Thursday, 7 December 2017

NamaKu Bukan Flora...99....new





BAB 99

“Aduh, semput nafas saya...,” Aku berpaling. Melati menarik kerusi lalu melabuhkan duduk di situ. Nafas turun naik. Bagai baru selesai menghabiskan larian pecut 100 meter.
“Mujur juga kuliah belum mula. Lambat bangun tadi,” keluh Melati namun masih kelegaan kerana Mr. Seo Jang belum muncul lagi.
“Lewat tidur semalam?” tanyaku. Melati mengangguk.
“Nak siapkan assignment ekonomi yang perlu dihantar esok,” jelas Melati tersengih. Sedar kesilapan sendiri kerana tidak bertindak lebih awal.
“Lain kali buat lagi,” arahku menyindir. Melati tersengih-sengih lagi.
“Assalamualaikum...,” suara lelaki menyapa. Serentak aku dan Melati berpaling dan mendongak. Pemuda ini tersenyum menampakkan lesung pipit. Melati terpegun.
“Waalaikumsalam...,” sahutku membalas senyuman itu.
“Boleh saya duduk di sini?” tanyanya meminta keizinan sambil menunding jari pada kerusi kosong di sebelah Melati.
“Boleh...boleh...Silakan...,” sahut Melati laju. Adam Rayyan duduk di sebelah Melati.
“Adam Rayyan ..., saya perkenalkan ini kawan saya Lia...wanita terakhir. Lia..., ini Adam... lelaki MaScot,” ujar Melati saling memperkenalkan aku dengan pemuda ini.
“Lelaki MaScot?” serentak aku dan pemuda ini melontar pertanyaan sambil menatap gadis Brunei ini. Mohon penjelasan. Dahi Adam Rayyan berkerut. Bicara Melati tentang dirinya tidak difahami. Dalam benakku pula sudah membayangkan Adam Rayyan memakai pakaian moskot Harimau Malaya dengan aksi melambai-lambai tangan ke arah orang ramai. Melati tergelak.
“Lelaki Malaysia-Scotland,” ujarnya lebih jelas.
“Oh...,” hampir serentak juga aku dan Adam Rayyan memberikan reaksi yang sama. Baru memahami bicara Melati.
“Wanita terakhir?” Adam Rayyan berminat pada kenyataan ini.
“Dia wanita terakhir di hati seseorang,” ujar Melati tersenyum menatapku. Aku menulikan telinga. Tidak berminat hendak memberikan reaksi pada bicara Melati. Adam Rayyan tersenyum menatapku. Aku tersenyum.  
“Dia isteri kepada lelaki yang sungguh setia kepada ibu. Lelaki yang berhati suci mahu melindungi keluarga dan melindunginya. Lelaki yang tak tega melihat dia disakiti,” jelas Melati mengulangi kata-kata yang pernah keluar dari mulutku sambil melirik ke arahku. Kupandang Melati. Kagum. Dia memang memiliki daya ingatan yang sungguh kuat. Pemuda ini nampak terpegun. Dia memandangku sekilas. Mungkin Adam Rayyan mahukan penjelasan lanjut. Aku diam.
“Oh..., lupalah saya nak beri awak sesuatu!” Melati mencapai beg galas di belakang. Lantas terkocoh-kocoh membuka zip beg. Ada sesuatu yang dikeluarkan dari perut beg galas itu.
“Nah...,” Melati meletakkan buku di tangan di atas meja. Majalah GQ Korea. Pemuda ini turut  melontar pandangan ke arah majalah ini. Aku hairan. Pasti Adam Rayyan juga kehairanan melihat majalah fesyen popular lelaki ini berada di depanku.
“Awak baca Majalah GQ ini?” tanyaku janggal. Bolehkah Melati membaca tulisan Hangeul dengan fasih?
“Awak tengok cover majalah ini. Saya beli khas untuk awak,” jelas Melati. Berkerut dahiku menatap Melati. Adam Rayyan memandang Melati. Nampak berminat hendak mengikuti perbualan ini.
“Tengok cover,” Melati mengulangi arahan itu. Aku menatap muka depan majalah ini. Begitu juga Adam Rayyan turut mengarah pandangan ke situ.
“Park Seo Joon,” Nama ini keluar dari mulutku. Baru menyedari aktor kacak ini menjadi penghias muka depan majalah ini. Terpegun menatap Park Seo Joon yang sedang tersenyum. Kacak.  Aku berpaling ke arah Melati.
“Awak suka pelakon ini,” ujar Melati. Pemuda ini tersenyum.
“Terima kasih,” ujarku lantas mencapai Majalah GQ ini. Kutenung Park Seo Joon. Suka melihat matanya yang mengecil tatkala tersenyum. Dia mirip Aqel. Mata Aqel juga akan mengecil setiap kali menguntum senyuman lebar. Sudah lama tidak nampak senyuman indah Aqel. Terasa rindu hendak memandang senyuman indah itu.
“Agaknya...apa dia buat sekarang?” Aku bersoal-jawab sendiri. Kedengaran gelak Melati.
“Mestilah sedang berada di set penggambaran,” sahut Melati. Adam Rayyan senyum lagi.
“Awak peminatnya?” Adam Rayyan mula bersuara bertanya. Aku mengangguk.
“Sejak datang ke sini,” jelasku.
“Kalau awak nak tahu dia buat apa sekarang... awak call dia,” arah Melati.
Call pelakon Korea ini?” Adam Rayyan tersentak. Melati tergelak. Aku tersenyum. Dia telah berjaya mempermainkan pemuda ini. Melati mengangguk.
“Ya...call suaminya,” ujar Melati semakin membingungkan Adam Rayyan.
“Suami Lia... pelakon ini?” Besar mata Adam Rayyan menatap Melati. Serentak aku dan Melati tergelak. Adam Rayyan mungkin terkejut mengetahui aku sudah bernikah. Paling mengejutkan jikalau dia  mempercayai kata-kata Melati. Aku isteri Park Seo Joon. Bermimpi pula!
“Suami dia kembar Park Seo Joon...sama kacak macam pelakon ini,” jelas Melati memperincikan bicara. Aku menjeling Melati. Tidak mahu dia terlalu mengagungkan Aqel.
“Oh...,” Kini Adam Rayyan faham. Dipandang pelakon itu lagi. Kemudian mengalih pandangan ke arahku. Aku sekadar mengulas senyuman sekilas. Faham perasaan pemuda ini.
  “Inilah wanita terakhir di hati Park Seo Joon Malaysia,” ujar Melati mengusikku. Tiba-tiba sahaja dewan kuliah ini senyap. Serentak kami mengarah pandangan ke pintu. Mr. Seo Jang baru sahaja melewati muka pintu. Cerita kami terus tamat kerana kuliah akan bermula sebentar. Aku terus mengarah pandangan ke hadapan. Bersedia dengan kuliah hari ini. Tidak pedulikan Melati dan Adam Rayyan yang sedang berbisik-bisik. Ada cerita mereka yang belum habis.
 “Lia, Profesor Abdullah Han bukan suami awakkan?” tanya Adam Rayyan.
“Huh...,” Aku tersentak. Kemudian tersenyum.
“Profesor Abdullah Han miriplah dengan pelakon Korea itu,” suara Melati mencelah dan baru menyedari perkara ini.
“Pelakon handsome itu anak tiri Profesor Abdullah Han. Saya nikah dengan anak kandung Profesor Abdullah Han,” ujarku bercanda dan mahu mengelirukan Melati dan Adam Rayyan. Biar mereka berfikir dan mendalami kata-kataku. Berkerut dahi pemuda ini memikirkan pengakuanku.
“Jadi Profesor Abdullah Han ayah mentua awaklah...,” ujar Melati mula menyedari hubunganku dengan lelaki itu. Aku mengangguk. Melati dan Adam Rayyan tersentak. Kenyataan ini sungguh mengejutkan mereka.
“Patutlah saya selalu nampak awak berbual-bual dengan Profesor Abdullah Han. Saya ingat lelaki itu skandal awak,” tutur Melati mengusikku.
“Melati...!” Aku terjerit kecil. Tidak suka mendengar kata-kata Melati. Melati tergelak. Adam Rayyan tersenyum. Baru dia mengerti larangan lelaki itu. Dia tidak boleh jatuh cinta kepada Lia kerana gadis ini ialah isteri kepada anak lelaki Profesor Abdullah Han. Lia ialah menantu Profesor Abdullah Han.    

Terlalu pantas masa berlalu. Sedar-sedar sudah hampir 365 hari, 8760 jam, 525 600 minit dan 31 536 000 detik aku hidup di bumi Seoul. Dalam tempoh itu jugalah aku tidak bertemu dengan mak dan Aziq kerana ada peperiksaan penting yang harus Aziq tempuhi menghalang mereka berkunjung ke sini. Sungguh aku merindui mereka. Cuti semester lalu juga menghalang aku balik bertemu mereka lantaran ada tugasan yang perlu diselesaikan di sini. Kejayaan tidak mudah dikecapi kerana banyak pengorbanan yang harus dilakukan.

“Assalamualaikum... saya dah balik,” ujarku sambil menanggalkan kasut di depan pintu.
“Waalaikumusalam...,” sahut suara yang cukup kukenali. Aku mengangkat muka. Mata bertentang mata. Terkedu dan tergamam.
“Mak...,” Laju langkahku mendapatkan mak dan Aziq yang tersenyum menyambut kepulanganku. Kupeluk erat tubuh mak melempiaskan kerinduan selama ini.
“Tak sangka jumpa mak dan Aziq hari ini,” ujarku gembira masih tidak mahu merenggangkan tubuh daripada dakapan mak. Aziq dan Mak Long tersenyum memerhatikan.
“Rindu sangat-sangat pada mak...,” ujarku.
“Along tak rindu saya?” Aku berpaling pada Aziq yang tersengih menatapku.
“Mestilah rindukan adik tunggal Along ini,” ujarku tersenyum menatap Aziq. Aziq menundukkan kepala menyalami tanganku. Kupandang Aziq.
“Semakin handsome anak teruna mak ini,” ujarku mengusik Aziq. Dia tersenyum lebar. Kupandang sekitar ruang tamu ini. Mungkin ada wajah yang tertinggal dari pandangan mataku. Aku hanya nampak Mak Long yang sedang duduk di sofa sambil tersenyum. Kupandang mak dan Aziq.
“Abang Aqel tak datang sama sebab dia tak rindu Along pun,” ujar Aziq.
“Aziq...,” tegur mak kurang senang. Aziq tersengih.
“Aqel memang nak datang sama, tapi ada urusan yang perlu diselesaikan segera. Jadi dia tak dapat datang,” jelas mak tanpa kupinta. Aqel memang sentiasa sibuk dengan kerja. Dia tidak pernah berubah. Itulah kehidupan Aqel. Mungkin juga dia berat hati hendak meninggalkan Rania.
“Takpe... Nanti mama suruh Hyeon datang sini,” suara Mak Long mencelah. Aku hanya senyum. Mengerti dengan kesibukan Aqel. Tidak perlu paksa-paksa Aqel datang ke sini.
“Kenapa tak cakap awal-awal mak dan Aziq nak datang ke sini,” rungutku tidak puas hati kerana terlepas menyambut kedatangan mereka di lapangan terbang tadi.
“Saja nak buat kejutan pada Along,” ujar Aziq tersenyum. Mak dan Mak Long juga tersenyum. Sudah nyata mereka merancang semua ini. Tidak mahu aku tahu akan kedatangan mereka hari ini. Senyap-senyap memunculkan diri di sini.
“Takpelah... Seronok lihat mak dan Aziq ada di sini sekarang,” ujarku teruja.
“Lebih seronok kalau Aqel ada sama di sini,” keluh mak sedikit kecewa. Aku diam. Tidak mahu memberi sebarang ulasan. Aqel lebih mengetahui perkara yang lebih penting buat dirinya.
“Kita lupakan fasal Hyeon. Sudah datang sini, baik kita rancang percutian ini agar lebih seronok. Banyak tempat menarik di sini yang boleh dilawati,” ujar Mak Long.
“Wah..., inilah yang paling best, Mak Long,” ujar Aziq teruja. Kemudian bersatu senyuman dengan Mak Long. Tidak sabar dia hendak merakam keindahan bumi Seoul untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan nanti sekembali ke Malaysia.
“Alah... tak bestlah tak dapat join. Esok kuliah lagi,” keluhku hampa. Mak Long, mak dan Aziq hanya mempamer senyuman. Tidak mampu berbuat apa-apa.
“Takpe... Along tunggu saja abang Aqel datang. Biar abang Aqel yang bawa Along jalan-jalan nanti,” ujar Aziq. Aku memasamkan muka. Kalau tunggu Aqel muncul, tidak sempatlah aku menemani Mak Long membawa mak dan Aziq menjelajahi tempat-tempat menarik di Korea Selatan ini. Kesempatan yang ada mahu menghabiskan masa dengan mak dan Aziq. Mahu merakam banyak kenangan dengan mereka. Boleh mengambil gambar dengan mak dan Aziq di setiap destinasi yang kami kunjungi nanti.
“Betul. Kamu tunggulah Aqel datang sini bawa kamu jalan-jalan,” sokong mak. Aku melepaskan keluhan kecil. Pasti mengambil masa yang lama lagi. Aqel tidak akan muncul di sini dalam masa terdekat ini. Kempunanlah hendak bersiar-siar dengan mak dan Aziq. Aku mengeluh kecil dan mempamer muka sedih kerana Aqel tidak akan berkunjung ke sini. Yakin.
Aku memanfaat masa sepenuhnya untuk bersama mak dan Aziq. Langsung tidak mahu berenggang dengan mak. Ada-ada sahaja cerita yang kudengar dari mulut mak sejak setahun meninggalkan Malaysia. Ternyata Aqel menjaga mak dan Aziq dengan baik buat aku rasa terhutang budi kepada anak teruna Mak Long itu. Setiap hujung minggu Aqel akan menghabiskan masa bersama mak. Dia akan menemani mak pergi membeli-belah barang keperluan dapur. Kemudian mak dan Aqel akan masak bersama-sama di dapur. Kedengaran mereka sungguh mesra. Tidaklah mak terus kesunyian. Tatkala tiba minggu balik ke rumah, Aqel akan menjemput Aziq di asrama, mengambilalih tugasku selama ini. Aqel benar-benar telah menjadi anak mak bukan sekadar menantu.
Usai solat berjemaah yang diimankan oleh Pak Long dan menikmati hidangan malam, aku mengekori langkah mak ke bilik. Aziq selepas berbual-bual seketika dengan Pak Long dan Mak Long, meminta diri untuk tidur. Keletihan sepanjang perjalanan begitu terasa. Dia perlu berehat kerana jadual lawatan esok begitu padat. Mak Long sudah merangka jadual percutian mak dan Aziq membuatkan anak teruna itu begitu seronok. Tidak sabar menanti keesokan hari. Cemburu pada mak dan Aziq yang akan melawat tempat-tempat menarik di negara ini. Sebenarnya aku tumpang gembira dan berbesar hati kerana Mak Long sudah menyediakan perjalanan yang menarik sepanjang percutian mak dan Aziq di sini.
“Malam ini saya nak tidur dengan mak,” rengekku sambil memeluk bantal yang kubawa dari bilik sebelah. Sudah setahun aku menjadi penghuni bilik Aqel.
  “Hey..., dah jadi isteri masih nak bermanja-manja,” perli mak. Kutulikan telinga lalu merebahkan tubuh di sebelah mak. Mak memandangku.
“Sepatutnya kamu tidur di sebelah suami kamu sekarang,” ujar mak.
“Aqel bukan ada di sini,” sahutku meningkah bicara mak.
“Panggil suami abang,” tegur mak melenting. Aku tersengih.
“Aqel suami kamu. Tak elok kamu panggil dia macam tu. Nanti tulah padan muka kamu,” ujar mak mengancamku. Aku masih tersengih.
“Tak biasa panggil macam tu. Lagipun dia tak kisah pun saya panggil namanya,” ujarku membela diri. Mak mendengus. Tidak puas hati mendengar kata-kataku. Tidak suka menantu kesayangan dipanggil sedemikian.
“Tak sopan isteri panggil suami begitu,” tegur mak tidak merestui tindakanku.
“Kalau jodah saya dengan Aqel masih panjang, saya akan penuhi permintaan mak,” ujarku. Besar mata mak menatapku.
“Ke situ pula kamu fikir. Jodoh kamu memang dengan Aqel. Kamu akan hidup bahagia dan beranak-pinak dengan Aqel,” tegas mak beremosi. Aku senyum. Mak tidak mahu kehilangan menantunya itu.
“Insya-Allah sampai masa nanti mak akan berpeluang mendengar saya panggil Aqel abang,” ujarku cuba menyenangkan hati mak. Sekadar bercakap dan mahu menyenangkan hati mak. Tidak mahu menggantung harapan yang tinggi.
“Amin...,” sahut mak cepat. Aku tersenyum. Sukar lelaki lain hendak menakluki hati mak kerana hati mak sudah ditawan oleh Aqel. Dialah menantu lelaki terbaik mak.
“Tidurlah sekarang. Esok kamu ada kuliah. Mak pun dah rasa mengantuk ni. Letih juga perjalanan jauh tadi,” arah mak.
“Ya..., mak tidurlah. Esok dah jalan-jalan dengan mama. Mama dan siap buat jadual aktiviti percutian mak dan Aziq tu” ujarku mengingatkan mak.
“Alhamdulillah... Kamu dah panggil Mak Long kamu mama. Senang hati mak mendengar,” ujar mak tersenyum lebar. Mak mula memejamkan mata. Namun senyuman masih terukir di bibir. Barangkali kalau aku memanggil Aqel ‘abang’ pasti mak tidur tersenyum sepanjang malam. Lebih lebar senyuman mak ketika itu. Sekejap sahaja mak membaringkan tubuh dia sudah lena. Nampak dia sangat letih. Kasihan mak. Kutatap wajah mak. Aku tahu hati mak tidak pernah tenang. Dia masih memikirkan kehidupanku. Mak sungguh berharap aku akan bahagia bersama Aqel.
“Maaf... sebab selalu buat mak susah hati,” bisikku hiba. Aku menahan air mata ini dari mengalir keluar. Tidak mahu mengganggu tidur mak. Apatah lagi mahu mengundang kehairanan mak. Biarlah masa menentukan cereka hidupku. Nun jauh di sudut hati aku mahu membahagiakan mak. Mahu melihat mak tersenyum girang sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah memakbulkan keinginanku ini. Amin.   


“Assalamualaikum...,” suara lelaki menyapa. Serentak kami berpaling. Aku terkedu dan tergamam. Tidak menduga dan menyangka akan menatap seraut wajah ini. Bagai mimpi.
“Saya Aqel... suami Puan Nurdahlia,” suara Aqel memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan kepada Adam Rayyan. Formal namaku disebut Aqel. Mereka bersalaman. Mata Aqel merenung pemuda ini. Begitu juga Adam Rayyan memfokus pandangan pada Aqel. Kedua-dua pemuda ini beradu pandangan. Saling menilik diri masing-masing. Siapakah yang lebih hebat?
“Adam Rayyan,” tutur pemuda ini menyambut perkenalan Aqel. Aku masih membisu. Sungguh terkejut dengan kemunculan Aqel ini. Bila dia sampai di sini? Adakah Mak Long ataupun mak tahu akan kunjungan Aqel ini. Pandangan Melati masih melekat pada wajah Aqel.
“Hai..., saya Melati,” Kini giliran gadis Bandar Seri Begawan ini pula yang memperkenalkan diri. Aqel tersenyum. Senyuman Aqel masih tidak berubah. Tetap menawan. Pasti hati Melati tertawan melihat senyuman indah ini. Aku merenung wajah Aqel seketika. Sukar hendak percaya melihat Aqel di depan mata sekarang.
 “Samalah, Lia. Memang mirip hero Hwarang. Handsome suami awak,” suara Melati berbisik di telingaku mengutus pujian buat Aqel.
“Boleh saya pinjam isteri saya sekejap,” ujar Aqel meminta keizinan. Aku tersentak. Begitu juga dengan Melati. Aku tidak bermimpi. Aqel memang benar-benar ada di sini sekarang.
“Pinjam? Oh... nak bawa Lia pergi,” ujar Melati baru sempat mendalami bicara Aqel.
“Boleh...boleh...,” ujar Melati tidak menghalang. Adam Rayyan mengangguk.
“Mari...Sayang...,” ajak Aqel lalu mencapai tanganku. Aku tersentak. Janggal mendengar Aqel memanggilku sedemikian. Melati tersenyum mengusik. Tangan Aqel lembut menarikku bangkit dari kerusi ini. Tanganku dipaut erat lalu Aqel membawaku beredar meninggalkan mereka sambil diperhatikan oleh Melati dan Adam Rayyan. Melati melambai-lambaikan tangan sambil tersenyum lebar. Gembira melihat aku bersama Aqel.
“Nak pergi mana ni?” tanyaku.
“Temankan saya makan. Laparlah...,” ujar Aqel tidak mahu melepaskan tanganku dari pautan tangannya. Aku diam. Kuikut sahaja langkah kaki Aqel menapak ke sebuah restoran muslim di tengah-tengah bandar Seoul ini. Aqel membuat pesanan sebagai hidangan tengah hari ini.
“Ada kelas petang ini?” tanya Aqel memulakan perbualan. Aku menggeleng.
“Dah habis kelas. Ada perbincangan group tadi,” jelasku. Aqel mengangguk-angguk.
“Selalu habis kelas pukul berapa?” tanya Aqel berminat hendak mengetahui rutin hidupku sebagai pelajar. Masaku lebih banyak dihabiskan di kampus.
“Sampai petang,” sahutku pendek. Tidak banyak yang mampu aku bualkan dengan Aqel tika ini. Terasa janggal dan kekok setelah sekian lama tidak bersua muka dengan pemuda ini.
“Awak sihat?” tanya Aqel sedikit mencuit hatiku. Baru sekarang pertanyaan itu diajukan kepadaku. Bukan pada pertemuan awal tadi.
“Sihat...,” balasku. Kupandang Aqel. Dia juga nampak sihat walfiat. Tidak perlu bertanya perkhabaran dirinya. Aqel seorang yang menitikberatkan kesihatan. Dia pandai menjaga diri.
“Biasa tinggal di...,” iPhone Aqel berdering memintas perbualan ini.
“Kejap ya...,” Aqel menjawab panggilan itu.
Hello... Waalaikumusalam. Dah sampai pagi tadi,” jelas Aqel menjawab pertanyaan si pemanggil di talian. Ada insan yang mengambil berat terhadap Aqel.
“Baru je nak makan sekarang. Lapar...,” Lembut dan manja suara Aqel mengadu keadaan dirinya sekarang. Ada senyuman di bibir Aqel. Gembira dia menerima panggilan itu. Aqel menatapku. Cepat aku melarikan muka. Tidak mahu bertentangan mata dengan Aqel. Mungkin panggilan daripada Rania. Kelihatan perbualan ini santai sahaja. Reaksi Aqel ketika ini pun nampak manja-manja.
“Mestilah rindu...,” Aqel meluahkan isi hati. Tidak peduli aku yang berada di depannya saat ini. Sempat melirik ke arahku. Aku mempamer wajah bersahaja. Berlagak tidak berminat hendak mengikuti perbualan mereka.
“Okey... assalamualaikum...,” Perbualan itu berakhir. Aqel menyimpan iPhone di dalam saku seluar. Makanan yang dipesan dihidangkan. Aqel bercakap sesuatu kepada pemuda itu dalam bahasa Hanguk-eo yang tidak kufahami. Pelayan itu menjemput aku dan Aqel menikmati hidangan di atas meja. Kemudian menundukkan kepala memohon diri.
“Mari makan...,” ajak Aqel mula menikmati hidangan yang dipesan sebentar tadi.
“Emm...sedap kimchi ini. Dah lama tak makan,” tutur Aqel sepenuh perasaan. Kimchi diletakkan di dalam nasi berserta dengan isi ikan. Aqel menyuap lagi lalu mengunyah dengan berselera. Kasihan melihat Aqel persis perempuan hamil yang sedang mengidam.
“Makanlah banyak-banyak...,” arah Aqel mahu aku berselera sepertinya. Aku mengunyah perlahan nasi dan isi ikan. Kemudian menyudu sup lalu menghirup perlahan.
“Ambil kesempatan berada di sini belajar buat kimchi...,” arah Aqel.
“Nanti senang kalau saya teringin nak makan, boleh awak buat untuk saya,” ujar Aqel persis aku dengannya akan tinggal sebumbung dalam masa terdekat ini. Kupandang Aqel.
“Belajar daripada ayah. Kimchi yang ayah buat memang sedap,” ujar Aqel memuji kepakaran Pak Long menghasilkan kimchi yang sedap.
“Saya tak...,” Bicaraku terputus dipintas oleh deringan iPhone Aqel lagi. Ramai yang menghubungi Aqel ketika ini. Makan pun tidak tenteram.
Sorry...,” Aqel meminta ruang dan masa untuk menjawab panggilan itu. Aqel berbual-bual seketika dengan si pemanggil. Kali ini mungkin pelanggan atau rakan perniagaan Aqel. Perbualan ini lebih formal berbanding dengan perbualan awal tadi.
“Okey... saya akan maklumkan bila saya dah balik ke Malaysia nanti,” janji Aqel.
“Ya...Assalamualaikum...,” Aqel menamatkan perbualan itu. Baru sahaja hendak menggembalikan iPhone di dalam saku seluar, iPhone berbunyi lagi mematikan hasrat Aqel.
Annyeong-haseyo...,” sapaan yang keluar dari mulut Aqel menjelaskan bahawa dia menerima panggilan daripada orang Korea ketika ini. Mungkin rakan perniagaan dari negara ini. Aqel berbual-bual dengan pemanggil dalam bahasa Korea. Rancak perbualan mereka. Tidak satupun yang kufahami. Aku menghabiskan suapan terakhir. Semangkuk nasi sudah habis kusimpan di dalam kantung perut. Alhamdulillah kenyang.
“Awak dah habis makan?” tanya Aqel sambil menatap mangkuk kosong lalu mengalih pandangan kepadaku. Aku melawan pandangan Aqel dengan pandangan kosong. Betapa bosan hidup sebagai Aqel. Banyak gangguan dan sering kesuntukan masa.
“Sebelum awak menerima call seterusnya, baik awak habiskan nasi awak cepat,” ujarku memperingatkan. Aqel patuh. Kali ini laju suapan demi suapan dimasukkan ke dalam mulut. Aku menunang air ke dalam gelas Aqel. Persediaan awal sebelum dia tercekik. Tangan Aqel mencapai gelas ini lalu minum air kosong ini dengan rakus. Aku memerhatikan gelagat Aqel dengan perasaan simpati. Hidup Aqel tidak tenteram. 
“Alhamdulillah... akhirnya berjaya saya habiskan nasi ini sebelum iPhone ini berdering lagi,” ujar Aqel lega. Bangga bagai dia telah memenangi pertandingan. Kemudian tersandar seketika di kerusi. Aku menatap Aqel. Hidupnya sungguh menyedihkan. Di sebalik kemewahan yang dimiliki dia sentiasa bersaing dengan waktu yang sering mencemburuinya.     
“Mari...saya hantar awak balik ke rumah. Sekejap lagi saya ada urusan di luar,” jelas Aqel lalu bangkit dari kerusi. Aku bingkas bangun lantas mengekori langkah Aqel ke laman parkir. Langkah Aqel terhenti di depan kereta Honda CR-V putih model terbaru ini. Kupandang Aqel.
“Masuk...,” arah Aqel setelah daun pintu dikuak. Aku menyelinap masuk ke dalam kereta lalu duduk di kerusi penumpang sambil menunggu Aqel mengisi tempat duduk pemandu. Terdetik kehairanan di hati. Aku bukan duduk di dalam kereta Pak Long ataupun Mak Long. Kereta ini tidak pernah aku nampak sebelum ini. Mungkin Aqel baru sahaja menyewa kereta ini bagi memudahkan urusan di sini memandangkan Mak Long tidak dapat meminjamkan kereta kerana membawa mak dan Aziq bersiar-siar. Kereta Pak Long pasti berada di laman parkir Universiti Sogang. Kereta Honda CR-V mula bergerak meninggalkan perkarangan parkir. Baru sedar.
“Kereta siapa ni?” tanyaku meluahkan kemusykilan. Aku mahu jawapan yang jelas.
“Kereta kita...,” sahut Aqel bersahaja. Kupandang Aqel. Kurang jelas dengan bicara Aqel.
“Saya baru beli kereta ini,” tutur Aqel memberi penjelasan yang mudah difahami berkaitan dengan kereta ini. Oh..., perancangan Aqel tidak dapat diterima akalku! Dia beli kereta ini persis dia akan tinggal di sini sehingga memerlukan kereta untuk memudahkan pergerakannya. Padahal genap setahun baru dia muncul di sini. Mungkin ini sahaja cara Aqel hendak menggunakan duitnya yang banyak itu.
“Insya-Allah ada rezeki, saya akan lebih kerap datang sini...,” ujar Aqel menjelaskan betapa perlu ada kereta sendiri. Setiap kali berkunjung ke sini tidak perlu meminjam-minjam kereta Pak Long ataupun kereta Mak Long. Kupandang Aqel lagi. Bicaranya menarik perhatianku.
“Ada urusan kerja...,” tambah Aqel memperincikan bicaranya. Aqel akan datang ke sini lebih kerap atas urusan kerja. Aku tersenyum sendiri. Tidak mahu salah faham.
“Awak juga boleh guna kereta ini bagi memudahkan pergerakan awak kalau nak ke mana-mana,” tambah Aqel bermurah hati hendak meminjamkan kereta ini kepadaku.
“Saya lebih selesa menggunakan pengangkutan awam. Lagipun service pengangkutan awam di sini sungguh memuaskan,” ujarku jujur. Seoul merupakan salah sebuah bandar raya moden di dunia. Masih jauh meninggalkan peradaban teknologi Malaysia. Hakikat yang harus kuterima. Begitu juga dengan rakyat Malaysia yang lain. Kekurangan ini bukan penghinaan sebaliknya mendorong kita agar berusaha memajukan negara.  
“Saya bukan pinjamkan kereta ini pada awak. Ini kereta kita. Jadi awak ada hak ke atas kereta ini. Guna dan jaga sebaik-baik,” tutur Aqel mengingatkan aku.
“Isteri kedua awak,” sahutku berbicara sendiri. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe ialah isteri pertamanya. Aqel tidak pernah berubah. Dia begitu taksub terhadap kereta. Sayangnya pada kereta mengalahkan sayang pada isteri.
“Awak dah ada dua madu,” ujar Aqel tersenyum sendiri. Dahiku berkerut. Dua kali Aqel nikah tanpa pengetahuanku? Biar betul! Namun cepat aku mengerti. Peugeot RCZ Sports Coupe madu pertamaku dan Honda CR-V ini madu keduaku.
“Mungkinkah madu ketiga saya ialah Rania?” Laju sahaja ayat ini keluar dari mulutku. Aku yakin Aqel berbual-bual dengan Rania tadi. Aqel tergelak. Suka.
“Awak cemburu?” tanya Aqel dengan wajah ceria. Tiada penafian daripada Aqel untuk menyangkal bicaraku sebentar tadi. Sebaliknya dia tersenyum panjang. Aku menggeleng.
Really?” tanya Aqel mengujiku. Tidak percaya pengakuanku.
“Kalau itu kemahuan awak, saya takde bantahan,” ulangku bersedia berkongsi suami dengan Rania.
“Hebat awak...,” puji Aqel. Dia tersenyum lagi. Kenyataanku ini pasti menyenangkan hatinya. Tiada halangan Aqel hendak merealisasikan cintanya kepada Rania. Senyap. Aku dan Aqel tidak berbicara lagi. Aqel fokus pada pemanduaan, aku pula lebih senang melontar pandangan keluar melalui cermin tingkap ini. Diam ini berpanjangan sehingga kereta Honda CR-V ini berhenti di perkarangan banglo Pak Long. Aku menolak daun pintu kereta. Tidak perlu menunggu Aqel menjemputku keluar persis menjemputku masuk tadi. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Terima kasih hantar saya balik ke rumah,” ujarku menghargai kesudian Aqel mempastikan aku selamat sampai di sini. Ucapan ini sedikit pelik didengar memandangkan aku dan Aqel sehaluan dan tinggal bersama-sama di banglo kepunyaan ibu bapanya ini. Sepatutnya, aku balik sendiri memandangkan Aqel sedang mengejar waktu dan banyak urusan saat ini. Namun Aqel masih mahu menghantarku. Terima kasih atas keprihatinan Aqel. Aku berbesar hati menerima kebaikan Aqel.
“Awak rindu Haqem?” Hasrat hendak menutup daun pintu kereta ini terhenti. Aku dan Aqel beradu pandangan. Aku diam. Aqel masih menatapku menunggu pertanyaan itu dijawab.
“Pandu kereta hati-hati,” pesanku lalu menutup perlahan daun pintu kereta. Pertanyaan Aqel tidak kujawab. Aku terus melangkah meninggalkan Aqel. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi deruan kereta yang Aqel pandu meninggalkan halaman banglo ini. Aqel ada urusan yang perlu dibereskan. 
“Assalamualaikum...,” sapaku sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Mak dan Mak Long berpaling ke pintu. Salamku disahut. Senyuman mereka menyambut kepulanganku.
“Dah jumpa Hyeon?” tanya Mak Long nampak tidak sabar mengajukan pertanyaan itu. Aku mengangguk.
“Dia yang hantar saya balik,” jelasku. Mak tersenyum.
“Mana dia?” tanya Mak Long hairan melihat Aqel tidak muncul-muncul lagi.
“Dia ada urusan sekarang,” jelasku. Kedengaran keluhan Mak Long. Tidak  suka dengan kesibukan Aqel.
“Kamu dah makan?” tanya Mak Long lagi. Aku mengangguk sekali lagi.
“Makan dengan Aqel tadi,” ujarku buat Mak Long dan mak tersenyum. Setiap masa yang diisi bersama Aqel pasti akan menggembirakan mak dan Mak Long.
“Kamu berdua patut sentiasa meluangkan masa bersama,” ujar Mak Long tidak berselindung. Tepat andaianku.
“Betul...,” sokong mak bersetuju dengan bicara Mak Long. Mak dan Mak Long akan gembira kalau banyak masaku dihabiskan bersama Aqel. Aku tersenyum sekilas. Bukan itu yang Aqel mahukan. Kalau tidak Aqel tidak akan melontar aku sejauh ini. Aku tidak akan berada di bumi Seoul ini. Aqel tidak akan menunggu masa setahun berlalu untuk bertemu denganku.
“Saya nak solat zuhur dulu. Lepas tu baru boleh berbual panjang dengan mak dan mama. Hari ini ada plan nak pergi ke mana-mana tak?” tanyaku teruja mahu melupakan hal aku dengan Aqel. Kisah hidupku dengan Aqel tidak perlu difikirkan. Biar masa yang menentukan.
“Kamu tak boleh ikut. Duduk rumah tunggu Aqel balik,” perintah mak. Aku menarik muka masam. Bicara mak tidak menggembirakanku. Bukan sebab tidak suka hendak menunggu kepulangan Aqel sebaliknya tidak mahu tinggal bersendirian di banglo ini.  Mak Long tersenyum.
“Ini saja masa kamu bersama Aqel. Pergilah solat sekarang,” ujar mak lantas mengarah aku bergerak ke bilik untuk menunaikan solat. Aku tidak membantah kata-kata mak. Kuatur langkah longlai masuk ke bilik. Nampaknya sepanjang petang ini, mungkin sehingga ke malam aku bersendirian di banglo ini menunggu kepulangan Aqel. Bosan bersendirian. Harap-harap Aqel tidak akan menderaku. Penantian itu sungguh menyeksakan.

Aku bangkit dari sofa lalu melangkah ke dapur. Kutuang segelas air kosong lalu kuteguk. Kupandang makanan yang terhidang di atas meja, menanti kepulangan Aqel. Aku melepaskan keluhan. Makanan itu sudah lama dingin. Usai mencuci gelas di singki, aku kembali ke ruang tamu menonton tv semula. Bosan. Tayangan di tv tiada yang menarik minatku. Kupandang jam di dinding. Sudah menjangkau ke pukul 9.00 malam. Aqel belum juga balik-balik. Mak, Aziq, Mak Long dan Pak Long juga belum muncul-muncul. Puas sungguh mereka bersiar-siar di sekitar bandar Seoul.
Mungkin mereka sudah meninggalkan Seoul. Esok hari Sabtu, bermakna tiada kuliah. Cuti hujung minggu ini, Pak Long dan Mak Long membawa mak dan Aziq bercuti di luar bandar raya Seoul. Aku berandaian sendiri. Sunyi sepi. Bosan sendirian di rumah. Aku dikejutkan dengan deringan iPhone di atas meja di depanku. Kucapai iPhone dan menatap nama Aziq di dada skrin. Terasa andaianku benar belaka. Mungkin Aziq menghubungiku sekadar mahu memaklumkan bahawa mereka tidak balik malam ini. Jadi tidak perlu tunggu kepulangan mereka. Lantas kujawab panggilan ini. Tidak mahu berteka-teki lagi.
“Assalamualaikum... Di mana sekarang?” Laju sahaja pertanyaan kuajukan kepada Aziq. Aziq tergelak-gelak. Suka meninggalkan aku sendirian di sini. Kejam.
“Along... kami bercuti jauh ni. Sengaja nak suruh Along dan abang Aqel berdua-duaan di rumah malam ini,” tutur Aziq mensahihkan andaianku sebentar tadi.
“Huh...,” Aku terkedu. Tidak diduga. Sukar hendak percaya.
“Sampai hati tak bawa Along...,” keluhku kecewa. Sedikit terkilan.
Sorry... Along,” Aziq tergelak lagi. Gembira benar menderaku bersendirian di rumah ini. Aqel pun belum balik lagi. Tidak guna juga aku tinggal di sini. Sia-sia sahaja mak menyuruh aku menunggu kepulangan Aqel andai anak muda Mak Long ini juga tidak balik ke rumah malam ini.
“Mak pesan... layan abang Aqel baik-baik. Assalamualaikum...,” Kedengaran gelak Aziq dan panggilan ini terus dimatikan. Aku terkebil-kebil diperlakukan sebegini. Sedih dan geram. Belum sempat bertanya bila mereka akan balik. Di luar Seoul itu di mana. Maklumat yang Aziq beri sedikit sahaja. Tidak lengkap. Aku masih mahu berbual-bual panjang dengan Aziq. Mahu juga mendengar suara mak dan Mak Long. Mereka sepakat mahu menderaku. Kucapai remote lantas mematikan tv. Aku bingkas bangkit dari sofa lalu mengatur langkah longlai ke bilik. Aku merebahkan tubuh di atas tilam. Terkebil-kebil menatap siling dengan perasaan tidak puas hati.
“Tak patut Aqel muncul hari ini,” ujarku menyalahkan Aqel. Kalau Aqel tidak datang hari ini pasti aku sudah bersama mereka sekarang. Mak dan Mak Long tidak akan tega membiarkan aku sendirian di rumah ini. Semua ini salah Aqel. Bukan. Sepatutnya, aku meminta keizinan  daripada Aqel untuk menyertai mereka. Jikalau Aqel mengizinkan pasti mak tidak akan menghalangku pergi bercuti bersama mereka.
Aku melepaskan keluhan. Bagaimana aku hendak memohon keizinan Aqel sedangkan aku langsung tidak tahu perancangan mak dan Mak Long pada hari ini. Yang pasti mak dan Mak Long merancang semua ini. Mereka memang mahu meninggalkan aku bersama Aqel di rumah ini. Kupandang jam. Sudah melewati pukul 10.00 malam. Aku menguap beberapa kali. Mengantuk. Tidak mampu terus menunggu kepulangan Aqel. Kupejamkan mata rapat-rapat.   
Aqel duduk di atas kerusi di sisi katil itu sambil memandang ke arah gadis itu. Sudah lama dia memerhatikan gadis itu. Pandangan statik mengarah ke wajah putih bersih itu. Sepasang mata yang cantik sentiasa berkaca-kaca dengan bulu mata yang panjang melentik. Kening terukir indah, hidung mancung dan bibir kemerahan yang nipis.
“Beruntung saya memiliki isteri secantik awak,” bisik suara hati Aqel memuji gadis yang sedang lena di atas katil itu. Matanya masih merenung gadis itu.
“Cepat balik ke rumah. Lia sendirian sekarang. Dia tunggu kamu balik,” suara Puan Helda mengarahkan balik masih kedengaran. Aqel tersenyum sendiri. Gembira kalau betul kepulangannya ditunggu-tunggu gadis ini.   
    “Susah sangat nak memiliki hati awak,” keluh Aqel. Terasa ada mata sedang memerhatikan aku. Perlahan-lahan aku mengangkat kelopak mata. Aku dan Aqel beradu pandangan. Bingkas aku bangkit dari perbaringan ini. Tersentak melihat Aqel sedang memerhatikan aku.
“Lama dah awak balik?” tanyaku. Aqel mengangguk. Kupandang jam. Sudah pukul 1.00 pagi. Kira-kira lebih sudah dua jam aku lena.
“Lama dah awak perhatikan saya tidur?” tanyaku segan. Aqel mengangguk. Tiada penafian menambah rasa seganku. Aku garu-garu kepala yang tidak gatal.
“Teringin nak lakukan banyak perkara yang boleh buat awak cemburu,” butir bicara Aqel sungguh jelas di telingaku.
“Huh...,” Aku memandang Aqel.
Kurang jelas pada bicara Aqel. Dia bingkas bangun dari kerusi lalu bergerak ke meja itu. Aqel melabuhkan duduk di situ lalu menghidupkan laptop. Sudah lewat Aqel belum mahu tidur lagi. Persis dia tidak pernah rasa letih walaupun sepanjang hari telah mengerah tenaga. 
“Awak belum mahu tidur lagi?” tanyaku.
“Banyak kerja yang perlu saya siapkan,” sahut Aqel sambil menatap laptop di depannya. Jari-jemarinya lincah menekan-nekan aksara di papan kekunci. Ada dokumen yang perlu disiapkan.
“Boleh minta tolong tak?” tanya Aqel. Dia menoleh ke arahku. Kami berpandangan.
“Minta tolong apa?” tanyaku. Jarang Aqel meminta pertolonganku.
“Tolong buat air untuk saya,” pinta Aqel tersenyum.
“Nak air apa?” tanyaku sambil bingkas bangun dari katil ini.
“Air kasih sayang ada?” Aqel tersenyum lagi. Aku menjeling Aqel. Tidak suka bicaranya.
“Air kopi panas,” pintanya lebih serius.
“Okey...,” sahutku lalu melangkah ke muka pintu. Mahu ke dapur menyiapkan secawan kopi panas untuk Aqel. Jelas Aqel mahu  berjaga malam ini. Kulontar pandangan  ke arah meja makan. Sudah tiada hidangan di situ. Aqel telah makan dan mencuci pinggan-mangkuk itu. Lega. Sempat juga Aqel menjamah hidangan malam yang kusediakan. Sebentar kemudian aku kembali masuk ke bilik bersama secawan kopi panas yang masih berasap-asap. Kuletakkan kopi ini di sisi meja di tepi tangan Aqel.
“Hati-hati air kopi ini panas,” ujarku memberi peringatan.   
“Terima kasih,” tutur Aqel tidak sempat menatapku. Pandangannya terikat pada skrin laptop di depan. Khusyuk dia menyiapkan kerja.
“Datang jauh-jauh ke sini awak masih terikat dengan kerja-kerja awak. Kalau dah tahu banyak kerja, buat apa datang sini,” keluhku janggal melihat kehidupan Aqel yang sentiasa dibebani dengan kerja yang tidak pernah habis. Aqel berpaling menatapku. Dia tersenyum. Kemudian mengalih pandangan semula ke skrin laptop. Bicaraku tidak disahut. Aku kembali membaringkan tubuh ke atas katil. Kutarik selimut menutupi tubuh. Kulontar pandangan ke arah Aqel yang kelihatan leka menyelesaikan kerja. Pasti dia datang ke sini kerana mahu memenuhi permintaan Mak Long. Bukan atas kemahuan sendiri.
“Pastikan awak padamkan lampu nanti dan jangan lupa pasang lampu tidur,” pesanku mahu melelapkan mata menyambung tidur semula. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Aqel mengangguk. Tiada suaranya yang menyahut. Fokus pada kerja yang perlu diselesaikan.

AKU menatap di sebelahku. Kosong. Tiada tubuh Aqel terbaring di sini. Kulontar pandangan ke arah meja itu, tiada laptop Aqel di situ. Kupandang sekeliling bilik ini. Aqel juga tidak berada di sini. Sekeping memo merah jambu ditampal di cermin meja solek. Bingkas aku bangun lalu menghala langkah ke situ. Tulisan tangan Aqel pada memo merah jambu.

~Saya balik ke Malaysia. Tak sampai hati nak kejutkan awak. Penerbangan Seoul ke Kuala Lumpur  awal subuh ini. Saya tinggalkan kunci kereta untuk awak. Jaga diri baik-baik... Aqel ~

Aku terkedu. Sukar hendak percaya. Tergesa-gesa Aqel balik sampai tidak sempat hendak memaklumkan perkara ini kepadaku. Aqel...Aqel... Datang tidak diduga, balik tidak dijangka. Aku melepaskan keluhan panjang. Aku tidak mampu hendak menghalang kepergian Aqel. Ada perkara yang lebih mustahak berbanding terus berada di sini. Kalau tidak masakan Aqel bergegas hendak balik ke Malaysia. Tanpa diminta wajah Rania menjelma di mataku.