Wednesday, 16 August 2017

NamaKu Bukan Flora....... 96




BAB 96

Aku memandang Aqel yang sedang tidur nyenyak di atas sofa. Sedih dan rawan hati menatap Aqel. Harap-harap terjaga Aqel dari tidur dia akan lebih bersemangat. Kesedihan yang merantai hidupnya selama ini akan terhapus. Tidak sangka Aqel yang gagah, Aqel yang kuat dan dingin menanggung kesedihan yang mendalam. Dalam tawa dan gelak Aqel tersembunyi penderitaan jiwa raga.
“Aqel, awak melihat saya persis Flora... puteri tunggal keluarga ini” keluh hatiku berbisik. Barangkali Aqel kelihatan gembira hidup bersamaku kerana aku bayangan jelmaan gadis kecil itu. Aqel bersungguh-sungguh melindungiku kerana menebus kegagalan menyelamatkan Flora pada masa itu. Aqel mampu bertahan hidup denganku kerana dia tidak boleh berpisah dengan Flora. Lantas Aqel menggunakan kesempatan yang ada kerana aku mirip Flora. Semua tindakan kerana arwah adik kesayangannya itu. Aku melepaskan keluhan berat. Jika ramalanku ini benar dan tepat, aku harus menghentikan perbuatan Aqel. Aqel harus diselamatkan daripada terus hidup dengan kenangan lalu yang pahit hendak diingati.

“Assalamualaikum... Mak Long, apa khabar?” tanyaku lantas berpelukan dengan Mak Long yang menyambut kedatanganku di ambang pintu.
“Alhamdulillah sihat...Gembira jumpa kamu” Mak Long senyum. Dipaut tanganku mesra. Terdetik kerisauan di hati. Adakah Mak Long melihat bayangan puteri kecilnya dalam diriku? Aku bersimpati kepada Mak Long.
“Kenapa Hyeon tak datang sama?” tanya Mak Long tercari-cari kelibat anak muda itu.
"Aqel tidur tadi. Sejak kebelakangan ini dia mengalami kesukaran tapi Mak Long jangan risau Aqel sihat” ujarku tidak mahu berselindung. Mak Long melepaskan keluhan dan melontar pandangan jauh. Ada perkara yang sedang bermain di benak.   
“Mak Long... saya rasa Aqel perlukan pertolongan Mak Long dan Pak Long” tuturku berhati-hati. Tidak mahu menguris perasaan Mak Long. Mak Long menatapku.
“Dia masih meracau-racau dalam tidur?” Mak Long memandangku.
“Pernah sekali saya nampak Aqel macam itu ketika dia tak sihat” jelasku. Mak Long tertunduk menatap lantai. Sedih.
“Saya juga nak bantu Mak Long dan Pak Long” Kupegang tangan Mak Long. Ikhlas.
“Saya dah tahu siapa Flora...” tambahku. Mak Long tersentak.
“Hyeon yang cerita?” Aku mengangguk.
“Dia cerita setelah saya mendesak. Akhirnya Aqel mengalah” Lantas kucerita terperinci bibit-bibit permulaan penyiasatan itu. Tiada yang tertinggal termasuk setiap bicara yang terbit dari mulut Aqel yang mendorong aku bertindak lebih jauh. Mahu membuktikan kesahihan kata-kata Aqel. Aqel juga tidak dapat mengelak lagi. Bicara sendiri yang memerangkapnya. Tidak kuduga akan melihat senyuman Mak Long walaupun hati berduka lara. Ada perkara yang kucerita menggembirakan hati Mak Long.
“Alhamdulillah... Hyeon dah sembuh. Dia dah sedar akan perasaannya” tutur Mak Long tersenyum lagi. Lapang dadaku menatap senyuman yang terukir di bibir Mak Long.
“Aqel salahkan diri dan bersedih melihat kehidupan Mak Long sekarang” tuturku. Mak Long geleng kepala.
“Tak pernah mama salahkan Hyeon. Tempoh 13 tahun itu memberi mama cukup masa berfikir dengan rasional. Mama terima qada dan daqar Allah. Hanya mama tak mahu bercakap tentang perkara itu kerana tak mahu Hyeon bersedih” jelas Mak Long panjang lebar. Aku menghela nafas lega.
“Maafkan mama sebab tak pernah berterus-terang tentang perkara ini pada kamu” tutur Mak Long kesal. Aku senyum.
“Takpelah Mak Long, saya faham. Ada perkara yang perlu masa nak berterus-terang” balasku mengerti. Mak Long senyum.
 “Sekarang Aqel perlu sokongan kita semua. Sokongan Mak Long dan Pak Long. Aqel perlukan perhatian Mak Long dan Pak Long” ujarku sarat dengan makna yang tersirat.
“Mama akan minta Hyeon lupakan perkara ini dan berhentilah menyalahkan diri. Dia mesti hidup dengan baik. Salah mama juga sebab tak pernah bincang tentang perkara ini” jelas Mak Long kesal. Kupegang bahu Mak Long.
“Dia pasti mendengar cakap Mak Long dan Mak Long sendiri kena berhenti menyalahkan diri dan menyalahkan Pak Long” pintaku. Mak Long menatapku. Kemudian tersenyum.
“Terima kasih, Lia” Mak Long memelukku. Kedengaran sendu Mak Long. Kutepuk lembut belakang Mak Long. Turut merasai kehibaan.
“Mak Long jangan risau. Saya akan jaga Aqel dengan baik” janjiku.
“Terima kasih, Lia” sekali Mak Long mengulangi penghargaannya.
“Andai ditakdirkan jodoh Mak Long dan Pak Long masih ada, adakah Mak Long boleh menerima Pak Long kembali?” tanyaku berhati-hati. Tidak mahu menyinggung perasaan Mak Long.
“Soal jodoh dan maut dah ditentukan Yang Maha Kuasa. Semua itu urusan-Nya. Mama hanya berserah” tutur Mak Long sambil mengesat sisa air mata di pipi. Jawapan Mak Long buat aku tersenyum lebar. Jelas Mak Long tidak menolak penyatuan hidup dengan Pak Long kembali.
‘Ya...Allah, satukan jodoh Mak Long dan Pak Long. Berilah mereka peluang kali kedua berkongsi hidup. Panjangkan jodoh mereka hingga ke akhir hayat” bisik hatiku bermunajat. Wajah Pak Long menjelma di mataku. Ada usaha yang patut aku lakukan agar Aqel memiliki keluarga yang sempurna.     
Kusemat semangat yang utuh dalam diri. Aqel, Mak Long dan Pak Long ialah misi perjuanganku. Aku akan membalas segala kebaikan Aqel terhadapku. Penyatuan Mak Long dan Pak Long akan membahagiakan Aqel. Sudah pasti akan membantu penyembuhan Aqel. Pertemuan keluarga Aqel sungguh penting agar mereka dapat berbicara tentang Flora. Sudah sampai masa mereka berterus-terang dan meluahkan perasaan masing-masing.     
“Awak dah bangun...” sapaku tersenyum lantas melangkah ke ruang tamu mahu menyertai Aqel menonton rancangan tv. Aqel memandangku.
“Awak ke mana awal pagi menghilang?” tanya Aqel. Aku senyum.
“Jumpa Mak Long” sahutku tidak berselindung. Aqel tersentak.
“Buat apa jumpa mama?” tanya Aqel mahukan penjelasan terperinci.
“Nak jenguk dia sebab dah lama tak jumpa” balasku tenang. Aqel diam. Dia tidak bertanya lebih lanjut. Dialih pandangan pada rancangan di tv. Senyap. Tiada suara lagi. Aku turut menonton rancangan pilihan Aqel. Kualih pandangan pada Aqel.
“Andai Mak Long dan Pak Long bersama kembali, awak akan gembira tak?” tanyaku. Laju Aqel berpaling menatapku. Aku dan Aqel beradu pandangan seketika. Aqel mengalih pandangan ke arah tv semula. Pertanyaanku belum dijawab. Nampak dia belum bersedia dengan pertanyaan yang diajukan. Aku bersandar di sofa sabar menanti Aqel bersuara.  
“Semua anak di dunia ini mengimpikan keluarga yang sempurna” suara Aqel singgah di telingaku. Jawapan Aqel buat aku tersenyum sendiri. 
“Saya percaya masih wujud perasaan sayang dan kasih antara Mak Long dengan Pak Long. Mereka saling memerlukan” tuturku. Aqel menatapku.
“Awak yakin?” Aku mengangguk.
“13 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Sudah lama mereka berpisah tapi tak pernahpun Mak Long mahupun Pak Long mencari pasangan hidup baru” tuturku mengukuhkan kepercayaanku. Fakta yang membuktikan masih wujud cinta antara dua insan itu.
“Saya nampak Pak Long masih menyimpan dan menjaga semua barang milik Mak Long dengan baik. Begitu juga dengan Mak Long. Saya yakin Pak Long berharap Mak Long akan kembali ke rumah itu lagi. Mak Long juga sedang menunggu kepulangan Pak Long. Namun mereka tak tahu cara nak melakukannya” tuturku bersungguh-sungguh. Aqel masih menatapku.
“Apa kata kalau awak yang tunjukkan cara itu?” saranku. Aqel berfikir sejenak.
“Saya akan bantu awak” janjiku.
“Apa yang perlu saya lakukan?” tanya Aqel bersetuju dengan cadanganku.
“Tiada kemesraan jika tiada pertemuan” balasku penuh tersirat. Pertemuan akan membibit kemesraan. Pak Long dan Mak Long harus ditemukan sekerap mungkin.
“Mama dan ayah tinggal berjauhan. Sukar nak temukan mereka” ujar Aqel buntu. Aku diam. Cuba memikirkan perkara yang membolehkan Pak Long datang ke Malaysia.
“Bila hari jadi Mak Long?” tanyaku.
“Dah lepas” sahut Aqel.
“Hari jadi awak lama lagi” keluhku. Aku dan Aqel serentak melepaskan keluhan kecil.
“Tarikh ulang tahun perkahwinan mereka?” tanyaku.
“Akhir tahun...” sahut Aqel. Dahiku berkerut. Jawapan yang tidak menggembirakan. Lama hendak tunggu tanggal itu. Pertemuan Pak Long dan Mak Long tidak boleh tangguh-tangguh lagi. Perkara yang baik harus disegerakan.
“Kalau macam itu kita buatlah majlis makan malam keluarga” cadangku kematian akal. Tiada tanggal istimewa yang sesuai dalam masa yang terdekat ini.
“Buatlah sambutan majlis ulang tahun perkahwinan kita” saran Aqel. Besar mataku menatap Aqel.
“Kan tarikh itu dah berlalu” tingkahku menyedarkan Aqel.
“Takpe... kita buat majlis sambutan yang tertangguh. Selama ini pun kita tak pernah meraikan tarikh itu” ujar Aqel. Aku terdiam. Rasa bersalah.
“Ya... sebab saya selalu saja lupa” sahutku kesal.
“Kita buat sekali majlis doa selamat tolak bala” tambah Aqel. Aku terdiam seketika. Aqel sudah memikirkan majlis kesyukuran untukku. Dia sentiasa sahaja mahu mendahulukan aku.
“Kalau boleh biarlah majlis yang ringkas dan tak perlu ramai tetamu. Nak beri peluang pada Mak Long dan Pak Long meluangkan lebih banyak masa bersama” ujarku mengingatkan tujuan asal perkara ini. Tidak mahu perkara yang ada kaitan denganku menjadi keutamaan.
“... dan kesempatan untuk awak bersama mereka. Pasti banyak perkara yang awak nak cakap dengan mereka terutama dengan Pak Long” tambahku mengerti. Aqel kurang mesra dengan Pak Long kerana jarak masa yang lama dan jarak yang jauh memisahkan mereka. Aqel membesar bersama Mak Long. Kemudian dalam meniti usia dewasa Aqel mula berjauhan dengan Mak Long. Banyak masa Aqel hidup bersendirian. Kasihan Aqel.
“Okey... buat majlis ulang tahun perkahwinan kita untuk keluarga saja” Aqel membuat keputusan. Aku mengangguk. Bersetuju sengan keputusan Aqel. Aku akan menggunakan peluang bertemu dengan Pak Long sebaik-baiknya. Bukan setakat hendak memulihkan hubungan Pak Long dengan Mak Long, malah melakukan perkara terbaik buat Aqel.

************************

Aku bergegas menutup pintu kereta. Kupanjangkan langkah ke muka pintu. Sudah terlewat. Rasa bersalah pada Aqel kerana gagal memenuhi janji sendiri akan menemaninya menjemput Pak Long di lapangan terbang tadi.
“Assalamualaikum...” Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Semua mata menghala ke pintu menyambut kedatanganku. Pak Long melempar senyuman. Mak Long tiada di sini.
“Apa khabar, Pak Long?” tanyaku sambil menghulurkan tangan bersalam dengannya.
“Sihat...” sahutnya dalam senyuman.
“Maaf... saya terlewat dan tak sempat temankan Aqel jemput Pak Long di lapangan terbang tadi” jelasku kesal.
“Takpe...” Pak Long senyum lagi. Matanya mengecil. Persis senyuman Aqel. Kupandang Aqel yang mempamer wajah kosong. Barangkali dia ambil hati kerana kegagalanku muncul bersamanya di lapangan terbang tadi. Aku mungkir janji tanpa sengaja.
“Takpelah... Aqel dan Pak Long berbual-buallah. Saya nak tolong Mak Long di dapur” ujarku meminta diri. Rasa janggal bersama mereka tatkala Aqel diam panjang dengan wajah kosong yang serius. Pak Long mengangguk. Bingkas aku bangun lalu mengatur langkah ke dapur. Kelihatan Mak Long sedang sibuk menyediakan hidangan makan malam.
“Hey..., Lia! Baru sampai?” sapa Mak Long mesra. Aku mengangguk.
“Maaf, Mak Long. Saya lewat sampai” ujarku serba salah. Mak Long tersenyum.
“Apa yang perlu saya tolong?” tanyaku mahu membantu Mak Long.
“Takpe... semua dah hampir selesai” jelas Mak Long.
“Kamu tolong hidang makanan ini di atas meja nanti” arah Mak Long menyambung bicara.
“Boleh, Mak Long” sahutku sudah sedia berkhidmat.
“Duduklah di situ” arah Mak Long lagi. Aku patuh. Kutarik kerusi lantas melabuhkan duduk. Kupandang Mak Long sedang giat mengacau masakan di dalam periuk. Kemudian beralih pula pada masakan di dalam periuk yang satu lagi. Nampak Mak Long begitu bersemangat menyediakan hidangan istimewa untuk insan yang disayangi. Mak Long mahu Aqel dan Pak Long makan banyak malam ini.
“Kalau kamu nak minum air sirap ada dalam peti sejuk” ujar Mak Long.
“Nanti saya ambil sendiri, Mak Long” sahutku sambil memerhatikan gerak laku Mak Long yang lincah menyediakan hidangan malam ini. Aku bingkas bangun lalu mencapai beberapa biji pinggan dan mangkuk lalu diletakkan di atas meja. Kemudian kuambil sudu dan cawan. Semua kuatur di atas meja makan.
“Kenapa tak datang sama Hyeon tadi?” tanya Mak Long.
“Maaf... tadi temankan anak buah kawan pergi klinik” sahutku. Perancangan awal aku hanya mahu menghantar Mak Tijah dan Idlan ke klinik tadi. Kemudian bersama-sama Aqel ke lapangan terbang menyambut kedatangan Pak Long. Namun melihat keadaan Idlan yang terbaring di atas sofa berbantalkan paha Mak Tijah, tidak sampai hati pula aku hendak tinggalkan mereka. Aku bertahan di situ sehingga urusan bertemu dengan doktor selesai. Kemudian menghantar Idlan dan Mak Tijah balik ke rumah. Mereka diduga ketika ketiadaan Haqem di sini. Kasihan mereka. Aku melepaskan keluhan kecil.
“Sakit apa?” tanya Mak Long ingin mengetahui lebih lanjut.
“Sakit perut. Mujur tak serius” jelasku berlapang dada. Idlan tersalah makan.
“Ibu bapa budak itu mana?” tanya Mak Long. Aku terdiam. Pilu mendengar pertanyaan ini. Aku menarik nafas.
“Dua-dua dah meninggal” jelasku. Mak Long berpaling ke arahku. Tersentak.
“Kasihan budak tu...” keluh Mak Long bersimpati.
“Saya dah jadikan dia anak angkat saya” ujarku memaklumkan perkara ini kepada Mak Long. Mak Long mengangguk.
“Memang patutpun kamu ambil berat pada budak itu. Hyeon kenal budak tu?” tanya Mak Long lagi. Aku mengangguk.
“Diapun mesra dengan Aqel” Mak Long tersenyum.
“Lain kali bawalah dia datang rumah ni” pinta Mak Long mahu bertemu dengan Idlan. Aku senyum. Alangkah baik kalaulah Datin Sofea persis orang lain yang begitu mudah menyenangi Idlan. Pasti Idlan akan hidup gembira.
“Insya-Allah, Mak Long” Ada kesempatan aku akan memperkenalkan Idlan kepada Mak Long. Namun perkara ini harus dimaklumkan kepada Aqel agar dia tidak salah faham nanti. Mak Long sudah siap memasak. Lantas aku menghidangkan masakan itu di atas meja. Mak Long tersenyum puas hati memandanng makanan yang sudah siap terhidang di atas meja. Semua nampak menyelerakan.
“Panggil mereka makan sekarang” arah Mak Long. Aku mengangguk lalu mengatur langkah ke ruang tamu. Kelihatatn Pak Long dan Aqel rancak berbual-bual. Banyak perkara yang mahu dikongsi.
“Makanan dah siap dihidang... mari makan” ajakku tersenyum.
“Oh...dah siap! Mari... Dah lama tak rasa masakan mama kamu ni. Tak sabar nak makan” ujar Pak Long tanpa berselindung. Kupandang Aqel. Dia tersenyum. Terselit simpati di hati. Kami mengekori langkah Pak Long ke ruang makan. 
“Nanti Pak Long makan banyak-banyak tau. Semua yang Mak Long masak sedap-sedap” ujarku menambah keterujaan Pak Long.
“Kalau nak puas makan masakan mama, kenalah tinggal lama di sini” ujar Aqel mula mengusik Pak Long. Namun nampak bersahaja. Langkah awal hendak menyatukan Mak Long dan Pak Long. Aku tersenyum sendiri.
“Ya...betul-betul...” sokongku laju mencelah. Pak Long tergelak.
“Masih terikat kontrak dengan Universiti Sogang lima tahun lagi” jelas Pak Long.
“Kalau macam itu kenalah bawa mama pergi sana. Baru ayah boleh merasa masakan mama tiap-tiap hari” saran Aqel menambah usikan.
“Ya... betul-betul...” sekali lagi aku bersuara menyokong. Pak Long tergelak. Aqel tetap mempamer wajah statik. Langsung tiada unsur kecindan dalam dirinya.
“Boleh tinggal berjauhan dengan mama kamu?” tanya Pak Long mengusik Aqel pula.
“Kan saya ada isteri yang cantik” balas Aqel.
“Ya... betul-betul...” sokongku tanpa memikirkan bicara Aqel. Pak Long tersenyum.
“Tengok...dia mengaku dirinya cantik” perli Aqel mencebik ke arahku. Pak Long tergelak.
“Betul kata kamu... Lia memang cantik” puji Pak Long tidak menyangkal pujian Aqel. Aku terpinga-pinga menatap Aqel.
“Awak cakap apa tadi?” tanyaku mahu Aqel mengulangi kata-katanya tadi. Aqel hanya menjelingku. Pak Long tergelak lagi. Pak Long dan Aqel menarik kerusi lalu melabuhkan duduk. Kupandang Aqel. Menagih bicaranya tadi.
“Duduklah...” arah Aqel lalu menarik kerusi kosong di sebelahnya. Lantas menarik tanganku membuatkan aku terduduk di atas kerusi.
“Apa yang awak cakap tadi?” gesaku. Aqel menulikan telinga. Mulut dikunci.
“Hyeon puji kamu cantik” Pak Long menjawab pertanyaanku mewakili Aqel. Aku mengetap bibir lalu menjeling Aqel. Dia perli aku di depan Pak Long.
“Lia memang cantik pun...” suara Mak Long mencelah turut memujiku. Aku tersengih. Segan. Aqel tersenyum sendiri. Namun tatkala bertentang mata denganku senyuman itu terus lenyap. Tidak mahu aku melihat senyuman itu. Mak Long duduk di kerusi. Aku terus meletakkan nasi ke dalam pinggan. Aqel membantuku.
“Pak Long makan banyak-banyak ye... Mak Long masak sedap-sedap ni” pujiku. Pak Long tersenyum. Begitu juga Mak Long. Sempat juga mereka saling berpandangan. Aqel turut mempamer senyuman yang menawan. Seribu kali Aqel tersenyum, seribu kali juga aku akan memuji senyuman itu. Sudah terpikat pada senyuman Aqel. Cuba bayangkan pemuda kacak Korea yang sedang tersenyum. Cukup indah dan mengoda. Berlebih-lebih pula aku memuji Aqel.
  “Kamu berdua kurus... makan banyak-banyak” arah Mak Long sambil memandangku dan Aqel silih berganti. Aku tersengih.
“Hyeon tak bagi kamu cukup makan tu” usik Pak Long. Aqel menjelingku. Laju aku menggeleng. Aqel menjagaku dengan sempurna. Dia seorang suami yang baik. Bahkan hidup dengan Aqel membuatkan ramai gadis yang mencemburuiku.
“Dia selalu masak sedap untuk saya. Dia jaga saya dengan baik” ujarku jujur. Aqel tersenyum sendiri.
“Saya yang kadangkala tak sempat masak untuknya” keluhku.
“Kamukan kerja. Mesti Hyeon faham...” ujar Pak Long menenangkan hatiku. Aqel diam. Tidak memberikan reaksi pada bicaraku mahupun bicara Pak Long.
“Kamu berdua perlu tinggal bersama mama ni. Baru makan minum kamu terjaga” cadang Mak Long. Aku hanya senyum. Aqel senyap sahaja. Tekun melayan selera.
“Mama patut tinggal dengan ayah” suara Aqel mencelah. Senyap. Pak Long melirik ke arah Mak Long. Aku memandang Mak Long dan Pak Long. Mahu melihat reaksi mereka tatkala mendengar kata-kata Aqel.
“Awak juga akan tinggal dengan mama dan ayah” ujar Aqel sambil memandangku.
“Boleh...” sahutku memberi kesanggupan tanpa berfikir. Sekadar menyokong bicara Aqel yang mahu menyatukan ibu bapanya. Mak Long dan Pak Long sekadar mempamer senyuman sekilas. Sudah dapat meneka agenda yang dirancang oleh Aqel.
“Malam esok kita jemput mama kamu makan di sini” Mak Long mengubah topik perbualan. Aku mengangguk. Aku sudah membayangkan betapa seronok dapat makan berkumpul dengan keluarga. Mak juga boleh membantu menjayakan misi ini.
“Malam ini tidurlah di sini” ajak Mak Long. Kupandang Aqel. Aku jadi serba salah. Tadi aku sudah berjanji dengan Mak Tijah akan menjenguk Idlan. Kalau bermalam di rumah Mak Long pasti tidak sopan kalau aku keluar rumah malam ini. Mahu ajak Aqel, bimbang menyusahkan pemuda ini. Aku sudah merancang sebelum balik ke rumah nanti mahu singgah ke rumah Haqem sekejap menjenguk Idlan. 
“Saya boleh saja. Tak tahu pula kalau dia ni ada rancangan lain” ujar Aqel sambil melirik ke arahku. Aku tersengih dan garu-garu kepala.
“Sebenarnya... saya nak jenguk Idlan selepas ni. Dah janji dengan Mak Tijah tadi nak datang sana” ujarku perlahan-lahan. Lebih baik berterus-terang daripada menimbulkan kemusykilan orang lain. Aqel menatapku.
“Idlan?” Berkerut dahi Pak Long. Mungkin kurang manis mendengar nama lelaki keluar dari mulutku. Bimbang Pak Long salah faham.
“Anak buah Haqem” jelas Aqel.
“Anak buah Haqem...” Mak Long pula yang tersentak. Aku mengangguk.
“Kasihan... kamu tak cakappun budak tu anak buah Haqem. Kan mama pernah jumpa budak tu dulu di rumah mak kamu” ujar Mak Long mengimbas perkara lalu. Aku tersengih. Baru teringat hari pertama Aqel membawa Idlan balik ke rumah mak. Ketika itu Mak Long juga berada di situ. Mak meluk Idlan kerana perasaan belas kasihan yang begitu mendalam.
“Saya terlupa yang Mak Long kenal Haqem dan Idlan” ujarku benar-benar lupa tentang perkara ini.
“Memanglah kenal sungguh dengan Haqem. Diakan kawan baik Hyeon malah macam adik-beradik. Budak itupun mama pernah jumpa” tutur Mak Long. Kupandang Aqel. Dia hanya mempamer wajah kosong.
“Lia suka budak. Dah sampai masa kamu ada anak” suara Pak Long mencelah. Dipandang Aqel. Aku terkedu. Mak Long tersenyum panjang. Saranan Pak Long terasa sungguh sensitif hendak didengar.
“Saya nak dia sambung belajar. Dah dapat ijazah baru fikirkan anak” sahut Aqel mengejutkanku. Kupandang Aqel. Aqel hanya mempamer wajah bersahaja. Tidak terusik dengan pandanganku.
“Kamu nak belajar, Lia?” tanya Mak Long turut tersentak mendengar kenyataan Aqel. Aku tersenyum tawar. Belum sempat berfikir lagi.
“Saya belum bincang dengan Aqel lagi” jelasku tidak berselindung.
“Betul kamu nak Lia belajar?” tanya Pak Long menyoal Aqel. Aqel mengangguk. Nampak sungguh yakin dia merencana perkara ini buatku. Aku kaget. Tidak pernahpun Aqel hendak berbincang perkara ini. Aku menelan liur. Nampak Aqel serius dengan kata-katanya.
“Saya nak dia belajar. Habiskan pengajian yang tertangguh dulu” tegas Aqel sudah ada keputusan muktamad buatku. Aku terdiam. Nampak Aqel bersungguh-sungguh.
“Ini cita-cita awakkan”Aqel berpaling ke arahku. Aku terdiam. Mak Long dan Pak Long turut menatapku. Perlahan-lahan aku mengangguk.
“Saya akan bincangkan perkara ini dengan awak” jelasku. Mak Long dan Pak Long mengangguk-angguk bersetuju. Perkara ini perlukan persetujuan dua pihak iaitu antara aku dengan Aqel. Aqel perancang manakala aku pelaksana.
“Okey...” sahut Aqel bersahaja lantas menikmati hidangan kembali sedangkan seleraku sudah terhenti gara-gara dikejutkan dengan kenyataan Aqel.
Usai menikmati hidangan, aku menolong Mak Long mencuci pinggan-mangkuk dan mengemas dapur. Aqel dan Pak Long sudah bergerak ke ruang tamu semula menyambung perbualan mereka. Banyak perkara yang belum habis mereka bualkan lagi. Usai kerja di dapur, aku dan Mak Long bergerak ke ruang tamu hendak menyertai Aqel dan Pak Long.
“Awak geraklah sekarang... dah lewat ni” arah Aqel sambil menatapku.
“Huh...!” Aku terkebil-kebil membalas pandangan Aqel.
“Kan awak kata nak jenguk Idlan tadi. Pergilah. Jangan lupa kunci pagar dan rumah. Saya dan ayah tidur di sini malam ni” jelas Aqel. Aku berfikir sejenak. Aku harus memberi peluang kepada Aqel bersama ibu bapanya. Ketiadaanku akan memudahkan Aqel, Mak Long mahupun Pak Long meluah perasaan tanpa sempadan.
“Lepas jenguk budak tu, kamu baliklah ke sini semula” saran Mak Long.
“Dia ada kerja office nak buat” tingkah Aqel. Aku diam. Kerja pejabat? Mula memikirkan tentang kerja pejabat yang kubawa balik ke rumah. Rasanya tiada. Aku tidak berbohong kepada Mak Long dan Pak Long. Bukan salahku. Nampak sungguh Aqel tidak mahu aku berada di sini. Sedih.
“Apa punya bos kamu ni kerja office sampai bawa balik rumah” rungut Mak Long mengkritik Aqel. Aqel mempamer wajah yang tiada perasaan.
“Kamu nak Lia bersendirian di rumah malam ni?” janggal suara Pak Long bertanya.
“Dia dah biasa berseorangan di rumah” sahut Aqel. Pandangan Mak Long dan Pak Long bersatu di wajah Aqel. Tidak senang mendengar kenyataan yang keluar dari mulut anak muda itu.
“Maksud Aqel...saya bersendirian ketika dia out station” jelasku mensirna fahaman mereka. Mak Long menarik nafas lega. Sempat juga menjeling ke arah Aqel.
“Lain kali kalau Hyeon out station kamu mesti tidur di rumah mak kamu atau datang sini. Jangan tinggal bersendirian di rumah” pesan Pak Long tidak senang hati.
“Mak Long pun tinggal bersendirian, Pak Long kenalah temankan Mak Long” balasku mengusik mereka. Pak Long senyum.
“Kamu ni...Di sini jiran tinggal dekat-dekat. Rumah kamu tu jauh dari orang lain” tingkah Mak Long menangkis usikanku. Aku senyum.
“Tulah beli rumah syok sendiri. Bukan nak minta pendapat orang lain” rungut Mak Long sambil menjeling Aqel lagi. Kasihan Aqel. Sekali lagi terkena bebelan Mak Long.
“Mak Long jangan risau, Aqel jaga saya dengan baik, malah melindungi saya melebihi kepentingan nyawa sendiri” tuturku jujur. Pak Long mengangguk-angguk berpuas hati.
“Saya tak nak menyesal sepanjang hidup...” sahut Aqel. Senyap. Semua terdiam mendengar bicara Aqel. Kupandang Aqel yang sedang melontar pandangan jauh. Mak Long tertunduk hiba. Pak Long mempamer wajah sedih. Masing-masing memahami bicara Aqel. Tidak mahu musibah yang menimpa Flora berulang lagi. Gagal melindungiku akan menyebabkan Aqel menyalahkan diri persis sekarang.
“Takpelah... saya pergi dulu” suaraku memecah keheningan ini. Aku bangkit dari sofa lalu menyalami tangan Mak Long dan Pak Long. Kupandang Aqel.
“Saya balik dulu...” ujarku meminta diri. Aqel mengangguk.
“Pandu kereta hati-hati” pesan Pak Long. Aku mengangguk lalu mempercepatkan langkah ke pintu. Terasa janggal tatkala semua berdiam diri. Aku terus memandu kereta ke rumah Haqem. Mujur Mak Tijah belum tidur lagi. Setelah menjenguk Idlan yang sedang tidur nyenyak, aku meminta diri. Tidak lama berada di rumah Haqem. Tatkala aku melangkah masuk ke dalam banglo ini terasa sunyi sepi. Aku bersendirian di sini. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Tiada Aqel berbaring di situ seperti kebiasaan. Aku melangkah ke arah sofa panjang lalu berbaring dan meletakkan kepalaku di bantal kepunyaan Aqel. Mahu merasa tidur di atas sofa ini lantas berkongsi pengalaman dengan Aqel. Setiap malam Aqel tidur di sini. Kupejamkan mata. Kasihan Aqel. Ternyata tidur di katil bertilam empuk itu lebih selesa berbanding di atas sofa panjang ini. Malam ini aku akan tidur di sini.   
Tatkala mata kubuka, aku tersentak menatap Aqel berada di depanku sedang duduk di atas meja sofa ini. Tepat 360 darjah menghadap ke arahku dengan kepala tertunduk. Tidur tanpa berbaring. Pasti Aqel sudah lama memerhatikan aku. Tidak menduga sepanjang malam dia menemaniku di sini. Dekat denganku. Kutatap selimut yang menutupi tubuh. Selimut yang pernah Aqel pinjamkan kepadaku di hospital tempoh hari. Aqel terjaga. Pandanganku dengan Aqel bersatu. Lama aku dan Aqel berpandangan dengan mulut yang terkunci. Aqel melepaskan keluhan berat dan memalingkan muka dari pandanganku. Sekejap sahaja. Aqel menatapku kembali. Wajahnya serius.
“Saya minta maaf tak dapat temankan awak jemput Pak Long di airport semalam” suaraku memecah keheningan pagi ini. Baru berpeluang berbicara perkara ini. Aqel memandangku tanpa perasaan. Barangkali tidak senang dengan permohonan maaf ini. Dia tidak suka aku mungkir janji. Namun perkara yang berlaku di luar kawalanku.
“Saya tak sampai hati nak tinggalkan Idlan dalam keadaan begitu” luahku bukan semata-mata hendak memberi alasan. Muka Idlan pucat lesu. Dia tidak mampu duduk.  
“Saya tak suka awak mungkir janji. Dalam semua perkara awak sentiasa mendahulukan budak itu dari saya” suara Aqel serius. Aku terdiam. Terasa aku tidak berlaku adil terhadap Aqel selama ini. Kesabaran Aqel kian menipis. Aqel berkecil hati.
“Maafkan saya” Kuulangi permohonan maaf. Kedengaran keluhan kecil Aqel.
“Awak dengar baik-baik perkara yang saya nak cakap dan saya tak nak awak bersuara” perintah Aqel menyuruh aku terus mengunci mulut. Aku terkedu. Tidak pernah dia berkelakuan begini. Tegas arahannya.
“Sudah sampai masa saya menggunakan kuasa saya sebagai suami awak” tegas Aqel serius. Aku terkesima menatap Aqel. Baru pernah melihat Aqel senekad ini.
“Sebagai suami awak, saya dah buat keputusan akan hantar awak ke luar negara” ujar Aqel mengejutkan aku.
“Hah...!” Aku terkedu. Arahan berpaksikan suami bererti aku wajib patuh. Sungguh keputusan ini memeranjatkan aku. Buat pertama kali aku akan merantau ke negara orang. Bimbang menerpa diri.
 “Awak ikut saja apa yang telah saya aturkan untuk awak. Tentang mak, awak tak payah risau. Saya akan jaga mak dan Aziq dengan baik” tutur Aqel sudah mempersiapkan rancangan untukku. Aqel nekad membuat keputusan tanpa berbincang denganku terlebih dahulu. Aku mengetap bibir menahan gelodak perasaan. Sungguh aku terkilan dengan tindakan Aqel.
“Selagi awak berada di sini... dekat dengan Idlan dan Haqem, selagi itu awak tak tahu apa yang terbaik buat diri awak sendiri. Awak akan sentiasa mengabaikan kepentingan sendiri. Haqem akan sentiasa berharap pada awak dan Datin Sofea akan terus menyakiti awak” tegas Aqel dengan pandangan tajam menatapku. Aku tergamam.
“Awak jumpa Idlan kali terakhir. Kalau ada perkara yang awak nak cakap pada Haqem, awak juga boleh jumpanya. Selepas ini...suatu jangka masa yang panjang, awak takkan jumpa mereka” keras suara Aqel. Aku terkedu. Nampak Aqel bersungguh-sungguh dengan kata-katanya. Kali ini memang Aqel mahu mengawalku.
“Dalam masa terdekat awak akan tinggalkan negara ini” tegas Aqel. Aku tergamam. Sudah tidak mampu berkata-kata lagi. Keputusan Aqel muktamad. Bertindak tanpa pengetahuanku. Semua sudah lengkap dipersiapkan.
“Awak tak perlu buat apa-apa. Segalanya saya dah siapkan untuk awak. Kalau awak perlukan apa-apa lagi beritahu saya” pesan Aqel. Aku terdiam panjang. Kulepaskan keluhan.
“Awak nak hantar saya ke mana?” tanyaku mula bersuara. Aku dan Aqel beradu pandangan. Aqel bangun lalu mendekatiku. Bahuku ditepuk-tepuk lembut.
“Saya tak nak sentiasa risaukan awak. Jadi saya hantar awak di mana ada orang yang akan jaga awak dengan baik” ujar Aqel. Aku tergamam. Bicara Aqel sukar hendak difahami. Sungguh terperinci perancangannya. Siapakah gerangan yang dimaksudkan olehnya? Aku tertanya-tanya. Aqel lama tinggal di luar negara sudah pasti dia ramai kenalan yang dipercayai. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Tidak mahu memikirkan lagi.
“Mama dan ayah tak pernah bercerai. Saya yang silap tanggapan selama ini” tutur Aqel mengejutkan aku. Bukan Aqel seorang sahaja yang salah faham, malah aku, mak dan Aziq juga beranggapan sedemikian. Perkara ini sungguh mengejutkan. Namun cukup menggembirakan. Lega dan lapang dada. Alhamdulillah Allah masih memanjangkan jodoh mereka.
“Masalah mama dan ayah dah selesai. Tak perlu bimbang lagi. Sekarang persiapkan diri awak dari segi fizikal dan mental. Bukan mudah hidup di negara orang. Namun pengalaman akan menjadikan awak lebih matang dan kuat” ujar Aqel memberi peringatan. Aku terkedu. Aqel bangun lalu melangkah ke pintu. Kelibat Aqel hilang dari penglihatan mata. Aku masih memikirkan kata-kata Aqel. Dalam rasa terkejut, aku memanjat kesyukuran kerana masalah Mak Long dan Pak Long telah selesai dengan mudah.