idlan akan
mengerti semua ini. ‘Selamat tinggal Idlan. Mudah-mudahan kebahagiaan itu
menjadi milik kamu’ suara hatiku meninggalkan pesanan lantas langkahku melewati
pintu meninggalkan Idlan dan Haqem.
Langkah kakiku kian laju. Bayangan Aqel semakin jelas.
Aku yakin dia masih setia menantiku di situ sebab firasat hatiku terlalu kuat
mengatakan dia ialah jodohku, lelaki pilihan mak menggantikan tempat ayah.
Paling nyata lelaki yang dicipta oleh Allah menjadi teman sehidup sematiku. Tiba-tiba
sahaja gerimis mencurah-curah ke bumi seakan Allah sedang menurunkan rahmatNya
lalu membasuh luka-luka semalam. Aku tidak menghiraukan hujan yang semakin
lebat. Laju sahaja kakiku meredah simbahan air yang berguguran dari hamparan dada
langit tika ini. Tidak mahu Aqel menungguku lama. Tiba-tiba langkah kakiku
terhenti. Aku terkedu menatap Aqel yang sedang memayungi Rania meredah hujan
yang kian mengganas. Mesra. Tampak mereka pasangan kekasih yang bahagia. Cepat
aku tersedar. Lantas aku terfikir tentang keputusan Aqel menghantar aku ke luar
negara. Pasti kerana Rania. Aku mengerti. Kuubah haluan langkah kaki ini. Kemunculanku
di sana tidak dialu-alukan. Terbayang senyuman girang Rania. Sesungguhnya Flora
bukanlah penghalang antara mereka. Kini aku berpijak di bumi nyata.
Haqem yang lama terpaku di situ melepaskan keluhan berat.
Lemah. Semangat punah, hati kecewa. Lambat-lambat dia bangun. Dia melangkah
mendapatkan Idlan yang sedang leka memilih-milih buku. Haqem mendekati Idlan
lantas menyentuh lembut bahu budak lelaki ini. Laju Idlan berpaling. Mereka
berpandangan.
“Kita balik sekarang,” ajak Haqem lembut. Terkebil-kebil
Idlan menatap Haqem.
“Mama... mama mana?” tanyanya mencari kelibat gadis itu.
Liar anak matanya memerhatikan sekitar premis itu. Haqem senyum. Dipaut erat
tangan kecil ini lalu melangkah keluar dari premis ini. Tangan kecil ini
memberi sedikit kekuatan dan menyuntik semangat dirinya.
“Mama dah balik?” tanya Idlan tidak puas hati dengan diam
Haqem. Haqem mengangguk dan senyum. Lantas Haqem mengajak Idlan singgah di
bangku kayu di bawah pohon rendang itu. Mereka melabuhkan duduk di situ tanpa
menghiraukan bangku yang basah selepas dihujani. Suasana sungguh tenang. Haqem
memejamkan mata rapat-rapat. Tiupan angin lembut menyapa wajahnya. Sungguh
mendamaikan. Tatkala dia mengangkat kelopak mata, Idlan sedang menatap dengan
wajah yang sarat dengan persoalan. Haqem tersenyum.
“Papa nak cakap sesuatu pada kamu...,” tutur Haqem
berhati-hati. Dicapai tangan Idlan lalu digenggam erat. Idlan terkebil-kebil
menatapnya.
“Mulai hari ini, Auntie
Lia akan mulakan hidup baru. Kita tak boleh ganggu Auntie Lia lagi. Auntie
Lia akan ke luar negara,” jelas Haqem perlahan. Panggilan ‘mama’ terus
dipadamkan. Idlan tersentak.
“Mama takkan bersama kita lagi?” tanya Idlan. Wajahnya
mendung. Haqem mengangguk-angguk dan memaksa diri tersenyum.
“Di mana saja Auntie
Lia berada dia tetap sayangkan kamu. Dia takkan lupakan kamu,” tutur Haqem
menyampaikan isi hati gadis itu. Idlan mengangguk. Dia mengerti. Senyap. Haqem
melontar pandangan jauh-jauh. Anak matanya berkaca. Kekecewaan yang tidak mampu
dibendung lagi. Dia menundukkan kepala. Kali ini terasa dia benar-benar telah
kehilangan gadis itu.
“Hati papa terluka?” suara kecil itu singgah di telinga
Haqem. Laju tangan Haqem mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Hilang kawalan
diri. Dia berpaling menatap Idlan. Kemudian tersenyum. Idlan mencapai tangannya
lantas memaut erat. Idlan dan Haqem berpandangan. Idlan tersenyum manis. Dia
nampak lebih tabah menerima perpisahan ini.
“Sukar nak tandingi kehebatan Uncle Aqel... kan papa. Uncle
Aqel sanggup pertaruhkan nyawa demi mama. Dia akan jaga mama dengan baik,” ujar
Idlan buat Haqem terkedu. Idlan tampak matang menuturkannya. Di mata Idlan
terbayang peristiwa pada hari itu.
“Mama juga gembira bersama Uncle Aqel. Mama menangis teresak-esak risau Uncle Aqel disakiti,” jelas Idlan mengimbau peristiwa lalu. Haqem
terdiam panjang mendengar kata-kata Idlan.
“Saya suka sungguh pada Uncle Aqel dan sayang pada mama. Boleh tak kita doakan kebahagiaan Uncle Aqel dan mama?” tanya Idlan.
Dipandang Haqem. Haqem mengangguk dan tersenyum. Lantas dipeluk tubuh Idlan.
Lega. Idlan lebih bersedia dengan perpisahan ini.
“Kita akan doakan kebahagiaan Uncle Aqel dan Auntie Lia...
mereka juga kawan baik papa,” sahut Haqem reda. Dia tersenyum sendiri. Kini dia
rasa tenang biarpun hati terluka dan berduka lara. Dia kehilangan kekasih hati.
Perempuan yang sungguh dicintai telah meninggalkannya. Persis baru tersedar
perempuan itu telah menjadi milik suaminya.
“Pasti saya akan merindui mama,” ujar Idlan sedih.
“Ya... kita akan rindukan Auntie Lia” sahut Haqem. Air mata menitis di pipi. Semakin erat tubuh kecil itu dipeluk. Hati pilu dan
hiba. Kali ini perpisahan itu benar-benar terjadi. Dia telah ditinggalkan.
Haqem mengetap bibir menahan sendu.
“KENAPA tak
angkat call saya?” Aku berpaling ke
pintu. Aqel sedang melangkah masuk ke bilik ini. Aku diam. iPhone masih berada di dalam beg galas yang basah tadi. Bingkas aku
bangun. Lantas mengeluarkan iPhone.
Lega. Mujur juga iPhone ini masih
berfungsi dengan baik. Aqel memerhatikan gelagatku.
“Tak dengar... iPhone
dalam beg,” sahutku agak terlewat menjawab pertanyaan Aqel tadi. Aqel mengeluh.
Tidak puas hati dengan jawapan yang kuberikan.
“Banyak kali saya call
awak tadi. Kan saya suruh awak tunggu saya datang ambil,” keluh Aqel.
Kutatap skrin iPhone ini. Sepuluh
kali panggilan Aqel yang tidak kujawab. Pasti mencabar kesabarannya.
“Sorry...,”
ujarku. Senyap. Aqel masih menghala pandangan ke arahku.
“Awak balik dengan Haqem?” tanya Aqel. Kupertimbangkan
pertanyaan Aqel. Lambat-lambat aku mengangguk. Berbohong.
“Okeylah... sekurang-kurangnya awak tak redah hujan lebat
tadi,” ujar Aqel berlapang dada. Aku diam. Aqel berpaling. Mahu bergerak ke sofa,
lokasi yang paling digemari di bilik ini. Baru hendak melangkah, Aqel berpaling
semula ke arahku. Aku dan Aqel beradu pandangan.
“Kenapa beg galas awak basah?” tanyanya curiga. Aku
tersentak. Kutatap beg galas di depanku di atas katil ini. Tidak logik menaiki
kereta beg ini sekuyup begini. Laju aku berfikir.
“Jatuh tadi,” jawabku berbohong memberi alasan. Aqel
masih menatapku. Bimbang dia mencurigaiku. Pembohongan ini akan terbongkar.
“Kamu dah makan ubat, Lia?” serentak aku dan Aqel
berpaling ke muka pintu. Mak sedang tercengat di ambang pintu yang sedia
terkuak. Aku tersentak.
“Hey... kamu dah balik!” sapa mak. Aqel mengangguk dan
tersenyum.
“Awak tak sihat?” tanya Aqel lantas mendekatiku. Laju
tangan Aqel singgah di dahiku. Aku terdiam dan kaku. Mak masih tercengat di
muka pintu sedang tersenyum-senyum. Gelagat Aqel menyenangkannya. Aku berharap mak
akan cepat beredar. Mahu melindungi pembohonganku.
“Risau Lia kena seselma. Balik basuh-kuyup tadi,” jelas
mak di luar kemahuanku. Aku tergamam. Punah harapanku. Aqel menatapku. Mohon
penjelasan.
“Saya... okey...,” jelasku tidak mahu mak bimbang. Mak
senyum.
“Berehatlah. Mak pun dah nak tidur ni,” ujar mak lalu
menutup rapat daun pintu bilik ini. Aqel masih menghala pandangan ke arahku.
Aku melarikan muka. Tidak mahu beradu mata dengan Aqel. Pembohonganku sudah
terbongkar. Aku mengetap bibir menahan gelodak hati ini.
“Awak berbohong,” ujar Aqel sinis. Salah aku tidak
bercakap benar kepada Aqel. Aku diam. Bersedia menerima teguran Aqel. Pesalah
yang sedia dihukum.
“Sukar sangatkah perpisahan ini?” tanya Aqel. Aku masih
tidak bersuara.
“Awak berat hati nak tinggalkan Haqem?” tanya Aqel lagi.
Kudongak wajah Aqel. Ada senyuman sinis terukir di bibir.
“Sukar awak nak berubah,” lirih suara Aqel. Aku mengunci
mulut. Biarlah Aqel berbicara dan aku akan mendengar. Apa sahaja firasat Aqel
padaku, aku akan terima semua dengan hati terbuka. Hak Aqel hendak bersuara.
“Hati awak sakitkan...,” duga Aqel masih dengan senyuman
sinis. Aku mengangguk dan tidak mahu menafikan.
“Ya... sebab awak lontarkan saya sejauh itu,” ujarku.
Aqel terpana. Dalam benak Aqel, aku berduka kerana terpaksa meninggalkan Haqem.
Di mataku pula masih terbayang kemesraan Aqel dan Rania berkongsi payung
meredah hujan. Akhirnya aku dan Aqel sama-sama berdiam diri. Pasrah.
“Jangan salahkan Aqel. Semua ini untuk kebaikan kamu”
nasihat mak sambil menepuk-nepuk lembut bahuku. Cuba menghalang aku
berprasangka buruk terhadap Aqel. Curiga dengan tindakan Aqel.
“Mak akan sokong tindakan Aqel... sebab mak percaya semua
ini demi kebaikan kamu,” ujar mak merestui keputusan Aqel. Aku diam. Setia
mendengar butir-butir bicara mak.
“Kamu dah jadi tanggungjawab Aqel sekarang. Beri peluang
kepada Aqel menentukan apa yang terbaik buat kamu. Dia berhak ke atas kamu,”
nasihat mak. Kupandang mak. Mak sungguh bangga ada menantu sehebat Aqel. Aqel
anak yang baik.
“Tiada orang yang sekuat Aqel mampu bertahan dengan kamu
sehingga ke hari ini. Jangan jauhkan Aqel dari hati kamu,” nasihat mak lagi. Wajah
Rania menjelma di pandanganku. Kupandang mak dengan mulut terkunci. Aku tidak
mahu berkongsi cerita dengan mak. Hak Aqel mendapatkan cintanya.
Kutatap tiket penerbangan Kuala Lumpur ke Seoul dengan
perasaan sebak. Sedih hendak berjauhan dengan mak dan Aziq. Sekejap lagi
perpisahan itu akan terjadi. Mak masih kelihatan tabah. Pada mak perkara yang
Aqel lakukan adalah demi kebaikanku. Aku melepaskan keluhan. Terasa Aqel mahu
memisahkan aku dengan orang rapat di sekelilingku. Panggilan untuk penumpang
penerbangan Kuala Lumpur ke Seoul. Penumpang-penumpang diarahkan masuk ke balai
berlepas. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan ini. Kupegang erat tangan
mak. Terasa sukar hendak menghadapi perpisahan ini. Kupeluk tubuh mak.
“Jaga diri baik-baik di tempat orang. Jaga kesihatan dan
jangan tidur lewat. Nanti sentiasalah berhubung dengan mak,” pesan mak
berjela-jela sambil menepuk-nepuk lembut belakangku. Cuba mendamaikan
perasaanku. Air mata yang bergenang di tubir mataku mengalir di pipi. Terasa
Aqel begitu kejam mewujudkan perpisahan ini. Aqel sanggup memisahkan aku dengan
mak. Beginikah cara Aqel melempiaskan rasa tidak puas hati terhadapku?
“Pergilah masuk...,” arah mak lantas melepaskan pelukan
di tubuhku. Aku mengangguk sambil mengesat air mata tanpa perasaan segan.
Biarlah Aqel menyaksikan deraian air mata ini. Aku memang mahu Aqel mengetahui
bahawa aku sedang bersedih sekarang. Patuh dan tidak mahu mengingkari
arahannya.
“Tak payah bersedih, mak dan Aziq akan datang menjenguk
kamu,” ujar mak cuba memujukku. Aku mengangguk. Sedikit senang hati mendengar
kata-kata mak. Sudah pasti aku mengharapkan mak dan Aziq bertandang ke sana.
Kalau boleh datang sekerapnya. Tidak dapat kubayangkan kerinduan yang bakal
kutanggung.
“Jaga diri mak dan Aziq baik-baik. Saya akan sentiasa
hubungi mak,” janjiku. Pilu hati ini menatap wajah mak. Aku yakin Aqel akan
mengotakan janji. Dia mampu menjaga keluargaku dengan baik. Aqel mampu
melakukan yang terbaik buat mak dan Aziq. Aku tidak pernah meraguinya. Keluarga
penting buat Aqel.
“Saya ... pergi dulu,” ujarku ketika pengumuman kali
kedua meminta para penumpang penerbangan Kuala Lumpur ke Seoul berbaris di
pintu balai berlepas. Aqel mendekatiku. Lantas baju sejuk tebal ini disarung ke
tubuhku. Aku hanya memakukan diri membiarkan Aqel melakukannya.
“Sekarang musim sejuk di sana,” bicara Aqel kudengar
tanpa sebarang reaksi. Tidak kisah musim yang melanda bumi Seoul. Saat ini aku
bersedih kerana terpaksa berpisah dengan mak.
“Mama dan ayah akan jemput awak di airport,” jelas Aqel lagi. Kutatap Aqel. Terkejut. Patutlah Mak
Long tiada di sini sekarang. Rupa-rupanya Mak Long sedang menunggu
kedatanganku. Maka mengertilah aku gerangan insan yang dimaksudkan oleh Aqel
serta diyakini mampu menjaga aku dengan baik ialah Mak Long dan Pak Long. Lega.
Aku bakal tinggal bersama mereka. Aku menyalami tangan Aqel dan mak. Lantas
mengatur langkah pantas ke balai berlepas tanpa menoleh-noleh lagi. Tidak
sanggup menatap wajah mak. ‘Ya... Allah, Aqel tidak pernah mengarah atau
melarang aku selama ini. Maka aku patuh dan reda menerima perkara yang
direncanakan buatku’ bisikku pada diri sendiri. Aku menarik nafas dalam-dalam.
Cuba menjalani hidup ini dengan baik. Aku akan membuktikan kemampuanku kepada
Aqel.
“Maafkan... saya
mak,” Aqel menatap Puan Suraya. Laju perempuan ini menggeleng. Tiada kesalahan
yang dilakukan oleh pemuda ini. Keputusan Aqel tepat.
“Mama yakin apa yang kamu lakukan demi kebaikan Lia.
Paling penting Lia masih ada kamu. Hanya kamu yang boleh jaga Lia dengan baik.
Mak mahu dia sedar perkara ini,” tutur Puan Suraya bersungguh-sungguh. Dia
merestui keputusan Aqel biarpun bersedih kerana berjauhan dengan gadis itu.
Aqel mengukir senyuman. Lega mendengar bicara sedemikian. Dalam hati kecilnya
tersembunyi kesedihan. Dia melontar pandangan menyoroti langkah gadis itu.
“Aku harap perpisahan hari ini... akan mempertemukan kita
suatu hari nanti dengan cerita yang berbeza,” bisik hati Aqel.
Langkahku terhenti di anak tangga terakhir pesawat MAS
ini lalu berpaling. Sudah jauh aku meninggalkan mak dan Aqel. Kelibat mereka
tidak kelihatan lagi. Hidup baruku bakal bermula.
“Selamat tinggal bumi Malaysia. Akhirnya...Aqel jauhkan
jua aku dari hidupnya,” bisik hatiku. Reda. Lantas aku melangkah masuk dan
tidak menoleh-noleh lagi.
~ Hari ini bumi
Seoul masih kedinginan. Walaupun sibuk dengan kuliah dan tugasan, aku masih
berkesempatan menggumpal salji. Suatu kenangan terindah yang tidak semua orang
akan memilikinya~ Kunoktahkan cerita
hari ini lantas menutup buku catatan merah jambu ini.
Kini aku bergelar pelajar Universiti Sogang yang terletak
di pusat kota Seoul ini. Aqel mahukan aku belajar di sini. Salah sebuah
universiti yang terbaik di Korea yang telah mendapat pengikhtirafan luar. Park
Geun-Hye, Presiden Republik Korea Selatan yang ke-18 pernah belajar di sini.
Terbukti universiti ini mampu melahirkan graduan yang cemerlang.
Langkahku mati di dataran kaki lima ini. Lantas mendongak
menatap poster gergasi yang tergantung di atas bangunan milik Syarikat KBS itu.
Aku menatap barisan wajah-wajah kacak pelakon Hwarang yang sedang tersenyum mempesonakan. Pandanganku terikat
pada Park Seo Joon hero drama epik ini. Mata yang mengecil tatkala senyuman
terukir di bibir cukup menyenangkan mata terikat pada wajah itu. Terpikat pada
senyuman itu untuk sekian kali.
“Apa khabar Park Seo Joon Mak Long? Apa yang sedang dia
buat sekarang? Masih dia tak punya waktu untuk diri sendiri?” Aku bersoal-jawab
sendiri sambil merenung wajah kacak hero Hwarang.
Kulepaskan keluhan. Simpati kepada Aqel.
“Gadis di seluruh dunia memuja ketampanan pemuda ini.
Patutlah Rania tak mahu melepaskannya,” tuturku berbicara sendiri. Sedarkah
Aqel bahawa senyumannya sungguh indah?
“Lama awak pandang wajah pelakon itu. Awak peminatnya?”
suara lelaki menyapaku. Aku berpaling. Tersentak ditegur sedemikian. Tidak
pernah-pernah ada suara lelaki Melayu yang menyapaku sebegini di bumi Seoul
ini. Tersentak sekali lagi tatkala menatap wajah pemuda ini. Dia pelajar
Universiti Sogang. Aku pernah nampak kelibatnya di kampus dan pernah bertukar
senyuman dengan pemuda ini. Namun tidak mengenalinya.
“Bye... jumpa
awak di dewan kuliah esok,” ujar pemuda ini meninggalkan pesanan sebelum
melangkah menyeberangi jalan. Sempat juga dia melambai tangan ke arahku. Aku
yang tidak sempat memberi reaksi pada bicara tadi hanya memerhatikan kepergian
pemuda ini. Tidak juga membalas lambaian tangan itu. Masih terkejut dengan
kefasihannya berbahasa Melayu. Tidak sangka pemuda Inggeris itu ada kebolehan
bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Langsung tiada pelat cakap orang
asing. Aku menyambung langkah. Singgah sebentar di toko buku lalu menyelek
majalah hiburan Korea. Terpandang wajah Park Seo Joon lantas kucapai majalah
ini dan menyelesaikan bayaran di kaunter. Malam ini boleh meluangkan masa
dengan hobi baru.
“Assalamualaikum... saya dah balik,” ujarku sambil
melewati pintu. Mak Long tersenyum manis menyambut kepulanganku. Dia
bersendirian di rumah tika ini. Pak Long masih ada kelas di kampus. Aku
mendekati Mak Long lalu duduk di sebelahnya di atas sofa panjang ini. Kupandang
sofa panjang ini. Sofa ini mengingatkan aku pada bilik tidur yang sudah lama
kutinggalkan di Malaysia.
“Kenapa?” suara Mak Long kedengaran mengaju pertanyaan.
Aku tersenyum.
“Teringat pada mak dan adik kamu?” teka Mak Long. Aku
mengangguk. Mereka tidak pernah luput dari ingatanku.
“Ingat pada Hyeon?” tanya Mak Long lagi. Kupandang Mak
Long.
“Sofa ini mengingatkan saya pada Aqel,” ujarku tidak
berselindung. Mak Long tergelak.
“Hyeon memang suka sungguh berbaring di atas sofa.
Langsung tak beri peluang pada orang lain,” tambah Mak Long mengingat tabiat
anak muda itu. Pasti terdetik kerinduaan Mak Long pada anak terunanya itu.
Kasihan Mak Long dan Pak Long masih tiada kesempatan tinggal sebumbung dengan
Aqel.
“Mama rindukan Aqel...,” Kupandang Mak Long. Laju Mak
Long mengangguk. Jawapan yang sudah kuketahui. Semua ibu rindu pada
anak-anaknya. Mak juga pasti rindu padaku.
“Sudah pasti mak juga rindukan saya saat ini,” keluhku
sayu. Mak Long berpaling dan tersenyum menatapku. Mak Long mengangguk.
“Ramai orang rindukan kamu saat ini,” tutur Mak Long
sambil mengusap lembut bahuku. Aku tersenyum. Terbayang wajah mak, Aziq, Idlan,
Nana dan Marnie. Adakah Aqel juga rindu padaku?
“Pasti Hyeon juga rindukan kamu,” tutur Mak Long menyebut
nama anak mudanya itu. Aku dan Mak Long beradu pandangan seketika. Sekilas
senyuman terukir di bibirku. Sempatkan Aqel merinduiku tatkala Rania sungguh
setia bersamanya. Sungguh lama Aqel menyepikan diri.
“Adam kirim salam sayang,” Melati mendatangiku dengan
sengihan panjang. Teman dari negara jiran yang belajar sama falkulti denganku.
Gadis Brunei yang ceria dan teramat mesra.
“Saya tak dapat sambut salam itu,” balasku tenang.
“Sombongnya awak...,” kutuk Melati mencebik. Aku pamer
wajah bersahaja. Adam Gregg, pemuda kacukan Scotland-Malaysia. Kacak orangnya.
Tinggi tegap dan cerah. Tidak banyak cakap tetapi murah senyuman. Seingatku
kami tidak pernah berbual panjang. Sekali sahaja dia menegurku. Selebihnya
sekadar bertukar pandangan dan senyuman.
“Saya tak bercadang nak rapat dan mengenali lelaki di
sini,” tegasku.
“Awak tak nak bercinta?” Besar mata Melati menatapku. Aku
mengangguk.
“Takde kepercayaan pada lelaki?” tanya Melati masih mahu
menyelidikiku. Aku diam.
“Awak berduka lara sekarang?” Melati menghujaniku dengan
pertanyaan. Bungkam. Aku masih membisu. Sudah tiba masa hendak berterus-terang
dengan Melati.
“Saya telah meninggalkan kekasih pertama saya. Saya juga
tinggalkan suami saya di Malaysia. Bukan. Dia yang minta saya tinggalkannya.
Mungkin juga ditakdirkan saya akan ditinggalkan suami,” ujarku berbelit-belit.
“Apa?” Melati terkedu. Matanya terbuka luas.
“Awak isteri orang...,” Kenyataan ini mengejutkan Melati.
Aku mengangguk.
“Isteri kepada lelaki yang sungguh setia kepada ibunya.
Lelaki yang berhati suci mahu melindungi keluarga dan melindungi saya. Lelaki
yang tak tega melihat saya disakiti,” jelasku berjela sambil melontar pandangan
jauh. Setiap tindakan Aqel melindungiku terbayang di mata. Aku tersenyum
sendiri. Persis Aqel perisai kebal yang sering menjadi penyelamat dan pelindung
buatku.
“Lelaki itu mencintai awak. Dia sayang awak,” Melati
mengutarakan pendapat. Aku tersenyum hambar. Mulut Aqel pernah melafaz cinta
namun tindakannya sering mengelirukanku. Aku sangsi. Cinta Aqel tiada kesungguhan.
“Dia ada kekasih di Malaysia. Sejak saya datang sini...
tak pernah kami berhubung,” jelasku tanpa berselindung. Cinta Aqel dan Rania
kembali bersatu. Aku terbayang Aqel dan Rania sepayung melangkah di bawah
curahan hujan yang lebat. Mesra. Aku tidak akan menjadi penghalang kebahagiaan
Aqel.
“Dia mencintai awak,” ulang Melati. Kupandang Melati.
Keyakinannya terlalu tinggi.
“Tak lama lagi dia akan muncul. Dia takkan tahan
menanggung rindu pada awak,” tambah Melati persis sedang memujuk hatiku. Hati
ini merajuk pada Aqel? Keliru yang tidak sudah-sudah.
“Dia sepupu saya. Kami dinikahkan atas permintaan
keluarga. Dia melihat saya seperti gadis kecil manja yang harus dilindungi,”
tuturku perlahan-lahan menyusun kata-kata.
“Gadis kecil yang manja?” Melati mengulangi kata-kataku
dalam nada bertanya sambil menayang dahi yang berkerut. Sangsi.
“Bayangan adiknya ada dalam diri saya. Mungkin kerana ada
pertalian darah, saya dengan Flora seiras,” ujarku berkongsi cerita dengan
Melati.
“Flora? Siapa Flora? Gadis kecil manja itu?” Bertubi-tubi
Melati melontar pertanyaan kepadaku. Kisah yang menarik perhatiannya.
“Arwah adik perempuannya,” sahutku menjawab pertanyaan
itu. Mata Melati terbuka luas. Dia terlopong.
“Kejamnya...,” luah Melati berkongsi perasaan yang
kualami. Dia melepaskan keluhan kecil. Aqel memang kejam. Kulontar pandangan
jauh-jauh. Mahu melontar jauh bayangan Aqel. Mahu melupakan seketika senyuman
indah Aqel.