Monday, 23 March 2015

NamaKu Bukan Flora.... 70





BAB 70

“Selepas ini Pak Usu akan jadi ayah Idlan. Mulai sekarang Idlan akan panggil Pak Usu, papa” cerita Idlan dengan senyuman ceria. Aku turut tersenyum. Berita gembira yang dikongsi bersamaku.
“Baguslah” ujarku menyokong hasrat hati Haqem yang mahu mendaftar nama Idlan sebagai anak angkatnya. Haqem mahu hak penjagaan sah ke atas Idlan. Permohonan pengambilan anak angkat sedang dalam proses. Perkara ini yang Haqem maklumkan kepadaku sebentar tadi. Mudah – mudahan niat suci Haqem dipermudahkan Allah dan segalanya berjalan lancar.  
“Idlan nak Mak Usu jadi mama Idlan” meluncur laju permintaan ini keluar dari mulut Idlan. Aku terpana seketika. Tidak menduga bicara ini akan diperdengarkan di telingaku. Kupandang wajah Idlan yang menggantung harapan setinggi langit kepadaku.
“Mak Usu setuju?” tanya Idlan tatkala aku terdiam seketika. Tidak sabar dia hendak mengetahui kata putusku. Aku menghela nafas panjang. Kupegang tangan Idlan. Lantas kutatap wajahnya. Berat hati mahu berbicara dengan Idlan tika ini. Tidak tega mengguris perasaannya.
“Tak boleh..... sebab auntie dah ada Uncle Aqel” jawabku perlahan cuba tidak menyinggung perasaan Idlan. Namun aku tidak mampu menghalang kekecewaan menerjah naluri halus Idlan. Dia mempemerkan wajah sugulnya.
“Mak Usu sayang Uncle Aqel?” laju sahaja pertanyaan ini diutarakan kepadaku. Aku kaget. Sungguh tidak menyangka Idlan mampu menyoalku sebegini. Idlan tidak mahu ketinggalan mengukur perasaanku kepada Aqel.
“Idlan tetap nak Mak Usu jadi mama Idlan” tegas Idlan nekad sebelum sempat aku menjawab pertanyaan yang dikemukakannya. Idlan berlalu meninggalkan aku bersendirian di sini. Sungguh aku terkesima menatap kesungguhan Idlan meluahkan keinginannya. Tika ini aku merasakan diriku terlontar pada situasi yang sangat sukar. Wajah Aqel dan Haqem menjelma di ruang mataku. Kemudian menyusul pula wajah mak, Mak Long dan Idlan. Tanpa dipinta terbayang wajah Rania, Bella dan Datin Sofea. Semua nama ini menjelma dalam kisah hidupku. Ada cereka tersendiri yang mengaitkan mereka dengan perjalanan hidupku. Flora.....! Tidak semena – mena hatiku menyeru nama gadis ini. Gadis yang Aqel harapkan menjadi teman hidupnya. Mak Long perlu tahu gadis ini telah membelenggu jiwa Aqel. Aqel hidup dalam ilusi yang panjang. Mak Long perlu merestui pilihan Aqel demi kebahagiaan anak mudanya itu. Tika ini aku rasakan hanya aku yang mampu menamatkan kisah hidup yang tidak jelas ini. Mahu bertindak dan membuat keputusan demi kebahagiaan semua orang yang kukenali dan dekat dengan hidupku termasuklah Flora.
“Terima kasih, Haqem” ujarku sambil mengukir senyuman sekilas.
“Terima kasih juga pada awak” balas Haqem tersenyum. Mengerti maksud bicara Haqem. Namun aku telah mencalarkan kegembiraan Idlan itu.
“Pergilah masuk berehat. Pasti awak letih melayan kerenah Idlan tadi” ujar Haqem. Aku menggeleng. Idlan langsung tidak menjadi bebanan kepadaku.
“Seronok dapat menggembirakan Idlan” ujarku tulus ikhlas.
“Senang hati saya mendengar kata – kata awak. Terima kasih banyak – banyak, Lia” ujar Haqem rasa terhutang budi. Aku senyum.
“Kegembiraan Idlan sangat bererti buat saya. Kalau saya mampu memang saya nak sentiasa menggembirakan hatinya” luahku. Haqem tersenyum lebar.
“Berehatlah...” arah Haqem. Aku mengangguk.
“Pasti malam ini saya akan tidur lena. Risau pula terlewat bangun sebab dah kenyang sangat ni” ujarku tergelak kecil. Haqem tergelak.
“Oklah.... saya masuk dulu. Pandu hati – hati. Assalamualaikum......” Aku terus berpaling dan memulakan langkah meninggalkan Haqem. Tidak berapa lama kemudian kedengaran deruan kereta Haqem meninggalkan halaman rumah ini. Kukeluarkan kunci rumah lantas membuka pintu. Mujur juga aku sempat menekan suis lampu ruang tamu tadi. Kupandang bilik mak. Mak belum sampai rumah lagi. Mungkin masih dalam perjalanan balik. Lantas kucapai iPhone dari saku beg galasku lalu menghubungi mak. Tiada talian yang dapat menghubungkan aku dengan mak. Sama ada mak berada di luar kawasan perkhidmatan mahupun telefon mak sudah kehabisan beteri.
Aku melangkah longlai mendaki anak tangga hendak ke bilik. Perut kenyang rasa mengantuk pula. Berterusan dihidangkan dengan pelbagai menu istimewa yang sedap – sedap belaka. Bermula dengan hidangan tengah hari, kemudian menikmati pencuci mulut ketika menonton tv di ruang tamu. Seterusnya minum petang dihidangkan dengan cucur udang panas – panas berserta bubur jagung. Ditambah lagi dengan puding roti. Semuanya menyelerakan. Memang berbaloi bertandang ke rumah Idlan hari ini. Selepas mandi mahu berehat secukupnya. Aqel dan mak pasti sudah makan di luar. Kebiasaannya mak tidak akan lewat makan manakala Aqel jikalau lewat balik memang akan makan sebelum datang ke sini. Di mana Aqel sekarang? Kutekan suis lampu.
“Subhanallah....” Aku terjerit kecil. Tubuhku sedikit terloncat. Sungguh mengejutkan tatkala mendapati Aqel berada di bilik ini sedang tersandar di sofa sambil mengarah pandangan kepadaku. Kuurut – urut dadaku. Cuba menenangkan diri.
“Awak nikan....kalau saya ada penyakit jantung tadi pengsan saya tau” rungutku tidak senang. Tidak serik – serik betul dia mengejutkan aku. Mungkin Aqel sudah lupa yang dia pernah membuatkan aku pengsan tatkala dia memunculkan dirinya dalam kegelapan.
“Kenapa awak duduk dalam gelap?” tanyaku.
“Bertafakur....” sahut Aqel bersahaja. Aku mencebik bibir. Sesuka hati sahaja dia menjawab. Aku menggantung beg galas di daun pintu. Kemudian duduk di birai katil. Melirik ke arah Aqel. Jikalau Aqel sedang menutup mata, aku berhasrat mahu berbaring di atas tilam ini. Mahu bersenang – lenang seketika. Aku tersenyum sendiri. Pucuk dicita, ulam mendatang. Mata Aqel terpejam. Barangkali Aqel sedang lena.
“Jangan baring..! Pergi mandi sekarang...” arah Aqel mengejutkan aku. Mati hasrat hatiku. Hanya sempat melunjurkan kaki dan mencecahkan punggung ke atas tilam. Aku duduk semula. Kujeling Aqel.
“Awak ni kan.... pandai sangat buat orang terkejut” rungutku meradang. Aqel mempamerkan wajah kosong menghangatkan bara hatiku. Bicaraku persis angin lalu. Tidak memberi makna padanya. Salji sudah turun. Saat kedinginan Aqel sudah menjelma. Aku bangkit dari katil ini lalu mencapai tuala. Mahu mandi sebelum berbaring di atas tilam. Pasti selepas ini Aqel tidak menghalangnya. Aku menapak di depan pintu bilik air. Tidak terus melangkah masuk. Sebaliknya berpaling ke arah Aqel.
“Mak Long ada call awak?” tanyaku mahu kepastian tentang perkhabaran mak dan Mak Long. Mungkin Mak Long dan Aqel telah berhubung tadi.
“Tak jadi balik hari ini” ujar Aqel terus memberi penjelasan memuaskan hatiku. Aku melepaskan keluhan kecil. Terasa rindu pada mak setelah beberapa hari tidak bersua muka.
“Mereka tu sengaja nak tinggalkan kita berdua – duaan” ujar Aqel sambil menatapku.
“Mereka macam tak percaya saya. Kan saya boleh selesaikan perkara ini” ujar Aqel berbicara sendiri dengan nada terkilan. Mungkin Aqel tidak senang diamanahkan menjagaku. Aku yakin, sama ada mak mahupun Mak Long sudah pasti meminta Aqel tidur di rumah ini menemaniku. Tidak mahu aku bersendirian. Khuatir berlaku sesuatu yang tidak diingini dan mahu mempastikan keselamatanku. Mendengar nada suara Aqel tadi pasti dia keberatan melakukannya.
“Saya dah besar dan tahu menjaga diri sendiri. Tak payah risaulah” tegasku tiba – tiba sahaja bersuara.
“Aa....” Berkerut dahi Aqel menatapku. Aku tersengih.
“Saya nak mandi sekarang” ujarku lalu melangkah laju ke bilik air. Bimbang juga jikalau tiba – tiba sahaja Aqel meninggalkan aku bersendirian di rumah ini lantaran hujah yang baru sahaja aku keluarkan sebentar tadi. Belum sempat berbuat apa – apa di bilik air ini, aku menolak daun pintu semula tatkala baru sahaja teringat pakaian persalinanku terlupa aku hendak membawa masuk ke dalam bilik air ini. Sejak bernikah dengan Aqel tidak pernah aku menukar pakaianku di depan Aqel. Berbeza dengan Aqel yang hanya bertuala tanpa baju setiap kali hendak mandi mahupun keluar dari bilik air. Hanya aku yang sentiasa melarikan pandanganku daripada Aqel. Sungguh aku segan dan rasa malu berhadapan dengan Aqel dalam keadaan sedemikian.
“Sampai bila awak nak malu pada saya?” suara Aqel memecah kesunyian.
“Aaa....” terkebil – kebil aku menatap Aqel. Luar biasa pertanyaan itu.
“Tak perlu terlalu bersopan – santun di depan saya. Awak halal untuk saya dan saya halal untuk awak. Agama tak membataskan pergaulan kita” ujar Aqel serius. Fikiranku terus menerawang jauh. Sudah sampai masanya Aqel menuntut keinginan fitrah lelaki. Malam ini aku akan menyerah diri kepada Aqel. Benarkah? Jiwaku bergetar. Rasa tidak keruan.
“Yang awak terpacak macam patung di situ, apa hal? Pergilah mandi...” suara Aqel menyentakkanku. Kupandang Aqel. Jarinya menunding ke pintu bilik air. Terkocoh – kocoh aku melangkah ke bilik air kembali. Tidak mahu terus – menerus memikirkan bicara Aqel sebentar tadi. Tatkala aku keluar dari bilik air, Aqel sudah tiada di bilik ini. Sayup – sayup kedengaran suara lelaki dan perempuan silih berganti. Aqel berada di ruang tamu menonton televisyen. Aku berbaring di katil seketika. Sudah makan, sudah mandi dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan lagi. Bolehlah bersenang – lenang sekarang. Bahagianya hidup begini. Tiada perkara yang perlu dirunsingkan. Bolehlah tidur nyenyak.     
Aqel? Nama lelaki ini melintas di benakku. Bimbang pula kalau belum ada sebarang makanan yang masuk ke dalam kantung perut Aqel. Tidakkan aku hendak biarkan Aqel berlapar sepanjang malam ini. Aku bingkas bangun meninggalkan katil. Keluar dari bilik lantas mengatur langkah mendapatkan Aqel di ruang tamu. Langkahku mati. Kulontar pandangan ke arah sofa panjang itu. Aqel sedang tidur dengan tv yang terpasang. Bukan dia yang menonton tv sebaliknya tv yang melihat Aqel. Aku tersenyum sendiri dan gelang kepala. Nampak sangat Aqel sedang keletihan. Perlukah aku kejutkan Aqel lalu mengajaknya tidur di bilik? Segan pula hendak bertindak sedemikian. Khuatir benak Aqel menyimpang jauh. Sedangkan tadi sudah nampak ciri – ciri Aqel berfikir ke arah itu. Kucapai remote tv. Tidak sampai hati mengganggu lena Aqel, aku biarkan sahaja dia terus berbaring di sofa panjang itu. Sekadar alasan mahu menyedapkan hati. Sungguh menakutkan jika Aqel berfikiran seperti yang aku andaikan jika aku mengejutkan Aqel dan memintanya tidur di bilik bersamaku. Nauzubillahminzalik. Tidak mahu dicop gadis penggoda. Maka aku hanya perlu mengambil selimut dan bantal untuk Aqel. Sekurang – kurangnya boleh membuatkan Aqel sedikit selesa. Aku memalingkan tubuh berhasrat hendak ke bilik semula mengambil selimut dan bantal untuk Aqel. Tidaklah aku terlalu kejam kepada Aqel. Alasanku tidak mahu mengganggu tidur Aqel juga berasas.
“Awak nak ke mana?” suara Aqel menyapaku mematikan langkahku yang baru sahaja hendak bermula. Aku tersentak. Lambat – lambat aku berpaling. Tidak menduga Aqel akan terjaga biarpun sudah tidur lena. Jangan – jangan Aqel hanya berpura – pura tidur sahaja tadi. Aku mengetap bibir menahan perasaan geram. Terasa diri diperbodohkan. Pasti Aqel bersusah – payah menahan diri daripada tergelak setelah puas memerhatikan gelagatku tadi.
“Seronok awak makan bersama Haqem tadi?” tanya Aqel. Laju sahaja aku mengangguk.
“Makan ramai – ramai macam sebuah keluarga” sahutku membetulkan kenyataan Aqel. Aku bukan makan bersama Haqem seorang sahaja. Malah Idlan dan Mak cik Tijah juga ada bersama kami. Tidak mahu kenyataan Aqel menimbulkan salah faham.
“Ye.... seronok makan bersama – sama macam sebuah keluarga” ujar Aqel mengulas bicaraku sambil tersenyum sendiri. Lantas aku terbayang gelagat Idlan sepanjang berada di meja makan tadi. Tampak dia makan begitu berselera sekali. Tiga kali menambah nasi. Kasihan Idlan. Dia memang mendambakan hidup keluarga yang sempurna.
“Jauhnya awak termenung....” suara Aqel menyentakkanku. Aku berpaling ke arah Aqel. Seketika aku dan Aqel saling berbalas pandangan.
“Saya kasihan pada Idlan. Dia perlukan kasih sayang seorang ibu. Saya juga kasihan pada Haqem. Tanggungjawab yang dipikulnya sungguh berat sekarang.... Mereka...” bicaraku tergantung.
“Haqem juga perlukan teman hidup untuk membantunya menghadapi kerenah Idlan. Haqem dan Idlan perlukan kehadiran seorang perempuan dalam keluarga mereka” laju sahaja Aqel memintas bicaraku. Kupandang Aqel.
“Awak juga berfikir ke arah itu” komenku. Aqel tersenyum. 
“Perkara yang sangat mudah nak difikirkan” balas Aqel bernada sinis. Mungkin mahu memerliku kerana telah mengajukan soalan cepu emas kepadanya.
“Haqem ada cakap sesuatu pada awak tadi?” soal Aqel.
“Aaa....” Berkerut dahiku menatap Aqel. Apa yang Haqem mahu katakan kepadaku? Mungkinkah Haqem telah berkongsi cerita dengan Aqel tentang gadis pilihan hatinya yang akan membantunya menjaga dan membesarkan Idlan dengan sempurna. Kalaulah andaianku ini tepat, alhamdulillah. Aku kasihan jika Idlan membesar tanpa kasih – sayang perempuan yang boleh menggantikan tempat Harianie. Aku akan terus berdoa mudah – mudahan Haqem akan menemui teman hidup yang boleh menyayangi Idlan ibarat anak kandung sendiri.
“Idlan tetap nak Mak Usu jadi mama Idlan” suara tegas Idlan menerpa halwa pendengaranku. Idlan merajuk denganku sekarang kerana aku tidak mampu memenuhi impiannya itu.
“Awak sedang fikirkan apa?” suara Aqel menyentakkanku. Kupandang Aqel. Kami saling beradu pandangan dengan mulut terkunci. Lambat – lambat aku menggeleng kepala. Perkara ini tidak manis hendak dikongsi bersama Aqel walaupun aku yakin tidak akan mendatangkan kesan kepada anak muda Mak Long ini.
“Idlan sentiasa membebani fikiran awak” ujar Aqel persis menyelami benakku. Aku sedikit tersentak. Kurang senang mendengar kata – kata Aqel yang baru sahaja diluahkannya.
“Idlan tak pernah membebankan fikirkan saya” tingkahku serius. Tidak bersetuju dengan bicara Aqel. Idlan tidak pernah menjadi bebanan kepadaku. Dia adalah kawan kecilku yang sentiasa menghiburkan hati dengan gelagat nakal dan manjanya.
“Cuma saya bimbang kalau Idlan tak mendapat kasih sayang. Saya sangat bimbang kalau pilihan Haqem tak mampu menyayangi Idlan” tuturku meluahkan isi hati bersama kerisauaanku.
“Hanya awak saja yang mampu menyayangi Idlan sedalamnya” ujar Aqel tanpa secebis senyuman. Kurang pasti sama ada Aqel menuturkannya dengan ikhlas atau sekadar mainan mulutnya sahaja. Namun kali ini aku tidak mahu mengulas bicara Aqel secara terang – terangan. Mungkin juga Aqel berhasrat mahu aku kembali kepada Haqem sebagai menebus kesalahannnya kerana telah menipuku selama ini.
“Idlan tetap nak Mak Usu jadi mama Idlan” suara tegas Idlan terngiang – ngiang di telingaku. Kupandang Aqel. Aqel membalas pandanganku. Aku dan Aqel beradu pandangan dengan mulut terkunci. Raut wajah tampan Aqel menjadi santapan mataku seketika. Setiap hati perempuan akan terusik tatkala menatap Aqel. Nama Flora melintas di benakku. Aku tidak mahu terpikat pada ketampanan Aqel. Perasaan simpati kepada Aqel kian menebal. Dia terseksa kerana cintanya dengan Flora tidak bersatu. Lantas aku menyalahkan diri kerana telah menjadi benteng antara mereka.
“Aqel.... dengan tulus ikhlas dari hati kecil saya.... saya izinkan awak dengan Flora bersatu” lancar mulutku melafazkan kata – kata ini tanpa dirancang. Dalam renungan Aqel sehingga merantai pergerakanku. Aku kaku di depan Aqel.
“Sungguh baik hati awak” tutur Aqel serius.
“Saya takkan musnahkan hidup awak. Awak dan Flora berhak hidup bahagia” tegasku jujur. Dari sehari ke sehari usia kian berganjak. Masa pula kian singkat. Penyatuan dua jiwa tidak patut dilengah – lengahkan lagi. Kesabaran Flora harus dihadiahi dengan kebahagiaan. Flora berhak mendapatkan Aqel kerana mereka ialah pasangan kekasih yang begitu mendalam cintanya.
“Tentang saya.... awak tak perlu risau. Saya akan lakukan yang terbaik buat diri saya sendiri” ujarku nekad. Aqel tersenyum.
“Terima kasih, Flora....”
“Saya bukan Flora .....” tegahku namun dalam senyuman. Selepas ini aku tidak akan berpeluang mendengar Aqel memanggilku dengan nama ini.
“Awak ialah Flora..... selamanya....” balas Aqel berdegil. Aku mencebik bibir.
“Saya tak pernah bermimpi nak jadi klon kekasih awak tu. Jika kami seiras itu hanya kebetulan saja. Memandangkan awak parah sekarang, maka awak patut segera bernikah dengan Flora” nasihatku ikhlas.
“Terima kasih atas keizinan awak” ujar Aqel sekali lagi. Aku tersenyum.
“Awak tidurlah. Saya pun mengantuk nak tidur sekarang” ujarku mahu menoktahkan perbualan kami. Aqel mengangguk. Mula mengatur posisi tubuhnya di atas sofa panjang ini. Cuba mencari keselesaan buat dirinya. Aku memulakan langkahku beredar dari ruang tamu ini. Mahu segera berbaring di atas katil menghilangkan rasa mengantuk ini dengan tidur.
“Awak tak menyesal berkata demikian?” suara Aqel bertanya. Langkahku mati. Aku berpaling ke arah Aqel. Lantas menggeleng. Walaupun kata – kata yang keluar dari mulutku tadi tidak sempat aku pertimbangkan sedalam – dalamnya, namun aku sudah nekad. Aku tidak akan mengubah kenyataanku. Malah akan bersedia bertanggungjawab atas keputusanku ini. Bermakna aku juga sudah bersedia berhadapan dengan mak dan Mak Long. Kebahagiaan Aqel menjadi keutamaanku. Maka Aqel dan Flora tidak boleh dipisahkan lagi.
“Baguslah kalau macam tu” suara Aqel memecah kesepian. Aku tersenyum.
“Selamat malam Aqel. Assalamualaikum.......” ujarku meminta diri lantas menyambung langkahku kembali. Aku mahu tidur lena malam ini. Aku juga mengharapkan tidur Aqel akan lena. Mudah – mudahan jiwa Aqel akan tenang sekarang.
“Flora.....datanglah dalam mimpi Aqel. Lakarlah kisah indah untuk buat Aqel tersenyum sepanjang hari esok” bisik suara hatiku menyeru nama gadis yang Aqel cintai itu. Aku membaringkan tubuh di atas tilam empuk ini lantas memejamkan mata dan mengosongkan benakku.


“Jemput minum Mak Long” ujarku sambil meletakkan secawan air teh kosong bersama sepiring kuih karipap yang kubeli di warung tepi jalan dalam perjalanan balik tadi. Tatkala teringat  tentang kunjungan Mak Long petang ini, aku terus sahaja singgah membeli kuih sebagai penambah menu minum petang ini. Mak seperti biasa memang rajin menyediakan hidangan pelengkap minum petang. Apatlah lagi jikalau ada tetamu hendak bertandang ke rumah. Melangkah sahaja ke dapur sudah tersedia kolo me dan kek batik untuk dinikmati.
“Aqel belum balik lagi?”soal Mak Long kurang senang. Aku mengangguk. Tanpa kewujudan Aqel, Mak Long lebih senang memanggil anak terunanya sedemikian. Sudah beberapa hari aku dan Aqel pergi ke tempat kerja naik kereta yang berasingan. Banyak urusan yang perlu Aqel selesaikan. Maka cukup jam bekerja, aku lebih senang balik sendiri.
“Banyak kerja yang perlu diselesaikannya, Mak Long” jelasku mengharapkan Mak Long akan faham. Mak menghantar pandangan kurang senang kepadaku. Cepat aku mengerti bahawa mak kurang senang mendengar aku memanggil besannya sedemikian. Suatu kebiasaan yang sangat sukar aku hendak mengubahnya meskipun mak sudah pernah menegurku. Mungkin juga aku tidak berkesempatan hendak mengubahnya.
“Pergi kerja dengan Aqel tak sama kereta?” tanya Mak Long. Aku mengangguk.
“Kadang – kadang ada juga Lia tumpang kereta Aqel” jelasku.
“Belum biasa panggil Aqel abang?” tanya Mak Long menjeratku. Aku terdiam. Mak menjelingku. Pasti suara hati mak berkata padan muka.
“Terasa kekok, Mak Long” jelasku berterus – terang. Mak Long tergelak kecil.
“Ah.... tengok tu... Mak Long lagi” komen mak memprotesku. Aku garu – garu kepala yang tidak gatal. Bukan tersilap tingkah tetapi sudah menjadi kebiasaan. Mak Long tersenyum.
“Biarlah.....Kena ambil masa nak belajar panggil abang dan mama” tutur Mak Long tenang tanpa terguris hatinya. Mak Long memang baik hati.
“Minta maaf, Mak Long” ujarku lagi. Tajam jelingan mak singgah di wajahku.
“Oppsss.....” Aku menutup mulut tatkala menyedari ketelanjuranku. Mak Long tergelak.
“Mak Long.... Mak Long.... Mak Long....Memanjang – manjang Mak Long” rungut mak sambil geleng kepala. Mak Long masih dalam senyuman.
“Tak pe.... Ambillah masa seberapa lama Lia nak. Mama tak kisah dan akan sabar menunggunya” ujar Mak Long menerbitkan rasa bersalahku. Mak Long terlalu baik hendak disakiti perasaannya. Mak pula sering bersedih kerana aku. Namun aku tiada pilihan.
“Makan kak....” suara mak menjemput besannya merangkap kakak iparnya.
“Minum sekali Lia” ajak Mak Long. Aku mengangguk. Memang aku akan bertahan di sini menunggu masa yang paling sesuai hendak berterus – terang kepada mak dan Mak Long. Kubiarkan mak dan Mak Long berbual rancak. Tatkala cerita lucu diperdengarkan aku mengiringi tawa mereka. Seronok juga mendengar koleksi cerita sepanjang lawatan yang disertai oleh mak dan Mak Long dua hari yang lalu. Pelbagai ragam yang mencuit hati. Aku dapat merasakan keseronokan mengikuti rombongan itu.
“Kenapa senyap je ni?” tanya Mak Long sambil memandangku. Aku tersenyum sekilas.
“Mesti Lia dah letih ni. Pergilah berehat di bilik” arah Mak Long bersimpati. Aku menggeleng. Keletihan memang begitu terasa. Namua ada perkara yang lebih penting sedang membebaniku sekarang. Perkara yang harus aku selesaikan segera.
“Sebenarnya ada perkara penting Lia nak cakap pada mak dan Mak Long.....” ujarku lambat – lambat menyusun bicara. Mak dan Mak Long menatapku.
“Hal apa?” tanya mak tidak sabar – sabar dengan dahi berkerut. Jarang benar aku seserius begini. Mak dan Mak Long masih mengarah muka kepadaku. Hatiku berombak kencang. Rasa berdebar – debar. Sukar hendak membayangkan reaksi yang bakal mak dan Mak Long tunjukkan sekejap lagi.
“Mudah – mudahan urusanku dipermudahkan Allah” bisik hatiku bermunajat.
“Lia ... cakaplah apa yang Lia nak beritahu ni” suara lembut Mak Long singgah di halwa pendengaranku. Kutaraik nafas dalam – dalam. Cuba mengumpul kekuatan diri. Aku tidak boleh melengah – lengahkan masa lagi. Hidup ini terlalu singkat.
“Tentang..... tentang hubungan Lia dengan Aqel. Lia dah ambil keputusan bersetuju........”
“Bersetuju menyerahkan perkara ini kepada Hyeon. Hyeon akan selesaikan sendiri” suara Aqel laju memintas bicaraku. Serentak kami berpaling ke muka pintu dengan rasa terkejut. Sekali lagi aku tersentak tatkala menatap tetamu kecil yang berdiri di sebelah Aqel sedang tersenyum menatapku. Mata mak dan Mak Long tidak berganjak daripada menatap tetamu istimewa kami.
“Idlan....” Aku jadi tertanya – tanya dengan kedatangan Idlan bersama Aqel.
“Saya pelawa Idlan habiskan masa hujung minggu ini bersama kita” jelas Aqel sedikit mensirnakan kekalutan benakku. Bicara Aqel menjawab kemusykilan kami.
“Kebetulan Haqem out – station, jadi kita tolong jaga Idlan. Bolehkan mak Idlan tinggal bersama kita sehingga hari Ahad ni” ujar Aqel meminta keizinan mak. Laju mak mengangguk.
“Salam dengan nenek berdua” arah Idlan. Idlan akur lalu mendekati Mak Long. Lantas menundukkan kepala mencium tangan Mak Long. Sempat juga Mak Long mengusap – usap lembut ubun – ubun kepala Idlan. Kemudian Idlan melangkah mendekati mak. Aku hanya memerhatikan dan menunggu reaksi yang bakal mak tunjukkan. Bimbang juga jikalau mak tidak dapat mengawal emosi lantas dingin sahaja kepada Idlan. Aku yakin layanan buruk Datin Sofea terhadapku tidak mungkin mak akan melupakannya. Mak merenung lama wajah Idlan yang sedang terpaku menatap mak. Seketika bertentang mata. Tidak semena – mena mak terus memeluk tubuh Idlan. Begitu erat sekali. Aku tergamam dengan perlakuan mak. Sungguh di luar dugaanku.
“Terlalu kejam hukum dunia yang anak kecil ini tempuhi” tutur mak dalam esakan kecil yang menyayat hati. Air mata menitis di pipiku. Laju jariku menyapunya. Mak melepaskan rangkulan kemas tangannya di tubuh Idlan. Lantas tangan mak mengusap lembut ubun – ubun kepala dan belakang Idlan. Mak merenung wajah Idlan lagi.
“Idlan... mesti jadi budak lelaki yang kuat. Bila besar nanti jadi pemuda yang gagah” tutur mak menitip nasihat. Idlan mengangguk lalu menundukkan kepala mengucup tangan mak. Aku tidak pasti sama ada Idlan mengerti kata – kata mak ataupun sebaliknya. Namun hatiku teruja melihat layanan mak terhadap Idlan. Mak bukan seorang yang suka berdendam.
“Lia.... bawa Idlan masuk ke dalam” arah mak sambil mengesat sisa air mata dengan tangan hujung bajunya. Aku mengangguk. Lantas mendapatkan Idlan. Kupaut tangan Idlan.
“Mari Idlan....” ajakku sambil memimpin tangan kecil ini beredar dari ruang makan ini meninggalkan mak dan Mak Long. Aqel masih terpacak di situ.
“Sabar...... Zibah... Memang dah nasibnya begini” sempat telingaku menangkap suara Mak Long memujuk kepiluan hati mak.
“Sedih hati saya melihat budak tu kak. Semakin sedih hati saya bila mengingat Idlan tak dapat kasih sayang neneknya. Tak sangka ada juga manusia yang sanggup berlaku kejam pada darah daging sendiri” keluh mak kesal. Aku tahu mak menyesali perbuatan Datin Sofea yang tidak pernah mengenali cucunya sendiri.
“Mari temankan auntie simpan beg pakaian Idlan dalam bilik” ajakku membawa Idlan pergi lebih jauh lagi. Aku tidak mahu Idlan menyaksikan kesedihan mak mahupun mendengar luahan kekesalan hati mak.
“Idlan nak baring berehat di katil ni?” tanyaku setibanya di bilik. Idlan menggeleng.
“Nak duduk di sofa?” tanyaku lagi. Kali ini Idlan mengangguk. Dia terus sahaja bergerak ke sudut itu. Aku meletakkan beg pakaian kecil Idlan di atas almari solek. Sedikit sahaja pakaian yang dibawa bersamanya. Maklumlah hanya dua hari sahaja dia tinggal di sini. Petang Ahad pasti Haqem akan datang menjemputnya. Tidakpun Aqel akan menghantarnya pulang. Mana tahu Haqem belum ada keberanian hendak bersua muka dengan mak. Oh.... aku melepaskan keluhan kecil! Berat hati mahu mengenang kisah – kisah lalu. Aku berpaling. Idlan sudah duduk bersandar di sofa.
“Idlan nak minum? Auntie boleh ambilkan air jus oren untuk Idlan” ujarku. Ada sebotol jus oren yang belum diminum di dalam peti sejuk.
“Atau Idlan nak minum air milo atau air sirap?” tanyaku menghujani Idlan dengan beberapa pilhan. Kudekati Idlan. Lalu duduk di sebelahnya di sofa panjang ini.
“Belum dahaga lagi” sahut Idlan sambil menggeleng kepala. Senyap. Nampak Idlan sedang berfikir. Aku tidak bersuara lagi. Cuba memberi ruang kepada dirinya hendak menyesuaikan diri di tempat baru. Pasti rumah ini asing baginya. Mungkin juga Idlan sedih kerana berjauhan dengan Haqem. Haqemlah tempatnya berteduh kasih selama ini menggantinya si ibu yang telah pergi.
“Mak Usu...” panggilnya. Aku berpaling ke arah Idlan. Pandangan kami bersatu.
“Kenapa nenek tadi menangis?” pertanyaan ini membuatkan aku terpana.
“Kenapa nenek tadi peluk Idlan?” Idlan terus mengajukan pertanyaan kepadaku.
“Sebab nenek sayangkan Idlan” jawabku. Aku yakin itulah perasaan mak terhadap Idlan.
“Idlan ada nenek tak?” tanya Idlan buat aku terdiam lebih lama.
“Mak Usu.... Idlan ada nenekkan. Idlan pernah tengok gambar perempuan dalam dompet mama” cerita Idlan mengimbau perkara lalu. Kupandang Idlan. Aku jadi serba salah.
“Idlan tanyalah Pak Usu” saranku menyuruhnya meminta kepastian daripada Haqem. Wajah Idlan mendung. Dia menggeleng kepala.
“Papa tak pernah cakappun Idlan ada nenek” ujar Idlan hampa. Aku terdiam lagi. Mungkin Haqem sengaja mahu merahsiakan perkara ini agar tidak mengguris perasaan Idlan.
“Idlan pernah dengar papa berbual di telefon. Idlan dengar papa ada cakap mama. Tapi papa tak nampak gembirapun” tutur Idlan bingung. Kasihan Idlan. Pasti dia terkeliru sekarang.
“Mesti ada sebabnya mengapa papa berdiam diri” ujarku meniru cara Idlan membahasakan Haqem. Aku tidak memberikan jawapan yang jelas. Suatu hari nanti Idlan akan mengetahui juga kisah keluarganya. Tika itu dia akan mampu mempertimbangkannya. Aku sama sekali tidak akan mencampuri urusan keluarga Haqem. Namun aku sentiasa berdoa dan berharap Idlan akan mendapat kasih sayang Datin Sofea. Mudah – mudahan kekerasan hati perempuan itu akan cair tatkala menatap mata redup Idlan lantas mengasihi anak kecil ini. Aku memang berharap sangat agar hubungan Idlan dengan Datin Sofea akan terjalin mesra.
“Boleh tak Mak Usu bawa Idlan jumpa nenek Idlan?” pertanyaan Idlan berbaur permintaan buat aku terkedu. Idlan menatapku.
“Setiap kali hari ibu dan hari raya termasuklah pada tarikh 14 April, mama pasti akan menelefon seseorang. Kasihan panggilan mama tak pernah dijawab. Kemudian mama akan hantar mesej pula. Setiap tahun mama akan melakukan perkara ini” cerita Idlan petah tanpa kupinta. Sayu dan rawan hatiku mengenang arwah Harianie. Pasti dia cuba menghubungi Datin Sofea mahu berkongsi hari – hari istimewa itu.
“Idlan ada sesuatu nak serahkan kepada nenek” ujar Idlan mengejutkanku.
“Kad – kad yang mama tulis untuk nenek. Idlan ada terjumpa sampul besar di bawah lipatan pakaian mama” jelas Idlan bersungguh – sungguh.
“Oh.....Idlan anak yang baik” pujiku seraya mengusap lembut bahunya. Betapa aku tersentuh dengan kematangan budak lelaki ini. Idlan merasakan dirinya bertanggungjawab menunaikan hajat ibunya. Sungguh murni hatinya.
“Mak Usu boleh bawa Idlan jumpa nenek?” diulangi pertanyaan ini sambil merenungku. Aku dalam delima. Tersepit antara emosi dengan kenyataan. Simpati kepada Idlan dan arwah Harianie yang berniat suci. Kenyataannya Datin Sofea tidak akan sudi bersua muka denganku. Bagaimana aku hendak muncul di depan perempuan itu hendak mempertemukan Idlan dengannya?
“Mak Usu mesti tolong Idlan” Idlan sedang merayuku. Hatiku berbelah – bahagi.
“Mak Usu mesti tolong mama” tambah Idlan menjeratku. Idlan memegang tanganku. Tampak dirinya terdesak. Lambat – lambat aku mengangguk.
Auntie akan cuba usahakan tapi tak janji auntie mampu lakukannya” ujarku tanpa sebarang jaminan. Aku tidak mahu Idlan menaruh harapan yang tinggi kepadaku. Bimbang Idlan akan kecewa jika aku gagal melakukan perkara yang sangat sukar ini.
“Terima kasih, Mak Usu” Idlan tersenyum ceria menampakkan barisan giginya nan putih. Persis hajat hatinya akan termakbul.
“Perkara ini sangat sukar” luahku tanpa berselindung.
“Idlan ada Mak Usu. Kita akan sama – sama melakukannya” tutur Idlan tanpa ragu – ragu sambil menggenggam erat jemariku. Terasa ada suntikan kuasa yang Idlan pindahkan kepadaku buat aku jadi berani. Aku senyum.
“Mudah – mudahan Datin Sofea akan menerima baik kehadiran Idlan” bisik hatiku berharap. Aku berharap juga Idlan berjaya menyatukan keluarganya kembali. Memang impian arwah Harianie. Namun dia tidak sempat melakukannya. Oh.... sungguh memilukan!
Aku melontar pandanganku jauh – jauh. Permintaan Idlan memenuhi ruang benakku. Hatiku berat hendak bertemu dengan Datin Sofea, namun tidak tega mengecewakan Idlan. Dalam masa yang sama merasakan diri ini turut memikul amanah arwah Harianie. Aku memejamkan mata rapat – rapat. Membiarkan angin sepoi – sepoi membelai wajahku. Tenanglah hati. Nawaitu yang suci pasti akan dipermudahkan Yang Maha Esa. Kubina keyakinan diri. Aku akan lakukannya demi Idlan dan arwah Harianie.
“Mana Idlan?” sayup – sayup suara lembut Aqel menerjah gegendang telingaku. Lambat – lambat kuangkat kelopak mataku. Aku berpaling. Aqel sudah duduk di sofa sambil melontar pandangan ke arahku.
“Mak ajaknya siram bunga” jelasku sambil meninggalkan jendela yang terbuka luas ini. Kubiarkan angin senja masuk berlegaran di setiap ruang bilik ini. Sungguh selesa dan menyegarkan. Lantas melabuhkan duduk di birai katil. Sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi gesaran langsir dengan dinding. Bagaikan bilik ini tiada penghuni sekarang. Bukan banyak sangat pun perkara yang boleh aku bualkan dengan Aqel. Jikalau Nana yang bersamaku sekarang pasti cerita kami tiada noktah. Apa khabar Nana dengan Arryan sekarang? Semoga cinta mereka kian mekar mewangi. Nama Puan Rosie tidak semena – mena melintas di benakku. Aku kagum pada ketabahannya. Perempuan yang sangat garang, tidak pernah dibantah kata – katanya malah segala kemahuannya sentiasa dituruti, memerintah suami dengan kuasa vetonya, akhirnya redha dimadukan. Kehidupannya lebih tenang sekarang. Mudah – mudahan Encik Mukhtahir mampu berlaku adil dan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh Puan Rosie. Oh.... Sungguh unik kisah hidup pasangan ini! Sesiapa sahaja yang mengenali Puan Rosie dan Encik Mukhtahir selama ini pasti tidak akan meramal sedemikian kisah hidup mereka. Semuanya di luar jangkaan. Begitu juga dengan kisah hidupku ini. Tidak kurang hebat. Namun masih samar – samar babak seterusnya.
“Tak payah cakap apa – apa tentang hubungan kita pada mak dan mama. Biar saya yang uruskan” suara Aqel memecah kesepian. Kupandang Aqel. Pandangan kami bersatu.
“Jangan sesekali ulangi tindakan awak tadi” ulang Aqel lebih tegas. Wajah Aqel serius.
“Kan saya dah janji akan selesainya. Saya nak awak dan Flora bahagia” balasku jujur.
“Biar saya yang uruskan” tegas Aqel nekad. Aku terdiam. Niat hati mahu meringankan bebanan Aqel. Mak dan Mak Long harus tahu tentang Flora. Mereka patut mengetahui bahawa Aqel tidak akan bahagia tanpa Flora. Flora ibarat bunga – bungaan yang harum mewangi penyeri taman hati Aqel. Mereka ialah pasangan sejoli yang saling memerlukan. Cinta mereka harus disatukan. Penantian Flora harus diakhiri dengan kebahagiaan.
“Banyak saya tengok gambar awak bersama Haqem dan Idlan”ujar Aqel mengubah topik.
“Gambar?” Dahiku berkerut. Kenyataan Aqel ini mengelirukan aku. Aku cuba mengingat.
“Ya... ada dalam album tu. Sorry... saya tengok tanpa keizinan awak” tutur Aqel seraya mengarah telunjuk ke arah rak di bawah meja sofa. Album? Gambar – gambar aku bersama Haqem dan Idlan? Bila aku merakam gambar kenangan itu? Aku tidak pernah pun nampak gambar – gambar itu.Oh.... memoriku tumpul hendak mengimbas peristiwa yang berlaku! Aku bangkit dari birai katil lalu melangkah ke meja sofa mendekati Aqel.
“Tolong tunjukkan saya album itu” pintaku. Aqel menundukkan kepala. Tangannya mencapai sesuatu dari bawah meja. Lantas menghulurkan kepadaku. Terkebil – kebil aku menatap album merah jambu yang kaya kasih – sayang ini. Sana – sini lukisan hati berserakan menjadi penghias album ini. Romantik. Aku terus menyelak album ini.
“Oh.... gambar – gambar yang diambil ketika hari jadi Idlan” jelasku baru sahaja mengingatinya. Hampir – hampir aku terlupa tentang album ini. Pada hari itu Haqem meminjamkan album ini kepadaku iaitu pada hari kepergian Harianie. Haqem menerima panggilan. Kemudian semuanya jadi kelam – kabut. Pasti Haqem juga melupai album ini. Mesti ada wajah Harianie terselit dalam gambar – gambar ini. Tidak sabar aku mahu menatapnya. Lantas aku melabuhkan duduk di sofa bersebelahan Aqel lalu meletakkan album ini di atas meja. Mahu mengimbau detik itu dan berkongsi cerita dengan Aqel memandangkan dia lebih awal meninggalkan majlis itu.
“Hari itu awak balik awal sebelum tamat majlis. Awak bersama Florakan...” tekaku.
“Aaa...” sahut Aqel terkejut. Aku tersenyum sendiri dengan pandangan yang langsung tidak beralih daripada menatap gambar – gambar yang terpampang di dada album ini. Sayu dan pilu hati tatkala terpandang wajah arwah Harianie. Lembut telunjukku membelai wajah Harianie yang dihias dengan senyuman indah sambil mulutku berbisik menghadiahi dirinya al – fatihan. Semoga rohnya dicucuri limpahan rahmat Yang Maha Esa. Amin.
“Gambar di bawah itu yang saya nampak jadi wallpaper iPhone Haqem sekarang” suara Aqel menyedarkanku daripada terus dibuai emosi. Aku menatap gambar yang dimaksudkan oleh Aqel. Hanya kami bertiga sahaja. Tiada arwah Harianie di situ. Idlan sedang tersenyum ceria tatkala aku dan Haqem serentak mengucup pipi gebunya. Arwah Harianie yang mahukan gambar ini diambil lagak sedemikian. Berkasih – sayang dan mesra. Nampak bersahaja.
“Awak dan Haqem seperti ibu bapa Idlan” komen Aqel. Aku terdiam panjang. Tidak mengiyakan mahupun menyangkal kata – kata Aqel.
“Banyak – banyak gambar dalam album itu, ada satu gambar yang paling saya suka. Idlan pun cakap suka gambar tu. Saya dan Idlan nak besarkan gambar itu tapi Kak Har suruh minta keizinan awak dulu. Cadang nak gantung gambar tu dalam bilik tidur Idlan dan dalam bilik bacaan di rumah saya” suara Haqem bergema di cuping telingaku. Aku dapat rasakan inilah gambar yang Haqem maksudkan itu. Bicara Aqel mengukuhkan andaianku. Gambar ini telah menghiasi skrin iPhone Haqem, bermakna Haqem sentiasa menatapnya.
“Assalamualaikum.... boleh masuk?” Serentak aku dan Aqel memandang ke muka pintu. Idlan sedang berdiri situ menunggu keizinan. Laju aku menggangguk. Idlan terus sahaja mengorak langkah mendekati kami. Pandangannya jatuh pada gambar itu.
“Oh.... inilah gambar yang papa buat besar.... sebesar – besarnya. Satu papa gantung dalam bilik tidur Idlan dan satu dalam bilik bacaan di rumah papa. Nanti kalau Uncle Aqel dan Mak Usu datang rumah, Idlan tunjukkan ye.....”. Idlan bercerita dengan ceria bersama gayanya yang teruja. Aku terkedu. Sepi. Senyuman mekar Idlan masih menghiasi bibirnya. Tiada lagi kedengaran suara Aqel. Kali ini diam Aqel mengiringi diamku sambil menatap Idlan yang tersenyum panjang sendirian.

2 comments:

  1. kenapa lama sgt nk sambung x sabar nak tahu kesudahan siapa pasangan lia. huhu

    ReplyDelete
  2. Bz sgt dgn tugas2 kat srklh. Ajr kelas exam lg thn ni. Cb2 curi masa nak smbg novel ini. Apapun tqvm kpd semua krn msh sudi bc novel ini

    ReplyDelete