Monday, 19 June 2017

Namaku Bukan Flora.... 93




BAB 93

“Flora...” Lembut suaranya memanggil gadis itu. Aku berpaling. Sayu pandangan Aqel menatapku. Aqel datang hendak membawaku pulang. Itu janji Aqel.      
 “Aqel... saya dah letih. Letih sungguh...” keluhku lemah. Terasa hangat meluncur laju di pipiku. Air mataku berderai di depan Aqel. Tidak mampu disekat lagi. Aqel melepaskan keluhan. Wajahnya serius. Lantas melangkah mendekatiku. Aqel menghulurkan tangan kepadaku. Kudongak wajah Aqel. Dia menanti huluran tangannya disambut. Anggukan kepala dan isyarat matanya mengarahkan aku menyambut tangannya. Lambat-lambat kucapai tangan Aqel. Lembut Aqel menarikku bangkit. Lalu memintaku bergerak mengiringi langkahnya. Pautan tangan Aqel kemas. Aturan langkah kakinya tampak yakin. Pandangan mata dan senyuman warga KDUT yang dilewati sepanjang perjalanan ke muka pintu utama langsung tidak dihiraukan.
“Kita nak ke mana ni?” tanyaku hairan. Enjin kereta dihidupkan. Mungkin Aqel mahu menghantarku balik ke rumah berehat. Mahu menjauhkan aku daripada warga KDUT.
“Pakai tali pinggang” arah Aqel mengabaikan pertanyaanku. Kupandang Aqel. Aku mahukan jawapan untuk pertanyaanku ini. Aqel melepaskan keluhan lantas berpaling ke arahku. Tiba-tiba sahaja dia mendekatkan diri denganku. Aku menahan nafas dan menegakkan tubuh. Kekok dengan posisi yang terlalu dekat dengan Aqel. Tangan Aqel menarik tali pinggang di tepi lantas memasang untukku. Kemudian kembali pada kerusi pemandu. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe QL144  mula bergerak meninggalkan perkarangan KDUT.
“Jangan risau saya takkan cium awak di khalayak umum” tutur Aqel bersahaja dengan sekilas senyuman terukir di bibir. Aku mengetap bibir. Geram. Terasa panas mukaku dengan usikan Aqel. Kusandarkan tubuh di kerusi. Kupalingkan wajah ke tingkap, melontar pandangan keluar.  Aku hanya mahu mendiamkan diri walaupun Aqel berada di sebelahku tika ini. Lantas kupejamkan mata. Biarlah... ke mana sahaja Aqel membawaku pergi. Aku tahu aku akan selamat bersama Aqel. Senyap...sunyi...sepi. Aqel melirik ke sisinya. Gadis itu sudah terlena.
“Awak memang keletihan sungguh...” suara hati Aqel berbicara sendirian. Dia melepaskan keluhan. Fokus pada pemanduan.
Dari celah-celah kelopak mata yang sedikit terbuka ini, samar-samar aku nampak pepohon menghijau yang bergerak-gerak ditiup angin. Pepohon merimbun yang ditanam dalam barisan yang lurus di kiri di kanan bahu jalan menghalang pancaran cahaya memberikan suasana yang sungguh menarik. Keredupan yang memberikan keselesaan. Tenang dan segar. Suasana ini tidak terlalu asing padaku. Aku mengubah posisi tubuh. Kuhala pandangan ke depan. Banglo kaca yang cantik itu berada kira-kira 100 meter di depanku. Kupandang Aqel.
“Saya harap awak akan tenang di sini” ujar Aqel mendahuluiku bersuara.
“Berehatlah...tak payah berfikir banyak” tambah Aqel lantas menolak pintu kereta keluar. Pak Shuib berlari-lari anak mendapatkan Aqel. Tampak kunjunganku kali kedua ini di luar pengetahuannya. Aku bangkit dari kerusi dan keluar mendapatkan Pak Shuib yang sedang bersalaman dengan Aqel. Pak Shuib memeluk tubuh Aqel. Persis seorang ayah sedang melepaskan kerinduan kepada anak lelakinya. Sedikit menyentuh kalbuku.
“Apa khabar pak cik?” sapaku menghadiahkan senyuman kepadanya.
“Baik... Kamu berdua sihat?” tanyanya. Aku mengangguk.
“Kenapa tak cakap nak datang sini? Boleh pak cik sediakan makanan” tutur Pak Shuib kesal. Aku dan Aqel senyum. Sungguh prihatin lelaki ini. Pak Shuib teruja dengan kedatangan kami.
“Tak payahlah susah-susah pak cik. Kita makan saja apa yang ada” tutur Aqel yang memang tidak merancang kedatangan mereka ke vila persinggahan miliknya itu. Aku mengangguk.
“Sehari dua ni tak berselera nak makan” tambah Aqel mengurangkan rasa bersalah Pak Shuib. Lelaki tua ini menatap wajahnya.
“Tak sihat? Pak cik tengok muka kamu pucat” tegur Pak Shuib. Aqel hanya tersenyum.     
“Kurang rehat” jelas Aqel. Kupandang wajah Aqel yang masih dengan senyuman. Aqel memang tidak cukup rehat. Kehidupannya dipenuhi dengan bebanan kerja. Apatah lagi aku turut menjadi bebanan kepada Aqel. Kasihan Aqel.
“Sekarang angin kuat kat sini. Dingin semacam. Marilah masuk ke dalam. Nanti jatuh sakit pula” ujar Pak Shuib bimbang. Pak Shuib menatapku dan Aqel silih berganti.
“Mana beg pakaian? Tak bermalam?” tanya Pak Shuib.
“Pakaian saya banyak dalam almari di bilik. Nanti dia boleh pakai kalau tak jadi balik” ujar Aqel bersahaja sambil melirikku. Kupandang Aqel. Biar benar Aqel hendak bermalam  di sini. Timbul kesulitan kalau aku dan Aqel bermalam di sini. Pak Shuib mesti beranggapan aku dengan Aqel seperti kebanyakan suami isteri yang lain. Sebenarnya tiada masalah. Selama ini pun aku dan Aqel berkongsi bilik dan katil. Aqel mampu mengawal diri. Pergaulan kami yang masih terbatas.
“Apa yang awak fikirkan? Masuklah...” suara Aqel menyentakku. Buru-buru aku mengekori langkah Aqel dan Pak Shuib.
“Awak berehatlah di bilik sana” arah Aqel sambil menunding jari pada bilik itu. Kutatap Aqel. Betulkah ini yang Aqel mahu?
“Saya nak awak berehat puas-puas. Kalau awak perlukan apa-apa panggil Pak Shuib. Saya nak berehat di bilik sekarang” tambah Aqel lantas meninggalkan aku yang masih berdiri di situ memerhatikan langkah Aqel beredar.
“Tak nak minum Lia?” panggil Pak Shuib dari dapur.
“Kejap lagi saya pergi dapur” sahutku menghalang Pak Shuib menghidang untukku. Segan dilayan sebagai tetamu. Lebih selesa jikalau Pak Shuib melayanku persis anaknya sendiri seperti hubungan akrabnya dengan Aqel. Tidak mahu berlengah, aku segera melangkah ke dapur mendapatkan Pak Shuib. Sudah tersedia segelas milo ais di atas meja.
“Boleh minum milo ais?” tanya Pak Shuib. Aku mengangguk.
“Ni minuman kegemaran Aqel. Biarlah dia berehat dulu” jelas Pak Shuib tidak mahu mengganggu Aqel. Aku mengangguk bersetuju. Memandu sejauh ini memang memenatkan. Apatah lagi perkara yang terjadi padaku turut membebankan Aqel. Dia telah bersungguh-sungguh melepaskan aku dari tuduhan itu. Kemunculan Datin Sofea dan Bella menjelaskan perkara ini hanya salah faham sekali gus penarikbalikan dakwaan itu mesti ada kaitan dengan Aqel dan Haqem.
“Bukan jus epal dan jus oren minuman kegemaran Aqel?” tanyaku sangsi. Pak Shuib tersenyum. Cetak pengetahuanku tentang kegemaran Aqel.
“Sebab Lia suka jus epal. Aqel tak pernah pentingkan diri sendiri” tutur Pak Shuib. Sedikit terpukul aku mendengar bicara Pak Shuib ini. Rasa tersindir.
“Berbanding saya...pak cik lebih mengenali Aqel” jelasku tidak berselindung.
“Lia...masih punya banyak masa nak mengenali Aqel. Ada hati ada kesungguhan...” ujar Pak Shuib berkias-kias. Untuk sekian kali aku terpukul dengan bicara Pak Shuib lagi. Aku tahu Pak Shuib tidak berniat hendak menyindirku. Bicaranya telus. Hanya orang yang bersalah sahaja yang terasa. Aku pesalah Aqel? Kuhabiskan air milo ais di dalam gelas. Kemudian bergerak ke singki. Mahu mencuci gelas ini.
“Letak saja di situ, nanti pak cik cuci” arah Pak Shuib. Aku menggeleng. Tidak mahu patuh pada arahan Pak Shuib. Tidak sopan membiarkan orang lain membasuh bekas minum sendiri. Apatah lagi Pak Shuib orang tua yang tidak patut dibebani. Dari tingkap singki ini, kulontar pandangan keluar sana.
“Tak silap saya... kat belakang ni ada sungai kan, pak cik” tekaku mengimbas pengetahuan lalu.
“Ya... ada sungai. Ada masa... Aqel akan memancing di jeti di situ” sahut Pak Shuib.
“Ada jeti?” tanyaku teruja.
“Ada. Aqel yang upah orang buat. Lebih selesa Aqel nak memancing” cerita Pak Shuib. Aqel bina tempat yang lebih selesa untuk memancing. Aku tersenyum sendiri. Dia banyak duit. Mudah sahaja menunaikan hajat hati. Seronok jadi Aqel.
“Saya nak jalan-jalan di situlah, pak cik” ujarku teruja. Tidak sabar hendak ke situ.
“Hati-hati. Air sungai itu dalam” jelas Pak Shuib bimbang.
“Saya akan jaga diri baik-baik, pak cik” janjiku.
“Betul Lia nak pergi sana?” tanya Pak Shuib sangsi. Aku mengangguk.
“Saya nak pergi sekarang. Dah tak sabar ni” jelasku meninggalkan Pak Shuib di dapur.
“Jaga diri baik-baik. Jangan main air sungai. Bahaya...” ujar Pak Shuib memberi peringatan. Aku tersenyum sendiri. Persis anak kecil pula Pak Shuib melayanku.
“Baiklah pak cik...” ujarku sedikit melaung sebelum melangkah ke pintu. Mahu menikmati ketenangan bersendirian setelah beberapa hari dibelenggu kebimbangan. Alhamdulillah. Semua telah selesai. Aku tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Andai musibah yang menimpaku angkara Datin Sofea dan Bella, mudah-mudahan mereka akan insaf.  
“Wah,...!” Aku kagum menatap lanskap yang dicipta oleh Aqel di tengah-tengah keindahan dan kesegaran alam semula jadi ini. Sungguh mempesonakan. Bukan susah hendak sampai ke jeti ini kerana sudah tersedia laluan berbata yang dibina begitu sempurna. Aku kagum pada pemandangan indah di sini. Bukan sekadar jeti biasa. Ada buaian kayu digantung di sini. Haruman wangian bunga-bungaan yang ditanam di tepi laluan jalan kaki sehinggalah menjadi sebahagian lanskap jeti ini sedang mekar dan sungguh menyegarkan. Tambahan angin bertiup sepoi-sepoi. Aku duduk di atas buai berbangku kayu jati yang diukir halus seninya. Tali buai daripada akar kayu yang utuh dan kukuh ditocang kemas. Mungkin Aqel merancang hendak menjadikan jeti ini lokasi penggambaran percintaan sepasang kekasih yang romantis. Aku terus menggerakkan buai ini sambil mengalun suara. Cuba meniru babak cerita klasik Bawang Putih Bawang Merah.
“... aku nak kahwin dengan anak raja...” suara sumbangku meniru lagu Bawang Putih. Aku tergelak sendiri. Kuulang beberapa kali. Semakin laju buai ini kuhayun. Tiba-tiba sebelah selipar terpisah dari kaki kananku. Selipar itu terpelanting jatuh ke dalam sungai. Berkerut dahiku menatap selipar itu bergerak di permukaan air sungai. Sedikit demi sedikit menjauhi jeti ini. Aku menggelabah mencari kayu panjang. Kutinggalkan jeti.

Aqel menggeliat beberapa kali. Dia bersin berulang-ulang. Sudah ada bunga-bunga mahu selsema. Dia melangkah ke dapur. Kelihatan Pak Shuib sedang leka menyiapkan menu masakan. Sunyi sepi. Ternyata Pak Shuib sedang bersendirian sekarang.  
 “Dah bangun kamu...” tegur Pak Shuib tersenyum menyambut kemunculan Aqel di situ. Aqel senyum. Dicapai gelas lalu menuang air kosong yang sudah tersedia di atas meja. Dia melabuh duduk di kerusi. Lantas meneguk beberapa kali air kosong di dalam gelas. Hilang dahaga. Lega setelah anak tekak dibasahi.
“Lia... pergi ke jeti” jelas Pak Shuib. Dipandang Pak Shuib.
“Dah lama ke?” tanyanya risau.
“Sejak dari tadi” jelas Pak Shuib. Bingkas Aqel bangun. Dia terus sahaja melangkah ke pintu. Tidak sempat meninggalkan pesanan kepada Pak Shuib. Bimbang mendengar kenyataan lelaki  itu. Tidak mahu gadis itu bersendirian di situ.

Mataku masih melilau-lilau mencari kayu panjang. Kayu yang kubawa tadi tidak cukup ukuran untuk mencapai selipar yang terapung di permukaan di air. Mujur juga selipar itu tersangkut di akar di tepi tebing. Malang tanganku tidak cukup panjang hendak mencapai. Bimbang selipar itu akan terlepas dan terus hanyut dibawa arus air sungai yang laju. Tambahan pula angin bertiup kuat. Kalaulah aku pandai berenang sudah pasti aku akan masuk ke dalam air sungai ini. Mudah sahaja aku hendak mendapatkan selipar itu kembali. Kupandang sekeliling. Aku semakin jauh meninggalkan jeti. Namun aku belum menemui kayu yang kukehendaki. Risau juga jikalau aku hilang arah. Tersesat.
Nafas Aqel tercungap-cungap. Dipandang sekeliling. Tiada sesiapa di jeti sekarang. Kelibat gadis itu tidak kelihatan. Aqel diterjah kebimbangan. Kebimbangan kian memuncak tatkala terpandang selipar tersangkut pada akar kayu di tebing sungai itu. Tanpa berlengah Aqel terus terjun. Dia tahu kedatangannya sudah terlewat.
“Flora...!!! Flora...!!!” laung Aqel sekuat hati. Tiada suara yang menyahut. Aqel menyelam semula. Dia tenggelam timbul sambil suara bergema melaung nama itu. Tidak mahu mengalah dia terus mencari-cari dari dasar tebing sungai itu sehingga kawasan yang kian menjauh. Semangat kuat hendak menemui gadis itu. Selipar di tangan digenggam kuat.  
“Flora...!!! Flora...!!!”suara Aqel bergema. Sayup-sayup aku mendengar suara cemas melaung nama Flora. Kuamati betul-betul.  Itu suara Aqel memanggilku. Aku berlari keluar dari hutan kecil ini. Melupakan sahaja hasrat hendak membawa kayu yang baru kutemui.
“Flora...!!! Flora...!!!” Aqel meluang nama ini sekuat hati. Langkahku mati. Aku terpana menatap Aqel yang berkali-kali menyelam ke dasar sungai. Persis dia sedang mencari kelibatku yang tidak tahu berenang. Mungkin Aqel ingat aku lemas. Nafas Aqel tercungap-cungap. Wajahnya bercelaru. Suaraku tersekat di kerongkong. Hanya mampu memerhatikan gelagat Aqel.
“Flora... di mana awak...!!!” suara Aqel semakin lemah. Dia tidak berdaya lagi. Tatkala Aqel sudah kehilangan tenaga, dia menakup tangan ke muka. Bahunya terhinjut-hinjut. Aku nampak Aqel menangis. Terasa hangat mengalir di pipiku. Tersentuh melihat usaha Aqel cuba menyelamatkan aku yang lemas. Andai aku jatuh ke dalam dasar sungai itu, demikianlah Aqel akan mencariku. Aku nampak kesungguhan Aqel.
“Aqel...!” Kulontar suara melepasi kerongkong. Laju Aqel berpaling. Pandangan kami bersatu. Nampak Aqel menghela nafas lega.
“Flora...awak...” Aqel tertawa sendiri. Kemudian melepaskan keluhan sekuat hati. Bagai bebanan yang sungguh berat sudah terlepas. Aqel berenang ke jeti. Laju langkah Aqel mendekatiku. Aku terkesima tatkala Aqel terus memelukku. Dia gembira dan berlapang dada kerana tiada musibah menimpaku. Barangkali dalam benak Aqel aku telah tenggelam di dasar sungai. Aqel meleraikan pelukan di tubuhku. Wajahku ditatap garang.
“Siapa suruh awak datang sorang-sorang ke jeti ni...!” tengking Aqel. Aku kaget. Wajahnya serius. Aqel sedang marah. Perubahan yang drastik. Sebentar tadi Aqel nampak gembira dan lega tatkala menatapku. Sekarang Aqel nampak bengis dengan amarah.
“Awak selalu bertindak sendiri tanpa fikirkan orang lain...! Awak selalu buat saya risau. Awak tak tahu betapa saya ketakutan tadi. Saya ingat takkan jumpa awak lagi...!” lantang suara Aqel melempiaskan kebimbangan.
“Maafkan saya... Saya cari kayu nak ambil selipar saya jatuh” jelasku kesal. Pandangan Aqel tajam menatapku. Dia marah sungguh-sungguh. Selipar di tangan dilepaskan. Kaki kananku terus sahaja menyarung selipar itu. Tangan Aqel memaut tanganku lantas menarikku meninggalkan jeti ini. Di pertengahan jalan langkah Aqel terhenti.  Aku turut sama mematikan langkah. Aqel berpaling menatapku. wajahnya serius.
“Pegang tangan saya kuat-kuat. Jangan sesekali awak lepaskan. Saya takkan biarkan awak hilang dari pandangan mata saya lagi” tegas Aqel. Aku menatap Aqel. Terkedu.
“Jika Haqem kecewakan awak, jika Datin Sofea sakiti awak dan jika awak rasa tak berdaya kerana Idlan, bersandarlah di bahu saya. Saya akan sentiasa kuat dan bertenaga melindungi awak. Saya akan berada di sisi awak hingga hujung nyawa saya” tegas Aqel. Aku terkedu. Sungguh romantis bicara Aqel. Terasa pautan tangan Aqel kian erat. Lantas Aqel memimpin tanganku sepanjang perjalanan ini. Langsung tidak mahu dilepaskan. Sungguh besar pengorbanan Aqel. Tidak terbalas olehku sampai bila-bila.
“Kenapa basah-basah ni?” tanya Pak Shuib cemas. Pak Shuib menatapku dan Aqel  dengan kehairanan. Kutarik tangan dari pautan tangan Aqel. Segan melihat pandangan mata Pak Shuib terarah ke situ. Gagal terlerai. Pautan tangan Aqel begitu utuh.
“Ingat kata-kata saya tadi sampai bila-bila” pesan Aqel mengingatkan aku. Kemudian barulah dia meleraikan tanganku dari pautan tangannya.
“Pak cik ... tolong ambil tuala dan pakaian saya untuk Flora. Buat segelas minuman panas untuknya” arah Aqel.  Pak Shuib mengangguk patuh. Aqel terus sahaja beredar pergi meninggalkan aku bersama Pak Shuib. Sempat aku memerhatikan langkah longlai Aqel bersama titisan air yang membasahi pakaian di tubuh. Timbul kekesalanku.
“Tak pernah tengok Aqel seserius macam tu. Apa yang berlaku?” tanya Pak Shuib.
“Semua salah saya. Saya tak patut buat Aqel cemas tadi” jelasku. Aku melepaskan keluhan. Masih terbayang gelagat Aqel tadi. Sungguh menyentuh hati.
“Aqel ingat saya lemas tadi” ujarku memberi penjelasan kepada Pak Shuib.
“Syukurlah tak berlaku perkara buruk” ujar Pak Shuib lega. Aku menarik nafas. Turut lega. Mak dan Aziq juga tidak tega malapetaka menimpaku.
“Tunggu kat sini ... biar pak cik ambil pakaian untuk kamu” ujar Pak Shuib. Aku mengangguk. Kubiarkan Pak Shuib berlalu. Pakaian di tubuhku sedikit basah tatkala Aqel memelukku tadi. Tidak menunggu lama, Pak Shuib muncul bersama persalinan pakaian Aqel yang mahu dipinjamkan kepadaku.
“Pergilah tukar pakaian. Sekejap lagi pak cik buatkan air minuman panas untuk kamu” ujar Pak Shuib. Aku mengangguk. Arahan Aqel tidak mahu dibantah. Tidak tega membuatkan Pak Shuib serba salah melaksanakan tugas. Aku melangkah ke bilik yang ditunjukkan oleh Aqel tadi. Lantas aku melangkah ke bilik air. Alang-alang basah, lebih baik terus mandi. Berharap seusai mandi akan rasa segar-bugar.
“Padan sangat baju Aqel dengan kamu. Seluar saja kena lipat” tutur Pak Shuib sambil menatapku. Aku tersenyum. Aqel lebih tinggi dariku.
“Air milo panas untuk kamu” jelas Pak Shuib lantas meletakkan segelas air milo berasap-asap di depanku.
“Terima kasih” ujarku. Pak Shuib tersenyum.
“Minum hati-hati ... panas air milo tu” ujarnya mengingatkan aku. Aku mengangguk. Kuteguk perlahan air milo panas ini.
“Jangan pergi ke jeti lagi kecuali berteman” nasihat Pak Shuib.
“Okey...” sahutku berjanji.
“Kamu dah buat Aqel terkejut tadi. Mujur jua Aqel pemuda yang kuat semangat” jelas Pak Shuib. Aku melepaskan keluhan. Rasa bersalah yang belum lenyap.
“Saya memang rasa bersalah menakutkan Aqel tadi” ujarku kesal.
“Bukannya apa... Aqel tu sayang sungguh pada kamu. Dia tak rela perkara buruk menimpa kamu” sahut Pak Shuib. Aqel memikul tanggungjawab yang berat. Dia memang sentiasa memberi keutamaan kepada keluarga. Sentiasa mahu melindungi.
“Lepas ni berehatlah dalam bilik. Petang sikit bolehlah ajak Aqel menghirup udara segar di sekitar banglo ni” cadang Pak Shuib. Ada-ada sahaja yang berlaku sejak kebelakangan ini. Aku baru sahaja terlepas daripada tuduhan menyeleweng aset syarikat.
“Aqel dalam bilik? Dah buat minuman panas untuknya?” Aku sekadar bertanya. Pak Shuib mengangguk. Dia tidak pernah lalai melaksanakan tanggungjawab. Pembantu rumah yang setia. Seorang lelaki tua yang berbudi bahasa dan berhati mulia. Insan yang sangat menyenangkan.
“Dia nak tidur berehat. Tak nak diganggu” jelas Pak Shuib memberi peringatan. Ertinya Aqel mahu bersendirian. Memulihkan semangat yang berterbangan. Aqel mesti segan kerana aku menyaksikan deraian airmatanya tadi. Aqel tidak pernah menangis di depanku. Hanya aku yang berkali-kali menangis di depan Aqel.
“Sekejap lagi kita makan tengah hari. Semua dah hampir masak. Masak yang ringkas-ringkas saja” Pak Shuib bersuara lagi. Aku mengangguk. Tidak sempat hendak membantu di dapur tadi. Pak Shuib memang lebih selesa bekerja di dapur bersendirian.

Budak perempuan itu duduk di sebelah budak lelaki yang dua tahun lebih tua daripada usianya. Sejak dari tadi dia mengalun suara menyanyikan lagu-lagu yang diminati. Lelaki itu tersenyum. Hatinya terhibur.
“Hush... jangan bising. Nanti ikan-ikan lari” tegur budak lelaki itu sambil meletakkan jari di bibir isyarat mengarahkan budak perempuan itu segera berhenti menyanyi. Budak lelaki itu kembali mengalih pandangan ke arah pancing. Hampir dua jam duduk di situ, namun ikan tidak datang memakan umpan. Semua gara-gara suara nyanyian budak perempuan itu telah menakutkan ikan-ikan di sungai. Fokusnya turut terganggu.
“Huuusssshhhh...!” Bunyi ini semakin kuat dan panjang jedanya. Budak perempuan itu menjeling tajam. Tidak suka ditegah-tegah nyanyiannya.
“Nak menyanyi pun tak boleh...” rungutnya marah. Lelaki itu hanya geleng-geleng kepala memerhatikan gelagat mereka. Namun budak perempuan itu degil. Nyanyiannya masih kedengaran.
“Kalau nak terus menyanyi...lebih baik hantar kamu balik rumah” ancam budak lelaki itu hilang sabar. Masam wajah budak perempuan itu mendengar kata-kata ancaman itu.
“Jangan bergaduh nanti ikan tak muncul” tegur lelaki itu cuba meredakan kemarahan budak lelaki itu. Kedua-duanya menarik muka masam.
“Dahaga... nak air” ujar budak perempuan itu berhenti menyanyi.
“Menyanyilah lagi sampai hilang suara” kutuk budak lelaki itu.
“Ayah...abang ni teruklah...!” rengek manja budak perempuan itu mengadu. Dia merajuk. Lelaki itu menggeleng kepala.
“Takpe... biar ayah beli air minuman sekarang. Nak air apa?” Lembut suara lelaki itu bertanya. Cuba memujuk rajuk budak perempuan itu. Budak perempuan itu tersenyum.
“Nak air bertenaga... air oren...air pisang...air strawberi...” pintanya menyenaraikan air yang hendak diminum.
“Alamak...banyaknya air nak diminum” tegur lelaki itu dengan reaksi yang sengaja dibuat-buat terkejut. Budak perempuan itu tersenyum.
“Mestilah...tekak dah kering” balasnya sambil mengurut-urut batang lehernya. Mahu menunjukkan betapa dia kehausan sekarang. Budak lelaki itu mencebik.
“Okey... ayah beli sekarang semua air itu. Abang jaga adik baik-baik tau” ujar lelaki itu lalu bangkit dari duduknya. Pancing dibiarkan berlabuh di sungai itu. Dia akan kembali ke situ untuk bersama anak-anaknya. Ketika dia meninggalkan mereka, masih kedengaran nyanyian budak perempuan itu. Disusuli dengan teguran budak lelaki itu. Atas keyakinan budak lelaki itu mampu menjaga keselamatan budak perempuan itu,  ditinggalkan kedua-dua berada di jeti itu kerana dia hendak pergi ke kedai runcit di hujung jalan itu.
“Bisinglah... Kalau kamu nak terus menyanyi pergi jauh-jauh di sana” arahnya sambil menunding jari ke arah itu. Budak perempuan itu bangun lalu berpindah tempat duduk. Lebih rela duduk berjauhan daripada dihalang nyanyian. Dia tidak mahu berhenti menyanyi.
“Duduk di situ diam-diam. Ingat jangan merayau-rayau” pesan budak lelaki itu.
“Bosanlah... menyanyi tak boleh...jalan-jalan pun tak boleh” omel budak perempuan itu tidak berpuas hati.
“Nyanyi suara kecil, boleh?” tanya budak perempuan itu. Tiba-tiba dia nampak rama-rama kecil berterbangan. Kagum dan dia tersenyum. Bagai pari-pari yang sedang menggelilinginya. Dia terus menyanyi dan menari-nari dengan gerakan kaki yang perlahan-lahan.
“Suka hati” sahut budak lelaki itu. Pandangan fokus pada kail yang berlabuh. Ada perkembangan positif. Ikan-ikan sudah mula kelaparan. Nyanyian kecil budak perempuan itu sudah tidak mengganggu lagi. Senyap. Tiada kedengaran suara nyanyian budak perempuan itu. Laju dia berpaling. Budak perempuan itu tidak berada di situ lagi. Tiba-tiba hilang begitu sahaja. Bingkas budak lelaki itu bangun sambil melaung memanggil-memanggil nama budak perempuan itu. Hati tidak tenteram. Terasa ada perkara buruk berlaku.
“Tolong...! Tolong...! Tolong...!” Dia tergamam menatap tangan kecil yang terkapai-kapai di dalam sungai itu. Tenggelam timbul cuba menyelamatkan diri.
“To...long...!To...long! To...” sayup-sayup suara itu semakin hilang. Nampak tangan itu semakin longlai tidak bertenaga. Kemudian lenyap. Suara budak perempuan meminta tolong juga tidak kedengaran lagi.
“Adiiiikkkk...!!!” Dia baru tersedar. Baru sahaja dia hendak terjun ke dalam sungai itu, ada tangan kuat menarik tubuhnya.
“Jangan berganjak dari tempat ini...!” tegah lelaki itu. Sekelip mata sahaja lelaki itu sudah terjun ke dalam sungai. Cuba menyelamatkan budak perempuan yang sudah tidak kelihatan kelibat. Tangan budak lelaki itu terketar-ketar. Nafasnya sesak. Beberapa minit kemudian samar-samar dia nampak lelaki itu merangkul tubuh budak perempuan yang kaku tidak bermaya. Dia rebah di situ.
“Semua ini salah awak! Awak yang tinggalkannya!” suara tangisan raungan perempuan itu membangunkannya. Bingkas dia berlari keluar dari bilik itu dengan tangisan. Ayahnya tampak sugul, memegang kepala dan menangis sendirian di hujung sofa itu. Mamanya menangis teresak-esak. Hilang kawalan diri.
“Salah saya melarangnya menyanyi...! Salah saya menghalaunya pergi...! Salah saya tak jaganya dengan baik...! Salah saya sebab membiarkannya tenggelam...! Salah saya...! Salah saya...!” jeritnya kesal. Dia menumbuk-numbuk dada. Bingkas lelaki itu bangun lalu menerpa ke arahnya. Tubuhnya dipeluk erat. Cuba mendamaikan jiwa remaja lelaki ini.

Tidak sampai sejam selepas minum secawan milo panas yang Pak Shuib sediakan, aku kembali ke dapur. Pak Shuib mengajak aku menikmati makan tengah hari. Aqel tidak berada di sini.
“Aqel belum bangun lagi? Dia tak nak makan?” tanyaku.
“Dah bangunkan tapi dia takde selera nak makan” jelas Pak Shuib. Aqel tidak sihat? Jarang Aqel hendak menolak rezeki. Aku dan Pak Shuib menikmati hidangan tengah hari. Walaupun ringkas tetapi semua masakan Pak Shuib menyelerakan. Masakan ala kampung. Rupa-rupanya Aqel gemar masakan sebegini.
“Takpe... kini gilliran saya yang kemas dan basuh. Pak cik dah masak tadi” ujarku bertegas. Pak Shuib mengalah. Lantas aku melangsaikan kerja-kerja di dapur. Usai mengemas dapur aku mengatur langkah ke bilik. Namun sekerat jalan sahaja. Aku mengubah haluan langkah ke bilik Aqel. Daun pintu kuketuk. Tiada suara Aqel mengarahkan aku masuk. Sunyi sepi. Kuketuk lagi. Perkara yang sama. Aqel masih menyepikan diri. Namun hatiku tidak tenang. Kupusing tembol pintu. Mujur tidak berkunci. Lantas aku melangkah masuk dan memberi salam. Kelihatan Aqel sedang berselubung dalam selimut terbaring di atas katil. Wajahnya dibasahi peluh dingin. Aqel bercakap dalam tidur dengan jelas butiran bicara itu. Dia menyalahkan diri. Kenapa?
“Salah saya...! Salah saya...!” Dia rebah dalam pelukan lelaki itu.
“Aqel... bangun” Kugerak perlahan tubuh Aqel. Namun tiada  tindak balas. Mata Aqel terpejam rapat. Kudakap telapak tangan di dahi Aqel. Panas. Aqel demam sekarang.
“Aqel... bangun. Biar saya bawa awak jumpa doktor” panggilku lembut. Kelopak mata Aqel terangkat sedikit. Namun terkatup kembali.
“Saya nak tidur” ujar Aqel perlahan. Lesu.
“Awak demam ni” tingkahku tidak mahu mengalah. Kugerak-gerak tubuh Aqel. Tidak mahu dia meneruskan tidur. Aku mesti membawa Aqel berjumpa dengan doktor. Dia wajib dirawat agar sakit Aqel tidak berlanjutan. Aku tidak boleh membiarkan Aqel terbaring sedemikian sahaja. Dia harus bertemu dengan doktor.
“Bangunlah...” pintaku mengarah Aqel bangkit dari katil. Namun Aqel memakukan tubuh  di atas tilam empuk ini. Langsung tidak mahu bergerak. Hendak angkat tubuh Aqel, aku tidak mampu. Sekurus tubuh Aqel pun bukan ringan. Aku tidak mampu memujuk Aqel. Laju kuatur langkah ke pintu. Aku ke dapur.
“Pak cik... saya perlukan sebesen kecil air suam. Nak lap tubuh Aqel” jelasku.
“Ubat demam ada?” tanyaku lagi.
“Sekejap... pak cik ambil” ujar Pak Shuib. Kucapai gelas lantas menuang air kosong.
“Nah... ubatnya” Kusambut ubat yang dihulurkan oleh Pak Shuib. Di tangan kananku segelas air kosong untuk Aqel menelan ubat ini.
“Biar pak cik yang bawa air dalam besen tu” jelas Pak Shuib. Aku mengangguk. Kemudian aku dan Pak Shuib bergegas ke bilik Aqel. Tidak boleh berlengah lagi. Demam Aqel serius dan harus dirawat segera.
“Pak cik letak saja besen tu di sini” ujarku. Pak Shuib mengangguk.
“Terima kasih” Air suam sebesen sudah berada di sisi.
“Pak cik keluar dulu. Kalau ada apa-apa yang kamu perlukan panggil pak cik ye. Pak cik ada di luar” pesan Pak Shuib. Aku mengangguk. Pak Shuib melangkah ke pintu.
“Aqel...bangun. Saya beri awak ubat ni” ujarku. Kelopak mata Aqel terangkat. Aqel menatapku. Wajahnya pucat lesu. Aqel demam sekarang.
“Saya nak baring lagi” ujar Aqel lemah.
“Habis awak telan ubat ni awak boleh baring semula” jelasku. Aqel cuba bangkit. Namun dia tidak cukup tenaga. Kubantu Aqel bangkit lantas menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Mata Aqel terpejam celik. Kusuakan ubat dan segelas air kosong kepada Aqel. Bersusah payah Aqel menelan. Dia berbaring semula. Tangannya menarik selimut menutupi tubuh. Sekejap sahaja Aqel sudah terlelap semula.
“Tidurlah” arahku. Aku menatap air suam di dalam besen kecil ini. Terlupa hendak meminta tuala kecil daripada Pak Shuib tadi. Segera aku membuka almari. Pakaian Aqel termasuk barang-barang keperluan lain tersusun rapi. Tuala-tuala pelbagai saiz tersusun kemas. Kagum dengan cara hidup Aqel dalam penjagaan diri yang begitu teratur. Sudah cukup melambangkan dirinya yang sistematik. Kucapai sehelai tuala kecil. Serentak itu sekeping kertas melayang dan jatuh tepat-tepat di hujung kakiku. Aku membongkok lantas mencapai kertas ini.  Kusimpan di dalam saku seluar ini. Tidak sempat hendak menilik-nilik, aku segera mendapatkan Aqel. Kutuam dahi Aqel dengan tuala kecil yang sudah basah ini berulang kali. Cuba menstabilkan suhu badan Aqel yang panas ini. Kutatap wajah anak muda Mak Long ini. Kesedihan menusuk hatiku.
“Maafkan saya...Aqel. Semoga awak cepat sembuh” doaku berbicara sendirian. Aku bersalah kepada Aqel. Kupandang wajah Aqel lama-lama. Pandangan mataku beralih pada bahu Aqel. Berat bebanan yang tergalas di bahu ini. Beberapa hari ini Aqel menjadi teman terbaikku. Dia meluangkan masa bersamaku serta berusaha mendamaikan kerisauan yang membelengguku. Akhirnya aku terlepas daripada tuduhan itu persis yang dijanjikan oleh Aqel.
 “Jika Haqem kecewakan awak, jika Datin Sofea sakiti awak dan jika awak rasa tak berdaya kerana Idlan, bersandarlah di bahu saya. Saya akan sentiasa kuat dan bertenaga melindungi awak. Saya akan berada di sisi awak hingga hujung nyawa saya” suara Aqel terngiang-ngiang di telingaku. Sungguh baik hati Aqel. Air mata menitis di pipi. Cepat kukesat. Teringat pada sekeping kad tadi, kuseluk saku seluar ini. Dr. Fiona Nabila, nama yang tertera pada kad ini bersama sebaris nombor telefon. Seorang pakar kaunseling. Aqel pesakit doktor ini? Aqel sakit kerana kemalangan yang aku cetuskan itu? Hatiku tidak tenteram. Bagai ada sesuatu yang cuba Aqel sembunyikan daripada pengetahuanku. Lantas kusimpan kembali kad ini di dalam saku seluar ini. Aku akan bertemu dengan Dr. Fiona Nabila. Akan aku siasat perkara sebenar.