Thursday, 20 July 2017

NamaKu Bukan Flora.....95






BAB 95

Aku memejamkan mata rapat-rapat sekian kali. Kutekap tangan menutup kedua-dua belah telinga. Tidak mahu terganggu dengan bunyi di sekelilingku. Mahu fokus. Lantas memaksa diri kembali pada masa lalu. Satu demi satu kenangan yang menjelma dalam benak tiada satupun yang mempamerkan wajah Aqel. Bayangan Aqel hanya muncul setelah aku berada di KDUT. Aku menggeleng-geleng. Bagaimana aku boleh menjadi cinta pertama Aqel?
“Mar... awak ada kenal orang yang boleh menyiasat identiti orang lain?” tanyaku berbisik di telinga Marnie. Berkerut dahi Marnie menatapku. Hairan.
“Siapa yang awak nak siasat? Lelaki jahat itu? Kan dia dah ditangkap” sahut Marnie. Aku mencebik mendengar Marnie memperkatakan tentang lelaki itu. Dia sudah menerima hukuman yang setimpal dan pengajaran yang terbaik. Tidak tahu bagaimana Aqel menguruskan perkara ini dengan Datin Sofea dan Bella. Setahuku kontrak antara KDUT dengan Mawar Berhad sudah tamat. Aku tidak perlu menghadap muka Bella lagi. Lega.
“Sejak akhir-akhir ini hidup saya kacau-bilau. Fikiranpun berserabut” keluhku lalu meletakkan kepala di atas meja. Tidak bersemangat. Laju tangan Marnie memicit-micit bahuku. Aku memejamkan mata. Selesa.
“Awak sepatutnya ambil cuti” saran Marnie.
“Cuti?” Mata kubuka. Aku berfikir seketika.
“Kalau cuti nak pergi mana?” tanyaku bingung. Akal buntu.
“Pilihlah destinasi mana yang awak nak pergi” balas Marnie masih setia melayanku berbicara. Aku berfikir lagi. Banyak tempat menarik di dunia ini yang boleh dikunjungi.
“Melancong ke Korea...jumpa Pak Long. Kemudian dapatkan maklumat tentang Flora daripada Pak Long...tapi Pak Long pasti takkan cakap apa-apa...” Aku berbicara sendiri.
“Aduh...susah juga nak cari!” keluhku. Aku memanggungkan kepala di atas lengan. Bosan. Belum nampak jalan penyelesaian.
“Hoi...dah buang tabiat bercakap sorang-sorang!” suara kuat Marnie mengejutkanku. Aku mencebik. Kupejamkan mata kembali. Mahu mengosongkan minda. Tidak mahu berfikir tentang Flora lagi. Letih setelah banyak berfikir. Namun tiada jawapan yang kutemui. Sungguh misteri kalaulah benar aku pemilik nama itu. Teringat pada suara perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Flora menambah kekusutan fikiranku. Yakin Flora itu bukan namaku.
 “Awak nak tidur?” suara Marnie sayup-sayup singgah di telingaku. Kemudian terus lenyap. Tidak dengar apa-apa lagi. Sudah menggembara ke dunia lain. Masih berharap pencarian ini akan berhasil.
“Alamak... tuan puteri ini dah beradu!” keluh Marnie sambil geleng-geleng kepala. Kemudian tersenyum sendiri. Simpati kepada gadis ini. Daun pintu ditolak. Marnie tersentak menatap pemuda itu.
“Lia... bangun! Encik Aqel datang” Marnie cuba mengejutkan gadis itu. Ternyata Lia tidur lena. Panggilan Marnie tidak didengar. Langkah Aqel terhenti di situ. Ditatap Lia yang tidur kemudian beralih ke wajah Marnie. Marnie tersengih sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.  
“Berapa lama dia dah tidur?” tanya Aqel.
“Baru saja Encik Aqel. Lia nampak letih saja” ujar Marnie cuba melindungi gadis itu. Mahu menyelamatkan Lia daripada dituduh curi tulang di tempat kerja. Aqel mengeluh kecil.
“Lia... bangun!” panggil Marnie mengejutkan gadis itu lagi. Masih tidak terjaga. Tidur Lia sungguh nyenyak.
“Biarkan saja dia tidur. Mungkin dia letih sebab banyak berfikir” ujar Aqel. Marnie mengangguk patuh. Aqel melabuhkan duduk di kerusi itu bertentangan dengan gadis yang sudah lena dibuai mimpi itu. Pandangannya tidak beralih dari gadis itu.  Marnie meneruskan kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Sesekali melirik ke arah gadis itu. Sesekali juga mencuri pandang ke arah Aqel. Tidak selesa dia bekerja dengan kewujudan Aqel di situ. Janggal. Dia melontar pandangan ke arah jam di dinding. Sekejap lagi jam mencecah ke pukul 5.00 petang. Bermakna sekejap lagi waktu kerja pada hari itu akan berakhir. Dia mula diserbu rasa bimbang tatkala menatap Lia  masih lena dibuai mimpi. Nampak selesa sahaja memagung kepala di atas lengannya. Bagai puteri yang sedang beradu di atas katil emas yang dihias indah. Persis Sleeping Beauty yang sedang beradu setelah mendapat sumpahan ahli sihir. Cereka dongeng yang singgah di benak Marnie.
“Encik Aqel... kalaulah pukul 5.00 ni Lia tak bangun-bangun lagi, Encik Aqel akan biarkan dia tidur di sini? Saya rasa sukar nak kejutkan Lia. Dia nampak tidur mati” Marnie menatap Aqel. Bimbang Aqel mengarahkan gadis ini ditinggalkan sahaja di sini. Hukuman kepada Lia kerana tidur di tempat kerja.
“Jangan risau, tepat jam 5.00 nanti pasti dia akan terjaga. Matanya dah diprogram sedemikian” balas Aqel serius namun kedengaran lucu. Marnie tersengih. Jari telunjuknya bergerak mendekati gadis itu. Dia menguis-nguis tangan Lia. Masih berusaha mengejutkan lena gadis itu.
“Kalaulah Lia tak bangun juga jam 5.00 ni, Encik Aqel akan tinggalkan dia di sini?” Marnie mengulangi pertanyaan itu dengan perasaan bimbang. Aqel mengangguk.
“Dia bukan budak kecil yang ringan nak diangkat. Nak tunggu dia bangun terpaksalah bermalam di sini. Esok pagi baru dia bangun” kutuk Aqel. Marnie mengeluh kecil. Bicara Aqel sudah bercanggah dengan kenyataannya sebentar tadi. Nampak pemuda ini tidak yakin Lia akan terjaga tepat pada pukul 5.00 petang. Pandangan Marnie terikat pada jarum jam itu. Dia menghitung detik jarum jam bergerak. Kalau Lia tidak bangun pada pukul 5.00 petang sekejap lagi, pasti dia akan melaung sekuat hati ke dalam terowong telinga gadis ini. Pasti Lia akan membuka mata seluas-luas.
“Tiga...dua...satu...” Tepat pukul 5.00 petang. Marnie sudah bersedia dengan misi laungan mengejutkan gadis ini. Tidak peduli jeritan kuat itu bakal mengejutkan Aqel. Dia tidak mahu membiarkan Lia bersendirian di bilik ini. Tidak selamat.
“Awak rasa kalau seseorang itu hilang ingatan akibat kemalangan, adakah ingatannya akan pulih kalau dia terlibat dalam kemalangan sekali lagi?” tanyaku dengan mata terkelip-kelip menatap Marnie. Marnie menarik nafas lega. Misi laungan bersemangat yang dirancang terbatal.
“Apa awak cakap?” Besar mata Marnie menatapku.
“Betul ke saya hilang ingatan?” tanyaku. Terlopong Marnie menatapku.
“Lia...” panggil Marnie berbisik.
“Ye...” sahutku sambil menggosok-gosok mataku. Belum cukup lama aku tidur. Belum puas lagi. Kalau Marnie izinkan mahu aku menyambung tidur kembali. Haqem bukan ada di sinipun.
“Encik Aqel ada di sini...” jelas Marnie berbisik. Aku terus duduk tegak di kerusi. Baru nampak Aqel berada di depanku sekarang. Dia kelihatan tenang sambil mengarah pandangan kepadaku. Pasti sudah lama Aqel berada di sini sambil memerhatikan aku sedang tidur. Bukan perkara yang memalukan kerana aku sudah biasa terlelap di depan Aqel. Aku mempamer wajah bersahaja menghadap Aqel.
“Seronok awak tidur. Saya datang sini pun awak tak sedar” perli Aqel. Aku tersengih.
“Bila saya banyak berfikir, otak saya akan lemah dan jadi mengantuk” ujarku tidak berselindung. Aqel tergelak kecil. Penjelasan yang mencuit hati.
“Apa hasil yang awak dapat selepas banyak berfikir?” tanya Aqel mengutukku. Senyap. Aku berfikir lagi. Laju aku menggeleng kepala. Langsung tiada maklumat yang aku peroleh.
“Kalian tak nak balik?” tanya Marnie mencelah perbualan ini. Marnie sudah bersiap sedia hendak meninggalkan pejabat. Sudah cukup masa bekerja hari ini.
“Balik...” jawabku serentak dengan Aqel. Marnie tersenyum.
“Kalau macam itu marilah kita bergerak sekarang” ajak Marnie mendahului bangkit dari kerusi. Aku menyusul bangun. Kemudian diikuti oleh Aqel. Kami bertiga beriringan meninggalkan bilik ini. Haqem memang tidak berada di sini hari ini.
“Jumpa esok... Bye... Lia...” Di pertengahan ruang legar ini kami berpisah dengan Marnie. Aku dan Aqel meneruskan langkah ke pintu utama. Melewati muka pintu, langkahku terhenti. Begitu juga Aqel. Aku berpaling menatap Aqel.
“Ada barang tinggal?” tanya Aqel. Aku menggeleng.
“Awak baliklah ke rumah dulu” arahku.
“Awak nak ke mana?” tanya Aqel. Aku diam. Kupandang Aqel.
“Ke rumah mak?” tanya Aqel meneka. Aku menggeleng.
“Saya nak pergi ke sekolah rendah tempat saya belajar dulu. Mungkin berada di sana boleh mengembalikan memori lama saya” ujarku serius. Aqel melepaskan keluhan kecil. Namun tidak mahu menghalang hasrat gadis ini.
  “Awak belajar di sekolah rendah mana dulu? Biar saya temankan” pelawa Aqel. Laju aku menggeleng menolak pelawaan itu.
“Saya nak habiskan beberapa jam bersendirian di sana. Nak pergi beberapa tempat yang saya suka kunjungi dulu. Awak akan bosan kalau ikut saya” jelasku. Aqel diam. Aku mahu bersendirian tanpa kehadiran Aqel di sana. Lebih selesa. Tidak perlu bimbang dan mengejar waktu.
“Pastikan awak sentiasa jaga keselamatan diri. Jangan lewat balik” pesan Aqel.
“Okey... Saya pergi dulu” ujarku meminta diri lalu meninggalkan Aqel yang sedang memerhatikan langkahku. Aku menghidupkan enjin kereta. Berapa minit kemudian meninggalkan perkarangan KDUT ke destinasi yang kutuju. Kelihatan Aqel masih berdiri di situ sambil memerhatikan kepergianku.
 Beberapa jam aku berada di sekolah pertama aku mendapat pendidikan awal dari usia lima tahun sehingga mencecah umur 12 tahun. Aku berkunjung ke perpustakaan lalu menyelak-nyelak majalah sekolah. Aku jumpa gambarku dengan rakan-rakan sekelas Tahun 6 yang dimuatkan dalam majalah itu. Maklumat diri yang tercatat di situ tidak mencurigakan. Kemudian aku duduk di bangku kayu di bawah pohon rendang. Di sinilah aku menghabiskan masa rehat dengan menikmati makanan yang mak bekalkan. Dahulu  tiada bangku diletak di sini. Aku dan Nana akan duduk beralaskan akar-akar kayu besar yang menjalar keluar. Seterusnya, aku tercari-cari kolam ikan yang menjadi tugas rutinku dan Nana memberi ikan-ikan makan pada awal pagi setibanya di sekolah. Ternyata tapak kolam itu sudah digantikan dengan taman bunga teratai yang sungguh indah. Aku terpesona menatap bunga-bunga teratai yang sedang berkembang mekar.
Sebelum balik ke rumah, aku singgah di masjid yang berhampiran sekali lagi hendak menunaikan solat Isyak. Syukur dapat solat berjemaah. Solat Maghrib tadi di masjid yang lain. Namun masih berada di mukim yang sama. Usai solat Isyak, aku memandu kereta balik ke rumah. Aqel tidak ke mana-mana kerana aku nampak kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144 berada di garaj. Mungkin juga Aqel sedang menunggu kepulanganku. Aku tersenyum sendiri. Jauh berangan-angan. 
“Assalamualaikum...” Aku menapak longlai masuk ke bilik. Sungguh letih dan memenatkan. Aqel melontar pandangan ke arahku.
“Awak dah makan?” Aku menatap Aqel. Aqel mengangguk.
“Saya dah masak. Awak makanlah nanti” arah Aqel. Aku senyum.
“Maaf...tak masak untuk awak” ujarku rasa bersalah. Aqel memandangku.
“Maaf juga...sebab saya tak dapat apa-apa maklumat tentang Flora” ujarku lantas merebahkan tubuh di atas tilam. Hampa.
“Letihnya...” keluhku. Aku sudah berbaring di atas tilam empuk ini. Kupejamkan mata rapat-rapat. Tidak mampu berfikir lagi. Sunyi sepi.
“Awak dah tidur?” suara Aqel melontar pertanyaan. Tiada suara menyahut. Aqel melepaskan keluhan. 

 ***************************

Aqel tercengang-cengang menatap kereta BMW ActiveHybrid 7 sudah tiada di laman parkir perkarangan KDUT. Dipandang jam tangan. Baru lima minit masa berganjak dari jam 5.00 petang. Begitu cepat gadis itu bergerak. Kedengaran bunyi mesej yang diterima. Laju tangan Aqel mengeluarkan iPhone itu dari saku seluar.
~Assalamualaikum... Sorry...hari ini saya balik lewat lagi. Nak pergi ke sekolah menengah tempat saya belajar dulu. Mungkin di sana saya akan menemui kenangan lalu saya~ Aqel melepaskan keluhan panjang. Dia tidak mampu berbuat apa-apa tika ini. Aqel melangkah longlai ke arah kereta Peugeot RCZ Sports Coupe itu.
Aku menyandarkan tubuh di kepala katil. Separuh tubuhku sudah ditutupi selimut. Mahu tidur awal malam ini. Esok aku perlu menyambung misi pencarianku. Kalau sahih aku ialah Flora mesti ada penjelasan. Tiada siapa di dunia ini akan lupa tentang identiti diri sendiri kecuali hilang ingatan. Kucapai iPhone berhajat hendak mencari agen penyiasat persendirian. Dalam tv selalu agen penyiasat berjaya menyelesaikan banyak kes-kes pencarian orang. Tidak salah kalau aku mencuba. Lantas kucatat beberapa nama berserta nombor telefon agen penyiasat persendirian yang kuperoleh dengan bantuan Mr.Google. Esok mudah hendak menghubungi mereka.
“Esok awak nak ke mana?” Aqel melontar pertanyaan. Aku mengangkat muka memandang Aqel. Sekarang jadualku padat. Kesibukanku serupa dengan kesibukan Aqel menguruskan empayar perniagaan.   
“Esok...saya nak jumpa Nana. Nana kawan saya sejak dari kecil. Ada perkara yang saya nak tanya” jelasku menjawab pertanyaan Aqel.  
“Awak tak letih?” tanya Aqel.
“Sungguh meletihkan tapi memaksa diri mengingati perkara lalu lebih memenatkan lagi” ujarku berterus-terang. Tidak tenteram hati tatkala ada perkara penting yang tidak dijelaskan.
“Bila awak nak berhenti melakukan semua ini?” Aqel menatapku. Aku tergelak.
“Hanya awak yang mampu menghentikan tindakan saya” balasku. Aqel mengerti makna tersirat di sebalik bicaraku ini. Aku mahukan penjelasan Aqel. Aqel menatapku lama.
“Flora...” Aqel kelihatan cemas. Dia melangkah ke arahku.
“Huh...” Hairan melihat langkah laju Aqel mendekatiku.
“Hidung awak berdarah...” ujar Aqel memaklumkan. Aku meletakkan jari telunjuk pada hidungku. Terasa panas mengalir. Bingkas aku bangun lalu berlari ke bilik air.
“Awak okey?” tanya Aqel tatkala aku keluar dari bilik air. Aqel menungguku di depan pintu. Risau. Aku tersenyum menatap Aqel. Tiada perkara yang serius. Cuma aku keletihan dan tidak cukup rehat. Lantas aku mengangguk.
“Saya dah mengantuk. Nak tidur sekarang” ujarku memaklumkan kepada Aqel. Tiada tenaga hendak menyambung bicara dengan Aqel.
“Tidurlah...” arah Aqel mengerti. Aku merebahkan diri di atas tilam.
“Aqel...hari ini saya masih tak jumpa kenangan lalu saya” sayup-sayup kulontar suara ke arah Aqel. Kedengaran keluhan panjang Aqel. Pasti aku telah mengecewakannya. Kecewa kerana cinta pertama yang telah dilupakan.

******************
 
Usai menyiapkan sarapan dan menyiapkan diri, aku berbaring di atas sofa panjang di ruang tamu sementara menunggu Aqel muncul hendak bersarapan. Terasa letih. Mahu menggunakan kesempatan yang ada hendak merehatkan diri. Langkah Aqel terhenti di anak tangga terakhir. Dia berpaling ke ruang tamu. Kemudian menatap gadis yang tertidur di atas sofa itu. Aqel melepaskan keluhan kecil lalu melangkah ke dapur. Aqel bersendirian di situ. Dipandang kerusi kosong di depannya. Perlahan-lahan air teh kosong panas itu diteguk. Dia memandang kerusi kosong itu lagi. Laju dia menghabiskan nasi goreng di dalam pinggan. Lalu ke singki mencuci pinggan, cawan dan sudu. Langkah Aqel terhenti di ruang tamu sambil melontar pandangan ke arah gadis itu. Diperhatikan lama.
“Awak tak pergi kerja?” Aqel menyapa gadis itu. Cuba mengejutkan lenanya.
“Hey...Aqel!” Aku tersentak. Lantas bangkit dari sofa ini.
“Cepat pula awak sedar kali ni” perli Aqel. Aku tersengih.
“Tidur-tidur ayam” sahutku.
“Awak nak tidur lagi?” tanya Aqel berbaur sindiran. Laju aku menggeleng.
“Taklah. Kerja. Nak tumpang kereta awak” ujarku tersengih meminta ihsan Aqel.
 “Cepat. Kalau lambat awak tinggal” ancam Aqel. Bergegas aku mengekori langkah Aqel. Tidak mahu ditinggalkan Aqel. Aku memasang tali pinggang. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang Aqel pandu bergerak meninggalkan halaman. Sunyi sepi. Aku menutup mulut. Sudah beberapa kali menguap. Aqel beberapa kali menjeling ke arahku. Aku hanya mempamer muka bersahaja. Sudah tidak dapat ditahan rasa mengantuk ini. Kupejamkan mata.
“Bagaimana awak nak buat kerja nanti kalau mengantuk macam ni?” rungut Aqel. Sunyi. Tiada suara menyahut. Aqel berpaling. Gadis di sebelahnya ini sudah terlena. Aqel mengeluh sambil menggeleng-geleng kepala. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe memasuki perkarangan perkir KDUT. Enjin kereta dimatikan. Aqel berpaling menatap gadis di sisinya. Belum terjaga lagi.
“Awak nak kerja ke nak tidur?” rungut Aqel cuba mengejutkan tidur gadis itu. Statik. Masih tidak bergerak-gerak.
“Flora...bangunlah. Kita dah sampai ni” panggil Aqel. Aqel menggetap bibir menahan geram tatkala melihat tidur gadis itu langsung tidak terganggu.
“Flora... bangun!” Aqel hilang sabar lantas tangan menepuk kepala gadis itu. Mata gadis itu masih terpejam. Aqel kehairanan. Laju telapak tangannya menyentuh dahi gadis itu. Kaget.
“Panas... Awak demam” keluh Aqel kesal. Lantas menghidupkan kembali enjin kereta.  Aqel memandu Peugeot RCZ Sports Coupe meninggalkan perkarangan KDUT. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Kemudian berlari anak memasuki Klinik Damai. Beberapa minit kemudian Aqel muncul kembali. Dia menatap gadis itu. Disapu peluh dingin yang membasahi dahi gadis itu.
“Awak demam teruk ni...” keluhnya bimbang. Aqel terus memandu Peugeot RCZ Sports Coupe. Mahu segera sampai ke rumah. Dia sendiri mahu menjaga gadis ini.
“Kita dah sampai di rumah” jelasnya lalu memapah gadis itu.
“Rumah?” Aku tersentak. Sebentar tadi aku dan Aqel dalam perjalanan ke tempat kerja. Namun tidak sempat aku berfikir panjang kerana terasa kepalaku berpusing-pusing. Bagaikan aku hendak tumbang. Aku berpaut pada lengan Aqel. Bersusah-payah aku mendaki anak tangga ini hendak sampai ke bilik. Aqel membaringkan aku di atas tilam. Kemudian dia bergegas keluar dari balik. Tidak lama kemudian Aqel muncul semula.
“Telan ubat ni...” Aqel memaut tubuhku bangun. Lantas segelas air kosong dan pil kapsual dihulurkan kepadaku.
“Selepas makan ubat ini baru awak akan berasa selesa” ujarnya. Aku menelan ubat itu. Kemudian berbaring kembali. Aqel meletakkan tuala kecil yang lembap di dahiku. Lima minit kemudian tuala kecil itu dicelup di dalam air suam semula. Berulang-ulang kali Aqel melakukannya. Aku nampak kerisauan terpancar di wajah Aqel.
 “Awak tak cukup rehat...” keluh Aqel. Tidak bertenaga pandanganku menatap Aqel.
“Bagaimana awak boleh abaikan kesihatan diri dengan perkara yang tak penting” rungut Aqel kesal. Kupandang Aqel.
“Perkara itu penting buat saya” balasku dengan suara yang lemah. Aqel melepaskan keluhan.
“Andai benar saya ialah Flora...cinta pertama awak suatu masa dulu, saya takkan maafkan diri saya” tegasku dengan suara perlahan. Aku akan menyalahkan diri kerana melupakan Aqel. Aqel menatapku.
“Tak usah fikir perkara itu lagi. Awak mesti cepat sembuh. Itu yang lebih penting” ujar Aqel. Tersentuh hati mendengar bicara Aqel. Mungkin juga aku ialah Flora, cinta pertama Aqel sebab itu dia bersungguh-sungguh melindungi aku selama ini.
“Terima kasih, Aqel” ujarku. Aqel senyum. iPhone Aqel berdering.
“Waalaikumusalam...Saya di rumah sekarang. Apa? Datuk Imran dah sampai di office? Okey...” Aqel mengeluh. iPhone diletak di atas katil. Dia menatapku.
“Pergilah. Saya okey bila dah cukup tidur nanti” ujarku tidak mahu Aqel serba salah.
“Cadang nak batalkan pertemuaan dengan Datuk Imran hari ini, tak sangka pula dia dah ada di office sekarang” keluh Aqel. Berat hati hendak meninggalkan aku bersendirian di rumah ini.
“Kalau macam tu awak kenalah pergi cepat. Nanti tertunggu-tunggu pula Datuk Imran” Aku bimbang tatkala Aqel masih berada di sini. Aqel menatapku. Dia belum berganjak lagi.
 “Awak tak perlu risau. Saya dah makan ubat. Kejap lagi okeylah tu” ujarku tidak mahu berlengah lagi. Datuk Imran sedang menanti Aqel. Tidak elok membiarkan pelanggan menunggu lama. Dalam dunia perniagaan pelanggan mesti diutamakan.
“Saya call mak, minta mak temankan awak di sini” cadang Aqel. Laju aku menggeleng. Lebih selesa bersendirian di sini. Tidak mahu menyusahkan mak.
“Bagaimana kalau mama yang temankan awak, boleh?” cadang Aqel lagi.
“Tak payah. Betul saya okey... Saya hanya perlu tidur dua tiga jam nak kembalikan tenaga saya” jelasku cuba meyakinkan Aqel. Kedengaran keluhan Aqel. Sukar hendak meninggalkan aku bersendirian di rumah ini. Aku tidak mahu menyusahkan Mak Long.
“Habis pertemuan itu nanti saya terus balik ke sini” ujar Aqel lalu bergegas melangkah ke pintu. Aqel sudah terlewat. Kedengaran bunyi kereta Aqel meninggalkan halaman rumah. Kasihan Aqel bersusah-payah kerana aku. Kupejamkan mata rapat-rapat. Aku mahu menyambung tidur kembali. Mahu mengumpul tenaga meneruskan misi pencarian identiti diri. Aku tidak akan berhenti setakat di sini sahaja. Muktamad.

Aqel menatap beberapa nama dan nombor telefon yang tercatat pada kertas itu. Semalam dia melihat gadis ini bersungguh-sungguh menulis sesuatu di dada kertas ini. Dia meletakkan kertas itu di atas meja solek semula kemudian mengalih pandangan ke arah gadis yang sedang lena.   
“Awak terbeban menjadi cinta pertama saya?” hati Aqel berbisik. Perlahan-lahan Aqel melepaskan keluhan.
“Kalaulah saya lebih awal mengenali awak sebelum kemunculan Haqem, adakah awak akan menerima cinta saya?” Aqel terus bermonolog sendiri. Jarinya lembut menyelak rambut yang terjuntai di dahi gadis itu. Kemudian mengusap-usap lembut kepala gadis itu dengan pandangan penuh kasih sayang.
“Saya nak awak hidup bahagia... tapi... sukar saya nak lepaskan awak” suara hati Aqel berbisik. Aqel melepaskan keluhan. Perlahan-lahan dia merangkak naik ke katil lalu berbaring di sebelah gadis ini. Perlahan-lahan diangkat kepala gadis ini lalu diletakkan di atas lengannya. Dia mahu gadis ini tidur berbantalkan lengannya dan dekat dengan dirinya. Aqel memejamkan mata rapat-rapat. Mereka lena bersama di atas katil itu.

  
“Assalamualaikum... saya dah sampai rumah. Kejap lagi nak merenah sup untuk awak” ujar Aqel sambil melewati pintu. Dipandang katil. Bantal tersusun. Cadar rapi. Selimut dilipat kemas. Tiada Lia berbaring di situ. Liar mata Aqel memandang sekeliling bilik itu. Sunyi sepi. Gadis itu tiada di situ. Aqel bimbang. Yakin dia bersendirian di rumah itu sekarang. Laju tangannya mencapai iPhone lantas membuat panggilan.
“Yah... Awak di mana sekarang!” jeritan Aqel membingitkan telinga. Kujauhkan iPhone dari telinga. Tidak mahu gegendangku pecah angkara terjahan suara lantang Aqel. Suara Aqel bagai halilintar membelah bumi.
“Saya tanya awak, di mana sekarang?” tengking Aqel berbaur kemarahan. Aku mengetap bibir menahan geram. Cuba bersabar. Pemuda dingin salju ini tiba-tiba sahaja garang.
“Saya di rumah Nana” jelasku.
“Siapa suruh awak merayau-rayau? Kalau dah sihat kenapa tak pergi kerja hari ini?” omel Aqel memarahiku. Berkerut dahiku mendengar leteran Aqel. Persis seorang ayah sedang memarahi anak gadisnya yang keluar rumah tanpa keizinan.
“Saya nak hirup udara segar” balasku memberi alasan. Nana tersengih menatapku. Kedengaran keluhan Aqel. Tidak senang dengan tindakanku.
“Dah lewat macam ni awak belum balik lagi” rungut Aqel membebel.
“Saya ada perkara nak cakap dengan Nana” jelasku.
“Tunggulah awak benar-benar sihat barulah pergi sana” ujar Aqel membebel.
“Perkara ini tak boleh tangguh-tangguh lagi. Perasaan ingin tahu saya mengalahkan segala-galanya” tegasku serius.
“Awak berehatlah ye...assalamualaikum...” Kuputuskan panggilan itu. Lantas meletakkan iPhone di atas tilam di sebelah perbaringanku. Nana tersengih-sengih menatapku.
“Mesti Aqel bengang... sampai rumah awak takde. Orang yang ditinggalkan sakit tak pergi kerja tapi pergi merayau-rayau” perli Nana kemudian tergelak sendiri.
“Saya dah sihatlah. Lagipun bosan hanya terbaring di bilik” jelasku. Kupandang Nana yang berbaring di sebelahku. Kedatanganku ke sini bersama hajat yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Sejak beberapa hari ini terasa hidupku porak-peranda.
“Saya ada perkara serius nak tanya awak” ujarku serius.
“Awak ni menakutkan saja. Perkara apa?” rungut Nana.
“Awak ingat tak...” iPhone ini berdering memintas bicaraku. Aqel lagi. Aku mengeluh.
“Apa hal dia banyak kali call ni” keluhku. Terasa Aqel menggangguku saat ini.
“Rindu awaklah tu” usik Nana. Dia tergelak. Aku mencebik. Tidak masuk akal. Aku dan Aqel bukan pasangan kekasih yang saling merindu. Baru beberapa jam tidak jumpa, belum sempat rindu berputik.
“Assalamualaikum...Saya tidur rumah Nana malam ini. Jaga diri baik-baik. Bye...” Kumatikan iPhone lalu menyimpan di bawah bantal. Nana terlopong menatapku. Tidak menduga aku akan memperlakukan Aqel sedemikian.
“Orang yang sedingin salji tak kisah dilayan macam tu” tuturku. Nana tergelak lagi. Dia sudah biasa melihat aku dengan Aqel melancarkan perang dingin.
“Apa yang awak nak cakap tadi?” tanya Nana tidak sabar-sabar. Sayup-sayup kedengaran bunyi jeritan iPhone di bawah bantal. Kutulikan telinga.
“Aqel call...takde benda dia nak cakappun” jelasku meminta Nana mengabaikan panggilan itu. Tidak mahu Nana terganggu dengan bunyi itu.
“Aqel marah awak nanti” balas Nana mengingatkan aku. Aku tersengih.
“Nanti saya balik rumah jumpa dia kalau ada perkara yang dia nak cakap” rungutku.
“Okey...okey... Apa perkara serius tu?” Nana bertanya lagi. Teruja hendak mengetahui perkara serius yang mahu aku perkatakan. Lupakan seketika tentang Aqel.
“Awak percaya tak kalau saya kata saya ni Flora?” tanyaku.
“Ya...memang pun awak Flora” sahut Nana tidak terkejut. Besar mataku menatap Nana. Terkejut. Jantungku terhenti berdetik sekejap.
“Saya Flora?” tanyaku semula. Nana tahu perkara ini. Kenapa aku tidak tahu? Mestilah sebab memoriku sudah terpadam. Bagaimana aku boleh hilang ingatan lalu? Banyak sungguh persoalan yang berlegar di benakku.
“Kan Aqel panggil awak dengan nama itu” jelas Nana. Aku mencebik. Nana hampir buat aku mati terkejut. Mana tahu memang Nana tahu identiti sebenarku memandangkan dia kawan sepermainanku sejak kecil lagi.
“Itu nama kekasih Aqel” balasku meningkah.
“Awaklah kekasih Aqel” Aku terkejut lagi. Besar mataku menatap Nana.
“Cinta pertama Aqel?” tanyaku. Berkerut dahi Nana.
“Raniakan bekas kekasih Aqel. Bagaimana pula awak boleh jadi cinta pertama Aqel? Atau Aqel tak pernah menjadi kekasih Rania. Gadis itu saja yang terlebih perasaan pada Aqel” ujar Nana menghurai hipotesis.
No...no...no...” Aku geleng-geleng kepala. Rania memang pernah bercinta dengan Aqel. Semua warga KDUT mengetahu fakta ini. Haqem juga pernah bercerita tentang perkara ini. Kecurangan Rania yang menyebabkan perpisahan mereka.
“Yahoo..., seronoknya!” Tetiba sahaja Nana melonjak keriangan. Hairan aku menatap gelagat Nana. Berlebih-lebih pula girangnya.
Happy... awak jadi first love Aqel” Senyuman meleret menghiasi bibir Nana. Aku menggeleng. Nana sudah salah faham.
“Aduhai... meranalah Haqem!” keluh Nana buat-buat berduka. Nana tergelak.
“Jangan salah faham” tegahku tidak senang hati. Nana tersenyum lagi.
“Awak percaya tak memori lalu saya telah padam? Saya hilang ingatan” Terlopong Nana menatapku. Tidak percaya. Aku membesar bersama Nana. Kebanyakan masa kami kongsi.   
“Tak logik. Saya tak percaya. Awaklah orang yang paling tepat membuktikan kata-kata Aqel tipu sebab kita membesar bersama. Sejak kecil sehingga ke hari ini kita sentiasa bersama” tegasku yakin. Nana mengangguk-angguk. Bersetuju.
“Dari sekolah rendah sehingga menengah... kita belajar di dalam kelas yang sama. Kemudian dapat tawaran belajar di USM bersama-sama. Ketika itulah awak berkenalan dan bercinta dengan Haqem. Kemudian awak berpisah dengan Haqem. Haqem terus hilang sehingga awak bertemu dengan Haqem semula di KDUT. Pada masa itulah awak mengenali Aqel. Paling mengejutkan Aqel ialah sepupu awak. Seterusnya awak bernikah dengan Aqel” Nana menyusun kronologi peristiwa mengikut masa dengan tepat. Aku mengangguk-angguk bersetuju.
“Mungkin awak cinta pertama Aqel tapi belum sempat lagi awak bercinta dengan Aqel pun. Betulkan?” duga Nana. Laju aku mengangguk.
“Seratus peratus tepat” sokongku sambil mencapai iPhone di bawah bantal. Bingkas aku bangun lalu tegak berdiri di sisi katil. Nana terkebil-kebil menatapku.
“Terbukti sahih komplot mak dengan Aqel. Saya nak balik sekarang. Terima kasih” ujarku laju melangkah ke pintu meninggalkan Nana terpinga-pinga. Tidak sempat Nana hendak bercakap lagi. Deras sahaja langkahku keluar dari rumah Nana. Tidak sabar hendak bersua muka dan bertentang mata dengan Aqel. Kutatap iPhone. Tiga panggilan Aqel yang tidak dijawab terpamer di dada skrin. Tunggu kepulangan saya Aqel.
“Awak dah balik” Aqel tersentak dengan kemunculanku. Aku diam. Tidak memberi reaksi pada bicara Aqel. Lantas menapak mendekati Aqel yang berbaring di atas sofa panjang. Aku melabuh duduk di depan Aqel. Kupandang wajah Aqel. Serius.
“Sebenarnya saya tak nak balik malam ini tapi memikirkan ada perkara serius yang mahu saya tanyakan pada awak, saya terpaksa batalkan hasrat saya nak bermalam di rumah Nana” jelasku. Aqel bangun dari perbaringan lantas duduk bertentangan denganku.
“Perkara apa?” tanya Aqel.
“Sampai hati awak permainkan saya. Awak buat hidup saya berserabut sejak kebelakangan ini. Awak gembira melihat saya sakit?” tanyaku sambil memandang tajam ke arah Aqel. Aqel terkebil-kebil menatapku. Tidak menduga melihat keseriusanku. 
“Kalau betul saya ialah Flora... cinta pertama awak, kenapa saya tak ingat apa-apa tentang awak?” tanyaku. Aqel menatapku.
“Kenapa saya tak ingat kenangan bersama awak? Atau sebenarnya ingatan masa lalu saya dah terpadam?” Aku menghujani Aqel pertanyaan demi pertanyaan. Aqel terdiam panjang.
“Siapa Flora?” desakku. Aku yakin aku bukanlah Flora. Flora itu orang lain. Aku tidak pernah terlibat dalam kemalangan yang serius sehingga menghapuskan memori lalu. Tiada pernah jumpa barang-barang milik Flora di rumah mak yang mencurigakan aku. Senyap. Aqel membisu dan menundukkan wajah. Kali ini nampak Aqel bagaikan orang yang tidak berdaya. Aqel sudah tidak mampu menenangkan diri.
“Aqel, beritahu saya siapa pemilik sebenar nama ini” desakku mengharapkan Aqel menjelaskan sesuatu yang dirahsiakan daripada pengetahuanku selama ini. Perlahan-lahan Aqel mengangkat muka lalu melawan pandanganku. Aku terpaku menatap bebola anak mata Aqel berkaca-kaca. Pandangan Aqel sayu.
“Orang yang saya sayangi. Saya tak mampu melupakannya sehingga ke hari ini” tutur Aqel menyentakkanku. Sebegitu mendalam kasih Aqel kepada Flora. Terdetik rasa cemburu kepada gadis itu. Mesti dia gadis hebat sehingga merantai jiwa raga Aqel sebegini.
“Awak begitu menyayanginya?” tanyaku mahu memuaskan hati. Aqel mengangguk. Bertambah iri hati kepada gadis itu.
“Sama seperti saya menyayangi awak” tutur Aqel. Kutatap wajah Aqel lagi. Semalam aku tidur dalam pelukan Aqel berbantalkan lengannya. Tidak menduga begitu lena aku tidur. Susah payah aku melepaskan diri dari rangkulan lengan Aqel. Mujur Aqel tidak terjaga.
“Sehingga ke hari ini awak masih tak yakin pada saya, Flora. Mengapa sukar sangat awak nak mempercayai kata-kata saya?” tanya Aqel serius. Kecewa.
“Saya bukan Flora...” tingkahku. Harap-harap Aqel faham. Senyap.
“Bagaimana saya nak mempercayai awak, di sekeliling awak ramai sungguh perempuan yang masih menaruh hati terhadap awak. Rania sungguh setia mencintai awak, dan nama Flora ini begitu bermakna dalam hidup awak” tuturku mempertakaikan hakikat kehidupan Aqel. Aqel melepaskan keluhan berat.
“Semua ini bukan kemahuan saya” tutur Aqel tidak berdaya. Aku mengangguk. Memang aku tidak boleh menyalahkan Aqel. Semua yang berlaku di luar kemahuan Aqel. Namun kasih sayang dan cinta Aqel kepada gadis yang bernama Flora itu adalah atas kerelaan dan kemahuan sendiri. Aqel boleh melenyapkan semua itu andai dia ada keinginan mahu melakukan. Hanya dia sendiri yang boleh mengubah pendiriannya.
“Awak tahu siapa Flora?” tanya Aqel. Aku tergelak sendiri. Lucu pertanyaan Aqel. Selama ini aku cuba menjejaki pemilik nama itu. Namun Aqel sungguh berahsia. Aku geleng kepala.  Nama ini pernah kuajukan kepada Mak Long namun tiada sebarang ulasan yang keluar dari mulut Mak Long tentang gadis itu. Mungkin Mak Long tidak mahu membongkar rahsia hidup Aqel demi rumahtangga kami. Pasti Mak Long mahu melindungi anak mudanya. Aku tidak akan menyalahkan Mak Long.
“Aqella Kamila ... adik kesayangan saya. Nama manja Flora sebab gadis kecil itu sungguh menyukai setiap bunga. Dia juga cantik seperti bunga. Wajahnya berseri-seri dengan senyuman yang manis. Pipinya gebu membuatkan mata yang memandang teringin mengucupnya, persis bunga yang sering dikucup harumannya. Dia seiras dengan wajah awak” Anak mata Aqel bersinar-sinar bercerita tentang adik perempuannya ini. Aqel telah membuka rahsia hidup mereka. Aku terpaku. Mesti senyumannya seindah senyuman Aqel.
 “Nama yang telah mama hapuskan dari ingatan demi melupakan kesedihan hidupnya” tambah Aqel berbicara. Kali ini wajahnya mendung. Ada kesedihan mendalam yang ditanggung. Kasihan Aqel.
                   “Di mana dia sekarang?” tanyaku. Aqel menatapku.
“Dia dah tiada. Saya tak mampu selamatkannya. Saya biarkan dia tenggelam di depan mata saya tanpa berbuat apa-apa. Ayah sentiasa menyalahkan diri dan mama tak dapat memaafkan ayah dengan kejadian ini. Akhirnya mereka berpisah” cerita Aqel sebak.
“Salah Pak Long?” tanyaku kurang jelas tentang kejadian ini. Mengapa Pak Long harus menyalahkan diri? Mengapa pula Mak Long tidak mampu memaafkan Pak Long? Soal jodoh dan maut sudah tertulis sejak azali. Semua itu qada dan qadar Allah yang menguji keimanan kita.
“Bukan salah ayah. Salah saya...” Bicara Aqel terhenti. Aku nampak Aqel menggenggam tangan. Cuba mengumpul kekuatan diri. Dia tertunduk menatap lantai.
“Dia lemas di sungai belakang rumah saya. Sebab itu saya sungguh takut bila nampak selipar awak terapung-apung di sungai. Saya takut tregedi itu berulang lagi” tutur Aqel perlahan sambil mengangkat muka memandangku. Aku tergamam. Air mata Aqel menits ke pipi. Laju sahaja tangan Aqel menyapu. Kisah yang menyayat hati. Aku merasakan kesedihan yang Mak Long tanggung sekeluarga selama ini.
“Semua salah saya. Saya patut jaga dia dengan baik. Saya tak harus biarkan dia bermain di situ” ujar Aqel menyalahkan diri. Kesal. Aku sungguh mengerti perasaan Aqel. Aqel tertunduk menatap lantai lagi. Tidak berdaya. Kehilangan orang yang tersayang sungguh menyeksakan diri. Namun sebagai hambaNya kita harus reda dengan qada dan qadar yang telah ditetapkan Allah.
“Bukan salah awak, Aqel. Berhentilah menyalahkan diri. Awak tak boleh terus menghukum diri begini” pujukku mengharapkan Aqel reda menerima kejadian itu sebagai ujian Yang Maha Esa. Senyap. Aqel sedang berperang dengan perasaan sendiri.  
“Mama hidup dalam kemurungan. Mama tak dapat menerima kenyataan ini sehingga hampir-hampir membuatkan mama hilang waras” tutur Aqel pilu.
“Kasihannya Mak Long...” keluhku sebak. Terbayang wajah lembut Mak Long. Air mataku menitis. Laju kukesat. Aku perlu kuat kerana Aqel perlukan sokongan.
“Bertahun-tahun mama cuba mengembalikan semangat hidup sehingga akhirnya mama mengambil keputusan berpisah dengan ayah. Mama tak mampu memaafkan ayah kerana meninggalkan kami ketika itu. Paling mengejutkan apabila mama langsung tak ingat nama adik lagi. Bagai memori mama terhadap adik dah terpadam semua” cerita Aqel lebih lanjut dengan sebak. Dia terkilan. Aku sedih. Tidak menjangka begini perjalanan hidup keluarga Mak Long.
“Mungkin Mak Long cuba nak hidup lebih baik. Barangkali cara ini saja yang mampu membuatkan Mak Long tersenyum” tuturku memujuk Aqel agar tidak kecewa dengan tindakan Mak Long. Aku mengerti perasaan Mak Long. Kesedihan yang mendalam menuntut bertindak sedemikian.
“Saya memang tak kisah jika mama mahu melupakan adik asalkan mama hidup bahagia” tutur Aqel. Mak Long tidak hidup bahagia selama ini? Nampak Mak Long hidup dengan baik. Mungkin juga Mak Long masih merindui Pak Long.
“Mak saya tahu perkara ini?” tanyaku. Aqel geleng kepala.
“Arwah ayah awak seorang saja yang tahu. Mungkin dia tak sempat bercerita perkara ini kepada mak awak” tutur Aqel.
“Kejadian itu berlaku ketika saya berumur 13 tahun. Saya dah besar dan faham perkara yang berlaku. Semua itu tercatat dalam diari mama yang masih berada dalam simpanan saya. Awak pernah lihat diari itu” tutur Aqel mengingatkan aku kepada perkara itu. Aku mengangguk. Tidak mungkin aku akan lupa. Ketika itu Aqel begitu emosional sehingga menimbulkan rasa gerun kepadanya. Aqel tidak pernah menengking aku sebegitu. Kucapai tangan Aqel lantas menggenggam erat. Aku mahu Aqel menjadi kuat seperti selalu. Aqel yang sentiasa mampu melindungi dan membangkitkan semangatku. Aqel yang selalu membuat Marnie dan Nana teruja malah Aqel yang sempurna di mata semua orang.
“Aqel... dengar baik-baik cakap saya. Tak salah kalau awak nak terus mengenang arwah adik awak. Namun menyalahkan diri sehingga ke hari ini bukan perkara yang sepatutnya. Walau apa cara sekalipun dah ditetapkan pada hari itu dia meninggalkan kalian. Bukan salah awak mahupun salah Pak Long. Semua itu dah tercatat sedemikian” ujarku cuba menenangkan Aqel. Anak mata Aqel berkaca-kaca. Aku tahu bebanan perasaan yang Aqel tanggung sehingga menyebabkan Aqel mengalami trauma yang teruk. Lima tahun Aqel menjadi pesakit Doktor Fiona Nabila. Tidur Aqel sering terganggu. Dia masih membayangkan kejadian itu. Selama 13 tahun Aqel menyalahkan diri. Sungguh lama jangka masa itu. Aku mula terbayang Aqel yang dingin dan suka menyendiri. Ketika itu pasti dia sedang bertarung dengan perasaannya. Kasihan Aqel.
“Saya sering nampak tangannya tergapai-gapai meminta tolong. Saya sering dengar suaranya memanggil-manggil minta diselamatkan. Saya mendengar tangisan budak perempuan yang menyayat hati” suara Aqel tersekat-sekat dalam sendu.
“Saya rasa macam nak gila” rintih Aqel tidak berdaya. Bingkas aku bangun mendekati Aqel yang duduk terpaku di sofa ini. Aqel memeluk pinggangku lantas membenamkan muka di tubuhku. Kedengaran tangisan Aqel yang menyayat hati. Lembut tanganku mengusap-usap rambut Aqel.
“Menangislah puas-puas. Lepaskan kesedihan itu. Dia juga tak mahu awak terus menghukum diri begini” pujukku. Air mataku menitis di pipi. Aku turut merasa kesedihan ini. Wajah Mak Long menjelma. Andai cinta dan kasih antara Mak Long dengan Pak Long masih ada, pasti ada harapan hendak menyatukan jiwa dua insan itu. Mak Long dan Pak Long harus berhenti menyalahkan diri. Demi Aqel dan demi kebahagiaan masing-masing, Mak Long dan Pak Long harus hidup bersama kembali.

“Aqel... saya akan bantu kalian” ikrarku dalam hati.