BAB 46
“Assalamualaikum....” Aku berpaling. Haqem sudah berada
di sebelah mengiringi langkahku. Seketika aku dan Haqem saling bertukar
senyuman.
“Awak ada apa – apa temujanji rehat tengah hari nanti?” soal Haqem sambil berpaling menatapku. Aku menggeleng.
“Kita makan bersama tengah hari nanti” pelawa Haqem. Aku mengangguk. Kali ini begitu mudah sahaja aku menerima pelawaan Haqem.
“Terima kasih, Lia” tutur Haqem ceria. Aku hanya senyum. Aku sudah membuat keputusan untuk menggembirakan hati Haqem. Maka sudah tiba masanya untuk aku meluangkan masa bersama Haqem. Aku dan Haqem masih melangkah beriringan di ruang legar yang luas ini.
“Aqel....” laung Haqem memanggil nama itu. Aku berpaling. Aqel muncul dari satu arah sambil melontar pandangan ke arah kami. Haqem melambaikan tangannya kepada Aqel. Lantas Aqel mengatur langkah mendekati kami.
“Mari makan sama – sama tengah hari ini nanti. Sudah lama kita bertiga tak keluar bersama” tutur Haqem mengajak Aqel. Aku mengangguk mengiyakan bicara Haqem. Tidak kisah andai Aqel mahu bersama kami tengah hari nanti. Malah lebih memberikan keselesaan kepadaku lantaran Aqel boleh berbual panjang dengan Haqem nanti. Tidaklah sepanjang sesi makan itu nanti berlangsung dalam keadaan sunyi sepi. Aku dan Aqel berlaga pandangan seketika. Kemudian Aqel mengalih pandangannya kepada Haqem. Dia tersenyum.
“Maaflah.... saya tak dapat makan bersama kalian nanti sebab saya dah janji mahu keluar dengan seseorang” ujar Aqel menolak pelawaan Haqem sebentar tadi. Aku menatap Aqel. Betulkah Aqel ada temujanji dengan seseorang? Ataupun Aqel sengaja memberi peluang kepadaku untuk bersama Haqem.
“Awak nak keluar dengan siapa?” soal Haqem tidak mahu tertanya – tanya. Aku memandang Aqel. Turut sama ingin mengetahui gerangan siapa dengan Aqel berjanji. Aqel tersenyum. Nampak dia belum bersedia memberikan sebarang jawapan. Mungkin Aqel tidak mahu Haqem mahupun aku mengetahuinya.
“Takkan dengan kami pun awak mahu berahsia” tutur Haqem lagi seakan – akan memaksa mahu Aqel berterus terang sahaja.
“Rania....” laju sahaja nama itu meluncur dari celah – celah bibir Aqel. Aku sedikit tersentak mendengar sebaris nama yang baru sahaja keluar dari mulut Aqel ini. Kupandang Aqel. Bercakap benarkah Aqel ketika ini? Setahuku Aqel kurang menyenangi Rania. Lantas aku teringatkan pada bicaraku yang mengharapkan Aqel dan Rania bercinta kembali.
“Awak serius?” soal Haqem kurang percaya. Aqel mengangguk.
“Awak dengan dia dah berbaikkah? Awak dah maafkan Rania?” soal Haqem. Aqel hanya tersenyum. Aku tertanya – tanya apakah kesalahan Rania kepada Aqel sehingga mereka terpisah? Bukankah Aqel yang meninggalkan Rania tanpa alasan? Lelaki tidak setia seperti Aqel tidak perlukan sebarang alasan untuk mengakhiri cintanya. Cintanya begitu mudah bertukar – tukar. Apabila sudah bosan akan ditinggalkan begitu sahaja tanpa alasan. Betulkah Aqel sekejam itu?
“Lain kali sahajalah kita makan bersama” tutur Aqel sebelum berpisah dengan kami membawa haluannya sendiri. Haqem mengangguk dan tersenyum. Aku hanya menyoroti langkah Aqel dengan sedikit rasa bersalah. Andai Aqel mahu bersama Rania hanya semata – mata mahu memenuhi permintaanku dan berhajat mahu melepaskan bebananku, aku pasti akan rasa bersalah kepada Aqel.
“Awak dan Aqel bergaduhkah?” soal Haqem di luar jangkaanku. Laju aku menggeleng. Kupandang Haqem.
“Mengapa awak boleh beranggapan begitu?” soalanku semula.
“Awak dan Aqel tak bertegur sapa sedangkan selalunya saya tengok kalian selalu sahaja bertikam lidah” jelas Haqem.
“Ah.... itu baru bergaduh namanya” sahutku buat Haqem tersenyum.
“Pandai juga awak kenakan saya ya” tutur Haqem. Aku tersenyum.
“Kan awak kata tadi bertikam lidah...” jelasku. Haqem mengangguk.
“Ya... awak dan Aqel memang selalu bertelagah, masing – masing mahu menang, sama – sama degil” komen Haqem terhadap sikapku dan Aqel.
“Awak kutuk saya dan Aqel ya?” soalku mengerling Haqem. Haqem tergelak.
“Memang awak dan Aqel sepadan” tutur Haqem.
“Betulkah?” soalku. Haqem mengangguk. Bicara Haqem ini mengingatkan aku kepada mak. Baru semalam mak menyatakan aku dan Aqel sepadan untuk menjadi suami isteri.
“Maksud saya sepadan bersaudara” jelas Haqem lebih terperinci. Aku hanya senyum. Nampak sangat Haqem tidak mahu aku salah faham terhadap bicaranya. Masih jelas terbayang di mataku reaksi Haqem ketika Aqel mengumumkan tentang pertunangan kami. Ketika itu aku nampak wajah Haqem pucat. Aku tahu hati Haqem terluka pada masa itu.
“Jangan lupa makan tengah hari sama – sama nanti” tutur Haqem mengingatkan aku tatkala langkahku sudah berhenti di depan bilik ini. Aku mengangguk.
“Jumpa awak nanti” ujar Haqem sambil melambaikan tangannya sebelum beredar meninggalkan aku. Aku membalas lambaian tangan Haqem itu. Kemudian melangkah masuk ke bilik ini. Bersedia untuk memulakan rutin tugasku.
Aku bertambah sibuk selepas Ismael datang menghantar kostum yang telah siap dicuci di CNFL. Meneliti satu – persatu helai kostum ini. Aku tersenyum berpuas hati. CNFL sentiasa mempamerkan kecemerlangan kerja mereka. Aku bangga menjadi sebahagian daripada warga CNFL. Kemudian aku beralih ke bilik penyimpanan untuk menggantung kostum – kostum ini di dalam almari kaca tempat asalnya. Kostum - kostum yang mahal harganya ini harus dijaga rapi. Kukunci almari kaca ini. Lalu merenung lama kostum – kostum ratusan hingga ribuan ringgit harganya ini. Sampai bilakah aku harus menjaga kostum – kostum ini? Aku termenung.
“Apa kata awak sambung belajar semula, penuhi impian awak dan impian keluarga awak” cadangan Aqel terngiang – ngiang di telingaku.
“Soal wang tak jadi masalah. Saya akan tanggung perbelanjaan sepanjang awak belajar” suara Aqel masih kedengaran lagi.
“Jika awak tak setuju cara ini, apa kata saya jadi penaja awak. Tamat belajar awak bekerja dengan saya” saran Aqel.
“Berapa lama bekerja dengan awak? Tiga tahun? Lima tahun?” soalku.
“Seumur hidup” sahut Aqel bersahaja. Besar anak mataku menatap Aqel. Aku tersenyum sendiri mengenangkan kemurahan hati Aqel itu. Sukar untuk memahami sikap Aqel.
Kebetulan sudah berada di bilik penyimpan ini, maka aku meluangkan masa untuk meneliti keadaan kostum – kostum ini. Risau terlepas pandang kalau ada kostum yang perlukan perhatian lebih. Bagaikan makhluk bernyawa pula perlukan perhatian. Aku tersenyum sendiri. Setelah berpuas hati dengan keadaaan kostum di bilik penyimpanan ini, aku kembali ke ruangan tempat aku melangsaikan kerja rutin harianku. Kucapai fail hitam di dalam rak di belakang tempat dudukku. Aku perlu mencatat beberapa maklumat kostum – kostum yang baru sahaja dihantar oleh pihak CNFL serta membuat laporan ringkas.
Lusa bolehlah
aku berkunjung ke CNFL menemui Puan Rosie bagi mendapatkan tandatangannya.
Sudah lama juga aku tidak bersua muka dengan dirinya. Apakah perkhabaran diri
Puan Rosie sekarang? Masihkah Encik Mukhtahir
menduakan dirinya? Kasihannya Puan Rosie. Sungguh aku bersimpati kepadanya.
Tidak sangka suami sebaik Encik Mukhtahir tega memperlakukan isterinya
sedemikian. Walaupun Puan Rosie wanita agresif, namun tidak patut Encik Mukhtahir
bertindak sebegitu. Jikalaupun Encik Mukhtahir
berasa terabai dengan sikap Puan Rosie, bukan ini jalan penyelesaiannya. Sepatutnya
Encik Mukhtahir lebih tegas kepada Puan Rosie. Ternyata pengajaran yang
diberikan oleh Encik Mukhtahir kepada isterinya terlalu berat untuk ditanggung.
Aku sebagai perempuan yang pernah terluka turut merasakan kesedihan Puan Rosie
itu. Mudah – mudahan Puan Rosie tabah menghadapi ujian hidupnya ini.
Tiba – tiba sahaja keheningan ini dicemari oleh jeritan telefonku. Nama Haqem terpamer di dada skrin. Baru semalam aku menyimpan nombor telefon ini di dalam memori telefonku dan setelah aku yakin dengan gerak hatiku. Kutekan punat panggilan diterima, lalu mendakap telefon ini ke telingaku.
“Assalamualaikum....” sapaku mendahului suara Haqem. Salamku disambut.
“Saya dalam perjalanan nak ke pejabat awak ini” beritahu Haqem sedikit menyentakkanku.
“Sudah mahu pergikah?” soalku hairan.
“Sekarangkan dah masa makan tengah hari” sahut Haqem. Laju aku mengarah pandanganku pada jam tanganku. Aku menggaru kepala. Memang waktu rehat sekarang. Begitu pantas masa berlalu.
“Awak tunggu saya di kereta sahaja. Sekejap lagi saya datang sana” arahku menghalang Haqem bertandang ke sini.
“Awak tak mahu jumpa sayakah?” soal Haqem bernada rajuk. Aku tergelak.
“Saya nak jimatkan tenaga awak” jelasku.
“Saya dah tak sabar mahu jumpa awak ni” ujar Haqem bernada romantis buat aku tersenyum sendiri. Diri Haqem tidak berubah. Haqem memang pandai membuai perasaanku.
“Sekejap kita jumpalah ni” tuturku.
“Betul?” soal Haqem seakan tidak mempercayaiku.
“Ya ... betul. Saya dah mahu keluar ni” jelasku.
“Memang tak sabar mahu jumpa awak. Rindulah....” bisik Haqem begitu romantis. Senyuman terukir di bibirku lagi. Terasa bagaikan aku dan Haqem kembali ke zaman ketika bergelar pelajar dahulu. Haqem memang bijak meluahkan kata – kata romantis yang membahagiakan hati kekasihnya.
“Awak dengarkah?” soal Haqem mahukan responsku segera.
“Emm...” sahutku pendek. Tiba – tiba sahaja kedengaran ketawa Haqem buat aku tertanya – tanya. Entah mana yang lucunya.
“Awak ni langsung tak berubah. Masih seperti dahulu juga pemalu....” komen Haqem. Mukaku terasa panas. Mujur Haqem tidak berada di depanku saat ini. Jikalau tidak pasti rasa seganku kepada Haqem akan berganda.
“Kata tak sabar mahu jumpa saya. Sekarang tengoklah melambatkan saya pula nak layan awak berbual” keluhku mengenakan Haqem sekali gus cuba mengelak dari terus menjadi usikannya. Soal perasaan memang susah aku mahu meluahkannya. Ringkasnya aku bukanlah kekasih yang romantis yang sering bermain dengan kata – kata dan perasaan.
“Okey.... okey... saya letak telefon sekarang. Saya memang dah tak sabar nak jumpa awak ni. Sayang awak, Lia” tutur Haqem menamatkan panggilannya. Aku terkedu mendengar ucapan yang keluar dari mulut Haqem ini. Beberapa minit kemudian aku tersenyum sendiri.
“Kita hnak makan di mana?” soalku sebaik sahaja duduk di
sebelah Haqem di dalam kereta Mercedez hitam ini. Kereta ini meluncur laju
meninggalkan perkarangan KDUT.
“Rahsia....” sahut Haqem tidak mahu berterus terang.
“Tempat makanpun nak berahsiakah?” keluhku. Haqem tersenyum.
“Sejak bila pula awak jadi tak penyabar ni?” ujar Haqem mengusikku.
“Sejak awak tinggalkan saya” sahutku. Senyap. Aku dan Haqem saling berpandangan. Kemudian Haqem mengalih pandangannya ke hadapan semula. Sungguh aku terkesima dengan bicaraku sendiri. Tanpa dirancang laju sahaja bicara itu keluar dari mulutku.
“Saya janji tak akan tinggalkan awak lagi walau apapun yang terjadi” tutur Haqem serius. Aku masih membisu.
“Walau apapun halangan yang terpaksa kita tempuh, awak mesti bertahan dan terus bersama saya” pinta Haqem menuntut ikrarku. Kupandang wajah Haqem.
“Saya hanya mahu membahagiakan awak” tuturku perlahan. Haqem tersenyum.
“Terima kasih, Lia. Saya akan bahagia jikalau awak sentiasa di sisi saya” ujar Haqem mengharapkan gadis ini akan hidup bersamanya. Aku merenung jauh. Aku hanya mahu membahagiakan Haqem walau hanya seketika. Aku tahu dan sangat sedar bahawa Datin Sofea tidak akan membiarkan aku dan Haqem hidup tenteram. Datin Sofea akan lakukan apa sahaja untuk memisahkan aku dan Haqem. Maka aku hanya mahu membahagiakan Haqem tanpa impian yang indah – indah. Aku akan bertahan di sisi Haqem semampuku.
“Kita dah sampai” beritahu Haqem mengejutkanku. Aku berpaling ke cermin kereta lalu melontar pandangan keluar. Laju aku berpaling semula ke arah Haqem yang sedang tersenyum menatapku.
“Di sinilah pertama kali saya nampak awak. Saya terus jatuh cinta pandang pertama kepada awak. Sekarang restoran ini dah menjadi milik saya” jelas Haqem membuat aku tergamam. Di sini jugalah aku dan Haqem akan berbual panjang sambil menikmati jejari kentang goreng. Kemudian menonton perlawanan bola sepak bersama pengunjung lain. Sungguh riuh – rendah suara pengunjung memberi sokongan. Aku dan Haqem juga tidak ketinggalan ikut serta. Betapa seronoknya tika itu.
“Apa sahaja yang ada kaitan dengan kita sangat bermakna buat saya” tutur Haqem buat aku sebak dan terharu. Bicara Haqem mengusik kalbuku. Beberapa minit kemudian aku dan Haqem beriringan melangkah memasuki restoran ini. Tatkala kakiku melewati ambang pintu dan memijak lantai restoran ini, aku terpegun dan rasa sebak yang mendalam. Kini aku dan Haqem berada di sudut kegemaran kami. Melabuhkan duduk di sini sambil anak mataku menyusuri sekitar restoran ini. Tidak banyak yang berubah dengan keadaan lapan tahun yang lalu. Biarpun sudah dimodenkan namun masih mempamerkan wajah yang lama. Lantas kenangan lalu terimbau kembali. Aku berpaling ke arah skrin LCD yang telah menggantikan televisyen.
“TV yang dahulu tu dah tak berfungsi lagi. Jadi saya kenalah ganti dengan LCD biar pengunjung yang datang sini lebih berpuas hati” suara Haqem kedengaran memberi penjelasan. Aku berpaling menatap Haqem lalu tersenyum.
“Maaf... saya gagal mengekalkan sepenuhnya keadaan dahulu” ujar Haqem berwajah muram. Aku geleng kepala. Sebenarnya banyak yang telah Haqem lakukan.
“Apa yang awak lakukan semua ni dah cukup memuaskan hati saya. Hakikatnya keadaan di sini juga harus berubah mengikut peredaran waktu” jelasku. Haqem menatapku.
“Maksud awak... awak tak kisah kalau restoran ini juga akan berubah?” soal Haqem. Aku mengangguk. Kematangan diri membuatkan aku lebih rasional. Andai mendatangkan seribu kebaikan tidak salah meletakkan kenangan lalu di tempat kedua. Yang pasti ada perubahan yang tidak mampu kita halang sama ada kita sedari mahupun tanpa disedari.
“Kita tak mampu nak mengekalkan semuanya mengikut kehendak hati kita, Haqem. Kita juga tak mampu menghalang apa yang berlaku di sekeliling kita” ujarku cuba menyedarkan Haqem tentang hakikat itu. Selebihnya tidak mahu Haqem terus terusan rasa bersalah. Senyap.
“Malah saya juga berharap awak akan berubah” tuturku. Haqem menatapku. Seketika aku dan Haqem saling beradu pandangan.
“Saya tetap seperti Haqem yang awak kenali dahulu. Saya tak mungkin akan berubah. Saya akan mencintai awak sampai bila – bila” tutur Haqem serius. Seulas senyuman terukir di bibirku. Sungguh membahagiakan luahan bicara Haqem ini.
“Terima kasih, Haqem” hanya ini yang mampu kulafazkan kepada Haqem saat ini. Kesungguhan terpancar di wajah Haqem. Tidak sedikit pun cinta dan kasih Haqem berkurang kepadaku. Betulkah cinta Haqem ini utuh? Keutuhan yang bisa menempuh apa sahaja halangan yang mendatang. Sanggupkah Haqem melukai perasaan Datin Sofea yang sudah pasti kecewa dengan tindakannya ini? Datin Sofea tidak pernah merestui hubungan cinta ini.
“Saya berharap sangat awak tak pernah berubah, Lia” tutur Haqem serius sambil merenungku. Kubalas renungan mata Haqem dengan mulut yang membisu.
“Kita dah lama menempuhi hidup yang sukar.... sejak kita berpisah dahulu. Saya mahu kita hidup bersama sehingga ke akhirnya” tutur Haqem bersungguh – sungguh.
“Bagaimana dengan Datin Sofea? Sanggupkah awak melukai hatinya?” soalku menduga hati Haqem. Senyap.
“Saya bukan perempuan yang disukai oleh mama awak. Saya tak mampu menandingi Bella yang begitu sempurna” tuturku lebih rasional.
“Saya akan pujuk mama agar merestui hubungan kita dan menerima awak seadanya. Awak janganlah susah hati ya” sahut Haqem cuba menyenangkan hatiku. Aku tersenyum. Jauh di sudut hati aku tidak gembira mendengar bicara Haqem ini. Namun kupendamkan sahaja. Mungkin aku patut memberi Haqem peluang menangani masalah kami dengan Datin Sofea yang sudah berlarutan sejak sekian lama. Mana tahu kali ini mudah sahaja hati Datin Sofea menerima pujukan rayuan Haqem. Tiba – tiba sahaja suara hatiku berbisik menghalang aku menggantung harapan yang tinggi terhadap hubungan percintaan ini. Risau andai aku akan terluka lagi.
“Cantik – cantik ni... kamu mahu pergi mana, Lia?” soal
mak sambil tercengang – cengang menatapku.
“Lia nak keluar kejap. Ada kawan nak belanja makan malam ni” sahutku tidak mahu berterus terang kepada mak bahawa Haqemlah yang mengajak aku keluar malam ini. Pandangan mak masih tidak berganjak dari terus memerhatikanku.
“Kawan perempuankah kawan lelaki?” soal mak menyelidik. Aku hanya senyum. Tidak berani hendak menyebut nama Haqem di depan mak, malah tidak tega juga hendak berbohong kepada mak. Risau mak akan terkejut. Paling membimbangkan aku andai perkara ini tidak menggembirakan mak. Mana tahu mak sudah berputus asa terhadap Haqem.
“Kamu nak keluar dengan Aqelkah?” soal mak.
“Bukanlah mak” sahutku laju. Jelas kehampaan terpamer di wajah mak. Kedengaran keluhan kecil mak. Rupanya mak masih berharap hajat hatinya akan termakbul.
“Kamu dah jumpa pengganti Haqemkah?” soal mak curiga.
“Kenapa pula mak boleh tanya macam tu?” soalku pula.
“Jarang sangat mak tengok kamu menghias diri. Kalau setakat nak keluar makan dengan Nana pun langsung tak bebedak dan berlipstik” ujar mak semakin curiga buat hatiku gundah – gulana. Aku benar – benar tidak mahu hendak membuat kejutan kepada mak tika ini.
“Mak tak mahu tengok Lia gembirakah?” tidak semena – mena meluncur laju persoalan ini dari mulutku. Mak menatapku.
“Betulkah kamu dah bercinta sekarang? Siapa lelaki tu?” soal mak bertalu – talu.
“Mak.... masih awal nak cerita pada mak. Mak sabarlah ya...” pintaku.
“Bagaimana pula dengan Aqel?” soal mak masih mahu memperkatakan tentang hajat hatinya itu. Pandangan mak tidak berganjak dariku.
“Aqel tak kata apa – apa pada mak?” soalku. Laju mak menggeleng.
“Dia nak kata apa? Sudah lama juga Aqel tak datang sini. Kalau kamu jumpa Aqel suruhlah dia datang ke rumah. Mak memang nak jumpa Aqel” tutur mak membangkitkan kerisauanku. Bagai ada perkara mustahak yang mahu dibincangkannya bersama Aqel. Mungkin juga mak mahu mengorek rahsiaku daripada Aqel.
“Insya Allah, Lia akan sampaikan” sahutku tiada pilihan selain cuba memenuhi permintaan mak yang mahu bertemu dengan Aqel. Mak tersenyum.
“Lia nak pergi sekarang. Mak tak payah tunggu Lia balik” pesanku. Mak mengangguk.
“Pandu kereta hati – hati. Jangan balik lewat tau” pesan mak pula. Aku mengangguk dan tersenyum. Kusalami tangan mak. Kemudian bergerak ke muka pintu. Seminit aku masih terpacak di depan pintu. Aku berpaling semula ke arah mak.
“Maafkan Lia mak....” bisik suara hatiku yang tidak mampu didengar oleh mak. Rasa bersalah pula sebab tidak mampu berterus terang kepada mak.
“Mengapa masih terpacak di situ?” soal mak hairan. Aku senyum.
“Lia pergi sekarang. Assalamualaikum......” Aku terus sahaja mengatur langkah ke halaman rumah sekali gus meninggalkan mak yang masih mahu menyaksikan kepergianku, kini terpacak di ambang pintu sambil melambai tangan ke arahku. Aku membalas lambaian tangan mak dengan perasaan kesal yang menebal. Saat ini aku benar – benar tidak mampu menyatakan kepada mak bahawa aku akan bertemu dengan Haqem sekejap lagi. Aku dan Haqem berkunjung lagi di restoran yang menyimpan seribu kenangan ini.
“Masa itu saya dan Aqel lari macam kipas kudung. Takut betul kami dengan minah Minah Saleh tu, agresif betul” cerita Haqem tentang kisah silam mereka ketika belajar di London beberapa tahun yang lalu. Haqem tersenyum. Begitu juga aku. Sudah lama juga Haqem dan Aqel menjalin persahabatan. Pasti Aqel adalah sahabat karib terbaik Haqem.
“Bukankah lelaki suka gadis macam tu? Macam tak percaya sahaja Aqel akan lari” tuturku. Lelaki buaya darat seperti Aqel tidak mungkin akan menolak kehadiran perempuan.
“Awak tak tahu yang sebenarnya dia tu penakut juga dengan perempuan, apatah lagi perempuan yang agresif. Dia memang tak berkenan gadis macam tu” tutur Haqem menceritakan tentang sahabat baiknya itu. Kupandang Haqem. Nampak Haqem serius menuturkan perkara itu. Betulkah sikap Aqel sedemikian? Jangan – jangan Aqel hanya bersendiwara sahaja atau Haqem sekadar mahu memperlihatkan betapa baik sahabatnya itu.
“Kalau saya tanya sesuatu tentang Aqel kepada awak, bolehkah awak cakap sejujurnya?” soalku sambil menatap Haqem. Pasti Haqem banyak tahu tentang Aqel. Sudah semestinya tiada rahsia antara mereka. Haqem mengangguk.
“Apa yang awak nak tahu tentang Aqel? Nampak serius sahaja” soal Haqem. Aku menarik nafas dalam – dalam dan tersenyum. Mudah – mudahan Haqem akan bercakap benar kepadaku.
“Mengapa Aqel tinggalkan Rania? Betulkah mereka berdua itu pernah bercinta?” soalku. Haqem menatapku. Persoalanku tidak terus dijawabnya.
“Mengapa awak berminat dengan Aqel dan Rania?” tutur Haqem menyoalku. Aku melepaskan keluhan kecilku.
“Saya ingin tahu perkara sebenarnya. Kadangkala timbul juga perasaan bersalah kepada Aqel bila saya prasangka buruk padanya. Tak adilkan kalau saya menilai diri Aqel sedemikian sedangkan saya tak berapa mengenalinya. Maka saya harus bertanya pada awak sebab awak orang yang paling rapat dengan Aqel” ujarku berjela. Tidak mahu Haqem salah faham.
“Tambahan pula Rania nampak tak menyukai saya. Saya rasa Rania telah salah faham tentang hubungan saya dan Aqel. Saya dapat rasakan bahawa Rania masih mengharapkan Aqel bersamanya. Mungkin saya boleh tolong Rania” tambahku berbicara.
“Mestilah Rania tak suka melihat awak dan Aqel rapat. Saya pun rasa cemburu juga” luah Haqem tersenyum. Aku turut tersenyum.
“Betul awak nak tahu semua ni?” soal Haqem. Laju aku mengangguk. Haqem melepaskan keluhan beratnya. Tampak sukar baginya hendak memulakan ceritanya.
“Rasa susah dan berat hati sahaja nak buka kembali kisah lalu Aqel ni. Tak sedap hati nak buka keaiban orang lain. Awak pernah tanya perkara ni kepada Aqel?” soal Haqem. Aku mengangguk.
“Ada .... tetapi dia tak nak jawab” sahutku. Bicara Haqem mendebarkanku. Aku juga mula tertanya – tanya.
“Aqel memang macam tu. Dia takkan bercakap tentang perkara lalu apatah lagi perkara yang menyakitkan hati” tutur Haqem diiringi dengan keluhannya.
“Demi awak, saya akan cakap perkara ni. Awak mesti janji yang awak takkan ceritakan perkara ni kepada orang lain” pinta Haqem. Laju aku mengangguk.
“Awak tak perlu risau. Saya memang pandai simpan rahsia” sahutku berjenaka, namun aku tetap serius menuturkannya. Haqem tersenyum.
“Aqel dan Rania memang pernah menjadi pasangan kekasih, namun tak lama. Aqel juga pernah mengatakan kepada saya yang dia mahu menjalin hubungan cinta yang serius memandangkan kami dah berada di tahun akhir. Memang saya tak sangka Aqel seserius begitu” cerita Haqem sambil tersenyum sendiri. Aku diam mendengarkan cerita Haqem tenang Aqel.
“Aqel juga mahu membina keluarga tanpa menunggu masa yang lama kerana kasihan melihat Mak Long awak kesunyian. Betapa Aqel anak yang taat dan begitu menyayangi mamanya” cerita Haqem sambil tersenyum lagi. Aqel memang anak yang baik. Terlalu jauh bezanya dengan diriku. Dalam banyak perkara aku tidak mampu membahagiakan hati mak. Timbul rasa kagumku kepada Aqel. Ketaatan dan kepatuhan Aqel kepada Mak Long sukar kutandingi.
“Tak sangkakan Aqel boleh berfikiran begitu. Mesti ramai tak sangka lelaki sehebat Aqel lebih awal memikirkan tentang hidup berkeluarga” tutur Haqem turut kagum.
“Aqel bercadang nak melamar Rania jadi isterinya?” soalku mula bersuara setelah mendiamkan diri seketika.
“Pada mulanya memang macam tu, namun ternyata mereka takde jodoh nak jadi suami isteri. Allah mesti nak temukan Aqel dengan perempuan yang lebih baik. Betapa yakinnya saya bahawa anak yang taat kepada ibu bapa akan sentiasa dilindungi Allah” ujar Haqem serius.
“Maksud awak?” soalku tidak mengerti.
“Suatu hari saya temankan Aqel menemui Rania di rumah sewanya. Lama kami berada di depan pintu rumah sewanya. Aqel cuba menelefonnya, namun telefon Rania dimatikan. Pintu yang kami sangka berkunci itu, rupanya tidak. Tiba – tiba sahaja hati saya tergerak nak menolaknya. Rasa was – was memaksa saya dan Aqel masuk ke dalam rumah itu. Risau sesuatu yang buruk telah menimpa Rania” cerita Haqem. Haqem diam seketika. Wajahnya serius. Aku masih menanti bicara Haqem selanjutnya.
“Awak dapat bayangkan apa yang berlaku ketika itu?” soal Haqem meminta pendapatku. Aku menggeleng. Tidak mampu membayangkan apa yang berlaku seterusnya. Sebetulnya aku sudah tidak sabar – sabar hendak mengetahuinya.
“Saya dan Aqel jumpa Rania terbaring di atas katil separa bogel bersama seorang lelaki Mat Saleh” jelas Haqem. Haqem melepaskan keluhan beratnya. Aku tergamam. Astaghfirullahaladzim…. Sanggup Rania melakukan semua itu. Menyerahkan mahkota dirinya kepada lelaki yang bukan suaminya. Oh... kasihannya Aqel. Pasti dia terluka ketika itu. Lantas aku teringat permintaanku kepada Aqel agar dia kembali bersama Rania. Aku rasa semakin bersalah apabila teringat betapa aku berprasangka buruk kepada Aqel selama ini. Aku selalu membayangkan bahawa Rania adalah mangsa kekejaman Aqel. Ternyata aku melakukan kesilapan yang besar.
“Mesti Aqel kecewa sangat ketika itukan” tuturku. Haqem tersenyum.
“Aqel seorang yang begitu tabah. Cepat sahaja dia memulakan hidup barunya. Namun yang jelas saya tak pernah lagi dengar Aqel bercakap tentang perkahwinan. Saya tahu dia memang terluka atas tindakan Rania itu” tutur Haqem buat aku terdiam lagi. Betapa aku tidak menyangka Rania akan bertindak sekejam itu. Kejam kepada Aqel malah kepada dirinya sendiri. Memang patut pun sukar bagi Aqel hendak memaafkan Rania. Kesalahan Rania terlalu berat. Timbul perasaan bersimpati dan bersalahku kepada Aqel. Banyak sangat dosaku kepada Aqel lantaran syak wasangkaku terhadap dirinya. Rupanya dalam hal percintaan mereka, Aqellah yang telah menjadi mangsa. Malah Aqel jugalah yang terpaksa menanggung kesalahan Rania. Betapa aku tersilap menilai semua ini. Kasihan Aqel.
“Kenapa awak tiba – tiba sahaja senyap?” tegur Haqem. Aku melepaskan keluhan. Berat sungguh bebanan kesalahan yang kutanggung ketika ini. Mungkinkah Aqel boleh memaafkan aku?
“Kasihan Aqelkan...” hanya perkataan ini yang keluar dari mulutku. Haqem menatapku lama. Entah apa yang sedang difikirkannya saat ini. Rasanya buat pertama kali aku meluahkan belas kasihanku kepada Aqel di depan orang lain khasnya di depan Haqem. Perlahan – lahan Haqem menganggukkan kepalanya. Agak terlewat juga Haqem menunjukkan reaksinya.
Ketika aku tiba di halaman rumah, lampu ruang tamu masih
menyala. Pasti mak belum tidur lagi. Mungkin mak sedang menanti kepulanganku.
Walaupun aku sudah berpesan kepada mak agar tidak menunggu kepulanganku dengan
persetujuannya, namun ternyata mak tetap mahu menungguku. Kerisauan seorang ibu
terhadap keselamatan anaknya tidak dapat disembunyikan. Betapa menggunungnya
kasih seorang ibu terhadap anak – anaknya.
“Assalamualaikum....” sapaku berdiri di ambang pintu. Kedengaran suara mak menyahut salamku. Daun pintu dikuak.
“Mengapa mak belum tidur lagi? Kan Lia dah cakap tadi tak payah tunggu Lia balik” ujarku belas kasihan kepada ibu yang masih mahu berjaga tika ini. Mujur juga aku tidak balik lewat tadi. Gara – gara rasa bersalah yang menggunung kepada Aqel, fikiranku terganggu. Haqem pula seakan – akan memahami keadaanku tika ini, lantas mengajak aku segera mengakhiri pertemuan tadi. Tindakan Haqem sedikit melegakanku.
“Mak tunggu Lia balikkah?” soalku masih kurang senang dengan tindakan mak. Bimbang aku telah menyusahkan mak.
“Nak tengok drama ni sampai habis” sahut mak memberi alasan. Aku melabuhkan dudukku di sofa di sebelah mak. Tidak sampai lima minit, mak sudah menguap – nguap. Mesti sejak tadi mak menahan rasa mengantuknya. Namun masih berpura – pura mahu menonton drama ini. Sebetulnya mak memang mahu menunggu kepulanganku.
“Mak nak tidurlah sekarang. Nanti jangan lupa tutup suis lampu dan suis tv sekali. Pastikan juga pintu dah berkunci” pesan mak lantas bangkit dari duduknya.
Mak mengatur langkahnya meninggalkan aku bersendirian di ruang tamu ini. Aku melontar pandanganku pada kaca tv. Namun tiada keinginanku mengikuti drama itu. Fikiranku melayang kepada Aqel. Rasa bersalahku kepada Aqel belum padam lagi. Lama aku berfikir. Hatiku memang tidak tenteram tika ini. Laju sahaja tanganku mencapai telefon di poket beg galasku. Aku terus sahaja mendail nombor telefon Aqel. Terasa hatiku berdebar – debar menanti suara Aqel di talian. Namun panggilan ini tidak dijawab oleh Aqel. Mungkinkah Aqel sudah tidur lena? Kucuba menelefon Aqel semula. Suara perempuan tadi kedengaran lagi. Aku melepaskan keluhan beratku. Sedikit menghampakan tatkala aku gagal menghubungi Aqel. Pasti rasa bersalahku ini akan tetap menghantuiku sepanjang malam ini malah berlanjutan sampai bila – bila. Selagi kemaafan Aqel tidak kuperoleh selagi itulah aku tidak akan rasa tenteram. Lantas kutulis mesej lalu menghantarnya kepada Aqel.
~Pohon banyak –
banyak kemaafan daripada awak...Aqel....~
Laporan mesej kuterima. Mesejku sudah selamat dikirim
kepada Aqel. Kusimpan kembali telefon ini di dalam poket beg galasku. Aku
mematikan suis tv dan suis lampu. Kemudian mengatur langkah longlai mendaki
satu – persatu anak tangga untuk ke bilikku. Aku terus merebahkan tubuhku di
atas katil. Seketika kaku di situ. Suara Haqem bercerita tentang Aqel kembali
terngiang – ngiang di telingaku. Hatiku kembali gundah – gelana. Bingkas aku
bangun dari perbaringan ini, lalu mengeluarkan telefon bimbit dari poket beg
galasku. Tiada sebarang panggilan mahupun mesej yang kuterima. Aqel tidak
menghubungiku kembali mahupun membalas mesejku.
Aku kembali
merebahkan tubuhku di atas katil dengan keluhan berat. Kupejamkan mata rapat –
rapat. Cuba mengosongkan mindaku. Namun yang pasti aku akan terus mencuba untuk
mendapatkan kemaafan daripada Aqel atas prasangka burukku terhadap dirinya.
Lantas mulutku mula terkumat - kamit melafazkan surah Al-Kauthar agar dapat
meleraikan segala perbalahan, perbalahan diriku dengan Aqel serta dengan orang
yang berada di sekelilingku. Kemudian disusuli dengan Surah An-Nas bagi
melindungi diri daripada ditimpa penyakit was-was. Perlahan – lahan terasa ada
kelegaan menyerap dalam jiwaku. Namun nama Aqel masih melekat di kepalaku.
assalamualaikum..... n selamat mlm suma..... fikiran tepu... bebanan kerja bertambah.... masih terkial - kial di tempat keja baru.... huhhh.... rasa rindu jg nak berkarya.... namun kekangan masa menjadi penghalang.... sori..ampun n maaf suma kpd peminat novel ni coz sambungannya blm muncul lagi.... doakan agar kesibukan sy skrg segera reda... amin....
ReplyDelete