Monday 18 March 2013

Sekilas Imbas untuk bab - bab seterusnya......







~ “Haqem, awak terseksa selama ini?” tiba – tiba sahaja persoalan itu meluncur laju dari celah bibirku. Haqem menatapku. Seketika aku dan Haqem saling beradu pandangan.

“Nanti saya cerita kepada awak. Sebelum itu, kita makan dahulu” tutur Haqem berjenaka buat aku tersenyum. Aku mengangguk ~


8888888888888888888888888888888888

~ “Minta maaflah Lia, saya memang tidak boleh biarkan awak terlepas daripada pandangan mata saya” jelas Haqem tanpa berselindung. Betulkah aku begitu penting buat Haqem.

“Saya pun minta maaf juga sebab banyak menyusahkan hidup awak selama ini” tuturku perlahan. Haqem geleng kepala.

“Semua yang saya lakukan selama ini adalah demi kebaikan awak. Biarpun awak membenci dan menyalahkan saya, saya tidak peduli. Namun sejak akhir – akhir ini saya seakan tidak mampu setenang itu lagi” ujar Haqem diiringi dengan senyuman tawarnya. Haqem melepaskan keluhan kecilnya.

“Saya memang hidup sengsara selama ini. Saya tidak mampu lupakan awak. Saya terseksa apabila awak menjauhi saya. Saya menderita sebab tidak dapat bersama awak. Paling melukai perasaan saya apabila mama dan Bella menyakiti awak. Saya mahu melindungi awak” tutur Haqem serius. Kupandang wajah Haqem.

“Saya mahu melindungi dan menjaga awak selama – lamanya” tegas Haqem buat aku terpaku. Besar sungguh hajat hati Haqem.     

“Adakah saya berpeluang untuk melakukannya, Lia? Masihkah saya ada di hati awak?” soal Haqem menyentakkanku. Aku tergamam dan terpaku. Kupandang wajah Haqem yang sudah bersedia menantikan jawapanku. Sukar untukku berbicara dalam hal ini. ~

88888888888888888888888888888888888888



~ “Lia, Encik Aqel dengan Ranialah. Tengok di sana itu...” tutur Marnie terkejut. Laju aku mengalih pandanganku ke arah yang ditunjukkan oleh Marnie. Memang betul Aqel sedang makan bersama Rania yang sedang asyik tersenyum lebar. Kelihatan ceria sungguh Rania berada di sisi Aqel. Aku tumpang rasa lega. Mungkin ini permulaan yang baik untukku.

“Kenapa dengan awak ini, Lia? Perhatian awak sudah beralih kepada Encik Haqemkah?” soal Marnie buat aku terdiam seketika. Aku bertindak keterlaluankah? Nampak sangatkah aku ini bukan kekasih Aqel?

8888888888888888888888888888888888888888888



“Awak mahu saya maafkan kesalahan Rania dan menerimanya semula demi kepentingan awak?” soal Aqel serius. Perlahan – lahan aku mengangguk dan cuba lebih memahami bicara Aqel ini. Betulkah Rania telah melakukan kesalahan serius sehingga Aqel meninggalkannya? Apakah kesalahan Rania itu? Begitu beratkah kesalahan itu sehingga mereka berpisah?


“Awak sungguh pentingkan diri sendiri, Flora” Aqel tersenyum sinis menatapku.

 &&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


“Wahai warga KDUT yang dihormati, saya tahu kalian sedang berada di depan saya sekarang. Di sini dan di saat ini saya mahu memperkatakan tentang desas – desus yang hangat diperkatakan. Saya mengakui memang perkara itu benar” tutur Haqem disambut dengan pelbagai reaksi dalam kalangan warga KDUT. Riuh – rendah suara – suara memberikan reaksi dan ulasan masing – masing. Aku melepaskan keluhan beratku. Apa yang mahu Haqem lakukan sekarang?

“Bertenang semua. Saya yang mengharapkan agar gadis itu menerima saya semula. Saya yang mahukan dirinya menjadi kekasih saya semula. Saya yang tidak dapat mengawal diri apabila melihat dia bersama lelaki lain. Ketahuilah saya memang mengimpikan untuk hidup bersamanya” tutur Haqem serius. Senyap. Semuanya bagaikan sudah terpaku menatap wajah Haqem yang terpancar keikhlasan. 

“Wahai warga KDUT saya mengharapkan doa dan restu kalian agar saya dapat bersama gadis itu. Dialah kekasih pertama saya, yang sejak sekian lama sudah saya kenali. Sekarang saya dengan kesabaran menanti dia kembali ke pangkuan saya. Sesungguhnya hati saya telah dimilikinya” tutur Haqem begitu tenang. Tiba – tiba sahaja tepuk sorak gamat memenuhi ruang legar lobi ini. Seolah – olah warga KDUT telah merestui tindakan Haqem.

8888888888888888888888888888888888888888888888888


“Berapa banyak awak cintakan dia sebanyak itu juga dia akan terluka. Kalau betul awak cintakan dia, awak sepatutnya berani berhadapan dengan Auntie Sofia, bukan meminta dia terus bertahan” tegas Aqel dengan wajah yang serius. Senyap. Aqel bangkit dari duduknya lalu melangkah ke muka pintu.

“Awak menyimpan perasaan kepada Lia?” soalan itu terkeluar dari mulut Haqem. Langkah Aqel terhenti di ambang pintu. Lalu dia berpaling ke arah Haqem. Mereka berp,andangan seketika.

“Dia saudara saya. Saya ada hak untuk melindunginya” balasnya tidak terus menjawab pertanyaan Haqem itu sejelas – jelasnya.

“Awak suka Lia?” dilontarkannya lagi persoalan itu.

“Saya tidak mahu dia disakiti” luahnya jujur. Haqem mengeluh. Tidak puas hati tatkala persoalannya masih belum menemui jawapan yang jelas.

“Awak belum jawab pertanyaan saya, Aqel” gesanya dengan rasa tercabar.

“Rasanya tidak perlu saya jawab soalan itu. Awak cukup bijak untuk memikirkannya” putus Aqel lalu meneruskan langkahnya yang tergendala sebentar tadi meninggalkan bilik itu.

Haqem tersandar di kerusi empuk itu. Bicara Aqel difikirkannya kembali. Sudah lama dia mengenali Aqel. Aqel tidak pernah berbicara soal hubungannya dengan gadis lain mahu pun hubungannya dengan Bella, bakal menantu pilihan mamanya. Bukan sikap Aqel untuk ambil tahu percintaan orang lain. Buat pertama kalinya, pemuda itu membicarakan soal perempuan kepadanya. Tiba – tiba saja Haqem geleng – geleng kepala menafikan suara hatinya yang terbit tika ini.

 “Aqel tidak boleh jatuh cinta kepada Lia! Lia tidak boleh menjadi kekasih Aqel! Lia hanya milikku seorang!” jerit hati Haqem.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
 
“Aqel saya ingin menebus kesalahan saya kepada Haqem. Selama ini saya berprasangka buruk kepada Haqem. Rupanya Haqem juga terseksa selama ini. Saya rasa bersalah kepada Haqem. Tidak sanggup saya hendak melukakannya lagi” luahku perlahan. Aqel melepaskan keluhannya. Ditatapnya wajahku.

“Buatlah apa yang terbaik untuk awak. Paling penting awak bahagia dengan tindakan awak” tutur Aqel langsung tiada halangan.

“Terima kasih Aqel. Awak memang benar – benar memahami” Lega. Aku melontar pandangan jauh – jauh. Terbayang wajah mak dan Mak Long. Mak dan Mak Long mesti kecewa denganku. Bagaimana aku hendak berterus – terang kepada mak tentang hal ini? Bagaimana pula penerimaan Mak Long? Aku mahu melakukan sesuatu agar aku tidak menyesal di kemudian hari nanti. Aku juga tidak mahu rasa bersalah seumur hidupku. Aku juga mahu membahagiakan Haqem walaupun hanya sedetik.

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

“Aqel, awak buat apa ini?” soalku tergamam menatap Aqel yang memberhentikan langkahnya di depan pintu bilik ini. Tangan Aqel terus sahaja menolak daun pintu. Kupandang Aqel yang sudah kehilangan ketenangan tika ini. Kunjungan luar biasa ini mengejutkan Marnie. Marnie tercengang – cengang menatapku dan Aqel.
“Haqem ada?” soal Aqel tanpa kemesraan. Marnie yang diserbu kehairanan hanya menggangguk. Lantas Aqel menarikku melangkah ke bilik Haqem. Tanpa ketukan mahupun salam yang diberi, Aqel terus menolak daun pintu. Haqem nampak terkebil – kebil menyambut kedatangan kami. Malah sempat juga pandangan Haqem singgah pada pautan tangan Aqel di tanganku. Laju sahaja aku menarik tanganku.

“Apa hal Aqel?” soal Haqem dengan tenang.

“Saya datang hendak maklumkan kepada awak bahawa saya dan Flora akan bernikah sedikit masa lagi. Saya harap mulai hari ini awak lepaskanlah Flora” tutur Aqel bagaikan menyentap tangkai jantungku.

“Aqel....” panggilku perlahan. Aku tergamam menatap Aqel. Begitu juga dengan Haqem.

“Saya akan jaga Flora dengan baik melebihi diri saya sendiri. Saya akan bahagiakan dia. Jadi awak tidak perlu risau” tutur Aqel serius.

“Aqel....” panggilku lagi. Sukar untuk aku percaya Aqel bertindak senekad ini.

“Mari Flora...” Aqel menarik tanganku mengajak aku beredar dari bilik ini. Aku yang kematian akal dan masih tergamam dengan tindakan Aqel hanya menurut sahaja. Langkah Aqel mati. Aqel berpaling semula. Seketika dia beradu pandangan dengan Haqem yang masih terpaku.

“Sesukar mana sekalipun awak mesti lupakan Flora. Kalian memang tiada jodoh untuk bersama” tegas Aqel


 

1 comment:

  1. assalamualaikum.... salam petang. minta maaf byk2 coz sudah lama x n3 smbgn novel ini. suma ini adalah imbasan utk bbrp bab akn dtg. blm dpt n3 sepenuhnya sbb ada bhgn yg msh lompang n sy sdg berusaha utk melengkapkan sepenuhnya. hrp u all bersabar n msh setia bersama novel ini

    ReplyDelete