Sunday, 21 April 2013

Kembali Lagi.... NamaKu Bukan Flora..... bab 47




BAB 47

Aku melirik ke arah Aqel yang sedang berdiri bertentangan denganku begitu rancak berbincang dengan Haqem. Cuba menilai reaksi Aqel terhadapku. Aqel tetap bersahaja. Mungkinkah mesej yang kuhantar malam tadi tidak diterimanya? Jikalaulah mesej itu tidak sampai, pasti Aqel nampak panggilan telefon dariku yang tidak dijawabnya. Mengapa Aqel tidak bertanyakan perkara ini? Oh…memang perangainya tidak suka mengungkit perkara yang lalu! Hatiku berbisik cuba bertenang. Namun panggilanku itu belum sampai 24 jam pun. Aqel sepatutnya menanyakan sebab – musabab aku menelefonnya. Kemudian memberikan alasan mengapa panggilanku itu tidak dijawabnya. Sedar tidak sedar aku melepaskan keluhan kecilku. Bingung dengan sikap Aqel yang luar biasa daripada orang lain. Memang aku mahukan penjelasan daripada Aqel tika ini.

“Haqem…. mesti Flora dah bosan nak tunggu awak. Kamu pergilah sekarang” ujar Aqel sambil menatapku sekilas pandang sekali gus menyentakkanku. Laju aku geleng kepala.

 “Takdelah. Kalian boleh terus berbual” tingkahku mengarah.

“Saya tak kisah pun kalau awak nak terus berbual dengan Haqem” tuturku menokok bicara sambil memandang Aqel. Aqel tersenyum.

“Takpelah. Esok saya dan Haqem boleh sambung berbual lagi” sahut Aqel menolak keizinanku. Nampak dingin dan bersahaja diri Aqel.

“Kita jumpa esok” putus Aqel memulakan langkah meninggalkan Haqem dan aku yang terkebil – kebil memerhatikan langkahnya. Aku melepaskan keluhan beratku.

“Kenapa ni? Nampak  macam ada yang tak kena je?” soal Haqem sambil menatapku. Aku cuba tersenyum. Pandanganku masih kulontar pada Aqel yang kian menjauh.

“Aqel….!” Tidak semena – mena aku melaung kepada Aqel. Langkah Aqel terhenti lalu berpaling ke arahku dan Haqem. Haqem di sisiku sedang menatapku. Nampak dirinya terkejut dengan tindakanku.

“Haqem, saya jumpa Aqel sekejap. Awak tunggu di sini ye” pintaku. Haqem hanya mengangguk. Aku menarik nafas dalam – dalam lalu mengatur langkah ke arah Aqel yang sedang menanti kedatanganku.

“Awak nak cakap apa dengan saya?” soal Aqel tanpa mahu melengahkan masa lagi. Kupandang wajah Aqel seketika. Fikiranku rancak membuat pertimbangan. Patutkah aku memperkatakan perkara ini sekarang? Sesuaikah masa ini?

“Kenapa diam je?” suara Aqel mengejutkanku.

“Mak suruh awak datang rumah” meluncur laju ayat ini keluar dari mulutku. Aqel tersenyum.

“Oh… Ingatkan apa tadi. Insya Allah petang nanti saya singgah rumah awak ye” sahut Aqel masih tersenyum. Aku melepaskan deruan nafasku. Terasa sukar sangat hendak meluahkan apa yang sebenarnya terpendam di dalam sanubariku tika ini. Mungkin keegoan diri yang tinggi jadi penghalangnya.

“Awak tak marahkah kalau saya pergi rumah awak?” soal Aqel buat aku terpinga – pinga menatap Aqel.

“Bukankah awak tak suka saya pergi rumah awak” ujar Aqel mengungkit perkara lalu. Laju aku geleng kepala. Semua itu sudah berakhir.

“Sekarang saya takkan marah awak lagi. Bila – bila masa saja awak boleh pergi rumah mak. Sekarang saya mahu jadi kawan baik awak” tuturku meluahkan hajat hatiku sambil tersenyum.

“Apa?” soal Aqel terpinga – pinga mendengar bicaraku. Aku tersenyum.

“Jumpa awak di rumah nanti. Assalamualaikum….” tuturku lalu berpaling dan mula melangkah ke arah Haqem yang masih terpacak di situ setia menanti kedatanganku. Aku tersenyum menatap Haqem. Lega rasanya setelah berbual dengan Aqel.

“Apa halnya? Nampak gembira semacam je?” soal Haqem sambil menatapku.

“Mulai hari ini saya tak mahu bergaduh dengan Aqel lagi. Saya mahu jadi sahabat akrabnya seperti hubungan awak dengannya” tuturku meluahkan azam baruku. Haqem tersenyum.

“Baguslah kalau awak dah fikir macam tu” sahut Haqem menyokongku.

“Tapi… Aqel mahukah jadi sahabat saya?” soalku sangsi sambil menatap Haqem. Risau kalau Aqel menolak niat suciku ini. Haqem mengangguk dengan yakinnya.

“Perkara yang baik mestilah dia mahu. Aqelkan baik dengan awak” sahut Haqem menyuntik keyakinan padaku. Aku tersenyum. Lega rasanya setelah mendengar bicara Haqem ini. Mudah – mudahan aku dan Aqel boleh menjadi sahabat yang baik. Amin.

“Mari kita pergi….” tutur Haqem mengajakku beredar. Aku mengangguk dan masih tersenyum. Sebelum memulakan langkah sempat aku berpaling semula ke belakang. Aqel sudah tidak berada di situ lagi. Mengingati reaksi yang terpamer di wajah Aqel sebentar tadi aku tersenyum sendiri lagi. Pasti Aqel bingung memikirkan bicaraku. Aku terus mengorak langkah di sisi Haqem dengan penuh keyakinan tanpa menghiraukan pandangan warga KDUT yang berpampasan dengan kami. Aku sudah bersedia andai perkara ini bakal mengundang gosip dan kontroversi dalam kalangan warga KDUT, bahkan tidak hairan jikalau perkara ini begitu cepat tersebar ke pengetahuan Datin Sofea dan Bella. Sekali lagi aku mahu menyatakan bahawasanya aku mahu membahagiakan Haqem dan menebus segala kesalahanku rentetan berprasangka buruk kepada dirinya selama ini. Aku mengharapkan Datin Sofea mahupun Bella memberi aku peluang untuk melakukannya. Memang ini yang aku harapkan.

TATKALA aku memasuki perkarangan rumah ini, kulihat kereta Aqel sudah ada di halaman rumah ini. Aqel lebih awal sampai dariku. Jikalau hal berkaitan keluarga, aku memang memuji dan menyanjungi Aqel. Aqel memang sentiasa menghormati orang tua malah mengutamakan mereka. Buktinya permintaan mak yang mahukan dirinya berkunjung ke rumah ini terus saja dipenuhi. Bahkan selama aku tinggal sebumbung dengan mereka, Aqel memang anak yang taat. Dia begitu patuh kepada Mak Long, malah sentiasa mahu membuatkan Mak Long hidup bahagia. Beruntunglah dapat anak persis diri Aqel. Pasti sejuk perut Mak Long yang telah mengandungkannya. Aku tertunduk sambil melepaskan keluhan berat tatkala teringat pada nasib mak yang ada anak sepertiku. Begitu banyak sudah kesukaran yang aku berikan kepada mak. Aku tahu mak memang sentiasa memikirkan tentang diriku. Mak sudah semestinya sentiasa bimbang terhadapku, namun cuba disembunyikannya selama ini. Bilakah agaknya aku boleh membahagiakan hidup mak dan hidupku sendiri? Ohh.... perjalanan hidup manusia yang tidak mampu diramal! Aku melangkah longlai ke muka pintu.

“Assalamualaikum.....” sapaku sambil anak mataku melilau mencari kelibat mak dan Aqel. Kedengaran suara riuh – rendah di dapur. Sayup – sayup suara Mak Long kedengaran di telingaku. Segera aku melangkah ke dapur.

“Oh.... Lia dah sampai rumah rupanya....” suara Mak Long menegurku. Aku tersenyum. Mak dan Aqel turut memandang ke arahku. Aku segera mendapatkan Mak Long lalu menyalami tangannya. Mak Long terus saja bangkit lalu memeluk tubuhku erat.

“Lama tak jumpa Lia. Mak Long rindulah pada Lia” tutur Mak Long menyentuh hatiku. Aku tersenyum. Gembira mendengar bicara Mak Long ini.

“Lia pun rindu pada Mak Long juga” balasku meluahkan isi hatiku.

“Cakap rindu tapi tak nak datang rumah jenguk Mak Long” balas Mak Long buat aku tersenyum dan rasa serba salah. Tidak pasal – pasal terkena sebiji pula. Aqel tersengih melirik ke arahku. Pasti dia sedang memerliku sekarang. Aku melabuhkan dudukku di sebelah Mak Long bertentangan dengan Aqel. Bersedia untuk menyertai ahli keluarga kecil ini menikmati hidangan minum petang. Jika Aziq ada sekarang, maka lengkaplah sudah keluarga ini.

“Dia ni Kak Long.....sibuk memanjang. Siang malam payah nak melekat di rumah” omel mak sambil mencebik ke arahku. Aku terenyum sekilas. Tidak pasti sama ada bicara mak ini sekadar mahu melindungiku ataupun sedang mengadu kepada Mak Long. Sejak kebelakangan ini memang ada beberapa kali aku keluar malam bertemu janji dengan Haqem. Mak sudah pasti menyedarinya. Tidak sangka juga sebenarnya mak ambil kisah tentang perkara ini. Aqel menghulurkan secawan air teh kosong suam kepadaku.

“Terima kasih...” ujarku kepada Aqel yang bertindak persis tuan rumah sedang melayan tetamunya. Sudah terbalik pula. Aqel memang sudah tidak janggal berada di rumah ini. Sudah beberapa kali dia dan mak menyediakan hidangan bersama – sama. Hubungan mak dan Aqel boleh dianggap akrab. Perlahan – lahan aku menghirupnya.

“Lia sedang bercintakah? Siapa lelaki tu?” suara Mak Long melontar soalan cepu emas buat aku hampir – hampir tersedak. Mujur juga air teh di dalam mulutku ini tidak tersembur keluar menghujani wajah tampan anak mudanya ini. Jikalau tidak mahu meradang juga Aqel jadinya. Pandangan Mak Long, mak termasuklah Aqel sedang terarah kepadaku. Nyatanya mereka sedang menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutku bagi menjawab persoalan Mak Long itu. Aku jadi serba salah. Namun mulutku tetap terkunci.  

“Lia dah ada kekasih?” soal Mak Long lagi. Mak masih menatapku. Aqel tersenyum sendiri. Mungkinkah sebentar lagi Aqel akan membongkar segalanya. Mak dan Mak Long pasti akan terkejut tatkala mendengar nama Haqem yang akan keluar dari mulut Aqel. Maka mak dan Mak Long akan semakin hairan apabila diri masing – masing mengenali Haqem. Banyak persoalan yang akan kujawab. Tidak dapat kubayang penerimaan mak andai dirinya mengetahui tika ini aku saling berhubung dengan Haqem. Tidak dapat aku fikirkan juga reaksi Mak Long andai dirinya mengetahui sejarah percintaan laluku dengan Haqem.

“Mana ada lelaki nak perempuan yang gila kerja, mama. Tak romantik langsung...” suara Aqel mengutuk memecah kebisuanku.

“Hish... kamu ni...” rungut Mak Long kurang senang mendengar bicara Aqel.

“Betul kata Aqel tu, Kak Long. Dia ni memang tak romantik pun” sahut mak mengutukku sekali gus menyokong bicara Aqel. Aqel tergelak. Aku hanya tersengih. Langsung tidak ambil hati terhadap kata – kata mak dan Aqel. Malah mahu berterima kasih kepada Aqel kerana telah menyelamatkan aku dari memberi sebarang jawapan yang tidak masuk akal untuk pertanyaan Mak Long itu. Risau andai aku jawab sebarangan.

“Kamu mesti ajar Lia ni jadi romantik, Aqel. Bimbang juga kalau sampai ke tua tak kahwin – kahwin lagi” tutur mak meluahkan kegusarannya. Tidak pasti sama ada mak serius dengan permintaannya ini ataupun hanya mahu mengusikku saja. Namun wajah mak nampak begitu serius.

“Mak ni....” tegurku kurang senang. Tidak suka mak mahu melibatkan Aqel dalam hal yang berkaitan dengan diriku. Aku tahulah Aqel memang pakar dalam bab romantik ini. Pengalaman bercintanya begitu meluas. Lantas aku teringat pada kisah cinta perit Aqel. Perasaan sedih dan simpati kepada Aqel kembali menjelma. Kasihannya Aqel...!

“Tak payah bimbang Suraya.... adalah lelaki yang akan kahwin dengan Lia tu nanti” tutur Mak Long memujuk mak sekali gus cuba melenyapkan kegusaran mak. Mak Long tersenyum sendiri. Tidak mengerti dengan senyuman Mak Long itu. Sungguh aku tidak tahu apa yang sedang berada dalam fikiran Mak Long sekarang. Aku hanya membisukan diri. Cara ini lebih selamat dari berkata – kata. Tidak kisahlah andai mak dan Mak Long terus – terusan mahu memperkatakan tentangku. Paling penting mereka tidak akan bertanya dengan siapa aku sering berjumpa sekarang. Aku tidak sampai hati mahu berbohong kepada mak dan Mak Long.

Usai sesi minum petang keluarga ini, Aqel dan Mak Long tidak terus pulang. Mak sudah awal – awal mempelawa mereka solat Maghrib dan makan malam bersama – sama. Mak Long bersetuju. Makanya Aqel juga akan terpaksa bersetuju biarpun terpaksa bercanggah dengan perancangannya. Aqel sama sekali tidak akan membantah bicara Mak Long. Itu Aqel yang aku kenali. Namun melihat senyuman dan wajah ceria Aqel, jelas menunjukkan Aqel tidak terpaksa melakukannya. Jelasnya Aqel juga senang untuk terus berada di sini.

“Kak Long dan Aqel mandilah dulu. Nanti kita solat berjemaah” tutur mak mengemukakan agenda seterusnya.

“Kak Long dah mandi sebelum datang sini tadi. Aqel ini saja yang belum mandi – mandi” sahut Mak Long sambil menjuihkan bibir ke arah Aqel. Aqel tersengih. Memang ketara Mak Long sudah mandi. Wajahnya berseri – seri.

“Kalau macam tu Aqel mandilah dulu. Pergi masuk ke bilik Aziq di atas tu. Mak Usu dah sediakan tuala dan t – shirt Aziq yang paling besar. Harap – harap muat dengan kamu” jelas mak. Aqel tersenyum dan mengangguk. Kali ini mak tidak mahu meminjamkan bajuku kepada Aqel lagi. Mungkin kerana aku berada di rumah sekarang sebab itu mak tidak dapat mengambilnya dari almariku. Mungkin juga mak masih ingat dengan kemarahanku yang lepas. Pasti mak tidak mahu aku bermasam muka dan menahan perasaan di depan Mak Long tatkala melihat Aqel memakai baju milikku.

“Tak pe mak...., Lia ada t – shirt yang besar. Lia pinjamkan untuk Aqel. Lia ambil sekarang” ujarku. Serentak mak dan Aqel memandangku. Nampak persoalan di wajah mereka. Aku hanya senyum. Sempat juga aku melihat senyuman mak yang baru saja terukir di bibir. Kubuka daun pintu almari pakaian ini. Laju saja tanganku menyelak baju – baju yang tergantung di sini. Kucapai t – shirt merah teddy bearku ini. Aqel pernah memakainya. Kudekatkan hidungku pada t – shirt ini. Haruman wangian basuhan Aqel masih melekat pada t – shirt ini. Kutenung seketika t – shirt merah teddy bear ini. Walaupun aku sayang akan t – shirt merah teddy bear ini, namun demi persahabatan yang ingin kujalinkan dengan Aqel aku mesti mengenepikan perasaan ini. Lantas memaksa diri untuk berkongsi. Inilah namanya pergorbanan seorang sahabat sejati. He...he... he.... serius saja bunyinya sedangkan perkara ini hanyalah melibatkan t – shirt merah teddy bearku.

“Nah... saya pinjamkan t – shirt merah teddy bear ini pada awak. Mesti boleh muat sebab ini bukan kali pertama awak memakainya” tuturku seraya menghulurkan baju ini kepada Aqel. Aqel tersenyum.

“Aik.... baik hati pula awak kali ni” perli Aqel menyambut baju yang kuhulurkan.

“Jangan banyak cakap” marahku. Aqel tergelak kecil.

“Terima kasih...” ujarnya lalu berpaling ingin memulakan langkah ke bilik Aziq. Namun langkah Aqel belum bermula lagi. Aqel berpaling semula menatapku.

“Apapun awak tetap seorang yang kedekut sebab pinjamkan baju yang sama. Awak takde baju yang lainkah?” soal Aqel membangkitkan geramku. Aku mendengus.

“Awak pakai sajalah baju tu... nanti saya tak jadi nak pinjamkan pada awak” ancamku dengan anak mata yang besar. Aqel tergelak lagi.

“Tak tahu bersyurkur langsung. Banyak sangat cekadak” rungutku geram.

“Cekadak? Apa benda tu?” soal Aqel dengan dahi yang berkerut.

“Cerewet sangatlah” kutukku geram. Aqel ketawa.

“Awak bukan tak tahu sayakan lelaki yang selalu mementingkan penampilan diri. Imej diri biar sentiasa nampak macho.....” ujar Aqel menyahut bicaraku. Aku mencebik bosan.

“Pergilah dengan macho awak tu. Malaslah nak layan awak lama – lama” rungutku lalu melangkah meninggalkan Aqel di situ. Kedengaran tawa Aqel lagi. Ketawalah puas – puas Aqel andai semua itu boleh menggembirakan hatimu lantas memadamkan kisah duka hidupmu. Aku melangkah ke dapur membantu mak dan Mak Long apa yang patut. Tiada yang banyak boleh aku lakukan selain menyiapkan peralatan makan yang akan digunakan nanti agar usai saja solat maghrib, makan malam boleh terus dilangsungkan. Pasti Mak Long dan Aqel mahu balik lebih awal untuk berehat.

Wah... nampak semuanya busy sekarang” suara Aqel mencelah perbualan rancak mak dan Mak Long yang belum habis – habis lagi. Perbualan ini terhenti. Mak Long berpaling ke arah anak mudanya sedangkan aku masih leka dengan tugasku. Kehadiran Aqel langsung tidak menarik perhatianku.

“Wow.... you so cute...!” suara Mak Long memuji anak terunanya. Mak tergelak. Laju aku berpaling ke arah Aqel. Lantas tersenyum.  Pujian Mak Long kena pada tempatnya. Aqel memang nampak comel dengan t – shirt merah teddy bearku ini. Aku tumpang bangga kerana akulah pemilik baju itu.

“Ini baju Liakah?” soal Mak Long sambil menatapku. Aku mengangguk.

“Oh.... rupanya baju Lia” tutur Mak Long semula sambil tersenyum sendiri. Gelagat Mak Long nampak pelik. Pandangan Mak Long masih menyoroti pergerakan Aqel yang sudah bersama mak di sudut itu. Aqel mula menawarkan pertolongannya kepada mak. Entah apa yang sedang Mak Long fikirkan saat ini. Oh.... mungkinkah Mak Long pernah melihat Aqel memakai t – shirt merah teddy bear sebelum ini memandangkan ini kali kedua Aqel memakainya.

“Hari tu mak yang pinjamkan Aqel baju tu” jelasku tanpa diminta. Aku tidak mahu Mak Long salah faham. Mak Long tersenyum.

“Dia tak pernah pakai baju orang lain” tutur Mak Long buat aku terdiam. Tidak terkejut mendengar kenyataan Mak Long ini. Lantas aku teringat pada bicara Aqel yang lalu. Aqel mengaku tidak pernah memakai baju orang lain, manakala aku pula tidak pernah meminjamkan bajuku kepada sesiapa saja untuk memakainya. Aku dan Aqel melakukannya buat pertama kalinya. Rupanya Aqel bercakap benar. Namun sedikit merisaukanku andai Mak Long salah faham terhadap tindakan Aqel ini. Ketika waktu Maghrib hampir – hampir masuk, kami bergerak ke bilik khas untuk solat berjemaah. Solat yang diimankan oleh Aqel. Sungguh mendayu – dayu suara Aqel memohon doa. Aku yang menadah tangan dan mengaminkan doa Aqel ini rasa terharu mendengar permintaan yang  Aqel panjatkan kepada Yang Maha Esa. Kali ini aku tidak nampak keegoan diri Aqel lagi. Aqel benar – benar merendah diri di depan Yang Maha Kuasa.        

Tidak lama selepas makan malam bersama – sama, Mak Long memohon diri untuk pulang. Ada kertas kerja yang perlu diteliti oleh Mak Long. Maklumlah Mak Long pengerusi persatuan, pasti banyak kerja yang perlukan tindakannya. Suatu hari nanti apabila usiaku sudah menjengah seusia Mak Long sekarang, aku tidak mahu bergerak aktif dengan sebarang aktiviti luar. Aku mahu menghabiskan masa tuaku bersama teman hidupku,  anak – anak serta cucu – cucuku. Betapa perkara ini lebih kuperlukan saat itu. Sempat juga aku berangan – angan. Aku tahu apa yang Mak Long lakukan sekarang sekadar penghilang rasa sunyi dan bosan tinggal bersendirian di rumah. Alangkah baiknya andai Mak Long dan suaminya masih bersama. Pasti keadaan berbeza sekarang. Alangkah baiknya juga andai Aqel cepat – cepat menamatkan zaman bujangnya. Kemudian mempunyai anak yang ramai yang boleh jadi penghibur dan penghilang rasa sunyi Mak Long.  

“Mak Long dah nak balik ni. Nanti selalulah datang jenguk Mak Long ye” pesan Mak Long. Aku hanya mengangguk tanpa sebarang janji. Tidak mahu membuatkan Mak Long berharap dan tertunggu - tunggu dengan kunjunganku.

“Nanti saya pulangkan baju awak ni ye” giliran Aqel pula bersuara kepadaku. Aku menggeleng.

“Awak simpanlah elok – elok baju tu. Saya hadiahkan kepada awak sebagai tanda persahabatan kita. Semoga kita boleh menjadi sahabat yang akrab” tuturku meluahkan isi hatikku. Aqel tersenyum.

“Awak ni memang kedekutkan. Sepatutnya belilah baju baru untuk hadiahkan kepada saya. Bukannya baju yang awak dah puas pakai” kutuk Aqel mula melancarkan perbalahan tanpa mempedulikan Mak Long dan mak yang turut berada di sini. Mak tergelak.

“Baju ni baju kesayangan saya juga tau. Awak ingat senangkah saya nak beri baju ni kepada awak. Kiranya saya berkorbanlah sekarang ni” balasku geram. Aqel tersengih.

“Ambil sajalah baju tu. Kan Lia dah hadiahkan kepada kamu” tegur Mak Long. Aku tersenyum. Mak Long pasti tidak akan membiarkan Aqel membuliku.

“Okey.... Terima kasih, Flora” tutur Aqel. Aku mengangguk dan tersenyum. Suka melihat Aqel tidak mampu berkata – kata lagi.

“Pergi hidupkan enjin kereta sekarang” arah Mak Long kepada Aqel. Aqel mengangguk.

“Mak Usu kami balik dulu ye. Terima kasih atas jemputan minum petang dan makan malam tadi. Hari lain pula kita buat kat rumah kami” tutur Aqel. Mak mengangguk sambil tersenyum. Lalu Aqel menyalami tangan mak sebelum bergerak ke halaman.

“Betul tu Suraya. Nanti kamu dan Lia dan bawa Aziq sekali datang rumah Kak Long. Tidurlah sehari dua di rumah Kak Long. Seronok dapat berkumpul beramai – ramai’ luah Mak Long.

“Insya- Allah Kak Long. Ada kesempatan nanti saya ajak Lia dan Aziq datang rumah Kak Long” ujar mak menyahut permintaan Mak Long. Mak Long tersenyum suka.

“Lia, Mak Long dah nak balik ni. Jaga diri baik – baik tahu. Hidup kita zaman sekarang ni sentiasa terdedah pada bahaya” nasihat Mak Long. Aku mengangguk. Sangat bersetuju dengan bicara Mak Long.

“Jaga mak Lia baik – baik tau” pesan Mak Long lagi.

“Ya Mak Long. Lia akan sentiasa ingat pesanan Mak Long ni” janjiku. Aku terus mengucup tangan Mak Long. Mak Long terus saja memeluk tubuhku.

“Lia sedang bercintakah sekarang? Sebab itukah Lia tak dapat terima Aqel?” dua persoalan Mak Long bisikkan ke telingaku. Aku terpaku dan tergamam. Kupandang Mak Long yang sedang tersenyum kepadaku. Persoalan Mak Long tidak mampu kujawab. Mak dan Mak Long bersalaman dan berpelukan. Mak Long terus saja mendapatkan Aqel yang sedang menantinya di dalam kereta. Kereta Peugeot RCZ Sports Coupe yang Aqel pandu bergerak meninggalkan halaman. Sempat juga mak dan Mak Long bertukar lambaian tangan sedangkan aku masih terpaku di tempatku berdiri ini.

“Mengapa dengan kamu ni?” soal mak hairan melihat aku masih berdiri di sini. Aku hanya menggelang kepala. Persoalan Mak Long tidak akan aku sampaikan kepada mak.

“Lia dah siap basuh pinggan mangkuk dan kemas dapur tadi. Lia nak berehat di bilik sekarang” ujarku kepada mak yang masih memandangku.

“Pergilah berehat di bilik. Jangan tidur lewat sangat nanti” pesan mak. Aku mengangguk lalu melangkah beredar meninggalkan mak bersendirian di ruang tamu. Melangkah masuk ke bilik ini, aku terus menghumban tubuhku ke tilam. Lega rasa dapat berbaring sebegini. Seketika aku mematungkan diri. Pertanyaan Mak Long tadi kembali menerpa pendengaranku. Bagaikan Aqel sudah berbincang dengan Mak Long tentang hasrat hati Mak Long dan mak yang mahu menyatukan aku dan Aqel. Mungkin Aqel sudah menyampaikan bicaraku kepada Mak Long. Aku sudah berterus terang segala – galanya kepada Aqel. Aqel juga telah merestui tindakanku. Barangkali Aqel terpaksa menceritakan segalanya kepada Mak Long demi menghalang hasrat Mak Long dan mak itu. Mungkin aku telah menyinggung perasaan Mak Long. Perlahan – lahan aku melepaskan keluhanku.

Sedikit kesal hatiku tatkala aku tidak berkesempatan menyampaikan rasa kesalku atas tanggapan silapku terhadap Aqel selama ini. Aku ingin sekali berbual bersama Aqel. Ada beberapa persoalan yang mahu aku ajukan kepada dirinya. Namun aku tidak pasti Aqel akan memberikan jawapannya. Prinsip hidup Aqel menghalang dirinya mengingati perkara lalu. Deringan telefon bimbitku memecah kesepian di bilik ini. Kucapai telefon bimbitku yang terletak di atas meja solekku. Nama Haqem tertera di skrin.

“Assalamualaikum....” sapaku mendahului suara Haqem. Kedengaran suara Haqem menyahut salamku.

“Awak dah lupa kita ada temujanji tadi” ujar Haqem memaklumkan kepadaku.

“Oh.... saya minta maaf. Memang saya terlupa tadi. Kebetulan Mak Long ada datang rumah tadi. Makan malam dan solat berjemaah tadi. Mereka baru saja balik” jelasku rasa bersalah sangat kepada Haqem.

“Maafkan saya, Haqem” ulangku memohon maaf. Aku memang benar – benar terlupa tadi. Senyap. Marahkah Haqem kepadaku? Merajukkah Haqem?

“Awak marahkan saya ke?” soalku tidak senang hati.

“Takdelah. Awak bukannya sengaja pun” sahut Haqem melegakan perasaanku.

“Terima kasih sebab memahami keadaan” tuturku rasa terhutang budi. Pengertian Haqem begitu bermakna buatku. Senyap.

“Aqel ada datang sama tadi?” soal Haqem.

“Ya dia pun ada tadi. Kiranya ini pertemuan keluarga jugalah” jelasku.

“Bestnya.... Bilakah agaknya saya dapat menyertai aktiviti macam tu” tutur  Haqem bersoal – jawab sendiri. Aku terdiam. Belum ada keyakinan mahupun keberanian untuk menjanjikan yang aku akan mempelawa Haqem ke rumah ini untuk bertemu dengan mak. Kemudian memberi peluang kepada Haqem dan mak di dapur persis yang sering dilakukan oleh Aqel setiap kali berkunjung di rumah ini. Risau mak tidak mampu menerima kehadiran Haqem. Aku juga tidak mampu memaksa mak mesra dengan Haqem. Pastinya Aqel dan Haqem bukan orang yang serupa yang aku yakini akan menerima layanan mesra daripada mak.  

“Suatu hari nanti awak akan merasainya juga” ujarku.

“Ya...” sahut Haqem pendek persis tidak bersemangat. Apa boleh buat ini saja yang mampu aku katakan tika ini. Aku tidak mampu menceriakan hati Haqem.

“Awak tak payahlah risau tentang perkara ni. Apapun saya akan tebus balik apa yang awak lakukan hari ni” ujarku cuba memujuk hati Haqem. Kedengaran gelak Haqem.

“Lama tak awak tunggu saya tadi?” soalku kesal.

“Habis lima gelas air kosong” sahut Haqem berjenaka. Aku tergelak. Bicara Haqem terasa lucu. Mungkin dia sekadar mahu bercanda denganku.

 “Betul...Sekarang perut saya dah masuk angin ni sebab banyak sangat minum air tadi” jelas Haqem.

“Betulkah? Oh.... kasihannya....” Rasa bersalahku kepada Haqem kian bertambah – tambah. Memang salahku membiarkan Haqem lama menungguku tadi.

“Sekarang awak di mana?” soalku ingin mengetahui kedudukan Haqem.

“Sedang terbaring di bilik saya”

“Dah makan?” soalku risau.

“Tak makan lagi. Tapi dah kenyang minum air tadi” jelas Haqem.

“Kasihan awak...” keluhku simpati. Kedengaran gelak Haqem. Haqem memang sentiasa tenang. Jarang sangat naik angin walaupun aku melakukan kesalahan. Itu diri Haqem yang kukenali sejak dahulu lagi. Dirinya terlalu berbeza dengan Aqel. Aqel tidak akan pernah jemu mengutuk dan memerliku. Aqel juga sering membangkitkan marah dan rasa geramku kepada dirinya. Kesimpulannya, Aqel memang suka menimbulkan perbalahan antara kami.

“Esok saya belanja awak makan. Paling istimewa saya sendiri yang masak makanan ini untuk awak” ujarku berjanji kepada Haqem.

“Wah.... tak sabar nak tunggu kedatangan esok!” ujar Haqem ceria. Aku tersenyum. Sudah terlintas menu istimewa yang mahu aku masak awal pagi esok. Harap – harap Haqem masih menyukainya.

“Kalau macam tu awak tidurlah sekarang. Esok awak kena bangun awalkan” tutur Haqem begitu prihatin. Aku tersenyum. Haqem masih tidak berubah. Keprihatinan dirinya langsung tidak luak.

“Saya dah biasa bangun awallah. Tapi memang saya letih sekarang” tuturku diikuti dengan gelakku. Balik kerja tadi tidak sempat baring – baring di bilik. Aku perlu melayan kunjungan Mak Long dan Aqel.

“Letih layan Aqel” tutur Haqem berbaur cemburu.

“Awak cemburukah ni?” soalku mengusik Haqem.

“Cemburu tandanya sayang” sahut Haqem buat aku tergelak.

“Letih sebab banyak bertekak dengannya” ujarku memperbetulkan bicara Haqem. Haqem tertawa.

“Kata mahu jadi sahabat baik Aqel” komen Haqem lantas mengingatkan aku pada hajat hati yang pernah aku luahkan kepadanya.

“Dia tu suka sangat mencabar kesabaran saya tau” rungutku.

“Kamu berdua tu sama – sama degil. Masing – masing tak mahu mengalah. Memang sepadan jadi sepupu” komen Haqem tidak mahu berpihak kepada siapa – siapa. Aku terus saja tergelak.

“Sayang juga awak kepada kawan baik awak tu ye” ujarku.

“Mengapa pula awak kata macam tu?” soal Haqem.

“Sebab tak semudahnya berpihak kepada saya. Awak memang kawan baik Aqel” jelasku. Haqem tersenyum sendiri.

“Saya dah lama mengenali Aqel. Hubungan kami dah macam adik beradik. Pada awak mungkin dia bukan sepupu yang awak sukai tapi bagi saya dialah kawan terbaik yang pernah saya ada” tutur Haqem serius. Betapa tingginya nilai persahabatan Aqel dan Haqem. Mungkin persahabatan mereka persis hubunganku dengan Nana. Aku dan Nana boleh ketawa dan menangis bersama – sama.

“Aqel adalah sepupu terbaik saya, Haqem” ujarku menyangkal bicara Haqem. Senyap.

“Awak tahu kenapa?” soalku.

“Apa sebabnya?” soal Haqem tidak mahu melepaskan peluang untuk bertanya.

“Sebab dialah satu – satunya sepupu yang saya ada di dunia ini. Say tak dapat bandingkan dirinya dengan yang lain” jawabku lalu tergelak sebab telah berjaya mengenakan Haqem. Haqem turut tergelak. Dia baru menyedari apa yang ingin aku sampaikan kepadanya.

“Aqel memang sepupu terbaik awak. Dia selalu mahu melindungi awak” tutur Haqem menyedarkan aku tentang hakikat itu.

“Ya .... saya bersyukur ada sepupu seperti Aqel” ujarku jujur. Betapa banyaknya jasa Aqel kepadaku.

“Awak tidurlah sekarang. Esok awak kena bangun awal lagi. Rasa tak sabar nak jumpa awak” tutur Haqem membuai perasaanku sedetik. Aku tersenyum sendiri.

“Saya sayang awak. Assalamualaikum....” suara Haqem sudah tidak kedengaran lagi. Mulutku terkumat – kamit menjawab salam Haqem. Aku meletakkan telefon bimbit ini di sebelah perbaringanku.


SEAWAL  jam 5.00 pagi aku sudah bangun. Usai solat Subuh terus bergerak ke dapur menyediakan bahan – bahan yang diperlukan untuk memasak mee Sarawak. Pertamanya perlu memasak kuah mee. Tidak susah dan tidak perlu banyak kerja yang dilakukan memandangkan perencah kuahnya sudah ada tersedia dalam pek yang dijual di mana – mana pasaraya. Kerja mudah dan menyenangkan. Spesies seperti aku yang bukan pakar dalam bab memasak ini memang sesuai dan sangat memerlukan bahan – bahan yang telah siap tersedia. Sementara menunggu kuah mendidih, aku menggunakan masa yang ada untuk mencelur mee. Siap proses mencelur dan toskan mee, kucapai 5 biji telur lalu merebusnya. Kumatikan api tatkala kuah mee sudah mengelegak. Sudah cukup syarat menunjukkan kuah ini siap untuk dinikmati. Kucelit sedikit di hujung sudu lalu merasanya. Emm... boleh tahan. Aku tersenyum sendiri. Puas hati dan tidak rasa was – was mahu dihidangkan kepada Haqem. Kemudian aku menyiapkan bahan – bahan sampingan pelengkap mee ini ketika di makan nanti. Wajib ada udang selain telur rebus. Ditambah dengan hirisan daging yang sudah dicelur kerana Haqem menyukainya. Jam 7.00 pagi, aku sudah menyiapkan hidangan mee Sarawak selengkapnya.

Kutenung hidangan lengkap mee Sarawak yang berada di depanku ini. Cukup untuk dimakan oleh beberapa orang. Lantas aku mengeluarkan dua buah bekas. Lalu meletakkan mee dan bahan – bahan sampingan ke dalam petak – petak yang ada. Kucapai dua buah bekas tahan panas, lalu memasukkan kuah ini. Sekarang sudah tersedia untuk dibawa ke tempat kerja. Bahagian untuk mak yang aku tinggalkan kuletak di bawah tudung saji. Pasti mak kehairanan nanti tatkala melihat sudah ada hidangan sarapan untuknya di awal pagi ini.

“Awal kamu bangun. Kamu buat apa tu?” Kurrr.....semangat! Aku sedikit terloncat ditegur oleh suara mak. Aku berpaling. Mak sudah berdiri di sebelahku.

“Buat bekal nak bawa ke tempat kerja” sahutku tersenyum. Mak kehairanan menatapku. Sesuatu yang luar biasa dan lain daripada kebiasaan.

“Apa mimpi kamu malam tadi tetiba saja rajin nak berbekal ke tempat kerja? Kamu dah tak cukup duit nak makan hujung bulan ni ke?” soal mak. Aku terus tergelak. Pertanyaan mak benar – benar mencuit hatiku.

“Lia tahulah gaji Lia tak banyak, tapi taklah sampai macam tu mak. Kalau Lia tak cukup duit pun pasti Lia minta kat mak. Tak pun suruh anak buah kesayangan mak yang kaya raya tu belanja Lia makan” tuturku bergurau. Mak tersenyum.

“Lia nak ajak kawan kat tempat kerja makan mee ni nanti. Bahagian mak ada Lia tinggalkan di bawah tudung saji tu. Kuahnya masih dalam periuk kat atas dapur gas tu. Lia nak mandi sekarang, nak siap – siap pergi tempat kerja” jelasku.

“Kamu ada bawa untuk Aqel sekali ke?” soal mak langsung tidak pernah terlupa dengan anak buah kesayangannya itu. Aku hanya tersenyum kepada mak. Tidak mahu menjawab pertanyaan mak itu. Sengaja membiarkan mak tertanya – tanya. Sesekali mengusik mak rasa seronok juga. Sebelum beredar meninggalkan mak, sempat juga aku melihat mak melontar pandangan ke arah bekas – bekas yang terletak di atas meja di depannya itu. Biarlah mak membuat ramalannya.
 
AKU menatap telefon bimbitku. Sejak dari tadi tiada mesej Haqem yang aku terima. Tidak kerjakah Haqem hari ini? Sakitkah dia? Kalau Haqem tidak datang ke pejabat hari ini  siapa yang harus makan mee  itu. Aku melontar pandangan ke arah bekas di atas meja itu. Perlukah aku telefon Haqem bertanyakan perkhabaran dirinya? Mungkin lebih baik aku menghantar mesej kepadanya. Aku terus menekan punat – punat huruf untuk menghantar mesej kepada Haqem. Skrin telefon bimbitku menyala. Ada mesej baru masuk. Aku terus saja membuka kotak mesej itu. Mesej daripada Haqem.

~ Sorry.... tak sempat nak telefon tadi. Tetiba saja ada meeting tergempar awal pagi ni. Saya curi – curi mesej awak di bilik meeting ni ~ Aku tersenyum. Pasti tangan Haqem berada di bawah meja sekarang. Pandangan matanya fokus di depan. Konon memberi perhatian penuh kepada agenda perbincangan sekarang.

~ Ok... Jangan lupa tengah hari nanti ye. Saya dah masak sesuatu yang istimewa untuk awak ~ Kuhantar mesej balasanku ini kepada Haqem. Mesej selamat dikirim. Seminit kemudian mesej balasan Haqem kuterima.

~ Tak sabar nak jumpa awak. Sayang awak...~ Aku tersenyum sendiri. Kuletakkan telefon bimbit ini di atas meja. Kini baru rasa lega. Tidak perlu lagi aku memikirkan siapa yang akan menghabiskan mee di dalam bekas di atas meja itu. Tentang Aqel aku tidak perlu risau kerana aku nampak keretanya ada di laman pakir tadi. Petanda dia bekerja hari ini.

Aku terus menyiapkan tugasan hari ini. Fokus pada kerja tanpa menyedari masa berlalu begitu pantas. Aku menatap jam tanganku. Sudah hampir ke pukul 12.00 tengah hari. Patutlah aku terasa lapar. Kucapai telefon bimbit di atas meja ini. Bingkas aku bangun lalu bergerak ke arah meja itu. Kucapai beg kertas ini. Di dalam beg kerta sini ada dua buah bekas yang berisi hidangan lengkap mee Sarawak. Aku segera melangkah ke muka pintu meninggalkan bilik ini.

Langkahku terhenti di depan bilik ini. Kuketuk daun pintu beberapa kali. Tiada suara yang menyahut. Aku terus saja teringat pada mesyuarat tergempar yang Haqem maklumkan padaku pagi tadi. Pasti Aqel juga terlibat dalam mesyuarat itu. Kupusing tembol pintu. Mujur tidak berkunci. Aku terus melangkah masuk dan bergerak ke arah meja itu. Kemas. Tiada yang berselerak di atas meja. Anak muda Mak Long ini memang seorang yang mementingkan kekemasan dalam semua aspek. Aku meletakkan beg kertas ini di atas meja ini. Biar lebih cepat dan mudah disedari oleh Aqel nanti. Tiada sebarang memo yang aku tinggalkan. Rasanya Aqel akan tahu bekal ini untuknya dan dia dapat meneka daripada siapa. Boleh jadi juga Aqel berpendapat buah tangan daripada Rania, lalu tidak sudi memakannya. Perlukah aku tulis memo untuk Aqel? Aku mula membuat pertimbangan. Aku tersentak mendengar deringan telefon bimbitku. Nama Haqem terpapar di dada skrin.

“Assalamulaikum..... Saya baru je habis meeting. Kita jumpa di mana?” soal Haqem. Mesyuarat itu sudah tamat? Bermakna bila – bila masa saja Aqel akan muncul di biliknya ini. Aku bergegas meninggalkan bilik ini. Kalau boleh tidak mahu bertembung dengan Aqel. Risau kalau dimarahi oleh Aqel sebab mencerobohi biliknya.

   “Awak terus pergi ke taman atas bumbung bangunan ini. Kita lepak di sana. Sekejap lagi saya pergi sana” saranku sambil menutup perlahan daun pintu bilik ini. Aku terus mengorak langkahku sepantasnya. Mahu segera menjauhi bilik dan kawasan ini. Paling penting tidak mahu Aqel melihat kelibatku di sini.

“Okey... saya tunggu awak di sana ye. Saya pergi sana sekarang. Jumpa nanti” tutur Haqem sekali gus menamatkan panggilan itu. Aku kembali ke bilikku. Kuambil beg kertas satu lagi, lalu kembali ke muka pintu seterusnya melangkah ke lif. Pintu lif terkuak. Aku terus melangkah masuk lantas menekan punat nombor 25 tingkat paling atas sekali. Aku melewati pintu jalan keluar dari bangunan ini untuk ke taman itu. Haqem sudah berada di taman ini sedang duduk di bangku kayu itu sambil tersenyum menyambut kedatanganku. Kini aku dan Haqem sudah duduk bersama – sama di bangku kayu ini bersedia untuk menikmati mee Sarawak sebagai hidangan tengah hari ini. 

Tatkala aku membuka penutup bekas ini, Haqem sangat teruja melihat hidangan kegemarannya ini. Dia begitu berselera menikmatinya. Terasa sungguh berbaloi apa yang aku lakukan pagi tadi. Paling buat aku terharu langsung tiada sisa – sisa yang Haqem tinggalkan. Dia makan sehabisnya. Ternyata Haqem benar – benar mahu menghargai apa yang telah aku lakukan untuk dirinya. Kemudian aku dan Haqem menghabiskan waktu rehat ini menikmati udara di tempat tinggi sambil memandang wajah kota metropolitan ini. Betapa sibuknya penghuni kota ini. Kini terasa betapa jauhnya aku dan Haqem daripada orang lain. Bagaikan kami sudah berada di dunia milik kami sendiri tanpa sebarang gangguan. Aku dan Haqem boleh tergelak dan tertawa bersama – sama. Saat yang begitu berharga.

“Lia, terima kasih banyak – banyak. Sedap mee yang awak masak. Rasanya sampai ke malam pun saya masih kenyang lagi” tutur Haqem tersenyum.
“Siapa suruh makan banyak sangat” rungutku tersenyum.

“Sebab awak masak sedap sangat” sahut Haqem memujiku. Aku tersenyum lagi.

 “Paling penting awak sentiasa berada di sisi saya. Itu yang paling membahagiakan saya” ujar Haqem penuh romantis. Aku tersenyum. Terasa betapa pentingnya aku pada Haqem. Aku dan Haqem saling berpandangan seketika. Daun pintu lif terkuak.

“Haqem... awak tak nak keluar dari lif ni?” soalku. Haqem tersentak lantas terus saja tergelak. Leka sangat dia menatapku. Buru – buru aku dan Haqem keluar dari kotak lif ini sebelum pintu lif tertutup kembali.

 “Kita jumpa lagi. Tunggu saya call awak” tutur Haqem. Aku mengangguk.

“Bye....” Aku membalas lambaian tangan Haqem. Di sini aku berpisah dengan Haqem. Aku meneruskan langkahku. Namun tiba di pertengahan jalan, aku mengubah haluan arahku. Langkahku terus saja melangkah ke arah laluan bilik Aqel. Mungkin Aqel sudah selesai menikmatinya dan sudah sampai masanya untuk aku mengambil kembali bekas – bekas itu. Mungkin Aqel tidak dapat mengagak siapa gerangan yang menghantar hidangan itu. Seronok kalau dapat membuat kejutan kepada Aqel. Lalu aku berimaginasi cuba membayangkan reaksi Aqel tika itu. Aku tersenyum sendiri. Kuketuk daun pintu.

“Masuk....” kedengaran suara Aqel mengarahkan masuk. Perlahan – lahan aku menolak daun pintu. Aku tidak terus melangkah masuk. Sebaliknya hanya menjengukkan mukaku di celah – celah daun pintu yang sedikit terkuak ini. Aqel sedang melontar pandangannya ke arahku.

“Assalamualaikum..... Awak dah habis makan mee tu. Saya datang nak ambik be...”

“Siapa tu Aqel?” suara Rania tiba – tiba kedengaran mencelah. Aku terus menolak daun pintu seluasnya. Sah Rania juga berada di sini sedang duduk di depan Aqel sekarang. Aku melangkah masuk. Kupandang Rania yang baru saja selesai menikmati mee Sarawak itu.

“Awak yang masak mee Sarawak ni ke?” soal Rania sambil mengelap bibirnya. Aku mengangguk. Kupandang Aqel yang kebetulan sedang memandangku. Aku melirik ke arah bibirnya. Bersih. Langsung tiada petanda dia telah merasa mee ini.

“Aqel suruh saya habiskan mee ini. Kebetulan dia tak reti makan mee Sarawak. Sedap juga awak masak ye. Rugilah Aqel tak merasanya” jelas Rania tersenyum puas. Puas hati sebab sudah kenyang membedal mee Sarawak yang aku bekalkan untuk Aqel seorang dirinya.

“Bukan tak reti makan...” suara Aqel mencelah.

“Yelah .... bukan tak reti makan tapi tak suka” ujar Rania menghabiskan ayat yang tergantung yang baru keluar dari mulut Aqel.

“Ya ke...” Kupandang Aqel.

“Ya... awak tak tahu rupanya” lirih saja suara Rania berbicara. Barangkali sedang memperliku yang kononnya tunangan Aqel tetapi langsung tidak arif tentang kesukaan Aqel.

“Saya datang nak ambil bekas – bekas ni” tuturku perlahan. Sedikit terselit rasa terkilanku. Kalaulah aku tahu Aqel tidak sukakan mee ini sudah pasti aku tidak akan menghantar bekas – bekas ini ke sini. Aku akan minta Haqem menghabiskan semua ini. Biar seharian suntuk Haqem tidak perlu makan lagi. Tidak pun aku akan suruh Marnie dan Reka menghabiskannya. Tidak kisahlah kalau mengundang pelbagai persoalan daripada Marnie dan Reka yang sentiasa ingin tahu. Namun sudah rezeki Rania nampaknya. Aku halalkan saja dengan setelus hatiku.

“Oh.... ni bekas – bekasnya. Maaflah tak sempat nak cuci lagi” tutur Rania tersengih.

“Tinggalkan saja di sini. Nanti saya serahkan kepada awak ataupun esok saya hantar ke rumah awak” tutur Aqel mula bersuara setelah mendiamkan diri sejak aku muncul di bilik ini. Mungkin Aqel sendiri mahu mencucinya.

“Takpe saya boleh cuci sendiri” tuturku tersenyum lantas mencapai beg kertas yang sudah dihulurkan oleh Rania kepadaku.

“Saya pergi dulu” tuturku mula berpaling untuk beredar dari situ.

“Terima kasih ye...” tutur Rania lagi. Langkahku mati. Aku terus berpaling. Aqel dan Rania sedang menatapku. Hairan. Kupandang Aqel. Kemudian pandanganku beralih kepada Rania.

“Buat apa awak lama – lama di sini. Tak manis duduk berduaan dengan tunang orang” meluncur laju ayat itu keluar dari mulutku.

“What?” Terkebil – kebil Rania menatapku. Begitu juga dengan Aqel. Mungkin mereka tidak menyangka aku akan berbicara sedemikian.  Malahanaku pun tidak menduga akan mengeluarkan kata – kata ini. Laju aku menyambung langkahku beredar dari bilik ini. Daun pintu kututup. Aku terus melangkah pantas meninggalkan bilik ini. Kugaru – garu kepalaku yang tidak gatal. Mengapalah aku boleh berkata – kata sedemikian? Barangkali geram melihat gelagat Rania tadi ditambah lagi perasaan terkilan kepada Aqel yang langsung tidak mahu merasa mee yang aku sediakan itu. Bersusah payah aku membawa ke tempat kerja dan menghantar ke biliknya tadi. Alangkah bagusnya kalau aku tidak baik hati pagi tadi.

Oh.... kenapalah aku boleh berkata sedemikian di depan Aqel dan Rania? Bimbang kalau Aqel salah tafsir terhadap kata – kataku itu. Bagi Rania pula mungkin aku nampak cemburu melihat dirinya bersama Aqel. Logiknya sebagai tunang Aqel mungkin Rania dapat menerima tindakanku tadi. Bagaimana pula dengan Aqel? Tidak sukalah jika Aqel berpendapat aku cemburu melihat dia berdua – duaan bersama Rania. Aku lakukan semua itu sebab aku mahu melindungi Aqel daripada Rania. Aku mahu menolong Aqel menghindari dirinya dari Rania. Perkara yang berlaku selama ini sebahagiannya berpunca dari tindakan Aqel yang mahu menjauhkan diri dari Rania. Rania telah memberikan kehidupan sengsara kepada Aqel. Maka sebagai sepupu Aqel aku memang berhak melindungi Aqel daripada Rania. Lantas kutulis mesej di dada skrin telefon bimbitku.

~ Saya sekadar mahu melindungi awak daripada Rania. Jangan salah faham ye...~ Lantas kuhantar mesej ini kepada Aqel. Selamat dihantar. Pasti Aqel telah membacanya sekarang. Baru rasa lega. Sekurang – kurangnya aku telah membuat penjelasan kepada Aqel. Maka tidak akan timbul sebarang salah faham nanti. Aku tersenyum sendiri.