Wednesday, 24 June 2015

Namaku Bukan Flora....bab 72


BAB 72

Aku mengemas meja sambil pandangan mata memerhatikan jam di dinding. Tinggal beberapa minit sahaja lagi tamat waktu bekerja hari ini. Idlan sudah bersiap-sedia menunggu kedatanganku menjemputnya. Baru sebentar tadi dia menelefonku. Bimbang aku terlupa tentang agenda kami hari ini. Kasihan Idlan. Tidak sabar-sabar dia hendak bertemu dengan Datin Sofea. Pukul 05.05 petang. Aku bergegas meninggalkan bilik ini. Setibanya di kawasan perumahan elit ini, pintu pagar sudah tersedia terkuak menjemputku masuk. Idlan yang sedang tercengat di muka pintu terus sahaja meluru ke arahku sebaik sahaja enjin kereta dimatikan. Nampak teruja sangat dirinya. Mak cik Tijah berlari-lari anak mengejar Idlan. Tidak sempat aku hendak keluar, Idlan terlebih dahulu membuka daun pintu kereta. Pantas sahaja duduk di sebelahku.
“Haqem tahukan Idlan keluar dengan saya?” kulontar pertanyaan kepada Mak cik Tijah. Dia mengangguk dan tersenyum.
“Tak payah risau. Idlan memang dah maklumkan perkara ni pada Encik Haqem” jelasnya.
“Saya akan jaga Idlan dengan baik” janjiku. Mak cik Tijah mengangguk dan tersenyum lagi. Mak cik Tijah mahupun Haqem mahukan jaminan keselamatan Idlan.
“Kami pergi dulu mak cik” ujarku meminta diri. Tidak sempat hendak berbual panjang dengannya. Nampak sangat Idlan sudah tidak sabar-sabar dengan agenda hari ini.
“Hati-hati” balasnya memberi peringatan. Aku mengangguk. Idlan dan Mak cik Tijah saling bertukar lambaian tangan. Kereta kupandu perlahan-lahan bergerak meninggalkan halaman banglo ini ke destinasi yang telah dirancang dengan misi yang besar. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan ini. Aku sangat mengharapkan layanan baik daripada Datin Sofea pada pertemuan pertamanya dengan Idlan. Aku melirik ke arah Idlan yang masih mengunci mulut. Mungkin dia berdebar-debar hendak bertemu dengan neneknya. Barangkali juga sedang membayangkan pertemuan itu. Ada sampul besar didakapnya kemas. Mungkin juga buah tangan untuk Datin Sofea.
“Sampul apa tu?” tanyaku mengajak Idlan berbicara. Cuba menghilangkan gemuruhnya. Idlan berpaling ke arahku. Dia tersenyum. Senyuman indah untuk dipamerkan kepada Datin Sofea. Mudah-mudahan hati Datin Sofea akan lembut menatap senyuman ini.
“Dalam ni semua kad yang mama tulis untuk nenek. Saya nak bagi pada nenek” ujarnya teruja. Aku terkedu. Rawan hati mendengar bicara Idlan. Mudah-mudahan Datin Sofea gembira menerimanya.
“Mesti nenek kamu gembira menerimanya nanti” ujarku menambah keriangan hati Idlan. Bertambah lebar senyuman yang terukir di bibirnya. Sekejap sahaja timbul rasa bersalahku. Tidak patut aku memberi harapan yang indah kepada Idlan. Kedinginan Datin Sofea tidak pernah menjanjikan kebahagiaan buat orang lain. Bimbang Idlan akan terluka nanti.
“Kita nak ke mana ni Mak Usu? Bukan pergi rumah nenek?” tanya Idlan bertalu-talu.
“Kita jumpa Datin Sofea di Kelab Bukit Kota. Nenek kamu suka main golf di situ” jelasku. Idlan mengangguk. Aku telah menyiasat jadual pergerakan Datin Sofea. Setiap hari Isnin Datin Sofea dan kawan-kawannya akan bermain golf di situ.
“Kamu boleh janji dengan auntie? Walau apa yang berlaku hari ini kamu takkan bersedih” pintaku. Aku mahu memberi peringatan awal kepada Idlan. Pertemuan yang tidak dirancang ini mungkin tidak seindah yang difikirkannya. Idlan mengangguk dan tersenyum.
“Saya takkan marah pada nenek kalau nenek tak suka saya” sahutnya tenang. Aku terkedu. Pilu hatiku menatap ketabahan budak lelaki ini. Dia ada keberanian yang luar biasa.
“Saya hanya nak jumpa nenek nak serahkan kad-kad yang mama tulis ni. Saya nak gembirakan mama di sana” jelas Idlan menambah hiba hatiku. Mahu sahaja menitis air mataku namun segera kutahan. Sungguh suci murni hatinya.
Auntie janji akan pastikan semua kad itu akan sampai di tangan nenek kamu” nekadku berjanji. Idlan tersenyum lebar. Dia menarik nafas lega.
“Terima kasih Mak Usu” ujarnya persis terhutang budi kepadaku. Aku tersenyum. Apa yang bakal berlaku sebentar nanti aku akan hadapinya. Aku tidak akan mengalah pada Datin Sofea demi Idlan. Walau apapun yang berlaku misi ini mesti berjaya. Pertemuan Idlan dengan Datin Sofea mesti berlangsung hari ini. Aku memakir kereta. Lantas melontar pandangan ke arah barisan kereta mewah yang tersadai di laman pakir. Cuba menjejaki kereta Datin Sofea. Lega. Aku nampak kereta BMW milik Datin Sofea ada di situ. Tidak jauh daripada kereta Waja mak ini.
“Kita tak boleh masuk ke dalam sebab kita bukan ahli kelab ini. Kita tunggu saja dalam kereta ye...” jelasku. Idlan mengangguk faham. Maka aku dan Idlan hanya mematungkan diri di dalam kereta Waja ini menanti kemunculan Datin Sofea. Pandanganku tidak menjauhi pintu utama itu. Tidak mahu terlepas pandang kelibat Datin Sofea. Kami begitu setia menanti kemunculan Datin Sofea. Sesekali aku melirik ke arah Idlan. Jemarinya memegang kemas sampul  itu. Dia seperti sedang berfikir.
“Fikirkan apa?” suaraku memecah kesepian. Idlan tersenyum.
“Nak cakap apa bila jumpa nenek nanti ye...” Aku terdiam. Perkara itu yang sedang difikirkannya. Kucapai jemari Idlan lalu menggenggamnya.
“Cakaplah apa yang kamu nak cakap...” arahku.
“Nenek pasti sebaik ibu... Mak Usukan” ujar Idlan membandingkan mak dengan Datin Sofea. Aku mengangguk. Idlan ialah darah daging Datin Sofea dan zuriat tunggal Harianie yang ada di muka bumi ini. Pasti Datin Sofea akan berlembut dengan Idlan. ‘Ya Allah... permudahkanlah urusan ini. Lembutkanlah hati Datin Sofea untuk melimpahi Idlan dengan kasih-sayangnya. Amin’. Berkali-kali aku bermunajat agar pertemuan ini membahagiakan Idlan.
“Kamu tunggu kat sini ye...” arahku lantas menolak daun pintu kereta. Idlan mengangguk. Aku mempercepatkan langkah mendekati Datin Sofea yang bersama Bella sedang melewati pintu utama. Kehadiranku langsung tidak disedari mereka.
“Datin.... datin...Datin Sofea..!” panggilku separuh melaung kerana suaraku tidak didengarnya. Langkah Datin Sofea dan Bella terhenti. Serentak mereka berpaling ke arahku.
“Hey... perempuan berani kamu muncul di depan saya!” garang suara Datin Sofea menyapaku. Mata Bella tajam menatapku. Sejak pertemuan pertama dia memang dingin denganku.   
“Saya ada hal penting nak cakap dengan datin” ujarku bertenang.
“Kenapa? Haqem dah buat kamu mengandung ke?” tanyanya sinis. Aku berisytigfar beberapa kali. Sekejam itu tudahan dilemparkan kepadaku. Tebal sangat kebencian Datin Sofea kepadaku.
“Perempuan macam kamu ni memang tak boleh dipercayai. Ada laki tapi boleh curang lagi. Perempuan yang tak tahu malu. Memang patut saya halang kamu dengan Haqem hidup bersama. Sekarang kamu nak saya nikahkan kamu dengan Haqem” lancang mulut Datin Sofea melancarkan serangannya. Bertubi – tubi bagai peluru pandu. Aku menarik nafas panjang. Berisytigfar banyak – banyak. Nauzubillahminzalik. Hina sangat aku di mata perempuan ini.
“Suruhlah suami kamu yang bodoh itu jaga kamu sampai bersalin. Saya tak nak cucu. Berambus sekarang...!!!” tengking Datin Sofea angkuh.  
“Saya tak mengandung datin...!” tinggi suaraku menepis tuduhan kejam Datin Sofea. Terancam kesabaranku mendengar Aqel turut menerima penghinaannya.
“Saya datang sini nak datin jumpa cucu datin. Idlan Raid... anak tunggal arwah Harianie” tegasku. Datin Sofea dan Bella terdiam menatapku. Mereka terpana seketika.
“Idlan nak jumpa datin” jelasku mengharapkan persetujuan Datin Sofea.
“Saya tak nak jumpa budak tu. Bawa dia berambus dari sini!” bentak Datin Sofea.
“Mari kita balik, Bella” Datin Sofea sudah memulakan langkahnya.
“Datin....tolonglah jumpa Idlan sekejap saja. Dia nak jumpa sangat dengan datin” rayuku tidak mahu cepat mengalah. Kucapai tangan Datin Sofea. Cuba menghalangnya pergi.
“Sekarang kamu nak gunakan budak itu pula untuk kepentingan kamu..!” bentak Datin Sofea menyinga. Aku menggeleng beberapa kali. Langsung aku tidak pernah terfikir ke arah itu.
“Bukan datin. Percayalah... Idlan nak jumpa datin. Dia nak serahkan barang peninggalan arwah untuk datin” ujarku cuba memujuknya.
“Saya tak nak. Tak naklah..! Lepaskan tangan saya..!!!” bentak Datin Sofea bertambah garang. Sekuat tenaganya tubuhku ditolak. Aku jatuh terjelompok di atas jalan. Aduh..., sikuku luka!
“Datin tak boleh pergi...” Aku bingkas bangun lalu menerpa ke arah Datin Sofea. Kupaut lengan Datin Sofea menghalangnya pergi. Datin Sofea tidak mampu bergerak ke mana-mana lagi. Aku nekad. Bella cuba menarikku. Namun tidak mudah aku melepaskan lengan Datin Sofea. Kukunci mati pautan tanganku pada lengan Datin Sofea. Bella menarik tudungku. Terasa kuat cengkaman tangannya menarik rambutku. Aku bertahan. Tidak akan aku lepaskan Datin Sofea pergi selagi pertemuaan itu tidak berlangsung. Datin Sofea dan Idlan mesti bertemu.
“Lepaslah..!!!!” tengking Datin Sofea dengan murka. Dia tidak berdaya bergerak lagi.
“Maafkan saya datin. Saya tak boleh biarkan datin pergi selagi datin tak jumpa Idlan. Kasihan budak tu datin. Dia bersedih atas kepergian ibunya” rayuku cuba memujuk Datin Sofea.
“Saya kata tak nak...! Kamu faham tak...!!!” tengking Datin Sofea.
“Bella... pergi panggil pangawal sekarang...!” jerit Datin Sofea mengarah bakal menantu pilihannya. Jodoh Haqem sudah ditetapkan dengan gadis ini. Bella lahir dari keluarga yang ada darjat, pangkat dan harta kekayaan. Memang padan dengan Haqem.
“Pengawal ... datang sini cepat...!!! Ada perempuan gila di sini buat kacau...!!!” suara Bella bergema. Bunyi derap langkah berlari semakin dekat. Aku ditarik oleh tangan sasa dua orang lelaki ini. Berusaha bertahan. Tenaga kuat lelaki ini bukan tandinganku. Mudah sahaja mereka memisahkan aku dengan Datin Sofea. Datin Sofea terlepas dari pautanku. Dia mendengus kasar. Marah diperlakukan sedemikian.
“Jangan pergi datin... tolonglah...” rayuku tidak mampu menghalangnya pergi. Tanganku dipegang oleh dua orang pengawal yang bertubuh sasa ini. Aku dikawal rapi.
“Datin tak boleh buat macam ni pada Idlan...” rayuku lagi. Tetiba sahaja langkah Datin Sofea terhenti. Dia berpaling ke arahku. Aku sudah berjaya menghalang Datin Sofea meninggalkan tempat ini sebelum menemui Idlan? Datin Sofea melangkah mendekatiku. Tanpa kuduga tangan Datin Sofea melayang di awangan lalu hinggap di pipiku dan turut mengena bibirku. Perit. Mukaku terpaling. Terasa panas mengalir di bibirku. Darah.
“Ini balasan untuk kamu yang sentiasa mahu menyusahkan saya!” bentak Datin Sofea penuh dendam. Laju tanganku mengelap darah yang keluar dari celah bibir yang pecah ini. Datin Sofea tersenyum sinis.
“Datin tak boleh pergi...” pintaku tidak berdaya. Aku dikawal ketat. Tidak mampu mendekati Datin Sofea. Bella sudah menghidupkan enjin kereta BMW itu.
“Datin tak boleh pergi begitu saja...!!!” bentakku meronta – ronta cuba melepaskan diri. Aku mahu menghalang Datin Sofea meninggalkan tempat ini selagi tidak bertemu dengan Idlan. Datin Sofea tidak mengendahkannya.
“Lepaskan saya... Saya tak boleh biarkan dia pergi” tegasku meminta lelaki ini membebaskan aku daripada kawalan ketat mereka. Aku meronta-ronta berusaha melepaskan diri.
“Baliklah cik... cik cedera ni” ujar lelaki ini. Aku menggeleng.
“Saya tak boleh biarkan perempuan itu pergi” tegasku berdegil.
“Tak boleh cik... Baliklah...” arah seorang lelaki ini pula.
“Lepaskan saya...” Aku meronta masih cuba melepaskan diri. Masih berpeluang menghalang kepergian Datin Sofea bersama Bella. Ada kesempatan juga Idlan bertemu dengan Datin Sofea. Aku tidak boleh mengalah dengan mudah.
“Encik tolong lepaskan saya. Saya mesti halang Datin Sofea pergi...” rayuku meminta belas kasihan kedua-dua lelaki ini.
“Cik... janganlah berdegil. Kalau cik masih juga begini kami tak akan teragak-agak hantar cik ke balai” gertak lelaki ini. Balai polis? Penjenayahkah aku? Aku tersenyum sinis. Tercuit hatiku mendengar kenyataan yang tidak masuk akal ini.
“Salah ke saya nak temukan anak yatim piatu dengan neneknya? Jahat ke saya nak temukan cucu dengan neneknya..!” bentakku kesal. Sungguh terkilan.
“Patut ke encik nak humban saya ke lokap kerana saya orang miskin yang tak setaraf dengan perempuan yang kaya tu...!” bentakku melempiaskan kekecewaanku.
“Sabar... cik...” pujuk lelaki ini.
“Lepaskan saya...!” bentakku radang.
“Mak Usu...” Serentak aku dan dua orang lelaki ini berpaling ke arah Idlan yang terkebil-kebil menatapku. Tanganku dilepaskan. Idlan meluru ke arahku.
“Mak Usu takpe?” tanya Idlan. Aku mengangguk. Kutatap sampul yang masih berada dalam dakapan kemas Idlan. Hatiku pilu.
“Maafkan auntie...” ujarku terkilan. Idlan senyum dan geleng kepala. Lantas kupeluk tubuh Idlan. Aku menangis teresak-esak dan terduduk di jalan sambil diperhatikan oleh dua orang lelaki ini. Terasa longlai seluruh tubuhku. Aku telah mengecewakan Idlan.
“Maaf... Saya tak boleh menangis sama Mak Usu. Saya dah janji takkan menangis” ujar Idlan menambah derita hatiku. Tangisanku kian kuat. Kupeluk erat tubuh Idlan. Aku tidak mempedulikan kewujudan dua orang lelaki ini.
“Kamu memang anak yang baik” ujarku tersedu-sedan.
“Kamu berdua memang suka buli perempuan?” suara garang lelaki menerpa telingaku. Aku dan Idlan mendongak.
 “Aqel... uncle Aqel...” suaraku dengan Idlan bersatu menyebut nama ini.
“Maaf encik.... ini tugas kami” sahut lelaki ini.
“Kamu boleh pergi dari sini” arah Aqel. Mereka mengangguk lantas beredar pergi. Aqel menghulurkan tangannya kepadaku. Cuba membantuku bangun. Kupandang Aqel. Berat hati mahu menyambut tangannya. Tiba-tiba sahaja Idlan mencapai tanganku lalu menyatukannya dengan tangan Aqel. Aku terkedu dengan tindakan Idlan ini. Aqel memaut kemas tanganku lalu membantuku berdiri. Kini aku sudah berdiri di sebelah Aqel. Diapit oleh dua orang lelaki ini.
“Kamu dah menyerah kalah?” tanya Aqel sambil tersenyum menatap Idlan. Laju Idlan menggeleng. Aku tidak mengerti. Rahsia Aqel dan Idlan tetap menjadi rahsia.
“Saya budak lagi... tak cukup kuat nak bantu Mak Usu bangun” tingkah Idlan tidak bersetuju dengan kata-kata Aqel. Aqel tersenyum lebar. Bicara Idlan mencuit hatinya.
“Masuk kereta saya” arah Aqel. Kupandang Aqel.
“Kereta Waja?” tanyaku. Tidak mungkin aku meninggalkannya di sini sahaja.
“Siku awak luka. Bibir awak pun pecah dan kemarahan awak membuak-buak sekarang. Awak tiada tumpuan nak drive sendiri” jelas Aqel panjang lebar. Aku mengetap bibir. Bicara Aqel ada benarnya. Memang ada kemarahan yang membahang membakar hatiku saat ini. Rasa tidak puas hati dengan keangkuhan Datin Sofea.
“Tapi... takkan saya nak tinggalkan Waja tu kat sini” tingkahku berat hati. Aku tidak akan meninggalkan kereta mak di sini. Biarlah aku menanggung kesakitan asalkan Waja itu sampai di halaman rumah mak. Kereta mak tidak akan sewenang kutinggalkan di sini sahaja. Aku mesti menjadi peminjam yang bertanggungjawab.
“Waja tu dah selamat sampai di garaj rumah. Kalau awak tak caya call mak” ujar Aqel membuat kejutan kepadaku. Aku terlopong. Lantas aku melangkah laju ke laman pakir mahu mempastikan kesahihan bicara Aqel. Bulat anak mataku menatap laman letaknya kereta Waja tadi yang sudah kosong. Aku berpaling ke arah Aqel.
“Kalau awak masih sangsi... awak tanya mak sekarang” ujar Aqel lantas mengeluarkan iPhonenya. Mahu menghubungi mak. Mengarahkan aku sendiri bertanya perkara ini kepada mak.
“Eh... tak payah call mak. Saya percaya awak kali ini” jelasku segera mematikan hasrat Aqel. Aqel tersenyum. iPhone di tangan dimasukkan ke dalam saku seluar kembali. Bimbang mak akan mengetahui kejadian petang ini. Aku mesti berbincang dengan Aqel agar perkara ini tidak sampai ke pengetahuan mak. Tidak mahu membabitkan Idlan dalam perkara ini. Mak pasti tidak senang dengan permintaan Idlan ini.
“Mari Idlan...” Aqel sudah memaut tangan Idlan mengubah haluan langkah ke arah keretanya yang pakir tidak jauh dari situ. Aku mengekori mereka dengan langkah longlai. Rasa hampa yang mendalam. Terkilan tidak dapat mempertemukan Idlan dengan Datin Sofea. Rasa sedih sebab Datin Sofea langsung tiada keinginan mahu bertemu dan berkenalan dengan cucunya. Sungguh menyedihkan. Aku berpaling ke arah Idlan yang sudah tersandar di kerusi penumpang belakang sambil termenung jauh. Dia masih mendakap kemas sampul itu.
“Kita hantar Idlan balik dulu. Lepas tu saya bawa awak ke klinik” suara Aqel memecah kesepian. Laju aku berpaling ke arah Aqel.
“Tak perlu ke klinik. Kita balik saja” tingkahku. Berkerut dahi Aqel. Kurang senang mendengar bicaraku. Aqel menghidupkan enjin kereta.
“Saya minta awak rahsiakan perkara ini dari mak” ujarku menokok bicara.
“Luka siku awak tu macam mana nak rahsiakan?” tanya Aqel bernada sinis.
“Tahulah saya nak cakap apa nanti. Ataupun saya masuk sembunyi-sembunyi... cuba mengelak bertembung dengan mak” jelasku memaklumkan perancanganku. Kedengaran keluhan Aqel. Sudah semestinya Aqel tidak suka dengan perancanganku ini.
“Berhentilah menyakiti diri sendiri” tegas Aqel.
“Aqel...” Laju aku meletakkan jari telunjuk ke bibir. Mohon Aqel memperlahankan suara kerana Idlan ada bersama kami sekarang. Idlan akan rasa bersalah kalau Aqel marahkan aku kerana perkara ini.
“Awak tak perlu lakukan semua ni. Haqemkan ada” ujar Aqel masih tidak berpuas hati. Laju tanganku hinggap di lengan Aqel. Aku menggeleng – geleng. Berharap sangat Aqel tidak akan bersuara tentang perkara ini lagi. Perlahan – lahan kereta ini meninggalkan laman pakir.
“Awak ni baik sangat sampai memakan diri sendiri” keluh Aqel. Nada suaranya sudah perlahan. Aku mengetap bibir menahan perasaan. Hampa dan terguris sudah bersatu.
Sorry ... semua ini salah saya. Saya yang minta Mak Usu aturkan pertemuan ini. Sebab Idlanlah Mak Usu tercedera” suara Idlan mencelah perbualan ini.
“Bukan salah Idlan” tingkahku tidak sanggup melihat Idlan menyalahkan diri. Kecewanya akan bertambah.
“Penting sangat ke pertemuan ni?” Aqel bersuara lagi. Tidak tahu bicaranya mahu ditujukan kepada siapa. Namun Idlanlah yang paling terasa dengan bicara Aqel ini. Tidak patut Aqel mempersoalkannya.
“Ye... sangat penting” sahutku geram. Laju aku berpaling ke tingkap tatkala terpandang kereta Datin Sofea yang berhenti di situ. Rupa-rupanya mereka belum meninggalkan kawasan ini. Aku masih berpeluang mempertemukan Datin Sofea dengan Idlan. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke hujung lengan. Alang-alang sudah buat biarlah sampai ke penghujungnya. Aku nampak Datin Sofea dan Bella baru sahaja menyelinap masuk ke dalam kereta itu. Tiba-tiba sahaja kereta ini berhenti. Aku terdorong ke hadapan. Begitu juga Idlan yang berada di belakang.
“Kenapa ni?” Aku berpaling ke arah Aqel. Aqel memberhentikan kereta secara mengejut. Tangan Aqel menolak daun pintu kereta.
“Tunggu di sini...” arahnya tidak sempat memandangku. Lantas mengunjurkan kakinya keluar. Aqel bangun dari kerusi pemandu lalu meninggalkan aku dan Idlan di dalam kereta ini. Terkebil – kebil aku menatap Aqel yang sedang mengorak langkah ke arah Datin Sofea dan Bella yang sudah berada di dalam kereta.
“Kenapa Mak Usu?” tanya Idlan yang sudah bangun menjenguk ke arahku. Pertanyaan ini tidak terjawab. Pandanganku terikat kepada Aqel. Bingung dengan tindakan drastik Aqel. Idlan turut sama melontar pandangan ke situ. Nampak mereka sedang berbincang. Belum habis perbincangan itu, kereta yang dipandu Bella bergerak. Aku nampak Aqel berlari pantas menggunakan jalan pintas. Cuba mendahului kereta itu. Aqel berjaya melakukannya. Tanpa kuduga Aqel berdiri di tengah – tengah jalan kecil itu sambil mendepakan tangan. Cuba menjadi penghadang jalan. Kereta yang dipandu Bella laju. Aqel boleh kehilangan nyawa jikalau dia tidak berganjak dari kedudukannya itu dan jikalau Bella tidak memberhentikan kereta itu. Kutolak pintu kereta ini. Aku keluar.
“Aqel... jangan lakukannya...!” jeritku sekuat hati. Aqel nekad. Dia langsung tidak berganjak. Statik di situ. Bila-bila masa sahaja dia akan dirempuh kereta yang dipandu Bella.
“Aqel...tidaaakkkk...!” Aku menjerit lagi. Langkahku terhenti di tengah jalan. Aku tidak sempat menghalang Aqel. Kututup mukaku. Tidak sanggup melihat tubuh Aqel dirempuh. ‘Mak Long, maafkan Lia. Lia tak mampu menghalang tindakan Aqel’ suara hatiku berkata-kata. Nama Mak Long menerpa benakku. Wajah sedih Mak Long terbayang di mataku. Kemudian tangisan pilu Mak Long terngiang-terngiang di telingaku.
“Semua ini salah awak...! Awak yang buat Aqel tiada lagi di dunia ni...!” suara Flora menjerit garang. Kemudian dia menangis teresak-esak. Perpisahan yang menyakitkan. Aqel telah meninggalkan dirinya. Salahku kerana menjebakkan Aqel. Aqel tidak patut terlibat dalam persengketaanku dengan Datin Sofea. Kebencian Datin Sofea kepadaku telah mengorbankan Aqel.
“Mak tak patut suruh Aqel jaga kamu dengan baik. Tengoklah apa yang Aqel telah buat”
Mak menyalahkan diri. Air mata berlinangan di pipi mak. Tangisan mak, Mak Long dan Flora bersatu. Tangisan yang meruntun jiwa. Sayu dan hiba. Sungguh menyayat hati. Semua ini salahku. Aqel sepatutnya tidak mengenaliku. Jikalau tiada pertemuanku dengan Aqel, kami tidak akan nikah. Maka pengakhiran hidup Aqel tidak akan jadi begini. Bagaimana Mak Long dan Flora menjalani kehidupan ini tanpa Aqel?
“Flora... bawa Idlan datang sini...!” suara Aqel melaung. Aku tersentak.Aqel masih hidup. Laju kuangkat kelopak mataku. Aqel masih terpacak di tengah – tengah jalan itu berhadapan dengan kereta Datin Sofea. Terlalu dekat. Aku menghela nafas lega. Lapang dada.
Idlan berlari laju melewatiku. Aku terpana tidak mampu berganjak lagi. Bagai kakiku sudah dipaku di sini. Idlan bersama Aqel sekarang. Tangannya dipaut erat lalu mendekati Datin Sofea. Mereka bertentangan mata. Wajah Idlan direnung lama. Aku menyaksikan pertemuan itu. Aku nampak hanya Aqel yang berbicara. Idlan mengucup tangan Datin Sofea. Air mataku menitis ke pipi. Sebak dan terharu. Datin Sofea menyambut sampul yang dihulurkan Idlan. Idlan tersenyum lebar. Idlan berpaling ke arah Aqel. Mereka bertukar senyuman. Tangan Aqel dipautnya lantas memulakan langkah meninggalkan Datin Sofea yang membisu panjang. Pandangan Datin Sofea menyoroti langkah Idlan. Kereta Datin Sofea tidak berganjak dari situ.
 “Mari...kita balik. Misi awak dah berjaya” tutur Aqel bersahaja bagai tiada perkara yang mencemaskan telah berlaku. Senyumannya dengan Idlan bersatu. Ada kepuasan yang terpancar di wajah Idlan. Aku rasa tidak puas hati dengan tindakan berani Aqel. Sedetik tadi terasa bagai nyawaku melayang. Roh terpisah dari jasadku. Denyutan nadiku terhenti. Semangatku punah. Kiranya aku tidak akan mendengar suara Aqel lagi. Kugigit bibir sehingga berbekas menahan gelodak perasaan ini. Syukur... syukur... syukur... Aqel masih bernafas.
“Flora...” sayup – sayup suara Aqel lembut memanggilku. Terasa aku masih di awangan.
“Flora... kenapa ni?” suara cemas Aqel menegurku. Aqel dan Idlan terkebil – kebil menatapku. Aku masih terpana di depan Aqel dan Idlan. Kelu lidah hendak bersuara. Semangatku masih bertebaran. Terasa hangat mengalir di pipiku.   
“Awak okey ke ni?” Terasa bumi ini bergoncang persis berlaku gempa bumi. Bukan. Tangan Aqel berpaut di bahuku lalu menggoncang tubuhku. Laju sahaja tanganku menyapu deraian air mata ini.
“Awak ni kan... Arrggghhhhh...! Arggghhhh...!!!” Aku menangis sekuat hati melempiaskan rasa ketakutan yang mendalam. Longlai kaki ini hendak berdiri gagah, lalu aku bertelaku di atas jalan raya ini. Tidak mampu berganjak lagi. Membutang pandangan Aqel dan Idlan menatapku. Terkejut melihat deraian deras air mataku tika ini.
“Saya tak apa-apalah. Saya masih hidup lagi ni” Aqel bersuara melawan raunganku sambil garu-garu kepala. Mati akal dengan tindakanku. Idlan masih terkebil-kebil menatapku. Kedua-duanya tidak tahu hendak berbuat apa. Masing-masing melopong melihat aku menangis. Lama juga Aqel dan Idlan menemaniku di sini sehinggalah tangisan ini tidak berlagu lagi. Begitu setia mereka berada di sisiku sambil menongkat dagu menyaksikan aku menangis. Terhinjut-hinjut bahuku menahan sisa-sisa tangisan yang kian reda.
“Dah puas awak menangis...” tegur Aqel berhati-hati.
“Otak awak ni kan dah tak betul...!!! Selalu buat perkara tak masuk akal...!” lantang suaraku memarahi Aqel. Aqel terkejut. Tangannya mmengurut-urut dada. Terkejut disergah sedemikian. Membutang matanya menatapku.
“Saya boleh mati terkejut mendengar jeritan awak” rungut Aqel geram. Bingkas aku bangun. Kupandang Aqel dan Idlan silih berganti. Kedua-duanya tidak boleh diharap. Sepatutnya mereka memujukku agar berhenti menangis bukannya terpinga-pinga menyaksikan deraian air mataku. Bukan juga duduk lama bersamaku menanti air mata ini kering. Tidak tahu hendak berbuat apa. Bingkas aku berdiri.
“Saya nak balik sekarang” rungutku lalu mengorak langkah ke kereta. Aqel dan Idlan mengekori langkahku. Aku terus duduk di kerusi penumpang di depan. Cuba tidak mengendahkan Aqel dan Idlan. Langkah berjaga-jaga mengelak diri daripada dikutuk Aqel.
“Nah... lap air mata dan hingus awak tu. Nampak comot sangat” kutuk Aqel sambil menghulurkan tisu kepadaku. Kusentap kasar tisu di tangan Aqel. Kusapu bersih mukaku. Tidak lagi mengendahkan bedak di muka. Aqel di sebelahku tersenyum-senyum sendiri. Pasti suara hatinya sedang mengutuk aku sepuas-puasnya.
“Sayang juga awak kat saya kan” suara Aqel memberhentikan gerakan tanganku. Aku berpaling menatap Aqel.
What?” Berkerut dahiku menatap Aqel. Lelaki ini perlukan penjelasan terperinci. Di sebalik deraian air mata ini ada maksud tersendiri.  
“Saya akan menyalahkan diri seumur hidup jika kereta yang Bella pandu betul-betul merempuh tubuh awak tadi. Nyawa awak terlalu berharga nak disia-siakan begitu saja. Paling saya khuatiri mak, Mak Long dan kekasih awak akan menyalahkan saya sepanjang hayat mereka” ujarku berjela dengan nada serius. Aqel masih tersenyum-senyum. Penjelasanku mungkin tidak memberi makna kepadanya. Lantas kupejamkan mata tanda mahu menyendiri. Paling tenang mahu menenangkan gelodak emosiku. Aku tiada keinginan hendak berbual-bual ketika ini. Mujur juga Aqel memahami diamku. Dia tidak bersuara lagi dan hanya fokus pada pemanduannya.
“Kita dah sampai. Mari Idlan” Aku tersentak. Idlan...! Baru teringat budak lelaki ini bersamaku tadi. Aku berpaling ke belakang. Sebahagian tubuhnya sudah berada di luar.
“Tak payah keluar. Awak duduk sini saja” arah Aqel mematikan hasratku hendak mengiringi Idlan hingga ke muka pintu. Aku terpana di kerusi penumpang ini dengan fikiran yang kosong. Seketika tadi aku melupakan kewujudan Idlan. Rasa bersalah membebani diri. Kupicit-picit dahiku. Bergantung pada sisa-sisa tenaga yang tinggal. Kulontar pandangan keluar melalui cermin jendela ini. Langkah Idlan seiringan langkah Aqel.
Uncle ada kekasih?” tanya Idlan setelah menahan diri dengan persoalan ini sepanjang perjalanan tadi.  Memang tidak sabar-sabar dia hendak mengemukakan pertanyaan ini. Namun ini urusan lelaki. Perkara ini hanya perlu dibincangkan antara mereka berdua. Aqel menatap Idlan.
“Tak baik curi dengar perbualan orang dewasa” tegur Aqel mengusik Idlan. Cuba buat-buat wajah serius. Ketika zaman kecil itulah peringatan yang selalu diperdengarkan kepadanya. Aqel tidak akan mudah lupa pada ajaran ibu bapanya. Semua ajaran itu tersemat dalam dirinya.
Sorry... uncle. Tapi boleh tak uncle cakap jujur” pinta Idlan berharap. Aqel tersenyum. Tercuit hatinya melihat kesungguhan budak lelaki ini. Namun turut kagum. Idlan ada keinginan yang tidak dapat dibendung. Sudah tersemat ciri-ciri lelaki sejati yang gemarkan persaingan dalam dirinya.
“Kamu... nampak bersungguh-sungguh nak mengalahkan uncle” tutur Aqel mengulas sikap Idlan. Idlan mengangguk tanpa ragu-ragu. Telus. Langsung tidak mahu menidakkannya.
“Keberanian uncle merisaukan saya” luah Idlan tidak bersembunyi. Aqel terus sahaja tergelak. Tindakannya sering mendahului pertimbangannya. Lakukan dahulu barulah difikirkan.
“Tapi...  saya tak mudah mengalah” ujar Idlan memberi peringatan kepada Aqel.
“Pantang mengalah sebelum bertarung berhabis-habisan. Itulah yang diperlukan orang lelaki” ujar Aqel menyahut bicara Idlan, budak lelaki yang bersemangat tinggi. Aqel langsung tidak tergugat melihat kesungguhan budak lelaki ini.
“Beruntunglah Pak Usu kamu” tutur Aqel mematikan langkah Idlan. Dia berpaling menatap Aqel. Aqel tersenyum.
“Sebenarnya.... uncle jealous pada Pak Usu, kamu. Beruntunglah dia sebab ada orang yang membantu menyatukan cinta lalu mereka” tutur Aqel berkias-kias.
Uncle kan dah ada kekasih. Uncle bagilah Mak Usu jaga saya. Pak Usu boleh jaga Mak Usu dengan baik” pinta Idlan tidak berselindung lagi. Semakin mekar senyuman yang terukir di bibir Aqel. Nampak kesungguhan Idlan mahu merencana kesinambungan kisah lalu itu.
“Kalau macam tu mintalah Datin Sofea terima Mak Usu menjadi ahli keluarga Idlan” saran Aqel. Laju sahaja Idlan mengangguk. Yakin dia mampu melakukannya. Aqel hanya tersenyum. Hatinya terdetik kekaguman pada kesungguhan budak lelaki yang bercita-cita tinggi ini.
“Kamu ingat lagi tak...pertarungan ini mesti dilakukan dengan adil” ujar Aqel mengungkit perkara itu. Idlan mengangguk.
“Pergilah masuk sekarang. Berehat dan tidur awal malam ini. Apa yang berlaku hari ini tak perlu difikirkan lagi dan jangan sesekali cerita kepada orang lain. Ini rahsia kita bertiga. Orang lelaki mesti kuat. Kamu mesti ingat perkara ini tau” nasihat Aqel menyuntik semangat. Idlan mengangguk. Dia  mengerti. Cerita ini yang berlaku hari ini tidak akan dikongsi dengan Haqem. Berpegang pada prinsip persaingan yang adil, maka dia terpaksa berkongsi maklumat tentang perkara yang direncana. Kemunculan Aqel buat dia rasa terhutang budi.
“Kamu perlu kuat juga jika mahu mengalahkan uncle” ujar Aqel bergurau. Sekadar mahu menceriakan budak lelaki ini. Dia sedang reaksi yang ditunjukkan oleh Datin Sofea tadi kurang menyenangkan. Idlan tersenyum manis. Mak cik Tijah yang berdiri di ambang pintu menyambut kepulangan Idlan sambil tersenyum.
“Terima kasih, Encik Aqel...” ujar Mak cik Tijah sambil menyambut beg pakaian Idlan yang dihulurkan Aqel. Aqel senyum.
“Tak nak masuk dulu? Encik Haqem dah sampai tapi keluar kejap” ujar Mak cik Tijah mempelawa Aqel masuk ke rumah. Idlan tersenyum dan menggeleng.
“Terima kasih, mak cik. Maaflah saya nak balik cepat... ada hal” ujar Aqel bersopan menolak pelawaan perempuan ini. Mak cik Tijah mengangguk dan tersenyum. Dia mengerti kesibukan anak muda ini. Aqel dan Haqem serupa sahaja. Kesibukan mereka tidak pernah berkurangan.
“Saya balik dululah mak cik” Aqel memohon diri. Mak cik Tijah menggangguk dan tersenyum lagi. Mata terpegun pada ketampanan wajah pemuda ini, manakala hati terpaut pada budi bahasa pemuda ini. Teringin memiliki menantu seperti Aqel. Namun dia tetap tumpang gembira kerana Aqel memiliki isteri yang sangat padan dengan dirinya. Lia begitu disenanginya.
Uncle Aqel...” panggilan Idlan mematikan langkah Aqel. Dia berpaling. Idlan berlari anak ke arahnya lalu memeluknya. Aqel terkedu. Mak cik Tijah kehairanan.
“Terima kasih kerana buatkan saya gembira sangat hari ini. Walaupun tak sempat berbual dengan nenek, saya dah berpuas hati sangat dapat tengok orangnya. Mama pasti turut gembira juga sebab saya dah tunaikan hasrat hatinya” jelas Idlan dengan suara separuh berbisik sambil mendongak wajah Aqel. Tidak mahu Mak cik Tijah mendengarkannya. Aqel mengangguk. Diusap-usap kepala Idlan. Tumpang gembira. Kesal Datin Sofea tidak teruja dengan pertemuan itu. Sepatutnya perempuan itu memeluk Idlan dalam tangisan. Pertemuan yang membangkitkan rasa terharu.
“Tak payah risau. Saya takkan bersedih. Orang lelaki mesti kuat” tutur Idlan mengulangi kenyataan itu. Aqel tersenyum. Kata yang pasti akan dikotakan. Terbit simpati di hatinya. Usia sekecil ini memaksa diri menjadi kental. Terasa kejam dirinya kerana telah mengeluarkan kenyataan itu. Namun jika difikirkan sedalamnya ada kebaikan jikalau Idlan menjadi budak lelaki yang matang. Jiwa yang kental dan hati yang cekal. Dia pernah memaksa dirinya menjadi sedemikian. Zaman kecilnya tidak dinikmati persis kebanyakan kanak-kanak yang lain. Perpisahan itu telah merubah kehidupannya. Aqel melepaskan keluhan berat. Enggan mahu mengenang kisah lalu. Bagai ada sembilu yang menghiris perasaannya.
 “Uncle lakukannya kerana Mak Usu kan...” duga Idlan menyentakkan Aqel. Terkebil – kebil Aqel menatap Idlan yang tersenyum sendiri.
 “Uncle ... sayangkan Mak Usu” Idlan berbicara sendiri. Aqel hanya mematungkan diri. Jiwanya terusik dek kenangan lalu yang menghiris perasaan.
“Persaingan semakin sengit” tutur Idlan memberi reaksi pada bicaranya sendiri.
Uncle cepatlah balik rumah, Mak Usu mesti keletihan sekarang. Jangan lupa rawat siku Mak Usu yang luka tu. Malam nanti saya call Mak Usu” petah sahaja Idlan berbicara.
“Assalamualaikum...” Ditinggalkan Aqel yang terdiam panjang.
Uncle... cepat balik...!!!” laungan Idlan dari ambang pintu menyentakkan Aqel. Idlan menunding jari ke arah kereta sebagai syarat mengarah Aqel cepat beredar. Bukan niat budak lelaki itu mahu menghalau. Sebaliknya memikirkan demi keselesaan penumpang yang masih berada di dalam Peugeot RCZ Sports Coupe itu. Kasih Idlan kepada gadis itu tidak terhitung banyaknya. Mungkin juga menyamai kasihnya kepada ibu kandung sendiri.
Aqel melangkah ke kereta. Dipandang gadis yang sedang tersandar lena di kerusi itu. Nampak sangat letihnya. Perlahan-lahan daun pintu kereta dikuak lalu ditutup. Tidak mahu mengganggu lena gadis ini. Kereta dihidupkan lalu meninggalkan perkarangan banglo. Gadis ini menikmati tidur yang nyenyak dan langsung tidak terganggu sepanjang perjalanan ini. Aqel memandang sekilas. Dia melepaskan keluhan kecil tatkala menatap luka kecil pada siku lengan gadis itu. Walaupun dia fokus pada pemanduaannya namun benaknya ligat berfikir. Cuba mencari jalan penyelesaian.
“Bagaimana awak boleh muncul di Kelab Bukit Kota? Rasanya bukan secara kebetulan” suaraku memecah kesunyian sekali gus mengejutkan Aqel. Dia memandangku sekilas dengan pandangan yang kurang senang. Mungkin tidak suka dirinya dikejutkan sedemikian.
“Saya dapat maklumat dari Idlan” jelas Aqel tidak berselindung. Bijak pula Aqel menilik perbincanganku dengan Idlan. Lantas membangkitkan perkara itu kepada Idlan. Suka sangat Aqel membebankan diri dengan hal yang tiada kaitan dengannya.
Sorry ler... saya memang suka menyibuk hal awak” ujar Aqel tersengih persis mendengar suara hatiku yang sedang berbicara. Aku diam. Kulontar pandangan jauh-jauh. Masih tidak puas hati dengan tindakan berani Aqel tadi. Persis nyawanya tidak bernilai. Aku melepaskan keluhan kecil. Takut dan kesal bercampur-baur. Sungguh menggerunkan hendak membayangkan kembali detik cemas. Nyawa Aqel persis telur di hujung tanduk. Sedetik nafasku seakan terhenti. Semangatku terpisah dari jasadku. Aku sungguh-sungguh ketakutan dengan tindakan berani Aqel.
“Terima kasih sebab awak buat Idlan gembira” aku bersuara semula. Aqel tersenyum. Tindakannya menyuntik sedikit kegembiraan budak lelaki itu. Aqel telah menyampaikan hajat Idlan.
“Boleh tak awak janji lain kali jangan pertaruhkan nyawa awak” permintaanku menyusul. Aqel memandangku sekilas.
“Tak kisahpun...” sahut Aqel bersahaja. Mudah sangat. Aku menjelingnya. Geram.
“Kenapa?” tanyaku janggal. Aqel bukan hero drama cinta yang bertindak melulu sehingga membuai perasaan penonton.
“Sebab saya suka tengok awak menangis” jelasnya bersahaja buat aku bertambah geram.
“Memang sah awak ni kaki buli. Suka melihat orang perempuan menangis” dengusku marah. Tidak patut Aqel berbicara begini. Perkara serius bukan boleh dibuat main-main. Mak Long tidak akan dapat menerima kenyataan jikalau sesuatu yang buruk menimpa Aqel. Nauzubillahminzalik. Mak juga akan bersedih. Aku akan menyalahkan diri sepanjang hayatku. Senyap. Bagaikan aku sudah tidak berminat menyambung bicara dengan Aqel. Tidak suka lagaknya yang tidak serius.
“Berhenti membebankan diri awak dengan masalah orang lain. Maka barulah saya boleh hidup tenang” Aku berpaling menatap Aqel.
“Hidup awak tak tenang sekarang?” tanyaku melontar suara kepada Aqel. Aqel memandangku sekilas. Kemudian mengarah pandangannya ke jalan raya kembali. Seminit kemudian aku menyaksikan anggukan kepala Aqel yang panjang.

“Minta maaf banyak-banyak sebab buat hidup awak tak tenang. Saya tak berniat nak bebankan awak” ujarku rasa bersalah yang menggunung. Senyap. Tiada suara Aqel yang menyahut memberi reaksi pada bicaraku. Mahupun menyangkal bicaraku demi mententeramkan gelodak perasaanku tika ini sekali gus menambah rasa bersalahku. Sungguh aku rasa bersalah kepada Aqel.